Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • JPJ keluarkan 965 saman dalam Op Khas Motosikal di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor malam tadi

    JPJ_roadblock_Motor

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengadakan Op Khas Motosikal di sekitar ibu negara dan Selangor malam tadi. Daripada 1,136 kenderaan yang diperiksa, sebanyak 965 daripadanya dikenakan saman pelbagai kesalahan, laporan laporan, Utusan Malaysia

    Menurut Pengarah JPJ Wilayah Persekutuan, Datuk Md. Ziki A. Rahman, 20 kenderaan telah di­sita di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 manakala 593 kes melibatkan kesalahan di bawah Peraturan 22 akta yang sama.

    “Empat kenderaan dikenakan perintah di bawah Seksyen 61(1) iaitu notis arah periksa kenderaan selain dua kes di bawah peruntukan Seksyen 63(1) yang menyebabkan lesen memandu ditahan kerana masalah berkaitan teknikal kenderaan,” ujarnya.

    Operasi yang bermula pukul 8 malam itu juga turut menahan lapan individu yang didapati positif dadah dan 40 kes di bawah Puspakom kerana kenderaan tidak diselenggara

    “Kesalahan paling banyak dilakukan adalah lesen memandu kompeten (CDL) tamat tempoh dengan 183 kes direkodkan, diikuti 178 kes tamat tempoh lesen kenderaan motor (LKM) dan tiada insurans manakala 63 kes membabitkan pemandu tanpa lesen CDL,” katanya.

    Menurut Md. Ziki, lain-lain kesalahan adalah 27 kes seperti tidak pamer ‘P’, tidak memakai tali pinggang keselamatan dan kesalahan teknikal.

    Sementara itu, Pengarah JPJ Selangor, Nazli Md. Taib memberi­tahu, pihaknya merekodkan 130 kes pemandu tiada lesen CDL diikuti 75 kes tamat tempoh lesen kenderaan motor (LKM) dan tiada insurans. Katanya, “Kita juga mengesan 59 kes lesen CDL tamat tempoh dan 28 kes kesalahan berkaitan nombor pendaftaran.”

     
     
  • Dilema seorang penunggang motosikal – Tentang keselamatan dan sikap pengguna jalan raya

    Kurang lebih sejak lima tahun lalu, saya jarang-jarang lagi menunggang motosikal. Tetapi, sebelum tempoh itu, motosikal menjadi sebahagian daripada denyut nadi dalam urusan harian; satu-satunya mod pengangkutan yang jimat dan pantas, terutama kalau ingin meredah di tengah-tengah Kuala Lumpur.

    Saya menunggang motosikal sebagai cara paling mudah untuk bergerak, sebagai pengguna biasa dan tidak lebih daripada itu. Hidupkan enjin, dan jalan. Oh, brek kena ‘makan’ juga, kalau tidak, parah.

    Lama dulu, motosikal Honda EX-5 saya hilang, dalam kawasan pagar rumah! Inilah antara masalah bila ada motosikal yang tahan lasak; orang suka curi. Motosikal gantian selepas mendapat pampasan insurans selepas itu ialah sebuah Modenas Kriss 110 terpakai. Lama juga menggunakannya. Tetapi, entah apa silapnya, Modenas Kriss berkenaan selalu ditimpa masalah.

    Macam-macam masalah mekanikal yang akhirnya menyaksikan ia hanya tersadai dan berhabuk di parkir bawah rumah pangsa tempat saya tinggal. Sudahnya, dalam keadaan rosak itu, saya jual kepada seorang yang tidak dikenali; cuma RM800 dan dia tersenyum puas. Sejak itu, saya tidak memiliki motosikal sendiri lagi.

    Pengalaman berada di atas jalan raya sebagai seorang penunggang motosikal pula ada waktunya sangat meresahkan. Saya pernah saksikan sendiri seorang penunggang wanita hampir dilanggar, hanya dipisahkan oleh jarak yang sangat-sangat tipis, oleh sebuah Proton Wira yang sengaja ingin melanggar lampu merah di persimpangan besar Kerinchi (berdekatan pintu masuk Universiti Malaya).

    Di dalam satu kejadian lain, saya juga pernah melihat bagaimana seorang penunggang skuter tersembam kerana motosikalnya melanggar air bertakung akibat banjir yang agak dalam, sementara motosikalnya pula separa ditenggelami air. Ini berlaku di laluan motosikal Lebuhraya Persekutuan arah Kuala Lumpur, betul-betul di persimpangan Jalan Templer.

    Federal-Highway-motorcycle-lane-107-850x531

    Saya sangat yakin penunggang-penunggang lain pasti pernah menyaksikan atau terlibat sendiri di dalam kejadian-kejadian yang lebih teruk daripada ini. Saya kembali memikirkan hal-hal ini sejak tergerak hati untuk memiliki semula sebuah motosikal. Kebetulan pula, minggu ini saya menerima beberapa buah motosikal bagi tujuan ulasan tunggang uji.

    Beberapa perkara yang saya sedari semula; untuk seorang penunggang biasa dan kurang pengalaman seperti saya berada di atas jalan raya, tak boleh teragak-agak atau takut-takut menunggang. Perlu yakin, tetapi jangan terlebih yakin. Kena peka selalu.

