Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Nissan Almera Sportech diperkenal di Thai – tampil kit lebih sporty rekaan Autech, RM2.6k lebih mahal

    Nissan Almera Sportech diperkenal di Thai – tampil kit lebih sporty rekaan Autech, RM2.6k lebih mahal

    Sportech merupakan satu varian yang telah sekian lama diperkenalkan oleh Nissan Thailand untuk model yang kelihatan lebih sporty dalam barisan satu-satu model mereka. Dan terbaharu, varian Sportech ini telah pun ditampilkan pada Nissan Almera generasi kedua.

    Nissan Almera Sportech ini ditawarkan untuk model V dan dan varian tertinggi VL dengan harga 20,000 baht (RM2,647) lebih mahal dari. Jadi Nissan Almera Sportech V dan Almera Sportech VL ini masing-masing djual pada harga 629,000 baht (RM83,265) dan 659,000 baht (RM87,238).

    Kit badan untuk Sportech ini sebenarnya direka oleh divisi aksesori Nissan di Jepun iaitu Autech. Tidak seperti kit badan biasa yang selalunya dihasilkan sebagai tambahan pada kompenen sedia ada, kit Sportech ini jauh lebih istimewa kerana bampar hadapan dan belakangnya perlu ditukar terus dan tidak sama seperti bampar standard.

    Bampar hadapan baharu ini menampilkan perumah lampu kabus lebih besar yang nampak seperti liang udara sisi. Bahagian bawah bampar hadapan tersebut turut diberikan kemasan berwarna perak yang nampak seperti spoiler, manakala kemasan sekeliling gril pula tampil dalam kemasan krom gelap.

    Nissan Almera Sportech diperkenal di Thai – tampil kit lebih sporty rekaan Autech, RM2.6k lebih mahal

    Bampar belakang juga menampilkan perubahan rekaan yang signifikant di mana kemasan hitam dibawah dihasilkan dengan lebih besar, bersama ‘spoiler’ bawah berwarna perak yang kelihatan agak tebal menggantikan rekaan asal yang seakan diffuser. Ia dilengkapkan dengan pemadanan spoiler but dalam kemasan warna badan. Kalau anda perasan, kit Sportech ini juga sebenarnya tidak disertakan kan dengan skirt sisi yang lebih labuh.

    Model istimewa ini juga menampilkan cermin sisi dalam kemasan perak, rim aloi 15-inci dengan rekaan lebih unik serta lencana Sportech pada penutup but belakang. Ia ditawarkan dalam lima warna badan iaitu Black Star, Storm White (pearl), Radiant Red, Monarch Orange dan Gun Metallic grey.

    Tiada perubahan untuk unit rangkaian kuasa mahupun unsur prestasi yang lain. Nissan Almera Sportech N18 terus menerima enjin 1.0 liter tiga-silinder turbo yang menghasilkan 100 PS/152 Nm, digandingkan dengan kotak gear Xtronic CVT automatik bersama D-Step Logic yang memberikan rasa tukaran gear seperti transmisi auto konvensional.

     
     
  • Lakaran rasmi Mitsubishi Starion 4WD 355 hp yang tak jadi diproduksi dan dijual tersiar selepas 37 tahun

    Lakaran rasmi Mitsubishi Starion 4WD 355 hp yang tak jadi diproduksi dan dijual tersiar selepas 37 tahun

    Era Group B dalam Kejohanan Rali Dunia pada awal 80’an boleh dikatakan sebagai era kemuncak siri kejuaraan berkenaan. Namun kerana enjin yang terlalu berkuasa serta teknologi keselamatan yang tidak seiring, Group B terpaksa diharamkan selepas kemalangan maut membabitkan pemandu Finland Henri Toivonen dan juruarahnya Sergio Cresto yang menyaksikan Lancia Delta S4 berkuasa 490 PS yang dipandunya terhumban ke dalam gaung dan terbakar pada rali Tour de Corse 1986.

    Seperti juga Group A, undang-undang Group B ini juga memerlukan pengeluar menghasilkan model ‘homologation special’ untuk dijual di bilik pameran, yang menampilkan rupa yang sama serta menggunakan asas enjin dan sistem pacuan sama seperti jentera WRC sebenar yang bertanding.

    Namun untuk Group B yang menampilkan teknologi yang lebih canggih ini, FIA mensyaratkan pengeluar untuk menghasilkan hanya 200 unit model produksi jalan raya tersebut, berbanding 5,000 unit (kemudian dikurangkan kepada 2,500 unit) untuk Group A. Maka lahirlah model-model produksi ‘homologation special’ seperti Ford RS200 dan juga Lancia 037.

    Lakaran rasmi Mitsubishi Starion 4WD 355 hp yang tak jadi diproduksi dan dijual tersiar selepas 37 tahun

    Oleh kerana ia dilangsungkan dalam tempoh yang agak singkat (1982-1986) dan pengharamannya dibuat secara tiba-tiba, ada berberapa pengeluar yang sudahpun menghasilkan prototaip jentera rali Group B mereka tetapi tidak sempat untuk berlumba – antaranya adalah Mitsubishi.

