Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Menteri Pengangkutan Anthony Loke naik LRT petang semalam, akan bertemu Prasarana untuk tambahbaik

    Menteri Pengangkutan Anthony Loke naik LRT petang semalam, akan bertemu Prasarana untuk tambahbaik

    Anthony Loke, yang kembali memegang tugas sebagai Menteri Pengangkutan, sempat menaiki perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya pada petang semalam. Namun ini bukanlah sesi turun padang biasa-biasa, tetapi dah macam pemeriksaan mengejut atau spotcheck. Bukan setakat naik LRT pada waktu puncak, bahkan tindakan Loke ini tidak dimaklumkan kepada pihak pengurusan Prasarana. Maka tiadalah rombongan rasmi mengiringi VIP.

    Ahli Parlimen Seremban ini yang memakai topi dan pelitup muka berwarna hitam kelihatan berdiri di dalam tren yang sesak. Bahkan beliau juga sempat meninjau keadaan sekitar stesen LRT termasuk melihat sendiri tangga bergerak atau escalator yang tidak berfungsi, turut mencuba lif dan mendapati bumbung di stesen MRT Muzium Negara (yang dihubungkan dengan perkhidmatan LRT di KL Sentral) yang bocor.

    Menerusi pengkongsiannya di Facebook, beliau berkata, “Petang tadi (semalam), saya meluangkan masa selama dua jam untuk meninjau keadaan sebenar perkhidmatan LRT KJ line semasa peak-hour di antara pukul 5 hingga 7 petang. Keadaan cukup sesak dalam tren dan sudah tentu tidak selesa kepada penumpang.

    “Saya tidak memaklumkan kepada pihak pengurusan Prasarana dan pihak media kerana saya nak mengalami sendiri keadaan sebenar seperti penumpang-penumpang biasa untuk merasai apa yang mereka perlu lalui setiap hari.”

    Beliau yang baru memulakan tugasnya hari ini turut berkata, “Saya memahami kesulitan yang dihadapi oleh penumpang LRT. Saya akan mengadakan mesyuarat dengan pengurusan tertinggi Prasarana dalam minggu ini juga untuk membincangkan halatuju dan cara untuk menambahbaik perkhidmatan pengangkutan awam kita.”

    Perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya pernah mengalami masalah teknikal dan ‘kritikal’ pada bulan lalu hingga memaksa operasinya dihentikan hampir seminggu (9-14 November). Penggantungan perkhidmatan LRT antara stesen Kelana Jaya dan Ampang Park ketika itu terpaksa dilakukan selepas operasi tren berkenaan mengalami gangguan sistem kawalan tren automatik (ATC) selama beberapa kali, hingga menjejaskan kestabilan perkhidmatannya.

     
     
  • UMW Toyota sahkan SUV EV Toyota bZ4X bakal dilancarkan di Malaysia pada tahun hadapan

    UMW Toyota sahkan SUV EV Toyota bZ4X bakal dilancarkan di Malaysia pada tahun hadapan

    Selain dari tiga buah model prestasi Gazoo Racing (GR), dalam majlis bersama media malam tadi UMW Toyota Motor (UMWT) turut mengesahkan bahawa ia akan melancarkan SUV elektrik penuh (EV) Toyota bZ4X ke pasaran tempatan pada tahun hadapan.

    Model berkenaan sudahpun berada di pasaran ASEAN, mula dijual di Thailand dan Indonesia pada bulan lalu. Tiada sebarang bayangan berapa harga EV tersebut apabila ia dilancarkan di sini, namun SUV EV itu dijual pada harga 1.836 juta baht (RM235,242) di Thailand dan 1.19 bilion rupiah (RM352,040) di Indonesia.

    Kerajaan Malaysia kini menawarkan insentif pengecualian duti import dan eksais untuk model-model EV yang diimport sepenuhnya (CBU) sehingga 31 Disember 2024, dan bZ4X sudah tentu tidak terkecuali untuk mendapat manfaat dari insentif tersebut.

    UMW Toyota sahkan SUV EV Toyota bZ4X bakal dilancarkan di Malaysia pada tahun hadapan

    Di United Kingdom (UK), bZ4X dijual pada harga bermula £41,950 (RM238,000) untuk varian asas, dan £45,750 (RM259,000) untuk varian satu tangga di atas – ini mungkin spesifikasi dan julat harga yang paling hampir bagi anggaran pasaran Malaysia kelak.

