Satu bulan selepas teaser pertama untuk CR-V baru ditunjuk, Honda kini mendedahkan pula bahagian dalam SUV tersebut. Mereka juga telah mengesahkan bahawa model generasi keenam ini akan didedahkan sepenuhnya pada 12 Julai, dengan menawarkan lebih ruang serta “bahagian dalam premium, selesa dan berteknologi tinggi.”
Sekali pandang sahaja kita sudah boleh tahu CR-V ini menggunakan rekaan inspirasi daripada Civic, dengan papan pemuka yang kemas, roda stereng cabang tiga serta corong pendingin hawa yang terselindung. Ia juga menggunakan skrin infotainmen terkeluar di atas, tetapi kelihatan lebih besar berbanding unit sembilan inci pada Civic.
Konsol tengah juga sedikit lebih besar berbanding Civic, membenarkan tombol gear diletakkan sebelah butang mod pemanduan, Hill Descent Control serta brek parkir elektronik – semua ini diletakkan di bawah daripada papan pengecas Qi tanpa wayar.
Bahagian lain yang boleh dilihat melalui gambar ini adalah termasuk tempat duduk yang dibalut kulit dan mempunyai jahitan warna oren, kemasan warna perak bertekstur di panel pintu dan papan pemuka serta sistem bunyi Bose (boleh dilihat melalui lencana di bahagian tiang A).
Melalui teaser bahagian luar sebelum ini, kita boleh melihat CR-V baru mempunyai muncung hadapan yang kelihatan lebih tinggi dan ‘tegak’, lampu hadapan yang direka nipis dan tirus, gril hadapan yang lebih bersegi serta diberikan kemasan berbentuk-L pada kedua-dua sisi bampar hadapan.
Lampu belakangnya masih mempunyai bentuk L, tetapi rekaan baru yang diberikan membuatkan ia nampak seperti sebuah model dari Volvo. Model generasi keenam ini turut menerima perumah tip ekzos yang disekalikan pada bampar, berbeza dari model sebelum ini yang menampilkan tip sebenar diletakkan di bawah bampar.
Seperti yang kami sebut sebelum ini, hari ini secara rasmi tempahan untuk Perodua Alza 2022 telah pun dibuka. Selain dari harga tentatif yang telah pun terdedah sebelum ini, Perodua turut mengumumkan pelbagai perincian sebenar untuk MPV generasi baharu tersebut.
Perodua Alza D27A ini menerima enjin enjin 1.5 liter empat-silinder NA Dual VVT-i bersama kotak gear gear D-CVT automatik, yang dilihat sama seperti Perodua Myvi facelift 2022. Perodua masih belum mengumumkan sebarang angka kuasa, tetapi gandingan tersebut didakwa mampu mencapai penggunaan bahan api serendah 22.0 km/l, serta menerima pengiktirafan kenderaan cekap tenaga (EEV).
Bacaan bahan api tersebut adalah berdasarkan kitaran ujian MDC (Malaysian Driving Cycle), iaitu protokol ujian penggunaan bahan api tempatan yang dibangunkan berdasarkan keadaan dan situasi pemanduan di Malaysia. Sistem auto start-stop Eco Idle juga dibekalkan secara standard untuk semua varian.
Antara perincian lain yang dinyatakan dalam brosur yang disiarkan termasuk sistem brek parkir elektronik (EPB) dengan fungsi auto brake hold dan monitor pandangan panaromik 360-darjah (kedua-duanya pertama kali diperkenalkan untuk model Perodua), gril hadapan kemasan krom/hitam berkilat serta kabin tujuh-tempat duduk yang luas.
Seperti yang sudah disahkan sebelum ini, Alza 2022 ditawarkan dalam tiga varian berbeza iaitu X, H dan AV. Varian asas X datang standard dengan lampu hadapan LED bersama fungsi follow-me-home, cermin sisi larasan elektrik bersama lampu isyarat membelok LED (lipatan manual), tempat duduk fabrik dan juga brek belakang dram.
Berita baik, Alza generasi baharu ini bukan sahaja mempunyai corong penghembus pendingin hawa khas untuk kabin belakang, malah turut diberikan kawalan berasingan – digital untuk hadapan, dan manual untuk bahagian belakang.
Pakej sistem bantuan pemanduan keselamatan terkini Advanced Safety Assist (ASA) juga diberikan untuk varian asas X ini, memberikan fungsi seperti brek kecemasan automatik (AEB), amaran keluar lorong (LDW) dan pengelak keluar lorong (LDP), serta lampu hadapan automatik. Malah varian paling asas ini juga menerima enam beg udara termasuk beg udara tirai.
Untuk model pertengahan H pula, ia diberikan tiga mod pemanduan (Eco, Normal dan Power), lampu hadapan Adaptive Driving Beam LED bersama lampu isyarat membelok jenis sequential, cermin sisi auto-lipat, perehat tangan belakang, panel instrumen dengan paparan pelbagai info TFT 7.0-inci, serta unit pemain audio dengan skrin sesentuh 9.0-inci bersama kamera undur dan penderia parkir hadapan.
Manakala bagi varian tertinggi AV pula hadir dengan tempat duduk balutan separa kulit dua-tona serta kamera parkir 360-darjah. Sistem ASA untuk varian AV ini juga menerima penambahan fungsi seperti Adaptive Cruise Control (ACC), Kawalan Kekal Lorong (LKC), Pemantau Titik Buta (BSM) dan Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA).
Varian tertinggi ini juga merupakan satu-satunya varian yang menerima sistem brek parkir EPB dengan auto brake hold, yang menyaksikan ia menerima brek cakera untuk bahagian belakang.
