Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Mazda 6 2.2L SkyActiv-D diesel kini di M’sia – RM202k

    Mazda-6-diesel

    Bermaz Motor Sdn Bhd, pengedar rasmi Mazda di Malaysia telah mengumumkan model-modelnya dalam varian enjin diesel termasuklah Mazda 6 2.2L SkyActiv-D. Barisan model penjana kuasa diesel ini akan dilancarkan secara rasminya pada malam ini.

    Seperti mana model CX-5 diesel, Mazda 6 diesel juga dikuasakan dengan enjin 2.2 liter empat-silinder turbo-berkembar SkyActiv-D. Unit enjin ini berupaya menjana kuasa sehingga 173 hp pada takat 4,500 rpm dan tork maksima 450 Nm pada 2,000 rpm. Ia turut dipadankan dengan kotak gear automatik SkyActiv-Drive enam-kelajuan bersama mod manual.

    Selain daripada unit penjana kuasa, elemen yang ada pada Mazda 6 diesel adalah sama dengan Mazda 6 2.5L SKYACTIV-G. Ia dilengkapi dengan teknologi LED bagi lampu utama, lampu nyalaan siang dan lampu kabus hadapan. Manakala lampu belakangnya adalah kombinasi mentol dan LED. Ia turut menampilkan bumbung matahari berkuasa, cermin sisi berkuasa dengan indikator membelok dan rim aloi 19-inci yang dibaluti tayar 225/45/R19.

    Klik bagi besarkan imej perbandingan varian petrol dan diesel bagi Mazda 6

    Malah ukuran dimensinya juga sama seperti varian unit petrol 2.5L iaitu sepanjang 4,865 mm, selebar 1,840 mm, berketinggian 1,450 mm dan jarak roda 2,830 mm.

    Bagi kabinnya, ia turut menampilkan tempat duduk pemandu larasan elektronik lapan-cara dan enam-cara bagi penumpang hadapan. Malah tempat duduk belakang juga boleh dilipat secara nisbah 60:40 dan material kulit dipilih bagi membaluti tempat duduknya, nampak lebih elegan dan sofistikated.

    Mazda 6 diesel juga dilengkapi dengan unit utama Mazda Active Driving Display, butang start/stop enjin, brek parkir elektronik, roda stereng teleskopik boleh laras, pedal penukar gear di belakang roda stereng, kawalan kelajuan, penghawa dingin dua-zon termasuk corong untuk penumpang belakang, cermin pandang belakang anti-silau serta balutan kulit bagi roda stereng dan tombol gear.

    Ia juga dilengkapi dengan paparan skrin sentuh tujuh-inci dengan MZD Connect bagi sistem hiburan bersama pemain CD dan MP3, sistem Bose Surround Sound dengan 11-speaker, sambungan Bluetooth termasuk kit bebas tangan bagi telefon bimbit, Multi-Function Commander Control, sistem navigasi, butang kawalan audio dan sambungan telefon bimbit pada roda stereng, dan dua port bagi USB.

    Seperti mana model terkini Mazda yang lain, 6 diesel ini turut menampilkan Mazda i-Stop Idling Technology tanpa Mazda i-ELOOP Brake Energy Regeneration System seperti mana ada pada model enjin petrol.

    Bagi aspek keselamatan, ia turut dilengkapi dengan enam beg udara, ABS dengan EBD, Kawalan Kestabilan Dinamik, Bantuan Brek Kecemasan, Isyarat Berhenti Kecemasan, Pemantauan Tekanan Tayar, Amaran Penukaran Lorong, Kepekaan Lintasan Trafik di Belakang, Sokongan Brek Bandar Pintar, Pemantuan Titik Buta dan pengingatan pemakaian tali pinggang keledar dan Isofix.

    Mazda 6 2.2L SkyActiv-D diesel ini dibawa masuk dari Jepun (CBU), dijual pada harga atas jalan RM202,830 (tanpa insurans). Ia ditawarkan dengan empat pilihan warna iaitu Soul Red Metallic, Snowflake White Pearl, Meteor Grey dan Sonic Silver Metallic.

    Mazda6 2.2L SkyActiv-D ini turut didatangkan dengan waranti tiga tahun atau 100,000km dan servis percuma selama tiga tahun atau 60,000km.

     
     
  • Mazda perkenal CX-5 2.2L SkyActiv-D – harga RM162K

    CX-5 Front

    Bermaz Motor hari ini memperkenalkan barisan kenderaan diesel yang dilengkapi enjin SkyActiv-D. Ini termasuk model crossover CX-5 2.2L 2WD SkyActiv-D dan dijual pada harga RM161,529. Langkah ini selari dengan kejayaan yang telah dicapai oleh Mazda di Jepun terhadap barisan kenderaan yang lebih menarik dan cekap dengan sambutan yang sangat menggalakkan.