    Thailand dan Indonesia masing-masing menerima bZ4X dalam spesifikasi yang berbeza. Untuk pasaran Thai, SUV ini ditawarkan dalam versi dua motor pacuan semua roda (109 PS untuk setiap gandar) menghasilkan kuasa keseluruhan 218 PS/337 Nm. Manakala bagi pasaran Indonesia pula, bZ4X ditawarkan dalam versi pacuan roda hadapan dengan motor tunggal berkuasa 204 PS dan tork maksima 266 Nm.

    UMW Toyota sahkan SUV EV Toyota bZ4X bakal dilancarkan di Malaysia pada tahun hadapan

    Walau bagaimanapun, kedua-dua versi tersebut menerima bateri lithium ion 71.4 kWj yang sama. Namun model yang lebih berkuasa di Thailand hanya mampu bergerak sejauh 411 km (kitaran WLTP) dengan sekali cas penuh, manakala versi pacuan roda hadapan di Indonesia pula boleh bergerak sejauh 500 km (WLTP) dengan satu cas penuh.

    Sistem pengecas untuk kedua-dua versi Thai dan Indonesia ini juga sama dengan menyokong pengecas AC sehingga 6.6 kW menerusi penyambung Type 2 serta pengecas pantas DC dengan penyambung CCS2 sehingga 150 kW.

    GALERI: Toyota bZ4X pasaran Thailand

     
     
  • UMW Toyota sahkan GR Corolla, GR Supra manual dan GR86 akan dilancarkan di Malaysia tidak lama lagi

    UMW Toyota sahkan GR Corolla, GR Supra manual dan GR86 akan dilancarkan di Malaysia tidak lama lagi

    Dalam majlis bersama media yang sedang berlangsung di Kuala Lumpur malam ini, Presiden UWM Toyota Ravindran K mengesahkan bahawa syarikatnya bakal melancarkan tiga model Gazoo Racing (GR) baharu ke pasaran tempatatan tidak lama lagi iaitu GR Corolla, GR Supra dalam versi koak gear manual dan juga model generasi baharu Toyota 86 iaitu GR 86.

    Walau bagaimanapun, garis masa bila ketiga-tiga model ini akan dilancarkan masih belum diperincikan. Tetapi rancangan untuk melancarkan model-model GR ini adalah perancangan UMWT untuk 2023.

    Bagi GR Corolla, ia sudahpun rasmi masuk ke pasaran ASEAN, dengan dilancarkan di Thailand ketika berlangsungnya Thailand International Motor Expo 2022 minggu lalu, dijual pada harga 3.949 juta baht (RM500,352). Berbanding GR Yaris yang dijual di Thailand pada harga 2.69 juta baht (RM341,021) ketika diperkenalkan pada Disember 2020, harga GR Corolla ini jelas adalah 46.8% lebih mahal.

    Di Malaysia, GR Yaris dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM299,000 (RM286,896 ketika tempoh cuti cukai jualan) ketika dilancarkan juga pada Disember 2020. Jadi berdasarkan harga jualan di Thailand, GR Corolla ini kelak mungkin akan dijual di sini pada harga sekitar RM439k.

    Corolla yang jauh lebih liar ini masih berkongsi kerangka yang sama dengan Toyota Corolla Hatchback, namun cara penghasilannya dibuat seperti kereta lumba di fasiliti GR Factory di Jepun bagi menghasilkan kerangka yang lebih tegar. Ia juga menampilkan suspensi dengan jarak trek lebih lebar, secara tidak langsung membuatkan badannya juga lebih berbanding Corolla standard.

    GR Corolla ini disumbat dengan enjin yang sama seperti GR Yaris iaitu unit G16E-GTS tiga-selinder 1.6 liter. Namun ia diberikan beberapa komponen dan talaan berlainan bagi menghasilkan kuasa lebih besar pada kadar 304 PS (300 hp) pada takat 6,500 rpm, berbanding 272 PS pada GR Yaris. Walau bagaimanapun, kadar tork yang dihasilkan untuk kedua-dua versi tersebut adalah sama iaitu 370 Nm bermula 3,000 hingga 5,550 rpm.

    UMW Toyota sahkan GR Corolla, GR Supra manual dan GR86 akan dilancarkan di Malaysia tidak lama lagi

    Juga sama seperti GR Yaris, GR Corolla hanya diberikan pilihan kotak gear enam kelajuan manual pintar (i-MT) dan turut menampilkan tuil penukar jenis short-stroke serta diposisikan dekat dengan roda stereng agar ia dapat dicapai dengan cepat oleh pemandu. Sistem pacuan semua roda GR-Four juga dibekalkan pada GR Corolla ini, menampilkan LSD jenis Torsen yang diberikan secara standard pada gandar hadapan dan belakang, serta plat klac 4WD pelbagai lapisan yang membolehkan agihan tork antara hadapan dan belakang diagihkan menerusi mod yang boleh dipilih.

