Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Ambil alih konsesi lebuhraya kena ikut kemampuan k’jaan, rakyat kena faham itu duit cukai mereka: Tun M

    Ambil alih konsesi lebuhraya kena ikut kemampuan k’jaan, rakyat kena faham itu duit cukai mereka: Tun M

    Lagi berita mengenai pengambilalihan konsesi tol di empat lebuhraya kendalian Gamuda yang dilaporkan sebelum ini. Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pula menjelaskan, jika perkara ini (pengambilalihan konsesi tol) di tempat lain dilaksanakan, ia harus mengikut kemampuan kerajaan.

    Katanya lagi, rundingan dengan Gamuda Berhad untuk mengambil alih konsesi empat lebuh raya di Lembah Klang merupakan langkah pertama dilakukan kerajaan bagi menunaikan manifesto pada pilihan raya umum lalu, laporan Bernama.

    “Sejak mengambil alih kerajaan, Pakatan Harapan telah berfikir tentang kaedah untuk menunaikan janji (kepada rakyat). (Walau bagaimana pun) kita tumpukan kepada yang mampu kita lakukan iaitu lebuh raya yang berada di Kuala Lumpur tetapi kita akan perluaskan di tol tempat-tempat lain. Kita buat ikut kemampuan kita,” katanya pada pemberita semalam.

    Ambil alih konsesi lebuhraya kena ikut kemampuan k’jaan, rakyat kena faham itu duit cukai mereka: Tun M

    Mengulas mengenai rundingan dengan Gamuda Berhad, Dr Mahathir berkata proses tersebut dilakukan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

    “Kita bermula dengan beberapa tol sahaja kerana mengikut kemampuan kita… untuk membasmi atau menghentikan kutipan tol, kerajaan mesti beli jalan-jalan ini akan menyebabkan belanja yang besar kepada kerajaan,” katanya.

    Mengulas kecaman yang diterima daripada segelintir rakyat mengenai janji menghapuskan tol ini pula, Tun Mahathir turut berkata, “Rakyat mesti faham, walau pun (rakyat) tidak bayar tol, kerajaan bayar tol daripada duit rakyat. Akhirnya rakyat yang membayar (tol) walau pun melalui kerajaan.

    Ambil alih konsesi lebuhraya kena ikut kemampuan k’jaan, rakyat kena faham itu duit cukai mereka: Tun M

    “Kerajaan kena beli lebuhraya, itu duit cukai yang dikutip daripada rakyat. Dan jalan mesti diperbaiki sepanjang masa, mesti dibelanja kerajaan, bukan syarikat. Ini bermakna sebahagian cukai kita kutip mesti digunakan untuk menyelenggara jalan. Bermakna kerajaan akan kekurangan wang untuk lain-lain-projek yang perlu.”

    Beberapa hari lalu, Pejabat Perdana Menteri telah mengeluarkan kenyataan mengenai cadangan mengambil alih konsesi empat lebuh raya iaitu Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan Terowong SMART. Di mana caj kesesakan (congestion charge) akan diperkenalkan dan pengguna lebuh raya akan hanya dikenakan caj yang sama dengan kadar tol sedia ada pada waktu puncak selama enam jam sehari.

    Namun, pengguna lebuhraya bakal menikmati diskaun sebanyak 30% berbanding kadar tol sedia ada bagi penggunaan waktu biasa. Bagi waktu “off peak” iaitu antara jam 11 malam hingga 5 pagi pula, kadar tol akan dihapuskan sama sekali, bermakna penggunaan lebuh raya adalah percuma.

     
     
  • Volkswagen T-Roc R – 300 PS, 400 Nm, pecut 4.9 saat

    Volkswagen T-Roc R – 300 PS, 400 Nm, pecut 4.9 saat

    Ini Volkswagen T-Roc R, yang akan buat penampilan sulung di Geneva Mac ini. Yang dilihat ini menghampiri versi akhir bagi model crossover kompak yang berasaskan platform MQB oleh Volkswagen, yang pertama kali diperkenalkan pada 2017 dulu.

    Model terkini Volkswagen R menggunakan enjin 2.0 liter TSI dengan janaan 300 PS dan 400 Nm, sama seperti yang digunakan pada Golf R. Dipadankan dengan transmisi automatik DSG klac berkembar tujuh-kelajuan serta pacuan semua roda 4Matic, T-Roc mampu memecut dari 0-100 km/j dalam pasa 4.9 saat, dengan kelajuan maksimum dihadkan secara elektronik pada 250 km/j.

    Sudah tentu, bagi model terbaru ini, ada peningkatan casis diberikan, serta pertambahan kuasa juga. T-Roc bakal hadir dengan kelengkapan berciri sport (suspensi rendah), stereng progresif dan sistem brek 17-inci – yang pernah dilihat pada Volkswagen Golf R Performance.

    Volkswagen T-Roc R – 300 PS, 400 Nm, pecut 4.9 saat

    Mod pemanduan antaranya terdiri daripada Race Mod, serta ciri Launch Control untuk mula memecut dari keadaan pegun. ESC pula boleh dinyah-aktifkan secara manual. Menurut Volkswagen, model ini turut dibangunkan dan diuji di Nurburgring dengan sokongan tenaga pakar perlumbaan rali, Petter Solberg serta pemandu VW, Benjamin Leuchter.

    Dari segi rekaan, versi R bagi model T-Roc ini menampulkan rekaan gril radiator dengan kemasan aluminim kesat di bahagian bawahnya. Rekaan bampar juga lebih agresif dengan penggunaan DRL LED melintang. Logo R pula jelas terlipat pada gril.

