Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Mitsubishi akui memanipulasi ujian bahan api

    mitsubishi-ek-wagon

    Satu lagi skandal terbongkar, kali ini melibatkan angka penggunaan bahan api. Mitsubishi Motors Corporation (MMC), mengakui telah memanipulasi data ujian penggunaan bahan api pada empat model kereta mini ketika mempersembahkan pencapaian angka penjimatan bahan apinya.

    Semalam syarikat berkenaan telah mengumumkan menerusi kenyataan rasmi bahawa ujian penggunaan bahan api telah ‘diubah’ ketika mengendalikan ujian terhadap Mitsubishi eK Wagon dan eK Space serta Nissan Dayz dan Dayz Roox, yang dibangunkan dan dibekalkan kepada Nissan sejak Jun 2013.

    Terdapat lebih setengah juta kereta yang terlibat dan MMC berkata sehingga Mac tahun ini, sebanyak 157,000 unit eK Wagon dan eK Space telah terjual dan telah membekalkan sejumlah 468,000 unit Dayz dan Dayz Roox kepada Nissan. Mitsubishi juga berkata sejak pembangunan model-model tersebut dan bertanggungjawab mendapatkan pensijilan yang relevan untuk mereka, maka adalah perlu untuk mengendalikan ujian penggunaan bahan api.

    Nissan Dayz dan Dayz Roox

    Isu ini timbul apabila Nissan telah mengambil keputusan untuk melakukan sendiri penyelidikan bagi pembangunan generasi akan datang untuk kereta mininya, selain melakukan sendiri ujian penggunaan bahan api untuk rujukannya sendiri. Namun ia mendapati data yang diberikan sebelum ini tidak begitu bertepatan, lantas meminta MMC untuk menyemak semula hasil ujian tersebut.

    Berikutan permintaan itu, Mitsubishi telah melakukan siasatan dalaman dan mengeluarkan pengolahan data dan melihat hasil ujian tersebut agak tidak selari dengan apa yang sepatutnya. Walau bagaimana pun kaedah ujian tersebut turut digunakan oleh model-model lain yang dihasilkan bagi pasaran domestik Jepun.

    MMC turut berkata ia telah pun menghentikan serta-merta pengeluaran dan jualan model-model terbabit dan merancang untuk menubuhkan satu jawatankuasa yang terdiri daripada pakar-pakar luar untuk melakukan siasatan ke atas perkara ini. Malah Nissan juga turut menghentikan jualan model-model yang terjejas dan akan berbincang dengan MMC berhubung dengan ganti rugi disebabkan isu ini.

     
     
  • Mohon kerajaan hentikan sementara perkhidmatan Uber dan GrabCar – Persatuan Teksi Shah Alam

    Taxi-drivers-protest-jalan-bukit-bintang-1-850x637_BM

    Nampak gayanya isu perkhidmatan Uber dan GrabCar masih terus diperkatakan selagi pihak kerajaan belum memuktamadkan sebarang keputusan.

    Semalam, Persatuan Pemandu Teksi dan Kereta Sewa Shah Alam telah mengadakan sidang media bagi memohon kerajaan menghentikan sementara perkhidmatan pengangkutan dalam talian Uber dan GrabCar bagi memulihkan semula industri teksi di negara ini, laporan Bernama.

    Menurut setiausahanya Razali Sahran, langkah itu juga perlu supaya kerajaan dapat mencari jalan penyelesaian dalam menangani lambakan perkhidmatan pengangkutan itu yang turut didakwa telah menjejaskan pendapatan 1,000 pemandu teksi di bandar raya ini.

    Malah beliau turut menggesa Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyusun beberapa program termasuk mempromosikan perkhidmatan teksi bagi meningkatkan semula industri teksi negara.

    Hujung Mac lalu, sekumpulan pemandu teksi berkumpul dan memberhentikan kenderaan mereka di hadapan kompleks membeli belah Fahrenheit 88 sepanjang Jalan Bukit Bintang sebagai menunjukkan protes menentang servis aplikasi pengangkutan seperti Uber dan GrabCar.

    Sehubungan itu, kerajaan sedang merangka pelbagai usaha bagi membolehkan perkhidmatan Uber dan GrabCar beroperasi pada platform yang sama dengan perkhidmatan teksi biasa.

    Malah SPAD juga akan melakukan pelbagai penambahbaikan termasuk memperkenalkan aplikasi seperti yang digunakan oleh Uber dan GrabCar.

     
     
  • SPYSHOT: Honda CR-V 2017 – foto pertama diintip!

