Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • PANDU UJI: Subaru Forester pilihan yang berbaloi?

    2016 Subaru Forester 2.0i-P ext 1

    Subaru Forester generasi ke-empat telah pun dilancarkan di pasaran Malaysia pada April lalu. Ia memberikan persaingan hebat buat beberapa SUV seangkatannya termasuk Honda CR-V dan Mazda CX-5.

    Tiga varian ditawarkan dalam barisan model Forester facelift ini iaitu 2.0i dan 2.0i-P yang diproduksi secara pemasangan tempatan (CKD) di kilang Tan Chong Segambut, manakala varian 2.0 XT yang lebih berkuasa diimport sepenuhnya (CBU) dari Jepun.

    Model asas Forester 2.0i dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM144,948, diikuti dengan 2.0i-P pada RM154,488. Model CBU 2.0i-L sebelum ini dijual pada harga RM163,590, namun menyaksikan versi facelift terbaharu 2.0i dan 2.0i-P ini lebih murah sebanyak RM18,642 dan RM9,102. Manakala untuk varian XT pula ditawarkan dengan harga atas jalan tanpa insuran RM211,729.

    Varian 2.0i dan 2.0i-P dijana oleh enjin FB20 bentangan boxer 2.0 liter DOHC tanpa sistem induksi paksaan berkuasa 150 PS pada takat 6,200 rpm dan 198 Nm pada takat 4,200 rpm. Enjin baharu dengan rekaan strok yang lebih panjang dan blok enjin yang lebih ringan membolehkan ia mencapai penggunaan petrol 7.9L untuk setiap 100 km.

    Bagi varian XT pula, ia dibekalkan dengan enjin boxer FA20 2.0 liter didesak dengan pengecas turbo dan sistem pancitan bahan api terus, membolehkan enjin tersebut menjana sejumlah 241 PS pada takat 5,600 rpm dan tork maksima 350 Nm bermula 2,400 rpm hingga 3,600 rpm.

    Kedua-dua jenis enjin ini menyalurkan kuasa kesemua roda Forester melalui kotak gear Lineartronic CVT dan sistem pacuan semua roda Symmetrical All-Wheel Drive (S-AWD) Subaru.

    Sistem X-Mode Subaru dilengkapi pada kesemua tiga varian Forester. Sistem tersebut akan mengawal enjin, transmisi, sistem AWD, brek dan lain-lain sistem selepas pemandu menekan hanya satu butang yang diletakkan di depan tuil gear untuk membantu mengawal kenderaan ketika menempuh permukaan jalan yang sukar. Sistem tersebut berfungsi pada kelajuan bawah 40 km/j, dan disertakan dengan fungsi Kawalan Penurunan Bukit yang berfungsi sekali ketika X-Mode diaktifkan.

    Selain dari ciri X-Mode, sistem suspensi juga telah ditingkat taraf untuk meningkatkan lagi kebolehan pengendalian Forester ini. Cross member hadapan direka dengan lebih keras, pegas dan penyerap hentak baharu juga ditala semula serta jajaran roda belakang telah ditukar untuk memastikan Forester memberikan pengendalian yang lebih hebat.

    Bagi unit pandu uji ini, ia adalah dari varian 2.0i-P yang bezanya dengan model spesifikasi terendah cuma daripada sudut penggayaannya sahaja.

    Bagi Forester 2.0i-P, ia dlengkapi dengan lampu utama projektor LED dinamik, dengan lampu nyalaan siang LED berbentuk-C yang disambung pada gril baharu. Manakala lampu belakang juga dengan kombinasi LED berbentuk-C. Ia turut ditampilkan dengan lampu kabus pada bahagian hadapan dan belakang serta cermin sisi bersama indikator membelok.

    Manakala padanan roda bersaiz 17-inci yang dibaluti tayar Continental ContiMax MC5 225/60 menjadi pilihan (varian XT menerima roda 18-inci) .

    Seperti mana rekaan luarannya, serlahan dalamannya boleh diibaratkan “sama tapi tak serupa” dengan model yang terdahulu. Material kulit tetap menjadi pilihan untuk membaluti pemegang pintu, ruang papan pemuka, roda stereng dan juga tempat duduk (yang standard bagi semua varian). Walau bagaimana pun, material sentuhan lembut pada papan pemuka memberikan citarasa yang lebih premium, tidak seperti yang ditampilkan pada CR-V.

    2016 Subaru Forester 2.0i-P int 1

    Penghawa dingin dua-zon juga ditampilkan tetapi tiada corong pada barisan kedua tempat duduk. Selain itu, kluster instrumen juga ditampilkan dengan rekaan grafik yang baharu serta paparan berwarna bagi TFT LCD.

    Forester facelift ini juga dilengkapi dengan kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin, kawalan kelajuan dan pedal aluminium. Juga terdapat dua port bagi USB, yang bukan setakat berfungsi bagi unit Kenwood tetapi juga sebagai pengecas peranti.

    Paparan berwarna pelbagai-info juga diletakkan pada papan pemuka, selain unit utama Kenwood double-DIN tujuh-inci. Kekurangan di sini ialah paparan itu akan kurang jelas apabila berada di bawah terik matahari.

    Roda stereng rekaan baharu dilengkapi dengan butang mod respon pendikit yang boleh dipilih dalam mod Si atau Intelligent, juga dilengkapi dengan butang Kawalan Kelajuan (hanya untuk varian 2.0i-P dan XT) dan juga penukar gear. Tuil gear turut diberi penampilan baharu, begitu juga pedal kawalan aluminium.

    Ciri eksklusif lain yang disertakan pada 2.0i-P dan XT adalah tempat duduk hadapan pemandu penumpang larasan empat-hala berkuasa (dengan fungsi memori).

    Tugas untuk memasukkan barang pada bahagian pintu tailgate belakang juga semakin mudah kerana Forester kini dibekalkan dengan pintu tailgate berkuasa lengkap dengan fungsi memori. Forester juga boleh dibuka tanpa kunci menerusi sistem akses kod PIN, yang membolehkan pemilik mengakses kereta mereka dengan hanya memasukkan PIN rahsia.

