Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Mitsubishi Triton 2025 dilancarkan esok, 16 Oktober

    Mitsubishi Triton 2025 dilancarkan esok, 16 Oktober

    Mitsubishi Triton serba baru generasi keenam (atau generasi ketiga yang menggunakan nama itu di pasaran Malaysia) bakal dilancarkan secara rasmi esok, 16 Oktober seperti yang diumumkan oleh Mitsubishi Motors Malaysia (MMM). Tempahan bagi model terbaru berkenaan telah dibuka untuk pasaran Malaysia bulan ini, dan akan ada lima varian bakal ditawarkan.

    Ini terdiri daripada Triton Single Cab, untuk tujuan kerja-kerja kasar dan lanjutan daripada Triton Quest Low-Rider Double Cab yang terdahulu, hinggalah kepada varian flagship, Triton Athelete. Harga anggaran bagi model ini ialah dari RM102k hingga RM170k untuk tempoh terhad, sebagai harga pengenalan.

    Unit janaan kuasa Triton terbaru ini terdiri daripada unit 4N16 2.4 liter VGT turbodiesel yang menjana 184 PS/430 Nm untuk Single Cab, sementara untuk Athelete pula menerima versi janaan 204 PS/470 Nm dengan pengecas turbo dua peringkat. Bagi varian paling asas, ia melibatkan peningkatan 74 PS dan 230 Nm tork berbanding Triton Quest, dengan ciri 4WD dan kotak gear 6MT (lima-kelajuan sebelum ini), dan peningkatan 20 PS/40 Nm bagi Athelete berbanding yang lama.

    Mitsubishi Triton 2025 dilancarkan esok, 16 Oktober

    Triton generasi keenam ini juga lebih besar, dengan versi double-cab adalah 55 mm lebih panjang, 115 mm lebih lebar dan 35 mm lebih tinggi — dengan saiz terkini ialah 5,360 mm panjang, 1,930 mm lebar dan 1,815 mm tinggi dengan jarak roda 3,130 mm (130 mm lebih panjang). Versi single-cab juga mempunyai ruang karga belakang yang paling besar dalam segmennya, dengan 2,340 mm panjang dan 1,580 mm lebar.

    Harga anggaran bagi varian paling tinggi Triton Athlete ini akan lebih rendah berbanding Toyota Hilux yang dijual dengan harga RM173,280 bagi varian 2.8L GR Sport. Ikuti perincian lanjut tentang model ini esok, bersama kami.

     
     
  • Dinamikjaya Motors beri subsidi diesel RM1.05 seliter untuk pembeli Kia Carnival selama lima tahun

    Dinamikjaya Motors beri subsidi diesel RM1.05 seliter untuk pembeli Kia Carnival selama lima tahun

    Ini ada perkara yang agak unik dan jarang ditawarkan di Malaysia. Pengedar Kia yang juga anak syarikat Bermaz Auto, Dinamikjaya Motors telah umumkan kempen Fuel-on-Us dengan tawaran kepada pelanggan Kia Carnival: bagi yang membuat pembelian dari 1 Oktober hingga 31 Disember tahun ini, mereka akan menikmati subsidi diesel daripada syarikat itu sebanyak RM1.05 seliter untuk lima tahun akan datang, tidak kira harga mingguan yang bakal diumumkan.

    Untuk layak menyertai kempen ini, pelanggan perlu mendaftarkan Kia Carnival mereka melalui mana-mana pengedar sah Kia sepanjang tempoh kempen tersebut, dengan setiap pembelian layak untuk satu penyertaan.

    Dinamikjaya Motors beri subsidi diesel RM1.05 seliter untuk pembeli Kia Carnival selama lima tahun

    Sejak Jun lalu, program penyelarasan semula harga diesel di Malaysia telah menyaksikan harga diesel Euro 5 B10 dan B20 naik dari RM2.15 kepada RM3.35 seliter (+1.20 atau 56%) di Semenanjung Malaysia. Harga diesel semasa ketika ini ialah RM2.95 seliter.

    Diberi kemaskini bagi model tahun 2024 pada Februari lalu, Kia Carnival ditawarkan dalam tiga varian — 11-tempat duduk, lapan-tempat duduk High dan 7-tempat duduk High — semuanya dengan enjin yang sama, 2.2 liter turbodiesel 202 PS/440 Nm dan transmisi lapan-kelajuan automatik.

     
     
  • Jaecoo J7 PHEV dibuka untuk pendaftaran minat di Malaysia – PHEV 347 PS/525 Nm bakal dilancar?

    Jaecoo J7 PHEV dibuka untuk pendaftaran minat di Malaysia – PHEV 347 PS/525 Nm bakal dilancar?

    Jaecoo kini membuka pendaftaran minat untuk Jaecoo J7 PHEV yang sebelum ini pernah dipertontonkan di Malaysia Mei lalu. Untuk pengetahuan, ini adalah versi plug-in hybrid bagi Jaecoo J7 yang dilancarkan di Malaysia Julai lalu.

    J7 PHEV digerakkan oleh enjin petrol 1.5 TGDi yang dipadankan bersama transmisi hibrid DHT dan motor elektrik pada gandar roda hadapan. Tetapan ini secara keseluruhannya mampu menghasilkan 347 PS dan tork 525 Nm.

    Sebagai perbandingan, J7 petrol yang dilancarkan sebelum ini pula menggunakan enjin 1.6 liter turbo, yang dipadankan bersama transmisi klac berkembar tujuh kelajuan, mampu menghasilkan 197 PS dan 290 Nm untuk dihantar ke dua roda hadapan.

