Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Laluan di Jalan Tun Sambanthan, Jalan Tugu ditutup hingga Julai – hanya satu lorong akan dibuka

    Laluan di Jalan Tun Sambanthan, Jalan Tugu ditutup hingga Julai – hanya satu lorong akan dibuka

    Lorong kiri disebahagian Jalan Tun Sambanthan (arah ke Pasar Seni dan arah ke Berickfields) serta satu lorong di sebahagian Jalan Tugu (arah ke Bulatan Hishamuddin) akan ditutup secara berselang-seli bermula hari ini hingga 31 Julai bagi membolehkan kerja-kerja pembinaan dilakukan di Jalan Tugu.

    Bernama melaporkan, di dalam satu kenyataan hari ini, MMC Gamuda Sdn Bhd memaklumkan bahawa lorong-lorong berkenaan akan ditutup jika diperlukan dalam tempoh berkenaan. Bagi Jalan Tun Sambanthan, hanya satu lorong akan dibuka untuk pengguna jalan raya.

    Di Jalan Tugu pula, penutupan berkenaan akan melibatkan kaedah “berhenti dan bergerak” bagi jarak laluan 20 meter. “Papan tanda, penghadang keselamatan dan kon trafik akan diletakkan bagi membolehkan pengguna peka ketika melalui jalan-jalan berkenaan,” jelas kenyataan itu.

     
     
  • Magna dan Ford bakal hasilkan subframe dari bahan gentian karbon untuk kereta penumpang biasa

    Magna dan Ford bakal hasilkan <em>subframe</em> dari bahan gentian karbon untuk kereta penumpang biasa

    Selain dari pelbagai rekaan teknologi inovatif dari kepala enjin hingga ke bahagian takung minyak pelincir untuk mendapatkan tahap kecekapan bahan api paling maksima, pengeluar-pengeluar kenderaan juga kini menumpukan pada kejuruteraan material bagi menghasilkan komponen yang bukan sahaja tahan lasak, malah lebih ringan bagi mencapai objektif yang sama.

    Jika anda perasan, zaman Morris Minor dahulu boleh dikatakan kebanyakkan komponen besar seperti blok enjin dan kepala silinder diperbuat dari besi tuang, tetapi kini telah digantikan dengan material aloi bagi enjin-enjin moden. Jika dahulu komponen seperti manifold kemasukan (intake manifold) dibuat dari aloi, kini ia dibina lebih ringan lagi menggunakan plastik.

    Terbaharu, pembekal komponen automotif OEM dari Amerika Syarikat, Magna, dengan kerjasama Ford bakal membina subframe yang diperbuat dari gentian karbon untuk kegunaan kereta-kereta penumpang biasa. Subframe merupakan sebahagian struktur badan kenderaan yang berperanan sebagai kerangka yang memegang cagak-cagak (mounting) enjin dan juga transmisi.

    Magna telah mendedahkan unit prototaip subframe rekaan mereka itu, berserta perincian yang turut menyatakan ia dapat mengurangkan berat sebanyak 34% berbanding subframe konvensional yang diperbuat dari keluli.

    Magna dan Ford bakal hasilkan <em>subframe</em> dari bahan gentian karbon untuk kereta penumpang biasa

    Binaan subframe baharu berkenaan hanya menggunakan berberapa komponen kerana ia telah menggantikan 45 komponen keluli dengan hanya dua komponen gentian karbon yang telah dibentuk bersama empat komponen metalik lain – menjadikan jumlah komponen binaan dapat dikurangkan sebanyak 87%.

    Magna turut mengatakan rekaan subframe tersebut telah memenuhi semua piawaian prestasi berdasarkan analisis kejuruteraan bantuan komputer (CAE). Syarikat berkenaan kini sedang menghasilkan contoh subframe tersebut dan bakal diuji pada berberapa kenderaan dari Ford.

    “Apabila kami dapat bekerjasama rapat dengan pelanggan pada peringkat awal rekaan dan proses kejuruteraan mereka, ia merupakan peluang untuk membawa keseluruhan kebolehan Magna bagi dipertanggungjawabkan,” kata Grahame Burrow, presiden Magna Exterior. Tambahnya lagi, “kami boleh mengambil pendekatan dari peringkat awal untuk rekaan, material dan pemprosesan, berkerjasama dengan pelanggan dan di dalam kumpulan produk, serta menyampaikan jalan penyelesaian dengan potensi untuk benar-benar melakukan perubahan dalam aspek mengurangkan berat secara agresif tanpa menjejaskan penggayaan atau prestasi.”

