Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Volkswagen V.MO – prototaip drone penumpang elektrik boleh bawa empat orang, sehingga 200 km

    Volkswagen V.MO – prototaip drone penumpang elektrik boleh bawa empat orang, sehingga 200 km

    Volkswagen Group China baru sahaja mendedahkan V.MO, iaitu satu prototaip drone penumpang elektrik naik dan turun secara menegak (eVTOL) yang sudah dibangunkan sejak tahun 2020 melalui projek Vertical Mobility mereka.

    Menurut Volkswagen, projek ini dilaksanakan bagi meneroka penyelesaian mobiliti generasi seterusnya, termasuk pengangkutan udara urban dan merupakan sambungan trafik urban ke udara. Warna gabungan hitam dan emas digunakan sebagai simbolik kepada tahun harimau dalam kalendar China, dan ia diberikan nama gelaran “Flying Tiger.”

    Tambah pengeluar dari Jerman itu lagi, V.MO dibina menggunakan asas daripada penyelesaian pemanduan autonomous serta teknologi bateri sedia ada. Ia menggunakan lapan bilah untuk menghasilkan angkatan menegak dan dua bilah untuk pergerakan mendatar. Sayap berbentuk X padanya mempunyai ukuran 11.2 meter panjang sementara ukuran kipas ke kipas pula adalah 10.6 meter.

    Volkswagen V.MO – prototaip drone penumpang elektrik boleh bawa empat orang, sehingga 200 km

    Apabila siap nanti, V.MO dikatakan boleh membawa sehingga empat penumpang bersama beg, serta jarak pergerakan sehingga 200 km; beberapa ujian penerbangan sudah berada dalam perancangan untuk tahun ini dan prototaip yang telah dinaik taraf akan terus diuji menjelang tahun 2023.

    Projek ini dijalankan oleh pasukan pakar tempatan Volkswagen Group China, dan disokong oleh rakan kongsi mereka, Hunan Sunward Techonology, iaitu satu anak syarikat kepada kumpulan Sunward yang mempunyai kepakaran dalam pembangunan produk penerbangan dan merupakan peneraju dalam industri kapal udara ringan.

    Dalam bidang automotif, selain Volkswagen, Hyundai juga telah menyertai segmen pengangkutan udara melalui jenama Supernal dan penerbangan pertama mereka dirancang dibuat pada tahun 2028. Berbeza berbanding V.MO yang menggunakan kipas berasingan untuk angkatan ke atas dan pergerakan mendatar, Hyundai SA-1 pula menggunakan empat bilah yang boleh disengetkan dan menghasilkan pergerakan sehingga 290 km/j pada ketinggian 300 hingga 600 m dari tanah dan perjalanan sehingga 100 km pada satu-satu masa.

     
     
  • Maxus T60 2.8L 4WD 2022 kini di Malaysia — gril hitam rekaan baru, lebih kuasa dan tork, harga RM115,888

    Maxus T60 2.8L 4WD 2022 kini di Malaysia — gril hitam rekaan baru, lebih kuasa dan tork, harga RM115,888

    Weststar Maxus telah memaklumkan model Maxus T60 4WD Automatik telah diberikan kemaskini untuk 2022, melibatkan perubahan wajah dan prestasinya. Antaranya rekaan gril depan baru dengan kemasan hitam kesat dengan nama yang tampil besar.

    Penambahbaikan prestasi lebih menarik, dengan penawaran Maxus Performance Kit bernilai RM3,000. Kit ini ditawarkan secara percuma bagi tempoh terhad. Ini meningkatkan kuasa bagi enjin VM Motori 2.8 liter empat-silinder DOHC VGT turbodiesel menjadi 155 hp pada 3,000 rpm (daripada 150 hp pada 3,400 rpm) dan 425 Nm tork dari 1,600–2,300 rpm (dari 360 Nm).

    Selebihnya tiada perubahan lain, dan model ini kekal menggunakan kotak gear automatik Punch enam-kelajuan, serta sistem pacuan empat-roda kawalan elektronik BorgWarner, yang membolehkan penukaran antara pacuan 2H-4H-4L tanpa perlu berhenti. Tiga mod pemanduan yang tersedia adalah Normal, Eco dan Power. Differential Lock mekanikal Eaton turut digunakan.

    Maxus T60 2.8L 4WD 2022 kini di Malaysia — gril hitam rekaan baru, lebih kuasa dan tork, harga RM115,888

    Peningkatan ini turut memberikan kadar penggunaan minyak yang lebih rendah, iaitu 9 liter bagi 100 km berbanding 9.6 liter bagi 100 km sebelum ini.

    Kelengkapan lain tidak berubah. Aspek luaran disertai dengan lampu utama LED dengan AHB, DRL LED, lampu kabus depan/belakang, landasan bumbung, sports bar aluminium, cermin sisi lipatan elektrik dan palepik ruang barangan belakang.

    Di dalam, kerusi depannnya larasan elektrik, stereng balutan kulit dengan butang multi-fungsi dengan larasan ketinggian, sistem tanpa kunci dengan butang Push Start, pendingin automatik, kamera undur serta sistem infotainmen dengan skrin sentuh 10-inci dengan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay.

    Kelengkapan keselamatan pula terdiri daripada empat beg udara, ABS, EBD, kawalan cengkaman, bantuan brek, kawalan bantuan mula mendaki dan kawalan menuruni cerun. Ia juga dilengkapi dengan roll movement intervention (RMI), yang mengesan kemungkinan kenderaan akan terbalik dan mengenakan brek untuk menstabilkan kenderaan.

    Maxus T60 2.8L 4WD 2022 kini di Malaysia — gril hitam rekaan baru, lebih kuasa dan tork, harga RM115,888

    Kelengkapan keselamatan lain termasuk sistem peninjau tekanan tayar (TPMS), dua Isofix, sensor parkir belakang dan bantuan titik buta melalui cermin sisi dari kelajuan 30 km/j. T60 juga datang dengan brek cakera di belakang — unik untuk kelasnya.

    T60 menggunakan rim aloi 17-inci, dengan versi 19-inci sebelum ini tetap ditawarkan sebagai pilihan dengan tambahan RM3,000. Enam pilihan warna tersedia, terdiri daripada Obsidian Black, Agate Red, Lava Grey, Blanc White, Aurora Silver dan Ocean Blue.

    Maxus T69 2022 dijual pada harga Rm115,888 atas jalan tidak termasuk insurans. Untuk masa terhad, Weststar Maxus kini turut menawarkan rebat RM1,500. Ia datang dengan jaminan lima-tahun atau 130,000 km dan pakej servis percuma selama empat tahun atau 80,000 km (termasuk alat ganti, pelincir dan buruh).

     
     
  • KTM akan kembangkan motosikal elektrik kepada 20 model menjelang 2025 – sasar penunggang muda

    KTM akan kembangkan motosikal elektrik kepada 20 model menjelang 2025 – sasar penunggang muda

    KTM AG, yang kini mempunyai jenama motosikal KTM, Husqvarna dan GasGas di bawahnya telah mendedahkan bahawa mereka akan mengembangkan lagi barisan model elektrik mereka kepada 20 model (dari semua jenama, dengan pelbagai tahap dari yang asas hingga jenis perlumbaan), yang disasarkan kepada penunggang generasi muda.

