Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Honda Malaysia bawakan siri jelajah Gen H di Stadium Bukit Jalil pada 17-18 Jun – pelbagai acara diadakan

    Honda Malaysia bawakan siri jelajah Gen H di Stadium Bukit Jalil pada 17-18 Jun – pelbagai acara diadakan

    Selepas Pulau Pinang, Honda Malaysia bakal membawakan siri jelajah Gen H ke Stadium Bukit Jalil pada hujung minggu ini pula. Menantikan kehadiran para pengunjung pada 17 hingga 18 Jun ini, mulai jam 10 pagi hingga 10 malam, pelbagai acara bakal diadakan termasuklah funfair dan banyak lagi.

    ‘Gen H’, dengan ‘H’ mewakili ‘Honda, Hybrid and Hype’ dianjurkan untuk berkongsi pengalaman dan keseronokan teknologi hibrid dengan rakyat Malaysia. Jadi, pelbagai model hibrid e:HEV Honda seperti City, City hatchback, Civic dan HR-V bakal dipamerkan. Bukan itu sahaja, pengunjung juga berpeluang untuk memandu ujinya. Paling menarik, tiada sebarang caj kemasukan dikenakan, dalam erti kata lain, percuma sahaja kalau menyertai acara ini.

    “Honda Malaysia merupakan pelopor dalam memperkenalkan teknologi hibrid di Malaysia sejak 19 tahun yang lalu apabila kami menawarkan teknologi Integrated Motor Assist (IMA) pada Civic Hybrid. Maklumbalas berhubung teknologi IMA ini positif dan kami memperkenalkannya pula Sport Hybrid i-DCD pada tahun 2017 menerusi model City dan Jazz Hybrid yang bernilai untuk wang, menyeronokkan untuk dipandu dan didorong prestasi, memenuhi pasaran massa.

    “Ini secara berkesan mengubah persepsi kereta hibrid dalam kalangan rakyat Malaysia. Hari ini, teknologi telah berkembang dengan ketara, dengan teknologi hibrid termaju kami yang terkini, e:HEV, sistem hibrid dua motor yang memberikan prestasi dan kecekapan yang berkuasa pada masa yang sama sambil mengekalkan DNA yang menyeronokkan untuk dipandu,” kata CEO dan Pengarah Urusan HM Hironobu Yoshimura.

    Penjana kuasa e:HEV hybrid bekerja amat berbeza dengan IMA dan i-DCD, di mana lebih banyak perbatuan ditempuhi tanpa ICE, menghasilkan penjimatan bahan api yang jauh lebih baik.

    Enjin 1.5L e:HEV pertama kali diperkenalkan di Malaysia pada tahun 2020 menerusi City, dan ia merupakan pengenalan di peringkat dunia bagi varian sedan RS e:HEV. Kemudian, HM memperkenalkan e:HEV bagi City Hatchback dan HR-V pada tahun 2022.

    Versi terkini dan yang paling berkuasa untuk teknologi ini diperkenalkan pada November 2022 menerusi Civic FE. Penjana kuasa 2.0L mampu menghamburkan kuasa hingga 184 PS/315 Nm. Jika Civic turbo mampu dipecut dari 0-100 km/j dalam 7.9 saat, Civic e:HEV pula 8.3-8.5 saat. Bagi penggunaan bahan apinya pula, 4.0 liter per 100 km bagi varian e:HEV dan 6.3 liter untuk turbo.

    Setakat ini, Honda Malaysia telah menjual lebih 2,800 unit City dengan teknologi e:HEV, lebih 1,600 unit untuk City Hatchback dan lebih 2,600 unit bagi HR-V Hybrid. Manakala hampir 600 unit untuk Civic e:HEV.

     
     
  • BYD pintas Tesla sebagai jenama EV paling laris di Singapura bagi lima bulan pertama tahun 2023

    BYD pintas Tesla sebagai jenama EV paling laris di Singapura bagi lima bulan pertama tahun 2023

    Pembuat automotif dari China, BYD telah memintas kedudukan Tesla sebagai jenama EV paling laris di Singapura bagi lima bulan pertama tahun ini, lapor Straits Times.

    Berdasarkan data dari Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) Singapura, BYD telah mendaftarkan sebanyak 303 unit EV di republik berkenaan dari Januari hingga Mei, membolehkan ia berada di hadapan pembuat EV dari Amerika Syarikat tersebut yang hanya mendaftarkan sebanyak 283 unit EV untuk tempoh masa yang sama.

    Tesla merupakan jenama EV paling laris di Singapura pada tahun lalu dan BYD berada di tempat kedua dengan ketinggalan hanya 89 unit. Jumlah jualan Tesla di negara berkenaan tahun lalu juga sebenarnya telah turun dari menguasai pendaftaran sebanyak 53.1% pada 2021 kepada hanya 24.1% pada 2022.

    BYD pintas Tesla sebagai jenama EV paling laris di Singapura bagi lima bulan pertama tahun 2023

    Data dari LTA itu juga mendedahkan bahawa sebanyak 1,462 kereta elektrik telah didaftarkan di Singapura sepanjang lima bulan pertama tahun ini, dan ia adalah 13.4% dari jumlah pendaftaran keseluruhan kenderaan baharu di republik tersebut – naik 11.7% berbanding tempoh sama tahun lalu.

    Namun jumlah keseluruhan kenderaan elektrik dalam Singapura masih lagi rendah, iaitu hanya 7,961 unit EV yang digunakan di atas jalan raya negara tersebut pada akhir Mei lalu, atau hanya 1.2% dari populasi keseluruhan kereta di sana.

    Laporan itu juga turut menambah separuh dari 10 jenama automotif paling laris di Singapura iaitu Mercedes-Benz (171 unit), Hyundai (56), Polestar (51), Porsche (43) dan MG (42) mengalami kejatuhan dari segi pegangan bahagian pasaran. Manakala Opel (98 unit) dan Volvo (57) pula merupakan dua jenama yang berjaya masuk ke senarai 10 terlaris tersebut, dengan mengenepikan BlueSG (syarikat perkongsian kereta elektrik Bluecar) dan juga Audi yang terkeluar.

