Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Harga minyak 13-19 April – Masih tiada perubahan

    Harga minyak 13-19 April – Masih tiada perubahan

    Kementerian Kewangan (MOF) telah mengumumkan bagi tempoh tarikh 13 hingga 19 April 2023, harga runcit bagi ketiga-tiga bahan api iaitu petrol RON 97 dan RON 95 serta diesel masih dikekalkan. Ini merupakan minggu ke-16 tiada perubahan bagi harga runcit petrol dan diesel.

    Di mana petrol RON 97 masih dikekalkan pada harga runcit RM3.35 seliter, selepas ia mengalami penurunan harga selama tiga minggu berturut-turut sepanjang Disember 2022. Manakala petrol RON 95 yang telah mencapai harga siling pula, ia masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter.

    Begitu juga dengan diesel Euro B10/B20, harganya turut dikekalkan pada paras RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.

    Pada 13 Mac lalu, kerajaan berkata rancangan untuk memperkenalkan program subsidi bahan api bersasar masih diteruskan, namun akan dimulakan dengan diesel, manakala bagi petrol RON 95 akan ditangguhkan untuk tempoh lain. Menurut Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan, subsidi yang disasarkan akan terlebih dahulu melibatkan elektrik dan diesel apabila ia dilaksanakan

     
     
  • Perodua tawar Pakej Auto Rahmah 2023 untuk pemilik Axia dan Bezza hingga 15 Mei sempena Aidilfitri

    Perodua tawar Pakej Auto Rahmah 2023 untuk pemilik Axia dan Bezza hingga 15 Mei sempena Aidilfitri

    Mengikut saranan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Perodua menjadi syarikat pengeluar kenderaan kedua yang memperkenalkan Pakej Auto Rahmah 2023 di bawah program Payung Rahmah yang bertujuan mengurangkan beban kos hidup yang ditanggung oleh rakyat khususnya golongan B40.

    Menurut Perodua, pakej servis khas ini diperkenalkan untuk pemilik Axia dan Bezza bagi mengurangkan impak kenaikan harga barangan dan dalam masa yang sama mempromosikan perkhidmatan penyelenggaraan kenderaan dan keselamatan yang terbaik untuk sambutan Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi.

    Pakej Auto Rahmah 2023 dari Perodua ini menawarkan diskaun sehingga 30% untuk jumlah keseluruhan di dalam satu invois bagi alat ganti dan kos buruh. Untuk melayakkan diri bagi kempen ini, pemilik Axia dan Bezza dikehendaki membuat janji temu di pusat servis Perodua yang berhampiran. Kempen ini berlangsung mulai 12 April hingga 15 Mei 2023.

    Perodua tawar Pakej Auto Rahmah 2023 untuk pemilik Axia dan Bezza hingga 15 Mei sempena Aidilfitri

    “Hari ini, pemilikan kenderaan telah menjadi satu keperluan kepada kebanyakan orang. Sehubungan itu, kos pemilikan kenderaan seperti pinjaman, perbelanjaan bahan api, tol dan penyelenggaraan juga menjadi antara komponen utama perbelanjaan isi rumah rakyat Malaysia. Justeru, MITI amat berbesar hati kerana Perodua telah menyahut saranan kerajaan menerusi Pakej Auto Rahmah 2023 yang menawarkan diskaun bagi penyelenggaraan kenderaan di pusat servis rasminya.

    “Kami berharap jenama kenderaan lain juga akan turut mengikuti langkah Perodua bagi membantu memastikan keselamatan pemilik kenderaan dan mereka yang tersayang semasa berada di jalanraya, terutamanya menjelang musim perayaan Aidilfitri yang bakal tiba. Adalah menjadi keutamaan kerajaan untuk mencari kaedah yang terbaik dalam mengurangkan kesan kenaikan harga dan MITI sedang memanfaatkan peranannya untuk mencapai objektif itu,” kata Menteri MITI, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz.

    Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad pula berkata, “Pakej servis khas Perodua Auto Rahmah 2023 ini adalah khusus buat pelangga Axia dan Bezza kami yang membantu memenuhi keperluan pemotoran dan pada masa yang sama mengurangkan kos sara hidup mereka. Axia dan Bezza adalah model kami yang paling popular dan digunakan secara meluas sebagai mod pengangkutan utama oleh para pelanggan kami.

    “Oleh itu, kami ingin memastikan usaha yang dibuat dapat dinikmati oleh golongan sasar dan memberikan ketenangan semasa memandu. MITI sentiasa menjadi penyokong terbesar kami dan kini sedang bekerjasama dengan kami dalam merealisasikan diskaun servis khas ini.”

     
     
  • DUKE jadi lebuhraya ke-12 laksana sistem pembayaran tol terbuka – lokasi kedua untuk MLFF POC

    DUKE jadi lebuhraya ke-12 laksana sistem pembayaran tol terbuka – lokasi kedua untuk MLFF POC

    Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) menjadi lebuhraya terkini yang bakal melaksanakan sistem pembayaran tol terbuka, yang dijangka bermula pada September tahun ini. Menurut Menteri Kerja Raya (KKR) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, ini menjadikan jumlah keseluruhan lebuhraya yang terlibat di dalam inisiatif ini sebanyak 12 lebuhraya. Senarai berkenaan termasuk:

    • Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA atau E9)
    • Lebuhraya Pantai Baharu (NPE atau E10)
    • Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH atau E12)
    • Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE atau E35)
    • Jambatan Pulau Pinang (E36)
    • Lebuhraya Butterworth-Kulim (E15)
    • Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP atau E11)
    • Lebuhraya SPRINT (E23)
    • Lebuhraya Shah Alam (E5)
    • Terowong SMART (E38)
    • Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya (MEX atau E20)
    • Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE atau E33)

    Dengan sistem pembayaran tol terbuka ini, pengguna lebuhraya juga boleh menggunakan kad debit atau kredit di terminal khas di plaza tol untuk membayar kadar tol. Bulan lalu, PLUS telah mengumumkan pengguna lebuhraya yang ingin menggunakan kad debit atau kredit untuk membayar tol boleh menggunakan lorong Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) untuk berbuat demikian.