    Di dalam beberapa kesempatan juga, saya kembali menggunakan laluan motosikal di sepanjang Lebuhraya Persekutuan; sekitar Petaling Jaya, Subang Jaya dan Kuala Lumpur sendiri. Walaupun tidak dinafikan ia sangat berguna untuk mengasingkan pengguna motosikal daripada kenderaan lain, namun ada banyak perkara yang tidak menyenangkan tentang laluan ini. Saya tak yakin keadaannya kini lebih baik berbanding ketika saya kerap melaluinya sebelum ini.

    Federal-Highway-motorcycle-lane-106-630x394

    Permukaan jalan tidak sekata dan berlubang dan air bertakung masih ada di mana-mana. Tiang lampu yang sepatutnya memberi amaran untuk penunggang memerlahankan motosikal kerana ada selekoh atau terowong di depan, seperti yang terdapat berdekatan perismpangan Hotel Hilton Petaling Jaya juga tidak berfungsi.

    Laluan yang agak sempit (bayangkan jika anda menunggang motosikal yang saiz dan kapasiti enjinnya besar) juga mungkin menjadi sebab mengapa segelintir penunggang tidak mahu menggunakan laluan berkenaan dan masuk ke laluan utama lebuhraya itu. Ini belum lencongan yang asal boleh dan merbahaya pada sesetengah tempat.

    Jika beralih kepada laluan utama pula, ia mengundang bahaya yang lain pula. Saya menunggang motosikal, dan saya juga memandu kereta. Mungkin hal ini memberi sudut pandang yang agak berbeza ketika di atas jalan, harapnya menjadi satu kelebihan.

    Di laluan utama misalnya, seperti di Lebuhraya Persekutuan (penunggang motosikal tidak seharusnya berada dilaluan itu), saya selalu perhatikan pertimbangan penunggang motosikal adakalanya silap. Kita menganggap pemandu kereta dapat melihat kita selalu, tetapi itu sebenarnya silap. Dalam situasi biasa, seorang pemandu hanya akan mampu memberi reaksi yang wajar bila dia dapat melihat dan sedar kedudukan seorang penunggang. Jika anda mencelah dengan gopoh, berada di titik buta dan sebagainya, inilah antara hal yang akan mendatangkan masalah.

    Pucuk pangkal semua permasalahan ini sebenarnya sudah diketahui umum, iaitu sikap masing-masing dalam kalangan pengguna jalan raya. Saya akan mulakan dengan diri saya sendiri terlebih dahulu, baik sebagai penunggang motosikal mahupun ketika memandu kereta untuk selalu lebih mengutamakan keselamatan sendiri dan juga orang lain di sekeliling. Ketika berada di atas jalan raya, jangan kalut! Rileks-rileks sudah.

    Tonton juga video tunggangan kami di laluan motosikal Lebuhraya Persekutuan, dan lihat sendiri sama ada ia benar-benar selamat atau sebaliknya. Dan, jangan lupa kongsikan juga pandangan atau pengalaman anda berkenaan perkara ini. Kami sangat mengalu-alukan maklum balas anda.

     
     
  • Pahang tunggu JPJ warta siri nombor pendaftaran VIP

    rr-vip-plate

    Kerajaan negeri Pahang kini sedang menunggu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mewartakan penggunaan siri nombor pendaftaran kenderaan khas VIP sebelum mereka membuat permohonan rasmi kepada agensi berkenaan.

    Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail memaklumkan bahawa kerajaan negeri akan mengambil tindakan menguatkuasakan pemberian nombor itu selepas pewartaan dibuat oleh JPJ dan mendapat kelulusan daripada Kementerian Pengangkutan, seperti yang dilaporkan Bernama.

    “Kami belum buat secara rasmi. Kami difahamkan apabila diluluskan nanti, ia tidak hanya tertakluk kepada kelulusan sahaja, tetapi nombor pendaftaran berkenaan perlu diwartakan terlebih dahulu,” jelas beliau.

    Safian turut menambah, kerajaan negeri berharap segala urusan berkaitan nombor pendaftaran kenderaan khas VIP itu akan dapat diselesaikan sebelum Oktober tahun ini.

    Terdahulu, kerajaan negeri Pahang akan memperkenalkan penggunaan siri nombor pendaftaran kenderaan khas VIP 1 hingga VIP 9999 untuk mengumpul dana bagi tujuan promosi dan penganjuran Tahun Melawat Pahang 2017.

     
     
  • JPJ, PDRM dan SPAD akan bincang penyelarasan sistem saman selewat-lewatnya Jumaat depan

    AppleMark

    AppleMark

    Berikutan pengumuman yang dibuat oleh Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai sebelum ini, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan bertemu dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bagi membincangkan mengenai penyelarasan sistem saman untuk ketiga-tiga agensi itu, selewat-lewatnya pada Jumaat depan, menurut laporan Bernama.

    Menurut Ketua Pengarah JPJ Datuk Nadzri Siron, langkah penyelarasan sistem saman berkenaan akan membolehkan tindakan penguatkuasaan diambil secara bersepadu, terancang dan berkesan oleh JPJ, SPAD dan PDRM bagi mengelakkan pesalah jalan raya yang terlepas daripada penguatkuasaan undang-undang.

    “Ketika ini JPJ, SPAD dan PDRM mempunyai sistem berasingan dalam menjalankan operasi penguatkuasaan jalan dan ketiga-tiga agensi ini tidak mempunyai jalinan yang membolehkan untuk akses sistem saman antara satu sama lain dan perkara ini menimbulkan masalah untuk bertindak,” katanya.