    Bagi GR Supra pula, model dengan kotak gear manual baru sahaja diperkenalkan pada peringkat global pada April lalu. Model dengan kotak gear Intelligent Manual Transmission (i-MT) enam kelajuan tersebut hanya ditawarkan untuk model dengan enjin 3.0 liter enam silinder turbo sahaja.

    UMWT telah membawa GR Supra buat pertama kali ke pasaran Malaysia pada September 2019, hanya dalam varian GTS 3.0L dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM568,000.

    Untuk GR86 pula, ia sebenarnya dijangka akan dilancarkan pada pasaran tempatan pada tahun ini, namun nampaknya rancangan awal tersebut telah ditunda ke tahun hadapan.

     
     
  • Volkswagen ID.3 facelift didedah melalui lukisan teaser

    Volkswagen ID.3 facelift didedah melalui lukisan teaser

    Volkswagen ID.3 akan diberikan facelift bagi model keluaran tahun 2023, dan rupanya telah ditunjuk awal melalui beberapa lukisan teaser. Model elektrik ini dikeluarkan pada tahun 2019 sebagai model pertama dalam siri ID yang sekarang ini jumlah jualan keseluruhannya telah mencecah lebih 500,000 unit.

    Melihat kepada lukisan yang dikeluarkan oleh Volkswagen ini, ID.3 facelift menampilkan bampar yang lebih sporty di bahagian hadapan, sementara grafik untuk lampu LED belakang diperbaharui. Perubahan yang lebih banyak diberikan pada bahagian dalam, di mana skrin sesentuh untuk sistem infotainmen dibesarkan menjadi 12 inci (sebelum ini 10 inci).

    Perisian untuk sistem infotainmen ini juga dikemas kini, dengan sekarang menawarkan lebih fungsi dan berprestasi, bersama sistem bantuan yang dipertingkat – lebih tepat lagi adalah fungsi Travel Assist dengan Swarm Data, dan Park Assist Plus dengan fungsi memori.

    Sebelum ini, perisian sistem infotainmen menjadi satu isu bagi ID.3, dan sekarang Volkswagen memberitahu, mereka “mendengar luahan pelanggan dan melaksanakan beberapa cadangan mereka.” Volkswagen juga menyatakan dalam siaran akhbar bahawa konsol tengah telah direka semula untuk menempatkan beberapa pemegang cawan serta but mendapat bahagian yang boleh dicabut bagi menjadikannya lebih praktikal.

    Pada masa ini, ID.3 dikeluarkan di kilang Volkswagen di Zwickau dan Dresden, Jerman, tetapi nanti ia akan dibantu pula kilang utama di Wolfsburg bagi menampung permintaan tinggi. Model facelift ini nanti akan ditawarkan dalam varian Business, Style, Max dan Tour, dengan harga bermula daripada 43,995 euro (RM203,072).

     
     
  • BMW iX5 Hydrogen dibangunkan untuk menguatkan ‘daya tahan geopolitik’, masuk pasaran tertentu 2023

    BMW iX5 Hydrogen dibangunkan untuk menguatkan ‘daya tahan geopolitik’, masuk pasaran tertentu 2023

    Meskipun pengeluar kenderaan tidak berhabis-habisan membangunkan teknologi fuel cell seperti apa yang mereka lakukan pada kenderaan elektrik bateri, sekali sekala kita masih akan mendapat berita tentang kereta hidrogen baru. Ini adalah yang terbaru daripada BMW, X5 versi fuel cell hidrogen yang dipanggil sebagai BMW iX5 Hydrogen.

    Ini adalah menarik untuk dilihat kerana tiada BMW iX5 EV dalam pasaran, dan SUV elektrik yang diletakkan di atas iX3 adalah BMW iX. Perincian biru diletakkan di sekeliling badan kenderaan ini, dan di hadapan masih terdapat gril kidney seperti kereta biasa, dan bukannya ditutup seperti i4 dan iX3.

    Sistem fuel cell kenderaan ini berada di ruang enjin hadapan. Dua tangki hidrogen diletakkan di terowong tengah lantai kenderaan serta di bawah tempat duduk belakang, manakala bateri kecil bersama motor elektrik pula berada di bahagian gandar belakang. Untuk pengetahuan, kereta fuel cell hidrogen masih digerakkan oleh kuasa elektrik bateri, dan fuel cell hidrogen itu digunakan untuk mengecas bateri tersebut dan digunakan bersama sistem penjanaan semula kuasa brek.

