Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Yamaha Lifestyle Point dibuka di Kuantan – pertama seumpamanya di Malaysia, lebih lagi akan ditambah

    yamaha-kuantan-bm-15

    Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) Sdn Bhd baru sahaja membuka sebuah pusat gaya hidup Yamaha di Kuantan, Pahang, demi memberikan servis yang lebih baik kepada penggunanya di sana. Pusat ini digelar sebagai Yamaha Lifestyle Point dan adalah yang pertama seumpamanya di Malaysia.

    Menurut pengarah urusan HLYM, Datuk Jim Khor, pusat ini dibuka untuk memberikan sokongan servis selepas jualan, alat ganti dan jualan barangan rasmi Yamaha. Selain itu, ia juga menempatkan pusat latihan dan pengetahuan bagi pengedarnya dan mempunyai ruang yang luas untuk pemilik motosikal Yamaha mengadakan aktiviti di situ. Satu perkara yang tidak dilakukan di pusat ini adalah jualan motosikal kerana HLYM menyerahkan tugas ini kepada pengedarnya.

    yamaha-kuantan-bm-4

    Pada bahagian pameran, selain motosikal, HLYM turut meletakkan barangan Yamaha Music dan pelbagai jentera lain termasuk jet ski dan ATV. Model yang dipamerkan adalah model yang terbaru dan HLYM akan memastikan tempat ini sentiasa menarik dan menjadi perhatian kepada orang ramai.

    Tambah Jim, HLYM akan membuka lebih banyak pusat seperti ini dan ia akan membawa imej korporat baru Yamaha. Selain ruang dalam bangunan, mereka juga melihat kepada ruang yang luas di bahagian luar supaya pemilik dapat melakukan aktiviti di sini. Oleh sebab itu, ia akan mengambil sedikit masa kerana bukan semua fasiliti yang mereka ada sekarang mempunyai kriteria tersebut.

    Bagi yang pertama ini, ia terletak di Lot 27, Lorong Padang Lalang 8, 25050 Kuantan, Pahang. Ia dibuka dari hari Isnin hingga Jumaat, jam sembilan pagi hingga enam petang. Sabtu, Ahad dan cuti umum, ia ditutup.

     
     
  • Tayar Westlake dari China diperkenalkan di Malaysia

    westlake-tyres-malaysia-launch-25-850x563

    Westlake Tyre, sebuah jenama tayar baharu dari China kini dilancarkan untuk pasaran Malaysia. Merupakan sebahagian daripada Zhongce Rubber Group, syarikat berkenaan telah menubuhkan pejabat pemasarannya di Malaysia untuk memperkembang jenama itu di sini.

    Bagi pasaran tempatan, Westlake mensasarkan 85% tayar yang akan dijual akan dikilangkan di Thailand atas sebab-sebab kos dan juga struktur cukai. Beberapa model yang lebih tinggi pula akan dikeluarkan di China.

    “Kami berbangga untuk menjadi pengimport tunggal bagi tayar-tayar Westlake, yang terdiri daripada barisan produk dengan kualiti premium pada harga yang berpatutan. Tahun depan, kami merancang untuk melancrkan lebih banyak tayar untuk memenuhi permintaan yang lebih tinggi,” jelas Pengarah Urusan Westlake Marketing Malaysia, Tan Heong Thong.

    Di China, Westlake merupakan pembekal OEM bagi pengluar kenderaan seperti Geely, BYD, Changan, Suzuki, Land Rover dan Volvo. Syarikat itu juga mempertimbang untuk membekalkan tayar bagi pengeluar kenderaan yang ada di Malaysia, walaupun tidak dinamakan setakat ini.

    Setakat ini, Westlake Malaysia mendakwa mempunyai 300 kedai tayar yang menjual barisan produk mereka di seluruh negara. Selain itu juga, jenama berkenaan turut mempunyai dua kedai konsep yang sudah beroperasi, satu di Terengganu dan satu lagi di Sungai Petani.

    Syarikat itu merancang untuk membuka 10 lagi kedai konsep tahun depan. Westlake mempunyai barisan produk yang pelbagai, daripada tayar untuk kereta penumpang, SUV, 4×4, trak ringan, trak perdagangan hinggalah kepada tayar untuk kegunaan industri dan sektor pertanian.

     
     
  • Perak bakal miliki litar lumba dalam bandar pintar

    tcity-03

    Perak bakal menjadi negeri pertama yang membangunkan perbandaran bersepadu moden bertemakan sukan permotoran tidak lama lagi. Dikenali sebagai T-City, projek mega bertaraf antarabangsa itu akan dibangunkan oleh Goodland Group Limited dan Citrine Capital Pte Ltd, di tapak seluas 184.5 hektar.