Untuk konfigurasi tempat duduk, baris ketiga boleh dilipat dengan nisbah 50:50, manakala baris kedua pula boleh dilipat dengan nisbah 60:40 menggunakan butang satu-sentuhan dan mekanisma untuk menggelangsar. Kapasiti but belakang pula adalah 137 liter – jauh lebih besar dari Alza generasi sebelumnya yang hanya menyediakan ruang dengan kapasiti 83 liter. Dengan tempat duduk baris ketiga direbahkan, anda akan menerima ruang kapasiti sebesar 498 liter.
MPV baharu ini ditawarkan dalam lima warna badan berbeza, terdiri dari satu warna solid dan empat warna metalik. Satu-satunya warna solid iaitu Ivory White, bersama Glittering Silver dan warna baru Elegant Black ditawarkan untuk ketiga-tiga varian, manakala warna Garnet Red dan Vintage Brown hanya untuk varian H dan AV. Ia hadir dengan perlindungan waranti selama lima-tahun atau 150,000 km.
Untuk harga pula, varian asas Alza X akan dijual pada harga bermula RM62,000, diikuti varian pertengahan Alza X akan dijual pada harga RM68,000. Manakala varian tertinggi pula dijual pada harga RM75,000. Harga-harga yang dinyatakan ini adalah harga atas jalan tanpa insuran untuk Semenanjung Malaysia, namun ia masih diperingkat tentatif/anggaran. Harga sebenar bagi Perodua Alza 2022 ini hanya akan diumumkan pada pelancarannya bulan hadapan.
Seperti yang dijangka, dengan teknologi dan perincian yang jauh lebih canggih, Alza generasi baharu ini dijual pada harga lebih tinggi berbanding model generasi sebelumnya yang menampilkan harga bermula RM52,661 sehingga RM60,525 untuk versi automatik dan tidak sampai RM50k untuk model dengan transmisi manual.
Bagi mereka yang menempah Alza 2022 ini sebelum 1 Julai 2022, anda masih layak menerima pengecualian cukai SST selagi kereta tersebut diserahkan dan didaftarkan sebelum 31 Mac 2023, seperti yang diumumkan oleh kerajaan sebelum ini. Kami difahamkan juga bahawa pelanggan yang terawal menempah model ini akan menerima kereta mereka seawal hari pertama pelancarannya nanti, dan tempoh menunggu untuk model baharu ini adalah “satu hingga dua bulan, bergantung kepada varian dan warna yang ditempah.”
“Kami mengambil masa dalam merekabentuk model baharu ini kerana kami benar-benar ingin memahami kehendak para pelanggan kami, dan Perodua Alza Baharu disasarkan untuk memenuhi permintaan itu,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ Zainal Abidin Ahmad.
“Salah satu daripada permintaan mereka adalah pengalaman pemanduan yang lebih baik, dan untuk itu, kami telah menambahbaik Ground Clearance Perodua Alza Baharu kepada 160mm yang mana pada penilaian kami, ianya adalah ketinggian terbaik untuk pemanduan Malaysia yang menyenangkan untuk sebuah MPV.
“Perubahan model penuh ini mewakili usaha terbaik kami setakat ini dari segi penawaran produk kerana ciri yang disertakan adalah yang terbaik dalam kategori harganya,” tambahnya lagi.
Susulan dari laporan kami sebelum ini yang menyebut bahawa harga dan nama untuk MPV generasi baharu Perodua yang akan menggantikan Alza akan diumumkan pada 23 Jun – ini dia, maklumat berkenaan sudahpun kami terima.
Nampaknya D27A ini sah masih menggunakan nama Alza. Dalam satu lagi pekeliling dalaman yang telah dilihat oleh paultan.org, Perodua menyatakan bahawa nama Alza terus digunakan kerana “nama tersebut mempunyai pengaruh yang kuat dalam pasaran”.
Dan satu lagi maklumat yang pastinya ditunggu-tunggu iaitu harga; harga tentatif untuk tiga varian yang telah disebut sebelum ini iaitu varian asas 1.5L X CVT (kod varian BP5XZ), varian pertengahan 1.5L H CVT (BP5HZ) dan varian tertinggi 1.5L AV CVT (BP5VZ) adalah seperti berikut:
1.5L X CVT – RM62,000
1.5L H CVT – RM68,000
1.5L AV CVT – RM75,000
Angka-angka yang dinyatakan ini adalah harga anggaran atas jalan tanpa insuran (untuk Semenanjung Malaysia), namun untuk harga sebenar masih perlu ditunggu ketika pelancarannya nanti. Pekeliling tersebut turut menyatakan bahawa untuk pelanggan yang menempah MPV ini sebelum 1 Julai, mereka masih layak untuk menerima insentif pengecualian SST sekiranya kereta yang diterima dan didaftarkan sebelum 31 Mac 2023, seperti yang disebut oleh kementerian kewangan tempoh hari.
Kemaskini: Perodua sudah pun mengeluarkan beberapa perincian rasmi untuk Perodua Alza 2022 ini, dan anda boleh bacanya pada PAUTAN INI.
Tempahan untuk Perodua Alza 2022 ini juga akan dibuka secara rasmi hari ini. Kami difahamkan bahawa pelanggan terawal yang menempah MPV ini akan menerima kereta mereka pada hari ia dilancarkan nanti, dan tempoh menunggu untuk model baharu ini adalah “satu hingga dua bulan, bergantung kepada varian dan warna yang ditempah.”
