Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Petronas bantu Pasukan F1 Mercedes jimat 500 tan emisi CO2 untuk musim perlumbaan Eropah 2024

    Petronas bantu Pasukan F1 Mercedes jimat 500 tan emisi CO2 untuk musim perlumbaan Eropah 2024

    Pasukan F1 Mercedes-AMG mendedahkan bahawa ia berjaya menjimatkan lebih dari 500 tan emisi CO2 sepanjang musim perlumbaan di benua Eropah tahun ini dengan menggunakan bahan api bio HVO100, mencapai liputan 98% dalam perlumbaan untuk trak pengangkutan dan pemasaran, motorhome serta penjana elektrik yang digunakan di litar.

    Menurut pasukan itu lagi, penggunaan bahan api bio tersebut meningkat berbanding tahun lalu dengan liputan hanya 74%, dan menambah kejayaan memperluaskan lagi penggunaan bahan api bio untuk sembilan perlumbaan di Eropah musim 2024 ini dicapai dengan kerjasama rakan teknikalnya iaitu Petronas, serta rakan-rakan kerjasama logistik yang lain.

    “Memacu musim Eropah kami dengan menggunakan bahan api bio merupakan keutamaan pasukan dan sukan kami, dan saya harap apa yang kami capai, dengan sokongan, kepakaran dan keupayaan bekalan yang tidak ternilai dari penaja dan rakan tkknikal kami Petronas, akan menginspirasikan yang lain untuk mengikut,” kata prinsipal dan CEO pasukan F1 Mercedes-AMG, Toto Wolff.

    “Kami tidak sabar-sabar untuk kini mencabar diri kami bagi mengembangkan penggunaan bahan api mampan dalam logistik kami bukan hanya untuk perlumbaan Eropah dan terus bersedia untuk pengenalan bahan api mampan sepenuhnya yang akan menggerakkan kereta lumba 2026 di atas litar,” tambahnya lagi.

     
     
  • Proton eMas 7 – foto awalan kabin dedahkan skrin 15.4-inci, paparan 2.5k, 16-pembesar suara Wanos

    Proton eMas 7 – foto awalan kabin dedahkan skrin 15.4-inci, paparan 2.5k, 16-pembesar suara Wanos

    Walaupun sudah ‘berkeliaran’ menjelajah serata semenanjung Malaysia, sehingga kini Proton masih belum mendedahkan sebarang imej bahagian dalaman bagi model EV pertamanya iaitu Proton eMas 7. Namun menerusi hantaran yang dibuat di laman-laman sosialnya, foto beberapa perincian awalan bahagian kabin berkenaan telah pun ditunjukkan.

    Dalam hantaran tersebut secara rasmi Proton mengumumkan bahawa eMas7 dilengkapi dengan skrin utama di tengah papan pemuka bersaiz 15.4-inci dengan paparan resolusi 2.5k, sama seperti yang diberikan pada kembarnya di pasaran China iaitu Geely Galaxy E5.

    Begitu juga untuk pemandu, eMas 7 turut menerima kelengkapan sama seperti Galaxy E5 iaitu paparan instrumental digital dengan skrin bersaiz 10.2-inci.

    Manakala dalam satu hantaran insta story laman sosial tersebut, Proton mengesahkan pula bahawa SUV EV ini turut menerima sistem bunyi Wanos 16-pembesar suara dari Flyme Sound, di mana sistem audio premium tersebut didakwa menawarkan ‘bunyi yang sangat jelas’. Pada Galaxy E5, sistem dengan 16-pembesar suara itu turut merangkumi pembesar suara yang diletakkan dalam perehat kepala tempat duduk.

    Komponen-komponen dari jenama Flyme Auto dibekalkan oleh pembuat telefon pintar Geely iaitu Meizu. Geely mendakwa sistem ini akan menawarkan operasi antaramuka yang intuitif seperti menggunakan sebuah telefon pintar.

    Dalam imej-imej yang disiarkan ini juga mendedahkan bahawa Proton memberikan tema warna hitam sepenuhnya pada bahagian kabin eMas 7 berkenaan. Ia adalah lebih sesuai dengan pasaran Malaysia berbanding tema kabin dengan warna light cream pada Geely Galaxy E5.

    Proton eMas 7 – foto awalan kabin dedahkan skrin 15.4-inci, paparan 2.5k, 16-pembesar suara Wanos

    Bahagian dalaman Geely Galaxy E5

    Beberapa hantaran yang dibuat pada laman-laman sosial rasmi sebelum ini sudah mendedahkan bahawa eMas 7 dipacu dengan unit rangkaian kuasa yang sama dengan Galaxy E5 iaitu motor elektrik tunggal berkuasa 218 PS dan tork 320 Nm bagi memacu roda hadapan, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 6.9 saat.

    Proton turut membuat penambahbaikkan pada eMas 7 ini bagi disesuaikan untuk kegunaan di Malaysia termasuk kebolehan meredah air 400 mm, lebih dalam dari yang boleh diredah oleh Galaxy E5 bagi memastikan EV ini tidak bermasalah untuk mengharungi musim tengkujuh dalam negara.

    Jurucakap Proton juga mengesahkan bahawa talaan suspensi untuk eMas 7 adalah lebih baik dan sesuai untuk digunakan pada jalan raya tempatan.

     
     
  • ACE 2024: Beli kereta Carro Certified Car, nikmati diskaun hingga RM13.8k dan menangi Sony PS5 dll

    ACE 2024: Beli kereta Carro Certified Car, nikmati diskaun hingga RM13.8k dan menangi Sony PS5 dll

    Acara Auto Car Expo (ACE) 2024 anjuran paultan.org bakal kembali dengan tajaan bersama Carro dan akan berlangsung pada 26-27 Oktober 2024 di Pusat Persidangan Setia City (SCCC). Masuk adalah percuma, dan pelbagai jenama dan model kenderaan dengan promosi istimewa menanti pengunjung.

    Sebagai penaja bersama ACE 2024, Carro akan menawarkan pembelian Carro Certified Cars terpilih dengan potongan sehingga RM13,800, dan anda akan turut layak menyertai cabutan bertuah untuk memenangi pelbagai hadiah yang disedikan.

    Pembelian dari barisan “Cars of the Month” oleh Carro dengan tawaran eksklusif untuk ACE 2024 ini akan berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah berupa satu unit Sony PlayStation 5 Digital bernilai RM2,069, dua unit penyedut hampagas Dyson V8 Fluffy+ bernilai RM1,599 setiap satu, dua unit Nintendo Switch OLED bernilai RM1,228 setiap satu dan tiga unit Apple AirPods bernilai RM829.

    Jenama lain yang akan berada di ACE 2024 termasuklah Toyota, Proton, Mitsubishi, Perodua, Volkswagen, BYD, Ford serta smart dan eMas yang diuruskan oleh Pro-Net.

    ACE 2024: Beli kereta Carro Certified Car, nikmati diskaun hingga RM13.8k dan menangi Sony PS5 dll

    Selain itu, BMW/MINI (menerusi Auto Bavaria) dan Volvo (menerusi Sime Darby Swedish Auto) juga akan terlibat, serta beberapa jenama lagi di bawah kendalian EON yang turut akan mewakili jenama smart dan Audi, serta Cycle & Carriage dengan jenama Peugeot dan Leapmotor. Untuk motosikal, akan ada jenama BMW Motorrad, serta tidak lupa Trapo yang pelbagai produk melalui Exosystem-nya.

    Pengunjung ACE 2024 turut berpeluang memandu uji barisan kenderaan dari pelbagai jenama yang menyertai acara tersebut. Dan, tidak hanya kenderaan baru yang akan dipamerkan: kenderaan terpakai juga akan dibawa — dengan pelbagai tawaran menarik untuk dinikmati oleh pelanggan, yang tidak ditawarkan di tempat lain.

    Tidak ketinggalan, 200 pelanggan terawal yang membuat tempahan mana-mana kereta baru akan menerima baucar gabungan bernilai RM2,500, yang terdiri daripada RM500 baucar filem penapis haba/coating V-Kool, RM500 baucar Dodomat, RM500 baucar penapis udara Blueair, RM500 baucar untuk balutan kulit kustom DK Schweizer serta RM500 baucar dari Kuzig Glanz untuk filem pelindung cat badan kenderaan.