    Ia juga merupakan model pemasangan tempatan (CKD) di kilang pemasangan Bermaz di Kulim, Kedah bagi membolehkan pengguna menikmati pakej harga yang lebih berbaloi.

    Enjin SkyActiv-D 2.2L ini menghasilkan 420 Nm tork, setara dengan enjin petrol 4.0L V8. Namun, dalam masa sama, ia memberikan 20% lebih penjimatan bahan api. Enjin diesel yang dibangunkan Mazda ini juga telah menemukan penyelesaian dan tidak lagi menghadapi masalah ketika menghidupkan enjin dalam keadaan sejuk.

    Masalah utama bagi enjin diesel ialah ia tidak mempunyai cukup haba untuk pembakaran sempurna dalam keadaan sejuk, dan kerap mengalami misfiring ketika memanaskan enjin. Penyelesaian konvensional adalah dengan meningkatkan nisbah mampatan. Namun, langkah ini mempunyai satu masalah lain; tekanan dan suhu yang terlalu tinggi untuk enjin yang menyebabkan pembakaran tidak lengkap. Penyelesaian umumnya adalah dengan melambatkan ignition, tetapi penggunaan bahan api akan menjadi lebih teruk.

    Penyelesaian Mazda pula adalah dengan mengawal dengan tepat suntikan minyak dan memperbaiki bukaan dan penutupan injap ekzos. Penyuntik multi-hole piezo digunakan bagi paten suntikan yang pelbagai. Ketepatan jumlah suntikan dan pemasa ini akan membolehkan kawalan campuran yang optimum, membawa kepada pembakaran maksimum.

    Sistem bukaan injap boleh ubah (variable valve lift, VVL) digunakan bagi injap ekzos. Kitaran pembakaran tunggal memadai untuk meningkatkan suhu; gas ekzos kemudiannya disalurkan semula ke dalam silinder untuk menaikkan lagi suhu, yang kemudian memperbaiki menghidupkan enjin ketika sejuk.

    Mazda CX-5 SkyActive-D dipadankan dengan transmisi automatik SkyActive-Drive enam-kelajuan dan sistem pacuan 2WD. Ia dijual pada harga RM161,529 tidak termasuk insurans. Pilihan warnanya ialah Aluminium Metallic, Arctic White, Blue Reflex dan Meteor Grey. Ia juga lengkap dengan semua ciri keselamatan Mazda i-Activeness, termasuk Rear Cross-Traffic Alert (RCTA), Smart City Brake Support (SCBS) dan Blind Spot Monitoring (BSM).

    Selain model ini, Bermaz turut membawa masuk Mazda6 2.2L SkyActiv-D versi CBU. Sebuah lagi model, Mazda CX-3 1.5L SkyActiv-D juga akan dibawa masuk untuk tujuan penilaian.

    Penawaran terbaharu Mazda ini turut didatangkan dengan waranti tiga tahun atau 100,000km dan servis percuma selama tiga tahun atau 60,000km.

     
     
  • Lebuhraya DASH, SUKE diteruskan seperti yang dirancang, mula dibina tahun depan – Noh Omar

    DASH-01

    Cadangan laluan Lebuhraya DASH

    Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar telah mengesahkan pembinaan Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) dan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Klang (SUKE) akan dilaksanakan seperti dirancang walaupun berdepan pelbagai halangan.

    Katanya, pembinaan kedua-dua lebuhraya itu dengan kos kira-kira RM9.87 bilion adalah sebahagian daripada lima projek lebuh raya yang dilaksanakan Kerajaan Persekutuan di Selangor, laporan Bernama.

    Kedua-dua lebuhraya itu dijadualkan mula dibina pada tahun hadapan selepas selesai proses pengambilan tanah. Walau bagaimanapun, terdapat bantahan daripada sesetengah pihak hingga ada yang membawanya ke peringkat mahkamah.

    “Bagaimanapun, pihak Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) telah maklumkan dalam mesyuarat bahawa mereka akan teruskan projek itu dengan mengambil kira masalah rakyat tempatan. Kita harap bila lebuhraya ini siap, ia akan bantu kurangkan kesesakan,” katanya kepada pihak media semalam.

    Noh berkata selain DASH dan SUKE, Kerajaan Persekutuan bakal membina Lebuhraya Putrajaya-KLIA (MEX2) tahun depan dan sedang melaksanakan projek pembinaan Lebuh Raya Pantai Barat (WCE) dan Lebuh Raya Lembah Klang Timur (EKVE).

