Wakil pengedar baharu Audi di Malaysia iaitu PHS Automotive telah pun mengumumkan perincian barisan model-model yang dijual pada pasaran tempatan, antaranya adalah Audi Q5 Sportback S Line 2.0 TFSI quattro, selain model lain termasuk A5 Sportback, Q2, Q3, dan Q5.
Model Q5 Sportback dengan badan “SUV-coupe” ini masih berkongsi unit penggerak yang sama dengan Q5 biasa pasaran Malaysia iaitu enjin petrol 2.0 liter empat silinder turbo berkuasa 249 PS bermula 5,000 hingga 6,000 rpm dan tork maksima 1,600 rpm hingga 4,500 rpm, digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan S Tronic, serta sistem pacuan semua roda quattro.
Model ini sebenarnya telah pun dibawa ke Malaysia pada Ogos tahun lalu. Dan kini Audi Q5 Sportback S Line 2.0 TFSI quattro ini dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM487,223, lengkap dengan SST efektif bermula 1 Julai 2022.
Klik untuk besarkan
Sama seperti Q5 facelift, Q5 Sportback ini juga dilihat menampilkan harga yang jauh lebih tinggi dari sebelum ini. Namun bagi model kemaskini ini, ia datang standard dengan perincian-perincian yang sebelum ini diasingkan dalam opsyen Premium Package.
Oleh itu, Q5 Sportback S Line pasaran Malaysia ini menerima kelengkapan-kelengkapan standard termasuk lampu hadapan LED dengan fungsi pembersih, rim aloi lima-jejari 20-inci bersama tayar 255/45R20, dan juga pakej kemasan-kemasan gelap untuk bahagian luaran bagi memberikan imej lebih agresif.
Pada sebelah dalam, kabin S Line ini diberikan upholsteri kulit Nappa, fungsi Comfort Key dengan akses tanpa kunci, serta lampu suasana kabin pelbagai-warna. Turut tersedia adalah tempat duduk hadapan larasan elektrik 12-hala dengan sokongan lumbar, fungsi memori pada tempat duduk pemandu, sistem pendingin hawa tiga-zon serta cermin pandang belakang auto-malap tanpa bingkai.
Untuk pemandu, ia diberikan lima mod pemanduan menerusi fungsi Audi Drive Select. Ia juga diberikan sistem infotainmen yang menyokong hubungan Apple CarPlay dan Android Auto, serta diberikan sistem audio premium Bang & Olufsen 16 saluran 755 watt yang dihubungkan kepada 19-pembesar suara.
Bagi kelengkapan keselamatan pula, model ini diberikan cruise control adaptif, sistem Audi pre sense belakang dan basic, amaran keluar lorong, bantuan tukar lorong, pek kamera 360-darjah, serta sistem park assist bersama parking aid plus.
Untuk waranti, PHS Automotive menawarkan perlindungan selama lima-tahun tanpa had perbatuan, bersama bantuan tepi jalan juga selama lima-tahun, serta pakej servis percuma selama tiga-tahun.
Hujung minggu lalu, Bermaz mempertontonkan kepada awam Kia Carnival CKD untuk pertama kali. Pertama kali sejak 2020, MPV dari pengeluar Korea ini ditawarkan dalam bentuk tujuh dan lapan-tempat duduk, dengan ruang yang banyak untuk penumpang belakang.
Ini juga membawa kepada harga rasmi bagi tiga varian model CKD ini. Penawarannya bermula dengan varian 2.2D 8-tempat duduk pada RM231,229 atas jalan tidak termasuk insurans; 2.2D 8-tempat duduk High pada RM247,229; dan 2.2D 7-tempat duduk High dengan harga RM261,229. Semua harga ini termasuk SST semula.
Harga berkenaan adalah lebih tinggi berbanding model CBU 11-tempat duduk, yang ditawarkan dengan harga permulaan lebih rendah, RM196,341. Dengan bilangan tempat duduk yang banyak itu membolehkan model CBU berkenaan diklasifikasi sebagai kenderaan komersial, dan menikmati kadar cukai lebih rendah.
