Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Kerajaan Selangor peruntukan RM145j untuk tingkatkan sistem jaringan jalan raya tahun hadapan

    Kerajaan Selangor peruntukan RM145j untuk tingkatkan sistem jaringan jalan raya tahun hadapan

    Kerajaan Selangor telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM145 juta disediakan bertujuan bagi
    meningkatkan sistem jaringan jalan raya tahun depan. Perkara ini diumumkan oleh Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dalam pembentangan Belanjawan 2023 bagi negeri tersebut sebentar tadi.

    Menurut Amirudin, sebanyak RM40.98 juta bakal diagihkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk melaksanakan pembinaan jalan baharu di beberapa lokasi. Kawasan yang terlibat adalah Kampung Sri Indah A ke Hospital Sungai Buloh, jalan sambungan Sungai Kelambu-Genting Sanyen dan Kampung Ulu Chuchuh ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

    Selain itu, sejumlah RM65.3 juta turut diperuntukan bagi menaik taraf beberapa laluan utama termasuk di Jalan Bukit Rimau di Klang, Jalan Reko di Hulu Langat, simpang tiga Jalan Rahidin, Shah Alam, persimpangan Jalan Kampung Bukit Dugang di Sepang, jalan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Tiram Jaya di Kuala Selangor, dan Jalan Sungai Panjang dari simpang Jalan Kuala Selangor-Teluk Intan ke Parit Empat Timur.

    Beberapa projek infrastruktur lain di serata negeri Selangor turut disediakan sejumlah peruntukan iaitu bagi pembinaan jambatan dan jejantas (RM11.8 juta), pemasangan lampu jalan jenis diod pemancar cahaya atau LED (RM3 juta), kerja warta jalan negeri (RM1.5 juta) dan program warta laluan negeri (RM2 juta).

     
     
  • Finalis Kereta Tahunan Eropah 2023 diumum – 7 kereta termasuk Toyota bZ4X, Nissan Ariya, Peugeot 408

    Finalis Kereta Tahunan Eropah 2023 diumum – 7 kereta termasuk Toyota bZ4X, Nissan Ariya, Peugeot 408

    Senarai finalis Kereta Tahunan Eropah 2023 telah pun diumumkan, di mana ia melibatkan 27 pencalonan daripada pusingan awal dan kemudian telah dikecilkan kepada hanya tujuh calon. Senarai kereta tersebut terdiri daripada model baharu yang letak pun dilancarkan atau mula dijual sebelum akhir tahun ini di lima atau lebih pasaran Eropah.

    Finalis yang berjaya mara ke peringkat akhir ialah:

    Jika anda sedari, kesemua finalis adalah model sama ada SUV atau crossover, kecuali Volkswagen ID. Buzz. Seperti ID.Buzz, Nissan Ariya, Toyota bZ4X/Subaru Solterra dan Jeep Avenger merupakan kenderaan elektrik sepenuhnya. Malah hampir kesemuanya dijangka tiba di Malaysia termasuk Kia Niro, Nissan Ariya dan Toyota bZ4X.

    Undian bagi pusingan akhir akan bermula awal tahun hadapan dan pemenangnya akan diumumkan dalam acara Brussels Motorshow yang bakal berlangsung pada Jumaat, 13 Januari 2023. Anugerah “Kereta Tahunan Terbaik” ini mula diberikan sejak tahun 1964, dengan pemenang pada tahun lalu dinobatkan kepada Kia EV6 yang juga merupakan model elektrik sepenuhnya.

     
     
  • BMW 3.0 CSL 2023 – model kelahiran semula 3.0 CSL “Batmobile” 1973, 560 PS/550 Nm; hanya 50-unit, 6MT

    BMW 3.0 CSL 2023 – model kelahiran semula 3.0 CSL “Batmobile” 1973, 560 PS/550 Nm; hanya 50-unit, 6MT

    Untuk meraikan ulangtahun ke-50 divisi perlumbaan dan sayap prestasi M Division, BMW telah pun memperkenalkan model kelahiran semula salah satu jentera lumba lagendanya pada era 70’an, iaitu BMW 3.0 CSL untuk versi 2023. Model ini akan dihasilkan hanya 50 unit; BMW masih belum mengumumkan harganya, namun khabar angin mengatakan ia bakal dijual pada harga bermula 700,000 euro (RM3.3 juta).

    Bagi peminat BMW, nama “3.0 CSL” ini bukanlah asing – ia adalah model homologasi istimewa Coupé Sport Leichtbau (Coupe Sport Lightweight) dengan gelaran “Batmobile” (kerana diberikan kit aerodinamik agresif termasuk fender lebar dan sayap belakang gergasi) yang dihasilkan untuk perlumbaan European Touring Car Championship bermula musim 1973, diasaskan dari model E9 Coupe.

    Manakala untuk model 3.0 CSL 2023 ini, ia diasaskan dari coupe prestasi BMW M4, kemudian turut diberikan kit aerodinamik yang lebih radikal, bersama talaan kuasa dan prestasi lebih baik.

