Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • BMW 1 Series Sedan didedahkan – eksklusif untuk pasaran China sahaja, mungkin pacuan hadapan

    bmw-1-series-sedan-e1468809980135_BM

    BMW telah memperkenalkan BMW 1 Series Sedan, yang sebelum ini telah diprebiu dan dikenali sebagai Concept Compact Sedan semasa Guangzhou Auto Show 2015. Menurut BMW, sedan empat-pintu berkenaan hanya dipasarkan secara eksklusif untuk pasaran China sahaja.

    Sedan 1 Series ini dibina dengan kerjasama bersama rakan kongsi BMW di China iaitu Brilliance Auto, dan akan diproduksi di China bersama X1 dan 2 Series Active Tourer yang turut diproduksi secara tempatan.

    Model 2 Series dibina berasaskan platform pacuan hadapan UKL yang turut menjadi asas kepada model-model MINI, dan ini merupakan petunjuk 1 Series Sedan mungkin merupakan model sedan pertama pacuan hadapan dari BMW, walaupun syarikat berkenaan masih belum mengesahkan perkara ini. Model BMW 1 Series sedia ada (F20) ditawarkan di sini sebagai sebuah model hatchback pacuan roda belakang.


    Model Concept Compact Sedan

    Tambahan lagi, BMW turut tidak mendedahkan lagi apa-apa informasi berkenaan unit janakuasa serta dimensi sedan baharu ini. Syarikat berkenaan hanya menyatakan “enjin terbaharu yang berkuasa dan teknologi terunggul dilengkapi dengan sistem berteknologi tinggi” akan ditawarkan, dibina di kilang enjin baharu mereka di Shenyang.

    Model 1 Series Sedan ini dijangka merupakan model pacuan hadapan, dan berkemungkinan pilihan enjinnya terdiri dari enjin 1.5 liter turbo tiga-silinder (seperti pada model MINI Cooper F56) dan enjin 2.0 liter B48 turbo empat silinder (dari Mini Cooper S), dipadankan dengan pilihan kotak gear sama ada enam kelajuan manual atau enam- dan lapan-kelajuan automatik.

    BMW menyatakan model baharu ini mendapat faedah dari penyertaan jurutera dari China untuk memastikan ia sesuai dengan keadaan jalan serta keadaan cuaca pada pelbagai jenis bentuk muka bumi di negara berkenaan. Model 1 Series ini juga menerima banyak perincian talaan dan penambahbaikkan berdasarkan tabiat pelanggan dari China serta persekitaran penggunaannya.

    Dari segi rupa bentuk, 1 Series Sedan masih sama dengan rekaan yang ditayangkan tahun lalu. Gril ‘kidney’ signatur BMW masih kekal pada tempatnya tetapi elemen krom yang ditampilkan agak kurang berbanding model konsepnya. Lampu LED hadapan yang anggun dan liang kemasukan udara hadapan pada bahagian bawah juga masih dikekalkan.

    Sementara itu, kemasan pada perumah lampu kabus kini diberikan warna hitam, dan lampu kabus sebenar dipadankan di bahagian tersebut. Perbezaan lain yag disaksikan pada model produksi ini termasuk saiz roda (tetapi masih mengekalkan rupa bentuk jejari berkembar), pemegang pintu konvensional, dan rekaan semula pada cermin sisi yang kini diberikan warna kontras berbanding warna keseluruhan badan.

    Walaupun 1 Series Sedan diumumkan sebagai model eksklusif untuk pasaran China, BMW menyatakan “segmen kereta kompak premium merupakan segmen paling cepat berkembang di seluruh dunia dan China,” jadi mereka mungkin berminat untuk memasarkannya ke seluruh dunia pada masa akan datang.


    GALERI: BMW Compact Sedan F52 versi produksi sedang diuji

     
     
  • Kadar bayaran petak parkir di Kuala Lumpur naik 150%

    Public-Parking-Lots

    Mulai hari ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menaikkan kadar caj parkir sebanyak 150%. DBKL mempunyai sejumlah 46,100 meter petak parkir di sekitar ibu kota dan 9,916 daripadanya terletak di tempat tumpuan perniagaan.

    Menurut laporan The Star, kawasan yang terbabit ialah Bukit Bintang, Bukit Damansara, Sri Hartamas, Desa Hartamas, Solaris Mont Kiara, Taman Tun Dr Ismail dan Bangsar di mana 75% hingga 100% kawasan parkir terbabit sering kali penuh pada waktu puncak.

    Di bawah struktur harga baharu ini, caj parkir bagi tempat tumpuan perniagaan itu dinaikkan dari RM0.80 sejam ke RM2 jam untuk sejam pertama. Selepas itu, caj sebanyak RM3 akan dikenakan pada jam kedua dan berikutnya.

    Laporan tersebut turut menyebut, jika anda memarkir kenderaan dari jam 7.30 pagi hingga 6 petang, mengikut waktu operasi biasa, anda akan dikenakan bayaran sebanyak RM32 sehari mengikut kadar baharu ini. DBKL juga dikatakan akan terus menguatkuasakan caj parkir baharu ini mengikut peringkat mulai sekarang hingga 1 Ogos ini, dan bergantung pada lokasi, menyaksikan peningkatan antara 100% dan 200%.

    dbkl parking tow bernama pix

    Bagi zon di luar ibu kota, di mana buat masa kini caj yang dikenakan adalah sebanyak RM0.50 sejam, mungkin akan dinaikkan ke RM1.50 atau RM1 setiap jam, bergantung pada zon. Ia termasuk Brickfields, Taman Maluri, Cheras, Wangsa Maju dan Setapak, di mana kawasan tersebut meliputi antara 55% dan 75% kekosongan parkir.

