Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Litar Antarabangsa Sepang bakal jadi hab sukan permotoran di rantau Asia Tenggara – Syed Saddiq

    Litar Antarabangsa Sepang bakal jadi hab sukan permotoran di rantau Asia Tenggara – Syed Saddiq

    Pengambilalihan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) daripada Kementerian Kewangan yang mengendalikannya sebelum ini, adalah bagi memperkukuhkan lagi pendekatan SIC dalam usaha menjadi hab sukan permotoran terkemuka terutamanya di rantau Asia Tenggara, laporan Bernama.

    “Sebab utamanya adalah untuk kita mendekati golongan belia khususnya ‘mat motor’ dalam usaha kita mencari penyelesaian bersama selain mengiktiraf sukan permotoran sebagai sukan yang begitu penting di hati rakyat Malaysia.

    “Misi saya nak pastikan SIC dijadikan hub sukan permotoran Asean termasuk ada perlumbaan seperti drag, F2, F3, F4, MotoGP supaya akhirnya ada pembangunan komprehensif dan di bawah KBS, ini akan dijadikan fokus kami,” ujar kata menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

    Menurut Syed Saddiq, beliau akan mengadakan pertemuan bersama penggiat arena berkenaan termasuk golongan belia yang meminati permotoran dalam tempoh sebulan akan datang.

    “Menerusi pertemuan ini, saya berharap kami dapat menemui titik pertemuan dan akhirnya suara mereka diambilkira dalam usaha merangka masa depan sukan permotoran di Malaysia,” katanya kepada pemberita dalam sesi pengumuman rasmi pasukan pertama MotoGP negara, Petronas Yamaha Sepang Racing yang bakal membuat penampilan pertamanya di Kejuaraan Motosikal Dunia, tahun depan.

     
     
  • Petronas Yamaha Sepang Racing Team umumkan pelumba MotoGP, Moto2 dan Moto3 untuk musim 2019

    Petronas Yamaha Sepang Racing Team umumkan pelumba MotoGP, Moto2 dan Moto3 untuk musim 2019

    Selepas membuat pengumuman akan membentuk pasukan dan bertanding dalam kategori premier MotoGP pada tahun 2019, pasukan Petronas Yamaha Racing Team akhirnya mendedahkan pula barisan pelumba yang akan digunakan.

    Untuk kelas MotoGP, pasukan baru ini akan menggunakan khidmat Franco Morbidelli yang sekarang adalah pelumba bagi pasukan EG 0,0 Marc VDS dalam kelas sama, dan seorang lagi adalah Fabio Quartararo, yang kini berlumba dalam kelas Moto2 untuk pasukan +Ego Speed Up Racing. Mereka masing-masing akah menunggang Yamaha YZR-M1 Spec-A dan Spec-B.

    Morbidelli bukanlah seorang yang betul-betul baru dalam dunia perlumbaan kerana beliau sudah pernah menjadi pemenang Superstock 600 Championship pada tahun 2013 dan juara Moto2 pada tahun lepas. Dalam kelas MotoGP tahun ini, beliau sentiasa menjadi perhatian kerana selalu menduduki tempat 15 teratas.

    Melihat kepada Quartararo pula, beliau pernah memenangi FIM CEV Moto3 Championship pada tahun 2013 dan 2014, dan mula bertanding dalam Kejuaraan Dunia pada usia 15 tahun. Bagi musim 2018, beliau sudah berjaya mendapat tempat di atas podium sebanyak dua kali, dan pastinya akan menjadi rookie yang menarik untuk ditonton dalam kelas MotoGP tahun hadapan.

    Selain untuk kelas MotoGP, pasukan Petronas Yamaha Racing Team turut mengumumkan pelumba yang akan digunakan untuk kelas lain dalam kejuaraan dunia itu. Bagi kelas Moto2, mereka telah memilih Khairul Idham Pawi, yang sememangnya sudah terkenal dalam dunia perlumbaan Malaysia, sekaligus memberi makna kontrak beliau dengan pasukan Idemitsu Honda Team Asia akan tamat tahun hadapan.

    Pergi kepada kelas Moto3 pula, pasukan ini masih mengekalkan Ayumu Sasaki sebagai pelumba, tetapi tempat Adam Norrodin bakal diganti oleh John McPhee yang berusia 24 tahun dan sudah mempunyai pengalaman dalam Moto3 selama enam tahun.

     
     
  • Triumph sedia uji prototaip akhir enjin Moto2 2019

    Triumph sedia uji prototaip akhir enjin Moto2 2019

    Hujung minggu ini akan menjadi waktu bersejarah bagi Triumph apabila pengeluar dari United Kingdom itu buat pertama kalinya bakal melakukan pusingan lengkap menggunakan motosikal yang dikuasakan oleh enjin Moto2 tahun depan di hadapan orang ramai, iaitu di Litar Silverstone.

    Pusingan ini akan dilakukan betul-betul sebelum perlumbaan Moto2 berlangsung, dan motosikal yang menggunakan enjin tiga silinder 765 cc prototaip terakhir itu akan ditunggang oleh bekas juara World Superbike Champion, James Toseland.

    Sebelum ini, tiga pasukan pengeluar Moto2 iaitu Kalex, KTM dan NTS telah menguji enjin Triumph tersebut di atas litar menggunakan kerangka prototaip dengan keadaan seperti waktu perlumbaan, dan ia dipadankan dengan ECU yang boleh diubah suai oleh Magneti Marelli.

    “Kami sangat senang hati dengan perkembangan sehingga sekarang dan kagum dengan tahap semangat serta kesungguhan yang ditunjukkan oleh pasukan casis, penunggang, pasukan ECU Magneti Marelli, Exernpro dan Dorna waktu membangunkan motosikal Moto2 generasi seterusnya ini,” kata ketua bahagian produk Triumph, Steve Sargent.

    Tambah beliau, kelas Moto2 juga akan menjadi lebih menarik kerana terdapat saingan yang lebih sengit untuk menghasilkan pakej yang terbaik. ECU yang digunakan pula memberi pilihan yang luas untuk melaras penyalaan, penyampaian bahan api, kuasa brek enjin, pemetaan pendikit, quickshifter dan pelbagai lagi.