    Perkara ini diberitahu sewaktu perjumpaan dengan pengedar di Amerika Syarikat dan akan dimulakan dengan pengenalan tiga model yang menggunakan asas sama iaitu KTM SX-E 3, Husqvarna EE 5 dan GasGas MC-E 5 tahun ini. Model ini akan diletakkan antara balance bike elektrik mereka dengan model SX-E 5, EE 5 dan MC-E 5 yang lebih berkuasa, sekaligus memudahkan peralihan penunggang.

    Jumlah kuasa yang mampu dihasilkan oleh SX-E 3, EE 3 dan MC-E 3 masih belum diberitahu, tetapi kita boleh menjangkakan ia adalah kurang sedikit berbanding SX-E 5, EE 5 dan MC-E 5 yang menghasilkan 6.7 hp pada 3,900 rp dan tork 13.8 Nm hasil daripada motor elektrik 48 V yang mendapat kuasa daripada bateri lithium ion 21 Ah.


    KTM SX-E5 kiri) dan KTM 12EDrive kanan)

    Walaupun direka untuk kanak-kanak, motosikal ini tetap mendapat kelengkapan terbaik daripada KTM termasuk fork WP XAct 35 mm yang boleh dilaras mengikut berat penunggang, monoshock WP XPlor PDS boleh laras sepenuhnya, angkup brek Formula, kerangka Chromoly berkekuatan tinggi, enam mod tunggangan serta pengesan yang boleh mematikan motor apabila penunggang terjatuh.

    “Kami percaya e-mobility memainkan peranan penting untuk perjalanan jarak pendek, pergerakan urban dan kapasiti enjin kecil. Dalam segmen offroad, kami masih perlu mengambil kira keadaan di dalam litar, seperti keberadaan yang terhad untuk mengecas bateri,” kata ketua bahagian pemasaran KTM AG, Hubert Trunkenpolz.

     
     
  • Toyota Veloz 2022 ditemui keluar dari kawasan kilang Perodua – pelancaran di Malaysia semakin hampir?

    Toyota Veloz 2022 ditemui keluar dari kawasan kilang Perodua – pelancaran di Malaysia semakin hampir?

    UMW Toyota Motor (UMWT) telah mendedahkan banyak perkara berkenaan Toyota Veloz, tetapi ia masih lagi belum dilancarkan sehingga kini di Malaysia. Sekarang dengan terlihatnya beberapa unit atas treler ini, pelancaran untuk MPV tujuh tempat duduk itu mungkin semakin hampir.

    Gambar ini diambil sendiri oleh rakan sekerja kami, Danny Tan di Lebuh Raya Utara Selatan, berhampiran persimpangan Sungai Buaya-Rawang. Lokasi ini adalah hampir dengan kilang Perodua Global Manufacturing (PGMSB), yang juga mengeluarkan Perodua Ativa dan Alza baru.

    Sama seperti dua model Perodua itu, Veloz juga adalah satu produk DNGA dan akan dipasang dalam negara, dengan kemungkinan besar di bawah kontrak Perodua. Walaubagaimanapun, MPV Toyota ini akan diletakkan sebagai penawaran yang lebih premium, dengan hanya satu pilihan varian 1.5 AT dan harga jangkaan sekitar RM95k tidak termasuk insurans (dikira sekali dengan cukai jualan).

    Melihat kepada unit di atas treler ini, kita boleh menyaksikan dua daripada lima warna luar yang akan ditawarkan melalui Veloz, iaitu putih dan Silver Metallic dua tona dengan bumbung hitam. Pilihan warna lain yang diberitahu oleh Toyota adalah Red Metallic, Metallic Bluish Black serta Blue Metallic dengan bumbung hitam.

    Meskipun platform Veloz ini adalah sama dengan Alza, ia nampak berbeza hasil penggunaan gril berbentuk heksagonal (dengan jeriji corak Y) yang besar serta kemasan krom berbentuk T di bucu bampar bersama lampu kabus LED. Lampu Veloz yang lebih tajam juga mempunyai penunjuk arah sequential serta disambungkan antara kiri dan kanan dengan jalur krom di tengah.

    Di bahagian belakang, lampu Veloz juga mempunyai kemasan warna merah yang menyambungkan kedua-duanya. Terdapat juga tulisan Veloz di bawah logo Toyota, sementara kemasan di bucu bampar adalah lebih kecil berbanding Alza. Rim adalah unit 17 inci, seperti yang dipasang pada Veloz varian lebih tinggi di Indonesia dan Thailand (rim paling besar pada Alza adalah 16 inci).

    Toyota Veloz 2022 ditemui keluar dari kawasan kilang Perodua – pelancaran di Malaysia semakin hampir?

    Melihat kepada spesifikasi negara jiran, Veloz mempunyai jarak kelegaan tanah 205 mm, iaitu lebih tinggi berbanding Alza yang mencatat 160 mm (150 mm untuk varian asas X). Disebabkan itu, tinggi keseluruhan Veloz juga menjadi 1,700 mm, berbanding 1,670 mm yang dicatat oleh Alza.

    Bampar dengan rekaan tersendiri juga menjadikan MPV Toyota ini lebih panjang, dengan catatan 4,475 mm (+50 mm berbanding Alza), sementara lengkuk roda yang sedikit terkeluar menjadikan lebarnya 1,750 mm, iaitu 20 mm lebih berbanding Alza. Jarak roda kedua-dua model adalah sama, iaitu 2,750 mm.

    Harga anggaran yang dikeluarkan untuk Veloz juga meletakkan ia lebih hampir dengan Mitsubishi Xpander, yang juga datang dalam satu varian dan mempunyai ukuran panjang, lebar dan kelegaan tanah sama seperti Veloz. Walaubagaimanapun, Xpander adalah sedikit lebih tinggi (1,730 mm) dan mempunyai jarak roda lebih panjang (2,775 mm).

    Di dalam Veloz, anda akan menemui rekaan hampir sama seperti Alza, tetapi bentuk corong pendingin hawanya adalah sedikit berbeza bagi menempatkan sistem infotainmen Display Audio sembilan inci – skrin sesentuhnya lebih lebar dan boleh disambungkan dengan Apple CarPlay dan Android Auto (Alza AV hanya boleh menggunakan Android Auto).

    Butang pengawal pendingin hawa automatik satu zon pada Veloz juga berbeza, dengan menggunakan bentuk bulat sementara Alza cuma menggunakan butang biasa yang rata – Alza juga mempunyai fungsi memori. Terdapat juga kemasan warna kelabu pada papan pemuka dan panel pintu, sementara berhampiran konsol tengah terdapat dua ruang simpanan, dengan satu daripadanya cukup besar untuk menjadi tempat mengecas Qi tanpa wayar.

    Untuk aspek keselamatan, Veloz mendapat pakej Toyota Safety Sense secara standard, dengan fungsi yang diketahui setakat ini termasuk Pre-Collision System (PCS), atau juga dikenali sebagai Autonomous Emergency Braking, dan Adaptive Cruise Control. Anda juga boleh menjangkakan pelbagai lagi sistem memandangkan harganya lebih tinggi berbanding Alza varian paling tinggi, AV (RM75,000).