    Akan ada banyak lagi promosi yang akan diumumkan sempena ACE 2024. Jadi terus perhatikan ruangan ini untuk maklumat lanjut. Tandakan kalender — 26-27 Oktober 2024 — dan jumpa nanti di SCCC. Masuk adalah percuma!

     
     
  • Yamaha Ego Gear terima warna baharu – harga RM6k

    Yamaha Ego Gear terima warna baharu – harga RM6k

    Tahun ini sekali lagi Yamaha Ego Gear diberikan penampilan baru dengan warna kali ini terdiri daripada tiga pilihan iaitu Grey, Cyan dan Navy Blue. Harganya masih kekal seperti tahun lepas – RM5,998 tidak termasuk insurans.

    Bahagian lain skuter ini tidak berubah dan masih sama seperti waktu ia mula dilancarkan untuk pasaran Malaysia pada tahun 2021. Bermula pada bahagian enjin, ia digerakkan oleh unit satu silinder suntikan bahan api, SOHC 125 cc, bersama padanan transmisi automatik, untuk menghasilkan kuasa 9.4 hp pada 8,000 rpm dan 9.6 Nm tork pada 5,500 rpm.

    Menambah lagi kecekapan penggunaan bahan apinya, enjin ini didatangkan bersama sistem Start and Stop yang menggunakan Smart Motor Generator. Walaupun Ego Gear adalah sebuah skuter kecil, ia didatangkan dengan lampu hadapan jenis LED, lampu kecemasan serta soket pengecas USB yang mudah diakses untuk kemudahan pengguna. Panel meter pula masih menggunakan unit analog biasa.

    Sistem brek skuter ini menggunakan gabungan unit cakera di hadapan dan dram di belakang, sementara suspensi pula terdiri daripada fork teleskopik di hadapan dan satu penyerap hentak di belakang. Rim bersaiz 14 inci dan dibalut tayar 70/90 di hadapan dan 90/80 di belakang.

    Perincian lain Ego Gear adalah termasuk tangki bahan api 4.2 liter, berat 95 kg dan tinggi tempat duduk 750 mm. Setiap pembelian Ego Gear datang dengan jaminan dua tahun atau 20,000 km, serta kunci cakera brek bernilai RM100 secara percuma.

     
     
  • Nissan Murano 2025 didedahkan – 2.0L VC-Turbo 241 hp/352 Nm, kotak gear 9AT, hanya untuk Amerika Utara

    Nissan Murano 2025 didedahkan – 2.0L VC-Turbo 241 hp/352 Nm, kotak gear 9AT, hanya untuk Amerika Utara

    Nissan hari ini secara rasmi mendedahkan model generasi ke-empat untuk SUV Nissan Murano. Model ini nampaknya tidak lagi akan dijual pada pasaran global termasuk Jepun, dan ia hanya ditawarkan pada pasaran Amerika Utara iaitu Amerika Syarikat dan Kanada.

    Di pasaran berkenaan, Murano masih diletakkan di tengah-tengah antara Nissan Rouge (X-Trail pada pasaran lain) dan juga SUV tiga-baris tempat duduk Nissan Pathfinder. Ia juga kini tidak lagi menerima enjin V6 3.5 liter bersama kotak gear CVT seperti model generasi sebelumnya, tetapi telah digantikan dengan enjin 2.0 liter empat silinder dengan sistem mampatan bervariasi bersama pengecas turbo (2.0L VC-Turbo) dan digandingkan dengan kotak gear automatik konvensional sembilan-kelajuan.

    Unit rangkaian kuasa tersebut adalah sama dengan padanan yang diterima oleh model lebih mewah Infiniti QX60. Enjin baharu ini menghasilkan kuasa 241 hp, manakala tork maksimanya adalah 27 Nm lebih besar dari enjin V6 sebelum ini iaitu 352 Nm.

    Nissan Murano 2025 didedahkan – 2.0L VC-Turbo 241 hp/352 Nm, kotak gear 9AT, hanya untuk Amerika Utara

    Ia masih ditawarkan sama ada dalam versi pacuan roda hadapan dan juga pacuan semua roda dengan sistem Intelligent All-Wheel Drive Nissan. Selain itu Murano ini turut menerima penyerap hentak jenis sensitif-frekuensi bagi membantu memberikan pengendalian lebih baik.

    Murano 2025 ini hadir dengan muka yang menampilkan elemen rekaan V-Motion Nissan generasi baharu seperti diberikan pada model-model terkini Nissan termasuk Serena C28 dan Almera facelift. Ia diberikan lampu utama yang nipis pada sebelah atas, bersama jalur LED lampu nyalaan siang yang direka seolah-olah bersambung dengan gril hadapan.

    ‘Otot-otot’ ikonik Murano masih lagi kelihatan pada model genarasi baharu ini yang dihasilkan pada penutup bonet dan fender hadapan, bumbung lekuk di tengah dan juga pada fender belakang. Manakala bahagian belakang merubah identiti Murano sebelum ini dengan dipadankan dengan kluster lampu yang jauh lebih nipis, dihubungkan antara unit kiri dan kanan menerusi bar lampu yang merentangi sepenuhnya pintu tailgate.

    Nissan Murano 2025 didedahkan – 2.0L VC-Turbo 241 hp/352 Nm, kotak gear 9AT, hanya untuk Amerika Utara

    Manakala pada sebelah dalam pula Murano 2025 ini menerima papan pemuka baharu sepenuhnya yang menampilkan rekaan melintang, diberikan skrin berkembar untuk paparan instrumen digital sepenuhnya dan juga sistem infotaimen. Turut dapat dilihat ia diberikan roda stereng baharu dua jejari rata di bawah, serta suis-suis fizikal jenis sentuhan haptik untuk kawalan pendingin hawa.

    Juga dapat diperhatikan tiada lagi tombol gear biasa diberikan pada Murano ini, digantikan dengan butang PRND yang disusun melintang berhampiran pemegang cawan pada konsol terowong. Pedal penukar gear pula masih diberikan pada roda stereng.

    Tidak banyak perincian mengenai spesifikasi diumumkan. Antara kelengkapan yang sah diberikan pada Murano 2025 ini termasuk rim 21-inci, lampu LED sepenuhnya pada bahagian belakang, warna badan dua-tona, lampu suasana kabin 64-warna, tempat duduk hadapan dengan fungsi pengurut dan skrin berkembar yang masing-masing berukuran 12.3-inci.

    Skrin tersebut datang sekali dengan aplikasi Google built-in yang memberikan fungi Google Maps dan lain-lain, serta dihubungkan dengan sistem audio Bose 10-pembesar suara.

    Nissan Murano 2025 ini turut menerima sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) Nissan Shield 360 dan Nissan ProPilot 1.1. Ia juga menerima kamera pemantau sekeliling 3D yang turut memberikan visual maya bahagian bawah enjin menerusi kamera Invisible Hood View.

    Nissan Murano 2025 ini masih akan diproduksi di kilang yang sama memasang model generasi sebelumnya iaitu fasilti Nissan Smyrna di Tennessee, Amerika Syarikat. Ia akan mula dijual bermula pada awal 2025.

     
     
  • MG ES5 diperkenal di China – pengganti ZS EV dengan jarak gerak sehingga 525 km, RWD, platform MG4

    MG ES5 diperkenal di China – pengganti ZS EV dengan jarak gerak sehingga 525 km, RWD, platform MG4

    MG ES5, iaitu sebuah SUV elektrik penuh yang akan menggantikan ZS EV kini sudah didedah di China. Menurut CarNewsChina, SUV segmen B ini dijangka dijual pada harga 100k-150k yuan (RM60k-RM91k) apabila ia dilancarkan di China hujung tahun ini.

    Menggerakkannya adalah motor elektrik 170 PS/250 Nm yang terletak di belakang, mendapat kuasa daripada sama ada bateri lithium iron phosphate (LFP) 49.1 kWh atau 62.2 kWh. Bergantung kepada kapasiti, bateri ini boleh memberikan jarak gerak antara 425 km-525 km mengikut kitaran CLTC. Pecutan 0-100 km/j dapat dibuat dalam masa lapan saat, manakala laju maksimum pula adalah 170 km/j.