    DUKE jadi lebuhraya ke-12 laksana sistem pembayaran tol terbuka – lokasi kedua untuk MLFF POC

    Sebelum ini, Nanta turut berkata, pelaksanaan sistem pembayaran tol terbuka ini adalah salah satu langkah untuk peralihan ke arah sistem Aliran Bebas Pelbagai-Lorong atau Multi-Lane Fast Flow (MLFF). Menurut kenyataan yang dimuat naik menerusi laman Facebook rasminya, Nanta turut berkata, DUKE juga akan menjadi lokasi kedua pelaksanaan Proof of Concept (POC) bagi menilai sistem MLFF selepas Lebuhraya BESRAYA. POC dijangka bermula pada penghujung Oktober 2023.

    “Seperti yang diketahui umum, pelaksanaan sistem pembayaran tol terbuka ini merupakan persediaan awal peralihan ke arah MLFF sebelum dilaksanakan sepenuhnya secara berfasa selewat-lewatnya pada suku ketiga 2024.

    “Usaha ini diharap dapat memberikan peluang kepada kerajaan, syarikat konsesi serta pihak terlibat untuk mengenal pasti dan menyelesaikan segala isu-isu yang dapat merencatkan kelancaran pelaksanaan MLFF ini kelak,” katanya seperti yang dilaportkan oleh Bernama.

     
     
  • BR-V sudah digugur dari laman web rasmi Honda Malaysia – tiada model gantian generasi kedua dibawa

    BR-V sudah digugur dari laman web rasmi Honda Malaysia – tiada model gantian generasi kedua dibawa

    Bulan lalu Honda Malaysia telah mengesahkan bahawa ia tidak akan membawa model generasi kedua untuk Honda BR-V ke pasaran tempatan, dan jualan untuk SUV tujuh-tempat duduk berkenaan akan dihentikan selepas tiada lagi produksi bagi model generasi sedia ada. Menerusi tinjauan kami di laman web rasmi syarikat tersebut, kini BR-V tidak lagi disenaraikan, menandakan hayatnya di pasaran Malaysia sudahpun berakhir.

    Honda Malaysia tidak memberikan jawapan rasmi mengapa jualan BR-V tidak diteruskan, namun dari sumber dalaman yang kami dapat, ini adalah kerana syarikat berkenaan kini mengubah startegi mereka untuk mengundur diri dari saingan model tujuh-tempat duduk segmen-B, yang kini agak padat dengan model seperti Perodua Alza, Perodua Aruz, Toyota Veloz dan Mitsubishi Xpander.

    Syarikat tersebut nampaknya lebih berminat untuk masuk ke dalam persaingan untuk SUV kompak segmen-B menerusi Honda WR-V yang disahkan akan dilancar di Malaysia pada suku ketiga tahun ini, dengan saingan utamanya hanya Perodua Ativa.

    BR-V sudah digugur dari laman web rasmi Honda Malaysia – tiada model gantian generasi kedua dibawa

    Model generasi pertama Honda BR-V tiba di Malaysia pada awal 2017. Ia diasaskan dari MPV tujuh-tempat duduk Honda Mobilio dan menggunakan enjin 1.5 liter SOHC i-VTEC 120 PS/145 Nm yang sama, diberikan perincian unik untuk menjadikan ia lebih seperti sebuah SUV.

    Bagi model generasi kedua, BR-V masih diberikan enjin 1.5L NA tetapi dengan kemaskini termasuk kepala silinder DOHC i-VTEC memberikan kuasa keseluruhan 121 PS/145 Nm. Ia juga menerima tingkat taraf casis serta pelbagai perincian baharu termasuk sistem bantuan pemanduan Honda Sensing.

    GALERI: Honda BR-V generasi kedua pasaran Indonesia

     
     
  • Motosikal tukar lorong tiba-tiba dan menyebabkan perlanggaran – antara sebab AEB penting pada kereta

    Motosikal tukar lorong tiba-tiba dan menyebabkan perlanggaran – antara sebab AEB penting pada kereta

    Ini ada satu lagi video pertembungan antara kereta dan motosikal. Ia bukan setakat berlaku sekali, tetapi dua kali, melibatkan sebuah kereta dan juga dua buah motosikal dalam masa selang beberapa saat.

    Pada permulaan video kita boleh melihat pemandu kereta berada di lorong sebelah kanan, dan dengan tidak semena-mena, muncul motosikal yang baru keluar dari simpang di kiri terus masuk ke lorong paling kanan, sekaligus mengakibatkan kemalangan antara keduanya.

    Memanglah, perkara sudah berlaku, tetapi kita masih boleh mengambilnya sebagai pengajaran. Kemalangan ini mungkin dapat dielakkan sekiranya kedua-dua belah pihak mengambil langkah tertentu. Untuk penunggang motosikal, sekurang-kurangnya beliau boleh memerhati lebih cermat sebelum keluar simpang, dan melihat kenderaan lain termasuk di titik buta sebelum menukar lorong.

    Satu video 2 kemalangan dengan kereta yang sama.