    Ruang but yang sederhana luas iaitu dengan kapasiti 422 liter juga mampu menyingkirkan kegusaran sekiranya perlu membawa muatan yang agak banyak, terutamanya jika mahu balik ke kampung atau membeli-belah.

    Saiz Forester berukuran 4,595 mm panjang, 1,795 mm lebar, 1,735 mm tinggi dengan jarak roda 2,640 mm. Secara keseluruhan, ruangan dalaman Forester jelas ringkas, tetapi ada elemen yang memang diperlukan.

    Untuk sistem keselamatan, Forester dilengkapi dengan tujuh beg udara (dua di hadapan, sisi dan langsir, lutut pemandu), Kawalan Dinamik Kenderaan (VDC), Bantuan Mula Mendaki, kerangka diperkuat dengan bentuk-cincin, sistem ABS lengkap dengan EBD dan BA, Brake Override, dan sistem pedal keselamatan. Kesemua ciri keselamatan ini adalah standard untuk semua varian.

    Bagi pengendaliannya, tidak dinafikan Forester ini mampu memberikan kepuasan dalam pemanduan. Kejuruteraan Subaru banyak memfokuskan untuk menambah baik sudut pengendalian dan pemanduannya. Ini termasuklah suspensi hadapan yang lebih keras, malahan peredam dan gegelung pegasnya telah ditambah baik. Sementara penjajaran bagi suspensi belakang juga telah ditukar.

    2016 Subaru Forester 2.0i-P ext 25

    Bagi NVH pula, material kalis bunyi dan cermin tingkap yang lebih tebal banyak membantu mengelakkan bunyi bising luaran serap masuk ke dalam kabin.

    Memandu dalam kawasan bandar, Forester masih mengekalkan keselesaan pengendalian. Sistem suspensi yang disemak semula banyak membantu memberikan keselesaan kerana jalan-jalan di Malaysia yang pelbagai (termasuk jalan beralun, berlubang dan sebagainya). Sesekali terasa Forester bagaikan ‘terbuai-buai’ terutamanya ketika memandu laju di jalan yang beralun, namun nasib baik ia tidak mencetuskan rasa yang tidak selesa.

    Memacunya di lebuhraya, Forester ternyata lebih mantap dan kekal stabil, dan ia mampu mencapai 0-100 km/j dalam hanya 11.8 saat dan kelajuan maksimumnya pula ialah 192 km/j.

    Malahan NVH yang ditambah baik itu mengurangkan kemasukan bunyi angin dan deruman tayar daripada memasuki kabin.

    Bagi penumpang di belakang pula, ia mempunyai akses pada ruang letak kaki yang mencukupi. Manakala tempat duduk berkuasa bagi pemandu dan penumpang hadapan (tanpa sokongan lumbar boleh laras) dengan kedudukan sedikit tinggi pada kedudukan normal, bagi memberikan jarak penglihatan yang lebih baik, tetapi bagi orang yang tinggi, mungkin terasa kurang sedikit selesa.

    Jika merentasi laluan yang berselekoh, terasa sedikit olengan badannya, tetapi tidaklah begitu ketara dan boleh diuruskan dengan mudah. Manakala kuasa kawalan stereng terasa sedikit perlahan, jadi jangan harapkan Subaru memiliki pengendalian terbaik hanya kerana logonya. Mungkin kawalan sterengnya lebih sesuai untuk pengendalian off-road. Jika anda mencari pengendalian yang lebih terbaik, mungkin boleh mempertimbangkan CX-5 atau X-Trail.

    2016-Subaru-Forester-2.0i-P-Thailand-drive-15

    Namun bagi penjana kuasanya, ia mampu menjalankan tugas dengan baik.Namun jika memerlukan pemanduan yang tergesa-gesa, desakan pada pedal pendikit boleh memberikan bunyi dari kesan CVT yang kurang menyenangkan. Cara terbaik, ringankan bebanan pada pendikit secara progresif dan rancang pengendalian lebih awal.

    Apabila memandu dalam kelajuan yang agak tinggi di selekoh, terasa sistem AWD akan sentiasa membrek dengan cengkaman yang lebih sedikit, memperlahankan kembali jentera sehingga mampu dikawal semula. Malahan dengan kombinasi X-Mode, ia bertambah mantap. Apatah lagi jika mencuba laluan off-road dengan keadaan jalan yang berlopak atau licin. Ia lebih membantu kawalan jentera agar lebih optimum. Namun jika X-Mode ini tidak dihidupkan, Forester sukar dikawal apatah lagi jika melalui jalan yang berbatu, malah kurang daya cengkamannya. Hidupkan balik butang X-Mode, lantas jentera kembali dikawal dengan mudah.

    Dengan X-Mode, ia mampu mengaktifkan lima perbezaan pengendalian termasuk mengehadkan kegelinciran roda. Permulaannya, kuasa pendikit jentera tidak mampu dicapai dengan pantas kerana ia memerlukan sedikit masa dari tindak balas pedal pacuan. Malahan sistem AWD dan transmisi juga masih mampu menyalurkan kuasa biarpun ketika dalam gear rendah dan mampu menghantar lebih kuasa bagi cengkaman yang lebih jitu.

    2016 Subaru Forester 2.0i-P ext 2

    Selain itu, sistem Kawalan Dinamik Kenderaan telah ditala khas dengan menambah baik kawalan LSD agar pemandu dapat menggunakan brek dengan lebih pantas ketika jentera tergelincir.

    Membantu dalam kawalan jentera, Kawalan Menurun Bukit yang mampu mengendalikan jentera antara kuasa pendikit dan brek secara automatik, sementara pemandu hanya perlu fokus pada kawalan stereng. Tetapi lebih baik jika memiliki paparan pandangan-sekeliling untuk mengenal pasti halangan yang berpotensi di sekeliling jentera.

    Walau pun sistem ini bukanlah digunakan dalam pemanduan sehari-hari, namun ia memang banyak membantu sekiranya diperlukan terutamanya dalam pemanduan off-road.