    DBKL turut memperkenalkan had masa untuk parkir iaitu maksimum dua jam di beberapa kawasan terpilih, jika melebihi had masa tersebut, kenderaan akan dikunci tayar atau ditunda. Menurut Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mohd Amin Nordin Abdul Aziz, keputusan untuk menaikkan kadar caj parkir bukanlah atas dasar keuntungan, tetapi bagi mengurangkan kesesakan trafik di bandar dan menggalakkan masyarakat berkongsi kenderaan atau menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam.

    “Kami mahu mengosongkan sebanyak mungkin ruang parkir di tepi jalan di kebanyakan jalan di kawasan dalam bandar dan menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam atau berkongsi kenderaan jika memasuki pusat bandar. Saya sedar saya tidak akan menjadi seorang yang begitu dikenali, tetapi ini terpaksa dilakukan kerana trafik di KL sudah menjadi semakin padat dan terlalu sibuk,” ujarnya.

     
     
  • Pelan transformasi SPAD rangkumi penyelesaian isu Uber dan Grabcar akan dikemukakan tidak lama lagi

    uber-x-car_BM

    Isu berkaitan Uber dan Grabcar dijangka akan dapat diselasaikan dengan Pelan Transformasi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang bakal dibentangkan tidak lama lagi, menurut laporan The Sun Daily.

    Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri berkata, pelan berkenaan yang turut merangkumi isu berkaitan Uber dan GrabCar bakal dibentangkan ke Kabinet tidak lama lagi.

    “SPAD mempunyai pelan transformasinya sendiri dan akan dibentangkan ke Kabinet dalam tempoh dua minggu akan datang,” kata beliau kepada wartawan.

    Nancy turut mengatakan pelan berkenaan turut diisi dengan maklumat yang diperolehi semasa bengkel meja bulat yang turut dihadiri oleh wakil dari persatuan-persatuan teksi.

    Dalam perkembangan lain, Nancy turut mengesahkan pihaknya akan meneruskan kerjasama dengan Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan Sabah dan Sarawak di kedua-dua negeri terbabit.

     
     
  • Toyota mungkin singkir enjin diesel untuk modelnya?

    2016 Toyota Corolla Hybrid

    2016 Toyota Corolla Hybrid

    Toyota mungkin mengikut jejak langkah Volvo iaitu menimbangkan untuk menyingkirkan penggunaan enjin diesel kerana standard emisi untuk enjin diesel dilihat semakin tinggi. Langkah berkenaan juga mungkin disebabkan jualan kenderaan diesel Toyota yang semakin suram di Eropah.

    Karl Schlicht, Naib Presiden Eksekutif Toyota Eropah berkata dalam laporan Autocar bahawa Yaris diesel “dijual kurang dari 10%” dalam jualan keseluruhannya, dan mungkin akan disingkirkan dari barisan model pada masa akan datang.

    Tambahan lagi, Schlicht tidak yakin dengan masa hadapan enjin diesel. “Saya rasa mana-mana pihak yang mahu melabur pada kilang diesel baharu, yang mungkin mempunyai jangka hayat 10 hingga 15 tahun, perlu untuk melihat pada jangka masa panjang dan lebih keras sama ada mereka akan mendapat pulangan semula atau tidak,” kata beliau.

    Dengan enjin petrol yang telah dikecilkan kapasiti dan janakuasa hibrid, ia menawarkan teknologi yang lebih bersih dan alternatif lebih murah berbanding diesel. CEO Volvo Hakan Samuelsson mengatakan enjin diesel mungkin lebih mahal, kerana ia memerlukan rawatan susulan yang lebih maju dengan bendalir tambahan untuk memastikan ia memenuhi standard emisi.

    Jadi, penggunaan enjin diesel ini mungkin tidak lagi relevan untuk masa hadapan. Walau bagaimanapun, proses penyingkiran enjin diesel ini pada peringkat permulaan hanya akan melibatkan kenderaan penumpang biasa dan digantikan dengan enjin petrol berkapasiti kecil serta unit janakuasa hibrid, tidak melibatkan kenderaan perdagangan dan lasak seperti Toyota Hilux.

     
     
  • Diesel Euro 5 BHPetrol kini telah diluaskan penjualannya di 100 buah stesen BHP seluruh negara

    bhp tapah rnr station

    Setelah diperkenalkan di beberapa buah stesen BHPetrol di Lembah Klang dan selatan tanahair, Boustead Marketing telah mengumumkan Diesel Euro 5 BHPetrol kini boleh didapati di 100 stesennya di Semenanjung Malaysia.

    Pengarah Peruncit BHPetrol, James Khoo berkata, “Kami akan menambah jumlah stesen yang membekalkan diesel itu dari semasa ke semasa, dan pada pertengahan Julai ia telah mencapai stesen ke-100 dengan permulaan jualan di BHPetrol Mukim Kuantan.”