    Beliau menjelaskan perkara berkenaan ketika ditanya mengapa tiada tindakan dari JPJ ke atas pemandu dan bas ekspres yang terlibat dalam kemalangan di KM265.8 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Terowong Menora dekat Ipoh baru-baru ini, berikutan pemandu dan bas berkenaan mempunyai saman tertunggak pelbagai kesalahan sejak 2011 lagi.

    Menurut Nadzri lagi, kesemua saman terhadap pemandu dan bas ekspres itu bukan daripada JPJ tetapi dikeluarkan oleh pihak polis.

    “Kesemua pemandu dan bas ekspres yang beroperasi di seluruh negara ketika ini bebas daripada senarai hitam jabatan itu,” kata Nadzri lagi.

    Setakat ini, saman yang dikeluarkan oleh JPJ terhadap bas ekspres berkenan, cuma atas kesalahan memandu melebihi had laju dan melanggar lampu isyarat di bawah Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES), jelas Nadzri.

    Seperti yang diketahui, terdapat kekangan bagi JPJ mengambil tindakan terhadap pesalah AES kerana sistem itu masih dalam proses pindaan untuk digabungkan dengan sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (Kejara).

    Bus-10-Cars-NSE

    Dalam perkembangan lain, pihak SPAD turut menyambut baik cadangan mengenai penyelarasan sistem saman yang membabitkan agensinya bersama JPJ dan polis itu.

    “Usaha bersepadu ini sangat baik dan sudah tentu kami menyokong, dan kami juga sebenarnya juga merangka penyelesaian seperti sistem bersepadu yang membabitkan tiga agensi penguat kuasa ini bagi mengelakkan pertindihan penguatkuasaan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif SPAD, Mohd Azharuddin Mat Sah.

    Buat masa ini SPAD sukar mengambil tindakan terhadap pemandu dan pengendali bas ekspres yang melakukan kesalahan trafik berikutan tidak mempunyai maklumat mengenai saman yang dikeluarkan oleh agensi penguat kuasa lain kerana ketiadaan sistem bersepadu

    “Justeru, SPAD akan mengeluarkan lesen kepada pengusaha bas ekspres berdasarkan rekod dan pemeriksaan kami sendiri yang didapati pemandu dan kenderaan itu tidak memiliki kesalahan jalan raya,” kata Azharudddin lagi.

    Pihak Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) pula berpendapat kemalangan yang kerap berlaku boleh mengikis keyakinan orang ramai untuk menggunakan perkhidmatan bas sebagai pengangkutan utama mereka.

    Presiden FOMCA Datuk Dr Marimuthu Nadason berkata kekerapan berlakunya kemalangan membabitkan bas, dikhuatiri menjejaskan usaha kerajaan untuk menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam terutamanya bagi perjalanan yang jauh dan ketika musim perayaan.

    bus crash bernama

    Menurut beliau lagi kerajaan serta agensi penguat kuasa perlu lebih tegas dalam melaksanakan tugas mereka kerana ia melibatkan keselamatan nyawa ramai penumpang dan pengguna memerlukan perkhidmatan pengangkutan awam yang diyakini selamat

    FOMCA juga berharap standard UNECE (Suruhanjaya Ekonomi Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Eropah) untuk perkhidmatan bas di Malaysia akan dikuatkuasakan secara meluas terutamanya tempat berlabuh, superstruktur dan tali pinggang keledar untuk penumpang.

    “Kemalangan bas ekspres akibat kecuaian dan tahap keselamatan yang rendah seperti masalah teknikal bas juga perlu disifarkan,” katanya lagi.

    Dalam pada masa yang sama Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros) telah pun menghantar sepasukan penganalisa kemalangan ke lokasi kejadian berhampiran Terowong Menora selain memeriksa bas yang terlibat dalam kemalangan itu.

    Ketua Pengarah Miros Prof Dr Wong Shaw Voon berkata pihaknya masih lagi menganalisis kemalangan itu, laporan lengkap akan diserahkan kepada Menteri Pengangkutan dalam masa terdekat.

     
     
  • Pengehad kelajuan bagi bas persiaran dan bas antara bandar perlu dikuatkuasakan segera – Liow

    bus crash bernama

    Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai menggesa penguatkuasaan terhadap pemasangan pengehad kelajuan bagi bas persiaran dan bas antara bandar perlu dilaksanakan segera.

    Beliau turut berkata, sistem itu pernah dilaksanakan seketika dahulu, dan kementeriannya telah mengarahkan Puspakom untuk memastikan semua bas persiaran dan bas antara bandar diperiksa dan perlu memasang sistem ini, laporan News Strait Times

    “Sistem ini sangat penting untuk memastikan semua bas tidak melebihi had laju yang ditetapkan,” ujarnya kepada pihak media.

    Dalam masa yang sama, beliau turut mengingatkan semua pengusaha bas supaya tidak menaikkan tambang apabila penguatkuasaan ini dilaksanakan sepenuhnya kelak.

    “Mereka tidak patut menaikkan kadar tambang kerana sistem ini hanya melibatkan kos yang minimal dan ia telah pun diperkenalkan beberapa tahun yang lalu. Cuma ini adalah masanya untuk kita menguatkuasakannya,” tegas Liow.

