Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • HSR KL-Singapura: tiket, tambang dibincang Okt ini

    HSR KL-Singapura: tiket, tambang dibincang Okt ini

    Perkembangan terkini mengenai Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) – Malaysia dan Singapura akan berbincang mengenai pungutan tiket dan tambang (TFC) pada 9 dan 10 Oktober ini.

    Perkara yang bakal dibincangkan antara MyHSR Corp Sdn Bhd dari Malaysia dan Land Transport Authority (LTA) dari Singapura, turut berkata, syarikat yang mengkhususkan dalam TFC dipelawa untuk berkongsi teknologi dan pembangunan tiket terkini bagi membangunkan pendekatan TFC yang mantap bagi projek HSR, laporan Bernama.

    Di mana input daripada perbincangan akan diambil kira apabila MyHSR Corp dan LTA menstruktur ekosistem pungutan tiket dan tambang, termasuk bagaimana syarikat aset dan syarikat operasi terlibat dalam proses tiket.

    HSR KL-Singapura: tiket, tambang dibincang Okt ini

    Kedua-dua pihak menjangkakan sistem tiket mesra penumpang yang mengguna pakai teknologi tiket terkini di samping memastikan perjalanan lancar sepanjang ekosistem HSR, dengan mengambil kira elemen rentas sempadan projek itu serta pengendali berasingan bagi perkhidmatan antarabangsa dan domestiknya.

    HSR yang disasarkan beroperasi pada 2026, akan mempunyai lapan stesen iaitu Bandar Malaysia, Putrajaya, Seremban, Ayer Keroh, Muar, Batu Pahat, Iskandar Puteri dan Singapura.

    Projek sepanjang 350 kilometer (km) itu akan mengurangkan tempoh perjalanan antara Kuala Lumpur dan Singapura kepada hanya 90 minit dengan kelajuan melebihi 300km sejam.

     
     
  • CMC Ario 110 dan Italjet Buccaneer 250i dilancar untuk M’sia – harga masing-masing RM4,227 dan RM16,430

    CMC Ario 110 dan Italjet Buccaneer 250i dilancar untuk M’sia – harga masing-masing RM4,227 dan RM16,430

    Dua motosikal baru yang diimport dari China, iaitu CMC Ario 110 dan Italjet Buccaneer 250i dilancarkan untuk pasaran Malaysia, dengan harga masing-masing RM4,227 dan RM16,430, termasuk GST tetapi tanpa insurans dan kos pendaftaran. Motosikal ini diedarkan oleh CMC Global, dengan Ario 110 sudah boleh didapati di wakil pengedarnya manakala Buccaneer 250i pula bermula pada bulan Oktober.

    CMC Ario 110 adalah sebuah kapcai berenjin 107 cc satu silinder empat strok dengan sistem penyejukan udara dan penyampaian bahan api karburetor. Ia dipadankan bersama kotak gear empat kelajuan dan mampu menghasilkan kuasa sebanyak 6.4 hp pada 7,500 rpm dan 7.0 Nm tork pada 5,500 rpm.

    Ia disediakan dengan pemula enjin elektrik dan tendang, suspensi Kayaba depan dan belakang, brek cakera dua piston di hadapan, brek dram di belakang, rim sport 17 inci dan tangki minyak 4 liter. Berat keseluruhan motosikal ini adalah 105 kg dan di bawah tempat duduknya terdapat ruang simpanan kecil untuk meletakkan barang-barang penting. Terdapat dua warna yang ditawarkan untuk Ario 110 iaitu merah dan hitam.

    Italjet Buccaneer 250i pula adalah sebuah motosikal yang menggunakan gaya cafe racer klasik, dan dikuasakan oleh enjin dua silinder V 250 cc empat strok dengan sistem penyejukan udara dan kawalan suntikan bahan api elektronik. Transmisi yang digunakan mempunyai lima gear, dan kuasa yang mampu dihasilkan adalah sebanyak 17.4 hp pada 8,000 rpm dan 19 Nm tork pada 6,000 rpm.

    Pada bahagian hadapan motosikal ini terdapat fork teleskopik, brek cakera 280 mm, angkup brek dua piston dan rim 17 inci, manakala di belakang terdapat suspensi monoshock boleh laras untuk pra beban, brek cakera 240 mm dan rim 15 inci. Berat keseluruhannya adalah 128.5 kg dan datang dengan tangki minyak 14 liter.