    Kontrak Triumph dengan Dorna untuk membekalkan enjin bagi kelas Moto2 ditandatangani untuk tiga tahun, dan ia adalah unit tiga silinder 765 cc yang asasnya diambil daripada enjin yang digunakan pada model Triumph Street Triple 2017, tetapi telah ditala khas untuk perlumbaan.

     
     
  • SYM E Bonus 110 2018 dilancar – harga dari RM3,768

    SYM E Bonus 110 2018 dilancar – harga dari RM3,768

    Model SYM E Bonus mula dilancarkan di pasaran Malaysia pada tahun 2010, dan kini ia telah disegarkan kembali dengan penampilan baru untuk tahun 2018. Ia sekarang ditawarkan dalam tiga varian iaitu E Bonus 110, E Bonus 110 H dan Bonus 110 SR.

    Kesemuanya masih lagi menggunakan enjin satu silinder SOHC penyejukan udara 108 cc bersama transmisi empat kelajuan, dan mampu menghasilkan kuasa 7.1 hp pada 7,500 rpm. Enjin ini juga mempunyai empat injap dan melepasi tahap emisi Euro 3.

    Perbezaan di antara semua varian ini hanya adalah rim dan brek, di mana varian paling asas iaitu E Bonus 110 menggunakan brek dram depan dan belakang bersama rim lidi 17 inci, E Bonus 110 H menggunakan rim sport 17 inci dengan brek dram depan dan belakang, manakala Bonus 110 SR menggunakan rim sport dengan brek dram di belakang dan brek cakera di hadapan.

    Kemudiannya, Bonus 110 SR turut ditambah dengan soket USB untuk mengecas peranti. Selain daripada itu, kelengkapan semua varian SYM Bonus ini adalah sama termasuk suspensi teleskopik di hadapan dan dua penyerap di belakang.

    Berat keseluruhan Bonus 110 adalah 103 kg, dan ia menyediakan tangki bahan api empat liter. Tayar yang digunakan untuk semua Bonus 110 ini adalah bersaiz 70/90 di hadapan dan 80/90 di belakang.

    Harga yang ditetapkan untuk E Bonus 110 adalah RM3,768 diikuti RM3,898 untuk E Bonus 110 H dan RM4,278 untuk Bonus 110 SR. Semua harga ini tidak termasuk insurans dan ia datang dengan jaminan dua tahun atau 20,000 km. Untuk warna, terdapat tiga pilihan iaitu biru, hitam dan merah. SYM E Bonus 110 akan berada di kedai pengedar pada bulan September manakala E Bonus 110 H dan Bonus 110SR pada bulan November.

     
     
  • Nombor plat pendaftaran khas ‘Malaysia 1’ berjaya dibida dengan nilai tertinggi RM1,111,111 – Loke

    Nombor plat pendaftaran khas ‘Malaysia 1’ berjaya dibida dengan nilai tertinggi RM1,111,111 – Loke

    Siri plat pendaftaran khas ‘Malaysia’ telah pun mula dibuka bidaannya sejak 1 Ogos lalu, menyaksikan sambutan yang begitu menggalakkan. Walau pun pada awalnya, Kementerian Pengangkutan merancang untuk membuka bidaan pada 2 hingga 16 Julai, namun tindakan menangguhkannya sebulan kehadapan bukanlah keputusan yang silap.

    Dalam tempoh dua minggu iaitu sehingga 15 Ogos lalu, kementerian terbabit menerusi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah berjaya memperoleh hasil kutipan tender secara keseluruhan sebanyak RM13,167,971.37, iaitu kurang sebanyak RM8,832,029 daripada jangkaan awalnya iaitu RM22 juta. Walau bagaimana pun, menurut kementerian terbabit, jumlah tersebut hanya setakat 15 Ogos, kerana masih ada baki nombor yang belum dibeli.

    Bagi siri plat ini, jumlah bidaan tertinggi yang diperoleh adalah bernilai RM1,111,111 iaitu bagi ‘Malaysia 1’ yang berjaya dibida oleh Aldi International Sdn Bhd. Manakala sembilan lagi pembida tertinggi bagi nombor yang dibida ialah RM618k (‘Malaysia 8’ – Project Concept Sdn Bhd), RM501,500 (‘Malaysia 99’ – 99 Speed Mart Sdn Bhd), RM422k (‘Malaysia 2’ – Aldi International Sdn Bhd), RM223k (‘Malaysia 3’ – Goh Eng Hoe), RM200k (‘Malaysia 5’ – Lim Chin Fui), RM162k (Malaysia 4 – Aldi International Sdn Bhd), RM141,999 (‘Malaysia 9’ – Wasmetro Devolpement Sdn Bhd), RM123k (‘Malaysia 7’ – Ng Chee Seng), RM120k (‘Malaysia 18’ – Good Morning Global Sdn Bhd, dengan kesemuanya bernilai RM3,622,610.

    Manakala terdapat tiga nombor yang memperoleh bidaan paling ramai iaitu ‘Malaysia 8055’ dengan seramai 49 pembida (bidaan tertinggi RM81,888), ‘Malaysia 100’ seramai 31 pembida (bidaan tertinggi RM61k) dan ‘Malaysia 1957’ seramai 29 orang (bidaan tertinggi RM15,500).

    Kementerian Pengangkutan turut memaklumkan baki nombor tender akan dibuka kepada umum untuk dibeli oleh orang awam mengikut harga minima berdasarkan kategori, yang hanya tinggal empat nombor popular dengan harga RM500 dan 6,641 nombor semasa bernilai RM250 setiap satu. Turut dimaklumkan, terdapat empat nombor yang tidak dibuka untuk tender iaitu ‘Malaysia 4334’, ‘Malaysia 4499’, ‘Malaysia 4554’ dan ‘Malaysia 5533’.