    Beliau turut menambah, pihaknya akan meminta nasihat daripada Puspakom bagi menetapkan masa yang diperlukan untuk semua pengusaha syarikat bas memasang sistem ini.

     
     
  • Toyota Calya – MPV yang diasaskan dari platform Perodua Axia dilihat sedang diuji di Indonesia

    Toyota-Calya-3

    Sedang kita hangat memperkatakan tentang sedan keluaran pertama keluaran Perodua di Malaysia – Bezza – yang diasaskan dari hatchback Perodua Axia, di Indonesia, Toyota Cayla iaitu MPV kompak yang diasaskan dari platform yang sama (Axia dikenali sebagai Toyota Agya dan Daihatsu Alya di Indonesia) dijumpai sedang diuji diatas jalan raya tanpa sebarang pelekat penyamaran.

    Imej dan video Toyota Cayla berkenaan telah disiarkan oleh AutonetMagz.com dan dikhabarkan bakal dilancarkan pada acara Gaikindo Indonesia International Autoshow (GIIAS) 2016 bulan hadapan. MPV kompak ini juga akan dilancarkan dibawah jenama Daihatsu dengan nama Sigra.

    Imej pertama Toyota Cayla ini telah bocor buat pertama kali di internet Mei lalu. Bersaiz lebih kecil dari Toyota Avanza, Cayla masih mampu untuk memuatkan tujuh tempat duduk, dan bakal bersaing dengan Datsun GO+ di pasaran Indonesia.

    Cayla mungkin merupakan versi produksi kereta konsep Daihatsu UFC-3 yang diperkenalkan pada Indonesia International Motor Show (IIMS) 2014 – yang dibina lebih kecil daripada Daihatsu Xenia, iaitu Toyota Avanza yang di rebadge.

    Seperti juga Datsun GO+ (dikenali sebagai GO+ Panca di Indonesia), Cayla dilaporkan dibina sebagai sebahagian dari program Low Cost Green Car (LCGC) Indonesia, yang memberikan insentif cukai kepada kereta dengan kecekapan bahan api yang tinggi berkapasiti maksimum 1.2 liter.

    Perincian untuk spesifikasi teknikal juga belum didedahkan, tetapi Cayla dijangka akan dikuasakan dengan enjin 1.2 liter empat silinder 3NR-FE dari Etios, berupaya menghasilkan kuasa 80 PS pada takat 5,600 rpm dan tork maksima 104 Nm pada takat 3,100 rpm. Ia juga dijangka akan dipadankan dengan sistem transmisi sama ada lima-kelajuan manual atau empat-kelajuan automatik, sama seperti Axia.

    GALERI: Daihatsu UFC-3 Concept di IIMS 2014

     
     
  • Jajaran LRT Ampang, Sri Petaling dihentikan seketika pada 16 Julai ini bagi naik taraf sistem operasi

    LRT-rail-pix-Bernama_PT_BM

    Prasarana Malaysia Berhad telah memaklumkan penggantungan sementara Transit Aliran Ringan (LRT) bagi jajaran LRT Ampang dan Sri Petaling pada 16 Julai ini bagi kerja-kerja perpindahan sistem isyarat tren sepenuhnya. Walau bagaimana pun, syarikat terbabit turut memberitahu, Rapid KL akan menyediakan perkhidmatan bas secara percuma untuk kemudahan para penumpang yang terjejas dengan penutupan kedua-dua stesen ini.

    “Kami akan menyediakan 70 buah bas di 16 zon bagi laluan dari stesen LRT Bandar Puteri, Kinrara BK5, Sri Petaling, Sungai Besi, Bandar Tun Razak, Cempaka, Pandan Indah, Maluri, Chan Sow Lin, Hang Tuah, Sentul Timur, PWTC, Bandaraya, Puchong Prima dan Putra Heights,” ujar Prasarana.

    Kesemua bas terbabit akan menuju ke stesen LRT Masjid Jamek dan berakhir di hab bas Pasar Seni, iaitu di bawah stesen LRT Pasar Seni.

    Menurut kenyataan itu juga, dengan perpindahan sepenuhnya sistem isyarat ini, sebanyak enam buah tren baharu akan mula beroperasi di antara Sentul Timur dan Putra Heights, yang bakal dinamakan secara rasmi sebagai LRT Petaling Line pada Sabtu ini.

     
     
  • Exco Kerajaan Negeri Terengganu menegaskan kutipan tol di LPT2 bukan keputusan tergesa-gesa

    LPT2 highway PT

    Kerajaan Negeri Terengganu menegaskan kutipan tol di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) bermula hari ini bukanlah keputusan tergesa-gesa yang diambil oleh Kabinet, lapor Bernama.

    Menurut Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Teknologi Hijau negeri, Ir Rosli Othman, pengguna telah menikmati laluan LPT2 sepenuhnya sejauh 184km dari Jabor di Pahang ke Kampung Gemuroh, Terengganu sejak ia dibuka pada 31 Januari tahun lalu.

    “LPT2 beroperasi di bawah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memerlukan kos operasi dan penyenggaraan. Jadi, kutipan tol ini untuk kos penyenggaraan dan menyediakan kemudahan lebih lengkap kepada pengguna seperti perkhidmatan peronda, kawasan rehat dan rawat (R&R) serta lain-lain kemudahan untuk keselesaan pengguna.

