Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Nissan Navara EnGuard – Konsep trak penyelamat EV

    nissan-navara-enguard-concept-09-850x498

    Nissan Navara EnGuard Concept ini dipertontonkan di Pameran Permotoran Hanover 2016. Menurut Nissan Design Europe, unit berkenaan direka untuk beroperasi sebagai kenderaan penyelamat dalam keadaan yang ekstrim dan sukar. Antara lain, ia menampilkan rekaan khusus yang tersendiri, juga dilengkapi dengan drone.

    Model ini juga menampilkan buat pertama kali prototaip pek bateri rekaan Nissan. Ia menggunakan teknologi pembangunan bateri seperti yang pernah digunakan pada model Leaf dan e-NV200. Jika berada pada tapaknya, pek-pek bateri berkenaan akan dicaj secara berterusan, menggunakan kuasa yang dijana oleh enjin diesel 2.3 liter 190 PS yang digunakan.

    Setiap satunya berkapasiti 2kW dan terdiri daripada tujuh modul bateri di dalam perumah aluminium yang kalis cuaca. Dua soket input dan lima soket output disediakan bagi setia pek bateri. Dalam situasi menyelamat, ia boleh digunakan bagi peralatan memotong atau pengangkat bebanan. Ia juga telah direka khusus untuk menggantikan generator petrol yang biasa digunakan.

    Paling utama padanya ialah drone DJI Phantom 4 dengan kemampuan jarak ketinggian operasi hingga 6,000 meter. Dengan berat hanya 1.38 kg, ia boleh terbang dengan kelajuan 20 meter per saat untuk 30 minit dan boleh menghantar imej yang dirakam ke kembali ke trak, yang boleh dilihat pada paparan skrin HD.

    Berbanding dengan Navara standard, tinggi Navara EnGuard ini dinaikkan sehingga 50 mm untuk memberikan lebih kelegaan tanah. Model ini juga disifatkan sebagai membuka bab baharu bagi arah tuju Nissan Intelligent Mobility, yang antara lain melibatkan komitmennya ke arah sifar kecederaan dan sifar pembebasan sisa pembakaran dari enjin kenderaan.

     
     
  • VIDEO: 5 pelanggan bertuah menyertai sesi pandu uji istimewa Persona 2016 di litar ujian Proton

    Mereka ke bilik pameran Proton hanya untuk melihat secara lebih dekat lagi model Persona 2016 yang dilancarkan pada 23 Ogos lepas. Namun tidak menyangka diberi peluang untuk menyertai sesi pandu uji istimewa model tersebut di litar ujian Proton yang terletak di Pusat Kecemerlangan Proton (COE) Subang Jaya baru-baru ini.

    Kelima-lima mereka yang terpilih ialah Chu Jian Yiang, Abdul Muhaimin, Mohd Nazri, Balqis Md Salleh dan Mohd Khairul, walau bagaimana pun bukan sebagai pemandu. Sebaliknya, berada di tempat duduk penumpang dan merasai sendiri aksi-aksi pemanduan yang dilakukan oleh pemandu ujian Proton sendiri, ini termasuklah ujian slalom.

    Usai peluang yang diberikan itu, mereka turut berkongsi pengalaman masing-masing mengenai Persona 2016 ini. Masing-masing berkongsi pendapat yang sama iaitu Persona 2016 ini sangat berbeza dengan model yang sebelum ini. Malah ia juga lebih stabil, meyakinkan dan kabin yang lebih senyap.

    Peluang yang diberikan oleh Proton ini pastinya menjadi pengalaman bermakna buat mereka. Malah mungkin menjadi satu daya tarikan untuk orang lain berkunjung ke bilik pameran Proton, manalah tahu dapat peluang merasai sendiri Persona 2016 dilenjan di litar ujian Proton.

    Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai keistimewaan dan kekurangan yang ada pada Persona 2016, sila baca ULASAN PANDU UJI ini.

