Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Lotus catat keuntungan buat pertama kali selepas 68 tahun menerusi pelan pemulihan yang dirancang

    CEO Jean-Marc Gales (left) with Aslam Farikullah

    CEO Jean-Marc Gales (left) with Aslam Farikullah

    CEO Jean-Marc Gales (kiri) bersama Aslam Farikullah

    Lotus kini dilihat sudah pulih dan mampu untuk mencatat keuntungan dalam perniagaannya buat pertama kali selepas 68 tahun, setelah kerugian sehingga £168 juta (RM927 juta) dicatatkan tiga tahun lalu, menurut laporan Eastern Daily Press. Setelah menyertai Lotus sejak 2014, rancangan tiga-tahun yang dibuat oleh CEO Jean-Marc Gales kini nampaknya telah pun membuahkan hasil.

    “Kami mempunyai pelan pemulihan yang kini sedang berjalan dengan lancar – kami telah meningkatkan pendapatan kami – dan kami sedang merancang untuk menghasilkan lebih dari 2,000 unit kereta setiap tahun. Kami telah mengurangkan kos kami – perbelanjaan overhead telah turun 40% dalam masa dua tahun, jadi kami telah mencapai pengurangan overhead yang besar,” kata Gales, yang juga turut telah mengurangkan kakitangannya dari 1,200 kepada hanya 900 orang seluruh dunia.

    “Pelan berkenaan merupakan pelan selama tiga tahun – pada penghujung tahun kedua, aliran tunai kami sepatunya sudahpun boleh berdikari dan pada tahun kewangan ketiga yang bermula pada 1 April, kami sepatutnya sudah pun memperolehi keuntungan. Bahagian kereta selalunya dikongkong oleh bahagian perniagaan kejuruteraan – sekarang bahagian perniagaan kereta telahpun menghasilkan keuntungan, untuk pertama kali sejak syarikat ini ditubuhkan, dan itu adalah menakjubkan,” tambah beliau.

    Pelan tersebut dibuat berdasarkan perhatian yang diberikan kepada nilai teras perniagaan Lotus sendiri iaitu merintis pengeluaran kereta sport ringan dan menjadi kayu ukur terbaik dalam pengendalian. Pengedar di seluruh dunia juga telah diperbanyakkan, membolehkan lebih banyak kereta dapat dijual, dan Lotus juga kini sedang mensasarkan pasaran Amerika Syarikat dengan model tertinggi Evora 400 mereka.

    “Kami telah menaikkan jumlah jualan kami dalam pasaran – sasaran tahun ini ialah melebihi 2,000 unit dan kami mempunyai buku rekod tempahan, dengan 760 unit kereta telah ditempah, yang mana tidak pernah kami capai sebelum ini,” kata Gales, yang juga turut memuji kakitangan Lotus serta sokongan yang diberikan oleh pemilik Lotus dari Malaysia iaitu DRB Hicom.

     
     
  • PLUS keluarkan jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) untuk 1 hingga 10 Julai sempena Aidilfitri ini

    toll plaza plus

    Sepertimana pada tahun-tahun lalu, PLUS mengeluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) untuk perjalanan di Lebuhraya Utara-Selatan pada Hari-Hari Puncak iaitu di antara 1 Julai hingga 10 Julai ini.

    TTA merupakan pendekatan PLUS untuk mengagihkan trafik dan mengurangkan kesesakan di laluan-laluan utama lebuh raya, plaza tol dan kawasan rehat. Ia adalah berdasarkan kajian PLUS terhadap pola perjalanan orang ramai pada musim-musim perayaan yang lalu.

    PLUS menjangkakan sebanyak 1.6 juta kenderaan akan menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan setiap hari pada hari-hari puncak bersempena dengan cuti perayaan Aidilfitri yang akan datang. Jumlah tersebut merupakan peningkatan sebanyak 20 peratus berbanding 1.3 juta kenderaan pada hari-hari biasa.

    Jadual di bawah ini berperanan mengelakkan orang ramai daripada memasuki lebuh raya secara serentak dan menyumbang kepada kesesakan.

    TTA_Raya_2016_Final_for_WhatsApp_BM

    “Kami menasihatkan orang ramai yang menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan dan Lebuhraya ELITE pada Hari-Hari Puncak supaya mengikuti TTA. Berdasarkan kajian kami, apabila ramai yang mematuhi TTA untuk pulang ke kampung dan pulang semula ke kota selepas bercuti, semakin lancar perjalanan di lebuh raya,” ujar Pengarah Urusan PLUS, Dato’ Noorizah Hj Abd Hamid.

    Sebelum ini, PLUS telah mengumumkan penawaran rebat tol sebanyak 30% pada 4, 8 dan 11 Julai ini. Ia ditawarkan sepanjang hari bagi pengguna kenderaan Kelas 1 yang membayar tol menggunakan sistem elektronik (menerusi kad PLUSMiles, kad Touch ‘n Go atau SmartTAG) pada 4, 8 dan 11 Julai. Rebat ini diberikan untuk perjalanan jarak jauh (melebihi 100 kilometer) di Lebuhraya Utara-Selatan dan Lebuhraya ELITE.

    Sebagai contoh, perjalanan dari Plaza Tol Sungai Besi hingga Plaza Tol Skudai membolehkan orang ramai menikmati penjimatan sebanyak RM12.39 dalam bentuk Tambah Nilai seperti berikut:

    Screen Shot 2016-06-27 at 4.56.18 PM

    Rebat tol tersebut boleh dituntut di semua Pusat Khidmat Pelanggan di lebuh raya PLUS bermula 15 Ogos hingga 14 November tahun ini.

    Selain itu, PLUS turut menyusun pelbagai pendekatan dalam memantapkan operasi dan tahap perkhidmatan pada musim perayaan yang akan datang.