    Setelah unit contoh berkenaan dipasang pada kereta sebenar nanti, para jurutera akan melakukan ujian kakisan, impak terhadap batu jalan, serta ujian pengekalan bolt yang mana kesemua ini tidak dapat diuji pada simulasi komputer. Proses pembuatan dan pemasangan juga bakal direka bersama rekaan yang disyorkan dengan pengalaman yang diperolehi semasa proses penghasilan prototaip dan juga ujian yang dilakukan secara kerap.

     
     
  • Honda NM4 Vultus tampil dalam Ghost in The Shell

    Honda NM4 Vultus tampil  dalam <em>Ghost in The Shell</em>

    Filem yang ditunggu ramai tahun ini, iaitu Ghost in The Shell akan mula ditayangkan buat pertama kali 31 Mac ini (harapnya tidak disekat di Malaysia), dan di dalamnya, anda berpeluang menyaksikan motosikal Honda NM4 Vultus buatan khas untuk filem ini.

    Ia dipilih kerana mempunyai bentuk yang cukup futuristik, sesuai dengan filem keluaran DreamWorks Pictures dan Paramount Pictures itu, yang dihasilkan inspirasi daripada komik Jepun (manga) dan berlatar belakangkan suasana di beberapa tahun akan datang.

    Honda NM4 Vultus tampil  dalam <em>Ghost in The Shell</em>

    Watak utama filem ini adalah Scarlett Johansson yang memainkan watak Major, iaitu seorang manusia yang telah mengalami kemalangan teruk, dan kemudiannya diselamatkan dengan dijadikan sebagai sebuah cyborg. Tugasnya selepas itu adalah untuk menentang penjenayah paling merbahaya di Jepun.

    Honda NM4 Vultus yang digunakan dalam filem ini dibangunkan dengan rekaan yang diberikan oleh Honda sendiri, dan kemudiannya diperkemaskan oleh pasukan produksi filem tersebut. Ia kemudiannya menjadi motosikal watak utama Major. Ia juga membantu menjadikan dunia futuristik buatan dalam filem tersebut menjadi lebih kepada sebenar.

     
     
  • Honda WR-V dilancarkan di India – harga dari RM53k

    Honda WR-V dilancarkan di India – harga dari RM53k

    Honda WR-V telah dilancarkan secara rasmi untuk pasaran India. Walaupun SUV yang diasaskan daripada model Jazz itu pertama kali dilihat di Brazil lewat tahun lepas, India menjadi pasaran pertama model ini dilancarkan – model ini dibangunkan melalui konsep “Refresh for Urban India”.

    “Pasaran India yang pesat berkembang telah menunjukkan permintaan kuat terhadap kenderaan kompak yang bergaya, selesa dan ada ciri premium. Dengan WR-V, kami ingin menyediakan sebuah kenderaan untuk kegunaan rekreasi yang selesa juga untuk dipandu setiap hari bagi pelanggan di India,” jelas CEO Honda Cars India, Yoichiro Ueno, yang juga bekas ketua Honda Malaysia sebelum ini.

    Jika diperhatikan dengan teliti, bentuk asas Jazz serta garis badannya masih dapat dilihat pada model baru ini. Bahagian belakang diberikan perubahan yang sedikit ketara, dengan beberapa elemen diperkemas pada bahagian lampunya. Di depan, sentuhan dari HR-V juga dapat dilihat, misalnya pada wajah utama dengan lampu nyalaan siang LED.

    Ia dibangunkan dengan dimensi 3,999 mm tinggi dan 1,734 mm lebar; WR-V ialah 44 mm lebih panjang dan 40 mm lebih lebar berbanding Jazz. Jarak kelegaan tanah pula ialah 188 mm, yang mana angka ini 53 mm lebih tinggi berbanding model asasnya, Jazz. Sama seperti Jazz spesifikasi tertinggi di sini, WR-V hadir dengan rim 16 inci kemasan warna gunmetal, tetapi tayarnya dengan profil yang lebih tinggi.