    “Saya yakin apabila pengurusan lebuh raya masuk, tahap keselamatan dan keselesaan R&R akan dapat ditingkatkan dan keputusan pembayaran tol ini bukanlah tergesa-gesa sebab kita bukannya baru buka LPT2 kepada orang ramai. Tetapi dah lebih setahun kita buka dan pembinaan lebuh raya ini dah makan masa selama 10 tahun dari dahulu hingga sekarang, kosnya juga telah meningkat berkali ganda,” jelas Rosli.

    Kadar caj tol yang dikenakan pada LPT2 ini adalah sama dengan kadar yang dikenakan pada LPT1 dari Kuantan ke Karak iaitu RM0.12 sen untuk sekilometer bagi kenderaan kelas satu iaitu kereta. Menurut Rosli kadar berkenaan masih relevan dan tidak membebankan pengguna.

    LPT2 dilengkapi dengan 10 persimpangan bertingkat, tiga R&R serta dua hentian sebelah mempunyai kemudahan seperti tandas, kedai makan dan surau yang sudah beroperasi sepenuhnya.

    “Di R&R kita ada semua kemudahan kecuali stesen minyak yang mana sekarang kita hanya ada stesen minyak sementara di R&R Kijal. Saya difahamkan sudah ada syarikat diberi kelulusan dan syarikat minyak ini dalam proses mendapatkan kelulusan tanah daripada kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan untuk pembinaan stesen minyak di R&R lain.

    “Saya yakin sekurang-kurangnya dua stesen minyak di R&R Perasing dan R&R Paka akan dibina dalam tempoh setahun setengah lagi untuk kemudahan pengguna sebab sekarang permohonan tanah sedang berjalan,” jelas Rosli.

    Rosli turut memberitahu kerajaan Pusat bersetuju untuk membayar balik tuntutan sebanyak RM1.83 bilion oleh kerajaan negeri atas kos pembinaan LPT2 berkenaan dan wang tersebut akan digunakan sebagai dana khas pembinaan LPT3.

    “Kerajaan negeri memang berharap mendapat semula pembayaran tersebut sebab kita berhasrat meneruskan pembinaan LPT3 dari Gemuroh ke Tumpat, Kelantan dan kita harap kita akan dapat gunakan sebahagian wang itu untuk pembinaan LPT3 bagi mengatasi masalah kesesakan jalan raya terutama pada musim perayaan,” katanya.

     
     
  • Honda Malaysia tanggung kos, turut panggil semula model yang dibawa masuk oleh pengimport luar

    Naza_Stream_1-2

    Selain mengeluarkan kenyataan berkaitan kesediaan stok beg udara Takata gantian semalam, Honda Malaysia turut mengumumkan untuk turut memanjangkan panggilan semula ke atas kenderaan Honda yang dibawa masuk oleh pengimport luar, atau model-model reconditioned yang terlibat. Ini bermaksud, semua model Honda yang bukan dibeli dari pengedar sah Honda Malaysia turut layak untuk gantian beg udara ini.

    Syarikat itu menasihatkan agar semua pemilik kenderaan yang terlibat untuk menghubungi pengedar sah Honda terdekat di seluruh negara dengan segera. Ini bagi mendapatkan maklumat lanjut berkaitan perkara yang perlu dilakukan bagi membolehkan kenderaan mereka dibaiki oleh Honda Malaysia secepat yang mungkin. Honda Malaysia akan menanggung segala kos gantian beg udara berkenaan.

    Sebelum ini, Honda Malaysia menyatakan syarikat itu kini sedang berusaha keras untuk mendapatkan stok bagi beg udara gantian itu secepat mungkin, dan menjangkakan akan mempunyai 100% stok tersedia pada pertengah Ogos nanti. Beg udara sebelah penumpang lebih sukar diperolehi. Untuk itu, kenderaan pelanggan yang sudah dipanggil semula dan melibatkan penukaran kedua-dua beg udara pemandu dan penumpang mungkin tidak dapat dilakukan serentak.

    Syarikat itu juga akan mengurangkan kemasukan kenderaan bagi penyelenggaraan cegahan menerusi pengedar mereka sehingga 50% bermula 20 Julai, untuk memberi ruang kepada lebih ramai pelanggan untuk menukar beg udara terlebih dahulu. Dalam situasi di mana Honda Malaysia tidak dapat menampung jadual penyelenggaraan bagi sesetengah kenderaan, tempoh selenggaranya akan dipanjangkan, dan ini akan diselarikan dengan tempoh jaminan kenderaan yang terlibat. Pusat servis sementara dan bergerak juga akan dibuka.

    Honda Malaysia menyeru pemilik kenderaan Honda yang terlibat di dalam panggilan semula ini membawa kereta mereka ini untuk dibaiki seberapa segera. Pemilik boleh memeriksa status panggilan balik semula melalui semakan VIN atas talian atau dengan menghubungi talian 1-800-88-2020 untuk maklumat lanjut, serta boleh juga mengunjungi pengedar sah Honda berdekatan.

     
     
  • JPJ ketuai sistem bersepadu penyelarasan penguatkuasaan saman bersama PDRM, SPAD – Liow

    liow tiong lai

    Sistem bersepadu penyelarasan penguatkuasaan saman telah diputuskan bakal diketuai oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) seperti mana yang disahkan oleh Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai semalam.

