Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Hobi membina diorama buat Hasrat Adnan jadi ketagih

    Hobi membina diorama buat Hasrat Adnan jadi ketagih

    Diorama bermaksud model miniatur yang disampaikan dalam bentuk peristiwa dan mempunyai penceritaannya yang tersendiri, bukan sekadar untuk mempamerkan sesebuah model berskala semata-mata. Walaupun ia hobi yang sangat sukar untuk diceburi, diorama masih lagi mempunyai pengikutnya yang tersendiri termasuk di Malaysia.

    Bagi pemodel-pemodel tempatan yang berkecimpung dengan hobi ini, nama Hasrat Adnan sememangnya tidak perlu diperkenalkan lagi. Dengan memuatnaik hasil karyanya pada akaun instagram bernama plamo_builder dan memenangi pelbagai pertandingan diorama, dia kini mempunyai pengikutnya tersendiri.

    Pada acara Malaysia Hobby Expo 2017 yang berlangsung hujung minggu lalu di MAEPS Serdang, Hasrat turut membawa hasil kerjanya – dua daripadanya bertanding untuk group built dengan tema ‘Junk and Rust’ di booth Big Boys Small Toys Club Malaysia (BBSTC), manakala yang lain dipamerkan untuk tatapan orang ramai.

    Walaupun agak sibuk pada hari kedua ekspo berkenaan berlangsung, Hasrat masih sempat meluangkan sedikit masanya bersama kami untuk berkongsi perjalanannya dalam dunia diorama ini.

    Menurut Hasrat, penglibatannya dalam dunia diorama bermula dengan kit Kombi Van Volkswagen T2 Mooneyes pada tahun 2014. Dia mendapatkan kit tersebut kerana dia memang mengubahsuai kereta sebenarnya sendiri dan menjadi seorang yang fanatik terhadap aksesori-aksesori dari Mooneyes. Setelah menyiapkan kit tersebut, Hasrat mula ketagih dan mendapatkan kit seterusnya dan berjaya disiapkan dalam masa hanya seminggu.

    Selepas mendapat rentak dengan kit-kit kereta, Hasrat kemudian mencuba pula kit motosikal. Menerusi kit motosikal juga, Hasrat mula belajar teknik-teknik custom dengan mengubahsuai kit Honda Cub standard menjadi sebuah motosikal yang berkonsepkan ‘Street Cub’. Namun, disiplin custom masih lagi belum boleh memuaskan Hasrat, di mana dia mula beralih ke diorama pula selepas itu.

    Hobi membina diorama buat Hasrat Adnan jadi ketagih

    Ketika aktif dalam BBSTC, Hasrat nampak ahli-ahli kelab berkenaan lebih suka untuk menghasilkan diorama berbentuk bengkel kereta. Jadi untuk projek pertamanya, beliau memilih untuk menghasilkan diorama dengan konsep bengkel motosikal. Untuk projek pertama ini, Hasrat membuat rujukan dengan bertanya kepada mereka yang aktif membuat diorama dan juga menelaah sendiri bahan-bahan rujukan di internet khususnya Youtube.

    Material yang digunakan untuk diorama ini juga masih lagi belum menggunakan perlatan diorama professional dan dia menggunakan bahan-bahan yang mudah didapati, contohnya menggunakan tanah betul untuk tanah pada diorama ini – akhirnya ia siap pada tengah malam tahun baru 2015.

    Hasrat tidak menoleh kebelakang lagi selepas itu dan dia mula menghasilkan karya-karya lain termasuk yang dibina untuk pertandingan. Setelah pertandingan yang disertainya di Pulau Pinang pada tahun 2015, dia mula belajar bagaimana untuk menghasilkan diorama mengikut spesifikasi pertandingan antarabangsa. Dia juga telah menyertai pertandingan di Jogjakarta, Indonesia pada tahun berkenaan dan berjaya menggondol tempat pertama serta kedua.

    Melihat dari hasil kerja Hasrat yang begitu teliti dan tentunya mengambil banyak masa, tentu ramai yang bertanya bagaimana beliau membahagikan masa bukan? Hasrat masih lagi seorang manusia biasa yang mempunyai kerjaya tetap serta menggalas tugas sebagai ayah kepada tiga orang anak. Menurutnya, keluarga masih lagi menjadi keutamaan, dan kerja-kerja berkaitan hobi ini kebanyakkan dilakukan pada hari cuti hujung minggu, waktu malam ketika semua urusan keluarga diselesaikan.

    Dia juga menyatakan kadang kala ‘mood’ untuk membina diorama ini datang tidak tentu masa setelah mendapat ilham secara spontan, dan memaksanya berjaga tengah malam untuk menterjemahkan idea-idea yang terlintas difikiran tersebut. Jika dioramanya pada peringkat awal mengambil masa yang lama untuk disiapkan, kini dengan kemahiran yang ada serta jaringan yang memudahkannya untuk mendapatkan material, dia dapat menghabiskan satu-satu projek dalam masa sebulan jika benar-benar fokus.

    Bercakap berkenaan perancangan masa hadapan, Hasrat menyatakan dia akan menyertai pertandingan Gunpla Builders World Cup (GBWC) 2017 peringkat kelayakan Malaysia (pertandingan diorama untuk model kit robot Mobilesuit Gundam) yang berlangsung mulai 28 November hingga 3 Disember di Kuala Lumpur, mempertaruhkan diorama ‘The Fallen Zaku’ yang turut dibawa ke MHX 2017.