    Turut dinyatakan oleh CarNewsChina adalah kenderaan ini menggunakan platform elektrik penuh Nebula daripada SAIC (juga digunakan pada MG4) dan menampilkan suspensi belakang jenis five-link independent. Untuk dimensi, ia mencatat panjang 4,476 mm, lebar 1,849 mm, tinggi 1,621 mm dan jarak roda 2,730 mm.

    Sebagai gambaran, ES5 ini mempunyai saiz hampir seperti BYD Atto 3, tetapi apabila dibandingkan dengan Chery Omoda 5, ia adalah 33 mm lebih tinggi dan jarak rodanya 100 mm lebih panjang.

    Melalui gambar daripada Autohome, di sini juga kita dapat melihat gambar bahagian dalamnya. Antara yang tersedia adalah panel instrumen LCD, skrin sesentuh di tengah, roda stereng dengan bahagian bawah rata, bumbung panoramik, konsol tengah dua tingkat serta pengecas telefon tanpa wayar.

     
     
  • CEO BMW desak Kesatuan Eropah untuk batalkan pengharaman enjin pembakaran dalaman pada 2035

    CEO BMW desak Kesatuan Eropah untuk batalkan pengharaman enjin pembakaran dalaman pada 2035

    CEO BMW Oliver Zipse mendesak agar Kesatuan Eropah (EU) membatalkan pengharaman penjualan kenderaan baharu dengan enjin pembakaran dalaman (ICE) di benua berkenaan pada 2035 kerana langkah ini bakal menyebabkan pengeluar-pengeluar automotif Eropah terpaksa bergantung kepada pembekal bateri dari China, lapor Reuters.

    Menurutnya ketika berucap di Paris Motor Show 2024 Selasa lalu, suasana di Eropah buat masa sekarang “sedang menuju ke arah berputus asa” dan rantau tersebut perlukan rangka kerja kawal selia baharu untuk kekal berdaya saing. Zipse sebelum ini berusaha untuk menyakinkan pembuat dasar untuk membenarkan pelbagai teknologi untuk ke arah neutral karbon termasuk bahan api alternatif seperti e-fuels atau bahan bakar bio dan sel bahan api hidrogen.

    “Pembetulan semula sasaran 100% BEV pada 2035 sebagai sebahagian daripada pakej pengurangan CO2 yang komprehensif juga akan mengurangkan pergantungan OEM Eropah kepada China untuk bateri,” katanya. “Untuk mengekalkan hala tuju yang berjaya, laluan teknologi-agnostik yang ketat dalam rangka kerja dasar adalah penting,” tambahnya lagi.

    CEO BMW desak Kesatuan Eropah untuk batalkan pengharaman enjin pembakaran dalaman pada 2035

    EU telah meluluskan undang-undang yang memerlukan pengeluar kereta menjual kenderaan dengan emisi CO2 sifar bermula 2035 pada Mac lalu, yang secara tidak langsung mengharamkan terus penjualan kenderaan dengan enjin pembakaran dalaman menjelang 2035. Ia akan dilakukakan secara berperingkat dengan mengetatkan undang-undang emisi sedia ada di mana pada 2030, kereta-kereta dengan enjin pembakaran dalaman yang dijual perlulah menghasilkan emisi CO2 55% lebih rendah berbanding pada 2021.

    Namun langkah ini telah menyebabkan industri automotif Eropah kini merudum kerana jualan kenderaan elektrik penuh sedang perlahan, sementara pengeluar-pengeluar automotif risau akan terjejas kerana diberikan saman yang tinggi kerana menjual kenderaan berenjin dengan kadar emisi CO2 yang lebih tinggi dari dibenarkan. Antara yang mendesak agar sasaran CO2 ini diringankan atau ditangguh termasuk BMW, Volkswagen, Renault dan juga kerajaan Itali.

    Walau bagaimanapun untuk Jerman, negara asal Zipse dan jenama BMW sendiri menolak sebarang semakan semula awalan untuk sasaran tersebut dengan alasan bagi memberikan hala tuju yang lebih jelas untuk industri dan keperluan mendesak bagi menangani masalah perubahan iklim.

     
     
  • PENDAPAT: Proton S70 segmen-B atau segmen-C?

    PENDAPAT: Proton S70 segmen-B atau segmen-C?

    Sejak dari ura-ura pembinaannya lagi, ramai yang berdebat mempersoalkan sama ada Proton S70 adalah sedan segmen-B atau segmen-C. Untuk Proton sendiri, ia sudah tentu adalah dalam kelas segmen-C dan sebab itulah ia diberikan angka ’70’ sama seperti SUV segmen-C X70.

    Namun ada yang mempertikai kelas tersebut kerana ia dibina berasaskan platform B-Segment Modular Architecture (BMA) dari Geely yang turut menjadi asas kepada SUV segmen-B Proton X50. Malah untuk kembar S70 sendiri iaitu Geely Emgrand pula diklasifikasi sebagai sedan segmen-B+ kerana ia lebih besar dari segmen-B biasa.

    PENDAPAT: Proton S70 segmen-B atau segmen-C?

    Jadi setiap orang ada justifikasi sendiri sama ada Proton S70 ini adalah sedan segmen-B atau segmen-C. Tapi untuk penulis sendiri yang sudah pun menguji kereta ini, tak syak lagi S70 adalah sedan segmen-C sebenar. Kenapa? Penulis akan kongsikan pada artikel ini, namun sebelum itu ingin penulis tegaskan bahawa ini adalah pendapat peribadi, dan anda boleh buat penilaian anda sendiri, tiada yang betul atau yang salah.

    Penulis akan menunjukkan S70 ini sebuah sedan segmen-C sebenar menerusi perbandingan yang dibuat terhadap salah satu sedan segmen-B paling popular di Malaysia iaitu Toyota Vios.

    1. Susunan dan bentuk tempat duduk

    Pada penulis, ini adalah perbezaan paling ketara sekali antara sebuah model segmen-B dan juga segmen-C. Ini kerana dengan jarak roda yang lebih pendek, adalah penting untuk pengeluar mereka bentuk tempat duduk hadapan dan belakang bagi memberikan rasa yang luas dalam kabin dengan kapasiti ruang yang terhad.

    Oleh itu lazimnya model-model segmen-B ini (termasuk model seperti Perodua Myvi, Honda Jazz, Honda City dan lain-lain) akan diberikan bumbung yang tinggi kerana tempat duduknya juga akan direka tinggi. Dengan posisi duduk yang hampir seperti bangku, pemandu dan penumpang akan merasakan ruang yang kecil tersebut lebih luas kerana kedudukan kaki yang lebih tegak ke bawah.

    Namun dengan rekaan sebegini akan memberikan posisi duduk untuk pemandu yang tidak sporty, rasa ‘tertenggek’ seperti memandu sebuah MPV. Untuk model Vios terdahulu posisi tombol gear dan tuil brek tangan juga terasa agak jauh untuk dicapai dengan posisi duduk seperti ini, namun bagi model generasi baharu NGC102 konsol terowong tengahnya telah pun ditinggikan bagi memudahkan tombol gear dicapai.

    Posisi pemanduan Proton S70 (kiri) dan Toyota Vios (kanan)

    Dengan rekaan seperti ini juga akan menyebabkan bahagian bawah kerusi direka pendek, memberikan sokongan pada bahagian peha yang tidak sepenuhnya. Ini akan menyebabkan pemandu kurang selesa untuk pemanduan jarak jauh.

    Manakala pada bahagian belakang, secara spesifiknya pada Vios ini, dengan tempat duduk yang tinggi dan juga bumbung bahagian belakang yang direka landai seperti coupe menyebabkan kepala penumpang begitu hampir dengan bumbung. Untuk penumpang yang tinggi masalah ini akan menyebabkan kepala akan kerap terhantuk pada bumbung. Juga sokongan peha juga agak pendek sama seperti tempat duduk hadapan.

    Apabila berpindah ke kabin S70, keadaan ini berubah sepenuhnya. Walaupun jarak roda S70 ini adalah 2,627 mm, atau hanya 7 mm lebih jauh dari Vios dan tidak mencapai 2,700 mm seperti kebanyakkan sedan segmen-C masa kini, ia sudah cukup untuk merubah susunan tempat duduk dalam kabin.

