Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Caj jalan Genting Highland perlu ambil kira mereka yang perlu lalu jalan tersebut setiap hari – Exco

    Caj jalan Genting Highland perlu ambil kira mereka yang perlu lalu jalan tersebut setiap hari – Exco

    Bukan semua orang yang melalui jalan Genting Highland untuk bercuti, justeru kerajaan Pahang berharap pengumuman Genting Malaysia yang mahu mengenakan caj jalan untuk mereka yang melalui jalan tersebut turut mengambil kira kepentingan serta kesejahteraan penduduk setempat.

    Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan negeri Pahang Datuk Razali Kassim berkata pihak terbabit juga disaran memberi perhatian khusus kepada kebajikan dan komuniti pekerja di kawasan berkenaan. “Ini termasuk ibu bapa yang menghantar anak ke sekolah dan penduduk yang melalui kawasan itu setiap hari,” katanya dalam laporan Bernama.

    Sebelum itu Ahli Parlimen Bentong Young Syefura Othman juga menyuarakan perkara yang sama dengan menyatakan bahawa syarikat tersebut perlu mempertimbangkan pengecualian tol atau diskain bagi penduduk tempatan, pekerja dan keluarga-keluarga dengan anak-anak yang bersekolah di Genting.

    Dalam pengumuman yang dibuat minggu lalu Genting Malaysia menyatakan bahawa langkah untuk mengenakan caj ini adalah perlu kerana jalan mendaki bukit sepanjang 24 km berkenaan merupakan jalan persendirian dan kos bagi menyelenggaranya kini semakin tinggi, dan kos untuk menyelenggara jalan tersebut telah dibiayai sendiri oleh syarikat itu sejak 1960’an.

    Syarikat itu juga menyatakan bahawa penggunaan yang sangat kerap telah menyebabkan Jalan Genting Highland mengalami “kehausan dan kelusuhan yang sangat teruk”, dan memerlukan penyelenggaraan yang berterusan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya.

     
     
  • Mitsubishi Destinator terima 5-bintang ASEAN NCAP

    Mitsubishi Destinator terima 5-bintang ASEAN NCAP

    Mitsubishi Destinator, sebuah SUV tujuh tempat duduk yang menggunakan asas model Xforce kini telah menerima penarafan lima-bintang bagi ASEAN NCAP.

    Ini juga menandakan penghujung bagi protokol penilaian 2021-2025, dan protokol baru 2026-2030 akan mula dilaksanakan pada Januari nanti. Kereta berkenaan yang dipasang di Indonesia untuk pasaran tempatan di sana serta untuk dieksport ke Filipina dan Vietnam, telah diuji oleh Japan Automobile Research Institute bulan lalu.

    Ia mencatatkan mata keseluruhan 77.27, dengan pecahan seperti berikut: 34.69 daripada 40 mata untuk orang dewasa; 16.54 daripada 20 untuk kanak-kanak; serta 15.02 daripada 20 mata untuk bantuan keselamatan; dan 11.02 daripada 20 untuk penunggang motosikal.

    ASEAN NCAP juga menyatakan yang semua varian Dertinator mempunyai sekurang-kurangnya empat beg udara, ESC, ABS, pengingat tali keledar depan dan belakang, perlindungan pejalan kaki dan ISOFIX, serta lengkap secara standard atau diberi pilihan untuk ciri AEB, AEB dalam bandar, amaran perlanggaran depan, pengesan titik buta, lampu tinggi automatik dan amaran penukaran lorong.

    SUV dengan saiz mirip CR-V ini mempunyai enjin 4B40 1.5 liter turbo empat-silinder yang menjana 163 PS/250 Nm. Di Indonesia, tiga varian ditawarkan, dengan harga antara 385 juta Rupiah hingga 465 juta Rupiah (RM95k-RM115k).

    Pasaran Malaysia masih menunggu ketibaan model Xforce, tetapi Destinator merupakan kenderaan yang lebih besar dengan tujuh tempat duduk.