     
     
  • Volkswagen Golf R-Line Mk8 2022 di M’sia – 1.4L TSI, 150 PS/250 Nm, kawalan suara pintar; dari RM170k

    Volkswagen Golf R-Line Mk8 2022 di M’sia – 1.4L TSI, 150 PS/250 Nm, kawalan suara pintar; dari RM170k

    Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) telah mengumumkan harga rasmi bagi model Golf R-Line Mk8 2022 iaitu RM169,990. Pada Februari lalu, hot hatch ini telah pun dibuka tempahannya dan tika itu ia ditawarkan pada harga anggaran antara RM155k hingga RM165k.

    Merupakan model pemasangan tempatan (CKD) yang dikeluarkan dari kilang pengeluaran Volkswagen di Pekan, Pahang, Golf R-Line Mk 2022 ini dijanakan oleh enjin 1.4 liter TSI dengan hamburan kuasa 150 PS dan tork 250 Nm. Ia juga dipadankan bersama transmisi baharu daripada Aisin, iaitu unit automatik torque converter lapan-kelajuan yang menggantikan kotak gear klac berkembar DSG pada model R-Line sebelum ini. Dalam pasaran antarabangsa, Golf Mk8 ini juga datang dengan pilihan enjin hibrid ringkas 1.5 eTSI, tetapi ia tidak dibawa ke Malaysia.

    Untuk penggayaannya, Golf 2022 ini ditampilkan dengan sentuhan lebih sporty dan ekspresif. Direka dengan tumpuan kepada kecekapan aerodinamik, bampar hadapan berbentuk-C itu lebih rendah untuk prestasi yang lebih responsif. Penampilan sporty itu disempurnakan lagi dengan rim aloi Valencia bersaiz 17-inci dan sepasang paip ekzos krom hiasan berbentuk trapezoid.

    Volkswagen Golf R-Line Mk8 2022 di M’sia – 1.4L TSI, 150 PS/250 Nm, kawalan suara pintar; dari RM170k

    Selain itu, ia juga diberikan lampu utama LED Plus, lampu belakang LED dan juga lencana ‘R’ yang mungkin boleh menyebabkan orang tersalah takrif ia sebagai model prestasi Golf R. Terdapat juga jalur LED nipis pada bahagian hadapan yang menyerlahkan lagi penampilannya.

    Untuk bahagian dalamannya pula, aspek digital Golf R-Line ditingkatkan untuk lebih kemudahan dan ketersambungan yang lancar. Operasi intuitif kereta ini disokong oleh sistem kawalan suara pintar yang boleh diaktifkan dengan mudah melalui “Hello Volkswagen” atau menekan butang suara pada stereng. Ia memberi maklum balas kepada arahan suara seperti “Saya sejuk” dan akan menaikkan suhu pendingin hawa.

    Pengecaman dan kualiti suara untuk panggilan telefon adalah jelas kerana ia mampu mengesan individu yang bercakap (pemandu atau penumpang), seterusnya memberi respons sewajarnya, seperti mengenal pasti zon pendingin hawa mana yang perlu diubah suai.

    Volkswagen Golf R-Line Mk8 2022 di M’sia – 1.4L TSI, 150 PS/250 Nm, kawalan suara pintar; dari RM170k

    Selain itu, sentuhan minimalis diberikan untuk bahagian kabinnya, dengan ciri yang diberikan termasuklah tempat duduk yang dibalut padanan fabrik Sardegna dan kusyen sisi Art Velours, serta sulaman logo R pada penyandar kepala. Bentuk tempat duduk ini malah nampak lebih sporty berbanding tempat duduk GTI sementara di papan pemuka tidak banyak butang fizikal kerana diganti dengan panel sesentuh. Sistem infotainmen MIB3 yang digunakan boleh disambung dengan Apple CarPlay dan Android Auto.

    Senarai kelengkapan untuk Golf R-Line ini termasuk butang pemula enjin, brek parkir elektronik (tanpa auto hold), lampu suasana, lampu utama automatik serta dua soket pengecas USB-C masing-masing di hadapan dan belakang.

    Ruang dalaman yang selesa dan menyenangkan ditingkatkan lagi melalui sistem pendingin hawa tiga-zon Climatronic dengan larasan suhu boleh dilakukan menerusi sentuhan pada kawalannya atau melalui arahan suara. Ada dua mod utama untuk pendingin hawa iaitu Smart Climate dan Classic Climate dengan setiap satunya dilengkapi pelbagai fungsi berguna. Ia juga dilengkapi ciri Air Care untuk menapis spora, debunga dan partikel bagi memastikan udara kekal bersih.

    Kabinnya juga diberikan pencahayaan ambien dengan 30 pilihan warna yang boleh disambungkan dengan mod pemanduan. Malah terdapat lima mod warna yang telah ditetapkan iaitu Infinity, Eternity, Desire, Euphoria, dan Vitality serta tetapan individual yang boleh dipilih.

    Untuk sistem keselamatan, ciri yang diberikan termasuklah Electronic Stability Control, Post Collision Braking System yang menghalang pelanggaran kali kedua, Electronic Differential Lock (XDS) yang menambah baik aspek cengkaman dan mengurangkan understeer. Selain itu, ia turut didatangkan dengan enam beg udara, ABS, ESP dan cagak Isofix untuk tempat duduk penumpang hadapan dan belakang. Tiada ciri bantuan seperti Autonomous Emergency Braking (AEB) ataupun sistem semi autonomous lain pada model ini.

    Hot hatch ini didatangkan dalam lima warna termasuklah dua warna baharu iaitu Moonstone Grey dan (metallic Kings Red). Warna lain termasuklah Atlantic Blue, Deep Black dan Oryx White. Ia ditawarkan dari harga RM169,990 dengan waranti lima-tahun/tanpa had perbatuan, penyelenggaraan percuma selama tiga-tahun dan bantuan tepi jalan juga selama lima- tahun.

    GALERI: Volkswagen Golf R-Line 2022


     
     
  • VIDEO: X50 Tengku Sulaiman adalah Proton ke-6 hasil dari ACE miliknya; Saga dan Satria Neo turut ditunjuk!

    VIDEO: X50 Tengku Sulaiman adalah Proton ke-6 hasil dari ACE miliknya; Saga dan Satria Neo turut ditunjuk!

    Minggu lalu Proton telah menyerahkan SUV segmen-B X50 ubahsuai khas kepada Y.A.M. Tengku Laksamana Selangor Tengku Sulaiman Shah Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj. Segala permintaan Tengku Sulaiman berkenaan ‘ditunaikan’ oleh subsidiari Proton sendiri untuk kenderaan custom sedemikian iaitu Automotive Conversion Engineering (ACE).

