Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Kumpulan Naza hadiahkan Kia Rio sedan untuk atlet paralimpik M’sia yang dapat pingat gangsa di Rio 2016

    Kia Rio Sedan Malaysia_ 028

    Pada 11 September lalu, Naza Corporation Holdings telah berjanji untuk menghadiahkan Kia Sportage serba baharu kepada atlet paralimpik negara yang berjaya membawa pulang pingat emas untuk Malaysia di Olimpik Rio. Atlet tersebut ialah Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi, Mohamed Ziyad Zolkefli dan Abdul Latif Romly, yang berjaya memperoleh pingat emas dalam acara masing-masing.

    Semalam Pengerusi Eksekutif Bersama Kumpulan Naza, SM Nasaruddin SM Nasimuddin yang juga Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), telah mengumumkan akan memberikan ganjaran berupa sebuah Kia Rio sedan kepada Siti Noor Radiah Ismail yang memenangi pingat gangsa dalam kejohanan sukan berprestij itu.

    “Kita perlu mengucapkan te­rima kasih kepada mereka kerana mereka sangat luar biasa, saya berada di Rio semasa mereka ber­aksi di sana dan kejayaan mereka jelas memberikan inspirasi kepada saya. Sebuah kereta Kia Rio akan berikan kepada pemenang pingat gangsa,” katanya dalam Maj­lis Sambutan Wira Paralimpik di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur semalam.

    Kia Rio Sedan Malaysia_ 030

    Kia Rio sedan baharu ini dijanakan oleh enjin 1.4 liter yang mampu memberikan kuasa sehingga 109 PS pada 6,300 rpm dan puncak tork 137 Nm pada 4,200 rpm. Ia turut dipadankan dengan transmisi automatik empat-kelajuan.

    Imej yang mirip dengan model hatchback, Kia Rio Sedan turut dipadankan dengan gril radiator “Tiger Nose” yang menjadi signatur Kia. Ia juga tampil dengan paten geometrikal menjadikan Kia Rio Sedan ini memiliki profil yang lebih bergaya.

    Selain itu, ia turut dipadankan dengan lampu nyalaan siang (DRL) untuk fokus pemandangan yang lebih optima serta rim aloi yang lebih bergaya bersaiz 15-inci yang dibaluti tayar 185/55 R15.

    Bagi ruang kabinnya, ia turut dilengkapi dengan roda stereng telescopic dengan butang kawalan audio, Bluetooth, sistem audio bersama enam pembesar suara serta Audio Head Unit (dengan storan memori 800 MB) sebagai radio dan pemain MP3 dengan sambungan USB, AUX dan RDS.

    Untuk elemen keselamatannya, Kia Rio Sedan turut hadir dengan enam beg udara, sistem keselamatan aktif termasuk Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Pengurusan Kestabilan Kenderaan (VSM), pengesan parkir belakang dan Bantuan Mula Mendaki (HAC) serta cakera brek hadapan dan belakang.

    Kia Rio sedan ini ditawarkan pada harga RM72,888 (OTR dengan insurans) dengan waranti selama lima-tahun tanpa perbatuan terhad. Ia ditampilkan dengan empat pilihan warna iaitu Clear White, Bright Silver, Deep Blue dan Signal Red.

     
     
  • VIDEO: Honda S-Dream catat 421km/j di Bonneville

    Kawasan tanah rata di Bonneville sememangnya menjadi tumpuan bagi penggemar kelajuan dan apabila tiba musimnya, ramai yang akan datang untuk mencuba jentera masing-masing dan cuba mendapatkan kelajuan maksimum.

    Honda mempunyai rekodnya yang tersendiri dan kali ini dengan menggunakan S-Dream yang dipacu oleh enjin 660cc dari roadster S660, mereka berjaya mencatat 421.59 km/j dalam jarak satu kilometer dan 421.45 km/j untuk satu batu (1.6km). Melalui catatan ini, Honda mendapat gelaran rekod dunia FIA dalam kelasnya – Kategori A, Kumpulan 1, Kelas 4. Ia juga menjadi kenderaan terpantas Honda.

