Toyota Urban Cruiser Hyryder (D22) tertiris di India – rekaan seakan Perodua X-Concept; kebetulan ke?

Toyota Urban Cruiser Hyryder (D22) tertiris di India – rekaan seakan Perodua X-Concept; kebetulan ke?

Toyota Urban Cruiser Hyryder dikhabarkan bakal didedahkan di India pada 1 Julai nanti – ia adalah SUV segmen-B yang dibangunkan di India, khas untuk pasaran negara tersebut bagi berhadapan terus dengan Hyundai Creta. Sebelum ia membuat kemunculan sulung, imej SUV tersebut telah pun tertiris dan disiarkan oleh laman Team BHP.

Namun apa yang menarik perhatian kami, bahagian muka Toyota Urban Cruiser Hyryder berkenaan menampilkan rekaan seakan model konsep Perodua X-Concept, terutamanya pada lampu LED yang tirus yang bersambung terus dengan gril hadapan! Adakah ini kebetulan atau ada sesuatu sedang berlaku?

Toyota Urban Cruiser Hyryder ini diberikan kod projek D22. Ia adalah model lanjutan dari Toyota Urban Cruiser yang dilancarkan pada tahun 2020, iaitu SUV paling kecil Toyota untuk pasaran India dengan panjang tidak sampai empat meter, dan ia sebenarnya diasaskan dari Maruti Suzuki Vitara Brezza.

Segmen SUV dengan saiz sub-4 meter Di India sebenarnya agak kompetitif, dengan saingan seperti Kia Seltos, Volkswagen Taigun, Skoda Kushaq, MG Hector dan model tempatan Tata Harrier.

Perodua X-Concept

Manakala untuk Urban Cruiser Hyryder baharu ini, ia sebenarnya dihasilkan lebih besar dengan panjang melebihi empat meter, dan akan dijual satu segmen lebih tinggi berbanding Urban Cruiser. Menurut apa yang ditulis oleh Team BHP, Hyryder ini diasaskan dari platform Toyota New Global Architecture (TNGA) dalam varian TNGA-B yang “telah dilokalisasikan”. Malah selepas ini, ia turut akan dihasilkan untuk versi Maruti Suzuki.

Laman tersebut turut menyatakan bahawa Hyryder bakal ditawarkan dengan dua pilihan enjin. Yang pertama adalah enjin petrol 1.5 liter dengan sistem hibrid ringkas menghasilkan kuasa 102 hp, yang kedua pula adalah enjin petrol 1.5 liter dengan sistem hibrid penuh menghasilkan 114 hp.

Enjin dengan sistem hibrid ringkas ditawarkan dengan kotak gear manual dan automatik, manakala versi dengan sistem hibrid penuh hanya menerima transmisi CVT. Tiada pilihan enjin diesel ditawarkan untuk Toyota Urban Cruiser Hyryder ini.

Lakaran digital bayangan SUV Perodua berasaskan platform DNGA-B oleh Theophilus Chin

Seperti yang kita tahu, Perodua merupakan salah satu ahli di bawah kumpulan Toyota, dan ia sudahpun mempunyai model-model kembar bersama seperti Toyota Rush/Daihatsu Terios/Perodua Aruz. Malah model terkini pakatan berkenaan yang menggunakan platform generasi baharu berasaskan TNGA iaitu Daihatsu New Global Architecture (DNGA) – kembar Toyota Raize/Daihatsu Rocky/Perodua Ativa juga telah berada dalam pasaran.

Baru-baru ini juga Perodua dikatakan sedang membangunkan SUV segmen-B yang lebih besar dari Ativa, diasaskan dari platform DNGA-B. SUV misteri berkenaan dikatakan mempunyai dimensi panjang 4,320 mm, lebar 1,770 mm dan tinggi 1,685 – saiz yang agak sama dengan Hyundai Creta iaitu lawan terus kepada Toyota Urban Cruiser Hyryder di India.

Jadi dengan rupa muka yang ada iras-iras Perodua X-Concept yang didedahkan pada KLIMS 2018, adakah Toyota Urban Cruiser Hyryder akan ada bau-bau bacang dengan SUV baharu Perodua nanti?

GALERI: Perodua X-Concept di KLIMS 2018

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required