Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Ora Good Cat EV di Malaysia – warna pilihan Pistachio Green kini ditawarkan; 400 Pro dari RM139,800

    Ora Good Cat EV di Malaysia – warna pilihan Pistachio Green kini ditawarkan; 400 Pro dari RM139,800

    Dilancarkan di Maalaysia pada November lalu, kini Great Wall Motors Ora Good Cat turut ditawarkan dengan pilihan warna baharu Pistachio Green seperti unit yang dipamerkan di Sunway Velocity Mall di Kuala Lumpur.

    Ia menyertai barisan warna pilihan lain termasuk Coral Blue, Sun Black, Mars Red, Hamilton White, Verdant Green dan Em Beige. Harga untuk Ora Good Cats adalah bermula dari RM139,800 untuk varian asas 400 Pro dan model spesifikasi penuh 500 Ultra pula berharga RM169,800. Kedua-duanya adalah harga atas jalan tanpa insurans.

    Untuk bahagian dalamnya, ia turut diberikan skema dua-tona seperti warna light cream ini yang digandingkan dengan sentuhan hijau, bersama serlahn jingga secara kontras. Malahan ia turut menambah motif tapak kaki kucing pada bahagian hadapan perehat tangan yang kelihatan sungguh comel.

    Untuk bahagian atas tempat duduk pula diserlahkan dengan seksyen berpetak hijau, juga seperti pada panel pintu. Selain itu, spesifikasinya masih sama seperti sebelum ini termasuk roda stereng pelbagai fungsi, dua port USB untuk penumpang hadapan dan corong USB untuk penumpang belakang, dan port USB untuk perakam video digital.

    Varian 400 Pro dilengkapi oleh bateri 47.8 kWh lithium iron phosphate (LFP) yang mampu memberikan jarak perjalanan 400 km, dan mengambil masa sekitar lapan jam untuk dicas penuh dari pengecas AC 6.6 kW menerusi sambungan Type 2.

    Manakala varian 500 Ultra pula menggunakan bateri dengan kapasiti 63.1 kWh dengan jarak perjalanan 500 km. Jarak yang dinyatakan ini adalah mengikut kitaran ujian NEDC. Ia mengambil lebih kurang 10 jam jika dicas menggunakan pengecas AC. Jika menggunakan pengecas pantas DC, status pengecasan dengan tahap 0-80% boleh diselesaikan sekitar 40 minit.

    Kedua-dua varian juga menampilkan motor elektrik yang dipasang di hadapan dengan kuasa 143 PS/210 Nm, membolehkan Ora Good Cat ini dipecut dari 0-100 km/j dalam 7.9 saat dan mampu mencapai kelajuan maksimum hingga 152 km/j.

    Ora Good Cat juga diberikan paparan pelbagai-informasi dengan unit infotainmen skrin sesentuh 10.25-inci, yang turut menyokong penggunaan Apple CarPlay dan Android Auto.

    Untuk aspek keselamatan, kenderaan elektrik comel ini diberikan kawalan kelajuan adaptif, bantuan kelajuan pintar, AEB, amaran pelanggaran hadapan, brek kecemasan kelajuan rendah, amaran ketibaan lorong, bantuan kekal lorong dan bantuan pemusatan lorong. Walau bagaimana pun, 500 Ultra menerima ciri tambahan termasuk Wisdom Dodge System, kekal lorong kecemasan, bantuan tukar lorong dan pengesan titik buta, amaran pelanggaran belakang, amaran trafik lintasan belakang dan brek trafik lintasan belakang.

    Ora Good Cat di Malaysia turut diberikan pengecas rumah percuma, waranti umum lima-tahun/150,000 km dan waranti bateri lapan-tahun/180,000 km, serta lima tahun kos labur percuma bagi penyelenggaran berjadual.

     
     
  • Porsche Approved Pre-Owned Cars Day di JB, Penang Mei 2023 — jaminan 3-tahun Porsche Approved

    Porsche Approved Pre-Owned Cars Day di JB, Penang Mei 2023 — jaminan 3-tahun Porsche Approved

    Kereta Porsche direka dalam banyak bentuk dan saiz, tetapi ada satu perkara yang menyatukan semua itu: keupayaannya untuk memberikan pengalaman pemanduan yang mengujakan daripada seorang pemandu kepada yang berikutnya. Jadikan mimpi anda untuk memiliki ikon permotoran ini sebagai kenyataan di Porsche Approved Pre-Owned Cars Day yang bakal diadakan di Porsche Centre Pulau Pinang dari 20-21 Mei 2023 dan Porsche Centre Johor Bahru dari 27-28 Mei 2023.

    Di acara itu, anda boleh meneroka pelbagai barisan model Porsche terpakai yang disesuaikan untuk keperluan anda. Sama ada anda lebih cenderung untuk memanfaatkan kepelbagaian penggunaan SUV seperti Cayenne atau Macan, kereta sporty yang mewah seperti Panamera, model elektrik canggih dan berprestasi seperti Taycan, model pemanduan dinamik seperti 718 Boxster dan Cayman, atau kereta sport dengan sejarah panjang enam dekad seperti 911, sentiasa ada sebuah Porsche yang akan memikat hati.