    BMW 3.0 CSL 2023 – model kelahiran semula 3.0 CSL “Batmobile” 1973, 560 PS/550 Nm; hanya 50-unit, 6MT

    Pada sebelah luar, 3.0 CSL moden ini jelas menerima pengaruh penuh dari jentera lumba 3.0 CSL asli. Walaupun diasaskan dari M4, hanya lampu hadapan yang nampak serupa pada bahagian muka CSL ini – ia menerima bampar dengan gril kidney dengan rupa lebih unik, serta penutup bonet lebih kembung.

    Manakala fender yang lebih lebar direka seakan sebahagian dari bonet dan juga bampar hadapan. Ia juga diberikan dua spoiler belakang – satu pada penutup but dan satu lagi pada bahagian bumbung.

    Menurut BMW, hampir kesemua komponen badan 3.0 CSL ini dibuat dengan tangan, menggunakan material gentian karbon bagi mengurangkan beratnya. Komponen-komponen tersebut termasuk bahagian bumbung, bonet hadapan dan penutup but belakang, kemasan-kemasan panel dan bendul sisi, serta diffuser dan spoiler belakang.

    Tidak cukup dengan itu, spoiler belakangnya diperbuat dari plastik perkuat gentian kaca, manakala muffler ekzos sebelah belakangnya pula menggunakan material titanium yang 4.3 kg lebih ringan dari muffler logam biasa.

    Berat pada set roda juga diberi perhatian di mana BMW 3.0 CSL ini menerima rim aloi forged yang direka sama seperti kereta lumba yang menampilkan hanya satu nat pada bahagian tengah, dengan diameter 20-inci di hadapan dan 21-inci di belakang. Rim-rim tersebut dibalut dengan tayar Michelin yang direka khas untuknya, menampilkan nombor 50 pada dinding sisi tayar tersebut.

    BMW 3.0 CSL ini hanya ditawarkan dalam satu warna badan iaitu Alpine White, dan datang standard dengan livery perlumbaan BMW M seakan sama dengan jentera lumba 3.0 CSL 1973. Menurut BMW, hampir keseluruhan grafik badan tersebut dibuat dengan tangan, melibatkan 22 bahagian komponen di cat dan mengambil masa selama enam hari bekerja untuk disiapkan.

    BMW 3.0 CSL 2023 – model kelahiran semula 3.0 CSL “Batmobile” 1973, 560 PS/550 Nm; hanya 50-unit, 6MT

    Walau bagaimanapun, kabin 3.0 CSL ini masih kelihatan seiras dengan dengan kabin M4, tetapi ia menerima lebih banyak komponen-komponen buatan tangan yang diperbuat dari material plastik diperkuata gentian karbon (CFRP). Ia juga diberikan tempat duduk bucket penuh karbon M, upholsteri Alcantara, tali pingging keledar M, pelapik bumbung antrasit serta serlahan-serlahan kontras lain.

    Sebagai model edisi terhad, plak nombor siri istimewa bersama lencana khas turut diberikan pada kabin 3.0 CSL ini. Ia juga menerima tombol gear istimewa berwarna putih yang diberikan logo “50” dan juga diagram tukaran gear yang diukir.

    Tiada pilihan kotak gear automatik diberikan pada 3.0 CSL ini, dan ia hanya datang dalam versi manual enam-kelajuan. Menurut BMW, ini kerana model ini direka bagi memberikan “keseronokan memandu pada tahap maksimum dan interaksi yang intensif antara pemandu dan kereta”. Kuasa dari enjin dihantar hanya ke roda belakang, dengan gandar yang turut menerima unit Active M Differential.

    Model ini masih menggunakan enjin 3.0 liter turbo enam-silinder sebaris, ditala bagi menghasilkan 560 PS (553 hp atau 412 kW) dan tork maksima 550 Nm. Berbanding model paling berkuasa M4 iaitu M4 CSL, enjin pada 3.0 CSL ini menghasilkan kuasa 10 hp lebih besar tetapi tork 100 Nm lebih rendah (mungkin kerana kotak gear manual yang diberikan), membolehkan ia memegang takhta sebagai model produksi BMW dengan enjin enam-silinder paling berkuasa pernah dihasilkan yang sah untuk kegunaan jalan raya.

    Menurut BMW lagi, model 3.0 CSL 2023 ini menampilkan nisbah kilogram-kepada-kuasa kuda hanya 2.9, dan ia adalah jauh lebih baik dari 3.0 CSL asli yang mencatatkan nisbah 6.2.

    Perincian prestasi lain yang turut diberikan pada BMW 3.0 CSL ini termasuk suspensi Adaptive M, sistem stereng nisbah bervariasi M Servotronic yang diperhalusi semula, cagak-cahak casis yang diubah bagi memberikan rasa dan tindak balas lebih baik, dan sistem brek karbon seramik boleh laras M.

    BMW menyatakan bahawa proses produksi 3.0 CSL 2023 ini perlu melalui lapan kitaran pemasangan serta pelbagai stesen produksi, dan sebuah kereta memerlukan masa 10-hari untuk disiapkan. Jadi tidak hairanlah model edisi terhad ini dijual pada harga yang begitu mahal.

     
     
  • PANDU UJI: GWM Ora Good Cat – bolehkah jadi EV hatchback popular dan paling mampu milik di M’sia?