Perodua Alza 2022 ini dihasilkan dari platform Daihatsu New Global Achitecture (DNGA) yang jauh lebih canggih dari model generasi sebelumnya serta merupakan kembar kepada Toyota Avanza/Daihatsu Xenia yang telah pun dilancarkan di Indonesia pada November tahun lalu.
Lampu hadapan juga dilihat lebih bersegi berbanding Avanza dan Xenia, bersama gril yang direka juga seiras seperti Ativa. Manakala di belakang, lampu utamanya dilihat mirip lampu pada Avanza, dengan grafik berbentuk-L serta klusternya dihubung oleh perincian kemasan dengan logo Perodua di tengah.
Di Indonesia, Avanza dan Xenia menerima enjin 2NR-VE 1.5 liter empat-silinder NA Dual VVT-i bersama kotak gear gear D-CVT, yang dilihat sama seperti Perodua Myvi facelift 2022. Namun berbeza dengan Myvi yang menghasilkan 102 PS/138 Nm, enjin sama untuk versi MPV ini menerima talaan yang membolehkan ia menjana 106 PS ada takat 6,000 rpm dan tork maksima 138 Nm pada takat 4,200 rpm. Perodua Alza dijangka turut akan menerima perincian mekanikal yang sama seperti Avanza dan Xenia.
Seperti yang didedahkan dalam nama varian, Alza generasi baharu ini tidak lagi ditawarkan dalam transmisi manual. Manakala untuk transmisi automatik, ia menerima kotak gear D-CVT sama seperti Perodua Ativa dan Myvi, serta Toyota Avanza dan Daihatsu Xenia pasaran Indonesia.
MPV baharu ini juga dilihat akan ditawarkan dalam lima warna badan berbeza, terdiri dari satu warna solid dan empat warna metalik. Satu-satunya warna solid iaitu Ivory White, bersama Glittering Silver dan warna baru Elegant Black ditawarkan untuk ketiga-tiga varian, manakala warna Garnet Red dan Vintage Brown hanya untuk varian H dan AV.
Selepas menjual 18,901 buah kenderaan pada bulan Mei 2022, Perodua kini telah melebihi jumlah 100k untuk tahun ini, dengan catatan keseluruhan 106,179 unit bagi lima bulan pertama 2022. Jumlah ini adalah 10% lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun lepas.
Daripada jumlah ini, Myvi – diperbaharui tahun lepas lepas – menjadi model paling laris dengan 31,689 unit berjaya didaftarkan dari Januari ke Mei 2022, dan seterusnya diikuti oleh Axia dengan catatan 24,024 unit dan Bezza 23,336 unit.
Sebagai makluman, Perodua sebelum ini menyatakan bahawa sasaran jualan mereka bagi tahun ini adalah 247,800 unit, iaitu 30.2% lebih tinggi berbanding 190,291 unit yang berjaya diserahkan kepada pelanggan pada tahun 2021 dan 12.6% lebih tinggi berbanding catatan 220,163 unit pada tahun 2020.
Teaser model serba baharu pengganti Alza
Masih ada tujuh bulan untuk Perodua mencapai sasaran ini, dan ia akan dibantu dengan pelancaran model Alza serba baharu tidak lama lagi. MPV yang sekarang ini menggunakan nama kod D27A itu telah ditunjuk dalam teaser, dan diberitahu akan menggunakan nama baru, sementara harganya pula akan didedah pada 23 Jun ini.
Walaupun sudah diketahui semakin hampir, pelancarannya masih bergantung kepada bekalan alat ganti, dan menurut presiden serta CEO Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad, antara masalah yang memberi kesan kepada pembekal automotif tempatan sekarang adalah impak berlarutan daripada Covid-19, serta kekurangan komponen dan tenaga kerja.
“Isu ini sekarang sedang diatasi dengan Perodua serta pembekal kami sedang mencari penyelesaiannya dan pemanjangan pendaftaran yang dibuat dapat memberikan kami ruang untuk mengatasi masalah tersebut,” kata beliau dengan merujuk kepada keputusan kerajaan untuk membenarkan pendaftaran kenderaan bebas SST sehingga 31 Mac 2023.
Nampak gayanya harga petrol RON 97 kian meningkat, dan untuk minggu bertarikh 23 hingga 29 Jun 2022, ia diumumkan naik sebanyak 1 sen seliter, kini menjadi RM4.84 seliter berbanding RM4.83 seliter pada minggu sebelum ini.
Harga baharu yang diumumkan ini efektif mulai 12 tengahmalam ini sehingga Rabu hadapan 29 Jun 2022.
Walau bagaimana pun, harga bagi petrol RON 95 yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan sejak lebih setahun yang lalu iaitu pada paras RM2.05 seliter.
Begitu juga dengan diesel Euro B10/B20 yang masih dikekalkan pada harga RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.
Kementerian Kewangan berkata, kerajaan juga akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.
Selain GLC 300e Coupe plug-in hybrid, turut diperkenalkan oleh Mercedes-Benz Malaysia hari ini ialah versi kemaskini bagi Mercedes-AMG GLB35, yang hadir dengan pertambahan kelengkapan serta melibatkan penambahan harga berbanding model sebelumnya.
Perbezaan harnya sekitar RM30,000, menjadikan harga baru bagi model berkenaan RM392,582 atas jalan tanpa insuran, termasuk pengecualian cukai SST hingga 30 Jun ini. Selepas itu, SUV ini akan dijual pada harga RM405,888 dengan SST bagi tempahan yang dibuat selepas 1 Julai nanti. Setiap pembelian datang dengan jaminan empat tahun, tanpa had perbatuan.