    Dengan jangkaan nilai pembangunan kasar (DGV) RM15.1 bilion, pembangunan perbandaran bersepadu moden itu bakal memantapkan kedudukan Perak dan sekali gus menjana pertumbuhan berganda ekonomi negeri serta negara.

    Menurut Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, projek yang dirancang sejak tiga tahun lalu itu turut disokong Majlis Ekonomi Negara, dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri mahu ia berjaya, laporan Bernama.

    “T-City menerapkan konsep bandar pintar, melibatkan tiga fasa pembangunan dengan lima tunjang utama termasuk kemudahan sukan permotoran dan hab hiburan. Tunjang lain termasuk pusat automotif, rangkaian perusahaan runcit dan makanan, hotel dan pangsapuri perkhidmatan serta kondominium,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek T-City, semalam.

    Menurut Zambry lagi, fasa pertama projek melibatkan kawasan seluas 80.9 hektar, yang antara lain meliputi pembinaan litar perlumbaan Formula 2 (F2) pertama di Malaysia, yang dijangka dibuka Jun depan.

    Projek ini dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh 15 ke 20 tahun dan berharap ia dapat mengadaptasi perubahan pantas pasaran dunia.

     
     
  • VIDEO: LaFerrari Aperta dipandu Sebastian Vettel

    Setelah didedahkan secara rasmi sebelum ini, kini Ferrari menyiarkan pula video promosi LaFerrari versi convertible – LaFerrari Aperta – yang dipandu pelumba F1 Scuderia Ferrari iaitu Sebastian Vettel.

    LaFerrari Aperta merupakan model yang dibina untuk meraikan ulang tahun ke-70 Ferrari tahun hadapan. Jadi, dalam video ini, model-model perlumbaan lagenda Ferrari yang lain turut ditampilkan, sebagai refleksi kejayaan terdahulu pembuat kereta dari Itali berkenaan sehingga ke tahap sekarang.

    Antara jentera yng membuat kemunculan berkenaan termasuk 125 S, 250 GTO, 330 PA, serta jentera Formula 1 Ferrari iaitu 312T4 yang pernah dipandu Gilles Villeneuve dan Jody Scheckter serta F2003-GA yang pernah dipandu Rubens Barichello dan Micheal Schumacher.

    Setelah mempamerkan kehebatannya beraksi di jalan raya, Vettel kemudiannya tiba di Litar Circuit de Barcelona-Catalunya di Sepanyol. Dalam litar, jentera dengan enjin V12 6.3 liter digandingkan bersama sistem KERS – menghasilkan 949 hp secara keseluruhan – dipandu pada tahap maksimum oleh Vettel.

    Pada akhir video ini, jentera berkenaan juga seolah-olah ‘memanggil’ Vettel untuk memandunya lagi dengan ngauman enjin V12 yang mengujakan.

    Walau bagaimanapun, video promosi ini adalah sebagai memperlihatkan LaFerrari Aperta ini kepada umum semata-mata dan bukan untuk mencari pembeli. Ini kerana hypercar berkenaan hanya dibina terhad kepada 209 unit di mana kesemuanya telah habis ditempah oleh pelanggan.

     
     
  • GALERI: Volkswagen Beetle Dune 1.4 TSI di Malaysia

    volkswagen-beetle-dune-1

    Baru-baru ini, kehadiran Volkswagen Beetle Dune telah diuar-uarkan di laman web klasified oto.my, dengan memberikan gambaran model Bug yang serba ranggi ini bakal memasuki pasaran Malaysia tidak lama lagi. Kini ia sudah pun berada di beberapa bilik pameran Volkswagen di Malaysia dan foto-foto di galeri di bawah ini khas untuk tatapan anda.

    Dune hadir dengan enjin 1.8 liter pengecas turbo dengan kuasa 170 PS, pada dasarnya adalah sama dengan penjana kuasa bagi B7 Passat – berbanding 1.2 liter, 1.4 liter dan 2.0 liter TSI bagi varian Dune untuk pasaran luar.

    Menerusi konfigurasi ini, ia mampu menghasilkan kuasa sehingga 150 PS dari 5,000 hingga 6,000 rpm dan tork 250 Nm antara 1,500 dan 3,500 rpm, dengan kuasa yang disalurkan ke roda hadapan menerusi transmisi DSG dwi-klac tujuh-kelajuan.