    Pada 24 Mei lalu, Loke menyatakan tidak akan ada lagi bidaan untuk nombor plat khas yang akan dibenarkan kepada mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Katanya, “Mulai dari sekarang, semua pembelian nombor plat mesti dilakukan melalui JPJ, tanpa apa-apa pengecualian. Ini merupakan pendapatan kerajaan dan kita berhasrat untuk mengutip semuanya sendiri.”

     
     
  • Mercedes-AMG GT C C190 dilancarkan di Malaysia – 557 PS, 0-100 km/j 3.7 saat dan harga dari RM1.46 juta

    Mercedes-AMG GT C C190 dilancarkan di Malaysia – 557 PS, 0-100 km/j 3.7 saat dan harga dari RM1.46 juta

    Mercedes-Benz Malaysia hari ini memperkenalkan secara rasmi model Mercedes-AMG GT C Coupe yang termasuk di dalam barisan “Dream Car” keluarannya, selain daripada model CLS 53/CLS 450 dan E300 Cabriolet. Model ini mengisi ruang antara AMG GT S dan AMG GT R yang dijual untuk pasaran tempatan ketika ini. Harga jualannya ialah RM1.46 juta, tidak termasuk insurans.

    Ia menggunakan enjin M178 4.0 liter biturbo V8 yang menjana kuasa sebanyak 549 hp pada 5,750 hingga 6,750 rpm. Manakala tork pula adalah sebanyak 680 Nm dari 1,900 hingga 5,500 rpm. Enjin ini digandingkan dengan transmisi AMG Speedshift 7G-DCT automatik ke roda belakang. Kelajuan maksimum yang boleh dicapai ialah 317 km/j, sementara pecutan 0-100 km/j dalam masa hanya 3.7 saat.

    Model GT C ini meminjam beberapa ciri teknikal daripada dua model sebelumnya. Sebagai contoh ialah active rear axle steering (dari GT R) serta LSD kawalan elektronik (dari GT S). Lain-lain ciri berkaitan pemanduan yang turut disediakan ialah suspensi sport AMG Ride Control serta pakej AMG Dynamic Plus.

    Seperti juga model-model Mercedes-Benz yang lain, pemandu GT C turut diberi lima pilihan mod pemanduan – Comfort, Sport, Sport, Race dan Individual. Tidak ketinggalan ialah sistem ekzos AMG Performance.

    Tidak sukar untuk mengenali model ini hanya dari rupa bentuk yang ditawarkan. Gril depan Panamericana menjadi antara “cop mohor” kereta ini, dilengkapi juga dengan penggunaan lampu utama LED High Performance dengan ciri Adaptive Highbeam Assist.

    Rim pula menggunakan saiz 20-inci aloi dengan lima jejari dengan kaliper brek (enam piston) berwarna merah. Sementara itu, bagi pakej AMG Exterior Night, beberapa bahagian luarannya menerima kemasan krom hitam seperti pada diffuser belakang, jeriji gril, kit sisi badan serta hujung ekzos.

    Bagi ruang kabin, antara kelengkapan yang tersedia ialah stereng AMG Performance dalam material gentian mikro hitam Dinamica yang menjadi sebahagian daripada pakej AMG Dynamic Plus. Bahagian lain kebanyakkan menggunakan material kulit Nappa.

    Selebihnya, kemasan gentian karbon kesat melengkapkan lagi imej sporty pada kereta ini, dengan tali pinggang keselamatan warna merah dari koleksi Designo, pencahayaan suasana, sunroof panoramik serta tempat duduk AMG Performance dengan fungsi memori.

    Kelengkapan lain yang ada termasuk kawalan suhi Thermotronic, sistem infotainmen COMAND Online dengan ciri touchpad, sistem bunyi oleh Burmester dan sistem tanpa kunci. Bagi ciri keselamatan pula, GT C ini dilengkapi juga antaranya dengan ESP tiga peringkat serta sistem PRE-SAFE.

    Untuk maklumat lanjut berkaitan model ini, layari juga laman CarBase.my.

     
     
  • Mercedes-AMG CLS 53 dan CLS 450 tiba di Malaysia – dengan teknologi EQ Boost, 48 V, harga dari RM650k

    Mercedes-AMG CLS 53 dan CLS 450 tiba di Malaysia – dengan teknologi EQ Boost, 48 V, harga dari RM650k

    Mercedes-Benz kini memperkenalkan barisan model-model kereta dari koleksi “Dream Car” terbarunya untuk pasaran Malaysia. Pengenalan ini terdiri daripada tiga model iaitu Mercedes-Benz CLS, E300 Cabriolet dan juga Mercedes-AMG GT C.

    Bagi model CLS serba baru ini, dua varian dibawa masuk – CLS 450 dan juga Mercedes-AMG CLS 53. Ini merupakan generasi ketiga bagi model dari segmen coupe empat-pintu ini. Lebih menarik, ini kali pertama model jenama ini yang memperkenalkan enjin generasi baru, 2.0 liter empat silinder sebaris dengan teknologi elektrifikasi.

    Varian paling tinggi, Mercedes-AMG CLS 53 dilengkapi enjin 3.0 liter enam-silinder sebaris dengan ciri elektrifikasi pintar, lengkap dengan sistem elektrikal 48 V dengan kuasa yang dijana EQ Boost starter-alternator, yang ditempatkan antara enjin dan transmisi.

    Mercedes-AMG CLS 53 dan CLS 450 tiba di Malaysia – dengan teknologi EQ Boost, 48 V, harga dari RM650k

    Output yang dijana oleh gandingan ini ialah 435 hp pada 6,100 rpm dengan 520 Nm tork dari 1,800 hingga 5,800 rpm. Pecutan 0-100 km/j dilakukan dalam masa 4.5 saat dengan kelajuan maksimum 250 km/j (dengan Driver Package, ia mampu mencapai 270 km/j).

    Ia digandingkan dengan transmisi AMG Speedshift TCT 9G. Model ini juga datang dengan sistem pacuan semua roda AMG Performance 4MATIC+ sebagai ciri standard. Bagi pemandu, ciri AMG Dynamic Select memberikan pilihan mod pemanduan – Eco, Comfort, Sport, Sport+ dan Individual.