    2017_Honda_CR-V_2

    Satu perkhabaran menarik. Nah! Ini foto pertama bagi Honda CR-V 2017. Model generasi akan datang ini akan menggantikan model generasi ke-empat yang kini berada di pasaran, termasuk di Malaysia dan kebanyakan pasaran global.

    Kelihatannya prototaip ini menggunakan unit kerangka dan lampu produksi, memberikan lebih ‘pencerahan’ yang lebih jelas apa yang bakal kita terima tahun hadapan. Seperti yang dijangka, bahagian hadapannya masih menerapkan imej korporat terkini Honda, termasuk gril besar yang bersambung dengan lampu utama LED sepenuhnya, memberikan gambaran “Solid Wing Face” yang lebih jelas.

    Menerusi pandangan sisinya pula, badan berkontur dengan garis tingkap ke atas melepasi tiang-C. Dan pada bahagian belakangnya pula jelas CR-V generasi akan datang ini mengadaptasi gaya yang lebih mantap. Lampu belakangnya juga lebih menonjol, dengan lambang Honda yang masih kekal tegak diposisi yang sama.

    Dua paip ekzos bersaiz kecil juga kelihatan, lebih kurang sama dengan Honda Civic 2016 1.5 liter berkuasa turbo. Adakah ia memberikan isyarat kebarangkalian CR-V generasi akan datang ini turut dipadankan dengan enjin pengecas turbo juga? Jika ya, ternyata laporan sebelum ini yang mencadangkan agar CR-V 2017 dibina dengan menggunakan asas Civic terkini, dengan enjin yang dikecilkan.

    Terbongkarnya foto pertama bagi generasi akan datang SUV ini, nantikan susulan perkembangan mengenainya dari semasa ke semasa. Pasti ada lebih banyak perincian mengenainya akan terbongkar termasuk padanan penjana kuasanya. Adakah benar ia seperti Civic 2016 yang turut ditawarkan dengan kuasa turbo? Tunggu dan lihat!

     
     
  • SPYSHOT: Varian baharu Ford Focus ST versi dipertingkat dilihat sedang diuji di litar Nurburgring

    Ford-Focus-ST-Plus-5_BM

    Pengenalan pada model Ford Fiesta ST200 nampaknya agak memberangsangkan. Oleh itu, pihak Ford nampaknya akan melakukan perkara yang sama pada model yang lebih besar iaitu Ford Focus ST. Kemungkinan ini diperkuatkan lagi setelah jurugambar pengintip kami merakamkan gambar sebuah Ford Focus ST Mk3 facelift yang sedang di uji dilitar Nurburgring, Jerman.

    Kereta ini kelihatan tidak langsung ditampal dengan pelekat penyamaran, menyerlahkan terus keseluruhan badan yang berwarna putih serta dua jalur merah yang merentasi keseluruhan badan dari depan ke bahagian belakang. Ia juga dilihat dilengkapi dengan splitter pada kedua-dua sudut bampar hadapan dan juga roda aloi lima jejari berkembar yang berbeza dari varian ST standard.

    Ford Focus ST facelift telah berada dalam pasaran sejak Jun 2014, dan dikuasakan dengan enjin 2.0 liter EcoBoost berupaya menjana 250 hp/340 Nm (tork tambahan 10 Nm jika fungsi overboost digunakan), sama seperti varian Focus ST pre-facelift. Jumlah kuasa kuda tersebut adalah agak kecil jika dibandingkan dengan Ford Focus RS yang baharu sahaja dilancarkan baru-baru ini, di mana enjin 2.3 liter EcoBoost jentera tersebut mampu menjana sejumlah 350 PS dan tork maksima 440 Nm.

    Jika benar ST versi dipertingkat ini akan dilancarkan, ia turut akan dijangka mengekstrak lebih kuasa kuda dari enjin asalnya seperti yang berlaku pada Fiesta ST200, di mana ia mampu menjana 10% lebih kuasa dan 20% lebih tork berbanding Fiesta ST standard. Dalam kes Fiesta, pihak Ford menala semula enjin asal 1.6 liter EcoBoost tersebut bagi mendapatkan kuasa maksima 200 PS dan tork maksima 290 Nm, peningkatan sebanyak 15 PS dan 30 Nm tork dari jumlah asal.

    Peningkatan pada varian baru Focus ST ini dijangkakan tidak terlalu radikal iaitu tambahan kuasa kuda sekitar 25 ke 30 PS. Jadi ada kemungkinan varian tersebut akan dikenali sebagai Focus ST275 atau ST280, bergantung pada jumlah kuasa kuda tambahan yang akan diekstrak kelak.