    Eksklusif untuk acara ini, anda boleh berlapang fikiran bagi aspek pemilikannya, dengan adanya jaminan Porsche Approved yang disertakan sekali, memastikan anda tidak perlu ragu-ragu dengan model Porsche yang ingin dimiliki.


    Gambar Porsche Cayenne oleh Annice Lyn

    Jika ingin trade-in kenderaan sedia ada, Porsche Approved Pre-Owned Cars Day turut menawarkan program penilaian kenderaan yang termasuk sekali servis cucian kereta percuma ketika kereta anda dinilai di acara ini nanti. Setiap trade-in yang berjaya akan diberi juga ganjaran berupa baucar Porsche Lifestyle bernilai RM1,000, membolehkan anda menikmati kemewahan yang disediakan melalui koleksi Porsche Lifestyle.

    Jika sudah lama anda ingin menjadi pemilik kenderaan Porsche, Porsche Approved Pre-Owned Cars Day merupakan acara yang tepat untuk anda hadir. Berkunjunglah ke Porsche Centre Pulau Pinang (20-21 Mei 2023) dan Porsche Centre Johor Bahru (27-28 Mei 2023) dari pukul 10 pagi hingga 5 petang untuk merealisasikan impian anda.

     
     
  • Lebuhraya NKVE aktifkan laluan kontra antara Shah Alam-Subang – 11 malam-5 pagi pada 19 Mei-18 Jun

    Lebuhraya NKVE aktifkan laluan kontra antara Shah Alam-Subang – 11 malam-5 pagi pada 19 Mei-18 Jun

    Klik untuk besarkan

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah memaklumkan mengenai pengaktifan laluan kontra di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) iaitu di antara Shah Alam–Subang di KM9.5 hingga KM11.7 di Lebuhraya NKVE bermula 19 Mei hingga 18 Jun 2023, mulai jam 11 malam hingga 5 pagi setiap hari sepanjang tempoh tersebut

    Ia adalah bagi membolehkan kerja-kerja menaik taraf Jambatan KTMB di KM11.25 (arah utara) yang merentangi laluan terbabit di NKVE.

    “Justeru, pengguna lebuh raya dari Shah Alam menghala ke Subang atau utara dinasihatkan supaya merancang perjalanan mereka dengan menggunakan Aplikasi PLUS untuk mendapatkan maklumat trafik terkini sepanjang tempoh tersebut.

    “Pada masa yang sama, pengguna lebuh raya juga dinasihatkan supaya mematuhi semua papantanda trafik serta arahan yang dikeluarkan oleh pihak PLUS dari masa ke masa ketika melalui kawasan kerja terbabit,” kata PLUS menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Pengguna lebuh raya boleh menghubungi PLUSLine di 1800-88-0000, Chatbot PUTRI atau menerusi Aplikasi PLUS untuk mendapatkan maklumat trafik atau sekiranya ingin mendapatkan bantuan apabila berlaku kecemasan.

    Pada hujung Mac lalu, PLUS mengumumkan terdapat penutupan lorong pada waktu malam secara berperingkat di antara KM10.5 hingga KM11.3 laluan Shah Alam-Subang dan KM11.7 hingga KM11.1 laluan Subang-Shah Alam di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) mulai 30 Mac 2023 untuk kerja naiktaraf jambatan tersebut. Di mana ia dilaksanakan secara berperingkat selama tujuh bulan dan dijangka siap sepenuhnya pada awal November 2023

     
     
  • KKR sedia berbincang dengan kementerian lain bagi cari solusi kurangkan kadar kemalangan jalan raya

    KKR sedia berbincang dengan kementerian lain bagi cari solusi kurangkan kadar kemalangan jalan raya

    Bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya khususnya di kawasan berisiko, Kementerian Kerja Raya (KKR) bersedia berbincang dengan kementerian lain bagi mencari solusinya.

    Menurut Menteri KKR, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, pihaknya akan melaksanakan apa juga kaedah bagi menambah tahap keselamatan pengguna jalan raya. Usaha itu termasuk kemungkinan pemasangan Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (Awas), laporan Harian Metro.

    “Memang itu (pemasangan kamera Awas) adalah satu kaedah untuk kita mencegah kemalangan, kita boleh duduk berbincang bersama (Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Dalam Negeri). Ia memberi amaran kepada pemandu untuk berjaga-jaga dan jangan terlalu laju, tetapi ini belum lagi dalam perancangan kita, ada kemungkinan,” katanya.

    Berdasarkan hasil kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) awal tahun ini, lebih 80% faktor utama kemalangan jalan raya sehingga mengakibatkan kematian di negara ini adalah berpunca daripada sikap manusia.