    CLS 53 juga menggunakan sistem suspensi udara AMG Ride Control dengan ciri ADS+ (Adaptive Damping System). Dari segi penggayaan, varian AMG tampil dengan rekaan gril bilah berkembar dalam warna perak, berbeza daripada gril radiator “diamond” pada versi lainnya.

    Rekaan apron baru di bahagian depan turut memberi kelainan, dengan rekaan unik pada bahagian kemasukan udara, door-sill khas AMG, spoiler belakang, apron belakang dengan diffuser rekaan baru serta rekaan hujung ekzos semuanya membezakan model ini daripada yang lain. Kemasan AMG Line di luar turut hadir dengan pakej gentian karbon; antaranya pada bahagian spoiler. Rim 20-inci AMG lima jejari digunakan.

    Ruang dalamannya juga menggunakan kemasan khusus AMG; tali pinggang keselamatan merah, kemasan gentian karbon AMG, stereng AMG Performance dibalut dengan kulit Nappa serta tempat duduk AMG Sport.

    CLS 53 ini juga dilengkapi dengan Widescreen Cockpit dengan paparan 12.3-inci, pakej Air Balance dan sunroof elektrik. Sama seperti kenderaan Mercedes-Benz lainnya, sistem tunjuk arah COMAND Online dengan Apple CarPlay dan Android Auto, sistem bunyi Burmester dan juga pengecas tanpa wayar. Mercedes-AMG 53 ini dijual pada harga RM806,638 (tidak termasuk insurans).

    Mercedes-AMG CLS 53 dan CLS 450 tiba di Malaysia – dengan teknologi EQ Boost, 48 V, harga dari RM650k

    Turut ditawarkan ketika pelancarannya ialah versi Edition 1 bagi CLS 53 4MATIC+ yang menampilkan rekaan dalaman Copper Art, yang terdiri daripada beberapa bahagian kemasan dari warna tembaga untuk memberikan suasana berbeza yang lebih eksklusif. Suasana mewah ini diperkayakan lagi dengan sistem pencahayaan kabin dari 64 warna, serta jam analog eksklusif dari IWC.

    CLS generasi baru ini juga mewarisi beberapa aspek dan teknologi keselamatan dari model S-Class – lengkap dengan Driving Asisstance Package. Ia teridiri daripada ciri seperti Active Brake Assist, Lane Keeping Assist, Attention Assist, Speed Limit Assit dan sistem PRE-SAFE.

    Dua lagi varian yang ditawarkan bagi model ini ialah CLS 450, yang menggunakan enjin berkapasiti 3.0 liter juga, tetapi dengan janaan kuasa yang lebih rendah – ia menghasilkan sebanyak 367 hp dari 5,500 hingga 6,100 rpm. Tork pula adalah sebanyak 500 Nm dari 1,600 hingga 4,000 rpm.

    Pecutan 0-100 km/j dicapai dalam masa 4.8 saat, dengan kelajuan maksimum 250 km/j. CLS 450 dijual pada harga bermula RM650,034 (tidak termasuk insurans).

    Varian paling asas bagi model ini, CLS 350 – yang turut akan berada di pasaran Malaysia sekitar November nanti – pula hadir dengan enjin 2.0 liter yang menghasilkan 299 hp dari 5,800 hingga 6,100 rpm, manakala tork pada kadar 400 Nm dari 3,000 hingga 4,000 rpm.

    Pecutan 0-100 km/j dicapai dalam masa 6.0 saat, dengan kelajuan maksimum 250 km/j. CLS 350 dijual pada harga anggaran RM530,000 (tidak termasuk insurans). Untuk maklumat lanjut berkaitan model Mercedes-AGM CLS 53 dan juga CLS 450, layari juga laman CarBase.my.

    Mercedes-AMG CLS 53

    Mercedes-Benz CLS 450

     
     
  • Mercedes-Benz E-Class Cabriolet A238 kini di Malaysia – hanya E300, 245 PS/370 Nm, harga bermula RM589k

    Mercedes-Benz E-Class Cabriolet A238 kini di Malaysia – hanya E300, 245 PS/370 Nm, harga bermula RM589k

    Mercedes-Benz E-Class Cabriolet A238 turut termasuk dalam salah satu dari empat model dalam koleksi Mercedes-Benz Dream Cars yang dilancarkan oleh Mercedes-Benz Malaysia (MBM) hari ini. Model mewah dengan bumbung boleh buka berkenaan hadir ke pasaran tempatan hanya dalam varian tunggal – E 300 – dan dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM588,888.

    Oleh itu, model tersebut dijana oleh enjin petrol empat-silinder 2.0 liter turbo menghasilkan 242 hp (245 PS) dan tork maksima 370 Nm. Ia digandingkan dengan kotak gear automatik sembilan-kelajuan 9G-Tronic, dan kuasa hanya dialirkan ke gandar belakang. Bentangan janakuasa ini membolehkan E 300 Cabriolet memecut dari kedudukan pegun ke 100 km/j dalam masa 6.5 saat sebelum mencapai kelajuan maksima yang dihadkan secara elektronik pada 250 km/j.

    Kereta ini turut diberikan sistem ekzos sport bagi memberikan deruman enjin yang lebih garang. Manakala untuk pengedalian, sistem Dynamic Select (dengan mod Comfort, Eco, Sport, Sport+ dan Individual) boleh merubah talaan suspensi adaptif dengan hanya menggunakan suis kawalan di dalam kabin.

    Mercedes-Benz E-Class Cabriolet A238 kini di Malaysia – hanya E300, 245 PS/370 Nm, harga bermula RM589k

    Bumbung Cabriolet ini dibina menggunakan fabrik berwarna hitam, dan pergerakan buka-tutup dikawal menggunakan bantuan kuasa. Bahagian luaran model ini turut dipadankan bersama pakej penggayaan Night dan AMG Line – terdiri dari gril ‘Diamond’ bersama pin-pin krom, bampar lebih sporty, dan juga kemasan tip ekzos krom.

    Ia turut menerima rim aloi 19-inci lima jejari berkembar, bersama lampu Multibeam LED yang memberikan fungsi lampu tinggi adaptif serta sistem lampu LED pintar Mercedes.

