Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Polis sita 59 motosikal dalam Op Samseng Jalanan

    Polis sita 59 motosikal dalam Op Samseng Jalanan

    Seramai 129 orang dan 120 buah motosikal diperiksa di dalam Op Samseng Jalanan yang dilakukan oleh PDRM di Lebuhraya KESAS dari 12 tengah malam hingga 7 pagi Ahad. Harian Metro melaporkan, polis membuat kepungan berdekatan susur keluar ke Banting.

    Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor, Superintendan Kamaludin Mohamad menjelaskan; “Sebanyak 150 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh, nombor plat tidak mengikut spesifikasi dibenarkan dan lain-lain.

    Selain itu, polis juga menyita 59 buah motosikal serta membawa balik lapan motosikal yang ditinggalkan di tepi lebuh raya berkenaan selepas penunggangnya melarikan diri. Semua yang ditahan berusia antara 16 hingga 30 tahun dan operasi dijalankan selepas lokasi itu kerap dijadikan perlumbaan haram setiap malam hujung minggu.

    Operasi berkenaan melibatkan kekuatan seramai kira-kira 100 anggota dan pegawai polis dengan dibantu penguat kuasa Majlis Perbandaran Klang dan pihak KESAS.

     
     
  • SPYSHOT: Mercedes-Benz GLE terbaru dilihat, kali ini termasuk gambar yang mendedahkan ruang dalaman

    SPYSHOT: Mercedes-Benz GLE terbaru dilihat, kali ini termasuk gambar yang mendedahkan ruang dalaman

    Mercedes-Benz kelihatan seperti akan memperkenalkan beberapa model yang dikemaskini dalam masa terdekat. Terbaru, seperti yang dilihat difasiliti jenama itu di Sindelfingen ialah model GLE berikutnya. Kali ini, tidak hanya bahagian luaran yang sempat dirakamkan gambarnya – ruang dalaman turut diintai juga.

    Kluster instrumen GLE baru itu kini digital sepenuhnya, sebaris dengan paparan infotainmen Comand yang berada di atas corong pendingin hawa. Kelihatan sedikit bersegi jika dibanidngkan dengan corong yang ada pada W213 E-Class dan W222 S-Class.

    SPYSHOT: Mercedes-Benz GLE terbaru dilihat, kali ini termasuk gambar yang mendedahkan ruang dalaman

    Konsol tengahnya juga menerapkan rekaan yang berbeza, dengan dua pemegang disertakan sekali, satu bagi setiap sisi. Turut dijangka akan diperkenalkan pada versi dikemaskini GLE ini nanti ialah ciri lampu suasana (ambient lighting) yang ada pada model W222 S-Class dan W213 E-Class.

    Keseluruhannya, GLE versi baru ini nanti juga dijangka akan lebih besar, untuk memisahkan segmennya dengan lebih ketara dari GLC. Enjin baru enam-silinder sebaris petrol dan diesel mungkin turut akan ditawarkan, selepas pengenalannya pada model W222 S-Class facelift.

     
     
  • Toyota 86 860 Special Edition hanya untuk pasaran US

    Toyota 86 860 Special Edition hanya untuk pasaran US

    Toyota telah memperkenalkan model edisi istimewa Toyota 86 hanya untuk pasaran Amerika Syarikat (US), yang sebelum ini dikenali Scion FR-S. Model 860 SE ini merujuk kepada jumlah produksi bagi SE – 860 unit bagi Halo White dan 860 pada Supernova Orange. Gambar ini menunjukkan warna eksklusif bagi edisi istimewa 860.

    Kedua-dua warna putih dan jingga ini turut menerima jaluran hitam pada perumah cermin sisi, wing belakang hitam dan aloi krom hitam 17-inci. Di bahagian dalamnya, tempat duduknya dibaluti kulit berwarna hitam dengan jahitan kontras jingga. Ia turut ditampilkan pada papan pemuka, panel pintu, roda stereng, brek tangan dan tombol gear.

