Search in Bahasa Malaysia:

Honda HR-V Facelift 2025 - Apa yang baru selepas tiga tahun?



Artikel Terkini

  • Pusingan U di Plaza Tol Puchong Selatan di LDP perlu dibuka untuk pengguna – Datuk Bandar Subang Jaya

    Pusingan U di Plaza Tol Puchong Selatan di LDP perlu dibuka untuk pengguna – Datuk Bandar Subang Jaya

    Datuk Bandar Subang Jaya, Datuk Amirul Azizan Abd Rahim berkata pusingan U di Plaza Tol Puchong Selatan di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) perlu terus dibuka untuk pengguna lebuhraya berkenaan yang dalam perjalanan dari Cyberjaya menuju ke Seri Kembangan, laporan The Star. Beliau menambah, surat cadangan itu akan dihantar kepada pemegang konsesi LDP bagi membincangkan perkara tersebut

    Menurut Amirul Azizan, Litrak diminta agar tidak menutup pusingan U tersebut bagi mengelakkan kesesakan teruk. Penutupan pusingan U juga akan menyebabkan kos lebih mahal bagi pengguna lebuhraya yang menuju ke Taman Equine dari Cyberjaya kerana mereka perlu membayar tol sebanyak dua kali jika mereka terlepas untuk membelok ke Jalan Putra Permai.

    Beliau turut mendedahkan mesyuarat telah diadakan oleh Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) bersama Litrak, Ahli Parlimen Puchong Yeo Yee Bin dan ADUN Seri Serdang Abbas Salimi Che Adzmi bagi membincangkan pilihan yang ada berhubung perkara itu.

    “Dalam pertemuan itu, wakil Litrak enggan mempertimbangkan permintaan kami untuk tidak menutup pusingan U tersebut. Wakil Litrak berkata penutupan itu boleh menyebabkan kemalangan, tetapi mengikut statistik kami, hanya terdapat tiga kemalangan yang berlaku dalam tempoh setahun,” kata Datuk Bandar Subang Jaya itu.

    Pada 13 Mac lalu, Litrak mengumumkan pusingan U di Plaza Tol Puchong Selatan akan ditutup mulai 1 April 2025. Berikutan itu, Abbas Salimmi melalui media sosial memberitahu bahawa Litrak hanya memaklumkan kepada MBSJ dan tidak memaklumkan mengenai penutupan pusingan U berkenaan. “Ini sangat mengecewakan, kerana perbincangan sebelum ini telah diadakan untuk mencari jalan bagi mengurangkan kesesakan dan salah satu penyelesaian yang dicadangkan adalah memastikan pusingan U terbabit terus terbuka,” kata Abbas Salimi.

     
     
  • Beberapa jalan di Machang ditutup pada 28 Mac hingga 6 April sempena Aidilfitri – Polis Kelantan

    Beberapa jalan di Machang ditutup pada 28 Mac hingga 6 April sempena Aidilfitri – Polis Kelantan

    Polis Daerah Machang memaklumkan bahawa terdapat beberapa jalan di jajahan berkenaan akan ditutup dari jam 7 malam pada 28 Mac ini hingga 12 tengahmalam pada 6 April 20225 sempena musim perayaan Aidilfitri.

    Menurut perkongsian di Facebook rasminya, polis Machang menyatakan bahawa penutupan jalan-jalan yang terlibat adalah bertujuan untuk melancarkan perjalanan pada musim perayaan ini.

    Jalan yang terlibat ialah simpang tiga di Jalan Paloh Rawa ke arah Tanah Merah dan pengguna boleh menggunakan laluan alternatif yang disarankan iaitu Paloh Rawa – Kelaweh – Kg.Wakaf Bata – Tanah Merah.

    Jika anda datang dari arah Machang dan hendak ke Paloh Rawa, turut dimaklumkan penutupan jalan di simpang tiga Jalan Paloh Rawa dan anda boleh menggunakan laluan alternatif iaitu Jalan Machang – Wakaf Bata – Kelaweh – Paloh Rawa.

    Manakala simpang keluar dari Jalan Tok Bok ke Kota Bharu dan dari Machang ke Jalan Tok Bok juga terlibat dengan penutupan. Jalan alternatif yang disarankan ialah melalui Jalan Tok Bok dan membuat pusingan U berhampiran PPD Machang untuk menuju ke Kota Bharu. Dan jika dari Kota Bharu, anda boleh menggunakan Jalan Kg Gendang Lima – Banggol Judah – Pasir Puteh untuk ke Machang.

    “Para pengguna dinasihat untuk berhati-hati semasa memandu dan patuhi papan tanda amaran yang disediakan. Segala kesulitan amat dikesali,” kata polis Machang.

     
     
  • Nissan Almera facelift 2025 – teaser versi penyegaran kali kedua disiarkan, tampil muncung lebih tajam

    Nissan Almera facelift 2025 – teaser versi penyegaran kali kedua disiarkan, tampil muncung lebih tajam

    Nissan Almera generasi ke-empat sudahpun berada hampir enam-tahun dalam pasaran selepas ia membuat kemunculan sulung global pada April 2019. Lazimnya bagi sesebuah model dari jenama Jepun, enam-tahun sudah cukup untuk pengeluarannya dihentikan bagi digantikan dengan model generasi baharu. Namun untuk Almera N18 ini umurnya mungkin akan dipanjangkan sekurang-kurangnya tiga tahun lagi kerana model facelift peringkat kedua akan diperkenalkan tidak lama lagi.

    Nissan terlebih dahulu menyiarkan teaser bagi model facelift tersebut, sebelum pendedahan sepenuhnya Almera berkenaan dibuat. Model ini terlebih dahulu akan di lancarkan di Amerika Latin tahun ini di mana ia dikenali sebagai Versa di sana.

    Bentuk profil sisi sedan segmen-B ini masih lagi nampak seperti model sedia ada, tetapi perubahan besar dilihat dibuat pada bahagian hadapan. Almera facelift ini nampaknya menampilkan muncung yang lebih tajam – lampu hadapan lebih tajam ditunjukkan sedang bernyala, mungkin hanya lampu nyalaan siang di mana lampu utamanya mungkin berada di bampar seperti rekaan pada X-Trail generasi terkini.

    Versi asal Nissan Almera N18 (kiri) dan versi facelift 2023 (kanan)

    Juga boleh dilihat logo Nissan kini diletakkan pada sebelah atas muncung dan bukan lagi pada gril hadapan. Bahagian belakang juga mungkin akan menerima sedikit perubahan menerusi model facelift 2025 ini.