    Posisi duduk penumpang belakang Proton S70 (kiri) dan Toyota Vios (kanan)

    Duduk sahaja pada tempat duduk pemandu, anda terus dapat rasakan posisi yang lebih rendah dengan kaki melunjur ke hadapan, dan bahagian bahu adalah hampir separas dengan bahagian asas cermin tingkap. Bukan itu sahaja, malah bahagian bawah tempat duduk tersebut juga direka dengan panjang yang secukupnya untuk menyokong hampir sepenuhnya bawah peha.

    Ini antara faktor yang membuatkan S70 ini lebih seronok untuk dipandu, khususnya bagi lebih merasai pergerakan badan kereta berkenaan lebih-lebih lagi ketika mengambil selekoh kerana pemandu berada pada bahagian graviti yang lebih rendah.

    Penumpang belakang pula mempunyai ruang lega kepala yang cukup tanpa risau terhantuk pada bumbung, serta sokongan peha juga cukup. Ruang kelegaan kaki juga agak baik, namun harus diakui ruang kaki pada Vios adalah lebih besar.

    2. Badan lebih lebar, bumbung lebih rendah, nampak lebih sporty

    Walaupun jarak rodanya agak pendek, S70 direka dengan lebar sebenar sebuah sedan segmen-C iaitu 1,809 mm. Ia bukan sahaja lebih lebar dari Vios (1,740 mm), malah lebih lebar dari Honda Civic (1,802 mm) dan Toyota Corolla Altis (1,780 mm).

    Dengan tempat duduk yang diposisikan lebih rendah juga membolehkan bumbung S70 ini direka lebih rendah. Tinggi keseluruhan S70 ini adalah 1,466 mm, berbanding Vios yang lebih tinggi dengan ukuran 1,480 mm.

    Jadi dengan dimensi lebih lebar dan rendah yang memberikan satu stance yang gagah, S70 tidak memerlukan rekaan luaran yang ‘try hard’ seperti bumbung coupe atau muncung yang tajam dan sebagainya. Dengan hanya rupa sebuah sedan tiga-kotak klasik sudah cukup menaikkan imej sporty dan matang.

    Dengan rupa lebih ‘leper’ ini juga sudah cukup untuk memisahkan S70 bukan sahaja dari Vios, malah dengan model-model segmen-B lain yang ‘kurus dan tinggi’ lain seperti Honda City, Mazda 2 dan Proton Persona.

    3. Unit rangkaian kuasa

    PENDAPAT: Proton S70 segmen-B atau segmen-C?

    Ini merupakan aspek penting yang mengesahkan bahawa Proton S70 merupakan sebuah sedan segmen-C. Ambil contoh MG5 yang baru dilancarkan di Malaysia baru-baru ini misalnya, walaupun ia mempunyai jarak roda lebih jauh iaitu 2,680 mm, MG hanya mengklasifikasikan model ini sebagai sedan segmen-B di Malaysia kerana ia hanya dibekalkan dengan enjin 1.5 liter empat silinder NA 112 hp/150 Nm bersama kotak gear CVT.

    Manakala S70 pula menerima enjin 1.5 liter tiga-silinder turbo bersama kotak gear klac berkembar automatik-tujuh kelajuan, di mana gandingan ini tidak wujud pada Geely Emgrand untuk mana-mana pasaran lain dalam dunia termasuk China, kerana kembarnya itu hanya menerima enjin 1.5 liter NA juga digandingkan dengan kotak gear CVT.

    Enjin yang dibekalkan pada S70 ini mampu untuk mengerah 148 hp pada takat 5,500 rpm dan juga tork maksima 226 Nm pada kilasan serendah 1,750 rpm. Walaupun ia tidak menghasilkan kuasa sama besar dengan enjin 1.5 liter VTEC Turbo Civic yang menjana 180 hp/240 Nm, ia masih lebih berkuasa dari enjin 1.8 liter 137 hp/172 Nm pada Toyota Corolla Altis dan dibekalkan tork lebih besar dari enjin 2.0 liter pada Mazda 3 yang menjana 162 hp/213 Nm.

    PENDAPAT: Proton S70 segmen-B atau segmen-C?

    Dan Vios, sudah tentu ‘kalah teruk’ dalam aspek ini. Ia hanya dibekalkan dengan enjin 2NR-VE 1.5 liter NA empat-silinder petrol berkuasa 106 PS dan tork maksima 138 Nm tork maksima, dipadankan bersama kotak gear D-CVT – kombinasi yang sama pada Perodua Myvi terkini tetapi kuasa hatchback dari Rawang tersebut sedikit kurang iaitu hanya 102 hp/136 Nm.

    Beza angka kuasa dan tork yang agak besar serta prestasi kotak gear klac berkembar yang cukup responsif pada Proton S70 berkenaan dengan jelas meletakkan Vios di kelas yang berlainan sekiranya anda memandu kedua-dua model ini secara back-to-back.

    4. Perincian-perincian lain

    PENDAPAT: Proton S70 segmen-B atau segmen-C?

    Dari segi kelengkapan, tidak ada masalah untuk Proton S70 berdiri sama tinggi dengan model-model segmen-C lain dalam pasaran Malaysia. Dan ada perincian tertentu S70 adalah terbaik dalam kelasnya seperti mempunyai skrin infotainmen paling besar (12.3-inci) dan juga ruang but paling luas (500 liter) berbanding pesaing terdekat.

    Manakala untuk Vios, ia juga kini sudah cukup canggih dengan menerima pelbagai kelengkapan seperti model-model segmen-C seperti kamera pemantau 360 darjah, cruise control adaptif, paparan instrumen digital, pengecas telefon pintar tanpa wayar, perapi-perapi sentuhan lembut dalam kabin dan sebagainya.

    Cuma ada satu perkara yang S70 kalah dalam bab ini berbanding Vios, iaitu ia masih tidak diberikan fungsi Android Auto dan Apple CarPlay (AACP). Ya memang S70 sudah mempunyai aplikasi Joox dan Spotify bina dalam, tetapi sistem navigasi bina-dalam pada skrin tersebut masih lagi tidak secekap aplikasi Waze atau Google Maps.

    PENDAPAT: Proton S70 segmen-B atau segmen-C?

    Apapun, Proton S70 sememangnya berbaloi dari segi harga. Walaupun ia dibekalkan dengan spesifikasi setaraf model-model segmen-C, ia dijual pada harga dalam julat model-model segmen-B. Proton S70 ditawarkan dalam empat varian bermula varian paling asas Executive berharga RM73,800, Premium berharga RM79,800, Flagship berharga RM89,800 dan Flagship X berharga RM94,800.

    Manakala untuk Vios, model pasaran Malaysia ditawarkan dalam dua varian bermula dengan varian asas 1.5 E dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM89,600, manakala varian tertinggi 1.5 G dijual pada harga RM95,500.

    Laporan penuh pandu uji untuk kedua-dua model ini telah pun penulis sediakan sebelum ini. Jika mahu baca laporan pandu uji Proton S70 anda boleh klik pada PAUTAN INI, dan sekiranya mahu baca laporan pandu uji Vios anda boleh baca pada PAUTAN INI.

    Jadi untuk yang rasa Proton S70 sememangnya masih sedan segmen-B, anda boleh kongsikan pandangan tersebut pada ruang komen di bawah atau pada laman-laman media sosial kami.

    GALERI: Proton S70 Flagship X

    GALERI: Toyota Vios 1.5 G

     
     
  • Proton X70 facelift kini secara rasmi dapat Apple CarPlay – tonton video tatacara untuk kemaskini

    Proton telah mengumumkan secara rasmi bahawa Apple CarPlay kini boleh digunakan pada Proton X70 facelift. Bagi pemilik model berkenaan, anda tidak perlu membawa kereta masing-masing ke pengedar Proton, sebaliknya ia boleh dibuat sendiri di mana-mana (asalkan ada capaian internet) menerusi kemaskini over-the-air (OTA).

    Oleh itu Proton telah menyiarkan video di laman-laman sosial mereka tentang cara untuk membuat kemaskini OTA untuk Apple CarPlay tersebut. Selepas lengkap proses tersebut, fungsi Apple CarPlay itu boleh digunakan dengan hubungan tanpa wayar.