    Elemen lain yang turut ditampilkan termasuklah butang penghidup enjin, pendingin hawa auto dwi-zon, tempat duduk dengan fungsi haba panas dan panel instrumen skrin MID besar, termasuk fungsi g-meter dan lap-timer. Malah Toyota 86 ini juga membawa kekemasan tunggal Scion FR-S di US, dan pelanggan juga boleh memilih elemen sport yang diinginkan.

    Tiada perubahan mekanikal, masih mengekalkan enjin 2.0 liter boxer dengan kuasa 205 hp. 860 SE ini dijual pada harga bermula US$30,040 (RM133,617) bagi manual enam-kelajuan, dan US$30,760 (RM136,820) bagi automatik enam-kelajuan. Harganya US$3k lebih tinggi berbanding model biasa.

    GALERI: Toyota 86 860 Special Edition USDM

     
     
  • Harley-Davidson Street Rod 750 2017 diperkenal di AS – badan serba hitam, brek cakera berkembar di depan

    Harley-Davidson Street Rod 750 2017 diperkenal di AS – badan serba hitam, brek cakera berkembar di depan

    Walaupun lebih terkenal dengan motosikal jenis cruiser, Harley-Davidson ingin menambat hati lebih ramai lagi penggemar motosikal dengan memperkenalkan satu lagi model permulaan bernama Street Rod 750. Ia direka dengan gaya pertembungan flat tracker dan dragster, tanpa banyak bahagian krom, dan dijual pada harga 8,699 USD (RM38,771).

    Enjin yang digunakan pada Street Rod 750 adalah sama dengan model Street 750, iaitu unit 750 cc V-twin berpenyejukan cecair, namun ia dikatakan mempunyai kuasa 18 hingga 20 peratus lebih banyak dan 8 hingga 10 peratus lebih tork, menjadikan keseluruhannya sebanyak 68 hp dan 64 Nm. Sasaran pengguna Street Rod 750 adalah penunggang urban, dan bahagian casisnya turut diperbaharui.

    Ini termasuk brek cakera 300 mm berkembar di hadapan, dan sistem ABS – standard bagi pasaran Eropah, dan pilihan tambahan di Amerika Syarikat (AS). “Ia mendapat perhatian anda. Dan kami mahukan casis yang berpadanan, kawalan jitu dan agresif, sesuai untuk tunggangan dalam bandar dan juga jalan-jalan berselekoh,” kata ketua jurutera Harley-Davidson, Mathew Weber.

    Posisi tempat duduk Street Rod 750 juga diubah semula, dengan penunggangnya kini akan berada 765 mm dari tanah (716 mm pada Street 750), dan peletak kaki dipasang belakang sedikit daripada lutut penunggang, seterusnya dikatakan memberi kedudukan lebih ‘normal’. Untuk suspensi pula, bahagian hadapan kini menggunakan fork USD 43 mm dan yoke aluminium, manakala di belakang pula terdapat penyerap yang lebih tinggi – 117 mm jarak pergerakan – dan ini adalah 13 peratus lebih tinggi berbanding penyerap Street 750.

    Pertukaran kepada rim saiz 17 inci juga bermaksud pemilik Street Rod 750 mempunyai peluang untuk memilih tayar yang lebih baik bagi motosikal mereka. Perkara lain yang menyesuaikannya dengan keadaan urban adalah cermin sisi pada hujung pemegang, dan ia boleh dilipat tanpa mengganggu tangan penunggang.

    Bahagian ekor motosikal ini turut direka semula, dengan kini menggunakan lampu LED di belakang, manakala di hadapan masih lagi menggunakan unit mentol halogen. Tiga pilihan warna disediakan bagi Street Rod 750 2017 iaitu Vivid Black, Charcoal Denim dan Olive Gold. Walaupun begitu, kehadiran model ini di pusat pameran masih belum dapat dipastikan. Di Malaysia, Harley-Davidson Street 750 dijual pada harga RM62,888.

     
     
  • BMW 6 Series M Sport Limited Edition – jumlah terhad

    BMW 6 Series M Sport Limited Edition – jumlah terhad

    BMW telah mengeluarkan sebuah model 6 Series edisi khas, dipanggil sebagai M Sport Limited Edition, yang akan dijual dalam jumlah terhad untuk tiga bentuk badannya iaitu Coupe, Convertible dan Gran Coupe.