    Di belakang juga sama; bampar sporty dengan liang aliran udara serta diffuser R dalam warna kontras. Ini dilengkapkan lagi dengan empat paip ekzos. T-Roc R menggunakan rim 18-inci “Spielberg” dengan pilihan rim 19-inci Pretoria hitam kesar (saiz tayar 235/40). Ekzos titanium Akrapovic juga ada ditawarkan sebagai pilihan.

    Lain-lain kemasan khas R ialah perumah cermin sisi krom kesat, spoiler bumbung dan skid plate, lengkuk bahagian roda lebih lebar serta kaliper brek hitam dengan logo R. Warna khusus bagi model ini ialah Lapiz Blue Metallic, dengan tujuh pilihan warna lainnya. Kalau nak, bumbung boleh pilih yang warna hitam.

    Di dalam, logo R menghiasi dibeberapa bahagian; kemasan door sill, kunci, penyandar kerusi dan stereng sport yang digunakan. Pada stereng juga ada dilengkapi dengan paddle shifter dengan jahitan benang kelabu. Kemasan lain termasuk material kulit Nappa, kemasan karbon pada panel sisi serta warna cat eksklusif R untuk ruang dalaman.

    Sejak penghujung 2017, Volkswagen telah menjual kira-kira 200,000 unit T-Roc. Menurut syarikat itu lagi, model berkenaan menggandingkan ciri SUV dan mengadunkannya dengan sisi dinamik sebuah kereta hatcback kompak. Jadi, yang ini atau Golf R jadi pilihan?

     
     
  • Petronas Sprinta lancar bengkel servis bergerak

    Petronas Sprinta lancar bengkel servis bergerak

    Bagi memberikan lebih kemudahan kepada pengguna motosikal, Petronas Sprinta hari ini telah melancarkan bengkel servis bergerak, yang dikatakan adalah yang pertama di dalam negara. Melalui bengkel bergerak ini, pemilik motosikal boleh mendapatkan penukaran minyak enjin dan penapis minyak, bergantung kepada model.

    Bengkel bergerak Petronas Sprinta ini akan diletakkan di acara permotoran yang melibatkan motosikal seperti motor show, acara perkumpulan (gathering) dan acara lain seperti Cub Prix. Semasa acara ini, pemilik boleh membawa motosikal mereka, untuk diservis oleh mekanik terlatih, dan mengambil masa sekitar lapan minit.

    Inisiatif terbaru Petronas Sprinta ini dilancarkan oleh ketua pegawai eksekutif Petronas Dagangan, Datuk Sri Syed Zainal Abidin, dan ia dibina atas sebuah kontena 20 kaki, yang juga boleh memberikan pelanggan suasana yang selesa sementara menunggu servis dijalankan.

    Sementara itu, satu pertandingan khas bersempena dengan musim MotoGP 2019, iaitu Petronas Sprinta Bonanza 2019 turut dilancarkan dalam acara sama. Pertandingan ini dijalankan dari 11 Mac hingga 30 September, dengan hadiah yang bernilai sehingga RM300,000, termasuk hadiah utama sebuah Yamaha R6 dengan rekaan pasukan lumba Petronas Yamaha SRT dan hadiah kedua Yamaha YZF-R25.

    Turut ditawarkan adalah pelbagai lagi hadiah lain termasuk barangan rasmi Petronas Sprinta. Maklumat lanjut boleh didapati melalui laman web mymesra.com.my.

     
     
  • Mitsubishi Engelberg Tourer Concept – SUV elektrik yang bakal membuat kemunculan di Geneva 2019

    Mitsubishi Engelberg Tourer Concept – SUV elektrik yang bakal membuat kemunculan di Geneva 2019

    Mitsubishi Motors carves a new creation for Geneva

    Mitsubishi bakal membawa satu lagi SUV konsep ke Geneva Motor Show tahun ini yang digelar sebagai Engelberg Tourer. Sebelum ini, jenama berkenaan telah pun menyiarkan teaser iaitu bayangan mukanya sebelum ini, dan terbaharu bentuk sisinya pula diserlahkan.

    Muka SUV konsep ini masih menggunakan rekaan Dynamic Shield terkini Mitsubishi. Ia menampilkan gril bersaiz besar, lampu hadapan tirus (mungkin hanya lampu nyalaan siang) dan juga sepasang lagi kluster lampu pada kedua-dua sisi bampar. Kemasan ‘X’ pada muka SUV ini diserlahkan lagi dengan jalur lampu LED berwarna biru.

    Mitsubishi Engelberg Tourer Concept – SUV elektrik yang bakal membuat kemunculan di Geneva 2019

    Pada bahagian sisi pula, bentuk badannya kelihatan hampir sama dengan Outlander. Namun ada berberapa bahagian yang jelas berbeza iaitu garis tingkap ditamatkan pada pintu belakang, serta mempunyai liang udara di belakang ruang roda hadapan. SUV ini turut menerima aksesori lain yang memberikan imej lasak seperti storan tambahan pada bumbung dan juga sebaris lampu LED bumbung.

    Menurut Mitsubishi, nama Engelberg ini adalah sempena sebuah “bandar Alpine yang lasak dan cantik terkenal dengan kejayaannya dalam sukan”. Tiada perincian berkenaan unit janakuasa, namun difahamkan ia adalah sebuah SUV berkuasa elektrik sepenuhnya. Ini bukan kali pertama Mitsubishi memperkenalkan SUV elektrik dimana pada 2017 mereka muncul dengan e-Evolution Concept yang dibayangkan sebagai jelamaan semula jentera Evo mereka dalam bentuk SUV elektrik.