    Secara keseluruhannya, Subaru Forester baharu ini memiliki kedudukan yang lebih kukuh dalam pasaran SUV di bawah segmen-C. Ia memiliki pengendalian yang selesa, keupayaan dalam pemanduan off-road yang bagus dan kit elemen luaran serta dalaman yang mencukupi bagi sebuah SUV tahan lasak sepertinya.

     
     
  • Nombor plat PERFECT di Malaysia – apa sebenarnya?

    perfect-number-plate-malaysia

    Ada beberapa siri nombor plat khas yang terdapat di Malaysia, misalnya G1M, 1M4U, Patriot dan yang terbaharu, VIP. Namun ini ada satu lagi yang terkini, daripada pembaca yang terserempak dengannya dan memaklumkan kami; plat PERFECT.

    Apa sebenarnya maksud, atau sempena apa siri nombor plat PERFECT ini? Ia adalah satu siri nombor plat yang diluluskan untuk meraih dana bagi Persatuan Ping Pong Malaysia (Table Tennis Association of Malaysia, TTAM). Mereka mensasarkan untuk meraih RM5 juta untuk membina rumah kelab baharu.

    Tidak seperti kebanyakan nombor plat yang bermula dari 1 hingga 9999, hanya terdapat 100 nombor yang ditawarkan, bermula dari PERFECT 1 hinggga PERFECT 100. Menurut laporan Sin Chew, sejumlah RM3 juta sudah berjaya dikutip setakat Jun 2016.

    Nombor plat berkenaan ditawarkan melalui kaedah bidaan, dan dilaporkan jumlah terendah adalah RM20,000, dan ia meningkat sehingga RM1 juta, mungkin pada plat PERFECT 1.

    Anda mungkin tertanya-tanya, apa kaitan perkataan PERFECT dengan persatuan berkenaan? Ia sebenar adalah dari nama pertandingan tempatan yang dikenali sebagai Perfect Malaysia Open 2016, yang dinamakan sempena penaja utama acara itu, Perfect China Co Ltd, sebuah syarikat jualan langsung yang berpusat di Zhongshan oleh usahawan dari Malaysia.

    Untuk membida nombor plat PERFECT, anda boleh menghubungi TTAM di talian 03-92811497.

     
     
  • SPYSHOT: Suzuki Swift generasi seterusnya di uji

    Suzuki-Swift-spied-5_BM

    Sebuah Suzuki Swift generasi seterusnya dilihat sedang diuji dengan dibaluti pelekat penyamaran dan dilengkapi dengan roda aloi. Walaupun dalam mod penyamaran, bayangan bentuk badan hatchback berkenaan agak jelas, dengan mengekalkan bentuk asal seperti Swift sedia ada pada bahagian atas, atau secara spesifiknya pada bahagian tiang-C Swift berkenaan.

    Bentuk badan Swift generasi baharu ini kelihatan lebih gagah dengan garisan badan yang lebih jelas bermula dari lampu belakang merentangi keseluruhan badan hingga ke lampu hadapan. Ia agak berlainan dari model Swift sedia ada dimana garisan berkenaan berakhir di ruang roda hadapan.

    Kami juga menerima imej bahagian dalaman Swift baharu berkenaan sebelum ini. Imej berkenaan memperlihatkan roda stereng baharu pelbagai fungsi yang leper di bahagian bawah, panel instrumen pelantar kompas berkembar, skrin paparan tengah, butang kawalan penghawa dingin dan corong udara baharu pada bahagian tengah.

    Suzuki-Swift-spied-15_BM

    Suzuki Swift varian asas mungkin akan dijanakan dengan enjin petrol 1.0 liter Boosterjet pengecas turbo dari Suzuki Baleno, yang dipadankan dengan pilihan sama ada transmisi manual lima-kelajuan atau kotak gear automatik torque converter enam-kelajuan. Varian Smart Hybrid Vehicle (SHVS) turut dijangka akan diperkenalkan dengan menampilkan enjin 1.2 liter Dualjet dan ISG (Integrated Starter Generator) yang membantu enjin ketika dipacu dan menjanakan elektrik sewaktu membrek.

    Dalam satu sesi penerangan kepada pengedar, Suzuki mendakwa Swift baharu mencatatkan penggunaan bahan api terbaik dalam kelas hatchback segmen-B, tanpa memberikan angka yang tepat. Model baharu ini juga menampilkan ukuran dimensi 3.84 meter panjang dan 1.74 meter lebar.

    Varian Swift Sport pula dijangka akan dijana oleh enjin 1.4 liter Boosterjet suntikan-terus pengecas turbo empat-silinder. Jika kuasa yang dihasilkan sama seperti Vitara S di UK (138 hp/220 Nm), ia menyamai angka kuasa kuda model sedia ada dengan enjin 1.6 liter NA sedia ada tetapi dibekalkan tork 60 Nm lebih besar. Suzuki Swift generasi baharu ini dijangka akan diperkenalkan pada Disember tahun ini, dan akan ditampilkan di pasaran pada Mac 2017. Manakala Swift Sport pula dijangka tiba beberapa bulan selepas itu.

     
     
  • SIRIM akan buka makmal laksana ujian komponen brek

    Bas-PLUS-Menora

    SIRIM Berhad kini akan memberi tumpuan terhadap sebuah makmal baharu dengan tujuan khusus untuk menguji sistem brek dan komponennya. Memetik laporan Berita Harian, Naib Presiden SIRIM, Dr Mohamad Jamil Sulaiman menyatakan makmal berkenaan termasuk di dalam pelaksanaan strategi utama Pelan Transformasi lima tahun badan itu yang telah digariskan.

    Pengujian komponen yang disasarkan kepada pengeluar komponen automotif di negara ini dilihat akan mampu mengurangkan risiko kemalangan, terutama yang melibatkan masalah brek. Makmal yang akan mula beroperasi menjelang tahun depan itu disasarkan agar dapat mengurangkan risiko kemalangan yang kerap melibatkan kenderaan komersial.

    “Pembekal serta pemilik syarikat kenderaan komersial digalakkan untuk menghantar kenderaan menjalani ujian ketahanan sistem brek dan komponen di makmal berkenaan bagi memastikan peralatan yang digunakan melepasi syarat keselamatan serta menepati ciri-ciri kualiti yang diperlukan,” ujar beliau.