    BMW 6 Series M Sport Limited Edition ini datang dengan warna biru metalik Sonic Speed Blue, bersama padanan rim aloi M 20 inci berwarna Bicolour, serta pelindung cermin sisi gentian karbon.

    Pada bahagian dalam pula, model 6 Series edisi khas ini dipasang dengan sill cover tepi pintu bertulis “M Sport Limited Edition.” Kemudiannya, pada bahagian tempat duduk, ia dibalut dengan kulit halus Merina daripada BMW Individual, dan mempunyai selingan kemasan biru Fjord Blue untuk mengikut skema warna di luar.

    BMW 6 Series M Sport Limited Edition – jumlah terhad

    Sentuhan lain pada bahagian dalam adalah termasuk alas kaki yang juga menggunakan kemasan warna Fjord Blue, kemasan gentian karbon pada konsol tengah, pintu keliling skrin informasi dan beberapa bahagian lain.

    BMW akan mula menjual model edisi khas jumlah terhad ini bermula April 2017, dan pelanggan akan dapat memilih sama ada yang menggunakan enjin petrol enam silinder sebaris 320 hp, petrol V8 450 hp atau diesel enam silinder sebaris 313 hp. Semua enjin ini dipadankan bersama transmisi sports lapan kelajuan Steptronic dan pacuan roda belakang. BMW juga menyatakan sistem pacuan empat roda xDrive boleh didapati sebagai pilihan.

     
     
  • GALERI: Mercedes-Benz E-Class Coupe – evolusi dari W114, C123, C124, C208, C209, C207 dan C238

    Susur galur Mercedes E-Class Coupe datangnya sejak 50 tahun lalu, bermula dengan siri W114 Coupe yang diperkenalkan pada tahun 1968. Dengan imej sporty sebuah grand tourer, E-Class Coupe kini memasuki generasi yang ketujuh – termasuk untuk tempoh singkat menggunakan lambang CLK.

    Yang paling tua, W114 Coupe. Ia dibangunkan dari model Mercedes-Benz 250 Saloon ketika itu, tetapi dengan penggayaan yang lebih ranggi. Cermin depannya lebih condong, serta menampilkan karekteristik rekaan utama yang kekal sehingga hari ini – tingkap tepi tanpa kerangka dan tiada B-pillar.

    Kemudian pada 1977 hadir pula C123 CE Coupe, model yang mudah dikenali di Malaysia. Melaluinya, jarak roda model berkenaan lebih pendek berbanding model sedannya, untuk memberikan pemanduan dinamik. Ia juga mula mengubah rekaan grand tourer itu kepada jentera yang lebih rendah dan kecil.

    C124 CE Coupe pula muncul pada 1987, juga sebuah model yang kerap kita dapat lihat di jalan raya Malaysia. Model ini menampilkan rekaan semula yang penting pada bahagian gril radiatornya pada 1993, yang dipadankan dengan lebih kemas pada bahagian bonet dengan kerangka krom yang lebih nipis.

    Kemudian, tiba pula C208 CLK pada 1997. E-Class Coupe, seperti pengenalan pada model C124 dari 1993 ke atas, digantikan dengan model yang lebih kecil dan sporty dengan selera orang muda. Walaupun mengambil gaya daripada model W210 E-Class sedan, bahagian mekanikal model ini adalah berdasarkan platform model W202 C-Class yang lebih ringkas.

    Pendekatan dengan tujuan penjimatan kos ini turut diturunkan kepada model C209 CLK pada tahun 2002. Diasaskan dari W203 C-Class, tetapi dengan gaya yang diambil dari W211 E-Class. Ia menampilkan rekaan gril baru dengan logo Mercedes di bahagian tengah, yang kemudiannya dikekalkan bagi model-model sporty jenama ini hingga sekarang.

    Namun, pada 2009, Mercedes patah balik untuk memperkenalkan model C207 E-Class Coupe sekali lagi, dengan penggayaan yang menuruti jejak model W212 E-Class sedan. Bagaimanapun, ia kekal menggunakan platform C-Class, dari model W204 yang lebih dinamik. Selepas itu juga, C-Class Coupe turut diperkenalkan, memaksa mereka untuk memikirkan semula barisan grand tourer berkenaan.