    Mitsubishi sebelum itu telah pun menyertai WRC dalam kategori Group 4 menerusi Lancer EX 2000 Turbo, dan selepas itu mereka berhajat untuk ke kategori lebih tinggi iaitu Group B menerusi kereta sport Mitsubishi Starion. Jika untuk model biasa, Starion dihasilkan dalam versi pacuan roda belakang serta muka dengan lampu hadapan ‘pop-up’, jentera prototaip Group B yang dihasilkan oleh Ralliart UK menampilkan sistem 4WD, badan yang lebih lebar serta lampu hadapan kekal berbentuk bulat.

    Model-model prototaip untuk jentera rali sebenar tersebut bukan lagi rahsia kerana ia telahpun membuat banyak penampilan dikhalayak ramai. Namun yang belum terdedah adalah bagaimana rupa Starion 4WD berkenaan dalam versi produksi yang ditetapkan perlu dihasilkan sebanyak 200 unit untuk dijual kepada orang awam.

    Lakaran rasmi Mitsubishi Starion 4WD 355 hp yang tak jadi diproduksi dan dijual tersiar selepas 37 tahun

    Gambar Starion 4WD yang anda lihat di atas adalah gambar lakaran rasmi sebenar yang dihasilkan oleh Mitsubishi yang baru sahaja tersiar hanya selepas 37-tahun! Menurut laporan Auto Express, lakaran ini merupakan sebahagian dari dokumentasi yang telah dihantar ke Mitsubishi UK pada tahun 1984.

    Projek Ralliart UK untuk menghasilkan Starion 4WD ini diketuai oleh bekas pelumbanya, Andrew Cowen dengan input dari bekas juruteknik Audi, Alan Wilkinson. Jika ia benar-benar diproduksi, Starion 4WD ini akan dijana oleh enjin 4G63 “Sirius Dash” 2.0 liter SOHC Turbo sama seperti Lancer EX 2000 Turbo. Manakala untuk 20 unit model ‘evolution’ yang boleh digunakan untuk perlumbaan seperti yang dibenarkan oleh FIA, ia turut menggunakan asas enjin sama tetapi kapasitinya ditingkatkan kepada 2,140 cc.

    Enjin tersebut dijangka bakal menghasilkan 350 bhp (355 hp), manakala badannya akan dibina dengan banyak panel dari material gentian karbon dan kevlar, bagi membolehkan berat keseluruhannya mencapai hanya sekitar 1,000 kg. Rekaan muka hadapan yang diubah oleh Ralliart UK ini membolehkan juntaian hadapannya dipendekkan yang bukan sahaja memberikan agihan berat yang lebih baik, malah ia juga membolehkan unit radiator lebih besar diletakkan di hadapan.

    Lakaran rasmi Mitsubishi Starion 4WD 355 hp yang tak jadi diproduksi dan dijual tersiar selepas 37 tahun

    Dalam surat yang disertakan sekali dengan lakaran tersebut, Mitsubishi turut dikatakan merancang untuk meletakkan plat nombor siri produksi istimewa untuk setiap Starion 4WD yang bakal dijual, serta dirancang untuk didedahkan di British Motor Show 1984.

    Rancangan tersebut pada awalnya selari dengan pembangunan jentera protaip Group B sebenar yang membuat penampilan pertamanya di Mille Pistes Rally di Selatan Perancis pada musim panas tahun yang sama, menyaksikan ia menamatkan perlumbaan tersebut ditempat ke-6 dengan dipandu oleh pemandu ujian Mitsubishi, Lasse Lampi.

    Jentera prototaip berkenaan turut berlumba di rali peringkat nasional di UK iaitu RAC Rally 1984, namun projek tersebut tertangguh serta proses homologasi dijangka hanya akan dapat disempurnakan pada 1986. Dan seperti yang disebutkan tadi, Group B telah diharamkan secara mengejut pada tahun yang sama, menyebabkan Starion 4WD ini bukan sahaja tidak sempat untuk berlumba dalam WRC, malah model produksinya juga tidak sempat untuk diperkenalkan dalam pasaran.

    Unit prototaip jentera rali Mitsubishi Starion 4WD Group B

    Walau bagaimanapun, segala usaha yang dibuat oleh Ralliart ini bukanlah satu perkara yang sia-sia. Semua pengetahuan yang telah dikutip ketika membangunkan Starion 4WD seperti enjin dan transimisi telah dibawa untuk untuk membangunkan jentera Group A mereka selepas itu iaitu Mitsubishi Galant VR-4.

    Galant VR-4 merupakan jentera pertama Mitsubishi yang berjaya memenangi perlumbaan dalam WRC. Dan evolusi teknologi dari Galant VR-4 juga berkembang ke jentera paling berjaya mereka selepas itu iaitu Lancer Evolution yang membolehkan Tommi Makinen bergelar juara dunia sebanyak empat-kali berturut-turut!