    Sesuai dengan bentuknya sebagai sebuah cafe racer, Buccaneer 250i datang dengan hanya satu tempat duduk, tetapi anda masih boleh memilih tetapan yang datang dengan dua tempat duduk. Antara kelengkapan lain motosikal ini adalah plet nombor perlumbaan di hadapan dan tepi, meter analog (tiada tahap rpm), penutup tempat mengisi bahan api krom dan pacuan rantai. Warna yang ditawarkan adalah kuning keemasan, hitam dan hitam matte.

    Kedua-dua CMC Ario 110 dan Italjet Buccaneer 250i menerima penarafan emisi Euro 3 dan didatangkan dengan jaminan satu tahun atau 10,000 km, yang mana tiba terlebih dahulu.

    GALERI: CMC Ario 110


    GALERI: Italjet Buccaneer 250i

     
     
  • Kerjasama antara Zhejiang Geely dan Proton contoh yang baik bagi inisiatif OBOR – pengerusi Li Shufu

    Kerjasama antara Zhejiang Geely dan Proton contoh yang baik bagi inisiatif OBOR – pengerusi Li Shufu

    Berita yang diterbangkan dari China ini menyebut kerjasama antara pengeluar kereta dari China, Zhejiang Geely Holdings Group (Geely) dan Proton Holdings Bhd menjadi contoh yang baik bagi inisiatif Satu Jalur Satu Laluan (OBOR) China, menurut pengerusi Geely, Li Shufu.

    Katanya lagi, ekonomi China berada pada fasa peralihan yang penting, dan syarikat, sebagai syarikat pembuatan kereta multinasional China, terlibat secara aktif dalam OBOR, laporan Bernama.

    “Hasil perjanjian antara Geely dengan Proton pada Jun lalu, contoh syarikat meneruskan inisiatif OBOR, terutamanya dalam pembangunan kereta dan infrastruktur,” katanya dalam Forum Kerjasama Media mengenai OBOR 2017 di China, semalam.

    Shufu berkata meneroka global adalah penting tetapi lebih penting untuk membangunkan budaya korporat.

    “Kunci kepada perkara itu adalah integrasi, keterangkuman dan budaya terbuka,” katanya.

    Beliau berkata inisiatif pembangunan perniagaan bukan hanya mengenai keuntungan tetapi turut melibatkan nilai sosial dan tanggungjawab sosial korporat.

     
     
  • Ford Ranger XL Standard kini di Malaysia – RM84k

    Ford Ranger XL Standard kini di Malaysia – RM84k

    Sime Darby Auto Connexion (SDAC) telah mengumumkan varian baharu bagi Ford Ranger yang dikenali sebagai XL Standard. Diposisikan pada varian permulaan bagi double-cab bagi barisan T6 Ranger, ia ditawarkan dengan harga yang begitu kompetitif iaitu RM83,588 untuk Semenanjung dan RM89,388 bagi Timur Malaysia (atas jalan, tanpa insurans), lebih murah berbanding 2.2L XL Manual iaitu lebih RM10,000.

    Ranger XL Standard dijanakan oleh enjin diesel 2.2L TDCi empat-silinder, dengan hamburan kuasa 125 PS dan tork 320 Nm. Penjana kuasa ini dipadankan dengan transmisi manual enam-kelajuan.

    Disebabkan ia boleh dikategorikan sebagai varian asas, jadi apa yang diharapkan biarlah pada kadar sederhana. Ia ditampilkan dengan bampar hadapan yang tidak bercat, dan menggunakan roda keluli bersaiz 16-inci yang dibaluti tayar 215/70 seperti mana varian 2.2L Single Cab 4WD MT.

    Ford Ranger XL Standard kini di Malaysia – RM84k

    Spesifikasi lain termasuklah 4×4 shift-on-the-fly (ESOF) dan elemen keselamatan termasuk dua beg udara hadapan, ABS, EBD dan tiga poin tali pinggang keledar untuk kelima-lima tempat duduk.

    Lain-lain elemen yang ditampilkan termasuklah pemijak sisi, kawalan kemasukan tanpa kunci, kargo belakang serta pengesan parkir undur. Ranger XL Standard boleh didapati dengan dua pilihan warna luaran iaitu Cool White dan Meteor Grey.