    Hobi membina diorama buat Hasrat Adnan jadi ketagih

    Manakala tahun hadapan pula dia akan menyertai pertandingan Malcom di Pulau Pinang dengan membawa berberapa projek termasuk satu diorama ketenteraan yang akan dibinanya tidak lama lagi. Hasrat turut menyatakan dia merancang untuk bersara sedikit awal dari kerjayanya sekarang iaitu pada umur 50 tahun, dan akan menumpukan untuk hanya membuat diorama selepas itu.

    Sehingga kini, sebanyak 11 diorama berada dalam simpanannya sendiri, manakala banyak lagi yang telah dijual kepada mereka yang berminat. Hasrat juga mengambil tempahan diorama yang dibina mengikut kehendak pelanggan. Untuk mereka yang berminat untuk melihat proses-proses pembikinan karya-karya Hasrat atau berminat untuk membeli hasil air tangannya, anda boleh lawati laman instagram dan juga facebook Plamo Builder.

     
     
  • VIDEO: Kelebihan Toyota Harrier saluran rasmi UMWT

    UMW Toyota Motor (UMWT) sebelum ini telah pun mempertontonkan Toyota Harrier terbaru untuk pasaran Malaysia. SUV dari pasaran Jepun itu – yang sangat popular di sini dari saluran jualan grey market – selepas ini akan dijual secara rasmi buat pertama kalinya di sini. Ini mengikut jejak langkah MPV mewah Alphard dan Vellfire.

    UMWT juga sudah mula mengambil tempahan bagi model ini, dengan varian 2.0T Premium dijual pada harga RM238,000 manakala bagi varian 2.0T Luxury pada harga RM259,900 – harga atas jalan tanpa insurans. Apa kelebihan beli dari saluran rasmi ini berbanding yang dijual oleh grey importer?

    Itu yang ditekankan dalam video ini. Antaranya, pelanggan akan mendapatkan Harrier versi facelift terkini yang mula dijual di Jepun bermula Jun lalu, menggunakan enjin 2.0 liter turbo dari Lexus NX. Enjin 8AR-FTS itu menghasilkan 231 PS dari 5,200 hingga 5,600 rpm dan 350 Nm tork antara 1,650 hingga 4,000 rpm. Kuasa disalurkan ke roda hadapan melalui kotak gear enam-kelajuan automatik.

    VIDEO: Kelebihan Toyota Harrier saluran rasmi UMWT

    Enjin baru ini memberi kelebihan yang ketara berbanding prestasi enjin 2.0 liter Valvematic NA dengan transmisi CVT yang digunakan oleh kebanyakan model grey import di Malaysia. Janaan kuasanya juga ada perbezaan; 79 PS dan 144 Nm lebih tinggi, menurut UMWT. Begitu juga dengan sistem transmisi yang digunakan.

    Toyota mendakwa model terbaru ini mampu memberikan kadar penggunaan minyak 13 km/l menurut kitara JC08 Jepun. Ia juga ada dilengkapi dengan damper prestasi untuk mengurangkan olengan dan meningkatkan kestabilan dalam kelajuan tinggi.

    VIDEO: Kelebihan Toyota Harrier saluran rasmi UMWT

    Di bina menggunakan platform yang sama ada pada model RAV4 terbaru, Harrier baru ini tiada lagi kaitan dengan model Lexus RX, dan kini menjadi model yang sama sekali berbeza, tidak seperti sebelum ini. Dimensinya adalah 4,720 mm panjang, 1,835 mm lebar dan 1,690 mm tinggi serta jarak antara roda 2,660 mm.

    Perubahan lain terhadap model facelift terbaru ini ialah lampu utama LED triple-projector dengan lampu isyarat sequential serta rekaan gril lebih segar. Lampu DRL, lampu belakang juga menggunakan lampu jenis LED. Bahagian belakang juga diberikan rekaan baru, dengan paip ekzos kelihatan dengan kemasan krom. Rim pula menggunakan saiz 18-inci dwi-tona lima jejari.

     
     
  • AWAS bakal heret pesalah trafik ke mahkamah mulai awal tahun hadapan jika gagal membayar kompaun

    AWAS bakal heret pesalah trafik ke mahkamah mulai awal tahun hadapan jika gagal membayar kompaun

    Awas bagi pesalah trafik yang gagal menjelaskan kompaun bagi kesalahan di bawah Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS), mulai awal tahun depan individu yang berbuat demikian bakal dibawa ke mahkamah.

    Menurut Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi, tindakan tersebut juga diambil untuk semua saman yang dikeluarkan mulai 1 Mei tahun ini, laporan Bernama.

    “Kementerian bercadang untuk memulakan pendakwaan kes AWAS mulai 2018. Justeru, kini kementerian melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang membuat persiapan untuk mengarahkan pesalah lalu lintas AWAS untuk hadir ke mahkamah. Sekarang ini jumlah kompaun adalah sebanyak RM150 tetapi apabila di mahkamah, jumlah tersebut akan dinaikkan yang mana minimum jumlah denda adalah RM300,” katanya di persidangan Dewan Rakyat hari ini.