    Dengan gabungan tersebut, Dune ini mampu dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 8.8 saat, dan mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga 200 km/j. Manakala penggunaan bahan apinya dianggarkan sekitar 5.5 liter bagi setiap 100 km.

    Perbezaan antara Dune dengan model Beetle biasa ialah penampilan Dune yang lebih agresif jelas kelihatan pada bampar hadapan (seperti yang dilihat pada model facelift bagi Beetle R-Line), kekemasan ambang sisi, spoiler belakang dengan dua-tona, lampu belakang LED, lapisan plastik di sekeliling dan skid plate hadapan dan belakang berwarna perak. Ia juga ditampilkan dengan rim aloi dua-tona “Canyon” 18-inci, pelekat pada bahagian sisi dengan perkataan Dune serta jarak kelegaan tanah bagi Dune juga telah dipertingkatkan sebanyak 10 mm.

    Di bahagian dalamnya, logo Dune tertera pada roda stereng, dnegan jahitan kuning pada roda stereng, tuil gear dan tuit brek tangan. Malah ia juga didatangkan dengan kulit upholstery “Vienna”, bersama lampu utama xenon dengan lampu nyalaan siang LED, kawalan suhu automatik dua-zone Climatronic, roda stereng pelbagai-fungsi dan sistem infotainmen Composition Media dengan skrin sentuh 6.5-inci.

     
     
  • PLUS umum fasa percubaan laluan kontra di Plaza Tol Jalan Duta dilaksana mulai 14 sehingga 28 Nov ini

    toll booth

    Projek Lebuhraya Usahasama Berhad (PLUS) telah mengumumkan pembukaan satu laluan kontra di laluan masuk Plaza Tol Jalan Duta di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) pada 14 November sehingga 28 November ini, setiap hari bermula jam 4 petang hingga 8 malam.

    Ini bagi membolehkan fasa percubaan pengurusan penyuraian trafik dijalankan bagi membantu mengurangkan kesesakan dan melancarkan pergerakan trafik pada waktu puncak di laluan terbabit.

    Dalam masa yang sama, satu lorong masuk paling kanan di plaza tol tersebut dikhususkan untuk pemandu dari Lebuh raya DUKE yang menggunakan lorong Touch ‘n Go yang ingin memasuki Lebuh raya NKVE.

    Sehubungan itu, PLUS menasihatkan semua pemandu yang menggunakan laluan tersebut supaya mematuhi semua papantanda serta arahan yang diberikan oleh pihak PLUS.

     
     
  • JPJ kaji cadangan kurangkan kos lesen motosikal

    sym-sport-rider-125i-25-bm

    Bagi menggalakkan lebih ramai penunggang motosikal memiliki lesen yang sah, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengkaji cadangan mengurangkan kos pengambilan lesen motosikal termasuk motosikal berkuasa tinggi.

    Menurut Ketua Pengarah JPJ, Datuk Nadzri Siron, walau bagaimana pun pihaknya perlu memperinci terlebih dahulu kesesuaiannya dan kos yang terlibat dalam usaha itu, laporan Bernama.

    Beliau berkata penunggang motosikal harus memahami kelebihan memiliki lesen kenderaan itu kerana ia bakal memberi manfaat insurans kepada setiap individu khususnya jika terlibat dalam kemalangan.

    “Hampir 1.2 juta penunggang motosikal di negara ini tidak mempunyai lesen dan 6,000 kemalangan melibatkan golongan tersebut dengan 18 kematian direkodkan setiap hari. Disebabkan itu, pelbagai program kita anjurkan dengan kerjasama entiti sukarelawan sebagai satu pendekatan kepada rakyat untuk memberi kefahaman terhadap isu keselamatan jalan raya,” katanya kepada pihak media di Shah Alam semalam.

    Katanya setakat ini, lebih tiga juta penunggang motosikal di negara ini memiliki lesen kelas B2 serta B dan ini menunjukkan tahap kesedaran rakyat terhadap kepentingan lesen semakin baik.

    “Kerjasama sukarelawan dan program yang dianjurkan kelab motosikal dapat saling membantu menerapkan pengetahuan rakyat mengenai keperluan memiliki lesen dan pematuhan undang-undang jalan raya,” katanya.

    Baru-baru ini, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi telah mengeluarkan kenyataan bahawa dianggarkan seramai 1.2 juta individu di negara ini menunggang motosikal tanpa memiliki lesen yang sah. Anggaran itu berdasarkan antara lapan hingga 10% daripada 15 juta penduduk yang layak memiliki lesen menunggang motosikal iaitu kira-kira separuh daripada 30 juta penduduk Malaysia.