     
     
  • Polis minta saksi kejadian kemalangan maut babitkan penunggang Ducati di SUKE tampil bantu siasatan

    Ekoran kes kemalangan yang membabitkan penunggang motosikal berkuasa tinggi yang maut akibat kecederaan parah selepas motosikal yang ditunggangnya melanggar penghadang sebelah kiri jalan di KM 22.2 Lebuhraya Sungai Besi Ulu Kelang (SUKE) berhampiran Ulu Kelang, semalam, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya meminta saksi kejadian tampil untuk membantu siasatan.

    Dalam kejadian kira-kira 1 tengah hari semalam, Ahmad Fadzil Omar Azzadin, 62, yang menunggang motosikal Ducati Panigale meninggal dunia akibat parah selepas terbabas dan terjatuh dari jejambat SUKE apabila cuba mengelak penunggang motosikal lain yang melawan arus.

    “Pihak polis sedang giat menjalankan usaha bagi mengesan suspek yang dipercayai menunggang motosikal jenis berkuasa rendah, memakai jaket warna terang dan bertopi keledar warna gelap. Kami menggesa rakan-rakan serta orang awam bagi membantu siasatan dengan membuat hebahan dan jika ada saksi atau rakaman kamera dashcam di lokasi kemalangan, diminta saksi yang berkenaan untuk tampil bagi membantu siasatan pihak polis.

    Polis minta saksi kejadian kemalangan maut babitkan penunggang Ducati di SUKE tampil bantu siasatan

    “Saksi kejadian boleh berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Trafik IPD Ampang Jaya Insp Muhamad Yusaiful Bin Muhamat Basir di talian 011-13078348,” kata kenyataan yang dikeluarkan oleh IPD Ampang Jaya.

    Dalam masa yang sama, Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) selaku pengendali SUKE memaklumkan sudah menyerahkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berkenaan kemalangan berkenaan.

    “Rakaman video dan bahan bukti lain turut diserahkan bagi membantu siasatan, dan pihak kami berharap ia dapat membantu mengesan penunggang motosikal yang melawan arus itu. Mengenai aspek keselamatan di SUKE, untuk pengetahuan semua, reka bentuk lebuhraya ini memenuhi piawaian dan kriteria spesifikasi yang telah ditetapkan.

    “Susulan insiden berkenaan, kami turut sesali dengan apa yang berlaku (kemalangan maut berkenaan) dan akan memperbanyakkan lagi isyarat tanda jalan di beberapa laluan. Kami mohon kerjasama para pengguna lebuhraya ini agar mematuhi peraturan undang-undang jalan raya,” kata CEO Kumpulan Prolintas, Datuk Mohammad Azlan Abdullah dalam sidang media sempena pelancaran Fasa 2 Lebuhraya SUKE di Plaza Tol Alam Damai, Cheras, tengahari tadi.

     
     
  • Jejambat Bangsar ke Semantan dibuka Julai ini

    Jejambat Bangsar ke Semantan dibuka Julai ini

    Untuk yang menetap atau bekerja di Bangsar dan Damansara Height dan sering menggunakan Lebuhraya Sprint dari PJ ke KL, ini ada berita baik untuk anda. Sebahagian jejambat (flyover) dari Jalan Maarof ke Jalan Semantan bakal dibuka mulai 1 Julai ini.

    Walau bagaimana pun, menurut laporan The Star yang menghubungi sendiri pihak DBKL, hanya dua daripada tiga lorong di jejambat terbabit yang akan dibuka pada bulan hadapan. Manakala lorong ketiga hanya akan dibuka pada Disember 2023. Pada Mac lalu, dilaporkan dua lorong berkenaan bakal dibuka pada Mei, namun ternyata ia tidak kesampaian.

    Menurut sumber akhbar berkenaan, pihak kontraktor projek berkenaan gagal untuk memenuhi jangkamasa yang diberikan iaitu sepatutnya siap pada Mei lalu, disebabkan oleh sekatan pihak berkuasa terhadap penutupan lorong sebelum ini, yang telah menjejaskan kerja-kerja jambatan kritikal.

    Gambar yang diambil di Persimpangan Jalan Maarof-Sprint pada Oktober 2022

    Dianggarkan menelan belanja sekitar RM211 juta, ini merupakan projek perkongsian swasta-awam (dengan Pavilion Damansara iaitu bangunan pusat membeli-belah di Pusat Bandar Damansara) yang mula beroperasi sejak Disember 2017 dan dilancarkan oleh Menteri Persekutuan ketika itu, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pada Mac 2018.

    Jejambat sepanjang 1.34 km ini membolehkan pengguna jalan raya yang datang dari arah PJ untuk mengelak laluan dari stesen Petron ke stesen MRT Semantan. Laluan ini akan berakhir di Jalan Maarof untuk mereka yang menghala ke Bangsar. Ketika dalam pembinaannya, kesesakan teruk kerap berlaku di lokasi berkenaan. Adakah dengan adanya laluan baharu ini, ia bakal mengurangkan kesesakan di kawasan itu? Kena tunggu ia dibuka pada 1 Julai ini.

     
     
  • Perodua umum sejumlah 606,756 unit Axia sudah terjual di Malaysia dari 2014 sehingga 31 Mei 2023

    Perodua umum sejumlah 606,756 unit Axia sudah terjual di Malaysia dari 2014 sehingga 31 Mei 2023

    Ketika pelancaran semula Perodua Axia E generasi pertama ke pasaran pagi tadi, pengeluar automotif dari Rawang berkenaan mengumumkan bahawa sehingga 31 Mei 2023 lalu, sejumlah 606,756 unit Axia sudah pun diserahkan kepada pelanggan di Malaysia.

    Jumlah berkenaan sudah tentu termasuk model generasi pertama Axia yang diperkenalkan buat pertama kali pada 2014 (kemudian menerima fasa facelift pada 2017 dan 2019) serta model generasi kedua diasaskan dari platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) yang telah dilancarkan pada Februari tahun ini.

    Perodua Axia E generasi pertama ini dilancarkan semula ke pasaran bagi memenuhi permintaan pasaran kerana model generasi kedua hanya ditawarkan dengan varian G sebagai varian paling asas serta tidak mempunyai versi dengan kotak gear manual.