     
     
  • Data jualan kenderaan bagi April 2021 mengikut jenama – Perodua catat penurunan sebanyak 16.5%,

    Data jualan kenderaan bagi April 2021 mengikut jenama – Perodua catat penurunan sebanyak 16.5%,

    Selepas Mac mencatatkan jumlah jualan yang memberangsangkan pada Mac 2021, namun tidak pula April mengikut jejak langkahnya. Di mana untuk April 2021, hanya sekitar 58,912 unit kenderaan yang dihantar kepada pelanggan menunjukkan penyusutan sebanyak 9.34% dari 63,978 unit jualan yang dilaporkan pada Mac.

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) berkata, penyusutan angka tersebut berpunca daripada beberapa faktor, termasuklah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Pulau Pinang, Kelantan dan Sarawak, serta kekurangan bekalan cip komputer untuk pembuatan kenderaan yang turut memberikan kesan terhadap jualan beberapa pengeluar kenderaan.

    Pendahulu pasaran, Perodua, ternyata kurang bertuah pada April kerana jualannya menyusut ke 20,399 unit daripada 24,431 unit yang dicatatkan pada Mac, sekaligus menunjukkan 16.5% penurunan. Manakala Proton pula turun sedikit iaitu kurang 97 unit atau 0.66% berbanding Mac, dengan catatan rekod jualan sebanyak 14,673 unit untuk April.

    Data jualan kenderaan bagi April 2021 mengikut jenama – Perodua catat penurunan sebanyak 16.5%,

    Walau bagaimana pun, masih ada jenama yang menunjukkan peningkatan jualan bagi April, iaitu Toyota yang berjaya mencatatkan sebanyak 9,136 unit atau lebih 1,000 unit (+12.3%) berbanding yang direkodkan pada Mac (8,136 unit). Honda pula tidak begitu bernasib baik kerana jualannya menyusut sebanyak 3,536 unit (atau 39.6%) iaitu hanya menjual sekitar 5,389 unit untuk April, berbanding 8,925 unit pada Mac.

    Manakala tiga lagi jenama Jepun yang bernasib baik apabila berjaya menunjukkan peningkatan jualan untuk bulan yang sama – Mitsubishi (+10.9%), Mazda (+31.6%) dan Nissan (+24.9%). Satu lagi jenama yang turut mencatatkan jualan yang memberangsangkan ialah Subaru, di mana angka jualannya melonjak hampir 160%. Namun untuk Isuzu dan Ford pula, kurang bernasib baik kerana jualannya susut dengan masing-masing mencatatkan penurunan sebanyak -39.1% dan -15.7%.

    Bagi segmen premium, antara jenama yang menunjukkan peningkatan jualan ialah Volvo (+30%), Lexus (+50%) dan Porsche (169.4%) bagi jualan pada bulan berkenaan. BMW Group Malaysia juga telah megumumkan angka bagi suku pertamanya, dan dilaporkan BMW telah mencatatkan jualan sebanyak 1,931 unit, manakala 214 unit bagi MINI untuk tempohb tersebut. Manakala Mercedes-Benz masih tidak berkongsi angka jualan mereka buat setakat ini, walau pun sebelum ini MAA pernah berkata, syarikat berkenaan patut berkongsikan data jualan mereka.

    Data jualan kenderaan bagi April 2021 mengikut jenama – Perodua catat penurunan sebanyak 16.5%,

     
     
  • PKP 3.0: Kanak-kanak berumur 12 tahun dan ke bawah tidak dibenarkan berada di tempat awam – MKN

    PKP 3.0: Kanak-kanak berumur 12 tahun dan ke bawah tidak dibenarkan berada di tempat awam – MKN

    Ini ada satu makluman penting buat ibu bapa yang mempunyai anak berusia 12 tahun dan kebawah. Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ‘Lockdown’ penuh Fasa pertama, semua kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke bawah tidak dibenarkan untuk berada di mana-mana tempat atau fasiliti awam. Walau bagaimana pun, terdapat alasan pengecualian yang boleh diterima iaitu urusan kecemasan, rawatan kesihatan, pendidikan atau senaman, ujar Majlis Keselamatan Negara (MKN).

    Menurut laman web MKN, di bawah prosedur operasi standard kesihatan umum, telah dinyatakan bahawa semua kanak-kanak berusia demikian adalah dilarang untuk berada di tempat awam, kecuali dengan alasan pengecualian tersebut, laporan The Star.

    Semalam, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, sebanyak 82,341 kes jangkitan COVID-19 di negara ini adalah melibatkan bayi dan kanak-kanak. Jelasnya, sebanyak 19,851 kes melibatkan kanak-kanak di bawah umur empat tahun, 8,237 kes (lima ke enam tahun), 26,851 kes (tujuh ke 12 tahun) dan 27,402 kes (13 hingga 17 tahun) dan mereka ini adalah pesakit COVID-19 dalam kategori 1,2 dan 3.

    Dr Adham turut menasihati ibu bapa atau penjaga supaya lebih bertanggungjawab dalam melindungi kanak-kanak daripada dijangkiti, dan ini termasuklah tidak membawa mereka ke kawasan yang sesak.

