Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • APAD umum kenderaan perkhidmatan teksi dan e-hailing dilanjutkan had usia sehingga 15 tahun

    APAD umum kenderaan perkhidmatan teksi dan e-hailing dilanjutkan had usia sehingga 15 tahun

    Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) telah mengumumkan had usia penggunaan kenderaan bagi perkhidmatan teksi dan e-hailing di negara ini dilanjutkan sehingga 15 tahun mulai hari ini, 3 April 2023.

    Menurut APAD lagi, langkah pelanjutan usia itu selari hasrat Kementerian Pengangkutan yang mahu melestarikan industri teksi dan e-hailing ke arah menambah baik sistem pengangkutan negara.

    “Lanjutan had usia teksi dan e-hailing ini diguna pakai bagi kedua-dua kelas kenderaan e-hailing di Sabah, Sarawak dan Labuan dengan mematuhi tiga syarat iaitu kenderaan dalam kelas lesen teksi dan e-hailing yang mencapai had usia maksimum dalam tempoh bermula 1 Januari 2023.

    “Selain itu, semua kenderaan yang akan diberi kelulusan tersebut mematuhi dan melepasi semua syarat pemeriksaan berkala wajib Puspakom. Seterusnya, mematuhi syarat operasi lain yang ditetapkan bagi memastikan tahap keselamatan kenderaan, keselesaan pengguna dan imej industri ini terjamin,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Justeru, APAD berharap agar pemain industri teksi dan e-hailing dapat meningkatkan mutu perkhidmatan yang mampu dijadikan mod pilihan rakyat yang diyakini dan berkualiti.

    Sebarang pertanyaan lanjut mengenai syarat perlanjutan had usia ini boleh didapati di laman portal rasmi APAD iaitu www.apad.gov.my atau hadir terus ke pejabat APAD yang berhampiran.

     
     
  • Audi M’sia panggil balik A4 Sedan, A5 Sportback, A6 Sedan, Q5, TT Coupe 2008-2017 – isu beg udara Takata

    Audi M’sia panggil balik A4 Sedan, A5 Sportback, A6 Sedan, Q5, TT Coupe 2008-2017 – isu beg udara Takata

    PHS Automotive Malaysia (PHSAM) selaku pengedar rasmi Audi di Malaysia telah mengumumkan panggilan balik secara sukarela ke atas 2,767 unit kenderaan yang terdiri daripada model Audi A4 Sedan, A5 Sportback, A6 Sedan, Q5 dan TT Coupe buatan antara tahun 2008 hingga 2017. Menurut kenyataan yang dikeluarkan, program panggil balik ini disebabkan isu beg udara Takata atau generator gas pada beg udara bahagian pemandu, penumpang dan beg udara jenis curtain.

    “Kami menggesa pemilik yang terlibat supaya menghubungi Audi Centre berhampiran untuk mendapatkan temu janji pemeriksaan serta penggantian beg udara jika perlu dan alat ganti berkaitan secepat mungkin.

    “Berdasarkan kepada kemaskini terbaharu daripada pengeluar, wujud kemungkinan perumah
    generator gas tersebut itu rosak sekiranya beg udara diaktifkan. Ini akan menyebabkan serpihan kecil melayang daripada perumah tersebut dan boleh mengakibatkan risiko keselamatan yang serius,” kata kenyataan yang dikeluarkan itu.

    Tambahnya, Audi sangat menitikberatkan soal keselamatan. Malah ia akan terus menjadi salah satu faktor penting dalam usaha berterusan jenama ini untuk menambah baik aspek perkhidmatan selepas jualan.

    “Kami mengenal pasti bahawa antara sebab utama pelanggan memilih Audi adalah kerana prestasi dan ciri keselamatannya. Jadi, standard tinggi ini akan kami laksanakan dengan penuh bertanggungjawab.

    “Walaupun kami sudah mengenal pasti jumlah kenderaan yang terlibat dalam kempen panggilan
    semula ini, memang ada kemungkinan bukan semua memerlukan penggantian alat ganti. Justeru,
    kami ingin menggalakkan pelanggan membawa kenderaan untuk diperiksa di pusat servis,
    seterusnya memberi ketenangan minda kepada mereka,” kata Pengarah Urusan PHSAM, Erik Winter.

    Pelanggan yang tidak pasti sama ada kereta Audi mereka terlibat dalam kempen panggilan semula ini dinasihatkan supaya mengunjungi laman web Audi Malaysia. Mereka juga boleh menghubungi
    Khidmat Pelanggan Audi di talian 1-800-22-2834 atau emel ke [email protected].

    Menurut syarikat ini lagi, pemilik kenderaan berusia lima tahun dan ke atas juga layak untuk menyertai program Audi Plus yang dilancarkan baru-baru ini yang menawarkan diskaun penyelenggaraan sebanyak 10% di mana-mana pusat Audi Centre. Pelanggan juga akan menerima tiga baucar servis yang boleh digunakan dalam tempoh tiga tahun selepas tahun kelima servis, selain perkhidmatan Bantuan Tepi Jalan Audi secara percuma sehingga 12 bulan dari tarikh penebusan baucar.

     
     
  • Hyundai Ioniq 5 N ‘menari’ di atas permukaan salji dengan jentera WRC i20 Rally dalam video teaser baru

    Hyundai Ioniq 5 N ‘menari’ di atas permukaan salji dengan jentera WRC i20 Rally dalam video <em>teaser</em> baru

    Divisi perlumbaan dan talaan Hyundai N dengan jelas sebelum ini sudah menyatakan sebelum ini bahawa model-model produksi prestasi keluarannya bukan hanya menumpukan pada aspek kuasa semata-mata, tetapi turut menitikberatkan faktor keterujaan ketika mengambil selekoh.

    Faktor yang sama bukan hanya diterapkan pada model-model petrol Hyundai N sedia ada seperti i30 N, i20 N dan Kona N, malah tidak terkecuali untuk model produksi prestasi elektrik penuh pertamanya yang bakal muncul di pasaran tidak lama lagi iaitu Hyundai Ioniq 5 N.

    Dalam video teaser terbaharu, Hyundai Ioniq 5 N yang masih berselindung disebalik pelekat penyamaran berkenaan dilihat beraksi bersama jentera rali WRC Hyundai i20 N Rally1 di atas permukaan ais. Dengan pengalaman Hyundai dalam kejohanan tersebut, sistem rangkaian kuasa elektrik pada Ioniq 5 N berkenaan nampaknya membolehkan ia “menari” dalam rentak yang sama seperti jentera WRC berkenaan!