    Walaupun asalnya enjin 660cc yang digunakan hanya berkemampuan 64hp, jurutera Honda telah mengubahsuainya sehingga berjaya mendapat kuasa sebanyak 200hp. Ini termasuk perubahan pada bahagian bawah blok enjin, piston, crankshaft dan injap.

    honda-s-dream-e1474596853574-850x381bm

    Sebelum tiba di Bonneville, S-Dream cemerlang sepanjang sesi ujian di Jepun. Walaubagaimanapun, apabila pemandunya, Hikaru Miyagi melakukan ujian pemanduan di Bonneville, beliau mendapati terdapat isu penglihatan – kanopi terlalu sempit dan sukar untuk melihat keadaan luar.

    Kereta ini kemudiannya dihantar ke fasiliti Honda di Santa Clarita, California dan keseluruhan bahagian atas pemandu diperbaiki. Ini berlaku cuma 10 hari sebelum acara rasmi dan Honda terlepas untuk membuat rekod di Bonneville Speed Week. Walaubagaimanapun, mereka diberi peluang untuk membuat catatan selepas itu. Masa yang dicatat oleh S-Dream mengatasi kenderaan Honda terpantas sebelum ini iaitu kereta BAR Honda F1 pada tahun 2006.

     
     
  • Sindiket kereta klon: Kastam tubuh pasukan khas untuk siasat jika ada anggotanya terlibat

    Cloned-cars-1

    Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bakal melaksa­nakan proses pemutihan ter­hadap anggotanya sekiranya ada yang dikenal pasti bersekongkol dalam sindiket kereta klon. Menurut Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Khazali Ahmad, JKDM akan menubuhkan satu pasukan khas bagi melakukan siasatan lebih terperinci sama ada wujud ‘orang dalam’ jabatan itu yang terlibat atau menjadi dalang dalam sindiket tersebut.

    “Jika siasatan mendapati ada unsur penglibatan, individu tersebut bukan setakat akan digantung kerja. Bahkan kita akan serahkan kepada pihak berkuasa untuk dihadapkan ke muka penga­dilan,” katanya kepada Utusan Malaysia bagi mengulas fungsi pasukan khas oleh JKDM yang ditubuhkan dalam usaha membanteras sindiket yang membawa masuk kenderaan mewah dari Singapura ke negara ini untuk dijadikan kereta klon.

    Dalam masa yang sama, beliau turut memaklumkan pasukan khas itu akan memberi tumpuan khusus untuk melakukan siasa­tan terutamanya di kawasan sempadan Johor dan Singapura.

    “Kami juga mengadakan perbincangan bersepa­du antara agensi dan jabatan ber­kaitan perlu dilakukan bagi mengekang kegiatan sindiket kereta klon. Ini kerana kerjasama di antara semua pihak sangat diperlukan bagi tujuan yang sama,” ujarnya lagi.

    Baru-baru ini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan empat individu termasuk seorang kerani wanita bahagian pendaftaran kenderaan Jabatan Pengangkutan Jalan negeri Kedah bagi membantu siasatan berkaitan sindiket kereta klon dari Singapura.

    Susulan penahanan itu, SPRM memburu empat lagi saki-baki sindiket kereta klon termasuk dua anggota penguatkuasa JPJ Kedah yang disyaki menyalahgunakan sistem pendaftaran agensi itu.

     
     
  • Monorel Putrajaya mungkin diteruskan selepas 12 tahun terbengkalai – dijangka siap menjelang 2021

    Innovia Monorail 300_01

    Projek monorel Putrajaya yang terbengkalai sejak tahun 2004 kerana faktor kekangan kos, bakal diteruskan tidak lama lagi. MMC Corporation Berhad (MMC) telah mencadangkan kepada Majlis Ekonomi (EC) bagi meneruskan projek tersebut. Sekiranya ia diluluskan, projek monorel Putrajaya ini dijangka siap menjelang tahun 2021, sama seperti MRT2 yang melibatkan jajaran Sg.Buloh-Putrajaya.

