Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Infiniti akan perkenal enjin petrol lebih berkuasa dan jimat, bakal melengkapi model gantian QX50 baharu

    infiniti-qx-sport-05-850x451

    Infiniti bakal menambah barisan enjin pada kenderaannya untuk kekal bersaing di dalam pasaran premium. Yang dipertaruhkan adalah sebuah enjin petrol revolutionary baharu yang menggabungkan kuasa enjin V6 dengan penjimatan enjin diesel. Dijangkakan juga sebuah crossover saiz pertengahan baharu yang bakal menggantikan QX50.

    Turut dalam proses pembangunan ialah sistem bantuan pemandu yang lebih cekap termasuk pemanduan automatik bagi seluruh barisan kenderaan yang dikeluarkan sekarang hingga 2020 nanti. Syarikat itu mendakwa mereka menjadi yang pertama melancarkan Lane Keep Assist pada 2001 dan Lane Departure Warning pada 2004, termasuk sistem steer by wire pada 2014.

    Tidak banyak yang diketahui berkenaan enjin baharu itu. Namun, menurut Autocar UK, ia akan menampilkan teknologi nisbah mampatan boleh ubah pertama di dunia, dan kini semakin menghampiri pengeluarannya. Enjin baharu berkenaan, yang didakwa bakal menawarkan pelbagai peningkatan dan kehalusan buatan, akan menjadi nadi crossover baharu yang sedang dibangunkan.

    QX50 versi baharu pernah dipertontonkan dalam rupa sebuah model konsep, QX Sport Inspiration Concept (galeri) yang dipertontonkan awal tahun ini ketika di pameran permotoran Beijing. Ia dijangka akan dikeluarkan hujung 2017 atau awal 2018.

    Jenama premium bagi Nissan ini baru sahaja mencatat pencapaian terbaiknya di Eropah, dengan 9,535 kenderaan terjual. Ia adalah 177% peningkatan berbanding tahun sebelumnya. Kedua-dua model Q30 hatchback dan crossover kecil QX30, yang dibangun menggunakan platform Mercedes-Benz A-Class, menerajui pencapaian itu.

     
     
  • Perbezaan warna pada bahan api hanya pewarna semata-mata, tiada kaitan dengan prestasi – pakar

    Kebelakangan ini, viral berkenaan perbandingan warna antara petrol berlainan jenama muncul kembali di laman sosial. Perkongsian dari laman Facebook oleh Imran Suhaimi diatas yang sebenarnya telah dimuat naik sejak tahun lalu, kini dikongsi secara aktif kembali, sekaligus mendatangkan kekeliruan kepada orang ramai berkenaan kualiti petrol sesebuah jenama.

    Tahun lalu, sebuah video yang dimuat naik di internet menjadi viral memaparkan perbandingan warna petrol RON 97 dari dua buah stesen petrol berlainan jenama dan mendakwa kedua-duanya berbeza kualiti seterusnya memberi kesan kepada kadar penggunaan bahan api. Isu ini menyebabkan jurucakap dari sebuah syarikat minyak utama bersuara dengan mengatakan pewarna yang digunakan pada petrol tidak menjejaskan kualiti produk mereka.

    Jurucakap berkenaan memberitahu The Star bahawa warna semula jadi pada petrol dan diesel adalah kuning cerah. “Seperti yang ditetapkan oleh pihak berkuasa, pewarna pada bahan api perlu ditambah untuk tujuan pengenalan kepada berberapa gred dan jenis bahan api,” kata mereka. “RON 97 diwartakan perlu diwarnakan dengan warna merah di Malaysia, manakala untuk RON95 ia perlu diwarnakan dengan warna kuning. Pewarna yang digunakan dalam petrol tidak mempunyai kesan kepada kualiti bahan api serta prestasi enjin.”

    RON-95-Petrol

    Pandangan ini adalah senada dengan pakar dalam industri, yang mengatakan perbezaan warna antara petrol RON97 adalah kerana perbezaan jumlah pewarna yang digunakan, yang berkadar antara lima bahagian setiap juta (ppm) dan 18 ppm.

    Kaedah suntikan pewarna – yang dilakukan secara automatik atau secara campuran pukal – juga menyebabkan perbezaan kepada ton warna, kata beliau, dan turut menambah perbezaan warna mungkin juga kerana bahan api berkenaan dibekalkan dari terminal berbeza. Kesimpulannya, pewarna tidak mempunyai sebarang kesan kepada kualiti bahan api.