    Video ; ownerr

    Posted by Aidan Ahmad on Monday, 10 April 2023

    Pemandu kereta pula mungkin boleh memberikan lebih perhatian untuk mengelak (mungkin keadaan tidak membenarkan) atau membrek lebih awal untuk mengelakkan perlanggaran. Kelajuan kereta tersebut tidak terpapar pada video dashcam ini, tetapi jika melihat kepada garisan jalan, ia semakin perlahan sebelum perlanggaran berlaku.

    Jika input daripada pemandu tidak mencukupi, pada waktu inilah sistem keselamatan Autonomous Emergency Braking (AEB) boleh bertindak untuk membrek secara maksimum bagi mengurangkan kesan perlanggaran atau mungkin mengelakkan berlaku sama sekali.

    Satu perkara yang tidak dijangka berlaku di penghujung video ini. Sedang pemandu kereta cuba untuk membantu penunggang motosikal bangun ke tepi jalan, sebuah lagi motosikal dengan laju tiba-tiba terbabas dari lorong yang sama, ke arah lorong bertentangan. Mungkin dia terlalu laju, tidak sempat untuk mengelak kereta yang berhenti kerana kemalangan tetapi kami tidak pasti sama ada berlaku perlanggaran dengan kereta ataupun tidak.

     
     
  • JPJ tumpu Op Bersepadu di 231 lokasi kerap berlaku kemalangan sempena Aidilfitri bermula 18 April

    JPJ tumpu Op Bersepadu di 231 lokasi kerap berlaku kemalangan sempena Aidilfitri bermula 18 April

    Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengumumkan bahawa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menumpukan kawasan yang kerap berlaku kemalangan dalam Op Bersepadu sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri yang akan bermula dari 18 hingga 27 April ini.

    Dalam laporan Bernama semalam, Anthony menyatakan bahawa sebanyak 231 lokasi di seluruh negara dikenal pasti sebagai kawasan kerap berlaku kemalangan atau ‘hotspot’ yang mana pemantauan akan ditingkatkan di kawasan terbabit.

    “Kalau kawasan yang dikenal pasti kerap berlaku kemalangan biasanya pendekatan yang digunakan adalah menempatkan kereta peronda untuk mengadakan rondaan supaya dengan kehadiran pegawai penguat kuasa pemandu akan lebih berhati-hati.

    “Saya harap pengguna patuh kepada peraturan jalan raya terutama di kawasan Pahang kerana ia adalah laluan utama ke Pantai Timur dari Lembah Klang dan sudah tentu berjuta kenderaan akan lalu,” katanya dan menambah bahawa larangan perjalanan terhadap kenderaan berat akan dilaksanakan seperti biasa.

     
     
  • Kempen Servis Proton Rahmah mulai 12 April-31 Mei; pemeriksaan 40 mata percuma, pakej servis RM150

    Kempen Servis Proton Rahmah mulai 12 April-31 Mei; pemeriksaan 40 mata percuma, pakej servis RM150

    Bagi membantu mengurangkan kos sara hidup golongan berpendapatan rendah, kempen Servis Proton Rahmah 2023 telah diperkenalkan dengan objektif menggalakkan pemilik Proton menghantar kenderaan mereka ke pusat servis bertauliah untuk pemeriksaan keselamatan 40 mata percuma dan pakej servis berharga RM150.

    Kempen Proton Rahmah 2023 bermula hari ini, 12 April sehingga 31 Mei 2023, yang disasarkan untuk pemilik Proton Persona, Iriz, Exora, Saga, serta model terdahulu termasuk Inspira, Waja dan Wira.

    Majlis pelancarannya telah disempurnakan oleh Menteri MITI, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abd Aziz yang diiringi oleh Datuk Seri Syed Faisal Albar Syed Ali Rethza Albar selaku Penngerusi Proton, CEO Proton Dr Li Chunrong dan Timbalan CEO Proton dan CEO Proton Edar Roslan Abdullah.

    “Pemilikan kenderaan adalah penting untuk kehidupan seharian ramai rakyat Malaysia dan perbelanjaan yang berkaitan dengannya seperti pembayaran balik pinjaman bank, minyak, tol dan penyelenggaran adalah komponen utama perbelanjaan isi rumah. Dengan pelancaran kempen ini, pemilik Proton akan dapat memeriksa kereta mereka secara percuma dan membeli pakej perkhidmatan mampu milik yang bakal meringankan beban mereka menjelang sambutan Hari Raya yang bakal tiba.

    “Saya berbesar hati kerana Proton merupakan syarikat automotif pertama yang menyokong inisiatif kerajaan dan saya berharap jenama lain akan mengikutinya untuk mengurangkan kos sara hidup mereka yang paling memerlukan,” kata Tengku Zafrul.

    Menurut Roslan Abdullah pula, “Kempen inklusif ini bagi memastikan kos dikongsi secara sama rata antara Proton Edar dan pengedar kami sebagai sebahagian daripada aktiviti Tanggungjwab Sosial Korporat (CSR) kami dan kami berharap dengan adanya kempen ini, pemilik digalakkan menghantar kereta mereka untuk diselenggara di mana-mana 248 pusat servis bertauliah Proton sebelum memulakan perjalanan balik ke kampung dalam tempoh perayaan ini.

    “Untuk pakej servis bernilai RM150 ini, Proton turut memberikan diskaun sebanyak 25% bagi minyak enjin separa sintetik, 10% bagi penapis minyak dan gasket serta 10% untuk kos buruh.”

    Jadi, bagi pemilik kenderaan Proton sedia ada, jangan lepaskan peluang untuk menyertai kempen ini yang menawarkan harga yang ternyata amat berpatutan. Pastikan kenderaan anda selamat dipandu sebelum memulakan perjalanan pulang ke kampung halaman sempena cuti perayaan Aidilfitri ini.