    Di Malaysia, kita masih lagi menerima Almera N18 dengan muka asal versi 2019 yang nampak lebih garang berbanding facelift 2023 yang nampak lebih elegen. Jadi mungkin Edaran Tan Chong Motor (ETCM) akan terus memperkenalkan facelift kedua ini ke pasaran tempatan kelak?

     
     
  • Mitsubishi Ralliart sah sertai Asia Cross Country Rally 2025 guna Triton T1 dengan spesifikasi lebih ekstrim

    Mitsubishi Ralliart sah sertai Asia Cross Country Rally 2025 guna Triton T1 dengan spesifikasi lebih ekstrim

    Sayap perlumbaan Mitsubishi, iaitu Mitsubishi Ralliart telah mengesahkan penyertaannya dalam perlumbaan Asia Cross Country Rally (AXCR) 2025 dengan trak pikap Mitsubishi Triton yang nampaknya menerima pengubahsuaian lebih agresif berbanding jentera yang digunakan pada perlumbaan sama tahun lalu.

    Trak berkenaan didedahkan ketika berlangsungnya Bangkok International Motor Show 2025 yang bermula minggu ini, memperlihatkan bahagian bed belakang yang jauh lebih pendek dari versi sebelumnya, serta kedudukan bahagian kemasukan unit snorkel pada fender hadapan sebelah kanan juga sudah sedikit berubah.

    Walau bagaimanapun spesfikasi sebenar bagi jentera rali baharu ini masih belum diumumkan oleh pasukan tersebut, dan hanya mengesahkan bahawa casis dan pelbagai aspek lain telah diperhalusi bagi memberikan potensi yang lebih besar.

    Mitsubishi Ralliart sah sertai Asia Cross Country Rally 2025 guna Triton T1 dengan spesifikasi lebih ekstrim

    Pembangunan Triton AXCR ini sudah bermula sebelum model produksinya didedahkan pada 2023. Ia dibina berdasarkan undang-undang Group T1 FIA digunakan untuk perlumbaan AXCR, yang sebenarnya membolehkan pasukan menggunakan kenderaan prototaip. Pada peringkat awal penampilan Triton ini, ia masih berkongsi banyak perincian yang sama dengan versi produksi, serta menerima panel-panel badan seperti pintu dan bed belakang mula menggunakan komponen yang diperbuat dari gentian karbon untuk mengurangkan beratnya.

    Namun bagi versi 2024, Triton T1 ini menerima pengubahsuaian yang lebih besar di mana spring dedaun pada suspensi belakang telah ditukar menggunakan spring gegelung, bersama pengubahsuaian dimensi pada gandar tersebut bagi memberikan cengkaman tayar lebih baik.

    Dan untuk versi 2025 ini, Triton T1 berkenaan nampak lebih lincah dengan bed belakang lebih pendek, dipercayai untuk mengurangkan lagi beratnya serta memberikan sudut berlepas ketika meredah permukaan lasak yang lebih baik.

    Mitsubishi Ralliart sah sertai Asia Cross Country Rally 2025 guna Triton T1 dengan spesifikasi lebih ekstrim

    Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Mitsubishi menyatakan bahawa enjin 2.4 liter DOHC MIVEC Turbodiesel yang digunakan oleh Triton ini telah dibuat beberapa penambahbaikkan dengan ketahanan yang dipertingkat. Seperti biasa enjin berkenaan menerima sentuhan dari penala Jepun iaitu HKS, dan menerusi pengumuman yang dibuat oleh HKS, bagi jentera tahun ini ia turut menyediakan sistem ekzos baharu untuk jentera rali rentas negara berkenaan.

    Mitsubishi Ralliart turut berazam untuk mengulangi kejayaannya pada AXCR 2022 untuk bergelar juara keseluruhan menerusi pemandu utamanya iaitu Chayapon Yotha. Tahun lalu Yotha hampir mengecapi sasaran berkenaan selepas mendahului perlumbaan dengan kelebihan 20 minit di hadapan pada Leg 4, namun terpaksa menamatkan cabaran lebih awal selepas enjin Triton T1 yang dipandu tersebut gagal berfungsi 2 km sebelum garis penamat Leg 5.

    Bagi perlumbaan tahun ini, laluan AXCR akan melibatkan perjalanan dari Thailand ke Kemboja dengan jarak sekitar 2,500 km, berbanding 2,000 km tahun lalu. Kesemua peserta akan berlepas di Pattaya pada 8 Ogos, menuju ke utara Thailand melalui Nakhon Ratchasima, diikut Chanthaburi. Pelumba-pelumba akan mula masuk ke Kemboja bermula 14 Ogos dan menuju ke garisan penamat di Phnom Penh pada 16 Ogos.

    Seperti lazimnya laluan AXCR sebelum ini, laluan bagi rali tahun ini turut akan melibatkan pelbagai permukaan jalan termasuk kawasan pergunungan, hutan belantara dan juga meredah sungai.

     
     
  • Kesemua 248 stesen minyak di Kelantan tetap dibuka seperti biasa termasuk pada 1 Syawal – KPDN

    Kesemua 248 stesen minyak di Kelantan tetap dibuka seperti biasa termasuk pada 1 Syawal – KPDN

    Beberapa hari lepas ramai netizen khususnya yang berada atau bakal pulang ke Kelantan pada Hari Raya Aidilfitri ini mengeluh kerana premis perniagaan di sana diminta tutup pada 1 Syawal oleh kerajaan pentadbiran negeri. Ramai menyangkakan stesen minyak akan turut terbabit dengan penutupan operasi pada 1 Syawal ini.

    Susulan isu ini, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Hilmi Abdullah mengeluarkan kenyataan bahawa hanya empat kategori premis diminta tidak beroperasi pada hari pertama Aidilfitri di Kelantan dan bukannya semua premis. Empat premis berkenaan adalah pasar raya besar, pasar raya, kedai serbaneka dan restoran makanan segera. Manakala premis lain yang di luar empat kategori berkenaan boleh beroperasi seperti biasa termasuk stesen minyak.

    Turut memberi maklumbalas mengenai isu ini ialah Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Azman Ismail yang mengesahkan bahawa sebanyak 248 stesen minyak di seluruh Kelantan beroperasi seperti biasa pada Aidilfitri nanti, laporan Harian Metro.

    Kesemua 248 stesen minyak di Kelantan tetap dibuka seperti biasa termasuk pada 1 Syawal – KPDN

    “Orang ramai tidak perlu bimbang untuk mendapatkan bekalan minyak pada hari raya nanti. Setakat ini semua stesen minyak beroperasi seperti biasa dan hanya beberapa stesen minyak memohon untuk membuka sedikit lewat.