     
     
  • Volvo XC90 facelift 2020 – terima teknologi KERS, Twin Engine T8 dengan 420 hp; disertai model mild hybrid

    Volvo XC90 facelift 2020 – terima teknologi KERS, Twin Engine T8 dengan 420 hp; disertai model mild hybrid

    Volvo telah memperkenalkan SUV XC90 yang menerima sentuhan rekaan yang lebih segar dengan padanan enjin yang baharu dan lebih menjimatkan bahan api. Untuk pengetahuan, XC90 generasi kedua ini telah pun berada di pasaran global sejak 2014.

    Bagi rekaannya, SUV perdana Volvo ini dipadankan dengan pilihan roda baharu, dengan warna luaran tambahan dan gril radiator yang disemak semula. Di dalamnya, rekaannya masih sama, namun Volvo mendakwa model facelift ini boleh ditempah dengan konfigurasi enam-tempat duduk baharu berbanding empat-, lima- dan tujuh- seperti yang sedia ada. Selain itu, ia masih kekal sama, walau pun model T8 Inscription ini menerima tombol gear yang lebih bergaya dengan Orrefors cyrstal.

    Perubahan terbesar yang dilakukan adalah di bawah bonetnya. Untuk pertama kalinya, XC90 didatangkan dengan sistem brek pemulihan tenaga kinetik termaju, yang dipadankan bersama enjin plug-in sedia ada untuk mendapatkan penjana kuasa elektrifikasi baharu. Menurut pengeluar kenderaan Sweden itu, penjana kuasa ini menawarkan 15% bagi penjimatan bahan api dan pengurangan emisi dalam pemanduan.

    Volvo XC90 facelift 2020 – terima teknologi KERS, Twin Engine T8 dengan 420 hp; disertai model mild hybrid

    Varian Twin Engine T8 kini mampu menghamburkan 420 hp (meningkat dari 407 hp), juga menerima bateri baharu untuk memanjangkan jarak memandu sebanyak 15%, dan menampilkan pengecasan bateri termaju brake-by-wire. Teknologi ini juga ada didapati pada semua model 90 dan 60 Series.

    Versi yang dipertingkatkan dengan kapasiti yang lebih kecil bagi Enjin Berkembar T8 plug-in hybrid juga menerima bateri baharu dan teknologi brake-by-wire. Seperti T8 PHEV yang paling berkuasa, sistem ini turut menawarkan 15% bagi jarak yang dipertingkatkan dan boleh didapati pada V60 dan S60. Turut dikhabarkan XC90 dengan B5 baharu bersama enjin petrol hibrid sederhana atau diesel juga bakal menyertai barisan ini, termasuk B6 petrol hibrid sederhana.

    Bagi teknologi keselamatan aktif, XC90 yang turut mendatangkan Sistem Informasi Titik Buta dan Keselamatan Bandar kini menerima bantuan stereng – Keselamatan Bandar dengan Brek Auto yang masih menjadi satu-satunya sistem dalam pasaran yang mengesan pejalan kaki, penunggang basikal dan haiwan bersaiz besar.

    Sistem Oncoming Lane Mitigation yang pertama diperkenalkan pada XC60 kini turut diperkenalkan pada XC90, sementara tekologi Cross Traffic Alert turut menawarkan brek auto. Dengan semua ini, ia melengkapkan lagi keselamatan pasif, menjadikan XC90 antara kereta yang paling selamat di jalan raya.

    Sementara itu, XC90 juga merupakan kereta Volvo pertama yang menawarkan sambungan Apple Carplay yang kini turut serasi dengan Android Auto. Sistem infotainmen Sensus kini telah menjalani beberapa peningkatan, dan termasuk penstriman muzik Spotify untuk sesetengah pasaran.

    Sejak dilancarkan, Volvo XC90 telah terjual lebih 320,000. Untuk XC90 facelift baharu ini, ia bakal memasuki produksi bermula Mei di kilang Torslanda di Sweden dan kini tempahannya telah mula diambil di semua pasaran Volvo seluruh dunia.

     
     
  • SPYSHOT: Proton Saga versi facelift – apa yang baru?

    SPYSHOT: Proton Saga versi <em>facelift</em> – apa yang baru?

    Dari perkembangan semasa yang berlaku, satu perkara yang agak jelas kelihatan ialah betapa rancaknya kem Proton ketika ini membuat persiapan untuk perancangan masa depan jenama itu. Tak berapa lama sebelum ini kita telah melihat model Geely Binyue yang khabarnya bakal menjadi asas kepada SUV Proton X50 sedang diuji di sini.

    Itu model serba baru. Bagi model sedia ada pula, kita juga pernah melihat Proton Persona versi dikemaskini sedang diuji. Tidak lupa juga model Iriz yang tidak ketinggalan akan menerima penampilan terbaru, dan sudap pernah juga dilihat sedang diuji.

    Kini, ada satu lagi imej yang dikirim oleh seorang pembaca kami yang mencadangkan bahawa pembaharuan dan kemaskini model yang giat dilakukan oleh Proton ketika ini turut akan diterima oleh model paling asas keluaran syarikat itu, Saga – tiga tahun selepas pengenalan versi terkininya.