    Ini bukan Proton pertama milik Tengku Sulaiman yang menerima sentuhan dari ACE; dalam video terbaharu yang disiarkan oleh Proton hari ini, ia sebenarnya adalah yang ke-enam! Menurutnya, Proton pertama yang dimilikinya adalah Saga generasi pertama dalam versi limosin (model-model limosin Proton juga sebenarnya adalah hasil kerja dari ACE), manakala untuk model sentuhan khas dari ACE yang dimiliki adalah Saga generasi pertama, diikuti Putra, Satria Neo, Proton Perdana 2.4L 2016, Proton X70 dan terakhir adalah X50 berwarna emas ini.

    Video ini turut menampilkan kereta-kereta yang disebut oleh Tengku Sulaiman berkenaan; dapat dilihat sebuah Saga bernombor pendaftaran “PROTON 3” dengan kit badan yang sangat menarik, Satria Neo dengan kit badan kereta lumba R3 Asia Touring Car Series (ATCS) yang seiras dengan Satria Neo R3 Lotus Racing, Perdana 2016 dan juga X70 – kesemuanya berwarna biru.

    Menurut Tengku Sulaiman, biru adalah warna ‘bertuah’ baginya, manakala warna emas pada X50 ini adalah kontra berbanding Proton Putra miliknya yang berwarna perak.

    “Saya bangga dengan ACE, sebab ia subsidiari Proton. Bila mereka kata mereka boleh buat (ubahsuai), saya jadi tertarik untuk buat mengikut kehendak saya. Sejak dari itu saya berminat untuk membeli kereta ubahsuai khas ini,” katanya. Tengku Sulaiman menjelaskan bahawa memandu memang menjadi kegemarannya, lebih-lebih lagi kereta dengan pelbagai gadget seperti Proton X50.

    “Saya harap ia akan bertahan lama, syarikat tempatan kita boleh sampai ke peringkat antarabangsa,” tambah Tengku Sulaiman lagi.

    Selain mengenakan warna emas yang tiada dalam pilihan katalog di bilik pameran, X50 milik Tengku Sulaiman ini turut diberikan jalur hitam berkembar merentangi bonet hadapan dan juga pintu hatch di belakang, bersama set rim pelbagai jejari dalam kemasan krom.

    Perincian lain yang boleh dilihat pada sebelah luar X50 Tengku Sulaiman ini termasuk jalur warna kuning yang menggantikan jalur merah asal pada gril hadapan, lampu LED tambahan pada gril bawah, kemasan berbentuk helang pada bingkai nombor plet serta hiasan berbentuk harimau di atas bonet.

    Manakala pada pintu hatch belakang ia menerima tambahan kemasan krom yang tebal berserta logo Proton berwarna emas (di bawah pengelap cermin), manakala di kedua-dua belah tepi nombor plet terdapat lencana logo serta bendera Selangor. Sama seperti hadapan, bampar belakang juga mendapat tambahan dua jalur lampu LED.

    Berdasarkan video ini dan juga foto yang dimuatkan naik oleh Proton minggu lalu, X50 Tengku Sulaiman ini menerima kemasan kayu pada beberapa bahagian seperti stereng, papan pemuka dan konsol tengah, sementara tempat duduk menggunakan balutan kulit bersama jahitan warna kuning.

    GALERI: Proton X50 sentuhan ACE milik Tengku Sulaiman

    GALERI: Proton X70 sentuhan ACE milik Tengku Sulaiman

    GALERI: Proton Perdana 2.4 2016 sentuhan ACE milik Tengku Sulaiman

     
     
  • Audi RS6 Avant 2022 di Malaysia kini dijual pada harga RM1.082 juta, dapat kelengkapan tambahan, 600 PS

    Audi RS6 Avant 2022 di Malaysia kini dijual pada harga RM1.082 juta, dapat kelengkapan tambahan, 600 PS

    Turut menyertai kemas kini pada model Audi selepas pengedaran rasmi jenama itu di Malaysia diambil alih oleh PHS Automotive adalah RS6 Avant. Ia kini dijual pada harga RM1,082.402, dan menunjukkan peningkatan sekitar RM115k berbanding harga RM967,309 sewaktu pengecualian cukai diberi (berakhir 30 Jun lalu).

    Melihat kepada senarai kelengkapan, kebanyakannya masih lagi sama tetapi terdapat beberapa perubahan seperti pelindung cermin sisi yang dibuat daripada gentian karbon (sebelum ini cuma dicat hitam), dan ia menjadi pelengkap kepada kemasan karbon lain serta lencana yang berwarna hitam.

    Kemudiannya, sistem bunyi Bang & Olufsen yang sebelum ini disediakan sebagai pilihan tambahan kini diberikan terus secara standard, dan ia disambungkan kepada sistem infotainmen MMI Navigation Plus dengan MMI Touch. Rim masih lagi unit 22 inci manakala lampu adalah unit LED HD Matrix.

    Untuk sistem bantuan pemandu pula, RS6 Avant kini didatangkan dengan Adaptive Cruise Control, untuk menggantikan sistem pasif sebelum ini. Lane Change Assist pula nampaknya telah dikeluarkan, dan diganti dengan Lane Change Warning sementara Lane Departure Warning dan Audi Pre Sense hadapan dan belakang masih lagi ada.

    RS6 Avant pasaran Malaysia ini masih lagi mengekalkan enjin petrol V8 4.0 liter twin turbo, bersama tranmsisi automatik lapan kelajuan serta sistem pacuan semua roda Quattro, mampu menghasilkan kuasa sehingga 600 PS (591 hp) dari 6,000 hingga 6,250 rpm dan tork 800 Nm dari 2,050 hingga 4,500 rpm.

    Prestasinya juga tidak berubah, dengan mampu melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 3.6 saat dan mencapai kelajuan maksimum 280 km/j. Turut membantu prestasi kenderaan ini adalah sistem ekzos sport RS, stereng progresif, suspensi sport RS dengan Dynamic Ride Control serta Audi Drive Select.

     
     
  • Indonesia mulakan ujian penilaian jalan raya biodiesel B40 – guna 12 kenderaan, bakal tamat hujung tahun ini

    Indonesia mulakan ujian penilaian jalan raya biodiesel B40 – guna 12 kenderaan, bakal tamat hujung tahun ini

    Kerajaan Indonesia sudah memulakan ujian jalan raya untuk kenderaan dengan enjin diesel menggunakan bahan api biodiesel berasaskan 40% campuran minyak sawit (B40). Kementerian Tenaga dan Sumber Daya Mineral (ESDM) Indonesia kini mensasarkan untuk melengkapkan ujian jalan raya ini menjelang hujung tahun 2022 dan membekalkan cadangan teknikal untuk polisi implementasi bahan api B40 berkenaan, lapor agensi berita Antara.

    “Ujian jalan raya ini adalah siri terakhir dalam pelbagai ujian yang telah dijalankan bagi menilai penggunaan B40 dan memastikan ia boleh beroperasi dengan baik,” kata menteri ESDM Arifin Tasrif ketika pelancaran ujian jalan raya berkenaan.