    Perodua umum sejumlah 606,756 unit Axia sudah terjual di Malaysia dari 2014 sehingga 31 Mei 2023

    Ia diperkenalkan semula dengan harga baharu yang lebih murah iaitu harga atas jalan tanpa insuran RM22,000, menjadikan ia kekal sebagai kereta baharu paling murah di Malaysia buat masa sekarang. Harga tersebut adalah RM16,600 lebih murah berbanding Axia G 2023 yang dijual pada harga RM38,600.

    Dengan harga yang begitu rendah tersebut, Axia E yang diperkenalkan semula ini datang dengan perincian seperti rim besi, dua beg udara dan juga enjin 1KR-VE 1.0 liter tiga silinder NA berkuasa 68 PS/91 Nm yang digandingkan hanya dengan kotak gear manual, tanpa pilihan transmisi automatik.

    Ia juga tidak dipadankan dengan radio dan pembesar suara, tiada brek ABS dan tiada sistem kestabilan elektronik (ESC).

     
     
  • Mangsa penipuan ‘kereta terpakai murah dari negara jiran’ meningkat tahun ini, kerugian cecah RM9.7 juta

    Mangsa penipuan ‘kereta terpakai murah dari negara jiran’ meningkat tahun ini, kerugian cecah RM9.7 juta

    Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengumumkan bahawa kes penipuan jual beli kenderaan secara dalam talian dilihat meningkat tahun ini, lapor Kosmo.

    Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, modus operandi yang dijalankan sindiket adalah menawarkan kenderaan import terpakai kononnya dari negara jiran pada harga lebih murah berbanding pasaran di media sosial.

    Beliau menyatakan bahawa tahun lalu, sebanyak 1,336 kes direkodkan dengan kerugian lebih RM18,884,583, berbanding tahun sebelumnya dengan 309 kes bersama kerugian lebih RM4,431,409.

    “Berdasarkan siasatan, modus operandi yang sering digunakan adalah mengiklankan kenderaan import terpakai yang kononnya dari Singapura, Thailand, Jepun dan sebagainya di medium media sosial.

    “Harga yang ditawarkan adalah lebih murah berbanding pasaran semasa. Mangsa berminat dengan tawaran itu kemudian akan diminta memasukkan wang ke akaun keldai konon untuk pembayaran wang proses, cukai jalan, geran, kastam dan sebagainya,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan.

    Mangsa penipuan ‘kereta terpakai murah dari negara jiran’ meningkat tahun ini, kerugian cecah RM9.7 juta

    Ramli menjelaskan, mangsa tidak menerima kenderaan yang dijanjikan selepas wang deposit tersebut dibayar. Justeru, beliau menasihati masyarakat supaya mengambil langkah pencegahan sebelum membuat pembelian seperti menyemak harga jualan semasa kenderaan terpakai di pasaran.

    “Selain itu, pembeli juga boleh hadir secara fizikal ke syarikat jualan kenderaan terpakai untuk melihat sendiri kenderaan yang dijual serta berbincang dengan ejen jualan sah.

    “Jangan mudah percaya dengan iklan jualan kenderaan terpakai yang menawarkan harga terlalu murah atau istimewa atas alasan pengecualian cukai kastam, kereta rampasan dan sebagainya yang tidak dapat dipastikan kesahihan,” katanya.

    Ramli menyarankan agar pembeli mastikan urusan perjanjian jual beli melalui kaedah yang diperakui supaya tidak menjadi mangsa. Beliau turut menjelaskan bahawa pembeli boleh membuat semakan pengesahan akaun bank dan talian telefon terlebih dahulu di portal semakmule untuk mengenal pasti akaun terbabit penipuan.

     
     
  • Perodua Axia E diperkenalkan semula — generasi pertama, 1.0 liter 67 hp/91 Nm manual; harga RM22k

    Perodua Axia E diperkenalkan semula — generasi pertama, 1.0 liter 67 hp/91 Nm manual; harga RM22k

    Ketika pengenalan Perodua Axia 2023 Februari lalu, pengeluarnya memaklumkan yang model paling murah varian E akan tetap ditawarkan. Dan hari ini, Perodua memperkenalkan varian berkenaan; lebih kepada pengenalan semula Axia E yang pernah ada sebelum ini — dari generasi pertama yang diperkenalkan pada 2014 (yang diberikan facelift pada 2017 dan 2019) dan bukannya dari Axia 2023 yang terbaru dengan platform DNGA.

    Jika ada yang tertanya-tanya apa bezanya berbanding Axia E sebelum ini, jawapannya tidak banyak. Paling utama ialah harganya: Axia E kini dijual pada harga RM22,000 — menjadikannya kereta paling murah di Malaysia ketika ini — berbanding harga terakhirnya sekitar RM24,090 bagi model yang diperkenalkan pada 2019 dahulu. Ini melibatkan penjimatan sebanyak RM2,090. Ini menurut Perodua merupakan harga yang bahkan lebih murah berbanding model Kancil ketika ia diperkenalkan dulu pada 1994.

    Perodua Axia E diperkenalkan semula — generasi pertama, 1.0 liter 67 hp/91 Nm manual; harga RM22k

    Ini juga merupakan kali pertama harga model Perodua yang sama diberikan untuk pasaran di Semenanjung dan Sabah/Sarawak. Dengan harga yang rendah ini juga, antara sasaran Perodua adalah untuk menarik perhatian penunggang motosikal untuk beralih kepada kereta — sebagai contoh, jumlah ansuran bulannya jika bagi tempoh tujuh tahun dengan kadar faedah 3.75% ialah sekitar RM300; jumlah ansuran yang sama juga biasanya dikenakan untuk motosikal dalam julat harga yang sama ketika ini.

    Dari segi penampilan, tidak banyak yang berubah untuk Axia E terbaru ini, hampir sama dengan apa yang pernah dilihat ada pada Axia E versi 2017 dan 2019 dahulu. Bahagian depan dapat dilihat mengenakan imej ringkas yang sama dengan versi tahun 2017, manakala bahagian belakang dan spesifikasinya mengikut model E yang terakhir ditawarkan pada 2019.