     
     
  • Suzuki Fronx dilancar di Malaysia esok, menurut teaser yang dikeluarkan Naza – 1.5L hibrid ringkas

    Suzuki Fronx dilancar di Malaysia esok, menurut teaser yang dikeluarkan Naza – 1.5L hibrid ringkas

    Suzuki Fronx akan dilancarkan di Malaysia esok, 18 November 2025. Berita ini dimaklumkan sendiri oleh Naza Eastern Motors menerusi imej teaser yang dikeluarkan pada 14 November lalu.Crossover ini telah pun mula dibuka tempahan sejak September lalu.

    Perincian untuk pasaran Malaysia masih belum diketahui. Namun kami boleh perincikan mengenai Fronx ini yang pernah dipamerkan di acara Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) tahun ini. Di sana, ia dijual pada harga antara 259 juta hingga 321.9 juta rupiah (RM67k hingga RM84k) untuk model CKD. Walau bagaimana pun, difahamkan Fronx untuk pasaran Malaysia adalah model import sepenuhnya (CBU) dengan kelengkapan ADAS untuk varian tertinggi, dan harganya mungkin melebihi RM100k.

    Fronx, yang juga mempunyai model kembarnya yang dikeluarkan oleh Toyota untuk pasaran India dan dikenali sebagai Urban Cruiser Taisor, merupakan SUV bawah empat meter yang berukuran 3,995 mm panjang, 1,765 mm lebar, 1,550 mm tinggi dan jarak roda 2,520 mm. Menjadikannya 70 mm lebih pendek tapi 55 lebih lebar berbanding Perodua Ativa yang bakal berentap dengannya di bawah segmen yang sama.

    Suzuki Fronx dilancar di Malaysia esok, menurut teaser yang dikeluarkan Naza – 1.5L hibrid ringkas

    Suzuki Fronx di GIIAS 2025

    Di pasaran Indonesia, ia ditawarkan dengan varian GL, GX dan SGX, dan dua pilihan penjana kuasa termasuk hibrid ringkas dengan dua gred.

    Untuk varian hibrid ringkas, Fronx menggunakan enjin K15C 1.5 liter NA petrol empat-silinder sebaris yang menghasilkan 101 PS dan 135 Nm. Sistem hibridnya terdiri daripada bateri lithium-ion 12 volt dan generator pemula bersepadu (ISG) yang menyediakan bantuan tork serta fungsi start-stop automatik. Ia juga ditawarkan sama ada dengan kotak gear automatik enam-kelajuan atau manual lima-kelajuan. Bagi varian asas GL, ia hadir dengan enjin K15B tanpa sistem hibrid, tetapi menawarkan kuasa sedikit lebih tinggi iaitu 105 PS dan 138 Nm. Pilihan transmisi untuk GL termasuk manual lima-kelajuan dan automatik empat-kelajuan.

    Semua varian dilengkapi tangki bahan api 37 liter, tayar bersaiz 195/60, suspensi hadapan jenis MacPherson dan torsion beam di belakang, brek cakera hadapan berliang serta brek dram di belakang.

    Suzuki Fronx dilancar di Malaysia esok, menurut teaser yang dikeluarkan Naza – 1.5L hibrid ringkas

    Dari segi kelengkapan, varian GL datang dengan rim aloi 16 inci, lampu utama LED jenis reflektor, lampu posisi LED, lampu belakang jenis mentol, stereng pelbagai fungsi berbalut urethane, tempat duduk fabrik, pendingin hawa manual dengan corong belakang, unit audio dengan skrin tujuh-inci, empat pembesar suara, enam beg udara, pengesan jarak belakang, sistem kestabilan elektronik (ESP), kamera undur dan bantuan mula mendaki.

    Varian GX ditambah dengan kemasan stereng balutan kulit, skrin pelbagai info 4.2-inci, skrin infotainmen sembilan-inci, cruise control, pendingin hawa automatik, penukar gear di stereng (untuk transmisi 6AT sahaja) dan tambahan dua tweeter menjadikan jumlah pembesar suara kepada enam.

    SGX sebagai varian tertinggi menawarkan lebih nilai tambah dengan spoiler bawah di depan dan belakang, visor pintu serta pilihan warna luaran dua tona. Ia juga hadir dengan lampu belakang LED, tempat duduk balutan kulit sintetik dan pengecas telefon tanpa wayar.