    Ketika dilancarkan pada 15 Ogos lalu, skrin infotainmen 12.3-inci pada X70 facelift ini sudahpun diumumkan bersedia untuk menerima bukan sahaja Apple CarPlay, malah dengan Android Auto (AACP). Namun ia tidak didatangkan sekali ketika itu kerana Proton masih perlu menyelesaikan isu berkaitan lesen penggunaan aplikasi berkenaan.

    Masih lagi tiada berita dari Proton bila giliran Android Auto pula bakal boleh digunakan pada skrin tersebut. Malah untuk model lain yang dilancarkan X70 facelift ini, Proton mengesahkan bahawa ia tidak akan menerima kemaskini AACP itu.

    Kami sudahpun memandu uji Proton X70 facelift ini, dan anda boleh membaca laporan tersebut pada PAUTAN INI.

    GALERI: Proton X70 facelift 2024

     
     
  • Leapmotor C10 2024 EV dilancarkan di Malaysia — 218 PS/320 Nm, bateri 69.9 kWh, 420 km jarak, RM159k

    Leapmotor C10 2024 EV dilancarkan di Malaysia — 218 PS/320 Nm, bateri 69.9 kWh, 420 km jarak, RM159k

    Stellantis Malaysia hari ini melancarkan secara rasmi sebuah lagi jenama dan model di bawah seliaan syarikat itu untuk pasaran Malaysia, sebuah SUV elektrik Leapmotor C10. Hanya satu varian akan ditawarkan iaitu varian dengan kelengkapan paling tinggi, Design dengan harga jualannya RM159,000 — atas jalan belum termasuk insurans. Namun, bagi pelanggan yang membuat tempahan sebelum 30 November 2024, mereka akan menikmati harga pengenalan RM149,000.

    SUV elektrik ini merupakan model pertama Leapmotor (nama Cinanya Ling Pao, dengan adanya logo LP digunakan) untuk pasaran Malaysia. Mempunyai ukuran dimensi 4,739 mm panjang, 1,900 mm lebar, 1,680 mm tinggi dan jarak roda 2,825 mm, SUV dalam segmen D ini akan bersaing dengan model seperti Proton X90 dan Chery Tiggo 8 Pro — tetapi hanya hadir dengan versi lima-tempat duduk sahaja. Dalam kalangan SUV EV, C10 ini akan menjadi pesaing kepada BYD Atto 3 dan juga Proton eMas 7.

    Untuk pasaran Malaysia, hanya versi kapasiti bateri jenis lithium iron phosphate (LFP) 69.9 kWh yang ditawarkan. C10 dilengkapi dengan tetapan motor elektrik tunggal yang menjana sebanyak 218 PS (160 kW) dan 320 Nm. Ini membolehkan SUV berkenaan memecut 0-100 km/j dalam masa 7.5 saat untuk mencapai laju maksimum 170 km/j.

    Leapmotor C10 2024 EV dilancarkan di Malaysia — 218 PS/320 Nm, bateri 69.9 kWh, 420 km jarak, RM159k

    Jarak perjalanan bagi unit spesifikasi global C10 menyatakan 420 km kitaran WLTP boleh dicapai bagi satu cas penuh. Bagi pengecasan, tahap SoC 30%-80% boleh dicapai dalam masa 30 minit dengan pengecasan pantas DC dengan kadar maksimum 84 kW. Bagi pengecasan biasa AC, kadar maksimum pengecasan adalah 6.6 kW dan memerlukan masa 6.1 jam untuk mencapai SoC yang sama. Fungsi V2L juga ada, dengan kapasiti 3.3 kW.

    Bagi suspensi pula, talaan unik untuk pasaran eksport C10 dilakukan oleh pasukan talaan casis Stellantis yang berpusat di Balocco, Itali.

    Untuk penggayaan luaran, C10 mempunyai penampilan SUV seperti kebiasaannya, dengan dipasangkan rim 20-inci dan tayar Dunlop e.Sport Maxx bersaiz 245/45. Unit lampu utamanya adalah LED automatik dengan DRL, dengan pendekatan rekaan tirus yang sama diterapkan untuk rekaan lampu belakang. Pemegang pintu tersembunyi, spoiler bumbung dan bumbung gelas menjadi antara kelengkapannya.

    Leapmotor C10 2024 EV dilancarkan di Malaysia — 218 PS/320 Nm, bateri 69.9 kWh, 420 km jarak, RM159k

    Di dalam, rekaan kemas dan ringkas diberikan, disertai kehadiran stereng dua-jejari dan dua paparan digital, satu untuk panel instrumen bersaiz 10.25-inci dengan resolusi 1920 x 720 dan sebuah lagi paparan di tengah bersaiz 14.6-inci dengan resolusi 2560 x 1440.

    Perisian operasinya memanfaatkan cip Qualcomm Snapdragon 8155 yang didakwa memberikan prestasi yang lancar yang boleh sentiasa di dipertingkat melalui kemaskini over-the-air (OTA). Sistem infotainmen pula menampilkan sistem audio 840 watt dengan 12-pembesar suara yang dibangunkan sendiri, begitu juga dengan ciri tunjuk arah, Wi-Fi dan Bluetooth. Bagaimanapun, tiada sokongan untuk Apple CarPlay dan Android Auto.

    Kelengkapan lain yang ada termasuklah balutan kerusi kulit buatan Oeko-Tex Standard 100 yang kalis cecair dan mesra bayi, ditawarkan dalam dua skim warna iaitu Criollo Brown dan Midnight Aurora. Ada juga ciri kawalan pendingin dua zon, bumbung kaca panoramik tetap 42-inci dengan pelindung matahari elektrik serta kerusi depan berkuasa dan berliang (larasan enam-arah untuk pemandu, empat-arah untuk penumpang depan), pengecas telefon tanpa wayar, empat slot USB (satu Type A, satu Type C; masing-masing di depan dan belakang), lampu ambient serta pintu ruang barangan berkuasa.

    Untuk kunci, hanya jenis kad kunci NFC disediakan, dengan titik aksesnya berada di bahagian cermin sisi. Kunci NFC berkenaan kemudiannya perlu diletakkan di tengah untuk membolehkan kenderaan dihidupkan. Ruang juga menjadi satu kelebihan SUV ini, terutama di bahagian penumpang belakang. Penyandar belakang juga boleh direbahkan menggunakan satu langkah sahaja, dan boleh menyediakan ruang seluas 1.8 meter x 1.2 meter.

    Untuk ruang kargo, C10 menyediakan 435 liter kapasiti ruang dengan kerusi ditegakkan. Jika kerusi dengan nisbah 60:40 direbahkan, kapasitinya akan menjadi 1,410 liter. Ruang di bahagian depan kereta ini turut memberikan 32 liter kapasiti tambahan.

    Leapmotor C10 2024 EV dilancarkan di Malaysia — 218 PS/320 Nm, bateri 69.9 kWh, 420 km jarak, RM159k

    Dari sudut keselamatan dan kelengkapan bantuan pemanduan, C10 dilengkapi dengan tujuh-beg udara, sensor parkir belakang dan kamera 360-darjah. Ia juga menampulkan ciri ADAS Tahap 2 dengan 12 sensor berketapatan tinggi dan menawarkan 17 fungsi berkaitan, termasuk kawalan melayar adaptif, bantuan kelajuan pintar, bantuan kesesakan lalu lintas, amaran perlanggaran depan, AEB, amaran penukaran lorong dan bantuan mengekalkan lorong.

    Ada empat pilihan warna ditawarkan — Midnight Aurora, Pearly White, Tundra Grey dan Glazed Green (warna utama). Leapmotor C10 didatangkan dengan jaminan enam-tahun atau 150,000 km (yang mana dahulu) serta jaminan bateri selama lapan-tahun atau 160,000 km (yang mana dahulu). Tempoh selang servis bagi SUV ini adalah sebanyak satu tahun sekali, atau 20,000 km (yang mana dahulu).