    Ketua pengarah untuk tenaga boleh diperbahrui kementerian berkenaan, Dadan Kusdiana pula berkata, 12 kenderaan akan digunakan dalam ujian jalan raya ini. Ia termasuk enam kenderaan dengan berat masing-masing di bawah 3.5 tan, yang akan melengkapkan perjalanan harian 560 km dan jarak keseluruhan 50,000 km, dan enam lagi kenderaan dengan berat masing-masing melebihi 3.5 tan yang akan bergerak sejauh 400 km sehari, bagi melengkapkan jarak ujian keseluruhan 40,000 km.

    Indonesia mulakan ujian penilaian jalan raya biodiesel B40 – guna 12 kenderaan, bakal tamat hujung tahun ini

    Menurut Kusdiana lagi, ujian jalan raya B40 ini turut akan mengambil kira aspek pengendalian dan juga analisis penggunaan bahan api, ujian kualiti bahan api dan pelinciran, serta perkara lain berkaitan prestasi dan ujian-ujian kadar merit.

    Berdasarkan laporan-laporan sebelum ini, dua jenis adunan B40 akan dinilai oleh kerajaan Indonesia. Pertama menggunakan 30% eter metil asid lemak (FAME) bersama 10% komposisi metil ester sawit suling (DPME), manakala yang kedua adalah menggunakan 30% FAME dan 10% adunan diesel berasaskan sawit (atau diesel hijau).

    Keputusan sama ada untuk memandatorikan penggunaan B40 akan dibuat selepas ujian-ujian ini tamat. Kerajaan Indonesia telah merancang untuk melancarkan program B40 ini sekitar tahun 2021 atau 2022, tetapi program berkenaan terpaksa di tunda kerana peningkatan harga minyak sayuran, yang akan menyebabkan harga bahan api ini menjadi terlalu mahal.

     
     
  • Audi Q8 S Line 3.0 TFSI Quattro 2022 di Malaysia terima rim lebih besar, kemasan hitam, dari RM867k

    Audi Q8 S Line 3.0 TFSI Quattro 2022 di Malaysia terima rim lebih besar, kemasan hitam, dari RM867k

    Audi Q8 adalah satu lagi model yang mendapat sedikit perubahan selepas PHS Automotive mengambil alih tugas sebagai pengedar rasmi kenderaan Audi di Malaysia. SUV besar ini pertama kali dijual di Malaysia pada Ogos 2019 dan sewaktu pengecualian cukai diberi, ia dijual pada harga RM701,698.91 tidak termasuk insurans.

    Sekarang dengan tempoh pengecualian cukai tersebut telah pun berakhir, harganya dirujuk semula, menjadi RM867,422, iaitu tambahan sebanyak RM165.7k berbanding sebelum ini. Spesifikasi teknikal masih lagi sama, iaitu menggunakan enjin petrol V6 turbo 3.0 liter bersama padanan transmisi automatik lapan kelajuan dan sistem pacuan empat roda Quattro, menghasilkan 335 hp dari 5,200 hingga 6,400 rpm dan tork 500 Nm dari 1,370 hingga 4,500 rpm.

    Penggerak ini juga datang dengan sistem hibrid ringkas 48 volt yang boleh beroperasi sewaktu meluncur pada jarak jauh serta bergerak perlahan sehingga kelajuan 22 km/j. Daripada aspek prestasi, Q8 boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 5.9 saat dan mencecah kelajuan maksimum 250 km/j.

    Kebanyakan kelengkapan daripada model sebelum ini masih lagi ada, termasuk suspensi udara adaptif, Drive Select, lampu utama LED HD Matrix, balutan dalaman kulit Valcona, sistem infotainmen MMI Navigation Plus dengan maklum balas sentuhan MMI, sistem bunyi Bang & Olufsen, serta kokpit virtual Audi.

    Namun, ada sedikit perubahan yang diberi, dan ini termasuk rim yang lebih besar, berukuran 21 inci (sebelum ini 20 inci), pakej luaran S Line, kemasan hitam pada keliling gril serta pakej Black Appearance (kemasan luar lain berwarna hitam).

    Satu lagi adalah Audi Pre-Sense di bahagian belakang, sebagai tambahan kepada unit Adaptive Cruise Control di hadapan sedia ada. Tempat duduk kini menggunakan unit sport larasan 12 arah dengan fungsi memori sementara sebelum ini ia datang dengan larasan 18 arah dan liang udara.

    Sama seperti model Audi yang lain, jaminan yang diberi adalah selama lima tahun tanpa had batuan, serta penyelenggaraan percuma tiga dan bantuan tepi jalan lima tahun.

     
     
  • Audi A7 Sportback S Line 3.0 TFSI 2022 di Malaysia kini dijual pada harga RM714,907 bersama cukai jualan

    Audi A7 Sportback S Line 3.0 TFSI 2022 di Malaysia kini dijual pada harga RM714,907 bersama cukai jualan

    Pengedar kenderaan Audi di Malaysia, PHS Automotive Malaysia telah mendedahkan harga terkini Audi Sportback S Line 3.0 TFSI 2022, di mana ia sekarang dijual pada harga RM714,907 tidak termasuk insurans, dan dikira sekali bersama cukai jualan 10%.

    Harga ini menunjukkan peningkatan sebanyak RM126,564 berbanding harga RM588,343 semasa pengecualian SST yang berakhir 30 Jun lalu, di mana model CBU seperti ini diberikan pengecualian SST sebanyak 50%.

    Spesifikasi teknikal masih lagi sama seperti model generasi C8 yang dilancarkan pada tahun 2019, dengan A7 Sportback ini dipacu oleh enjin petrol V6 turbo 3.0 liter berkemampuan 340 PS dari 5,200 rpm hingga 6,400 rpm dan tork 500 Nm dari 1,370 rpm hingga 4,500 rpm. Kuasa ini disampaikan kepada semua empat tayar melalui transmisi automatik klac berkembar S Tronic tujuh kelajuan.

    Melihat kepada senarai kelengkapan terkini, A7 Sportback S Line 3.0 TFSI diberitahu datang dengan pakej luaran S Line yang termasuk lampu utama LED HD Matrix dengan penunjuk arah dinamik dan pembersih lampu, bumbung panoramik, serta rim 20 inci warna matte yang dibalut tayar 255/40.

    Bahagian dalam juga mendapat kemasan S Line, dengan pemandu boleh menikmati roda stereng sports dibalut kulit serta pedal penukar gear, tempat duduk sports boleh laras secara elektrik 12 arah (juga untuk penumpang hadapan) serta balutan kulit Valcona dengan logo S.

    Kelengkapan infotainmen yang diberi adalah termasuk kokpit virtual Audi, sambungan telefon pintar, head-up display dan sistem bunyi Bang & Olufsen 3D. Pada bahagian keselamatan, ia dilengkapi pre sense depan dan belakang, Adaptive Cruise Control, Efficiency Assist, Swerve Assist, Turn Assist, Lane Change Warning, Exit Warning, Rear Cross Traffic Assist, Lane Departure Warning dan pemerhati tekanan angin tayar.

    Sama seperti model lain yang dipasarkan oleh PHS Automotive, Audi A7 2022 ini didatangkan bersama jaminan lima tahun tanpa had batuan, bantuan tepi jalan lima tahun serta penyelenggaraan percuma tiga tahun.