    Akhir sekali, Naib Presiden Persatuan Pengedar Petrol Malaysia (PDAM) Datuk Zulkifli Mokti berkata bahawa jika seseorang itu merasakan kelainan pada prestasi bahan api, mereka perlu menghantar contoh bahan api berkenaan ke makmal kimia untuk diperiksa.

    RON_95_vs_RON_97_Fuel_Test_Malaysia_ 018

    “Ambil contoh petrol berkenaan dan hantarnya untuk pemeriksaan kimia serta buat laporan kepada Sirim, selepas itu mereka akan memeriksanya,” kata beliau. “Apabila berkaitan dengan warna, bercakap berkenaan prestasi, ia agak susah untuk diperkatakan. Jika ada perbezaan kecil, anda tidak akan mengetahui atau merasakannya kecuali anda menggunakan tolok.

    “Agak sukar untuk mengatakan sama ada ia bagus atau tidak, sama ada ia bercampur atau tirus atau tidak. Anda perlu menghantarnya ke makmal untuk diperiksa sama ada ia mempunyai masalah atau tidak.”

     
     
  • Perbincangan mengenai implementasi biodiesel B10 bersama pengeluar kenderaan 19 Julai ini – KPPK

    biodiesel

    Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) akan mengadakan perbincangan dengan pengeluar kenderaan esok mengenai isu implementasi penggunaan biodiesel B10.

    Menurut Menteri KPPK Datuk Seri Mah Siew Keong, “Kami memahami kebimbangan yang disuarakan oleh beberapa pengeluar kenderaan mengenai isu penggunaan biodisel B10 ini. Justeru, satu pertemuan akan dilangsungkan esok bagi membincangkan isu ini,” ujarnya kepada pihak media, laporan The Sun.

    Sebelum ini, beberapa pengeluar kenderaan termasuk BMW Malaysia, Isuzu, Toyota dan Volkswagen telah menyuarakan kebimbangan mengenai penggunaan biodiesel ini. Kontroversi ini bertambah rumit apabila Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah menghantar surat kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), mendakwa penggunaan biodiesel bergred lebih tinggi dari B7 akan menyebabkan asid tebal metil ester (FAME) bercampur dengan minyak pelincir, seterusnya menyebabkan minyak pelincir tersebut menipis dan berkemungkinan besar menghasilkan enap cemar (sludge) di dalam enjin.

    2016-Malaysian-Bio-diesel-Camerons-drive-2-e1459475144369

    Walau bagaimana pun, Persatuan Biodiesel Malaysia (MBA) menyanggah dakwaan itu dan berkata, tiada masalah pada enjin untuk kenderaan yang menggunakan biodiesel dengan adunan lebih tinggi dari 7%. Kenyataan tersebut dibuat selepas kebimbangan yang dinyatakan oleh pengeluar-pengeluar kenderaan berhubung implementasi biodiesel B10 untuk sektor pengangkutan di Malaysia.

    Antara penjelasan yang dibuat adalah biodiesel boleh digunakan di kawasan tanah tinggi seperti Cameron Highlands di mana cold filter plugging point (CFPP) biodiesel B10 dicatatkan di bawah 12 darjah selsius iaitu suhu paling rendah dicatatkan di Cameron Highlands, dan mendapan pada PME adalah lebih dibimbangi dalam kawasan beriklim sederhana berbanding negara bercuaca tropika seperti di Malaysia.

    Menurut MBA lagi, penggunaan biodiesel B10 mempunyai kelebihan untuk meningkatkan pelinciran pada diesel Euro 5 yang mempunyai kandungan sulfur lebih rendah. Difahamkan pengecualian akan diberikan pada stesen minyak di kawasan tanah tinggi iaitu di Cameron Highlands, Genting Highlands dan Kundasang di Sabah, untuk penjualan biodiesel B10 ini.

    Sebelum ini, KPPK telah mengumumkan peralihan penggunaan diesel B7 kepada biodiesel B10 (adunan 10% minyak kelapa sawit metil ester dengan 90% diesel petroleum), bermula Jun lalu di semua stesen minyak seluruh negara.

     
     
  • Heico Sportiv tawar pakej peningkatan kuasa untuk model diesel Volvo S90 dan V90 – 258 hp, 519 Nm

    heico-sportiv-tuning-package-for-the-volvo-s90-v90-e1468823054374-850x334_BM

    Apabila berbicara tentang kuasa dan prestasi untuk Volvo S90, V90 dan XC90, seringkali ia dikaitkan dengan unit janakuasa paling bertenaga siri model berkenaan iaitu varian T8 Twin Engine. Walau bagaimanapun, Heico Sportiv – salah sebuah jenama penala yang dikaitkan terus dengan Volvo – hadir dengan pakej talaan peningkatan kuasa untuk model yang agak popular iaitu varian diesel.