    “Di antara langkah-langkah yang akan diambil adalah menugaskan lebih ramai kakitangan di lebuh raya dan pusat kawalan trafik (TMC), menambah jumlah pasukan dan rondaan PLUSRonda, menempatkan pasukan-pasukan bantuan kecemasan di lokasi-lokasi strategik, pertambahan kawasan meletak kenderaan dan pembukaan tandas bergerak sementara di kawasan-kawasan rehat utama, menyediakan trak-trak tunda tambahan di lokasi terpilih, menempatkan lebih daripada 2,300 kakitangan di plaza-plaza tol, pemantauan trafik dari udara dan lain-lain lagi,” tambah Noorizah.

    Sambungnya lagi, “PLUS juga akan membuka laluan kontra di beberapa laluan yang kritikal untuk melancarkan trafik di laluan-laluan tersebut. Walau bagaimanapun, pengaktifan laluan kontra tersebut bergantung kepada keadaan trafik semasa dan kebenaran daripada pihak polis,” jelas Noorizah.

     
     
  • MEX beri laluan tol percuma pada 6 Julai ini

    MEX-Highway-01

    Maju Expressway Sdn Bhd telah mengumumkan pemberian laluan tol percuma di Lebuhraya MEX mulai 12 pagi hingga 11.59 malam pada 6 Julai 2016 ini sempena Hari Raya Aidilfitri. Dianggarkan lebih 82,000 pengguna lebuhraya berkenaan bakal menikmati laluan tol percuma tersebut.

    Ini merupakan kali ke-enam MEX menganjurkan pemberian laluan tol percuma sejak diperkenalkan pada tahun 2010. Malah ia juga adalah salah satu tanggungjawab sosial oleh syarikat pengendali lebuhraya berkenaan kepada pengguna jalan raya.

    Sementara itu, MEX turut mengumumkan, untuk pengguna kelas 1, mereka boleh menebus rebat tol sebanyak 10% bagi transaksi tol sehingga 30 Jun ini. Rebat ini diberikan sempena pelaksanaan kaedah pembayaran tol secara elektronik (ETC) pada 13 Januari lalu. Ia boleh ditebus di pusat perkhidmatan pelanggan MEX pada waktu pejabat.

     
     
  • Had laju jalan persekutuan dan jalan negeri dikurangkan sempena sambutan Hari Raya

    traffic-jam-bernama-2

    Dengan meningkatnya jumlah kenderaan diatas jalan raya pada sambutan Hari Raya nanti yang turut akan meningkatkan risiko kemalangan jalan raya, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai mengumumkan Ops Bersepadu akan dikuatkuasakan bermula 29 Jun hingga 13 Julai ini, lapor The Star.

    Menurut Liow lagi, sepanjang tempoh berkenaan juga, had laju pada jalan persekutuan akan dikurangkan dari 90 km/j kepada 80 km/j. Manakala untuk jalan negeri pula had laju akan dikurangkan kepada 70km/j sahaja.

    Beliau yang bercakap kepada media selepas melancarkan kempen keselamatan jalan raya sempena sambutan Hari Raya di plaza tol Sungai Besi pagi tadi, mengingatkan pemandu dan penumpang untuk mengenakan tali pinggang keledar, mematuhi had laju serta tidak melakukan sebarang kesesalahan trafik untuk memastikan perjalanan yang selamat.

    Liow turut memberi amaran bahawa memandu di lorong kecemasan merupakan satu kesalahan.

     
     
  • Kereta klasik dikecualikan dari pengharaman kereta yang dibuat sebelum 1997 masuk ke bandar Paris

    CitroenLiveShots_061

    Pemilik kereta klasik di sekitar bandar Paris, Perancis kini tidak perlu risau lagi dengan undang-undang yang mengharamkan kenderaan yang dibuat sebelum tahun 1997 daripada masuk ke kota raya berkenaan kerana undang-undang tersebut tidak termaktub kepada kereta klasik yang berusia lebih dari 30 tahun. Pengumuman berkenaan dibuat oleh The Federation Francaise des vehicules D’Epoque (FFVE) di laman web mereka minggu lalu setelah pihak berkuasa bandar Paris bersetuju untuk mengecualikan kereta klasik dari pengharaman berkenaan.

    Bandar Paris telah mengeluarkan larangan untuk kenderaan yang dibuat sebelum tahun 1997 dan motosikal yang dibuat sebelum tahun 1999 untuk memasuki bandar tersebut dari hari Isnin hingga Jumaat berkuatkuasa 1 Julai ini dalam usaha untuk mengurangkan pencemaran dalam bandar semasa minggu bekerja. Larangan tersebut diumumkan menerusi Datuk Bandar Paris dan Groupement des autorités responsables de transport (GART) yang mewakili pihak berkuasa tempatan dengan kerjasama Kementerian Persekitaran Perancis.

    Undang-undang berkenaan memerlukan kenderaan yang masuk ke bandar Paris mendapatkan salah satu dari enam pelekat kelas (yang menunujukkan tahap pencemaran kereta tersebut) yang dikeluarkan, manakala kenderaan yang diklasifikasikan sebagai dilarang masuk tidak akan memperolehi apa-apa pelekat.

    Arnout Everts bags Asia Klasika 2015 Best in Show trophy for his 1952 Citroen 2CV AU

    Menurut undang-undang berkenaan, semua kenderaan yang dibuat sebelum tahun 1997 tidak dibenarkan untuk masuk ke bandar Paris bermula 8 pagi hingga 8 malam pada hari bekerja, tidak termasuk cuti umum. Pelekat “Kelas Pertama” akan diberikan kepada kereta berkuasa hidrogen dan elektrik yang membenarkan mereka bebas untuk masuk ke bandar pada bila-bila masa.