    Jentera rali WRC hibrid i20 N Rally1 tersebut dibekalkan dengan enjin 1.6 liter turbo yang mampu menjana 380hp bersama modul sistem hibrid yang dilengkapi motor elektrik berkuasa 134 hp/180 Nm diletak pada gandar belakang, memberikan kuasa keseluruhan 500 hp ketika boost elektrik diaktifkan.

    Manakala untuk Hyundai Ioniq 5 N pula, ia dilaporkan datang dengan dua motor elektrik yang masing-masing diletakkan pada gandar hadapan dan belakang bagi memberikan pacuan semua roda. Tiada angka prestasi rasmi diumumkan lagi, namun laporan dari media-media Australia yang berpeluang menguji unit prototaip ini menyatakan bahawa ia diberikan bateri lebih besar iaitu sekitar 80 kWj, serta ditala lebih berkuasa berbanding Kia EV6 GT yang menjana 385 PS/740 Nm dengan catatan rekod 0-100 km/j dalam 3.5 saat.

    Hyundai Ioniq 5 N ini juga diumumkan menerima suspensi dengan penyerap hentak adaptif kawalan elektronik. Dan bagi membolehkan ia “menari” seperti jentera WRC ini, Ioniq 5 N turut datang dengan e-LSD, agihan tork bervariasi kawalan elektronik dan juga mod Drift.

    Hyundai Ioniq 5 N ‘menari’ di atas permukaan salji dengan jentera WRC i20 Rally dalam video <em>teaser</em> baru

    Bagi memberikan lebih senyuman kepada pemandu Ioniq 5 N ini, jurutera Hyundai N turut membangunkan program “N e-Shift” yang membolehkan rasa sensasi seperti tukaran gear pantas dari transmisi klac berkembar pada model-model petrol Hyundai N dirasai pada model prestasi elektrik penuh ini.

    Malah program berkenaan turut akan digandingkan dengan program “N Sound +” yang direka untuk menghasilkan bunyi enjin dan bunyi tukaran gear tersebut.

    Bagi model biasa Hyundai Ioniq 5, ia sudah pun dilancarkan di Malaysia pada harga RM270,408. Hyundai Malaysia sebelum ini pernah membawa model prestasi i30 N secara rasmi ke pasaran tempatan, agak-agak ada harapan untuk Ioniq 5 N ini turut di bawa ke Malaysia?

    GALERI: Unit prototaip Hyundai Ioniq 5 N

     
     
  • PDRM saman dan sita 13 buah Proton Wira di Sik, Kedah kerana bunyi bising enjin di kawasan parkir

    Polis Daerah Sik telah menyita 13 buah Proton Wira kerana pemiliknya saling berbalas bunyi bising enjin di kawasan parkir di Jalan Alamanda dalam operasi pada malam minggu lalu. Tindakan pemilik Proton Wira berkenaan juga disifatkan sebagai mengganggu ketenteraman awam ketika bulan Ramadan.

    Menurut Ketua Polis daerah berkenaan, Deputi Superintendan Abdull Razak Osman, operasi disertai Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sik bermula jam 11 malam hingga 2 pagi tadi itu tertumpu di kawasan berkenaan berdasarkan maklumat yang diterima, laporan Harian Metro.

    Dalam masa yang sama, Ops Bersepadu dan Samseng Jalanan turut dilaksanakan dan polis turut menyita tiga motosikal kerana melakukan pelbagai kesalahan antaranya tiada cukai jalan, tiada lesen memandu dan nombor pendaftaran.

    “Jumlah saman yang dikeluarkan dalam operasi ini adalah 101, termasuk 13 kenderaan dan tiga motosikal mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. Antara kesalahan yang dilakukan tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh, insuran, nombor pendaftaran, aksesori, cermin sisi dan mengubah suai,” katanya.

    Beliau menambah, jumlah individu yang ditahan dalam operasi itu seramai tiga orang berusia 19 hingga 27 tahun membabitkan empat kes.

    “Antara kesalahan adalah Seksyen 42 (1) APJ 1987 (dua kes), Seksyen 108 (3) (f) 1987 (satu kes) dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 (satu kes),” katanya.

     
     
  • Aston Martin Vantage F1 Edition kini di Malaysia – 535 PS, 685 Nm; dari RM978k sebelum cukai, opsyen

    Aston Martin Vantage F1 Edition kini di Malaysia – 535 PS, 685 Nm; dari RM978k sebelum cukai, opsyen

    The Aston Martin Vantage F1 Edition kini telah pun dilancarkan di Malaysia selepas pertama kali diperkenalkan pada tahun 2021 bagi meraikan kembalinya jenama itu dalam arena pelumbaan Formula 1. Diberikan pilihan sama ada coupe atau roadster, jentera sport ini ditawarkan pada harga bermula RM978,000 sebelum segala macam cukai dan lain-lain opsyen.

    Dibangunkan berasaskan jentera keselamatan rasmi yang digunakan dalam Formula 1, Vantage F1 Edition didatangkan dengan enjin yang lebih padu iaitu unit 4.0 liter turbo-berkembar V8 yang mampu menghamburkan kuasa cecah 535 PS, di mana ia lebih 25 PS berbanding Vantage biasa.

    Sementara itu, puncak tork kekal pada 685 Nm dari 2,000 hingga 5,000 rpm, walaupun ia boleh dikekalkan lebih lama untuk meningkatkan tractability dan keperluan segera dalam gear. Bagi prestasi, pecutan dari 0-100 km/j dalam 3.6 saat untuk coupe (3.7 saat bagi roadster), dan kelajuan maksimum pula mencecah 314 km/j (305 km/j untuk roadster).

    Aston Martin Vantage F1 Edition kini di Malaysia – 535 PS, 685 Nm; dari RM978k sebelum cukai, opsyen

    Penjana kuasa dari sumber AMG ini disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi automatik lapan-kelajuan ZF dengan mengoptima pengurangan tork ketika peningkatan gear untuk mengurangkan shift times dan meningkatkan daya ketepatan.

    Casis jentera ini juga mengalami sedikit perubahan dari segi struktur hadapan yang lebih keras untuk respons stereng yang lebih baik. Peredam adaptif juga diberikan semakan dalaman untuk meningkatkan daya tarik yang lebih efektif, dan Aston Martin berkata, ini membolehkan peningkatan ketara dalam kawalan menegak, melalui pemampatan berkelajuan tinggi – tanpa sebarang kemerosotan dalam kelajuan rendah.