     
     
  • BYD Atto 3 terjual 1,000 unit di Malaysia dalam masa 100 hari – sasaran 3k unit setahun dilihat realistik

    BYD Atto 3 terjual 1,000 unit di Malaysia dalam masa 100 hari – sasaran 3k unit setahun dilihat realistik

    BYD Cars Malaysia telah mengumumkan bahawa SUV EV Atto 3 kini telah pun berjaya diserahkan kepada 1,000 pemilik pertamanya di Malaysia. Ini merupakan satu lagi rekod baharu dicatatkan selepas 100 unit SUV tersebut berjaya dihantar kepada pemiliknya untuk pasaran tempatan hanya sebulan selepas ia dilancarkan di sini pada Disember tahun lalu.

    Prestasi jualan tersebut dilihat begitu memberangsangkan – sebagai perbandingan SUV EV BMW iX turut telah mencapai jualan empat angka di Malaysia dengan hampir 1,000 unit diserahkan kepada pelanggan pada Januari 2023 selepas ia dilancarkan pada Ogos 2021, atau lebih dari 100 hari; manakala Atto 3 berjaya mencapai angka jualan sama dalam masa hanya sekitar 100 hari.

    Walaupun kedua-duanya merupakan SUV EV, tetapi masing-masing berada dalam segmen berbeza. BMW iX xDrive40 dijual pada harga bermula RM420k ketika dilancarkan, kemudian harganya turun sehingga RM361k pada 2022. Manakala BYD Atto 3 lebih mampu milik dengan harga jualan bermula RM150k ketika dilancarkan hujung tahun lalu.

    BYD mensasarkan jualan tahunan sebanyak 3,000 unti untuk Atto 3 ini di Malaysia. Dengan jualan 1,000 unit pertama telah pun dicapai pada bulan ini, sasaran yang dibuat oleh jenama dari China ini dilihat bakal dapat direalisasikan.

    Mengapa BYD Atto 3 ini diterima dengan baik dalam pasaran tempatan walaupun stigma ‘made in China’ masih menebal di kalangan rakyat Malaysia? Mungkin anda perlu baca ulasan pandu uji kami terhadap model ini pada PAUTAN INI untuk mendapatkan jawapannya.

    GALERI: BYD Atto 3 Standard Range 2023 pasaran Malaysia

     
     
  • Yamaha Aerox/NVX 155 pasaran India dapat sistem kawalan cengkaman, masih murah berbanding MT-15

    Yamaha Aerox/NVX 155 pasaran India dapat sistem kawalan cengkaman, masih murah berbanding MT-15

    India adalah antara negara yang kerap menerima pasaran baru, dan bagi Aerox 155, atau dikenali juga sebagai NVX 155 di Malaysia, ia diberikan bukan sahaja penyegaran warna, tetapi juga penambahan ciri keselamatan kawalan cengkaman (traction control).

    Bermakna, Aerox 155 di India menjadi versi paling lengkap bagi model tersebut berbanding yang dipasarkan di negara lain, dan sistem kawalan cengkaman ini menjadi tambahan kepada sistem keselamatan lain seperti ABS pada brek hadapannya yang menggunakan cakera 230 mm. Brek belakang masih cuma menggunakan sistem dram.

    Dijual pada harga 142,800 rupee (RM7,686), Aerox 155 dengan sistem kawalan cengkaman di India ini masih adalah lebih murah berbanding MT-15 yang dijual pada harga 164,900 rupee (RM8,876) dan R15 pada 180,900 rupee (RM9,737).

    Kelengkapan lain kebanyakannya adalah sama sahaja dengan Aerox/NVX pasaran lain, termasuk lampu hadapan dan belakang LED, poket barangan di hadapan dengan soket kuasa, ruang simpanan bawah tempat duduk 25 liter, rim 14 inci serta sistem sambungan bluetooth Y-Connect. Walaubagaimanapun, model pasaran India ini tidak mendapat sistem kunci pintar dan masih menggunakan penyerap belakang tanpa tabung.

    Penggerak Aerox 155 adalah enjin satu silinder 155 cc dengan sistem VVA yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 15 PS pada 8,000 rpm dan tork 13.9 Nm pada 6,500 rpm. Model pasaran India ini juga telah dinaik taraf supaya boleh menerima minyak E20 di sana.

     
     
  • Acura Integra Type S 2024 didedah – kembar Civic Type R FL5, 320 hp/420 Nm, 2.0L VTEC Turbo, 6MT

    Acura Integra Type S 2024 didedah – kembar Civic Type R FL5, 320 hp/420 Nm, 2.0L VTEC Turbo, 6MT

    Selepas beberapa teaser disiar sebelum ini, ini dia versi paling berkuasa untuk Acura Integra generasi baharu iaitu Integra Type S didedahkan secara rasmi di Amerika Syarikat! Dan seperti yang dijangka sebelum ini, jika Integra standard adalah kembar kepada Civic Si, model Type S ini pula merupakan kembar kepada Civic Type R FL5.

    Jadi selain dibina berasaskan plaform yang sama dengan Civic Type R, Integra Type S ini turut menerima enjin K20C1 2.0 liter VTEC Turbo yang menghasilkan 320 hp pada takat 6,500 rpm dan tork maksima 420 Nm. Ini menjadikan Integra Type S 2024 ini merupakan Integra produksi paling berkuasa pernah dihasilkan selepas Integra Type R DC5 dengan enjin K20A 2.0L DOHC i-VTEC yang menjana 220 hp/206 Nm.