    Menurut ahli lembaga BMW, Frank Weber, teknologi fuel cell tidak bergantung kepada bahan mentah kritikal seperti kobalt, lithium atau nikel, dan melabur ke dalam teknologi ini dapat menguatkan ‘daya tahan geopolitik’ BMW Group. BMW iX5 Hydrogen akan mula ditawarkan pada pasaran tertentu pada tahun hadapan sebagai satu ‘penunjuk teknologi’.

     
     
  • PM Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat guna Proton Perdana Limosine untuk ke Istana Negara

    Minggu lalu Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa beliau menolak untuk menggunakan kereta rasmi “Mercedes S600” yang ditempah oleh pemerintah terdahulu dan menyatakan bahawa beliau akan “menggunakan apa saja kenderaan sedia ada di pejabat bagi kegunaan harian” termasuk sebuah Toyota Camry dengan nombor pendaftaran WRN 222.

    Namun ketika beliau ke Istana Negara bagi menyerahkan senarai nama Kabinet baharunya kepada Yang Dipertuan Agong minggu lalu, PM dilihat menaiki sebuah Proton Perdana Limosin dengan nombor pendaftaran VED 4004. Ini bukan kali pertama seorang Perdana Menteri Malaysia menggunakan Perdana Limosin berkenaan, kerana PM ke-6 Dato’ Seri Najib Razak turut pernah dilihat menggunakan model yang sama.

    Malah Najib turut pernah menggunakan “Accordana Limo” versi pertama yang diserahkan kepada beliau ketika pelancaran model berkenaan untuk kegunaan kerajaan pada 2013, dengan nombor pendaftaran W11N. Model awal tersebut masih lagi menggunakan muka dan bahagian belakang yang sama seperti Honda Accord, dan cuma ditukar logo.

    PM Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat guna Proton Perdana Limosine untuk ke Istana Negara

    Perdana Menteri ke-4 yang juga bekas pengerusi Proton, Tun Dr. Mahathir Mohammed juga memiliki “Accordana Limo” tersebut dengan nombor pendaftaran “Proton 2020”, tetapi dihasilkan dengan tingkat taraf lebih mewah.

    Bagi model terkhir “Accordana Limo” ini, ia diasaskan dari Proton Perdana 2016, iaitu versi yang menerima rekaan muka dan juga bahagian belakang yang unik dari Proton sendiri. Kedua-dua versi ini masih menggunakan enjin yang sama seperti Honda Accord/Proton Perdana 2.4 iaitu enjin K24Z 2.4 liter i-VTEC DOHC empat-silinder berkuasa 178 hp dan tork maksima 222 Nm, digandingkan dengan kotak gear automatik konvensional lima-kelajuan.

    Kesemua model-model jarak roda panjang dari Proton (Limosine, Executive, Chancellor dsb) dihasilkan oleh Automotive Conversion Engineering (ACE), iaitu subsidiari Edaran Otomotif Nasional (EON) tetapi kini sudah berada di bawah Proton Edar.

     
     
  • Lebuhraya Pasir Gudang dan beberapa laluan di sekitar Johor Bahru sedang dilanda banjir kilat

    Hujan lebat yang melanda Johor Bahru selama dua jam sejak tengahari tadi telah mengakibatkan beberapa laluan di bandaraya berkenaan termasuk Lebuhraya Pasir Gudang ditenggelami banjir.

    Hasil perkongsian laman Community Roda Johor – CRJ di Facebook, banjir kilat berkenaan berlaku sejak jam 1 tengahari tadi melibatkan Lebuhraya Pasir Gudang berdekatan susur Seri Alam/Taman Rinting dengan kedua-dua laluan ditenggelami air.

    Selain itu, banjir kilat turut melanda Jalan Kempas dari arah Jalan Halimah, susur turun ke Taman Kobena menghala JB iaitu dari arah Jalan Perling. Laluan lain yang turut ditenggelami banjir termasuk Jalan Tampoi di Kampung Ubi iaitu selepas Persimpangan Kampung Melayu dan Jalan Masai Lama.

    Kesesakan teruk dilaporkan turut berlaku di laluan-laluan yang terlibat dengan banjir kilat ini. Sehubungan itu, para pengguna jalan raya di kawasan sekitar diminta untuk menggunakan laluan alternatif untuk ke lokasi yang ditujui. Sila pandu dengan lebih berhati-hati dan jangan sesekali meredah air banjir yang menenggelami jalan yang dikhuatiri tidak selamat untuk dilalui kerana kita tidak tahu risiko yang menanti.