    GALERI: Audi A7 Sportback C8 2019

     
     
  • Ujian rintis bahan api bersasar – B40/M40 terima kredit e-wallet, tapi adakah semua kena bayar harga tinggi?

    Ujian rintis bahan api bersasar – B40/M40 terima kredit e-wallet, tapi adakah semua kena bayar harga tinggi?

    Seperti yang pernah dilaporkan sebelum ini, kerajaan bakal melaksanakan mekanisme bahan api bersasar. Malah baru-baru ini Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, mekanisme terbabit sedang diuji, dan ia mengambil masa antara tiga hingga enam bulan sebelum diimplementasikan.

    Kini, kaedah berpotensi yang mungkin digunakan dalam format ini telah pun didedahkan, dan ia akan diberikan menerusi e-wallet. Perkara ini didedahkan oleh Datuk Johan Mahmood Merican, Timbalan Ketua Setiausaha bagi Dasar Perbendaharaan di Kementerian Kewangan.

    Bercakap menerusi program The Breakfast Grill yang disiarkan menerusi saluran radio BFM pagi semalam, beliau berkata ujian menggunakan e-wallet telah pun mula dijalankan. “Kami telah memulakan ujian perintis dengan stesen minyak menggunakan platform e-wallet. Kami sedang melihat satu lagi ujian yang berlangsung antara tiga hingga enam bulan sebelum kami bersedia untuk mengimplementasikannya, kerana ia adalah sesuatu yang kami tidak boleh pandang ringan,” katanya, tanpa memberikan sebarang butiran tentang cara sistem itu berfungsi.

    Tambah beliau, kerajaan perlu memastikan bahawa semua orang akan dapat menggunakan sistem tersebut. “Mereka yang berada di kawasan bandar mungkin sudah terbiasa dengan e-wallet, tetapi ini mungkin tidak berlaku di kawasan luar bandar atau di kalangan warga emas, jadi kita perlu memastikan bahawa ia benar-benar sesuatu yang mudah untuk digunakan, dan apabila dilaksanakan di seluruh negara, ia tidak menimbulkan terlalu banyak masalah kepada rakyat,” katanya sambil menambah kementerian juga akan terus melihat kaedah lain.

    Ujian rintis bahan api bersasar – B40/M40 terima kredit e-wallet, tapi adakah semua kena bayar harga tinggi?

    Sebelum ini, Tengku Datuk Seri Zafrul berkata sebahagian besar subsidi bahan api dalam mekanisme yang sedia ada sekarang dinikmati oleh 20% golongan berpendapatan teratas di negara ini iaitu cecah RM8 bilion berbanding RM6 bilion yang dimanfaatkan oleh golongan B40.

    Justeru, Kerajaan berharap dapat menangani perkara ini dengan semakan semula mekanisme subsidi elektrik dan petrol untuk menjadikannya lebih disasarkan dan tertumpu kepada mereka yang memerlukannya. Johan sekali lagi berkata bahawa ketidakseimbangan semasa bermakna penghapusan subsidi bahan api menyeluruh adalah penting dari sudut kewangan.

    “Apabila kami melakukan tinjauan terhadap perbelanjaan isi rumah, didapati secara purata golonga B40 membelanjakan sekitar RM165 sebulan untuk bahan api, manakala T20 membelanjakan kira-kira RM500. Mereka mendapat manfaat subsidi tiga kali ganda berbanding B40,” katanya.

    Ujian rintis bahan api bersasar – B40/M40 terima kredit e-wallet, tapi adakah semua kena bayar harga tinggi?

    Beliau berkata cabarannya ialah bagaimana untuk membolehkan B40 menikmati harga subsidi, manakala mereka yang berpendapatan tinggi perlu membayar harga lebih tinggi. “Persoalannya, bagaimana anda membahagikannya? Bagaimana kita melaksanakan mekanisme di mana harga pam lebih tinggi tetapi mekanisme itu membolehkan kumpulan yang dikenal pasti seperti berpendapatan rendah atau M40 boleh membeli sekurang-kurangnya kuota bahan api pada harga subsidi?”

    Katanya, satu cara yang boleh dilakukan ialah dengan “cuba meniru apa yang Tenaga Nasional lakukan terhadap pengiraan bil elektriknya, di mana jika anda menggunakan sedikit, maka anda akan membayar kadar yang lebih rendah, itu yang kami cuba usahakan.”

    Jelasnya lagi,”Cabaran pelaksanaanya ialah jika bil elektrik menggunakan satu meter bagi setiap rumah. Tetapi jika lebih dari seorang daripada isi rumah yang membeli bahan api, bagaimana kita mahu melaksanakan cara yang sama. Jadi, kita perlukan sistem yang lebih bersesuaian dan membolehkan kita membenarkan kumpulan sasaran (B40 dan M40) untuk mendapatkan bahan api bersubsidi itu.”

    Ujian rintis bahan api bersasar – B40/M40 terima kredit e-wallet, tapi adakah semua kena bayar harga tinggi?

    Sebenarnya banyak persoalan mengenai perkara ini, kerana setakat ini tiada siapa yang tahu mekanisme yang bakal digunakan. Adakah format ini melibatkan harga petrol RON 95 dan diesel yang telah dihadkan harganya, dengan golongan B40/M40 disasarkan untuk diberikan subdisi menerusi kredit elektronik untuk mengimbangi pembelian bahan api?

    Adakah terdapat jumlah kredit yang ditentukan pada setiap bulan, dengan RM100 atau RM200 pertama disubsidi sepenuhnya, dengan harga kemudiannya meningkat seiring dengan peningkatan penggunaan (walaupun anda berada dalam kumpulan sasaran), mengikut cara format bil elektrik? Adakah ini bermakna pembayaran bahan api hanya boleh dibuat secara elektronik (tanpa tunai) untuk mendapatkan subsidi?

    Terdapat banyak lagi persoalan, termasuk bagaimana sistem baharu ini akan berfungsi bagi menghalan kenaikan harga di tempat lain (apabila harga bahan api meningkat selepas subsidi menyeluruh dihapuskan), dan adakah penggunaan e-wallet relevan untuk dilaksanakan sepenuhnya dalam pemberian subsidi bersasar ini? Semua perkara ini akan terjawab apabila kerajaan memuktamadkan keputusannya kelak.

     
     
  • Audi RS4 2022 di Malaysia – 2.9L biturbo V6, 450 PS dan 600 Nm; sedikit perubahan ciri, dari RM860k

    Audi RS4 2022 di Malaysia – 2.9L biturbo V6, 450 PS dan 600 Nm; sedikit perubahan ciri, dari RM860k

    Susulan dengan pelantikan PHS Automotive sebagai pengedar rasmi Audi baharu di Malaysia, beberapa model di dalam barisannya telah menyaksikan perubahan kelengkapan dan harga. Ini termasuklah RS Avant, yang kini ditawarkan pada harga RM859,655 atas jalan tanpa insurans.

    Sebelum ini, RS4 Avant dijual pada harga RM712,399 selepas ia diperkenalkan secara senyap-senyap pada Ogos 2020, di mana ketika itu pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sedang berlangsung. Namun peningkatan harga cecah RM147,256 adalah disebabkan terdapat sedikit perubahan kelengkapan dan juga selepas pengecualian SST sebanyak 50% bagi mBodel CBU ditamatkan.