    Bagi J7 PHEV, ia dikatakan dapat memberi jarak gerak elektrik sehingga 88 km, sementara dengan fungsi hibrid penuh, ia boleh memberi catatan penggunaan bahan api 4.9 l/100 km atau 20.4 km/l. Menurut Jaecoo, dengan bateri penuh dan tangki bahan api 60 liter, J7 PHEV boleh bergerak sehingga 1,200 km.

    Membezakan J7 PHEV dengan kebanyakan kenderaan plug-in hybrid lain adalah ia boleh menerima pengecasan pantas DC, melalui soket pengecas CC2 yang disediakan. Selain daripada itu, ia juga menawarkan fungsi V2L (vehicle-to-load).

    Di dalam, susun atur papan pemuka adalah sama sahaja seperti J7 petrol biasa, dengan terdapat panel instrumen 10.25 inci di hadapan pemandu, serta skrin sesentuh 14.8 inci menegak di tengah untuk sistem infotainmen.

    Bahagian konsol tengah bagaimanapun terdapat beza, dengan versi PHEV tidak mempunyai pemilih gear dan dua lubang untuk meletak cawan di letakkan secara bersebelahan dan bukannya menegak. Kemudian di bawahnya terdapat beberapa butang termasuk untuk lampu kecemasan dan pemilihan mod pemanduan.

    Semasa pelancaran, Jaecoo J7 versi petrol dijual pada harga bermula RM138,800, iaitu untuk varian 2WD, kemudiannya diikuti RM148,800 untuk varian 4WD. Berkemungkinan, model PHEV ini nanti akan dijual pada harga sedikit lebih tinggi. Jika berminat dengan Jaecoo J7 PHEV, anda boleh membuat pendaftaran di sini.

    GALERI: Jaecoo J7 PHEV yang dipertontonkan di Malaysia

     
     
  • Toyota Camry 2024 dilancar di Thailand – generasi ke-9 XV80, bermula RM186k, 2.5L hibrid 227 PS, 3 varian

    Toyota Camry 2024 dilancar di Thailand – generasi ke-9 XV80, bermula RM186k, 2.5L hibrid 227 PS, 3 varian

    Selepas mendarat di Singapura Ogos lalu, Toyota Camry generasi ke-9 yang dikenali dengan kod casis XV80 kini secara rasmi dilancarkan pula pada satu lagi pasaran ASEAN iaitu Thailand. Sedan segmen-D tersebut ditawarkan dalam tiga varian berbeza di sana dengan varian asas Smart dijual pada harga bermula 1,450,000 baht (RM186,059), diikuti Premium berharga 1,639,000 baht (RM209,479) dan 1,789,000 baht (RM228,651) untuk Premium Luxury,

    Namun ketiga-tiga varian Camry di Thailand ini hanya ditawarkan dalam satu pilihan unit rangkaian kuasa iaitu 2.5 liter hibrid petrol. Ia menggandingkan enjin petrol A25A-FXS 2,487 cc empat-silinder sebaris kitaran Atkinson berkuasa 186 PS pada 6,000 rpm dan tork 221 Nm bermula 3,600 rpm hingga 5,200 rpm, bersama motor elektrik berkuasa 100 kW dan tork 208 Nm.

    Secara keseluruhan unit rangkaian kuasa hibrid ini menghasilkan kuasa 227 PS, dan ia dialirkan ke roda hadapan menerusi kotak gear e-CVT. Tangki petrol sebesar 50 liter dimuatkan pada Camry ini, dan seperti biasa model pasaran Thailand ditala bagi membolehkan ia beroperasi dengan bahan bakar E20.

    Toyota Camry 2024 dilancar di Thailand – generasi ke-9 XV80, bermula RM186k, 2.5L hibrid 227 PS, 3 varian

    Model generasi baharu ini menampilkan dimensi 4,920 mm panjang, 1,840 mm lebar, 1,455 mm tinggi dan jarak roda sejauh 2,825 mm. Jadi berbanding model generasi sedia ada yang masih dijual di Malaysia, Camry XV80 berkenaan adalah 35 mm lebih panjang, tetapi dimensi lain masih lagi sama.

    Ketiga-tiga varian Camry di Thailand ini menerima lampu hadapan LED automatik dengan lampu nyalaan siang LED, lampu belakang LED, cermin sisi dengan lampu isyarat membelok LED dan pembuka pintu dalam kemasan warna badan dan cermin hadapan akustik dengan pengelap cermin automatik.

    Tambahan untuk cermin sisi, ketiga-tiga varian datang dengan larasan elektrik dan fungsi auto-lipat, namun hanya varian Premium Luxury diberikan tambahan fungsi memori dan larasan automotik ketika undur. Manakala untuk bumbung panaromik dan pelindung matahari kawalan kuasa, ia hanya diberikan pada varian Premium dan Premium Luxury.

    Toyota Camry 2024 dilancar di Thailand – generasi ke-9 XV80, bermula RM186k, 2.5L hibrid 227 PS, 3 varian

    Untuk roda pula, varian Smart datang dengan rim aloi 17-inci kemasan warna perak dengan tayar 215/55R17. Manakala varian Premium dan Premium Luxury hadir dengan rim aloi 18-inci dalam kemasan dua-tona dan juga tayar 235/45R18.

    Beralih ke bahagian kabin, model pasaran Thailand ini diberikan upholsteri gabungan kulit sintetik dan sebenar. Ketiga-tiga varian menerima tempat duduk pemandu larasan kuasa lapan-hala, namun hanya varian Premium Luxury diberikan liang aliran udara serta fungsi memori dan juga larasan kebelakang automatik ketika pemandu masuk atau keluar dari kabin ala-Lexus.

    Manakala untuk tempat duduk penumpang hadapan, varian Smart dan Premium diberikan larasan elektrik empat-hala, manakala Premium Luxury menerima larasan elektrik lapan-hala, liang aliran udara, butang ‘bos’ untuk butang larasan yang diletak pada bahagian kanan perehat badan bagi membolehkan ia dioperasikan oleh penumpamg belakang.