    Beliau turut menambah, walau pun tiada dalam peruntukan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 yang membenarkan pemberitahuan kompaun dikeluarkan kepada ibu bapa yang membawa anak-anak ke tempat yang sesak, kertas siasatan tetap boleh dibuka.

     
     
  • PKP 3.0: Surat MITI masih ‘laku’ sehingga 3 Jun – Polis

    PKP 3.0: Surat MITI masih ‘laku’ sehingga 3 Jun – Polis

    Polis hari ini mengumumkan bahawa surat kebenaran perjalanan untuk bekerja yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sedia ada masih boleh digunakan sehingga 3 Jun ini, lapor The Star.

    Dalam sidang media yang dibuat pada hari ini, Ketua Polis Daerah Petaling Jata ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata masih lagi ramai yang menggunakan surat berkenaan untuk bergerak ke tempat kerja hari ini.

    “Ada yang cakap surat baru masih lagi belum dapat, manakala yang lain menyatakan bahawa mereka baru memohon semalam. Jadi, seperti arahan dari Ketua Polis Selangor, kami akan benarkan penggunaan surat lama ketika kami melakukakan pemeriksaan di sekatan jalan raya sehingga 3 Jun.

    “Kami juga menasihatkan mereka agar meminta majikan masing-masing untuk memohon surat MITI baru, atau surat kebenaran dari kementerian-kementerian berkaitan,” katanya dan turut menegaskan pihak polis akan mula mengeluarkan kompaun sebaik sahaja tempoh kelonggaran berkenaan tamat.

     
     
  • Volvo Cars Malaysia perkenal pelitup muka batik unik

    Volvo Cars Malaysia perkenal pelitup muka batik unik

    Volvo Car Malaysia bekerjasama dengan label pakaian kanak-kanak tempatan Three Little Ahmads dan juga pembuat tekstil NanoTextile untuk memperkenalkan pelitup muka guna-semula anti-bakteria dengan corak batik.

    Pelitup muka baru ini, yang disasarkan menjadi alternatif lebih baik berbanding jenis pakai-buang, bertujuan untuk menyokong kelangsungan hidup komuniti tempatan yang berdepan pengangguran serta kesukaran lain akibat penularan wabak Covid-19.

    Menurut Volvo, pelitup muka berkenaan dihasilkan oleh golongan ibu tunggal, wanita dari pedalaman serta lepasan pelajar Giatmara yang kehilangan kerja disebabkan penutupan kilang tempat mereka mencari rezeki ketika pelaksanaan PKP Mac 2020. Volvo juga menyatakan semua mereka menerima bayaran yang setimpal bagi setiap pelitup yang dihasilkan, membolehkan mereka untuk meraih pendapatan stabil semula.

    Volvo Cars Malaysia perkenal pelitup muka batik unik

    Volvo menjelaskan, projek ini adalah sebahagian daripada komitmen global jenama itu untuk melindungi dan memperbaiki persekitaran masyarakat yang lebih luas, dengan menyedari penggunaan pelitup pakai buang yang boleh memberi kesan ke atas alam sekitar sebagai produk nanoplastik.

    Pengasas dan pereka Three Little Ahmads, Datin Azrene Ahmad berkata; “Kami menerima gambaran awal dari Volvo Car Malaysia, dan mengambil pendekatan kontemporari dengan menghasilkan corak batik khusus berdasarkan tiga bunga; bunga matahari, teratai dan melati — bunga yang jarang digunakan pada corak batik tradisional.”

    Volvo Cars Malaysia perkenal pelitup muka batik unik

    Pelitup ini adalah buatan tangan menggunakan materil kapas 100% yang anti-bakteria, sedikit kalis air dan memberikan perlindingan bakteria dan viral sehingga 100 cucian lembut. Penapis PM 2.5 pula menambah lapisan perlindungan kelima dan telah diuji berkesan menapis 90% partikel viral.

    Pelitup muka ini datang dalam set tiga helai dalam saiz medium atau besar. Ia menampilkan corak unik Batik Tetap sebagai mengenang warisan seni Malaysia, dengan rekaan bunga dan warna yang berbeza. Ia dijual pada harga RM99 dan boleh dibeli dari cawangan Volvo seluruh negara.

     
     
  • Lokasi sekatan jalan raya di Kuala Lumpur akan sentiasa berubah-ubah, 24 jam sehari – Polis KL

    Lokasi sekatan jalan raya di Kuala Lumpur akan sentiasa berubah-ubah, 24 jam sehari – Polis KL

    Tidak seperti PKP 1.0 dan PKP 2.0, untuk Perintah Kawalan Pergerkan ketiga (PKP 3.0) yang lebih ketat kali ini tiada sekatan jalan raya (SJR) akan dibuat secara statik di dalam kawasan pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, sebaliknya ia akan dilakukan secara berubah-ubah lokasi.

    Menurut laporan Berita Harian, buat masa sekarang sebanyak dua pasukan akan ditugaskan di empat lokasi SJR yang didirikan secara bergerak 24 jam sehari.

    Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata tiada sebarang SJR statik dilakukan disebabkan terdapat banyak laluan pilihan yang boleh digunakan di daerah berkenaan.

    “Kita tidak melaksanakan SJR statik namun akan mengadakan SJR bergerak bergantung kepada jumlah kenderaan dan keperluan semasa.

    “Kami juga melakukan pemeriksaan rambang terhadap orang ramai yang berada di dalam daerah Dang Wangi, bagi memastikan mereka mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan selain bergerak dengan kebenaran,” katanya.

    Dalam perkembangan sama, Zainal turut menyatakan bahawa pihaknya turut sedar berkenaan masalah berkaitan surat kebenaran dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) pada hari pertama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ini dan memberikan kebenaran kepada mana-mana pekerja sektor perkhidmatan yang dibenarkan untuk bergerak.

    “Namun kita yakin masalah berkaitan surat kebenaran oleh MITI ini akan selesai dalam masa terdekat dan pihaknya tidak akan memberikan lagi sebarang pergerakan tanpa menunjukkan dokumen MITI dalam masa terdekat,” katanya.

     
     
  • Yamaha NMax 2021 menerima warna baru – RM9k

    Yamaha NMax 2021 menerima warna baru – RM9k

    Hanya enam bulan selepas dilancarkan untuk pasaran Malaysia, Yamaha NMax kini diberikan pilihan warna baru. Tiada lagi warna merah seperti yang ditawarkan sebelum ini, dan sekarang NMax hanya datang dalam dua warna kelabu dengan satu lebih gelap, dan satu lagi lebih terang.

    Harganya masih tidak berubah, iaitu RM8,998 tidak termasuk insurans, dan didatangkan dengan jaminan dua tahun atau 20,000 km, serta kunci cakera brek yang bernilai RM100. Harga menarik ini dapat ditawarkan kerana NMax pasaran Malaysia mempunyai spesifikasi rendah.

    Jika dibandingkan dengan pasaran Indonesia, model yang dibawa ke Malaysia tidak mendapat fungsi seperti Y-Connect, kawalan cengkaman, ABS, suspensi belakang dengan tabung gas serta sistem kunci pintar.

    Walaubagaimanapun, ia masih dilengkapi dengan sistem start/stop, soket pengecas 12V, tangki bahan api 7.1 liter, ruang simpanan bawah tempat duduk 23.3 liter serta brek cakera depan dan belakang. Berat keseluruhan skuter ini adalah 130 kg dan ia menggunakan rim 13 inci di depan dan belakang.

    NMax yang berada di pasaran sekarang diperkenalkan kepada dunia buat pertama kali pada tahun 2019 dan boleh dianggap sebagai versi facelift, di mana semua panel badannya adalah baru, bersama dengan lampu depan dan belakang LED serta panel meter LCD. Enjin pula masih lagi sama seperti model sebelumnya, iaitu unit satu silinder suntikan bahan api, SOHC 155 cc VVA yang mampu menghasilkan kuasa 15.4 PS pada 8,000 rpm dan 13.9 Nm tork pada 6,000 rpm.

     
     
  • PKP 3.0: JPJ, APAD, Puspakom tutup; Lesen memandu, cukai jalan luput diberi kelonggaran 60 hari

    PKP 3.0: JPJ, APAD, Puspakom tutup; Lesen memandu, cukai jalan luput diberi kelonggaran 60 hari

    Susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di seluruh negara mulai hari ini hingga 14 Jun 2021, semua urus niaga dan perkhidmatan yang disediakan di kaunter-kaunter agensi bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) iaitu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Puspakom, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah dan
    LPKP Sarawak dihentikan operasi sementara.

    Menurut MOT, hanya urusan kenderaan perdagangan perkhidmatan perlu (essential services) yang memerlukan perjalanan rentas sempadan negara sahaja dibenarkan melalui temujanji.

    “Berikutan penutupan yang melibatkan JPJ, kelonggaran diberikan kepada pemilik Lesen Memandu (LM), Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Vokasional (PSV/GDL) yang tamat tempoh pada mana-mana tarikh antara 1 Jun sehingga 31 Julai 2021, dibenarkan memperbaharui LM, LKM dan PSV masing-masing dalam tempoh 60 hari iaitu bermula 1 Ogos hingga 30 September 2021.

    “Seperti kelonggaran sebelum ini, pemilik LKM yang tamat tempoh hendaklah memastikan kenderaan masing-masing memiliki perlindungan insurans yang sah dan menunjukkan salinan sijil perlindungan insurans (e-cover note) sekiranya diminta pihak berkuasa,” ujar kenyataan MOT.