    PANDU UJI: GWM Ora Good Cat – bolehkah jadi EV hatchback popular dan paling mampu milik di M’sia?

    Ora Good Cat diperkenalkan buat pertama kalinya di China pada Ogos 2020 dan kemudian telah dijual melebihi 100,000 unit di negara berkenaan. Tahun lalu, kenderaan elektrik (EV) hatchback ini memasuki pasaran Thailand pula dan didakwa menduduki tangga teratas bagi jualan kenderaan yang sama segmen dengannya.

    Sebelum 2022 menutup tirainya, pengeluarnya, Great Wall Motors (GWM) bakal melancarkan EV ini di pasaran Malaysia, dijangkakan pada Isnin hadapan, 28 Nov 2022. Ia bagai pembuka tirai kembalinya jenama GWM ke Malaysia. Ora Good Cat juga telah pun mula menerima tempahan awal sejak dua minggu lalu dan mencecah lebih 100 unit untuk tempahan pertama.

    Hujung bulan lalu, kami diberi kesempatan mengikuti sesi pandu uji ringkas EV hatchback ini, dengan jarak perjalanan dari Bandar Gamuda Cove ke Putrajaya (dua hala) lebih kurang 30 km. Walau pun berkesempatan memandu ujinya dalam tempoh waktu yang singkat dan bergilir-gilir dengan Mick Chan (paultan.org) dan Jason Chung (paultan.org Chinese), sekadar berpuas hati untuk berkongsi secebis pengalaman mengendalikan hatchback ini. Kami diberikan varian tertinggi iaitu Ultra G untuk dipandu uji.

    Baca artikel selanjutnya di sini

     
     
  • Modenas Ninja 250 Ohlins Edition dikeluarkan untuk pasaran Malaysia – 180 unit sahaja, RM20,500

    Modenas Ninja 250 Ohlins Edition dikeluarkan untuk pasaran Malaysia – 180 unit sahaja, RM20,500

    Modenas hari ini telah memperkenalkan Ninja 250 Ohlins Edition, yang hanya dikeluarkan sebanyak 180 unit untuk pasaran Malaysia, dengan harga jualan RM20,500. Model ini menggunakan asas daripada Ninja 250 tanpa ABS, yang dalam versi biasa, dijual pada harga RM18,900.

    Seperti yang boleh dijangka daripada namanya, model sports permulaan ini mendapat naik taraf suspensi dengan menggunakan monoshock belakang Ohlins KA 744, STX 36 Supersport yang boleh dilaras sepenuhnya termasuk pra beban, mampatan dan lantunan.

    Bahagian lain pula semuanya masih sama seperti Ninja 250 biasa yang dilancarkan Julai lalu, termasuk fork teleskopik dengan jarak gerak 120 mm, brek cakera hadapan dan belakang (310 mm di hadapan, 220 mm di belakang), rim 17 inci dengan tayar 110/70 dan 140/70, tangki bahan api 14 liter serta lampu hadapan dan belakang LED.

    Modenas Ninja 250 Ohlins Edition dikeluarkan untuk pasaran Malaysia – 180 unit sahaja, RM20,500

    Modenas Ninja 250 dipacu oleh enjin dua silinder DOHC 249 cc bersama padanan transmisi enam kelajuan dengan klac jenis assist & slipper, mampu menghasilkan kuasa 37 hp pada 12,500 rpm dan 23 Nm tork pada 10,000 rpm. Berat keseluruhannya adalah 165 kg.

    Hanya warna Metallic Carbon Grey sahaja yang ditawarkan bagi Ninja 250 Ohlins Edition ini, dan bagi monoshock yang dinaik taraf itu, memandangkan ia datang dari kilang Modenas sendiri, ia juga termasuk dalam jaminan motosikal selama dua tahun atau 20,000 km yang disediakan.

     
     
  • Memotong di garisan berkembar dan mengakibatkan nahas maut? Penjara hingga 10 tahun, denda RM50k

    Memotong di garisan berkembar dan mengakibatkan nahas maut? Penjara hingga 10 tahun, denda RM50k

    Memotong di garisan berkembar sememangnya tindakan yang berbahaya dan sekiranya ia menjadi penyebab kemalangan maut, maka si pelaku pasti berhadapan dengan hukuman yang berat. Menurut Polis DiRaja Malaysia (PDRM), memotong di garisan berkembar antara kesalahan lalu lintas yang sering dilakukan oleh pengguna jalan raya. Perbuatan tidak bertanggungjawab ini boleh membahayakan pengguna jalan raya lain dan menyebabkan kemalangan yang teruk.

    “Sekiranya kemalangan berlaku sehingga menyebabkan kematian, tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 iaitu menyebabkan kematian kerana memandu melulu atau berbahaya.

    “Jika disabitkan kesalahan, hukuman penjara boleh dikenakan mininum lima tahun dan maksimum 10 tahun. Malah juga akan dikenakan denda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak melebihi RM50,000 serta hilang kelayakan memiliki lesen memandu selama tempoh lima tahun,” kata PDRM menerusi perkongsian di Facebook rasminya.