    Dengan pengecualian yang diberikan kepada pemilik kereta klasik ini, mereka akan diberikan pelekat a carte gris de collection dan perlu ditampal pada cermin hadapan, bagi membolehkan mereka bebas masuk ke bandar pada bila-bila masa. Permohonan untuk pelekat berkenaan perlu dibuat di dewan bandaraya Paris dengan membawa bukti pemilikan dan pendaftaran kereta klasik berkenaan.

    FFVE bersama penaung organisasi untuk kereta klasik, Fédération Internationale des Véhicules Anciens (FIVA) menyokong sepenuhnya bandaraya di dunia untuk mengiktiraf kereta klasik sebagai artifak sejarah dan kebudayaan. Timbalan presiden FIVA untuk hubungan luar Gautam Sen berkata, beliau berharap model yang ditunjukkan Paris akan dijadikan contoh untuk meyakinkan bandaraya lain yang turut mengharamkan kemasukan kereta lama supaya membuat pengecualian terhadap kereta yang bersejarah.

     
     
  • Program ‘Go-To-Safety-Point’ kini di 512 stesen Petronas – bakal diperluaskan di BHP dan Caltex kelak

    Petronas

    Program ‘Go-To-Safety-Points’, tempat bagi orang ramai mendapatkan bantuan kecemasan di stesen Petronas, akan diperluas ke seluruh negara.

    Menurut Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, program yang dianjurkan oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Petroliam Nasional Berhad (Petronas), kini dilaksanakan di 512 stesen, laporan Bernama.

    “Selain itu, program PDRM di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) juga bakal diperluas ke stesen BHP dan Caltex tidak lama lagi,” ujarnya kepada pemberita ketika melancarkan program ini.

    Pihak polis akan memberikan latihan yang spesifik kepada pengusaha stesen petrol dan penyelia yang terbabit bagi program ini. Menurut Khalid, mereka ini diharap mampu membantu orang ramai dalam situasi kecemasan.

    Antara modul latihan yang bakal diberikan termasuklah pertahankan diri, memberkas penjenayah, mengendalikan mangsa yang dalam trauma dan menghulurkan bantuan yang sewajarnya. Program ini bukanlah pertama kali diadakan. Sebaliknya, ia telah pun dimulakan pada tahun 2014 yang membabitkan inisiatif oleh stesen minyak Shell dan Petron.

     
     
  • Satu lagi kematian kemungkinan berpunca dari beg udara berlaku di Malaysia – apa yang anda perlu tahu mengenai panggilan balik beg udara Takata

    Honda airbag

    Semalam dilaporkan berlaku satu lagi kemalangan yang menyebabkan kematian berpunca dari serpihan tajam dari beg udara buatan Takata. Perlanggaran antara Honda City dan Mercedes-Benz di Kota Damansara mengakibatkan seorang pemandu wanita berusia 44 tahun yang memandu Honda City terbunuh selepas dadanya tertusuk besi tajam yang terkeluar dari tengah roda stereng.

    Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Sungai Buloh, mangsa ditemui dalam keadaan parah serta tidak boleh diselamatkan dan beg udara bahagian pemandu didapati pecah.

    Jika ini masih dianggap sebagai suatu isu yang kurang serius bagi pemilik-pemilik kenderaan yang dipanggil balik untuk pemeriksaan lanjut berhubung masalah beg udara Takata, sukar untuk kata apa lagi. Pengedar di Malaysia turut mengulas, masih ramai yang tidak mengambil berat mengenai pemeriksaan beg udara ini.

    Maka kejadian seumpama ini, kebarangkalian boleh berulang pada masa hadapan. Mengapa beg udara dikatakan boleh menjadi ‘pembunuh’ sedangkan tugasnya sepatutnya melindungi kita jika terbabit dalam kemalangan?

    Panggilan balik yang melibatkan beg udara buatan Takata ini berpunca dari masalah inflator di dalamnya. Apabila kemalangan berlaku, hasil hentakan yang kuat boleh mengakibatkan besi di dalam inflator beg udara tersebut terkeluar, sekali gus mampu mengundang kematian.

    Ia adalah perkara yang sangat serius dan perlu diambil berat oleh kita. Bukannya kita sekadar membaca perkara ini berlaku di US atau lain-lain negara. Masalah yang begitu serius ini telah pun berlaku di Malaysia, dan kejadian semalam bukanlah insiden pertama seumpamanya, malah kali ketiga!

    Apa yang perlu anda lakukan sekiranya model kenderaan anda terlibat dengan panggilan balik oleh pengeluar kenderaan:

    Panggilan balik beg udara Takata oleh Honda

    Bagi Honda, terdapat dua kumpulan panggilan balik bagi beg udara Takata ini telah dilakukan. Pertama, ia melibatkan beg udara di bahagian pemandu. Dan panggilan kedua, pula iaitu beberapa hari lalu, melibatkan beg udara bahagian penumpang hadapan. Bagi kumpulan pertama, alat gantinya telah pun ada dan para pengedar sepatutnya sudah memiliki stok penukaran beg udara ini. Menurut wakil Honda Malaysia, apa yang perlu anda lakukan ialah segera menyemak status beg udara kenderaan anda.

    Layari laman web Honda Malaysia dan klik pada VIN untuk menyemak adakah kenderaan anda terbabit dengan panggilan balik ini. Bagi beg udara bahagian pemandu, ia melibatkan model Accord (buatan tahun 2003-2007), City (2003-2013), Civic (2001-2011), Civic Hybrid (2003, 2007-2012), CR-V (2002-2011, 2013), Jazz/Jazz Hybrid (2003-2007, 2009-2013), Insight (2011-2013) dan Stream (2003-2005, 2007-2013).