    Unit yang kita lihat ini penuh dengan pelekat samaran, menjadikannya agak sukar untuk mengecam pembaharuan yang diberikan. Mungkin yang sedikit dapat diperhatikan ialah bampar belakangnya bakal menampilkan rekaan baru, dengan bahagian diffuser yang lebih ringkas berbanding versi sedia ada.

    Bahagian depan juga kemungkinan besar akan menampilkan pembaharuan yang sama – melihatkan pembaharuan wajah depan yang sama seperti Iriz – serta rekaan rim baru. Bagi Iriz, ada juga kemungkinan bahagian dalamannya menerima kemaskini, mungkin dengan unit utama bagi infotainmen yang akan didatangkan sekali.

    Dari segi mekanikal, mungkin tidak akan ada apa-apa yang baru. Saga akan terus menggunakan enjin 1.3 liter VVT (94 hp/120 Nm) yang dipadankan dengan kotak gear manual lima-kelajuan atau CVT.

     
     
  • Pengusaha stesen minyak perlu tegur pengguna yang ingkar larangan ketika isi bahan api – KPDNHEP

    Pengusaha stesen minyak perlu tegur pengguna yang ingkar larangan ketika isi bahan api – KPDNHEP

    Menggunakan telefon bimbit sewaktu berada di stesen minyak adalah antara peraturan dan larangan yang paling banyak diingkari oleh pengguna. Sikap kurang kesedaran sivik akan bahayanya peraturan yang diingkari itu bukan sahaja boleh mengancam keselamatan diri sendiri, sebaliknya turut memberikan risiko terhadap pengguna lain yang berada di sekitar.

    Menurut laporan Berita Harian, bagi mengelak tragedi atau kemalangan berlaku, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) meminta pengusaha stesen minyak supaya tidak teragak-agak untuk menegur sikap pengguna yang ingkar terhadap peraturan dan larangan ketika mengisi bahan api.

    Menurut Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Muez Abd Aziz, perkara itu ditegaskan berikutan tahap kesedaran pengguna di stesen minyak ketika ini dilihat masih perlu dipertingkatkan.

    “Kita meminta pengusaha pam minyak memantau perkara ini kerana ia boleh membahayakan stesen minyak dan pengguna itu sendiri. Justeru, kita minta pengusaha dapat menegur dan menasihati pengguna yang tidak mempedulikan peraturan yang sudah jelas terpapar di setiap stesen minyak,” katanya kepada pemberita baru-baru ini.

     
     
  • Toyota Gazoo Racing Festival Vios Challenge 2019 pusingan ketiga – hari ke-2 penuh aksi di Batu Kawan

    Toyota Gazoo Racing Festival Vios Challenge 2019 pusingan ketiga – hari ke-2 penuh aksi di Batu Kawan

    Aksi Toyota Gazoo Racing musim kedua pusingan ketiga diteruskan di Stadium Batu Kawan Pulau Pinang untuk hari kedua semalam. Perlumbaan untuk ketiga-tiga kategori dalam Vios Challenge Malaysia masih lagi tidak menghampakan, menyajikan aksi-aksi yang begitu mendebarkan.

    Kelas Super Sporting

    Perlumbaan hari kedua ini dimulakan dengan aksi dari kategori paling profesional iaitu Super Sporting. Dengan mendapat tempat keenam pada perlumbaan pertama bermaksud Syafiq Ali dari M7 Racing akan bermula pada kedudukan pertama pada perlumbaan ini, diikuti oleh Aliff Hamdan (Laser Motor Racing), Eddie Liew (Team Nanoplus), Keifli Othman (Team Nanoplus), Brendan Paul Anthony (Dream Chaser) dan Boy Wong (ST Wangan).

    Sejurus perlumbaan bermula, Syafiq terus meluru meninggalkan pelumba lain di belakang, dan berjaya mengelak sebarang trafik ketika masuk ke selekoh pertama. Eddie Liew berjaya memintas Aliff Hamdan pada aksi seakan perlumbaan drag dari grid permulaan, tetapi ketika Eddie masuk ke garisan dalam pada selekoh pertama, dia dilanggar oleh Aliff dan berpusing, menyebabkan kesesakan pada selekoh berkenaan.

    Brendon dan Keifli walau bagaimanapun berjaya mengelak insiden ini kerana mengambil garisan luar pada selekoh berkenaan, dan terus mengejar Syafiq di hadapan. Namun Syafiq yang juga juara perlumbaan endurance Sepang 1000KM (S1K) 2018 terus cool berada di hadapan, mempamerkan pemanduan yang konsisten serta berjaya memenangi perlumbaan kedua ini dengan berada 2 saat di hadapan Brendon, diikuti oleh Keifli Othman.

    Kelas Sporting

    Untuk kelas Sporting ini, ia bermula bersih tanpa sebarang insiden pada selekoh pertama. Jackson Tan dari Revo Technik yang berada pada kedudukan grid kedua berjaya memintas Eddy Tan (Saksama Motorsport) sebelum tiba di selekoh pertama, dan terus mendahului perlumbaan selepas itu. Eddy bukan sahaja dipintas oleh Jackson, malah terus jatuh ke posisi keempat selepas dipotong oleh Wong Chin Egg (Hiewa Racing) dan pelumba selebriti yang kini telah berlumba pada kelas ini, Shawn Lee.

