Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Hyundai Veloster ditamatkan produksi mulai Julai 2022; berakhir riwayatnya selama 11 tahun – laporan

    Hyundai Veloster ditamatkan produksi mulai Julai 2022; berakhir riwayatnya selama 11 tahun – laporan

    Menurut laporan Hankyung dari Korea Selatan, Hyundai merancang untuk menamatkan produksi bagi model Veloster pada bulan hadapan, dengan model tahun 2022 yang terakhir dikeluarkan di kilang Ulsan.

    Jika benar, Veloster tiga-pintu ini akan digugurkan dari sebahagian barisan Hyundai selepas 1 11 tahun dikeluarkan. Veloster generasi pertama mula diperkenalkan pada tahun 2011 dalam acara North American International Auto Show (NAIAS) yang berlangsung di Detroit. Sementara generasi kedua pula diperkenalkan pada tahun 2018.

    Baru-baru ini, dilaporkan barisan Veloster untuk Amerika Syarikat hanya ditawarkan dengan versi tertinggi N sahaja, manakala varian biasa digugurkan keseluruhannya.

    Prestasi jualan yang tidak memberangsangkan menjadi salah satu penyebab mengapa pengeluaran Veloster tidak diteruskan, dan ada laporan turut menyebut Hyundai mahu menumpukan jumlah produksi bagi Kona generasi akan datang, yang akan dikeluarkan di fasiliti Ulsan. Model masa kini Kona ditawarkan dengan varian N, dan permintaannya melebihi Veloster.

    Malahan ada juga laporan menyatakan, pembeli lebih senang memilih model Elantra N (juga dikenali sebagai Avante N) yang lebih praktikal dan lebih “normal” berbanding Veloster N yang terjual sekitar 90 unit di Korea Selatan antara Januari-April tahun ini, manakala sedan terbabit pula laris sebanyak 1,624 unit dalam tempoh yang sama. Sementara itu, jualan bagi peringkat global untuk Veloster N pula sebanyak 1,214 unit, berbanding 2,087 unit untuk Elantra N.

    Disebabkan permintaan yang ‘menyedihkan’ itu, Hyundai mungkin boleh menggunakan kos pengeluaran yang diperuntukan untuk Veloster untuk pembangunan dan pengeluaran model lain yang lebih menguntungkan. Satu lagi model yang mungkin berdepan dengan penamatan pengeluaran ialah Ioniq (bukan versi EV) yang akan dihentikan produksinya pada bulan hadapan.

     
     
  • Lori besar diharamkan masuk ke KL, parkir tepi jalan akan dihapus pada waktu puncak untuk elak sesak

    Lori besar diharamkan masuk ke KL, parkir tepi jalan akan dihapus pada waktu puncak untuk elak sesak

    Kementerian Wilayah Persekutuan menerusi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengumumkan bahawa lori-lori bersaiz besar kini diharamkan untuk masuk ke Kuala Lumpur ketika waktu puncak berkuatkuasa serta merta. Pengharaman yang melibatkan lori-lori dengan berat melebihi 7.5 tan tersebut telah dimuktamadkan oleh jawatankuasa khas yang diwujudkan untuk mencari penyelesaian bagi mengurangkan kesesakan jalan raya di bandaraya berkenaan.

    Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Jalaluddin Alias menegaskan bahawa mana-mana kenderaan berat yang dikesan memasuki Kuala Lumpur pada waktu puncak akan diambil tindakan di bawah Seksyen 79 Akta Pengangkutan Jalan 1987 oleh polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

    “Mereka yang melanggar larangan ini akan dikenakan kompaun mandatori dan kami akan mengambil pendirian untuk bertegas dengan tidak mempertimbangkan sebarang rayuan yang mungkin mereka kemukakan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat pertama jawatankuasa khas itu semalam, lapor Bernama.

    Selain dari langkah pengharaman ini, jawatankuasa itu juga telah memutuskan untuk menghentikan parkir tepi pada waktu puncak dan akan menghapuskan tempat letak kenderaan awam di jalan-jalan utama secara berperingkat-peringkat. “Kami juga melarang peniaga daripada menjalankan perniagaan di atas turapan pada waktu puncak dan akan menghentikan secara berperingkat tempat berniaga di atas turapan jalan utama,” tambah timbalan menteri itu.

    Jawatankuasa itu menjelaskan bahawa masalah kesesakan yang dihadapi oleh bandaraya tersebut adalah disebabkan peningkatan 45 peratus dalam jumlah kenderaan di jalan raya selepas perintah kawalan pergerakan dilonggarkan pada Ogos tahun lepas, dengan 46.76 juta dicatatkan pada Disember 2021 berbanding 26.51 juta pada Disember 2019.

     
     
  • Kerajaan luluskan cadangan bina jalan pintas sebagai laluan alternatif Terowong Menora – Menteri KKR

    Kerajaan luluskan cadangan bina jalan pintas sebagai laluan alternatif Terowong Menora – Menteri KKR

    Memandangkan banyak kemalangan jalan raya berlaku berhampiran dengan Terowong Menora di Lebuhraya Utara Selatan, kerajaan secara prinsipnya, sudah meluluskan cadangan membina jalan pintas sebagai laluan alternatif kepada kenderaan supaya tidak melalui terowong terbabit, ujar Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof.

    Walau bagaimana pun, menteri terbabit menyatakan, pihak syarikat dicadangkan perlu mematuhi semua syarat yang ditetapkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), laporan Bernama.

    “Memang cadangan sebenarnya sudah dibentangkan kepada kementerian, kita ada bawa ke kabinet dan secara prinsipnya sudah diluluskan. Apabila diluluskan secara prinsip, pihak syarikat perlu mematuhi semua prasyarat yang diletakkan oleh LLM dan juga kerajaan,” katanya.

    Tambah beliau, syarat yang ditetapkan termasuk antaranya kajian alam sekitar, impak sosial dan trafik sebelum projek dapat boleh dilaksanakan.

    Kerajaan luluskan cadangan bina jalan pintas sebagai laluan alternatif Terowong Menora – Menteri KKR

    “Bagi memastikan projek ini ‘viable’ (boleh) dilaksanakan, perlu melihat bagaimana kos projek itu dan berapa tol yang dikenakan nanti untuk membayar balik hutang operasi dan sebagainya. Sama ada projek ini boleh dilaksanakan atau tidak akan hanya dimuktamadkan apabila semua kajian itu selesai dan dibentangkan, sekarang ini kita sedang menunggu proses ini,” katanya.