    Sebelum ini, kami juga pernah melaporkan beberapa kes memotong di garisan berkembar ini, termasuk yang hampir menjadi penyebab kemalangan. Para pembaca sekalian, semua orang pastinya mahu selamat sampai ke destinasi. Jadi, bersikaplah lebih berhemah di dalam pemanduan dan elakkan sikap tidak sabar atau tergopoh-gapah ketika memandu. Tidak berbaloi untuk menunjuk lagak atau aksi berbahaya di jalan raya sekiranya ia mungkin mendatangkan risiko terhadap keselamatan anda, penumpang dan juga orang lain.

     
     
  • Husqvarna 701 Enduro, Supermoto 2023 diperkenal

    Husqvarna 701 Enduro, Supermoto 2023 diperkenal

    Sebelum ini kita sudah melihat KTM 690 Enduro R dan SMC R 2023 yang didedah awal bulan lalu. Sekarang, muncul pula kembarnya iaitu Husqvarna 701 Enduro dan Supermoto 2023.

    Saban tahun, dua model ini memang hanya menerima peningkatan yang kecil sahaja. Tiada beza bagi tahun ini, dan ia cuma disegarkan kembali dengan grafik baru yang seperti boleh dilihat pada Enduro, masih menggunakan gabungan warna biasa Husqvarna iaitu putih, kuning dan biru. Supermoto bagaimanapun dijadikan lebih gelap dengan menggantikan warna biru dengan hitam dan kelabu.

    Bahagian teknikal tiada apa yang diubah, dan masih kekal sama seperti sebelum ini, bermula dengan enjin satu silinder SOHC 692.7 cc bersama padanan transmisi enam kelajuan dan klac Power Assist Slipper Clutch (PASC), menghasilkan kuasa 74 hp pada 8,000 rpm dan tork 73.5 Nm pada 6,500 rpm.

    Kawalan pendikit 701 menggunakan sistem ride-by-wire, membolehkan ia menyediakan dua mod tunggangan dan turut dihubungkan kepada sistem elektronik lain seperti kawalan cengkaman (boleh tutup), ABS (dua mod, boleh tutup) serta Easy Shift (quickshifter).

    Walaupun menggunakan asas sama, 701 Enduro dan 701 Supermoto mempunyai perbezaan pada beberapa bahagian bagi menyesuaikannya dengan kegunaan masing-masing dan ini termasuk rim (Enduro 21/18 inci, Supermoto 17 inci), brek (Enduro cakera 300 mm/angkup dua piston di hadapan, cakera 240 mm/angkup satu piston di belakang, Supermoto cakera 320 mm/angkup empat piston di hadapan, cakera 240 mm/angkup dua piston di belakang).

    Kedua-duanya juga menggunakan suspensi boleh laras sepenuhnya daripada WP, untuk kedua-dua bahagian depan dan belakang, tetapi daripada model yang berbeza iaitu WP Xplor untuk Enduro dan WP Apex untuk Supermoto.

     
     
  • KTMB tambah perkhidmatan tren ETS sepanjang Dis 2022 hingga 2 Jan 2023 sempena cuti sekolah, umum

    KTMB tambah perkhidmatan tren ETS sepanjang Dis 2022 hingga 2 Jan 2023 sempena cuti sekolah, umum

    Tinggal beberapa hari lagi kalendar bakal memasuki bulan terakhir 2022. Disember ini juga menandakan musim cuti persekolahan penggal ketiga selama 23 hari iaitu bermula 9 hingga 31 Dis 2022, dan juga cuti perayaan Krismas. Kemudian bersambung pula cuti Tahun Baharu 2023. Mesti ramai yang merancang percutian, sama ada mahu pulang ke kampung halaman atau pun ke mana-mana destinasi.

    Bagi yang berhajat untuk menaiki tren ETS untuk ke destinasi yang dihajati, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) telah mengumumkan pertambahan bagi tren ETS Platinum untuk dua laluan iaitu KL Sentral-Padang Besar-KL Sentral.

    KTMB memaklumkan penambahan perkhidmatan itu melibatkan perjalanan 9 hingga 12 Dis, 16 hingga 19 Dis, 23 hingga 26 Dis dan 30 Dis 2022 hingga 2 Jan 2023. Di mana perkhidmatan tambahan yang menawarkan 10,080 tiket yang telah mula dijual sejak semalam mampu menampung permintaan tinggi bagi beberapa destinasi seperti Ipoh, Butterworth, Alor Setar dan Padang Besar.

    “Setakat ini, lebih 55% tiket telah dijual bagi sektor KL Sentral-Padang Besar-KL Sentral pada hujung minggu. Trend ini dijangka terus meningkat dari semasa ke semasa berikutan cuti sekolah dan cuti umum serta kepada pengguna yang terus memilih perkhidmatan kereta api untuk ke destinasi pilihan masing-masing,” menurut KTMB seperti mana yang dilaporkan oleh Bernama.

    Para pengguna disaran membuat pembelian tiket melalui aplikasi KTMB Mobile (KITS) atau laman sesawang KTMB.

     
     
  • Maxus eT60 dilancar di Australia – trak pikap elektrik dengan jarak gerak 330 km, bakal tiba di Malaysia?

    Maxus eT60 dilancar di Australia – trak pikap elektrik dengan jarak gerak 330 km, bakal tiba di Malaysia?