    Pakej talaan yang hanya melibatkan penukaran kotak komputer enjin dari Heico untuk enjin diesel D5 berkenaan mampu melonjakkan kuasa sehingga 258 hp dan tork maksima 519 Nm, mengekstrak 23 hp dan 39 Nm lebih dari kuasa asal. Karekteristik pada kuasa ini turut dihasilkan dari teknologi Power Pulse dari Volvo sendiri, yang menghasilkan kuasa pada tahap kelajuan enjin rendah untuk lebih kuasa pecutan dari kedudukan pegun.

    Heico Sportiv walau bagaimanapun tidak menawarkan angka prestasi yang muktamad untuk peningkatan kuasa pada model diesel ini, tetapi mengatakan “peningkatan kuasa yang jelas pada kelajuan enjin di tahap pertengahan dan tinggi” boleh dijangkakan.

    Pakej talaan ini dijual pada harga €2,425 (RM10,660) dan Heico Sportiv mengatakan pakej berkenaan tidak akan menjejaskan tahap emisi enjin dan juga jarak antara servis. Tambahan lagi, pakej ini turut diberikan perlindungan waranti selama 150,000 km, dan Heico turut bercadang untuk menawarkan pakej serupa bagi model Volvo D4, T5, T6 serta T8 pada masa akan datang.

     
     
  • Lampu isyarat baharu di persimpangan Jalan Gasing

    petaling-jaya-one-way-loop

    Persimpangan paling sibuk di Jalan Gasing, berdekatan Gereja Glad Tiding, akan dipasang lampu isyarat baharu bagi memudahkan aliran trafik keluar dari kejiranan seksyen 10 dari Jalan 10/1 di Petaling Jaya.

    Penghuni di kejiranan berkenaan berdepan kesukaran untuk keluar dari Jalan 10/1 pada waktu puncak disebabkan jumlah lalu lintas yang tinggi di Jalan Gasing. Untuk mengatasi masalah itu, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) merancang untuk memasang lampu isyarat di persimpangan yang dimaksudkan, seperti yang dilaporkan The Star.

    Datuk Bandar, Mohd Azizi Mohd Zain berkata, lampu isyarat itu akan memudahkan semua pengguna yang ingin memasuki Jalan Gasing, bagi mereka yang ingin membelok ke kanan dan pengguna yang ingin menyeberang ke laluan bertentangan dari Jalan 10/1.

    “Warga penghuni di kejiranan seksyen 10 sudah memaklumkan kepada saya berkenaan masalah ini, begitu juga dengan ibu bapa pelajar di sekolah menengah Katolik berdekatan yang turut meminta perkara yang sama. Saya fikir sudah sampai masa untuk kami memasang lampu isyarat di situ.

    “Maklum balas membina seperti ini sangat baik. Ada waktunya, saya tidak memerlukan surat rasmi. Hanya perbualan ringkas dan keperluan penduduk sudah dapat saya fahami,” ujar Azizi. Menurut beliau lagi, Jalan Gasing, jalan dua hala yang pertama dibangunkan di Malaysia pada 1960 kini semakin sesak.

    Pengguna jalan raya menggunakan Jalan Gasing untuk tembus ke Lebuhraya Persekutuan dan Jalan Universiti. Selebihnya menuju Jalan Changgai, Jalan Templer dan juga ke arah Jalan Klang Lama.

    Bulan lalu, OCPD Petaling Jaya, ACP Mohd Zani Che Din mencadangkan lampu isyarat sebagai langkah kekal penyelesaian keadaan lalu lintas di Jalan Gasing di persimpangan Jalan 10/1.

    Selain itu, MBPJ turut akan memperbanyakkan tempat parkir kereta yang terletak berhampiran Jalan 10/1 berkenaan, di bawah pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB), untuk disambungkan ke Jalan 10/7. Dengan capaian laluan baru itu, tempat letak kereta percuma turut akan ditambah.

     
     
  • Mazda CX-5, 6 SkyActiv-D diesel berharga RM166k dan RM209k; dilancarkan bulan ini – pengedar tempatan

    Mazda CX-5 dan 6 SkyActiv-D diesel bakal dilancarkan di Malaysia pada bulan ini, menurut pengedar Mazda tempatan. Malah harganya juga telah didedahkan menerusi laman Facebook Mazda – Sales Promo & News.