    Ketiga-tiga varian ini juga diberikan roda stereng balutan kulit dan kolum stereng larasan elektrik, tetapi hanya varian Premium Luxury menerima fungsi memori. Sementara pedal penukar gear pula dipadankan pada varian Premium dan Premium Luxury.

    Bagi paparan instrumen, varian Smart diberikan papan meter analog dengan skrin MID TFT berwarna tujuh inci, sementara Premium dan Premium Luxury menerima instrumen digital sepenuhnya skrin TFT 12.3-inci. Paparan head-up pula hanya dilengkapi pada varian Premium Luxury.

    Manakala bagi sistem infotainmen, ketiga-tiga varian menerima skrin sesentuh 12.3-inci dengan hubungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar. Ia dihubungkan kepada sistem bunyi dengan enam-pembesar suara untuk varian Smart dan Premium, manakala Premium Luxury diberikan sistem dengan sembilan-pembesar suara dari JBL.

    Untuk pendingin hawa pula, Smart dan Premium diberikan sistem automatik dua-zon, manakala Premium Luxury menerima sistem tiga-zon. Lain-lain perincian standard untuk semua varian termasuk pengecas tanpa wayar dan pelindung matahari tingkap belakang.

    Bagi keselamatan pula, kesemua varian menerima lapan beg-udara dan juga sistem bantuan pemanduan termasuk pemantau titik butam amaran lintasan trafik belakang dengan bantuan keluar selamat, amaran pelanggaran hadapan dan brek kecemasan automatik, amaran keluar laluan dengan bantuan stereng dan bantuan pengesan lorong dan cruise control radar dinamik bersama pengurang kelajuan di selekoh.

    Untuk varian Smart ia hanya diberikan kamera undur, manakala Premium dan Premium Luxury diberikan kamera pemantau panaromik dan juga kamera perakam digital. Empat warna badan ditawarkan pada Camry generasi ke sembilan pasaran Thailand ini iaitu Precious Metal, Cement Grey Metallic, Platinum White Pearl dan Attitude Black Mica.

    Di Malaysia model-model sedan segmen-D dari Jepun dilihat semakin kurang permintaan di mana pembeli-pembeli dari model-model sebelum ini dilihat sudah beralih ke SUV. Dengan Honda Malaysia telahpun menghentikan jualan Accord pada pasaran tempatan, agak-agak UMW Toyota bakal membawa Camry ini ke pasaran tempatan atau tidak?

    GALERI: Toyota Camry Premium Luxury 2024 pasaran Thailand

    GALERI: Toyota Camry Premium 2024 pasaran Thailand

    GALERI: Toyota Camry Smart 2024 pasaran Thailand

     
     
  • ACE 2024: Mercedes-Benz C200, C350e dengan Hap Seng Star — faedah pembiayaan serendah 0.88%

    ACE 2024: Mercedes-Benz C200, C350e dengan Hap Seng Star — faedah pembiayaan serendah 0.88%

    Jangan lupa untuk berkunjung ke acara Auto Car Expo (ACE) 2024 anjuran paultan.org dengan tajaan bersama Carro yang akan berlangsung pada 26-27 Oktober 2024 di Pusat Persidangan Setia City (SCCC) untuk mendapatkan pelbagai tawaran menarik bagi pembelian kenderaan.

    Mercedes-Benz antara jenama yang akan ikut serta, yang diwakili oleh Hap Seng Star. Antara model yang akan dipamerkan ialah Mercedes-Benz C 350e dan C 200, dan pelanggan boleh menikmati kadar pembiayaan serendah 0.88% dengan pelan MonilityPlus untuk kedua-duanya.

    Tawaran lain juga tidak ketinggalan: Sokongan Insurans Kenderaan Komprehensif untuk Agility+ sehingga RM3,200, MobilityPlus dan Jaminan Lanjutan Lima-Tahun untuk C-Class. Pembeli C 350e PHEV — yang dilengkapi dengan jaminan bateri hibridnya sehingga lapan-tahun/160,000 km — juga akan menerima kredit pengecasan bernilai RM300.

    Jenama lain yang akan berada di ACE 2024 termasuklah Toyota, Proton, Mitsubishi, Perodua, Volkswagen, BYD, Ford serta smart dan eMas yang diuruskan oleh Pro-Net.

    ACE 2024: Mercedes-Benz C200, C350e dengan Hap Seng Star — faedah pembiayaan serendah 0.88%

    Selain itu, BMW/MINI (menerusi Auto Bavaria) dan Volvo (menerusi Sime Darby Swedish Auto) juga akan terlibat, serta beberapa jenama lagi di bawah kendalian EON yang turut akan mewakili jenama smart dan Audi, serta Cycle & Carriage dengan jenama Peugeot dan Leapmotor. Untuk motosikal, akan ada jenama BMW Motorrad, serta tidak lupa Trapo yang pelbagai produk melalui Exosystem-nya.

    Pengunjung ACE 2024 turut berpeluang memandu uji barisan kenderaan dari pelbagai jenama yang menyertai acara tersebut. Dan, tidak hanya kenderaan baru yang akan dipamerkan: kenderaan terpakai juga akan dibawa — dengan pelbagai tawaran menarik untuk dinikmati oleh pelanggan, yang tidak ditawarkan di tempat lain.

    Tidak ketinggalan, 200 pelanggan terawal yang membuat tempahan mana-mana kereta baru akan menerima baucar gabungan bernilai RM2,500, yang terdiri daripada RM500 baucar filem penapis haba/coating V-Kool, RM500 baucar Dodomat, RM500 baucar penapis udara Blueair, RM500 baucar untuk balutan kulit kustom DK Schweizer serta RM500 baucar dari Kuzig Glanz untuk filem pelindung cat badan kenderaan.