    Lain-lain perubahan termasuklah meningkatkan kadar spring belakang dan ketegaran sisi, ketegaran daya tarikan dan memastikan pematuhan dengan kadar tindak balas bahagian hadapan, bersama-sama dengan sistem stereng yang ditala semula. Jentera ini juga menjadi versi Vantage yang pertama menerima roda 21-inci yang dipadankan dengan tayar Pirelli P Zero.

    Aston Martin Vantage F1 Edition kini di Malaysia – 535 PS, 685 Nm; dari RM978k sebelum cukai, opsyen

    Bagi membuatkan ia mirip dengan jentera keselamatan F1, Vantage ini juga didatangkan dengan aero kit komprehensif yang memberikan 200 kg tambahan untuk downforce berbanding jentera biasa. Kit berkenaan merangkumi splitter hadapan lebar-sepenuhnya, dive plan hadapan, dan wing belakang yang besar. Melengkapkan lagi gayanya, ia diberikan gril ‘vaned’ secara standard, perincian luaran gentian-karbon, grafik unik dan ekzos berkembar.

    Dengan pemilihan warna Aston Martin Green ternyata ia cukup berpadanan dengan jentera lumba, tetapi pembeli mempunyai opsyen Jet Black dan Lunar White – yang dilengkapi grafik perlumbaan Solid Matte Dark Grey. Di dalamnya, ia dilengkapi kulit Obsidian Black dan kemasan Phantom Grey Alcantara upholstery, dengan pilihan jaluran dan jahitan kontras Lime Green, Obsidian Black, Titanium Grey atau Spicy Red.

     
     
  • Geely, DRB-Hicom tandatangan HOA ketika kunjungan PM ke China; bangunkan Automotive Hi-Tech Valley

    Geely, DRB-Hicom tandatangan HOA ketika kunjungan PM ke China; bangunkan Automotive Hi-Tech Valley

    Minggu lalu Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan bahawa kunjungannya ke China telahpun meraih komitmen pelaburan sebanyak RM170 bilion, angka pelaburan yang didakwa tertinggi pernah dicatatkan dari China setakat ini.

    Dan dari 19-perjanjian yang dimeterai antara perniagaan di China dan Malaysia ketika berlangsungnya Forum Perniagaan Malaysia-China di Beijing tersebut Sabtu lalu, salah satunya adalah Perjanjian Dasar-Dasar Utama (HOA) antara DRB-Hicom Bhd dan Zhejiang Geely Holding Group (Geely) untuk Automotive Hi-Tech Valley (AHTV) yang akan dibangunkan di Tanjong Malim, Perak.

    Memorandum Persefahaman (MoU) untuk projek AHTV ini telahpun ditandatangani dan dilancarkan pada April tahun lalu oleh Perdana Menteri ketika itu iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Bin Yaakob. Dalam laporan TheEdgeMarket minggu lalu, HOA yang baru ditandangani ini adalah untuk mengukuhkan fasa seterusnya kerjasama kedua-dua pihak bagi pembangunan hab kenderaan generasi seterusnya itu.

    Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh DRB-Hicom, AHTV ini akan merangkumi solusi rantaian nilai automotif dan mobiliti yang luas, daripada pusat penyelidikan dan pembangunan global berteknologi tinggi sepenuhnya kepada kluster pembuatan dan perkhidmatan sokongan serta ekosistem yang berkaitan.

    “Fokus HOA ini ialah pembangunan bandar automotif bersepadu yang akan melahirkan hab bagi industri kenderaan tenaga (NEV) baharu. AHTV akan merangkumi kawasan seluas kira-kira 1,000 ekar dan akan diperluaskan dengan sewajarnya untuk memenuhi keperluan masa hadapan,” kata DRB-Hicom dalam kenyataan tersebut.

    Laporan TheEdgeMarket menyatakan bahawa MoU yang ditandatangani pada April lalu akan luput dalam masa enam-bulan sekiranya tiada perjanjian muktamad ditandatangani selepas itu. DRB-Hicom membuat kemaskini pemfailan bursa pada Oktober 2022 dan pada Januari 2023 kedua-dua pihak berbincang untuk melanjutkan tempoh MOU berkenaan.

    HOA itu ditandatangani oleh pengarah urusan kumpulan DRB-Hicom Datuk Seri Syed Faisal Albar dan ketua pegawai eksekutif Geely Daniel Li Donghui pada 1 April lalu, dan pertukaran dokumen antara parti itu disaksikan sendiri oleh Anwar, disertai oleh pengasas dan pengerusi Geely Eric Li, dan pengerusi DRB-Hicom Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin.

    Geely, DRB-Hicom tandatangan HOA ketika kunjungan PM ke China; bangunkan Automotive Hi-Tech Valley

    “Dalam tempoh 10 tahun akan datang, AHTV dijangka menarik pelaburan bernilai kira-kira RM32 bilion, termasuk oleh jenama automotif nasional Proton (Holdings Bhd). AHTV juga akan menerima faedah langsung dan tidak langsung daripada rancangan Proton untuk memindahkan sepenuhnya kemudahan pembuatannya ke Tanjong Malim menjelang 2026. Proton kini mengeluarkan lima model dalam AHTV dan dua lagi model di Shah Alam, Selangor.”

    “AHTV juga akan dilengkapi universiti berasaskan penyelidikan untuk memupuk bakat dan pembangunan baharu dalam bidang teknologi baharu dan baru muncul untuk industri dan sektor automotif secara amnya. Ia juga akan menempatkan pusat R&D yang akan menyediakan pembuat kereta dengan suasana tropika untuk menguji kenderaan mereka,” tambah DRB-Hicom.

    Syarikat berkenaan juga menyifatkan peranan Geely dalam pembangunan AHTV sebagai tepat, memandangkan trend global beralih ke arah NEV seperti model-model hibrid, kenderaan elektrik (EV) dan lain-lain dengan mengambil kira pengalaman luas jenama automotif China berkenaan dalam sektor ini.

     
     
  • Subaru WRX Wagon 2023 di Malaysia – RM285k, 2.4L Turbo 275 PS, CVT, EyeSight, lebih murah dari sedan!

    Subaru WRX Wagon 2023 di Malaysia – RM285k, 2.4L Turbo 275 PS, CVT, EyeSight, lebih murah dari sedan!