    GALERI: Suzuki Fronx di GIIAS 2025

     
     
  • Leapmotor B10 EV kini dibuka tempahan di Malaysia

    Leapmotor B10 EV kini dibuka tempahan di Malaysia

    Selepas iklan teaser yang ditunjuk awal bulan ini, Stellantis Malaysia kini mengesahkan identiti model Leapmotor terbaru yang bakal diperkenalkan di Malaysia, iaitu Leapmotor B10. Tempahan untuknya juga sudah mula dibuka.

    Harga jangkaan untuk SUV elektrik ini juga telah diberi bayangan: dengan julat antara RM110,000 hingga RM120,000 dan akan dilancarkan secara rasmi pada Disember nanti.

    Pelanggan terawal boleh membuat tempahan dengan yuran serendah RM80 dan menikmati insentif pengenalannya. Bagi 200 pelanggan terawal pula akan menerima pakej ‘LeapX100’ eksklusif, yang menawarkan sama ada pengecas wallbox percuma atau servis percuma, yang akan ditambah pula dengan rebat tunai yang menarik bernilai sehingga RM8,000.

    Leapmotor B10 EV kini dibuka tempahan di Malaysia

    Leapmotor B10 mempunyai ukuran 4,515 mm panjang, 1,885 mm lebar dan 1,655 mm tinggi dengan jarak roda 2,735 mm. Dengan saiz dimensi sebegitu, ia persaingan sengit buat BYD Atto 3 dan Proton eMas 7.

    Kuasa disalurkan dari motor elektrik belakang dengan output 218 PS (160 kW) dan tork 240 Nm, membolehkan B10 ini dipecut dari 0-100 km/j dalam lapan saat dan kelajuan maksimum boleh dicapai hingga 170 km/j. Ia juga ditawarkan dengan dua pilihan bateri lithium iron phosphate (LFP): yang asas dijanakan oleh unit 56.2 kWh yang mampu memberikan jarak gerak hingga 361 km mengikut kitaran WLTP, dan pek bateri besar berkapasiti 67.1 kWh dengan jarak gerak hingga 434 km.

    B10 menyokong pengecasan pantas DC sehingga 140 kW bagi model standard dan 168 kW dengan bateri jarak jauh; kedua-duanya mengambil masa kira-kira 20 minit untuk dicas dari 30% hingga 80%. Ia juga menyokong pengecasan AC sehingga 11 kW, dengan masa pengecasan penuh masing-masing selama enam jam 45 minit dan lapan jam. Fungsi vehicle-to-load (V2L) 3.3 kW turut disertakan sebagai standard.

    Leapmotor B10 EV kini dibuka tempahan di Malaysia

    Bahagian dalam B10 tampil dengan kemasan perak pada stereng dua-jejari dan corong udara berbentuk segi empat. Ciri unik lain termasuk rekaan berlubang di tempat duduk penumpang hadapan dan pemegang cawan berbentuk segi empat yang boleh dilipat di bawah konsol tengah.

    Model ini juga didatangkan standard dengan paparan instrumen digital bersaiz 8.8-inci yang bergerak bersama ruang stereng, serta skrin sesentuh infotainmen 14.6-inci. Tidak seperti C10, B10 akan ditawarkan dengan Apple CarPlay dan Android Auto.

     
     
  • Kerajaan pinda tiga akta tahun depan untuk laksana sistem tol MLFF di Malaysia – Kementerian Kerja Raya

    Kerajaan pinda tiga akta tahun depan untuk laksana sistem tol MLFF di Malaysia – Kementerian Kerja Raya

    Pindaan tiga akta di bawah Kementerian Kerja Raya (KKR) dijangka akan dibentangkan di Parlimen pada tahun hadapan bagi bagi membolehkan Sistem kutipan tol Aliran Pantas Pelbagai Lorong (MLFF) dilaksanakan oleh syarikat konsesi. Menurut Timbalan Menteri KKR Datuk Seri Ahmad Maslan, tiga akta yang akan dipinda ialah Akta Jalan Persekutuan 1959, Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Akta Lembaga Lebuhraya Malaysia (Penggabungan) 1980.