    Pada pertengahan Mei lalu, kerajaan Perak bersetuju dengan cadangan membina jalan pintas berhampiran Terowong Menora sebagai laluan alternatif, selain mengurangkan risiko kemalangan jalan raya.

    Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, cadangan membina laluan pintas sejauh 64 Kilometer (km) bermula dari susur keluar Gopeng melalui Seputih sebelum keluar di Kuala Kangsar itu sudah diluluskan Kabinet pada bulan April lalu.

     
     
  • myTukar Auto Fair 2022 Puchong South dari 1-3 Julai — tawaran menarik, perjalanan ke Sydney percuma!

    myTukar Auto Fair 2022 Puchong South dari 1-3 Julai — tawaran menarik, perjalanan ke Sydney percuma!

    Berikutan kejayaan acara myTukar Auto Fair 2022 hujung minggu lalu di Plentong, Johor, kini tiba masanya untuk acara berkenaan diadakan di Lembah Klang pula. Edisi berikutnya bagi myTukar Auto Fair 2022 akan berlangsung di myTukar Retail Experience Centre di Puchong South, dari 1 hingga 3 Julai nanti.

    Jika anda sedang mencari kenderaan, anda boleh memilih daripada lebih 1,000 kenderaan dengan myTukar Certified, dari model keluaran Jepun hinggalah ke buatan Eropah serta segmen kenderan premium, semuanya akan ada di acara berkenaan. Ini adalah pengalaman baru untuk pelanggan, yang mana mereka boleh hadir dan terus memilih kereta idaman yang tersedia.

    Seperti biasa, setiap pembelian adalah bebas masalah. Ini kerana kenderaan yang disahkan oleh myTukar telah menjalani memeriksaan 160-poin untuk memastikan tidak ada yang mengubah jarak perbatuannya, serta kereta itu bebas daripada sebarang kemalangan teruk atau kerosakan akibat banjir.

    Selain itu, semua kenderaan dengan myTukar Certified telah diberikan baik pulih menyeluruh untuk memastikan keadaanya seperti baru. Setiap kereta ada rekod sejarah yang jelas, diperiksa setiap aspeknya termasuk bahagian enjin — tiada ada satu pun yang abaikan untuk memastikan kualiti pemanduan, dan tanpa sebarang kemalangan teruk atau pernah terlibat dalam banjir. Pemeriksaan 160-darjah termasuklah enjin, stereng, brek dan suspensi, transmisi dan klac, luaran dan dalaman, serta yang terakhir bawah badan dan bawah hud.

    myTukar Auto Fair 2022 Puchong South dari 1-3 Julai — tawaran menarik, perjalanan ke Sydney percuma!

    myTukar mempunyai pusat baik pulih canggih miliknya sendiri untuk melakukan kerja yang berkaitan terhadap kenderaan. Semua aspek luaran dan dalaman kenderaan, termasuk ciri elektroniknya, akan melalui baik pulih atau diperkemas mengikut standard “myTukar Certified Pre-Owned”. Baik pulih dilakukan di bawah pematuhan piawaian ketat kerana myTukar sentiasa mengutamakan keselamatan pelanggan.

    Sebagai tambahan, setiap pembelian myTukar disertakan sekali dengan lanjutan jaminan selama setahun dan dua servis percuma, tawaran yang jarang diberikan untuk kereta terpakai. Dan, sekiranya anda berdepan sebarang masalah atau bertukar fikiran tentang kenderaan yang dibeli, anda hanya perlu pulangkannya tanpa sebarang pertanyaan diajukan kepada anda — melalui polisi jaminan pulangan wang lima-hari yang diberikan.

    Urusan pembelian kenderaan menjadi sangat mudah kerana myTukar Experience Centres merupakan pusat sehenti yang memastikan perjalanan anda untuk membeli kenderaan berlangsung dengan mudah dan tidak rumit. Semua urusan dari pemeriksaan Puspakom, pendaftaran JPJ, permohonan pinjaman hinggalah kepada insuran, semuanya diuruskan oleh syarikat ini.

    Ingin trade-in kereta lama? Tentulah boleh; nilai maksimum dan tawaran trade-in menarik boleh ditentukan terus oleh petugas berpengalaman di acara ini nanti.

    Jika anda membeli kenderaan di acara ini nanti, ganjaran sehingga RM800,000 juga menanti! Pembeli berpeluang untuk memenangi perjalanan ke Sydney, Australia dengan semua kos ditanggung. Anda juga akan menerima tawaran istimewa, seperti kadar faedah pinjaman serendah 1.88% untuk 150 tempahan pertama serta peluang untuk memenangi baucar dengan nilai sehingga RM1,000 melalui promosi Spin & Win.

    myTukar Auto Fair 2022 Puchong South dari 1-3 Julai — tawaran menarik, perjalanan ke Sydney percuma!

    Tidak lupa juga ada hadiah bernilai RM12,000 untuk cabutan bertuah eksklusif untuk dimenangi. Ini termasuklah iPhone 13, sebuah iPad, sebuah konsol Playstation, SmarTV Android, pembersih hampagas Xiomi Mi Robot serta pam air Karcher dan mesin kopi Nescafe Dolce Gusto.

    Trak makanan turut akan berada di lokasi, jadi pengunjung boleh menikmati makanan dan minuman pilihan mereka dengan mudah. Prosedur penghindaran Covid-19 juga perlu diamalkan — pelitup muka adalah wajib sepanjang masa, tetapi penjarakan fizikal tidak lagi wajib. Kru acara akan kerap membersihkan keseluruhan lokasi serta permukaan yang kerap disentuh seperti kereta dan kemudahan umum untuk memastikan keselamatan terjamin.

    myTukar Retail Experience Centre di Puchong South terletak di tepi LDP (Lot 14225, KM 3.8) sebelum plaza tol Puchong Barat, jika anda datang dari IOI Mall dan Bandar Puteri. Sebelum tol, di sebelah kiri anda. Kotak oren misteri yang dilihat di myTukar Plentong juga akan berada di beberapa kawasan seluruh negara, imbas untuk tahu lebih lanjut!

    Maklumat lanjut boleh didapati melalui laman web rasmi myTukar, atau layari pilihan luas kenderaan yang ada ketika ini di inventori myTukar dan lihat tawaran yang diberikan. Datanglah ke myTukar Auto Fair at the myTukar Retail Experience Centre – Puchong South dari 1-3 Julai nanti, 9.30 pagi hingga 9 malam setiap hari.