    Selain dari WRX, jangan tak tahu bahawa pengedar Subaru di Malaysia iaitu Motor Image turut membawa versi ‘bumbung panjang’ iaitu Subaru WRX Wagon ke pasaran tempatan. Dan berita baik, model wagon ini menampilkan unit rangkaian kuasa yang sama dengan versi sedan tetapi dengan harga yang lebih rendah!.

    Subaru WRX Wagon ini ditawarkan hanya dalam satu varian iaitu versi automatik dengan kotak gear CVT serta sistem bantuan pemanduan EyeSight, dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM285,245. Sebagai perbandingan, model WRX sedan dijual pada harga bermula RM286,245 untuk model dengan transmisi manual enam-kelajuan sehingga RM296,245 untuk model CVT bersama sistem EyeSight.

    Secara asasnya, WRX dan WRX Wagon ini masih berkongsi Subaru Global Plaform yang sama, namun hakikatnya WRX Wagon ini merupakan Levorg generasi kedua (ia masih digelar Levorg di Jepun). Jadi pada sebelah luar, WRX Wagon ini menerima bampar hadapan yang berlainan serta tidak diberikan panel-panel pelindung badan ala-SUV seperti WRX sedan.

    Subaru WRX Wagon 2023 di Malaysia – RM285k, 2.4L Turbo 275 PS, CVT, EyeSight, lebih murah dari sedan!

    Seperti yang disebutkan tadi, kedua-dua versi sedan dan wagon ini berkongsi unit rangkaian kuasa yang sama iaitu enjin boxer empat-silinder FA24F 2.4 liter turbo berkuasa 275 PS (271 hp atau 202 kW) pada takat 5,600 rpm dan tork maksima 375 Nm bermula 2,000 hingga 5,200 rpm.

    Ia digandingkan dengan kotak gear CVT yang digelar sebagai Subaru Performance Transmission, dan seperti biasa sebuah WRX wajib menerima sistem pacuan semua roda Subaru Symmetrical All-Wheel Drive, disertakan bersama sistem Active Torque Vectoring.

    Dengan badan wagon, ia semestinya menawarkan praktikaliti yang lebih baik. Bersama dengan ruang storan bawah lantai, kapasiti kargo WRX Wagon ini adalah berjumlah 561 liter berbanding hanya 354 liter pada sedan. Malah tempat duduk belakang model wagon ini turut boleh dilipat rata tanpa halangan (dengan nisbah 60:40) bagi memberikan ruang yang lebih besar.

    Subaru WRX Wagon 2023 di Malaysia – RM285k, 2.4L Turbo 275 PS, CVT, EyeSight, lebih murah dari sedan!

    Antara kelengkapan lain yang dibekalkan secara standard untuk WRX Wagon pasaran Malaysia ini adalah termasuk lampu hadapan LED dengan bantuan lampu tinggi serta turut berpusing mengikut putaran stereng, rim aloi 18-inci dengan tayar 225/45R18, lampu kabus hadapan dan belakang, tempat duduk pemandu larasan berkuasa lapan hala, upholsteri kulit dan sistem pendingin hawa dua-zon automatik bersama liang penghembus di belakang.

    Ia juga menerima sistem infotainmen dengan skrin sesentuh 11.6-inci yang diposisikan menegak bersama sokongan Android Auto dan Apple CarPlay, serta mod pemanduan yang boleh dipilih. Kesemua kelengkapan yang diberi pada WRX Wagon ini adalah seiras dengan perincian yang ada pada WRX sedan CVT EyeSight, tetapi dengan kelebihan ia turut menerima tempat duduk penumpang hadapan larasan elektrik lapan-hala.

    Untuk keselamatan, wagon prestasi ini menerima brek parkir elektrik dengan fungsi auto brek hold, tujuh beg-udara serta sistem EyeSight yang menampilkan fungsi seperti brek kecemasan automatik, kawalan stereng kecemasan automatik, brek automatik ketika mengundur dan juga pemantau titik buta.

    Kedua-dua model WRX sedan dan WRX Wagon ini menerima perlindungan waranti pengeluar yang sama dari Motor Image iaitu lima tahun atau 100,000 km. Dengan harga lebih rendah, praktikaliti lebih baik dan kelengkapan lebih banyak dari versi Sedan, apa lagi alasan peminat Wagon untuk tidak memilih Subaru WRX Wagon ini?

    GALERI: Subaru WRX sedan 2023 pasaran Malaysia

     
     
  • BMW Motorrad perkenal iFace – sistem pengenalan muka dan mata pertama di dunia untuk motosikal

    BMW Motorrad perkenal iFace – sistem pengenalan muka dan mata pertama di dunia untuk motosikal

    Dalam usaha untuk menjadikan motosikal mereka lebih selamat daripada pencuri, BMW Motorrad telah memperkenalkan satu sistem baru yang dipanggil sebagai iFace. Ia dibangunkan bersama oleh BMW Motorrad dan ketua institut ophthalmology di University of Munich, Professor Dr. Gerhard Lesjöh, dan akan melengkapi sistem Keyless Go sedia ada pada motosikal BMW.

    BMW iFace mempunyai dua sistem pengenalan utama iaitu pengenalan muka dan pengenalan mata. Bagi pengenalan muka, ia menggunakan teknologi 3D terkini dengan pengimbasnya tersembunyi di dalam panel meter TFT. Ia memerlukan pemilik untuk menanggalkan helmet, dan sekiranya muka yang diimbas sama seperti dalam data yang disimpan, barulah kunci motosikal akan terbuka dan boleh dihidupkan.

    Jika mahu menggunakan iFace ini dengan masih memakai helmet, pemilik boleh memilih fungsi imbasan mata (iris/kornea). Sistem ini menggunakan imbasan infrared, dan boleh berfungsi termasuk dalam keadaan gelap ataupun terdapat halangan di hadapan mata seperti cermin mata, kanta lekap ataupun visor helmet. Mata yang diimbas akan dibandingkan dengan data dalam sistem untuk membuka kunci motosikal.

    BMW Motorrad perkenal iFace – sistem pengenalan muka dan mata pertama di dunia untuk motosikal

    Selain daripada membuka kunci, iFace juga boleh bertindak sebagai pelapor jika ada cubaan mencuri motosikal. Apabila sistem ini mengesan keadaan sedemikian, ia akan menghantar data muka/mata pencuri ke balai polis untuk disemak (sekiranya pelaku ada rekod jenayah) dan jika tiada rekod, akan disimpan di dalam sistem untuk kegunaan masa hadapan.