    Bahagian mekanikal masih dikekalkan, dengan enjin 2.9 liter biturbo V6 petrol yang mampu memberikan kuasa hingga 450 PS (444 hp) dari 5,700-6,700 rpm dan tork 600 Nm dari 1,900-5,000 rpm. Pacuan disalurkan ke empat roda menerusi kotak gear automatik tiptronic lapan-kelajuan dan sistem pacuan semua-roda quattro dengan sports differential.

    Ia membolehkan jentera ini dipecut dari 0-100 km/j dalam masa 4.1 saat dan kelajuan maksimum cecah 280 km/j. Turut dikekalkan ialah sistem pemilihan pacuan Audi, sistem ekzos sport RS dan RS sports suspension Plus dengan kawalan pengendalian dinamik.

    Senarai kelengkapan turut dikekalkan, namun terdapat beberapa perubahan kecil. Kini kawalan kelajuan adaptif diberikan bagi menggantikan sistem pasif sebelum ini, sementara itu pra-penderia asas telah digugurkan (tapi mengekalkan pra-penderia belakang). Lain-lain ciri masih kekal seperti sebelum ini.

    Pembelian RS4 Avant ini juga didatangkan dengan waranti lima-tahun/tanpa had perbatuan, tiga-tahun penyelenggaran percuma dan juga lima-tahun bantuan tepi jalan.

    GALERI: Audi RS4 Avant

     
     
  • Kia Carnival 11-tempat duduk versi CBU akan terus dijual bersama versi 7- & 8-kerusi versi CKD di M’sia

    Kia Carnival 11-tempat duduk versi CBU akan terus dijual bersama versi 7- & 8-kerusi versi CKD di M’sia

    Kia Carnival 2022 versi pemasangan tempatan (CKD) sudahpun dilancarkan pada pasaran Malaysia semalam. Berbanding versi diimport sepenuhnya (CBU) sebelum ini yang ditawarkan dalam versi 11-tempat duduk, model yang dipasang di Kulim, Kedah ini hanya hadir dalam versi 7- dan 8-tempat duduk.

    Walau bagaimanapun, pengerusi eksekutif Bermaz Auto Datuk Seri Ben Yeoh menyatakan bahawa Carnival CBU 11-tempat duduk berkenaan masih akan dijual sekali dengan model CKD 7- dan 8-tempat duduk kerana ia masih mendapat permintaan. Menurutnya, model 11-tempat duduk tersebut akan memenuhi keperluan pelanggan yang mahu membawa lebih penumpang atau dalam industri servis, manakala model 7- dan 8-tempat duduk pula untuk mereka yang mahukan MPV keluarga yang luas atau untuk mereka yang mahukan alternatif selain MPV mewah Toyota Alphard dan Vellfire.

    Namun Yeoh turut memberitahu bahawa Kia sudahpun memulakan program CKD untuk versi empat baris tempat duduk berkenaan. Jadi selepas ini model dengan 11-tempat duduk tersebut akan turut diproduksi di Malaysia bukan sahaja untuk memenuhi pasaran tempatan, malah turut akan dieksport ke pasaran ASEAN lain bagi mengambil manfaat atas skim perdagangan bebas (AFTA) untuk rantau ini.

    Kabin belakang Kia Carnival CBU 11-tempat duduk

    Mengapa tidak dimulakan lebih awal bersama model 7- dan 8-tempat duduk ini? Ini adalah kerana kekangan produksi dan juga masalah jaringan bekalan. Menurut Yeoh, kapasiti penghasilan Kia Carnival ini di kilang Inokom Kulim adalah sebanyak 5,000 unit setahun.

    Kia Carnival CKD ini dijual pada pasaran tempatan dalam tiga varian berbeza, bermula dengan model 2.2D 8-tempat duduk Mid dijual pada harga RM231.228, diikuti model 2.2D 8-tempat duduk High dijual pada harga RM247,228. Untuk yang mahukan ruang lebih besar dan perincian lebih mewah, anda boleh memilih varian paling tinggi iaitu 2.2D 7-tempat duduk High dijual pada harga RM261,228.

    Sebagai perbandingan, Kia Carnival CBU dengan 11-tempat duduk dijual pada harga RM196,340. Model yang diimport terus dari Korea tersebut dapat dijual lebih murah kerana kenderaan dengan 11-tempat duduk dapat diklasifikasikan sebagai kenderaan perdagangan yang membolehkan ia dikenakan cukai yang lebih rendah.

    Untuk lebih perincian berkenaan Kia Carnival CKD, anda boleh baca laporan pelancarannya semalam pada PAUTAN INI. Kami juga sebelum ini telahpun memandu uji Kia Carnival dalam versi CBU, dan laporannya boleh anda baca pada PAUTAN INI.

    GALERI: Kia Carnival 11-tempat duduk CBU 2022

    GALERI: Kia Carnival 7-tempat duduk CKD 2022

     
     
  • JPJ eBid: JVN dan VJL dibuka untuk bidaan

    Kali ini giliran siri nombor pendaftaran terkini dari W.P Kuala Lumpur dan Johor dibuka untuk bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), siri nombor pendaftaran terkini Johor, JVN, telah pun boleh dibida mulai hari ini, 29 Julai dan berlangsung selama lima hari iaitu sehingga jam 10 malam pada 2 Ogos 2022. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 3 Ogos. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala bagi siri nombor pendaftaran terkini dari W.P Kuala Lumpur pula, VJL, bidaannya bakal dibuka bermula esok (30 Julai) dan akan berakhir jam 10 malam pada 3 Ogos 2022. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 4 Ogos ini.

    Sekarang ni lebih mudah mendapatkan siri plat nombor yang diingini tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • Kia Carnival 2022 CKD diperkenal di Malaysia — tiga varian, 7 dan 8-tempat duduk dan ADAS, dari RM231k

    Kia Carnival 2022 CKD diperkenal di Malaysia — tiga varian, 7 dan 8-tempat duduk dan ADAS, dari RM231k

    Dinamikjaya Motors, sebuah anak syarikat milik sepenuhnya Bermaz Auto kini memperkenalkan MPV Kia Carnival 2022 generasi keempat versi pemasangan tempatan (CKD) untuk pasaran Malaysia. Sebelum ini, model sama dalam versi CBU pula telah dijual sejak Januari lalu.

    Berbeza dengan model CBU yang datang dengan konfigurasi 11-tempat duduk, model CKD terbaru ini sebaliknya ditawarkan dalam konfigurasi tujuh atau lapan-tempat duduk. Semua sekali ada tiga varian ditawarkan, dengan varian 2.2D 8-tempat duduk dijual pada RM231,229 atas jalan tidak termasuk insurans; 2.2D 8-tempat duduk High pada RM247,229; dan 2.2D 7-tempat duduk High dengan harga RM261,229. Semua harga ini termasuk SST.