     
     
  • Aprilia Shiver 900 2017 – 896 cc, 95 hp, 89.4 Nm

    2017-aprilia-shiver-900-06-850x642-bm

    Aprilia Shiver 750 boleh dikatakan agak popular di Malaysia kerana harga yang ditawarkan agak menarik hasil daripada aktiviti pemasangan tempatan (CKD) yang dilakukan dan memberikan eksklusiviti sebuah motosikal jenama Itali. Kini, Aprilia sudah memperkenalkan penggantinya – Shiver 900 yang akan mula dipasarkan pada tahun 2017.

    Enjin dua silinder V berkapasiti 750 cc sebelum ini dibesarkan menjadi 896 cc dan kini mampu menghasilkan 95 hp pada 8,750 rpm dan tork 89.4 Nm pada 6,600 rpm. Walaupun jumlah ini tidak banyak berbeza berbanding model sebelum ini, Aprilia mendakwa ia dapat memberikan tork yang lebih tinggi pada tahap rpm pertengahan dan dapat mematuhi tahap emisi Euro 4. Penyumbang lainnya adalah ekzos rekaan baru.

    Buat pertama kalinya, Shiver 900 akan dilengkapkan dengan sistem Traction Control tiga tahap dan ia boleh ditutup sekiranya mahu. Pada bahagian suspensi, fork Kayaba 41 mm baru dengan pelarasan lantunan dan pra beban digunakan pada bahagian hadapan dan ini membantu mengurangkan berat Shiver sebanyak 0.5 kg. Di bahagian belakang pula, ia menggunakan penyerap monoshock dengan pelarasan pra beban sahaja.

    Rim yang digunakan pada Shiver 900 juga adalah baru dan ia lebih ringan sebanyak 2 kg berbanding rim sebelum ini. Tugas membrek pula dijalankan oleh angkup empat piston dan cakera 320 mm di hadapan, dan angkup satu piston dengan cakera 240 mm di belakang. Sistem ABS dua rangkaian didatangkan secara standard.

    Untuk bahagian badan, tangki minyak, panel tepi, lampu belakang dan penghadang lumpur semuanya adalah baru dan panel paparan LCD TFT 4.3 inci daripada model RSV4 turut dipasang pada Shiver 900. Meskipun masih belum ada harga, Aprilia memberitahu Shiver 900 dijangka muncul di pasaran pertamanya pada bulan April, 2017. Di Malaysia, Aprilia Shiver 750 CKD dijual pada harga RM45,888.

     
     
  • SPYSHOT: Kereta rasmi Presiden Trump berharga RM6.6 juta dilihat atas jalan, dibangunkan oleh GM

    cadillac-the-beast-spyshot-850x446-bm

    Amerika Syarikat secara rasminya kini mempunyai presiden baru apabila Donald Trump memenangi pilihan raya yang diadakan. Sebaik mengangkat sumpah pada Januari 2017 nanti, beliau bukan setakat akan diberi hak untuk menduduki Oval Office di White House, tetapi juga akan menerima limosin baru.

    Kereta di dalam gambar ini adalah pengganti kepada kereta berperisai Presiden Obama yang dipanggil sebagai ‘The Beast‘ dan dibuat oleh General Motors. Pembangunannya mengambil masa lebih daripada dua tahun dan walaupun dilihat menggunakan pelekat samaran (camouflage), ia berkemungkinan masih akan mempunyai lencana Cadillac yang melekat di gril hadapan kerana seperti diasaskan daripada model XT5. Turut boleh dilihat adalah lampu hadapan yang lebih nipis.

    Walaupun diberikan perubahan pada bahagian luar, kenderaan ini berkemungkinan besar akan menggunakan tetapan tempat duduk 2+3+2 yang sama. Menurut laporan Autoweek, selain perisai pertahanan dan ciri keselamatan kecemasan, ‘Beast’ baru ini juga mungkin akan menggunakan suspensi adaptif. Perisainya boleh menahan bedilan rocket-propelled grenade (RPG) atau improvised explosive device (IED).

    Sementara itu, Fox News melaporkan bahawa spesifikasi kenderaan ini dirahsiakan atas sebab yang jelas, tetapi akan duduk di atas platform trak kerja berat, dengan catatan berat antara 6,804 kg dan 9,072 kg. Kereta itu juga dikatakan berkos USD1.5 juta (RM6.6 juta) setiap satu, sementara kos pembangunan yang dibayar oleh GM pula adalah sekitar USD15.8 juta (RM69.5 juta).