    Akan ada banyak lagi promosi yang akan diumumkan sempena ACE 2024. Jadi terus perhatikan ruangan ini untuk maklumat lanjut. Tandakan kalender — 26-27 Oktober 2024 — dan jumpa nanti di SCCC. Masuk adalah percuma!

     
     
  • ACE 2024: Lengkapi gaya hidup dengan penawaran SUV kompak Perodua Ativa — dari RM62,500

    ACE 2024: Lengkapi gaya hidup dengan penawaran SUV kompak Perodua Ativa — dari RM62,500

    Jika ingin mencari promosi terbaik untuk membeli kenderaan, pastikan anda berkunjung ke acara Auto Car Expo (ACE) 2024 anjuran paultan.org dengan penaja bersama Carro pada 26-27 Oktober 2024 bertempat di Pusat Persidangan Setia City (SCCC).

    Turut akan ditawarkan ialah Perodua Ativa dalam tiga varian dengan harga bermula RM62,500. Ia mungkin pilihan terbaik bagi mereka yang inginkan kenderaan bandar yang kompak dan jimat — Ativa menggunakan enjin 1.0 liter turbo dengan D-CVT tujuh nisbah maya dan mampu memberikan kadar penggunaan minyak 18.9 km/l dengan Eco Idle.

    Selain ruang dalaman yang praktikal dan luas untuk saiznya, Ativa juga sebuah SUV yang selamat: ia menerima penarafan ASEAN NCAP lima-bintang dan lengkap dengan fungsi Advanced Safety Assist (ASA) yang terdiri daripada ciri seperti Pre-collision Warning, Pre-collision Braking, Front Departure Alert dan Pedal Misoperation Control tidak kira varian mana yang dipilih. Ciri Lane Departure Warning and Prevention juga diberikan secara standard, tidak ketinggalan Adaptive Cruise Control, Lane Keep Control, Blind Spot Monitor dan Rear Cross Traffic Alert yang turut tersedia.

    Jenama lain yang akan berada di ACE 2024 termasuklah Toyota, Proton, Mitsubishi, Volkswagen, BYD, Ford serta smart dan eMas yang diuruskan oleh Pro-Net.

    ACE 2024: Lengkapi gaya hidup dengan penawaran SUV kompak Perodua Ativa — dari RM62,500

    Semua jenama tersebut juga akan turut disertai juga oleh BMW/MINI (menerusi Auto Bavaria), Mercedes-Benz (menerusi Hap Seng Star) dan Volvo (menerusi Sime Darby Swedish Auto), serta beberapa jenama lagi di bawah kendalian EON yang turut akan mewakili jenama smart dan Audi, serta Cycle & Carriage dengan jenama Peugeot dan Leapmotor. Untuk motosikal, akan ada jenama BMW Motorrad, serta tidak lupa Trapo yang pelbagai produk melalui Exosystem-nya.

    Pengunjung ACE 2024 turut berpeluang memandu uji barisan kenderaan dari pelbagai jenama yang menyertai acara tersebut. Dan, tidak hanya kenderaan baru yang akan dipamerkan: kenderaan terpakai juga akan dibawa — dengan pelbagai tawaran menarik untuk dinikmati oleh pelanggan, yang tidak ditawarkan di tempat lain.

    Tidak ketinggalan, 200 pelanggan terawal yang membuat tempahan mana-mana kereta baru akan menerima baucar gabungan bernilai RM2,500, yang terdiri daripada RM500 baucar filem penapis haba/coating V-Kool, RM500 baucar Dodomat, RM500 baucar penapis udara Blueair, RM500 baucar untuk balutan kulit kustom DK Schweizer serta RM500 baucar dari Kuzig Glanz untuk filem pelindung cat badan kenderaan.

    Akan ada banyak lagi promosi yang akan diumumkan sempena ACE 2024. Jadi terus perhatikan ruangan ini untuk maklumat lanjut. Tandakan kalender — 26-27 Oktober 2024 — dan jumpa nanti di SCCC. Masuk adalah percuma!

     
     
  • BYD M6 dengan tujuh-tempat duduk, dilancarkan esok

    BYD M6 dengan tujuh-tempat duduk, dilancarkan esok

    BYD M6 akan dilancarkan untuk pasaran tempatan esok, dan melalui satu imej teaser yang dikongsikan di Facebook BYD Malaysia, MPV berkenaan akan ditawarkan dalam versi tujuh-tempat duduk di sini.

    Di Indonesia, MPV sama turut ditawarkan dalam versi enam-tempat duduk dan dijual dengan harga 379 juta Rupiah (RM109,500) hingga 429 juta Rupiah (RM123,900). Manakala di Thailand pula, M6 hanya ditawarkan dengan enam tempat-duduk sahaja, dengan harga dari 829,900 baht (RM106,800) hingga 929,900 baht (RM119,600). Malaysia mungkin tidak akan menerima konfigurasi tersebut.

    BYD M6 merupakan versi diperbaharui untuk model e6 generasi kedua, dan ditawarkan dalam dua janaan kuasa di kedua-dua pasaran tersebut — Malaysia juga mungkin akan menerima penawaran yang sama. Untuk varian, Malaysia juga mungkin akan diberikan dua pilihan, sama seperti model-model lain BYD yang diperkenalkan di sini.

    BYD M6 dengan tujuh-tempat duduk, dilancarkan esok

    Varian paling asas dilengkapi bateri Blade lithium iron phosphate (LFP) 55.4 kWh yang membekalkan kuasa untuk motor elektrik di depan yang menjana 163 PS (161 hp atau 120 kW) dan 310 Nm, yang memberikan jarak 420 km mengikut kitaran NEDC, dan boleh mencapai 0-100 km/j dalam 10.1 saat.