    Manakala kaunter bagi urusan pertukaran hak milik kenderaan adalah ditutup sementara, namun orang ramai boleh berurusan secara dalam talian menerusi e-auto atau MyEG. Untuk Kiosk JPJ pula, ia dibuka dari jam 8.30 pagi hingga 4 petang (kiosk dalam premis JPJ) dan 6 pagi – 8 malam (kiosk di luar premis) mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

    Untuk perkhidmatan APAD dan LPKP pula, MOT memaklumkan pengecualian daripada memperbaharui lesen dan permit untuk Lesen Pengendali, Permit Kenderaan Perdagangan, Lesen Kenderaan Pelancongan dan Kad Pemandu. “Kesemua lesen dan permit yang dinyatakan di atas dibenarkan beroperasi walaupun telah tamat tempoh dengan syarat mempunyai perlindungan insurans yang sah,” jelas MOT.

    Bagi Puspakom pula, tempoh sah laku kelulusan pemeriksaan di agensi ini akan dilanjutkan mengikut baki selepas tamat tempoh PKP 3.0.

    Dalam masa sama, MOT menggalakkan orang ramai supaya dapat berurusan dengan mana-mana agensi secara dalam talian untuk perkhidmatan yang berkaitan. Orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini dan sahih dengan melayari laman web serta laman media sosial rasmi agensi-agensi yang berkaitan untuk maklumat lebih lanjut.

     
     
  • Honda Malaysia teruskan khidmat servis kenderaan, operasi lain ditangguh sementara hingga 14 Jun

    Honda Malaysia teruskan khidmat servis kenderaan, operasi lain ditangguh sementara hingga 14 Jun

    Selaras dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh yang bermula hari ini, Honda Malaysia memaklumkan bahawa operasi perniagaannya di kilang pemasangan di Pegoh, Melaka dan pejabat jualan serta bilik pamerannya di seluruh negara akan dihentikan sementara bermula 1 hingga 14 Jun.

    Bagaimanapun, pelanggan yang berminat masih boleh memanfaatkan perkhidmatan dalam talian yang disediakan untuk membuat tempahan kenderaan, yang diumumkan Disember tahun lalu, dan boleh dicapai melalui laman web rasmi Honda Malaysia. Namun, disebabkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) juga akan ditutup sepanjang tempoh berkenaan, ia akan memerlukan sedikit masa sebelum kenderaan pelanggan boleh didaftarkan.

    Seperkara lagi, lanjutan pengecualian SST bagi kenderaan seperti yang diumumkan semalam mungkin akan melegakan segelintir pelanggan kerana kini mempunyai lebih masa untuk membuat pertimbangan dan keputusan, serta memanfaatkan penjimatan tersebut; tempoh berkenaan akan berakhir 31 Disember nanti.

    Bagi pemilik sedia ada, perkhidmatan lepas jualan Honda masih disediakan di semua cawangan Honda di Malaysia, dan hal ini memang dibolehkan ketika PKP penuh ini. Syarikat menggalakkan pelanggan untuk memuat turun aplikasi HondaTouch untuk memudahkan urusan mendapatkan temujanji. Cara lain, mereka boleh juga menghubungi talian seperti biasa.

    Honda Malaysia juga mewajibkan pelanggan untuk terlebih dahulu membuat temujanji bagi tujuan servis kenderaan, dan tiada urusan “walk-in” yang dibenarkan. Pelanggan juga perlu membuat temujanji di cawangan paling hampir (radius 10 km dari kediaman) untuk memastikan penerimaan tempahan servis kenderaan mereka. Selain daripada servis penyelenggaraan, lain-lain khidmat lepas jualan yang ditawarkan termasuk body & paint serta bantuan menunda.

    Seperti biasa, semua cawangan pengedar Honda akan mengikuti garis panduan SOP yang ketat untuk keselamatan semua. Syarikat ini juga memohon maaf di atas segala kesulitan yang mungkin berlaku sepanjang tempoh ini.

     
     
  • Aprilia Tuono 660 2021 tiba di Malaysia – RM77,900

    Aprilia Tuono 660 2021 tiba di Malaysia – RM77,900

    Hampir dua bulan selepas Aprilia RS660 dilancarkan untuk pasaran Malaysia, kini Tuono 660 pula tiba. Dua model ini menggunakan asas sama, tetapi Tuono 660 mempunyai panel badan yang menjadikan ia sebagai sebuah model naked dan kedudukan menunggangnya lebih tegak.

    Walaupun satu versi naked, Aprilia tidak dengan mudah sekadar menanggalkan panel yang tidak perlu pada Tuono 660, malah ia juga telah diuji dalam terowong angin seperti RS660. Lampu hadapannya menggunakan unit LED dengan DRL dan berat keseluruhannya adalah 183 kg.

    Tuono 660 digerakkan oleh enjin dua silinder selari 660 cc dengan sistem penyejukan cecair dan menepati tahap emisi Euro 5. Kuasa maksimum yang mampu dihasilkan adalah 94 hp, sedikit rendah berbanding 100 hp pada RS660, tetapi nisbah akhirnya lebih pendek untuk menghasilkan maklum balas serta pecutan lebih baik.

    Aprilia Tuono 660 2021 tiba di Malaysia – RM77,900

    Sistem elektronik yang diberikan pada Tuono 660 juga adalah sama seperti RS660, termasuk kawalan cengkaman beberapa tahap, wheelie control, cruise control, engine brake control, ABS yang boleh ditutup serta pilihan mod tunggangan.