    Dan, pada tahun 2017 ini, E-Class Coupe dari model C238 tiba, sekali lagi dibina menggunakan platform dari model W213 E-Class. Model ini lebih besar dan luas, dengan keutamaan diberikan terhadap keselesaan. Ia juga menerima banyak pertambahan teknologi maju yang ada pada E-Class.

    Tonton video ini untuk mengetahui lebih lanjut tentang model berkenaan.

    W114 Mercedes-Benz Coupe (1968-1976)

    C123 Mercedes-Benz CE Coupe (1977-1985)

    C124 Mercedes-Benz CE Coupe (1987-1996)

    C208 Mercedes-Benz CLK Coupe (1997-2002)

    C209 Mercedes-Benz CLK Coupe (2002-2009)

    C207 Mercedes-Benz E-Class Coupe (2009-2017)

    C238 Mercedes-Benz E-Class Coupe (2017 ke atas)

     
     
  • Mercedes-Benz A200 Activity Edition: 30 unit, RM206k

    Mercedes-Benz A200 Activity Edition: 30 unit, RM206k

    Mercedes-Benz Malaysia telah melancarkan model edisi istimewa untuk A-Class, dikenali sebagai A 200 Activity Edition, varian baharu yang hadir tanpa imej sporty seperti A 200 AMG Line, tetapi memiliki beberapa elemen ekstra di luaran dan dalaman.

    Hanya terhad 30 unit di seluruh negara, setiap satunya dijual pada harga atas jalan RM205,888 tanpa insurans, sama harga dengan AMG Line. Ia termasuk dengan waranti empat-tahun, tanpa perbatuan terhad.

    Seperti yang dinyatakan, Activity Edition ini telah menyingkirkan pek AMG Line bagi mengurangkan imej agresif Urban Line yang juga dipadankan pada A 180. Ia juga dilengkapi dengan Night Package (termasuk jaluran bampar hadapan dan belakang, cermin sisi dan kekemasan beltline hitam berkilat), jaluran sisi hitam pekat dan roda aloi 18-inci baharu berwarna hitam. Malah logo Activity Edition juga terdapat pada dapra hadapan.

    Pada bahagian kabinntya, ia turut menampilkan alas lantai dengan jahitan Activity Edition, plak “Urban Hunting Activity Edition, serta nombor bagi setiap unit. Juga dilengkapi dengan pakej dalaman Eksklusif bersama material kulit upholstery, headline hitam dan papan pemuka bulan kulit tiruan Artico.

    Selain itu, kit standard AMG Line termasuk lampu utama dan bilah pengelap cerman automatik, cermin anti-silau, tempat duduk hadapan larasan berkuasa dengan memori dan empat-cara sokongan belakang, pendingin hawa manual, Parking Pilot, kamera undur, sistem infotainmen asas Audio 20 CD dan Paparan Media lapan-inci turut disertakan. Malah pakej Pencahayaan dengan pencahayaan ambien dan ambang pintu iluminasi turut ditampilkan.

    Elemen keselamatannya masih sama dengan semua barisan A-Class pasaran tempatan termasuk tujuh beg udara, Bantuan Brek Aktif, Pra-Keselamatan, pengaktifan beg udara penumpang hadapan automatik dan cagak ISOFIX untuk tempat duduk belakang.

    Kuasa 156 hp/250 Nm dari enjin 1.6 liter pengecas turbo empat-silinder, dipadankan bersama transmisi automatik dwi-klac 7G-DCT tujuh-kelajuan. Pacuan 0-100 km/j dalam 7.8 saat, dan ia boleh mencapai kelajuan maksimum sehingga 224 km/j/ Penggunaan bahan api kombinasi dianggarkan sekitar 5.4 liter bagi setiap 100 km.

    Untuk mengetahui perincian dan spesifikasi penuh bagi semua model Mercedes-Benz A-Class, sila layari CarBase.my.