    Beliau menjawab soalan Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) mengenai tarikh penerima saman Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) akan dibawa ke mahkamah untuk tindakan lanjut.

    Ab Aziz berkata bagaimanapun, untuk saman AES yang dikeluarkan pada 2012 hingga April tahun ini, tindakan masih ditangguhkan dan setakat ini sebanyak 2.7 juta saman AES telah direkodkan.

     
     
  • Sakamoto MFG buka kilang tangki bahan api plastik pertama di Malaysia – bekalkan untuk Perodua Myvi

    Sakamoto MFG buka kilang tangki bahan api plastik pertama di Malaysia – bekalkan untuk Perodua Myvi

    Walaupun direka dengan saiz yang lebih besar, Perodua Myvi 2018 berjaya mengekalkan beratnya pada kadar yang rendah. Untuk model 1.5 Advance misalnya, perbezaan model baharu dan lama hanyalah sekadar 35kg. Kunci utama untuk mendapatkan berat yang ideal ini adalah material yang digunakan pada pembinaan komponen-komponen kereta tersebut.

    Untuk pengetahuan anda, salah satu komponen untuk mengurangkan berat pada Myvi 2018 adalah penggunaan tangki bahan api yang diperbuat dari bahan plastik. Hari ini, kilang yang membekalkan komponen tersebut kepada Perodua iaitu Sakamoto MFG Malaysia Sdn. Bhd telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Dato’ Haji Ahmad Bin Haji Maslan.

    Kilang yang terletak di Pusat Perindustrian Bandar Mahkota Banting, Selangor berkenaan merupakan kilang pertama di Malaysia yang menghasilkan tangki bahan api dari material plastik, di mana pengeluar yang menggunakan komponen sedemikian sebelum ini mengimportnya dari pembekal luar negara.

    Sakamoto MFG buka kilang tangki bahan api plastik pertama di Malaysia – bekalkan untuk Perodua Myvi

    Di bina diatas tanah berkeluasan 22,330 meter persegi, fasiliti kilang dengan saiz 5,760 meter persegi tersebut dibangunkan dengan pelaburan sejumlah RM90 juta. Sakamoto MFG Malaysia ini sendiri merupakan syarikat yang dimiliki Sakamoto Research and Development Holdings Ltd. Japan (SRD) dengan pegangan 70%, manakala selebihnya (30%) adalah milik Azman Hamzah Plastik (AHP) dari Malaysia sendiri.

    Operasi kilang ini sebenarnya telah dimulakan pada bulan Oktober tahun ini. Buat masa sekarang, kilang di Banting tersebut hanya beroperasi dengan hanya satu barisan produksi dalam satu syif, dikendalikan oleh hanya 14 orang pekerja kerana hampir 80% proses adalah melibatkan penggunaan robot automasi.

    Barisan produksi ini mampu untuk menghasilkan sebanyak 250,000 unit tangki setahun, manakala permintaan untuk produk berkenaan pula adalah sebanyak 600,000 unit setahun. Oleh itu, Sakamoto telah merancang untuk menjalankan satu lagi barisan produksi yang membolehkan kilang ini menghasilkan sebanyak 450,00 unit tangki bahan api plastik setahun.

    SRD di Jepun mempunyai pertalian perniagaan dengan Daihatsu dan Toyota, oleh itu untuk perancangan akan datang, Sakamoto merancang untuk membekalkan tangki bahan api plastik berkenaan kepada UMW Toyota pula – dijangka menjelang tahun 2019 kelak.

    Bagi tangki yang dihasilkan untuk Myvi ini, ia menggunakan 50% bahan kitar semula (100% boleh dikitar semula ketika dilupuskan nanti). Dinding tangki dengan ketebalan 3 hingga 6 mm ini terdiri dari enam lapisan plastik yang dibentuk dari tiga material berbeza.

    Berat keseluruhan tangki ini dengan pemasangan komponen lain seperti hos-hos dan juga set pam bahan api (termasuk pemasangan penderia penunjuk jumlah bahan api) adalah 6.2kg, menjadikan ia 1.5 kg atau sekitar 20% lebih ringan dari tangki bahan api logam konvensional.

    Walaupun bukan elemen utama mengapa Myvi generasi baharu dapat mengekalkan beratnya yang rendah, faktanya tangki bahan api plastik ini turut menyumbang untuk mencapai sasaran tersebut. Menerusi video pandu uji yang kami jalankan terhadap Perodua Myvi 2018, model 1.5 Advance baharu berkenaan mampu memecut lebih pantas serta mencatatkan penggunaan bahan api 15% lebih baik dari 1.5 Advance versi terdahulu.

     
     
  • VIDEO: Asas tetapan suspensi motosikal – laras sag

    Walaupun motosikal nampak seperti sebuah jentera yang ringkas, banyak juga perkara yang perlu dilaras untuk mendapatkan prestasi yang optimum. Antara yang utama adalah bahagian suspensi, kerana setiap penunggang mempunyai berat yang berbeza, dan ia boleh memberi kesan kepada pengendalian motosikal.

    Pelarasan asas yang boleh dilakukan pada bahagian suspensi adalah dengan melaras sag. Ia boleh dilakukan pada suspensi yang mempunyai pelarasan pre-load, dan seperti yang boleh dilihat, motosikal kapasiti rendah juga mempunyai ciri pelarasan ini pada bahagian suspensi belakang.