     
     
  • Malaysia dan Singapura memeterai perjanjian sefahaman Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi

    AppleMark

    Hari ini Malaysia mencatat satu lagi sejarah apabila menandatangani Memorandum Pesefahaman (MoU) dengan Singapura bagi projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura.

    MoU berkenaan ditandatangani Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Rahman Dahlan dan Menteri Penyelaras bagi Infrastruktur Singapura, Khaw Boon Wan yang juga Menteri Pengangkutan negara itu. Ia turut disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, laporan Bernama.

    Laluan berkembar HSR yang dicadangkan, sepanjang 350 km, akan menghubungkan Bandar Malaysia di pinggir Kuala Lumpur dan Jurong East di Singapura. Projek berkenaan bakal memendekkan masa perjalanan dari Singapura ke Kuala Lumpur dari empat jam dengan menaiki kereta kepada hanya 90 minit, yang dilaporkan sebelum ini dengan kelajuan melebihi 300 km sejam.

    HSR-stations-proposed

    Ia bakal menelan belanja sekitar RM60 bilion hingga RM65 bilion dan mempunyai lapan stesen iaitu Bandar Malaysia, Putrajaya, Seremban, Ayer Keroh, Muar, Batu Pahat, Iskandar Puteri dan Singapura.

    Kedua-dua kerajaan itu akan menawarkan tender antarabangsa pada Ogos 2016 untuk melantik rakan kongsi pembinaan bersama.

    MoU itu merupakan hasil perbincangan mendalam antara kementerian Pengangkutan dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), serta kementerian Pengangkutan dan Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat Singapura sejak projek itu mula diumumkan oleh Perdana Menteri kedua-dua negara pada Februari 2013.

    MoU itu memuktamadkan keputusan penting perjanjian projek berkenaan, termasuk aspek teknikal, model komersial, pelepasan kastam, imigresen dan kuarantin (CIQ), urusan keselamatan, rangka kerja kawal aturan selain pengurusan projek.

     
     
  • Benelli TnT25 Black Edition – Harga kekal RM12,990

    2016-Benelli-TnT25-Black-Edition2-e1468842126243-850x780

    Pengedar motosikal jenama Benelli tempatan, Benelli Keeway Motorcycles Sdn Bhd mengumumkan Benelli TnT25 Black Edition kini sudah mula ditawarkan. Dengan pakej penampilan Matte Black yang lebih menawan, rekaan grafik Tornado Naked yang menghiasinya juga diberi sentuhan baharu.

    Bagaimanapun, spesifikasi keseluruhannya kekal tidak berubah. Model berkenaan dilengkapi enjin silinder tunggal yang menghasilkan 25.2 hp pada 9,000rpm dengan 21.5 Nm tork pada 7,500rpm. Ia dipadankan dengan kotak gear enam-kelajuan.

    Dengan pengenalan warna Matte Black baharu ini, warna hijau sedia ada tidak lagi ditawarkan. Yang tinggal sebagai pilihan ialah warna merah. Harga jualan bagi model berkenaan masih sama, iaitu RM12,990 tidak termasuk insurans, cukai jalan dan GST.

     
     
  • VIDEO: Jeep – Evolusi 75 tahun

    Pembuat kenderaan off-road ikonik dari Amerika Syarikat – Jeep – meraikan ulangtahun ke 75 tahun mereka tahun ini. Sempena sambutan ulangtahun berkenaan, Jeep telah menyiarkan video istimewa evolusi selama 75 tahun kenderaan-kenderaan keluaran mereka bermula dengan model Willys MA 1941 dan model-model klasik lain seperti Willys CJ-3B untuk era 1950 an, Jeep Forward Control dan Wagoneer untuk era 1960 an, dan Honcho untuk era 1970 an.

    Walau bagaimanapun, Jeep Wrangler dipilih sebagai model edisi sambutan ulangtahun ke-75 ini kerana ia mempunyai rupa paras paling seiras dengan rekaan Jeep Willys yang asal. Model lain yang turut mendapat sentuhan ulangtahun ke-75 termasuk model Jeep Cherokee, Grand Cherokee, Renegade, Compass dan Patriot.

    Tonton video diatas untuk melihat dengan lebih terperinci bagaimana model-model Jeep berevolusi sejak 75 tahun yang lalu.

    GALERI: Model Edisi Istimewa Ulangtahun Jeep ke-75

     
     
  • UMW Toyota sahkan semakan status kenderaan dalam talian (VIN) boleh digunakan menerusi laman webnya

    prius-fl-malaysia

    UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT) telah mengesahkan laman web rasminya telah dilengkapi dengan semakan status kenderaan secara dalam talian (VIN) bagi memudahkan para pelanggannya menyemak status kenderaan masing-masing khususnya bagi yang terlibat dengan panggilan balik.