    Pada masa sama, ada beberapa premis yang memohon untuk melanjutkan tempoh perniagaan dan permohonan yang diterima itu kami luluskan. Bagi mereka yang menutup, beroperasi lebih masa atau lewat tanpa memaklumkan kepada pihak KPDN, ia menjadi satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan,” katanya.

    Tambah beliau, jumlah stesen minyak di seluruh Kelantan adalah 248 stesen dan daripada jumlah itu, 48 stesen minyak berada di kawasan sempadan.

    Jadi..ore Klate jange rusing deh..stesen minyok tetap beroperasi mace biaso hari rayo ni…

     
     
  • 28 Smart Lane diaktifkan di Lebuhraya Utara-Selatan sempena Hari Raya Aidilfitri – tambah 3 lokasi baharu

    28 Smart Lane diaktifkan di Lebuhraya Utara-Selatan sempena Hari Raya Aidilfitri – tambah 3 lokasi baharu

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangka peningkatan trafik sehingga 2.2 juta kenderaan sehari pada hari-hari Puncak iaitu pada 27 hingga 29 Mac serta 4 hingga 6 April 2025 di rangkaian lebuhrayanya sempena Hari Raya Aidilfitri yang bakal disambut tidak lama lagi.

    Atas dasar itu, beberapa inisiatif diambil bagi menguruskan kesesakan di plaza tol serta laluan utama termasuk mengaktifkan 28 lokasi Smart Lane di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan untuk menyuraikan trafik dan menambah kapasiti lorong di lebuhraya.

    “Dengan Smart Lane, kami menjangkakan kapasiti jalan akan meningkat, sekali gus membantu mengurangkan kesesakan dan memendekkan masa perjalanan,” kata Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi.

    Berbanding Tahun Baharu Cina yang lalu yang hanya ada 25 Smart Lane, untuk Aidilfitri ini, PLUS telah menambah tiga Lokasi baharu yang melibatkan Lingkaran Putrajaya, Pedas Linggi-Senawang dan Tangkak-Jasin. Untuk kesemua 28 lokasi terbabit adalah seperti berikut:

    28 Smart Lane diaktifkan di Lebuhraya Utara-Selatan sempena Hari Raya Aidilfitri – tambah 3 lokasi baharu

    Wilayah Utara

    • Bertam hingga Sg. Dua (KM120.6 hingga KM125.0 Arah Selatan)
    • Bukit Tambun hingga Plaza Tol Juru (KM150.4 hingga KM146.4 Arah Utara)
    • Hentian Sebelah Sg. Bakap hingga Jawi (KM159.3 hingga 162.7 Arah Selatan)

    Wilayah Tengah

    • Gua Tempurung hingga Gopeng (KM303.2 hingga KM297.0 Arah Utara)
    • Slim River hingga Sungkai (KM367.3 hingga KM354.0 Arah Utara)
    • Sungkai hingga Slim River (KM354.0 hingga KM356.0 Arah Utara)
    • Kawasan Rehat & Rawat Rawang hingga Sg. Buaya (KM439.5 hingga KM435.5 Arah Utara)
    • Hentian Sebelah Rawang hingga Rawang (KM437.1 hingga KM443.3 Arah Selatan)
    • Setia Alam hingga Shah Alam (KM4.3 hingga KM8.1 Arah Selatan)
    • Shah Alam hingga Setia Alam (KM8.4 hingga 7.0KM Arah Utara)
    • Susur Keluar Petron, NKVE hingga Subang (KM11.2 hingga KM13.3 Arah Utara)
    • Nilai hingga Kawasan Rehat & Rawat Seremban (KM280 hingga KM276 Arah Selatan)
    • Putra Mahkota hingga Southville (KM289.4 hingga KM292.6 Arah Utara)
    • Southville hingga Putra Mahkota (KM289.5 hingga KM293.5 Arah Selatan)
    • Restoran Jejantas USJ hingga Seafield (KM8.2 hingga KM5.4KM Arah Utara)
    • Bandar Saujana Putra hingga Putra Heights (KM16.3 hingga KM13.2 Arah Utara)
    • Putra Heights hingga Bandar Saujana Putra (KM13.8 hingga KM15.7 Arah Selatan)
    • Susur Masuk dari Lebuhraya MEX ke Lingkaran Putrajaya – Cyberjaya (KM P7.4 hingga KM P7.9 Arah Selatan)
    • Lingkaran Putrajaya (KM P3.0 – KM 4.0 Arah Timur)

    Wilayah Selatan

    • Port Dickson hingga Seremban (KM259.6 hingga KM263.1 Arah Utara)
    • Ayer Keroh hingga Hentian Sebelah Kg. Bemban (KM194.5 hingga KM184.0 Arah Selatan)
    • Sedenak hingga Kulai (KM34.0 hingga KM27.0 Arah Selatan)
    • Senai hingga Kulai (KM19.0 hingga KM27.0 Arah Utara)
    • Kulai hingga Senai (KM27.0 hingga KM19.0 Arah Selatan)
    • Dato’ Onn hingga Pasir Gudang (KM4.5 hingga 1.9 Arah Selatan)
    • Pandan hingga Kempas (KM0.4 hingga KM6.0 Arah Utara)
    • Pedas Linggi hingga Senawang (KM244 hingga KM248.5 Arah Utara)

    28 Smart Lane diaktifkan di Lebuhraya Utara-Selatan sempena Hari Raya Aidilfitri – tambah 3 lokasi baharu

    Bagi yang mungkin masih tidak cakna berkenaan Smart Lane, ia boleh digunakan oleh kenderaan ringan, persendirian atau penumpang. Ketika Smartlane diaktifkan, lorong kecemasan sedia ada akan dibuka sebagai laluan tambahan untuk mengoptimumkan kapasiti lorong di laluan kritikal lebuhraya.

    Pengguna lebuhraya boleh mengenal pasti laluan Smart Lane melalui paparan Lampu Hijau Berkelip (Green Flashing Light) dan papan tanda pemberitahuan yang dipasang untuk menunjukkan bahawa laluan Smart Lane diaktifkan dan boleh digunakan di lokasi-lokasi tertentu. Manakala had laju yang ditetapkan ketika menggunakan Smart Lane ialah 60 km/j.

    Para pengguna lebuhraya juga boleh mendapatkan jadual perjalanan digital MyPLUS-TTA dengan memuat turun dan mengakses aplikasi PLUS untuk memilih waktu perjalanan yang paling optimum di Lebuhraya Utara-Selatan dan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2).