    Selain itu, berdasarkan kajian yang sama, faktor rekaan, infrastruktur dan keadaan jalan hanya menyumbang sekitar 13% kepada kemalangan maut di jalan raya. Manakala kira-kira 7% kemalangan menyebabkan kematian adalah berpunca daripada keadaan kelayakan jalan atau aspek teknikal kenderaan bermotor yang digunakan.

     
     
  • Subsidi bersasar untuk bahan api dijangka akan bermula awal tahun depan – Salahuddin Ayub

    Subsidi bersasar untuk bahan api dijangka akan bermula awal tahun depan – Salahuddin Ayub

    Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub mengesahkan bahawa kerajaan dijangka melaksanakan pemberian subsidi bersasar untuk bahan api petrol RON95 dan diesel mulai awal tahun hadapan, lapor Berita Harian.

    Menurutnya keputusan itu dicapai menerusi perbincangan pada Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) pada Rabu lalu, dan ia akan dimulakan secara berperingkat dimulakan dengan bahan api diesel terlebih dahulu.

    Walau bagaimanapun mekanisma yang akan diguna pakai bagi pelaksanaan pemberian subsidi bersasar tersebut masih belum didedahkan oleh Salahuddin. Namun beliau ada menyebut satu pangkalan data bersepadu sedang diwujudkan oleh beberapa kementerian bagi memastikan perlaksanaannya nanti tepat dan berkesan.

    “Beberapa kementerian, termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN); Kementerian Ekonomi, Kementerian Kewangan (MoF), Kementerian Pengangkutan (MoT) serta Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) kini sedang menyiapkan pangkalan data bersepadu.

    “Pangkalan data bersepadu ini akan digunakan bagi proses penyelarasan data berkaitan. Semua agensi dan kementerian sudah ada pangkalan data masing-masing, cuma kita perlu selaraskan semuanya dan pastikan ia tepat serta berkesan bagi pelaksanaannya nanti,” katanya.

     
     
  • JPJ eBid: Siri FF dilanjut bidaan hingga 10 malam ini

    JPJ eBid: Siri FF dilanjut bidaan hingga 10 malam ini

    Berita baik bagi anda yang frust selepas tidak berjaya untuk membida siri pendaftaran dari Putrajaya, FF menerusi JPJ eBid sepanjang tempoh yang diberikan pada 14-18 Mei 2023. Bidaan bagi siri ‘panas’ FF ini telah pun dilanjutkan sehingga jam 10 malam ini, 19 Mei.

    Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pihaknya mengambil maklum aduan orang ramai tentang sistem JPJeBid yang tidak stabil apabila tempoh untuk pembidaan bagi nombor plat FF akan berakhir disebabkan trafik yang tinggi.

    Justeru, untuk berlaku adil, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah melanjutkan masa pembidaan untuk 24 jam iaitu hingga 10 malam ini. Jadi, masih ada waktu lagi untuk anda membidanya. Untuk mengetahui cara-cara membida menerusi JPJ eBid, anda boleh KLIK PAUTAN INI. Seperti biasa, keputusannya akan keluar esok, 20 Mei 2023. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Dalam masa yang sama, Loke turut berkata, pihaknya akan berusaha untuk memantapkan sistem digital di bawah JPJ dan juga agensi-agensi lain di bawah Kementerian Pengangkutan (MOT). Malahan kelmarin beliau telah pun berjumpa dengan Jawatankuasa Penasihat Digital (JPD) kepada MOT bagi memberi nasihat penambahbaikan.

    Dengar cerita, ada bidaan untuk siri FF ini mencecah nilai jutaan Ringgit Malaysia. Panas betul siri FF ini. Sampai ada yang sanggup sediakan bajet yang tinggi untuk mendapatkannya.

     
     
  • Perodua Bezza pemanduan autonomous oleh Reka — projek AI untuk perisian dan pembelajaran mesin

    Perodua Bezza pemanduan autonomous oleh Reka — projek AI untuk perisian dan pembelajaran mesin

    Ketika berlangsungnya Malaysia Autoshow 2023 awal bulan ini, selain kenderaan dan model baru yang diperkenalkan, ada juga beberapa sisi lain yang turut dipamerkan, misalnya berkaitan teknologi autonomous untuk kepintaran buatan bagi sebuah Perodua Bezza. Ia dibangun dan dikendalikan oleh Reka, sebuah syarikat berkaitan automasi tempatan yang memberi tumpuan kepada kepintaran buatan, perisian dan pembelajaran mesin untuk pemanduan autonomous.

    Menurut Reka, projek kenderaan autonomous berpandukan kepintaran buatan di Reka bermula sejak 2016, dan sejak itu berkembang dengan kemajuan teknologi dan dalam tanggapan industri terhadap teknologi autonomous untuk tujuan industri.