    WR-V menggunakan enjin yang sama ada pada Jazz, termasuk 1.2 liter SOHC i-VTEC petrol (90 PS/110 Nm) dan 1.5 liter i-DTEC (turbodiesel, dengan kuasa 100 PS/200 Nm) tork dari 1,750 rpm. Tiada pilihan transmisi CVT; kedua-duanya hadir dengan kotak gear manual – lima-kelajuan yang baru dibangunkan untuk versi petrol, manakala enam-kelajuan bagi versi diesel. Penggunaan minyak model di India didakwa dapat mencapai 17.5 km/l bagi petrol dan 25.5 km/l bagi diesel.

    Antara ciri lain yang menjadikan rekaannya tampak lebih menarik ialah landasan pada bumbung, sunroof elektrik – pendekatan yang sama Honda gunakan ketika membangunkan BR-V dan Mobilio. Antara pesaing terdekat model ini ialah seperti VW Cross Polo, Hyundai i20 Active serta Ford EcoSport dan Vitara Brezza.

    Harga jualannya di India ialah dari 7.75 lakh (RM52,550) bagi varian S petrol, hingga 9.99 lakh (RM67,748) bagi varian VX diesel. Adakah model ini, sekiranya bakal tiba juga untuk pasaran ASEAN, akan diterima dengan baik?

     
     
  • DBKL perlu pertingkat kesedaran zon khas motosikal

    DBKL perlu pertingkat kesedaran zon khas motosikal

    Selepas pengenalan zon khas motosikal di tiga lokasi lampu isyarat disambut baik oleh pengguna, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagaimanapun diminta untuk merancang peningkatan lain, terutama mendidik pengguna jalan raya, bagi mencapai matlamat langkah berkenaan.

    Tinjauan yang dilakukan oleh Bernama mendapati, masih ada segelintir penunggang motosikal yang tidak mematuhi penstrukturan semula peraturan lalu lintas dan masih samar-samar tentang fungsi zon khas berkenaan, yang diwarnakan dengan cat merah dan putih.

    Warga kota yang ditemui memaklumkan, ramai penunggang motosikal masih keliru dengan pelaksanaan sistem berkenaan, menyebabkan mereka tidak berhenti dalam zon yang disediakan sebaliknya menunggu dalam kotak kuning biasa atau pada zon laluan pejalan kaki.

    Pekerja kontrak, Sahfie Omar, 53, merasakan DBKL patut memasang lebih banyak papan tanda di zon-zon yang terlibat agar penunggang sedar terhadap peraturan baru itu. “DBKL patut adakan kempen agar orang awam tahun fungsi sebenar zon baru berkenaan. Ini sangat penting bagi keselamatan semua pengguna jalan raya,” ujarnya.

    Peniaga, Abdul Rahman Asbari, 43, pula berpendapat langkah yang diambil oleh DBKL itu merupakan sesuatu yang bagus, tetapi perlu ditinjau oleh pihak berkuasa untuk memastikan penunggang motosikal mematuhinya. “Langkah ini bagus. Jika semua penunggang mematuhinya, keadaan trafik akan lebih teratur, dan mungkin tak akan ada lagi kes motosikal melanggar cermin sisi kereta,” tambahnya.

    Pekerja agensi pelancongan, T. Sarah, 57 pula merasakan posisi zon berkenaan adalah tidak strategik. “Petak zon berkenaan sepatutnya diletak ditepi, bukan di depan,” jelasnya. “Penunggang motosikal masih perlu menyelit antara kenderaan lain untuk tiba di petak berkenaan yang berada di depan. Ia sama saja dengan keadaan sebelum ini.”

     
     
  • Pusat 3S Porsche Pulau Pinang baharu oleh Sime Darby Auto Performance kini dibuka secara rasmi

    Pusat 3S Porsche Pulau Pinang baharu oleh Sime Darby Auto Performance kini dibuka secara rasmi

    Sime Darby Auto Performance (SDAP), pengedar rasmi jenama Porsche hari ini telah membuka secara rasmi Pusat 3S terbaharunya yang terletak di Pulau Pinang. Pusat ditempatkan pada lokasi yang strategik, di Jalan Baru, Seberang Perai ini menjadi hab untuk jenama berkenaan di bahagian utara semenanjung tanah air, dan mudah untuk diakses melalui jambatan pertama Pulau Pinang.

    Pusat 3S Porsche Pulau Pinang dibina dengan keluasan 35,575 kaki persegi diatas tapak berkeluasan 102,524 kaki persegi dengan pelaburan lebih dari RM 15 juta. Pusat dengan kelengkapan terkini berkenaan disasarkan bakal memperkasakan jenama Porsche di Malaysia, dengan memberikan pengalaman terbaik untuk pelanggan mereka yang berada di utara.