    Menurutnya lagi, walaupun peraturan pelepasan ekzos semasa bagi kenderaan diesel di Malaysia tidak mengkhususkan kepada standard Euro 5, kesediaan bahan api itu di pasaran akan mengalakkan syarikat kenderaan menawarkan model kenderaan diesel terkini yang dilengkapi enjin lebih canggih dan mesra alam.
    Enjin berkenaan memerlukan bahan api ultra bersih seperti diesel Euro 5 BHPetrol untuk bero­perasi tanpa masalah.

    Diperkenalkan di Johor pada November 2014 lalu bagi memenuhi peraturan emisi yang ditetapkan oleh Singapura (di mana kenderaan dari Malaysia yang gagal ujian asap tidak akan dibenarkan masuk ke republik berkenaan). Malah pada Ogos tahun lalu, bahan api ini turut diperkenalkan di Lembah Klang.

    Bahan api ini dikatakan lebih baik untuk alam sekitar kerana kandungan sulfurnya yang rendah iaitu hanya 10 bahagian per juta (ppm) berbanding 550 ppm bagi gred Euro 2M Malaysia buat setakat ini.

     
     
  • Khairul Idham Pawi muncul juara Moto3 di Jerman

    2016-Moto3-Khairul-Idham-Pawi-3-850x567

    Selepas persembahan meyakinkan ketika Gran Premio Motul de la República Argentina April lalu, pelumba muda negara, Khairul Idham Pawi, 18, sekali lagi mengungguli saingan dalam perlumbaan Moto3 dalam perlumbaan GoPro Motorrad Grand Prix Deutschland, di litar Sachesenring, Jerman semalam.

    Dengan catatan masa 47 minit dan 7.763 saat, Khairul yang mewakili pasukan Honda Team Asia, mengatasi dua lagi pelumba Itali, Andrea Locatelli dari pasukan Leopard Racing dan Leopard Racing dan Enea Bastianini yang mewakili Gresini Racing Moto3, yang masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.

    Merangkul kedudukan podium keduanya dalam perlumbaan Moto3 musim ini, kedua-dua perlumbaan itu menyaksikan litar basah akibat hujan, keadaan litar yang menjadi kelebihan bagi pelumba muda negara itu, sama seperti ketika menaiki podium di Argentina April lalu.

    Bermula dari kedudukan ke-20, dan terpaksa meninggalkan litar pada pusingan ke-14, Khairul kekal dengan momentum perlumbaan yang baik, dan menamatkan perlumbaan dengan pendahuluan 11.131 saat berbanding Locatelli di tempat kedua.

    Beliau merupakan pelumba pertama Malaysia yang meraih kemenangan diperingkat kejuaran dunia dengan mewakili Honda Team Asia, dan kini berada di kedudukan ke-10 dengan 54 mata dalam Kejuaraan Dunia Moto3. Pendahulu kedudukan keseluruhan sekarang ialah Brad Binder, pelumba Afrika dari pasukan Red Bull KTM Ajo dengan 159 mata.

    Sementara seorang lagi pelumba negara, Hafizh Syahrin, yang bersaing di dalam perlumbaan Moto2 pula turut berjaya menamatkan perlumbaan pada kedudukan ke-7 selepas bermula di petak ke-11.

     
     
  • Bas ekspres wajib pasang alat pengehad kelajuan serta merta, tiada yang terkecuali – Liow

    express-bus-coach-1

    Minggu lalu, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, menggesa penguatkuasaan pemasangan alat pengehad kelajuan pada bas ekspres dan bas antara bandar perlu dilaksanakan secepat mungkin.

    Semalam, beliau mengesahkan perkata ini akan diwajibkan bagi semua bas ekspres di seluruh negara bagi mengatasi kekerapan kes kemalangan yang melibatkan kenderaan awam, khususnya di musim perayaan, laporan Bernama.

    Katanya, peraturan itu akan dikuatkuasakan serta merta, tetapi secara berperingkat-peringkat. Untuk peringkat awal semua bas baharu perlu dipasang dengan alat tersebut tanpa sebarang pengecualian.

    “Arahan kepada semua pihak termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Puspakom telah pun dikeluarkan. Semua bas baharu perlu memasang alat pengehad kelajuan ini dan tiada yang terkecuali,” tegasnya.

    Menurutnya, peraturan itu dilaksanakan selepas mendapati sikap sesetengah pemandu bas yang gemar memandu laju tanpa mematuhi had ditetapkan di semua jalan-jalan utama di negara ini mengakibatkan kemalangan yang mengorbankan banyak nyawa.

    Liow berkata, pemasangan alat berkenaan tidak akan mengurangkan keupayaan bas untuk mendaki dan menuruni bukit, sebaliknya hanya berfungsi untuk mengehad kelajuan kenderaan tersebut.

    “Ini adalah kelebihan ‘speed limiter’ kita perkenalkan. Saya telah mengadakan dialog dengan operator lori dan bas. Mereka bersetuju menyokong usaha kerajaan untuk memasang ‘speed limiter’ ini,” katanya.

     
     
  • LRT Jajaran Sri Petaling – Laluan terus Sentul Timur-Putra Heights dibuka secara rasmi bermula semalam

    Pengguna LRT laluan Sri Petaling-Ampang kini boleh menggunakan perkhidmatan tersebut untuk untuk bergerak terus dari Sentul Timur ke Putra Heights bermula semalam, lapor The Sun Daily.

    Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), dalam satu kenyataaan yang dikeluarkan berkata, dua laluan yang disepadukan dan secara rasminya dinamakan sebagai LRT Jajaran Sri Petaling berkenaan dapat menjimatkan masa perjalanan, secara spesifiknya dari Puchong dan Bandar Kinrara untuk mereka yang menuju ke kawasan sekitar Subang, Subang Jaya dan USJ.

    “Tetapi apa yang lebih bermakna adalah perjalanan terus antara Putra Heights dan Sentul Timur, sepanjang 36 km melalui 29 stesen, yang dinamakan sebagai Jajaran Sri Petaling secara rasmi bermula hari ini,” kata kenyataan berkenaan.

    Menurut Prasarana, dengan lengkapnya perpindahan sistem isyarat LRT pada laluan Sri Petaling-Ampang, Rapid Rail Sdn Bhd iaitu pengendali servis monorail dan LRT di Lembah Klang dan subsidiari Prasarana berkenaan boleh memulakan proses menukar 30 tren yang sudah pun digunakan sejak 1996 semasa ia beroperasi sebagai STAR LRT.

    Bombardier-Innovia-Metro-300

    35 dari sejumlah 50 tren enam koc yang dibeli dari CSR Zhuzhou Electric Locomotive Company telah digunakan sepenuhnya dalam operasi LRT Jajaran Sri Petaling ini.

    Menurut kenyataan berkenaan lagi, 15 set tren selebihnya kini telah diletakkan bersama di fasiliti tempatan milik mereka di Batu Gajah, Perak.

    Tren-tren tersebut akan dihantar ke Rapid Rail secara berperingkat dan kesemua tren untuk LRT laluan Sri-Petaling-Ampang dijangka akan digunakan sepenuhnya awal tahun hadapan.

    Sementara itu, Prasarana turut mengumumkan pembelian 14 set tren empat-koc Bombardier Innovia Metro 300 untuk meningkatkan keselesaan penumpang tren Rapid KL untuk Jajaran Kelana Jaya. Tren-tren berkenaan akan beroperasi secara berperingkat mulai Spetember, menurut kenyataan berkenaan lagi.

     
     
  • Perodua Bezza – 40% lebih cenderung pilih ciri VSC

    Perodua_Bezza_Slides-6-630x420

    Bagi model Perodua Bezza yang akan dilancarkan tak lama lagi, syarikat itu mensasarkan 85% pengguna akan lebih cenderung untuk memilih model dengan enjin 1.3 liter. Daripada jumlah itu, 40% dijangka akan memilih spesifikasi paling lengkap, 1.3 Advance, yang turut dilengkapi dengan sistem transmisi automatik empat-kelajuan.

    Bagaimanapun, tarikan utama bagi model dengan spesifikasi paling tinggi itu ialah ciri Vehicle Stability Control (VSC), kawalan cengkaman dan Hill Start Assist, yang menjadi pelengkap bagi ciri dua beg udara yang turut ditawarkan pada semua varian lain. Ia turut disertakan dengan sistem multimedia maju dengan navigasi, Smart Link dan kamera undur.

    Varian lain yang turut ditawarkan bagi enjin 1.3 liter ialah Premium X, varian pertengahan, yang turut boleh didapati dengan trasmisi manual lima-kelajuan atau automatik. Perodua juga menjangkakan 42 peratus pengguna akan memiliki versi automatik, manakala hanya 3% yang akan membeli versi manual.

    Perodua_Bezza_Slides-8-630x420

    Selebihnya, Perodua meramal hanya 15% pembeli Bezza akan memilih model dengan enjin 1.0 liter, di mana cuma satu varian ditawarkan iaitu Standard G. Bagi pilihan transmisi, 2% terdiri daripada mereka yang memilih manual, manakala 13% lagi kemungkinan besar akan memilih automatik.

    Di dalam sidang media hari ini, Pengarah Urusan Perodua Sales, Dr Zahari Husin berkata punca utama mengapa jangkaan rendah terhadap pembeli yang akan memilih model 1.0 liter ini adalah disebabkan pembeli peringkat kemasukan turut mempunyai model Axia sebagai pilihan mereka. Bagi yang inginkan sebuah sedan, mereka pasti mahukan pilihan enjin yang lebih besar.

    Secara keseluruhannya, Perodua hanya menjangkakan 5% daripada jumlah keseluruhan jualan Bezza nanti adalah daripada model dengan transmisi manual. Bagaimanapun, angka sebenar tertakluk kepada maklum balas pasaran selepas Perodua Bezza mula dijual kelak.

    Perkongsian pasaran Perodua setakat Jun 2016 juga sangat memberangsangkan.

     
     
  • Perodua Bezza – Perincian enjin 1.0L VVT-i, 1.3L Dual VVT-i, transmisi automatik 4-kelajuan dikemaskini

    Perodua Bezza engines 1

    Enjin 1KR-VE 1.0L VVT-i

    Seperti diketahui Perodua Bezza, sedan pertama dari Perodua hadir dengan dua pilihan enjin iaitu 1.0L dan 1.3L. Apa yang menarik ialah, kedua-dua enjin tersebut tidak sama dengan enjin 1.0L dan 1.3L pada model-model Perodua sedia ada.