    Perodua Bezza pemanduan autonomous oleh Reka — projek AI untuk perisian dan pembelajaran mesin

    Dalam latihan ini, mereka menguji pemanduan tanpa pemandu menggunakan Perodua Bezza — seperti yang ditunjukkan dalam gambar — serta memberi tumpuan terhadap pembelajaran mesin dan perisian, jelas COO Reka Mohd Amri Mohd Din. Ini dapat dilihat daripada modifikasi yang dilakukan untuk pemanduan autonomous adalah melalui pertambahan perkakas dan aktuator yang dipasang kepada stereng, pendikit dan brek sebuah kereta produksi yang sebenar.

    Set sensornya terdiri daripada kamera, lidar dan radar yang memberikan data kepada kepintaran buatan yang ada dalam sistem autonomous yang sedang diuji itu untuk mengenal pasti dan memahami halangan, seterusnya membantu kereta untuk membuat keputusan untuk dikendalikan dan bagaimana ia merespon kepada keadaan berbeza dengan mengawal pendikit, stereng dan brek.

    Perodua Bezza pemanduan autonomous oleh Reka — projek AI untuk perisian dan pembelajaran mesin

    Selain ujian demonstrasi dengan kelajuan berjalan kaki yang dilakukan di MAEPS ketika Malaysia Autoshow 2023 itu, kenderaan ujian autonomous ini hanya diuji khusus dalam laluan ujian kenderaan autonomous di Cyberjaya. Makmal Reka juga ada di situ untuk memudahkan urusan logistik untuk ujian tersebut dan pasukan yang mengendalikannya. Selain potensi untuk kenderaan autonomous ini digunakan di jalan awam, Reka juga berharap untuk mengetengahkan potensi teknologi ini untuk tujuan industri.

    “Kami telah menjalankan sebuah projek di Singapura yang mensasarkan peningkatan kecekapan dan mengurangkan kemalangan yang disebabkan oleh manusia. Dengan memprogramkan kenderaan autonomous agar mengutamakan keselamatan, kami mampu membangunkan penyelesaian yang cekap dan boleh dipercayai untuk kegunaan industri,” jelasnya.

    Selain untuk kegunaan automotif, pembangunan lain oleh Reka dalam lapangan ini juga telah membawa kepada penciptaan PLExyz, sebuah navigasi ruang tertutup untuk crowd analytics.

    Teknologi tersebut memanfaatkan AI dan algoritma pembelajaran mesin untuk menganalisa dan meramalkan pergerakan khalayak, yang menurut Reka sangat berguna untuk tujuan mengawal khalayak dalam pelbagai situasi. Potensi teknologi ini sangat luas, dan boleh memperbaiki keselamatan dan kecekapan dalam kegunaan industri atau awam.

     
     
  • Saham Geely dalam Aston Martin meningkat kepada 17%, ketiga terbesar selepas Yew Tree dan PIF

    Saham Geely dalam Aston Martin meningkat kepada 17%, ketiga terbesar selepas Yew Tree dan PIF

    Bukan lagi menjadi rahsia bahawa syarikat automotif dari China, Geely kini sedang cuba untuk menguasai Aston Martin. Oktober tahun lalu, Geely menyatakan bahawa ia telahpun memegang sebanyak 7.6% kepentingan dalam jenama kereta sport British itu, dan terbaharu pegangan tersebut telah meningkat kepada sekitar 17%, lapor Motor1.

    Ini membolehkan Geely menjadi pemegang saham ketiga terbesar dalam Aston Martin Logonda, naik dari tangga keempat sebelum ini dan memintas kedudukan Mercedes-Benz.

    Buat masa sekarang, konsortium Yew Tree milik jutawan Kanada Lawrence Stroll masih pemegang saham terbesar syarikat itu, membolehkan Stroll kekal sebagai pengerusi Aston Martin. Ia diikuti oleh Public Investment Fund (PIF) milik Arab Saudi sebagai pemegang saham kedua terbesar.

    “Geely boleh menawarkan kepada kami pemahaman mendalam tentang pasaran pertumbuhan strategik utama China serta peluang untuk mengakses rangkaian teknologi mereka,” kata Stroll dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

    Saham Geely dalam Aston Martin meningkat kepada 17%, ketiga terbesar selepas Yew Tree dan PIF

    Bagi meningkatkan pegangan saham ini, Geely dilaporkan telah melabur sebanyak 234 juta pound sterling (RM1.3 bilion), Walau bagaimanapun, dalam perjanjian baharu yang telah dipersetujui Geely tidak dibenarkan untuk menaikkan pegangan sahamnya sehingga Ogos 2024.

    Sebagai pemegang saham ketiga terbesar, Geely kini diberikan ruang oleh lembaga pengurusan Aston Martin untuk melantik pengarah bukan eksekutif ke dalam Lembaga Pengarah syarikat itu sebagai wakil pemegang saham. Selain itu, Geely turut akan melantik seorang lagi wakilnya yang akan bertugas sebagai pemerhati.

    Motor1 turut memetik laporan dari Financial Times minggu lalu yang menyatakan bahawa CEO Geely Holding Group, Daniel Li Shufu berminat untuk mendapatkan pegangan dalam Aston Martin kerana beliau “sukakan jenama itu”, dan mahu mewujudkan sinergi.