    Walau bagaimanapun, Shawn dikesan telah melakukan jump start dan diberikan penalti 15 saat. Perlumbaan ini kekal tanpa sebarang insiden sehinggalah ke lap-13, apabila Shawn yang cuba memotong Wong bagi merebut kedudukan kedua telah melanggar bahagian belakang kereta Wong dan menyebabkan kemalangan.

    Pelumba yang paling menyerlah pada perlumbaan ini sebenarnya adalah Kenneth Koh. Kenneth yang terlibat dengan kemalangan dalam aksi ‘dog fight‘ dengan Brendon Lim pada perlumbaan pertama, memulakan aksi hari kedua ini pada petak ke sembilan. Koh yang juga pemandu rali dan pernah beraksi dalam pasukan Proton Motorsport mempamerkan corak pemanduan flamboyant penuh dengan aksi power slide, menggunakan segala kudrat Toyota Viosnya memotong satu demi satu pelumba di hadapan.

    Kenneth tiba di belakang Shawn dan Wong pada lap ke-11, dan pada lap ke-17 beliau berjaya memintas Shawn bagi merebut kedudukan kedua. Kenneth kemudian menjadikan Jackson yang sedang mendahului perlumbaan sebagai sasarannya. Dia terus menerus menyerang Jackson dan berberapa kali melakukan cubaan untuk memotong, namun Jackson berjaya mengekalkan kedudukannya pertamanya sehingga tamat perlumbaan. Dato’ Ken Foo (Kulim Top Wheels) turut mengiringi Kenneth dan Jackson untuk naik ke podium perlumbaan kedua ini.

    Kelas Promotional

    Untuk kelas selebriti ini, pertarungan antara Janna Nick dan Nabil Ahmad menjadi tumpuan. Janna bermula pada grid paling hadapan, dan terus kekal dan menjarakkan diri di hadapan setelah perlumbaan bermula.

    Toyota Gazoo Racing Festival Vios Challenge 2019 pusingan ketiga – hari ke-2 penuh aksi di Batu Kawan

    Nabil Ahmad yang berjaya meluru kehadapan terus mengejar Janna, dan akhirnya pada lap ke-18, Nabil berjaya memintas Janna. Namun Janna Nick tidak berputus asa untuk mendapatkan kembali kedudukannya. Dan sangat mengejutkan, Janna berjaya memotong semula Nabil pada berberapa selekoh terakhir pada lap terakhir! Aiman Tino yang tidak bernasib baik pada perlumbaan pertama juga berjaya menamatkan perlumbaan kedua ini di tempat ketiga.

    Janna antara pelumba yang berpengalaman untuk musim ini kerana telah bermula sejak dari musim pertama. Selepas 14-perlumbaan dalam siri Vios Challenge Toyota Gazoo Racing Festival, ini merupakan pertama kali beliau berjaya menamatkan perlumbaan di tempat pertama.

    Musim kedua TGR Festival akan berakhir pada pusingan keempat selepas ini. Perlumbaan kemuncak berkenaan akan dilangsungkan di Litar Antarabangsa Sepang pada 27 hingga 28 April 2019 nanti.

     
     
  • Proses ambil alih tol perlu ambil masa – Azmin Ali

    Proses ambil alih tol perlu ambil masa – Azmin Ali

    Susulan kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri kelmarin mengenai cadangan mengambil alih konsesi empat lebuh raya iaitu Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan Terowong SMART, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali turut mengulas mengenai perkara ini.

    Menurut beliau, proses pengambilalihan ini mengambil masa yang agak lama selain perlu diimbangi dengan perancangan pembangunan ekonomi supaya tidak memberikan implikasi kewangan, laporan Bernama.

    Tambah beliau lagi, isu tol lebuh raya merupakan janji manifesto yang perlu ditunaikan kerajaan tetapi perlu diperhalusi kesannya supaya negara dapat meneruskan agenda pembangunan yang lain.

    “Kita memperhalusi kesan pengambilalihan tol. Nak ambil alih syarikat konsesi perlu kajian menyeluruh. Saya ada pengalaman di Selangor (sebagai menteri besar) ketika ambil alih syarikat konsesi air..itu juga ambil masa yang lama.

    Proses ambil alih tol perlu ambil masa – Azmin Ali

    “Tetapi perancangan itu harus bermula (awal) dan ini kita dah lakukan… dan bila semua pihak berkepentingan memuktamadkan penyelesaian, kita akan umumkan. Cuma kita kita perlukan masa, perlu buat kajian terutama kesannya kepada kewangan negara,” ujarnya kepada pemberita semalam.

    Mengenai cadangan yang didedahkan oleh Pejabat Perdana Menteri itu, ia bukan bermakna kutipan tol dihapuskan sama sekali, sebaliknya, caj kesesakan (congestion charge) akan diperkenalkan. Di mana pengguna lebuh raya akan hanya dikenakan caj yang sama dengan kadar tol sedia ada pada waktu puncak selama enam jam sehari.

    Namun, pengguna lebuhraya bakal menikmati diskaun sebanyak 30% berbanding kadar tol sedia ada bagi penggunaan waktu biasa. Bagi waktu “off peak” iaitu antara jam 11 malam hingga 5 pagi pula, kadar tol akan dihapuskan sama sekali, bermakna penggunaan lebuh raya adalah percuma.

    Menurut Pejabat Perdana Menteri, perkara itu selaras dengan janji Pakatan Harapan (PH) dalam manifesto pilihan raya lepas untuk mengambil alih konsesi lebuh raya bertol dan menghapuskan bayaran tol secara berperingkat. Malah ini adalah sebagai langkah kerajaan untuk kos hidup rakyat.