    Bagi CX-5, ia bakal dijual pada harga RM166,335.71, iaitu lebih RM6,519.81 daripada model CX-5 2.5L 2WD sedia ada yang dijanakan oleh enjin petrol. Bagi Mazda 6 diesel pula, dikatakan harganya RM208,789, iaitu lebih RM8,445.22 berbanding Mazda 6 2.5L sedan petrol. Difahamkan, ia adalah harga atas jalan berserta insurans.

    Kedua-dua model dikuasakan oleh enjin diesel 2.2 liter turbo-berkembar SkyActiv-D empat-silinder sebaris, dipadankan dengan transmisi automatik SkyActiv-Drive enam-kelajuan. Enjin ini boleh menghasilkan kuasa 172 PS pada 4,500 rpm dan tork 420 Nm pada 2,000 rpm.

    Walau bagaimana pun, bagi CX-3 dan 2 diesel, tidak dinyatakan lagi harganya untuk pasaran tempatan. Kedua-duanya dijanakan oleh enjin diesel 1.5 liter SkyActiv-D empat-silinder dengan padanan transmisi automatik enam-kelajuan.

     
     
  • Rapid Penang guna bas dua tingkat mulai 20 Julai ini

    Rapid-KL-Double-Decker-Bus-02

    Rapid Kuala Lumpur juga telah menggunakan bas dua tingkat

    Rapid Penang bakal menggunakan perkhidmatan bas dua tingkat mulai 20 Julai ini. Namun buat masa ini, perinciannya terutama maklumat perjalanannya hanya akan didedahkan pada majlis pelancarannya yang bakal disempurnakan oleh Yang di-pertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas rabu ini.

    Menurut laporan, The Star, Rapid Penang telah pun menguji bas dua tingkat di jalan raya sekitar Esplanade pada pagi semalam dan akan meneruskan ujian di jalan raya pada hari ini dan esok.

    Pada tahun lalu, Prasarana Malaysia Sdn Bhd berkata, pihaknya telah mengkaji untuk memperkenalkan perkhidmatan bas dua tingkat di Pulau Pinang selepas ia dilancarkan di Kuala Lumpur. Syarikat terbabit juga berkata, sebanyak 46 laluan bagi bas Rapid Penang dianalisis di negeri berkenaan sebelum keputusan dimuktamadkan.

    Laporan tersebut turut menyebut, penggunaan bas dua tingkat mampu mengangkut penumpang lebih 40$% berbanding bas biasa. Setiap bas dua tingkat mampu mengangkut sehingga 120 penumpang dalam satu masa.

    Seramai 8,000 penumpang menggunakan perkhidmatan Rapid Penang setiap hari, dengan jumlah keseluruhan direkodkan sebanyak 31 juta sejak ia diperkenalkan.

     
     
  • Kerajaan akan membuka tender untuk projek HSR dalam tempoh setahun – Menteri Pengangkutan

    hitachi-bullet-train

    Kerajaan menjangkakan tender Projek Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) dari Kuala Lumpur ke Singapura akan dibuka dalam tempoh setahun, menurut laporan The Star. Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata kementeriannya sedang menumpukan perhatian untuk menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) projek berkenaan esok, 19 Julai 2016.

    “Setelah memorandum berkenaan ditandatangani, pihak berkuasa akan menyediakan dokumen tender tersebut. Tender akan dibuka dalam tempoh setahun,” kata beliau. “Banyak syarikat antarabangsa telah menunjukkan minat mereka dalam projek ini dan kami mengalu-alukannya. Ini merupakan projek yang pentng dan berprestij kerana ia merupakan yang pertama dalam rantau ASEAN. “Kami akan mendapat lebih perinciannya pada 19 Julai. Kementerian Pengangkutan akan memberikan sokongan penuh keatas projek berkenaan.”

    Liow berkata bahawa projek berkenaan akan meningkatkan pembangunan ekonomi kepada Malaysia dan Singapura, dan menambah kawasan seperti Seremban, Ayer Keroh, Muar, Batu Pahat dan Iskandar Puteri akan menerima perubahan yang lebih ketara setelah ditempatkan stesen HSR.

    Ia juga didakwa akan membawa lebih projek pembangunan berdasarkan transit yang akan membangunkan pekan dan bandar sepanjang laluan berkenaan. “Kami mahu ia dihubungkan dengan pengangkutan moden seperti LRT dan MRT sebagai sebahgian dari program transformasi,” katanya.

    Laluan berkembar HSR yang dicadangkan, sepanjang 350 km, akan menghubungkan Bandar Malaysia di pinggir Kuala Lumpur dan Jurong East di Singapura. Projek berkenaan bakal memendekkan masa perjalanan dari Singapura ke Kuala Lumpur dari empat jam dengan menaiki kereta kepada hanya 90 minit, yang dilaporkan sebelum ini bakal menelan belanja sekitar RM60 bilion hingga RM65 bilion.