Kelengkapan baru yang ditambah pula antaranya sistem kamera 360-darjah (sebelum ini hanya ada kamera undur) dan butang AMG baru pada stereng AMG Performance balutan kulit. Ini membolehkan pemandu menukar mod pemanduan dan laraskan tetapan bagi penyerap hentak adaptif AMG Ride Control.
Ini juga melibatkan kawalan isyarat MBUX Interior Assistant, yang membolehkan Mercedes-Benz User Experience (MBUX) membezakan masukan sentuhan antara pemandu dan penumpang. GLB35 juga kini dilengkapi dengan pancaran logo AMG di luar, mencantikkan lagi pencahayaan aluan di sekitar kereta.
Kelengkapan yang lain kekal sama, seperti lampu utama Multibeam LED, rim 20-inci sepuluh-jejari warna hitam, landasan bumbung aluminium, sistem tanpa kunci, butang Push Start, kawalan pendingin dua zon dengan corong belakang, kerusi sport larasan elektrik dengan fungsi memori, kerusi balutan kulit buatan Artico dan mikro gentian Dinamica, kemasan gentian karbon tiruan, tali keledar merah, lampu suasana 64-warna, bantuan parkir dan pintu ruangan belakang bebas kendalian tangan.
Untuk sistem hiburan, GLB35 diberikan paparan instrumen dan infotainmen berkembar 10.25-inci, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto dengan 10 pembesar suara serta sistem bunyi 225-watt (tiada lagi sistem Burmester). Dari sudut keselamatan, ia datang dengan AEB, bantuan mengekalkan lorong, peninjau titik buta dan amaran bukaan pintu.
GLB35 terus menggunakan enjin 2.0 liter turbocas empat-silinder, menghasilkan 306 PS dari 5,800 hingga 6,100 rpm dan 400 Nm tork antara 3,000 hingga 4,000 rpm. Ini dipadankan dengan transmisi klac berkembar AMG Speedshift DCT lapan-kelajuan dan sistem pacuan semua roda AMG Performance 4Matic, menjadikannya boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 5.2 saat.
Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib telah meminta kerajaan Malaysia menaikkan sedikit harga petrol RON 95 dan bukannya menghapuskan subsidi bahan api sepenuhnya.
Menerusi kenyataan yang dimuatnaik di Facebook, ahli parlimen Pekan itu mencadangkan bahawa kenaikan sedikit harga petrol RON 95, bersama-sama dengan kutipan duti eksport daripada minyak sawit dan pemansuhan subsidi ayam dan telur, dapat menyaksikan penjimatan dan hasil yang boleh disalurkan kepada kumpulan pendapatan B40 dan M40.
“Adalah tidak wajar untuk menghapuskan sepenuhnya subsidi minyak sekarang dengan kadar inflasi global yang tinggi pada masa ini. Bagaimanapun, jangan sentuh harga diesel pada masa inflasi masih tinggi seperti yang dikaitkan dengan kos pengeluaran (dan) pengangkutan yang akhirnya boleh memberi lebih tekanan kepada kadar inflasi,” kata Najib.
Katanya lagi, penjimatan subsidi 10 sen atau 20 sen itu boleh disalurkan untuk diberi sebagai bantuan tunai kos sara hidup bagi golongan B40 dan T40 setiap tiga bulan selagi kadar inflasi masih tinggi.
“Orang T20 tak kisah dan tak terkesan jika harga makanan tinggi tapi ia merupakan tekanan yang besar bagi golongan B40 dan sebahagian besar golongan M40. Sudah tentu pemberian bantuan tunai kos sara hidup setiap tiga bulan akan melegakan tekanan kos makanan bagi golongan B40 dan M40,” katanya lagi sambil menambah cadangan-cadangan ini berdasarkan kepercayaan beliau bahawa subsidi pukal sekarang hanya menguntungkan golongan kaya.
Sambungnya, “Penurunan 65% jualan RON97 juga merupakan bukti bahawa bahagian besar orang kaya dan orang yang berkemampuan telah bertukar minyak ke RON95 untuk menikmati subsidi kerajaan. Ibarat orang kaya ambil makanan dari food bank.”
Buat masa ini, kerajaan memberi subsidi sekitar RM2.50 bagi setiap satu liter RON95 yang dijual pada harga RM2.05. Bermaksud jika seorang dari golongan T20 mengisi 50 liter minyak RON95 bagi kereta mewahnya, kerajaan sebenarnya memberi subsidi sebanyak RM125 setiap kali golongan T20 isi minyak, ujar Najib.
“Sekiranya orang kaya ini isi minyak tiga kali sebulan bermaksud kerajaan memberi bantuan RM4,500 setahun bagi orang kaya, lagi tinggi berbanding BR1M kepada B40 dan M40 (sepanjang pemerintahan Najib),” jelasnya lagi.
Mercedes-Benz Malaysia dan Hap Seng Star hari ini melancarkan lokasi baru bagi Mercedes-Benz Autohaus di Setia Alam, lengkap dengan penampilan jenama mewah yang baru serta butik gaya hidup mewah. Hap Seng Star Setia Alam kini membawakan pengalaman berbeza kepada pelanggan dalam usaha untuk memberi keutamaan dan melayani dengan servis terbaik.
Presiden dan CEO Mercedes-Benz Malaysia, Sagree Sardien: “Pelancaran Hap Seng Star Setia Alam merupakan bukti komitmen kami untuk memberi erti baru kepada pengalaman jenama mewah untuk pelanggan di Malaysia. Menjadi matlamat kami untuk bekerjasama dengan rakan pengedar dan terus mengembangkan konsep runcit mewah jenama ini yang akan mempertingkat penawaran terhadap pengalaman pelanggan bagi aspek jualan dan servis bagi memenuhi keperluan pelanggan yang juga semakin berkembang.”