     
     
  • Toyota Gazoo Racing Festival Vios Challenge 2019 pusingan ketiga – hari pertama penuh dengan drama

    Toyota Gazoo Racing Festival Vios Challenge 2019 pusingan ketiga – hari pertama penuh dengan drama

    Toyota Gazoo Racing Festival kembali ke Stadium Batu Kawan Pulau Pinang sebagai venue pusingan ketiga untuk musim keduanya, bermula 23 Februari 2019. Seperti biasa, perlumbaan one make Vios Challenge Malaysia juga masih lagi menyajikan perlumbaan yang begitu sengit, mempamerkan pemandu bersaing mempertaruhkan kemahiran masing-masing memandangkan kesemua jentera mempunyai kuasa yang sama di atas litar jalan raya sepanjang 1.56 km.

    Kategori Sporting

    Perlumbaan hari ini dimulakan dengan kelas Sporting yang berlangsung selepas waktu tengah hari. Pada ujian masa yang diadakan pada sebelah pagi, Brendon Lim dari Tedco Racing berjaya menempah tempat kedudukan grid pertama, diikuti Kenneth Koh (Panglima City Racing Team), Hayden Haikal (Prodigy Racing), Dato’ Ken Foo (Kulim Top Wheels), Shukri Yahaya dan Patrick Tam di tempat keenam.

    Setelah kesemua 15-pelumba dilepaskan secara rolling start, lima kereta paling hadapan termasuk Syukri Yahaya berjaya menjarakkan kedudukan mereka dengan pelumba kelompok belakang dan bersaing sengit untuk tempat pertama yang didahului oleh Brendon Lim. Dengan asakan bertali arus, Kenneth ‘menyentuh’ bahagian belakang kereta Brendon menyebabkan kerosakan pada bahagian bampar pada lap keempat, namun Brendon masih kekal di hadapan.

    Serangan demi serangan, akhirnya pada lap ke-tujuh, sentuhan yang diberikan oleh Kenneth semakin agresif menyebabkan kereta Brendon terbabas ke dinding. Pelumba yang baru berumur 15-tahun Hayden Haikal, Dato’ Ken Foo dan Syukri Yahaya berjaya mengelak Brendon dan Kenneth, dan terus bersaing tiga sebaris pada laluan tegak seterusnya, tetapi malang sentuhan Syukri ketika battle berkenaan terhadap kereta Dato’ Ken Foo menyebabkan ketiga-tiga mereka terbabas.

    Kemalangan lima buah kereta ditangga teratas ini menyebabkan kedudukan perlumbaan berubah sepenuhnya dan safety car keluar selama lima-lap untuk kerja-kerja pembersihan litar. Perlumbaan ini akhirnya dimenangi oleh Clement Yeo dari pasukan Distinctive Model, diikuti oleh Patrick Tam (Team Nanoplus) dan Eric Yong (ST Wangan Racing Team).

    Kategori Super Sporting

    Pendahulu kejuaraan untuk kategori paling profesional ini iaitu Boy Wong dari pasukan ST Wangan berjaya mencatatkan masa terpantas pada ujian kelayakan sebelah pagi membolehkannya bermula di petak paling hadapan, diikuti Kenny Lee (Kegani Racing Team), Brendon Paul Anthony (Dream Chaser), William Ho (Kegani Racing Team), Syafiq Ali (M7 Racing Team) dan Keifli Othman (Team Nano Plus).

    Sebaik sahaja kesemua 10-kereta berlepas, Boy Wong terus melarikan diri dari kesesakan kelompok belakang, terus menjarakkan kedudukannya jauh kehadapan. Namun persaingan sengit antara Kenny Lee dan Brendan Paul pada selekoh pertama, menyebabkan Kenny tertolak ke dinding dan tidak dapat meneruskan perlumbaan.

    Kemalangan ini menyebabkan keadaan menjadi kucar-kacir dan terjadi berberapa lagi rempuhan, dan turut menyaksikan rakan sepasukannya William Ho serta Freddie Ang turut sama tidak dapat meneruskan perlumbaan. Kesempatan ini membolehkan dua pemandu Team Nanoplus – Keifli Othman dan Eddie Liew meluru ke tempat ketiga dan keempat, manakala wira Time Attack negara, Alif Hamdan dari Laser Motor Racing naik ke posisi ke lima. Kedudukan ini kekal hingga ke hujung perlumbaan.

    Kategori Promotional

    Drama untuk kelas yang disertai oleh para selebriti ini bermula sejak dari sesi ujian masa pada sebelah pagi. Setelah mencatatkan masa ketiga terpantas, Aiman Tino mengalami kemalangan yang menyebabkan sesi ini tertangguh. Namun pada perlumbaan sebenar yang berlangsung pada sebelah petang, kereta Aiman sempat diperbaiki dan bermula pada petak ketiga, di belakang Nabil Ahmad dan pendahulu perlumbaan Diana Daniel.

    Toyota Gazoo Racing Festival Vios Challenge 2019 pusingan ketiga – hari pertama penuh dengan drama

    Perlumbaan bermula dengan kesemua kereta terbahagi kepada berberapa kelompok setelah dilepaskan. Nabil Ahmad bertarung hebat untuk merampas pendahulu perlumbaan dari Diana Daniel, manakala kelompok kedua pula menyaksikan perebutan tempat ketiga antara Aiman Tino, Akim Ahmad dan Khai Bahar.