    Laporan sebelum ini juga menyebut banyak negara luar seperti China dan Korea Selatan sedang berusaha untuk mendapatkan tender pembinaan projek berkenaan.

     
     
  • SIC cari pelaburan RM1.13b, tambah kemudahan Litar Sepang, kurang bergantung kepada sukan permotoran

    2016-Sepang-International-Circuit-renovation-18-850x567

    Bagi tempoh lima hingga tujuh tahun akan datang, Sepang International Circuit Sdn Bhd (SIC) akan melaburkan sejumlah RM1.13 bilion bagi sebuah rancangan menyeluruh untuk mengubah Litar Sepang menjadi sebuah hab hiburan bersepadu.

    The Sun melaporkan, Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Ahmad Razlan Ahmad Razali berkata, rancangan menyeluruh itu akan dijalankan di atas tanah berkeluasan 156 hektar milik SIC yang belum dibangunkan. Ia sebahagian daripada 270 hektar tanah SIC di Sepang, yang mana 114 hektar daripadanya sudah digunakan untuk membina litar, bangunan dan kemudahan lain.

    “Kos jangkaan pembangunan itu nanti, yang turut akan melibatkan hab hiburan, hotel, aspek kejuruteraan serta kemudahan pemanduan lanjutan adalah sekitar RM1.13 bilion, dengan nilai pembangunan kasar berjumlah RM2.6 bilion serta 1,000 peluang kerja yang akan tersedia,” katanya.

    Selepas ditutup tiga bulan bagi kerja-kerja naik taraf permukaan litar baharu, kini SIC sedang giat menaik taraf pula kemudahan di kawasan paddock bagi pasukan F1 dan MotoGP, pembinaan paddock baharu di bahagian selatan, mengemas kini litar go-kart serta membina kemudahan pemanduan lanjutan.

    Memandangkan kos rancangan menyeluruh yang diperlukan adalah sangat besar, Razlan menjelaskan SIC akan menumpukan terlebih dahulu kepada projek-projek yang boleh dijalankan menggunakan sebahagiannya daripada kewangan dalaman SIC sendiri.

    Bagi pembiayaan keseluruhan berkenaan, menurut Razlan 80% daripada projek-projek yang terlibat akan dibiayai menggunakan pinjaman bank dan selebihnya adalah daripada kewangan dalaman SIC. Syarikat berkenaan kini memiliki RM60 juta di dalam simpanan, yang mencukup untuk membiayai projek-projeknya bagi tempoh satu atau dua tahun akan datang.

    “Setakat ini, SIC tidak mempunyai sebarang pinjaman bank. Jadi, ia adalah kali pertama kami meminjam wang dari bank. Bagi bahagian pembangunan yang lebih besar, seperti taman tema dan kemungkinan membina hotel, kami akan mendapatkan bantuan kewangan yang lebih daripada sekadar pihak bank. Kami sedang cuba menarik perhatian pelabur, operator, rakan kongsi serta rancangan usaha sama dan sebagainya. Sebelum ini, semuanya dibiayai sendiri oleh SIC,” jelas Razlan.

    “Kajian pelaksanaan terhadap pembinaan hotel juga sedang dijalankan, dan akan selesai bulan ini (Julai). Kami berharap akan dapat memulakan projek hotel ini dalam suku pertama 2017, dan akan dibiayai sebahagiannya menggunakan kewangan dalaman,” tambah beliau.

    Setelah semuanya selesai dan mula beroperasi nanti, SIC berhasrat ingin mengurangkan kebergantungan SIC terhadap sukar permotoran. Jangkaannya, 40% pendapatan masih akan disumbangkan oleh F1 dan MotoGP, manakala 60% lagi daripada aktiviti tidak berkaitan sukan permotoran. Ketika ini, F1 dan MotoGP menyumbang di antara 50% hingga 55% pendapatan keseluruhan SIC.

    “Sekarang adalah masanya untuk melihat kepada kelangsungan jangka masa panjang SIC. Kami tidak boleh lagi bergantung sepenuhnya kepada F1 dan MotoGP dan merancang untuk meningkatkan pendapatan daripada aktiviti selain sukan permotoran. Kami tidak boleh mengandaikan bahawa kerajaan akan mendanai acara berkenaan selamanya,” tambah Razlan.