COO Kumpulan Hap Seng Consolidated Berhad, Harald Behrend pula menyifatkan: “Setia Alam adalah kawasan perbandarang yang pesat berkembang, dan kami ingin berada di mana pelanggan kami berada. Dengan cawangan dilokasi baru ini, kami ingin pelanggan untuk mengalami sendiri nilai kemewahan melalui penampilan kami yang terbaru ini. Ia lengkap dengan pelbagai ciri dan kemudahan. Dengan kesungguhan kami terhadap kecemerlangan, kami akan terus menetapkan tahap baru khidmat pelanggan bagi jenama ini.”
Hap Seng Setia Alam diuruskan oleh 29 orang petugas, dengan keluasan kawasan sekitar 79,000 kaki persegi dengan bagunan tujuh tingkat. Lantai bilik pameran pula seluas 11,526 kaki persegi dengan 16 kereta boleh dipamerkan serta menampilkan kemudahan baru seperti kafe layan diri, bilik mainan kanak-kanak dan bilik hias mewah wanita. Pengalaman gaya hidup ini termasuklah juga jualan aksesori mewah dan koleksi butik Mercedes-Benz untuk menepati selera pelbagai golongan pelanggan.
Hap Seng Star juga menambah kapasiti perkhidmatan untuk pelanggan di premis baru ini, melalui ruang kerja 29,549 kaki persegi dan kapasiti servis yang dimaksimumkan untuk menampung 1,500 kereta sebulan. Servis berjadual dan baik pulih major akan dilakukan oleh juruteknik terlatih dengan peralatan yang diiktiraf oleh Mercedes-Benz.
Antara perkhidmatan yang disediakan adalah Express Service 2.0, datang ambil dan penghantaran, tempahan servis drop-and-go, jajaran dan imbangan tayar, diagnosis dan baik pulih elektrikal, cat badan, filem penapis haba serta insuran dan tuntutan jaminan.
Hap Seng Group melabur sebanyak RM673 juta setakat ini, termasuk RM99 juta pelaburan untuk Setia Alam Autohaus ini. Syarikat itu mengendalikan Autohaus di 10 lokasi, termasuk Kuala Lumpur, Kinrara, Balakong, Jalan Ipoh, Bukit Tinggi, Setia Alam, Melaka dan Iskandar Johor di Semenanjung. Di Malaysia timur, Hap Seng diwakili di Kuching dan Kota Kinabalu. Hap Seng Group juga mengendalikan Mercedes-
Benz Certified Pre-owned Centre di Kinrara dan pusat mengecat di Shah Alam.
Tahun ini, sayap prestasi untuk BMW iaitu BMW M meraikan ulangtahun ke-50 mereka. Sebagai hadiah kepada peminat dan pengikutnya, BMW M menghasilkan model yang mungkin selama ini hanya hadir dalam mimpi – ini dia, buat pertama kali M3 hadir dengan bentuk badan wagon, dikenali sebagai BMW M3 Touring!
Wagon dengan kod G81 ini berkongsi unit rangkaian kuasa yang sama dengan versi sedan M3 dan coupe M4, iaitu enjin S58 3.0 liter enam silinder turbo berkembar – ia hanya hadir dalam versi paling berkuasa Competition, menghasilkan 510 PS pada takat 6,250 rpm dan tork maksima 650 Nm bermula 2,750 hingga 5,500 rpm.
Tiada pilihan kotak gear manual untuk wagon ini, di mana kuasa hanya dialirkan menerusi transmisi lapan kelajuan automatik. Juga M3 wagon ini tidak ditawarkan dalam versi pacuan belakang sepenuhnya, dan ia secara mandatori diberikan sistem pacuan semua roda M xDrive.
Walau bagaimanapun, sistem pacuan semua roda berkenaan masih diberikan mod pacuan roda belakang sepenuhnya, bersama unit locking differential pada gandar belakang jika anda mahu lakukan aksi drift. Gabungan sistem mekanikal ini membolehkan wagon M3 tersebut memecut dari 0-100 km/j dalam masa 3.6 saat (hanya 0.1 lebih lambat dari versi sedan dan coupe) serta mampu mencapai kelajuan 200 km/j dalam masa hanya 12.9 saat.
Wagon ini mampu mencapai kelajuan maksima yang dihadkan secara elektronik pada 250 km/j, dan sekiranya anda memilih pakej M Driver, ia mampu mencecah kelajuan maksima 280 km/j, hanya 10 km/j lebih rendah berbanding M3 sedan dan M4 Coupe.
Casis wagon ini juga ditala semula bagi memastikan badan yang lebih berat dan besar mampu beraksi sebaik versi sedan dan coupe. Struktur badan model ini diperkuatkan dengan memadankan lantai istimewa serta pendakap tambahan pada bahagian but bagi mengekalkan ketegaran torsi, serta diberikan penyerap hentak belakang yang dipertingkat. Penyerap hentak jenis adaptif serta stereng dengan nisbah bervariasi masih ditawarkan secara standard.
Perincian prestasi lain adalah serupa dengan M3 dan M4, termasuk traction control 10-peringkat yang bersepadu dengan ECU, sistem brake-by-wire, cakera brek M Compound serta set rim aloi forged yang menampilkan saiz 19-inci di hadapan dan 20-inci di belakang. Pelanggan turut ditawarkan dengan opsyen brek karbon seramik serta tayar khas untuk litar.