    Anda perlukan nombor VIN, atau pun lebih dikenali sebagai nombor casis. Ia boleh didapati menerusi kad pendaftaran JPJ, atau buku servis Honda, atau pada kenderaan itu sendiri. Lihat plat berwarna biru sama ada pada tiang tengah bahagian penumpang atau pun pada petak enjin.

    Kunjungi pusat servis Honda bertauliah dengan kadar segera dan mohon untuk kenderaan anda diperiksa dan beg udara yang bermasalah itu perlu diganti. Tidak perlulah tunggu Honda Malaysia menghubungi anda, kerana anda sendiri perlu bertindak pantas. Malah Honda Malaysia telah memberikan arahan kepada para pengedarnya supaya melayan mana-mana pelanggan yang datang secara ‘walk-in’ untuk pemeriksaan dan penggantian beg udara ini.

    Bagi kumpulan kedua pula, ia melibatkan beg udara di tempat duduk penumpang hadapan. Kami dimaklumkan alat ganti tersebut dijangka tiba sebelum akhir Julai ini. Sila periksa adakah kenderaan anda terlibat dengan menggunakan kaedah yang sama (menerusi VIN).

    Model yang terlibat dengan kempen ini ialah Accord (buatan tahun 2003-2011), City (2009-2011), Civic (2007-2011), CR-V (2008-2011), Freed (2009-2011), Insight (2011), Jazz (2009-2011) dan Odyssey (2004-2008).

    Buat sementara ini, kami ingin menasihati anda agar tidak menggunakan tempat duduk penumpang hadapan. Gunakan empat tempat duduk sahaja buat sementara waktu iaitu tempat duduk pemandu dan tiga tempat duduk penumpang belakang.

    Pemilik kenderaan Honda boleh mendapatkan pengesahan mengenai perkara ini dengan menghubungi Honda Malaysia di talian 1-800-88-2020 untuk maklumat lanjut.

    Panggilan balik beg udara Takata oleh Toyota

    Manakala bagi Toyota pula, telah melakukan panggilan balik hampir 130,000 unit di Malaysia. Kumpulan pertama melibatkan 97,000 unit yang membabitkan model Camry, Corolla Altis, Vios, Yaris dan RAV4 bagi buatan tahun antara 2001 hingga 2007. Kumpulan kedua pula melibatkan Vios, Corolla Altis dan Yaris buatan tahun antara 2007 dan 2008.

    toyota-recall-july-2015a

    Apa yang perlu anda lakukan ialah hubungi Toyota Malaysia di talian 1800-8-869682, dari Isnin hingga Jumaat, 8 pagi hingga 5.30 petang bersama nombor VIN kenderaan anda untuk semakan. Anda boleh memperoleh nombor VIN ini menerusi kad pendaftaran JPJ.

    Jika kenderaan anda terlibat dengan panggilan balik ini, segera berhubung dengan mana-mana pusat servis Toyota berhampiran dan membuat temujanji bagi pemeriksaan dan penukaran beg udara. Menurut wakil Toyota Malaysia, alat ganti yang diperlukan kini sudah ada di Malaysia dan anda perlu membuat temujanji dengan mana-mana pusat servis Toyota bertauliah untuk tujuan tersebut. Klik di sini untuk mengetahui pusat servis Toyota berhampiran anda.

    Toyota Malaysia turut mengesahkan pemeriksa VIN menerusi dalam talian sedang dibangunkan.

    Panggilan balik beg udara Takata oleh Mitsubishi

    Terdapat dua model Mitsubishi yang terlibat dalam panggilan balik beg udara Takata di pasaran Malaysia. Dengan sejumlah 895 unitm, ia melibatkan Mitsubishi Lancer (buatan tahun 2004-2006) yang terlibat dengan panggilan balik bagi beg udara penumpang.

    Ia juga membabitkan model Triton (buatan tahun 2006 hingga 2014) yang melibatkan sebanyak 35,000 unit bagi beg udara bahagian pemandu yang terjejas.

    Pemilik boleh menyemak status panggilan semula ini dengan memasukkan Nombor Pengenalan Kenderaan (VIN) di sini: semakan VIN bagi panggilan balik Triton atau semakan VIN bagi panggilan balik Lancer.

    Jika terlibat, sila buat temujanji dengan mana-mana pusat servis Mitsubishi bertauliah atau hubungi talian khidmat pelanggan di 1-800-18-6611 (Isnin hingga Jumaat, 9 pagi hingga 5 petang) untuk bantuan segera. Anda boleh mendapatkan senarai penuh pusat servis dan nombor untuk dihubungi di sini.

    Panggilan balik beg udara Takata oleh Nissan

    Terdapat beberapa panggilan balik yang melibatkan beg udara bahagian penumpang hadapan untuk 12,444 unit kenderaan Nissan iaitu membabitkan model T30 X-Trail CKD, J31 Teana CBU dan M12 Liverty CBU. Daripada jumlah tersebut, lebih 12,000 unit adalah melibatkan model T30 X-Trail CKD.

    Bagi pemilik model Nissan yang ingin mendapatkan pengesahan, sila hubungi Edaran Tan Chong Motor menerusi talian bebas tol 1800-88-3838, atau layari pautan ini dan memasukkan nombor VIN kenderaan anda untuk menyemak adakah ia terlibat.

     
     
  • Mercedes-AMG GT R 2018 didedahkan secara rasmi

    Der neue Mercedes-AMG GT R: Entwickelt in der „Grünen Hölle“

    Mercedes-Benz telah mendedahkan jentera buas AMG terbaharu mereka – Mercedes-AMG GT R 2018 – di Goodwood Festival of Speed hujung minggu lalu.