    Antara kelengkapan asas yang ada untuk Axia E ialah rim besi, dua beg udara tetapi tanpa ABS. Radio dan pembesar suaranya sama seperti sebelum ini, tidak disediakan. Enjinnya juga sama seperti Axia E yang lama, dengan unit 1KR-VE 1.0 liter NA tiga-silinder VVT-i yang menjana sebanyak 67 hp pada 6,000 rpm dan
    91 Nm pada 4,400 rpm. Ini tentunya digandingkan dengan transmisi manual lima-kelajuan. Axia E ini juga kekal dengan panarafan empat-bintang untuk ASEAN NCAP yang ditauliahkan oleh MIROS.

    Selain itu, penawaran baru yang diberikan untuk pengenalan semula Axia E terbaru ini adalah pilihan warnaya kini ada tiga — Ivory White dan Glittering Silver sedia ada serta satu warna baru untuknya, Granite Grey. Axia E terbaru ini dipasangkan di kilang PGMSB di Rawang yang turut memasang model seperti Ativa dan Alza.

    Sejak dilancarkan pada 2014 hingga Mei 2023, Perodua telah merekodkan pendaftaran sebanyak 606,756 unit model Axia (termasuk Axia 2023 terbaru). Perodua mensasarkan jualan 1,500 unit sebulan untuk Axia E ini.

    Perodua Axia E diperkenalkan semula — generasi pertama, 1.0 liter 67 hp/91 Nm manual; harga RM22k

     
     
  • Lebuhraya SUKE Fasa 2 dibuka pada 16 Jun – kadar tol di Plaza Tol Alam Damai percuma hingga 29 Jun

    Lebuhraya SUKE Fasa 2 dibuka pada 16 Jun – kadar tol di Plaza Tol Alam Damai percuma hingga 29 Jun

    Kumpulan Syarikat PROLINTAS menerusi anak syarikatnya Projek Lintasan Sungai Besi-Ulu Klang Sdn Bhd telah pun melancarkan Fasa 2 bagi Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) secara rasminya hari ini. Majlis pelancarannya disempurnakan oleh Menteri Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi.

    Bagi SUKE Fasa 2 ini, ia bakal dibuka pada laluan trafik mulai jam 12.01 tengahmalam pada 16 Jun 2023. Laluan bagi Fasa 2 ini hanya memiliki satu plaza tol sahaja iaitu Plaza Tol Alam Damai. Sempena dengan pelancarannya, kadar tol diberikan secara percuma untuk Fasa 2 ini selama dua minggu iaitu bermula 16 Jun hingga jam 11.59 malam pada 29 Jun 2023. Walau bagaimana pun, apabila kadar tol mula dilaksanakan kelak, PROLINTAS memaklumkan bayarannya adalah RM2.30, sama seperti kadar di plaza tolnya yang lain di sepanjang SUKE.

    Fasa 2 ini menyambungkan laluan Sri Petaling dan Bukit Jalil (laluan masuk di Lebuhraya KESAS) ke persimpangan Cheras-Kajang, berhampiran Plaza Phoenix. Melibatkan laluan sejauh 7.8 km, bermula dari Sri Petaling (dikenali sebagai persimpangan Sri Petaling), dan selain KESAS, laluan Fasa 2 ini juga bersambung dengan Lebuhraya KL-Seremban. Persimpangan seterusnya juga tidak jauh, iaitu persimpangan Sungai Besi, bersebelahan dengan stesen MRT Laluan Putrajaya dan dihubungkan kepada Lebuhraya Besraya.

    Dari situ, SUKE mengikut laluan MRR2, tetapi berada di atas, sehinggalah Bandar Tasik Selatan dan melepasi Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di sebelah kiri. Kemudiannya, SUKE membelok ke arah Alam Damai. Di sini, reka bentuk bertingkat bermula dengan trafik menghala ke Cheras-Kajang (KL) berada di atas dan laluan ke arah Sri Petaling berada di bawah.

    Dengan pembukaan laluan ini, SUKE kini 99.54% lengkap, setakat 4 Jun 2023, dengan hanya satu lagi persimpangan bertingkat akan dibuka. Persimpangan terbabit iaitu jalan susur (ramp) Jalan Alam Damai masih dalam pembinaan dan dijangka siap pada suku ketiga tahun ini.

    Dalam laluan Fasa 2 ini, satu lagi plaza tol, iaitu di Alam Damai akan dibuka, menjadikan keseluruhannya ada tiga tol di dalam jajaran SUKE. Setiap tingkat di laluan Alam Damai ini akan mempunyai plaza tol sendiri.

    Bersebelahan Plaza tol Alam Damai ini juga terdapat pusat kawalan utama SUKE, yang terletak dalam sebuah bangunan tinggi (jika dibandingkan dengan pusat kawalan lebuh raya lain) dan akan mempunyai kedai makan (juga akan dibuka kepada orang awam) di dalamnya.

    Terdahulu, Fasa 1 SUKE dibuka kepada orang awam pada 16 September 2022 lalu dan ia bermula di persimpangan Cheras-Kajang sehingga ke Hulu Klang dengan laluan utama sepanjang 16.6 km, 11 persimpangan dan dua plaza tol iaitu Plaza Tol Bukit Teratai dan Plaza Tol Ampang. Sejak ia dibuka, setakat 31 Mei 2023, purata trafik yang menggunakannya mencecah 60,000 buah kenderaan sehari.

    Lebuhraya SUKE Fasa 2 dibuka pada 16 Jun – kadar tol di Plaza Tol Alam Damai percuma hingga 29 Jun

    Secara keseluruhannya, Lebuhraya SUKE sepanjang 24.4 km (57.7 km jika dikira sekali dengan laluan susur keluar) mempunyai 14 persimpangan keluar, iaitu Sri Petaling, Sungai Besi, Alam Damai, Cheras-Kajang, Cheras-Hartamas, Bukit Teratai, Tasik Tambahan, Permai, Kosas, Pekan Ampang, Ampang Point, Ulu Kelang, Hillview dan Bukit Antarabangsa.

    Ia merupakan laluan alternatif kepada Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dan dijangka membantu menampung sebahagian trafik yang lazimnya menggunakan MRR2 dan dapat memendekkan masa perjalanan dari Sri Petaling ke Ulu Kelang kepada 25 minit, berbanding 75 minit sekiranya menggunakan laluan sedia ada.