    Saham Geely dalam Aston Martin meningkat kepada 17%, ketiga terbesar selepas Yew Tree dan PIF

    Geely merupakan pemilik kepada jenama Sweden, Volvo dan juga Polestar (yang kini sudah dikeluarkan dari Volvo untuk menjadi jenama kereta sport EV sendiri). Ia juga telah memwujudkan pelbagai jenama di bawahnya seperti Lynk & Co, Zeekr, Geometry, London Electric Vehicle Company, Radar Auto dan pelbagai lagi untuk mencakupi pelbagai segmen dalam pasaran.

    Pada 2017, Geely telah memuktamadkan perjanjian rakan strategik asing dengan Proton, menyaksikan ia berjaya memegang saham sebanyak 49.9% dalam jenama automotif dari Malaysia itu. Melalui perjanjian itu juga, jenama kereta sport British iaitu Lotus yang sebelum itu merupakan milik Proton telah dilepaskan kepada Geely dengan pegangan saham sebanyak 51%.

    Ketika pelancaran Proton X90 di Kuala Lumpur dua minggu lalu, Daniel Li turut hadir dan mengumumkan pelbagai perkembangan berkenaan kerjasama Proton dan Geely menerusi ucapannya.

     
     
  • Kenderaan elektrik mungkin diberi nombor plat khas

    Kenderaan elektrik mungkin diberi nombor plat khas

    Kerajaan telah mengesahkan sedang meneliti struktur baharu bagi cukai jalan untuk kenderaan elektrik (EV), dalam usaha untuk memperhebatkan lagi penggunaan EV di sini.

    Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, kerajaan juga sedang meneliti beberapa insentif dan dasar lain bagi menarik minat orang ramai beralih kepada EV. Antaranya, menggunakan nombor pendaftaran khas untuk membezakan EV dengan kenderaan lain di jalan raya, laporan The Star.

    “Saya telah memaklumkan kepada JPJ untuk mengeluarkan beberapa insiatif lain bagi pengguna EV, seperti mungkin e-plat untuk EV. Kita juga boleh mempunyai nombor plat khas untuk EV, bagi membezakannya dengan kenderaan lain. Ini adalah perkara yang boleh kami bantu untuk menggalakkan penggunaan EV. Saya mengalu-alukan lebih banyak pandangan dan input,” katanya dalam Forum Pengangkutan dan Mobiliti Hijau di KL pada Selasa lalu.

    Plat EV khas mungkin sama dengan konsep yang dilaksanakan di Singapura, yang memperkenalkan plat nombor khas dengan awalan EVS untuk menandakan kenderaan elektrik yang dibuat di sana. Ia akan digunakan untuk 100 unit pertama EV Hyundai Ioniq 5 yang dipasang di republik itu.

    Loke berkata butiran mengenai perkara ini serta insentif lain akan didedahkan menjelang akhir tahun. “Perancangannya adalah untuk mengumumkan insentif ini bersama-sama dengan struktur cukai jalan EV baharu menjelang akhir tahun ini,” katanya.

     
     
  • Zeekr 001 dengan jarak gerak sejauh 1,000 km guna bateri CATL Qilin 140 kWj mula dijual di China

    Zeekr 001 dengan jarak gerak sejauh 1,000 km guna bateri CATL Qilin 140 kWj mula dijual di China

    Shooting Brake EV keluaran jenama EV premium dari Geely, Zeekr 001 kini mula dijual dalam versi kemaskini 2023 untuk pasaran China, selepas ia didedahkan pada Januari lalu.

    Menurut laporan CarNewsChina, rupa bagi model kemaskini ini masih lagi sama, namun ia menerima tiga warna badan baharu, dan paling mustahak ia kini dilengkapi bateri baharu keluaran CATL yang mampu memberikan jarak gerak lebih jauh.

    Sebelum ini Zeekr 001 ditawarkan dengan dua jenis bateri – 86 kWj dan 100 kWj. Bateri kecil 86 kWj tersebut hanya ditawarkan untuk model AWD, yang membolehkan ia bergerak sejauh 546 km dalam kitaran CLTC. Manakala pek bateri 100 kWj lebih besar boleh dipadankan pada kedua-dua model, membolehkan model AWD bergerak sejauh 656 km dan model pacuan belakang bergerak sejauh 741 km.

    Zeekr 001 dengan jarak gerak sejauh 1,000 km guna bateri CATL Qilin 140 kWj mula dijual di China

    Untuk model 2023 ini, model pacuan roda belakang turut ditawarkan dengan bateri 140 kWj yang mampu untuk bergerak sejauh 1,032 km! Model tersebut menggunakan bateri CATL CTP 3.0 Qilin, yang mempunyai kadar penggunaan volum melebihi 72% dan ketumpatan tenaga mencapai 255 Wh/kg. Berbanding dengan pek bateri 4680, pek bateri Qilin ini menawarkan kuasa 13% lebih tinggi menggunakan kaedah kimia dan saiz pek bateri yang sama.