    Walau bagaimanapun, Aiman Tino sekali lagi terlibat dalam kemalangan dan menyebabkan dia tersingkir terus, membolehkan Akim merampas tempat ketiga, diikuti Khai di belakangnya. Insiden melibatkan Aiman Tino ini menyebabkan safety car terpaksa keluar selama tujuh-lap.

    Pertarungan kembali sengit sebaik sahaja safety car masuk semula ke laluan pit. Diana berusaha mengekalkan kedudukannya dengan memandu secara flat out menyebabkan berberapa geseran berlaku antara keretanya dengan dinding keselamatan menyebabkan cermin sisi kanannya terkulai. Nabil walaupun dilihat terus menyerang, tetapi beliau tetap menangani risiko sebaik mungkin dengan tidak cuba melakukan aksi memintas yang berbahaya.

    Kedua-dua kereta ini juga berjaya mendahului kelompok kedua – Akim dan Khai – dengan catatan masa sekitar 7.5 saat lebih pantas di hadapan. Perlumbaan ini kekal didahului oleh Diana, diikuti Nabil dan Akim setelah ia berakhir dengan iringan safety car sekali lagi, yang disebabkan oleh kemalangan melibatkan Nabila Razali yang merempuh dinding konkrit.

    Aksi kesemua kelas perlumbaan untuk pusingan ketiga ini akan bersambung pada perlumbaan kedua pada hari Ahad, 24 Februari 2019.

     
     
  • Kerajaan bakal ambil alih konsesi empat lebuhraya – caj kesesakan pada waktu puncak sebagai ganti

    Kerajaan bakal ambil alih konsesi empat lebuhraya – caj kesesakan pada waktu puncak sebagai ganti

    Pejabat Perdana Menteri telah mengeluarkan satu kenyataan mengenai kutipan tol lebuhraya yang mengesahkan kerajaan telah telah memulakan proses rundingan dengan Gamuda Berhad untuk mengambil alih konsesi empat lebuh raya. Syarikat berkenaan merupakan pemegang majoriti bagi Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan Terowong SMART.

    Kenyataan terbabit menyatakan dengan kejayaan pengambilalihan tersebut, kerajaan bercadang menghapuskan mekanisma kutipan tol sedia ada.

    Walau bagaimana pun, ini bukan bermakna kutipan tol dihapuskan sama sekali, sebaliknya, caj kesesakan (congestion charge) akan diperkenalkan. Di mana pengguna lebuh raya akan hanya dikenakan caj yang sama dengan kadar tol sedia ada pada waktu puncak selama enam jam sehari.

    Kerajaan bakal ambil alih konsesi empat lebuhraya – caj kesesakan pada waktu puncak sebagai ganti

    Namun, pengguna lebuhraya bakal menikmati diskaun sebanyak 30% berbanding kadar tol sedia ada bagi penggunaan waktu biasa. Bagi waktu “off peak” iaitu antara jam 11 malam hingga 5 pagi pula, kadar tol akan dihapuskan sama sekali, bermakna penggunaan lebuh raya adalah percuma.

    Menurut Pejabat Perdana Menteri, perkara itu selaras dengan janji Pakatan Harapan (PH) dalam manifesto pilihan raya lepas untuk mengambil alih konsesi lebuh raya bertol dan menghapuskan bayaran tol secara berperingkat. Malah ini adalah sebagai langkah kerajaan untuk kos hidup rakyat.

    Malah kenyataan itu turut berkata, hasil kutipan caj kesesakan tersebut akan diguna pakai untuk menampung kos operasi serta penyelenggaraan lebuh raya serta bayaran pinjaman. Manakala lebihan kutipan akan disalurkan kepada satu dana pengangkutan awam, bagi meningkat kualitinya di seluruh negara.

    Perincian mengenai cadangan ini akan diumumkan oleh Kementerian Kewangan pada masa yang sesuai.

     
     
  • Kenderaan kami tiada masalah guna diesel B10 – Isuzu

    Kenderaan kami tiada masalah guna diesel B10 – Isuzu

    Satu lagi pengumuman penting yang dibuat oleh Isuzu Malaysia hari ini ialah, semua model sedia ada keluaran syarikat itu yang masih dijual di Malaysia ketika ini boleh menggunakan bahan api diesel campuran B10. Langkah ini adalah selari dengan usaha kerajaan yang telah menetapkan campuran B10 bagi diesel Euro 2 sebelum ini.

    Di dalam laporan sebelum ini, penggunaan diesel B10 telah mula dilaksanakan sejak 1 Februari 2019 bagi sektor pengangkutan. Antara yang menyumbang kepada perkembangan ini ialah harga biodiesel sawit yang lebih rendah berbanding dengan diesel petroleum.

    Di Indonesia pula, mereka lebih jauh kehadapan dengan pelaksanaan program B20 ketika ini. Ini melibatkan campuran 20% biodiesel sawit dengan 80% diesel fosil. Pelaksanaannya sudah diwajibjan sejak Januari 2016.

     
     
  • Isuzu akan perkenal enjin 1.9L Ddi BluePower tahun ini

    Isuzu akan perkenal enjin 1.9L Ddi BluePower tahun ini

    Enjin RZ4E-TC 1.9L Ddi BluePower turbo diesel oleh Isuzu bukan hal baru. 2017, D-Max dengan enjin ini sudahpun diperkenalkan untuk pasaran Thailand. Dan, November tahun lalu, unit yang sama juga pernah dipamerkan ketika acara KLIMS18.