     
     
  • BMW 1 Series Sedan didedahkan – eksklusif untuk pasaran China sahaja, mungkin pacuan hadapan

    bmw-1-series-sedan-e1468809980135_BM

    BMW telah memperkenalkan BMW 1 Series Sedan, yang sebelum ini telah diprebiu dan dikenali sebagai Concept Compact Sedan semasa Guangzhou Auto Show 2015. Menurut BMW, sedan empat-pintu berkenaan hanya dipasarkan secara eksklusif untuk pasaran China sahaja.

    Sedan 1 Series ini dibina dengan kerjasama bersama rakan kongsi BMW di China iaitu Brilliance Auto, dan akan diproduksi di China bersama X1 dan 2 Series Active Tourer yang turut diproduksi secara tempatan.

    Model 2 Series dibina berasaskan platform pacuan hadapan UKL yang turut menjadi asas kepada model-model MINI, dan ini merupakan petunjuk 1 Series Sedan mungkin merupakan model sedan pertama pacuan hadapan dari BMW, walaupun syarikat berkenaan masih belum mengesahkan perkara ini. Model BMW 1 Series sedia ada (F20) ditawarkan di sini sebagai sebuah model hatchback pacuan roda belakang.


    Model Concept Compact Sedan

    Tambahan lagi, BMW turut tidak mendedahkan lagi apa-apa informasi berkenaan unit janakuasa serta dimensi sedan baharu ini. Syarikat berkenaan hanya menyatakan “enjin terbaharu yang berkuasa dan teknologi terunggul dilengkapi dengan sistem berteknologi tinggi” akan ditawarkan, dibina di kilang enjin baharu mereka di Shenyang.

    Model 1 Series Sedan ini dijangka merupakan model pacuan hadapan, dan berkemungkinan pilihan enjinnya terdiri dari enjin 1.5 liter turbo tiga-silinder (seperti pada model MINI Cooper F56) dan enjin 2.0 liter B48 turbo empat silinder (dari Mini Cooper S), dipadankan dengan pilihan kotak gear sama ada enam kelajuan manual atau enam- dan lapan-kelajuan automatik.

    BMW menyatakan model baharu ini mendapat faedah dari penyertaan jurutera dari China untuk memastikan ia sesuai dengan keadaan jalan serta keadaan cuaca pada pelbagai jenis bentuk muka bumi di negara berkenaan. Model 1 Series ini juga menerima banyak perincian talaan dan penambahbaikkan berdasarkan tabiat pelanggan dari China serta persekitaran penggunaannya.

    Dari segi rupa bentuk, 1 Series Sedan masih sama dengan rekaan yang ditayangkan tahun lalu. Gril ‘kidney’ signatur BMW masih kekal pada tempatnya tetapi elemen krom yang ditampilkan agak kurang berbanding model konsepnya. Lampu LED hadapan yang anggun dan liang kemasukan udara hadapan pada bahagian bawah juga masih dikekalkan.

    Sementara itu, kemasan pada perumah lampu kabus kini diberikan warna hitam, dan lampu kabus sebenar dipadankan di bahagian tersebut. Perbezaan lain yag disaksikan pada model produksi ini termasuk saiz roda (tetapi masih mengekalkan rupa bentuk jejari berkembar), pemegang pintu konvensional, dan rekaan semula pada cermin sisi yang kini diberikan warna kontras berbanding warna keseluruhan badan.

    Walaupun 1 Series Sedan diumumkan sebagai model eksklusif untuk pasaran China, BMW menyatakan “segmen kereta kompak premium merupakan segmen paling cepat berkembang di seluruh dunia dan China,” jadi mereka mungkin berminat untuk memasarkannya ke seluruh dunia pada masa akan datang.


    GALERI: BMW Compact Sedan F52 versi produksi sedang diuji

     
     
  • Kadar bayaran petak parkir di Kuala Lumpur naik 150%

    Public-Parking-Lots

    Mulai hari ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menaikkan kadar caj parkir sebanyak 150%. DBKL mempunyai sejumlah 46,100 meter petak parkir di sekitar ibu kota dan 9,916 daripadanya terletak di tempat tumpuan perniagaan.

    Menurut laporan The Star, kawasan yang terbabit ialah Bukit Bintang, Bukit Damansara, Sri Hartamas, Desa Hartamas, Solaris Mont Kiara, Taman Tun Dr Ismail dan Bangsar di mana 75% hingga 100% kawasan parkir terbabit sering kali penuh pada waktu puncak.

    Di bawah struktur harga baharu ini, caj parkir bagi tempat tumpuan perniagaan itu dinaikkan dari RM0.80 sejam ke RM2 jam untuk sejam pertama. Selepas itu, caj sebanyak RM3 akan dikenakan pada jam kedua dan berikutnya.