    Zeekr 001 pacuan roda belakang diberikan motor elektrik tunggal pada gandar belakang berkuasa 200 kW (272 PS) dan tork maksima 384 Nm. Ini membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 6.9 saat.

    Manakala untuk model pacuan semua roda, satu lagi motor yang sama diletakkan pada gandar hadapan, memberikan kuasa keseluruhan 400 kW (544 PS) dan tork maksima 768 Nm. Ini membolehkan ia memecut dari pegun hingga 100 km/j dalam masa hanya 3.8 saat, serta mencapai kelajuan maksima melebihi 200 km/j.

    Zeekr 001 dengan jarak gerak sejauh 1,000 km guna bateri CATL Qilin 140 kWj mula dijual di China

    Antara perincian yang diberikan untuk model 2023 ini termasuk panel instrumen dengan skrin 8.8-inci, skrin kawalan pada bahagian tengah papan pemuka bersaiz 14.7-inci, skrin 5.7-inci pelbagai fungsi untuk penumpang belakang, upholsteri kulit Nappa dan pelbagai lagi.

    Untuk varian tertinggi, ia turut ditawarkan dengan pakej sport yang menampilkan rim aloi forged 22-inci, angkup brek hadapan enam omboh dari Brembo bersama cakera yang ditebuk, upholsteri Alcantara dan juga tempat duduk ala-perlumbaan.

    Zeekr 001 ini dijual pada harga bermula RMB 300,000 (RM193k) untuk model asas pacuan roda belakang dengan bateri 86 kWj, manakala model dengan bateri 140 kWj pula akan dijual pada harga bermula RM 403,000 (RM260k).

     
     
  • Dua laluan kontra dibuka di KESAS pada 18 dan 21 Mei untuk kerja pasang rasuk jambatan bagi projek WCE

    Dua laluan kontra akan dibuka di Lebuhraya Shah Alam (KESAS) pada 18 dan 21 Mei 2023 untuk membolehkan kerja-kerja pelancaran rasuk jambatan merentasi lebuh raya itu dijalankan bagi projek Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE).

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pengendali KESAS dan WCE, pelaksanaan laluan kontra itu dijalankan secara berperingkat bermula dari KM23.0 hingga KM23.5 di kedua-dua arah dari jam 10 malam hingga 5 pagi.

    Untuk tarikh 18 Mei, laluan kontra arah timur membabitkan arah Subang/Kuala Lumpur. Manakala laluan kontra arah barat (arah Shah Alam/Klang) pula diaktifkan pada 21 Mei.

    Sehubungan itu, pengguna KESAS diminta agar memandu dengan lebih berhati-hati dan mematuhi arahan papan tanda serta petugas trafik di lokasi berkenaan sepanjang tempoh pelaksanaan kerja-kerja berkenaan.

     
     
  • MSBJ guna Honda Civic FE sebagai kereta peronda – sedan 1.5L turbo dengan pelekat ‘Penguatkuasa’

    MSBJ guna Honda Civic FE sebagai kereta peronda – sedan 1.5L turbo dengan pelekat ‘Penguatkuasa’

    Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) telah menerima Honda Civic FE baharu, yang akan digunakan sebagai kereta peronda rasmi dan pengiring trafik penguatkuasa di sekitar jajahannya. Kereta berkenaan diserahkan oleh Syarikat Shared Auto Cars, wakil pengedar Honda di Seksyen 15, Shah Alam.

    Dengan varian V, Civic berkenaan berharga RM143,700, diposisikan antara varian asas E dan RS. Ia dijanakan oleh enjin 1.5 liter VTEC Turbo dengan 182 PS dan tork 240 Nm dari 1,700 hongga 4,500 rpm. Ia mampu dipecut dari 0-100 km/j dalam 8.4 saat dengan kelajuan maksimum mampu dicapai hingga 200 km/j.

    Kereta peronda berkenaan dilengkapi dengan pelekat biru sebagai warna utama, turut ditampilkan dengan perkataaan ‘Warden Trafik’ pada bahagian bonet. Manakala pada sisinya pula, dihiasi dengan pelekat biru, hijau dan merah, dengan pelekat ‘Penguatkuasa MBSJ’. Begitu juga dengan flash light biru pada bahagian bumbungnya.

    Walau bagaimana pun, tidak dinyatakan berapa unit Civic yang dihantar kepada MBSJ. Sebelum ini, PDRM juga menggunakan sedan segmen-C yang sama, tetapi generasi sebelum ini iaitu FC dengan enjin 1.8 liter NA yang mampu memberikan kuasa 141 PS/174 Nm.