    Anda boleh melihat cara melakukan pelarasan ini melalui video yang disiarkan oleh Motorcyclist Magazine ini, di mana ia melibatkan pengiraan ringkas dengan motosikal itu terletak begitu sahaja, dan dinaiki oleh penunggang lengkap dengan kelengkapan lain seperti jaket, but dan helmet.

    Jumlah sag yang bersesuaian adalah berbeza mengikut jenis motosikal dan boleh didapati di dalam manual pengeluar. Sekiranya dengan melakukan pelarasan asas ini, jumlah sag yang berpadanan tidak boleh didapati, barulah pemilik boleh melakukan pelarasan lain seperti kadar lantunan spring atau mampatan.

     
     
  • BRT KL-Klang dibatalkan, bertindih dengan LRT3

    BRT KL-Klang dibatalkan, bertindih dengan LRT3

    Awal bulan ini, kerajaan telah mengumumkan untuk membatalkan Projek Bas Rapid Transit (BRT) laluan Kuala Lumpur (KL)-Klang.

    Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri, ia dibatalkan kerana bertindih dengan cadangan projek Transit Aliran Ringan (LRT) 3.

    Keputusan ini diambil selepas kerajaan telah menjalankan penelitian terperinci ke atas kedua-dua projek tersebut sebelum memutuskan untuk membatalkan BRT KL-Klang kerana mendapati projek LRT3 akan memberi impak yang lebih besar daripada cadangan projek BRT, laporan Bernama.

    “Cadangan projek LRT3 ini adalah meliputi laluan Bandar Utama ke Johan Setia di Klang melalui Glenmarie, Shah Alam dan Bandar Klang,” katanya menjawab pertanyaan Dr Ong Kian Ming (DAP-Serdang) pada sesi pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.

    BRT KL-Klang dibatalkan, bertindih dengan LRT3

    Mengulas lanjut, Nancy berkata cadangan projek LRT3 diberi keutamaan setelah mengambil kira banyak faktor, termasuk laluan LRT3 merangkumi kawasan yang pada ketika ini langsung tidak mempunyai capaian atau akses kepada mana-mana perkhidmatan rel bandar.

    “Jajaran LRT3 turut meliputi 50% daripada cadangan jajaran BRT, iaitu dari sektor Klang ke Subang, manakala baki 50% jajaran BRT yang dicadangkan telah diliputi perkhidmatan rel bandar seperti LRT laluan Kelana Jaya,” katanya.

    Selain itu, Nancy berkata pembinaan LRT3 mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan sama ada perumahan atau komersial di kawasan barat Lembah Klang.

    “Oleh yang demikian, kedua-dua projek ini tidak sesuai atau tidak kebolehlaksanaan untuk dibangunkan serentak pada masa ini,” katanya.

    LRT3 ini akan menghubungkan Johan Setia di Klang ke Bandar Utama, Petaling Jaya melalui Shah Alam yang melibatkan laluan sejauh 37 kilometer, dengan 26 stesen termasuk satu stesen bawah tanah. Sebanyak 10 stesen LRT akan dilengkapi dengan kemudahan ‘park n ride’ selain dibantu dengan bas pengantara untuk mewujudkan sistem yang bersepadu

     
     
  • Mazda rancang bangunkan SUV baharu untuk US

    Mazda rancang bangunkan SUV baharu untuk US

    Mazda CX-9

    Melihat akan perkembangan yang memberangsangkan di pasaran Amerika Utara, Mazda optimis untuk memacu langkah yang lebih agresif di sana.

    Menurut laporan Automotive News yang telah menemubual CEO Mazda Masamichi Kogai, syarikat berkenaan merancang untuk memperkenalkan SUV baharu bagi pasaran berkenaan. Walau bagaimana pun, beliau tidak memberikan perincian lebih lanjut, namun dijangkakan ia merupakan SUV dengan tiga-barisan tempat duduk (kapasiti tujuh tempat duduk) yang bakal diletakkan di antara CX-5 dan CX-9.

    Kogai berkata, perancangan untuk memperkenalkan SUV baharu di US didorong oleh lonjakan pasaran terhadap model kenderaan berkenaan yang kini mencapai 57% daripada keseluruhan jualan Mazda di negara tersebut. Walau bagaimana pun, Kogai positif mahu jualan dipertingkatkan sehingga 60%.

    Mazda rancang bangunkan SUV baharu untuk US

    Mazda CX-8

    “Kami memiliki harapan yang besar. Ia terdorong dengan hasrat untuk mengembangkan pasaran di sana. Itu sebab kami mahu memperkenalkan SUV yang betul-betul baharu. Buat masa ini, jabatan R&D sedang bekerjasama dengan unit operasi di Amerika Utara,” ujar Kogai.

    Ini merupakan strategi yang hampir sama dengan membangunkan CX-4 bagi pasaran China atau CX-8 untuk pasaran domestik Jepun.

    Dijangka akan diperkenalkan pada tahun 2021, model baharu ini mungkin boleh menggunakan semula nama CX-7 yang tidak dilanjutkan pengeluarannya sejak tahun 2012. Malah SUV baharu ini juga dijangka menjadi satu lagi langkah bagi Mazda untuk meningkatkan perkongsian pasaran yang buat masa ini sebanyak 1.7%.