     
     
  • Misteri ‘kereta kamera’ yang merakam pecutan 0-400-0 dalam masa hanya 42 saat Bugatti Chiron terbongkar

    Lebih seminggu lalu, Bugatti menggemparkan dunia automotif dengan menyiarkan video hypercar terbaharu mereka mencatatkan rekod dunia membuat pecutan dari keadaan pegun hingga 400 km/j kemudian berhenti sepenuhnya semula dalam masa hanya 42 saat. Namun, satu lagi persoalan, kereta apa yang mereka gunakan untuk merakam aksi berkenaan? Pastinya ia sebuah jentera yang lebih laju bukan?

    Ada yang membuat spekulasi kereta yang membawa kamera berkenaan adalah sebuah Toyota Supra. Namun perkara sebenar telah didedahkan oleh Motor1 – ia dibuat dengan menggunakan sebuah lagi Bugatti Chiron.

    Menurut Motor1, Chiron berwarna putih berkenaan dilengkapi dengan rig kamera istimewa bagi memberikan rakaman imej sebuah lagi Chiron yang berwarna hitam secara stabil. Namun pada video pendedahan berkenaan (video di bawah) tidak langsung menunjukkan bagaimana rupa rig tersebut.

    Chiron yang berwarna hitam itu dipandu oleh pemandu IndyCar dan juga bekas pelumba Formula 1, Juan Pablo Montoya – berjaya mencatatkan kelajuan 400 km/j dalam masa 32.6 saat pada jarak 2,621 meter, dan kemudian membrek bagi memberhentikan kereta sepenuhnya dalam masa 9.3 saat dengan jarak 491 meter.

    Bugatti Chiron merupakan model gantian hypercar sebelum ini iaitu Bugatti Veyron, dan ia baharu sahaja diperkenalkan pada tahun lalu. Kereta luar biasa ini dijana enjin W16 8.0 liter dengan empat pengecas turbo berkuasa 1,500 PS dan tork maksima 1,600 Nm. Ia mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 2.5 saat sebelum mencatatkan kelajuan maksima 420 km/j.

    GALERI: Bugatti Chiron

     
     
  • AKLEH ditutup mulai 22 Sept hingga 15 Nov 2017

    AKLEH ditutup mulai 22 Sept hingga 15 Nov 2017

    Pengguna Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), di sini ada pengumuman buat anda. AKLEH dilaporkan akan ditutup secara berperingkat bermula pada 22 September hingga 15 November 2017 untuk kerja-kerja projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Bunus oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

    Menurut laporan Bernama, penutupan penuh laluan akan dilakukan pada Jumaat hingga Isnin bermula pukul 11 malam hingga 4 pagi manakala penutupan secara sementara pada Isnin hingga Jumaat dari pukul 10 pagi hingga 3 petang.

    Dalam kenyataan yang dihantar oleh JPS, laluan yang terlibat ialah susur keluar AKLEH ke Jalan Tun Razak dan laluan dari Jalan Tun Razak memasuki AKLEH. Pengguna lebuh raya disaran menggunakan laluan alternatif.

     
     
  • YDP Agong memenangi bidaan nombor plat pendaftaran DDD 2 dengan nilai berjumlah RM385,000

    YDP Agong memenangi bidaan nombor plat pendaftaran DDD 2 dengan nilai berjumlah RM385,000

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan mengesahkan, Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V telah berjaya memenangi bidaan nombor plat pendaftaran DDD 2 dengan nilai RM385,000.

    Menurut pengarah JPJ negeri tersebut, Mahassan Mustapha, Sultan Muhammad V juga memenangi beberapa nombor pendaftaran DDD lain yang menarik. Beliau berkata, selain itu, ramai juga golongan VVIP turut memenangi beberapa nombor pendaftaran DDD dan tang paling popular ialah DDD 1000, dengan menerima sebanyak 144 bidaan, sumber The News Strait Times.

    “DDD 1000 telah dimenangi oleh seorang individu dengan jumlah bidaan bernilai RM50,000,” ujarnya sambil menambah JPJ negeri berkenaan telah merekod sejarah tersendiri apabila siri plat nombor pendaftaran berkenaan menerima lebih daripada 7,000 bidaan.

     
     
  • SPYSHOT: Proton Persona ditemui dengan rim Iriz

    SPYSHOT: Proton Persona ditemui dengan rim Iriz

    Proton Persona nampaknya seperti akan diberikan pembaharuan tidak lama lagi, seperti gambar yang dihantar oleh pembaca kami ini, Nazli Zakaria yang menemui sedan segmen B tersebut, di atas treler menggunakan rim yang berbeza berbanding rekaan asalnya.