     
     
  • Volkswagen Polo kini RM69,888 – bagi tempoh terhad

    Volkswagen Polo kini RM69,888 – bagi tempoh terhad

    Berita baik kepada mereka yang mahukan tawaran istimewa; untuk tempoh terhad, Volkswagen Polo hatchback kini ditawarkan pada harga promosi terbaru – RM69,888. Ini adalah susulan kepada penurunan harga yang diumumkan pada September tahun lalu, pada harga RM77,646.

    Dengan tawaran semasa ini, model berkenaan kini dijual pada potongan harga RM7,000 lebih rendah berbanding harga terakhirnya dahulu — jika mengambil kira harga sewaktu pertama kali Polo versi facelift ini diperkenalkan untuk pasaran tempatan, penjimatannya mencecah RM20,000.

    Spesifikasinya tetap sama; dengan enjin 1.6 liter MPI, empat-silinder yang menghasilkan 105 PS dan 153 Nm yang digandingkan dengan kotak gear automatik daripada Aisin enam-kelajuan dengan torque converter.

    Jika anda sedang mempertimbangkan untuk membeli model-model keluaran Volkswagen, dan ingin tahu spesifikasi lanjut berkaitan, lawati laman CarBase.my.

    GALERI: Volkswagen Polo 1.6 Hatch CKD facelift 2015
    (ini merupakan model facelift versi 2015 semasa ia diperkenalkan tahun lalu)

     
     
  • PANDU UJI: Honda BR-V – adakah ia benar-benar mampu memenuhi jangkaan bagi kegunaan keluarga?

    PANDU UJI: Honda BR-V – adakah ia benar-benar mampu memenuhi jangkaan bagi kegunaan keluarga?

    Untuk melihat dengan lebih objektif terhadap Honda BR-V, ada eloknya kita tolak ke tepi dahulu sambutan hangat yang diterima kini; yang mana setakat awal minggu ini sudah menerima 8,700 unit tempahan sejak ia dilancarkan pada awal Januari lalu. Tempoh menunggu juga kira-kira dua bulan paling lama sebelum serahan boleh dilakukan kepada pelanggan.

    Satu soalan yang bermain di dalam benak saya sendiri dan lebih penting untuk ditanyakan – saya juga percaya soalan sama bermain dalam fikiran ramai orang – ialah ini; adakah Honda BR-V benar-benar mampu memenuhi jangkaan penggunaan dan keperluan bagi ramai orang?

    Bermula dengan pertanyaan ini, kami mengikuti sesi pandu uji media tempatan bagi mencuba model berkenaan dalam perjalanan pergi dan balik dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang pada Isnin hingga Rabu lalu. Ini merupakan pengalaman pertama saya memandu model berkenaan, dan juga pengalaman pertama pemanduan sebenar di atas jalan raya Malaysia. (Laporan pandu uji yang pernah kami terbitkan sebelum ini adalah berdasarkan pengalaman di Thailand.)

    Antara perkara yang kerap kedengaran sejak model dengan nama panjang “Bold Runabout Vehicle” ini diperkenalkan ialah soalan tentang kemampuan prestasinya. Dengan enjin 1.5 liter yang digunakan, ramai yang bertanya; “kalau naik tujuh orang, enjin ini larat ke nak tarik?”

    Walaupun pada kebanyakan waktu soalan sebegini bernada sinikal, tetapi untuk berlaku jujur, ia merupakan satu pertanyaan yang wajar dilontarkan. Pasaran Malaysia bukannya tidak pernah menerima model dengan pendekatan pembangunan seperti ini – dari segi reka bentuk, ia lebih cenderung dipanggil crossover, dari segi praktikaliti, ia menyamai sebuah MPV manakala penggayaan yang sporty dan sedikit agresif yang lebih dekat dengan SUV.

    Baca laporan selanjutnya di sini

     
     
  • Gemballa Avalanche muncul di Geneva dengan 820 hp

    Gemballa Avalanche muncul di Geneva  dengan 820 hp

    Penala terkemuka Jerman Gembala telah mendedahkan program Avalanche terkini yang diperagakan pada model Porsche 911 Turbo di Geneva Motor Show yang sedang rancak berlangsung.