    Malah ia juga dijangka bakal menggunakan platform baharuyang lebih ringan, di samping mengetengahkan bahasa rekaan baharu dan beberapa teknologi penjana kuasa yang lebih terkini, termasuk bagi EV, hibrid sederhana, dan enjin petrol Skyactiv-X beserta dengan enjin mampatan diesel.

     
     
  • Grafik helmet terbaru Rossi ambil inspirasi dari Mexico

    Dari dulu, Valentino Rossi memang sukakan grafik helmet yang meriah, dan bukan sahaja untuk perlumbaan, waktu ujian juga beliau selalunya dapat dilihat menggunakan grafik helmet yang berbeza. Terbaru, juara dunia sembilan kali tersebut telah mengeluarkan gambar untuk grafik helmet yang akan dipakai semasa sesi ujian di Litar Sepang tidak lama lagi.

    Grafik pada Helmet AGV Pista GP R ini nampak berbeza dengan grafik biasa kerana mendapat inspirasi daripada seni Huichol dari Mexico, yang juga asalnya menggunakan manik. Rossi tertarik dengan Huichol kerana ia juga menggunakan warna-warna yang terang serta simbol-simbol sama seperti yang digunakan Rossi sebelum ini seperti matahari, bulan dan kura-kura.

    “Kami telah cuba untuk menghasilkan kembali kesan daripada manik yang digunakan oleh orang Mexico untuk menunjukkan warna dan bentuk objek tertentu, tetapi dengan cara Valentino Rossi. Helmet ini nampak cantik, dan Aldo Drudi menjalankan tugas yang baik, serta juga Davide Degli Innocenti, yang melukis kembali manik tersebut satu persatu menggunakan berus,” kata Rossi.

     
     
  • ULASAN VIDEO: Perodua Myvi 2018 1.3L dan 1.5L – ujian minyak, 0-100 km/j, ASA, ‘drag race’ dan NVH

    Ya, kami tahu, sejak pelancarannya pada 16 November lalu sehingga kini, telah banyak maklumat dan kandungan berkaitan Perodua Myvi 2018 yang telah kami ketengahkan.

    Walaupun segelintir daripada kita mungkin sudah “penat” dengan info-info mengenai model ini, kami juga percaya masih ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang kereta ini, lebih-lebih lagi bagi mereka yang benar-benar sedang mempertimbangkan untuk membelinya.

    Dan, perhatian meluas yang diberikan terhadap Myvi 2018 ini juga sangat berasas – ia merupakan model paling popular di Malaysia sebelum ini dan saban tahun ia menjadi pilihan utama sebahagian besar rakyat Malaysia sebagai sebuah kereta mampu milik.

    Maka, kami sediakan video ini untuk panduan dan rujukan anda. Ia sebuah video paling panjang yang pernah kami hasilkan setakat ini dan merangkumi secara menyeluruh perkara-perkara penting yang kami rasa anda perlu tahu tentang model ini. Tak berlebihan juga jika video ini boleh dianggap sebagai panduan lengkap anda bagi Perodua Myvi 2018.

    ULASAN VIDEO: Perodua Myvi 2018 1.3L dan 1.5L – ujian minyak, 0-100 km/j, ASA, ‘drag race’ dan NVH

    Ini kerana, kami tidak hanya mengulas hal-hal dipermukaan sahaja. Dalam video ini, kami pergi lebih terperinci untuk melihat penawaran antara model 1.3L dan 1.5L. Tak lua juga, kami bawakan sebuah Myvi 1.5 Advance versi sebelum ini untuk dijadikan penanda arasnya.

    Kami juga jalankan beberapa ujian penggunaan dunia nyata terhadap kereta ini. Misalnya, demonstrasi ciri ASA (ia juga menerima penarafan ASEAN NCAP 5-bintang), drag race untuk melihat kepantasan, ujian pecutan 0-100 km/j, tahak kebisingan dalam kabin (NVH) serta kami uji sendiri kadar penggunaan minyaknya dalam perjalanan kira-kira 400 km pergi-balik ke Ipoh untuk mendapatkan bacaan sebenar.

    Jadi, luangkan sedikit masa untuk menontonnya, dan sampaikan kepada mereka yang mungkin berminat untuk mengetahui secara terperinci model Myvi 2018 ini (terutama bagi yang malas baca tulisan yang panjang berjela). Dan, jangan lupa untuk berkongsi pandangan anda pula selepas menontonnya.

    GALERI: Perodua Myvi 2018 1.5 Advance

    Perodua Myvi 2018 1.3 Premium X

     
     
  • Warga Singapura boleh menyemak dan membayar saman trafik di 900 kiosk PDRM atau dalam talian

    Warga Singapura boleh menyemak dan membayar saman trafik di 900 kiosk PDRM atau dalam talian

    Semalam Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman SAC Sharul Othman Mansor mendedahkan setakat ini sebanyak 37,506 saman trafik tertunggak membabitkan warga Singapura iaitu mencatatkan jumlah saman kenderaan asing tertinggi selepas Thailand, Brunei dan Indonesia sejak 2014.