    Menurut sumber yang memberitahu The Sun, kertas cadangan MMC bagi projek ini dilihat sebagai realistik, dan ia dirancangkan boleh dihubung terus dengan MRT2, ERL dan Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura, dengan Putrajaya sebagai lokasi transit.

    “Sebagai permulaan, stesen monorel di Putrajaya Sentral akan disambungkan dengan stesen pertama MRT2, menerusi skybridge sepanjang 84 meter,” ujar sumber tersebut.

    Jika mengikut pelan asal, fasa pertama bagi projek ini menelan belanja sebanyak RM400 juta bagi dua laluan iaitu trek sepanjang 13.6 km dengan 18 perhentian bagi jajaran pertama. Serta trek sepanjang 6.8 km dengan tujuh stesen bagi jajaran kedua. Ia turut melibatkan 4 km trek bawah tanah dan 9 km lagi trek biasa yang telah pun disiapkan sebelum ia terbengkalai.

    Sumber tersebut turut menambah, pengarah urusan kumpulan MMC Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh telah pun mengadakan pertemuan dengan wakil rasmi kerajaan, MRT Corp dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bagi penjelasan mengenai projek monorel ini. Walau bagaimana pun, perbincangan mengenai kosnya masih belum ditentukan.

    Dalam masa yang sama, pengerusi SPAS Tan Sri Syed Hamid Albar, telah mengesahkan MMC sudah pun mengemukakan kertas cadangan kepada EC untuk meneruskan kembali projek ini. Beliau berkata, kerajaan persekutuan telah mengarahkan SPAD untuk mengendalikan kajian mengenai perkhidmatan monorel dan tram di Putrajaya dan Cyberjaya.

     
     
  • Volkswagen Jetta facelift – Senarai spesifikasi penuh didedahkan sebelum pelancaran; tiga tahap kemasan

    2016-volkswagen-jetta-in-malaysia-1-1-bm

    Volkswagen Passenger Car Malaysia (VPCM) telah mendedahkan senarai penuh kelengkapan bagi model Volkswagen Jetta facelift sebelum pelancaran rasminya minggu hadapan. Melalui laman webnya, Jetta selepas ini akan ditawarkan dalam tiga kemasan berbeza; Trendline, Comfortline dan Highline. Ia juga sudah dibuka untuk tempahan, dengan jangkaan harga sekitar RM110,000 hingga RM130,000.

    Bagi varian Trendline, ia dipakejkan di bawah tahap spesifikasi model semasa Jetta. Kebanyakan kelengkapan kekal sama, termasuk lampu utama reflektor halogen, rim 16 inci aloi (dalam rekaan Sedona), lampu kabus depan dan belakang, kemasan fabrik Sienna dan corong pendingin hawa belakang. Yang baharu, kemasan dan hiasan Zebrano yang turut digunakan.

    Perbezaan lain ialah sistem pendingin hawa kini dikawal secara manual berbanding sistem Climatronic dwi-zon sebelum ini. Unit sistem audio (head unit) juga menggunakan sistem RCD 220 yang lebih rendah; dengan port USB, SD Card dan enam pembesar suara antara lainnya. Bagi varian ini, tiada lagi ciri cruise control dan butang kawalan pada stereng.

    2016-volkswagen-jetta-highline-2

    Manakala Comfortline dilengkapi dengan ciri-ciri yang kurang pada Trendline (kecuali cruise control); dengan rim Mambo, unit audio RCD 33G – yang melengkapi Polo 2016 – dengan skrin sentuh lima inci, Bluetooth dan Mirrorlink.

    Varian paling tinggi, Highline pula ditambah dengan ciri, antaranya seperti lampu utama bi-xenon dengan lampu nyalaan siang LED, lampu belakang LED, rim aloi 17 inci Queensland, sistem masukan tanpa kunci, butang Push Start, cruise control dan kemasan kulit Vienna bagi tempat duduk.