    Enjin tersebut turut menerima sistem ekzos yang didakwa kurang rintangan serta menampilkan tiga tip ekzos di belakang seiras Type R FL5. Menurut Acura, ekzos ini akan memberikan bunyi berlainan mengikut mod pemanduan yang dipilih oleh pemandu menerusi injap aktif yang dibekalkan, dan ia akan menghasilkan ‘letupan’ pops and bangs pada mod Sport+.

    Acura Integra Type S 2024 didedah – kembar Civic Type R FL5, 320 hp/420 Nm, 2.0L VTEC Turbo, 6MT

    Kuasa dari enjin dihantar ke gandar hadapan menerusi hanya satu pilihan kotak gear iaitu manual enam-kelajuan, yang dilengkapi short-shifter serta dibekalkan dengan unit LSD jenis helical membolehkan kedua-dua tayar hadapan mengigit permukaan jalan dengan lebih mencengkam ketika mengambil selekoh. Juga sama seperti Civic FL5, kotak gear manual Integra Type S ini turut diberikan sistem rev-match bagi membolehkan aksi heel & toe dibuat secara automatik.

    Perincian casis dan pengendalian pada Integra Type S ini juga seiras dengan Civic Type R. Ia menampilkan sistem suspensi dua paksi pada bahagian hadapan bagi menghilangkan kesan torque steer semasa memecut. Jarak trek roda juga lebih lebar berbanding Integra standard (90 mm di hadapan dan 48 mm di belakang) bagi memberikan kestabilan dan cengkaman tayar lebih tinggi.

    Bar penstabil hadapan juga ditukar dengan unit yang berketebalan 29 mm, iaitu 2 mm lebih tebal dari unit pada Integra biasa bagi memberikan respon yang lebih baik.

    Acura Integra Type S 2024 didedah – kembar Civic Type R FL5, 320 hp/420 Nm, 2.0L VTEC Turbo, 6MT

    Integra Type S 2024 ini datang dengan penyerap hentak jenis adaptif (ADS) secara standard. Penyerap hentak tersebut dikawal oleh Integrated Dynamics System (IDS) dan akan menampilkan karekter redaman yang berbeza mengikut mod pemanduan Comfort, Sport dan Sport+ yang dipilih pemandu. Ia sedikit berbeza dengan Civic Type R yang hadir dengan mod Comfort, Sport dan R+.

    Pada bahagian roda, Integra Type S ini diberikan rim dalam saiz serta jenis tayar yang sama seperti Civic Type R tetapi dengan rekaan lebih tersendiri. Rim Shark Gray 10-jejari 19-inci dengan lebar lebar 9.5-inci berkenaan direka diinspirasikan dari rim NSX Type S, dibalut dengan tayar Michelin Pilot Sport 4S 265/30R19. Acura menyatakan bahawa walaupun rim ini lebih besar dari rim 18-inci pada Integra standard, ia sebenarnya adalah hampir satu kg lebih ringan.

    Bagi memberhentikan kereta ini, ia dilengkapi dengan cakera brek 350 mm bersama angkup aluminium monoblok empat omboh dari Brembo – berbanding hanya logo Brembo diletak pada angkup brek hadapan Civic Type R, unit pada Integra Type S ini menampilkan logo Acura yang lebih besar. Manakala di belakang, sistem brek untuk Type S ini terdiri dari cakera 305 mm.

    Acura Integra Type S 2024 didedah – kembar Civic Type R FL5, 320 hp/420 Nm, 2.0L VTEC Turbo, 6MT

    Acura Integra generasi baharu ini bukan sekadar Civic dengan muka dan lampu belakang berbeza. Ia dihasilkan selaras dengan bentuk tradisi sebuah Integra iaitu liftback dengan pintu hatch yang diintegrasikan dari bahagian but hingga cermin belakang, berbanding Civic yang tampil dalam badan sedan dan hatchback.

    Versi Type S ini masih menampilkan perincian sebuah Acura sebenar dengan lampu hadapan LED JewelEye bersama gril Diamond Pentagon serta tulisan ikonik ‘Integra’ seperti diukir di bawah lampu kiri, tetapi diberikan bampar hadapan dengan apron yang lebih agresif. Gril bahagian bawah menyerlahkan unit intercooler yang “tersenyum” disebaliknya, manakala liang udara sisi yang berfungsi mengalirkan udara bagi menyejukkan sistem brek hadapan.

    Sama seperti Civic Type R, bonet aluminium hadapan Integra Type S ini juga diberikan liang udara bersaiz besar. Menurut Acura, gandingan gril hadapan dan juga liang pada bonet ini menghasilkan aliran udara 170% lebih baik untuk mengeluarkan haba dari ruang enjin.

    Acura Integra Type S 2024 didedah – kembar Civic Type R FL5, 320 hp/420 Nm, 2.0L VTEC Turbo, 6MT

    Dengan tetapan suspensi menampilkan trek roda lebih lebar, ia turut menyebabkan Integra Type S ini nampak lebih ‘gemuk’ dengan pemadanan fender hadapan dan belakang yang 70 mm lebih lebar. Di belakang, ia masih hadir dengan unit lampu yang sama seperti Integra standard bersama spoiler ‘ekor itik’ pada penutup but, manakala bahagian bawah bampar menerima kemasan diffuser yang lebih agresif.

    Logo-logo Type S pula dilekat pada gril hadapan, fender hadapan dan juga pada penutup but belakang. Acura turut menawarkan beberapa aksesori penggayaan asli luar untuk Integra Type S ini iaitu penutup cermin sisi dan spoiler belakang yang diperbuat dari gentian karbon, logo hadapan Acura bernyala dalam kemasan hitam serta rim dalam kemasan tembaga metalik.