    Rim ini, yang kelihatan seperti masih lagi berdiameter 15 inci nampak seperti diambil daripada model Iriz 1.6 Premium, yang iaitu varian paling tinggi. Cumanya, pada Iriz, ia menggunakan cat dua tona warna tetapi pada model yang dijumpai ini ia hanyalah berwarna kelabu. Mungkin rekaan rim sebelum ini yang lebih sibuk kurang diterima ramai.

    Selain daripada itu, kereta ini masih nampak sama seperti model yang dijual sekarang. Jika benar Persona yang dinaik taraf ini akan diperkenalkan dalam pasaran, ia adalah kali kedua model tersebut diberi pembaharuan, di mana pada bulan Ogos lalu, ia dinaik taraf dengan sistem informasi dan hiburan dengan skrin sesentuh.

    GALERI: Proton Persona 1.6 Premium CVT 2016

     
     
  • Toyota lancar jenama baharu GR di Jepun untuk model lebih sporty – naik taraf sehingga casis dan enjin

    Toyota lancar jenama baharu GR di Jepun untuk model lebih sporty – naik taraf sehingga casis dan enjin

    Dalam masa beberapa tahun yang lepas, Toyota bekerja keras untuk membina model yang lebih sporty dan lebih bertumpu kepada pemanduan. Dalam usaha yang sama, satu jenama baru telah dilancarkan, iaitu GR. Sebenarnya ia adalah satu langkah penjenamaan semula G Sport (G’s) yang digunakan sebelum ini, dan diambil daripada nama Toyota Gazoo Racing. Penggunaan jenama GR baru ini akan dimulakan dengan tujuh model, dan setiap satunya mempunyai peningkatan yang tersendiri.

    Di dalam barisan model GR ini, terdapat tiga kategori iaitu pada bahagian permulaan adalah varian GR Sport, yang sama dengan model G’s sekarang, dengan menerima ubah suai luaran, dalaman serta suspensi yang ditala semula.

    Ia kemudiannya diikuti oleh varian pertengahan yang mempunyai naik taraf suspensi lebih fokus, bersama talaan enjin dan transmisi. Paling atas adalah model Gazoo Racing Masters of Nürburgring (GRMN), yang mendapat enjin lebih berkuasa. Selain daripada itu, terdapat juga katalog alat GR Parts yang boleh dipilih oleh pemilik kenderaan Toyota sedia ada.

    Toyota lancar jenama baharu GR di Jepun untuk model lebih sporty – naik taraf sehingga casis dan enjin

    Semasa pelancaran, pembeli boleh memilih model GR Sport untuk Yaris, Prius PHV, Mark X Harrier, Noah, Voxy GR dan Yaris GR. Selain peningkatan biasa yang disebutkan tadi untuk model GR Sport, model Yaris, Mark X dan Harrier GR Sport turut ditambah dengan titik kimpalan penguat untuk menjadikan badannya lebih tegar. Yaris GR Sport kemudian ditambah lagi dengan palang penguat.

    Sementara itu, bagi Yaris GR, ia menerima penyerap hentakan Sachs, pedal aluminium, roda stereng berdiameter lebih kecil daripada model 86 dan transmisi automatik 10 kelajuan bagi model CVT. Turut diberi adalah rim aloi aluminium 17 inci yang dibalut tayar Bridgestone Potenza RE050A.

    Toyota juga mempunyai beberapa model yang direncanakan untuk pelancaran pada akhir tahun ini, termasuk Prius C dan V GR Sport, serta 86 GR yang mendapat rim aloi Rays 17 inci, tempat duduk Recaro, angkup brek enam piston di hadapan dan empat piston di belakang dan limited slip differential Torsen. Kuasa enjin tidak diubah dan masih 205 PS, menggunakan enjin boxer empat piston 2.0 liter.

    Toyota lancar jenama baharu GR di Jepun untuk model lebih sporty – naik taraf sehingga casis dan enjin

    Akhir sekali, Yaris GRMN, yang akan dilancarkan di Jepun pasa musim luruh akan datang. Kereta ini adalah menyerupai model yang dijual di Eropah, dengan enjin 1.8 liter turbo 210 PS dan kotak gear manual enam kelajuan, tetapi ditambah dengan rekaan bampar hadapan lebih agresif yang didapati daripada Yaris GR dan GR Sport.