    Harga rasmi untuk Maxus eT60 yang dilancarkan di pasaran Australia kini sudah didedah, iaitu AUD92,990 (RM283,525). Ini menunjukkan trak pikap elektrik penuh tersebut mempunyai harga agak tinggi berbanding versi enjin pembakaran dalamannya yang dijual pada AUD41,042 ke AUD47,884 (RM125,136 ke RM145,998).

    eT60 ini sebenarnya adalah versi elektrik bagi T60 Max facelift, yang sekarang dijual di pasaran Australia, dan juga diubah lencananya menjadi MG Extender di Thailand. Negara kita juga menerima T60 ini, tetapi dalam versi sebelum facelift dan cuma menggunakan enjin diesel turbo empat silinder 2.8 liter.

    Pada harga yang disebutkan, eT60 datang dengan motor elektrik di belakang yang berkuasa 177 PS (174 hp atau 130 kW) dan tork 310 Nm, mampu memacunya hingga kelajuan maksimum 120 km/j. Sebagai perbandingan, enjin diesel turbo empat silinder 2.0 liter biturbo pada T60 Max mampu menghasilkan 218 PS (215 hp atau 160 kW) dan 500 Nm. Perlu diketahui juga eT60 lebih berat, dengan catatan 2,300 kg, berbanding 2,115-2,150 kg (bergantung kepada varian) bagi T60 Max.

    Kuasa untuk motor elektrik eT60 datang daripada bateri lithium ion 88.55 kWh yang mampu memberikan jarak gerak sehingga 330 km mengikut standard WLTP. Trak elektrik ini boleh menerima pengecasan AC (sambungan Type 2) sehingga 11 kW, dengan mengambil masa sehingga sembilan jam untuk penuh menggunakan sumber three-phase atau 13 jam menggunakan single-phase.

    Ia juga boleh menggunakan sistem pengecasan pantas DC (sambungan CCS2) sehingga 80 kW, dan akan mengisi bateri dari 20 ke 80% dalam masa sekitar 45 minit. Pemilik juga boleh menggunakan eT60 ini untuk mengecas barangan lain dengan kuasa 2kW.

    Untuk kelengkapan, eT60 nyata bukan setakat kereta belasahan kerana datang dengan rim 17 inci, lampu belakang dan DRL LED, sports bar stainless steel dan pemijak tepi. Satu yang pelik, ia hanya diberi dengan lampu utama halogen, tetapi masih mempunyai fungsi hidup dan mati sendiri.

    Maxus eT60 dilancar di Australia – trak pikap elektrik dengan jarak gerak 330 km, bakal tiba di Malaysia?

    Kelengkapan lain yang diberi adalah termasuk pendingin hawa, pengelap cermin dengan pengesan hujan, tempat duduk larasan kuasa enam arah, tempat duduk balutan kulit tiruan, sistem infotainmen dengan skrin sesentuh 10.25 inci bersama sambungan Apple CarPlay, kamera undur serta empat pembesar suara.

    Pada bahagian keselamatan, ia datang dengan enam beg udara, ABS, Brake Assist, EBD, ESP, Hill Descent Control, Hill Start Assist, Traction Control, Roll Movement Intervention, VDC dan cagak ISOFIX. Tiada sistem aktif seperti Autonomous Emergency Braking atau Lane Keep Assist pada trak ini. Setiap pembelian diberi dengan jaminan kenderaan lima tahun atau 160,000 km, dan jaminan bateri EV lapan tahun atau 160,000 km.

    Memandangkan versi bukan elektriknya ada dijual di Malaysia, mungkinkah eT60 ini akan tiba di negara kita sambil menikmati insentif yang ada sekarang untuk kenderaan elektrik? Setakat ini masih belum ada lagi trak pikap kuasa elektrik yang datang dari kilang di pasaran kita.

     
     
  • VIDEO: Kereta-kereta kerabat diraja yang masuk ke Istana Negara untuk perbincangan khas lantik PM

    VIDEO: Kereta-kereta kerabat diraja yang masuk ke Istana Negara untuk perbincangan khas lantik PM

    Kita sudah pun tahu bahawa Ahli Parlimen P.063 Tambun dari Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim sah dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 selepas berakhir Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara tengah hari tadi.

    Namun bagi peminat-peminat automotif, antara yang mencuri tumpuan sudah tentulah barisan pelbagai kereta mewah yang digunakan oleh kerabat-kerabat diraja yang dilihat keluar dan masuk ke perkarangan Istana Negara bukan?

    Lapan kenderaan utama telah dirakam dalam majlis tadi, di mana lima daripadanya adalah buatan Britain iaitu empat buah Rolls Royce dan sebuah lagi adalah Range Rover, serta tiga lagi adalah buatan Jerman iaitu Audi, BMW dan Mercedes-Benz.