    Bahagian dalaman Cabriolet mewah ini pula dilengkapi dengan tempat duduk hadapan bantuan kuasa bersama fungsi memori, dengan balutan upholsteri kulit Nappa hitam dan putih, dan juga kemasan-kemasan hitam dan kayu.

    E 300 Cabriolet ini masih diberikan papan pemuka seiras dengan model E-Class lain, menampilkan paparan instrumen digital sepenuhnya Widescreen Cockpit, terdiri dari dua buah skrin bersaiz 12.3-inci. Kawalan terhadap skrin tengah dan juga masih boleh dibuat menerusi sistem infotainmen COMAND Online, menampilkan pad sentuhan pada konsol tengah.

    Sistem tersebut boleh dihubungkan kepada pelbagai peranti media termasuk Apple CarPlay dan Android Auto, manakala bunyi dihasilkan menerusi sistem bunyi dari Burmester. Kereta ini juga turut diberikan pelbagai kelengkapan lain seperti pengecas telefon pintar tanpa wayar, sistem penghawa dingin automatik Thermotronic, paparan ‘Head-up’, pakej Air Balance, Keyless-Go, akses Hands-Free, jam analog serta pakej Cabriolet Comfort (skaf udara).

    Pamandu akan dibantu dengan pakej bantuan keselamatan seperti Bantuan Parkir Aktif, Bantuan Kekal Lorong, Bantuan Titik Buta serta kamera pemantau sekeliling. Untuk maklumat lanjut berkaitan model ini, layari juga laman CarBase.my.

     
     
  • Tun Mahathir berjanji selesaikan isu teksi – Perjiwa

    Tun Mahathir berjanji selesaikan isu teksi – Perjiwa

    Agak lama juga isu-isu yang membelenggu pemandu teksi di negara ini tidak ada jalan penyelesaiannya. Malahan saban masa, ia dilihat makin parah, maka tindakan daripada pihak kerajaan amatlah ditagih.

    Menurut Pengerusi Pertubuhan Kesepakatan Pemandu Teksi, Kereta Sewa, Limo Premier Executive Jiwa Malaysia (Perjiwa), Zailani Isaisuludin, hasil pertemuan hampir dua jam dengan Tun Dr Mahathir Mohamad di Yayasan Kepimpinan Perdana semalam, Perdana Menteri memberi jaminan bahawa kerajaan akan mencari jalan penyelesaian untuk mengatasi isu-isu terbabit, laporan Bernama.

    “Perdana Menteri berjanji akan menyelesaikan masalah yang melibatkan pemandu teksi dalam waktu terdekat. Beliau memberitahu bahawa perkara itu akan dikaji secara menyeluruh dan teliti. Kita yakin dan percaya perdana menteri seorang yang berpengalaman akan menyelesaikan perkara ini dengan baik,” katanya.

    Tun Mahathir berjanji selesaikan isu teksi – Perjiwa

    Dalam masa yang sama, Zailani turut menyaran Kementerian Pengangkutan mencari kaedah terbaik untuk menyelesaikan isu-isu industri teksi di negara ini.

    “Kami berharap undang-undang berkaitan industri teksi akan dikaji dengan baik, termasuk untuk jangka masa pendek dan jangka masa panjang. Kami berharap Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook membuka ruang perbincangan untuk menyelesaikan isu ini dengan sebaik-baiknya,” katanya.

    Pada pertemuan itu, Zailani bersama wakil-wakil pemandu teksi dari seluruh negara turut menyerahkan satu memorandum kepada Dr Mahathir.

    Antara usul dan cadangan dalam memorandum itu termasuk mengurangkan 30% harga kenderaan dan tempoh bayaran balik yang diluluskan sebagai kenderaan perkhidmatan pengangkutan awam dan permohonan geran bulanan RM1 juta untuk Perjiwa menjalankan aktiviti dan kebajikan pemandu teksi yang sah dan layak.

     
     
  • BMW Z4 G29 didedah – perincian pertama varian M40i

    BMW Z4 G29 didedah – perincian pertama varian M40i

    Sudah enam tahun sejak BMW menandatangani perjanjian untuk membangunkan sebuah kereta sport dengan Toyota, dan selepas beberapa spyshot, kereta konsep, imej paten dan beberapa foto yang bocor, akhirnya tibalah masa untuk BMW Z4 G29 muncul. Jenama ini telah mengeluarkan beberapa gambar dari roadster dua-tempat duduk pada penampilan sulungnya di Pebble Beach, termasuk beberapa butirannya mengenai perincian pertamanya turut dibongkarkan.

    Rekaan Z4 ini senada dengan kereta konsep yang diperkenalkan pada tahun lalu, dengan gaya yang sporty, malahan lebih kompak berbanding model sebelumnya. Di bahagian hadapannya, terpampang gril ‘kidney’ trapezoidal yang besar – dihiasi dengan pin yang kecil berbanding kepingan biasa – disambung ke lampu utama menegak dengan lampu nyalaan siang “corona ring” haksagon.

    Sementara itu, bahagian bonet turut mempunyai ciri-ciri yang tersendiri di sepanjang permukaan, manakala sisinya pula melunjur ke atas dengan penampilan Air Breather, diserikan lagi dengan lampu belakang berbentuk-L tiga-dimensi dan juga spoiler belakang bersepadu. Berbeza dengan E89 lama, G29 baharu menampilkan bumbung-lembut berbanding bumbung logam boleh lipat, mengembalikan konsep Z roadster sebelum ini.

    BMW Z4 G29 didedah – perincian pertama varian M40i

    Di dalamnya, Z4 baharu mengikut rekaan yang ditetapkan seperti X5 G05, dengan penampilan lebih moden. Corong udara dan terowong tengah yang sedikit tinggi berwarna perak telah ditampilkan bersama panel kawalan yang direka semula (kini disambungkan dengan butang pemula) di sekitar tuil gear yang lebih pendek dan panel paparan tengah yang besar yang kini disambungkan dengan paparan instrumen digital-penuh. Juga didatangkan dengan reverse-direction rev counter.