    Berbanding model GTS sebelum ini, GT R menampilkan gril hadapan dengan motif jail-bar serta dapra depan dan belakang yang lebih lebar diperbuat dari bahan gentian karbon menjadikan ia lebih lebar 1.8 inci. Bumbung GT R juga dibina dari bahan gentian karbon, manakala pada bahagian ia turut dilengkapi dengan sayap yang lebih besar. Bampar belakang dilengkapi dengan sepasang diffuser mengapit ekzos tip berkembar. Jentera ini disembur dengan warna badan khas AMG Green Hell Magno.

    Jentera ini juga dilengkapi dengan kit aerodinamik aktif pada bahagian hadapan yang menghasilkan kesan venturi, seterusnya menekan badan kereta ini sehingga 1.6 inci ketika memecut melebihi 80km/j dalam ‘Race Mode’ membuatkan ia melekat pada permukaan jalan raya.

    Der neue Mercedes-AMG GT R: Entwickelt in der „Grünen Hölle“

    Bahagian dalaman GT R dilihat menampilkan imej yang lebih berorientasikan litar lumba dimana tempat duduk berprestasi AMG diberikan balutan kulit Nappa dan fabrik gentian mikro Dinamica. Warna hitam keseluruhan turut menerima serlahan berwarna kuning pada butang-butang kawalan instrumen dan jahitan. Tali keledar berwarna kuning turut didatangkan sebagai pilihan opsyen. Konsol tengah pula diberikan kemasan akhir piano black.

    GT R masih menggunakan enjin V8 4.0 liter turbo berkembar sama seperti GT S, tetapi ia kini telah ditala untuk mengekstrak kuasa keseluruhan 577 hp dan tork maksima 699 Nm, berbanding GT S yang menghasilkan kuasa 503 hp dan tork maksima 650 Nm. Kuasa tambahan ini dihasilkan dengan kombinasi pengecas turbo baharu, talaan semula pada unit pengurusan enjin, liang ekzos yang dibentuk semula serta nisbah mampatan yang berlainan. Tekanan boost pada sistem turbo GT R dicatatkan pada 19.6 psi berbanding 17.4 pada GT S.

    Kesemua kuasa dialirkan ke gandar belakang menerusi kotak gear klac berkembar AMG Speedshift DCT tujuh-kelajuan. Nisbah pada kotak gear GT R ini turut berbeza dari GT S di mana nisbah pada gear pertama dipanjangkan sementara nisbah gear ketujuh dan nisbah akhir kini telah dipendekkan.

    Der neue Mercedes-AMG GT R: Entwickelt in der „Grünen Hölle“

    Berat keseluruhan GT R juga 90 kg lebih ringan dari GT S. Hasil gabungan kuasa yang lebih tinggi, nisbah gear yang diolah semula serta berat keseluruhan yang lebih ringan, Mercedes AMG GT R mampu memecut dari 0-96 km/j dalam masa hanya 3.5 saat (0.2 saat lebih pantas dari GT S)

    Untuk menghentikan jentera liar ini, ia dilengkapi dengan kit brek karbon seramik. Ia juga dipadankan dengan roda aloi forged berdiameter 19-inci di hadapan dan 20-inci di belakang. Kesemua roda tersebut dibaluti tayar spesifikasi litar Michelin Sport Cup 2 bersaiz 275/35 ZR 19 di hadapan dan 325/30 ZR 20 di belakang.

    Pengedalian yang lebih lincah jentera ini bukan hanya bergantung pada sistem suspensi, ia turut dipadankan dengan sistem stereng pada roda belakang yang meningkatkan tindak balas serta kestabilan semasa membelok. Pada kelajuan di bawah 100 km/j, tayar belakang akan berpusing dalam sudut kecil bertentangan dengan arah pusingan tayar hadapan untuk tindak balas yang lebih pantas. Manakala untuk kelajuan melebihi 100 km/j pula, arah pusingan roda belakang adalah sama dengan roda hadapan, memberikan kestabilan yang lebih bagus dalam kelajuan tinggi.

     
     
  • Uber tidak dibenarkan beroperasi di Sabah

    uber cash payment

    Nampak gayanya perkhidmatan Uber tidak diterima di Sabah. Selepas beroperasi kurang dari sebulan di Kota Kinabalu, Uber telah pun diharamkan beroperasi oleh Lembaga Perlesenan Kenderaan Komersial Sabah (CVLB), laporan The Star.

    CVLB verkata, syarikat rangkaian pengangkutan ini dilihat sebagai perkhidmatan teksi “sapu” yang berorientasikan aplikasi dalam talian. “Kami mahu melayan semua pihak secara adil termasuk pemandu teksi sedia ada. Dan perkhidmatan teksi yang tidak berdaftar, adalah diharamkan,” ujar pengerusi CVLB Sabah Datuk Raime Unggi.

    Beliau berkata, Uber baru saja beroperasi di Kota Kinabalu bulan lalu, namun kebanyakan pemandu teksi di bandar berkenaan telah terasa tergugat dengan kehadiran perkhidmatan tersebut. Raime turut berkata wakil Persatuan Pengusaha Teksi Kota Kinabalu telah mengadakan pertemuan dengan beliau dan menyuarakan bantahan terhadapan Uber. Malah meminta pihak berkuasa untuk menghalang perkhidmatan ini dengan segera.

    Ketika ditanya, adalah CVLB Sabah akan memberikan kelulusan pada Uber untuk beroperasi, Raime berkata perubahan mungkin akan berlaku selepas kajian oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) terhadap Uber dan lain-lain perkhidmatan seumpamanya menemui kata putus. Malah beliau turut mengatakan CVLB peka dengan keperluan untuk mempertingkatkan mutu perkhidmatan pengangkutan awam di negeri berkenaan.

     
     
  • Laluan sambungan LRT Kelana Jaya dan Ampang bakal beroperasi 30 Jun ini seperti yang dijadualkan

    lrt-depot

    Laluan sambungan LRT Kelana Jaya dan Ampang akan mula dibuka bermula 30 Jun ini seperti yang dijadual, lapor New Straits Times.