     
     
  • Harga minyak 18-24 Mei – Semuanya masih dikekalkan

    Harga minyak 18-24 Mei – Semuanya masih dikekalkan

    Bagi minggu bertarikh 18 hingga 24 Mei 2023, Kementerian Kewangan (MOF) telah mengumumkan harga runcit bagi ketiga-tiga bahan api iaitu petrol RON 97 dan RON 95 serta diesel masih dikekalkan. Ini merupakan minggu ke-21 tiada perubahan bagi harga runcit petrol dan diesel.

    Di mana petrol RON 97 masih dikekalkan pada harga runcit RM3.35 seliter, selepas ia mengalami penurunan harga selama tiga minggu berturut-turut sepanjang Disember 2022. Manakala petrol RON 95 yang telah mencapai harga siling pula, ia masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter.

    Begitu juga dengan diesel Euro B10/B20, harganya turut dikekalkan pada paras RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.

    Pada 13 Mac lalu, kerajaan berkata rancangan untuk memperkenalkan program subsidi bahan api bersasar masih diteruskan, namun akan dimulakan dengan diesel, manakala bagi petrol RON 95 akan ditangguhkan untuk tempoh lain. Menurut Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan, subsidi yang disasarkan akan terlebih dahulu melibatkan elektrik dan diesel apabila ia dilaksanakan

     
     
  • Toyota, Daihatsu dan Suzuki bakal perkenalkan prototaip van mini EV komersil dengan jarak 200 km

    Toyota, Daihatsu dan Suzuki bakal perkenalkan prototaip van mini EV komersil dengan jarak 200 km

    Suzuki, Daihatsu dan Toyota akan mendedahkan rekaan prototaip sebuah van mini komersial dengan janaan elektrik yang dibangunkan bersama oleh ketiga-tiga syarikat itu. Prototaip EV itu akan membuat penampilan sulung semasa acara pameran yang memberi tumpuan kepada usaha industri automotif untuk mencapai neutraliti karbon. Acara itu, yang akan dianjurkan oleh Japan Automobile Manufacturers Association (JAMA) bermula 18-21 Mei, akan berlangsung bersekali dengan G7 Hiroshima Summit.

    Menurut hebahan rasmi, pembangunan prototaip berkenaan melibatkan teknologi elektrifikasi Toyota, sementara Suzuki dan Daihatsu membekalkan kepakaran mereka dalam menghasilkan kenderaan saiz kecil. Berdasarkan imej yang disediakan, versi produksi prototaip berkenaan akan dirujuk sebagai Suzuki Every, Daihatsu Hijet dan Toyota Pixis Van.

    Setiap jenama akan memperkenalkan versi van mereka sendiri dalam tahun ini, tetapi hanya Daihatsu yang ditugaskan untuk melakukan pengeluarannya. Van komersial mini ini juga melibatkan input daripada Commercial Japan Partnership Technologies Corporation (CJPT) untuk memastikan ia mempunyai spesifikasi optimum sebagai penyelesaian logistik jarak-terakhir (last mile) yang cekap.

    Jarak perjalanan bagi satu caj penuh van ini dianggarkan 200 km, dan pembangunan lanjut sedang dijalankan untuk memastikan kenderaan ini memenuhi keperluan pelanggan dalam industri penghantaran.

     
     
  • Mazda patenkan rekaan kereta sport enjin Wankel Rotary, hibrid 3 motor elektrik & pacuan semua roda

    Mazda patenkan rekaan kereta sport enjin Wankel Rotary, hibrid 3 motor elektrik & pacuan semua roda

    Pembuat automotif dari Hiroshima, Mazda dikesan telah memfailkan paten untuk sebuah kereta sport dengan enjin Wankel Rotary di Pejabat Paten dan Tanda Perniagaan Amerika Syarikat baru-baru ini. Paten berkenaan sebenarnya telah pun difailkan pada Jun 2021, namun ia baru dijumpai oleh The Drive selepas ia disiarkan kepada umum minggu lalu.

    Mazda memang terkenal menghasilkan kereta-kereta sport dengan enjin Wankel Rotary bermula dengan Mazda Cosmo Sport pada 1967, dan diakhiri dengan model RX-8 yang diproduksi bermula 2003 sehingga ditamatkan pengeluaran pada 2012 kerana enjin berkenaan tidak mampu lagi untuk lulus ujian emisi yang semakin ketat.

    Bagi paten terbaharu yang dilihat difailkan oleh Mazda ini, rekaan berkenaan nampaknya mempunyai solusi untuk ‘menghalalkan’ kembali enjin rotary untuk digunakan pada kereta sports, iaitu dengan dipadankan bersama sistem elektifikasi!

    Dalam fail berkenaan, dapat dilihat kereta sport tersebut diberikan enjin pembakaran dalaman yang diletakkan pada sebelah hadapan dan memacu roda belakang. Mazda menyebut secara spesifik ia adalah enjin Rotary, dan dilihat sangat kompak dan diletakkan hampir dengan bahagian tengah badan sama seperti kereta-kereta sport Rotary Mazda sebelum ini.