    Kereta ini dijangka membuat penampilan pertama semasa majlis angkat sumpah Trump sebagai presiden Amerika Syarikat yang ke 45 tahun hadapan.

     
     
  • Toyota Corolla Altis facelift – spesifikasi tiga varian untuk pasaran Malaysia didedah, tempahan dibuka

    altis-facelift-malaysia-spec-01-850x481-bm

    Mac yang lalu, gambar Toyota Corolla Altis facelift muncul buat pertama kali dan semalam, UMW Toyota Motor (UMWT) mengumumkan mereka sudah membuka tempahan bagi model ini, bersama pilihan varian dan harganya.

    Kesemuanya ada tiga varian untuk Corolla Altis facelift iaitu 1.8E, 1.8G dan 2.0V. Harganya pula masing-masing adalah RM120,900, RM123,900 dan RM138,900. Harga ini tidak jauh beza dengan harga model yang sedia ada sekarang dan apabila melihat spesifikasi yang telah dikeluarkan oleh UMWT di dalam laman webnya, ia boleh dikatakan agak menarik.

    Daripada aspek keselamatan, tujuh beg udara (termasuk pada bahagian lutut pemandu) diberikan secara standard kepada semua varian, bersama Vehicle Stability Control (VSC). Pada model yang ada di pasaran sekarang, VSC hanya datang pada model 2.0V dan beg udara standard untuk semua varian pula hanya ada dua. Jika mahu lebih lagi, orang ramai boleh memilih ‘pakej keselamatan tambahan’, tetapi hanya ditawarkan untuk model 2.0V. Jelas untuk model facelift ini, pakej keselamatan adalah lebih baik.

    Pada bahagian enjin, masih tiada sebarang perubahan, bermakna unit 2ZR-FE 1.8 liter (139 PS/173 Nm) dan 3ZR-FE 2.0 liter (145 PS/197 Nm) masih lagi digunakan untuk menggerakkan Altis dan ia dipadankan bersama transmisi automatik CVT dengan ciri ‘Sport Sequential Shiftmatic Mode‘ tujuh kelajuan. Pedal penukar di stereng juga diberikan kepada model 2.0V.

    Selain itu, model paling tinggi Altis facelift juga menggunakan rim 17 inci (tayar 215/45) manakala model 1.8L menggunakan rim 16 inci (tayar 205/55). Pada bahagian lampu hadapan, ia menggunakan unit LED berbanding jenis halogen bagi model 1.8L. Lampu siang dan lampu belakang LED didatangkan secara standard untuk semua model, bersama lampu kabus, manakala lampu hadapan automatik serta pengesan jarak hadapan dan belakang didatangkan untuk semua varian.

    Cermin sisinya boleh dilaras dan dilipat secara elektronik, dengan penunjuk arah pada 1.8E manakala varian 1.8G dan 2.0V mendapat tambahan ciri lipat secara automatik dan boleh berhubung dengan gear undur. Semua varian mendapat kemasan krom pada pemegang pintu, kemasan belakang dan gril hadapan. Antena tidak dapat dilihat dan dilekatkan terus pada cermin.

    altis-facelift-pricelist-850x590-bm

    Pada bahagian dalam Altis facelift yang banyak menggunakan warna hitam, barangan standard yang diberi adalah pengawal pendingin hawa automatik (satu zon), stereng kulit yang boleh dilaras (tilt/telescopic) bersama butang kawalan audio dan tempat duduk belakang yang boleh dilipat 60:40. Varian 1.8G ditambah dengan panel Optitron, butang kawalan paparan informasi dan Bluetooth di stereng, dan tempat duduk kulit.

    Bagi varian 2.0V pula, semua kelengkapan ini ditambah lagi dengan cruise control dan tempat duduk jenis sports dengan kawalan elektronik dan sokongan belakang. Turut diberi adalah cermin pandang belakang electro-chromic.

    Aksesori tambahan yang disediakan adalah unit hiburan skrin sesentuh DVD-AVN 2-DIN Toyota, Bluetooth, WiFi, HDMI, Smartphone Link, navigasi dan kamera undur. Unit yang lebih maju adalah DIV-AVN, yang dapat memberikan skrin sesentuh capacitive dan boleh melayari internet. Anda juga boleh memilih kit badan aerodinamik, kamera hadapan, plet pemijak tepi pintu berlampu dan penapis haba cermin.