    “Kami teruja untuk beralih ke Pulau Pinang dengan Pusat Porsche ketiga kami di Malaysia,” kata Arnt Bayer, CEO SDAP. “Pusat 3S Porsche baharu ini akan membolehkan kami memberikan tahap kepuasan yang lebih tinggi kepada pelanggan kami dan pengalaman pemilikan yang unik untuk semua pemilik dan peminat Porsche di bahagian utara,” tambah beliau lagi.

    Pusat baharu ini membolehkan 10 buah kenderaan dipamerkan dibilik pameran pada satu-satu masa. Ia turut memiliki dua ruang perbincangan serta ruang penerimaan bahagian servis selepas jualan yang lebih luas, yang disepadukan bersama Carrera Lounge yang eksklusif, menawarkan “keselesaan mewah dan kemudahan moden” kepada setiap pelanggan yang berkunjung.

    Bagi bahagian bengkel pula, fasiliti dengan kelengkapan termaju ini menampilkan sembilan ruang servis serta gudang untuk alat ganti. Selain itu, pelanggan juga boleh ke bahagian Porsche Driver’s Selection Shop bagi mendapatkan koleksi terkini pakaian, aksesori peribadi dan juga permainan asli dari Porsche.

    Martin Limpert, pengarah urusan Porsche Asia Pacific pula berkata, “SDAP telah menjadi pengimport tunggal dan eksklusif kami di Malaysia sejak 2010 dan terus melabur untuk jenama Porsche, dengan dedikasi khas fasiliti termaju dan juga kakitangan berkemahiran terbaik. Pusat Porsche Pulau Pinang telah mencatatkan satu lagi sejarah perkembangan Porsche di Malaysia dan ini adalah satu langkah berani untuk menunjukkan komitmen SDAP. Saya sangat percaya pada potensi jangka panjang untuk Porsche di Malaysia dan saya diyakinkan bahawa dengan pertambahan jaringan pengedar Porsche akan menyokong perjalanan perkembangan kami dan memastikan pengalaman terbaik untuk pelanggan.”

    Serentak dengan perasmian pusat 3S baharu ini, SDAP turut melancarkan versi Coupe 718 terbaharu iaitu Cayman dan Cayman S.

     
     
  • Porsche 718 Cayman dan Cayman S kini di Malaysia

    Porsche 718 Cayman dan Cayman S kini di Malaysia

    Porsche Cayman 718 kini secara rasminya telah dilancarkan di Malaysia, serentak dengan perasmian pusat Porsche baharu di Pulau Pinang. Model yang merupakan versi hardtop 718 Boxster (juga telah dilancarkan di Malaysia tahun lalu) ini mendarat ke pasaran tempatan dengan dua varian iaitu Cayman dan Cayman S, setelah muncul buat pertama kali untuk peringkat global pada April tahun lalu.

    Seperti juga Boxter, Cayman 718 hadir dengan enjin bentangan boxer empat-silinder yang lebih kecil (diletakkan di bahagian tengah, memacu roda belakang), tetapi kini diberikan suapan pengecas turbo. Oleh itu, varian asas Cayman 718 diberikan enjin 2.0 liter berkuasa 300 hp pada takat 6,500 rpm dan tork maksima 380 Nm bermula 1,950 rpm hingga 4,500 rpm.

    Berbanding dengan Cayman terdahulu yang dijana enjin boxer enam-silinder dengan kapasiti 2.7 liter tanpa turbo, enjin baharu ini menghasilkan 25 hp/90 Nm lebih berkuasa.

    Porsche 718 Cayman dan Cayman S kini di Malaysia

    Manakala untuk model tertinggi Cayman S, ia dijana oleh enjin flat-four lebih besar dengan kapasiti 2.5 liter. Ia turut diberikan pengecas turbo dengan geometri bervariasi (VTG), menghasilkan kuasa 350 hp pada takat 6,500 rpm dan tork maksima 420 Nm bermula 1,900 rpm hingga 4,500 rpm. Berbanding enjin 3.5 liter NA flat-six pada versi S terdahulu, model baharu ini dijana dengan 25 hp/50 Nm lebih berkuasa.