    Versi spesifikasi lebih tinggi pula menerima bateri 71.8 kWh dan memberikan jarak 530 km (NEDC) serta angka janaan yang lebih 204 PS (201 hp atau 150 kW) dengan pecutan 0-100 km/j dalam masa 8.6 saat.

    Untuk pengecasan, M6 paling asas boleh menerima pengecas pantas DC 89 kW (85 kW di Thailand), sementara versi lebih tinggi menyokong sehingga 115 kW dengan hanya memerlukan 40 minit untuk pengecasan 10%-80%. Untuk pengecasan AC, ia terhad kepada 7 kW untuk semua varian. Perincian lanjut tentang spesifikasi dan kelengkapannya BYD M6 akan diketahui esok.

     
     
  • Honda CRF1100L Africa Twin Adventure Sports ES diperkenal dengan grafik baru, harga masih RM119k

    Honda CRF1100L Africa Twin Adventure Sports ES diperkenal dengan grafik baru, harga masih RM119k

    Baru sahaja diperkenalkan Jun lalu, Honda CRF1100L Africa Twin 2024 kini diberikan penampilan baru. Secara asasnya, ia masih lagi warna kelabu dan putih, tetapi grafik serta warna fender hadapan ditukar. Harga juga masih tidak berubah, iaitu RM119,388 tidak termasuk insurans.

    Sebagai imbasan, Africa Twin 2024 dipacu oleh unit dua silinder selari 1,084 cc yang sama seperti model tahun sebelumnya, tetapi mampu memberikan lebih kuasa pada tahap rpm rendah dan pertengahan, sementara tork pula bertambah tujuh peratus menjadi 112 Nm pada 5,500 rpm. Kuasa maksimum masih lagi sama, iaitu 102 hp pada 7,500 rpm.

    Penambahbaikan pada bahagian enjin ini adalah hasil daripada peningkatan nisbah mampatan, perubahan pada sistem ekzos serta pelarasan semula pemasaan enjin, salur bukaan udara dan tetapan unit kawalan enjin (ECU).

    Honda CRF1100L Africa Twin Adventure Sports ES diperkenal dengan grafik baru, harga masih RM119k

    Meskipun di luar negara terdapat pilihan transmisi manual, model yang dibawa ke Malaysia pula cuma datang dengan transmisi automatik DCT enam kelajuan yang telah menerima penambah baikan untuk menjadikan rasa penukaran gear lebih lancar. Tiga mod disediakan melalui transmisi ini, iaitu Manual (tukar gear guna butang), D atau S.

    Pada bahagian suspensi, model Adventure Sports ini didatangkan terus dengan unit larasan elektronik Showa Electronically Equipped Ride Adjustment (Showa EERA) di hadapan dan belakang, yang mempunyai lima mod iaitu Soft, Mid, Hard, Off-road dan User.

    Untuk roda, padanan rim spoked 19 inci di hadapan dan 18 inci di belakang digunakan pada model Adventure Sports, dan ia masing-masing dibalut tayar 110/80 dan 150/70. Dalam keadaan asal, tempat duduk Africa Twin 2024 ini berada pada ketinggian antara 820-820 mm dan ia boleh dilaras secara manual tanpa sebarang peralatan. Tinggi motosikal dari tanah adalah 220 mm.

    Melihat kepada panel badan, Africa Twin 2024 menerima fairing baru yang direka semula untuk memperbaiki ciri aerodinamik, serta penghadang angin hadapan yang boleh dikawal secara elektronik untuk ditetapkan pada pilihan lima tahap tinggi. Berat keseluruhannya tanpa beg barangan adalah 253 kg, sementara tangki bahan api pula berkapasiti 24.8 liter.

    Kelengkapan standard lain Africa Twin 2024 adalah termasuk skrin TFT 5.0 inci dengan sambungan kepada telefon pintar, lima mod tunggangan, cruise control, lampu hadapan dan belakang LED penuh, soket pengecas USB, ABS dual-channel, Wheelie Control, HSTC (kawalan cengkaman) dan Cornering Light.

     
     
  • Honda ADV 160 dalam warna matte – lebih RM300

    Honda ADV 160 dalam warna matte – lebih RM300

    Boon Siew Honda Sdn Bhd memperkenalkan dua warna baru untuk ADV 160, iaitu Matte Green dan Matte Red sebagai tambahan kepada warna kelabu dan putih yang diperkenalkan bulan Julai lalu.

    Bagi harga, ADV 160 warna matte ini dijual lebih RM300 berbanding warna biasa, iaitu RM13,549 tidak termasuk insurans dan ia datang dengan jaminan dua tahun atau 20,000 km.

    Perincian lain skuter ini tidak berubah, bermula dengan enjin yang menggunakan unit satu silinder suntikan bahan api 156.9 cc eSP+, dipadankan bersama transmisi CVT untuk menghasilkan kuasa 15.8 PS pada 8,500 rpm dan 14.7 Nm tork pada 6,500 rpm.

    Honda ADV 160 dalam warna matte – lebih RM300

    Selain dilengkapi brek ABS single-channel, model pasaran Malaysia juga tiba dengan sistem kawalan cengkaman HSTC. Demi memberikan sedikit kepuasan kepada pengguna, sistem kawalan cengkaman ini boleh ditutup dengan menekan butang yang disediakan.

    Kelengkapan lain ADV 160 adalah termasuk fork teleskopik di hadapan, dua penyerap hentak Showa di belakang dengan tabung gas, rim 14 inci di hadapan dengan tayar 110/80, rim 13 inci di belakang dengan tayar 130/70, sistem kunci pintar, sistem start/stop enjin serta tangki bahan api 8.1 liter.