    Selain itu, SUKE turut dihubungkan dengan KESAS (Sri Petaling), Lebuhraya KL-Seremban, Sungai Besi Expressway (Besraya), Grand Saga, Ampang-Kuala Lumpur Elevated Highway (AKLEH) dan Duta-Ulu Kelang Expressway (DUKE). Lebuhraya baru East Klang Valley Expressway (EKVE) juga akan bersambung dengan SUKE.

     
     
  • MyEG dan Oyika jalin kerjasama program pertukaran bateri skuter elektrik bagi tempoh percubaan

    MyEG dan Oyika jalin kerjasama program pertukaran bateri skuter elektrik bagi tempoh percubaan

    September tahun lalu, penyedia khidmat penukaran bateri pintar Oyika mengumumkan bahawa mereka bersedia untuk melancarkan “Battery-as-a-Service” untuk skuter elektrik di Malaysia dalam masa terdekat, dengan stesen penukaran bateri mula dibuat pada awal tahun ini.

    Hasil daripada langkah ini semakin hampir apabila MyEG Services mengumumkan telah menandatangani perjanjian persefahaman dengan Oyika Green Technologies (OGT) untuk kerjasama menggunakan skuter elektrik serta perletakan stesen penukaran bateri di lokasi tertentu sebagai percubaan – lapor The Star.

    Dalam satu pemfailan dengan Bursa Malaysia, MyEG memberitahu bahawa OGT, yang dimiliki oleh Yinson Mobility, akan membekalkan motosikal elektrik kepada mereka untuk tujuan percubaan selama tempoh sehingga 30 hari. Syarikat itu turut menambah bahawa mereka akan menyediakan lokasi khas untuk OGT meletakkan stesen penukaran bateri tersebut.

    MyEG dan Oyika jalin kerjasama program pertukaran bateri skuter elektrik bagi tempoh percubaan

    Seperti yang dinyatakan, servis penukaran bateri Oyika akan membenarkan pelanggan skuter elektrik syarikat itu menukar bateri kenderaan mereka secara mudah apabila perlu. Mereka cuma perlu pergi ke mesin vendor bateri, aktifkan aplikasi, tukar bateri yang kosong dengan yang penuh dan sambung kembali perjalanan.

    Dalam aplikasi Oyika ada menunjukkan pelbagai informasi penting bagi pengguna termasuk lokasi stesen penukaran bateri, jumlah bateri yang tersedia serta membenarkan pengguna menempah bateri lebih awal bagi masa tertentu. Untuk langganan program Oyika pula, pengguna boleh memilih pakej harian, mingguan, bulanan atau tahunan.

     
     
  • Ducati DesertX RR22 tiba di Malaysia – RM115,900

    Ducati DesertX RR22 tiba di Malaysia – RM115,900

    Ducati Malaysia mengumumkan, Desert X RR22 kini sudah tiba di Malaysia, dengan harga jualan RM115,900 tidak termasuk insurans. Tidak semua pasaran menerima Desert X RR22 ini, dan Malaysia menjadi antara yang bertuah dengan sekarang lima unit sudah tersedia untuk pembeli.

    Model yang menjadi tambahan kepada Desert X biasa (RM112,900 di Malaysia) ini menggunakan grafik yang dibuat khas untuk hari litar kerjasama antara Audi dengan bekas pelumba MotoGP, Danilo Petrucci dan mendapat inspirasi daripada kereta elektrik Audi RS Q e-tron yang digunakan dalam rali Dakar.

    Ciri mekanikal motosikal ini bagaimanapun masih sama seperti Desert X biasa, bermula dengan enjin, iaitu unit v-twin Testastretta 937 cc yang mampu menghasilkan 110 hp pada 9,250 rpm dan 92 Nm tork pada 6,500 rpm. Transmisi adalah unit enam kelajuan dengan quickshifter diberikan sekali.

    Saiz rim Desert X mengikut seperti jentera offroad dengan saiz 21 inci di hadapan dan 18 inci di belakang, dan merupakan unit spoked yang dibalut tayar Pirelli Scorpion Rally STR. Brek adalah daripada Brembo, dengan tetapan cakera berkembar 320 mm serta angkup M50 di hadapan dan cakera 265 mm dan angkup dua piston di belakang.

    Suspensi pula menggunakan unit daripada Kayaba dan boleh dilaras sepenuhnya untuk pra beban, mampatan dan lantunan. Bahagian hadapan menggunakan fork USD dengan jarak gerak 230 mm manakala bahagian belakang menggunakan monoshock dengan jarak gerak 220 mm. Tinggi Desert X dari tanah adalah 250 mm manakala tinggi tempat duduknya adalah 875 mm dalam keadaan standard. Berat keseluruhan adalah 202 kg.

     
     
  • Toyota Yaris Cross mula dijual di Indonesia – bermula RM109k, 1.5L NA & Hybrid; kembar Perodua D66B?

    Toyota Yaris Cross mula dijual di Indonesia – bermula RM109k, 1.5L NA & Hybrid; kembar Perodua D66B?

    Selepas membuat kemunculan sulung global di Indonesia bulan lalu, Toyota Yaris Cross untuk pasaran ASEAN yang dibina berasaskan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) kini sudah mula dijual di negara berkenaan secara rasmi.

    Yaris Cross tersebut ditawarkan dalam tiga varian di Indonesia, bermula dengan varian asas Yaris Cross G dijual pada harga 351 juta rupiah (RM109k), diikuti Yaris Cross S berharga IDR407.7 juta (RM126.7k) dan varian tertinggi Yaris Cross S HV dijual pada harga IDR440.6 juta (RM136.9k).

    Bagi varian G dan S, ia menerima enjin petrol penuh 2NR-VE DOHC Dual VVT-i 1.5 liter empat-silinder NA. Enjin yang sama boleh ditemui dalam perut Perodua Myvi dan Alza tersebut menjana 106 PS (105 hp atau 78 kW) dan tork maksima 138 Nm.

    Enjin berkenaan digandingkan dengan kotak gear CVT automatik untuk memacu roda hadapan, tetapi untuk varian asas G Yaris Cross ini turut ditawarkan dengan kotak gear manual lima-kelajuan.