    Menurut ketua bahagian perlindungan kecurian BMW Motorrad, Dr. Burkhard Hund, BMW iFace telah dibangunkan dan diuji di lapangan dalam tempoh lebih tiga tahun dan turut melibatkan kerjasama dengan pihak polis. Ia akan dipasang pada motosikal boxer BMW dan dipersembahkan kepada orang ramai tahun ini.

     
     
  • Mazda bakal naikkan harga di Malaysia hingga RM26,200 mulai 1 April 2023? Mazda 2 dari RM114k?

    Mazda bakal naikkan harga di Malaysia hingga RM26,200 mulai 1 April 2023? Mazda 2 dari RM114k?

    Nampak gayanya Mazda bakal menaikkan harganya untuk pasaran Malaysia, mulai esok, 1 April 2023, selepas foto slaid pembentangannya tersebar di laman media sosial.

    Terdapat banyak model yang dipaparkan dalam foto ini dengan terma ‘New IPM’ iaitu kod dalaman untuk model tahunan yang terdapat sedikit peningkatan. Ini termasuklah Mazda 2 yang baru-baru ini menerima kemaskini di Jepun dan harganya dinaikkan hingga mencecah RM10,200.

    Mazda 2 yang ada di pasaran kita adalah model import sepenuhnya (CBU) dari Thailand dan ditawarkan pada harga bermula RM103,670 tanpa insurans bagi versi hatchback – dan sedan dengan ekstra RM500. Peningkatan harga bagi model IPM ini bermula dari RM113,870

    Manakala Mazda 3 yang juga model CBU dari Jepun akan dinaikkan harga lebih RM10,200 dengan versi IPM. Model segmen-C tersebut yang buat masa ini bermula dari RM143,320 dan RM161,059 (tidak termasuk Ignite Edition yang berharga dari RM170,059), Mazda 3 IPM pula lebih kurang RM153,520 dan RM171,259.

    Mazda bakal naikkan harga di Malaysia hingga RM26,200 mulai 1 April 2023? Mazda 2 dari RM114k?

    Satu lagi model CBU dari Jepun yang tersenarai iaitu Mazda 6, harganya akan meningkat sebanyak RM26,200 dengan versi IPM. Bagi varian asas 2.0 berharga RM176,159 dan kenaikan sebanyak RM4,200, membawakan harganya bakal menjadi RM180,359.

    Untuk varian 2.5 Touring, iaitu versi wagon, menyaksikan kenaikan harga kedua tertinggi bagi Mazda 6 iaitu sebanyak RM12,200, di mana ia akan menjadi RM230,848 (dari harga semasa RM218,648). Manakala varian 2.5 Sedan yang kini RM214,648 pula, bakal dinaikkan harga sebanyak RM26,848 mulai 1 April ini. Model CBU terakhir dari Jepun, MX-5, bagi varian manual dan automatik pula dinaikkan sebanyak RM4,200, masing-masing berharga RM277,354 dan RM279,354.

    Model lain yang disebut menerusi slaid ini ialah CX-30, iaitu model pemasangan tempatan (CKD) di Malaysia dan didatangkan dengan empat varian. Peningkatan harga sebanyak RM3,500, membawakan harganya bermula dari RM128,109 dari RM131,609. Sementara itu, peningkatan harga sebanyak RM200 untuk model lain yang tidak disebut, ini termasuklah CX-3, CX-5, CX-8, CX-9 dan BT-50.

     
     
  • Honda Civic Type R FL5 2023 dilancar di Indonesia – RM412k, 2.0L VTEC Turbo, 319 PS/420 Nm, 6MT

    Honda Civic Type R FL5 2023 dilancar di Indonesia – RM412k, 2.0L VTEC Turbo, 319 PS/420 Nm, 6MT

    Selepas Vietnam, Filipina dan Thailand, kini satu lagi negara ASEAN iaitu Indonesia secara rasmi menerima model generasi baharu hot-hatch Honda Civic Type R FL5. Model berkenaan dilancarkan secara rasmi di republik tersebut semalam dan dijual pada harga Rp 1,399,000,000 atau sekitar RM412k.

    Seperti yang diketahui, Civic Type R FL5 ini diasaskan dari Civic generasi ke-11 dalam bentuk badan hatchback. Ia menerima kejuruteraan semula pada casis dengan diberikan suspensi lebih baik, badan lebih lebar bersama kit aero lebih agresif dan pelbagai lagi.

    Model generasi baharu ini masih menerima enjin petrol 2.0 liter VTEC Turbo K20C1 seperti model generasi FK8 terdahalu, namun ditala semula bagi memberikan kuasa lebih besar. Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pengedar Honda di Indonesia iaitu PT Honda Prospect Motor (HPM), enjin berkenaan kini menghasilkan kuasa 319 PS pada tahap 6,500 rpm dan tork maksima 420 Nm bermula 2,600 hingga 4,000 rpm.

    Angka tersebut dilihat sedikit rendah berbanding model pasaran Jepun yang diwartakan berkuasa 330 PS dengan tork sama 420 Nm. Namun ia masih 9 PS/20 Nm berbanding FK8 pasaran ASEAN termasuk Malaysia sebelum ini.

    Honda Civic Type R FL5 2023 dilancar di Indonesia – RM412k, 2.0L VTEC Turbo, 319 PS/420 Nm, 6MT

    Peningkatan kuasa ini dibuat menerusi kemaskini pada pengecas turbo yang dihasilkan dengan saiz, bentuk serta jumlah bilah turbin yang dioptimakan bersama bentuk aliran udara dari salur kemasukan, serta sistem ekzos yang lebih efisien. Model baharu ini juga menerima injap aktif pada sistem ekzos yang memberikan operasi lebih baik pada Active Sound Control.

    Selain itu, rekaan gril hadapan dengan ruang kemasukan udara lebih besar membolehkan radiator beroperasi pada kadar 48% lebih baik dari FK8. FL5 masih lagi mengekalkan prinsip hanya dihasilkan dengan kotak gear enam-kelajuan manual, bagi memastikan ia dibeli oleh mereka yang betul-betul minat memandu.

    Transmisi manual yang lengkap dengan LSD berkenaan dipertingkat menerusi roda tenaga yang lebih ringan, perisian sistem rev-match (heel & toe automatik) yang diperkemas, serta tuil dan pagar “H-pattern” yang dioptimakan bagi memberikan penukaran gear yang lebih jitu.