    Anda juga boleh menghubungi saluran berikut:

    Telefon : 03-7890 4499
    WhatsApp : +6018-2249999
    Emel: [email protected]

    myTukar Retail Experience Centre – Puchong South
    Lot 14225, KM 3.8,
    Lebuhraya Damansara–Puchong,
    47100 Puchong, Selangor.

     
     
  • Honda Malaysia panggil semula City, City Hatchback, HR-V dan BR-V; MY2020-2022, hanya 1,527-unit terlibat

    Honda Malaysia panggil semula City, City Hatchback, HR-V dan BR-V; MY2020-2022, hanya 1,527-unit  terlibat

    Honda Malaysia baru sahaja mengeluarkan kenyataan untuk memanggil semula sejumlah 1,527 unit kenderaan yang telah dijual kepada pelanggan, merangkumi model City, City Hatchback, HR-V dan BR-V MY2020 hingga MY2022. Unit-unit tersebut dipanggil semula kerana dua masalah yang berbeza.

    Kumpulan pertama melibatkan sejumlah 1,068 unit Honda City MY2021 dan City Hatchback MY2022. Masalah pada kenderaan dalam kumpulan ini adalah melibatkan nat terminal pada unit alternator (alternating current generator atau ACG) yang tidak diikat mengikut spesifikasi tork yang ditetapkan.

    Honda Malaysia akan membuat pemeriksaan dan mengetatkan semula nat terminal kesemua kenderaan yang dipanggil semula ini. Sekiranya nat tersebut longgar, ia akan menyebabkan sambungan yang tidak elok terhadap pendawaian dan mungkin bateri tidak dapat dicas semula sebaiknya, menyebabkan kereta akan kehilangan kuasa elektrik seterusnya enjin mungkin mati ketika dipandu dan tidak dapat dihidupkan semula.

    Honda Malaysia panggil semula City, City Hatchback, HR-V dan BR-V; MY2020-2022, hanya 1,527-unit  terlibat

    Manakala kumpulan kedua yang terdiri dari sejumlah 343-unit HR-V MY2020 dan 116-unit BR-V MY201, panggilan semula ini akan melibatkan pemeriksaan semula terhadap bolt wayar bumi yang mungkin tidak diikat dengan ketat. Sama seperti masalah pada City tadi, bolt wayar bumi yang longgar mungkin akan menyebabkan bateri tidak dapat dicas semula dengan baik, seterusnya enjin mungkin akan mati ketika dipandu serta tidak boleh dihidupkan kembali.

    “Honda Malaysia memohon maaf atas kesulitan yang dialami oleh pelanggan yang terjejas dan memberi jaminan bahawa semua model semasa yang sedang diproduksi dan dijual tidak terjejas dalam panggilan semula produk ini. Sehingga hari ini, tiada insiden kemalangan atau kecederaan yang disebabkan oleh isu ini dilaporkan di Malaysia,” tulis Honda Malaysia dalam kenyataan yang dikeluarkan.

    Syarikat tersebut turut menambah bahawa panggilan semula ini perlu dilakukan kerana keselamatan pelanggan adalah keutamaannya. “Honda Malaysia akan terus mengekalkan ketelusan dan kawalan ketat untuk pelanggan,” tambah kenyataan itu lagi.

    Semua pelanggan terjejas akan dimaklumkan melalui surat, yang akan disertakan sekali butiran berkenaan panggilan semula berkenaan. Honda Malaysia turut menggesa semua pelanggan yang terjejas untuk menghubungi mana-mana pengedar sah Honda untuk membuat temu janji setelah menerima surat berkenaan, agar kenderaan mereka dapat diperiksa dan dibaiki jika perlu, tertakluk kepada ketersediaan alat ganti.

    Pemeriksaan, pembaikan dan penggantian bahagian yang terjejas adalah percuma dan semua kos berkaitan aktiviti panggilan semula ini akan ditanggung sepenuhnya oleh Honda Malaysia. Jika tidak pasti sama ada kereta Honda anda terlibat atau tidak dalam panggilan semula ini, anda boleh hubungi Honda Malaysia menerusi talian bebas tol 1-800-88-2020.

     
     
  • Hyundai Ioniq 6 – EV ditunjuk melalui lukisan konsep

    Hyundai Ioniq 6 – EV ditunjuk melalui lukisan konsep

    Minggu lepas Hyundai telah mengeluarkan satu teaser untuk Ioniq 6, tetapi sedikit pun ia tidak menunjukkan bentuk kenderaan tersebut. Kini, satu lagi teaser dikeluarkan, dan sekurang-kurangnya, kita boleh mendapat gambaran bagaimana bentuk asasnya.

    Walaupun begitu, sebenarnya model yang digunakan untuk pembangunan sudah pun pernah dilihat membuat ujian atas jalan raya, dan ia menampakkan badan yang lebih bersedia untuk produksi, berbanding model konsep Prophecy yang ditunjukkan pada tahun 2020 dan menjadi inspirasi kepada rekaan Ioniq 6 ini.

    Daripada dua teaser ini kita boleh mengetahui Hyundai mengambil pendekatan berbeza untuk Ioniq 6, dengan menggunakan garis yang lebih licin dan beralun, berbanding garis-garis tajam pada Ioniq 5.


    Spyshot Hyundai Ioniq 6

    Selain daripada itu, kita juga sudah mengetahui bahawa Ioniq 6 akan menggunakan platform khas EV E-GMP seperti yang digunakan untuk Ioniq 5, Kia EV6 dan Genesis GV60. Ini juga bermakna bahawa ia boleh menerima pengecasan pantas DC dengan kadar sehingga 350 kW. Pada model yang disebutkan tadi, bateri boleh dicas dari 5% ke 80% dalam masa cuma 18 minit menggunakan kadar DC paling tinggi.

    Tetapan penggerak untuk Ioniq 6 juga dijangka sama seperti Ioniq 5, dengan terdiri daripada pilihan satu motor elektrik dan dua motor elektrik, menyediakan pacuan RWD atau AWD. Melalui kapasiti bateri 77.6 kWh yang paling besar, ia boleh digunakan untuk jarak perjalanan sehingga 482 km.

     
     
  • Toyota Crown 2023 – lukisan paten terdedah, kini crossover fastback, bakal muncul pada 15 Julai ini

    Toyota Crown 2023 – lukisan paten terdedah, kini crossover fastback, bakal muncul pada 15 Julai ini

    Sejak sekian lama, kita kenal Toyota Crown sebagai sedan dengan saiz yang lebih besar dari Toyota Camry, bersama perincian lebih premium dan mewah. Namun untuk model generasi selepas ini, ada laporan mengatakan bahawa Crown akan diubah menjadi sebuah SUV. Nampaknya dakwaan tersebut bukan khabar angin – lukisan paten untuk Crown generasi ke-16 sudah pun tertiris, dan ia adalah crossover fastback!