    Dalam masa yang sama, semua pengguna lebuhraya dinasihati supaya menyelenggara dan memastikan kenderaan mereka berada dalam keadaan baik, bersedia secara fizikal dan mental untuk melakukan perjalanan jauh, memastikan baki kad Touch ‘n Go dan e-Wallet mencukupi sebelum memulakan perjalanan dan lebih berhati-hati ketika memandu semasa musim hujan.

    Kemaskini pada 12.14 pm: Untuk makluman, tarikh dan masa pengaktifan Smartlane di setiap lokasi adalah berbeza. Bagi memudahkan anda, kami menasihati sekiranya anda melihat terdapat paparan Lampu Hijau yang berkelip & terdapat papan tanda Smartlane di lokasi tersebut, bermakna lorong Smartlane telah aktif dan boleh digunakan. Jika Lampu Hijau tidak berkelip bermakna lorong Smartlane tidak aktif dan tidak boleh digunakan – Admin FB PLUS Berhad

     
     
  • Perodua sahkan ‘tekan butang penghidup enjin tiga kali’ cuma mitos menerusi video ‘Tip Abang Perodua’

    Perodua sahkan ‘tekan butang penghidup enjin tiga kali’ cuma mitos menerusi video ‘Tip Abang Perodua’

    Ya, tahun ni kita sudahpun masuk ke tahun 2025, 140 tahun selepas Karl Benz melengkapkan pembinaan Benz Patent Motor Car, iaitu kereta dengan enjin pembakaran dalaman pertama yang dipatenkan di dunia pada Januari 1886. Namun dengan segala peradaban industri automotif yang telah dilalui ini, ada satu perdebatan yang tidak pernah habis diperkatakan oleh rakyat Malaysia – “nak hidupkan enjin, tekan push-start button sekali ke tiga kali”?

    Kami juga pernah menulis berkenaan perkara ini kira-kira enam tahun lalu, dan terbaharu menerusi satu video yang dimuat naik oleh Perodua di laman sosial Facebook rasminya, pengeluar kereta dari Rawang berkenaan mengesahkan ‘amalan’ menghidupkan enjin dengan menekan butang penghidup enjin sebanyak tiga kali adalah MITOS semata-mata.

    Video berkenaan dihasilkan bersama pempengaruh Fuad Nasir bersama watak ‘Abang Perodua’ yang merungkai beberapa mitos pemilikan kenderaan, antaranya tentang tekanan angin tayar dan juga penggunaan penghawa dingin didakwa boleh meningkatkan penggunaan bahan api.

    Tip Abang Perodua pada minit 1:07 video tersebut menyebut fakta yang betul adalah anda hanya perlu menekan butang penghidup enjin sekali serentak dengan memijak pedal brek bagi menghidupkan enjin, sekaligus menafikan mitos bahawa ‘enjin akan tahan lama serta sihat dan walfiat’ sekiranya butang tersebut ditekan tiga kali yang disebut oleh Fuad sebelum itu.

    Mitos ini sebenarnya adalah ‘evolusi’ dari ‘petua’ sebelum adanya sistem keyless entry yang menggunakan butang penghidup enjin ini lagi, di mana pada era 90’an dahulu ada yang menganjurkan agar kita hanya menghidupkan enjin selepas lampu ‘check engine’ pada paparan instrumen padam.

    Teori ini menyatakan bahawa ia perlu dilakukan bagi mengelakkan kotak komputer ‘terkejut’ ketika semua sistem diperiksa sendiri oleh komputer ketika mula menerima bekalan elektrik. Mungkin ada kebenaran berkenaan teori ini, dan mungkin tidak kerana masih lagi belum ada bukti kukuh atau penemuan kotak komputer enjin yang rosak kerana pemiliknya tidak menunggu sehingga lampu tersebut padam sebelum enjin dihidupkan.

    Namun ini adalah cerita pada era lewat 80’an dan awal 90’an iaitu zaman di mana sistem karburator secara beransur-ansur mula digantikan dengan sistem suntikan bahan api elektronik. Beza komputer pada zaman berkenaan adalah jauh lebih ‘primitif’ berbanding komponen yang kita ada pada tahun 2025.

    Jadi tidak timbul masalah ‘terkejut’ ini memandangkan kotak komputer enjin untuk model-model terkini adalah sangat laju dan melakukan kesemua proses kadang kala tidak sampai 1 saat. Malah pada enjin-enjin terkini, ia telah direka dengan pelbagai mod selamat yang akan menghalang enjin berkenaan hidup sekiranya ia mengesan ada kerosakan besar akan berlaku jika ada sistem yang gagal berfungsi.

     
     
  • Diskaun 50% untuk kadar tol pada 28-29 Mac sempena Aidilfitri, kecuali di plaza tol BSI dan Tanjung Kupang

    Diskaun 50% untuk kadar tol pada 28-29 Mac sempena Aidilfitri, kecuali di plaza tol BSI dan Tanjung Kupang

    Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengumumkan Kerajaan Madani dalam mesyuarat kabinet hari ini telah bersetuju untuk memberikan potongan tol 50% dari kadar tol biasa sempena Hari Raya Aidilfitri 2025.

    “Keputusan memberikan diskaun 50% dari kadar biasa tol ini akan dilaksanakan bermula jam 12.01 tengah malam pada 28 Mac (Jumaat) dan akan berakhir jam 11.59 malam pada 29 Mac 2025 (Sabtu) bagi kenderaan persendirian Kelas 1 sahaja di semua plaza tol KECUALI di plaza tol di sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA),”katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Jelas beliau, implikasi kewangan yang ditanggung Kerajaan bagi membayar balik pampasan kepada syarikat konsesi tol yang terlibat dianggarkan berjumlah RM19.69 juta.

    Diskaun 50% untuk kadar tol pada 28-29 Mac sempena Aidilfitri, kecuali di plaza tol BSI dan Tanjung Kupang

    “Pemberian diskaun tol ini yang merupakan kesinambungan kepada bantuan tol musim perayaan yang telah diberikan oleh Kerajaan Madani bagi keempat-empat musim perayaan utama di Semenanjung sejak tahun 2023, adalah selaras dengan teras utama Kerajaan Malaysia Madani iaitu Kesejahteraan dan Ihsan dalam membantu meringankan kos sara hidup rakyat.

    “Semua pengguna lebuh raya diharapkan dapat memanfaatkan diskaun tol ini dengan sebaiknya dan merancang perjalanan dengan sewajarnya bagi mengelakkan kesesakan lalu-lintas semasa cuti panjang ini,” sambungnya lagi.