    Laporan tersebut turut menyebut, jika anda memarkir kenderaan dari jam 7.30 pagi hingga 6 petang, mengikut waktu operasi biasa, anda akan dikenakan bayaran sebanyak RM32 sehari mengikut kadar baharu ini. DBKL juga dikatakan akan terus menguatkuasakan caj parkir baharu ini mengikut peringkat mulai sekarang hingga 1 Ogos ini, dan bergantung pada lokasi, menyaksikan peningkatan antara 100% dan 200%.

    dbkl parking tow bernama pix

    Bagi zon di luar ibu kota, di mana buat masa kini caj yang dikenakan adalah sebanyak RM0.50 sejam, mungkin akan dinaikkan ke RM1.50 atau RM1 setiap jam, bergantung pada zon. Ia termasuk Brickfields, Taman Maluri, Cheras, Wangsa Maju dan Setapak, di mana kawasan tersebut meliputi antara 55% dan 75% kekosongan parkir.

    DBKL turut memperkenalkan had masa untuk parkir iaitu maksimum dua jam di beberapa kawasan terpilih, jika melebihi had masa tersebut, kenderaan akan dikunci tayar atau ditunda. Menurut Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mohd Amin Nordin Abdul Aziz, keputusan untuk menaikkan kadar caj parkir bukanlah atas dasar keuntungan, tetapi bagi mengurangkan kesesakan trafik di bandar dan menggalakkan masyarakat berkongsi kenderaan atau menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam.

    “Kami mahu mengosongkan sebanyak mungkin ruang parkir di tepi jalan di kebanyakan jalan di kawasan dalam bandar dan menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam atau berkongsi kenderaan jika memasuki pusat bandar. Saya sedar saya tidak akan menjadi seorang yang begitu dikenali, tetapi ini terpaksa dilakukan kerana trafik di KL sudah menjadi semakin padat dan terlalu sibuk,” ujarnya.

     
     
  • Pelan transformasi SPAD rangkumi penyelesaian isu Uber dan Grabcar akan dikemukakan tidak lama lagi

    uber-x-car_BM

    Isu berkaitan Uber dan Grabcar dijangka akan dapat diselasaikan dengan Pelan Transformasi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang bakal dibentangkan tidak lama lagi, menurut laporan The Sun Daily.

    Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri berkata, pelan berkenaan yang turut merangkumi isu berkaitan Uber dan GrabCar bakal dibentangkan ke Kabinet tidak lama lagi.

    “SPAD mempunyai pelan transformasinya sendiri dan akan dibentangkan ke Kabinet dalam tempoh dua minggu akan datang,” kata beliau kepada wartawan.

    Nancy turut mengatakan pelan berkenaan turut diisi dengan maklumat yang diperolehi semasa bengkel meja bulat yang turut dihadiri oleh wakil dari persatuan-persatuan teksi.

    Dalam perkembangan lain, Nancy turut mengesahkan pihaknya akan meneruskan kerjasama dengan Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan Sabah dan Sarawak di kedua-dua negeri terbabit.

     
     
  • Toyota mungkin singkir enjin diesel untuk modelnya?

    2016 Toyota Corolla Hybrid

    2016 Toyota Corolla Hybrid

    Toyota mungkin mengikut jejak langkah Volvo iaitu menimbangkan untuk menyingkirkan penggunaan enjin diesel kerana standard emisi untuk enjin diesel dilihat semakin tinggi. Langkah berkenaan juga mungkin disebabkan jualan kenderaan diesel Toyota yang semakin suram di Eropah.

    Karl Schlicht, Naib Presiden Eksekutif Toyota Eropah berkata dalam laporan Autocar bahawa Yaris diesel “dijual kurang dari 10%” dalam jualan keseluruhannya, dan mungkin akan disingkirkan dari barisan model pada masa akan datang.

    Tambahan lagi, Schlicht tidak yakin dengan masa hadapan enjin diesel. “Saya rasa mana-mana pihak yang mahu melabur pada kilang diesel baharu, yang mungkin mempunyai jangka hayat 10 hingga 15 tahun, perlu untuk melihat pada jangka masa panjang dan lebih keras sama ada mereka akan mendapat pulangan semula atau tidak,” kata beliau.

    Dengan enjin petrol yang telah dikecilkan kapasiti dan janakuasa hibrid, ia menawarkan teknologi yang lebih bersih dan alternatif lebih murah berbanding diesel. CEO Volvo Hakan Samuelsson mengatakan enjin diesel mungkin lebih mahal, kerana ia memerlukan rawatan susulan yang lebih maju dengan bendalir tambahan untuk memastikan ia memenuhi standard emisi.