    Menurut Best Car Web, Crown generasi baharu ini dihasilkan dengan dimensi panjang 4,930 mm, lebar 1,840 mm, tinggi 1,540 mm serta jarak roda sejauh 2,850 mm. Jadi berbanding model sedan generasi sedia ada, crossover Crown ini adalah 20 mm lebih panjang, 40 mm lebih lebar dan 80 mm lebih tinggi, tetapi jarak rodanya adalah 70 mm lebih dekat.

    Model ini diasaskan dari platform TNGA-K, sama seperti beberapa SUV lain seperti Harrier, RAV4 dan juga Lexus RX terkini. Laman berkenaan turut menyatakan bahawa crossover Crown ini akan menerima unit rangkaian kuasa hibrid elektrik dengan enjin 2.5 liter empat-silinder bersama kotak gear CVT, serta pilihan 2.4 liter turbo empat-silinder juga dengan hibrid elektrik bersama kotak gear enam-kelajuan automatik.

    Pilihan unit rangkaian kuasa ini turut menerima sistem pacuan semua roda, dan dilihat sama seperti apa yang ditawarkan pada Lexus RX. Jadi bagi model dengan enjin 2.5 liter, ia seharusnya menerima enjin A25A-FXS bersama sistem hibrid selari berkuasa 249 PS dan tork maksima 316 Nm, bersama sistem pacuan semua roda E-Four.

    Toyota Crown 2023 – lukisan paten terdedah, kini crossover fastback, bakal muncul pada 15 Julai ini

    Manakala model 2.4 liter turbo pula, ia sepatutnya dijana oleh enjin T24A-FTS bersama sistem hibrid selari, bersama motor elektrik pada gandar belakang menghasilkan kuasa keseluruhan 373 hp dan tork maksima 550 Nm, sama seperti Lexus RX 500h.

    Model dengan unit rangkaian kuasa plug-in hybrid juga dilaporkan akan ditawarkan selepas itu, menerusi enjin 2.5 liter dengan pilihan pacuan 2WD dan 4WD. Konfigurasi ini telahpun ditawarkan pada Lexus RX450h+ dengan enjin petrol menghasilkan kuasa 185 PS/227 Nm, manakala motor elektrik hadapan membekalkan kuasa 182 PS dan motor elektrik belakang memberikan 54 PS, menjadikan kuasa keseluruhan adalah 309 PS.

    Laporan ini turut menyebut bahawa Toyota Crown crossover ini akan didedahkan di Jepun pada 15 Julai ini, dan ia akan ditawarkan dalam empat varian kemasan, termasuk varian tertinggi RS yang dihasilkan lebih fokus untuk pemanduan. Ia dijangka bakal dilengkapi dengan sistem Toyota Safety Sense versi terbaharu, dan dijangka akan dijual pada harga sekitar tujuh juta yen (RM228,074).

     
     
  • Tempahan kereta dijangka naik sebelum pengecualian SST tamat, dengan pendaftaran hingga 31 Mac 2023

    Tempahan kereta dijangka naik sebelum pengecualian SST tamat, dengan pendaftaran hingga 31 Mac 2023

    Bilik pameran kenderaan akan jadi sibuk hingga hujung bulan nanti, dengan jangkaan berlakunya lonjakan terhadap tempahan kenderaan susulan pengumuman yang dibuat oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz semalam berkaitan status pengecualian SST selepas ini.

    Beliau berkata, pengecualian SST tidak akan dilanjutkan lagi dan akan berakhir seperti yang dijadualkan kali terakhir, iaitu pada 30 Jun ini. Bagaimanapun, kerajaan memberikan kelonggaran pengecualian itu bagi semua kenderaan yang ditempah sebelum 1 Julai dan didaftarkan sebelum 31 Mac 2023.

    Untuk itu, lonjakan tempahan adalah dijangkakan menjelang hujung bulan ini. Dan walaupun ini akan menyebabkan angka jualan bagi Jun meningkat, ia mungkin juga akan memberi kesan bagi jualan untuk baki tempoh sepanjang tahun ini, lapor The Star.

    Tempahan kereta dijangka naik sebelum pengecualian SST tamat, dengan pendaftaran hingga 31 Mac 2023

    Seorang penganalisa yang diwawancara penerbitan itu menyatakan ada kemungkinan berlakunya “lonjakan tempahan dalam tempoh 10 hari akan datang”, memandangkan bakal pembeli yang ingin mengambil kesempatan tempoh terhad yang berbaki ini sebelum pengecualian cukai ditamatkan. “Kesan utamanya termasuk ledakan jumlah tempahan sepanjang Jun, yang menyumbang kepada pembelian awal bagi tempoh separuh kedua 2022,” ujar beliau.

    Sentimen ini dikongsikan oleh seorang pemerhati industri, yang memberi amaran bahawa pengakhiran pengecualian SST kali ini akan memberi kesan yang sama seperti pengecualian cukai yang dilaksanakan pada 2018. “Ketika kerajaan menarik kembali kepada sifar GST bagi tiga bulan dalam 2018, ia memberi kesan peningkatan permintaan terhadap kenderaan. Selepas tempoh itu berakhir, jualan kenderaan terkesan untuk satu tempoh masa sebelum kembali pulih,” ujarnya.

    Sementara itu, Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad berkata lanjutan masa itu akan membantu syarikat melangsaikan tempahan yang tertangguh. “Harapnya gangguan bekalan cip dan komponen dapat diatasi menjelang tempoh itu,” ujarnya.

    Tempahan kereta dijangka naik sebelum pengecualian SST tamat, dengan pendaftaran hingga 31 Mac 2023

    Beliau menyatakan persatuan itu berterima kasih kepada kementerian kewangan yang memberi lanjutan kepada pengecualian SST bagi kenderaan yang dijual itu hingga Mac tahun depan. “Kami mempunyai tempahan yang tertunggak, jadi lanjutan hingga Mac 2023 bagi kenderaan baru yang didaftarkan yang ditempah sebelum 30 Jun 2022 adalah sangat membantu bagi pelanggan yang perlu menunggu lama,” jelasnya, dan berpendapat langkah itu juga akan mengelak pelanggan daripada membatalkan tempahan. Beliau juga berkongsi pendapat yang sama, bahawa tempahan dan jualan akan kembali perlahan selepas 30 Jun nanti.