    Kini Isuzu Malaysia secara rasminya mengesahkan enjin berkenaan akan diperkenalkan untuk pasaran tempatan, bagi kedua-dua model D-Max dan juga MU-X. Walaupun dengan kapasiti yang lebih kecil, ia mampu menghasilkan 150 hp pada 3,600 rpm dan tork maksimum 350 Nm dari 1,800 hingga 2,600 rpm.

    Ini 16 hp/30 Nm lebih berkuasa dan 19% lebih cekap bahan api serta 20% lebih ringan dari enjin 4JK1-TCX 2.5 liter turbodiesel. Ketika ini, ujian fasa akhir sedang dilakukan terhadap enjin berkenaan untuk disesuaikan penggunaannya dengan keadaan di Malaysia dan dijangka akan diperkenalkan secara rasmi menjelang hujung tahun ini.

     
     
  • Audi SQ5 TDI diperkenalkan – tork sehingga 700 Nm

    Audi SQ5 TDI diperkenalkan – tork sehingga 700 Nm

    Model Audi SQ5 yang ada sekarang menggunakan enjin 3.0 liter turbo V6, dan mampu menghasilkan tork 500 Nm. Bagi sesetengah orang, ini masih tidak mencukupi, dan disebabkan itu, Audi telah memperkenalkan SQ5 TDI baru, yang menggunakan enjin V6 diesel turbo 3.0 liter, menghasilkan tork lebih tinggi iaitu 700 Nm manakala kuasa keseluruhan pula adalah 347 PS (kurang 7 PS berbanding SQ5 TFSI).

    SQ5 TDI dipadankan bersama kotak gear automatik lapan kelajuan Tiptronic serta sistem pacuan semua roda, dan menurut Audi, ia boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 5.1 saat (5.4 saat melalui SQ5 TFSI) dan mencecah kelajuan maksimum 250 km/j.

    Prestasi kenderaan ini juga disokong dengan sistem elektrikal 48 volt (diambil daripada SQ7 TDI), yang termasuk compressor kuasa elektrik dan sistem hibrid ringkas yang mampu memberikan bantuan untuk memacu pengecas turbo apabila kuasa daripada angin ekzos tidak berapa mencukupi.

    Audi SQ5 TDI diperkenalkan – tork sehingga 700 Nm

    Selain daripada itu, sistem hibrid ringkas ini juga dapat membantu mengurangkan penggunaan bahan api sehingga 0.7 l/100 km, dan mempunyai belt alternator-starter (BAS) yang bersambung kepada crankshaft serta bateri lithium-ion 10 Ah yang terletak di bawah lantai ruang simpanan belakang. Sistem ini juga mempunyai converter AC/DC yang disambung kepada sistem elektrikal 12 volt kenderaan ini.

    Bergantung kepada mod pemanduan yang dipilih, kereta ini boleh menjana semula kuasa sehingga 12 kW atau meluncur dengan enjin tertutup selama 40 saat. Ini boleh berlaku apabila pemandu mengangkat kaki daripada pedal minyak pada kelajuan antara 55 hingga 160 km/j. Sistem hibrid ini juga boleh membenarkan operasi start/stop sehingga kelajuan 22 km/j.

    Audi SQ5 TDI diperkenalkan – tork sehingga 700 Nm

    Melihat kepada dinamik kendeaan, SQ5 TDI ini datang dengan suspensi yang serapannya boleh dilaras, dan memberikan kedudukan 30 mm lebih rendah berbanding Q5 biasa, tetapi pembeli juga boleh mendapat suspensi udara adaptif khas untuk model S. Barangan tambahan lain yang disediakan adalah seperti stereng dinamik, yang memberikan nisbah berbeza bergantung kepada kelajuan dan sudut selekoh.

    Secara visualnya, SQ5 TDI ini nampak sama sahaja dengan versi petrol, dan ia didatangkan dengan rim 20 inci (21 inci turut disediakan) serta angkup brek enam piston warna merah atau hitam. Di dalam, terdapat kelengkapan sporty seperti tempat duduk sport yang dibalut dengan kulit dan Alcantara, serta pilihan kemasan aluminium, kayu atau gentian karbon.

     
     
  • LRT3 akan dibiayai sepenuhnya kerajaan – Guan Eng

    LRT3 akan dibiayai sepenuhnya kerajaan – Guan Eng

    Menteri Kewangan Lim Guan Eng telah mengesahkan projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) akan menerima sokongan kerajaan dalam bentuk pembiayaan.

    Menurutnya, sebahagian besar pembiayaan projek dengan kosnya telah dikurangkan kepada RM16.63 bilion berbanding RM31.65 bilion sebelum ini, akan disalurkan oleh Kementerian Kewangan berikutan kedudukan Prasarana Malaysia Bhd sebagai entiti milik kerajaan, laporan Bernama.

    “Kita akan membiayai projek itu menerusi pinjaman serta jaminan kerajaan. Oleh itu, kontraktor terbabit boleh mendapat jaminan kerajaan dari segi pembayaran apabila mereka menyertai projek berkenaan,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Walau bagaimana pun beliau enggan mengulas kerangka kewangan berkaitan yang boleh memberi kesan terhadap harga akhir projek tersebut.

    Projek LRT3 yang dijadualkan siap menjelang akhir Februari 2024, menghubungkan Petaling Jaya dan Klang merangkumi pembinaan 20 stesen manakala lima stesen lain akan dibangunkan pada masa depan.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025