     
     
  • Continental Tyre Malaysia tumpu pasaran tempatan, bakal perkenal siri tayar baharu dalam masa terdekat

    Continental-Tyre-Malaysia-talk-1_BM

    Cameron Wilson, kanan

    Sejak penubuhannya pada 1871, Continental telah pun dikenali sebagai antara peneraju industri tayar dunia. Dengan pelbagai sejarah inovasi. Pembuat tayar dari Jerman ini telah bertapak di seluruh dunia, termasuk Malaysia, dan dikenali sebagai Continental Tyre (PJ) Malaysia Sdn Bhd, ditubuhkan pada 2003.

    Kilang dan pejabat operasi syarikat berkenaan yang terletak berhampiran Lebuhraya Pantai Baharu (NPE) memproduksi beberapa model tayar untuk pasaran eksport dan tempatan, dan turut disokong oleh sebuah lagi kilang mereka yang terletak di Alor Star, Kedah bagi menampung kapasiti permintaannya untuk pasaran tempatan.

    Selain dari menjual tayar terus ke pengguna, Continental Malaysia turut menjadi pembekal tayar OEM untuk jenama seperti BMW. Syarikat berkenaan juga turut mengembangkan hubungan mereka dengan pelanggan menerusi acara bersama seperti BMW Driver Experience.

    Pada program berkenaan tahun ini, kami sempat bertanya Cameron Wilson, Timbalan Presiden (pemasaran dan jualan), dan Pengarah Urusan Continental Tyre Malaysia berkenaan perancangan masa hadapan mereka di Malaysia.

    Produk adalah perkara penting bagi mereka untuk masa hadapan syarikat berkenaan, dan Cameron menyatakan Continental mensasarkan untuk memperkenalkan tayar untuk kereta penumpang baharu sedikit masa lagi, iaitu ComfortContact 6 yang dijangka akan diperkenalkan pada September ini.

    Continental bukan sekadar meneroka pasaran untuk kereta premium sahaja, tetapi turut menumpukan terhadap pasaran peringkat pertengahan seperti Honda Accord dengan pengenalan siri tayar UltraContact selepas ini. Model baharu berkenaan akan diletakkan antara siri tayar ComfortContact dan MaxContact, yang menawarkan keseimbangan antara prestasi dan keselesaan. Produk ini bakal ditawarkan bermula tahun hadapan, dan akan diproduksi di Alor Star.

    Produk yang bagus adalah perkara utama, dan Continental mewakili segmen premium dalam pasaran tayar. Secara dasarnya, kebanyakkan pengguna menyifatkan Continental sebagai tayar yang “mahal”, dan Cameron mengulas syarikatnya faham dengan persepsi berkenaan dan menerangkan untuk menghasilkan tayar yang bagus, kosnya tidaklah murah.

    Continental-Tyre-Malaysia-talk-2_BM

    Beliau menambah walaupun pengguna mungkin perlu membayar dengan harga premium, manfaat yang diterima adalah berbaloi. Tambahan pula, Continental turut yakin dengan produk mereka dan menawarkan program waranti lima tahun untuk pelanggan di Malaysia dari tarikh tayar berkenaan dibeli, bukan dari tarikh pengilangannya.

    Untuk pelanggan yang tidak memerlukan tayar berprestasi tinggi, Continental Malaysia turut menawarkan jenama lain seperti Dunlop dan Viking dalam portfolio mereka, di mana jenama-jenama berkenaan direka untuk pasaran pertengahan dan kelas permulaan. Ketiga-tiga jenama berkenaan membolehkan Continental Malaysia menguasai satu pertiga pasaran tayar tempatan.

    Apabila ditanya rancangan syarikat untuk memperkenalkan fasiliti pengeluaran tambahan untuk mengembangkan lagi kapasiti pengeluaran di Petaling Jaya dan Alor Setar, Cameron berkata syarikatnya akan melabur lebih dalam pasaran Malaysia, tetapi tidak boleh mendedahkan berkenaan rancangan yang spesifik. Cameron menyimpulkan dengan mengatakan bahawa Continental Tyre Malaysia optimistik dan komited sepenuhnya dalam pasaran tayar Malaysia.

     
     
  • GALERI: Mazda 3 wajah baharu dipertonton di Jepun

    2016-Mazda-3-FL-4-850x446

    Awal minggu ini, Mazda mengadakan sesi pandu uji bagi wakil media Asean bertempat di Mine Proving Grounds di Jepun. Antara model yang disediakan untuk dipandu ialah Mazda 3 versi wajah baru, yang digunakan untuk mendemonstrasi sistem G-Vectoring Control.

    Dilancarkan untuk pasaran Jepun awal bulan ini, Mazda 3 yang masih ditawarkan dalam bentuk sedan dan hatchback dengan beberapa perubahan minimal. Ini termasuk rekaan gril depan yang lebih menonjol serta lampu hadapan yang diberi bentuk baru (unit LED adaptif adalah pilihan). Ruang kemasukan udara di bahagian bawah bampar juga diberi rekaan baru, bersekali dengan lampu kabus.

    Di bahagian tepi, cermin sisi kini dilengkapi dengan bahagian lampu isyarat LED, sementara di bahagian belakang bagi varian hatchback pula turut menerima rekaan bampar baru, termasuk rekaan diffuser. Sentuhan baru bagi rim 18 inci dengan penyudah permukaan warna gun metal melengkapi pembaharuan yang diberikan kepada Mazda 3.

    Kabin dalaman juga tidak diabaikan. Ia menerima persekitaran baru bagi paparan MZD Connect, kemasan tempat duduk dengan pilihan tambahan, perincian atau elemen trim baru serta paparan Head-Up Display yang kini berwarna. Sterengnya juga lebih kurus, diwarisi dari model CX-9.

    Pilihan enjin bagi pasaran di Jepun turut berubah. Walaupun enjin 1.5L SkyActiv-G petrol (111 ps/144 Nm) dan 2.2L SkyActiv-D turbodiesel masih kekal ditawarkan, tambahan terbaru ialah enjin 1.5L SkyActive-D diesel yang sebelum ini hanya untuk pasaran Eropah kini turut ditawarkan.