Untuk mengimbangi kenaikan harga itu, versi tujuh dan lapan-tempat duduk ini menyediakan ruang kabin yang lebih luas dan sususan kerusi yang lebih pelbagai. Versi lapan-tempat duduk yang lebih murah misalnya menghapuskan satu baris kerusi dan mengubah konfigurasi biasa 2-3-3-3 kepada 2-3-3 sahaja. Ini membolehkan rekaan kerusi yang berbeza digunakan untuk lebih selesa, dengan tiga kerusi saiz penuh di barisan kedua — yang dipasang dengan tali keledar tiga-poin dan bukan lagi tali keledar pangkal peha.
Sama seperti model 11-tempat duduk, kerusi di tengah boleh dilipat untuk dijadikan meja (dengan ruang cawan tersedia), walaupun ia boleh dilipat dan disimpan di tepi. Semua kerusi boleh dialih — seperti kerusi barisan kedua — dan boleh dilipat 180-darjah untuk menghadap kerusi barisan ketiga.
Ketiga-tiga kerusi di barisan kedua boleh diluncur dan direbahkan secara individu, dan lebih penting, kerusi di tengah juga boleh dipasangkan kerusi kanak-kanak Isofix. Ini bermaksud, walaupun mempunyai kurang kerusi berbanding model 11-tempat duduk, model lapan tempat-duduk ini boleh dipasangkan tiga lagi kerusi keselamatan kanak-kanak (semuanya boleh lima kerusi).
Versi tujuh-tempat duduk kurang kerusi tengah, sebaliknya menerima kerusi kapten yang lebih mewah untuk barisan kedua. Kerusi rehat premium ini tidak hanya nampak lebih padat dan gebu, yang hadir dengan perehat lengan dan kerusi larasan kuasa untuk penyandar dan ketinggian. Ia juga boleh di tolak ke depan secara manual.
Kedua-dua versi CKD ini memberikan tambahan ruang untuk barangan — dengan 627 liter, dengan kerusi barisan terakhir boleh dilipat dalam nisbah 60:40. Dengan melipat kerusi ini dengan rata, ia akan memberikan pertambahan ruang sebanyak 2,785 liter lagi.
Kelengkapan lain yang ada termasuk tujuh slot USB Type-A (satu untuk data, dua untuk pengecas di depan dan dua lagi di belakang kerusi depan, dengan dua lagi di tepi kabin untuk barisan ketiga), dua ruang cawan untuk barisan kedua dan empat ruang cawan untuk barisan ketiga. Kawalan pendingin tiga-zon juga tersedia, dengan kawalan di barisan akhir terletak di bahagian kanan bumbung barisan kedua; dengan udaranya keluar dari saluran di bumbung untuk barisan belakang berkenaan.
Walaupun dengan kelengkapan yang lebih banyak, Carnival CKD tampil hampir sama dengan model CBU. Ia lengkap dengan lampu utama LED automatik yang bersambung dengan gril, rim 18-inci jejari-Y dengan dua tona serta landasan bumbung warna perak. Perbezaan yang dapat dilihat hanyalah lampu belakang kini LED sepenuhnya, dalam kelebaran penuh — ditawarkan hanya untuk varian High.
Di dalam, model CKD datang dengan sistem bunyi Bose 12-pembesar suara sebagai standard. Ia juga dilengkapi dengan paparan instrumen digital 12.3-inci, mungkin hanya untuk versi High, (versi CBU datang dengan tuil analog dan paparan multi-info 4.2-inci), walaupun skrin sentuh intotainmen 12.3-inci terus ditawarkan untuk semua.
Selebihnya kelengkapan yang ada dijangka sama dengan model CBU. Ini termasuklah sistem tanpa kunci, butang Push Start, kerusi depan larasan kuasa lapan-hala, balutan kemasan kulit buatan, pengecas tanpa wayar Qi, sistem kamera 360-darjah, penghadap matahari manual untuk pintu gelungsur dan tingkap sisi belakang serta pintu gelungsur dan pintu barangan bebas kendalian tangan.