    Canya, layari laman web rasmi UMWT dan isi maklumat mengenai kenderaan untuk mengetahu status kenderaan anda.

    Pada penghujung Jun lalu, UMWT telah mengumumkan panggilan balik yang melibatkan melibatkan Toyota Prius dan Lexus CT200h bagi pasaran Malaysia.

    Kempen Servis Istimewa (SSC) atau panggilan pertama melibatkan isu beg udara tirai yang membabitkan lebih dari 3,500 unit Prius buatan antara April 2009 dan April 2012 serta 1,700 unit CT200h buatan antara Disember 2010 dan April 2012.

    Manakala panggilan kedua pula melibatkan 6,000 unit model Prius (tahun buatan April 2009 dan November 2013) dan 3,000 unit CT200h (Disember 2010 dan Disember 2013). Ia adalah membabitkan charcoal canister pada tangki minyak. Di mana canister atau balang digunakan untuk mencegah emisi dari tangki minyak dilepaskan ke udara. Ada kemungkinan terdapat rekahan pada bahagian tepi saluran balang ini.

    UMWT menyeru, mana-mana pemilik kenderaan yang terlibat agar segera membawa kereta masing-masing ke pusat servis Toyota yang bertauliah untuk diperiksa dan digantikan komponen terbabit (jika diperlukan).

    Bagi pemilik yang tidak menerima sebarang notis atau ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenainya, sila hubungi talian bebas berikut – 1800-8-TOYOTA (869682) / 1800-8-LEXUS (53987). Atau pun terus berkunjung ke mana-mana pusat servis Toyota atau Lexus untuk bantuan.

     
     
  • SPYSHOT: Honda CR-V generasi baharu sekali lagi dilihat sedang membuat ujian di atas jalan raya

    Honda-CR-V-spyshots-4

    Selain dari Honda Accord generasi kesepuluh, jurugambar pengintip kami turut berjaya mengambil gambar Honda CR-V generasi berikutnya yang sedang diuji dalam cuaca panas. Ini merupakan kali kedua SUV generasi kelima dari Honda ini dilihat sedang diuji diatas jalan raya. Model ini dijangka akan dilancarkan tahun hadapan, sempena ulang tahun ke-20 tahun CR-V dalam pasaran.

    Walaupun unit yang sedang diuji ini masih dilitupi pelekat penyamaran sepenuhnya, tanpa kain penutup tambahan, bentuk badan sebenar CR-V ini jelas kelihatan. Bahagian hadapan dilihat masih membawa DNA rekaan dari model sedia ada, dengan sepasang lampu hadapan yang seperti ‘disikat’ kebelakang, mengapit gril hadapan dengan bar tebal merentangi bahagian tengah seterusnya menghasilkan imej ‘Honda Solid Wing’ iaitu rekaan signatur terkini Honda. Liang kemasukan udara bahagian tengah dan rekaan keseluruhan bampar hadapan turut kelihatan seiras dengan model sedia ada.

    Imej unit prototaip yang dilihat sebelum ini meperlihatkan tingkap sisi bahagian belakang masih menyerupai model sedia ada yang berbentuk air mata, tetapi untuk model prototaip kali ini, Honda menambah pelekat tambahan pada bahagian berkenaan, menyelindungkan bentuk sebenarnya. Walau bagaimanapun, profil sisi CR-V masih boleh dilihat secara keseluruhan, menampilkan rekaan yang lebih anggun.

    Lengkok pada bahagian belakang CR-V ini masih kelihatan sama dengan CR-V sedia ada. Tetapi berbeza dengan rekaan tradisi lampu belakang generasi-generasi sebelum ini yang direka secara menegak, CR-V generasi terbaharu ini menampilkan rekaan melintang. Buat pertama kali juga, rekaan pada lampu belakang CR-V menerima rekaan ‘two-piece’ di mana lampu pada badan turut bersambung pada lampu pada pintu tailgate belakang.

    Honda-CR-V-spyshots-11

    Berbanding dengan unit prototaip yang diuji sebelum ini, menampilkan tip ekzos berkembar, unit yang dilihat pada kali ini hanya menampilkan tip ekzos tunggal pada bahagian sisi kanan. Unit pada kali ini juga menampilkan lampu hadapan projektor berbanding unit sebelum ini yang dilengkapi dengan lampu LED sepenuhnya. Dengan ciri-ciri berkenaan, boleh disimpulkan model yang dilihat kali ini merupakan varian 2.0 liter menggunakan enjin R20A seperti model CR-V sedia ada, manakala prototaip yang dijumpai sebelum ini adalah dari varian berkuasa turbo.