    Hanya satu varian yang telah disahkan setakat ini iaitu model M Performance, M40i. Ia dipadankan dengan enjin 3.0 liter pengecas turbo enam-silinder dari M140i dan M240i, yang mampu menghamburkan sehingga 340 hp dan kuasa disalurkan ke transaxle yang dipasang di belakang ke roda belakang. Walau pun pilihan transmisinya masih belum dipastikan, namun kemungkinan besar M40i akan ditawarkan dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan, seperti Toyota Supra A90.

    Turut dipadankan ialah suspensi sport dengan peredam adaptif, sistem brek M Sport, dan M Sport electronic limited-slip differential. Posisi pemanduan sentral Z4 juga hadir dengan graviti pusat yang lebih rendah, pengedaran berat secara sempurna 50:50, trek yang lebih lebar dan jarak roda yang lebih pendek, sekaligus memberikan “pengendalian yang lebih mantap dan pemanduan yang utuh.”

    BMW Z4 G29 didedah – perincian pertama varian M40i

    M40i juga didatangkan dengan pakej M Sport yang menampilkan bampar hadapan yang lebih agresif dengan air scoop berbentuk-U, corong belakang palsu dan peresap belakang yang besar disambung dengan ekzos berkembar trapezoidal. Versi First Edition juga akan ditawarkan untuk M40i, diganding dengan warna Frozen Orange Metallic, kemasan luaran hitam berkilat, perumah cermin sisi hitam dan roda aloi dwi-tona 19-inci.

    First Edition juga didatangkan dengan kulit Vernasca hitam dengan jahitan hiasan, serta ciri standard termasuk lampu utama LED adaptif dengan fungsi lampu tinggi matrix, paparan utama, sistem infotainmen BMW Live Cockpit Professional baharu, tempat duduk larasan berkuasa dengan memori, pencahayaan ambien dan sistem bunyi Harman Kardon.

    Perincian lebih lengkap bagi BMW Z4 baharu ini akan didedahkan pada 19 September menjelang penampilan perdananya di Paris Motor Show, manakala pelancaran untuk pasaran pula akan dilakukan pada musim bunga akan datang.

     
     
  • Vauxhall/Opel GT X Experimental Concept didedah

    Vauxhall/Opel GT X Experimental Concept didedah

    Vauxhall, bersama syarikat induknya iaitu Opel telah menunjukkan sebuah model konsep baru yang menggambarkan hala tuju rekaan untuk jenama itu pada masa hadapan. Dipanggil sebagai GT X Experimental, model konsep ini menggunakan bentuk ala coupe pada sebuah SUV kompak.

    Dari aspek rekaan, model konsep ini permukaan yang licin dan mengalir, dengan lengkuk roda yang gemuk pada bahagian belakang. Bahagian tengah badan kenderaan ini dicati dengan warna kelabu terang manakala bahagian atas – yang termasuk bonet, bumbung dan bahagian bawah pintu serta bampar diwarnakan biru gelap.

    Kemudiannya, kemasan yang berwarna kuning terang membantu menjelaskan bentuk bumbungnya, dan ia turut digunakan pada bahagian rim, yang menggunakan unit 17 inci sahaja, dan tidak seperti kebiasaan sebuah kereta konsep yang menggunakan unit lebih besar.

    Menurut syarikat itu, muka hadapan dan belakang kenderaan ini adalah petunjuk jelas untuk model masa hadapan mereka. Gril kenderaan ini pula bertindak sebagai kerangka untuk pelbagai ciri berteknologi seperti lampu utama LED matrix serta pelbagai kamera dan pengesan lain. Turut terletak di situ adalah lampu siang LED yang juga sama seperti lampu belakang, berbentuk L.

    Untuk masuk ke dalam kenderaan ini, anda boleh menggunakan empat pintu yang disediakan, dan ia boleh dibuka 90 darjah dengan pintu belakang terbuka ke belakang. Di dalam, terdapat kabin yang terang hasil daripada penggunaan kaca pada bumbung.

    Vauxhall/Opel GT X Experimental Concept didedah

    Papan pemukanya mengambil pendekatan minimalis dan bertumpu kepada ‘Pure Panel’ – di mana terdapat skrin lebar yang disambung dengan pelbagai fungsi kenderaan. Ini memberikan rekaan yang ringkas dan tidak memerlukan butang atau skrin tambahan untuk kawalan.

    Empat tempat duduk yang ada direka supaya nampak terapung dan mewujudkan rasa lapang di dalam. Melihat kepada ukuran, kenderaan konsep ini mempunyai jarak roda 2,625 mm, panjang 4,063 mm, lebar 1,830 mm dan tinggi 1,528 mm. Kenderaan konsep ini menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya, namun spesifikasi lanjut masih belum disiarkan.

    GALERI: Opel GT X Experimental Concept


    GALERI: Vauxhall GT X Experimental Concept

     
     
  • Proton buka pusat 3S di Seksyen 13, Petaling Jaya

    Proton buka pusat 3S di Seksyen 13, Petaling Jaya

    Rombakan ke atas rangkaian jualan dan perkhidmatan Proton diteruskan dengan pelancaran pusat 3S baharu yang terletak di Seksyen 13, Petaling Jaya. Dikendalikan oleh Regal Motors, keseluruhan operasi 3S ini dipindahkan ke Seksyen 13 dari tempat asalnya iaitu di Jalan Klang Lama, bagi menyediakan kemudahan pelanggan yang lebih baik.

    Pusat 3S baharu di Petaling Jaya ini mempunyai keluasan kira-kira 1.2 ekar dan terletak di kawasan perindustrian dan merupakan kawasan yang strategik. Ia dilengkapi dengan 12 petak servis dan 6 servis pengangkat. Selain itu juga, sekiranya terdapat banyak permintaan, ia turut dapat menempatkan tambahan enam lagi servis pengangkat.