    Seperti yang dilaporkan oleh The Edge, pindaan tersebut akan menangani aspek penguatkuasaan bagi ketidakpatuhan pembayaran tol, termasuk menentukan pihak berkuasa mana yang akan diberi kuasa untuk bertindak di bawah kerangka undang-undang yang telah disemak. Ahmad Maslan mendedahkan bahawa Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkemungkinan besar akan dipertanggungjawabkan dengan tugas penguatkuasaan di bawah undang-undang yang dipinda tahun depan.

    Kenyataan yang dikeluarkan ini adalah bagi menjawab soalan yang dikemukakan oleh Zahir Hassan (PH-Wangsa Maju), yang meminta penjelasan mengenai garis masa kerajaan untuk pelaksanaan MLFF oleh 33 syarikat konsesi lebuhraya. Ahmad Maslan mengulangi bahawa MLFF akan dilaksanakan secara hubungan perniagaan-ke-perniagaan (business-to-business) tanpa melibatkan pembiayaan kerajaan, sebagai sebahagian daripada usaha untuk menghapuskan halangan dan kesesakan di lebuhraya.

    Touch ‘n Go baru-baru ini mempamerkan sistem Titan Flow MLFF yang menggabungkan teknologi RFID (pengenalan frekuensi radio), ANPR (pengenalan nombor pendaftaran automatik), LiDAR dan kecerdasan buatan bagi membolehkan kutipan tol tanpa palang. Sementara itu, PLUS Malaysia telah memulakan projek perintis untuk menguji sistem MLFF mereka menggunakan teknologi ANPR.

    Mengenai sistem PLUS, Ahmad Maslan menyatakan bahawa LLM telah menetapkan beberapa parameter penilaian untuk ujian perintis awam, termasuk memastikan sistem ANPR dapat mengesan dan mengenal pasti nombor pendaftaran kenderaan dengan tepat supaya caj tol dikenakan dengan betul. Sistem ini juga mesti menawarkan kelajuan transaksi yang lebih pantas berbanding kaedah pembayaran sedia ada serta menjamin keselamatan data dan ketelusan selaras dengan Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) 2010.

     
     
  • Subaru BRZ STI Sport Type RA diperkenal di Jepun – enjin kereta lumba Super Taikyu, hanya 300 unit

    Subaru BRZ STI Sport Type RA diperkenal di Jepun – enjin kereta lumba Super Taikyu, hanya 300 unit

    Lencana ‘Type RA’ yang bermaksud ‘Record Attempt’ lazimnya diberikan oleh Subaru Technica International (STI) kepada sebuah Impreza WRX STI atau WRX STI yang menerima tingkat taraf serius hasil pengalaman yang ditimba oleh badan penala rasmi Subaru itu dalam sukan permotoran sebenar. Namun dengan ketiadaan WRX STI generasi terkini, lencana tersebut kini dianugerahkan pula kepada coupe pacuan roda belakang Subaru BRZ – ini dia Subaru BRZ STI Sport Type RA!

    STI menghasilkan BRZ Type RA ini bukan sahaja dari inspirasi rupa, malah ia dibekalkan banyak komponen yang sama seperti kereta lumba Subaru BRZ CNF Concpet pasukan SDA Engineering yang kini berlumba dalam siri perlumbaan ketahanan Super Taikyu di Jepun. Dan antara komponen yang dikongsi dari kereta lumba ke model edisi terhad ini adalah komponen-komponen dalaman enjin.

    Ya, anda tak salah baca, enjin FA24 pada BRZ STI Sport Type RA ini menggunakan omboh dan rod penghubung yang dikurangkan 50% toleransi berat, aci engkol dengan toleransi keseimbangan putaran dikurangkan sebanyak 80% dan juga roda tenaga 67% lebih ringan serta yang digandingkan dengan klac 50% lebih ringan, di mana spesifikasi ini adalah sama seperti enjin pada kereta lumba BRZ Super Taikyu Endurance.