    Kami senaraikan video pergerakan kereta yang masuk ke Istana Negara pagi tadi mengikut masa ketibaan:

    Sultan Johor, Audi A8 generasi D4 facelift, 9:40am

    Pemangku Raja Pahang, Range Rover L405, 10:21am

    Raja Muda Perlis, Mercedes-Benz S-Class W221, 10:29am

    Sultan Selangor, Rolls Royce Phantom Series I Extended Wheelbase (EWB), 10:46am

    Sultan Kedah, Rolls Royce Phantom Series I SWB, 10:52am

    Sultan Perak, Rolls-Royce Ghost Series I, 10:54am

    Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Rolls Royce Phantom Series I EWB, 10:56am

    Sultan Terengganu, G12 BMW 7 Series LCI, 10:58am

     
     
  • GWM Ora Good Cat 2023 dilancar di Malaysia pada 28 Nov – dijangka RM150k-RM160k; tonton via FB Live

    GWM Ora Good Cat 2023 dilancar di Malaysia pada 28 Nov – dijangka RM150k-RM160k; tonton via FB Live

    Great Wall Motors (GWM) Ora Good Cat bakal dilancarkan di Malaysia pada Isnin hadapan, 28 November 2022, dan anda boleh menyaksikan pelancarannya secara langsung menerusi Facebook Live pada jam 3.30 petang pada hari tersebut.

    Good Cat merupakan salah satu model GWM yang bakal memasuki Malaysia selepas GWM mengumumkan kembalinya ke pasaran tempatan pada Julai lalu. Tempahan awalnya juga telah dibuka sejak dua minggu yang lalu dan mencatatkan rekod melebihi 100 unit tempahan bagi hatchback elektrik penuh ini.

    Buat masa ini, harga Ora Good Cat masih belum diumumkan, walaupun ia dijangka akan dijual pada harga antara RM150k hingga RM160k dan akan ditawarkan dalam empat varian — Tech, Pro, Ultra dan Ultra G. Semua varian ini dilengkapi motor elektrik yang menghasilkan 143 PS/210 Nm yang memacu roda depan, dengan kelajuan maksimum mencecah 152 km/j. Pemanduan dengan pedal tunggal juga tersedia, dan ada lima mod — Normal, Sport, Eco, Eco+ dan Auto.

    Varian Tech dan Pro akan menggunakan bateri 47.8 kWh lithium iron phosphate yang boleh memberikan jarak perjalanan cecah 400 km mengikut kitaran NEDC. Untuk pengecasan penuh, ia memerlukan sekitar lapan jam jika dicas menggunakan pengecas AC (sambungan Type 2) pada kadar input maksimum 6.6 kW. Dengan pengecas pantas DC, ia boleh dicas 0-80% (SoC) dalam masa 46 minit pada kadar 60 kW.

    Sementara itu, bagi varian Ultra dan Ultra G pula diberikan bateri lithium 63.1 kWh yang menawarkan jarak perjalanan mencecah 500 KM mengikut kitaran NEDC. Ia mengambil masa sekitar 10 jam untuk pengecasan penuh menerusi pengecas AC. Jika menggunakan pengecas pantas DC, masa yang diambil untuk status 0-80% pengecasan pula adalah sekitar 40 minit.

    Varian Tech dilengkapi dengan rim aloi 17-inci, lampu utama LED, lampu belakang LED, sistem pintar tanpa kunci, tempat duduk balutan fabrik, kluster instrumen 7.0-inci, pendingin hawa automatik dengan penapis PM2.5, sistem infotainmen dengan skrin sentuh 10.25-inci, empat pembesar suara, kawalan kelajuan, dua beg udara, ESC, penderia parkir, bantuan mula mendaki, brek kecemasan kelajuan rendah dan sistem pemantauan tekanan tayar.

    Untuk Pro pula, ia ditambahkan dengan aloi 18-inci, lampu utama automatik, cermin sisi lipatan kuasa elektrik, penderia pengilap cermin, bumbung panoramik, tempat duduk kulit, kamera 360-darjah, pengecas telefon tanpa wayar, slot USB untuk dashcam serta enam beg udara.

    Ultra G pula datang dengan ciri kelengkapan yang diperoleh hampir sama dengan Utlra, tetapi ia diberikan warna eksklusif Hazel Wood Beige/Wisdom Brown dan Verdant Green dengan bumbung putih. Ia dipadankan dengan upholstery ruang kabin dalam warna coklat dan beige atau hijau-kelabu.

    GALERI: GWM Ora Good Cat 2022 di Malaysia

     
     
  • Matter perkenal motosikal elektrik dengan gear di India

    Matter perkenal motosikal elektrik dengan gear di India

    Sebuah syarikat baru dari India, iaitu Matter telah memperkenalkan produk pertama mereka yang merupakan sebuah motosikal elektrik dengan bentuk naked. Matter memulakan operasi dari tahun 2019, dan kini setelah melalui pelbagai cabaran termasuk Covid, mereka akhirnya mempunyai model konsep yang sedia untuk produksi, tetapi namanya masih dirahsiakan.

    Membawa rupa dan bentuk tipikal sebuah motosikal naked seperti KTM Duke, Honda CB atau Kawasaki Z, model Matter ini dipanggil sebagai sebuah “motosikal abad ke-22” berdasarkan teknologi moden yang diterapkan padanya.

    Sebagai permulaan, pakej bateri 5 kWh serta motor elektrik 10.5 kW padanya digabungkan dengan transmisi manual Hypershift empat kelajuan bagi memberikan lebih kepuasan menunggang. Kemudiannya, penunggang boleh memilih tiga mod tunggangan iaitu Eco, City dan Sport.