     
     
  • Mazdasports Mazda 3 – edisi istimewa pada 28 Sept

    mazda-3-racing-series_bm

    Bermaz, pengedar Mazda bagi pasaran tempatan, telah mengumumkan bakal memperkenalkan varian edisi istimewa bagi Mazda 3. Digelar Mazdasports Mazda 3, model ini bakal diperkenalkan di siri jelajah Jualan Mega Mazda yang bakal berlangsung di pusat membeli-belah One Utama, Petaling Jaya, pada 28 September hingga 3 Oktober 2016.

    Walau bagaimana pun, perinciannya masih belum didedahkan lagi, tetapi model edisi istimewa ini dijangka tampil dengan kit badan dan mungkin beberapa pelekat khas, seperti yang digambarkan pada model Mazda 3 Racing Series yang dilancarkan di Thailand tahun lalu. Malah ia juga mungkin didatangkan dengan beberapa kekemasan dalaman yang lebih unik.

    Dipasang di Kulim, Kedah, buat masa ini Mazda 3 ditawarkan dengan tiga varian, iaitu varian asas GL sedan dijual pada harga atas jalan RM106,105 tanpa insurans. Sementara varian hatchback dan spesifikasi tertinggi sedan pula, kedua-duanya berharga RM121,105. Dijangkakan model edisi istiewa ini berdasarkan salah satu daripada model spesifikasi tinggi itu.

    Versi Mazdasports dilihat sebagai olahan terakhir bagi model semasa sebelum model facelift dijangka tiba pada tahun 2017.

    GALERI: Mazda 3 Sedan CKD 2015

    GALERI: Mazda 3 Hatch CKD 2015

     
     
  • Kurang kesedaran punca utama segelintir rakyat tidak miliki lesen memandu yang sah – KP JPJ

    malaysian-driving-license-001

    Baru-baru ini, Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Nadzri Siron mendedahkan seramai 1.2 juta rakyat Malaysia dikesan layak untuk mendapatkan lesen memandu, tetapi tidak berbuat demikian.

    Mengulas lebih lanjut mengenainya, beliau berkata tahap kesedaran yang rendah mengenai kepentingan memiliki lesen memandu, dikenal pasti antara punca utama perkara ini.

    Katanya lagi, bagi memberi kesedaran kepada golongan berkenaan, JPJ akan memperkasakan setiap program yang diadakan dari semasa ke semasa.

    “Kami dapati kesedaran masih kurang mengenai bahaya memandu tanpa lesen. Lesen memandu ini bukan hanya satu dokumen sah untuk memandu atau menunggang motosikal, malah ia membantu pemilik untuk memandu secara berhemah. Mereka perlu sedar jika berlaku kemalangan dalam keadaan memandu atau menunggang tanpa lesen, JPJ tidak akan berkompromi dalam perkara ini,” katanya kepada Bernama.

    Jika pemandu atau penunggang tanpa lesen ini dikesan dan ditahan, mereka bakal berhadapan dengan denda sehingga RM1,000 atau setahun penjara, atau kedua-duanya sekali, di bawah Seksyen 26 Akta Pengangkutan Jalan.

     
     
  • PANDU UJI: Proton Persona 2016 – Adakah ia benar-benar jauh lebih baik berbanding model sebelumnya?

    proton-persona-1-6-premium-bm-03

    Setelah banyak maklumat berkaitan pembaharuan yang dilakukan oleh Proton terhadap model generasi kedua Persona, yang kini sudah mula kelihatan di atas jalan raya kita, hanya satu soalan paling utama yang berkemungkinan besar kerap bermain difikiran ramai orang; adakah ia benar-benar lebih baik berbanding model sebelumnya?

    Kami juga setakat ini sudah membuat liputan yang menyeluruh berkaitan Persona 2016. Antaranya ialah pecahan varian dengan perbezaan perincian setiap daripadanya, laporan tanggapan awal dari sesi pemanduan ringkas di dalam litar ujian Proton serta galeri gambar lengkap bagi setiap varian yang ditawarkan.