    Menurut Subaru komponen-komponen ini memberikan rasa seperti enjin perlumbaan sebenar dengan getaran yang minimal dan pecutan yang lebih lancar. Plak logam istimewa bagi memberitahu bahawa ini bukan enjin FA24 yang biasa telah dilekatkan pada manifold ambilan udara enjin ini. Walau bagaimanapun kuasa yang dihasilkan masih lagi sama iaitu 235 PS dan tork maksima 250 Nm. Ia turut dilengkapi dengan muffler ekzos dari STI.

    Tiada varian transmisi automatik untuk model istimewa dan ia hanya ditawarkan dengan kotak gear manual enam-kelajuan. Transmisi tersebut turut datang dengan fungsi rev-matching ketika pemandu menurunkan gear dan juga tukaran gear tinggi tanpa pemandu perlu mengangkat kaki pada pedal pendikit “bagi mengurangkan beban pada pemandu dan kereta”, menurut Subaru.

    Satu lagi komponen yang dikongsi terus dengan kereta lumba Super Taikyu adalah perumah gandar belakang yang diberikan liang-liang penyejuk bagi mengelakkan minyak LSD mengalami kepanasan melampau.

    Tingkap taraf pengendalian turut diberikan pada BRZ STI Sport Type RA ini, dengan penambahan komponen termasuk bar-V STI pada suspensi hadapan, penegang fleksibel STI untuk suspensi belakang serta penyerap hentak daeri ZF dengan talaan lebih unik.

    Sistem brek juga menerima tingkat taraf dengan angkup brek Brembo berwarna emas empat-omboh dipadankan di hadapan dan dua omboh di belakang, manakala penambahbaikkan prestasi ini dilengkapkan dengan rim aloi ringan BBS berdiamater 18-inci dan lebar 7.5j.

    Untuk luaran, Subaru BRZ STI Sport Type RA ini hanya ditawarkan dalam dua warna badan iaitu WR Blue Pearl dan Crystal White Pearl. Ia turut menerima lencana BRZ berwarna hitam dan juga kit aerodinamik yang terdiri dari spoiler bawah bampar hadapan dan sisi bawah bampar belakang. Model ini hanya akan dihasilkan sebanyak 300 unit, di mana 100 unit daripadanya dipadankan dengan spoiler belakang ‘leher angsa’ karbon kering.

    Ia dijual pada harga bermula 4.972 juta yen (sekitar RM133k) untuk versi tanpa spoiler dan 5.478 juta yen (RM147k) bagi versi dengan spoiler karbon di belakang. Manakala pembeli yang mahukan warna badan Crystal White Pearl tambahan bayaran 33,000 yen (RM884) turut akan dikenakan.

     
     
  • JPJ KL periksa 241 kenderaan mewah menerusi Ops Luxury sejak Julai 2025 – 92 kereta telah disita

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur telah memeriksa sebanyak 241 kenderaan mewah menerusi Ops Luxury sejak Julai tahun ini, dengan 92 kereta disita atas pelbagai kesalahan, laporan Sinar Harian.

    “Dalam minggu ini sahaja, beberapa kenderaan mewah seperti Lamborghini Aventador dan Porsche 911 telah disita atas pelbagai kesalahan,” kata Hamidi Adam, Pengarah JPJ KL. Beliau menambah bahawa pihaknya juga telag mengeluarkan sebanyak 401 notis dalam tempoh ini atas pelbagai kesalahan.

    Ini termasuk kenderaan yang cukai jalannya tiada atau tamat tempoh (177 kes), tiada insurans kenderaan yang sah (160 kes), tiada pendaftaran yang sah (10 kes) atau mempamerkan nombor pendaftaran milik kenderaan lain (enam kes). Sementara itu, 45 pemandu didapati tidak memiliki lesen memandu yang sah, dengan seorang daripadanya menggunakan lesen palsu.

    “Kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang mengabaikan peraturan sehingga membahayakan nyawa, merosakkan infrastruktur atau menjejaskan integriti sistem pengangkutan negara,” kata Hamidi.