    Di bahagian kokpit, penunggang disediakan dengan paparan skrin sesentuh TFT tujuh inci berwarna penuh, yang boleh disambung kepada telefon bimbit untuk memberikan informasi tambahan seperti navigasi, kawalan panggilan dan media serta statistik tunggangan.

    Tidak berhenti di situ, motosikal elektrik Matter ini juga datang dengan sistem kunci pintar, semua lampu jenis LED, ruang simpanan di atas bahagian ‘tangki’, brek cakera depan dan belakang dengan ABS, penyerap hentak belakang dengan tabung gas serta fungsi Park Assist yang boleh membantu gerakan perlahan ke hadapan dan belakang.

    Untuk mengecas, pemilik boleh menggunakan pengecas 1 kW yang diberikan sekali, untuk disambungkan kepada sumber AC dengan soket tiga pin biasa. Dengan cara ini ia akan mengambil masa bawah lima jam untuk penuh. Pengecasan pantas juga akan disediakan pada motosikal ini, tetapi perinciannya masih belum didedah.

     
     
  • Anwar PM ke-10, ini janji berkaitan pengangkutan awam dan individu dalam manifesto PRU15 PH

    Anwar PM ke-10, ini janji berkaitan pengangkutan awam dan individu dalam manifesto PRU15 PH

    Penantian pasca PRU ke-15 berkenaan siapa yang akan menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke-10 akhirnya membawa kepada perkembangan terbaru. Kenyataan yang dikeluarkan oleh Istana Negara sebentar tadi telah mengesahkan bahawa Ahli Parlimen P.063 Tambun dari Pakatan Harapan dilantik sebagai Perdana Menteri bagi mengetuai Kabinet Kerajaan Malaysia.

    Dan untuk itu, berikut adalah beberapa senarai janji yang termuat dalam manifesto Pakatan Harapan menjelang PRU15 tempoh hari. Antara perkara utama yang diberi perhatian ialah peningkatan kos sara hidup, yang berkaitan “menilai semula konsesi lebuhraya” menjadi satu tunjang utamanya.

    “Pentadbiran Pakaran Harapan menunjukkan komitmen untuk menilai semula perjanjian konsesi semua lebuhraya dan berunding untuk mendapatkan harga yang terbaik, yang akan membawa kepada pengurangan kadar tol sehingga 18% bagi Lebuhraya PLUS dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT 2). PH juga akan terus berusah untuk mengurangkan tol PLUS dengan matlamat akhir untuk memansuhkan bayaran tol dan mengembalikan PLUS sebagai pemilikan awam,” ujar manifesto berkenaan.

    Kadar tol PLUS yang turun 18% pada 2020

    Selain itu, pengangkutan awam percuma juga disebut-sebut, untuk dinikmati oleh warga emas, dengan menawarkan potongan 50% potongan berbanding apa yang ada ketika ini. Orang Kelainan Upaya (OKU) juga dijanjikan bakal diberikan sokongan tambahan dan capaian yang lebih baik untuk pengangkutan awam. Ini akan dilakukan dengan menambah kemudahan dan pengangkutan awam yang mesra OKU.

    Projek pembangunan semasa juga akan dipastikan menepati piawaian Universal Design; “Kini masanya untuk mengiktiraf keperluan OKU dalam pengangkutan awam dan kemudahan berkaitan tidak boleh diabaikan lagi,” ujar PH.

    Dalam mempertingkatkan ketersambungan pengangkutan awam, PH memaklumkan bersedia untuk memperluas kawasan liputan pengangkutan awam untuk memastikan kebajikan rakyat dijaga dan dalam masa yang sama, mengurangkan pencemaran dan kebergantungan terhadap bahan api. Bandar yang pesat tidak boleh ada tandap rangkaian pengangkutan awam yang menyeluruh.

    PH juga menjanjikan 80% daripada kawasan bandar akan mempunyai perhentian bas dan stesen tren dalam jarak 10 minit berjalan kaki, dan tempoh menunggu bagi servis pengangkutan awam terutamanya bas tidak melebihi 10 minit. Untuk memenuhi perkara ini, PH memerlukan 10,000 bas untuk kegunaan di semua bandar seluruh Malaysia, dengan 7,000 daripadanya akan digunakan di Lembah Klang.

    Bagi pas My50 yang ada ketika ini, PH juga mahu memperkenalkan had tambang bagi mereka yang tidak perlu/mahu pas bulanan. Had tambang RM5 sehari untuk menggalakkan lebih ramai warga menggunakan pengangkutan awam, terutama mereka yang bukan pengguna harian.

    PH juga akan mempercepatkan pewujudan peraturan dan undang-undang berkaitan “micro mobility” seperti e-skuter dan e-bike sebagai sambungan perantara terakhir. Kerajaan katanya boleh bekerjasama dengan penyedia perkhidmatan e-hailing untuk memberikan baucar pengangkutan bagi pengguna untuk ke stesen transit. Tawaran ini boleh dikenakan RM5 bagi setiap baucar dan sehingga 10 baucar boleh diberikan melalui e-wallet untuk digunakan bagi perjalanan yang bermula atau berakhir di stesen pengangkutan awam.