    Cayman 718 hadir dengan kotak gear klac-berkembar PDK tujuh-kelajuan bersama pakej Sport Chrono yang membolehkan varian asas memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 4.7 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 275 km/j, manakala versi S pula, untuk pecutan pada jarak sama hanya mengambil masa 4.2 saat dengan kelajuan maksima dicatatkan pada 285 km/j.

    Bagi model 2.0 liter, penggunaannya bahan apinya dicatatkan pada 6.9 liter untuk setiap 100 km pada Kitaran Pemanduan Eropah Baharu (NEDC), 1.5 liter lebih baik dari sebelum ini. Untuk enjin 2.5 liter yang lebih besar pula, penggunaan bahan api nya adalah 7.3 liter untuk setiap 100 km, 1.7 liter lebih baik dari sebelum ini.

    Porsche 718 Cayman dan Cayman S kini di Malaysia

    sdr

    Selain dari aspek kuasa, Cayman 718 turut diberikan talaan casis yang lebih baik. Ia kini dibekalkan dengan spring yang lebih keras serta bar anti-oleng dengan diameter lebih tebal. Rak stereng jugai dibina 10% lebih laju dari sebelum ini, manakala roda belakang pula kini 13 mm lebih lebar.

    Kedua-dua varian kini menerima cakera brek berdiameter 330 mm pada bahagian hadapan dan 299 mm pada bahagian belakang (model bukan S diberikan cakera lebih kecil sebelum ini), manakala khas untuk Cayman S, ia diberikan angkup brek dengan empat omboh yang diambil dari model 911 Carerra, serta cakera yang lebih tebal (6mm) pada bahagian hadapan.

    Jentera baharu ini turut diberikan sistem Pengurusan Suspensi Aktif Porsche (PASM) yang membolehkan ia direndahkan sebanyak 10 mm (20 mm untuk S). Butang pemilihan mod pemanduan turut ditempatkan di roda stereng bagi membolehkan pemandu untuk menukar sama ada menggunakan mod Normal, Sport, Sport Plus dan juga mod baharu iaitu Individual. Dinamik pemandua juga boleh dipertingkatkan dengan pakej Sport Chrono dan juga Porsche Torque Vectoring (PTV) yang turut diberikan LSD mekanikal.

    Untuk luaran, bahagian hadapan Cayman 718 kini kelihatan lebih lebar dengan ruang kemasukan udara yang dibina lebih lebar. Lampu hadapan bi-xenon juga merupakan rekaan baharu yang sepadukan dengan lampu nyalaan siang LED. Kesemua rekaan hadapan ini diakhiri dengan kedua-dua fender yang turut menerima sentuhan semula.

    Pada bahagian belakang pula, ia turut menerima sentuhan semula dengan rekaan yang lebih lebar. Kedua-dua lampu belakang kini dihubungkan dengan kemasan berwarna hitam kilat dan turut menempatkan logo Porsche. Ia juga dilengkapi dengan spoiler belakang yang akan keluar secara automatik pada kelajuan 120 km/j, bagi memberikan cengkaman pada permukaan jalan yang lebih baik.

    Bahagian dalaman Cayman 718 ini turut direka seiras dengan Boxster, menampilkan liang penghawa dingin baharu pada papan pemuka, manakala roda sterengnya pula direka diinspirasikan dari roda stereng Spyder 918. Porsche Communication Management (PCM) yang menghubungkan telefon pintar, kawalan sistem audio dan juga sistem Sound Pakej Plus berkuasa 150-watt kini dibekalkan secara standard.

    Porsche 718 Cayman dan Cayman S kini di Malaysia

    Apa yang menarik, walaupun ia agak tidak praktikal (seperti juga kereta sport sebenar yang lain) dengan hanya boleh memuatkan dua orang, ruang kargo pada bahagian hadapan dan belakang Cayman ini agak besar – kapasiti keseluruhan 425 liter.

    Porsche 718 Cayman bakal dijual pada harga bermula RM530,000, manakala untuk 718 Cayman S pula dijual pada harga bermula RM700,000. Kesemua Porsche yang dijual oleh pengedar sahnya di Malaysia iaitu Sime Darby Auto Performance (SDAP) didatangkan dengan waranti empat-tahun dan pakej penyelenggaran percuma. Harga ini termasuk dengan semua cukai tanpa pendaftaran, cukai jalan dan insurans.