Selain dari bumbungnya yang lebih panjang, bahagian luar M3 Touring ini juga menerima penggayaan yang sama seperti M3 dan M4. Ini termasuk bahagian muka yang menampilkan gril hadapan yang tinggi, lampu hadapan trapezoid, liang udara pada penutup bonet, fender lebih lebar yang turut dilengkapi liang udara dan pelbagai lagi.
Ia juga menerima diffuser belakang bersaiz besar yang turut menempatkan empat tip ekzos berbentuk-oval, dan spoiler bumbung pada bahagian atas pintu tailgate ini turut menerima Gurney Flap pada penghujung sayap. Namun ia tidak diberikan bumbung gentian karbon seperti M3 sedan dan M4, tetapi bumbung berkenaan masih dicat dengan warna hitam secara standard (opsyen untuk warna badan).
Kabin M3 Touring ini juga seiras dengan saudara sedannya, menampilkan perincian seperti roda stereng M (dengan butang M1 dan M2), tombol gear unik dengan suis tetapan Drivelogic, butang penghidup enjin berwarna merah, tempat duduk M Sport serta pilihan tempat duduk bucket M Carbon.
Ia juga menerima paparan instrumen digital BMW Curved Display 12.3-inci dan juga skrin sesentuh sistem infotainmen bersaiz 14.9-inci, yang beroperasi bersama BMW Operating System 8.
Dengan bentuk badan wagon sudah tentu ia turut menampilkan praktikaliti lebih baik berbanding sedan. M3 Touring ini menerima ruang but berkapasiti 500 liter, dan ia boleh dibesarkan lagi sehingga 1,510 liter sekiranya tempat duduk belakang dilipat (nisbah lipatan 40:20:40).
BMW M3 Touring G81 2022 ini telah disahkan sebagai wagon paling pantas di Nürburgring minggu lalu, dengan mencatatkan masa 7 minit 35.06 saat di litar ‘The Green Hell’ tersebut, atau sekitar 10 saat lebih pantas berbanding Mercedes-AMG C63S Estate W205.
Model ini menyasarkan pasaran Jerman dan United Kingdom sebagai pasaran paling besar, tetapi ia turut akan dijual pada pasaran Switzerland, Belgium, Australia, New Zealand, Korea Selatan dan Jepun. Tempahannya akan dibuka bermula bulan September nanti, manakala produksinya akan bermula pada November.
Bagi memastikan pelanggannya yang menempah kereta sebelum 30 Jun 2022 menerima dan mendaftar kereta baharu masing-masing sebelum 1 April 2023 untuk menikmati insentif pengecualian cukai dari kerajaan, Proton mengumumkan mereka akan berhenti mengambil tempahan sekiranya model tertentu telah mencapai had keupayaan pengeluarannya, lapor Berita Harian.
“Langkah itu dilaksanakan pengeluar kereta nasional bagi membolehkan pelanggannya menerima model yang dimahukan seterusnya menikmati insentif pengecualian cukai jualan,” kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah kepada akhbar berkenaan.
Roslan menyatakan bahawa secara umumnya tempoh menunggu bagi model Proton adalah sekitar dua bulan bagi model X70, Persona, Iriz, Exora dan Saga tertakluk kepada pilihan warna dan varian “Bagi Proton X50 pula, ia akan mengambil masa lebih kurang 6 bulan dan juga tertakluk kepada pilihan warna dan varian,” katanya lagi.
Menurut beliau lagi, pembeli yang layak untuk mendapat manfaat pengecualian cukai ini adalah mereka yang membuat tempahan dengan membayar deposit antara RM500 hingga RM1,000 (bergantung pada model) di pusat jualan yang dilantik atau cawangan Proton.
“Bagi syarikat menjual kenderaan, pelanggan yang telah membayar yuran tempahan akan terus layak untuk memasuki ‘queue’ bagi membeli kereta baru. Bagaimanapun, transaksi membeli kereta adalah tertakluk kepada terma dan syarat, terutama sekali kelulusan pinjaman bank dan oleh itu, bukan semua tempahan bakal menjadi jualan.
“Justeru, bagi pembeli yang ingin menikmati insentif pengecualian cukai, tempahan perlu dibuat sebelum 1 Julai 2022 manakala pendaftaran kenderaan perlulah dilakukan sebelum 1 April 2023,” katanya.
Walau bagaimanapun, untuk mereka yang telah membuat tempahan kereta sebelum 30 Jun masih lagi layak untuk menerima insentif pengecualian cukai tersebut sekiranya kereta berkenaan diterima dan didaftarkan di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebelum 31 Mac 2023.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan tempoh hari turut menyebut bahawa sejumlah 264,000 unit kenderaan yang ditempah di dalam tempoh pengecualian tersebut masih belum siap proses pemasangan di kilang dan tidak dapat diserahkan kepada pembeli.
Tempoh pengecualian SST berkenaan telah pun disambung semula sebanyak tiga kali sebelum ini sejak ia diperkenalkan buat pertama kali pada 5 Jun 2020. Ia sepatutnya tamat pada 31 Disember 2020, namun ia dilanjutkan sehingga ke Jun 2021. Ia kemudiannya dilanjutkan lagi hingga ke Disember 2021, dan pada pembentangan Bajet 2022 ia kemudiannya sekali lagi diumum dilanjutkan sehingga ke 30 Jun 2022.
Malaguti, satu jenama dari Itali yang sudah wujud hampir 100 tahun kini menembusi pasaran Asia Tenggara dengan melancarkan model pertama mereka, skuter Madison 150 di Thailand. Ia dijual pada harga 79,800 baht (RM9,899), sekaligus meletakkannya lebih murah berbanding pesaing lebih ternama seperti Yamaha Aerox 155, NMax 155 dan Honda PCX 160.