    Semua varian menggunakan enjin 1.4 TSI turbo empat silinder petrol yang menggantikan enjin twincharged sebelumnya. Sama dengan enjin pada Golf 1.4, ia menjana 150 PS antara 5,000 rpm hingga 6,000 rpm dan 250 Nm tork pada 1,500 rpm hingga 3,500 rpm. Bagi transmisi, ia menggunakan DSG klac berkembar.

     
     
  • Lexus UX Concept – imej pertama kabin didedahkan

    lexus-ux-concept-interior-bm

    Selepas mendedahkan imej teaser pertama bagi Lexus UX Concept yang kelihatan sofistikated, Lexus menyebarkan pula foto kabinnya yang nampak futuristik.

    Dengan rekaan yang inovatif, menonjolkan konsep 3D Human Machine Interface (HMI), pastinya memberikan pengalaman mengagumkan kepada pemandunya.

    Struktur permukaan kristal menggantikan skrin sentuh yang tipikal, malah turut mengurangkan beberapa butang kawalan. Penampilan paparan holografik dengan menggabungkan analog dan digital bagi informasi dalam kenderaan termasuk bagi kawalan penghawa dingin, hiburan dan sebagainya, turut menambahkan lagi gaya rekaan dalamannya. Malah ia turut membolehkan pemandu mengawal informasi tersebut dengan sentuhan jari sahaja.

    Bagi kluster instrumen pula, Lexus menggantikannya dengan medium lutsinar bagi bacaan kelajuan dan penggunaan bahan api, yang terus menyalurkan informasi tersebut dalam bentuk digital. Manakala cermin pintu pula digantikan dengan kamera yang boleh dilihat menerusi pusat tengah, sementara butang bagi tingkap, pengunci pintu dan peralatan suis yang lain ditampilkan dengan teknologi elektrostatik.

    lexus-ux-concept

    Secara keseluruhannya, rekaan bagi dalaman UX Concept ini dijalari tema futuristik. Termasuk sudut dramatik pada bahagian papan pemuka dan roda stereng dengan motif sirip pada A-pillar. Malahan teman rekaan tersebut turut ditampilkan pada tempat duduk.

    Bagi idea konsep ini, ia adalah bermaksud “untuk mencipta genre baharu bagi model crossover kompak”, menurut Stephen Rasmussen, pereka di Pusat Rekaan Eropah. Katanya lagi, dengan ciri inovatif, dan secara tiga-dimensi, pastinya menambahkan lagi keterujaan para penggunanya.

    Lexus UX Concept, yang bakal dipertontonkan dalam slot SUV bersaiz kecil di bawah Lexus NX, kemungkinan berasaskan platform Toyota C-HR. Ia mengadaptasikan rekaan terkini Lexus untuk peringkat akan datang dan menampilkan identiti yang lebih berdinamik, progresif dan sesuai dengan gaya hidup urban masa kini.

    Ia akan melakukan penampilan sulungnya di Paris Motor Show pada 1 Oktober ini.

     
     
  • Hyundai RN30 Concept pratonton bagi i30 N hot hatch

    hyundai-rn30-concept-bm

    Hyundai bakal membawa model konsep RN30 ke pentas Paris Motor Show yang bakal berlangsung minggu hadapan dan sebelum itu, nah… ini teaser imej rasminya. Hot hatch ini dibangunkan berasaskan model generasi terkini i30.

    Seperti mana model konsep sebelum ini termasuk RM16 N dan RM15, RN30 juga kelihatan sedikit pelik tetapi cukup menonjol. Ditampilkan dengan dapra yang membonjol, roda yang besar, rupa yang agresif dengan gril haksagon yang besar serta lampu utama yang tajam. Malahan lampu kabusnya juga besar dan splitter hadapannya jelas memperlihatkannya umpama sebuah jentera lumba.