    Yaris GR Sport akan ditawarkan dalam versi standard menggunakan enjin petrol 1.5 liter 109 PS dengan padanan transmisi manual lima kelajuan atau CVT, serta hibrid 74 PS. Yaris GR pula hanya ditawarkan dalam versi petrol. Sementara itu bagi Harrier GR Sport, ia datang dengan sama ada enjin 2.0 liter NA 151 PS dan kotak gear CVT, atau enjin turbo 231 PS dengan kotak gear automatik enam kelajuan.

    Pembeli Mark X GR Sport pula boleh memilih antara enjin 2.5 liter 203 PS atau enjin V6 3.5 liter 318 PS. Kedua-duanya dipadankan bersama transmisi automatik enam kelajuan, manakala model Noah dan Voxy GR Sport pula dikuasakan oleh enjin 2.0 liter 152 PS dan transmisi automatik enam kelajuan.

    GALERI: Prius PHV GR Sport


    GALERI: Harrier GR Sport

    GALERI: Voxy GR Sport

    GALERI: Vitz GR

    GALERI: Mark X GR Sport

    GALERI: Vitz GR Sport

    GALERI: Noah GR Sport

    GALERI: Vitz GRMN prototaip

    GALERI: Prius a GR SPORT prototaip

    GALERI: Aqua GR Sport

    GALERI: 86 GR Sport prototaip

     
     
  • Hyundai patenkan rekaan struktur hadapan kenderaan guna material CFRP – lebih ringan, lebih kukuh

    Hyundai patenkan rekaan struktur hadapan kenderaan guna material CFRP – lebih ringan, lebih kukuh

    Hyundai telah memfailkan paten terhadap rekaan struktur baharu untuk sebahagian kerangka sebelah hadapan yang menggunakan komponen yang diperbuat dari material carbon fiber reinforced plastics (CFRP) atau plastik yang diperkukuhkan dengan gentian karbon, di Pejabat Paten dan Tanda Dagangan Amerika Syarikat.

    Struktur yang dimaksudkan tersebut adalah panel cowl iaitu bahagian yang menghubungkan asas antara tiang-A kiri dan kanan, atau bahagian atas firewall yang memisahkan ruang enjin dan kabin. Secara amnya, pengeluar-pengeluar kenderaan akan menghasilkan panel bahagian berkenaan menggunakan logam atau aluminium bagi memastikan ianya benar-benar kukuh.

    Penggunaan CFRP berkenaan bukan sahaja dapat menghasilkan panel yang lebih kukuh, malah ia turut dapat mengurangkan berat keseluruhan kenderaan berkenaan. Tambahan pula, rekaan yang dihasilkan oleh Hyundai ini menggunakan dua komponen CFRP yang disatukan, serta direka dengan bentuk poligon bersilang (bukan berbentuk empat segi biasa) bagi memperkukuhkan lagi bahagian tersebut.

    Rekaan baharu ini berkemungkinan akan digunakan Hyundai terhadap barisan-barisan model berprestasi tinggi oleh sayap penala dan perlumbaannya – Hyundai N – pada masa akan datang. Julai lalu, Hyundai N telah memperkenalkan model sulung mereka iaitu hot-hatch i30 N dengan enjin 2.0 liter turbo berkuasa 275 PS/353 Nm, yang dijangka bakal memberikan saingan sengit terhadap Volkswagen Golf GTI.

    GALERI: Hyundai i30 N

     
     
  • Proton serah seunit Persona baharu, enjin dan transmisi kepada IPK Selangor bagi tujuan latihan

    Proton serah seunit Persona baharu, enjin dan transmisi kepada IPK Selangor bagi tujuan latihan

    Proton Holdings Berhad (Proton) telah menyumbang Persona baharu, enjin dan transmisi, masing-masing satu unit, kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor. Ia adalah bagi tujuan latihan dan siasatan kepada Bahagian Pengangkutan Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi atau STaRT, IPK Selangor.