    Pengecualian SST pertama kali diumumkan pada 5 Jun 2020 sebagai sebahagian daripada pakej pemankin Penjana untuk mengendalikan kesan Perintah Kawalan Pergerakan yang pertama sejak Mac tahun itu. Sepatutnya tamat pada 31 Disember 2020, ia dilanjutkan hingga 30 Jun 2021, dan sekali lagi kepada 31 Disember 2021. Lanjutan ketiga adalah yang dinikmati ketika ini, bakal berakhir 30 Jun 2022.

     
     
  • Kerajaan mahu laksana tukar hak milik sementara untuk pengedar kereta terpakai, lindungi penjual

    Kerajaan mahu laksana tukar hak milik sementara untuk pengedar kereta terpakai, lindungi penjual

    Apabila menjual kenderaan sendiri, biasanya kita mahu semua perkara dibuat secara betul dan tiada kena mengena dengannya lagi selepas itu. Buat pemeriksaan Puspakom, tukar nama dan cetak geran baru di JPJ, terima duit daripada pembeli, serahkan kereta dan selesai. Tapi apabila kita jual kepada pengedar kenderaan terpakai, ia tidak sebegitu.

    Prosedur sekarang di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 hanya membenarkan pertukaran hak milik kekal daripada penjual kepada pembeli, tanpa termasuk pengedar kenderaan terpakai. Jadi, apabila anda menyerahkan kereta kepada pengedar kenderaan terpakai, ia mungkin masih lagi di atas nama anda.

    Iini bukan sesuatu yang kita mahukan kerana kita tidak tahu kereta itu digunakan untuk apa dan sepatutnya tanggungjawab untuknya bukan lagi pada kita. Hanya apabila pengedar kenderaan terpakai itu dapat menjual kenderaan anda, barulah hak miliknya akan ditukar.

    Kerajaan mahu laksana tukar hak milik sementara untuk pengedar kereta terpakai, lindungi penjual

    Pada tahun 2011, satu langkah pengurusan diambil untuk membenarkan pemilik kenderaan menjual dan memindahkan hak milik kenderaan tersebut kepada pengedar kenderaan terpakai buat sementara waktu, dan ia hanya akan menjadi kekal selepas satu tempoh masa spesifik, iaitu setelah sekian lama kenderaan itu tidak terjual oleh pengedar kenderaan terpakai tersebut.

    Sekarang, kerajaan mahu menjadikan keadaan ini lebih jelas dengan meletakkan Pertukaran Hak Milik Kenderaan (Sementara) di dalam undang-undang. Cadangan pindaan kepada Akta Pengangkutan Jalan 1987 ini menurut menteri pengangkutan dapat melindungi kepentingan pemilik apabila mereka menjual kenderaan kepada pengedar kenderaan terpakai dan memastikan penukaran hak milik dilakukan dengan betul.

    “Ia juga membenarkan pengedar kenderaan terpakai untuk menukar hak milik kenderaan buat sementara, sambil mereka mencari pembeli baru dan melindungi hak pengguna,” kata beliau minggu lepas. Kabinet telah meluluskan usul kementerian pengangkutan untuk pindaan ini dan ia akan dibentangkan di dalam parlimen tahun ini.

     
     
  • PLUS umum lencongan jalan susur keluar Juru pada 21 Jun-29 Julai 2022 untuk naik taraf sistem perparitan

    PLUS umum lencongan jalan susur keluar Juru pada 21 Jun-29 Julai 2022 untuk naik taraf sistem perparitan

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah mengumumkan pengaktifan lencongan trafik dari jalan susur keluar ke arah Juru-Bukit Mertajam di Persimpangan Bertingkat Juru (arah selatan) untuk semua kenderaan mulai hari ini, 21 Jun 2022 sehingga jam 11 malam, 29 Julai 2022.

    Lencongan trafik ini adalah untuk kerja-kerja naik taraf kapasiti sistem perparitan sedia ada yang termasuk dalam Rancangan Tebatan Banjir bersebelahan dengan lebuh raya ini.

    Justeru, orang ramai yang melalui laluan tersebut dinasihatkan supaya merancang perjalanan dan mendapatkan maklumat trafik terkini melalui Aplikasi PLUS. Pengguna juga dinasihatkan supaya berhati-hati memandu, mematuhi had laju dan arahan papan tanda trafik ketika melalui kawasan terbabit.

     
     
  • Mazda BT-50 2022 di M’sia – senarai harga penuh didedah; 5 varian 4×4; 1.9L & 3.0L; dari RM93k-RM144k

    Mazda BT-50 2022 di M’sia – senarai harga penuh didedah; 5 varian 4×4; 1.9L & 3.0L; dari RM93k-RM144k

    Bermaz Motor telah mengeluarkan senarai harga penuh untuk Mazda BT-50 2022, yang pertama kali diumumkan untuk pasaran Malaysia pada November lalu sebelum dipertontonkan secara umum sebulan kemudian. Trak pikap generasi ketiga ini diasaskan dari Isuzu D-Maz terkini dan ditawarkan dalam lima varian, termasuk 1.9L Single Cab MT, diikuti dengan 1.9L Mid MT double cab, 1.9L Mid AT, 1.9L High AT dan model spesifikasi penuh 3.0L High Plus AT.

    Sebelum 1 Jun 2022, harga yang diumumkan hanya melibatkan dua varian sahaja iaitu 1.9L High AT dan 3.0L High Plus AT. Kini, kita telah pun menerima harga atas jalan untuk varian lain termasuk model asas, tanpa insurans dan termasuk waranti lima-tahun, 100,000 km.

    Disebabkan trak pikap diklasifikasikan sebagai kenderaan komersial, ia tidak layak untuk menerima pengecualian cukai jualan yang bakal berakhir pada 30 Jun 2022. Seperti D-Max, semua varian BT-50 adalah model import sepenuhnya (CBU) dari Thailand.

    Susulan pengumuman senarai harga terkini, varian 1.9L Single Cab MT ditawarkan pada harga
    RM92,529.20. Diikuti dengan varian double cabs, bermula dengan 1.9L Mid MT yang berharga RM105,779.20 dan RM112,179.20 bagi 1.9L Mid AT.