    Juga jangkaan yang boleh dilakukan berdasarkan perubahan yang berlaku pada Fiesta, varian baru ini mungkin akan tampil dengan sedikit perubahan pada bahagian luaran, kemasan dalaman, roda aloi baharu, dan mungkin juga nisbah akhir pada kotak gear yang dikemaskini.

     
     
  • Minyak enjin Shell Rimula R6 LM 10W-40 dilancar di M’sia – tawar penggunaan pelincir 45% lebih rendah

    2016-Shell-Rimula-R6-LM-diesel-lube-launch-10_BM

    Shell Malaysia hari ini telah melancarkan minyak pelincir sintetik untuk enjin diesel kerja berat (HDDEO) terbaharu mereka iaitu Shell Rimula R6 LM 10W-40, yang diasaskan dari gas asli. Minyak pelincir yang dibuat dari minyak asas yang sangat bersih tersebut direka menggunakan teknologi PurePlus Shell untuk memanjangkan jangka hayat enjin, memanjangkan lagi tempoh jarak penukaran minyak pelincir dan mengurangkan penggunaan bahan api.

    Ia juga disertakan bersama teknologi Aditif Adaptif Shell, yang membolehkan pengguna Rimula R6 mendapat perlindungan menentang kerosakan 53% lebih bagus berdasarkan had MB 228.51, seperti yang diukur semasa ujian enjin MB OM 646 LA. Rimula R6 LM turut menawarkan penggunaan bahan pelincir 45% lebih rendah berbanding had Volvo VDS-4, yang diukur pada ujian enjin Mack T12 300 h.

    Minyak enjin terbaharu Shell ini juga menepati piawaian Institut Petroleum Amerika (API) CJ-4, yang memerlukan pelinciir direka untuk enjin yang menggunakan diesel mengandungi kandungan sulfur yang sangat rendah. Ini bermaksud minyak pelincir sintetik Rimula R6 boleh digunakan pada enjin yang menggunakan diesel Euro 5, yang sekarang ini ditawarkan di stesen minyak tertentu di seluruh negara.

    Minyak pelincir Shell Rimula R6 LM in dijual pada harga RM572.60 untuk satu tong berkapasiti 20-liter. Shell juga menawarkan minyak pelincir diesel semi-sintetik Rimula R5 LE dengan harga RM354.40 untuk setiap tong berkapasiti 20 liter.

    Sempena pelancaran Rimula R6 ini, Shell turut mengumumkan pertandingan global Shell Rimula 2016. Dalam pertandingan ini, lapan pemenang akan dibawa ke Afrika Selatan untuk cabaran pemanduan yang unik. Layari laman web Shell untuk maklumat terperinci berkenaan pertandingan tersebut.

     
     
  • Peugeot dedah i-Cockpit baharu untuk model generasi seterusnya – menampilkan kluster instrumen digital

    Peugeot_i-Cockpit_9

    Peugeot telah mendedahkan i-Cockpit baharu yang bakal diimplementasikan pada model generasi akan datang. Dengan mendedahkan foto rekaan bentangan papan pemuka i-Cockpit generasi kedua ini, ia turut menampilkan lebih banyak elemen futuristik termasuk skrin digital 12.3-inci. Secara kebetulannya, ia memiliki saiz yang sama dengan Audi Virtual Cockpit.

    Generasi pertama i-Cockpit dilancarkan pada tahun 2012, dengan kluster instrumen yang dipasang lebih tinggi selaras dengan pandangan mata pemandu. Malah semua data pemanduan senang untuk dilihat oleh pemandu kerana dalam masa yang sama pemandu masih boleh memfokuskan pemanduan pada setiap masa.

    Selain kluster instrumen digital-penuh, Peugeot juga akan mengetengahkan paparan skrin sesentuh lapan-inci bagi sistem hiburannya. Ia dipasang di bahagian tengah panel instrumen dan dikatakan memiliki lebih respons berbanding yang sebelum ini. Kedua-dua paparan ini juga boleh memaparkan imej navigasi 3D dengan info waktu-sebenar daripada TomTom Traffic. Sementara skrin lapan-inci ini juga boleh menyokong sambungan Android Auto, Apple CarPlay dan MirrorLink.

    Malah bahagian dalamannya juga hanya memiliki beberapa butang dan tombol fizikal memandangkan sistem hiburan dikawal secara digital. Peugeot juga memberitahu roda stereng dua-jejari juga akan direka semula dengan saiz diameter yang lebih kecil bagi memberikan pandangan yang lebih jelas pada skrin digital. Ia dinaik tarafkan berikutan terdapat banyak komen daripada pengguna yang i-Cockpit generasi pertama terlindung dek roda stereng.