    Gandingan unit rangkaian kuasa ini membolehkan Honda Civic Type R ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa 5.5 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 272 km/j.

    Honda Civic Type R FL5 2023 dilancar di Indonesia – RM412k, 2.0L VTEC Turbo, 319 PS/420 Nm, 6MT

    Antara perincian yang diberikan pada model pasaran Indonesia ini termasuk lampu hadapan LED penuh, cermin sisi auto-lipat dengan lampu isyarat membelok LED, lampu kabus belakang, rim aloi 19-inci dan lain-lain.

    Pada bahagian kabin, Type R FL5 di Indonesia ini menerima tempat duduk bucket berwarna merah, roda stereng balutan alcantara, paparan instrument digital dengan skrin TFT 10.2-inci, tombol gear dan set pedal aluminium, brek parkir elektrik dengan fungsi auto-hold, pengecas tanpa wayar, sistem pendingin hawa dua-zon serta sistem infotainmen dengan skrin sesentuh 9-inci bersama lapan pembesar suara.

    Bagi kelengkapan keselamatan pula, Type R FL di Indonesia ini diberikan lapan-beg udara, dan juga pakej bantuan pemanduan Honda Sensing dengan fungsi termasuk Collision Mitigation Braking System (CMBS), Road Departure Mitigation (RDM) System, Forward Collision Warning (FCW) System, Adaptive Cruise Control (ACC), Lane Keeping Assist System (LKAS), Lead Car Departure Notification System (LCDN) serta Auto High Beam Headlights (AHB).

    Pelanggan di Indonesia boleh memilih Type R FL5 ini dalam lima warna badan berbeza iaitu Championship White, Rallye Red, Crystal Black Pearl, Sonic Gray Pearl dan Racing Blue Pearl.

    Honda Civic Type R FL5 2023 dilancar di Indonesia – RM412k, 2.0L VTEC Turbo, 319 PS/420 Nm, 6MT

    Tidak seperti FK8 yang diproduksi di United Kingdom sebelum ini, produksi FL8 sudah kembali ke Jepun kerana kilang Honda Swindon telahpun ditutup. Jadi semua unit FL8 untuk pasaran seluruh dunia termasuk Amerika Syarikat, Australia dan ASEAN adalah dari kilang Yorii di Saitama, Jepun.

    Seperti yang diumumkan oleh Honda Malaysia baru-baru ini, Honda Civic Type R FL5 turut akan dilancarkan di sini tahun ini. Melihat trend harga jualannya yang sememangnya lebih mahal dari model FK8 untuk setiap negara yang sudah dipasarkan, FL5 juga dijangka akan dijual lebih mahal di sini.

    Namun ia mungkin tidak semahal di Indonesia dan Thailand (dijual pada harga 3,990,000 baht, atau sekitar RM520k). Kita boleh ambil Toyota GR Corolla sebagai perbandingan – hot-hatch Toyota ini dilancarkan di Thailand pada November 2022 dan dijual pada harga 3.949 juta baht (RM500k), namun apabila ia tiba di Malaysia, UMW Toyota menjualnya pada harga RM355k. Jadi mungkin Honda Civic Type R ini akan dijual di Malaysia pada harga sekitar RM350k-RM360k?

    GALERI: Honda Civic Type R FL5 2023 pasaran Thailand

     
     
  • GALERI: Mazda MX-30 2023 — EV untuk rutin harian

    GALERI: Mazda MX-30 2023 — EV untuk rutin harian

    Mazda MX-30 direka dan ditawarkan sebagai sebuah crossover elektrik untuk kegunaan harian di dalam bandar. Kenapa begini? Mudah, melihat kepada jarak 199 km yang disediakan untuk satu cas penuhnya, kita tahu kepenggunaannya bagaimana: tentulah dengan jarak seperti itu, ia agak leceh untuk dipandu bagi tujuan perjalanan jauh, kerana perancangan perlu ada berkaitan di mana harus mengecas semula kenderaan ketika dalam perjalanan.

    Tetapi, untuk kegunaan tugas seharian, jarak itu sebaliknya menjadi sangat banyak. Tambahan pula, sekiranya mengambil kira semua pengecasan akan dilakukan di rumah pada sebelah malam, kereta ini bahkan akan membuatkan anda tidak perlu lagi berfikir untuk ke pam minyak, apatah lagi perancangan untuk ke stesen pengecasan EV. Semuanya lebih mudah jika itulah situasinya.

    GALERI: Mazda MX-30 2023 — EV untuk rutin harian

    Maka, dalam latar penggunaan seharian ini, Mazda MX-30 ada banyak yang ingin ditawarkan, dan mungkin juga menjadi satu-satunya model dengan ciri seperti itu dalam segmennya. Yang dimaksdukan antaranya ialah kereta ini tiada tiang B di tengah, dan bukan pintu pula sangat unik — kita pernah tengok rekaan begini misalnya untuk model kereta sport Mazda RX-8, dan sekarang dipindahkan untuk model EV ini pula.

    Yang anda lihat ini ialah versi EV High yang paling tinggi, dengan penawaran keduanya pula EV Mid. Melihat harganya, mungkin ramai yang akan berkata itu terlalu mahal — varian High dijual pada harga RM198,780. Ini memang betul. Tetapi, bila anda meluangkan masa untuk mendekati model ini dari dekat, memerhatikan segala kelebihan dan kekurangannya itu, maka boleh difahami kenapa tanda harganya agak tinggi.

    GALERI: Mazda MX-30 2023 — EV untuk rutin harian

    Setakat ini, Mazda MX-30 menjadi model di mana syarikat itu melambakkan segala macam ciri dan kelengkapan terbaik dan termaju, sekurang-kurangnya dalam konteks pasaran tempatan kita. Duduk dalam ruang kabinnya, dan cuba sentuh dan rasa sendiri kualiti material dan rekaan yang diberikan untuk model ini. Kebanyakannya semua memberi rasa premium yang berbeza berbanding model Mazda yang lain. Material kitar semula, balutan kulit yang digunakan serta banyak lagi yang berada di tahap yang cukup teliti.

    Dalam kabin, ada sistem infotainmen dengan skrin sentuh 8.8-inci (dengan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay) berserta paparan skrin sentuh tujuh-inci untuk kawalan suhu — ciri yang pertama kali ditawarkan oleh jenama ini. Manakala skrin ketiga pula merupakan paparan multi-info TFT LCD tujuh-inci yang terletak di hadapan pemandu. Selain itu, MX-30 turut diberikan kawalan pendingin dwi-zon, brek parkir elektronik, pencahayaan dalaman LED, pedal penukar gear, paparan utama yang dipantul ke cermin hadapan serta stereng dan tombol gear balutan kulit.