Bagi varian High pula, ia datang dengan dua sunroof, memori untuk kerusi pemandu dan liang udara dan pemanas untuk kerusi depan, dengan versi tujuh-tempat duduk lengkap dengan kerusi balutan kulit. Dari segi keselamatan, semua model diberikan tujuh beg-udara, kawalan kestabilan, peninjau titik buta, amaran lintasan trafik belakang dan pengingat kerusi belakang dengan sensor ultrasonik untuk mengesan penumpang di belakang.
Model High pula akhirnya turut menerima ciri keselamatan aktif Kia, Drive Wise, termasuk ciri AEB dengan pengesan lintasan trafik, kawalan melayar adaptif dengan Stop/Go, bantuan ke tengah lorong, bantuan mengekalkan lorong, penghindar titik buta dan perlanggaran lintasan trafik, lampu tinggi automatik dan amaran perhatian pemandu.
Sama seperti model CBU Carnival, model CKD terus menggunakan enjin 2.2 liter turbodiesel empat-silinder yang dipanggil Smartstream D2.2. Outputnya adalah 202 PS pada 3,800 rpm dan 441 Nm dari 1,750 hingga 2,750 rpm, dihantar ke roda depan melalui kotak gear automatik lapan-kelajuan.
Harley-Davidson (H-D) Nightster kini dilancarkan untuk pasaran Malaysia, pada harga RM93,900 tidak termasuk insurans dan cukai jalan. Ia adalah satu model evolusi daripada H-D Sportster, dan didatangkan dengan enjin yang lebih kecil.
Nightster dipacu oleh enjin v-twin Revolution Max baru H-D, dengan kapasiti 975 cc dan mampu menghasilkan kuasa sehingga 90 hp pada 7,500 rpm dan 95 Nm tork pada 5,000 rpm. Enjin v-twin 60 darjah ini datang dengan sistem penyejukan cecair, DOHC dan sistem pemasaan injap boleh ubah.
Motosikal ini dipegang atas jalan melalui suspensi yang terdiri daripada fork Showa Dual Bending Valve (DBV) di hadapan (tidak boleh dilaras), dan dua penyerap hentak di belakang dengan pelarasan pra beban. Brek menggunakan tetapan cakera tunggal 320 mm dengan angkup piston di hadapan, dan cakera 260 mm dengan angkup satu piston di belakang.
2022 Nightster Imagery
Untuk saiz tayar, Nightster dilengkapi dengan rim 19 inci di hadapan dan 16 inci di belakang. Ia tidak dipadankan dengan tayar sports, dan dibalut tayar 100/90 di hadapan dan 150/80 di belakang. Sistem kawalan cengkaman diberikan secara standard, bersama dengan ABS dan pengawal gelinciran roda belakang. Tiga mod tunggangan disediakan, iaitu Road, Sport dan Rain.
Semua lampu motosikal ini adalah LED, sementara untuk paparan informasi, ia menggunakan gabungan meter analog empat inci dengan panel digital LCD di hadapan penunggang. Tangki plastiknya boleh diisi dengan 11.7 liter bahan api, sementara berat keseluruhan pula adalah 218 kg.
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengumumkan siri nombor terkini dari Sarawak, ‘QM_L’ bakal dibuka bidaannya pada 9 Julai 2022. Seperti biasa, proses bidaan adalah menerusi platform dalam talian JPJ eBid.
Seperti bidaan siri nombor pendaftaran yang lain, QM_L boleh dibida dalam tempoh lima hari dan bakal berakhir pada jam 10 malam 13 Julai ini. Manakala keputusannya akan dikeluarkan pada keesokan harinya, 14 Julai 2022. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.
Dengan adanya platform bidaan secara dalam talian seperti JPJ eBid ini, pastinya proses untuk mendapatkan siri plat nombor yang diingini lebih mudah dan tidak lagi perlu menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.
Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) telah mendedahkan harga baharu bagi Xpander susulan berakhirnya cukai jualan dan perkhidmatan (SST) pada 30 Jun 2022. MPV tujuh-tempat duduk yang merupakan model pemasangan tempatan (CKD) ini, pertama kali diperkenalkan dengan harga tanpa SST, pada November 2020.
Walau bagaimana pun, pada April lalu, Xpander dilaporkan naik harga menjadi RM93,318 atas jalan tanpa insurans, tetapi masih dengan 100% pengecualian SST. Kini, dengan berakhirnya pengecualian SST itu, MPV tersebut mengalami kenaikan harga sebanyak RM3,482, kini berharga RM96,800.
Satu lagi model Mitsubishi yang masih berada di pasaran ialah barisan Triton, tetapi memandangkan ia tidak menerima sebarang manfaat dari pengecualian SST kerana trak pikap diklasifikasikan sebagai kenderaan komersil. Jadi, harga bagi barisan Triton masih dikekalkan seperti mana larasan yang dibuat pada April lalu, di mana varian single cab 2.5 Quest 4×2 MT dijual pada harga RM81,390.
Manakala bagi varian double cab pula, bermula dengan 2.4 VGT 4×4 MT (RM103,200), diikuti dengan 2.4 VGT 4×4 AT (RM107,990), 2.4 VGT Premium 4×4 MT (RM116,200), 2.4 VGT Premium 4×4 AT (RM126,900) dan akhir sekali 2.4 VGT Athlete 4×4 AT (RM146,600).
Perkhidmatan bas ekspres Rapid KL dari stesen LRT/MRT Pasar Seni dan stesen LRT KLCC diumumkan telah ditamatkan mulai hari ini, 4 Julai 2022. Perkara ini diumumkan sendiri oleh pengendali pengangkutan awam tersebut menerusi media sosial semalam.
Operasi bas ekspres percuma yang mula beroperasi pada pertengahan Jun lalu adalah bagi membantu mengurangkan kesesakan di stesen LRT pada waktu puncak petang. Seminggu selepas itu, ia diumumkan turut beroperasi pada waktu puncak pagi. Ia melibatkan laluan dari LRT/MRT Pasar Seni ke LRT Universiti di Kg Kerinchi/Bangsar South. Satu lagi laluan pula ialah dari LRT KLCC ke LRT Wangsa Maju.
Walau bagaimana pun, Rapid KL tidak memberikan alasan mengapa operasi bas ekspres waktu puncak ini ditamatkan. Mungkin ketika ia diperkenalkan adalah untuk mengurangkan muatan LRT pada waktu puncak, dan sekarang ini perkara tersebut barangkali telah dapat diatasi, justeru perkhidmatan bas terbabit tidak lagi diperlukan.
Ini adalah gambar teaser pertama trak pikap elektrik Geely RADAR baru. Ia disiarkan di Twitter, dan menunjukkan trak yang dibalut dengan pelekat camouflage biru. Dalam siri gambar ini, ia dibuat kelihatan seperti sedang digunakan oleh sekumpulan penunggang basikal, sekaligus memberi gambaran bahawa ia adalah sebuah produk gaya hidup/jelajah, dan bukannya kenderaan belasahan komersial.
Saiz trak pikap ini, apabila dibandingkan dengan basikal yang diletakkan di atasnya dan orang yang berada dekat dengannya, nampak seakan pikap kompak, seperti Toyota Hilux/Ford Ranger, dan bukannya sesuatu yang lebih besar seperti F150. Saiz ini juga dianggap sesuai untuk pasaran Malaysia.
Kita juga boleh melihat tulisan GEELY yang timbul pada penutup ruang barangan belakang, sekaligs memberitahu bahawa ia akan menggunakan jenama Geely, berbanding meletakkan RADAR sebagai jenama sendiri. Gambar paten untuk Geely RADAR juga sudah pernah terdedah Mei lalu, dengan menunjukkan bentuk yang konvensional dan lebih mudah diterima berbanding satu lagi trak pikap Geely, iaitu Forizon FX yang kelihatan seperti Proton X70 yang dipotong.