    Dan, awal minggu ini pula kami berpeluang memandunya dalam satu perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kuantan, Pahang. Ini merupakan pengalaman pemanduan sebenarnya yang pertama di atas jalan raya, maka perasaan pada awalnya juga sedikit “berdebar”. Saya sendiri ingin tahu adakah ia mampu memenuhi jangkaan-jangkaan awal yang sudah bermain dalam fikiran, hasil daripada maklumat-maklumat awal dari atas kertas yang sudah diketahui setakat ini.

    Berbalik kepada soalan yang diajukan awal tadi, sebetulnya tak ada satu jawapan yang mudah untuk itu. Sekadar “Ya” atau “Tidak” bukanlah jawapan yang memuaskan untuk menjelaskannya secara menyeluruh. Ini adalah kerana, penghasilan sesebuah kenderaan, baik dari segi reka bentuk luaran mahupun kejuruteraannya, membabitkan sekurang-kurangnya dua perkara.

    Pertama, latar, konteks serta matlamat yang ingin dicapai melaluinya, dan yang kedua, faktor emosi yang mampu disentuh olehnya sebagai produk akhir dan kesannya kepada pengguna, walaupun tanpa mereka sedari. Biasanya, perihal kedua inilah yang selalu disebut sebagai perkara-perkara yang subjektif tentang sesebuah kenderaan, bergantung kepada latar dan jangkaan individu yang sedang membuat penilaian itu sendiri.

    Baca selanjutnya di sini

     
     
  • Apple dilaporkan cuba ambil alih pengeluar supercar British, McLaren – dinilaikan sehingga RM8.06 bilion

    McLaren MSO HS 1

    Syarikat teknologi terkenal dari California iaitu Apple, dikatakan kini sedang berbincang dengan pengeluar kenderaan supercar British, McLaren. Dalam laporan yang dikeluarkan Financial Times, Apple dikatakan mensasarkan pemilikan sepenuhnya ataupun pelaburan strategik.

    McLaren dinilaikan sebanyak £1-£1.5 billion (RM5.3-RM8.06 billion) untuk teknologi, kejuruteraan dan portfolio paten yang dimiliki. Jika perjanjian ini adalah benar dan berjaya, ia akan menjadi pengambilalihan terbesar oleh Apple sejak membeli Beats Electronics pada tahun 2014 dengan harga US$3 billion (RM12.3 billion).

    Tidak lama selepas laporan Financial Times itu keluar, McLaren terus mengeluarkan kenyataan mereka tiada sebarang perbincangan dengan Apple. Tetapi syarikat itu tidak menyatakan sama ada Apple ada datang mendekati mereka.

    Seperti yang diketahui ramai, Apple mahu masuk ke dalam dunia automotif dan mempunyai projek kereta yang dinamakan sebagai Project Titan. Syarikat itu telah mengambil beberapa pekerja berkaliber dari syarikat automotif lain seperti Tesla dan Mercedes-Benz walaubagaimanapun baru-baru ini beberapa daripada mereka telah diberhentikan.

    Ini seterusnya menimbulkan tanda tanya apakah sebenarnya fokus Apple pada kenderaan mereka.

     
     
  • Proton Iriz dapat CVT yang dipertingkat dari Persona

    Proton_Iriz_Drive_ 010

    Umum mengetahui Proton Persona 2016 baharu adalah dibina berdasarkan platform Iriz. Walau bagaimana pun, terdapat beberapa pembaharuan dan peningkatan yang dibuat, termasuklah tindakbalas bagi CVT yang diketahui memiliki banyak kelemahan pada model hatch tersebut.

    Ketika sesi pandu uji Persona bersama media permotoran baru-baru ini, timbalan CEO Datuk Radzaif Mohamed mengesahkan semakan semula bagi transmisi tersebut telah dibuat selepas menerima pelbagai respons daripada pelanggan mengenai Iriz, dan ini mendorong untuk mengolah sepenuhnya kompenen terbabit. “Projek seterusnya ialah kami akan membawakan peningkatan pada Iriz yang telah berada di pasaran sejak dua tahun lalu,” ujarnya.