     
     
  • Tan Chong Motor sewakan fasiliti pemasangan kepada Perodua, berikan perkhidmatan untuk projek QV-E EV

    Tan Chong Motor sewakan fasiliti pemasangan kepada Perodua, berikan perkhidmatan untuk projek QV-E EV

    Tan Chong Motor Holdings (TCMH) mengumumkan bahawa pihaknya telah menandatangani Surat Hasrat (LOI) dengan Perodua untuk menyediakan perkhidmatan pemasangan bagi projek kenderaan elektrik (EV) buatan tempatan syarikat pengeluar kereta tersebut.

    Dalam satu pemakluman kepada Bursa Malaysia pada Jumaat lalu, syarikat itu berkata LOI tersebut dimeterai oleh anak syarikat miliknya, Tan Chong Motor Assemblies (TCMA), sebanyak 70% dan anak syarikat milik penuh Perodua, Perodua Sales Sdn Bhd (PSSB).

    Di bawah LOI yang berkuatkuasa pada 13 November, TCMA akan bertanggungjawab menyediakan barisan perkhidmatan salutan ED (electro deposition) dan pengecatan serta penyewaan dan penggunaan barisan pemasangan tertentu kepada PSSB.

    Dalam pemakluman tersebut, TCMH berkata pengaturan itu adalah untuk mengoptimumkan kapasiti kilang pemasangan sedia ada untuk meningkatkan kecekapan operasi dan memaksimumkan penggunaan aset, dan ia juga peluang untuk mengembangkan penyertaan TCMH dalam segmen kenderaan elektrik industri automotif Malaysia. LOI itu akan luput sebaik sahaja kedua-dua pihak menandatangani perjanjian muktamad, kata TCMH.

    Kenderaan elektrik pertama Perodua, yang dijangka dinamakan QV-E, dijangka dilancarkan pada akhir bulan ini, seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Berikut ialah apa yang kita ketahui setakat ini mengenai QV-E.

     
     
  • Tiket KTM ETS, Intercity bagi Jan-April 2026 mula dibuka jualan – beli awal rai CNY, Aidilfitri di kampung

    Tiket KTM ETS, Intercity bagi Jan-April 2026 mula dibuka jualan – beli awal rai CNY, Aidilfitri di kampung

    Bagi yang merancang untuk pulang ke kampung atau mana-mana destinasi pilihan dengan menaiki perkhidmatan tren KTM ETS dan Intercity antara tempoh 1 Januari hingga 30 April, anda sudah boleh membeli tiketnya mulai hari ini, 17 November 2025.

    KTM Berhad juga memaklumkan bahawa ada jadual waktu baharu untuk ETS dan Intercity mulai 1 Januari 2026. Jadi, anda boleh menyemak jadual waktu tersebut menerusi laman web rasmi KTMB dan merancang perjalanan anda. Seperti biasa, tiket perkhidmatan tren KTMB ini memang ‘laku keras’ untuk musim perayaan Tahun Baharu Cina (CNY) dan Hari Raya Aidilfitri, jadi anda perlu membelinya dengan cepat untuk elak kecewa kerana kehabisan tiket.

    Seperti yang dilaporkan sebelum ini, perkhidmatan ETS 3 kini telah pun diperkenalkan untuk perjalanan ke selatan tanahair iaitu hingga ke stesen KTM Kluang. Jadi, untuk orang Kluang atau daerah berdekatan yang nak balik kampung sempena CNY dan Aidilfitri, bolehlah menggunakan tren ETS 3 ini. Tapi buat masa ini, tiket bagi perkhidmatan Ekspres Selatan bagi Januari 2026 masih belum dibuka.

     
     
  • Wuling Bingo EV kini dijual bermula RM47k di Thailand – 333 km NEDC, akan tiba di Malaysia bawah RM100k

    Wuling Bingo EV kini dijual bermula RM47k di Thailand – 333 km NEDC, akan tiba di Malaysia bawah RM100k

    Imej dari AutolifeThailand

    Harga bagi EV kompak Wuling Bingo telahpun diturunkan sekitar 30k-40k baht (RM4k-5k) di pasaran Thailand, menjadikan harga jualannya di sana kini bermula 369k hingga 389k baht (RM47k-50k), lapor portal automotif negara tersebut iaitu AutolifeThailand.