RADAR diberitahu akan dibina atas platform Sustainable Experience Architecture (SEA), menjadikan ia sebagai satu platform unibody, dan bukannya body on frame seperti kebanyakan trak pikap lain. SEA adalah satu platform fleksibel yang juga digunakan untuk SUV coupe Zeekr 001 dan SUV Smart #1.
Memandangkan Smart #1 akan datang ke Malaysia, mungkinkah trak pikap ini juga berada dalam perancangan Geely untuk pasaran Malaysia? Adakah anda berminat dengan pikap elektrik? Cuba bayangkan kalau ia diguna sebagai kenderaan sokongan dalam acara berbasikal. Tidaklah pengayuh terdedah kepada asap ekzos enjin pembakaran dalaman, kan?
Proton juga telah mengumumkan harga baharu bagi beberapa modelnya susulan berakhirnya pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) pada 30 Jun 2022. Buat masa ini, kami hanya mempunyai harga baharu bagi X70, Saga dan Exora, tapi kami akan mengemaskini artikel ini apabila menerima senarai terkini untuk lain-lain model, termasuk X50, Persona dan Iriz.
Bermula dengan model SUV pertama Proton, X70 yang baru saja menerima perubahan kecil yang pertamanya (MC) pada bulan lalu, dengan membawa bersamanya barisan varian yang diolah semula serta enjin 1.5 liter TGDi tiga-silinder dan perubahan kecil yang lain.
Pada mulanya, harganya bermula RM93,900 atas jalan tanpa insurans ketika “cuti SST”, tapi kini SUV terbabit bermula dengan nilai yang lebih tinggi sebanyak RM4,900 iaitu RM98,800 untuk varian asas Standard 2WD. Harganya meningkat untuk varian yang lebih tinggi, dengan Executive 2WD kini lebih mahal sebanyak RM5,300, sementara Executive AWD pula mengalami peningkatan harga sehingga RM5,500.
Begitu juga dengan 1.5 TGDi Premium 2WD yang kini dijual pada harga RM123,800 (+RM5,900), sementara varian tunggal dengan enjin 1.8 litre TGDi empat-silinder ataupun dinamakan sebagai Premium 2WD – naik harga sebanyak RM7,000, kini mencecah RM128,800.
Sementara itu, bagi Saga MC2, ia diumumkan mengalami kenaikan harga sebanyak RM500, kecuali model asas 1.3 Standard MT yang RM400 lebih tinggi, kini RM34,800. Untuk Exora RC pula, bagi varian 1.6T Executive CVT kini berharga RM59,800 (+RM2,500), manakala 1.6T Premium CVT pula RM66,800 (+RM2,000).
Pejabat Syerif Daerah Escambia di Florida, Amerika Syarikat telah pun mendedahkan sebuah kereta peronda baharu sebagai tambahan dalam flit mereka minggu lalu, iaitu sebuah kereta sport Chevrolet Corvette C7 Z06. Apa yang menarik, dengan bangganya jabatan polis tersebut menyebut bahawa perolehan kereta berkenaan dibuat “tanpa membabitkan sebarang duit pembayar cukai”.
Menurut pejabat syerif tersebut, Corvette ini sebenarnya adalah sebuah kereta yang dirampas dari suspek penjenayah, manakala kerja-kerja untuk membalut grafik badan dan tingkat taraf pada kereta berkenaan dibiayai oleh Yayasan Escambia County Sheriff.
Jabatan polis tersebut tidak menyatakan dari kes mana Corvette itu dirampas, namun menurut Carscoops dengan memetik laporan berita NorthEscambia.com, kereta ini sebenarnya telah dirampas dari “pengedar dadah tempatan”.
Secara spesifiknya, Corvette yang diubah menjadi kereta peronda polis ini adalah model C7 Z06 2016 (tetapi dalam video yang disiarkan oleh polis berkenaan menyebut ia model 2017), dijana enjin 6.2 liter V8 dengan supercharger menghasilkan 650 hp/880 Nm, digandingkan dengan kotak gear manual tujuh-kelajuan.