    Proton_Persona_Premium_Ext-2

    Pengurus besar bagi bahagian pengesahan kejuruteraan Tengku Azizan Tengku Ahmad pula berkata, “Tindakbalas dan penghalusan CVT adlaah dua perkara yang perlu kami pertingkatkan pada Iriz, dan perubahan itu perlu dilakukan bersama pembuat CVT, Punch, untuk merealisasikannya.”

    Selain itu, peningkatan lain yang bakal dilakukan ialah menampilkan ECU baharu bagi tindakbalas pendikit yang lebih linear, termasuk penurunan tapak enjin (yang telah direka semula) dari empat ke tiga untuk mengurangkan kesan gegaran dalam kabin. Perubahan ini telah dilakukan pada Persona, dan penulis kami akan memperincikannya lebih lanjut di dalam ulasan pandu ujinya.

     
     
  • VIDEO: Aksi Kasma Daniel semasa berada di VR46 Master Camp disiarkan melalui video oleh Yamaha

    Dua bulan yang lalu, lima pelumba motosikal muda Asia berjaya menamatkan program latihan yang dipanggil VR46 Master Camp bersama Valentino Rossi dan pelumba lain VR46 Academy Riders .

    Seorang daripada mereka datang dari Malaysia iaitu Kasma Daniel Bin Kasmayuddin berusia 16 tahun dan berasal dari Skudai, Johor. Beliau pada masa ini, berlumba untuk pasukan Yamaha Finson Motorsport dalam perlumbaan Asia Road Racing Championship (ARRC) menggunakan jentera Yamaha YZF-R25.

    Kemasukan ke dalam kem latihan ini adalah penting untuk meningkatkan kemahiran Kasma dalam kerjaya perlumbaan beliau dan bagi yang ingin mengetahui apa aktiviti mereka di sana, Yamaha telah mengeluarkan beberapa video aksi peserta VR46 Master Camp melalui saluran yamahamotogp di Youtube.

    Antara yang boleh dilihat adalah aksi Kasma bersama peserta lain di Moto Ranch Rossi dan perlumbaan mereka menggunakan motosikal MiniGP.

     
     
  • Mercedes Benz E-Class X213 All-Terrain bakal saingi Audi A6 Allroad dan Volvo V90 Cross Country

    Mercedes-Benz E-Klasse All-Terrain (S213), 2016

    Volvo baru-baru ini sudahpun memperkenalkan generasi terbaharu V90 Cross Country, manakala Audi pula seperti diketahui tampil dengan A6 All-Road yang sudah sekian lama diperkenalkan. Terbaharu, Mercedes-Benz turut bakal menyertai pasaran wagon premium yang ditinggikan ini menerusi model E-Class All-Terrain, yang bakal dipamerkan di Paris Motor Show bulan hadapan.

    Untuk membezakan model All-Terrain dengan wagon E-Class biasa, ia menerima kemasan pelindungan plastik berwarna hitam pada kesemua ruang roda dan disertakan dengan skid plate pada bampar hadapan dan belakang, bagi memberikan perlindungan pada bahagian bawah kereta ini. Gril hadapan rekaan baharu turut dipadankan bagi memberikan rupa yang lebih lasak berbanding E-Class biasa.

    Sesuai dengan kegunaannya, E-Class All-Terrain dibekalkan sistem pacuan semua roda 4Matic dan juga suspensi udara Air Body Control bagi membolehkan ia dipandu melalui permukaan jalan yang lasak. Tiga rekaan roda aloi baharu berdiameter dari 19- hingga 20-inci telah dibina khas untuk model ini.

    Mercedes-Benz E-Klasse All-Terrain (S213), 2016

    Sedikit perbezaan pada bahagian dalaman diberikan pada model All-Terrain ini iaitu kemasan aluminium-karbon, pedal kawalan keluli tahan karat serta lencana “All-Terrain” yang dipadankan pada pelapik-pelapik lantai. Kelengkapan dalaman untuk model All-Terain ini pula diasaskan dari pakej kemasan Avantgarde Line, manakala trim Exclusive dan designo line akan ditawarkan untuk pasaran UK.