    Dalam dokumen tersebut Mazda turut menyebut bahawa unit rangkaian kuasa ini turut boleh menggunakan enjin salingan (enjin yang berfungsi dengan omboh biasa) selain dari enjin Rotary. Kemudian dapat dilihat, enjin tersebut turut digandingkan dengan motor elektrik berkuasa 36 hp (25 kW) bagi bersama-sama memacu roda belakang.

    Tidak cukup dengan itu, gandar hadapan turut menerima sepasang motor elektrik masing-masing berkuasa 23 hp (17 kW) bagi memacu roda hadapan. Ini bermakna, kereta sport ini merupakan jentera pacuan semua roda dengan bantuan elektrifikasi, seakan konsep yang digunakan pada Honda NSX generasi baharu.

    Walau bagaimanapun, sistem hibrid yang digunakan ini bukanlah sistem yang menggunakan voltan tinggi, dan ia dilihat menggabungkan dua voltan berbeza dan mampu berfungsi secara bervariasi. Ia menggabungkan empat modul bateri 48-volt dalam satu pakej, namun jika lebih kuasa diperlukan, dua modul akan bergabung bagi beroperasi sebagai sistem 96-volt.

    Mazda menerangkan dalam fail paten berkenaan, rekaan ini dapat menghasilkan sistem yang ringan untuk sebuah kereta sports yang mempunyai satu enjin pembakaran dalaman, tiga motor elektik dan juga satu modul bateri hibrid.

    Mazda patenkan rekaan kereta sport enjin Wankel Rotary, hibrid 3 motor elektrik & pacuan semua roda

    Adakah dengan terdedahnya fail paten ini kita boleh menjangkakan Mazda bakal menghasilkan semula kereta sport Rotary bagi menyambung legasi RX-2, RX-3, RX-4,RX-7 dan dan RX-9 sebelum ini? Sebenarnya ini bukan kali pertama Mazda memfailkan rekaan-rekaan yang mengujakan seperti ini.

    Sebelum ini Mazda pernah memfailkan paten untuk rekaan hampir seperti ini di Jepun, serta memfailkan paten enjin Wankel Rotary Turbo generasi baharu yang dijangka akan digelar sebagai enjin SkyActiv-R. Malah Mazda turut pernah mendedahkan model konsep yang digelar RX-Vision ketika berlangsungnya Tokyo Motor Show 2015, membayangkan rupa sebuah kereta sport Rotary generasi baharu.

    Namun hakikatnya dengan keadaan syarikat buat masa sekarang, Mazda mengakui ia masih belum mampu untuk menghasilkan kereta sport dengan enjin Rotary kerana pelaburan yang perlu dikeluarkan sangat tinggi dan ia tidak boleh dijual dalam jumlah yang banyak seperti model-model penumpang biasa.

    Penolong pengurus divisi pembangunan rangkaian kuasa Mazda, Yoshiaki Noguchi dalam laporan Autocar Januari lalu menyatakan bahawa jurutera-jurutera Mazda masih ‘mengidam’ untuk menghasilkan kereta sport Rotary, tetapi sekarang bukan masanya.

    Mazda patenkan rekaan kereta sport enjin Wankel Rotary, hibrid 3 motor elektrik & pacuan semua roda

    “Apabila situasi syarikat lebih baik [berkaitan dengan melengkapkan pelancaran model-model elektriknya], kami boleh fikirkan impian tersebut sekali lagi,” katanya.

    Awal tahun ini Mazda telah memperkenalkan semula enjin Wankel Rotary pada model produksinya. Namun enjin generasi baharu yang dikenali dengan kod 8C, menampilkan hanya satu rotor berkapasiti 830 cc tersebut hanyalah sebagai enjin penambah jarak pada crossover hibrid PHEV Mazda MX-30 R-EV.

    Enjin rotary 8c itu berfungsi hanya untuk mengecas bateri lithium ion seperti tugas “generator pasar malam”, manakala MX-30 R-EV tersebut bergerak sepenuhnya dipacu motor elektrik.

    Namun menerusi enjin berkenaan, Mazda telah membuat pelbagai pembaharuan termasuk memberikan sistem suntikan bahan api terus, menggunakan bahan aluminium untuk binaan perumah rotor serta apex seal pada setiap bucu rotor direka lebih tebal dengan ukuran 2.5 mm bagi mengatasi masalah apex seal yang selalu ‘bocor’ pada enjin-enjin rotary sebelum ini.

    Jadi untuk masa terdekat, Mazda mungkin tidak akan muncul dengan model produksi kereta sport yang dipacu oleh enjin Wankel Rotary. Walau bagaimanapun, impian jurutera-jurutera Mazda untuk menghasilkan model sedemikian tidak pernah luntur seperti yang disebut oleh Noguchi.

    Sebab itulah Mazda akan terus membuat penambahbaikkan pada enjin Wankel Rotary tersebut apabila berpeluang, dan sentiasa menghasilkan pelbagai paten supaya apabila “tiba masanya” nanti, idea-idea tersebut boleh terus dipakai tanpa bermula dari awal.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025