Susulan berita mengenai PHS Automotive Malaysia (PHSAM) yang kini merupakan pengedar sah untuk jenama Audi di Malaysia, turut diumumkan ialah harga terkini bagi Audi Q5 facelift untuk pasaran tempatan. Ia ditawarkan pada harga atas jalan RM486,223 tanpa insurans, dengan 10% cukai jualan, efektif Julai 2022.
Q5 ditawarkan dalam varian 2.0 TFSI dengan kemasan S Line yang lebih bergaya, didatangkan bersama enjin 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder sebaris yang mampu menghasilkan kuasa hingga 249 PS dari 5,000 hingga 6,000 rpm dan tork 370 Nm dari 1,600 hingga 4,500 rpm. Transmisinya menerusi kotak gear automatik dwi-klac S tronic tujuh-kelajuan, dan pacuannya di salurkan ke semua roda.
Ternyata kenaikan harganya agak jauh berbanding dengan RM390k yang diumumkan ketika ia tiba di pasaran Malaysia pada bulan Ogos tahun lalu. Ini kerana ia melibatkan beberapa peningkatan ciri kelengkapannya.
Klik untuk besarkan
Senarai kelengkapan bagi kemasan S Line ini termasuklah roda aloi potongan-berlian lima-jejari berkembar 19-inci yang dibaluti tayar bersaiz 235/55. Selain itu, kit luaran lain yang turut diberikan merangkumi pakej penggayaan berkilat, lampu utama LED dengan pencuci lampu utama. Untuk bahagian kabinnya pula, ia diberikan tempat duduk upholstery dengan balutan kulit Nappa, dan juga pakej pencahayaan ambien.
Selain itu, ia juga diberikan ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto, dan pemandu boleh melihat paparan informasi menerusi Audi Virtual Cockpit Plus. Bukan itu sahaja, ia turut didatangkan dengan pemilihan pemanduan Audi yang menawarkan lima mod, MMI navigation plus dengan MMI touch interface. Walau bagaimana pun, untuk varian ini, kini ia tidak lagi diberikan sistem Bang & Olufsen.
Untuk aspek keselamatan pada Q5 S Line 2.0 TFSI quattro, ia diberikan pra deria belakang Audi, dan asas pra deria, kawalan kelajuan adaptif, amaran ketibaan lorong, bantuan tukar lorong, bantuan parkir dengan kamera pandangan belakang. Ciri kemudahan lain termasuk tempat duduk hadapan larasan secara kuasa 12-hala dengan sokongan kedudukan belakang, serta kawalan suhu tiga-zone.
Audi Q5 S Line 2.0 TFSI quattro 2022 turut diberikan waranti lima-tahun, perbatuan tanpa had dengan bantuan tepi jalan dan pakej penyelenggaran tiga-tahun.
Satu kemalangan yang agak dahsyat berlaku di Lebuhraya Persekutuan pada kira-kira pukul 2 pagi tadi, dilaporkan oleh seorang pengguna Twitter bernama Ceddy. Kesan dari kemalangan tersebut menunjukkan sebuah Proton Wira yang musnah pada lorong sebelah kanan dan juga sebuah Honda City yang rosak teruk berada lorong sebelah kiri.
Hantaran berkenaan tidak menyatakan secara spesifik di mana kemalangan itu berlaku, namun bangunan yang dilihat berada pada sebelah kiri adalah Menara Celcom di Petaling Jaya, berhampiran dengan hotel Hilton PJ, arah Shah Alam.
Ceddy kemudiannya turut membuat hantaran balas mengatakan ada pengguna Twitter lain yang memberikan mesej kepadanya memberitahu bahawa Proton Wira berkenaan bergerak laju melawan arus, seterusnya bertembung dengan Honda City yang tidak bersalah tersebut.