    E-Class All-Terrain akan dijana enjin turbodiesel empat silinder baharu berkuasa 194 hp/400 Nm yang diletakkan di bawah varian E220d 4Matic, yang berupaya memberikan pecutan 0-100 km/j dalam masa lapan saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 232 km/j.

    Varian All-Terrain yang lebih berkuasa dijangka akan diperkenalkan tahun hadapan, dijana oleh enjin turbodiesel enam-silinder lebih besar. Kedua-dua enjin ini dipadankan dengan kotak gear automatik sembilan-kelajuan 9G-Tronic terbaharu Mercedes.

    Mercedes-Benz E-Klasse All-Terrain (S213), 2016

    Selain dari empat mod Dynamic Select iaitu Eco, Comfort, Sport dan Individual pada E-Class standard, model All-Terrain ini turut dibekalkan dengan satu lagi mod iaitu All Terrain Mode yang diambil terus dari SUV GLE. Mod ini akan mengangkat badan kereta berkenaan sehingga 20 mm, dan proses berkenaan boleh dilakukan pada kelajuan di bawah 35 km/j. Suspensi ini boleh mengangkat badan kereta ini dengan ketinggian tambahan 35 mm menerusi tiga ketinggian yang boleh dipilih pada sistem suspensi udara.

    Menurut Mercedes-Benz, menerusi sistem suspensi yang boleh dilaras berkenaan membolehkan jarak kelegaan E-Class All-Terrain boleh diubah antara 121 dan 156 mm, bergantung pada tahap yang dipilih. Walau bagaimanapun, jarak kelegaan tanah pada Audi A6 Allroad dan Volvo V90 Cross Country adalah 29 mm lebih tinggi berbanding E-Class All-Terrain. Spesifikasi dan perincian harga penuh model ini dijangka akan diumumkan awal tahun hadapan.

     
     
  • Honda RS150R vs Yamaha Y15ZR – Dua model terhangat bersemuka dalam segmen kapcai sports

    rs150r-vs-y15zr-overall-bm-1

    Ramai yang menganggap motosikal berkapasiti kecil sebagai mod pengangkutan yang lebih menjimatkan dan diguna sekadar untuk memudahkan pergerakan. Bagaimanapun, seperti jentera lain yang berenjin dan beroda, ia tetap tidak terlepas daripada menjadi sasaran mereka yang bersemangat untuk mengejar kuasa lebih mengujakan dan lebih bergaya.

    Justeru, pengeluar motosikal menghasilkan model yang sesuai, dan antara yang terbaharu dalam pasaran Malaysia adalah Yamaha Y15ZR dan Honda RS150R. Kedua-duanya terletak dalam kategori 150cc dan menggunakan sistem suntikan bahan api (EFI).

    Perkara pertama yang dilihat adalah gaya penampilannya. Penulis boleh katakan setiap satu motosikal ini mempunyai cara tersendiri untuk menarik minat pembeli. Yamaha Y15ZR banyak menggunakan gaya moden dan mewarisi konsep rekaan model sports mereka yang lebih besar seperti R25 dan R1, dan ini boleh dilihat pada bahagian hadapan bermuncung tirus (siap dengan lampu LED) dan lampu belakang yang tajam.

    Selain itu, warna asas pada badan Y15ZR turut dimeriahkan lagi dengan pelekat berjalur, seterusnya meningkatkan lagi keterampilannya. Honda pula mengambil pendekatan untuk menjadikan RS150R garang tetapi dalam cara berbeza. Mereka menggunakan warna yang lebih sekata pada RS150R dan tidak banyak pelekat yang menjadikan badan motosikal ini bercelaru. Warna yang digunakan bukan warna biasa tetapi adalah kemasan matte ataupun dalam bahasa pasar, warna mati; hitam dan biru.

    Baca laporan selanjutnya di sini

     
     
  • SPRM minta 46 pemilik kenderaan lupus serah diri

    Cloned-cars-1

    Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi tempoh seminggu untuk 46 pemilik kenderaan lupus mewah yang dibawa masuk dari Singapura untuk tampil dan menyerahkan kenderaan masing-masing kepada pihak berkuasa berkenaan. Jika gagal berbuat demikian, SPRM boleh mengambil tindakan undang-undang di bawah Seksyen 69 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta SPRM 2009), ujar Pengarah SPRM KL Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya.