    Info pelancaran

     
     
  • Xiaomi SU7 Max dipamer di Malaysia – EV berkuasa 673 PS/838 Nm, 0-100 km/j 2.78s, jarak gerak 800 km

    Xiaomi SU7 Max dipamer di Malaysia  – EV berkuasa 673 PS/838 Nm, 0-100 km/j 2.78s, jarak gerak 800 km

    Kereta pertama keluaran jenama telefon pintar China, Xiaomi iaitu Xiaomi SU7 EV kini sedang dipamerkan Center Court Suria KLCC. Walau bagaimanapun ini bukan petanda bahawa ia akan dilancarkan di sini, tetapi kami difahamkan bahawa Xiaomi membawa kereta yang agak viral ini ke sini hanya untuk tujuan menunjukkan demonstrasi kepada orang awam.

    Rekaan SU7 ini bukan hanya menjadi bualan di Malaysia sahaja, malah di China sendiri model yang lancarkan di sana pada Mac lalu ini habis terjual dalam masa hanya 24 jam. Di China ia ditawarkan dalam tiga varian iaitu SU7, SU7 Pro dan SU7 Max, dengan harga bermula 215,900 yuan (sekitar RM130k) hingga 299,900 yuan (RM181k).

    Sedan EV ini diproduksi oleh kilang BAIC Group di Beijing, dan ia menampilkan ukuran panjang 4,997 mm, lebar 1,963 mm, tinggi 1,440 mm dan jarak roda sejauh 3,000 mm. Ini menjadikan ia lebih besar dari pesaing seperti BYD Seal serta hampir sama besar seperti Tesla Model S dan Porsche Taycan.

    Xiaomi SU7 Max dipamer di Malaysia  – EV berkuasa 673 PS/838 Nm, 0-100 km/j 2.78s, jarak gerak 800 km

    Varian asas SU7 dan pertengahan SU7 Pro datang dengan motor elektrik tunggal yang diletak pada gandar belakang menghasilkan 299 PS dan tork 400 Nm. Ini membolehkan model asas memecut dari 0-100 km/j dalam masa 5.28 saat, manakala varian Pro memecut pada jarak sama dalam masa 5.7 saat.

    Xiaomi SU7 Max pula diberikan dua motor elektrik bagi memacu semua roda. Gandar belakang diberikan motor elektrik berkuasa 374 PS dan tork 500 Nm, manakala motor elektrik pada gandar hadapan pula menghasilkan 299 PS dan tork maksima 338 Nm. Ini memberikan kuasa keseluruhan 673 PS/838 Nm, membolehkan Xiaomi SU7 Max berkenaan mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 2.78 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 265 km/j.

    Bateri untuk ketiga-tiga varian ini pula berbeza di mana varian asas SU7 diberikan bateri litium logam fosfat (LFP) berkapasiti 73.6 kWj, membolehkan ia bergerak sehingga 700 km (CLTC) dan mengambil masa 25 minit untuk naik dari 10 ke 80% apabila dicas menggunakan pengecas pantas DC.

    Xiaomi SU7 Max dipamer di Malaysia  – EV berkuasa 673 PS/838 Nm, 0-100 km/j 2.78s, jarak gerak 800 km

    Bagi SU7 Pro pula, ia menggunakan bateri nikel mangan kobalt (NMC). berkapasiti 94.3 kWj bagi memberikan jarak gerak 830 km (CLTC). Dengan pengecas pantas DC, bateri tersebut boleh dipenuhkan dari 10 ke 80% dalam masa 30 minit.

    Kabin minimalis SU7 ini pula menampilkan skrin sesentuh utama 16.1-inci yang memberikan resolusi 3K, beroperasi dengan sistem on-chip Qualcomm Snapdragon 8295 dan Hyper OS Xiaomi sendiri serta diberikan hubungan Apple CarPlay. Walaupun rekaannya ringkas, masih ada suis kawalan fizikal diberikan pada konsol tengah dan roda stereng. Pemandu pula diberikan satu lagi skrin untuk paparan instrument digital.

    Ada juga cagak khas pada perehat tempat duduk hadapan untuk menggantung iPad, dimana ia boleh digunakan untuk mengawal pelbagai fungsi dalam kereta seperti penghawa dingin, tempat duduk dan pemain media. Xiaomi menggelar integrasi ini sebagai CarloT, di mana ekologi hardwarenya dibuka untuk semua pihak.

    Lain-lain perincian yang turut diberikan termasu suspensi udara dengan penyerap hentak adaptif, penutup gril aktif dengan 16 tahap larasan dan juga sayap belakang aktif dengan larasan empat tahap. Manakala bagi sistem bantuan, SU7 ini diberikan Xiaomi Pilot dengan 16 fungsi, bersama Nvidia Drive Orin SOC, memberikan 508 kuasa pemprosesan teratas.

    Sebanyak sembilan warna ditawarkan bagi pasaran China iaitu Aqua Blue, Mineral Gray, Verdant Green, Meteor Blue, Radiant Purple, Basalt Gray, Lava Orange, Pearl White dan Diamond Black, manakala bahagian kabin pula diberikan pilihan tema warna Galaxy Gray, Twilight Red, Mist Purple atau Obsidian Black.

     
     
  • Dekati lebih 50 model Volvo Selekt dari RM165k di acara Jualan Kereta Eksekutif Volvo pada 19-20 Okt ini

    Dekati lebih 50 model Volvo Selekt dari RM165k di acara Jualan Kereta Eksekutif Volvo pada 19-20 Okt ini

    Inginkan kenderaan Volvo terpakai dengan kualiti terjamin? Kunjungi acara Jualan Kereta Eksekutif Volvo, dibawakan kepada anda oleh Volvo Car Malaysia (VCM). Dengan tawaran bermula dari RM165,000, pasti ada kenderaan Volvo yang menepati keperluan dan kehendak anda.

    Sepanjang hujung minggu 19-20 Oktober ini, berkunjunglah ke Symphony Square, Petaling Jaya di mana anda boleh mendekati lebih daripada 50 unit kereta yang telah diluluskan oleh Volvo Selekt — terdiri daripada V60 Recharge, C40 Recharge Pure Electric dan XC40 Recharge Pure Electric (MY23 sahaja) — yang dipilih daripada barisan kenderaan korporat VCM sendiri. Semua kenderaan yang berada dalam keadaan sangat baik ini mempunyai kurang daripada 15,000 km jarak perjalanan, dengan yang terendah hanya mencatatkan 1,200 km sahaja.

    Sebagai kereta yang baru didaftarkan, semuanya juga datang dengan baki dari jaminan lima-tahun tanpa had perbatuan Volvo yang masih banyak, bantuan tepi jalan dan keterhubungan servis digital, sementara model-model Pure Electric menerima tambahan Pelan Servis Volvo lima-tahun percuma serta tambahan jaminan lapan-tahun untuk bateri — semuanya dengan tempoh panjang yang masih berbaki.

    Volvo Selekt menjanjikan pengalaman premium untuk pelanggan melalui servis yang berdedikasi serta jaminan terhadap kualiti. Kereta yang layak untuk program ini semuanya menerima pemeriksaan 125-poin dan dikemaskini perisiannya kepada teknologi terkini. Semua gantian yang perlu dilakukan dengan menggunakan alat ganti tulen bagi memastikan prestasi dan keadaannya di jalan berada di tahap tertinggi, dan semua kerja-kerja tersebut dijalankan oleh juruteknik terlatih Volvo.

    Jadi, tandakan kalendar anda untuk hadir ke acara Jualan Kereta Eksekutif Volvo, pada 19-20 Oktober ini di Tingkat 3A, Symphony Square, Petaling Jaya. Bersedia untuk mengalami sendiri gaya, kualiti dan prestasi ala Sweden. Pra-daftar di sini untuk menikmati servis tersendiri sebaik ketibaan anda nanti.

     
     
  • Mitsubishi Triton 2024 dilancarkan di Malaysia — lima varian, 2.4 liter turbo 204 PS/470 Nm; dari RM102k

    Mitsubishi Triton 2024 dilancarkan di Malaysia — lima varian, 2.4 liter turbo 204 PS/470 Nm; dari RM102k

    Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) hari ini secara rasminya memperkenalkan trak pikap Mitsubishi Triton 2024 generasi keenam (atau generasi ketiga jika mengikut nama tersebut digunakan di Malaysia) untuk pasaran tempatan, selepas lebih setahun pengenalan globalnya di Thailand.