     
     
  • Hyundai Ioniq 5 N ditampil — EV prestasi untuk 2023

    Hyundai Ioniq 5 N ditampil — EV prestasi untuk 2023

    Hyundai telah menunjukkan sebuah video yang menampilkan kenderaan percubaan yang merupakan sebahagian program pembangunan pacuan elektriknya, yang mana kenderaan dari bahagian pembangunan N — RN22e dan N Vision 74 — diberi gambaran. Sebuah model lain yang lebih dekat dalam bentuk produksi juga ditunjuk, iaitu Ioniq 5 N akan datang.

    Seperti dicadangkan namanya, model akan datang itu merupakan versi prestasi tinggi Ioniq 5 yang dilancarkan di sini Mac lalu. Versi prestasi tinggi ini telah disahkan pengenalannya tahun depan, dan menggunakan Electric-Global Modular Platform (E-GMP) Hyundai yang turut digunakan oleh Kia EV6.

    Dalam video berkenaan, Ioniq 5 N dapat dilihat sekejap dari depan, dengan bukaan udaranya memperlihatkan bentuk sama dengan model prestasi N yang sama walaupun sedikit lebar, dengan bampar yang bahagian bawahnya lebih besar.

    Hyundai Ioniq 5 N ditampil — EV prestasi untuk 2023

    Angka prestasi Ioniq 5 N masil belum didedahkan oleh Hyundai, bagaimanapun ia mungkin akan menyamai model Kia EV6 GT yang menghasilkan 585 PS dan 740 Nm tork. Dalam model Kia tersebut, ouput berkenaan datang dari tetapan dua motor elektrik, dengan motor yang didepan menghasilkan 217 PS dan sebuah lagi motor di gandar belakang menyediakan 367 PS. Pada model Kia itu, pecutan 0-100 km/j adalah dalam masa 3.5 saat dan laju maksimum 260 km/j.

    Platform E-GMP yang digunakan oleh Ioniq 5 dan EV6 memanfaatkan binaan 800-volt, yang menyokong pengecasan DC sehingga 350 kW. Bagi Ioniq 5 biasa, pengecasan DC pada kadar penuh 350 kW akan memenuhkan bateri 72.6 kWh yang ada dari 10% ke 80% dalam masa hanya 18 minit. Pada kadar DC 50 kW pula, Hyundai memaklumkan ia boleh mengecas dari 10-80% dalam masa 47 minit.

     
     
  • Tesla panggil balik 435,132 keretanya di China angkara masalah lampu belakang – Model 3, Model Y terlibat

    Tesla panggil balik 435,132 keretanya di China angkara masalah lampu belakang – Model 3, Model Y terlibat

    Pengeluar kereta elektrik terkemuka, Tesla bakal memanggil balik sejumlah 435,132 kereta keluarannya di China susulan gangguan perisian yang boleh menyebabkan lampu belakang gagal menyala, laporan Reuters.

    Menurut kenyataan Pentadbiran Negeri bagi Peraturan Pasaran China, panggilan balik ini melibatkan sejumlah 142,277 unit Model 3 yang dikeluarkan antara 27 Disember 2020 dan 7 November 2022 dan 292,855 unit Model Y yang dikeluarkan antara 1 Januari 2021 dan 1 November 2022.

    “Lampu belakang pada satu atau kedua-dua sisi kenderaan mungkin gagal menyala kerana masalah perinsian yang didapati berisiko mengalami kerosakan semasa proses memanaskan enjin kenderaan. Kegagalan itu boleh meningkatkan risiko perlanggaran dalam keadaan gelap. Tesla akan menggunakan perisian terkini bagi menangani isu itu,” menurut kenyataan yang dikeluarkan itu.

    Dua minggu sebelum ini, Tesla turut memanggil balik lebih 80,000 unit Model S, Model X dan Model 3 juga di China disebabkan isu perisian dan tali pinggang keledar.

     
     
  • VIDEO: Fikirkan pengguna lain atas jalan, pakai helmet dengan betul apabila menunggang motosikal

    VIDEO: Fikirkan pengguna lain atas jalan, pakai helmet dengan betul apabila menunggang motosikal

    Kami faham, menunggang motosikal dapat memberikan sensasi yang tersendiri. Rasa angin meniuo muka, tiada apa penghalang di hadapan dan dicampur pula melakukannya bersama rakan-rakan, ia pastinya menimbulkan keterujaan. Tapi ingat, jalan raya itu juga dikongsi dengan orang lain, dan keselamatan penunggang motosikal adalah lebih terancam.