    Varian turbo berkenaan dikhabarkan akan menggunakan enjin 1.5 liter VTEC Turbo dari Civic generasi kesepuluh, menggantikan varian 2.4L yang menggunakan enjin K24A pada model sedia ada. Seperti tradisi pembinaan CR-V sejak generasi pertama, model terbaharu ini turut menggunakan platform Civic sebagai asas, dan berkongsi dengan Accord generasi berikutnya.

    Turut dikhabarkan model terbaharu ini mempunyai dimensi lebih besar dari model generasi keempat. Honda Australia sebelum ini membayangkan CR-V generasi seterusnya mungkin akan hadir dengan pilihan tujuh-tempat duduk untuk membezakannya dari HR-V. Jika benar, CR-V mungkin akan mempunyai saiz seakan Nissan X-Trail dengan bentangan tempat duduk 5+2.

     
     
  • VIDEO: Nissan Serena generasi baharu – bagaimana sistem pemanduan sendiri ProPILOT berfungsi

    Nissan mengumumkan sistem ProPILOT akan dilengkapi pada Serena generasi terbaharu yang bakal dilancarkan untuk pasaran Jepun bulan Ogos ini, sebagai langkah awal pengeluaran kereta dengan sistem pemanduan automatik sepenuhnya. Jadi, untuk menerangkan bagaimana sistem ini berfungsi, Nissan telah menyiarkan video informasi mengenai sistem ProPILOT berkenaan.

    Nama ProPILOT bakal digunakan sebagai nama rasmi untuk sistem pemanduan automatik Nissan selepas ini. Walau bagaimanapun, dengan sistem yang hanya boleh digunakan dalam satu lorong sahaja, sistem ProPilot dilihat lebih seperti sistem Kawalan Kelajauan Adaptif (Adaptive Cruise Control) dengan tambahan kawalan automatik pada stereng serta kebolehan berhenti dan bergerak semula di dalam trafik. Sistem berkenaan mirip kepada sistem yang dilengkapkan pada Mercedes-Benz S-Class serta Volvo XC90, dan Nissan mendakwa mereka adalah pengeluar automotif dari Jepun pertama yang menggabungkan sistem kawalan stereng, brek dan pedal pendikit secara automatik sepenuhnya.

    Perbezaan utama sistem daripada Nissan ini berbanding dengan pengeluar lain ialah, ia tidak menggunakan sebarang radar mengesan kenderaan lain di hadapan. Sebaliknya ProPILOT menggunakan hanya sebuah kamera pada bahagian atas cermin hadapan, iaitu kamera yang sama digunakan untuk sistem brek kecemasan automatik (AEB) pada Serena.

    160713-02-01-1200x600-e1468895627741_BM

    Kamera berkenaan dilengkapi dengan perisian pemprosesan imej yang canggih – mampu mengenalpasti kedalaman tiga-dimensi, membolehkan ia mengesan kenderaan di hadapan serta garisan jalan. Berdasarkan informasi dari kamera, pemproses berkelajuan tinggi akan mengawal stereng, brek dan pendikit, dan memastikan jarak dengan kenderaan hadapan dikekalkan pada kelajuan antara 30 dan 100 km/j.

    Seperti juga sistem kawalan kelajuan adaptif yang lain, sistem ini akan mengekalkan kedudukan Serena pada bahagian tengah lorong – walaupun pada selekoh panjang di lebuhraya – dan akan menekan brek secara automatik untuk menghentikan sepenuhnya MPV ini jika kenderaan di hadapan turut melakukan perkara yang sama. Apabila kenderaan di hadapan mula bergerak semula, pemandu boleh mengaktifkan semula sistem ProPILOT dengan hanya menekan butang resume pada roda stereng atau dengan menekan sedikit pada pedal pendikit.

    Sistem pemanduan automatik ProPILOT ini akan terus dibangunkan oleh Nissan dari semasa ke semasa dan merancang untuk memperkenalkan sistem pelbagai lorong di lebuh raya – termasuk penukaran lorong secara automatik, sama seperti sistem Autopilot Tesla – pada tahun 2018 nanti, dan pemanduan automatik pada persekitaran moden dan persimpangan pada tahun 2020, sebelum Sukan Olimpik Tokyo bermula.