    Katanya lagi, buat setakat ini sebanyak 17 buah kenderaan lupus mewah telah pun disita dan SPRM masih mengesan baki lagi 46 pemilik.

    “Kami memiliki senarai dan tahu siapakah pemiliknya termasuk tempat tinggal mereka. Kami menyeru agar mereka menyerahkan kenderaan lupus mewah itu dalam tempoh seminggu ini. Jika gagal, tindakan sewajarnya akan diambil oleh SPRM,” ujar Ahmad Khusairi seperti yang dilaporkan oleh News Strait Times.

    Ia adalah susulan berita penahanan seorang kakitangan agensi penguat kuasa semalam, yang bertanggungjawab menguruskan pendaftaran kenderaan bagi mendapat keuntungan berganda. Kakitangan terbabit dikatakan bersekongkol dengan sindiket kereta klon untuk memalsukan lebih 100 dokumen kenderaan mewah yang telah dilupuskan di Singapura untuk dijual semula di negara ini dengan harga terpakai.

    Ia dilakukan dengan menipu orang ramai yang menyangka kenderaan dibeli telah dirampas dan dilucutkan hak oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM).

    Hari ini, terdapat empat lagi suspek yang disyaki terlibat dengan sindiket ini telah direman selama seminggu bagi membantu siasatan berhubung kes ini. Ia melibatkan seorang pembantu tadbir di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), seorang runner, seorang pengedar kenderaan terpakai dan seorang pengedar jualan kereta menerusi dalam talian.

    Ahmad Khusairi berkata, empat suspek tersebut ditahan di Kuala Lumpur, Kedah dan Kuantan, selepas empat bulan pihak penguatkuasa melakukan intipan.

    Semalam Utusan Malaysia melaporkan, suspek yang berkhidmat dengan JPJ yang ditahan semalam dipercayai telah mengaut ratusan ribu ringgit hasil komisen memalsukan dokumen kenderaan-kenderaan berkenaan. Dengan me­nyalahgunakan sistem pendaftaran kenderaan JPJ, suspek bukan sahaja telah menyebabkan pembeli yang membuat pinjaman rugi selepas status kenderaan itu terbongkar dan dirampas pihak berkuasa tetapi tidak dapat membuat tuntutan insurans sekiranya berlaku kemalangan.

    Bagi mengekang gejala ini, satu operasi khas iaitu Op Piang akan dilancarkan dalam tempoh terdekat bagi menahan kakitangan penguat kuasa serta anggota sindiket terlibat dan merampas kenderaan-kende­raan yang telah dijual mereka.

    Buat setakat ini, pihak ber­kuasa yang melakukan siasatan telah mengenal pasti 67 buah kenderaan lupus mewah bernilai lebih RM1 juta yang telah dijual oleh sindiket tersebut dan lokasi pembelinya. Antaranya melibatkan kenderaan mewah termasuk Mercedes-Benz, BMW, Toyota Vellfire, Mini Cooper, Toyota Wish dan Toyota Estima.

    Menurut laporan tersebut, sindiket itu turut menggunakan modul pemasa­ran atas talian, khususnya di Facebook untuk menarik pe­lang­­gan masing-masing bagi me­ngelak ke­giatan mereka dihi­du pihak berkuasa.

     
     
  • Volkswagen Jetta 2016 dikesan sebelum dilancarkan

    2016-volkswagen-jetta-in-malaysia-1-1-bm

    Volkswagen Jetta 2016 dijangka akan dilancarkan untuk pasaran Malaysia awal minggu hadapan. Semalam Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) mengumumkan tempahan untuk Volkswagen Jetta baharu telah dibuka.

    Baru ini kami menerima kiriman foto Jetta 2016 daripada pembaca paultan.org Tommy Lam yang mengesan kehadirannya di salah sebuah bilik pameran tempatan.