    Semua perkara ini dapat dilihat dalam satu video yang tular dalam Twitter. Lokasi sebenarnya tidak dapat dipastikan, tetapi antara papan tanda yang dilepasi tertulis Kg Pinang, dan melibatkan lima buah motosikal dengan ada di antaranya dinaiki bersama pembonceng.

    Pada awal video, beberapa orang di antara mereka dilihat berborak sambil menunggang, dengan motosikal berada bersebelahan, dan boleh menjadi penghalang bagi kenderaan lain di belakang. Tambah teruk, ia kemudiannya berakhir dengan kemalangan apabila sebuah lagi motosikal di belakang (tidak diketahui sama ada rakan mereka ataupun tidak) terlanggar motosikal di hadapan dan menyebabkan kedua-duanya bergelimpangan atas jalan.

    Banyak perkara sebenarnya boleh dipelajari daripada video ini. Antaranya, ingatlah bahawa jalan raya dikongsi bersama dan janganlah menyusahkan pengguna lain. Kemudiannya tengok pula keadaan apabila mereka sudah jatuh. Helmet terus terbuka selepas satu impak, menunjukkan ia tidak cukup selamat.

    Pelbagai helmet boleh didapati dalam pasaran sekarang, dan walaupun ia mempunyai pelekat ujian kualiti tempatan, masih dilihat kurang selamat kerana mempunyai bentuk separuh dan binaan yang nipis. Kemudiannya apabila memakai helmet, pastikan juga anda mengikatnya dengan kemas dan bukan sekadar diletak sahaja atas kepala. Itupun kalau anda mahu naikkan sedikit peluang selamat apabila kemalanganlah.

     
     
  • Borgward diisytihar muflis di China selepas ‘hidup’ semula pada 2015, rugi RM2.94 bilion tahun lepas

    Borgward diisytihar muflis di China selepas ‘hidup’ semula pada 2015, rugi RM2.94 bilion tahun lepas

    Borgward merupakan jenama automotif Jerman yang pernah menjadi jenama nombor tiga terbesar negara berkenaan sebelum muflis pada tahun 1961. Ia kemudian muncul semula pada 2015 di Geneva Motor Show selepas hak menggunakan jenama berkenaan dibeli oleh pembuat kereta dari China iaitu Foton.

    Namun dalam laporan terbaharu dari Automotive News Europe, Borgward kini telah diisytihat muflis sekali lagi di Mahkakamah Beijing, China. Menurut Foton, keputusan itu dikeluarkan oleh Mahkamah Rakyat Pertengahan Pertama Beijing, dan Borgward sedang mendapatkan kelulusan mahkamah untuk membubarkan asetnya.

    Menerusi Foton, Borgward telah melancarkan model SUV BX7 pada Frankfurt Motor Show pada 2015, membolehkan ia kembali ke pasaran automotif selepas lima dekad. Walaupun dengan jenama dari Jerman, semua model baharu Borgward dihasilkan dan di produksi di China oleh Foton Motor.

    Selepas BX7, Borgward turut memperkenalkan beberapa model lain termasuk BX5, BX6 dan BX3. Malah Borgward BX5 pernah dilancarkan di pasaran Malaysia pada Julai 2019.

    Walau bagaimanapun, jenama berkenaan tidak menjana jualan yang cukup menyebabkan ia mengalami kerugian lebih AS564 juta (RM2.47 bilion) dari 2016 hingga 2018, manakala pada 2021 sahaja Borgward mengalami kerugian 4.7 bilion yuan (RM2.94 bilion), menurut pemfailan Foton di Shanghai Bursa Saham, di mana Foton disenaraikan, lapor Automotive News Europe.

    Borgward juga hanya menjual 5,000 kenderaan pada separuh pertama 2020. Sebelum itu, ia telah merancang untuk membuka sebuah kilang di Bremen, Jerman di atas tapak seluas 140,000 meter persegi, tetapi pembinaannya tidak menjadi kenyataan dan tempahannya pada tanah tersebut luput pada Jun 2019.

     
     
  • Subaru Crosstrek 2023 dilancar di Jepun – 2.0L e-Boxer 145 PS; AWD dan FWD; harga dari RM87k

    Subaru Crosstrek 2023 dilancar di Jepun – 2.0L e-Boxer 145 PS; AWD dan FWD; harga dari RM87k

    Susulan pelancarannya di peringkat global pada September lalu, Subaru Crosstrek serba baharu telah pun mula dijual di Jepun. Nama Crosstrek ini mungkin kurang dikenali bagi kita tetapi untuk pasaran Malaysia, ia dinamakan sebagai Subaru XV.