    Majlis penyerahan ini telah berlangsung pagi tadi di IPK Selangor, Shah Alam yang turut dihadiri oleh CEO Proton, Dato’ Ahmad Fuaad Kenali, Ketua Polis Selangor CP Datuk Mazlan Mansor, Ketua Penolong Pengarah Pengangkutan (Jabatan StaRT) Bukit Aman SAC Dato’ Mohd Hishamudin Tahar, Timbalan CEO Proton Dato’ Radzaif Mohamed, CEO Proton Edar Sdn Bhd Abdul Rashid Musa dan juga ketua-ketua jabatan IPK Selangor.

    Proton serah seunit Persona baharu, enjin dan transmisi kepada IPK Selangor bagi tujuan latihan

    Menurut Dato’ Ahmad Fuaad, ini bukanlah kerjasama pertama di antara Proton dan pihak PDRM. Ini kerana sejak Proton ditubuhkan tiga dekad yang lalu, pengeluar kereta pertama nasional ini telah mendapat sokongan dan kerjasama dari pihak PDRM terutamanya dari segi kegunaan kereta-kereta rasmi, kereta peronda, kereta unit-unit khas dan sebagainya.

    “Saya dimaklumkan, sejak Proton ditubuhkan, sebanyak 9,408 unit kereta Proton telah digunakan oleh pihak PDRM dan ini termasuklah Proton Saga, Wira, Waja, Perdana, Inspira, Exora dan Preve. Justeru, saya ingin mengucapkan terima kasih atas sokongan dan kepercayaan yang diberikan kepada PROTON,” ujarnya dalam majlus tersebut.

    Katanya lagi, penyerahan sumbangan Proton Persona ini adalah merupakan sebahagian daripada usaha Proton dan PDRM untuk menguji prestasi dan kemampuan Proton Persona.

    “Kami amat menghargai inisiatif ini di mana pihak PDRM terutamanya Bahagian Pengangkutan, Jabatan StaRT IPK Selangor ini turut berpeluang melakukan penelitian dan ujian terhadap enjin dan gearbox atau teknologi-teknologi terkini yang digunapakai pada kenderaan baharu keluaran kami.

    “Dengan latihan yang dilakukan, pihak polis akan dapat meningkatkan pengetahuan dan kemahiran mengendalikan kereta Proton, di mana sekiranya berlaku apa-apa kes kecemasan di jalan raya, sedikit sebanyak ianya mampu membantu orang awam sebelum bantuan sepatutnya tiba dari pihak yang berkenaan,” sambungnya lagi.

    Selain pihak polis, Proton juga membuat sumbangan seperti ini kepada agensi-agensi kerajaan lain seperti pihak bomba, JPJ, Nano Malaysia, Nuklear Malaysia dan SIRIM, selain pusat pengajian tinggi dan pusat latihan kemahiran bagi tujuan latihan dan juga penyelidikan.

     
     
  • McLaren 570GT MSO – inspirasi daripada F1 XP GT ’97

    McLaren 570GT MSO – inspirasi daripada F1 XP GT ’97

    Cabang kenderaan ubah suai McLaren, iaitu MSO baru menunnjukkan hasil kerja terkni mereka, yang menggunakan asas 570GT, dan akan dikeluarkan dalam unit terhad hanya enam buah. Model 570GT istimewa ini mendapat inspirasi daripada model F1 XP GT ‘Longtail’ yang dibina pada tahun 1997 (gambar seperti di bawah) untuk proses homologasi model F1 GTR yang memenangi perlumbaan Le Mans.

    Setiap satu model ini akan dicat warna ‘XP Green’ McLaren, iaitu warna sama yang digunakan untuk model homologasi tersebut. Pada bahagian luarnya juga terdapat pinstripe Saddle Tan di atas bilah aerodinamik, side skirt dan diffuser belakang. Di bahagian pintu juga terdapat jalur pinstripe ini, yang bermula dari lencana Union Jack di hadapan, sehingga ke belakang.

    Komponen luaran termasuk splitter hadapan, bahagian dalam pintu, bukaan udara tepi, side skirt, bampar belakang, diffuser dan spoiler yang biasanya berwarna Dark Palladium atau mengikut warna badan kini ditukar menjadi warna MSO Black.

    Pada bahagian dalam, kemasan kulit Saddle Tan yang digunakan datang bersama selingan kemasan serta jahitan yang berwarna hijau. Di bawah konsol tengah terdapat pula satu lencana identiti yang menandakan kereta ini adalah binaan istimewa satu daripada enam oleh MSO.