    Akhir sekali, PH juga merancang untuk memperluas kaedah bayaran pengangkutan awam untuk menyertakan kad debit dan e-wallet, berbanding hanya sistem yang menggunakan kad Touch ‘n Go. Sejauh mana semua ini mampu tercapai untuk kita nikmati?

     
     
  • Temujanji perkhidmatan van bergerak Puspakom di Perak boleh dibuat secara online mulai 1 Dis 2022

    Temujanji perkhidmatan van bergerak Puspakom di Perak boleh dibuat secara online mulai 1 Dis 2022

    Puspakom telah mengumumkan temujanji bagi perkhidmatan pemeriksaan van bergerak di Perak kini ditukarkan dari panggilan telefon ke secara dalam talian (online) mulai 1 Disember ini. Langkah yang diambil ini adalah pelaksanaan yang sama di Pulau Pinang, Kedah dan Perlis yang telah diumumkan pada September lalu.

    Perkhidmatan van bergerak ini adalah untuk kenderaan persendirian sahaja dan van ini akan datang ke lokasi kenderaan anda untuk melakukan pemeriksaan. Jika anda merancang untuk menukar hak pemilikan, kini tidak perlu lagi beratur di kaunter Puspakom, lakukan sahaja menerusi perkhidmatan van bergerak ini, dengan kos sebanyak RM100 di samping yuran pemeriksaan kenderaan. Keputusan hasil pemeriksaan akan diperoleh serta merta di lokasi berkenaan.

    Dengan pengumuman tempahan temujanji secara dalam talian yang dilaksanakan di Perak ini, nombor telefon 05-3577145 tidak lagi boleh digunakan mulai 1 Disember ini. Kami ulang semula, kini tempahan temujanji di negeri yang disebut hanya menerusi laman web Puspakom di www.mypuspakom.com.my.

     
     
  • Sony Honda Mobility mungkin padankan PS5 bina dalam pada kereta elektriknya untuk cabar Tesla

    Sony Honda Mobility mungkin padankan PS5 bina dalam pada kereta elektriknya untuk cabar Tesla

    Syarikat kenderaan elektrik (EV) yang baru ditubuhkan bulan lalu hasil gabungan dua gergasi industri Jepun iaitu Sony Honda Mobility (SHM) menyatakan bahawa model yang bakal dihasilkan nanti bakal menyajikan sistem hiburan bina dalam yang bukan sahaja membolehkan penumpang menonton filem dan mendengar muzik, malah mungkin turut boleh bermain konsol permainan video Sony Playstation 5 (PS5).

    Menurut presiden SHM, Izumi Kawanishi dalam laporan Carscoops yang dipetik dari Financial Times, syarikat baharunya itu berada pada kedudukan yang sempurna untuk memanfaatkan perubahan pilihan pengguna dan adaptasi peranti berteknologi tinggi ke dalam industri automotif, terutamanya untuk berhadapan dengan gergasi dalam segmen EV iaitu Tesla.

    “Sony mempunyai kandungan, perkhidmatan dan teknologi hiburan yang menggerakkan orang ramai. Kami menyesuaikan aset ini kepada mobiliti, dan ini adalah kelebihan kami untuk berhadapan dengan Tesla, “kata Kawanashi. Bekas ketua perniagaan AI Robotik Sony itu turut menambah bahawa teknologi yang bakal dipadankan kelak sememangnya boleh mengintegrasikan permainan video PS5, dan bakal membolehkan pemiliknya bermain Gran Turismo 7 dengan selesa di dalam kereta.

    Manakala pengerusi SHM, Yasuhide Mizuno (sebelum ini menguruskan divisi kereta di Honda) pula menyatakan bahawa proses produksi model-modelnya akan dibuat dengan menentukan kandungan yang akan diberikan terlebih dahulu, dan bukan memasang perisian setelah kereta siap.

    Sony Honda Mobility mungkin padankan PS5 bina dalam pada kereta elektriknya untuk cabar Tesla

    Dengan cara ini membolehkan SHM membangunkan kereta sebagai perkakasan yang akan memenuhi hiburan dan rangkaian yang ingin ditawarkan. Dengan menghasilkan perincian tersebut selamat dan mudah digunakan bakal menjadi fokus utama SHM dalam membangunkan kenderaan pandu sendiri.

    “Untuk menikmati ruang di dalam kereta anda, anda perlu menghasilkan ruang di mana anda tidak perlu memandu. Penyelesaiannya adalah pemanduan autonomi,” kata Kawanishi. “Pemanduan autonomi perlu berubah dengan ketara dari tahap semasa untuk sampai ke tahap itu, dan ia akan mengambil masa untuk itu berlaku.”

    Dalam laporan sebelum ini, SHM mengumumkan bahawa tempahan model produksi pertamanya akan dibuka sebelum 2025, diikuti dengan serahan pertama kepada pelanggan di Amerika Syarikat pada 2026. Serahan untuk pasaran Jepun pula akan dimulakan pada separuh kedua 2026. Produk pertama berkenaan akan diproduksi oleh kilang Honda di Amerika Utara.

    GALERI: Sony Vision-S 01

    GALERI: Sony Vision-S 02

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 31, 2025