     
     
  • Subaru WRX Todoroki 2024 – terhad 10-unit, hanya manual 6-kelajuan, khas untuk New Zealand, RM170k

    Subaru WRX Todoroki 2024 – terhad 10-unit, hanya manual 6-kelajuan, khas untuk New Zealand, RM170k

    Sekali tengok, mungkin nampak macam Subaru dah hasilkan versi STI untuk WRX generasi baharu. Tapi tidak. Masih lagi belum ada WRX STI bagi model generasi VB tersebut, dan gambar yang anda lihat ini adalah model edisi terhad Subaru WRX Todoroki 2024 yang dihasilkan khas untuk pasaran New Zealand.

    Hanya 10 unit WRX Todoroki ini dihasilkan, dan ia menerima peningkatan dari segi gaya dan juga prestasi berbanding WRX biasa. Pada bahagian luar, WRX Todoroki ini diberikan spoiler belakang ‘tiang gol’ dari STI yang membuatkan rupanya seperti sebuah WRX STI.

    Subaru WRX Todoroki 2024 – terhad 10-unit, hanya manual 6-kelajuan, khas untuk New Zealand, RM170k

    Model ini juga diberikan rim aloi 19-inci kemasan kelabu matte yang dibalut dengan tayar Bridgestone Potenza S007, lencana WRX berwarna hitam dan lencana Todoroki, serta hanya boleh dipilih dengan warna badan ikonik jentera rali Subaru iaitu WR Blue.

    Versi edisi terhad ini masih dijana oleh enjin boxer FA24F 2.4 liter empat silinder berkuasa 271 hp dan tork maksima 350 Nm. Kesemua 10-unit WRX Todoroki ini diasaskan dari model asas WRX, dan ia hanya menampilkan pilihan kotak gear manual enam-kelajuan. Seperti biasa, kesemua kuasa berkenaan dihantar ke kesemua roda menerusi sistem Symmetrical All-Wheel Drive Subaru, serta dibantu dengan sistem Active Torque Vectoring.

    Namun WRX Todoroki ini telah diberikan talaan semula pada stereng dan suspensi, serta menerima tingkat taraf brek dengan angkup enam-omboh di hadapan dan dua-omboh di belakang, kesemuanya dari Brembo. Manakala pada sebelah dalam, model istimewa ini menerima tempat duduk Recaro untuk bahagian hadapan.

    Subaru WRX Todoroki ini dijual pada harga NZD64,990 atau sekitar RM170k. Pembeli yang membeli model ini turut akan menerima gegelang kunci memaparkan nombor produksi terhad (contohnya 1/10) yang datang dengan kotak simpanan seperti kotak barang kemas, dan juga seutas jam tangan STI yang dihasilkan sempena ulangtahun ke-30 WRX.

     
     
  • Projek garisan jalan glow in the dark kini dilaksanakan di Jalan Rawang-Kuala Selangor di daerah Gombak

    Projek garisan jalan glow in the dark kini dilaksanakan di Jalan Rawang-Kuala Selangor di daerah Gombak

    Jabatan Kerja Raya (JKR) telah melaksanakan kerja-kerja mengecat jalan glow in the dark di Jalan Rawang-Kuala Selangor (Persimpangan Batu Arang) B27, di daerah Gombak, Selangor.

    Kementerian Kerja Raya (KKR) sebelum ini berkata, pelaksanaan garisan jalan glow in the dark ini mengikut konsep garisan di jalan raya yang kelihatan normal pada waktu siang namun akan bercahaya pada waktu malam. Ia adalah bagi memastikan pengguna jalan raya memandu lebih selamat dan sangat membantu terutamanya bagi pengguna jalan raya yang tidak biasa memandu melalui sesuatu kawasan baharu.

    Pada pertengahan November tahun lalu, JKR Daerah Hulu Langat telah melaksanakan projek rintis pemasangan cat garisan jalan glow in the dark di persimpangan Jalan Sungai Lalang, Semenyih. Ia merupakan lokasi pemasangan cat jalan ‘glow in the dark’ yang pertama seumpamanya di Malaysia. Kemudian diikuti dengan lokasi lain iaitu di Jalan Padang Sanai, Kuala Nerang menghala ke Durian Burung, Padang Terap di Kedah.

    Kemudian, ia dilaksanakan pule di Jalan Bukit Kucing di Gelang Patah, dan Jalan Paloh J16 Batu Pahat di Johor. Garisan jalan glow in the dark di laluan tersebut adalah sepanjang 300 meter.

    Manakala di Negeri Sembilan pula, projek ini dilaksanakan pada Februari lalu yang melibatkan dua lokasi iaitu jalan lama Bukit Putus, Kuala Pilah dan jalan Bukit Miku, Rembau. Ia melibatkan kos sebanyak RM500,000 yang disediakan bagi projek di bawah peruntukan Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) itu yang disalurkan oleh kerajaan negeri. Panjang jalan adalah masing-masing lebih kurang dua km.

     
     
  • GST akan dilaksanakan semula apabila nilai ambang pendapatan minimum naik antara RM3k-RM4k – Anwar

    GST akan dilaksanakan semula apabila nilai ambang pendapatan minimum naik antara RM3k-RM4k – Anwar

    Kerajaan berkata tiada cadangan untuk memperkenalkan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) di Malaysia, bukan sahaja dalam masa terdekat tetapi sehingga negara bersedia untuk ke arah itu, apabila gaji bulanan minimum meningkat dua kali ganda daripada RM1,500 pada waktu ini.

    Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, negara memerlukan sedikit masa untuk melaksanakan semula GST sehingga nilai ambang pendapatan minimum naik kepada RM3,000 hingga RM4,000, laporan Bernama. Katanya, sistem percukaian paling telus, efisien dan mampu menyumbang kepada pendapatan negara, namun ia hanya boleh dilaksanakan semula selepas nilai ambang pendapatan berjaya ditingkatkan.

    “Kalau laksanakan GST sekarang, semua kena bayar, yang kaya dan yang miskin, …saya tidak boleh (terima) …berikan kita masa beberapa tahun lagi. Saya faham dan telah mengkaji sejak saya menjadi Menteri Kewangan dahulu (era 90-an), bahawa GST adalah sistem cukai paling efisien dan memberi kelebihan kepada kerajaan untuk mengutip pendapatan.

    “Namun berikan kita masa untuk meningkatkan ekonomi terlebih dahulu dan nilai ambang pendapatan kepada RM3,000 atau RM4,000 minimum,” katanya, mengulangi petunjuk yang dibuatnya tahun lalu bahawa tidak ada rancangan untuk melaksanakan semula GST dalam jangka masa pendek ini.

    GST akan dilaksanakan semula apabila nilai ambang pendapatan minimum naik antara RM3k-RM4k – Anwar

    Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, pelaksanaan GST telah menjadi topik berterusan sejak berdekad-dekad lamanya, malah ketika menjadi menteri kewangan pada 1990-an. Beliau tidak bersetuju ketika itu kerana percaya isu menangani rasuah membabitkan berbilion ringgit adalah keutamaan.

    Kenyataan PM ini senada dengan yang disuarakn oleh Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Liew Chin Tong, yang berkata walaupun GST telus, ia menetapkan sukai untuk semua orang tidak kira kaya dan miskin. “Beliau (PM) menjelaskan bahawa GST hanya akan dilaksanakan selepas beberapa tahun apabila tahap pendapatan meningkat ke tahap yang boleh diterima,” katanya.

    Liew berkata pada masa ini, hanya sekitar 15% rakyat Malaysia memperoleh pendapatan yang mencukupi untuk melayakkan mereka untuk membayar cukai pendapatan, dan itu perlu diubah. “Bersama-sama, kita harus berhasrat untuk mewujudkan masyarakat di mana sekurang-kurangnya 60% rakyat Malaysia memperoleh pendapatan yang melayakkan mereka membayar cukai pendapatan,” katanya.

    GST mula diperkenalkan pada April 2015 pada kadar 6% (yang mengurangkan harga bagi sesetengah kereta) tetapi telah dimansuhkan pada 2018 selepas kerajaan Pakatan Harapan yang baharu berkuasa, digantikan dengan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sebanyak 10%. Sejak itu, di sebalik perubahan politik yang berlaku, GST tidak pernah dilaksanakan semula, walaupun kemungkinan itu telah ditimbulkan beberapa kali.

     
     
  • Perodua Aruz kini ditawarkan dalam warna badan Hitam untuk semua varian, RM73k hingga RM78k

    Perodua Aruz kini ditawarkan dalam warna badan Hitam untuk semua varian, RM73k hingga RM78k

    Setelah mengeluarkan teaser minggu lalu, Perodua kini secara rasmi mengumumkan bahawa Aruz sudah boleh dipilih dengan warna badan hitam Elegant Black baharu untuk semua varian SUV tujuh-tempat duduk itu. Warna baharu ini menggantikan warna Passion Red sebelumnya, manakala pilihan warna-warna sedia ada iaitu Ivory White, Glittering Silver, Granite Grey, Electric Blue dan Garnet Red masih lagi ditawarkan.

    Tiada sebarang kenaikan harga diumumkan dengan penawaran warna badan baharu ini. Jadi Perodua Aruz akan terus dijual pada harga atas jalan tanpa insuran bermula RM72,900 untuk varian 1.5 X dan juga RM77,900 untuk varian tertinggi 1.5 AV.

    Spesifikasi untuk Aruz juga masih tidak berubah, kekal dipacu enjin 2NR-VE 1.5 liter NA empat-silinder yang menghasilkan 102 PS pada 6,000 rpm dan 133 Nm tork pada 4,200 rpm dengan sistem Eco Idle, digandingkan bersama transmisi automatik empat-kelajuan bagi memacu roda belakang.

    Untuk kelengkapan lain, kedua-dua varian Aruz iaitu X dan AV dipadankan dengan roda aloi 17-inci, lampu utama LED, lampu belakang LED, kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin, pengimbas tol binaan-dalam, pendingin hawa manual dengan kawalan digital dan corong belakang, sistem infotainmen skrin sesentuh tujuh-inci, enam-pembesar suara, enam beg udara, ABS, EBD, bantuan brek, VSC, kawalan cengkaman, bantuan mula mendaki, kamera undur serta filem penapis cermin keselamatan dan solar.

    Manakala untuk varian tertinggi AV ia ditambah fungsi automatik untuk lampu utama, rel bumbung, hubungan telefon pintar SmartLink, upholsteri kulit (varian X hanya fabrik), perakam video digital (dashcam) serta sistem Advance Safety Assist 2.0 (ASA 2.0) yang merangkumi fungsi Amaran Pra-pelanggaran, Brek Pra-Pelanggaran, Amaran Pergerakan Hadapan dan Kawalan Salah Operasi Pedal.

    Menerusi kemaskini terakhir yang dibuat pada Mei 2021, Aruz juga kini diberikan pemijak sisi dan fungsi auto-lock sebagai perincian standard.

    Setiap pembelian Perodua Aruz ini akan dilindungi waranti selama lima-tahun ataua 150,000 km yang mana sampai dahulu. Anda sudahpun boleh menempah Aruz dengan warna hitam ini atau mana-mana pilihan warna hanya di bilik pameran Perodua yang bertauliah sahaja. Pelanggan juga boleh membuat proses tukar beli untuk memilik kereta baharu menerusi Perodua POV.