Bad car crash on Federal Highway at 2AM! We didn’t slow down because we’ve never seen accidents before but because there are broken glasses on the road!!
Seorang lagi pengguna Twitter, Amrfz memberitahu bahawa dia berselisih dengan Proton Wira yang dipandu laju melawan arus berkenaan di kawasan stesen minyak Shell Batu 3, Shah Alam, manakala pengguna Twitter toxic apek pula menyatakan bahawa dia juga berselisih dengan Wira berkenaan dan terselamat dari bertembung apabila diberikan lampu tinggi sebagai amaran dari sebuah Perodua Myvi dari arah bertentangan.
Menurut laporan dari akhbar Sinar Harian yang baru sahaja dinaikkan sebentar tadi, kejadian berkenaan berlaku di kilometer 32.8 Lebuhraya Persekutuan menghala Klang, pada pukul 1.45 pagi. Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid mengesahkan pemandu Proton Wira berkenaan yang merupakan warga emas berumur 72 tahun telahpun meninggal dunia di tempat kejadian.
Mohamad Fakhrudin turut memberitahu bahawa kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987, dan beliau meminta orang ramai yang melihat atau berada di tempat kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor R Navalan di talian 014-2536820 bagi membantu siasatan.
Susulan video berdurasi 40 saat yang tular di media sosial memaparkan seorang lelaki menunggang motosikal dalam keadaan khayal kerana menghidu gam minggu lalu, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengeluarkan kenyataan bahawa pihaknya kini sedang memburu individu berkenaan.
Menurut Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof dalam laporan Kosmo pada 2 Julai lalu, menerusi rakaman tersebut hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku di Seremban, Kilometer 267 Lebuhraya Utara-Selatan menuju arah selatan, melibatkan sebuah motosikal jenis Yamaha FZ150 berwarna hitam tanpa nombor pendaftaran.
“Dalam rakaman tersebut juga turut memaparkan suspek yang menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar sedang memegang sambil menghidu bungkusan plastik di tangan kirinya, disyaki sedang melakukan perbuatan menghidu gam,” katanya.
Menurutnya lagi, sehingga kini suspek terlibat sedang giat dikesan dan dikenalpasti serta siasatan lanjut masih dijalankan.
“Mana-mana orang awam yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian ini, boleh menyalurkan maklumat tersebut ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban di talian 06-6033222 untuk tindakan lanjut oleh pihak polis,” katanya.
Seorang lelaki ditahan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana memodifikasi kereta menyerupai kenderaan rasmi PDRM. Kereta yang dimodifikasikan itu sebelum ini telah dipamerkan menerusi acara Art Of Speed (AOS) yang berlangsung Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) selama dua hari mulai semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah (IPD) Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof, kenderaan jenis Nissan Skyline R32 milik individu terbabit sebelum ini menjadi tular di laman media sosial kerana menyerupai kenderaan rasmi polis yang dipamerkan dalam acara tersebut, laporan Harian Metro.
“Siasatan yang dijalankan berdasarkan penularan video di media sosial itu kemudian membawa kepada penangkapan suspek yang merupakan pemilik sebuah kedai aksesori kereta berumur 45 tahun yang juga pemilik Nissan Skyline R32 terbabit.
“Tangkapan yang dijalankan kira-kira jam 10.30 malam itu turut merampas sebuah Nissan Skyline R32, satu rangkai kunci dan sekeping slip penyertaan pameran,” katanya.
Wan Kamarul turut berkata, siasatan lanjut berkaitan kes tersebut masih dijalankan dan disiasat di bawah Seksyen 89 Akta Polis 1967.
Selepas dua tahun tertangguh disebabkan pandemik, acara Art of Speed (AOS) kembali tahun ini dan sedang berlangsung di MAEPS, Serdang selama dua hari (2 dan 3 Julai). Selain pameran pelbagai kenderaan ubah suai, setiap kali penganjurannya, pengunjung juga berpeluang untuk memenangi hadiah cabutan bertuah yang menarik.