    GALERI: Nissan Serena generasi kelima

     
     
  • BMW 528i M Performance Edition diperkenalkan – harga RM363,800, terhad 100 unit sahaja

    BMW 528i M Performance Edition

    BMW Group Malaysia telah pun memperkenalkan model BMW 528i M Performance Edition sempena dengan sambutan ulangtahun ke-100 BMW Group.

    Bagi menambahkan lagi gayanya yang nampak lebih garang, agresif dan sporty, BMW 528i M Performance Edition dilengkapi dengan padanan gril ‘kidney’ hitam dengan bampar hadapan dan spoiler belakang olahan gentian karbon. Begitu juga dengan skirt sisinya diperbuat daripada gentian karbon serta jaluran M Performance.

    Dengan adanya elemen tambahan bagi kit M Performance ini, secara tidak langsung model sedan premium ini bertukar karakter menjadi lebih menggiurkan.

    Ditawarkan dengan unit yang terhad iaitu hanya 100 buah untuk pasaran tempatan, BMW 528i M Performance Edition in dijual pada harga atas jalan (tanpa insurans) RM363,800.

    Ia turut didatangkan dengan waranti lima-tahun tanpa perbatuan terhad serta bersama Program Servis Berkala Percuma dan Program Waranti Tayar BMW.

    Pada Mac lalu, BMW Group Malaysia telah memperkenalkan BMW 528i M Sport yang dilengkapi dengan set roda Style 351M lebih besar bersaiz 19-inci, spoiler belakang, bumbung suria, dan juga sistem iDrive yang dikemaskini dengan tambahan sistem ConnectedDrive dan Concierge Service. Ia berharga RM417,800 (harga atas jalan tanpa insuran).

     
     
  • Rolls-Royce Dawn buat penampilan sulung di Malaysia

    RollsRoyce_Dawn_Ext-5

    Rolls-Royce Motor Cars Kuala Lumpur pagi ini melancarkan model terbaharu jenama mewah itu di Malaysia, Roll-Royce Dawn, dengan harga permulaan RM4 juta. Antara model mewah pengeluar sama yang pernah diperkenalkan untuk pasaran tempatan sebelum ini ialah Ghost dan Wraith.

    Dawn menampilkan pendekatan rekabentuk yang dikenali sebagai Drophead (bumbung boleh diturunkan), menjadikannya model kedua yang mewarisi reka bentuk yang sama selepas model Phantom Coupe.

    Dari sudut kejuruteraan, Rolls-Royce memberi perhatian khusus terhadap operasi elektronik bagi bumbung berkenaan; ia hanya memerlukan 20 saat untuk dilipat dan simpan sepenuh, dan ini boleh dilakukan dalam keadaan kenderaan bergerak tidak melebihi kelajuan 50 km/j.

    Menjadi nadi utama penggerak model ini ialah enjin berkapasiti 6.6 liter V12. Ia menjana sejumlah 563 hp dan 780 Nm tork, yang digandingkan bersama transmisi lapan-kelajuan oleh ZF.

    Dawn mendefinisikan semula maksud kemewahan pada sebuah kenderaan. Buatan tangan yang halus, serta pengalaman pemanduan dan ketika berada di dalamnya yang lain daripada lain menjadikannya sangat unik dan berbeza.

    “Sejak beberapa tahun ini, kami melihat jenama Rolls-Royce berubah apabila generasi baharu usahawan yang berjaya ingin memiliki sebuah Rolls-Royce. Model Ghost dan Wraith nyata mengubah tanggapan terhadap penampilan sebuah Rolls-Royce moden. Kami amat berbangga untuk bekerjasama dengan Rolls-Royce,” jelas Pengarah Urusan Rolls-Royce Motor Cars Kuala Lumpur, Datuk Michael Ong.

    Rolls-Royce Dawn dengan reka bentuk Drophead dengan empat tempat duduk adalah sebuah kenderaan mewah kontemporari yang sukar ditandingi. Bahagian dalaman yang menggunakan panel Canadel manakala sebahagiannya diperbuat daripada kayu boleh disesuaikan mengikut pilihan pelanggan.

    Rolls-Royce Dawn akan dipamerkan dan terbuka untuk kunjungan umum di Bangsar Shopping Centre mulai 22 hingga 24 Julai, dari 11 pagi hingga 8 malam.

     
     
  • SPYSHOT: Honda Accord generasi seterusnya dilihat sedang membuat ujian jalan raya di Amerika Syarikat

    Honda-Accord-spied-3_BM

    Minggu lalu, Toyota Camry generasi berikutnya kelihatan sedang diuji di atas jalan raya di Amerika. Terkini, ‘musuh tradisi’ Camry – Honda Accord generasi seterusnya pula dilihat sedang membuat ujian di atas jalan raya, juga di Amerika Syarikat.