    Mazda BT-50 2022 di M’sia – senarai harga penuh didedah; 5 varian 4×4; 1.9L & 3.0L; dari RM93k-RM144k

    Senarai harga Mazda BT-50 2022 – Klik untuk besarkan imej

    Bagi kedua-dua varian 1.9L High AT dan 3.0L High Plus AT, harganya lebih tinggi berbanding yang dilaporkan pada Disember tahun lalu. Masing-masing kini berharga RM124,779.20 (+RM600), sementara varian tertinggi pula pada RM143,718.40 (+RM500).

    Bagi spesifikasinya, kesemua varian “1.9K” dijanakan oleh enjin Isuzu dengan unit RZAE-TC 1.9 liter turbodiesel empat-silinder dengan kuasa 150 PS (148 hp) pada 3,600 rpm dan tork 350 Nm dari 1,800 hingga 2,600 rpm. Untuk pilihan tunggal “3.0L” pula, ia dipadankan dengan unit 4JJ3-TCX 3.0 liter turbodiesel empat-silinder dengan hamburan kuasa sehingga 190 PS (188 hp) pada 3,600 rpm dan 450 Nm dari 1,600 hingga 2,600 rpm.

    Kedua-dua enjin didatangkan dengan pacuan semua-roda dan rear differential lock secara standard, sama dengan transmisi manual (MT) enam-kelajuan atau automatik (AT) enam-kelajuan, bergantung pada pemilihan varian.

    Untuk ciri kelengkapannya, hanya single cab menerima roda keluli 16-inci, lampu utama dan lampu kabus hadapan LED, lampu nyalaan siang dan lampu kabus belakang jenis mentol, bilah pengelap cermin automatik, paparan kluster instrumen monokrim 3.5-inci, unit utama (head unit) asas dengan dua pembesar suara, pendingin hawa manual, tempat duduk manual, balutan upholstery fabrik, 4WD transfer dial, dua beg udara, ESC, kawalan cengkaman, Bantuan Mula Mendaki, ABS, EBD dan bantuan brek.

    Bagi varian 1.9L Mid MT dan AT, ia ditambah dengan roda aloi 17-inci, penghidup enjin tanpa kunci, cermin sisi larasa kuasa dengan indikator, penderia parkir belakang, paparan pelbaga-info berwarna 4.2-inci, skrin sesentuh tujuh-inci dengan Android Auto dan Apple CarPlay, enam pembesar suara, corong udara belakang, kamera undur, cagak tempat duduk kanak-kanak Isofix, kawalan kelajuan pasif dan juga pemantauan titik buta dengan kepekaan trafik lintasan belakang.

    Untuk varian 1.9L High AT pula, ia menerima ciri yang sama dengan Mid, namun ditambah lagi dengan ciri yang lebih menarik termasuk lampu utama bi-LED larasan auto, lampu nyalaan siang LED, kemasukan tanpa kunci, penderia parkir hadapan, rel bumbung (had bebanan 100 kg), pemijak sisi, cermin pandang belakang auto-kelam, sistem infotainmen skrin sesentuh sembilan-inci, kawalan suhu dwi-zon, dan tempat duduk hadapan larasan kuasa lapan-hala.

    Malahan 1.9L High AT juga didatangkan dengan tujuh beg udara dan kawalan turun bukit, melengkapi ciri keselamatan standard yang juga diberikan pada varian Mid. Bagi varian 3.0L High Plus AT pula, ia menerima ciri kelengkapan sama seperti 1.9L High A tetapi ditambahkan dengan roda aloi 18-inci, fungsi kawalan penghidup enjin, lapan pembesar suara, upholstery kulit coklat, brek pelbagai-pelanggaran, kawalan kelajuan adaptif, lampu tinggi automatik, amaran ketibaan lorong, amaran pelanggaran hadapan dan brek kecemasan automatik.

    GALERI: Mazda BT-50 3.0L High Plus AT 2022

     
     
  • Honda siar teaser skuter baru di Indonesia – ADV 160?

    Honda siar teaser skuter baru di Indonesia – ADV 160?

    Pengedar rasmi motosikal Honda di Indonesia, PT Astra Honda Motor melalui akaun Instagram @welovehonda_id telah mengeluarkan satu teaser model baru yang nampak seperti sebuah skuter. Melalui kenyataan di dalam gambar itu, ia mungkin didedahkan sepenuhnya dalam bulan ini.

    Walaupun gambar itu agak gelap, pasti ramai yang sudah boleh melihat ia adalah satu versi kepada skuter bergaya lasak popular jenama itu, ADV. Walaubagaimanapun, kita masih tidak pasti ADV versi apakah yang akan dilancarkan nanti.

    Untuk mengatakan ini adalah gambar ADV 350, nampak seperti bukan kerana bahagian pemegang untuk penumpang belakang, tempat duduk, fender hadapan dan lampu hadapan adalah berlainan. Ia lebih menghampiri ADV 150, tetapi dengan sedikit perubahan termasuk penghadang angin hadapan yang nampak lebih besar dan tinggi.

    Selain perubahan kosmetik, ramai menjangkakan ADV baru ini juga bakal menerima enjin baru 156.9 cc seperti yang sudah digunakan pada PCX 160, Vario 160 dan Air Blade 160. Beberapa negara jiran sudah menerima model-model 160 ini, tetapi di negara kita satu pun masih belum tiba.

    Jika melihat kepada apa yang dilakukan oleh Honda pada Vario 160, selain enjin, bahagian lain juga dinaik taraf termasuk panel badan serba baru. Itu memang patut berlaku kerana terdapat masalah rekaan pada Vario sebelumnya, tetapi bagi ADV 160, mungkin hanya bahagian-bahagian kecil sahaja yang diubah.

    Pada Vario 160, enjin baru satu silinder suntikan bahan api, dengan sistem penyejukan cecair berkapasiti 156.9 cc itu mampu menghasilkan kuasa 15.4 PS pada 8,500 rpm dan 13.8 Nm tork pada 7,000 rpm (sebelum ini 13.1 PS dan 13.4 Nm).

     
     
  • JPJ eBid: Plat nombor TCN dibuka bidaan mulai esok

    JPJ eBid: Plat nombor TCN dibuka bidaan mulai esok

    Tiba pula giliran siri nombor terkini dari Terengganu, ‘TCN’ yang bakal dibuka bidaannya esok, 22 Jun 2022. Seperti biasa, proses bidaan adalah menerusi platform dalam talian JPJ eBid.