    Walau bagaimana pun, pastinya model produksi bagi i30 N tidak keterlaluan sebegitu. Lihat foto-foto spyshot di bawah. Ia masih mengekalkan konsep sporty dan pastinya lebih berketerampilan berbanding model standard i30. Ini termasuklah lampu nyalaan siang LED yang melintang (berbanding menegak pada i30), roda yang besar dengan jaluran biru, brek yang besar bersama angkup brek berwarna merah dan dua paip ekzos yang besar yang terletak bersebelahan.

    Berkenaan i30 N, ia merupakan model pertama Hyundai di bawah jenama prestasi N, bakal diperkenalkan tahun hadapan dengan dua versi – standard N dan satu lagi dilengkapi pek prestasi, seperti Golf GTI. Ia mampu menghamburkan kuasa melebihi 260 hp dari enjin 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder, menyasarkan Volkswagen Golf GTi, Ford Focus ST dan Peugeot 308 GTI sebagai saingan

    Enjin dengan kuasa yang tinggi ini, sedang dibangunkan, berdasarkan video yang disebarkan oleh Hyundai sendiri baru-baru ini. Di mana sekitar 40% pembangunan i30 N adalah terkini, dengan enjin baharu, transmisi, suspensi, peresap yang dipertingkatkan serta beberapa elemen yang dinaik taraf termasuk bagi roda, stereng dan dapra yang lebih besar.

    Model standard i30 juga akan didedahkan di Paris Motor Show minggu hadapan.

     
     
  • VIDEO: Syarikat Turki hasilkan Transformer saiz sebenar daripada BMW 3 Series – sekadar prototaip

    Kisah di dalam filem sering kali memberi inspirasi kepada orang ramai. Bagi penggemar kereta dan kejuruteraan, Transformers sesuatu yang menarik kerana watak utamanya adalah kereta yang boleh bertukar bentuk menjadi robot berdiri.

    Sebuah syarikat dari Turki bernama Letrons cuba menjadikan ia realiti dengan mengambil asas daripada kereta BMW E92 3 Series dua pintu dan diubahsuai sehingga boleh berdiri tegak. Daripada video yang dikeluarkan oleh syarikat itu, kelihatan seperti kereta projek Letrons ini dikawal menggunakan alat kawalan jauh dan ia melibatkan modifikasi yang banyak.

    Walaupun rupanya sedikit lucu, kereta yang masih boleh bergerak ini agak mengkagumkan kerana boleh bertukar bentuk dengan stabil dan mempunyai bahagian yang lengkap seperti dalam filem Transformers termasuk kepala, tangan dan jari yang boleh bergerak. Walaubagaimanapun, Letrons menyatakan projek ini adalah sekadar satu prototaip tetapi mereka akan menghasilkan lebih lagi untuk tujuan yang tidak dinyatakan.

     
     
  • PETRONAS Urania dilengkapi ViscGuard diformulasikan untuk enjin diesel kenderaan komersil

    petronas-urania-with-viscguard-malaysia-launch-2

    PETRONAS Lubricants Marketing Malaysia (PLMM) telah melancarkan minyak pelincir baharu bagi enjin diesel, PETRONAS Urania yang dilengkapi dengan ViscGuard™. Ia diformulasikan khas bagi memberikan perlindungan yang lebih optimum untuk enjin diesel kenderaan komersil.

    Mula dilancarkan di Eropah sejak Mei 2016, kini minyak pelincir ini sudah pun berada di pasaran tempatan.

    Peningkatan deposit enjin adalah lumrah tetapi ia mampu menjurus ke arah kerosakan enjin sekiranya tidak ditangani dengan pantas. Di mana jelaga dan zarah-zarah abu bermaharajalela di dalam enjin dan boleh menyebabkan minyak menjadi tebal dan terkumpul, lalu membentuk partikel yang lebih besar. Ini mendorong kerosakan pada enjin. Maka, minyak pelincir yang bagus diperlukan bagi menangani perkara ini.