    Katanya lagi, diharap pengguna lebuhraya memanfaatkan peluang ini sebaiknya dan dinasihatkan supaya merancang perjalanan dengan sewajarnya untuk melancarkan pergerakan melalui panduan termasuk mengikut jadual waktu perjalanan atau travel time advisory (TTA) oleh syarikat konsesi lebuhraya.

    Diskaun 50% untuk kadar tol pada 28-29 Mac sempena Aidilfitri, kecuali di plaza tol BSI dan Tanjung Kupang

    Selain itu, pastikan kenderaan anda dalam keadaan baik, pastikan baki eWallet dan Kad Touch & Go mencukupi dan jika yang menggunakan Smart Tag sila pastikan bateri peranti mencukupi

    Dalam masa yang sama, pengguna juga disarankan untuk menyemak status trafik semasa atau sebarang insiden di lebuh raya yang dikemaskini melalui media sosial rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) iaitu di Facebook (Lembaga Lebuhraya Malaysia), di aplikasi X (@LLMtrafik) serta di TikTok (@llmtrafik).

    Pengguna lebuh raya juga boleh menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM di talian 1- 800-88-7752 untuk memperolehi keadaan trafik terkini atau bantuan. Bagi mendapatkan maklumat keadaan trafik semasa melalui paparan CCTV di semua lebuh raya, pengguna juga boleh melayari laman sesawang LLM di https://www.llm.gov.my. Di samping itu, maklumat keadaan trafik juga boleh diperolehi daripada WhatsApp Channel LLM Info Trafik.

    “Kementerian Kerja Raya, Lembaga Lebuhraya Malaysia, dan syarikat konsesi lebuhraya menyeru pengguna jalan raya agar memandu dengan berhemah, mematuhi peraturan, serta berehat jika letih atau mengantuk. Marilah kita bersama menjaga keselamatan, kebersihan, dan keselesaan lebuh raya serta mengurangkan kemalangan,” katanya lagi.

     
     
  • Jaecoo J8 didedah di Malaysia sekali lagi – 2.0L Turbo, 8AT, 5- & 6-tempat duduk, anggaran bermula RM195k

    Jaecoo J8 didedah di Malaysia sekali lagi – 2.0L Turbo, 8AT, 5- & 6-tempat duduk, anggaran bermula RM195k

    Setelah beberapa kali ditunjukkan di Malaysia, hari ini Jeacoo Malaysia sekali lagi mendedahkan SUV dengan pilihan tiga-baris tempat duduk Jaecoo J8. Cuma kali ini unit yang didedahkan adalah unit sah untuk pasaran Malaysia, dipamerkan di tempat awam iaitu di pusat membeli belah 1 Utama.

    Jaecoo Malaysia mengesahkan bahawa J8 bakal ditawarkan dalam dua varian, bermula dengan varian 2WD lima tempat duduk dijual pada harga anggaran RM195,000, diikuti varian tertinggi AWD enam-tempat duduk dengan harga anggaran RM220,000.

    Kedua-dua varian ini akan digerakkan dengan unit rangkaian kuasa yang sama iaitu enjin 2.0 liter empat-silinder turbo menghasilkan 249 PS dan tork maksima 385 Nm. Model pasaran Malaysia ini nampaknya menggunakan kotak gear automatik konvesional lapan-kelajuan (bukan DCT tujuh-kelajuan seperti yang disebut sebelum ini), bersama pilihan pacuan roda hadapan atau pacuan semua roda bergantung pada varian.

    Jaecoo J8 didedah di Malaysia sekali lagi – 2.0L Turbo, 8AT, 5- & 6-tempat duduk, anggaran bermula RM195k

    Padanan ini membolehkan varian AWD SUV besar ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa 9 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 200 km/j. Atas kertas, J8 AWD ini didakwa mampu mencapai penggunaan bahan api pada tahap 8.1 liter/100 km.

    J8 merupakan SUV flagship yang lebih besar dari kebanyakkan SUV segmen-D. Ia dihasilkan dengan ukuran 4,820 mm panjang, 1,930 mm lebar, 1,699 mm tinggi dan jarak antara roda sejauh 2,820 mm. Jadi model ini adalah 100 mm lebih panjang, 70 mm lebih lebar serta jarak roda 110 mm lebih jauh berbanding SUV segmen-D Chery Tiggo 8 Pro.

    Dari segi rupa luaran J8 ini pula direka seakan SUV bersaiz besar dari Amerika Syarikat seperti Lincoln Aviator, khususnya pada bahagian fender hadapan, tiang-D dan juga lampu belakang. Ia agak berbeza dengan model-model Jaecoo lain seperti J8 yang banyak menerima inspirasi dari model-model Range Rover.

    Jaecoo J8 didedah di Malaysia sekali lagi – 2.0L Turbo, 8AT, 5- & 6-tempat duduk, anggaran bermula RM195k

    Manakala pada bahagian dalaman, rekaan kabin J8 adalah seperti rekaan SUV-SUV dari Chery, di mana ia mengambil inspirasi yang banyak dari model-model Mercedes-Benz. Ia boleh dilihat menerusi rekaan konsol tengah yang lebar tanpa tombol gear konvensional dan diganti dengan tuil penukar gear pada kolum stereng, corak pada upholsteri tempat duduk serta kemasan-kemasan perak dan kayu, butang penghidup enjin, suis parasange tempat duduk, serta banyak lagi.

    Juga nampak seperti Mercedes-Benz adalah papan pemuka dengan skrin paparan instrumen dan infotainmen yang bercantum di mana masing-masing bersaiz 12.3-inci, yang turut menampilkan kamera panaromik 540-darjah – kesemua perincian ini adalah standard untuk kedua-dua varian J8 pasaran Malaysia.

    Selain dari perbezaan sistem penghantaran dan juga konfigurasi tempat duduk, Jaecoo telah mendedahkan beberapa perbezaan spesifikasi antara kedua-dua varian J8 pasaran Malaysia ini. Bagi varian 2WD, ia diberikan sistem audio Sony dengan 12 pembesar suara, enam-beg udara, lampu suasana kabin dan dan upholsteri kulit buatan. Dengan ketiadaan tempat duduk baris ketiga, varian ini menyediakan ruang but berkapasiti 738 liter.

    Manakala J8 AWD pula diberikan kelengkapa lebih baik seperti sistem audio Sony dengan 14-pembesar suara di mana dua lagi diletakkan dalam perehat kepala tempat duduk hadapan, 10-beg udara, pintu berkuasa, sistem pewangi automatik, sistem kunci pintar menggunakan NFC, dashcam bina-dalam, tempat duduk hadapan larasan elektrik, tempat duduk kapten baris kedua dengan fungsi pengurut, tirai cermin tungkap belakang, upholsteri kulit sebenar serta kemasan-kemasan sued.