    Untuk model 1.0L, Bezza dikuasakan dengan enjin 1KR-VE. Enjin ini pada asasnya sama dengan enjin 1KR-DE pada Axia 1.0L, tetapi menerima pelbagai teknologi dan ciri terbaharu serta dibuat di kilang Perodua sendiri di Rawang. Berbanding enjin lama, enjin baharu ini menerima teknologi pemasaan injap bervariasi-pintar VVT-i (sebelum ini Perodua menggelarnya sebagai DVVT), nisbah mampatan yang lebih tinggi serta daya geseran yang dikurangkan.

    Bermula dengan blok enjin. 1KR-VE menggunakan asas blok yang sama dengan 1KR-DE, tetapi sedikit perubahan dilakukan pada cagak manifold ekzos kerana 1KR-VE menggunakan manifold dengan rekaan yang dipertingkat. Ukuran gerek (bore) dan lejang pada silinder masih lagi sama iaitu 71×84 mm, tetapi rekaan pada omboh telah diubahsuai memandangkan omboh 1KR-VE bakal menanggung nisbah mampatan yang lebih tinggi.

    Bagi tujuan mengurangkan geseran pada bahagian ini, enjin 1KR-VE direka agar ia boleh dilincirkan dengan minyak enjin bergred 0-20W.


    Klik untuk besarkan

    Bahagian kepala silinder merupakan bahagian yang menerima perubahan paling ketara, dimana ia menggunakan unit baharu sepenuhnya. Liang kemasukan direka semula bagi mendapatkan aliran udara yang lebih cekap, manakala perubahan yang dilakukan pada kebuk pembakaran dibuat untuk mendapatkan nisbah mampatan yang lebih tinggi iaitu 11.5 (berbanding 11 pada Axia). Seperti yang disebut tadi, enjin ini turut menerima sistem VVT-i, meliputi perubahan pada komponen pulley aci sesendol dan aci sesondol. Untuk mengurangkan daya geseran pada bahagian ini, lengan jumpelang enjin 1.0L Bezza menerima galas pengguling (roller bearing) serta alas pada penggerak injap (valve lifter) yang menerima kemasan super.

    Sistem pancitan bahan api turut diperkemaskan. 1KR-VE dilengkapi dengan pemancit bahan api yang mempunyai badan lebih panjang, nozel lebih panjang, serta tip pada nozel baharu bagi mendapatkan semburan bahan api dalam kebuk pembakaran yang jauh lebih halus, seterusnya memberikan pembakaran yang lebih baik. Manifold kemasukan juga diubah dengan rekaan lebih panjang, memberikan aliran udara ke kebuk pembakaran yang lebih efisien.

    Berat keseluruhnan enjin ini juga agak ringan kerana keseluruhan binaan enjin ini hanya menggunakan bahan aluminium dan resin.

    Hasilnya enjin Bezza mampu menjana 67 hp pada 6,000 rpm/91 Nm pada 4,000 rpm berbanding Axia yang berkuasa 66 hp pada 6,000 rpm/90 Nm pada 3,600 rpm. Namun, setelah saya memandu uji sendiri Bezza ketika sesi pandu uji media hari ini, kuasa 1 hp dan tork 1 Nm lebih berbanding Axia tersebut tidak terlalu terasa. Tetapi pastinya, sistem berkenaan mampu memberikan penggunaan api yang lebih cekap.

    Perodua Bezza engines 10

    Enjin 1NR-VE 1.3L VVT-i

    Untuk enjin 1.3L pula, ia merupakan enjin baharu sepenuhnya yang digunakan oleh Perodua, menggantikan enjin 1.3L K3-VE yang telah digunakan sejak keluaran pertama Myvi 11 tahun lalu. Enjin baharu yang diberi kod 1NR-VE ini merupakan enjin yang sama boleh ditemui pada Toyota Avanza facelift dan diasaskan pembinaannya dari enjin K3-VE.

    Secara spesifiknya, menurut Perodua enjin pada Bezza ini adalah 70% sama dengan enjin pada Avanza, berbeza sedikit pada talaan (berikutan berat Avanza dan Bezza yang berbeza) serta pada bahagian cagak enjin (Avanza pacuan belakang, manakala Bezza pacuan hadapan). Kilang memproduksi kedua-dua enjin berkenaan juga berbeza, di mana enjin Bezza diproduksi di kilang enjin Perodua, Sendayan Negeri Sembilan, manakala untuk enjin Avanza ia diproduksi di kilang enjin Toyota Karawang Indonesia.

    Berbanding enjin K3-VE hanya mempunyai sistem VVT pada bahagian injap kemasukan sahaja, enjin 1NR-VE ini dilengkapi dengan sistem Dual VVT-i (untuk kedua-dua injap kemasukan dan ekzos) yang memberikan kecekapan pembakaran yang lebih bagus seterusnya menghasilkan kuasa yang lebih besar serta penjimatan bahan api yang lebih baik.

    Liang kemasukan dan kebuk pembakaran juga menerima perubahan untuk memberikan aliran campuran bahan api dan pembakaran yang lebih sempurna. Tambahan lagi, manifold kemasukan turut dipanjangkan bagi menambahkan kecekapannya.