    Stesen LRT laluan Kelana Jaya terletak di bawah bidang kuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan ia kini telah pun menerima surat sokongan dari pelbagai agensi. Pusat Sehenti (OSC) MPSJ juga telah menerima, memeriksa dan mengesahkan permohonan, termasuk Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) yang dikeluarkan oleh pihak arkitek.

    Menurut CEO Prasarana Rail and Infrastructure Projects Sdn Bhd, Datuk Ir Zohari Sulaiman pihaknya telah menerima semua surat sokongan dari pelbagai agensi termasuk MPSJ, SYABAS, TNB, IWK dan Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk tiga lagi stesen LRT laluan Ampang yang turut diletakkan dibawah bidang kuasa MPSJ. MPSJ OSC turut mengesahkan permohonan boleh dibuat pada Isnin, 27 Jun 2016 setelah CCC dikeluarkan oleh pihak arkitek.

    “Setelah dokumen tersebut diserahkan dan disahkan oleh OSC MPSJ, permohonan CCC berkenaan disahkan lengkap,” tambah Zohari lagi.

    LRT Kelana Jaya Line

    Zohari mengesahkan dalam kenyataannya, pengenalan Akta Jalan, Perparitan dan Bangunan (Pindaan) 2007 pada 12 April 2007, CCC, yang juga merupakan proses pengesahan-sendiri menggantikan Sijil Layak Menduduki (CFO) yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan. Di bawah akta yang dipinda berkenaan, CCC akan dikeluarkan oleh arkitek atau jurutera yang memantau projek berkenaan. Ini adalah cara untuk mengatasi masalah yang timbul pada sistem sebelum ini, dan mewujudkan sistem penyampaian awam yang lebih cekap.

    Zohari menjawab kebimbangan yang ditimbulkan oleh Presiden MPSJ Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan yang mengatakan MPSJ tidak meluluskan CCC untuk stesen-stesen LRT berkenaan kerana kekurangan tempat meletak kenderaan pada stesen-stesen tertentu.

    Beliau menjelaskan perancangan dan pembangunan tempat meletak kenderaan di Stesen 4 (Subang Jaya) dan Stesen 7 (USJ 7) pada projek sambungan laluan LRT Kelana Jaya tidak termasuk dalam Pelan Bangunan yang telah diluluskan, berbeza dengan stesen lain. Oleh itu, ia bukan sebahagian dari CCC bangunan berkenaan.

    Tempat parkir untuk dua stesen berkenaan akan disediakan sebagai sebahagian pembangunan hartanah yang lebih besar dengan kerjasama pemilik tanah bersebelahan. Sebelum itu, Prasarana akan menyediakan tempat parkir sementara untuk kemudahan orang awam sebagai langkah sementara.

    LRT-Extension-Map

    “Kami sedang berbincang dengan Sime Darby, pemaju utama di USJ Subang Jaya, dan berharap untuk memuktamadkan ruang untuk pembinaan pembinaan tempat parkir sementara dalam masa dua bulan sehingga tempat parkir kekal disediakan sebagai perancangan pembangunan yang lebih besar,” kata Zohari.

    Beliau menambah, tanggungjawab Prasarana tidak terhenti setakat menyiapkan operasi LRT sahaja. Prasarana telah membina lebih dari 2,200 tempat parkir sepanjang laluan tambahan Kelana Jaya dan akan ia akan diteruskan. 30 bas juga telah disediakan yang akan beroperasi dalam frekuensi setiap 10 dan 15 minit sekali sepanjang 10 laluan antara Lembah Subang dan Putra Heights yang akan bermula 30 Jun ini.

    “Untuk laluan tambahan LRT Ampang selebihnya, kami akan menyedikan 10 bas, untuk beroperasi dalam lima laluan baharu dari Bandar Baru Puchong ke Putra Heights pada frekuensi setiap 10 minit,” kata Zohari lagi.

     
     
  • Honda Freed 2016 serba baharu – imej paten tersebar

    2017-Honda-Freed-patents-1-e1466992050825

    Honda dikatakan sedang rancak membuat pelbagai persiapan untuk melahirhan model serba baharu Freed hujung tahun ini. Seperti mana yang telah disahkan oleh presiden dan CEO Honda sendiri, Takahiro Hachigo pada Februari lalu, Freed serba baharu ini menanti detik yang sesuai untuk diperkenalkan di persada antarabangsa. Namun baru-baru ini, imej patennya telah pun disebarkan.

    Pada bahagian hadapannya, wajah ‘Solid Wing’ mendominasi gril atas yang lebih besar dengan bilah yang lebih kecil pada bawahnya. Lampu utama yang lebih nipis turut dipadankan, lebih kurang sama dengan yang ditampilkan pada model Jazz. Gril bawah kini lebih sporty dengan rekaan ‘sarang lebah’.

    Pada sisinya pula, pintu gelongsor masih digunakan. Selain itu, terdapat bahagian kecil pada bumbung kini kelihatan disambung terus ke cermin hadapan. Manakala cermin sisi pula diposisikan semula.

    Bahagian belakangnya pula, terdapat ruang yang lebih besar yang menempatkan spoiler/ Selain itu, pemegang plat nombor pula diasak ke atas iaitu betul-betul di bawah logo Honda. Malah reflektor/lampu kabus turut disemak semula dan diletakkan di apron bawah dan tempat mengisi bahan api turut diposisikan semula.

    2017-Honda-Freed-patents-2-e1466992072436

    Belum disahkan sama ada Freed baharu ini masih menggunakan platform yang sama dengan model Jazz masa kini. Namun terdapat laporan mengatakan ia memiliki ukuran 4,250 mm panjang (dipertingkatkan 35 mm), 1,695 mm lebar (tidak berubah) dan 1,710 mm tinggi (dipertingkatkan 5 mm). Manakala jarak rodanya juga masih kekal iaitu 2.740 mm.