    Dengan tempat duduk baris ketiga dinaikkan, ruang but varian ini hanya menyediakan ruang berkapasiti 200 liter. Selain itu varian paling mewah ini juga diberikan sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) dengan kebolehan pemanduan autonomi Tahap 2.5, sistem parkir automatik, suspensi yang diberikan penyerap hentak adaptif menerusi sistem Continuous Damping Control (CDC), serta boleh mengharungi laluan air dengan kedalaman 450 mm.

    Untuk warna badan pula, varian 2WD ditawarkan dengan tiga pilihan iaitu Carbon Crystal Black, Khaki White dan Olive Grey. Kesemua pilihan warna ini turut diberikan pada varian AWD, tetapi dengan tema dua tona di mana bumbungnya diberikan dalam kemasan hitam.

    Kami difahamkan Jaecoo J8 ini akan dilancarkan pada suku kedua tahun ini. Tempahan belum dibuka, namun pelanggan yang berminat boleh melihat Jaecoo J8 ini yang kini dipamerkan di acara jelajah Jaecoo Malaysia di pusat membeli-belah 1 Utama bermula 27 hingga 30 Mac di mana pendaftaran minat turut dibuka.

     
     
  • Harga minyak 27 Mac-2 Apr – Semuanya dikekalkan

    Harga minyak 27 Mac-2 Apr – Semuanya dikekalkan

    Kementerian Kewangan mengumumkan bagi minggu bertarikh 27 Mac hingga 2 April 2025, harga bagi petrol RON 97 dikekalkan pada kadar RM3.28 seliter. Begitu juga dengan harga runcit bagi RON 95 yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter.

    Untuk diesel pula, selepas mengalami penurunan harga pada minggu sebelum ini, harga runcit yang dijual di Semenanjung dikekalkan pada RM3.03 seliter. Manakala harga diesel untuk Sabah dan Sarawak masih dikekalkan pada RM2.15 seliter.

    Sebelum ini, Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata kriteria kelayakan subsidi RON95 serta kaedah pelaksanaannya akan diumumkan dalam tempoh terdekat. Menurut beliau, kementeriannya akan membentangkan hal-hal berkaitan kepada Kabinet dalam masa terdekat untuk mendapatkan kelulusan sebelum diumumkan kepada umum.

    Pengumuman ini juga akan meliputi peralihan kelayakan dari set sedia ada yang berasaskan pendapatan kasar, yang dikelaskan mengikut segmen B40, M40 dan T20, kepada berdasarkan pendapatan boleh dibelanjakan (disposable income).

     
     
  • Lebuhraya WCE dijangka bakal digunakan lebih 140,000 pengguna sepanjang musim Aidilfitri ini

    Lebuhraya WCE dijangka bakal digunakan lebih 140,000 pengguna sepanjang musim Aidilfitri ini

    Sepanjang musim Hari raya Aidilfitri ini, Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) pastinya menerima lonjakan trafik dan dijangka bakal digunakan oleh lebih 140,000 pengguna.

    Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Strategik dan Libat Urus WCE, Syed Mohammed Idid, berkata peningkatan ini susulan daripada jumlah pengguna yang semakin bergantung kepada WCE sebagai laluan alternatif utama.

    “Sebelum pembukaan Seksyen 6 Asam Jawa pada 20 November 2023, trafik harian WCE adalah sekitar 60,000 kenderaan. Sejak jajaran penuh di Perak mula beroperasi, jumlah ini meningkat kepada 70,000 kenderaan sehari. Dengan musim perayaan yang bakal tiba, kami menjangkakan lebih 140,000 kenderaan sehari akan menggunakan WCE, terutamanya di laluan utama dari Taiping Selatan ke Banting,” katanya.

    Beliau turut memaklumkan bahawa setakat Februari 2025, 95% projek WCE telah siap, dengan beberapa seksyen utama telah dibuka bagi meningkatkan kesalinghubungan dan mempercepatkan perjalanan pengguna.

    Di Selangor, seksyen baharu yang telah dibuka ialah Seksyen 1 sepanjang 12.5km yang menghubungkan Banting ke SKVE dan Seksyen 2 (7.2km) yang menghubungkan SKVE ke KESAS. Manakala jajaran Perak pula, Seksyen 8 hingga 11 sepanjang 99.2 km telah beroperasi sepenuhnya dan menjadi laluan utama pengguna ke utara.

    Menurut Syed Idid lagi, bagi memastikan keselesaan pengguna di sepanjang perjalanan, WCE menyediakan beberapa kemudahan penting termasukh entian sebelah dengan kemudahan seperti tandas, surau dan kiosk tambah nilai di setiap plaza tol dan pengecas kenderaan elektrik (EV) yang disediakan di Hentian Sebelah Taiping Selatan, Trong, Assam Jawa dan SAE.

    Selain itu, kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Nyior, di jajaran Seksyen 11 Taiping, kini telah dibuka di kedua-dua arah utara dan selatan. Bukan itu sahaja, pondok teduhan motosikal turut disediakan di sepanjang lebuhraya bagi kemudahan dan keselamatan pengguna motosikal terutamanya ketika hujan.

    “Dalam memastikan perjalanan yang selamat dan lancar sepanjang musim perayaan, WCE menasihatkan pengguna lebuh raya agar merancang perjalanan lebih awal, menggunakan maklumat trafik terkini dan mematuhi peraturan keselamatan jalan raya.

    “Untuk mendapatkan maklumat trafik terkini dan panduan perjalanan, pengguna boleh merujuk saluran rasmi WCE di media sosial dan laman web serta muat turun aplikasi ‘WCE App’ di Apple AppStore dan Google Play Store,” kata Syed Idid menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

     
     
  • Kamera AWAS – ujian perintis guna sistem AI dilaksana di Lebuhraya KL-Karak, PLUS mulai Jun ini

    Kamera AWAS – ujian perintis guna sistem AI dilaksana di Lebuhraya KL-Karak, PLUS mulai Jun ini

    Ujian perintis sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) dengan kaedah point-to-point bagi mengukur tempoh dan jarak perjalanan kenderaan untuk mengesan pemandu melanggar had laju dijangka dimulakan secara rintis menjelang Jun ini, laporan New Straits Times .

    Dengan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI), projek rintis kaedah itu yang dirancang menggantikan kaedah statik diguna pakai selama ini, akan memantau dua laluan lebuh raya, iaitu di Lebuhraya KL-Karak yang melibatkan antara laluan Terowong Genting Sempah ke Hentian Rehat Gombak dan di Lebuhraya Utara-Selatan iaitu arah Plaza Tol Senawang ke Plaza Tol Simpang Ampat di Alor Gajah.