    Peugeot 3008 generasi kedua dikatakan akan menjadi model pertama yang menggunakan i-Cockpit baharu ini. Ia mungkin akan diperkenalkan secara rasmi pada Oktober ini di Paris Motor Show sebelum memulakan jualan pada akhir tahun ini.

     
     
  • BMW 7 Series edisi seabad “The Next 100 Years”

    2016-bmw-individual-7-series-the-next-100-years-003-e1461135067647_BM

    Sebagai memperingati ulang tahun ke-100 BMW tahun ini, gergasi automotif dari Jerman berkenaan telah menghasilkan edisi istimewa BMW 7 Series. Diberi nama G12 BMW Individual 7 Series “The Next 100 Years,” model ekslusif edisi terhad ini hanya dihasilkan sebanyak 100 unit di kilang BMW yang terletak di Dingolfing, Jerman.

    Hanya tiga pilihan unit janakuasa ditawarkan untuk model edisi istimewa ini yang terdiri daripada enjin 6.6 liter V12 berkuasa 610 hp untuk BMW M760 Li xDrive, enjin 4.4 liter V8 berkuasa 450 hp untuk BMW 750Li dan juga enjin 2.0 liter berkuasa 326 hp untuk BMW 740Le iPerformance plug-in hybrid. Senarai penuh varian yang disediakan adalah:

    • BMW Individual 740Le iPerformance The Next 100 Years
    • BMW Individual 740Le xDrive iPerformance The Next 100 Years
    • BMW Individual 750Li The Next 100 Years
    • BMW Individual 750Li xDrive The Next 100 Years
    • BMW Individual M760Li xDrive Model V12 Excellence The Next 100 Years

    Pada bahagian luaran, BMW Individual 7 Series The Next 100 Years ini boleh dikenalpasti dengan warna ekslusif Centennial Blue Metallic dan juga tanda istimewa yang dibuat dengan tangan pada tiang-B kereta ini. Kesemua varian dilengkapi dengan roda aloi forged berdiameter 20-inci yang ringan menampilkan jejari bermotif-V dan juga kemasan kombinasi warna perak/ferric grey.

    2016-bmw-individual-7-series-the-next-100-years-004-e1461135197599_BM

    Masuk kebahagian dalaman, upholstery model ekslusif ini menerima balutan kulit Merino Smoke White pada bahagian tempat duduk, panel pintu, tiang-B, bahagian atas dan bawah panel instrumen, konsol tengah, perehat tangan dan pemegang pintu. Tempat duduk kereta ini juga menampilkan permukaan seperti ditenun, jaluran-jaluran ditenun dengan tangan, dan juga serlahan berkelim.

    Karpet kaki, tali pinggang keledar dan balutan bumbung BMW Individual untuk kereta ini diperbuat daripada bahan Alcantara. Ia juga dilengkapi dengan jaluran bahagian dalaman dengan kemasan piano black dan juga roda stereng balutan kulit BMW Individual dengan kemasan kayu sebenar. Nombor siri spesifik untuk setiap 100 unit model edisi terhad ini dicetak pada penutup pemegang cawan di bahagian konsol tengah.

    Walaupun dihasilkan sebagai 7 Series istimewa, ada beberapa ciri pilihan yang terlepas pandang oleh pihak BMW yang terdiri daripada lampu hadapan BMW Laserlight, Stereng Aktif Integral BMW, lampu ambien, Welcome Light Carpet, sistem audio Bowers & Wilkins Diamond Surround Sound , pakej Ambient Air dan juga ciri-ciri lain.

    Kelengkapan opsyenal lain yang termasuk dalam pakej Executive Lounge terdiri daripada sistem penghawa dingin automatik empat zon, tempat duduk comfort boleh laras elektrik dengan fungsi mengurut dan Vitality Programme, aliran udara tempat duduk aktif, tempat duduk dan konsol ruang belakang Executive Lounge dan juga Rear Compartment Entertainment Experience termasuk Touch Command BMW.

    Setiap pembelian BMW Individual 7 Series The Next 100 Years ini juga didatangkan sekali pen founten istimewa keluaran Montblanc. Pen tersebut dikatakan telah direka dengan kerjasama bahagian rekabentuk BMW sendiri, dan juga dihasilkan hanya 100 unit sahaja – iaitu sebatang untuk setiap seorang pemilik model istimewa ini.

    Pen yang diberi nama “Montblanc Meisterstück” tersebut hadir dengan struktur permukaan dari pen founten Meisterstück Skeleton, mencerminkan permukaan pada tempat duduk BMW keluaran khas ini. Elemen telus-cahaya pada pen ini pula datang dengan kemasan Centennial Blue Metallic dan menampilkan mata pena plat rhodium, emas Au750 Montblanc.