    GALERI: Gambar rasmi Porsche 718 Cayman dan Cayman S

    GALERI: Gambar rasmi Porsche 718 Cayman

    GALERI: Gambar rasmi Porsche 718 Cayman S

     
     
  • PANDU UJI: Haval H2 – ketelitian buatan kemas dan bertambah baik, aspek kendalian perlu dipertingkatkan

    PANDU UJI: Haval H2 – ketelitian buatan kemas dan bertambah baik, aspek kendalian perlu dipertingkatkan

    Haval H2 mungkin sebuah model yang jarang-jarang dapat dilihat di atas jalan. Sebelum membicarakan dengan lebih panjang tentang pengeluar ini serta pengedarnya di Malaysia, anda jangan terkeliru. Sebelum ini, jenama berkenaan dikenali dengan nama Great Wall Motors (GWM), sama dengan nama asalnya untuk pasaran di China. Haval untuk pasaran di sana merujuk kepada model SUV yang dikeluarkan.

    Kemudian, pengedarnya di Malaysia, GO Auto Sales Sdn Bhd melakukan penyelarasan semula terhadap jenama ini, dan beralih kepada nama Haval sebagai pengenalan jenama utamanya, diikuti nama siri atau model yang dimaksudkan.

    Di dalam konteks laporan ini, kita akan memberi perhatian terhadap model SUV lima tempat duduk Haval H2. Selain H2, ada sebuah lagi model yang turut dipasarkan kini, SUV kompak Haval M4 yang kemudiannya sejak Januari lalu ditukar pengenalannya kepada Haval H1.

    Haval H2 berada dalam penawaran yang lebih tinggi berbanding H1, dengan reka bentuk dan ruang kabinnya lebih dekat dengan kenderaan SUV dari segmen kompak lainnya. Agar lebih jelas, model SUV kompak yang paling hampir dengannya adalah seperti Mitsubishi ASX, atau mungkin Renault Captur serta yang paling popular, Honda HR-V – itu pun sekiranya kita ingin meluaskan skop jenis kenderaan yang berada dalam pakej penawaran yang mirip dengannya.

    Baca selanjutnya di sini

     
     
  • Harga bahan api mingguan bolehkan pengguna fahami trend runcit semasa – elak perubahan harga drastik

    Harga bahan api mingguan bolehkan pengguna fahami trend runcit semasa – elak perubahan harga drastik

    Pengenalan harga siling mingguan bagi bahan api petrol dan diesel akan memberikan pengguna kefahaman yang lebih baik terhadap trend runcit bahan itu berbanding sistem harga yang diumumkan setiap bulan seperti yang dilakukan sebelum ini.

    Bernama melaporkan, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pengenalan mekanisme baru itu turut berupaya mengelakkan perubahan medadak harga bahan api disebabkan tempoh kiraan harganya kini lebih singkat, dan setiap perubahan adalah berperingkat.

    “Jika kita tunggu sebulan, kadang-kadang harga bahan api akan naik ketara sehingga 25 sen seliter. Jika ia naik sebanyak itu, agak sukar untuk melakukan penyelarasan dan kerajaan terpaksa menyerap sebahagian daripadanya sebagai subsidi,” ujar beliau.

    Johari juga menambah, walaupun kerajaan menetapkan harg siling bagi bahan api, ia terserah kepada pengeluar minyak jika ingin memasarkannya lebih rendah daripada harga berkenaan.

     
     
  • KTM akan keluarkan model enduro berenjin dua lejang suntikan bahan api, pengenalan pada bulan Mei 2017

    KTM akan keluarkan model enduro berenjin dua lejang suntikan bahan api, pengenalan pada bulan Mei 2017

    Kewujudan model produksi yang menggunakan enjin dua lejang (two stroke) suntikan bahan api (fuel injection) kini semakin hampir apabila pengeluar motosikal dari Austria, KTM mendedahkan enjin teknologi tersebut – yang akan digunakan untuk dua model tahun 2018 iaitu 250 EXC TPI dan 300 EXC TPI.

    Dua model ini adalah model enduro, dan KTM masih belum mengeluarkan kenyataan bahawa enjin dua lejang suntikan bahan api ini akan digunakan pada model SX, iaitu model yang tidak boleh didaftar dan dibawa atas jalan biasa.