    Sebelum ini lebih dikenali sebagai XV Crosstrek di sebahagian pasaran dunia, namun Subaru telah menggugurkan perkataan “XV” sejak tahun 2015, dan untuk model generasi ketiga, namanya dikekalkan sebagai Crosstrek.

    Untuk versi terkini ini, Crosstrek berukuran 4,480 mm panjang, 1,800 mm lebar, 1,575 mm tinggi dan jarak rodanya 2,670 mm. Ia lebih panjang berbanding model sebelumnya iaitu sebanyak 15 mm dan dikurangkan ketinggian mencecah 40 mm, namun lebar dan jarak rodanya dikekalkan. Untuk jarak kelegaan tanah (ground clearance) pula ialah 200 mm, sesuai untuk penggunaan di laluan off-road.

    Selain dimensi yang disemak semula, crossover ini turut dibangunkan dengan versi Subaru Global Platform (SGP) yang dipertingkatkan, yang menyaksikan evolusi terkini dalam rekaannya. Bahagian hujung hadapannya dipadankan dengan lampu utama yang lebih anggun disambungkan pada kepingan kemasan yang melintangi gril berbentuk haksagon yang lebih besar.

    Subaru Crosstrek 2023 dilancar di Jepun – 2.0L e-Boxer 145 PS; AWD dan FWD; harga dari RM87k

    Lampu kabusnya juga lebih menyerlah, sementara permukaan sisinya telah diperkemaskan. Gerbang roda dan panel rocker juga dibaluti lapisan khas, serta corong pengekstrak udara diletakkan di hadapan. Untuk belakang pula, lampu berbentuk-C yang menjadi signitur jenama ini menggantikan unit berpetak pada model lama, sementara bampar bawah pula diberikan kemasan lebih bergaya dalam rona hitam pekat.

    Di dalamnya, Crosstrek mengikut jejak langkah WRX yang diberikan skrin sesentuh infotainmen berformat-potret dengan ketersepaduan kawalan bagi sistem suhu. Paparan bersaiz 11.6 inci pula disambungkan pada corong udara menegak pada papan pemuka dan mengekalkan kluster instrumen analog dan roda stereng pula disemak semula.

    Lain-lain ciri kelengkapan yang diberikan termasuklah roda aloi 17- atau 18-inci, lampu utama LED dengan/tanpa fungsi selekoh, tempat duduk hadapan larasan kuasa, rel bumbung, fabrik atau upholstery kulit, bumbung suria panoramik, tempat duduk dan roda stereng dengan fungsi haba panas, sistem keselamatan EyeSight (AEB, amaran penukaran lorong dan banyak lagi) dan mod enjin SI-DRVIE.

    Di Jepun, Crosstrek hanya diberikan satu pilihan enjin iaitu FB20 2.0 liter naturally-aspirated empat-silinder flat dengan sistem hibrid ringkas 48-voltan yang dijanakan oleh bateri 4.8-AH yang ditempatkan di lantai but dan disambung pada motor elektrik MA1 pada kadar 13.6 PS (13.4 hp atau 10 kW) dan tork 65 Nm.

    Subaru Crosstrek 2023 dilancar di Jepun – 2.0L e-Boxer 145 PS; AWD dan FWD; harga dari RM87k

    Motor elektrik ditempatkan di antara unit FB20 dan Lineartronic CVT, dengan sistem keseluruhan mampu menghasilkan kuasa hingga 145 PS (143 hp atau 107 kW) pada 6,000 rpm dan 188 Nm pada 4,000 rpm. Berdasarkan pada WLTP, penggunaan bahan api dianggarkan pada 16.4 km bagi setiap liter untuk varian pacuan roda-hadapan dan 15.8 km bagi setiap liter untuk pacuan semua-roda.

    Ya, memang betul Crosstrek bakal turut diberikan pilihan pacuan roda-hadapan di Jepun, memang bukan kebiasaan bagi Subaru untuk setiap model keluarannya. Menurut Subaru, alasan mereka memberikan pilihan penjana kuasa FWD adalah sebagai alternatif yang lebih murah untuk pelanggannya di negara tersebut.