    Untuk varian tertinggi S HV pula, ia menerima unit rangkaian kuasa yang menggandingkan enjin petrol kitaran Atkinson 2NR-VEX 1.5 liter NA berkuasa 91 PS (90 hp atau 67 kW) dan tork 121 Nm, bersama motor elektrik berkuasa 80 PS (79 hp atau 59 kW) dan tork 141 Nm.

    Konfigurasi ini hanya menampilkan padanan kotak gear CVT automatik, manakala motor elektrik tersebut menerima kuasa dari bateri lithium ion. Model dengan penggunaan bahan api lebih rendah ini diberikan tangki bahan api 36 liter, berbanding model petrol penuh yang dibekalkan dengan tangki berkapasiti 42 liter.

    Secara spesifik, Yaris Cross ini merupakan SUV Segmen-B yang menggunakan platform DNGA-B, iaitu varian yang sama digunakan kembar MPV Daihatsu Xenia/Toyota Avanza dan Veloz/Perodua Alza serta Toyota Vios.

    Platform berkenaan memberikan Yaris Cross ini dimensi panjang 4,310 mm, lebar 1,770 mm, tinggi 1,615 mm dan juga jarak antara roda sejauh 2,620 mm. Toyota turut mengumumkan bahawa model ini mempunyai jarak kelegaan tanah setinggi 260 mm.

    Toyota Yaris Cross mula dijual di Indonesia – bermula RM109k, 1.5L NA & Hybrid; kembar Perodua D66B?

    Untuk memudahkan anda membayangkan saiznya, Yaris Cross ini hanya 20 mm lebih pendek, 30 mm kurang lebar, 6 mm lebih rendah berbanding Proton X50, namun hadir dengan jarak roda 20 mm lebih jauh dari SUV segmen-B dari Proton berkenaan. Manakala berbanding dengan ‘adiknya’ iaitu Toyota Raize/Perodua Ativa, Yaris Cross ini adalah 245 mm lebih panjang, 60 mm lebih lebar, 20 mm lebih rendah, dan jarak roda 95 mm lebih jauh.

    Kesemua varian Yaris Cross pasaran Indonesia ini mempunyai radius pusingan 5.2 meter. Ia menggunakan sistem stereng berkuasa elektrik (EPS), dengan kedudukan roda stereng yang boleh dilaras atas-bawah dan teleskopik. Model ini menggunakan topang McPherson untuk suspensi hadapan dan torsion beam untuk suspensi belakang. Brek cakera hadapan dan belakang juga standard untuk semua varian.

    Bagi pecahan kelengkapan pula, varian G menerima perincian standard seperti rim aloi 17-inci dengan tayar 215/60R17, lampu hadapan LED, lampu kabus hadapan, paparan instrumen digital dengan skrin tujuh-inci dan sistem infotainmen Display Audio dengan skrin sembilan-inci bersama sokongan Android Auto dan Apple Carplay hubungan tanpa wayar.

    Model paling asas ini juga menerima perincian lain seperti brek parkir elektronik dengan fungsi auto brake hold, sistem pendingin udara manual, upholsteri fabrik, enam-beg udara, pemantau titik buta, amaran lintasan trafik belakang, bantuan mula mendaki, penderia parkir, serta sistem kestabilan elektronik.

    Toyota Yaris Cross mula dijual di Indonesia – bermula RM109k, 1.5L NA & Hybrid; kembar Perodua D66B?

    Varian S pula menerima tingkat taraf seperti rim aloi 18-inci dengan tayar 215/55R18, pintu tailgate elektrik dengan akses tanpa sentuhan, tempat duduk pemandu larasan kuasa, pedal penukar gear, pilihan mod pemanduan (Eco, Normal dan Power), dashcam, upholsteri kulit, penghawa dingin automatik, sistem Display Audio dengan skrin 10.1-inci, pemantau pandangan panaromik dan juga kawalan salah pijak pedal.

    Model varian pertengahan ini juga dibekalkan dengan pakej bantuan pemanduan Toyota Safety Sense, yang memberikan sistem seperti Amaran dan Brek Pra-pelanggaran (brek kecemasan automatik), Amaran dan Pengelak Keluar Lorong, cruise control adaptif, Amaran Pergerakan Kenderaan Hadapan, Kawalan Kekal Lorong dan Lampu Tinggi Automatik.

    Untuk varian S HV pula, ia ditambah dengan bumbung panaromik bersama pelindung cahaya matahari berkuasa, paparan sistem hibrid pada skrin infotainmen, pengecas telefon pintar tanpa wayar serta lampu suasana kabin.

    Pelanggan yang membeli model S dan S HV tutut ditawarkan dengan kit GR Parts Aero Package yang menampilkan kemasan tambahan pada gril hadapan, dan berlakang serta pemadanan spoiler ‘ekor itik’ di belakang. PT Toyota-Astra Motor turut menawarkan beberapa aksesori asli seperti jaring kargo, penyegar udara dan juga dashcam untuk varian G yang tidak datang standard dengan kamera tersebut.

    Kesemua varian ditawarkan dengan warna badan Super White II, Greenish Gunmetal, Attitude Black Mica dan Dark Red, manakala warna Silver Metallic hanya untuk model bukan Hybrid. Varian S pula boleh dipilih dengan warna eksklusif Platinum White Pearl dan Spicy Scarlet.

    Istimewa untuk pembeli varian S HV pula, ia boleh dipilih dalam skema warna dua-tona dengan bumbung berwarna Attitude Black Mica, namun hanya untuk warna badan Platinum White Pearl, Silver Metallic dan Spicy Scarlet sahaja.

    Toyota Yaris Cross pasaran ASEAN ini sebelum ini dilaporkan dibangunkan dengan kod projek D03B, dan ia dikhabarkan merupakan kembar kepada SUV yang sedang dibangunkan oleh Perodua dengan kod projek D66B. Jadi tidak mustahil ini merupakan model pertama dari Perodua yang menampilkan teknologi hibrid elektrik (Ativa hybrid yang diperkenalkan dalam program langganan sebelum ini merupakan Daihatsu Rocky sebenar dari Jepun yang diganti dengan logo Perodua).