    Bahagian enjin tidak disentuh, dan masih menggunakan unit V8 twin turbo V8 3.8 liter berkuasa 570 PS dan 600 Nm tork, dipadankan bersama transmisi seamless-shift tujuh kelajuan. Walaupun mempunyai bentuk sport, ia masih menyediakan ruang simpanan sebanyak 220 liter di belakang, dan 150 liter di hadapan.

     
     
  • Mazda sahkan model konsep baharu pengganti RX-7, RX-8 bakal muncul di Tokyo Motor Show tahun ini

    Mazda RX-Vision 14

    Ini mungkin berita yang ditunggu-tunggu oleh peminat kereta sport rotary Mazda siri RX – jenama dari Hiroshima itu mengesahkan sebuah lagi konsep kereta sport seperti Mazda RX-Vision yang muncul pada Tokyo Motor Show 2015 akan membuat penampilan pada acara yang sama tahun ini.

    Bercakap kepada Autoexpress, naib pengerusi untuk R&D Mazda di Eropah, Matsuhiro Tanaka berkata, “kami akan memperkenalkan konsep rekaan baharu di Tokyo Motor Show – anda boleh sifatkan ia sebagai tema yang bervolusi dari RX-Vision.”

    “Apabila kami memperkenalkan konsep niat kami di komuniti kejuruteraan dan rekaan adalah untuk menjadikan ia realiti. Apa yang boleh saya katakan adalah kami berusaha sepenuhnya untuk cuba dan menjadikan ini sebagai kemungkinan,” tambah beliau.

    Ketua R&D Mazda, Kiyoshi Fujiwara pula berkata, berberapa cabaran perlu diatasi bagi model gantian RX-7 dan RX-8 ini diberikan lampu hijau dan pasukan pembangunan enjin rotary syarikatnya masih lagi aktif.

    “Satu kumpulan kecil jurutera masih lagi bekerja, ia mungkin kecil tetapi masih tetap bekerja,” jelas Fujiwara dan menambah, “halangan yang kami hadapi adalah dari segi perniagaan dan juga cabaran teknikal – tetapi saya optimistik bahawa penyelesaian untuk cabaran teknikal akan dapat ditemui.”

    Sebelum ini juga Mazda dilaporkan telah menghasilkan enjin rotary yang bertindak sebagai enjin penambah jarak bagi sistem janakuasa hibrid, tetapi Fujiwara menegaskan enjin rotary turbo generasi baharu digelar SkyActiv-R masih lagi akan dibangunkan.

    Mazda sahkan model konsep baharu pengganti RX-7, RX-8 bakal muncul di Tokyo Motor Show tahun ini

    “Kesemua enjin pembakaran dalam kami akan diberikan teknologi elektrik pada satu-satu tahap – hibrid ringan atau sistem elektrik 48-volt. Jadi ya, teknologi sedemikian akan digunakan pada enjin rotary pada masa akan datang. Walau bagaimanapun, saya percaya saya mahu untuk memperkenalkan enjin rotary baharu tanpa teknologi elektrik kerana saya pasti ini yang peminat enjin rotary mahukan,” jelas Fujiwara.

    Sebelum ini, sudah berberapa kali Mazda menafikan mereka sedang membangunkan kereta sport siri RX generasi baharu, tetapi khabar angin berkenaan pembinaan tersebut terus menerus tersebar.

    Khabar angin terakhir bertiup pada bulan Julai lalu apabila tiga portal dari Asia iaitu LeVolant Boost (Jepun), Thairath (Thailand) dan Auto Sina (China) melaporkan kereta sport Rotary generasi baharu Mazda yang akan digelar Mazda RX-9 bakal membuat kemunculan sulung pada Tokyo Motor Show Oktober ini, dan akan masuk ke pasaran pada 2019 nanti.

    Laporan tersebut turut menyebut enjin SkyActiv-R baharu ini bakal menghasilkan 400 hp, manakala berat keseluruhan RX-9 tersebut dijangka sekitar 1,300 hingga 1350 kg. Ia turut menyatakan model baharu ini akan dijual lebih murah dari Nissan GT-R atau Honda NSX iaitu dalam anggaran 8 juta Yen hingga 10 juta Yen (RM300k-RM380k).

    Tahun ini juga merupakan ulangtahun ke-50 enjin Wankel-Rotary Mazda setelah Mazda Cosmo Sport diperkenalkan pada tahun 1967 – dan laporan khabar angin tersebut turut menyebut pengenalan model konsep baharu ini dijangka sebagai menyambut ulangtahun berkenaan.