    Enjin dieselnya telah diperkemas dengan kawalan high-precision boost dan suntikan minyak untuk memperbaiki respon pendikit. Sementara itu enjin berkenaan kini turut dipertingkat bagi mengurangkan knock dan gegarannya.

    Turut ditawarkan ialah untuk pasaran Jepun ialah model SkyActiv Hybrid – yang berdasarkan teknologi hibrid Toyota – yang memadankan enjin 2.0L SkyActiv-G petrol 99 PS dengan motor elektrik 82 PS serta transmisi eCVT (Electric Continuosly Variable Transmission). Sementara itu, model standard 2.0L dengan kuasa 155 PS/196 Nm digugurkan.

    Model ini turut menerapkan sistem G-Vectoring Control, yang bertindak mengalihkan imbangan berat bagi kenderaan ini dengan membezakan tork enjin. Untuk itu, ia memperbaiki maklum balas stereng dan kestabilan keseluruhan ketika dalam pemanduan.

    Dari aspek keselamatan, Mazda 3 wajah baru ini merupakan model pertama yang dilengkapi teknologi baru, Traffic Sign Recognition System (TSR) yang dibangun sendiri oleh Mazda. Ia berfungsi untuk mengenal pasti had laju, tanda larangan masuk dan tanda henti.

    Selain itu, Mazda 3 wajah baru ini juga dilengkapi dengan sistem Advanced Smart City Brake Support. Ia menggunakan cahaya laser infrared dan kamera untuk membolehkannya mengesan kenderaan lain atau pejalan kaki yang ada dalam kelajuan dari 10 km/j hingga 80 km/j.

     
     
  • Proton Exora generasi seterusnya – imej ‘render’ bayangan diinspirasikan dari Perdana 2016

    New-Proton-Exora-render-1-e1469586651487_BM

    Dalam temuramah sebelum ini bersama bekas Pengerusi Proton,Tun Dr Mahathir Mohamed, didedahkan bahawa Proton Exora generasi baharu hanya akan muncul setelah tiga lagi model baharu 2016 selepas Perdana iaitu Saga, Persona dan MPV berdasarkan Suzuki Ertiga. Kini, pakar rendering kami, Theophilus Chin menggambarkan bagaimana rupa paras Exora generasi seterusnya.

    Wajah Perdana iaitu bahagian gril hadapan, lampu hadapan, lampu kabus dan juga penutup hud diterapkan terus ada Exora ini, dan diselaraskan dengan rekabentuk Exora itu sendiri yang lebih pendek pada bahagian hadapan.

    Pada bahagian belakang pula, lampu menegak pada Exora sedia ada digantikan dengan lampu melintang dengan rekaan seakan lampu belakang Perdana. Unsur Perdana diteruskan dengan pemadanan kemasan krom yang menghubungkan kedua-dua lampu belakang, merentangi pintu tailgate belakang serta menempatkan logo Proton pada bahagian tengah.

    New-Proton-Exora-render-2-e1469586675232_BM

    Kemasan akhir pada keseluruhan MPV ini dilakukan dengan pemadanan elemen krom tambahan pada bahagian bawah cermin tingkap, rel bumbung dan juga roda aloi yang diambil terus dari Perdana. Bentuk badan keseluruhan Exora ini juga kelihatan lebih bulat berbanding model sedia ada yang kelihatan berkotak.

    Apa pendapat anda dengan buah tangan terbaharu Theo ini? Dan apa pula yang anda harapkan dari Proton Exora generasi seterusnya? Tuliskan pendapat anda pada ruang komen di bawah.

    Proton Exora Executive 1.6 CFE 2015

     
     
  • Kadar baharu tambang teksi sedang dirangka untuk pelan transformasi – bakal naik tidak lama lagi?

    2015-proton-exora-teks1m-taxi-malaysia

    Kadar tambang teksi baharu sedang dirangka sebagai salah satu langkah yang diambil dalam rombakan operasi Teksi 1Malaysia (TEKS1M) dan teksi bajet tidak lama lagi, lapor The Sun Daily.

    Langkah yang dicadangkan berkenaan akan membantu teksi konvensional untuk bersaing dalam transformasi industri teksi yang turut akan membenarkan servis e-hailing beroperasi secara sah menjelang hujung tahun ini.

    “Ia akan menjadi struktur tambang yang dinamik dan akan membabitkan meter teksi baharu dengan GPS untuk penilaian prestasi,” kata pegawai senior kerajaan yang terlibat dengan jawatankuasa antara agensi untuk memuktamadkan cadangan rombakan semula industri teksi dan model e-hailing kepada The Sun.

    Kali terakhir tambang teksi bermeter dinaikkan adalah pada Mac tahu lalu. Setakat ini, tambang TEKS1M bermula dari RM4, dengan 30 sen untuk setiap 200m manakala untuk teksi bajet pula tambang bermula dari RM30 dengan 25 sen setiap 200 meter.Kadar tambang berdasarkan masa untuk teksi bajet pula ialah 25 sen bagi setiap 36 saat manakala untuk TEKS1M pula ialah 30 sen untuk 36 saat.

    Walau bagaimanapun tiada kadar tambang rasmi yang akan ditetapkan untuk servis e-hailing, di mana pengendali jaringan pengangkutan berdasarkan aplikasi online (TNO) seperti Grab dan Uber bebas untuk menetapkan kadar tambang mereka.

    Malaysia-Taxi-03

    “Terpulang kepada TNO untuk menetapkan kadar tambang yang lebih murah berbanding teksi.

    “Selain itu, tiada juga undang-undang menyatakan adalah menjadi kesalahan untuk pemandu teksi atau penyedia pengangkutan untuk menawarkan tambang lebih rendah dari kadar tambang yang ditetapkan.

    “Desakan pasaran akan membentuk trend tambang dalam jangka masa panjang,” jelas sumber berkenaan lagi.

    Surcaj atau kadar tambang lebih tinggi automatik apabila permintaan teksi tinggi yang kini diamalkan oleh TNO juga akan dibenarkan dan mungkin turut diimplentasikan kepada teksi konvensional.