    Ia padan dengan beberapa petunjuk sebelum ini di mana D66B dilaporkan dibangunkan menggunakan asas platform DNGA-B dan akan dilancarkan pada tahun hadapan, manakala Presiden dan CEO Perodua Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad mengesahkan bahawa model hibrid pertama Perodua akan dilancarkan pada 2024, dan ia adalah model baharu sepenuhnya, bukan varian atau facelift dari model-model sedia ada. Jika benar ia akan dijelmakan sebagai Daihatsu, agaknya berapa pula harga jualannya di sini kelak?

     
     
  • Penunggang Ducati maut jatuh jejambat Lebuhraya SUKE angkara elak penungang lain lawan arus

    Penunggang Ducati maut jatuh jejambat Lebuhraya SUKE angkara elak penungang lain lawan arus

    Seorang penunggang Ducati Panigale maut akibat kecederaan parah selepas motosikal yang ditunggangnya melanggar penghadang sebelah kiri jalan di Kilometer 22.2 Lebuhraya Sungai Besi Ulu Kelang (SUKE) berhampiran Ulu Kelang, tengahari tadi.

    Kejadian menyayat hati itu berlaku selepas motosikal yang ditunggangi lelaki berusia 60an itu mengelak sebuah motosikal lain yang melawan arus, menyebabnya mangsa terhumban dan jatuh ke bawah jejambat lebuhraya berkenaan pada ketinggian kira-kira 30 meter manakala motosikalnya terseret ke tengah jalan.

    Perkara ini disahkan oleh Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail yang berkata pihaknya sedang mengesan penunggang motosikal yang melawan arus berkenaan yang dipercayai melarikan diri selepas kejadian terbabit.

    “Hari ini kira-kira 1.30 tengahari IPD Ampang Jaya telah menerima makluman mengenai kemalangan terbabit. Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku semasa motosikal jenis Ducati Panigale yang ditunggang lelaki berusia 60an melalui jalan berselekoh apabila tiba-tiba datang sebuah motosikal dari arah bertentangan di bahu jalan sebelah kanan yang menyebabkan penunggang Ducati terbabit cuba untuk mengelak lalu terlanggar penghadang jalan sebelah kiri sebelum terhumban ke bawah jejambat.

    Penunggang Ducati maut jatuh jejambat Lebuhraya SUKE angkara elak penungang lain lawan arus

    “Mayat mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap di belakang pagar Stesen Kawalan Smart Sg, Klang. Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kaki dan telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Penunggang yang melawan arus berkenaan didapati meninggalkan lokasi dan tindakan mengesannya sedang dijalankan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan.

    Tambah Mohd Azam, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sedang diteliti bersama pihak SUKE dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Beliau turut meminta saksi bebas supaya tampil menyalurkan maklumat dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik IPD Ampang Jaya Inspektor Muhamad Yusaiful Muhamat Basir di talian 011-13078348.

    Video mengenai kejadian hasil rakaman CCTV berdurasi 12 saat yang memaparkan motosikal melawan arus itu tular di media sosial. Malah pihak netizen turut mengecam tindakan penunggang yang tidak bertanggungjawab itu dan berharap pihak polis dapat memberkasnya segera serta dijatuhkan hukuman yang setimpal.

     
     
  • Mercedes-AMG A45S facelift 2023 dilancar di Malaysia – bermula RM510k, Street Style Edition RM540k

    Mercedes-AMG A45S <em>facelift</em> 2023 dilancar di Malaysia – bermula RM510k, Street Style Edition RM540k

    Serentak dengan pengenalan model facelift 2023 bagi Mercedes-Benz A-Class sedan V177 di Litar Antarabangsa Sepang pagi tadi, Mercedes-Benz Malaysia (MBM) turut melancarkan versi prestasi A-Class hatchback W177 paling berkuasa iaitu Mercedes-AMG A45S juga dalam versi facelift 2023.

    Model yang dikemaskini ini dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM509,888, dan khas untuk pengenalan versi facelift ini di Malaysia, MBM turut menawarkan model edisi terhad A45S Street Style Edition yang dijual pada harga RM539,888.

    Tiada perubahan yang diberikan pada unit rangkaian kuasa A45S ini, di mana ia masih dijana oleh enjin produksi 2.0L empat silinder turbo paling berkuasa di dunia, iaitu enjin M139 yang menghasilkan kuasa 421 PS pada takat 6,750 rpm dan tork maksima 500 Nm bermula 5,000 hingga 5,250 rpm.

    Mercedes-AMG A45S <em>facelift</em> 2023 dilancar di Malaysia – bermula RM510k, Street Style Edition RM540k

    Enjin berkenaan masih digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik lapan-kelajuan AMG Speedshift 8G, dan kuasa dialirkan dengan agihan tork bervariasi ke kesemua empat roda menerusi sistem pacuan semua roda 4Matic+. Gandingan ini membolehkan A45S ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 3.9 saat dan mencapai kelajuan maksima 270 km/j.

    Untuk bahagian luaran, model facelift ini menerima lampu hadapan baharu sama seperti A-Class biasa, iaitu unit yang lebih ringkas menampilkan jalur LED lampu nyalaan siang pada bahagian ‘kening’ yang lebih nipis dan tidak lagi berbentuk-J.

    Gril AMG Panamericana masih diberikan, tetapi kini dengan bahagian kerangka sekeliling yang diprofil semula. Seperti model-model AMG yang lain, A45S facelift ini tidak diberikan logo bintang tiga-penjuru biasa pada muncng hadapan, sebaliknya menampilkan laureal wreath AMG.

    Mercedes-AMG A45S <em>facelift</em> 2023 dilancar di Malaysia – bermula RM510k, Street Style Edition RM540k

    Di belakang, kluster lampu masih sama tetapi disegarkan dengan grafik LED baharu. Manakala spoiler bumbung bersaiz besar, diffuser yang agresif pada bahagian bawah bampar serta tip empat tip ekzos berbentuk oval masih lagi nampak sama.

    Mercedes-AMG A45S facelift pasaran Malaysia ini juga datang dengan bumbung panaromik dan Aerodynamics Package secara standard, menampilkan flic, splitter dan tambahan kemasan pada bampar hadapan. Ia juga hadir standard dengan AMG Night Package yang menampilkan beberapa panel kemasan luar diberikan warna hitam berkilat untuk rupa yang lebih agresif.