     
     
  • Volkswagen Scirocco R PPV430R 430 hp talaan Aspec tawar kit badan lebih lebar, enjin lebih berkuasa

    Volkswagen-Scirocco-R-by-Aspec-6_BM

    Syarikat penalaan dari China, Aspec telah mengeluarkan kit talaan yang bukan sahaja melibatkan kenaikan kuasa kuda, ia turut menyediakan pakej kit badan yang lebih lebar. Pakej yang diberi nama Performance Project Volkswagen 430R (PPV430R) tersebut, kini sudah sedia dalam pasaran.

    Seperti yang dinyatakan tadi, kit badan luaran kini yang menjadikan Scirocco kelihatan jauh lebih lebar menampilkan komponen yang terdiri dari gril hadapan, bonet hadapan berliang, cermin sisi yang direka semula, skirt sisi yang lebih labuh, spoiler belakang, dan sudah tentu fender dan panel sisi belekang yang lebih lebar.

    Badan yang telah dilebarkan tersebut dipadankan dengan roda aloi forged Aspec MF75 berdiameter 19-inci dan menyembunyikan angkup brek Aspec-alcon enam silider di hadapan serta pelapik brek Pagid serta tiub-tiub saluran brek yang disalut dengan sulaman logam.

    Tanpa menyenaraikan peralatan yang terkandung dalam kit tingkat taraf enjin, Aspec mendakwa pemadanan kit tersebut mampu melonjakkan kuasa asal 255 ps Scirocco kepada 430 hp. PPV430R ini juga disertakan sekali dengan sistem injap ekzos pintar iDEAS Aspec.

     
     
  • Range Rover Evoque Edisi Istimewa Ember diperkenalkan, menampilkan InControl Touch Pro

    RR-Evoque-Ember-SE-08

    Land Rover telah memperkenalkan Range Rover Evoque edisi istimewa “Ember” dengan tema warna merah dan hitam. Ia berasaskan HSE Dynamic, Ember menggabungkan Firenze Red dengan Santorini Black. Logo belakang ‘Evoque’ berwarna hitam dengan tona perak disekelilingnya, sementara perkataan ‘Range Rover’ di hadapan pula berwarna hitam.

    Elemen Black Pack termasuk rim aloi Satin Black 20-inci, kekemasan ekzos Black Dynamic, gril Dynamic Narvik Black dan lampu hadapan dan belakang yang lebih gelap bagi menyerlahkan lagi imej Ember.

    Tema itu turut melatari bahagian dalam, dengan tempat duduk Ebony Black dengan jahitan kontras Pimento Red, karpet lantai hitam dan merah premium serta kekemasan Gloss Black. Ember boleh ditempah dalam jangka masa terhad selama tiga bulan pada musim panas ini di UK dan penghantarannya dijangka bermula September.

    RR-Evoque-Ember-SE-09

    Antara elemen baharu bagi model 2017 ialah sistem hiburan InControl Touch Pro generasi akan datang, HSE Dynamic, HSE Dynamic Lux dan Autobiography standard untuk semua varian. Diperkenalkan pada pelancaran Evoque Convertible, InControl Touch Pro termasuklah skrin sesentuh 10.2-inci dengan gaya ala-tablet yang boleh dibesarkan untuk kawalan zum dan sebagainya.

    Skrin ini juga mempunyai format yang cukup lebar iaitu 21:9 dengan resolusi piksel 1280 x 542 iaitu 80% lebih tinggi berbanding skrin sesentuh lapan-inci standard pada Evoque. Malah ia juga boleh digunakan bersama aplikasi telefon pintar Land Rover Route Planner dan membenarkan destinasi dirancang. Selain itu, ia juga termasuk dengan peta 3D difinisi tinggi dan sistem kamera sekeliling.

    Ia juga menampilkan ‘Low Traction Launch’ bagi mempertingkatkan keupayaan pacuan Evoque dalam semua laluan. Ia menggunakan mod pemanduan yang boleh dipilih secara manual dan membolehkan kenderaan melalui pemukaan bergeseran rendah dengan lebih optimum. Ia juga mengawal jumlah tork bagi membolehkan pemandu mengawal pergerakan roda dan memaksimumkan tujahan pacuan mengikut keadaan.

    RR-Evoque-Ember-SE-04

    Land Rover turut menawarkan Graphite Design Pack untuk Evoque Autobiography. Ia didatangkan dengan rim aloi unik 20-inci dengan Satin Technical Grey, termasuk gril Dynamic berwarna hitam dengan Satin Dorchester Grey di sekelilingnya.