    Lima varian Triton serba baru ditawarkan ketika pelancarannya, terdiri daripada Triton Single Cab (RM101,980), Triton MT (RM114,980), Triton AT GL (RM116,980), Triton AT Premium (RM145,980) dan Triton Athlete (RM165,980) — semua harga atas jalan di Semenanjung, belum termasuk insurans. Triton Single Cab merupakan penawaran terbaru yang pertama kali oleh Mitsubishi untuk trak pikap ini di Malaysia.

    Dengan rekaan yang dikenali sebagai Beast Mode, wajah depannya menampilkan rekaan Dynamic Shield yang lebih gagah dan nampak besar, memberikan imej kukuh dan teguh yang lebih meyakinkan. Rekaan grilnya juga begitu menonjol ke depan, dengan lanjutan sama diberikan ke bahagian fender.

    Mitsubishi Triton 2024 dilancarkan di Malaysia — lima varian, 2.4 liter turbo 204 PS/470 Nm; dari RM102k

    Lampu nyalaan siangnya terletak di atas dan terdiri daripada tiga lampu LED bentuk L yang tajam, yang melengkapi lampu utama di bawahnya yang juga mempunyai tiga lampu. Bahagian sisinya juga menampilkan imej teguh yang ringkas. Di belakang, ruang kargonya juga lebih besar. Lampu belakang hadir dengan grafik bentuk T di dalamnya, menyempurnakan gaya keseluruhan trak pikap ini.

    Peningkatan di dalam jauh lebih penting, dengan semuanya rekaan serba baru. Papan pemuka melintang dan ringkas, tetapi permukaan berteksturnya memberikan rasa premium yang tersendiri. Rekaan kerusi juga lebih selesa: untuk Athlete, ia dibalut oleh gabungan kulit dan kesat di bahagian tengah, mengurangkan kesan menggelungsur ketika belokan keras — dengan warna kontras hitam-oren.

    Ruang simpanan glove box, pengecas tanpa wayar, dua slot USB di konsol tengah dan sokongan untuk Apple CarPlay/Android Auto sambungan wayar juga tersedia.

    Mitsubishi Triton 2024 dilancarkan di Malaysia — lima varian, 2.4 liter turbo 204 PS/470 Nm; dari RM102k

    Triton baru ini tampil dengan saiz yang lebih besar daripada model sebelumnya. Bagi versi double-cab, ia mempunyai ukuran dimensi seperti berikut: 5,360 mm panjang, 1,930 mm lebar dan 1,815 mm tinggi — ini 55 mm lebih panjang, 115 mm lebih lebar dan 35 mm lebih tinggi.

    Jarak rodanya pula ialah 3,130 mm — 130 mm lebih panjang berbanding model kelima sebelum ini. Dan, bagi Triton Single Cab terbaru ini pula, ia mempunyai ruang kargo belakang yang paling besar dalam segmennya — 2,340 mm panjang dan 1,580 mm lebar.

    Tidak hanya rekaan dan saiz Triton yang berubah. Model baru ini juga dilengkapi dengan enjin baru, Hyperpower 4N16 2.4 liter yang diberikan talaan berbeza untuk kelima-lima varian yang ada ini, bergantung kepada penggunaannya yang dihasratkan.

    Versi output paling tinggi tentulah untuk Triton Athlete yang hadir dengan enjin 2.4 liter dan sistem turbocas dua peringkat yang menjana sebanyak 204 PS kuasa dan 470 Nm pada takat rpm yang lebih rendah, sekaligus memberikan keseimbangan antara prestasi dan kecekapan.

    Sementara itu, varian selain Athlete pula dilengkapi dengan enjin 2.4 liter 4N16 turbo diesel dengan janaan output sebanyak 184 PS dan 430 Nm tork — ini termasuk juga varian Single Cab yang paling asas untuk kegunaan kerja kasar.

    Untuk transmisi, Triton 2025 menggunakan kotak gear automatik enam-kelajuan dengan mod Sports dari model sebelumnya, atau kotak gear manual enam-kelajuan yang direka untuk mengurangkan gegaran yang dari enjin dan memberikan keselesaan yang dipertingkat.

    Mitsubishi Triton 2024 dilancarkan di Malaysia — lima varian, 2.4 liter turbo 204 PS/470 Nm; dari RM102k

    Sebagai perbandingan, Triton generasi kelima sebelum ini menggunakan enjin 2.4L dengan janaan 181 PS/430 Nm untuk semua varian, kecuali bagi Quest yang paling asas dengan hanya 110 PS/200 Nm dari enjin bukan-VGT 2.5 liter, dan digandingkan dengan transmisi manual lima-kelajuan dan pacuan roda belakang. Selain daripada perbezaan janaan sebanyak 74 PS/230 Nm — ini satu angka yang besar — Single Cab terbaru ini juga menerima transmisi 6MT dan sistem pacuan 4WD. Bagi Athlete pula, ia menerima peningkatan sebanyak 20 PS/40 Nm.

    Casisnya juga adalah binaan baru yang tahan ujian di permukaan mencabar. Menggunakan material berketeguhan tinggi, casis baru ini mempunyai 65% lebih kawasan silang-seksyen berbanding model lama, membolehkannya mempunyai ketahanan lenturan yang 40% lebih tahan, manakala ketahanan torsional juga dipertingkat sebanyak 60%.

    Varian Athlete turut dilengkapi dengan sistem pacuan empat roda Super Select 4WD-II pula penampilkan empat mod — 2H (pacuan roda belakang), 4H (pacuan 4WD sepenuh masa), 4HLc (differential tengah dikunci) dan 4LLc (differential tengah dikunci dalam gear rendah). Ia kini turut dilengkapi ciri Active Yaw Control (AYC), yang memperbaiki kemampuan di selekoh dengan mengenakan sedikit brek untuk roda depan sebelah dalam ketika di selekoh.

    Dengan Super Select 4WD-II, Athlete juga dilengkapi dengan tujuh mod pemanduan — Normal, Eco, Gravel, Snow, Mud, Sand dan Rock. Sementara itu, varian lain yang lebih rendah datang dengan sistem Easy Select 4WD. Kapasiti tunda trak ini ialah 3,500 kg.

    Bagi aspek keselamatan, varian lebih tinggi Triton ini turut dilengkapi dengan ciri keselamatan aktif ADAS yang terdiri antara lain daripada fungsi seperti Forward Collision Mitigation System (FCM), Lane Departure Warning (LDW), Adaptive Cruise Control (ACC), Blind Sport Warning dengan Lane Change Assist dan Rear Cross Traffic Alert.

    Semua varian turut dilengkapi dengan tujuh-beg udara, Active Stability & Traction Control (ASTC) yang memberikan lebih keyakinan ketika melalui jalan berliku. Ini termasuklah ciri Active Yaw Control, selain Hill Descent Control (HDC) dan Hill Start Assist (HSA).

    Mitsubishi Triton Athlete serba baru didatangkan dengan jaminan lima-tahun tanpa had perbatuan bagi tempahan yang dibuat sebelum 31 Disember 2024. Bagi varian lain, ia diberikan jaminan lima-tahun atau 200,000 km perbatuan, yang mana dahulu.

    Selain itu, MMM juga menawarkan kotak simpanan boleh lipat 60L bernilai RM450 bagi 500 pelanggan yang membuat tempahan terawal melalui Mitsubishi Online Showroom.

    Mitsubishi Triton 2025 Athlete

    Mitsubishi Triton 2025 Premium

    Mitsubishi Triton 2025 GL AT

    Mitsubishi Triton 2025 GL MT

    Mitsubishi Triton 2025 Single Cab

     
     
  • Banjir kilat landa KL — kawasan sekitar Jln. Parlimen, Universiti Malaya terkesan; terowong Smart ditutup

    Banjir kilat landa KL — kawasan sekitar Jln. Parlimen, Universiti Malaya terkesan; terowong Smart ditutup

    Beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia bakal menghadapi cuaca hujan lebat berpanjangan hari ini menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia). Antara kawasan yang terkesan adalah di Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor, Pahang, Perak, Pulau Pinang dan Kedah.

    Di Kuala Lumpur pagi ini, banjir kilat telah berlaku di kawasan Jalan Parlimen dan Bukit Aman, lapor Sinar Harian. Kawasan di sekitar Universiti Malaya dan Panta Baru juga dinaiki air yang yang tinggi.