    Tempahan pertama melibatkan enjin Porsche 3.8 liter turbo-berkembar enam-silinder, di mana jurutera Gemballa telah melakukan beberapa modifikasi termasuk memprogram semula sistem elektrikal bagi kotak gear dan enjin, pengecas turbo berprestasi-tinggi, intake manifold baharu, dan perumah sedutan udara yang diperbuat daripada karbon, kerangka injap pendikit baharu, penapis udara prestasi-tinggi dan rombakan semula bagi silinder utama dan injap.

    Tidak cukup dengan itu, jentera ini turut menerima empat paip sistem ekzos yang lebih besar bagi memberikan “bunyi yang lebih tepat” menurut syarikat tersebut. Hasilnya, ia mampu menghamburkan kuasa sehingga 820 hp dan tork 950 Nm, yang lebih 240 hp dan 200 Nm berbanding kuasa asal 911 Turbo S.

    Untuk memastikan keseluruhan jentera tidak dibebani kuasa yang baharu, Gemballa telah memasang casis sport boleh laras bersama roda 21-inci yang dibaluti tayar 255/30 di hadapan dan 325/25 di belakang. Bagi menampakkan kerangka yang lebih lebar dan agresif, lebar bahagian depannya telah dipertingkatkan sebanyak 62 mm dan 100 mm di belakang, selain memberikan lebih ruang untuk tayar yang lebih besar.

    Lain-lain komponen luaran jentera ini diperbuat daripada gentian karbon untuk mengekalkan kadar ringannya dan juga memberikan kesan aerodinamik yang lebih baik.

    Gemballa berkata, “Avalanche bukan setakat Avalanche tanpa bahagian dalam yang diperkemaskankan,” lantas material kulit upholstery dengan dua-tona hitam dan putih merajai segenap ruang kabin, bersama kekemasan Alcantara dan gentian karbon.

     
     
  • VIDEO: The Fate of the Furious – trailer baharu disiar

    Mungkin ramai yang sudah tidak sabar untuk menonton filem terbaru turutan daripada Fast and Furious yang kelapan, dinamakan sebagai Fate of the Furious. Filem itu hanya akan berada di pawagam pada bulan April, tetapi untuk masa ini anda boleh melihat terlebih dahulu video trailer singkat yang disiarkan.

    Jalan cerita filem terbaru ini sedikit berlainan, di mana watak Dominic Toretto yang dilakonkan oleh Vin Diesel sudah mengkhianati ‘keluarga’ asal dan kini bekerjasama dengan watak jahat utama, Cipher yang dilakonkan oleh Charlize Teron.

    Kelebihan Cipher adalah dia berpengetahuan tinggi dalam bidang teknologi dan boleh memintas (hack) sistem pintar setiap kereta dan itu digunakan sebagai senjata untuk menentang watak lain.

    Video ini pastinya meningkatkan lagi rasa teruja penggemar filem Fast and Furious, dan ia hanya akan berada di pawagam 14 April 2017. Selepas itu, dua lagi filem turutan Fast and Furious akan dikeluarkan iaitu pada 19 April 2019 dan yang kesepuluh (mungkin juga yang terakhir) pada 2 April 2021.

     
     
  • Land Rover Project Hero – Discovery untuk Palang Merah lengkap dengan dron di atas bumbung

    Land Rover Project Hero – Discovery untuk Palang Merah lengkap dengan dron di atas bumbung

    Selain dari Range Rover Velar, Jaguar Land Rover (JLR) turut membawa sebuah lagi SUV istimewa ke Geneva Motor Show tahun ini. Ianya sebuah Land Rover Discovery 5 yang dibina oleh divisi Special Vehicle Operation (SVO) JLR, digelar Project Hero. SUV yang dibina sebagai kenderaan komunikasi termaju berkenaan dihasilkan khas untuk kegunaan Pertubuhan Palang Merah Austria, dan diharapkan mampu menyelamat lebih ramai nyawa dengan mempercepatkan masa tindak balas dalam satu-satu bencana.