    Bumbung, bonet dan perkataan di pintu belakang berwarna hitam, lampu hadapan dan belakang juga lebih gelap, kekemasan ekzos berwarna hitam Dynamic, perincian kekemasan juga berwarna hitam pada perumah cermin sisi, sekeliling lampu kabus, corong dapra dan pintu belakang.

    Selain itu, ia turut ditawarkan dengan pilihan warna bagi badan yang lebih banyak, termasuk Aruba, Farallon Black, Carpathian Grey dan Silicon Silver dengan semuanya berjumlah 18 warna.

     
     
  • Audi dilapor telah membina peranti pengubah pada 1999, lebih awal dari skandal Dieselgate Volkswagen

    2016-audi-tts-driven-malaysia- 020

    Ketika skandal emisi diesel yang heboh diperkatakan sebelum ini, Akhbar Jerman Handelsbatt melaporkan Audi telah terlebih dahulu membina peranti pengubah berkenaan pada tahun 1999, sebelum ia dieksploitasi oleh Volkswagen Group.

    Laporan tersebut menyebut jurutera-jurutera Audi telah membina perisian yang boleh menghentikan beberapa fungsi enjin kenderaan ketika situasi-situasi tertentu dikesan, contohnya semasa ujian kitaran emisi. Ini akan membolehkan enjin kenderaan berkenaan menghasilkan emisi yang lebih rendah daripada senario dalam penggunaan dunia sebenarnya.

    Walau bagaimanapun, Audi, dan lain-lain jenama dibawah naungan Volkswagen Group dikatakan tidak pernah menggunakan sistem berkenaan dalam model produksi mereka. Selepas sekurang-kurangnya enam tahun kemudian, apabila jurutera Volkswagen tidak dapat menyelesaikan masalah untuk menurunkan kadar emisi berdasarkan undang-undang baharu, mereka mula menggunakan teknologi yang dibangunkan oleh Audi tersebut.

    Sementara itu menurut laporan Reuters pula, Volkswagen dan Audi menafikan kenyataan yang dilaporkan oleh penerbitan dari Jerman tersebut. Ia juga menyatakan penyiasatan yang sedang dilakukan oleh firma undang-undang Amerika Syarikat melarang mereka daripada mengeluarkan apa-apa kenyataan berhubung perkara tersebut.

    Walaupun proses panggilan semula ditangguhkan baru-baru ini kerana wujud dakwaan penggunaan bahan api yang meningkat setelah talaan semula dilakukan, Volkswagen telah mula mencari jalan penyelesaian untuk memperbaiki semula kenderaan mereka di Eropah. Walau bagaimana pun, di Amerika Syarikat, isu ini menjadi lebih merumitkan dengan firma undang-undang, Jabatan Keadilan Amerika Syarikat dan juga Suruhanjaya Perdagangan Persekutuan menyaman pengeluar kenderaan terbabit atas kesalahan yang mereka lakukan.

     
     
  • SPYSHOT: Proton menguji MPV Suzuki Ertiga di M’sia

    Proton-Ertiga-Spyshot_BM

    Kami menerima gambar sebuah MPV misteri dilekatkan dengan pelekat penyamaran yang sedang diuji di atas jalan raya Malaysia. Berdasarkan susuk badan MPV dengan tiga barisan tempat duduk tersebut dan juga bentuk pada lampu belakangnya, boleh disahkan ia adalah sebuah Suzuki Ertiga.

    Suzuki telah mengesahkan menutup operasi jenama mereka sendiri di Malaysia dan diumumkan akan bekerjasama dengan Proton melalui Perjanjian Persefahaman (MoU) yang ditandatangani pada awal tahun ini.

    Pada bulan Januari lalu juga, laporan berita dari Indonesia mengesahkan PT Suzuki Indomobil Sales (SIS) akan mengeksport Ertiga dalam bentuk knocked down ke Malaysia sebanyak 1,500 unit sebulan bermula suku kedua 2016 dan akan di rebadge dengan jenama Proton.

    Pendedahan seterusnya juga mengatakan komponen-komponen knocked down akan diproduksi di kilang SIS Cikarang bermula Mei 2016 dan kemudiannya Proton telah mengumumkan sendiri model pertama hasil kolobrasi antara Proton dan Suzuki akan memasuki produksi sebelum akhir 2016.