    Menurut laporan Berita Harian pula, Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan (MOT), Datuk Jana Santhiran Muniayan berkata pemandu yang melanggar had laju boleh dikesan alat dipasang di plaza tol jika tiba di destinasi lebih cepat daripada anggaran tempoh sepatutnya.

    “Projek akan dilaksana secara rintis di dua lokasi lebuh raya terbabit. Jika benar-benar efisien, kita sedia serahkannya untuk dilaksanakan. Sistem ini yang dipasang di plaza tol akan ambil bacaan masa perjalanan berdasarkan jarak ke jarak.

    “Contohnya pemandu dari Jalan Duta, Kuala Lumpur ke Tanjung Malim, Perak, tiba lebih awal dari masa sepatutnya, jadi nombor plat kenderaan akan dikesan dan saman dikeluarkan automatik,” katanya.

    Kamera AWAS – ujian perintis guna sistem AI dilaksana di Lebuhraya KL-Karak, PLUS mulai Jun ini

    Beliau turut menjelaskan, sistem dengan teknologi AI itu juga boleh mengesan tempoh seorang pemandu berhenti di mana-mana lokasi jika mereka berbuat demikian untuk memanjangkan tempoh perjalanan bagi mengelak dikesan sistem itu.

    “Maksudnya pemandu tidak boleh terlepas daripada dikesan jika memandu melebihi had laju, berdasarkan jarak dan tempoh masa yang diukur menerusi sistem baharu ini,” katanya sambil memaklumkan sebuah syarikat sudah dilantik mengendalikan proses bukti konsep atau proof of concept (POC) kaedah berkenaan tanpa sebarang impak kewangan kepada kerajaan.

    Pada Januari lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pelaksanaan kamera AWAS akan ditambah baik dengan kaedah point-to-point berbanding kaedah statik dilaksanakan sebelum ini.

    “Apa yang kita nak menjurus kepada pendekatan baharu ialah kita sudah ada teknologi baharu, kita akan lihat antara dua titik checkpoints. Kita tidak mahu pemandu memperlahankan kenderaan hanya di depan kamera itu, tetapi (perlahan) dalam satu jarak yang tertentu.

    “Katakan antara titik A dengan titik B, kita ingin tahu pemandu menggunakan masa berapa lama. Kalau dia menggunakan kurang daripada masa yang sepatutnya, maksudnya dia pecut dan akan dikenakan tindakan (saman),” katanya.

    Pada pertengahan Januari lalu, PLUS Berhad telah mengadakan ujian kalibrasi bagi pemasangan kamera AwAS di KM258.25 (Arah Utara) dan KM262.5 (Arah Selatan) di Jajaran Terowong Menora/Meru.

     
     
  • Bangkok 2025: Isuzu D-Max dan MU-X terima enjin 2.2L Ddi MaxForce 163 PS/400 Nm, kotak gear 8AT baru

    Bangkok 2025: Isuzu D-Max dan MU-X terima enjin 2.2L Ddi MaxForce 163 PS/400 Nm, kotak gear 8AT baru

    November lalu trak pikap Isuzu D-Max dan kembarnya SUV ladder frame Isuzu MU-X telah diperkenalkan dalam versi tingkat taraf terbaharu, melibatkan pengenalan enjin dan kotak gear baharu. Seperti biasa, kemunculan sulung global versi baharu tersebut dibuat di Thailand, dan kami telah temui kedua-duanya dipamerkan di Bangkok International Motor Show (BIMS) 2025 yang sedang berlangsungnya bermula minggu ini.

    Tiada sebarang penyegaran rupa luaran dan dalaman untuk kedua-dua model yang ditingkat taraf ini di mana D-Max masih tampil dengan rupa dari versi facelift 2023 tetapi ditambah dengan pilihan warna badan baharu Elbrus Grey Opaque, manakala MU-X pula masih mengenakan penggayaan dari versi facelift yang diperkenalkan pada Jun tahun lalu.

    Namun kedua-duanya menerima varian dengan enjin 2.2 liter Ddi MaxForce baharu sebagai tambahan dari pilihan enjin 1.9 liter Ddi BluePower RZ4E dan juga enjin 3.0 liter empat-silinder turbodiesel 4JJ3-TCX.

    Bangkok 2025: Isuzu D-Max dan MU-X terima enjin 2.2L Ddi MaxForce 163 PS/400 Nm, kotak gear 8AT baru

    Enjin MaxForce DDi 2.2 liter ini sebenarnya merupakan varian dari enjin turbodiesel 1.9 liter DDi BluePower dan ia dikenali dengan kod enjin RZ4F-TC. Namun ia bukan sekadar meningkatkan kapasitinya dari 1,898 cc to 2,164 cc menerusi pemadanan liner silinder, omboh (83mmx100 mm), rod penghubung dan aci engkol baharu, malah turut menerima kepala silinder baharu.

    Omboh baharu berkenaan bukan sahaja lebih besar, malah ia turut disalut dengan bahan yang menjadikan daya geserannya jauh lebih rendah serta direka bagi menghasilkan pusaran lebih tinggi untuk melaras aliran udara yang masuk ke kebuk pembakaran, seterusnya memberikan pembakaran yang lebih berkesan.

    Selain itu, enjin 2.2L ini juga menerima penyuntik bahan api dengan tekanan lebih tinggi iaitu 250 MPa berbanding 180 MPa pada versi 1.9L. Pengecas turbo dengan geometri bervariasi (E-VGS) juga dikemaskini menampilkan aliran masuk dan bilah turbin lebih besar, bersama injap wastegate yang dikawal oleh kotak komputer enjin berbanding enjin 1.9L yang masih menggunakan tekanan spring konvensional.

    Akhir sekali enjin baharu ini turut diperkemas dengan sistem pelinciran lebih baik yang bukan sahaja meningkatkan pretasi, malah turut memberikan ketahanan lebih tinggi. Hasilnya enjin RZ4F-TC ini dapat bernafas dengan 163 PS pada takat 3,600 rpm dan mencapai tork maksima 400 Nm bermula 1,600 rpm hingga 2,600 rpm.

    Jadi ia bukan sahaja menghasilkan kuasa 13 PS/50 Nm lebih besar berbanding versi 1.9L (150 PS/350 Nm), malah tork maksimanya juga dapat dicapai 200 rpm lebih awal, dan Isuzu mendakwa bahawa penggunaan bahan apinya juga adalah 10% lebih baik. Enjin ini juga menerima penarafan Euro 5 serta boleh beroperasi menggunakan bahan bakar Biodiesel B20 di Thailand.