    Penyelarasan sistem tersebut juga disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bakal dilaksanakan dalam masa terdekat ini, laporan Bernama.

    “Saya sudah mengarahkan Ketua Pengarah JPJ Datuk Nadzri Siron supaya segera mengadakan perjumpaan dengan PDRM dan SPAD bagi membincangkan soal penyelarasan sistem saman ketiga-tiga agensi terbabit,” ujarnya kepada pihak media.

    Katanya lagi, langkah itu penting bagi memastikan penguatkuasaan jalan raya menjadi lebih berkesan tanpa berlaku sebarang pertikaian mengenai pertindihan penguatkuasaan daripada ketiga-tiga agensi berkenaan.

    “Sistem yang ada sekarang sama ada pihak polis, JPJ dan SPAD tidak diselaraskan kerana berasingan. Oleh itu, apabila ada tunggakan saman di pihak polis, JPJ tidak tahu, bila JPJ tidak ada maklumat ini, maka kita tidak dapat membantu polis menyenaraihitamkan lesen pemandu.

    “Kalau pihak polis saman sekali pun, kena hantar ke JPJ juga untuk kita buat senarai hitam lesen pemandu,” katanya.

     
     
  • Hyundai menunda projek trak pikapnya ke tahun 2020

    hyundai-santa-cruz-crossover-truck-concept-1

    Hyundai telah mendedahkan trak pikap konsep unibody Santa Cruz pada Detroit Motor Show 2015 yang lalu. Projek berkenaan kemudiannya dikatakan sedang dalam peringkat kelulusan. Terbaharu, laporan mengatakan projek trak pikap dari pengeluar automotif Korea ini telah ditunda.

    “Ia telah dianjakkan, sebagaimana yang kami faham. Tidak ada apa yang akan berlaku pada bahagian ini sehingga tahun 2020. Kami mempunyai perancangan pada lapangan di mana mereka memerlukan kenderaan ini secara serius, tetapi sehingga kini tiada lagi komitmen untuk memproduksinya. Saya tidak boleh mengesahkan apa dan bila, tetapi ia merupakan mesej yang berlainan. Bukan dalam masa terdekat tetapi kami mula merasakan ada perkembangan untuk perkara ini,” kata COO Hyundai Australia kepada Car Advice.

    Santa Cruz merupakan “trak crossover”, iaitu trak pikap unibody yang berkongsi ciri dengan SUV seperti Tucson dan bukan trak pikap yang lasak menggunakan asas binaan ladder frame seperti Toyota Hilux. Ia dibina dengan formula seperti Honda Ridgeline, yang merupakan trak pikap berasaskan platform dari kereta penumpang, iaitu crossover Honda Pilot yang dijual untuk pasaran Amerika Syarikat.

    Dalam bentuk konsep, Santa Cruz menampilkan enjin empat silinder turbo diesel 2.0 liter berkuasa 190 hp/406 Nm, dan didakwa dapat mencapai penggunaan bahan api 12.8 km untuk setiap liter.

     
     
  • Perodua umum tempahan untuk Bezza dibuka

    Open Booking 16 July 2016

    Perodua telah mengumumkan secara rasmi tempahan untuk model sedan pertama mereka – Bezza – akan dibuka bermula Sabtu ini, 16 Julai 2016.

    Pelanggan yang berminat untuk menempah model berkenaan bolehlah mengunjungi mana-mana 181 bilik pameran Perodua seluruh negara pada 16 Julai ini, serta turut berpeluang untuk meraikan sambutan Hari Raya menerusi acara rumah terbuka Aidilfitri Perodua yang turut diadakan pada hari tersebut.

    “Penantian sekian lama bakal berakhir tidak lama lagi setelah kami melancarkan sedan kami sendiri pada 21 Julai 2016 nanti. Sedan ini merupakan kemuncak kerjasama teknologi dan peralihan teknologi selama sedekad dengan rakan kami Daihatsu Motor Co. Ltd,” kata Presiden dan CEO Perodua, Datuk (Dr) Aminar Rashid Salleh.

    “Dengan tunjuk ajar dari mereka membolehkan kami sekarang berdiri di atas kaki sendiri dengan model baharu ini dan ia merupakan sebuah sedan yang memenuhi keperluan setiap rakyat Malaysia,” kata beliau.

    “Perodua sedan baharu, yang dinamakan Bezza, merupakan model transformasi kedua kami (selepas Axia) dan merupakan kereta yang bersedia untuk pasaran global dengan varian 1.3L Advance dilengkapi dengan ciri keselamatan terkini,” kata Aminar.

    Perodua Bezza di produksi di kilang Perodua Global Manufacturing Sdn Bhd yang diikitiraf sebagai kilang EEV, yang dilengkapi dengan fasiliti termoden yang menggunakan kadar automasi melebihi 75%.

    ik-perodua-bezza-fb

    Menurut Aminar nama sedan ini diinspirasikan dari perkataan Bahasa Malaysia iaitu ‘Beza’. Dan ini “merupakan apa sebenarnya sedan EEV pertama Perodua – yang jelas berbeza.” Huruf ‘Z’ berkembar dalam nama Bezza ini juga melambangkan angka 22 – Perodua telah pun berada dalam pasaran selama 22 tahun pada tahun ini.