    Unit Accord yang sedang diuji berkenaan mengenakan penyamaran yang agak ‘berat’. Namun berdasarkan profil bahagian mukanya, gril dan rekaan bampar hadapan Accord ini adalah berdasarkan rekaan pada Accord generasi kesembilan.

    Dimensi Accord baharu ini dijangka tidak bertambah secara drastik. Malah dimensi model generasi kesembilan sedia ada juga diukur sedikit kecil berbanding model generasi kelapan. Model baharu ini juga dilaporkan dibina menggunakan platform yang sama dengan Honda Civic generasi kesepuluh beserta konsep rekaan yang sama.

    Honda-Accord-spied-10_BM

    Untuk unit janakuasa, ia dijangka akan mengekalkan enjin dan transmisi dari Accord sedia ada, tetapi dengan talaan dan perincian yang lebih halus. Enjin empat-silinder dengan pengecas turbo turut dijangka akan ditawarkan pada Accord ini, bergantung pada pasaran.

    Walaupun pasaran Amerika gemarkan enjin berkapasiti besar, enjin V6 mungkin digugurkan dari barisan varian Accord kerana undang-undang emisi yang semakin ketat. Ia dijangka akan digantikan dengan varian hibrid yang lebih berkuasa.

    Jenama Accord kini sudah sudahpun berusia 40 tahun, dan Honda Accord generasi kesepuluh ini dijangka akan didedahkan pada bahagian kedua tahun hadapan, dan dilancarkan sebagai Honda Accord 2018.

     
     
  • KL MRT: Penutupan jalan sementara di beberapa lokasi di Damansara mulai hari ini hingga 3 Ogos

    MRT_SUNWAY_DAMANSARA

    Klik untuk besarkan imej

    MMC-Gamuda telah mengumumkan penutupan jalan sementara dan lencongan trafik akan disambung mulai hari ini hingga 24 Julai ini melibatkan Persiaran Surian berhampiran Dataran Sunway selepas persimpangan Persiaran Mohagani.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan, penutupan jalan itu akan dilaksanakan dari jam 10 malam hingga 5 pagi setiap hari untuk kerja-kerja pembinaan fisiliti jalan berhampiran Stesen Surian.

    Sepanjang penutupan tersebut, pengguna jalan raya yang datang dari Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) yang ingin ke Persiaran Mohagani dan Persiaran Surian (arah Sungai Buloh) perlu masuk ke kanan di Jalan PJU 5/1 di Sunway Nexis dan kemudian masuk ke kiri ke Jalan PJU 5/19 sebelum ke Persiaran Mahogani dan Persiaran Surian.

    Sementara itu, pengguna jalan raya yang mahu ke LDP, akan dilencongkan ke Persiaran Mahogani, masuk ke kanan ke Jalan PJU 5/19 dan kanan lagi ke Jalan PJU 5/1 sebelum ke Persiaran Surian berhampiran Sunway Nexis.

    MMC-Gamuda juga memaklumkan akan meneruskan Pelan Pengurusan Trafik di sepanjang LDP, yang akan diimplementasi dari 20 Julai sehingga 3 Ogos, jam 11 malam hingga 6 pagi. Pelan ini melibatkan penutupan satu lorong di SS21 Damansara Utama (arah kepong) dan kedua-dua arah Persiaran Bandar Utama dari Dataran Bandar Utama ke susur LDP.

    Selain itu, penutupan jalan turut melibatkan simpang Sri pentas ke One Utama (New Wing) dari tengah malam hingga 8 pagi pada setiap Sabtu dan Ahad.

    Sepanjang penutupan jalan ini, pengguna jalan raya dari SS2 di LDP (arah kepong) dan dari Jalan Damansara yang ingin ke Persiaran Bandar Utama perlu memandu 250m ke hadapan dan memasuki simpang kiri ke Persiaran Surian, sebelum akses ke Bandar Utama dengan memasuki simpang kiri di Dataran Bandar Utama.

    Sementara pengguna jalan raya dari Lebuhraya Sprint yang ingin ke Bandar Utama boleh terus melalui lebuhraya tersebut dan memasuki One Utama dari Lebuh Bandar Utama.

    Semua pengguna jalan raya dinasihati agar mematuhi papan tanda dan isyarat jalan serta memandu dengan lebih berhati-hati di kawasan yang terlibat.

     
     
  • SIC siasat laporan resapan air di atas permukaan litar

    2016-Sepang-International-Circuit-renovation-18-850x567

    Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sedang menyiasat laporan yang mengatakan terdapat resapan air pada permukaan litar semasa sesi ujian. SIC berkata mereka sedang berkerjasama dengan syarikat pereka litar Dromo, yang turut terlibat dengan proses turapan semula litar berkenaan, serta kontraktor penyelenggara litar Nippon Road, untuk menyiasat punca dan memastikan masalah berkenaan tidak berlaku lagi.