    “Pengguna akan membuat keputusan sendiri servis yang mana lebih menarik untuk digunakan – teksi konvensional atau Uber, sebagai contoh” kata sumber berkenaan lagi.

    Walau bagaimanapun, teksi konvensional masih mempunyai kekuatan mereka sendiri di mana TNO tidak boleh mengambil penumpang seperti teksi biasa dan kadar tol yang lebih rendah.

    easy-taxi-super-easy-taxi 259

    “Pemandu E-hailing dengan kereta persendirian tidak boleh beratur di perhentian teksi di pusat membeli belah, hotel, hab pengangkutan atau stesen LRT. Mereka hanya boleh mengambil penumpang menerusi aplikasi, iaitu dari tempahan dalam aplikasi berkenaan.

    “Teksi biasa masih lagi mempunyai kelebihan berbanding pemandu e-hailing dalam banyak hal seperti tol lebuhraya yang lebih rendah dan mengambil penumpang di tempat yang dikhaskan,” jelasnya.

    Grab dan Uber juga bakal diberikan logo yang perlu dilekatkan pada pintu atau cermin hadapan kereta mereka bagi tujuan pengenalan.

    Sebelum ini, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah mencadangkan rombakan terhadap model TEKS1M kepada Kabinet dengan menyediakan peluang kepada pemandu teksi untuk mendapatkan permit teksi persendirian dan dana khas untuk pembelian teksi baharu. Kabinet juga perlu membuat keputusan untuk 11 inisiatif yang dicadangkan SPAD bulan hadapan.

    Big-Blue-Taxi-02

    Sementara itu, pemilik Big Blue Capital (M) Datuk Shamsubaharin Ismail (gambar diatas) berkata, rombakan berkenaan akan memberikan keuntungan kepada aplikasi e-hailing seperti Uber dan Grab berbanding memenuhi objektifnya. Beliau mendakwa berbanding menolong pemandu keluar dari sistem pajak dan menuju kearah keusahawanan, cadangan berkenaan dilihat akan memberikan peluang yang lebih besar kepada aplikasi e-hailing.

    “Pelan tranformasi ini tidak membantu industri teksi atau pemandu teksi tempatan tetapi lebih membenarkan aplikasi e-hailing menguasai pasaran,” kata beliau. Shamsubahrinjuga berkata pengeluaran permit teksi individu bukanlah perkara baharu kerana ia telahpun dilakukan pada 2013 di mana sejumlah 2000 permit dikeluarkan di bawah fasa pertama TEKS1M.

    Shamsubahrin juga mengatakan tidak semua pemandu teksi mengambil peluang berkenaan kerana kesukaran mendapatkan pinjaman bank dan mendesak SPAD menumpukan kepada penguatkuasaan menggunakan Akta Pengangkutan Awam Darat untuk menghukum mana-mana pengendali pengangkutan awam yang melanggar mana-mana undang-undang pengangkutan awam.

     
     
  • Honda CBR250RR buat penampilan sulung peringkat global di Indonesia, harga bermula dari RM19,500!

    Honda-CBR250RR-2

    Yang dinantikan oleh peminat motosikal 250 cc sudah tiba, setidak-tidaknya di negara jiran, Indonesia. Honda CBR250RR 2016 yang bakal menggantikan model terdahulu, CBR250R sudah pun membuat penampilan global yang pertama di Indonesia melalui pengedarnya di sana, PT Astra Honda Motor.

    Sama seperti desas-desus yang bertiub sebelum ini, Honda CBR250RR sah menggunakan enjin 250 cc selari berkembar, dengan lapan injap dan sejukan cecair. Ciri baru bagi model ini adalah penggunaan sistem ride-by-wire, dengan tiga mod enjin.

    Penggunaan ekzos berkembar di bahagian belakang, serta ciri lampu utama LED berkembar di bahagian depan memberikan imej yang jitu bagi versi terbaru jentera ini. Seperti yang ditampilkan pada model konsep Light Weight Super Sports Concept terdahulu, ia menggunakan brek cakera tunggal di depan dan belakang, dengan fork terbalik. Sistem gantungan belakang menggunakan sistem Pro-Link yang dibangunkan Honda, dengan lima posisi tersedia sebagai pilihan.

    Tiga warna ditawarkan sebagai pilihan, iaitu Racing Red, Anchor Grey Metallic dan Matte Gunpowder Metallic. Model ini turut menampilkan apa yang Honda kenali sebagai layered cowl, direka untuk mengoptimumkan aliran udara dan aerodinamik motosikal berkenaan.

    Di Indonesia, dua versi akan ditawarkan; model tanpa ABS pada harga 63-65 juta Rupiah (RM19.5K – 21K) dan model dengan ABS pada harga sekitar 69-70 juta Rupiah (anggaran RM21,500). Model sama turut akan diperkenalkan untuk pasaran Jepun dalam tahun ini.

     
     
  • KTM Super Duke GT 1290 kini di Malaysia – Harga RM125,080 termasuk GST, dilengkapi dengan ciri ABS

    2016 KTM Super Duke GT Launch -5

    Pengedar jentera dua roda berkuasa tinggi KTM di Malaysia, Eurotech Wheel Distribution Sdn Bhd kini memperkenalkan model sport touring terbaru, dikenali sebagai KTM Super Duke GT 1290 2016, pada harga RM118,000 (RM125,080 termasuk GST).

    Ia menggunakan enjin 1,301 cc V-Twin 75 darjah dari model Super Duke R, dan menjana 173 hp serta 144 Nm tork untuk memberikan kuasa tunggangan dan keselesaan sebagai sebuah jentera jelajah dan kembara. Ia juga lengkap dengan sistem drive-by-wire Keihin EFI, kuasanya disalurkan melalui kotak gear enam kelajuan dengan slipper cluthch hidraulik.