    Pada sebelah dalam, model Type S menampilkan perincian-perincian yang nampak lebih mewah, berbanding Civic Type R yang diberikan karekter seperti jentera lumba sebenar. Ia masih diberikan roda stereng dengan logo Type S yang dibalut oleh alcantara bersama tombol gear kemasan anodized, tetapi pembeli boleh memilih opsyen tombol gear aluminium yang diinspirasikan dari model-model Integra Type R terdahulu.

    Acura Integra Type S 2024 didedah – kembar Civic Type R FL5, 320 hp/420 Nm, 2.0L VTEC Turbo, 6MT

    Ia turut diberikan paparan instrumen digital dengan skrin 10.2-inci yang digelar Acura Precision Cockpit, tetapi tidak diberikan lampu tukaran gear LED ala-kereta lumba pada sebelah atas seperti pada Civic Type R. Integra Type S ini juga tidak menerima tempat duduk bucket merah seperti Type R, sebaliknya menerima tempat duduk sport yang dibalut material Ultrasued yang turut diberikan fungsi pemanas serta menampilkan logo Type S pada perehat kepala.

    Perincian-perincian lain yang dibekalkan pada kokpit Integra Type S ini termasuk but tuil gear alcantara dengan serlahan jahitan merah, paparan head-up, pengecas tanpa wayar, skrin sesentuh sembilan-inci dengan fungsi Apple CarPlay dan Android Auto yang boleh dihubungkan tanpa wayar, serta sistem bunyi premium 3D ELS Studio 530-watt dengan 16-pembesar suara.

    Tiga warna tema kabin ditawarkan bagi model ini iaitu merah, hitam dan Orchid. Manakala untuk keselamatan, Integra Type S ini masih dibekalkan dengan pakej sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) AcuraWatch.

    Tidak seperti Honda Civic Type R yang kini diproduksi di kilang Yurii Honda di Jepun, Integra Type S 2024 ini pula dihasilkan secara ekslusif di Marysville Auto Plant, Ohio, Amerika Syarikat iaitu kilang milik Honda yang turut memproduksi model Acura TLX dan TLX Type S.

    Enjin VTEC Turbo K20C1 pada model ini pula dibekalkan oleh kilang yang sama menghasilkan enjin pada perut Civic Type R, iaitu di Anna Engine Plant, juga terletak di Ohio.

    Acura Integra Type S ini akan membuat kemunculan sulungnya dikhalayak umum ketika berlangsungnya Acura Grand Prix of Long Beach, di California pada 14 hingga 16 April nanti. Jualannya di Amerika Syarikat pula akan bermula pada bulan Jun ini.

     
     
  • Polis Kuala Selangor giat kesan dua motosikal berkuasa besar buat aksi wheelie di Lebuhraya LATAR

    Polis Kuala Selangor giat kesan dua motosikal berkuasa besar buat aksi wheelie di Lebuhraya LATAR

    Polis Kuala Selangor sedang mengesan dua kumpulan penunggang motosikal berkuasa tinggi yang membuat aksi ‘wheelie’ dipercayai di Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR).

    Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa, semalam pihaknya telah menerima dua video hasil rakaman dashcam berdurasi 19 saat yang memaparkan aksi berbahaya penunggang motosikal tersebut, laporan Buletin Utama.

    “Video pertama memaparkan sekumpulan empat penunggang motosikal dengan model dan nombor pendaftaran tidak dapat dikenal pasti. Dua daripada mereka melakukan aksi ‘wheelie’ iaitu mengangkat tayar dan bersaing sesama sendiri. Aksi itu dirakam oleh seorang lagi penunggang motosikal.

    “Hasil penelitian video, polis mengenal pasti salah satu nombor pendaftaran motosikal yang menyertai kumpulan terbabit adalah PNV 1414. Polis turut berusaha mengesan perakam video itu dan akan merakam percakapannya. Selain itu, video berkenaan akan dihantar ke Unit Forensik untuk tindakan lanjut serta mengesan kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran,” katanya.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

     
     
  • Hap Seng Star dan Mercedes-Benz Malaysia lancar Autohaus baharu terletak di Bukit Tinggi, Klang

    Hap Seng Star dan Mercedes-Benz Malaysia lancar Autohaus baharu terletak di Bukit Tinggi, Klang

    Hap Seng Star, bersama Mercedes-Benz Malaysia (MBM), telah melancarkan Autohaus terbaharu yang terletak di Bukit Tinggi, Klang. Fasiliti baharu yang dibina dalam keluasan 49,543 kaki persergi ini terletak dalam kawasan seluas 142,000 kaki persegi.

    Bukit Tinggi Autohaus baharu ini menampilkan bilik pameran yang mampu mempamerkan hingga 45 buah kenderaan serta sudut barangan cenderahati dan aksesori Mercedes-Benz. Kemudahan lain termasuklah Star Lounge, kafe layan diri, bilik permainan kanak-kanak dan bilik berhias untuk kaum wanita.

    Bagi pengendalian kereta pelanggan, fasiliti ini dikendalikan oleh juruteknik Mercedes-Benz terlatih penyelenggaraan perkhidmatan berjadual dan pembaikan besar. Kapasiti penyelenggaran mampu mencecah 900 kereta sebulan, dan ia boleh dipertingkatkan pada masa hadapan jika diperlukan.

    Untuk pengalaman perkhidmatan yang komprehensif, Hap Seng Star turut menawarkan Express Service 2.0, penghantaran dan pengambilan, tempahan perkhidmatan ‘drop-and-go’, lapisan cermin gelap dan tuntutan waranti dan insurans di Autohaus.