    Bagi bahagian luarannya, Jetta baharu ini memperkenalkan beberapa pembaharuan, termasuklah gril hadapan yang dipertingkatkan, bampar hadapan, bampar belakang, roda baharu serta lampu utama dan lampu belakang yang direka semula. Di bawah hudnya, ia menerima enjin baharu iaitu 1.4 liter pengecas turbo suntikan-terus TSI empat-silinder, yang menggantikan unit 1.4 liter TSI pengecas berkembar (supercharged dan pengecas turbo) pada model sebelumnya.

    Enjin baharu ini boleh menghasilkan kuasa sehingga 150 PS dan tork 250 Nm bermula 1,500 hingga 3,500 rpm iaitu kurang 10 PS tetapi lebih 10 Nm berbanding Jetta sedia ada. Ia juga dipadankan dengan transmisi DSG tujuh-kelajuan, dan didatangkan dengan beberapa elemen yang lebih efisien seperti sistem melahu start/stop dan pembrekan janaan semula.

    Manakala untuk bahagian dalamnya pula, ia ditampilkan dengan tempat duduk pemandu upholstery dengan balutan kulit bagi varian Highline, iaitu spesifikasi tertinggi selepas Comfortline dan Trendline. Foto yang dikirimkan ini juga kelihatan elemen termasuk sistem kawalan suhu dwi-zon Climatronic, bersama butang penghidup enjin.

    Selain itu, ia turut ditampilkan dengan roda stereng baharu, yang diambil daripada model Golf Mk7, unit infoinment baharu bersama skrin sentuh dan trim pada tuil gear turut digantikan. Dijangkakan material dalaman juga dipertingkatkan bagi Jetta versi facelift ini.

    Model yang diperkenalkan buat pertama kali di New York Auto Show 2014 ini juga telah diiktiraf sebagai Kenderaan Cekap Tenaga (EEV). Ia dianggarkan akan dijual pada harga di antara RM110,000 hingga RM130,000. Harga sebenar dan perincian lebih lanjut hanya akan diketahui pada majlis pelancarannya minggu hadapan.

     
     
  • MICCI harap cukai kenderaan hibrid dan elektrik sepenuhnya (EV) dapat dikurangkan dalam Bajet 2017

    Tesla-Model-S-85-drive-1

    Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia (MICCI) berharap kerajaan akan mengurangkan cukai pada kenderaan hibrid dan elektrik sepenuhnya (EV) sebanyak lima hingga sepuluh peratus untuk menggalakkan orang ramai membeli kenderaan sedemikian, lapor Bernama.

    Menurut Presiden MICCI Datuk Wira Jalilah Baba, kajian oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air mendedahkan bahawa pengangkutan menyumbang 70 peratus daripada pencemaran di negara ini. “Kita mahu menggalakkan penggunaan kereta elektrik secara meluas di jalan raya, tetapi apa yang menghalang pengguna adalah duti import yang tinggi, duti eksais dan permit import (AP),” katanya kepada Bernama.

    Beliau memberikan contoh kereta elektrik buatan Amerika, Tesla dijual pada US$70,000 di Amerika Syarikat tetapi di Malaysia, kereta itu dijual pada harga RM500,000.

    Bagi menggalakkan penggunaan secara meluas kenderaan elektrik atau hibrid, kerajaan perlu mempertimbangkan untuk mengurangkan duti import dan cukai lain yang berkaitan, katanya.”Jika kita boleh mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 70 peratus disumbangkan oleh pengangkutan mengapa tidak? Melalui cara ini kerajaan boleh (juga) mencapai komitmennya kepada PBB untuk mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 40 peratus,” tambahnya.

     
     
  • MINI John Cooper Works Clubman 2017 didedahkan

    2017-mini-john-cooper-works-clubman-1-bm

    MINI telah mendedahkan model MINI John Cooper Works Clubman 2017 sebelum ia dipamerkan di pentas Paris Motor Show 2016. Berkongsi enjin yang sama dengan model sebarisnya yang lebih kecil, namun ia juga menerima sistem pacuan semua-roda MINI yang sama serta mempunyai kelebihan daripada segi tork.