    GALERI: Mazda MX-30 2023 — EV untuk rutin harian

    Di luar, antara kelengkapan standard yang ada termasuklah lampu utama LED, DRL LED, lampu kombinasi LED Signature di belakang serta lampu kabus dan lampu undur LED. Turut disediakan ialah sensor pengilap cermin dan sistem tanpa kunci, serta empat sensor parkir di depan dan enam di belakang. Kedua-dua varian menggunakan rim 18-inci dengan tayar 215/55.

    Bila anda duduk memandunya pula, pengalaman yang lebih menarik dapat dirasai. Ia tidak langsung memberi “diskaun” terhadap aspek berkenaan. Jika kereta Mazda yang lain sebelum ini sangat memberi tumpuan kepada nikmat pemanduan, perkara itu tetap dapat dirasakan untuk model elektrik ini.

    GALERI: Mazda MX-30 2023 — EV untuk rutin harian

    Sedikit maklumat mekanikal berkaitan MX-30 ini: kuasanya dibekalkan dari bateri lithium-ion 355-voltan yang diletakkan di bahagian lantai dengan kapasiti tenaga mencecah 35.5 kWh, yang mampu memberikan jarak gerak hingga 199 km dalam pengecasan tunggal mengikut standard kitaran ujian NEDC.

    Kuasa berkenaan disalurkan pula ke motor elektrik di depan dengan janaan sebanyak 145 PS (143 hp atau 107 kW) dan tork 271 Nm, membolehkan pecutan dari 0-100 km/j dalam 9.7 saat serta kelajuan maksimum cecah 140 km/j. Untuk pengecasan, MX-30 menerima input AC (Type 2) pada kadar 6.6 kW, dengan pengecasan penuh mengambil masa sekitar lima jam jika menggunakan wallbox.

    GALERI: Mazda MX-30 2023 — EV untuk rutin harian

    Jika menggunakan pengecasan biasa pada kadar maksimum 3 kW, ia mengambil masa sekitar 12 jam untuk pengecasan penuh. Sebagai alternatif, terdapat juga pengecas pantas DC dengan soket CCS2, yang boleh menaikkan kadar bateri dari kosong ke 80% dalam masa 36 minit menggunakan input 40 kW.

    Sistem keselamatannya juga lengkap dengan tujuh beg udara, ABS, EBD, Brake Assist, Dynamic Stability Control, Traction Control dan ISOFIX. Bagi sistem bantuan pemandu, kereta ini dilengkapi dengan i-Activesense yang terdiri daripada AEB, fungsi Start/Go dengan kawalan melayar adaptif Mazda, penggera perhatian pemandu, peninjau titik buta, penggera lintasan trafik di belakang, sistem bantuan mengekalkan lorong, amaran penukaran lorong — semuanya standard untuk kedua-dua varian.

    GALERI: Mazda MX-30 2023 — EV untuk rutin harian

    Meluangkan masa untuk memandu kereta ini seharian memang menunjukkan kemampuannya yang cukup menyenangkan, baik dari segi pemanduan, ketersambungan dan juga pakej teknologi yang ada. Jarak 199 km itu juga sebetulnya sangat sukar untuk dihabiskan dalam masa sehari sekiranya yang kita lakukan hanyalah menguruskan rutin harian yang biasa. Memandunya pula membuktikan yang MX-30 masih kental dengan DNA Mazda Zoom-Zoom yang memberi lebih tumpuan kepada kepuasan pemanduan.

    Lima pilihan warna ditawarkan iaitu Polymetal Gray dan Machine Gray, serta pilihan dua-tona warna Jet Black Mica (dengan tiang warna perak), Zircon Sand (dengan bumbung hitam) dan Soul Red Crystal (dengan bumbung hitam). Mazda MX-30 datang dengan jaminan lima-tahun atau 100,000 km, yang mana dulu dan bateri pula dengan jaminan lapan-tahun atau 160,000 km.

    Sebuah lagi kereta EV yang berada hampir sama dengan penawaran dan harga MX-30 ini ialah MINI Electric, yang dijual pada harga sekitar RM193,834. Kereta ini juga sama, menyediakan jarak perjalanan sejauh 232 km untuk sekali cas penuh — tetapi dalam pakej yang lebih kompak berbanding MX-30. Anda rasa sesuai EV untuk dijadikan kenderaan harian?

     
     
  • Honda Blade 2023 masuk pasaran Vietnam – RM3.6k

    Honda Blade 2023 masuk pasaran Vietnam – RM3.6k

    Di Vietnam, Honda mempunyai beberapa model motosikal kelas permulaan dengan antaranya adalah Blade. Ia sudah wujud sejak tahun 2018, melalui beberapa kali peningkatan dan tahun ini diperbaharui lagi dengan kini ditawarkan dalam tiga versi iaitu Special, Sports dan Standard, pada harga bermula 19.25 juta dong (RM3,617).

    Membezakan antara tiga varian ini adalah bahagian brek, di mana Standard cuma mendapat brek jenis dram di hadapan dan belakang, sementara Sports dan Special pula mendapat brek cakera di hadapan. Kemudiannya angkup brek serta spring penyerap belakang varian Sports dicat warna merah, manakala pada Special ia berwarna perak.

    Bahagian roda juga berbeza dengan varian Standard mendapat rim jenis spoked dan tayar bertiub, sementara Sports dan Special menggunakan rim aluminium dengan tayar tanpa tiub. Grafik setiap varian juga mempunyai keunikan masing-masing.

    Blade dipacu oleh enjin satu silinder 109.1 cc penyejukan udara, dipadankan bersama transmisi empat kelajuan dan mampu menghasilkan kuasa 8.3 hp pada 7,500 rpm dan 8.65 Nm tork pada 5,500 rpm. Enjin ini boleh dihidupkan secara tendang ataupun butang pemula elektrik.

    Tangki bahan api Blade berkapasiti 3.7 liter, dan kelengkapan lainnya adalah seperti panel meter dengan penunjuk kedudukan gear serta lampu jenis halogen. Berat keseluruhan Blade adalah 98 kg dan tinggi tempat duduknya adalah 769 mm.