    Selain dari dilengkapi dengan variasi peralatan yang diperlukan untuk operasi menyelamat serta perlatan komunikasi radio pelbagai frekuensi, Project Hero turut dilengkapi dengan dron yang ditempatkan pada bumbung, berperanan memberikan gambaran secara langsung dipancarkan terus kepada pasukan tindakan kecemasan.

    Dron berkenaan sememangnya amat diperlukan dalam operasi-operasi menyelamat ketika berlakunya bencana seperti tanah runtuh, gempa bumi dan banjir, kerana bentuk muka bumi sesuatu tempat yang ditimpa musibah seperti disebutkan boleh berubah sekelip mata.

    Land Rover Project Hero – Discovery untuk Palang Merah lengkap dengan dron di atas bumbung

    Jadi, dengan adanya dron ini, para penyelamat dapat menyiasat sesuatu kejadian bencana itu pada jarak yang selamat menerusi paparan dari sudut pandangan mata burung – seperti dron yang dilengkapkan pada mod Defender siri TV Viper yang popular sekitar 90’an dahulu – seterusnya membantu mereka membuat tindakan yang lebih cepat.

    Sistem mendarat bersepadu dengan sistem pemusat sendiri serta teknologi pengekalan magnetik (pertama seumpanya di dunia) ditempatkan pada bumbung Projet Hero bagi membolehkan dron mendarat dengan tepat walaupun kenderaan sedang bergerak. SUV ini diberikan warna rasmi Palang Merah, dengan warna putih di bahagian bawah, manakala warna merah pada bumbung, bonet dan juga cermin sisi.

    Project Hero masih dijana oleh enjin 3.0 liter TD6, dan ia akan ditempatkan di pusat latihan Pertubuhan Palang Merah Austria, Erzberg, iaitu pada kawasan pergunungan dan perlombongan, dan di Vienna untuk tempoh 12 bulan bermula Jun 2017.

    Land Rover telah menyokong operasi Palang Merah sejak 1954, dan telah membekalkan 120 kenderaan kepada Pertubuhan Palang Merah Antarabangsa (IFRC) bagi digunakan dalam operasi seluruh dunia. “Land Rover dan sepasukan jurutera serta perekabentuk di SVO berbangga untuk memberikan sokongan kepada kerja-kerja kemanusiaan oleh IFRC dan ahli-ahlinya.

    “Discovery baharu merupakan SUV untuk pelbagai muka bumi yang hebat, dan Project Hero merupakan kombinasi optimum dari kebolehan yang dipertingkat serta teknologi inovatif. Kami berharap untuk membantu Palang Merah untuk menyelamatkan nyawa dalam situasi kecemasan,” kata John Edwards, pengarah urusan JLR SVO.

     
     
  • Evolution XI mustahil, Eclipse Cross Ralliart mungkin akan dibina – ketua projek model Mitsubishi Motors

    Evolution XI mustahil, Eclipse Cross Ralliart mungkin akan dibina – ketua projek model Mitsubishi Motors

    2015 Lancer Evolution Final Edition

    Walaupun Mitsubishi telah mengesahkan model Lancer bakal dikuburkan dan sekaligus menamatkan legasi Lancer Evolution, media permotoran global masih lagi terus mengajukan soalan kepada syarikat berkenaan adakah model berprestasi tinggi tersebut dirancang untuk dihasilkan semula.

    Terbaharu, ketika ditanya pada Geneva Motor Show, ketua kenderaan segmen kecil dan sederhana Mitsubishi, Hiroshi Yamauchi berkata kepada Car Advice, beliau mengesahkan versi Ralliart untuk model SUV Eclipse Cross mungkin boleh diperkenalkan, tetapi beliau menegaskan tidak akan ada lagi model Evolution.

    “[Ralliart boleh jadi] sebagai satu opsyen.” kata Yamauchi dan menambah “tetapi kami mahu mendapatkan maklum balas dari pasaran, selepas itu saya akan mengambil keputusan arah mana yang perlu dituju. Saya boleh menghasilkan [Ralliart], tetapi ia bergantung pada maklum balas pasaran.”