Antara hadiahnya sebelum ini adalah RXZ TwinBoss (Yamaha RXZ dengan dua enjin) dan Mizuki, sebuah Mini Cooper klasik dengan enjin motosikal Suzuki Hayabusa. Tahun ini pula, AOS membuat kelainan dengan menyediakan dua unit Vespa klasik yang diubah suai dengan penggerak elektrik.
Badan Vespa tersebut telah disiapkan lebih awal, dan kemudiannya ubah suai penggantian enjinnya pula dilakukan di tapak acara. Enjin pembakaran dalaman daripada Vespa tahun 70-an itu diganti dengan penggerak elektrik daripada Elders Garage, Indonesia.
Pakej ubah suai yang disediakan oleh Elders Garage ini boleh dipasang terus (plug n play) tanpa ubah suai pada bahagian kerangka, dan disebabkan tidak mengambil masa yang lama untuk siap. Ia terdiri daripada bateri lithium ion 72 V 24 Ah, motor 3 kW, lengan ayun khas, cakera brek dan pengawal Elettrico Square Wave 80a dengan sambungan Bluetooth kepada telefon bimbit.
Bateri yang digunakan boleh dicas dari kosong ke penuh dalam masa lima jam, dan ia mampu memacu Vespa tersebut sehingga kelajuan maksimum 80 km/j. Jarak gerak yang disediakan pula adalah 60 hingga 75 km, dalam mod Eco.
Anda sendiri boleh melihat Vespa ini di AOS 2022 dan mana tahu kalau bertuah, mungkin anda juga boleh membawanya pulang. Cabutan untuknya akan dilakukan pada hari Ahad jam lima petang.
Giliran Volvo pula mengumumkan harga baharu bagi kesemua modelnya yang masih berada di pasaran Malaysia. Harga baharu tersebut termasuk dengan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang sebelum ini diberikan pengecualian sejak Jun 2020 sehingga 30 Jun 2022.
Kesemua barisan model Volvo di sini adalah pemasangan tempatan (CKD), yang sebelum ini menerima manfaat 100% pengecualian SST. Kini harganya dilaporkan naik dan paling banyak berjumlah RM24,487.54, iaitu melibatkan model tunggal Recharge T8 Inscription Plus bagi S90 yang kini berharga RM368,888 atas jalan tanpa insurans.
Manakala kedua-dua varian XC90 pula lebih mahal selepas ‘cuti SST’, kini berharga RM412,888 (+RM24,288.30) bagi model mild hybrid B5 Inscription Plus, manakala varian plug-in hybrid Recharge T8 Inscription Plus pula kini ditawarkan pada RM428,888 (+RM24,112.73).
Untuk XC60 pula, varian B5 Momentum dan Recharge T8 Inscription Plus pula menyaksikan peningkatan harga masing-masing sebanyak RM21,832.17 dan RM22,106.52. Manakala SUV paling kecil dalam barisannya, XC40, diumumkan naik harga sebanyak RM16,177.18 untuk varian T5 AWD R-Design, dan kenaikan harga baggi Recharge T5 R-Design mencecah RM14,069.10, menjadi RM259,888.
Manakala varian P8 AWD atau versi Pure Electric untuk XC40 tiada lagi dalam pasaran tempatan kerana peruntukan unit untuk model tahun 2022 telah habis sepenuhnya. Dan bagi pelanggan yang berminat untuk mendapatkan model XC40 EV facelift 2023, harganya tidak dimaklumkan buat masa ini. Sebelum ini, ia dijual pada harga atas jalan RM262,459.75 tanpa insurans, termasuk pengecualian cukai jalan dan insentif EV (pengecualian cukai import dan duti eksais).
Bagi barisan 60 pula, varian S60 Recharge T8 R-Design kini dijual pada harga RM303,888, atau lebih RM18,692.01 berbanding harga sebelum ini dengan pengecualian SST. Untuk versi wagon V60 pula, harganya tidak jauh beza dengan abangnya sedan, dengan peningkatan sebanyak RM18,978.41 dan kini berharga RM305,888.