    Klik untuk besarkan

    Dengan penambahbaikkan yang dibuat pada enjin 1.3 liter 1NR-VE ini, ia mampu menghasilkan kuasa 94 hp pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 121 Nm pada takat 4,000 rpm. Berbanding K3-VE yang hanya berkuasa 90 hp dan tork maksima 117 Nm.

    Untuk varian 1.3L Advance, ia dilengkapi dengan sistem Henti Melahu (Eco Idle) yang akan mematikan enjin dan menghidupkannya kembali secara automatik ketika kereta berhenti seketika (contohnya ketika berhenti di lampu isyarat atau menunggu giliran keluar simpang) bagi memberikan penggunaan bahan api yang lebih efisien. Ia juga dilengkapi dengan sistem ‘regenerative brake‘ yang akan memberikan cas tambahan kepada bateri ketika nyah pecutan (sama seperti sistem cas semula pada kereta hibrid) untuk menampung kuasa yang diperlukan oleh bateri bagi operasi sistem Henti Melahu.

    Oleh itu, untuk varian 1.3L Advance ini, ia dilengkapi unit alternator dan motor penghidup yang lebih besar dan lasak, serta bateri yang berkapasiti jauh lebih besar dari varian lain.

    Perodua Bezza engines 13

    Sistem transmisi juga menerima talaan semula untuk memberikan kecekapan serta ‘feel‘ pemanduan yang lebih memuaskan. Peredam yang mempunyai jarak pergerakan yang lebih panjang dipadankan padu unit torque converter. Ini bertujuan untuk memanjangkan lagi tempoh ‘lock-up’ pada gear tiga dan empat, membolehkan pertukaran gear yang lebih stabil berikutan tempoh masa kedudukan yang lebih lama pada dua gear terakhir berkenaan. Tempoh masa potongan penghantaran bahan api ketika pedal pendikit dilepaskan (semasa nyah pecut) juga ditambah, bagi memberikan penjimatan bahan api yang lebih lagi.

    Hasil gabungan enjin-enjin baharu dan kotak gear yang dikemaskini ini, membolehkan Bezza mencapai penggunaan bahan api yang lebih baik. Menurut Perodua, model 1.3L automatik mampu mencatatkan penggunaan bahan api 21 km untuk setiap liter, dan model 1.0 liter manual pula mencatatkan 22.8 km untuk setiap liter. Model 1.0 liter varian automatik pula mampu mencatatkan penggunaan bahan api 21.3 km setiap liter dipandu dengan mod ECE, berbanding Axia yang hanya mencatatkan 20.1 km untuk setiap liter petrol.

    Kami telah pun menguji secara ringkas Perodua Bezza ini di litar ujian Perodua di Rawang dan anda boleh membaca ulasannya pada pautan ini. Fakta perincian awalan untuk model ini juga boleh anda baca di SINI.

    GALERI: Enjin 1.0L 1KR-VE

    GALERI: Enjin 1.3L 1NR-VE

     
     
  • Perodua Bezza – senarai elemen varian demi varian

    Perodua Bezza, sedan pertama dari Perodua, telah pun dibuka tempahan mulai hari ini, dan harganya juga telah diumumkan. Ia ditawarkan dengan tiga varian iaitu 1.0L Standard G, 1.3L Premium X dan 1.3L Advance, ia dijual pada harga yang begitu kompetitif.

    Malah ia turut ditawarkan dengan waranti lima tahun atau 150,000 km (mana yang tiba terlebih dahulu). Bagi yang inginkan gaya lebih menarik dan mungkin nampak sporty, Perodua turut menawarkan pakej aksesori GearUp yang ditawarkan pada harga antara RM900 hingga RM2,600.

    Bezza ditawarkan dengan enam pilihan warna termasuk dua warna baharu hanya untuk varian 1.3L iaitu Ocean Blue, Sugar Brown, dan kesemua varian turut mendapat pilihan empat warna sedia ada iaitu Lava Red, Black Ebony, Glittering Silver dan Ivory White.

    Bagi menambahkan keterujaan anda terhadap model ‘kejutan’ dari Perodua ini, kami ingin memberikan gambaran yang lebih tepat untuk setiap variannya.

    Bezza 1.0 Standard G (kiri) & Bezza 1.3 Advance (kanan)

    Perodua Bezza Standard G

    Model asas Standard G ini didatangkan dengan enjin 1.0 liter 1KR-VE VVT-i (67 hp/91 Nm), dengan pilihan transmisi manual lima-kelajuan atau automatik empat-kelajuan. Kedua-dua automatik dan manual ini turut menerima elemen yang sama.