    “Memahami keperluan para pengguna di Malaysia, kami memperkenalkan PETRONAS Urania dengan ViscGuard™ yang diformulasikan untuk melindungi daripada longgokan enapan enjin secara berkesan. Malahan ia turut memberikan pilihan kepada para pengguna untuk memilih minyak pelincir yang terbaik bagi enjin diesel kenderaan komersil,” ujar CEO PETRONAS Lubricants Marketing Malaysia, Zubair Abdul Razak.

     
     
  • Penutupan laluan selama lima hari di Lebuhraya Sprint berdekatan Pusat Bandar Damansara bermula Sabtu

    mrt sprint

    Bermula Sabtu ini, laluan menghala ke KL di Lebuhraya Sprint berdekatan Restoran Victoria Station akan ditutup sepenuhnya selama lima hari.

    Bernama melaporkan, dalam satu kenyataan oleh MMC-Gamuda KVMRT (PDP) Sdn Bhd, penutupan itu akan dilakukan dari jam 10 malam hingga 6 pagi bagi kerja-kerja pemasangan gantry dan penanda garisan atas jalan.

    Pengguna dari Petaling Jaya yang ingin menuju pusat bandar Kuala Lumpur akan dialihkan laluannya melalui Jalan Kasah, dan kemudian terus ke Jalan Semantan.

    Sementara itu, pengguna dari Kuala Lumpur yang ingin ke Bangsar/Jalan Ma’arof akan dialihkan laluannya menuju Jalan Kasah dan Pusat Bandar Damansara sebelum disambungkan semula ke Jalan Johar untuk mengambil selekoh kiri di bawah jejantas Sprint ke Jalan Ma’arof sebelum ke Bangsar.

     
     
  • 16 jalan di JB akan ditutup sempena perarakan JDT Sabtu ini – bermula dari 7.30 pagi hingga 9.30 malam

    jdt_hummer_3

    Beberapa jalan utama di Johor Bahru akan ditutup Sabtu ini bagi memberi laluan kepada perarakan JDT dalam meraikan kejayaan pasukan berkenaan memenangi kejuaran dalam Liga Super. Menurut Ketua Polis Johor Bahru Selatan, ACP Sulaiman Salleh perarakan berkenaan akan bermula dari Stadium Tan Sri Hassan Yunos dan berakhir di Dataran Bandaraya Johor Baharu.

    Memetik laporan Bernama, 16 jalan yang terlibat akan ditutup bermula 7.30 pagi hingga 9.30 malam. Antaranya termasuk Jalan Bomba Larkin, Jalan Dato Jaafar, JPJ Lama-Jalan Kebun Teh Lama, Danga City Mall-Jalan Tun Razak, City Square-Jalan Tun Razak, Jalan Wong Ah Fook, Tropical Inn-Jalan Gereja, Jalan Trus, Kotaraya-Jalan Trus, Jalan Ibrahim, Jalan Tun Dr Ismail, Lot 1, Sultanah Aminah Hospital-Jalan Pantai Lido, Gerbang Istana Bukit Serene-Jalan Skudai, Dataran Bandaraya, KFC-Jalan Sungai Chat dan Dataran Bandaraya Johor Bahru.

    Kemuncak perarakan itu ialah pada 9.30 malam hingga 3 pagi (Ahad) dengan melibatkan penutupan lima jalan; Jalan Skudai (Pantai Lido)-Dataran Bandaraya, Jalan Sungai Chat-KFC, Jalan Datuk-Dataran Bandaraya Johor Bahru, Jalan Thompson dan Jalan Lingkaran Dalam.

    Pengguna jalan raya dari Singapura dinasihatkan untuk menggunakan Jalan Lingkaran Dalam-Jalan Pasir Pelangi, Kota Tinggi-Kuala Lumpur-Eastern Dispersal Link (EDL) dan Jalan Lingkaran Dalam-Jalan Yahya Awal-Jalan Ibrahim.