    MINI berkata, JCW Clubman merupakan kombinasi buat pertama kali bagi enjin semasa petrol 2.0 liter yang dibangunkan untuk model John Cooper Works dengan generasi baharu bagi sistem pacuan semua-roda ALL4. Malah enjinnya juga boleh menghamburkan kuasa sehingga 231 hp dan tork 350 Nm, iaitu 30 Nm lebih berkuasa berbanding JCW Hardtop dan Convertible.

    Enjin ini dipadankan dengan transmisi manual enam-kelajuan sebagai standard, dengan pilihan auto Steptronic lapan-kelajuan. JCW Clubman ini juga boleh dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 6.3 saat, dengan kelajuan maksimum sehingga 238 km/j. Ia lebih laju berbanding Clubman S ALL4, iaitu 0.6 saat lebih perlahan, dengan kurang 13 km/j bagi kelajuan maksimumnya.

    2017-mini-john-cooper-works-clubman-9-bm

    JCW Clubman ini juga didatangkan dengan sistem ekzos sport, brek Brembo, rim aloi yang lebih ringan iaitu John Cooper Works Black Grip Spoke 18-inci, tip ekzos krom dan kit badan JCW yang sporty bagi menambahkan lagi kuasa aerodonamiknya. Malah ia juga didatangkan dengan Dynamic Damper Control daripada MINI sendiri serta pilihan roda aloi 19-inci.

    Di bahagian dalamnya, JCW dilengkapi dengan tempat duduk sport Dinamica/fabrik (yang disambung dengan perehat kepala), dengan pedal keluli, bersama roda stereng balutan kulit baharu. Kit standard yang didatangkan juga termasuk paparan berwarna 6.5-inci untuk sistem infotainmen dan penghawa dingin, sementara kit pilihan pula terdiri daripada MINI Excitement Package, sistem bunyi Harmon Kardon dan skrin sentuh berwarna 8.8-inci.

     
     
  • Honda Monkey generasi baharu bakal diperkenalkan?

    honda-monkey-render-5_bm

    Selain dari siri Cub, Honda terkenal dengan satu lagi siri motosikal kecil – lebih kecil dari kapcai – iaitu motosikal mini yang jana oleh enjin 49 cc digelar Monkey. Dikhabarkan Honda kini sedang dalam perancangan untuk mengembalikan semula siri motosikal comel berkenaan yang mungkin diasaskan dari model Honda MSX125.

    Satu set imej render dipercayai untuk tujuan pemohonan paten telah tersebar dan disiarkan oleh TMCblog.com menunjukkan sebuah motosikal mini yang direka seperti Honda Monkey terdahulu. Enjin pada motosikal kecil berkenaan kelihatan lebih besar dari model Monkey asli, berkemungkinan enjin satu selinder 125 cc PGM-Fi yang diambil terus dari MSX125SF.

    Rim aloi 10 jejari pada imej berkenaan juga seiras dengan rim pada MSX125SF dan dipercayai diambil terus dari model berkenaan. Paip ekzos untuk motosikal baharu ini pula direka seperti ekzos scrambler, sama seperti ekzos pada model asal Monkey, dan turut ditambah dengan bash plate.

    Honda Monkey diperkenalkan oleh Honda pada era 60’an, dimana permintaan untuk motosikal mini agak tinggi ketika itu. Kini, permintaan untuk motosikal mini dilihat mula hangat kembali dan dapat dilihat pada kejayaan model seperti Honda MSX125SF dan Kawasaki Z125 Pro.

    Setakat ini, hanya Kawasaki Z125 Pro boleh diperolehi dalam pasaran Malaysia dengan harga RM10,435, manakala untuk MSX125SF, sumber dalaman industri memberitahu kami Honda bakal membuat keputusan sama ada untuk membawa masuk atau tidak model tersebut ke pasaran tempatan.

    GALERI: Imej render generasi terbaharu Honda Monkey

    GALERI: Model asal Honda Monkey era 60’an

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025