    Sesi ujian MotoGP, yang dijalankan oleh penunggang dari Ducati, Honda dan Yamaha untuk memberikan data kepada pembekal tayar mereka iaitu Michelin, diadakan pada 8 Julai lalu. Ribut petir dilaporkan berlaku di Sepang sehari sebelum ujian berkenaan diadakan.

    SIC mengatakan bahawa hujan lebat berkenaan merupakan peluang ideal untuk mereka menguji rekaan dan keberkesanan permukaan baharu litar tersebut sebelum bermulanya Grand Prix Formula 1 Malaysia pada penghujung September dan perlumbaan MotoGP pada akhir Oktober tahun ini.

    “Ini membolehkan semua pihak untuk membuat pemerhatian, penilaian dan mengambil langkah-langkah yang perlu untuk menambahbaik litar sehingga ke tahap standard tertinggi. Keutamaan kami ialah untuk memastikan semua pengguna litar mendapat pengalaman terbaik,” kata pihak SIC dalam kenyataan yang dikeluarkan.

    “Kami juga suka untuk mengesahkan kertas yang digunakan adalah kertas penyerap bergred industri yang diluluskan untuk digunakan dalam standard penyelenggaraan litar oleh FIM, dan bukan kertas tisu seperti yang dilaporkan. Kertas jenis yang sama turut digunakan pada litar lain untuk membantu mengeringkan litar,” tambah kenyataan berkenaan.

    Selepas proses pengubahsuaian litar tersebut, SIC kini mengalihkan tumpuan mereka kepada peringkat seterusnya – menurut The Sun, pelan bernilai RM1.13 bilion disediakan untuk menjadikan litar berkenaan menjadi sebuah “hab bersepadu, pelbagai hiburan” untuk lima hingga tujuh tahun akan datang.

     
     
  • 20 pemandu yang guna lorong kecemasan dalam insiden di Melaka Mei lalu didenda RM1k hingga RM2k

    AppleMark

    Mahkamah Majistret Melaka telah menjatuhkan hukuman terhadap 20 pemandu kenderaan yang melakukan kesalahan dengan memandu di lorong kecemasan dalam satu insiden di KM228 (menghala ke selatan) Lebuhraya Utara Selatan pada 22 Mei lalu sehingga mengakibatkan ambulans tersekat dalam kesesakan trafik dan tiba lewat di lokasi bagi menyelamatkan mangsa kemalangan terbabit.

    Kesemua pesalah trafik terbabit yang terdiri daripada 16 lelaki dan empat wanita berusia di antara 23 hingga 65 tahun, mengaku bersalah atas pertuduhan masing-masing, laporan Bernama.

    Majistret Nor Azizah Yusof menjatuhkan hukuman terhadap enam tertuduh yang didenda RM1,000, seramai 11 tertuduh didenda RM1,500 dan tiga lagi didenda RM2,000. Sekiranya gagal membayar denda itu, seramai 19 tertuduh berdepan penjara sebulan manakala seorang tertuduh yang didenda RM2,000 boleh dipenjara dua bulan.

    Mereka dituduh mengikut Kaedah 53(1) Kaedah Lalulintas Jalan Raya 1959 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 119 (2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman denda maksimum RM2,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

    Antara alasan yang diberikan oleh pesalah trafik berkenaan ialah ingin cepat menuju ke destinasi, mahu melepasi kesesakan lalu lintas teruk, ingin ke tandas, anggota keluarga sakit, kereta rosak dan tidak mengetahui peraturan lorong kecemasan.

    Walau bagaimana pun, Nor Azizah berkata faktor kepentingan awam perlu diambil kira dalam menjatuhkan hukuman bagi kes itu kerana ia bukan sahaja memberi kesan kepada mangsa kemalangan malah pengguna jalan raya lain.

    Katanya, “Jika semua tidak guna lorong kecemasan, bantuan cepat sampai. Malah kenderaan yang terlibat dengan kemalangan boleh dialihkan dengan cepat dan seterusnya kesesakan lalu lintas dapat diselesaikan segera. Fikirkan orang yang betul-betul perlukan bantuan. Jangan fikir nak cepat saja, kalau jadi keluarga mangsa, tentu kamu juga marah.”

    Pendakwaan dijalankan pegawai pendakwa Jabatan Pengangkutan Jalan Nur Azmina Jacqueline Abdullah, manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025