    Varian-varian yang dilengkapi enjin baharu ini juga ditawarkan dengan kotak gear 8AT lapan-kelajuan baharu, manakala pilihan enjin 1.9L dan 3.0L masih diberikan kotak gear 6AT sedia ada. Selain dari menawarkan nisbah gear yang lebih banyak, kotak gear baharu ini juga diberikan fungsi REV Tronic dalam mod pacuan roda belakang. Pilihan kotak gear manual enam-kelajuan juga masih diberikan untuk enjin baharu ini.

    Untuk MU-X, ini mungkin kali pertama anda melihat rupa facelift terkini SUV tersebut kan? Ini kerana Isuzu Malaysia sudah lama tidak menawarkan MU-X di pasaran tempatan. Versi facelift terkini ini menampilkan rekaan muka yang lebih agresif dari sebelum ini, menampilkan lampu nyalaan siang LED pada bahagian ‘kening’ lampu utama, gril lebih besar dan bampar hadapan yang direka seakan menonjolkan huruf-X.

    Manakala di belakang, kluster lampu utama masih nampak sama tetapi grafik LED di dalamnya diberikan rekaan baharu berbentuk seakan anak panah. Bampar belakang diolah semula menerusi penambahan panel bawah berbentuk seperti diffuser.

    Pada bahagian dalaman SUV tujuh-tempat duduk ini pula kini menampilkan panel-panel sentuhan lembut dan perapi-perapi baharu. Konsol tengah turut direka semula bagi menempatkan skrin sesentuh untuk sistem infotainmen lebih besar bersaiz sembilan-inci yang menyokong Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar. Manakala pemandu kini turut menerima paparan instrumen digital dengan skrin tujuh-inci.

    Isuzu MU-X terkini ini juga diberikan kamera 360-darjah dengan fungsi paparan telus cahaya, serta diberikan sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) yang merangkumi fungsi bantuan kekal tengah lorong dan cruise control adapatif bagi memberikan kebolehan pemanduan autonomi Tahap 2, serta sistem pemantau titik buta dengan pengelak pelanggaran.

    Kita di Malaysia dijangka terus tidak akan menerima MU-X, namun untuk trak pikap D-Max, versi dengan pilihan enjin terbaharu ini mungkin akan tiba di sini pada tahun ini juga.

    GALERI: Isuzu D-Max Hi-Lander 2.2 Ddi MaxForce M A/T di BIMS 2025

    GALERI: Isuzu MU-X 4×2 2.2 Ddi MaxForce Ultimate A/T di BIMS 2025

     
     
  • Kerajaan tidak bercadang laksana caj kesesakan jalan raya di Kuala Lumpur buat masa ini – Loke

    Kerajaan tidak bercadang laksana caj kesesakan jalan raya di Kuala Lumpur buat masa ini – Loke

    Kerajaan tidak bercadang melaksanakan caj kesesakan jalan raya di Kuala Lumpur ke atas kenderaan persendirian buat masa ini, laporan Bernama.

    Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya sudah membincangkan perkara itu secara mendalam, dan mengambil maklum pandangan kementerian untuk memberi fokus kepada peningkatan mutu pengangkutan awam terlebih dahulu.

    “Kementerian Pengangkutan (MOT) tidak dan belum bercadang untuk melaksanakan caj kesesakan ke atas kenderaan persendirian buat masa ini,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara semalam.

    Tambah Loke, kajian meliputi mekanisme pelaksanaan, unjuran pengurangan jumlah lalu lintas dan peningkatan penggunaan pengangkutan awam kini sedang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan Perbadanan Teknologi Hijau Dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC).

    Kerajaan tidak bercadang laksana caj kesesakan jalan raya di Kuala Lumpur buat masa ini – Loke

    MOT juga sedang melaksanakan Kajian Pelan Strategik Pengangkutan Awam Lembah Klang, antara lain turut merangkumi kajian Origin-Destination dan diharap dapat dijadikan penanda aras untuk meningkatkan mutu pengangkutan awam termasuk di negeri.

    “Ini kerana negara maju hanya melaksanakan caj kesesakan selepas mempunyai sistem pengangkutan awam yang baik dan cekap,” katanya.

    Bulan lalu, Loke berkata adalah tidak mungkin untuk melaksanakan caj kesesakan di Kuala Lumpur kerana pengangkutan awam perlu diperbaiki terlebih dahulu.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata selain Kuala Lumpur, George Town di Pulau Pinang dan Johor Bahru sedang dipertimbangkan untuk pelaksanaan caj kesesakan. Menerusi kaedah ini, ia boleh mengurangkan kesesakan di Kuala Lumpur sebanyak 20%.

     
     
  • PDRM terima 2 unit Peugeot 408 untuk tujuan penilaian

    PDRM terima 2 unit Peugeot 408 untuk tujuan penilaian

    Polis DiRaja Malaysia (PDRM) telah menerima dua unit Peugeot 408 yang dipinjamkan oleh Peugeot Malaysia untuk dinilai sama ada model tersebut sesuai atau tidak untuk ditambah ke dalam armada kenderaan badan penguatkuasa berkenaan.

    Seperti penilaian yang dibuat pada kenderaan-kenderaan lain, dua buah 408 dalam varian Allure tersebut akan melalui pelbagai ujian di lapangan sebenar. Tempoh masa ujian itu tidak didedahkan, namun lazimnya penilaian seperti ini akan dibuat selama tiga hingga enam bulan, dan selepas itu ia akan dipulangkan semula kepada pengeluar tanpa sebarang kos.

    PDRM terima 2 unit Peugeot 408 untuk tujuan penilaian

    Buat masa sekarang PDRM menggunakan Honda Civic sebagai kereta peronda utama, di mana ia telah digunakan sejak model generasi FC dalam varian 1.8S yang diterima sejak model pre-facelift pada 2016, kemudian diikuti sebanyak 425 unit pada Jun 2020, dan kini ia disambung dengan model generasi FE dengan enjin 1.5 liter VTEC Turbo.

    Sekiranya Peugeot 408 ini diterima, PDRM akan mempunyai kereta peronda yang lebih berkuasa kerana model tersebut digerakkan dengan enjin PureTech 1.6 liter turbo menjana 218 PS pada takat 5,750 rpm dan tork maksima 300 Nm bermula 2,000 rpm, digandingkan bersama kotak gear automatik lapan-kelajuan bagi memacu sepenuhnya roda hadapan.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.21 (+0.03)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.11 (+0.03)
Last Updated Jul 17, 2025