    Harga berkenaan bagaimanapun lebih tinggi berbanding model CBU 11-tempat duduk, yang ditawarkan dengan harga permulaan lebih rendah, RM196,341. Ini kerana dengan bilangan tempat duduk yang banyak itu membolehkan model CBU berkenaan diklasifikasi sebagai kenderaan komersial, dan menikmati kadar cukai lebih rendah.

    Kia Carnival 2022 CKD diperkenal di Malaysia — tiga varian, 7 dan 8-tempat duduk dan ADAS, dari RM231k

    Dari segi rekaan luaran, hanya ada sedikit perkara yang membezakan antara model 11-tempat duduk dengan tiga varian terbaru ini. Pertama, bagi dua varian paling tinggi, ia dilengkapi dengan sunroof pada bahagian bumbungnya, menandakan ini model yang lebih premium. Kedua ialah bahagian rekaan lampu melintang di belakang, yang menghubungkan lampu di kira dan kanannya; kini ia turut dilengkapi dengan jalur LED.

    Bagaimanapun, enjin yang digunakan tetap sama untuk semua varian dan konfigurasi kerusi, iaitu unit 2.2 liter Smartstream 2.2D empat-silinder turbodiesel, yang menjana sebanyak 199 hp pada 3,800 rpm dan 440 Nm tork dari 1,750-2,750 rpm. Pacuan ke roda depan melalui transmisi automatik lapan-kelajuan, memberikan kadar penggunaan minyak 6.5 l/100 km dalam kitaran NEDC.

    Untuk mengimbangi kenaikan harga yang terlibat, versi tujuh dan lapan-tempat duduk ini menyediakan ruang kabin lebih luas dan sususan kerusi yang lebih kepelbagaian. Versi lapan-tempat duduk yang lebih murah misalnya menghapuskan satu baris kerusi dan mengubah konfigurasi biasa 2-3-3-3 kepada 2-3-3 sahaja.

    Kia Carnival 2022 CKD diperkenal di Malaysia — tiga varian, 7 dan 8-tempat duduk dan ADAS, dari RM231k

    Ini membolehkan rekaan kerusi yang berbeza digunakan untuk memberi lebih keselesaan, dengan tiga kerusi saiz penuh di barisan kedua — yang dipasang dengan tali keledar tiga-poin dan bukan lagi tali keledar pangkal peha. Sama seperti model 11-tempat duduk, kerusi di tengah boleh dilipat untuk dijadikan meja (dengan ruang cawan tersedia), walaupun ia boleh dilipat dan disimpan di tepi. Semua kerusi boleh dialih — seperti kerusi barisan kedua — dan boleh dilipat 180-darjah untuk menghadap kerusi barisan ketiga secara berdepan.

    Ketiga-tiga kerusi di barisan kedua boleh diluncur dan direbahkan secara individu, dan lebih penting, kerusi di tengah juga boleh dipasangkan kerusi kanak-kanak Isofix. Ini bermaksud, walaupun mempunyai kurang kerusi berbanding model 11-tempat duduk, model lapan tempat-duduk ini boleh dipasangkan tiga lagi kerusi keselamatan kanak-kanak (semuanya boleh memuatkan lima kerusi).

    Versi tujuh-tempat duduk kurang kerusi tengah, sebaliknya menerima kerusi kapten yang lebih mewah untuk barisan kedua. Kerusi rehat premium ini tidak hanya nampak lebih padat dan gebu, yang hadir dengan perehat lengan dan kerusi larasan kuasa untuk penyandar dan ketinggian. Ia juga boleh di tolak ke depan secara manual.

    Kedua-dua versi CKD ini memberikan tambahan ruang untuk barangan — dengan 627 liter, dengan kerusi barisan terakhir boleh dilipat dalam nisbah 60:40. Dengan melipat kerusi ini dengan rata, ia akan memberikan pertambahan ruang sebanyak 2,785 liter lagi.

    Kelengkapan lain yang ada termasuk tujuh slot USB Type-A (satu untuk data, dua untuk pengecas di depan dan dua lagi di belakang kerusi depan, dengan dua lagi di tepi kabin untuk barisan ketiga), dua ruang cawan untuk barisan kedua dan empat ruang cawan untuk barisan ketiga. Kawalan pendingin tiga-zon juga tersedia, dengan kawalan di barisan akhir terletak di bahagian kanan bumbung barisan kedua; dengan udaranya keluar dari saluran di bumbung untuk barisan belakang berkenaan.

    Walaupun dengan kelengkapan yang lebih banyak, Carnival CKD tampil hampir sama dengan model CBU. Ia lengkap dengan lampu utama LED automatik yang bersambung dengan gril, rim 18-inci jejari-Y dengan dua tona serta landasan bumbung warna perak. Perbezaan yang dapat dilihat hanyalah lampu belakang kini LED sepenuhnya, dalam kelebaran penuh.

    Di dalam, model CKD datang dengan sistem bunyi Bose 12-pembesar suara sebagai standard. Ia juga dilengkapi dengan paparan instrumen digital 12.3-inci, mungkin hanya untuk versi High, (versi CBU datang dengan tuil analog dan paparan multi-info 4.2-inci), walaupun skrin sentuh intotainmen 12.3-inci terus ditawarkan untuk semua.

    Selebihnya kelengkapan yang ada adalah sama dengan model CBU. Ini termasuklah sistem tanpa kunci, butang Push Start, kerusi depan larasan kuasa lapan-hala, balutan kemasan kulit buatan, pengecas tanpa wayar Qi, penghadang matahari manual untuk pintu gelungsur dan tingkap sisi belakang serta pintu gelungsur dan pintu barangan bebas kendalian tangan.

    Bagi varian High pula, ia datang dengan dua sunroof, memori untuk kerusi pemandu dan liang udara dan pemanas untuk kerusi depan, dengan versi tujuh-tempat duduk lengkap dengan kerusi balutan kulit. Dari segi keselamatan, semua model diberikan tujuh beg-udara, kawalan kestabilan, peninjau titik buta, amaran lintasan trafik belakang dan pengingat kerusi belakang dengan sensor ultrasonik untuk mengesan penumpang di belakang.

    Berbeza dengan versi CBU, varian High datang dengan senarai kelengkapan lebih menarik seperti kluster instrumen digital, bumbung boleh buka larasan elektrik, susunan kerusi lebih pelbagai dan paling penting senaran ciri keselamatannya.

    Dua varian teratas turut dilengkapi sistem keselamatan aktif (ADAS), termasuklah ciri seperti High Beam Assist, Blind-Spot Collision Warning, Blind-Spot Collision-Avoidance Assist, Blind-Spot View Monitor, Rear Cross-Traffic Collision-Avoidance Assist, Lane Keeping Assist, Driver Attention Warning, Forward Collision-Avoidance Assist (AEB) dengan sokongan belokan di simpang, Lane Following Assist serta Smart Cruise Control (ACC).

    Pilihan warna untuk model CKD ini terdiri daripada Astra Blue, Sonic Silver, Meteor Gray, Jet Black dan Snowflake White Pearl. Harga yang dinyatakan juga sudah termasuk dengan jaminan lima-tahun/100 km dan pakej servis.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.94 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.14 (+0.03)
Last Updated Aug 07, 2025