    Apabila dipasarkan nanti, Toyota Corolla facelift akan memberikan saingan kepada Honda Civic, yang kini sedang menikmati pasaran dalam segmen C sejak pelancarannya Jun lalu. Honda Civic FC juga datang dalam tiga varian, tetapi dijual pada harga lebih rendah berbanding Altis – RM110,426 untuk Civic 1.8S dan RM131,883 untuk 1.5 Turbo Premium (RM3,000 lebih rendah berbanding Altis 2.0V).

     
     
  • VIDEO: Honda NSX-GT diuji di litar Autopolis

    Setelah didedahkan minggu lalu, kini Honda menyiarkan pula episod pertama siri video istimewa berkisar pembinaan Honda NSX yang direka untuk perlumbaan Super GT iaitu NSX-GT.

    Dalam video berdurasi 51-saat ini, dapat disaksikan kru pasukan Honda Racing sibuk menyediakan jentera berkenaan untuk diuji di Litar Antarabangsa Autopolis, Jepun. Klip itu juga menonjolkan badan NSX-GT tersebut yang dipenuhi dengan komponen binaan gentian-karbon, serta bunyi enjinnya yang sangat mengujakan.

    Untuk memastikan jentera ini memenuhi undang-undang perlumbaan Super GT, enjin asal 3.5 liter V6 turbo berkembar serta motor-motor elektrik perlu ditukar kepada enjin 2.0 liter empat silinder dengan pengecas turbo. Walaupun berkapasiti lebih kecil, enjin berkenaan mampu menghasilkan kuasa 590 hp, dan nisbah kuasa kepada kapasiti enjin mencapai hampir 300 hp untuk setiap liter.

    Dengan penyisihan sistem hibrid, kuasa dari enjin NSX-GT ini hanya memacu roda belakang. Ia turut diberikan kit-kit aero agresif yang terdiri dari splitter pada bampar hadapan, diffuser pada bampar belakang serta spoiler belakang, yang kesemuanya bersaiz besar. Ia turut diberikan ruang roda yang besar dengan rekabentuk aerodinamik.

    Apabila ditimbang bersama pemandu, tetapi tanpa sebarang minyak, NSX-GT ini hanya mencatat berat bersih 1,049 kg. Ia akan bersaing dalam perlumbaan dengan Lexus LC GT500 dan Nissan GT-R dalam merebut gelaran kejuaraan Super GT.

    GALERI: Honda NSX-GT



    GALERI: Honda NSX di Tokyo Motorshow

     
     
  • Hiroyuki Hasegawa – pengasas syarikat talaan HKS diumum telah meninggal dunia pada umur 71 tahun

    hks-r32

    Hiroyuki Hasegawa, pengasas, CEO dan presiden syarikat talaan lagenda dari Jepun -HKS- telah meninggal dunia pada umur 71 tahun, 9 November lalu. Walau bagaimanapun, kenyataan ringkas yang dikeluarkan oleh pihak HKS sendiri tidak menyebut sebab-sebab kematian beliau.

    Hasegawa yang juga bekas jurutera Yamaha memulakan perniagaan dalam dunia modifikasi dan talaan pada tahun 1973 bersama rakan kongsinya, Goichi Kitagawa, manakala aset dan modal permulaan dibekalkan oleh Sigma Automotive (HKS bermaksud Hasegawa-Kitagawa-Sigma).

    Pada Julai 1974, HKS telah menghasilkan kit bolt-on turbo -pertama seumpanya di dunia- yang direka khas untuk enjin L20 Nissan yang menjana model Skyline C110 atau lebih dikenali sebagai Kenmeri Skyline. Kit berkenaan mampu melonjakkan kuasa asal enjin tersebut dari 115 PS kepada 160 PS.

    Setelah kejayaan berkenaan, HKS memproduksi pula kit turbo untuk enjin L20 Skyline C210 dan juga enjin 18RG pada Toyota Celica RA28. Pada tahun 1981, HKS berjaya menembusi pasaran Amerika Syarikat dengan penubuhan HKS USA.

    hks-hq

    Dengan bermula zaman sistem suntikan bahan api elektronik pada era 1980’an, HKS mula menghasilkan perlatan-peralatan talaan berasaskan elektronik seperti pemasa turbo (turbo timer), sistem pengurusan enjin HKS F-Con serta pegawal injap elektronik HKS EVC.

    HKS juga dikenali dengan pelbagai kereta-kereta demo dan juga jentera-jentera perlumbaan berkuasa seperti Nissan Skyline GT-R BNR 32 Group-A, jentera Drag HKS 180SX dan juga kereta-kereta kejohanan drift dan time attack yang dipandu Nobuteru Taniguchi seperti Nissan Silvia S15, Toyota Altezza serta Nissan GT-R R35.