    Beliau berkata menerusi Op Saman Tertunggak Warganegara Asing (OSTWA) yang dijalankan sejak 2014, ia merekodkan sebanyak 61,057 saman tertunggak membabitkan warga asing atas pelbagai kesalahan daripada jumlah keseluruhan 81,708 saman yang dikeluarkan. OSTWA menggunakan dua peranti khas yang dikenali sebagai Mobile Compound Online Payment System (MCOPS) dan kamera Intelligent Compound Online Payment System (ICOPS) untuk menyemak dan mengesan saman tertunggak warga asing secara automatik.

    “Daripada jumlah itu hampir 60% adalah saman melibatkan pengguna jalan raya dari Singapura dan kesalahan terbanyak melibatkan kes memandu lebih had laju,” katanya.

    Warga Singapura boleh menyemak dan membayar saman trafik di 900 kiosk PDRM atau dalam talian

    Kini, warganegara Singapura tiada alasan untuk tidak membayar saman trafik tersebut (mungkin ada yang memberi alasan tidak tahu dan sebagainya), kerana mereka boleh menyemak dan membayar saman trafik tersebut di 900 kiosk yang telah disediakan di negara tersebut selain boleh melakukannya secara dalam talian.

    “Pembayaran saman trafik boleh dibuat di 900 kiosk yang telah Polis Diraja Malaysia (PDRM) sediakan di Singapura selain mereka boleh membuat bayaran secara dalam talian. Tidak ada alasan tiada kemudahan atau tempat untuk membuat pembayaran saman di Singapura, termasuk tidak ada keperluan untuk PDRM membuka kaunter khas di Kedutaan Malaysia di Singapura atau negara sempadan lain setakat ini,” katanya ketika dihubungi Bernama.

    Selain itu pengguna kenderaan dari negara jiran itu juga boleh membayar saman trafik di beberapa lokasi di Johor seperti di Johor Premium Outlets selain di pusat rehat dan rawat (R&R} Gelang Patah.

    Dalam masa yang sama, beliau juga memaklumkan pihak PDRM tiada ada kuasa untuk menyekat kemasukan kenderaan dan warga asing yang masih gagal membayar saman trafik.

     
     
  • Nombor pendaftaran VIP raih penjualan RM10.3 juta

    Nombor pendaftaran VIP raih penjualan RM10.3 juta

    Dikhabarkan penjualan nombor pendaftaran kenderaan khas VIP sempena Tahun Melawat Pahang 2017 (TMP 2017) mengutip hasil RM10.3 juta dengan 1,903 nombor yang terjual dalam tempoh setahun.

    Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri Pahang Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata jumlah itu adalah nilaian kasar sebelum ditolak kos pengendalian dan bayaran cukai barangan dan perkhidmatan (GST), laporan Bernama.

    “Projek ini adalah inisiatif bersama pihak swasta (Digital Tourism Sdn Bhd) bagi membantu kerajaan negeri menjayakan Kempen Tahun Melawat Pahang dan sebahagian besar program promosi dan publisiti di luar negara yang dijalankan, telah dibiayai melalui projek ini,” katanya pada sesi penggulungan persidangan Dewan Undangan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang semalam.

     
     
  • MINI JCW Buggy akan diguna dalam Rali Dakar 2018

    MINI JCW Buggy akan diguna dalam Rali Dakar 2018

    Perlumbaan Rali Dakar edisi ke-40 pada tahun hadapan akan menyaksikan pasukan MINI menggunakan dua jentera untuk bersaing. Selain MINI John Cooper Works Rally AWD yang dipertingkat daripada model tahun ini, mereka juga akan menggunakan sebuah lagi jentera baru yang dibangunkan bersama X-Raid iaitu MINI John Cooper Works Buggy pacuan roda belakang.

    Sebab kenapa kenderaan kedua ini dibangunkan adalah kerana beberapa peraturan dalam Rali Dakar memberikan kelebihan kepada kenderaan pacuan dua roda. Pengurus pasukan X-Raid memberikan ‘lampu hijau’ kepada pembangunan model buggy ini pada bulan Februari 2017.

    MINI John Cooper Works Buggy dikuasakan oleh enjin diesel enam silinder sebaris 3.0 liter yang mampu menghasilkan sebanyak 340 hp kuasa maksimum dan 800 Nm tork. Sistem turbo BMW TwinPower, transmisi serta sistem pacuan kenderaan ini telah dinaik taraf untuk memberikan lebih prestasi.

    MINI JCW Buggy akan diguna dalam Rali Dakar 2018

    Bahagian badan yang direka secara spesifik ini dibuat daripada gentian karbon plastik diperkuat (CFRP), serta Kevlar, dan ia direka dengan kerjasama MINI Design dan dapat memberikan kelebihan pada ciri aerodinamik. Kereta ini juga telah diuji dalam masa beberapa bulan yang lalu, termasuk di Hungary dan Morocco.

    Tiga MINI John Cooper Works Buggy yang disiapkan untuk Rali Dakar ini akan dipandu oleh Mikko Hirvonen (FIN), Bryce Menzies (USA) dan Yazeed Al-Rajhi (KSA). Rali Dakar 2018 akan bermula 6 Januari 2018 di Lima, Peru dan berakhir pada 20 Januari di Cordoba, Argentina.