    Jadi, penggunaan enjin diesel ini mungkin tidak lagi relevan untuk masa hadapan. Walau bagaimanapun, proses penyingkiran enjin diesel ini pada peringkat permulaan hanya akan melibatkan kenderaan penumpang biasa dan digantikan dengan enjin petrol berkapasiti kecil serta unit janakuasa hibrid, tidak melibatkan kenderaan perdagangan dan lasak seperti Toyota Hilux.

     
     
  • Diesel Euro 5 BHPetrol kini telah diluaskan penjualannya di 100 buah stesen BHP seluruh negara

    bhp tapah rnr station

    Setelah diperkenalkan di beberapa buah stesen BHPetrol di Lembah Klang dan selatan tanahair, Boustead Marketing telah mengumumkan Diesel Euro 5 BHPetrol kini boleh didapati di 100 stesennya di Semenanjung Malaysia.

    Pengarah Peruncit BHPetrol, James Khoo berkata, “Kami akan menambah jumlah stesen yang membekalkan diesel itu dari semasa ke semasa, dan pada pertengahan Julai ia telah mencapai stesen ke-100 dengan permulaan jualan di BHPetrol Mukim Kuantan.”

    Menurutnya lagi, walaupun peraturan pelepasan ekzos semasa bagi kenderaan diesel di Malaysia tidak mengkhususkan kepada standard Euro 5, kesediaan bahan api itu di pasaran akan mengalakkan syarikat kenderaan menawarkan model kenderaan diesel terkini yang dilengkapi enjin lebih canggih dan mesra alam.
    Enjin berkenaan memerlukan bahan api ultra bersih seperti diesel Euro 5 BHPetrol untuk bero­perasi tanpa masalah.

    Diperkenalkan di Johor pada November 2014 lalu bagi memenuhi peraturan emisi yang ditetapkan oleh Singapura (di mana kenderaan dari Malaysia yang gagal ujian asap tidak akan dibenarkan masuk ke republik berkenaan). Malah pada Ogos tahun lalu, bahan api ini turut diperkenalkan di Lembah Klang.

    Bahan api ini dikatakan lebih baik untuk alam sekitar kerana kandungan sulfurnya yang rendah iaitu hanya 10 bahagian per juta (ppm) berbanding 550 ppm bagi gred Euro 2M Malaysia buat setakat ini.

     
     
  • Khairul Idham Pawi muncul juara Moto3 di Jerman

    2016-Moto3-Khairul-Idham-Pawi-3-850x567

    Selepas persembahan meyakinkan ketika Gran Premio Motul de la República Argentina April lalu, pelumba muda negara, Khairul Idham Pawi, 18, sekali lagi mengungguli saingan dalam perlumbaan Moto3 dalam perlumbaan GoPro Motorrad Grand Prix Deutschland, di litar Sachesenring, Jerman semalam.

    Dengan catatan masa 47 minit dan 7.763 saat, Khairul yang mewakili pasukan Honda Team Asia, mengatasi dua lagi pelumba Itali, Andrea Locatelli dari pasukan Leopard Racing dan Leopard Racing dan Enea Bastianini yang mewakili Gresini Racing Moto3, yang masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.

    Merangkul kedudukan podium keduanya dalam perlumbaan Moto3 musim ini, kedua-dua perlumbaan itu menyaksikan litar basah akibat hujan, keadaan litar yang menjadi kelebihan bagi pelumba muda negara itu, sama seperti ketika menaiki podium di Argentina April lalu.

    Bermula dari kedudukan ke-20, dan terpaksa meninggalkan litar pada pusingan ke-14, Khairul kekal dengan momentum perlumbaan yang baik, dan menamatkan perlumbaan dengan pendahuluan 11.131 saat berbanding Locatelli di tempat kedua.

    Beliau merupakan pelumba pertama Malaysia yang meraih kemenangan diperingkat kejuaran dunia dengan mewakili Honda Team Asia, dan kini berada di kedudukan ke-10 dengan 54 mata dalam Kejuaraan Dunia Moto3. Pendahulu kedudukan keseluruhan sekarang ialah Brad Binder, pelumba Afrika dari pasukan Red Bull KTM Ajo dengan 159 mata.

    Sementara seorang lagi pelumba negara, Hafizh Syahrin, yang bersaing di dalam perlumbaan Moto2 pula turut berjaya menamatkan perlumbaan pada kedudukan ke-7 selepas bermula di petak ke-11.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025