    Selain Amerika Syarikat, HKS turut bertapak di England (HKS Europe) dan di Bangkok (HKS Thailand) manakala segala usaha R&D produk terbaharu masih lagi dijalankan di ibu pejabatnya yang terletak berhampiran kaki Gunung Fuji, Jepun.

     
     
  • Nissan Juke Black Pearl Edition – terhad 1,250 unit

    2017-nissan-juke-black-pearl-edition-1-e1478834712604-850x507-bm

    Jika anda melihat nama model istimewa ini – Juke Black Pearl Edition, mungkin ada yang mengatakan ia mengambil inspirasi daripada filem Pirates of The Caribbean. Walaubagaimanapun, sebenarnya tidak. Nama ini pernah digunakan oleh Nissan untuk model terhad 280Z pada tahun 1978 dan ia digunakan kembali sebagai penghargaan.

    Juke Black Pearl Edition menggunakan asas daripada model Juke SV pasaran Amerika Syarikat dan diberikan beberapa modifikasi untuk menjadikannya lebih menyerlah. Walaupun warna utamanya adalah hitam, bahagian seperti kemasan bampar, keliling lampu utama, penghadang angin belakang, cermin sisi dan pembuka pintu diwarnakan putih bagi memberikan perbezaan. Kemudiannya, ia disempurnakan dengan rim 17 inci bersama tayar 215/55.

    Hanya 1,250 unit Juke Black Pearl Edition akan dihasilkan oleh Nissan dan 1,000 daripadanya akan dijual dalam Amerika Syarikat sahaja manakala selebihnya untuk Canada. Pembeli boleh memilih padanan enjin 1.6 liter turbo bersama kotak gear CVT Xtronic untuk pacuan dua roda hadapan ataupun pacuan empat roda. Enjin ini boleh menghasilkan 188 hp dan 240 Nm tork.

    Pada bahagian dalam, Juke edisi terhad ini didatangkan bersama tempat duduk yang dibalut fabrik hitam dan putih, bersama ciri pemanas. Tema hitam putih yang sama juga digunakan pada trim pintu, suis cermin kuasa, konsol tengah, corong pendingin hawa, tombol gear dan roda stereng.

    Juke Black Pearl Edition 2WD dijual pada harga USD22,550 (RM100,800) manakala versi 4WD pula pada USD24,400 (RM109,069).

     
     
  • PANDU UJI: Volvo S60 T6 Drive-E – sedan eksekutif ‘nakal’ dengan imej minimalis serta bersahaja

    volvos60_ext-4

    Volvo S60 generasi kedua diperkenalkan kepada dunia buat pertama kali ketika Geneva Motor Show 2010. Mengikut jejak model generasi pertama, model ini direka tidak terlalu besar seperti S80 dan 940 mahupun model-model yang kelihatan bosan seperti S70 di mana contoh-contoh berkenaan meninggalkan kesan sehingga jenama dari Sweden ini seakan sinonim dengan imej ‘guru besar pencen’.

    Bagi saya, imej yang diberikan pada S60 generasi pertama sudah pun cukup sporty lebih-lebih lagi varian paling tinggi dalam barisan S60 di Malaysia iaitu varian T5 (Volvo Cars Malaysia tidak membawa masuk model paling berkuasa – S60R kepasaran tempatan), dan ia masih lagi sesuai dengan imej seorang pemilik yang berseluar jeans, kemeja-T tanpa kolar serta berkasut sukan.

    S60 generasi kedua ini diberikan elemen lebih sporty dan lebih muda oleh Volvo pada rekaannya, khususnya pada bayangan sisi badan yang kelihatan lebih energetik dari sebelum ini. Jika tanpa garisan pintu, bentuk keseluruhan dengan bahagian belakang lebih tinggi dan bahagian depan lebih tirus, model ini lebih mirip seperti sebuah coupe berbanding sedan.

    Mula menerjah masuk ke pasaran Malaysia pada April 2011 dengan model versi CBU dalam varian 3.0 liter T6 AWD dan 2.0 liter T5, ia kemudian digantikan dengan model versi CKD dalam varian 2.0 liter turbo T5 dan 1.6 liter turbo T4. Tiada lagi enjin turbo lima silinder seperti pada model 850 T5 atau S60 T5 seperti sebelum ini, di mana enjin-enjin empat silinder pada S60 generasi baharu berkenaan merupakan enjin yang dikaitkan dengan enjin EcoBoost Ford.