    Menurut Jabatan Pengangkutan Jalna (JPJ), tempoh bidaan bagi TCN adalah tempoh lima hari, sehingga jam 10 malam 26 Jun ini. Manakala keputusannya akan dikeluarkan pada keesokan harinya, 27 Jun 2022. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Sekarang ni lebih mudah mendapatkan siri plat nombor yang diingini tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • Prodrive P25 – model repro Subaru Impreza 22B STI, RM2.48 juta, hanya 25-unit, 2.5L turbo 400 hp/600 Nm!

    Prodrive P25 – model repro Subaru Impreza 22B STI, RM2.48 juta, hanya 25-unit, 2.5L turbo 400 hp/600 Nm!

    Bulan lalu, Prodrive iaitu firma kejuruteraan British yang mengendalikan Subaru World Rally Team (SWRT) sejak ia ditubuhkan pada 1989 sehingga jenama tersebut menarik diri dari Kejohanan Rali Dunia (WRC) pada 2008, mengumumkan bahawa mereka bakal memperkenalkan model edisi terhad Prodrive P25, iaitu model jelmaan semula 22B tetapi diberikan pelbagai perincian yang lebih moden dan lebih berkuasa.

    Dan ini dia, Prodrive P25 telah didedahkan terlebih dahulu sebelum ia membuat kemunculan sulung pada Goodwood Festival of Speed yang akan bermula pada 23 Jun ini. Seperti yang diumumkan tempoh hari, P25 akan dihasilkan secara terhad hanya sebanyak 25-unit.

    Model ‘kelahiran’ semula 22B ini dihasilkan jauh lebih agresif serta menampilkan lebih banyak teknologi perlumbaan dari Prodrive, dan ia sebenarnya jauh lebih hampir kepada jentera WRC sebenar berbanding 22B asli. Ia diasaskan dari kerangka Subaru Impreza WRX GC8 dua pintu, kemudian menerima kejuruteraan semula dengan untuk menjadikan ia lebih kukuh dan ringan, sama seperti apa yang Prodrive lakukan ketika membangunkan jentera WRC mereka.

    Seperti lakaran teaser tempoh hari, P25 diberikan rupa lebih mirip kepada jentera Impreza WRCar 1997 berbanding model produksi jalan raya 22B STi, terutamanya pada bahagian bampar hadapan dengan gril bersepadu dengan bampar, logo Subaru ‘terapung’ serta liang udara yang mendedahkan dengan jelas radiator di belakangnya. Ia juga hadir dengan cermin sisi dan spoiler belakang gergasi WRCar sebenar.

    Prodrive P25 – model repro Subaru Impreza 22B STI, RM2.48 juta, hanya 25-unit, 2.5L turbo 400 hp/600 Nm!

    Berbanding 22B yang menampilkan panel badan logam dan aloi, P25 sekali lagi menampilkan perincian yang hampir kepada jentera WRC sebenar dengan bonet hadapan, bumbung, penutup but belakang, cermin sisi, bampar hadapan dan belakang serta keempat-empat fender yang lebih lebar dari WRX GC8 standard – kesemuanya diperbuat dari material komposit karbon.

    Jika 22B menerima enjin EJ22 2.2 liter boxer turbo berkuasa 280hp, P25 pula menerima enjin EJ25 2.5 liter dalam versi paling terkini diproduksi oleh Subaru (dengan sistem injap bervariasi dan sebagainya) kemudian dirombak semula oleh Prodrive bagi mengekstrak lebih kuasa.

    Enjin tersebut menerima komponen dalaman termasuk pelapik silinder (cylinder liners), omboh, rod penyambung (con rod) serta rangkaian injap yang kesemuanya binaan khas dari Prodrive. Ia kemudiannya menerima sistem turbo untuk sukan permotoran dari Garret lengkap dengan sistem anti-lag seperti kereta rali sebenar, bersama intercooler dan kotak kemasukan udara berprestasi tinggi, serta sistem ekzos perlumbaan titanium dan logam tahan karat dari Akrapovic yang turut menampilkan injap by-pass penyenyap.

    Secara keseluruhan, enjin baharu tersebut mampu menghasilkan kuasa 400 hp dan tork maksima 600 Nm! Ia digandingkan dengan kotak gear sequential enam-kelajuan (separa automatik, gear helix) bersama pedal penukar gear, dengan kuasa dipindahkan menerusi set klac lapisan berkembar dari AP Racing.

    Untuk sistem pacuan empat roda, gandar hadapan dan belakang menerima set LSD, bersama LSD tengah aktif dan boleh dilaras bagi memberikan agihan tork tepat antara roda hadapan dan belakang. Selain anti-lag, jentera rali jalan raya ini turut menerima sistem launch control gaya-WRC sebenar, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 3.5 saat.

    Dengan sistem launch control tersebut, pemandu hanya perlu menekan pedal pendikit ketika kereta berkenaan ‘berlepas’, dengan sistem fly-by-wire pada pedal pendikit dan dan pedal klac pada set pedal box serta kotak gear akan memberikan tukaran gear 1-2-3 secara automatik bagi memberikan pecutan paling optimal.

    Menurut Prodrive, P25 ini juga diberikan pelbagai komponen ringan lain termasuk bateri lithium-ion. Secara keseluruhan, model jelmaan semula 22B ini ditimbang tidak sampai 1,200 kg.

    Konfigurasi suspensi asal topang McPherson pada GC8 masih dikekalkan pada P25, namun Prodrive telah merombak semula rekaannya dengan komponen yang diperbuat dari aluminium membolehkan geometri camber dan toe dilaras dan dioptimakan, bersama dengan trek roda selebar 1,770 mm.

    Prodrive P25 – model repro Subaru Impreza 22B STI, RM2.48 juta, hanya 25-unit, 2.5L turbo 400 hp/600 Nm!

    Prodrive turut memadankan penyerap hentak boleh laras dari Bilstein. Manakala spring dan bar anti-oleng yang dipadankan adalah ditala untuk mendapatkan pengendalian optima di atas permukaan tar – pemilik boleh menukar kedua-dua komponen tersebut mengikut keperluan pemanduan lain.

    P25 ini dilengkapkan dengan set roda yang terdiri dari set rim yang dihasilkan oleh Prodrive sendiri dengan saiz 19-inci dan lebar 8.5 jj, dibalut dengan tayar Bridgestone Potenza 235/35/R19 yang didakwa menepati talaan pada penyerap hentak.

    Manakala untuk brek, P25 menerima set lengkap dari AP Racing menampilkan cakera berliang 380 mm dan angkup enam-omboh di hadapan serta cakera berliang 350 mm dan angkup empat-omboh di belakang. Pembeli turut ditawarkan dengan pelbagai jenis pad brek untuk sistem ini mengikut kesesuaian masing-masing.