    Elemen

    • Rim aloi 14-inci
    • Tempat duduk balutan fabrik
    • Roda stereng Polyurethane
    • Sistem audio dengan USB
    • Slot bagi telefon bimbit (di konsol belakang)
    • Perehat kepala tidak boleh dilaras pada tempat duduk belakang
    • Tempat duduk belakang boleh dibaringkan 60:40
    • Bukaan but jarak jauh
    • Cermin sisi manual
    • Indikator isyarat yang dipasang pada badan kenderaan
    • Pengesan undur
    • Cermin tingkap berkuasa
    • Dua beg udara (pemandu dan penumpang hadapan)
    • ABS dengan EBD

    Harga

    • 1.0 G Manual – RM37,300
    • 1.0 G Automatik – RM39,300

    Perodua Bezza Premium X

    Varian pertengahan pula ialah Premium X, yang didatangkan dengan enjin 1.3 liter 1NR-VE Dual VVT-i (94 hp/121 Nm). Seperti varian Standard G, ia juga didatangkan dengan pilihan transmisi manual lima-kelajuan atau automatik empat-kelajuan. Bagi Premium X, ia dilengkapi dengan elemen seperti berikut:

    Elemen

    • Sistem audio dengan USB dan Bluetooth
    • Slot telefon bimbit dengan port pengecasan 5V/2A USB charging port (pada konsol belakang)
    • Perehat kepala boleh laras untuk tempat duduk belakang
    • Kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin
    • Butang pembuka but pada bahagian but
    • Pemegang pintu krom
    • Indikator pada cermin sisi
    • Lampu kabus belakang
    • Pengesan parkir hadapan
    • Pelindung tingkap kuasa dari tersekat bagi bahagian pemandu
    • Kekemasan trim premium (hitam berkilat, kekemasan perak, fabrik pada bahagian panel pintu dalam)
    • Rantai kunci

    Harga

    • 1.3 X Manual – RM42,800
    • 1.3 X Automatik – RM44,800

    Perodua Bezza Advance

    Akhir sekali, bagi varian spesifikasi tertinggi Advance turut berkongsi penjana kuasa yang sama seperti Premium X, tetapi hanya dipadankan dengan transmisi automatik empat-kelajuan. Malah Advance juga dilengkapi dengan lebih banyak elemen yang lebih terkini, termasuk:

    Elemen

    • Rekaan berbeza bagi roda 14-inci
    • Tempat duduk balutan kulit
    • Roda stereng balutan kulit dengan kawalan sistem multimedia
    • Sistem Henti Melahu (Eco Idle)
    • Skirting sisi
    • Cermin sisi boleh laras secara berkuasa
    • Pengingat pemakaian tali pinggang keledar untuk penumpang hadapan
    • Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC)
    • Kawalan Cengkaman
    • Bantuan mula mendaki
    • Sistem Multimedia system dengan navigasi, Smart Link dan kamera undur
    • Kekemasan trim yang lebih terperinci

    Harga

    • 1.3 Advance Automatik – RM50,800

    GALERI: Perodua Bezza 1.3 Advance

    GALERI: Perodua Bezza 1.3 Premium X

    GALERI: Perodua Bezza 1.0 Standard G

     
     
  • Perodua catat perkongsian pasaran pada kadar 35.5% setakat Jun 2016, 97,730 unit kenderaan sudah terjual

    Perodua_Bezza_Slides-2

    Setakat Jun 2016, Perodua sudah menjual sejumlah 97,730 unit kenderaan daripada jumlah keseluruhan yang dijual dalam pasaran iaitu 274,293 unit. Angka berkenaan memberikan Perodua perkongsian pasaran sebanyak 35.5%.

    Dalam tempoh sama juga, perkongsian pasaran pengeluar kenderaan nasional mencatatkan 48%, manakala kenderaan bukan nasional pada kadar 52%. Pada tahun ini, Perodua mensasarkan jualan sejumlah 216,000 unit kenderaan.

    Dengan jangkaan jumlah unit yang didaftarkan sekitar 3,000 unit Perodua Bezza pada bulan Julai, syarikat itu mensasarkan 10,000 unit Bezza akan didaftarkan bagi tiga bulan pertama selepas pelancarannya. Angka itu dijangka mencapai 7,700 bagi bulan-bulan selepas itu. 7,700 juga adalah jumlah pengeluaran bulanan Perodua Bezza.

    Perodua juga mensasarkan akan menerima 15,000 tempahan secara purata bagi tiga bulan pertama selepas perasmiannya nanti.

     
     
  • Perodua Bezza – sedia masuk pasaran eksport

    Perodua_Bezza_GearUp-32

    Perodua Bezza dibangunkan dengan memenuhi standard global dan sudah siap sedia untuk memasuki pasaran eksport. Bermula dari spesifikasi yang ditawarkan, sehinggalah kepada penarafan lima bintang bagi ujian ASEAN NCAP, semuanya mencerminkan kesungguhan itu.

    “Selepas pelancarannya pada 21 Julai nanti, Perodua akan menumpukan sepenuh perhatiannya untuk memenuhi permintaan dalam pasaran domestik terlebuh dahulu. Walaupun begitu, sebagai sebuah produk, ia bersedia untuk memasuki pasaran eksport, terutama pasaran luar di mana Perodua sudah bertapak,” ujar Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh kepada paultan.org pada pertemuan media pagi ini.

    Untuk rekod, Perodua kini sudah memasuki enam pasaran eksport di seluruh dunia, dengan pasaran terbesarnya adalah di Sri Lanka. Ini diikuti Mauritius dan kemudiannya Indonesia (model Perodua Myvi yang dilabel semula sebagai Daihatsu Sirion).

    Bagi pasaran tempatan, sebelum pelancarannya minggu depan, Perodua sudah mempunyai sejumlah 7,000 unit model Bezza yang sedia diserahkan kepada pelanggan, dengan kira-kira 500 unit dijangka akan didaftarkan pada 22 Julai nanti, sehari selepas pelancarannya.