     
     
  • MITI bercadang untuk membangunkan kawasan perindustrian automotif baharu di Tanjung Malim

    MITI bercadang untuk membangunkan kawasan perindustrian automotif baharu di Tanjung Malim

    Kerjasama strategik yang telah dimuktamadkan antara Proton dan pengeluar automotif terkenal China, Geely, pada Jun lalu, telah mendorong Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mengemukakan cadangan untuk membangunkan perindustrian automotif baharu di Tanjung Malim, Perak.

    Menurut Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II, Datuk Seri Ong Ka Chuan, berkata beliau akan mengadakan perbincangan bersama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, bagi membolehkan kawasan ladang seluas 406 hektar yang terletak berhampiran dengan Proton City di daerah berkenaan, ditukar kepada kawasan perindustrian, laporan Berita Harian.

    “Cadangan tersebut adalah susulan daripada perbincangan MITI bersama Proton untuk memindahkan keseluruhan kilang pembuatannya ke Tanjung Malim dalam tempoh lima tahun. Justeru, saya akan berbincang dengan Menteri Besar dalam masa terdekat untuk menyokong cadangan pembangunan itu sebagai menyokong pembangunan industri elektronik automatif,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Dialog TN50 MITI di peringkat negeri Perak, hari ini.

    MITI bercadang untuk membangunkan kawasan perindustrian automotif baharu di Tanjung Malim

    Katanya lagi, beliau telah mengadakan pertemuan bersama pengurusan Proton untuk membuat keputusan. Walau bagaimana pun, perkara tersebut akan dimulakan dengan mendapatkan kelulusan daripada kerajaan negeri serta mendapatkan insentif untuk industri.

    “Cadangan ini dibuat berdasarkan permintaan Geely yang mahu menghasilkan teknologi kereta pemanduan sebelah kiri dan kanan di Tanjung Malim. Malah dijangka apabila kilang Proton siap sepenuhnya, Geely boleh menghasilkan 400,000 kereta, sekali gus membentuk rantaian bekalan jangka panjang kepada industri automatif,” ujar Ka Chuan lagi.

    Menurut Ka Chuan, dengan manfaat pemindahan kilang pembuatan Proton daripada Shah Alam ke Tanjung Malim serta pembangunan bagi kawasan perindustrian elektronik, industri itu mampu menjana peluang pekerjaan kepada rakyat di negeri ini.

    Sambungnya lagi, “Pihak pengurusan Geely memaklumkan jika mereka boleh menghasilkan 400,000 kereta, mereka memerlukan sebanyak 50,000 tenaga kerja. Ditambah dengan kilang rantaian bekalan bagi menyokong industri pembuatan kereta, kita mampu menjana lebih banyak peluang pekerjaan.”

     
     
  • Budaya automotif dalam skala 1/24 di MHX 2017

    Budaya automotif dalam skala 1/24 di MHX 2017

    Hujung minggu lalu ada dua acara besar yang membawa lelaki ke MAEPS Serdang iaitu Festival Perlumbaan Toyota Gazoo Racing (TGR) dan juga Malaysia Hobby Expo (MHX) 2017. Seperti juga tahun lalu, MHX menyajikan pelbagai hobi yang berkaitan dengan dunia automotif dan kaki kereta.

    Selain dari kereta kawalan jauh (RC), pelbagai model diecast sama ada dari yang berskala besar seperti Auto Art sehingga ke skala kecil seperti Hotwheels dan Tarmac. Namun antara semua ini, pastinya ramai yang terpesona dengan dunia kit model plastik (plamo) dalam skala 1/24 di MHX 2017.

    Tidak seperti model diecast yang dibeli dalam keadaan sempurna, model kit plastik dibeli dalam keadaan belum siap. Penggiat hobi ini bukan sekadar perlu memasang, malah setiap komponen pada kereta ini perlu diwarnakan sendiri terlebih dahulu. Dengan kelebihan bahan plastik ini juga membolehkan pemodel-pemodel melakukan pelbagai kerja custom pada hasil karya mereka.

    Seperti yang anda boleh lihat di booth milik kelab Big Boys Small Toys Club (BBSTC) di MHX 2017, model-model yang ditampilkan muncul dalam pelbagai budaya automotif tulen seperti JDM, JDM Old School, K-Car, American Muscle, Stance dan juga pelbagai jentera perlumbaan sebenar dari pelbagai disiplin termasuk rali, touring car, Formula 1 dan banyak lagi.

    Kebanyakkan pemodel-pemodel skala 1/24 ini juga sebenarnya terdiri dari mereka yang turut terlibat dalam budaya automotif sebenar dan turut mengubahsuai kereta masing-masing. Lumrah bagi peminat yang menjadikan automotif sebagai budaya, sudah tentu pelbagai idea berada dalam fikiran yang ingin dilontarkan pada kereta.

    Namun, kekangan kewangan tentunya menjadi penghalang untuk merealisasikan idea-idea tersebut. Jadi, model plastik skala 1/24 yang menjadi platform menterjemahkan idea-idea berkenaan. Apa yang lebih menarik, kereta-kereta ini turut dipersembahkan dalam bentuk diorama bagi menambahkan lagi aspek realiti.