    Yamauchi juga menjelaskan Eclipse Cross tidak akan diberikan lencana Evolution (seperti yang diterima Pajero Evo sebelum ini) walaupun dengan ketiadaan Lancer kerana ia akan melibatkan proses ‘yang sangat jauh’. Ini kerana lencana Evo itu akan membawa kepada penghasilan model sport sebenar.

    Evolution XI mustahil, Eclipse Cross Ralliart mungkin akan dibina – ketua projek model Mitsubishi Motors

    “Versi Ralliart adalah salah satu opsyen, tetapi tiada perancangan untuk Evolution, kerana Evolution merupakan perkara yang berbeza dari sporty – ia jentera sport sebenar, bukan sekadar sporty,” jelas Yamauchi.

    Menurut beliau lagi, undang-undang emisi buat masa sekarang merupakan satu perkara lagi yang perlu diambil perhatian, yang mungkin akan menjadi penghalang kepada penghasilan kuasa lebih tinggi pada sebuah enjin turbo empat-silinder.

    “[Untuk versi Ralliart kami mahu] meningkatkan tork, untuk lebih sporty, itu jangkaan saya. Tetapi sudah tentu ekonomi bahan api lebih penting jadi saya tidak pasti arah mana yang betul untuk Eclipse Cross baharu.” kata Yamauchi dan turut membayangkan varian tiga-pintu untuk SUV tersebut turut akan dibina sekiranya permintaan pasaran cukup untuk mengesahkan kerja-kerja kejuruteraan semula boleh dilakukan kepada model berkenaan.

     
     
  • Pirelli perkenal tayar berwarna dan pintar di Geneva

    Pirelli perkenal tayar berwarna dan pintar di Geneva

    Pirelli tampil di Geneva Motor Show dengan dua teknologi tayar yang baru, dan pertamanya adalah tayar yang mempunyai garisan dan tulisan berwarna di bahagian tepinya. Rekaan ini boleh dikata mendapat inspirasi daripada kereta F1 kerana Pirelli adalah pembekal tayar yang berwarna di tepi sebagai tanda jenisnya, yang digunakan dalam perlumbaan tersebut

    Bagi tayar produksi ini, ia dicipta bagi memenuhi permintaan pelanggan masa kini yang mahukan lebih untuk personalisasi kenderaan mereka. Pirelli membangunkan tayar ini dengan bahan inovatif dan sistem perlindungan berkesan bagi memastikan warna tersebut dapat tahan lama dan terus terang sepanjang ia digunakan.

    Tayar berwarna ini ditawarkan untuk model P Zero dan Winter Sottozero, bermula dengan saiz 19 inci dan ke atas, dan pelanggan mempunyai pilihan empat warna iaitu merah, putih, kuning dan perak. Sekiranya mereka mahukan warna selain daripada itu, Pirelli juga boleh menerima tempahan berkenaan.

    Pirelli perkenal tayar berwarna dan pintar di Geneva

    Inovasi seterusnya yang dipamerkan oleh Pirelli adan Pirelli Connesso, iaitu tayar pintar, di mana dalam dinding tayar ini terdapat pengesan untuk memberikan informasi seperti status, penggunaan dan penjagaan tayar tersebut semasa digunakan, dan ia boleh dihubungkan dengan aplikasi khas kepada peranti personal.

    Menurut Pirelli, berat pengesan itu tidak akan memberi kesan kepada prestasi tayar, dan jika dibandingkan dengan sistem pemerhati tekanan tayar lain, Connesso ini boleh berfungsi sama ada waktu kenderaan sedang bergerak atau berhenti. Platform Pirelli Cloud menyokong penghantaran data daripada sensor ke aplikasi, dan pada masa hadapan ia boleh dimasukkan dengan servis lain.

    Ini termasuk membuat aturan berkenaan penukaran tayar baru atau tindakan penjagaan terus kepada kenderaan sewaktu ia sedang diletakkan di sesuatu tempat apabila penurunan tekanan angin dikesan. Sama seperti tayar berwarna tadi, Connesso juga akan ditawarkan bagi model P Zero dan Winter Sottozero, bagi saiz 19 inci ke atas.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.94 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.14 (+0.03)
Last Updated Aug 07, 2025