    Kerangkanya diperbuat daripada besi chrome-moly dan ditampung oleh sistem suspensi WP semi-aktif di bahagian depan dan belakang, dengan jarak endapan 125 mm dan 156 mm. Bagi brek, sistem Twin Brembo monoblok dengan kaliper empat piston pada cakera brek 320mm melengkapi di bahagian depan, manakala sistem Brembo tunggal dengan kaliper dua piston di bahagian belakang. Ia juga dilengkapi ciri ABS yang daripada Bosch.

    Bagi simpanan bahan api, tangki minyak dengan kapasiti 23 liter tersedia, sementara ketinggian tempat duduk pula ialah 835mm. Berat kering jentera ini ialah 205 kg dengan jarak kelegaan 140 mm, serta jarak rodanya pula ialah 1,482 mm.

    KTM Super Duke GT 1290 2016 ini akan mula berada di bilik pameran terpilih jenama ini dalam masa terdekat. Motosikal sport touring ini dijual pada harga asas RM118,000 (RM125,080 jika termasuk GST), dengan satu pilihan warna saja ditawarkan ketika ini. Bagi tempoh terhad, selagi stok masih ada, model ini akan turut disertakan dengan kotak barangan sisi.

     
     
  • ANIH umum penutupan lorong di laluan masuk R&R Genting Sempah mulai 1 hingga 11 Ogos ini

    ANIH

    ANIH Berhad, pemegang konsesi bagi komponen Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT 1) akan menjalankan kerja-kerja menaiktaraf dan penurapan jalan di laluan masuk ke kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Genting Sempah bagi meningkatkan lagi tahap keselamatan dan keselesaan pengguna.

    Sehubungan itu, penutupan lorong secara berperingkat akan dilaksanakan bermula 1 hingga 11 Ogos 2016 di laluan masuk ke kawasan R&R berkenaan. Sila ambil maklum bahawa laluan sementara ke R&R Genting Sempah untuk tempoh berkenaan hanya dibuka untuk kenderaan ringan sahaja, manakala pada 11 Ogos, R&R tersebut akan ditutup sepenuhnya kepada semua jenis kenderaan bermula dari jam 8 pagi hingga 10 malam.

    Oleh itu, semua pengguna yang ingin memasuki R&R Genting Sempah dinasihatkan mematuhi papan tanda serta arahan yang diberikan petugas dilokasi. Rujuk peta laluan sementara di atas dan kemudahan parkir yang disediakan.

    Mesej turut dipaparkan menerusi papan tanda elektronik (VMS) di sepanjang lebuh raya bagi membolehkan pengguna membuat persediaan awal dengan berhenti di kawasan R&R atau hentian sebelah yang lain, jika perlu.

    Untuk sebarang maklumat, sila ikuti medium komunikasi seperti Facebook Lebuhraya Pantai Timur dan laman Twitter @LPTTrafik bagi mengetahui status dan keadaan terkini serta isu-isu lain di sepanjang jajaran lebuh raya di bawah kendalian ANIH Berhad. Pengguna juga dinasihatkan untuk mengikuti akaun laman sosial LPT untuk merancang perjalanan.

     
     
  • Penstrukturan semula caj parkir di kawasan tumpuan perniagaan di KL bakal diketahui beberapa hari lagi

    Public-Parking-Lots

    Penstrukturan semula caj parkir di kawasan pusat perniagaan (CBD) bakal diketahui dalam beberapa hari lagi, ujar Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

    “Ia sedang disemak semula dan kita akan membuat keputusan tidak lama lagi, tunggu pengumuman dalam beberapa hari lagi,” ujarnya menurut laporan The Sun.

    Car parkir bagi beberapa kawasan termasuk Mont Kiara, Bangsar, Sri Hartamas dan Kepong akan dinilai semula, dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah pun membatalkan kadar parkir baharu di Taman Tun Dr Ismail yang dianggap sebagai kawasan penempatan penduduk.

    Pada 18 Julai lalu, DBKL telah menaikkan kadar caj parkir sebanyak 150%. DBKL mempunyai sejumlah 46,100 meter petak parkir di sekitar ibu kota dan 9,916 daripadanya terletak di CBD. Di mana caj parkir bagi kawasan itu dinaikkan dari RM0.80 sejam ke RM2 jam untuk sejam pertama. Selepas itu, caj sebanyak RM3 akan dikenakan pada jam kedua dan berikutnya.

    “Kami telah menerima maklum balas daripada orang awam dan segelintir daripada mereka dapat menerima kenaikan ini, dan ada yang tidak,” ujar Adenan lagi.

    Sebelum ini, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mohd Amin Nordin Abdul Aziz berkata, keputusan untuk menaikkan kadar caj parkir bukanlah atas dasar keuntungan, tetapi bagi mengurangkan kesesakan trafik di bandar dan menggalakkan masyarakat berkongsi kenderaan atau menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam.

    “Kami mahu mengosongkan sebanyak mungkin ruang parkir di tepi jalan di kebanyakan jalan di kawasan dalam bandar dan menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam atau berkongsi kenderaan jika memasuki pusat bandar. Saya sedar saya tidak akan menjadi seorang yang begitu dikenali, tetapi ini terpaksa dilakukan kerana trafik di KL sudah menjadi semakin padat dan terlalu sibuk,” ujarnya.

     
     
  • Motosikal elektrik Treeletrik dilancarkan di Malaysia

    2016-Treeletrik-e-bike-launch_BM

    Berikutan usaha kerajaan yang mensasarkan 100,000 kenderaan elektrik untuk berada di atas jalan raya Malaysia menjelang tahun 2020, Tree Movement – pemasang dan pengedar motosikal elektrik jenama Treeletrik telah melancarkan barisan model mereka tempoh hari. Tiga model dipamerkan iaitu T-90, T-70 dan T-Cargo pada majlis pelancaran yang dirasmikan oleh Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkenaan.

    Skuter T-90 digerakkan dengan motor elektrik berkuasa 84-volt dan dijana dengan bateri berkuasa 50 AH. Dengan sekali cas penuh, Treeletrik T-90 didakwa boleh ditunggang dalam jarak antara 80 hingga 100 km. Skuter ini ditimbang dengan berat 115 kg, dan mampu mencapai kelajuan maksimum 90 km/j.