    Ertiga diperkenalkan buat pertama kali sejak 2012 dan versi faceliftnya muncul pada tahun lalu. Model yang diuji ini menampilkan bampar pre-facelift yang menempatkan lampu kabus dibahagian tengah serta bahagian diffuser yang telah direka semula. Roda berdiameter 15-inci dan dibaluti dengan tayar GT Radial juga adalah seiras dengan model facelift Ertiga. Tanpa imej bahagian hadapan, tidak dapat dipastikan sama ada MPV ini telah menerima rekaan muka baharu yang telah “diProtonkan” ataupun tidak, tetapi trade plate “B 458 A” tersebut adalah sah milik Proton.

    Berdasarkan dimensi asal Ertiga, MPV tujuh-tempat duduk ini mempunyai jarak roda berukuran 2,740 mm (Perodua Alza 2,750 mm, Proton Exora 2,730 mm) dan dijana oleh enjin K14B 1.4 liter berkuasa 92 ps dan tork 130 Nm. Ia dipadankan dengan pilihan transmisi empat-kelajuan automatik atau lima kelajuan-manual. Varian Ertiga Dreza yang diberikan muka yang lebih unik dan juga beberapa ciri tambahan telah dipasarkan di Indonesia dan juga Thailand. Mazda juga turut menghasilkan model rebadge Ertiga untuk pasaran Indonesia yang digelar VX-1.

    GALERI: Imej render “Proton Ertiga”


    GALLERY: Suzuki Ertiga facelift di GIIAS 2015

     
     
  • JPJ umum Malaysia telah kuatkuasa 100 Peraturan UN

    jpj roadblock-2

    Malaysia telahpun menguatkuasakan 100 Peraturan United Nation (UNR) yang telah ditetapkan sebagai standard antarabangsa, menurut laporan Bernama.

    Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Seri Ismail Ahmad berkata Peraturan UNR ini telah diiktiraf oleh 51 negara yang menganggotai Forum Dunia untuk Pengharmonian Undang-undang Kenderaan (WP29) untuk memastikan tahap keselamatan kenderaan, termasuk lampu, tayar, sistem brek dan kawalan kestabilan casis.

    Beliau turut berkata Malaysia sudahpun menganggotai WP29 sejak 4 April 2006 dan JPJ telahpun diiktiraf oleh UN sebagai ‘Autoriti Kelulusan’ sejak 20 Julai 2012 dan mensasarkan Malaysia akan menguatkuasakan pula 126 Peraturan UN menjelang 2020.

    Tambah beliau lagi WP29 menerapkan konsep Aturan Pengiktirafan Bersama yang akan membuka halangan perdagangan teknikal untuk menambahkan lagi keselamatan kenderaan tempatan dan turut merangsang ekonomi.

    “Kami berharap implementasi UNR menerusi proses Kelulusan Jenis Kenderaan (VTA) akan mengurangkan kadar kematian ketika kemalangan kepada tiga peratus setiap tahun sehingga 2020 dari enam peratus buat masa sekarang,” kata Ismail.

     
     
  • Harap PDRM tangguh kenaikan saman trafik – senator

    PDRM-2

    Senator Datuk Ng Chiang Chin telah menyuarakan pendapatnya Polis DiRaja Malaysia (PDRM) mengkaji semula kenaikan kadar kompaun trafik seperti yang dicadangkan oleh pihak tersebut pada Februari lalu.

    Menurut Ng, cadangan menaikkan kadar kompaun untuk mendidik pesalah tegar jalan raya bukan penyelesaian terbaik, laporan Bernama.

    “Pihak berkuasa perlu mempamerkan komitmen untuk melakukan penguatkuasaan yang lebih ketat bukan hanya bermusim ketika musim perayaan sahaja,” katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Negara.

    Ng berpandangan langkah-langkah penguatkuasaan yang lebih ketat perlu dipertingkatkan terlebih dahulu sebelum melaksanakan kenaikan kadar kompaun yang akan membebankan pengguna jalan raya.

    Beliau berkata cadangan itu perlu diperhalusi kerana kemalangan jalan raya adalah berpunca daripada sikap pemandu yang cuai terutama golongan muda.

    Pada Februari lepas, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mencadangkan jumlah kompaun maksimum trafik dinaikkan sebagai langkah mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

    Namun awal bulan ini pula, PDRM telah menyatakan sepenuhnya sokongan terhadap cadangan Kementerian Pengangkutan untuk mengurangkan kadar saman trafik dari RM300 ke RM150. Walau bagaimana pun, bagi kesalahan trafik yang serius, kadar samannya harus dikekalkan.