    Bagi kemasan asas Touring dengan FWD, ia ditawarkan pada harga 2.662 juta yen (RM86,716) termasuk cukai penggunaan 10% di Jepun. Sementara versi AWD pula berharga 2.882 juta yen (RM93,883). Untuk gred lebih tinggi Limited, ia dijual pada harga 3.069 juta yen (RM99,927) untuk FWD dan 3.289 juta yen (RM107,032) bagi AWD.

     
     
  • Lego Speed Champions Nissan Skyline GT-R R34 Brian O’Conner – mula dijual pada Januari 2023

    Lego Speed Champions Nissan Skyline GT-R R34 Brian O’Conner – mula dijual pada Januari 2023

    Lego telah pun mendedahkan barisan model-model baharu dalam siri kereta lumba Lego Speed Champions untuk tahun 2023, dan apa yang menarik, ia turut menampilkan Nissan Skyline GT-R R34 yang dipandu oleh watak Brian O’Conner dalam filem 2 Fast 2 Furious!

    Skyline berkenaan merupakan tambahan terbaharu untuk kereta yang diambil dari filem untuk siri Speed Champions ini selain Aston Martin DB5 dari filem James Bond, dan juga Dodge Charger yang dipandu oleh watak Dominic Toretto dalam filem The Fast and the Furious sebelum ini.

    Lego Speed Champions Nissan Skyline GT-R R34 Brian O’Conner – mula dijual pada Januari 2023

    Untuk Skyline GT-R 34 tersebut, ia turut hadir dengan figura Lego Brian O’Conner (yang dilakonkan oleh mendiang Paul Walker), serta hadir dengan perincian yang serupa dengan jentera dalam filem tersebut seperti warna badan kelabu, grafik badan biru, spoiler GT bersaiz besar di belakang serta set rim enam jejari.

    Sejumlah 319 bongkah Lego diperlukan untuk menyiapkan Nissan Skyline GT-R R34 Brian ini. Lebih perincian berkenaan model ini akan didedahkan pada 3 Januari 2023, serentak dengan pembukaan untuk pra-tempah.

     
     
  • Toyota Estima ‘klon’ disita JPJ di Johor Bahru – pemandu boleh dikenakan denda sehingga RM20,000

    Toyota Estima ‘klon’ disita JPJ di Johor Bahru – pemandu boleh dikenakan denda sehingga RM20,000

    JPJ Negeri Johor mengumumkan bahawa pihaknya telah berjaya mengesan dan menahan sebuah kenderaan import jenis Toyota Estima yang disyaki kenderaan klon di Taman Adda Heights, Johor Bahru pada 4 Disember lalu.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan, kenderaan tersebut telah dibawa ke pejabat JPJ Johor untuk pemeriksaan lanjut dan di sita. Pemilik MPV klon itu juga dikenakan tindakan saman bagi kesalahan SEK 7(1) APJ, Guna / miliki kenderaan tidak daftar, Sek. 108(f) APJ, Pamir Nombor Pendaftaran bukan milik kenderaan tersebut serta Sek 90( 1) APJ Tiada Perlindungan Insuran.

    Jabatan tersebut turut menyatakan bahawa sekiranya disabitkan dengan kesalahan, pemandu berkenaan boleh dikenakan denda sehingga RM20,000 di bawah seksyen yang sama.

    Dalam kenyataan yang sama, JPJ turut menggesa orang ramai untuk membuat sebarang aduan trafik beserta butiran pengadu dan butiran aduan menerusi aplikasi e-Aduan@jpj atau pada laman sesawang http://jpj.spab.gov.my.

     
     
  • JPJ eBid: Siri plat SMH, VKD dibuka untuk bidaan

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengumumkan dua siri plat nombor pendaftaran sedang dibuka untuk bidaan menerusi platform dalam talian JPJ eBid.

    Siri nombor plat terkini dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, VKD ini mula dibuka bidaan sejak 2 Disember 2022. Tempoh bidaan menerusi JPJ eBid adalah selama lima hari, dan berakhir esok, jam 10 malam pada 6 Disember. Seperti biasa, keputusannya akan dikeluarkan pada keesokan harinya, 7 Disember 2022. Kini keseluruhan proses adalah secara dalam talian, dan pembida akan menerima sebarang perkhabaran (sama ada baik atau sebaliknya) menerusi e-mel.

    Manakala siri nombor plat terkini dari Sabah, SMH, bidaannya telah pun bermula sejak 3 Disember lalu dan berlangsung selama lima hari, yang bakal berakhir jam 10 malam pada 7 Disember ini. Keputusannya akan diumumkan pada 8 Disember 2022.

    Sekarang ni lebih mudah mendapatkan siri plat nombor yang diingini tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 31, 2025