    Bagi mereka yang menuju Hospital Sultanah Aminah pula digesa untuk menggunakan Skudai-Jalan Tun Razak-Jalan Lingkaran Dalam-Jalan Yahya Awal-Jalan Mahmoodiah. Sementara bagi mereka dari Kota Tinggi boleh menggunakan EDL-Jalan Abu Bakar-Jalan Lingkaran Dalam.

     
     
  • BMW R NineT di Amerika Syarikat dipanggil balik kerana lampu penunjuk arah belakang yang tidak jelas

    2015-bmw-motorrad-rninet-13-850x567bm

    BMW Motorrad telah mengeluarkan kenyataan menarik balik model R NineT di Amerika Syarikat kerana lampu penunjuk arah belakangnya dikatakan tidak jelas dan boleh terhalang dari pandangan pengguna jalan raya lain yang berada di belakang.

    Bahagian lampu penunjuk arah belakang ini juga tidak menepati perkara 108 yang merujuk kepada lampu, alat pemantul dan kelengkapan berkaitan oleh National Highway Traffic Safety Administration (NHTSA) Amerika Syarikat dan dikatakan boleh menyebabkan kemalangan.

    1,792 unit R NineT di Amerika Syarikat terlibat dalam panggilan balik ini dan pemilik diminta membawa motosikal mereka ke pusat servis berdaftar dan unit lampu penunjuk arah baharu lebih lebar dan panjang akan dipasang secara percuma.

    Sementara itu, bagi pemilik R NineT di Malaysia, mereka tidak perlu risau kerana BMW Motorrad Malaysia memberitahu panggilan balik ini tidak melibatkan motosikal di Malaysia.

     
     
  • PLUS peruntukkan RM1 bilion setahun kos selenggara – sebahagian besar digunakan bagi penurapan jalan

    pavement-works-at-km440-sg-buaya-rawang-on-the-nse-3

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) membelanjakan sekitar RM1 bilion setiap tahun bagi kerja-kerja penyelenggaraan semua aset di bawah tanggunggannya disepanjang lebuhraya yang dikendalikan.

    “Aset-aset lebuh raya yang perlu diselenggara, termasuklah turapan jalan di lebih daripada 4,800 kilometer-lorong, 6,800 buah cerun, 638 buah jambatan, 5,500 sistem pembentung, 2 buah terowong, lampu jalan, peralatan mekanikal dan elektronik dan lain-lain lagi.

    “Belanja yang besar ini dikeluarkan bagi memastikan orang ramai terus menikmati perjalanan yang terbaik dan selesa ketika menggunakan perkhidmatan lebuhraya kami,” jelas Ketua Pegawai Operasi PLUS, Mohammad Fuad Khusairi.

    Daripada jumlah berkenaan, hampir 74% peruntukan itu digunakan untuk membaik pulih turapan dan permukaan jalan. Tambahan pula, permukaan jalan mempunyai jangka hayat tersendiri, bergantung kepada faktor antaranya jenis turapan, cuaca dan kadar trafik.

    screen-shot-2016-09-22-at-6-06-36-pm

    PLUS menggariskan tiga strategi penyelenggaraan yang terdiri daripada Penyelenggaraan Rutin, Penyelenggaraan Kuratif dan Penyelenggaraan Pencegahan (Preventive). “Penyelenggaraan Rutin merangkumi kerja-kerja penyelenggaraan berkala/berjadual seperti penyelenggaraan jambatan, landskap, peralatan lebuhraya, bangunan, peralatan mekanikal dan elektronik dan lain-lain lagi.

    “Penyelenggaraan Kuratif pula melibatkan kerja-kerja baik pulih kerosakan bagi meningkatkan tahap keselamatan seperti permukaan jalan, struktur jambatan, cerun, sistem perparitan, terowong dan sebagainya. Penyelenggaraan Pencegahan pula terdiri daripada kerja-kerja memanjangkan jangka hayat aset dan kemudahan yang disediakan,” tambah beliau.