    Manakala penjana kuasanya, enjin petrol 1.5 liter bakal ditawarkan, bersama 1.0 liter VTEC Turbo sama seperti Civic spesifikasi Eropah. Manakala bagi versi hibrid pula, ia menampilkan sistem IMA (Integrated Motor Assist) yang bakal ditawarkan di pasaran beberapa negara.

    Honda Freed pernah dipasarkan di Malaysia suatu ketika dahulu, diperkenalkan pada tahun 2010. Pada tahun 2013, dua variannya iaitu bagi versi facelift dilancarkan, pada harga RM99,800 dan RM113,500. Namun permintaan terhadapnya kurang memberangsangkan dan mendorong Honda Malaysia menghentikan jualannya di sini.

    GALERI: Honda Freed generasi semasa

     
     
  • Sikap pengguna jalan raya terhadap keselamatan perlu diubah, undang-undang penggunaan topi keledar baharu sedang dipertimbang – Menteri Pengangkutan

    2016-Yamaha-Road-safety-1_BM

    Menteri Pegangkutan Datuk Sri Liow Tiong Lai mengkritik sikap sebahagian pengguna jalan raya terhadap kempen keselamatan yang dijalankan sempena musim perayaan di Malaysia yang dijalankan untuk meningkatkan kesedaran bagi mengelakkan berlakunya kemalangan maut. Bercakap ketika “Kempen Keselamatan Jalan Raya Balik Kampung” Yamaha di Bentong, Pahang, Liow berkata walaupun kementeriannya dan beberapa pihak lain yang berkaitan mengadakan kempen pada setiap tahun, angka kematian di lebuhraya dan jalan raya semasa musim perayaan masih tidak berubah.

    “Kami membuat kempen-kempen sebegini setiap tahun, tetapi angka kemalangan jalan raya masih lagi tinggi, terutamanya semasa waktu puncak balik ke kampung,” kata Liow. “Ini perlu diubah, dan bermula tahun ini, kami akan meningkatkan penguatkuasaan, dengan kerjasama agensi lain seperti JPJ.

    Liow turut menyatakan penggunaan topi keledar juga agak teruk, terutamanya di kawasan luar bandar, dan berkata ramai penunggang yang menggunakan topi keledar yang telah uzur. “Ada penunggang yang menggunakan topi keledar yang berumur 10-, 15-, hingga 20-tahun, Topi keledar mempunyai tempoh jangka hayatnya sendiri, dan ia tidak boleh digunakan lebih dari lima tahun.”

    Perubahan kepada undang-undang pemakaian topi keledar sedia ada sedang dipertimbangkan, menurut Liow, kementeriannya sedang mengkaji untuk mengharamkan penggunaan topi keledar dengan usia tertentu selepas diproduksi. “Kami sedang mempertimbangkan undang-undang baharu ini. Ketika menunggang, topi keledar merupakan satu-satunya perlindungan sebenar, dan topi keledar lama tidak akan memberikan perlindungan yang secukupnya.”

    Menurut Liow lagi, penguatkuasaan akan dipertingkatkan tahun ini, dan akan melibatkan operasi bersama agensi lain yang berkaitan. “Kami akan lebih tegas terhadap mereka yang melakukan kesalahan tahun ini, dan kami akan melakukan operasi bersepadu. Contohnya, jika JPJ membuat operasi, kemudian polis juga akan turut serta untuk menjalankan pemeriksaan terhadap pemandu,” kata beliau.

    Dengan tema “fokus di jalan, bukan di tangan”, kempen keselamatan jalan raya Yamaha tahun ini turut menggambarkan betapa bahayanya penggunaan telefon bimbit semasa memandu. Ini digambarkan dengan video demonstrasi ringkas bagaimana seorang pemandu yang memandu sambil menggunakan telefon bimbit, dan kemudian terlibat dalam kemalangan dalam sekelip mata.

    Ketika kempen keselamatan jalan raya yang akan diadakan di empat lokasi iaitu Bentong, Pahang; Sungai Dua, Pulau Pinang; Sungai Petani, Kedah dan Shah Alam, Selangor ini, orang awam boleh memberikan motosikal mereka kepada mekanik berpengalaman dari Yamaha untuk diperiksa dan 500 topi keledar peserta bertuah yang telah uzur akan digantikan dengan topi keledar KHI yang baharu.

     
     
  • Penggunaan telefon bimbit sewaktu memandu dan menunggang motosikal dikenal pasti punca utama kemalangan jalan raya di negara ini – Liow

    Crash-accident-collision

    Penggunaan telefon bimbit sewaktu memandu dan menunggang motosikal telah dikenalpasti sebagai punca utama kemalangan jalan raya di negara ini.

    Menurut Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tion Lai, pihak kementerian akan meminta Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) untuk menjalankan kajian bagi membuktikan ia satu perkara serius yang perlu diberi perhatian oleh pengguna jalan raya di negara ini, laporan News Strait Times.

    “Sebenarnya telefon bimbit telah banyak mengubah kehidupan kita dengan kewujudan pelbagai aplikasi seperti WhatsApp dan mesej multimedia. Fungsinya bukan lagi menjadi telefon biasa sebaliknya telah menjadi telefon pintar dengan pelbagai kemudahan termasuk melayari laman web, mengambil gambar atau mencari lokasi sewaktu memandu atau menunggang motosikal,”ujarnya.

    Liow berkata, kajian yang dikendalikan oleh MIROS mendedahkan sebanyak 80% kemalangan adalah disebabkan kecuaian manusia sendiri termasuk penggunaan telefon bimbit. Beliau turut berkata, kementerian menerusi agansi yang terlibat akan mewujudkan jawatankuasa khas di semua daerah bagi memastikan kempen keselamatan jalan raya dapat diimplementasi dengan efektif dari peringkat akar umbi.