    Hap Seng Star dan Mercedes-Benz Malaysia lancar Autohaus baharu terletak di Bukit Tinggi, Klang

    “Pelancaran Mercedes-Benz Autohaus di Bukit Tinggi adalah bukti komitmen bersama kami untuk mentakrifkan semula pengalaman jenama mewah untuk pelanggan kami di Malaysia. Mercedes Benz-Malaysia sentiasa teguh dalam mengembangkan kehadiran jenama ini yang bertujuan untuk meningkatkan lagi penawaran dan pengalaman pelanggan kami dalam bidang jualan dan perkhidmatan untuk memenuhi keperluan pelanggan yang berkembang,” kata Sagree Sardien, Presiden dan CEO MBM.

    Tambahnya lagi, “Autohaus tercanggih baharu ini menampilkan peningkatan kapasiti untuk perkhidmatan pelanggan, dengan transformasi digital dan tumpuan tinggi pada perlindungan data, dan kemudahan tambahan untuk pengalaman jenama yang lancar dan mampan yang boleh ditawarkan oleh Mercedes-Benz secara eksklusif.”

    Dari segi kemampanan, bangunan ini telah diperakui dengan anugerah ‘Gangsa’ oleh GreenRE dan mempunyai sistem penuaian air hujan. Pelanggan Mercedes-EQ juga dapat mengecas kenderaan elektrik (EV) mereka di Autohaus, yang mempunyai empat petak ruang pengecas DC 120 kW.

    Hap Seng Star dan Mercedes-Benz Malaysia lancar Autohaus baharu terletak di Bukit Tinggi, Klang

    “Bukit Tinggi adalah sebuah perbandaran yang terkenal dan mapan dan kami mahu berada di tempat pelanggan kami, dan memberikan mereka perkhidmatan dan pengalaman runcit yang terbaik.

    “Dalam konteks hari ini, kami sedar bahawa pengalaman pelanggan adalah sama pentingnya dengan penawaran produk, dan oleh itu, bersama-sama dengan Mercedes-Benz, kami berhasrat untuk memanfaatkan peluang perniagaan kereta yang besar di wilayah Bukit Tinggi dan mengembangkannya menjadi sebuah syarikat yang penting serta hab auto pada tahun-tahun akan datang,” kata Harald Behrend, COO Kumpulan Hap Seng Consolidated dan Ketua Eksekutif Hap Seng Group Automotive Division.

    Dengan pelancaran Bukit Tinggi Autohaus ini, portfolio Hap Seng Star selaku pengedar Mercedes-Benz telah mencapai sembilan cawangan, dengan lokasi lain termasuk di Kuala Lumpur, Kinrara, Balakong, Jalan Ipoh, Setia Alam, Melaka, Kuching dan Kota Kinabalu. Syarikat ini juga mengendalikan Pusat Pra-Pemilikan Mercedes-Benz di Kinrara serta pusat mengecat badan kenderaan di Shah Alam.

     
     
  • PLUS jangka 2j kenderaan pada hari puncak menjelang Aidilfitri – tiada penutupan lorong pada 19 April-1 Mei

    PLUS jangka 2j kenderaan pada hari puncak menjelang Aidilfitri – tiada penutupan lorong pada 19 April-1 Mei

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan kira-kira dua juta kenderaan akan menggunakan semua rangkaian lebuh raya kendaliannya setiap hari-hari puncak (hari-hari yang dijangka mencatatkan jumlah trafik tertinggi) iaitu pada 20 April hingga 21 April, 24 April hingga 25 April, 29 April hingga 1 Mei dan 4 Mei hingga 7 Mei 2023. Ia merupakan peningkatan sebanyak 20% berbanding jumlah trafik pada hari-hari biasa.

    “PLUS menyarankan agar orang ramai yang menggunakan rangkaian lebuh raya kami supaya merancang perjalanan mereka dengan baik dan pulang ke kampung lebih awal bagi mengelakkan mereka terperangkap dalam lonjakan trafik pada hari-hari puncak.

    “Bagi menguruskan lonjakan trafik pada perayaan kali ini, PLUS telah membuat persediaan dan mengatur pelbagai strategi bagi membantu orang ramai menikmati perjalanan yang lebih selamat dan selesa di lebuh raya kami. Strategi-strategi tersebut merangkumi aspek keselamatan lebuh raya, pengurusan trafik dan kesesakan, pengagihan trafik, pengurusan trafik di plaza tol, pengurusan kemudahan di kawasan rehat, hebahan maklumat trafik dan sebagainya,” kata Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi.

    PLUS jangka 2j kenderaan pada hari puncak menjelang Aidilfitri – tiada penutupan lorong pada 19 April-1 Mei

    Seperti kebiasaaan setiap kali musim perayaan besar, PLUS juga bakal mengeluarkan Jadual Perjalanan (TTA) untuk perjalanan di Lebuhraya Utara-Selatan dalam tempoh terdekat ini. Ia sebagai strategi untuk mengagihkan trafik dan membantu orang ramai merancang perjalanan mereka untuk pulang ke kampung atau kembali semula ke Lembah Klang pada musim perayaan ini.

    “Bagi memastikan perjalanan di lebuh raya lebih lancar dan selesa, PLUS juga akan menghentikan sementara kerja-kerja naik taraf dan penyelenggaraan di lebuh raya mulai 19 April hingga 1 Mei 2023. Dalam tempoh tersebut, tiada penutupan lorong akan dilaksanakan.

    “Namun begitu, sekiranya berlaku kes-kes kecemasan serta terdapat kerja pembaikan kritikal, penutupan lorong terpaksa dijalankan bagi memastikan keselamatan pengguna lebuh raya ketika musim perayaan ini,” ujar Zakaria.