     
     
  • Trafik di persimpangan SS2 LDP akan diubah bermula 1 Oktober untuk lebih lancar – ujian selama tiga bulan

    LDP SS2 BM

    Disebabkan trafik yang padat, pemegang konsesi Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) iaitu LITRAK, akan mengadakan perubahan hala trafik pada persimpangan lampu isyarat SS2, Petaling Jaya bermula 1 Oktober 2016 hingga 31 Disember 2016. Dalam tempoh tiga bulan tersebut, LITRAK akan mengkaji keberkesanan perubahan itu.

    Persimpangan lampu isyarat SS2 di LDP adalah antara bahagian yang paling sesak di sepanjang LDP dan ia mempunyai tiga cabang – dari Kelana Jaya/ Puchong/ Taman Megah, Damansara/ Kepong dan Jalan SS2/55.

    Dalam perubahan ini, kenderaan yang datang dari Damansara/ Kepong tidak boleh pergi terus di lampu isyarat, dan perlu sama ada membuat pusingan U ataupun masuk kiri ke Jalan SS2/55. Jika mahu ke Kelana Jaya/ Puchong/ Taman Megah, mereka perlu sama ada menggunakan jejambat utama LDP ataupun masuk ke Jalan SS2/66, seterusnya ke Jalan SS2/55 dan masuk kembali ke laluan utama LDP menuju Kelana Jaya/ Puchong/ Taman Megah.

    screen-shot-2016-09-22-at-17-20-49

    Sepanjang tempoh perubahan trafik ini, LITRAK akan meletakkan kain perentang dan iklan di sepanjang jalan berhampiran dan mengedarkan 150,000 risalah informasi kepada orang ramai yang disasar menggunakan laluan ini. Diharap dengan perubahan ini, keadaan trafik akan bertambah baik dengan tahap servis daripada F kepada D semasa waktu puncak, jarak barisan lebih pendek dan waktu menunggu berkurangan 10 hingga 40 peratus.

    Selain persimpangan lampu isyarat SS2, LITRAK juga melihat kemungkinan untuk perlaksanaan langkah sama di persimpangan Taman Megah (dijangka pada bulan Disember), Bandar Utama dan Jalan Majlis. LITRAK membelanjakan RM500,000 untuk pelaksanaan perubahan trafik di SS2 ini dan ia akan memberi manfaat kepada lebih 55,000 pengguna. Orang ramai diminta memberi kerjasama dengan mengikut arah yang ditentukan dan sebarang maklumat boleh diperolehi dengan menghubungi 03-74947333.

     
     
  • Limosin Hummer baharu buat Kelab Bolasepak JDT

    Untungnya Kelab Bolasepak JDT, bukan setakat menjadi perhatian khusus malah turut dihadiahkan pelbagai elemen kemewahan. Terbaru, DYAM Brigadier Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor berkenan mengurniakan sebuah limosin Hummer baharu khas untuk kegunaan pihak pengurusan kelab tersebut.

    Ia dijangka siap esok dan digunakan untuk perarakan bagi meraikan kejayaan pasukan menjulang kejuaraan liga buat kali ketiga berturut-turut pada 24 September ini.

    Setakat ini, masih belum tiada perincian rasmi didedahkan, namun menerusi foto yang disebarkan di laman Facebook Johor Sourthern Tiger, bahagian luaran limosin ini turut dipaparkan bendera negeri Johor dan juga logo Kelab Bolasepak JDT. Bahagian kabinnya turut dihiasi indah dan penuh elemen kemewahan, malah warna rasmi negeri ini iaitu biru-merah menjadi tema utama dekorasinya. Logo kelab juga turut dipaparkan pada roda stereng.

    Kami akan membawakan lebih banyak perincian dan foto menarik mengenai limosin Hummer ini sekiranya ada. Yang pasti, limosin ini nescaya mampu menarik perhatian ramai khususnya penyokong tegar JDT sendiri.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025