    Treeletrik T-90 (kiri) dan e-skuter T-70

    Untuk skuter model T-70 pula, ia digerakkan dengan motot elektrik berkuasa 60-volt dan dijana oleh bateri berkuasa 30 AH, membolehkan ia ditunggang dalam jarak sekitar 70-90 km. Ditimbang dengan berat 78 kg, Treeletrik T-70 mampu mencapai kelajuan maksimum 60 km/j.

    Skuter komersial/utiliti T-Cargo turut dipamerkan. Skuter ini mempunyai ruang kargo yang besar ditempatkan pada posisi tempat duduk pembonceng. Motosikal ini direka untuk tujuan penghantaran barang jarak dekat dalam kawasan bandar, dan agak sesuai untuk kegunaan perniagaan penghantaran makanan yang semakin popular sekarang.


    Treeletrik T-220 (kiri) dan e-skuter T-60

    Dua lagi model akan diperkenalkan dalam barisan model Treeletrik iaitu T-220 dan skuter T-60. T-220 merupakan motosikal elektrik bersaiz penuh yang digerakkan oleh motor elektrik berkuasa 96-volt, membolehkan ia mencapai kelajuan 120 km/j dalam jarak sekitar 120 km. Manakala skuter T-60 pula digerakkan dengan motor elektrik 48-volt yang mampu mencapai kelajuan maksimum 55 km/j dalam jarak sekitar 90 km.

    Tiada lagi harga rasmi dikeluarkan, tetapi menurut Ketua Pegawai Eksekutif Treeletrik Micheal Yap, T-90 dan T-Cargo akan mula memasuki pasaran Malaysia akhir September ini, manakala T-70 akan menembusi pasaran pada November dengan harga permulaan RM4,500.

     
     
  • Yamaha Y15ZR 2016 – tampil dengan warna kelabu – ungu baharu, dijual dengan harga RM8,210

    Y15ZR_Brochure_F

    “Supercub” Yamaha – Y15ZR – kini menerima sedikit kemaskini untuk model 2016 iaitu hadir dengan warna kelabu dengan kemasan berwarna ungu baharu. Walaupun sekadar sebuah kapchai, Y15ZR menampilkan rupa bentuk yang disadur terus dari siri superbike Yamaha YZF.

    Ia dijana oleh enjin empat-lejang 150 cc empat injap, dengan sistem penyejukan cecair dan menerima suapan bahan api menerusi sistem EFI. Kuasa 15.1 hp pada takat 8,500 rpm dan tork maksima 13.8 Nm pada takat 7,000 rpm yang dihasilkan dihantar ke roda belakang menerusi kotak gear lima-kelajuan manual dan sistem rantai.

    Untuk memberhentikan kapchai ini, ia dilengkapi dengan sistem brek cakera serta angkup brek silinder tunggal pada bahagian hadapan dan belakang. Tangki bahan api yang diletakkan dibawah tempat duduk mempunyai kapasiti 4.2 liter, dan tempat duduk berkenaan sendiri agak mesra pengguna dengan tinggi 670 mm.

    Berat keseluruhan Yamaha Y15ZR ini ditimbang pada 115 kg, dan ia ditampung dengan sistem suspensi sepit udang teleskopik pada bahagian hadapan dan sistem monoshock pada bahagian belakang. Warna biru dan merah masih lagi boleh dipilih, manakala warna hitam pada katalog sebelum ini telah digugurkan dan digantikan dengan warna kelabu baharu yang disebutkan tadi.

    Yamaha Y15ZR dijual pada harga RM8,210 termasuk GST, tetapi tanpa insuran dan cukai jalan. Ia akan berhadapan saingan sengit dari Honda RS150R yang juga baharu dilancarkan dalam pasaran dan dijual dengan harga RM8,213.94 untuk varian standard, dan RM8,374.94 untuk varian Advanced – harga yang dinyatakan adalah termasuk GST, tanpa insuran dan cukai jalan.

     
     
  • Toyota Kuala Selangor kini berfungsi sebagai pusat 3S

    Toyota_KualaSelangor2

    UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT) telah membuka satu lagi pusat 3S di Selangor. Dikendalikan oleh Target Orion Corporation Sdn Bhd, pusat 3S tersebut terletak di Pekan Assam Jawa, Kuala Selangor, yang sebelum ini hanya berfungsi sebagai bilik pameran Toyota sahaja.

    Dengan jumlah kos pelaburan hampir RM10 juta, bilik pameran yang sebelum ini beroperasi di Bangunan UMNO sejak 12 tahun lalu, juga di daerah tersebut, telah berpindah ke premis yang lebih besar pada tahun 2013. Malah kini, ia telah memperluaskan lagi fungsinya termasuk bagi perkhidmatan selepas jualan dan pusat servis.

    Majlis pelancarannya telah disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi UMWT, Akio Takeyama, Datuk Ismet Suka selaku Presiden UMWT dan Pengarah Target Orion Corporation Sdn Bhd, Dato’ Adam Khan Omar Khan serta Justin See Kok Wah.

    “Kami sangat menghargai usaha yang dilakukan oleh pengedar bertauliah di dalam mengembangkan lagi perniagaan mereka bagi menawarkan perkhidmatan jualan dan selepas jualan untuk para pelanggan Toyota. Ini termasuklah Target Orion Corporation, antara rakan bisnes lama UMWT, sanggup melaburkan sejumlah kos yang besar untuk mengembangkan lagi perkhidmatan mereka ini,” ujar Takeyama.

    Toyota Kuala Selangor terletak dalam bangunan dua tingkat yang berkeluasan 1.8 ekar, turut mempunyai bilik pameran yang mampu mempamerkan lima model Toyota serta pusa servis dengan 10 ruang penyelenggaran yang mampu menyelenggara 17 buah kenderaan sehari. Selain itu, ia turut menyediakan ruang lounge untuk para pelanggan di samping kaunter jualan alat ganti tulen Toyota.

    Sehingga kini, UMWT telah mempunyai hampir 100 cawangan Toyota bertauliah yang memberikan perkhidmatan jualan dan selepas jualan.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.94 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.14 (+0.03)
Last Updated Aug 07, 2025