     
     
  • Uber uji bayaran tunai untuk perkhidmatan di KL

    uber-cash-payment

    Uber telah mengumumkan, kini pihaknya sedang menguji kaedah pembayaran secara tunai untuk perkhidmatan di Kuala Lumpur. Syarikat perkhidmatan pengangkutan dalam talian ini turut mensasarkan untuk memperluaskan lagi rangkaian perkhidmatan mereka dengan memperkenalkan tunai sebagai pilihan bayaran alternatif.

    “Buat setakat ini, kami sedang menguji kaedah pembayaran secara tunai di Kuala Lumpur memandangkan kami banyak menerima maklumbalas positif mengenainya. Sekiranya ia sesuai untuk dilaksanakan, kami berharap kaedah pembayaran tunai ini turut dapat diperluaskan di semua lokasi kami di Malaysia,” ujar wakil Uber.

    Menurut Pengarah Komunikasi Uber Asia Pasifik Amy Kunrojpanya pula, langkah memperkenalkan pembayaran tunai ini dilihat suatu tindakan yang tepat memandangkan ada sesetengah pelanggan terutamanya yang baru hendak berjinak-jinak dengan perkhidmatan ini mungkin tidak ada atau enggan menggunakan kad kredit.

    “Tidak semua orang mahu menggunakan kad kredit atau pun traksaksi dalam talian. Jadi kami amat memahami perkara ini, lantas mahu memperkenalkan kaedah pembayaran alternatif kepada rakyat Malaysia. Dan tidak dinafikan bayaran tunai mungkin lebih mudah untuk dibuat,” ujarnya, sambil menambah jika dilaksanakan, ia dijangka mampu menambah bilangan pemandu baharu sekitar 45%.

    Terdapat lima langkah bagi pembayaran secara tunai iaitu pilih pembayaran menerusi applikasi, pilih tunai sebagai pilihan pembayaran, sahkan lokasi pengambilan dan pilih kenderaan. Dan apabila sampai ke lokasi, pelanggan hanya perlu membayar tambang secara tunai (dinasihatkan agar bayaran tersebut mengikut yang dinyatakan dan tidak berbaki) terus kepada pemandu Uber.

     
     
  • Peugeot memandang lebih kehadapan dan menjangka trend SUV global akan berakhir

    PEUGEOT_2008_1802STYP002_0_BM

    Walaupun permintaan terhadap SUV sedang meningkat di seluruh dunia, CEO Peugeot Maxime Picat mengatakan trend tersebut tidak akan kekal buat selama-lamanya. Seperti yang dilaporkan oleh Autocar UK, pembuat kereta dari Perancis tersebut sudahpun memandang lebih kehadapan dan mencari trend seterusnya.

    “Kami sedang berusaha untuk mencari jawapan persoalan tersebut, dan kami ada beberapa idea yang menarik yang boleh kami implementasikan sementara pasaran SUV masih lagi kuat,” kata Picat. “Kami nampak semakin ramai pelanggan yang tahu mereka tidak mahukan SUV tetapi dalam masa yang sama memandang saloon dan hatchback sebagai sesuatu yang bosan – mereka mahukan sesuatu yang lain, yang lebih cantik. Saya tidak akan memberikan jawapannya hari ini, tetapi ia di dalam lapangan tersebut dan kami sedang menerokanya dengan bersungguh-sungguh.”

    Spyshot Peugeot 3008 (kiri) and 5008 (right) generasi seterusnya

    Tidak lagi menjadi rahsia yang Peugeot sendiri sedang membina dua buah SUV generasi seterusnya, iaitu 3008 dan 5008. Walau bagaimanapun Picat percaya bentuk badan seperti itu bukanlah yang paling efisien untuk jenisnya, kekurangan potensi dalam mempelbagaikan bentuknya. “Ada had untuk bentuk badan tersebut. Saya tidak nampak versi coupe dan convertible boleh dijual seperti saloon. Sebab itu kami fikir trend SUV ini akan berubah lebih cepat daripada apa yang kita saksikan pada masa lalu.”

    Picat mengakui pengeluar-pengeluar kenderaan, termasuk syarikatnya sendiri, terburu-buru dalam membina SUV baharu untuk pasaran, dan sebab itu era SUV mungkin tidak akan kekal lama. Autocar UK juga menyatakan SUV dan crossover kini menguasai 23% dalam pasaran jualan kereta di Eropah pada 2015 dan lebih dari 35% dalam jumlah keseluruhan jualan kereta di Amerika Syarikat. Menjelang 2020, penganalisa mendakwa SUV akan menguasai lebih dari 50% dalam jumlah keseluruhan jualan kereta seluruh dunia.

    GALERI: Spyshot Peugeot 3008


    GALERI: Spyshot Peugeot 5008

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025