Mazda sebelum ini sudahpun mengumumkan bahawa sedan elektrik penuh yang dibangunkan di China iaitu Mazda 6e (dikenali sebagau Mazda EZ-6 di pasaran itu) sah akan dilancarkan di Thailand tahun ini. Dan sebelum ia dilancarkan secara rasmi, EV berkenaan dipamerkan terlebih dahulu di Bangkok International Motor Show 2025 yang kini sedang berlangsung di sana.
Menurut Mazda, model ini merupakan model BEV elektrik 100% yang dibangunkan di bawah ‘pendekatan teknologi pelbagai solusi’ syarikat tersebut. Apa yang ingin diberitahu adalah, selain dari model MX-30 EV yang dibangunkan sendiri oleh Mazda, sedan 6e ini adalah model EV pertama yang dibangunkan bersama pengeluar lain.
Ia dihasilkan bersama rakan Mazda sekian lama di China iaitu Changan, dan model ini menggunakan platform dan juga unit rangkaian kuasa yang sama dengan Deepal L07 – Changan merupakan pemilik jenama Deepal.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Mazda Thailand, sedan EV ini dibina dengan menampilkan nisbah berat 50:50 antara hadapan dan belakang. Walaupun diketahui ia diasaskan dari Deepal, Mazda menyatakan bahawa “kereta ini juga memberikan prestasi pemanduan berkuasa yang mana Mazda dikenali untuk itu, dibangunkan oleh jurutera-jurutera Mazda yang teliti terhadap setiap perincian.”
Belum ada spesifikasi penuh untuk model pasaran Thailand bagi Mazda 6e ini, malah unit yang dipamerkan ini masih dalam versi pemanduan sebelah kiri (LHD). Namun Mazda Thailand ada menyatakan bahawa Mazda 6e ini akan dilengkapi dengan bateri 80 kWj bagi memberikan jarak gerak 552 km, dan ia boleh dicas semula dengan pengecas pantas yang mampu memenuhkan kuasa dari 30-80% dalam masa 15 minit.
Thailand bukan satu-satunya pasaran yang akan menerima Mazda 6e ini kerana sebelum ini Mazda turut mengesahkan bahawa ia turut akan di bawa ke pasaran Eropah dan juga United Kingdom.
Di benua berkenaan, Mazda 6e bakal ditawarkan dalam dua varian unit rangkaian kuasa iaitu Mazda 6e dan Mazda 6e Long Range. Bagi model asas Mazda 6e, ia dilengkapi dengan bateri litium logam fosfat (LFP) berkapasiti 68.8-kWj bagi memberikan jarak gerak sejauh 479 km berdasarkan kitaran ujian WLTP. Model ini digerakkan dengan motor elektrik berkuasa 258 PS dan tork 320 Nm yang memacu roda belakang, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.6 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 175 km/j.
Manakala bagi Mazda 6e Long Range, ia menerima bateri nikel mangan kobalt (NMC) berkapasiti 80-kWj yang, memberikan jarak gerak sejauh 552 km. Jarak yang lebih jauh ini bukan hanya disumbang oleh bateri lebih besar, malah kuasa yang dihasilkan pada motor elektrik juga lebih rendah iaitu 245 PS dan tork 320 Nm. Kelajuan maksima masih sama pada 175 km/j, tetapi pecutan 0-100 km/j adalah sedikit lambat iaitu 7.8 saat.
Tak tahu sama ada ini kebetulan atau tidak, pengedar Mazda di Malaysia iaitu Bermaz Auto telah pun mewujudkan subsidiari Bermaz Changan dan dianugerahkan hak pengedaran jenama Deepal di Malaysia pada November tahun lalu, dan dijangka bakal melancarkan Deepal S05 dan S07 pada pertengahan 2025.
Jadi dengan adanya Deepal S05 disini kelak, dan juga Mazda 6e dalam versi pemanduan sebelah kanan (RHD) yang sudah berada di negara jiran, adakah Bermaz akan turut membawa 6e ke Malaysia kerana kedua-dua model tersebut berkongsi banyak komponen yang sama dan memudahkan urusan penyelenggaraan?