    Menurut Aprilia, terdapat lima mod tunggangan yang disediakan pada Tuono 660, dengan tiga daripadanya untuk kegunaan atas jalan biasa dan dua lagi untuk kegunaan di dalam litar. Panel instrumen menggunakan skrin TFT berwarna sama seperti RS660.

    Bagi pasaran Malaysia, Tuono 660 setakat ini hanya ditawarkan dalam warna Concept Black, sementara di negara luar terdapat beberapa pilihan warna lain seperti Acid Gold dan Iridium Grey.

     
     
  • PKP 3.0: Kerajaan umum bantuan ‘one-off’ RM500 kepada lebih 100 ribu pemandu teksi, bas dan e-hailing

    PKP 3.0: Kerajaan umum bantuan ‘one-off’ RM500 kepada lebih 100 ribu pemandu teksi, bas dan e-hailing

    Malam tadi, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Program Strategik Memperkasa Rakyat Dan Ekonomi Tambahan (Pemerkasa+) iaitu pelan bantuan dan sokongan ekonomi bernilai RM40 bilion susulan Perintah Larangan Pergerakan (PKP 3.0) yang lebih ketat dari 1 hingga 14 Jun 2021.

    Antara bantuan yang diumumkan ialah sejumlah RM68 juta peruntukan untk mereka yang bekerja dalam industri pelancongan dan pengangkutan. Di mana bantuan kewangan secara ‘one-off’ bernilai RM500 akan diberikan kepada 17,000 pemandu pelancong dan lebih 100,000 pemandu teksi, bas sekolah, bas pelancongan, kereta sewa dan e-hailing. Menurut Perdana Menteri, bantuan tersebut akan disalurkan pada Julai ini untuk individu berkenaan yang berdaftar.

    Bantuan tersebut adalah tambahan kepada pakej bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) yang diumumkan oleh kerajaan pada Januari lalu, yang juga bantuan secara ‘one-off’ kepada industri terlibat. Sebelum ini, di bawah program Bantuan Prihatin Nasional (BPN), pemandu e-hailing menerima RM500 juga secara ‘one-0ff’, sementara pemandu teksi dan bas pula masing-masing menerima RM600.

    Kerajaan juga telah memperuntukan sebanyak RM1 bilion untuk skim rehabilitasi sewa beli bas dan teksi yang dilancarkan minggu ini, iaitu bagi pengusaha bas dan teksi yang layak untuk mendapat moratorium pinjaman sehingga 12 bulan dan juga tempoh lanjutan sehingga 36 bulan.

     
     
  • PKP 3.0: Bengkel, pusat servis, kedai tayar, kedai alat ganti boleh dibuka, kilang dan bilik pameran tutup

    PKP 3.0: Bengkel, pusat servis, kedai tayar, kedai alat ganti boleh dibuka, kilang dan bilik pameran tutup

    Kerajaan membenarkan bengkel kereta, kedai alat ganti, serta kedai tayar untuk terus beroperasi walaupun negara kini sedang menjalankan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk kali ketiga (PKP 3.0) yang lebih ketat bermula 1 hingga 14 Jun ini.

    Walaupun bilik pameran kereta tidak dibenarkan beroperasi dalam tempoh yang sama, difahamkan pelanggan masih lagi boleh membuat tempahan dalam talian yang ditawarkan oleh sebahagian pengeluar. Dalam masa yang sama, produksi di kilang-kilang kereta akan dihentikan dalam tempoh dua minggu ini, namun pusat servis pada fasiliti 3S dan 4S masih dibenarkan beroperasi dengan kapasiti pekerja yang dikurangkan.

    Menurut menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), premis pembaikan (badan dan cat) serta pusat servis juga dibenarkan beroperasi dengan kapasiti pekerja 60%. Tiada khidmat basuh kereta dibenarkan untuk beroperasi di fasiliti-fasiliti berkenaan.

    Premis-premis yang dibenarkan beroperasi tersebut juga perlu mengamalkan prosedur operasi standard (SOP), dan juga tertakluk dalam larangan pergerakan melebihi radius yang ditetapkan serta larangan merentas daerah/negeri.

     
     
  • Pengecualian SST kenderaan dilanjutkan ke 31 Dis

    Pengecualian SST kenderaan dilanjutkan ke 31 Dis

    Dalam pengumuman oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkaitan pelan bantuan dan sokongan ekonomi sempena Perintah Larangan Pergerakan (PKP 3.0) yang lebih ketat dari 1 hingga 14 Jun 2021, beberapa bantuan melibatkan automotif turut tersenarai.

    Antaranya ialah kerajaan telah bersetuju untuk melanjutkan tempoh pengecualian cukai SST bagi kenderaan CKD (100%) dan CBU (50%) bagi kenderaan penumpang sehingga 31 Disember 2021. Sebelum ini, perkara yang mula diumumkan di bawah inisiatif PENJANA ini sudah pernah dilanjutkan sekali, dan sepatutnya berakhir pada 30 Jun 2021. Perkembangan terbaru ini melibatkan lanjutan enam bulan lagi sebagai langkah menyokong kelangsungan perniagaan dalam tempoh PKP 3.0 kali ini.