    GALERI: Mazda RX-Vision

     
     
  • Kawasaki Z650 diubahsuai gaya flat track di Perancis

    Kawasaki Z650 diubahsuai gaya flat track di Perancis

    MRS Oficina adalah sebuah syarikat pengubahsuai serta penghasilan motosikal kustom yang beroperasi di Paris, Perancis, dan mereka terkenal dengan jentera yang kustom berbentuk flat track, meskipun mampu menghasilkan gaya-gaya lain. Dalam projek yang terbaru, MRS Oficina bekerjasama dengan Kawasaki Perancis untuk mengubahsuai Kawasaki Z650, iaitu sebuah motosikal naked street.

    Sebelum ini, MRS Oficina pernah bekerjasama dengan Kawasaki untuk menghasilkan motosikal flat track menggunakan asas model Vulcan 650, tapi ini adalah kali pertama mereka menggunakan Z650. Walaupun begitu, dengan pengalaman yang ada, hasilnya tetap kemas dan menunjukkan ketelitian yang tinggi.

    Antara ubah suai yang boleh dilihat pada motosikal ini adalah termasuk panel lampu hadapan yang hanya menggunakan satu papan plastik, dengan lampu LED di bawah dan nombor perlumbaan, paip ekzos terus yang berakhir dengan dua muncung di belakang, tangki yang lebih rendah dan bujur, satu tempat duduk, rim berjejari yang lebih besar dan tayar dual purpose, pemegang lebih lebar dan grafik khas.

    Kawasaki Z650 diubahsuai gaya flat track di Perancis

    Untuk menghargai model binaan khas ini, Kawasaki Perancis telah menggunakan khidmat sebuah studio penggambaran yang terkenal dengan kehebatan dalam pencahayaan, iaitu Studio Harcourt untuk mengambil gambar Z650 flat track ini. Presiden studio yang sudah beroperasi sejak tahun 1934 ini juga adalah seorang peminat motosikal, iaitu Francis Dagnan.

    Motosikal ini akan digunakan untuk tujuan promosi, dan di Malaysia, model Kawasaki Z650 asal dijual pada harga RM35,605 termasuk GST. Motosikal ini menggunakan enjin dua silinder selari 649 cc dengan kuasa sebanyak 67.3 hp dan 65.7 Nm tork. Ia juga dilengkapi dengan brek ABS secara standard, bersama panel instrumen LCD, tangki minyak 15 liter dan berat keseluruhan 187 kg.

     
     
  • KL Monorel: Tren 4 gerabak kembali beroperasi hujung tahun ini, ciri keselamatan sedang dinaiktaraf

    KL Monorel: Tren 4 gerabak kembali beroperasi hujung tahun ini, ciri keselamatan sedang dinaiktaraf

    Operasi tren empat gerabak KL Monorel dihentikan perkhidmatannya sejak Mei lalu bagi memberi laluan kepada kerja menaiktaraf ciri keselamatannya. Walau bagaimana pun, menurut CEO Rapid Rail Sdn Bhd, Datuk Zohari Sulaiman, tren tersebut akan kembali beroperasi tidak lama lagi, laporan Berita Harian.

    Katanya, lima set tren empat gerabak itu akan beroperasi semula secara berperingkat mulai hujung tahun ini.

    “Kerja naik taraf ciri keselamatan tren sedang berterusan. Kami berusaha keras memastikan proses ini dapat diselesaikan secepat mungkin dengan mematuhi aturan dan panduan.

    Rapid Rail juga ingin memohon maaf kepada pelanggan di atas kesulitan yang disebabkan oleh ketiadaan tren empat gerabak. Kami tiada pilihan kecuali memberhentikan sementara perkhidmatan tren ini demi kepentingan keselamatan awam,” katanya.

    Beliau turut berkata, sepanjang ketiadaan tren empat gerabak berkenaan, Rapid Rail telah menyediakan khidmat bas perantara di sepanjang laluan KL Monorel bagi melengkapkan operasi.

    “Kami kini mempunyai enam set tren dua gerabak yang beroperasi. Frekuensi tren adalah antara lapan hingga 15 minit bergantung kepada masa operasi dan ketersediaan tren,” katanya.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.21 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.21
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.93 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.13 (0.00)
Last Updated Sep 25, 2025