    Malahan pihak kementeriannya juga akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan untuk memberikan kesedaran berhubung keselamatan jalan raya di kalangan pelajar sekolah.

     
     
  • ANIH beri diskaun tol 10% di Lebuhraya Karak dan LPT 1 sempena Aidilfitri, TTA turut dikeluarkan

    Karak-highway-02

    Sempena menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi, ANIH Berhad selaku pemegang konsesi Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT 1) mengumumkan diskaun tol sebanyak 10% untuk semua pengguna yang membuat bayaran secara elektronik di KLK dan LPT1. Diskaun itu akan ditawarkan secara 24 jam, bermula jam 12.00 pagi hari Rabu, 6 Julai 2016.

    Pengarah ANIH Berhad, En Nik Fauzi Tan Sri Nik Hussein berkata, semua pengguna lebuh raya, khususnya di LPT 1 digalakkan untuk membuat bayaran tol secara elektronik bagi memperoleh manfaat diskaun selain membantu perjalanan menjadi lebih mudah.

    “Diskaun ini sebahagian komitmen tanggungjawab sosial ANIH Berhad kepada pengguna KLK dan LPT 1 selain sebagai tanda penghargaan kepada pengguna yang sentiasa menyokong perkhidmatan rangkaian lebuh raya kami,” ujarnya menerusi kenyataan media yang dikeluarkan semalam.

    Dalam masa yang sama, Anih turut mengeluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) sebagai langkah untuk membantu pengguna menikmati perjalanan yang selesa di KLK dan LPT 1 pada waktu puncak di musim cuti perayaan Aidilfitri.

    TTA_2016_BM

    Jadual TTA Aidilfitri 2016 untuk pengguna KLK dan LPT 1 pula memberi penekanan trend perjalanan yang akan bermula dari 2 hingga 3 Julai 2016 (bagi yang ingin pulang ke negeri di Pantai Timur), dan 9 hingga 10 Julai 2016 (untuk pengguna kembali semula ke ibu kota).

    “Kami menjangkakan jumlah kenderaan yang menggunakan KLK dan LPT 1 pada waktu puncak akan meningkat kepada 264,258 kenderaan sehari. Ia merupakan peningkatan sebanyak 87% berbanding hari-hari biasa, iaitu sebanyak 141,000 kenderaan sehari. Waktu puncak dijangka akan bermula pada 1 hingga 3 Julai 2016 dan 8 hingga 10 Julai 2016,” katanya.

    Jadual TTA yang diperkenalkan ANIH Berhad sejak 2009, terdiri daripada cadangan perjalanan berperingkat mengikut masa dan destinasi tertentu dari Lembah Klang ke negeri-negeri dan bandar-bandar utama di negeri pantai timur Semenanjung Malaysia. Ia dirangka berdasarkan kepada analisis pergerakan trafik pada waktu puncak setiap kali musim perayaan pada tahun sebelumnya.

    Pengenalan TTA bertujuan untuk menyuraikan pergerakan trafik dan mengurangkan kesesakan di laluan-laluan utama lebuh raya, plaza-plaza tol dan kawasan rehat pada waktu-waktu puncak.

    Nik Fauzi juga menasihati pengguna lebuh raya supaya mengamalkan pemanduan berhemah selain peka dan berhati-hati khususnya ketika pulang ke kampung halaman dan kembali semula ke Kuala Lumpur.

    Dalam pada itu, pengguna juga dinasihatkan supaya mendapatkan maklumat trafik terkini di KLK dan LPT 1 menerusi laman sosial Twitter di akaun @LPTTrafik atau Facebook di akaun Lebuhraya Pantai Timur, talian LPT-Line 09-547 9111, papan tanda elektronik di lokasi-lokasi terpilih serta mengikuti laporan trafik terkini menerusi siaran-siaran radio utama negara.

     
     
  • VIDEO: Kanak-kanak nyalakan pemetik api di dalam kereta ketika ibunya sedang mengisi petrol

    Satu insiden telah berlaku di sebuah stesen minyak di Kelantan, memberikan peringatan kepada masyarakat bahawa langkah keselamatan ketika mengisi bahan api bukanlah perkara yang boleh dipandang ringan.

    Insiden yang dirakam oleh CCTV sebuah stesen minyak yang terletak di Kuala Krai berkenaan menyaksikan api telah menyala di dalam kabin kereta ketika ia sedang diisi petrol. Ia disebabkan oleh seorang budak lelaki yang telah menyalakan pemetik api di dalam kereta, menyebabkan wap petrol yang masuk ke dalam kabin kereta tersebut terbakar. Budak lelaki berkenaan dilaporkan telah dihantar ke hospital untuk menerima rawatan, namun tidak diketahui keadaan sebenarnya.

    Here's what NOT to do when you're at a fuel station…

    Posted by Paul Tan's Automotive News on Thursday, February 4, 2016

    Kami sebelum ini telah mewar-warkan langkah keselamatan yang perlu diambil ketika mengisi semula tangki bahan api anda. Awal tahun ini juga, kami telah menyiarkan satu video berkenaan apa yang boleh dan apa yang tidak boleh dibuat semasa mengisi bahan api.

    Bahan api secara jelasnya memang mudah terbakar. Bukan sahaja cecair bahan api, malah wap bahan api lebih mudah untuk terbakar jika terdedah kepada percikan api – insiden di Kuala Krai ini telah membuktikannya. Jadi, ketika mengisi bahan api, peralatan seperti pemetik api sebolehnya dielakkan dan enjin kereta juga pula perlu sentiasa dimatikan.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.30
DIESEL
EURO 5 B10 RM3.35 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.55 (0.00)
Last Updated Jun 27, 2024