    Pelbagai aksesori yang ditawarkan dari pelbagai pengeluar utama seperti Tamiya, Aoshima dan Fujimi. Aksesori tersebut terdiri dari pelbagai replika rim, tempat duduk bucket dan perlumbaan, ekzos, turbo dan juga pelbagai enjin jenis enjin. Namun, pengubahsuaian tidak terhad kepada hanya mengenakan komponen-komponen yang sudah siap dijual ini, malah ada pemodel yang mampu menghasilkan sendiri komponen-komponen tersebut menggunakan pelbagai bahan.

    Menurut wakil BBSTC Edy Aziz, lebih 200 buah kit lengkap kereta dan motosikal dipamerkan pada MHX tahun ini. Manakala sebahagian daripadanya menyertai pertandingan yang digelar sebagai group built dengan tema ‘Fasten your seat belt’ (untuk ubahsuai kearah kereta perlumbaan litar) dan juga ‘Junk and Rust’ (yang perlu menampilkan kesan karat pada badan kereta). Kesemua binaan ini diadili oleh pemodel-pemodel profesional dari Scale Modellers Malaysia (SMM) iaitu sifu Imran Zulkifili dan C.K Loo.

    Ahli-ahli yang mempamerkan hasil kerja mereka di MHX kali ini bukan hanya dari sekitar Lembah Klang, malah turut hadir dari Selatan dan Pantai Timur tanah air. Berminat dengan hobi ini? Lawati laman rasmi facebook BBSTC.

     
     
  • Kaji selidik J.D. Power 2017 dapati pemilik kenderaan bawah 30 tahun lebih banyak melaporkan masalah

    Menurut laporan terbaru Kaji Selidik Kualiti Awal (IQS) J.D. Power 2017 di Malaysia, pemilik kenderaan dalam usia muda bawah 30 tahun melaporkan lebih banyak masalah kenderaan mereka berbanding pemilik yang lebih berusia – walaupun sebenarnya mengalami kurang masalah dengan kenderaan baru mereka.

    Statistik dari syarikat berkenaan menunjukkan walaupun hanya 37% pemilik lebih muda memberi petunjuk bahawa mereka mengalami masalah dengan kenderaan baru mereka (jika dibandingkan dengan purata kajian sebanyak 43%), jumlah sebenar masalah yang dilaporkan oleh mereka adalah lebih tinggi – mereka yang berusia bawah 30an melaporkan purata 83 masalah bagi setiap 100 kenderaan (PP100) berbanding 77 PP100 bagi pemilik lebih berusia.

    Kaji selidik J.D. Power 2017 dapati pemilik kenderaan bawah 30 tahun lebih banyak melaporkan masalah

    Kajian berkenaan juga mendapati 24% pemilik lebih muda yang mengalami masalah dengan kenderaan baru mereka menyatakan bahawa mereka tidak akan kembali membeli dari jenama yang sama di masa hadapan.

    Selebihnya, tujuh daripada lapan kategori masalah yang diukur dalam kajian ini menunjukkan peningkatan bagi masalah yang dilaporkan. Angka masalah keseluruhan meningkat kepada 79 PP100 dari 69 PP100 pada 2016. Rungutan paling tinggi diterima adalah bagi kategori pengalaman pemanduan, bahagian luaran kenderaan serta enjin/transmisi.

    Kaji selidik J.D. Power 2017 dapati pemilik kenderaan bawah 30 tahun lebih banyak melaporkan masalah

    Masalah-masalah berkaitan kualiti pengilangan naik sebanyak tujuh PP100, manakala masalah berkaitan rekaan naik sebanyak dua PP100. Kajian sama turut mendedahkan jenama Malaysia mempunyai lebih banyak masalah – pembeli kenderaan jenama tempatan melaporkan 95 PP100 masalah berbanding 59 PP100 bagi pemilik kenderaan bukan nasional.

    Bagi segmen SUV pula, yang diwakili hanya oleh pengeluar kenderaan bukan nasional merekodkan masalah yang paling rendah dilaporkan, pada kadar 48 PP100. Kajian itu juga mendapati, masalah yang paling banyak menerima aduan ialah berkaitan bunyi angin yang kuat, iaitu sebanyak 4.3 PP100.

    Kaji selidik J.D. Power 2017 dapati pemilik kenderaan bawah 30 tahun lebih banyak melaporkan masalah

    Toyota Vios menduduki tempat teratas bagi segmen kenderaan peringkat kemasukan saiz sederhana (62 PP100), sementara Perodua Myvi mendahului segmen kompak (84 PP100). Bagi segmen SUV, Honda BR-V menerima aduan masalah paling rendah (27 PP100), sementara Isuzu D-Max mendahui segment trak pikap dengan 52 PP100.

    Kajian IQS 2017 ini adalah berdasarkan maklum balas daripada 2,843 pemilik kenderaan baru yang membeli kenderaan mereka dari Ogos 2016 hingga Jun 2017. Kajian ini dilakukan dalam tempoh antara Februari hingga Ogos 2017, mengukur masalah-malasah yang dialami oleh pemilik kenderaan bagi tempoh dua hingga enam bulan pertama pemilikan. Ini termasuk mengambil contoh dari 47 kereta penumpang, trak pikap dan lain-lain dari 12 jenama.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (+0.02)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.13
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (+0.02)
EURO 5 B7 RM3.10 (+0.02)
Last Updated Sep 11, 2025