    Pengecualian SST kenderaan dilanjutkan ke 31 Dis

    Seterusnya adalah berkaitan moratorium (penangguhan bayaran balik) pinjaman bank. Memetik kenyataan ucapan yang disampaikan oleh Muhyiddin, pihak bank memberi komitmen penuh untuk terus menyediakan bantuan moratorium tersebut.

    “Oleh itu, bagi semua golongan B40 dan rakyat yang terjejas ekoran kehilangan pekerjaan serta perusahaan mikro dan PKS yang tidak dibenarkan beroperasi dalam tempoh PKP, anda diberi pilihan untuk mendapatkan kelulusan moratorium secara automatik selama 3 bulan atau boleh memilih untuk mendapatkan pengurangan bayaran balik secara ansuran sebanyak 50% selama tempoh 6 bulan,” jelas kenyataan yang disampaikan.

    Inisiatif ini katanya akan dimulakan segera pada bulan Jun ini dan dijangka memanfaatkan lebih dari 5 juta peminjam dengan nilai sehingga 30 bilion ringgit. Bank akan memberi maklumat terperinci berkaitan perkara ini esok.

     
     
  • Jentera lumba sebenar Alfa Romeo 155 V6 Ti ini bakal dilelong – dianggar terjual pada harga lebih RM4 juta!

    Jentera lumba sebenar Alfa Romeo 155 V6 Ti ini bakal dilelong – dianggar terjual pada harga lebih RM4 juta!

    Alfa Romeo 155 antara sedan ikonik pada era 90’an yang sering dikaitkan dengan perlumbaan Touring Car. Model berkenaan antara watak penting dalam pentas-pentas utama Touring Car global seperti di Kejohanan Touring Car British (BTCC) dan juga di Kejohanan Touring Car Jerman atau Deutsche Tourenwagen Meisterschaft (DTM).

    Sekarang kalau anda betul-betul banyak duit, tak perlu lagi nak ubahsuai sebuah 155 standard untuk kelihatan seperti jentera lumba, kerana laman lelongan RM Sotheby’s kini ada menyenaraikan sebuah jentera lumba sebenar Alfa Romeo 155 V6 Ti dan ia boleh dibida bermula 15 Jun ini!

    Jentera yang dengan livery ikonik Martini Racing tersebut merupakan kereta yang pernah dipandu oleh salah seorang pemandu touring car lagenda Itali, Nicola Larini dalam Kejohanan Touring Car Itali pada musim 1996. Jentera ini dihasilkan oleh Alfa Corse berasaskan undang-undang FIA Class 1, dan ia telah memenangi perlumbaan di Interlagos serta Mugello.

    Jentera lumba sebenar Alfa Romeo 155 V6 Ti ini bakal dilelong – dianggar terjual pada harga lebih RM4 juta!

    Sebagai jentera ‘works’ Class 1, Alfa Romeo 155 ini dijana oleh enjin V6 2.5 liter dengan blok V 90 darjah dihasilkan dari logam ringan, diberikan kepala silinder dengan injap yang berfungsi menerusi sistem pneumatik. Ini membolehkan enjin berkenaan menghasilkan 490 hp, serta menjerit sehingga 11,900 rpm tanpa masalah.

    Enjin tersebut digandingkan dengan kotak gear Xtrac enam-kelajuan semi-sequential, dan kuasa dihantar ke kesemua roda. Ini membolehkan Alfa Romeo 155 V6 Ti ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 2.5 saat, dan mencatatkan kelajuan maksima melebihi 300 km/j.

    Menurut RM Sotheby’s, selepas jentera ini bersara dari perlumbaan pada penghujung 1996, ia telah pun dijual oleh Alfa Corse dan sehingga kini telah bertukar tangan sebanyak tiga pemilik. Pemilik terakhirnya telah membeli jentera ini pada 2018 dan membawanya ke Jerman, kemudian Scuderia Gran Tourismo telah menyediakan kereta tersebut untuk berlumba di siri tahunan DTM Classics.

    Sepanjang lima tahun kebelakangan ini, sejumlah €350,000 (1.765 juta) telah dibelanjakan pada kereta berkenaan. Ia telah memenangi perlumbaan DTM Classics pada penampilan pertamanya di Norisring pada 7 Julai 2019, kemudian mendapat tempat keempat di Lausitzring pada 25 Ogos 2019. Pada Mac 2020, enjin dan juga transmisi jentera ini telah dirombak rawat serta diuji di atas mesin dyno di Jerman.

    Agak-agak berapa wang yang perlu anda sediakan kalau berhajat untuk memiliki kereta ini? RM Sotheby’s menyatakan bahawa ia dianggar bakal terjual pada harga antara €700,000 (RM3.5 juta) dan €800,000 (RM4.04 juta)!

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (+0.02)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.13
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (+0.02)
EURO 5 B7 RM3.10 (+0.02)
Last Updated Sep 11, 2025