    “Untuk itu, kami akan memenuhi keperluan dan permintaan pasaran tempatan terlebih dahulu. Bagi pasaran eksport, masih belum diputuskan bila kami akan menghantar model terbaru ini. Yang pasti, bukan dalam tahun ini kerana kita ingin beri tumpuan kepada pasaran domestik terlebih dahulu. Apa pun, Perodua Bezza memang sudah siap sedia untuk dieksport,” jelas Pengarah Urusan Perodua, Dr. Zahari Husin pula.

     
     
  • Perodua Bezza – bodykit dan aksesori GearUp

    Perodua_Bezza_GearUp-2

    Turut ditawarkan sebagai pilihan bagi Perodua Bezza ialah aksesori GearUp, yang terdiri daripada empat penawaran pakej yang berbeza.

    Pertama ialah pakej Dynamic Body Kit. Terdiri daripada empat elemen tambahan; kit bampar depan, kit bampar belakang, kit sisi badan dan spoiler belakang. Ia ditawarkan pada harga RM2,000 bagi Semenanjung Malaysia manakala di Sabah & Sarawak ialah RM2,045.

    Kedua, Dynamic Seat Covers & Door Trim. Merangkumi dua elemen utama iaitu pelapik tempat duduk eksklusif dan trim pada bahagian pintu eksklusif. Pakej ini ditawarkan pada harga RM900 bagi Semenanjung manakala RM920 bagi Sabah & Sarawak.

    Perodua Bezza GearUp price list1

    Pilihan ketiga, Dynamic Package. Ia melibatkan penggunaan kit badan dinamik serta pelapik tepat duduk serta trim bahagian pintu dinamik. Harga bagi pakej ini ialah RM2,600 di Semenanjung dan RM2,655 di Malaysia Timur.

    Pilihan yang keempat dan terakhir, Stylish Package. Ia terdiri daripada kit badan dinamik, pelindung sisi pintu dan visor pintu.

    Jika anda membeli Perodua Bezza, semua kos tambahan bagi pakej aksesori berkenaan akan termasuk di dalam pinjaman pembelian kenderaan yang dimohon, tanpa anda perlu mengeluarkan kos berasingan. Semua pakej GearUp ini turut diberikan jaminan enam bulan. Harga yang dinyatakan adalah termasuk GST dan kos buruh.

     
     
  • Perodua Bezza – MIROS umum varian Advance menerima penarafan ASEAN NCAP lima-bintang

    Perodua-Bezza-ASEAN-NCAP-1_BM

    MIROS hari ini mengumumkan hasil ujian Program Penilaian Kereta Baharu untuk Negara Asia Tenggara (ASEAN NCAP) untuk suku ketiga 2016 melibatkan Perodua Bezza – sedan pertama keluaran syarikat pengeluar automotif kedua negara berkenaan.

    Keputusan yang diumumkan semasa sesi pandu uji media model berkenaan di Ibu Pejabat Perodua, Rawang menunjuk Bezza varian Advance yang dilengkapi dengan dua Amaran Pemakaian Tali Pinggang (SBR) hadapan dan Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC) berjaya memperoleh 15.38 markah dalam kategori Perlindungan Penumpang Dewasa (AOP), membolehkan ia diiktiraf dengan penarafan ASEAN NCAP lima-bintang. Walau bagaimanapun untuk varian lain yang lebih rendah dan tidak lengkapi dengan dua ciri tadi hanya menerima penarafan empat-bintang

    Dengan dilengkapi cagak ISOFIX tempat duduk kanak-kanak pada bahagian belakang secara standard pada untuk semua varian juga membolehkan Bezza menerima markah yang baik dalam kategori Perlindungan Penumpang Kanak-kanak (AOP) – memenuhi 85% sekaligus menerima penarafan empat-bintang untuk kategori berkenaan.

    Perodua-Bezza-ASEAN-NCAP-2_BM

    “Perodua telah mencapai kejayaan yang besar menerusi produksi sedan terbaharu mereka. Ia merupakan sedan pertama keluaran Perodua dan ia juga merupakan model pertama Perodua yang dilengkapi dengan ESC. Tambahan pula, ia juga turut mendapat pengiktirafan Kereta Cekap Tenaga (EEV), selari dengan Dasar Automotif Negara. Dengan semua ciri terbaik dan memperolehi penarafan ASEAN NCAP lima-bintang untuk model yang dilengkapi ESC, Perodua Bezza semestinya mempunyai nilai yang kompetitif berbanding model sekelasnya,” kata Pengerusi ASEAN NCAP Prof. Dr. Wong Shaw Voon.

    “ASEAN NCAP telah mengeluarkan konsep ‘Keselamatan Mampu Milik’ pada 2014 lalu. Secara prinsipal, konsep berkenaan akan memastikan walaupun ia sebuah kereta yang paling murah, ia masih boleh mencapai keperluan asas dalam ASEAN NCAP. Axia merupakan salah satu kereta yang menerima penarafan empat-bintang yang menepati konsep berkenaan. Saya percaya Bezza telah lebih kehadapan berbanding keperluan asas dengan dilengkapi VSC dan dua amaran pemakaian tali pinggang hadapan pada varian tertinggi, tetapi masih menawarkan harga mampu milik kepada pengguna,” tambah Ketua Setiausaha ASEAN NCAP Khairil Anwar Abu Kassim.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025