    Tiga model Bezza akan ditawarkan semasa pelancarannya nanti iaitu model asas 1.0 liter Standard G, model pertengahan 1.3 liter Premium X dan model tertinggi 1.3 liter Advance.

    Model Standard G dan Premium X hadir dengan pilihan transmisi sama ada lima-kelajuan manual atau empat-kelajuan automatik, manakala model Advance hanya hadir dengan kotak gear automatik. Ini menjadikan Bezza mempunyai lima varian untuk dipilih secara keseluruhan.

    Enjin 1KR-VE pada Bezza berbeza dari enjin 1KR-DE2 pada Axia kerana ia dilengkapi dengan sistem VVT-i (sebelum ini dikenali sebagai DVVT), mempunyai nisbah mampatan yang lebih tinggi, daya geseran yang dikurangkan serta pembakaran dalam kebuk yang lebih efisien. Hasilnya enjin Bezza mampu menjana 67 hp pada 6,000 rpm/91 Nm pada 4,000 rpm berbanding Axia yang berkuasa 66 hp pada 6,000 rpm/90 Nm pada 3,600 rpm.

    Enjin 1.3 liter Bezza juga berbeza dari enjin 1.3 K3-VE Myvi (90 hp/117 Nm). Bezza menggunakan enjin 1NR-VE, (enjin yang sama menjana Toyota Avanza 1.3L) berkuasa 94 hp pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 121 Nm pada takat 4,000 rpm.

    Varian Advance turut dilengkapi Kawalan Stabiliti Kenderaan (VSC) serta Bantuan Mula Mendaki (HSA) yang akan menahan sedan ini selama dua saat dari tergelongsor kebelakang selepas pedal brek dilepaskan semasa mula untuk mendaki jalan curam.

    Kami telah pun menguji secara ringkas Perodua Bezza ini dilitar ujian Perodua di Rawang dan anda boleh membaca ulasannya pada pautan ini. Fakta perincian awalan untuk model ini juga boleh anda baca dipautan ini.

     
     
  • Nombor pendaftaran kenderaan siri V bagi KL boleh ditempah mulai 15 Julai ini sehingga 28 Julai 2016

    W1A (1)

    Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bakal mendapat Nombor Pendaftaran Kenderaan Siri V bagi menggantikan huruf ‘W’ yang digunakan sebelum ini.

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengumumkan siri pertama bagi huruf ‘V’ itu akan dibuka pada 15 Julai 2016 sehingga 12.00 tengahari 28 Julai 2016.

    Menurut kenyataan media tersebut, orang ramai boleh menyemak panduan dan syarat-syarat lanjut mengenai tempahan nombor plat ‘V’ menerusi laman web rasmi JPJ.

    Sebelum ini, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Aziz Kaprawi berkata abjad ‘V’ untuk Kuala Lumpur akan mula digunakan pada tarikh yang belum diumumkan selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri. Ini bermaksud nombor pendaftaran Wilayah Persekutuan yang menggunakan abjad pada penghujung nombor (diperkenalkan pada September 2013) tidak akan digunakan lagi.

    Menurut Aziz, orang awam lebih selesa dengan sistem nombor pendaftaran tradisional yang hanya menggunakan abjad pada permulaan nombor berbanding abjad pada permulaan dan penutup nombor. “Ini adalah berdasarkan banyak pembatalan dalam bidaan nombor pendaftaran KL buat masa sekarang. Jadi saya berharap abjad ‘V’, akan membuatkan orang ramai teruja,” kata beliau.

     
     
  • Mazda memperkenalkan teknologi SkyActiv-Vehicle Dynamic – G-Vectoring Control pada Mazda 3 facelift

    Jika anda seorang peminat manga atau siri anime Initial D, anda tentu biasa dengan aksi Fujiwara Takumi meletakkan secawan air pada pemegang cawan yang ditempatkan pada papan pemuka AE86 beliau, dan memandunya dengan laju tanpa menumpahkan sedikit pun air di dalam cawan tersebut. Aksi berkenaan sebenarnya menunjukkan bagaimana lancarnya teknik pemanduan Takumi dalam mengawal peralihan daya-G pada keretanya bagi mengekalkan pergerakan dinamik kereta agar sentiasa stabil sepanjang pemanduan.

    Tetapi, dengan teknologi automotif berkembang begitu pesat sekarang, cukuplah dengan teknik pemanduan ‘biasa-biasa, anda masih boleh memandu dengan lancar seperti pemandu profesional. Mazda kini telah mengumumkan teknologi G-Vectoring Control terbaharu mereka buat pertama kali yang diletakkan di bawah sistem SkyActiv-Vehicle Dynamic menerusi model Mazda 3 facelift yang baharu sahaja diperkenalkan.

    Teknologi baharu ini direka untuk meningkatkan deria pemandu terhadap hubungan mereka dengan kereta, seperti konsep yang digelar Jinba Ittai – iaitu hubungan yang menyatukan antara kuda dengan penunggang. Untuk mencapainya, teknologi ini menghubungkan kawalan antara enjin, transmisi, casis dan badan SkyActiv Mazda untuk memberikan perasaan yang lebih terus dan semula jadi kepada pemandu.