    KTM akan keluarkan model enduro berenjin dua lejang suntikan bahan api, pengenalan pada bulan Mei 2017

    Kelebihan enjin dua lejang suntikan bahan api Transfer Port Injection (TPI) oleh KTM ini adalah ia tidak lagi memerlukan campuran petrol dan minyak 2T, lebih mesra alam dan menjimatkan bahan api. Bagi aspek kuasa pula, KTM mendakwa rasanya lebih ‘garing’, tidak teragak-agak dan tidak lagi memerlukan pelarasan jetting. Enjin ini juga menepati tahap emisi Euro 4.

    Walaupun dinamakan sebagai model tahun 2018, KTM akan melakukan pelancaran media untuk model yang menggunakan enjin dua lejang suntikan bahan api ini pada 15 Mei 2017, dan lebih banyak informasi dan spesifikasi berkenaannya akan didapati pada waktu tersebut.

     
     
  • Kia Grand Carnival akan dilancarkan pada Q1 tahun ini

    Kia Grand Carnival akan dilancarkan pada Q1 tahun ini

    Sudah hampir tiga bulan sejak Naza Kia mendedahkan spesifikasi penuh, berserta harga untuk Kia Grand Carnival, tetapi sampai sekarang ia masih belum dilancarkan secara rasmi. Namun, berita terbaru yang kami terima, kereta ini akan dilancarkan dalam suku pertama (Q1) tahun 2017, dan tempoh itu hanya tinggal beberapa minggu sahaja lagi.

    Naza Kia mendakwa bahawa pengenalan Grand Carnival akan melonjakkan jumlah jualan jenama itu dalam tahun ini, selepas waktu sukar yang dihadapi pada tahun 2016. “Untuk tahun 2017,, kami telah meletak jangkaan sasaran jumlah jualan untuk meningkat sebanyak 25% dan Grand Carnival akan memainkan peranan penting untuk mencapai jumlah ini,” kata ketua pegawai operasi kumpulan automotif Naza, Datuk Samson Anand George.

    Untuk pasaran Malaysia, dua varian enjin diesel akan diperkenalkan, dengan harga atas jalan (termasuk insurans) sekitar RM153,888 untuk model asas dan RM181,888 untuk varian paling tinggi, seperti yang diberitahu oleh wakil pengedarnya. Jaminan lima tahun tanpa had batuan juga akan diberi, bersama skim Value 5 baru Naza Kia.

    Kelengkapan standard pada Grand Carnival adalah termasuk lampu halogen dengan lampu siang LED, lampu kabus depan dan belakang, lampu belakang LED dan rim aloi 18 inci. Di dalam, terdapat tempat duduk fabrik larasan manual, dengan fungsi sokongan belakang elektrik, pintu jenis gelungsur manual, panel meter Supervision dengan paparan monochrome OLED 3.5 inci, skrin hiburan dan informasi sesentuh 4.3 inci, kamera undur dan enam pembesar suara.

    Untuk model GS, anda akan diberi gril hitam dan krom, sistem kemasukan tanpa kunci, butang pemula enjin, pintu gelungsur kuasa elektrik, balutan kulit, pengawal suhu automatik tiga zon dan pintu but belakang elektrik.

    Untuk aspek keselamatan, kedua-dua model datang dengan enam beg udara, brek ABS, EBD dan BA, pengawal kestabilan, hill-start assist, pengesan jarak depan dan belakang, serta cagak ISOFIX untuk tempat duduk baris kedua dan ketiga. Unit Malaysia juga akan mempunyai tali pinggang keledar tiga penjuru pada semua tempat duduk, dan bukannya sekadar untuk di pinggang sahaja seperti dalam gambar.

    Kuasa pacuan kenderaan ini datang daripada enjin 2.2 liter CRDi empat silinder turbodiesel, berkemampuan 193 PS pada 3,800 rpm dan 440 Nm tork pada 1,750 rpm hingga 2,750 rpm. Semua kuasa ini dihantar ke tayar hadapan melalui transmisi automatik enam kelajuan.

    GALERI: Kia Grand Carnival 2.2D

    GALERI: Kia Grand Carnival 2.2D GS

     
     
  • Acura MDX Sport Hybrid – varian paling tinggi, 321 hp

    Acura MDX Sport Hybrid – varian paling tinggi, 321 hp

    Satu tahun selepas Acura MDX facelift ditampilkan di New York, cabang jenama mewah Honda tersebut memperkenalkan pula varian paling tinggi Sport Hybrid. Seperti yang dapat dilihat pada namanya, SUV premium ini menggunakan sistem Sport Hybrid Super Handling All-Wheel Drive (SH-AWD) tiga motor, yang juga dipakai pada model NSX dan RLX/Honda Legend.