    “Kini pelanggan boleh datang ke sini, bersantai dan menikmati minuman mereka sambil menunggu kereta mereka untuk diservis. Kawasan servis disini juga boleh dilihat oleh pelanggan. Ini adalah untuk memastikan mereka dapat melihat apa yang sedang dilakukan dengan kereta mereka. Tambahan lagi, di sini juga disediakan kawasan khas bagi kanak-kanak untuk bermain. Kemudahan lain yang boleh didapati termasuklah WIFI percuma dan ruangan mengecas laptop, yang membolehkan pelanggan kekal berhubung,” ujar Philip How, Pengarah Urusan Regal Motors Holdings Sdn Bhd.

    Regal Motors juga meneruskan perniagaan sedia ada di Jalan PJS 7/23, Bandar Sunway, iaitu sebagai pusat ketuk dan cat, untuk menyediakan kemudahan penduduk di sekeliling kawasan tersebut. Keluasan bangunan itu adalah kira-kira 1.5 ekar.

    “Secara keseluruhan, kami menjangkakan kenaikan sedikit demi sedikit sebanyak 30-40% bagi jualan terutama dengan kemasukan SUV ke pasaran akan datang. Bagi pengeluaran servis pula, kami menjangkakan kenaikan sebanyak 60-70% berikutan dengan lokasi dan kesenangan pelanggan,” ujar Philip.

    Proton berkata sehingga 20 Ogos 2018, mereka telah mencapai sasaran sebanyak 88% bagi penambahbaikan cawangan 3S dan 4S. Syarikat yakin dan menantikan pencapaian sejumlah 109 pusat cawangan pada Oktober tahun ini. Sehingga kini, sebanyak 96 pusat cawangan telah diluluskan untuk ditambahbaik.

    “Syarikat ingin berterima kasih kepada pengedar-pengedar kami kerana mempercayai jenama Proton. Saya pasti mereka semua telah mengambil kira risiko untuk bersama kami. Kami yakin bahawa kami akan dapat memulihkan Proton, dan sebahagian daripada usaha untuk menambahbaik pusat-pusat cawangan ini adalah untuk membawa imej positif terhadap jenama yang bermula dengan penubuhan pusat sehenti di seluruh negara,” kata Abdul Rashid Musa, Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar Sdn Bhd.

     
     
  • GALERI: Nissan Navara VL Plus Black Series, RM123k

    GALERI: Nissan Navara VL Plus Black Series, RM123k

    Awal bulan ini, Edaran Tan Chong Motor (ETCM) telah memperkenalkan satu varian baru yang menjadi varian paling tinggi dalam barisan model trak pikap Nissan Navara di Malaysia iaitu VL Plus. Semasa berita pelancarannya disampaikan, ia hanya diperjelas dalam beberapa gambar, tapi sekarang, kami sudah ada galeri lengkapnya. Model yang ada lihat ini adalah Navara VL Plus, dengan tambahan pakej Black Series.

    Pakej Black Series disediakan untuk Navara 2.5L SE A/T, 2.5L V A/T, 2.5L VL A/T dan 2.5L VL Plus A/T. Melaluinya, pelanggan akan menerima kemasan hitam matte pada gril, tengah bampar hadapan, keliling lampu kabus, ‘kening’ atas lampu utama, pelindung cermin sisi, fender yang lebih lebar serta sport bar warna hitam. Bahagian dalam pula menggunakan kemasan kulit warna hitam (termasuk untuk varian SE dan V).

    Melihat pada varian VL Plus, ia adalah Navara yang paling canggih dengan kelebihan kelengkapan seperti Intelligent Around View Monitor (I-AVM), speedometer digital, beg udara bidai penuh (kesemuanya ada tujuh beg udara untuk varian ini) serta sistem Nissan Intelligent Mobility (NIM) yang menggunakan empat kamera untuk memberikan pandangan 360-darjah.

    Untuk bahagian mekanikal, tiada sebarang perubahan bagi varian VL Plus ini, di mana ia masih lagi menggunakan enjin 2.5 liter turbodiesel dengan kuasa sebanyak 190 PS pada 3,600 rpm dan 450 Nm tork pada 2,500 rpm. Enjin ini digandingkan dengan transmisi automatik tujuh-kelajuan dengan sistem pacuan semua roda.

    Varian VL Plus juga menggunakan rim 18 inci yang sama dengan varian VL, dan antara kelengkapan lain yang ada padanya adalah termasuk brek ABS, EBD, BA, Vehicle Dynamic Control dengan Traction Control System, Active Brake Limited Slip, Advanced Hill Descent Control, Hill Start Assist, kamera undur, dan cagak ISOFIX.

    Di Semenanjung Malaysia, Nissan Navara 2.5L VL Plus A/T dijual pada harga RM119,869 tidak termasuk insurans dan tanpa GST manakala versi Black Series (seperti dalam gambar) pula dijual pada harga RM123,643. Ia didatangkan dengan jaminan lima-tahun atau 150,000 km (yang mana dahulu).

     
     
  • Harley-Davidson FXDR 114 2019 lebih ringan, berkuasa

    Harley-Davidson FXDR 114 2019 lebih ringan, berkuasa

    Menunjukkan mereka telah bersedia untuk memasuki ke era moden, Harley-Davidson telah melancarkan model baru FXDR 114 2019, dan ini adalah sebuah model cruiser sport yang bersaing terus dengan model seperti Ducati Diavel. Harganya di Amerika Syarikat (AS) bermula USD 21,439 (RM87,964) untuk model asas.

    FXDR 114 2019 adalah sebuah model yang dibangunkan ke arah prestasi kerana ia menggunakan versi enjin V-Twin Milwaukee-Eight 114 (1,868 cc) yang dinaik taraf dengan penapis serta laluan udara yang lebih besar, mampu menghasilkan sehingga 160 Nm tork pada 3,500 rpm.

    Kemudiannya, berat keseluruhan motosikal juga dikurangkan dengan bantuan kelengkapan seperti lengan ayun aluminium (-4.6 kg berbanding lengan ayun besi), subframe aluminium yang dikimpal dan bahagian ekor yang diperbuat daripada bahan komposit.

    Secara keseluruhannya, FXDR 114 2019 ini mencatat berat siap dengan semua bendalir dan bahan api 303 kg, dan ia mempunyai ketinggian tempat duduk cuma 720 mm. Turut menyumbang kepada pengurangan berat adalah unit rim aluminium yang diperkuat 19 inci di hadapan manakala di belakang menggunakan rim 18 inci yang lebar.