    Untuk teknologi G-Vectoring Control (GVC), tiada komponen hardware ditambah, di mana sistem ini masih menggunakan penggerak dan penderia sedia ada untuk sistem dinamik pemanduan lain seperti ABS-EBD, VSC dan sebagainya. Ia cuma menerima perisian baharu yang akan mengawal tork dari enjin berdasarkan input dari tindak balas stereng, untuk mengawal daya-G arah sisi dan arah membujur.

    P1J12779s_BM

    Secara asasnya, ia berfungsi seperti sistem kawalan cengkaman di mana sistem berkenaan akan memotong kuasa dari enjin apabila mengesan kenderaan mula kehilangan cengkaman. Untuk sistem GVC pula, ia akan mengawal pendikit enjin – dan mungkin akan menambah kuasa jika perlu – untuk mengoptimakan beban pada setiap roda, menjadikan pergerakan kenderaan yang lebih lancar dan lebih cekap.

    Apabila pemandu menghampiri selekoh dan mula memusingkan roda stering, GVC akan memotong tork dari enjin. Ini akan menyebabkan berat dan daya-G dari belakang dialihkan kehadapan seterusnya meningkatkan cengkaman pada roda hadapan, dan turut meningkatkan tindak balas kereta. Ini akan mengelakkan pemandu dari membuat pembetulan stereng yang tidak perlu semasa mula memusing stereng, yang akan menyebabkan pergerakan seperti jongkang-jongkit.

    Setelah pemandu selesai masuk ke selekoh dan mengekalkan sudut pusingan stereng yang malar, tork dari enjin akan disalurkan semula untuk mengalihkan berat dan daya-G kembali ke bahagian belakang, seterusnya meningkatkan kestabilan kereta. Hasilnya, pergerakan kereta akan dirasakan lebih mudah untuk diagak semasa mula masuk dan keluar semula dari selekoh, serta input dari stereng akan menjadi lebih lancar.

    Menurut Mazda, helah sebenarnya yang digunakan dalam G-Vectoring Control ini adalah, sistem berkenaan bertindak balas dengan cepat dan tepat sehingga pemandu tidak sedar kesannya – ketika nyah pecut bacaan daya-G dicatatkan pada atau di bawah 0.01G. Sistem ini membolehkan perasaan semula jadi ketika memandu kereta berkenaan dipertingkatkan, sebagaimana ia bertindak balas bersama dengan deria manusia.

    01_W_E_text_160426

    Sistem ini turut mempertingkatkan kestabilan dalam laluan lurus. Kita mungkin tidak sedar, walaupun dalam laluan lurus, kita masih lagi membuat pembetulan pada roda stereng. Pembetulan ini walaupun dilihat begitu kecil, ia akan mendatangkan kelesuan kepada pemandu terutamanya dalam jarak perjalanan yang jauh.

    GVC juga mempertingkatkan kesan terhadap pembetulan stereng yang kecil, seterusnya mengurangkan jumlah pembetulan roda stereng yang perlu dilakukan. Peralihan daya-G yang lebih lancar turut mengurangkan pergerakan badan dan kepala penumpang dalam kenderaan, seterusnya memberikan perjalanan yang lebih selesa untuk semua orang di dalam kereta.

    Mazda turut menambah, kerana sistem ini telah pun mempertingkatkan pengendalian dan kestabilan menerusi beban menegak pada tayar yang dioptimakan, ia akan lebih efektif jika digunakan dalam keadaan jalan yang basah atau bersalji, serta permukaan jalan yang teruk dan dapat menstabilkan kenderaan semasa pergerakan mengelakkan halangan yang dilakukan secara agresif. Sistem ini menawarkan perasaan ketika memandu yang lebih bagus serta cengkaman tayar pada jalan yang lebih baik dalam apa jua keadaan, memberikan perasaan selamat yang lebih terjamin.

    GALERI: Mazda 3 facelift 2016

     
     
  • CEO Aston Martin periksa sendiri 1,000 unit DB11

    001-aston-martin-db11-1

    Andy Palmer, Ketua Pegawai Eksekutif Aston Martin akan memeriksa sendiri 1,000 unit pertama model Aston Martin DB11. Ini adalah sebagai tanda terima kasih dan bagi memastikan kumpulan pertama model berkenaan dikeluarkan tanpa sebarang kekurangan.

    Turut akan disertakan ialah lencana khusus pada bahagian enjin dalam jumlah terhad terbabit. Aston Martin DB11 merupakan model yang sangat penting bagi pengeluar British itu memandangkan ia adalah model serba baharu yang dikeluarkan sejak Palmer menggalas jawatan berkenaan pada 2014.

    DB11 ialah model kesepuluh di dalam barisan kenderaan ikonik DB yang dikeluarkan oleh Aston Martin, bermula dengan DB1 yang diperkenalkan pada 1984. Memandangkan siri DB ini yang paling berjaya dalam sejarah pengeluaran kenderaan syarikat itu, jangkaan terhadap DB11 oleh pemerhatinya sangat tinggi.

    Ini bukanlah kali pertama seorang Ketua Pegawai Eksekutif syarikat automotif mengambil langkah yang luar biasa untuk memastikan pengeluaran modelnya menjadi sangat sempurna. Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Tesla, Elon Musk dilaporkan pernah tidur di atas lantai kilangnya semata-mata untuk berbuat yang terbaik ketika ingin memperkenalkan Tesla Model X.

    Di Malaysia, Aston Martin Kuala Lumpur baru sahaja membuka bilik pameran sementaranya di Jalan Ampang.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025