Dengan jenama Itali yang dibawanya, Madison 150 menawarkan rekaan yang menarik, bersama semua lampu jenis LED. Ia dipacu oleh enjin satu silinder penyejukan cecair 149.3 cc dengan sistem suntikan bahan api dan dipadankan bersama transmisi jenis CVT. Kuasa maksimum tidak didedah, tetapi jika melihat Madison 125 di Eropah, ia mampu menghasilkan 11 Nm tork pada 6,500 rpm.
Kelengkapan yang disediakan juga adalah serba moden, dengan sistem kunci pintar bersama penggera, meter digital LCD serta pengecas USB. Tempat duduk mendapat jahitan kontras warna merah sementara di bawahnya terdapat ruang untuk meletak barangan.
Rim skuter ini menggunakan unit 14 inci, dibalut tayar 100/80 di hadapan dan 120/70 di belakang, dan kemudiannya dipegang oleh fork teleskopik di hadapan serta dua penyerap hentak di belakang. Brek menggunakan sistem cakera di depan dan belakang, dan ia dilengkapi dengan sistem CBS (bukan ABS).
Berat keseluruhan Madison 150 adalah 142 kg, dan perincian lainnya adalah termasuk tinggi tempat duduk 755 mm, tangki bahan api 10 liter serta penghadang angin hadapan tanpa pelarasan. Di Thailand, skuter ini ditawarkan dalam empat warna iaitu merah, hijau gelap, putih dan merah.
Minggu lalu, Rapid KL telah memperkenalkan perkhidmatan bas ekspres baharu dari dari Stesen LRT/ MRT Pasar Seni ke Stesen LRT Universiti atau dari Stesen LRT KLCC ke Stesen LRT Wangsa Maju, sebagai mengurangkan kesesakan di stesen LRT pada waktu puncak.
Bas percuma itu akan membawa penumpang ke stesen LRT Universiti di kawasan Kg Kerinchi/Bangsar South dan dari Stesen LRT KLCC ke Stesen LRT Wangsa Maju, pada hari Isnin-Jumaat dari jam 4.30 petang hingga 7.30 malam.
Walau bagaimana pun, pengendali pengangkutan awam ini telah memperluaskan perkhidmatan bas ekspres secara percuma ini untuk waktu puncak pagi. Bermula hari ini (22 Jun) bus SH02 menggunakan laluan yang sama pada waktu puncak petang dari LRT/MRT Pasar Seni ke LRT Universiti. Manakala bas SH03 pula akan membawa penumpang dari Pasar Seni ke stesen LRT KLCC.
Klik untuk besarkan
Bas yang bergerak pada waktu puncak pagi akan berada di Pintu B di stesen MRT Pasar Seni dan kekerapannya selama 15 minit, bergantung pada keadaan trafik. Waktu operasi pada waktu pagi adalah dari jam 7.30 pagi hingga 9.30 pagi.
Pada minggu lalu juga, Perdana Menteri telah mengumumkan tambang percuma selama sebulan untuk rangkaian pengangkutan awam Rapid KL termasuk MRT, LRT, KL Monorel, Sunway BRT dan bas. Malahan tren KTM Komuter di sekitar Lembah Klang juga tidak mengenakan tambang dalam tempoh yang sama mulai 16 Jun 2022.
Siri teaser BMW G310RR yang disiarkan untuk pengenalannya di India diteruskan lagi dan kali ini menampakkan beberapa bahagian dengan lebih jelas termasuk panel belakang serta bahagian kokpit motosikal sports permulaan tersebut.
Seperti yang dijangka, motosikal dengan fairing penuh ini sah mendapat panel meter TFT 5.0 inci yang terletak menegak sama seperti TVS Apache RR 310. Sudah tentu, paparan di dalamnya diubah, dan apabila kunci dihidupkan ia memaparkan tulisan “BMW Motorrad” dan tema mereka “Make Life A Ride.”
Jika melihat kepada model yang digunakan sebagai asas untuk G310RR ini, iaitu TVS Apache RR 310, meter berwarna penuh tersebut bukan sahaja memberi paparan yang menarik, malah boleh disambung kepada telefon pintar, dan memaparkan pelbagai informasi serta fungsi termasuk data tunggangan, tarikan G, analisis corak tunggangan serta pelbagai lagi.
Bahagian lain yang boleh kita lihat melalui video teaser pendek ini adalah seperti fork yang berwarna hitam (Apache menggunakan warna emas) dan tidak mempunyai sebarang pelarasan, kerangka warna merah, anak kunci mengikut bentuk sendiri BMW (berbeza dengan Apache) serta kedudukan pemegang yang sama seperti Apache.
Spesifikasi teknikal dua model ini juga dijangka tidak berbeza, dan jika melihat kepada TVS Apache 310 RR, ia dipacu oleh enjin empat strok satu silinder penyejukan cecair 312.2 cc, bersama padanan kotak gear enam kelajuan untuk menghasilkan 34 PS pada 9,700 rpm dan 27.2 Nm tork pada 7,700 rpm. Motosikal ini juga datang dengan empat mod tunggangan iaitu Rain, Urban, Sport dan Track.
Tiada pelarasan untuk bahagian suspensi, dan ia melibatkan fork USD di hadapan dan monoshock dengan tabung gas di belakang. Rim bersaiz 17 inci dan dibalut tayar 110/70 di hadapan dan 150/60 di belakang. Kedua-dua bahagian hadapan dan belakang mendapat brek cakera, dan dilengkapi dengan ABS yang mempunyai dua mod. Berat keseluruhan Apache 310 RR adalah 174 kg, dan ia datang dengan tangki bahan api berkapasiti 11 liter.