    Untuk roda, Mercedes-AMG A45S ini pula diberikan rim aloi ringan AMG 19-inci lima-jejari berkembar dalam kemasan hitam dan aloi digilap. Menurut Mercedes, rekaan rim ini turut mengambil kira faktor aerodinamik yang dioptimakan. Ia dibalut dengan tayar Continental SportContact 9 bersaiz 245/35ZR19.

    Mercedes-AMG A45S <em>facelift</em> 2023 dilancar di Malaysia – bermula RM510k, Street Style Edition RM540k

    Bagi model edisi terhad AMG Street Style Edition, ia datang dalam warna asas Manufaktur istimewa iaitu Mountain Grey Magno dengan kemasan akhir hitam/Anthracite Matt. Ia juga menampilkan pelekat badan dengan grafik isitimewa AMG serta jalur-jalur serlahan berwarna oren bagi menyerlahkan lagi komponen-komponen Aerodynamics Package.

    Model istimewa AMG Street Style Edition ini juga menerima gril hadapan dengan rekaan berlainan, rim aloi forged AMG 19-inci pelbagai jejari yang lebih ringan, serta emblem-emblem model pada badan dalam kemasan hitam berkilat.

    Sama seperti A-Class biasa, pada sebelah dalam, model A45S facelift 2023 ini juga menerima papan pemuka dengan skrin berkembar masing-masing bersaiz 10.25-inci untuk paparan instrumen digital dan infotainmen. Touchpad pada konsol tengah yang digunakan untuk mengawal skrin infotainmen pada A45S ini juga sudah tidak ada dan bahagian berkenaan kini ditempatkan ruang storan bertutup bersama butang kawalan untuk sistem Dynamic Select dan lain-lain.

    Sistem infotainmen Mercedes-Benz User Experience (MBUX) pada A45S facelift ini juga telah dipertingkat kepada versi NTG7, dan ia menampilkan pelbagai servis terhubung, sokongan Android Auto dan Apple CarPlay hubungan tanpa wayar dan port pengecas lebih berkuasa.

    Khas untuk A45S ini, ia turut menerima pilihan paparan AMG istimewa yang tidak ada pada A-Class biasa, serta AMG Track Pace dan juga sistem bunyi surround dari Burmester. Selain itu, A-Class paling berkuasa ini juga menerima AMG Real Performance Sound, iaitu sistem yang menyalurkan bunyi enjin turbo yang lebih baik ke dalam kabin.

    Ia juga diberikan roda stereng AMG dengan rekaan baharu, bersama balutan gandingan kulit nappa dan gentian mikro Microcut. Ia juga datang standard dengan AMG Performance Seat Package Advanced menampilkan tempat duduk bucket larasan elektrik AMG, serta upholsteri gabungan kulit sintetik Artico dan gentian mikro Microcut untuk keseluruhan kabin.

    Selain itu, ia juga diberikan lampu suasana kabin 64-warna, serta menerima perincian-perincian AMG yang lain seperti panel-panel kemasan aluminium AMG, karpet kaki AMG, kemasan bendul pintu bernyala AMG.

    Untuk Street Style Edition pula, ia ditambah dengan kemasan-kemasan dalaman dengan serlahan oren termasuk pada benang jahitan, sulaman A45S pada perehat kepala tempat duduk, tulisan AMG pada kemasan bendul pintu, serta kapet kaki istimewa dengan tulisan “Street Style Edition”.

    GALERI: Mercedes-AMG A45S Street Style Edition 2023

     
     
  • Harga minyak 15-21 Jun – Semuanya dikekalkan

    Harga minyak 15-21 Jun – Semuanya dikekalkan

    Untuk minggu bertarikh 15 hingga 21 Jun 2023, Kementerian Kewangan memutuskan bahawa tiada perubahan harga runcit bagi ketiga-tiga bahan api iaitu petrol RON 97, RON 95 dan diesel.

    Di mana petrol RON 97 kekal pada harga RM3.37 seliter, selepas ia dinaikkan sebanyak 2 sen pada dua minggu lalu setelah 23 minggu tidak mengalami sebarang perubahan harga.

    Manakala harga runcit bagi RON 95 yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter.

    Begitu juga dengan diesel Euro B10/B20, harganya turut dikekalkan pada paras RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.

    Baru-baru ini, kerajaan telah mengumumkan bahawa Pangkalan Data Utama (PADU) dijangka siap menjelang akhir hujung tahun ini, dan ia akan diguna pakai untuk pelaksanaan subsidi bersasar petrol RON 95 dan diesel tahun depan.

    Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub, pangkalan data bersepadu itu akan meneliti semua data sedia ada bagi membolehkan subsidi bersasar berkenaan diberikan kepada sasaran yang tepat.

     
     
  • Beberapa jalan di Petaling Jaya ditutup pada 18 Jun

    Ini ada makluman buat penduduk Petaling Jaya. Pada Ahad ini, 18 Jun 2023, terdapat beberapa jalan di sekitar bandaraya berkenaan bakal ditutup bagi menjayakan acara larian Petaling Jaya 10K (PJ10K).

    Acara larian berkenaan akan bermula di Laman MBPJ di Jalan Yong Shook Lin, dan sepanjang jalan di PJ State akan ditutup dari jam 11 malam pada Sabtu (17 Jun) untuk kelancaran membuat persiapan bagi acara larian berkenaan. Jalan tersebut akan dibuka kembali untuk laluan trafik mulai jam 12.30 tengahari, Ahad ini (18 Jun).

    Manakala jalan yang terlibat dengan penutupan bagi kategori larian 10 km membabitkan Jalan Sultan, Jalan Barat, Jalan Utara, Jalan Prof Khoo Kay Kim, Jalan Prof Diraja Ungku Aziz, Jalan Bukit 11/2, Jalan 12/13, Jalan 12/16, Jalan Kemajuan, Jalan 12/5, Jalan Timur dan Jalan Changgai 6/22. Di mana jalan-jalan berkenaan akan ditutup secara berperingkat dari jam 4.45 pagi hingga 11 pagi.

    Untuk peserta yang memasuki acara larian ini, kami sertakan sekali peta untuk parkir dan kawasan acara. Bagi penduduk kawasan terlibat atau pun yang ingin ke PJ pada Ahad ini, sila rancang perjalanan anda sewajarnya.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025