    GALERI: Perodua Aruz 2021

     
     
  • PLUS umum hentian sebelah Plaza Tol Nilai ditutup sementara hingga 31 Dis 2024 untuk dinaiktaraf

    PLUS umum hentian sebelah Plaza Tol Nilai ditutup sementara hingga 31 Dis 2024 untuk dinaiktaraf

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mengumumkan semua kemudahan di hentian sebelah di Plaza Tol Nilai, Lebuhraya Utara-Selatan ditutup sementara sehingga 31 Disember 2024. Ia adalah bagi melaksanakan kerja-kerja naiktaraf di hentian terbabit.

    “Sebagai alternatif sepanjang tempoh tersebut, pengguna lebuhraya dinasihatkan supaya menggunakan kemudahan yang disediakan di kawasan rehat dan rawat (R&R), hentian-hentian sebelah atau stesen-stesen minyak lain yang berdekatan.

    “Pengguna lebuh raya juga boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi Pembantu Maya – PUTRI, Aplikasi X@plustrafik, papan tanda elektronik (VMS) di lokasi-lokasi terpilih. Orang ramai juga boleh menghubungi talian PLUSLine di 1800-88-0000 sekiranya ingin mendapatkan bantuan apabila berlaku kecemasan,” kata PLUS menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

     
     
  • Brembo ambil alih pengeluar suspensi premium Sweden, Öhlins dengan pegangan 100% dari Tenneco

    Brembo ambil alih pengeluar suspensi premium Sweden, Öhlins dengan pegangan 100% dari Tenneco

    Pengeluar brek dari Itali, Brembo mengumumkan pada 11 Oktober lalu bahawa ia kini menjadi pemilik bagi jenama suspensi premium, Öhlins. Pemilikan tersebut dibuat setelah Brembo menandatangani perjanjian dengan pemilik Öhlins sebelum ini iaitu Tenneco dengan pengambilihan 100% saham pembuat suspensi dari Sweden itu.

    Sama seperti Brembo, Öhlins merupakan jenama yang sering dikaitkan dengan produk berprestasi tinggi dan terlibat dengan sukan permotoran seperti MotoGP, Formula 1, NASCAR dan banyak lagi. Ia bukan hanya menawarkan komponen-komponen pada pasaran aftermarket, malah turut membekalkan komponen-komponen asli untuk pengeluar automotif (OEM).

    “Öhlins sangat sesuai untuk Brembo. Ia adalah jenama yang terkenal di dunia, dengan perniagaan yang kukuh dan reputasi yang tiada tandingan, baik di litar lumba dan jalan raya,” kata Pengerusi Eksekutif Brembo, Matteo Tiraboschi.

    “Kami mengalu-alukan Öhlins ke kumpulan kami sebagai peluang yang baik untuk mengembangkan penawaran kami dalam pasaran automotif. Dengan tambahan ini, kami mengambil satu lagi langkah ke hadapan dalam strategi kami untuk menyediakan penyelesaian pintar bersepadu kepada pelanggan, memanfaatkan sinergi merentasi teknologi utama di sudut kenderaan,” tambahnya.

    Diasaskan pada 1976 dan kini berpengkalan di Upplands Väsby, Stockholm, Sweden, Öhlins Racing kini mempunyai kira-kira 500 kakitangan di seluruh dunia. Ia mempunyai kilang dan juga pusat R&D di Sweden dan Thailand, serta empat cawangan untuk pengedaran dan ujian termasuk di Amerika Syarikat dan Jerman.

    Öhlins Racing juga diunjurkan untuk menutup 2024 dengan perolehan dalam julat sekitar USD 144 juta, dengan jangkaan margin EBITDA diselaraskan antara 21% dan 22%. Syarikat itu kini komited untuk membangunkan teknologi suspensi mekatronik generasi seterusnya untuk kegunaan litar dan jalan raya.

    “Pendekatan yang yang dipacu inovasi ini akan memperkukuhkan misi Brembo untuk menjadi penyedia solusi bagi mobiliti masa hadapan”, kata Brembo dalam kenyataan yang dikeluarkan.

    “Sempena penggabungan dengan Brembo, kami teruja untuk membuka peluang pertumbuhan baharu dan memanfaatkan kekuatan dan aset masing-masing untuk memacu inovasi dan memberikan nilai yang lebih besar kepada pelanggan dan pekerja kami,” kata CEO Öhlins Racing Tom Wittenschlaeger.

    Brembo ambil alih pengeluar suspensi premium Sweden, Öhlins dengan pegangan 100% dari Tenneco

    Brembo menyatakan bahawa perjanjian ini menandakan pemerolehan terbesar dalam sejarahnya dengan harga belian berjumlah USD 405 juta secara bebas tunai/bebas hutang, tertakluk kepada mekanisme pelarasan harga biasa. Pemerolehan akan dibayar menggunakan wang tunai yang ada serta tertakluk kepada kelulusan kawal selia biasa dan dijangka dimuktamadkan pada awal 2025.

    Pada 2021 kumpulan Brembo telahpun membeli SBS Friction di Denmark dan J.Juan di Sepanyol bagi melengkapkan penawaran solusi untuk sistem brek motosikal. Manakala pada Februari tahun ini, Brembo mengumumkan pembukaan kilangnya di Thailand untuk membekalkan brek kepada pengeluar motosikal. Brembo kini turut mengawal pengeluar rim aloi ringan untuk motosikal perlumbaan dan jalan raya iaitu Merchesini.

    Menurut Brembo lagi perniagaan berkaitan motosikal kini mencapai 13% kira-kira 13% daripada jumlah hasilnya.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025