Perodua menyambut baik Pengumuman Kementerian Kewangan (MoF) baru-baru ini yang membenarkan pelanggan menikmati pengecualian cukai jualan selagi kenderaan mereka ditempah sebelum 30 Jun 2022.
Pada 20 Jun lalu, MoF menyatakan, pengguna yang telah membuat tempahan sebelum 30 Jun 2022 boleh menikmati inisiatif pengecualian cukai jualan selagi kenderaan mereka didaftarkan dalam sistem Jabatan Pengangkutan Jalan pada atau sebelum 31 Mac 2023.
“Kami amat berterima kasih kepada kerajaan atas pengumuman ini kerana ia memberi ruang kepada industri dan pasaran untuk memenuhi permintaan para pengguna dan pada masa yang sama memberi masa kepada kami untuk mengatasi pelbagai isu sedia ada,” kata Presiden dan CEO Perodua Dato’ Zainal Abidin Ahmad.
Tambah beliau, antara isu yang masih memberi kesan kepada industri automotif tempatan termaksuklah impak Covid-19, kekurangan komponen dan kekurangan tenaga kerja.
“Isu-isu ini masih lagi ditangani yang mana Perodua dan pembekal kami sedang mencari jalan penyelesaian yang bersesuaian dan lanjutan masa untuk mendaftarkan kenderan yang ditempah memberi kami ruang yang amat diperlukan untuk mengatasi isu-isu tersebut.
“Buat masa ini, kami cuba memenuhi pesanan tertunggak yang masih tinggi dan kami amat menghargai para pelanggan kami di atas kesabaran mereka. Sehingga kini, kami telah mendaftarkan 106,179 kenderaan antara Januari dan Mei tahun ini, iaitu 10% lebih daripada 96,281 unit yang didaftarkan dalam tempoh yang sama tahun lepas,” kata Dato’ Zainal.
Daripada jumlah 106,179 tersebut, Myvi merupakan model paling laris dengan 31,689 unit didaftarkan, diikuti dengan Axia sebanyak 24,024 unit dan 23,336 unit bagi Bezza.
Mercedes-Benz Malaysia (MBM) hari ini memperkenalkan dua SUV crossover pemasangan tempatan (CKD) terbaru untuk pasaran tempatan, Mercedes-Benz GLC300e Coupe 4MATIC dan juga Mercedes-AMG GLB 35 4MATIC yang kini diberikan pertambahan kelengkapan.
Bagi Mercedes-Benz GLC300e 4MATIC Coupe yang menggabungkan praktikaliti sebuah SUV dengan rekaan coupe empat-pintu yang lebih sporty. Model ini dijual pada harga RM374,073.67, dan harga berkenaan sah sehingga tamat tempoh pengecualian cukai SST pada 30 Jun 2022.
Sebagai varian tunggal terbaru, GLC 300 e 4MATIC Coupé memanfaatkan enjin 2.0 liter turbocas petrol dengan sebuah motor elektrik yang menghasilkan kuasa gabungan sebanyak 320PS/700Nm. Model ini boleh dikendalikan dalam mod elektrik sepenuhnya dengan jarak 40 km dengan gaya pemanduan sewajarnya.
Antara ciri penting model ini ialah radiator gril bentuk berlian yang bersekali dengan logo Mercedes-Benz. Lampu utama pula menggunakan Multibeam LED yang turut menampilkan ciri Bantuan Lampu Tinggi Adaptif. Versi ini menampilkan penggayaan dan spesifikasi AMG Line dan Night Package, yang antara lain terdiri daripada rim 20-inci AMG lima-jejari berkembar dengan cakera brek yang lebih besar di depan.
Ruang dalaman hadir dengan papan pemuka dengan penampilan yang moden, lengkap dengan kemasan kayu hitam di konsol tengah yang digandingkan dengan perincian aluminium — kemasan dan gaya khas untuk AMG Line. Tidak lupa, pencahayaan suasana yang menyerlah untuk kabinnya. Stereng pula dalam balutan kulit Nappa, manakala kemasan pintu dengan kulit buatan Artico.
Ciri touchpad multifungsi memudahkan lagi operasi kenderaan pada model ini, disampin paparan instrumen yang digital sepenuhnya menampilkan sistem infotainmen Mercedes-Benz User Experience (MBUX).
Dari sudut keselamatan, GLC 300 e 4MATIC Coupé turut dilengkapi ciri Active Lane Keeping Assist, yang membantu pemandu untuk kekal dalam lorong yang sepatutnya ketika membelok. Ia juga menampilkan Blind Spot Assist dan Active Brake Assist untuk membantu pemandu.
Model ini juga ada datang dengan Parking Package dengan kamera 360-darjah dengan penglihatan sekeliling yang baik dan kualiti imej paparan yang baik. Tidak lupa ciri Active Parking Assist
dengan Parktronic, pelindungan kenderaan Urban Guard serta sistem penggera anti-kecurian yang boleh dilihat dari aplikasi Mercedes me di telefon.
Untuk pengecasan, GLC 300 e 4MATIC Coupé datang dengan kabel pengecas untuk domestik sebagai standard. Kabel berkenaan, yang dipanggil kabel Mode 2, membolehkan baterinya dicas melalui soket domestik hingga 1.8 kW (230 V, 1-phase, 8 A) dan sesuai digunakan untuk soket jenis G BS 1363.