    PLUS jangka 2j kenderaan pada hari puncak menjelang Aidilfitri – tiada penutupan lorong pada 19 April-1 Mei

    Dalam memastikan aspek keselamatan pengguna lebuh raya sentiasa berada pada tahap yang baik, PLUS akan terus berkolaborasi bersama Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk melaksanakan penguatkuasaan undang-undang dan advokasi di lebuh raya sepanjang musim perayaan ini.

    “Selain itu, PLUS turut menempatkan Pasukan Bantuan Kecemasan (ERT) yang terdiri daripada PDRM, JPJ, Angkatan Pertahanan Awam (APM), St John Ambulans dan Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) di 11 lokasi strategik di lebuh raya dengan lebih daripada 500 petugas.

    “Dalam masa yang sama, PLUS juga turut menempatkan lebih 6,000 petugas dari keseluruhan ekosistem lebuh rayanya di plaza-plaza tol, kawasan rehat dan rawat, hentian sebelah dan laluan utama lebuh raya meliputi anggota peronda, pembantu khidmat pelanggan dan penyelia plaza tol, petugas Pusat Pemantauan Trafik (TMC), anggota RELA, Pasukan Bantuan Kecemasan (ERT) dan kakitangan penyelenggaraan untuk bersedia membantu pengguna lebuh raya,” tambahnya.

    Pengguna lebuh raya boleh mendapatkan maklumat trafik terkini sempena musim perayaan di Lebuhraya PLUS dan LPT2 menerusi beberapa medium komunikasi dengan mengikuti twitter @PLUStrafik atau twitter @LPT2trafik, Aplikasi PLUS, Chatbot PUTRI, stesen-stesen radio dan papan tanda elektronik (VMS).

     
     
  • BYD Atto 3 Standard Range — EV bawah RM150k

    BYD Atto 3 Standard Range — EV bawah RM150k

    BYD Atto 3 dilancarkan untuk pasaran tempatan pada Disember tahun lalu. Namun, daripada dua varian yang ditawarkan, kita hanya selalu ditunjukkan varian paling tinggi, BYD Atto 3 Extended Range (ER) yang dijual pada harga RM167,800k. Maka kali ini, kami bawakan pula anda mendekati varian kedua yang lebih rendah, Atto 3 Standard Range (SR) yang dijual pada harga RM149,800 — tidak termasuk insuran.

    Versi SR datang dengan bateri 49.92 kWh dengan jarak 410 km (NEDC, 345 km WLTP), manakala versi ER dengan bateri 60.48 kWh, dengan jarak perjalanan 480 km (NEDC, 420 km WLTP). Kedua-dua bateri ini disambungkan kepada motor elektrik di depan yang menjana 204 PS/310 Nm. Pecutan 0-100 km/j adalah dalam masa 7.3 saat bagi kedua-duanya. Hanya jarak perjalanan yang membezakan antara dua versi tersebut.

    BYD Atto 3 Standard Range — EV bawah RM150k

    Atto 3 dibangun menggunakan binaan 400V dan boleh dicas menggunakan pengecasan AC (Type 2) sehingga 7 kW dan juga pengecasan pantas DC (CCS2), dengan kadar maksimum antara 70 kW (SR) atau 80 kW (ER), mengikut kapasiti baterinya. Dengan input lebih tinggi itu, kadar pengecasan 0-80% boleh dicapai dalam masa hanya 45 minit. Turut tersedia ialah fungsi V2L kereta ini untuk membolehkannya membekalkan kuasa kepada peranti lain.

    Atto 3 menggunakan bateri Blade Lithium Iron Phosphate (LFP), yang dihasilkan oleh BYD sendiri, dan membezakannya daripada EV lain dalam pasaran. Kelebihannya, jarak penggunaan maksimum boleh dicapai seperti yang tertera di atas.

    BYD Atto 3 Standard Range — EV bawah RM150k

    Walaupun menjadi varian lebih rendah, SR lengkap dengan pelbagai ciri. Antaranya, bumbung panoramik, cermin sisi dengan pemanas, panel instrumen digital 5.0-inci, kerusi balutan kulit tiruan, kerusi pemandu larasan enam-hala (empat-hala untuk penumpang), kamera 360-darjah, peninjau tekanan tayar, brek parkir elektronik dengan auto hoold, lampu utama dan lampu belakang LED serta lampu depan adaptif.

    Turut ada ialah pendingin automatik dan kad kunci NFC. Sambungan Apple CarPlay dan Android Auto pula tanpa wayar (AA tanpa wayar akan tiba pada suku kedua 2023). Tersedia juga dash-cam binaan dalam dan enam pembesar suara. Skrin tengah boleh pusing dengan saiz 12.8-inci pula adalah standard untuk semua.

    BYD Atto 3 Standard Range — EV bawah RM150k

    Apa bezanya dengan ER yang harganya lebih RM18k? Senarainya termasuklah pintu ruang belakang elektronik, lampu suasana pelbagai warna di pemegang pintu dan lapan pembesar suara dengan audio “Dirac HD”, penapis udara PM 2.5, pengecas telefon tanpa wayar dan rim 18-inci dengan tayar 215/55. SR menggunakan rim 17-inci dengan rekaan konvesional — itu saja beza luaran antara SR dan ER.

    Untuk aspek keselamatan, kedua-duanya datang dengan kelengkapan yang sama: kereta dengan penarafan Euro NCAP lima-bintang ini lengkap dengan tujuh beg udara, sistem ADAS lengkap dengan ciri Stop/Go untuk ACC dan amaran bukaan pintu adalah standard. Isofix pula ada tiga.

    Anda rasa berbaloi untuk beli SR dengan penjimatan kos RM18k dan kurang 70 km jarak berbanding ER? Ikuti juga pengalaman pandu uji kami dengan versi ER di sini.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025