    Bahagian utama enjin hibrid ini adalah enjin 3.0 liter N/A SOHC i-VTEC V6, dengan sistem start/stop automatik, berkemampuan 257 hp pada 6,300 rpm dan 296 Nm pada 5,000 rpm. Enjin pembakaran dalaman ini kemudiannya dipadankan bersama transmisi klac berkembar tujuh kelajuan, dan di antaranya terdapat motor elektrik yang memberi kuasa segera dan bertindak sebagai pengganti kepada torque converter.

    Pada bahagian belakang kenderaan ini, terletak pula Twin Motor Unit (TMU) – sama seperti yang terdapat di bahagian depan NSX – yang boleh memberikan tork negatif dan positif kepada kedua-dua tayar belakang supaya lebih bersesuaian. Secara keseluruhannya, MDX Sport Hybrid boleh menghasilkan 321 hp dan 329 Nm tork.

    Walaupun mempunyai 31 hp lebih berbanding model V6 3.5 liter biasa – menjadikannya SUV Acura paling berkuasa – MDX Sport Hybrid mempunyai catatan penggunaan bahan api bercampur EPA 2.5 L/100 km lebih baik, iaitu pada tahap 8.7 L/100 km. Pemandu juga boleh memilih empat mod yang disediakan iaitu Comfort, Normal, Sport dan Sport+ untuk mengubah karekter prestasi sistem Sport Hybrid SH-AWD yang digunakan.

    Untuk aspek keselamatan, semua model MDX mendapat sistem bantuan pemandu AcuraWatch, termasuk Collision Mitigation Braking System (CMBS), Lane Departure Warning (LDW), Forward Collision Warning (FCW), Lane Keeping Assist (LKAS), Adaptive Cruise Control (ACC) dengan ciri mengikut di kelajuan rendah dan Road Departure Mitigation (RDM).

    Turut didatangkan secara standard adalah kamera undur, manakala model paling tinggi dilengkapi pula dengan pengesan titik buta, pengesan jarak depan dan belakang, Rear Cross Traffic Monitor dan lampu tinggi automatik.

     
     
  • Volkswagen anjur jelajah ‘Vento Turbocharged Tour’

    Volkswagen anjur jelajah ‘Vento Turbocharged Tour’

    Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) bakal menganjurkan siri jelajah “Vento Turbocharged” yang akan berlangsung di 11 lokasi diseluruh negara. Siri jelajah ini akan memberi peluang kepada pelanggan dan pengunjung untuk mencuba sendiri model Vento dengan merasakan kuasa dari enjin turbocajnya, serta penerangan tentang keselamatan kenderaan serta kemahiran memandu.

    Tiga lokasi pertama jelajah ini, yang akan bermula hujung minggu ini, akan mengambil tempat di Aeon Bukit Tinggi Klang pada 18-19 Mac. Ia akan diteruskan pula pada 13-14 Mei nanti, bertempat di Mydin Air Keroh, Melaka dan seterusnya akan bertandang ke Stadium Darul Makmur, Kuantan pada 29-20 Julai nanti. Ia terbuka kepada semua dan masuk adalah percuma. Pengunjung hanya perlu membawa lesen memandu sah untuk sesi pandu uji berkenaan.

    Volkswagen anjur jelajah ‘Vento Turbocharged Tour’

    Volkswagen Vento dilengkapi enjin 1.2 liter TSI turbocaj suntikan terus dan digandingkan dnegan kotak gear automatik DSG tujuh-kelajuan. Ini membolehkannya memberikan pengalaman pemanduan yang lebih baik. Model ini juga menerima penarafan lima-bintang bagi Asean NCAP, disumbangkan oleh senarai teknologi keselamatan yang melengkapinya – termasuk kawalan kestabilan ESC.

    Model-model kenderaan keluaran Volkswagen yang lain turut akan disediakan kepada pengunjung yang berminat untuk memandu uji. Bagi yang ingin membuat tempahan terhadap model-model yang ada ketika siri jelajah ini nanti, tawaran istimewa turut akan menanti anda.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.21 (+0.03)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.21
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.93 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.13 (+0.03)
Last Updated Sep 18, 2025