    Sementara itu, Lembaga Lebuhraya Malaysia turut mengingatkan bahawa terowong Smart ditutup sepenuhnya setakat 11.30 pagi ini untuk urusan pengurusan limpahan air yang berlaku. Di beberapa tempat seperti di Taman Melawati turut berlaku tanah runtuh, lapor The Star.

    Banjir kilat landa KL — kawasan sekitar Jln. Parlimen, Universiti Malaya terkesan; terowong Smart ditutup

    Dalam keadaan cuaca tidak menentu begini, elok rancang perjalan anda dan peka terhadap laporan perubahan cuaca dari semasa ke semasa. Untuk kenderaan, jangan lupa untuk mengambil perlindungan special perils atau bencana alam — memang akan ada kos tambahan, tetapi sangat membantu jika kenderaan ando rosak akibat banjir.

    Jika tiada keperluan, tangguhkan dahulu perjalanan anda dan tunggu sehingga hujan reda dan keadaan bertambah baik sebelum memulakan perjalanan.

     
     
  • BYD M6 dilancar di Malaysia – 7-tempat duduk, dua varian, hingga 204 PS/310 Nm, RM110k-RM124k

    BYD M6 dilancar di Malaysia – 7-tempat duduk, dua varian, hingga 204 PS/310 Nm, RM110k-RM124k

    BYD Malaysia telah pun melancarkan MPV elektriknya, BYD M6 untuk pasaran tempatan. Ia tiba di pasaran kita selepas selamat dilancarkan di negara jiran, Thailand dan Indonesia. Untuk pasaran Malaysia, ditawarkan dengan konfigurasi tujuh-tempat duduk, sama seperti di Indonesia, dan Thailand pula menerima enam-tempat duduk. Kita juga menerima dua varian iaitu Standard yang ditawarkan pada harga bermula RM109,800, manakala model spesifikasi penuh Extended pula berharga RM123,800. Kedua-duanya adalah harga atas jalan dan tanpa insurans.

    Varian asas Standard dipadankan dengan motor elektrik tunggal berkuasa 163 PS (160 hp atau 120 kW) dan tork 310 Nm, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 10.1 saat. Manakala varian tertinggi Extended juga menerima motor elektrik tunggal tetapi dengan kuasa lebih besar iaitu 205 PS (201 hp atau 150 kW). Bagi varian ini, ia boleh medecut dari 0-100 km/j dalam masa 8.6 saat.

    Bagi menggerakkan MPV elektrik ini, varian Standard dilengkapi bateri Blade lithium iron phosphate (LFP) 55.4 kWh yang membekalkan kuasa untuk motor elektrik di depan yang memberikan jarak pacuan hingga 420 km mengikut kitaran NEDC (350 km jika mengikut WLTP). Manakala Extended pula menerima bateri 71.8 kWh dan memberikan jarak pacuan hingga 530 km jika mengikut NEDC (450 km jika mengikut WLTP).

    BYD M6 dilancar di Malaysia – 7-tempat duduk, dua varian, hingga 204 PS/310 Nm, RM110k-RM124k

    Untuk pengecasan, M6 paling asas boleh menerima pengecas pantas DC 89 kW, sementara versi lebih tinggi menyokong sehingga 115 kW dengan hanya memerlukan 40 minit untuk mencapai status pengecasan 10%-80%. Untuk pengecasan AC pula, ia terhad kepada 7 kW untuk semua varian. M6 ini juga diberikan fungsi vehicle-to-load (V2L) untuk membekalkan kuasa kepada peralatan elektrik lain. Setiap soket termasuk dengan pelindungan overload, boleh digunakan secara selamat dalam beberapa situasi termasuk aktiviti luaran.

    Berukuran 4,710 mm panjang, 1,810 mm lebar dan 1,690 mm tinggi, dengan jarak roda 2,800 mm, M6 ini pada dasarnya adalah versi e6 yang diberikan semakan semula, dan saiznya lebih kurang sama dengan Toyota Innova Zenix berbanding Veloz. Jarak ketinggian dari tanah bagi M6 ini ialah 170 mm dan kapasiti ruang penyimpanan barang di belakang sekitar 180 liter dan boleh mencecah hingga 580 liter sekiranya tempat duduk barisan kedua dan ketiga dibaringkan.

    Bagi imejnya, M6 tidak banyak perbezaan dengan e6. Untuk wajah hadapannya, M6 hadir dengan rekaan signatur model-model terkini BYD, dengan rekaan gril atas berbentuk bar menghubungkan bahagian lampu utama Crystal Diamond Starlight Floating LED pelbagai-projektor yang diberi sentuhan baharu. Ia juga diberikan kemasan bampar berbentuk sayap yang bersambung juga dengan bukaan udara kecil dengan kemasan kromnya.

    BYD M6 dilancar di Malaysia – 7-tempat duduk, dua varian, hingga 204 PS/310 Nm, RM110k-RM124k

    Manakala di belakang M6 diberikan lampu kombinasi lebih lebar yang disertakan jalur krom nipis. Lencana BYD lebih ringkas juga tertera, dan tiada lagi tulisan panjang “Build Your Dreams” yang lama. Kemasan krom turut digunakan di bahagian bawah, untuk memberikan imej matang dan menarik. Dan untuk melengkapkan rupanya MPV ini menerima rim Star Speed Dynamic 17-inci dibaluti tayar 225/55 R17 sebagai ciri standard, manakala hanya Extended menerima rel bumbung.

    Bagi rekaan kabin M6, rekaan papan pemuka, meter analog (dengan paparan multi-info lima-inci) dan teks “Build Your Dreams” dalam font baharu diberikan. Ia juga menampilkan kemasan ala kayu dan konsol tengah yang direka semula dengan tuil gear yang besar menggantikan tombol bulat. Skrin boleh pusing di tengahnya pula kini lebih besar, dari 10.1-inci kepada 12.8-inci — sama seperti Dolphin. Ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto juga diberikan sebagai ciri standard.

    Antara perincian lain yang turut diberikan termasuk tempat duduk balutan kulit sintetik rona coklat, sistem tanpa kunci bersama butang penghidup sistem, kad kunci digital NFC (dengan fungsi membuka/mengunci kenderaan dengan menggunakan Apple Watch mahu pun telefon pintar iPhone atau Android), pendingin hawa automatik, penapis udara PM 2.5, cermin pandang belakang anti-silau, cruise control, sistem kamera 360-darjah dan enam pembesar-suara. Varian Extended pula menerima ciri tambahan bumbung suria panoramik, tempat duduk hadapan berliang larasan kuasa, pengecas tanpa wayar Qi 15-watt dan pintu ruang barangan (tailgate) berkuasa.

    Untuk keselamatan pula, kedua-dua varian M6 diberikan dengan enam-beg udara, sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS), cagak ISOFIX untuk tempat duduk kanak-kanak, ABS, Brek Parkir Elektronik (EPB), ESC, dan sistem Kawalan Cengkaman (TCS). Manakala varian Extended menerima ciri tambahan Sistem Pemanduan Pintar BYD iaitu Brek Kecemasan Autonomous (AEB), Kawalan Kelajuan Pintar (ICC), Amaran Pelanggaran Hadapan dan Belakang (FCW, RCW), Pengesan Titik Buta (BSD) dan Amaran Ketibaan Lorong (LDA).

    Untuk pasaran Malaysia, BYD M6 ditawarkan dengan empat warna bergaya iaitu Crystal White, Ink Stone Blue, Cosmos Black dan Harbour Grey. Setiap pembeliannya didatangkan dengan waranti enam-tahun/150,000 km untuk kenderaan, lapan-tahun/160,000 km dengan State of Health (SOH) di atas 70% untuk bateri dan lapan-tahun/150,000 km untuk unit pemanduan.

    Sempena dengan pelancaran BYD M6 ini, untuk 300 tempahan pertama bagi varian Extended bakal menerima Home Charger secara percuma. Malah BYD Malaysia turut menganjurkan Karnival BYD M6 yang akan berlangsung pada 18-20 Oktober 2024 di Dataran Karnival, Stadium Shah Alam dan 100 pembeli pertama MPV elektrik ini bakal menerima kredit pengecasan bernilai RM800.

    BYD M6 2024 Extended

    BYD M6 2024 Standard

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025