     
     
  • KTMB perkenalkan Tren Khas Ekpres Lambaian Aidilfitri ke Pantai Timur bagi perjalanan 19-25 April

    KTMB perkenalkan Tren Khas Ekpres Lambaian Aidilfitri ke Pantai Timur bagi perjalanan 19-25 April

    Untuk warga Pantai Timur yang frust bila tiket bas ekpres dan tren habis sempena cuti Hari Raya Aidilfitri ini, jangan gusar, anda masih berkesempatan pulang ke kampung halaman dengan menaiki Tren Khas Ekspres Lambaian Aidilfitri yang diperkenalkan oleh Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

    Tren Khas Ekspres Lambaian Aidilfitri ini diperkenalkan sempena sambutan Aidilfitri dengan 1,864 tiket ditawarkan dan sebanyak empat perjalanan tren ekspres yang mula beroperasi dari Stesen KL Sentral ke Stesen Tumpat dan sebaliknya disediakan.

    “Tiket akan mula dijual pada 1 April dengan harga RM55 sehingga RM83 bagi perjalanan sehala.
    Pengguna disarankan melakukan pembelian melalui aplikasi KTMB Mobile (KITS) atau menerusi laman sesawang KTMB,” kata KTMB.

    Tambahnya, perkhidmatan ini adalah alternatif kepada pengguna untuk pulang beraya ke Pantai Timur menggunakan jalan darat yang sering sesak setiap kali musim perayaan. Inisiatif ini juga adalah untuk mereka yang ingin pulang ke kampung dengan selesa, selamat dan juga dengan tambang yang berpatutan.

    “Tren Khas Lambaian Aidilfitri ini akan berhenti di 16 stesen iaitu di Stesen Bandar Tasik Selatan, Kajang, Seremban, Gemas, Mentakab, Jerantut, Kuala Lipis, Gua Musang, Kuala Krai, Pasir Mas, Tanah Merah, Wakaf Bharu, Tumpat dan beberapa stesen lain,” katanya.

    Terdapat dua jadual bagi tren, perjalanan pertama pada 19 April bermula 11 malam dan berakhir pada 3.53 petang, manakala pada 24 April perjalanan bermula pada 10.50 malam dan akan tiba pada 3.10 petang. Perjalanan kedua pula adalah pada 20 April bermula pada 11 malam dan akan tiba pada 3.53 petang dan 25 April 10.50 malam dan berakhir pada 3.10 petang.

    Tren dilengkapi kemudahan koc katil, koc tempat duduk premier, koc tempat duduk superior, koc buffet dan koc chillax.

     
     
  • DUKE umum konfigurasi semula lorong Plaza Tol Batu mulai 31 Mac – termasuk akses terus dari Jalan Ipoh

    DUKE umum konfigurasi semula lorong Plaza Tol Batu mulai 31 Mac – termasuk akses terus dari Jalan Ipoh

    Konsortium Lebuhraya Utara Timur (KL) Sdn. Bhd. (KESTURI) pemegang konsesi bagi Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) telah mengumumkan konfigurasi semula lorong Plaza Tol Batu mulai 31 Mac 2023.

    Menurut Pengarah Urusan KESTURI, Tan Sri Datuk Seri Lim Keng Cheng, penstrukturan semula konfigurasi lorong Plaza Tol Batu ini bakal memberi kemudahan dan manfaat kepada penduduk kawasan setempat.

    “Susur keluar dari Plaza Tol Batu arah timur ini akan memanfaatkan pengguna lebuhraya DUKE dari Jalan Duta, Jalan Kuching dan Sri Damansara untuk menuju ke Bamboo Hills, Jalan Ipoh serta Pusat Bandaraya.

    “Setelah dibuka, perjalanan orang ramai di kawasan Jalan Ipoh juga akan menjadi lebih mudah kerana lorong tol ini menyediakan akses terus dari lebuhraya DUKE dan secara tidak langsung memendekkan perjalanan serta menghubungkan penduduk di sini dengan kawasan sekitar,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Plaza Tol Batu ini terletak berhadapan dengan Bamboo Hills, ia dilengkapi dengan dua lorong tol dengan sistem pembayaran tanpa tunai menerusi kad Touch ‘n Go, Touch ‘n Go e- Wallet, RFID serta Smart Tag bagi memastikan pengguna lebuh raya dapat menikmati perjalanan yang lancar dan selesa.

     
     
  • Cadangan projek MRT3 dengan anggaran kos RM50.2 bilion belum dimuktamadkan – Ahmad Maslan

    Cadangan projek MRT3 dengan anggaran kos RM50.2 bilion belum dimuktamadkan – Ahmad Maslan

    Kerajaan masih belum memuktamadkan keputusan mengenai cadangan pelaksanaan projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3) yang dianggarkan dengan kos RM50.2 bilion bagi melengkapkan rangkaian rel bandar di Kuala Lumpur.

    Menurut Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan, kerajaan meminta anggaran kos itu diturunkan lagi, laporan Berita Harian.

    “Ada pandangan ia boleh diturunkan sehingga RM45 bilion, kita tunggu cadangan mengenainya. Jarak MRT3 adalah 50.8 kilometer supaya dapat melengkapkan lingkaran (rel) itu. Jika tidak buat MRT3, kita tidak dapat melaksanakan keseluruhan perjalanan itu,” katanya dalam sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan (2022) 2023 di Dewan Rakyat semalam.

    Cadangan projek MRT3 dengan anggaran kos RM50.2 bilion belum dimuktamadkan – Ahmad Maslan

    Tambahnya, kerajaan juga akan melaksanakan kajian menyeluruh keberkesanan pelaksanaan projek MRT3 berbanding Transit Aliran Bas (BRT), dengan mengambil kira kesesuaian tempat, kadar trafik dan kos keseluruhan.

    “Perkara ini akan dibincangkan dengan lebih lanjut bersama Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Kewangan,” katanya.

    Kenyataan ini dikeluarkan bagi menjawab soalan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (PH-Kuala Selangor) mengenai sama ada Kementerian Kewangan akan membuat kajian perbandingan impak antara MRT3 dan BRT, mengambil kira faktor penggunaan perkhidmatan dan kos.

    MRT3 Laluan Lingkaran dmerupakan bahagian terakhir yang penting bagi melengkapkan rangkaian rel bandar di Kuala Lumpur, dengan jajaran yang melalui sepanjang perimeter bandar raya. Ia akan mengelilingi Kuala Lumpur melalui kawasan berkepadatan tinggi, termasuk Setiawangsa, Titiwangsa, Mont Kiara, Pantai Dalam dan Pandan Indah.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025