    Untuk kabin, P25 masih mengekalkan papan pemuka asal GC8, tetapi diberikan pelbagai kemasan dan perapi dari material lebih moden serta perincian yang hampir dengan kereta rali sebenar. Ia diberikan upholsteri dengan kombinasi kulit dan alcantara, bersama pelbagai kemasan dari gentian karbon.

    Prodrive P25 – model repro Subaru Impreza 22B STI, RM2.48 juta, hanya 25-unit, 2.5L turbo 400 hp/600 Nm!

    Secara asasnya, P25 masih direka sebagai coupe dua-pintu dengan empat tempat duduk. Namun pembeli boleh memilih untuk memadankan sepasang tempat duduk perlumbaan pada bahagian hadapan, tempat duduk belakang di cabut serta diberikan separa roll cage, serta panel sebelah dalam pintu yang diperbuat dari gentian karbon.

    Panel meter analog Impreza tidak lagi digunakan, sebaliknya digantikan dengan paparan instrumen digital berdefinasi tinggi dari Motec yang turut menampilkan fungsi data-logger seperti kereta lumba sebenar. Jadi untuk pemanduan litar, pemandu boleh membuat tetapan semula untuk respon pendikit, pemetaan prestasi enjin serta larasan untuk sistem anti-lag.

    Malah ia juga dilengkapi dengan brek tangan ‘fly-off’ gaya WRC sebenar, yang bukan sahaja dapat mengunci dengan mudah cakera brek belakang, malah turut akan memutuskan alihan kuasa ke gandar belakang bagi memudahkan aksi ‘handbrake turn’ pada selekoh tajam dan sempit atau memulakan aksi drift. Manakala untuk memastikan kereta ini tidak bergerak ketika diparkir, ia dilengkapi dengan brek parkir elektrik secara standard.

    P25 dihasilkan sempena kemenangan pertama Impreza spesifikasi WRCar (undang-undang yang mula digunakan pada 1997 bagi menggantikan spesfikasi Group A sebelum itu) dalam WRC 25 tahun lalu. Model ini dibangunkan sepenuhnya oleh Prodrive di fasiliti mereka di Banburry, serta turut melibatkan lagenda-lagenda yang membangunkan Impreza WRCar 1997 dan juga 22B STi 25-tahun lalu.

    Antaranya pereka asal Impreza WRCar 1997 iaitu Peter Stevens yang mengolah semula beberapa rekaan pada P25 ini, serta pengarah teknikal Prodrive, David Lapworth yang mengetuai pembangunan Impreza WRCar lebih 25-tahun lalu yang turut memantau projek P25 ini.

    Selepas membuat kemunculan sulungnya di Goodwood FOS 2022 hujung minggu ini, P25 akan terus diuji bagi melengkapkan program pembangunannya, dan pelanggan terawal yang menempahnya ini akan menerima kereta mereka pada lewat tahun ini.

    Harga? Menurut Prodrive, P25 akan dijual pada harga atas jalan lengkap tidak termasuk cukai £460,000 (RM2.48 juta!). Jika anda lebih berminat dengan model asli Subaru Impreza 22B yang dihasilkan hanya 424-unit pada tahun 1998, model berkenaan buat masa sekarang dijual pada harga sekitar RM1.5 juta pada laman-laman lelongan seluruh dunia.

     
     
  • RM3.4 bilion diperlukan untuk baiki jalan Persekutuan di seluruh Semenanjung Malaysia – Menteri KKR

    RM3.4 bilion diperlukan untuk baiki jalan Persekutuan di seluruh Semenanjung Malaysia – Menteri KKR

    Sebanyak RM3.4 bilion diperlukan sebagai peruntukan yang diperlukan oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) bagi membaiki jalan Persekutuan yang rosak di seluruh Semenanjung Malaysia.

    Menurut menterinya, Datuk Seri Fadillah Yusof, peruntukan diperlukan bagi memulakan kerja penambahbaikan dari segi penurapan, membuat lapisan atau jalan baharu, yang dijangka siap semuanya tahun depan, seperti dilaporkan Bernama.

    “Kita sedar, banyak keutamaan diambil kira sebelum peruntukan dikeluarkan yang kadangkala tidak mencukupi, seperti RM68 juta yang diperlukan di Laluan Persekutuan FT004 (Jalan Timur Barat) ini. Kita tidak salahkan Kementerian Kewangan (MOF), tetapi itulah cabaran dihadapi. Namun kita akan cari jalan untuk membaikinya dari segi jangka pendek atau jangka panjang.

    “KKR sudah kenal pasti jalan tunggakan, bukan saja di Perak tetapi di seluruh Semenanjung Malaysia yang perlu diperbaiki selepas lima atau tujuh tahun tarikh hayatnya, kerana lapisan asal jalan tidak mampu lagi menampung (trafik). Bayangkan pula jika jalan itu dibina 40 tahun lamanya seperti di Gerik ini,” katanya selepas sesi taklimat berhubung Laluan Persekutuan FT004 (Jalan Timur Barat) kira-kira 130 kilometer dari Ipoh, semalam.

    RM3.4 bilion diperlukan untuk baiki jalan Persekutuan di seluruh Semenanjung Malaysia – Menteri KKR

    Tambah beliau, kebiasaannya, antara langkah awal atau pelan jangka pendek dilakukan KKR, dengan membuat tampalan semula sebelum membina lapisan atau jalan baharu di lokasi jalan Persekutuan yang dikenal pasti.

    Mengenai lawatannya di lokasi terbabit, Fadillah berkata, kerja penampalan dan penurapan di jalan itu akan dibuat segera Sabtu ini, selepas tinjauan kira-kira sejam bersama Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad dan melihat sendiri kesukaran dihadapi pengguna.

    Laluan Persekutuan FT004 itu adalah jalan utama Timur-Barat di zon utara Malaysia yang menghubungkan tiga negeri bermula di Kulim, Kedah melalui Gerik, Perak dan berakhir di Pasir Puteh, Kelantan dengan jarak keseluruhan jalan adalah 291.99 kilometer.

    Laluan FT004 dalam Perak adalah sepanjang 114.660 kilometer bermula di Seksyen 83.74 di sempadan Kedah dan berakhir di Seksyen 198.40 di sempadan Jeli, Kelantan. Antara jenis kerosakan jalan dikenal pasti termasuk kerosakan permukaan jalan, garisan cat jalan pudar, kerosakan lampu jalan dan kerosakan longkang yang mengakibatkan air bertakung.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025