    Baca artikel selanjutnya di sini

     
     
  • Treeletrik pamerkan barisan motosikal elektrik di Malaysia Auto Show, harga antara RM4.5k – RM20k

    treeletrik-1-850x567-bm

    Selari dengan langkah kerajaan untuk menggalakkan lebih banyak penggunaan kenderaan elektrik, Tree Movement Malaysia membawa pelbagai model motosikal elektrik ke pameran Malaysia Auto Show yang sedang berlangsung di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Mines (MIECC). Ia terdiri daripada jenis skuter, fairing penuh dan juga motosikal berbumbung.

    Model bernama T-220 kelihatan seperti sebuah motosikal fairing penuh biasa tetapi sebenarnya menggunakan motor elektrik 8 kW yang berada di dalam hab roda belakangnya. Ia dikatakan mahu memberi cabaran kepada motosikal biasa sekitar 500 cc tetapi beratnya sahaja sudah mencecah 300 kg. Sebahagian besarnya adalah disebabkan kehadiran pek bateri yang berada di tempat yang biasanya terdapat enjin bagi motosikal biasa.

    Dengan setiap cas penuh baterinya (yang mengambil masa lima hingga enam jam menggunakan kuasa dari rumah biasa), motosikal elektrik ini dikatakan boleh pergi sehingga 120 km. Mengikut perancangan, ia akan dipasarkan tahun hadapan dengan harga sekitar RM20,000.

    Bagi model skuter, terdapat dua model yang dipamerkan iaitu T-90 dan T-70, dan setiap satunya mempunyai dua pecahan model lagi. Kedua-dua model skuter ini juga menggunakan motor elektrik di dalam hab belakang dan bezanya cuma jumlah kuasa dan jenis bateri.

    Bagi T-90, dua model yang disediakan menggunakan sama ada motor 5 kW dengan bateri lithium-ion 50 Ah 84 V, atau motor 3 kW dengan pek bateri Tree Gold 40 Ah 84 V. Waktu mengecas adalah antara lima hingga enam jam dan masing-masing boleh bergerak sehingga jarak 105 dan 85 km. Bagi model yang menggunakan bateri lithium-ion, beratnya adalah 115 kg tetapi bagi model yang menggunakan bateri Tree Gold, ia lebih berat, mencatat 178 kg. Harga yang ditetapkan pula adalah RM9,900 untuk model bateri lithium-ion dan RM8,800 untuk model bateri Tree Gold.

    Terletak bawah pada model ini adalah skuter T-70, yang juga didatangkan dalam dua pecahan model lagi. Keuda-duanya datang dengan motor elektrik dalam hab 1.5 kW sama tetapi pek baterinya adalah berlainan- lithium-ion ataupun Tree Gold. T-70 dengan bateri lithium-ion dan kemampuan bergerak sehingga 90 km dijual pada harga RM5,600 manakala T-70 dengan bateri Tree Gold dan jarak bergerak 60 km dijual pada harga RM4,500. Berat masing-masing adalah 78 kg dan 90 kg.

    Di kawasan pameran Treelektrik juga terdapat dua buah motosikal elektrik berbumbung; satu dengan empat tayar dan satu lagi menggunakan tiga tayar. Model empat tayar tersebut dinamakan sebagai T-Vantage, mampu bergerak sehingga 100 km apabila dicas penuh dan mempunyai kelajuan maksimum antara 70 ke 80 km/j. Bukan setakat itu, ia juga dilengkapi dengan sistem pendingin hawa, kamera undur dan sistem stereo. Harganya diletakkan dalam lingkungan RM25,000 hingga RM27,000.

    Model yang mempunyai tiga tayar pula dipanggil sebagai T-2000 dan mempunyai bahagian dalam yang sama dengan T-Vantage. Selain beza jumlah tayar dan pengawal seperti motosikal, model ini juga tidak dilengkapi dengan sistem stereo, pendingin hawa dan kamera undur seperti T-Vantage. Walaubagaimanapun, ia masih mempunyai tempat duduk belakang dan pengelap cermin belakang.

    Menurut ketua pegawai operasi Tree Movement Malaysia, Tony Yap, motosikal elektrik Treelektrik didaftarkan di bawah klasifikasi kenderaan jenis ‘L’ dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan ia memerlukan lesen B2 untuk ditunggang. Cukai jalan pula hanyalah RM2.




     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.21 (+0.03)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.21
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.93 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.13 (+0.03)
Last Updated Sep 18, 2025