    Untuk memastikan prestasi yang berpadanan pada aspek lain, model ini turut didatangkan dengan fork hadapan USD 43 mm, brek cakera berkembar 300 mm dengan angkup empat piston di hadapan, dan cakera terapung serta angkup dua piston di belakang. Suspensi belakang pula menggunakan satu penyerap monoshock.

    Pada bahagian elektrik, FXDR 114 2019 dinaik taraf dengan unit LED untuk semua lampunya serta panel paparan LCD 5.4 sentimeter pada bahagian instrumen. Tangki bahan api yang disediakan pula mempunyai kapasiti 16.7 liter, dan H-D memberitahu model ini boleh mengambil selekoh sehingga condong 32 darjah.

    Kelengkapan lain yang ada pada FXDR 114 adalah termasuk sistem tanpa kuci, sistem keselamatan H-D Smart Security dan soket pengecas USB. Pelanggan di AS mempunyai enam pilihan warna untuk FXDR ini iaitu Vivid Black, Black Denim, Industrial Gray Denim, Wicked Red Denim, Bonneville Salt Denim dan Rawhide Denim.

     
     
  • Hyundai Elantra facelift 2019 – gaya, kelengkapan baru

    Hyundai Elantra facelift 2019 – gaya, kelengkapan baru

    Melalui model Elantra facelift 2019, Hyundai menggambarkan rekaannya sebagai “bersemangat”, dan muka yang dulunya seperti Audi pada model AD generasi keenam telah diubah dan diganti dengan rekaan yang lebih tajam dan moden. Pada bahagian belakang, tempat nombor plet telah diubah ke bawah dan tempat asalnya diletakkan dengan lencana tulisan Elantra yang lebih berjarak, seperti Sonata facelift.

    “Pembaharuan luar dan dalam Elantra 2019 ini dibuat bagi mengekalkan karekter rekaannya yang penuh emosi. Hud, fender hadapan, gril dan lampu, serta bahagian belakang, but serta lampu belakangnya telah direka semula untuk mewujudkan imej yang menarik dan penuh keyakinan,” kata pengarah perancangan produk Hyundai Motor America, Scott Margason.

    Pada model baru ini juga terdapat rekaan rim 16 dan 17 inci baru, serta unit 15 inci untuk varian Eco di Amerika Syarikat (AS). Perumah lampu yang berbentuk segi tiga tajam kini menempatkan unit lampu utama LED bagi varian Limited dan Sport, manakala di penghujung bampar juga terdapat bukaan berbentuk segi tiga yang menjadi tempat untuk lampu kabus.

    Naik taraf sistem keselamatan adalah kelebihan utama model facelift ini. Bagi varian SEL ke atas, ia telah diperlengkap dengan pakej SmartSense Hyundai yang bermaksud, ia kini ada pada 75% daripada Elantra yang ditawarkan oleh Hyundai di AS. Dalam pakej ini terdapat Forward Collision-Avoidance Assist (jenis yang menggunakan kamera), Lane Keep Assist dan Driver Attention Alert. Ini adalah sebagai tambahan kepada Blind-Spot Collision Warning dengan Rear Cross-Traffic Alert dan Lane Change Assist.

    Bagi varian paling atas Elantra Limited dengan Ultimate Package, pakej SmartSense padanya dilengkapkan sekali dengan Safe Exit Assist dan Forward Collision-Avoidance Assist dengan Pedestrian Detection yang menggunakan gabungan input daripada kamera dan radar. Safe Exit Assist memberikan amaran apabila ada kenderaan yang mendekati dari belakang, dan memberitahu penumpang keadaan tidak selamat untuk membuka pintu dan keluar dari kenderaan.

    Elantra 2019 juga tampil dengan sistem infotainmen AVN 5.0 generasi terbaru, yang kini mempunyai processor yang dinaik taraf supaya lebih responsif, serta skrin 8.0 inci (lebih besar satu inci). Penggunaan preset juga lebih mudah kerana saluran AM, FM dan SiriusXM berada pada satu skrin, dan turut menampilkan HERE HD Traffic. Turut ditambah kepada peta navigasi adalah pandangan dari atas, dan pemandu kini boleh melihat aliran trafik dan data insiden tanpa membayar yuran langganan melalui HD Radio. Kamera undur juga ada pada model ini dengan garisan dinamik.

    Hyundai Elantra facelift 2019 – gaya, kelengkapan baru

    Elantra 2019 turut boleh didapati dengan kemudahan lain seperti Infinity Premium Audio dengan Clari-Fi dan lapan pembesar suara, Apple CarPlay, Android Auto dan pengecas telefon pintar tanpa wayar Qi. Rekaan pengawal pendingin hawa juga adalah baru, termasuk tombol kawalannya.

    Untuk pilihan enjin, tiada perubahan yang dilakukan, bermaksud ia masih ditawarkan dengan unit 2.0 liter Nu MPI Atkinson Cycle 147 hp dan Kappa 1.4 liter Turbo-GDI dengan 128 hp. Menurut Hyundai, Elantra Sport facelift akan diperkenalkan pada hujung tahun ini, dan secara mekanikalnya, ia akan mempunyai perbezaan yang sama seperti model sebelum facelift, iaitu enjin 1.6 liter Turbo GDI yang dipadankan dengan transmisi sama ada manual enam kelajuan atau automatik klac berkembar tujuh kelajuan. Di Malaysia, Elantra 7DCT Sport datang dengan 204 PS dan 265 Nm tork antara 1,500 hingga 4,500 rpm.

    Kelengkapan lain yang bakal diperbaharui pada Elantra Sport adalah lapik bumbung, pedal penukar gear di stereng, tempat duduk sport kulit, roda stereng yang berbentuk rata di bawah dan dibalut kulit, panel instrumen sport dan kemasan tepi pintu. Elantra paling laju ini datang dengan suspensi belakang multi-link independent dan bukannya torsion beam seperti model biasa.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025