    Model ini mula dilancarkan di sana pada Julai 2024 sebagai model yang diimport sepenuhnya (CBU) dari Indonesia, ditawarkan dalam dua varian dan dijual pada harga bermula 419k hingga 449k baht (RM53k hingga RM57k), dan kemudian diberikan diskaun yang membolehkan ia dijual pada harga lebih murah iaitu bermula 379k hingga 409k baht (RM48k hingga RM52k).

    Ia kemudiannya diperkenalkan pula dalam versi pemasangan tempatan (CKD) di Thailand pada Jun lalu, ketika itu ditawarkan hanya dalam satu varian yang berharga 399k baht (RM51k), kemudian ia muncul dalam dua varian bermula varian Lite dijual pada harga 369k baht (RM47k) dan juga varian Pro berharga 389k baht (RM50k).

    Bingo diberikan beberapa tingkat taraf bagi model 2025 di Thai, ia termasuk penawaran warna kabin dua tona Caramel Latte, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto serta warna badan baru Gray Metallic yang boleh dipilih selain warna-warna asal lain seperti Beige Milk Tea, Mousse Green dan Galaxy Blue.

    Imej dari AutolifeThailand

    Bagi pasaran Thailand, Wuling Bingo ini sebenarnya dikenali sebagai Binguo, nama yang sama seperti yang digunakan di Indonesia. Ia digerakkan dengan motor elektrik tunggal yang memacu roda hadapan berkuasa 68 PS/150 Nm, menerima kuasa dari bateri LFP berkapasiti 31.9 kWj yang diproduksi di Rayong.

    Ini membolehkan ia mencapai kelajuan 120 km/j dan bergerak sejauh 333 km dihitung dalam kitaran ujian NEDC. Untuk mengecas, ia boleh menggunakan sistem AC sehingga 6.6 kW membolehkan cas dipenuhkan dari 20-100% dalam masa 4.5 jam, dan juga menggunakan pengecas pantas DC 50 kW membolehkan cas 30-80% dipenuhkan dalam masa 35 minit.

    Ia dijual oleh EV Primus di sana, yang menawarkan waranti kenderaan selama tiga tahun/100,000 km, waranti bateri selama lapan-tahun/120,000 km serta waranti pasif sepanjang hayat untuk motor elektrik, bateri dan juga sistem kawalan.

    Wuling Bingo EV kini dijual bermula RM47k di Thailand – 333 km NEDC, akan tiba di Malaysia bawah RM100k

    Imej dari AutolifeThailand

    EV kecil yang nampak seperti Mini Cooper ini dihasilkan dengan dimensi ukuran panjang 3,950 mm, lebar 1,708 mm, tinggi 1,580 mm dan jarak roda sejauh 2,560 mm – atau lebih kecil dari Proton eMas 5. Ia menampilkan ruang but belakang dengan kapasiti 310 liter dan boleh dibesarkan sehingga 790 liter sekiranya tempat duduk belakang dilipat.

    Antara kelengkapan yang dibekalkan termasuk lampu hadapan dan belakang LED, stereng berkuasa elektrik, rim besi 15-inci dengan penutup hab dan dibalut tayar 185/60R15, empat brek cakera, roda stereng balutan kulit dengan larasan atas-bawah, tingkap berkuasa dengan mod auto-turun pada bahagian pemandu serta empat mod pemanduan iaitu Eco+, Eco, Normal dan Sport.

    Ia juga diberikan sistem kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup, cruise control biasa, tempat duduk pemandu larasan kuasa enam-hala, skrin berkembar masing-masing bersaiz 10.25-inci, kamera undur, dan juga brek parkir elektronik dengan auto hold.

    Imej dari AutolifeThailand

    Bagi keselamatan pula, ia diberikan dua-beg udara, sistem pemantau tekanan angin tayar, cagak tempat duduk ISOFIX, dan kunci automatik. Sama seperti spesifikasi yang dijual di Indonesia, Wuling Binguo EV di Thailand ini juga tidak ditawarkan dengan sebarang fungsi bantuan pemanduan termaju (ADAS).

    Model ini sebenarnya turut bakal dilancarkan di Malaysia tahun ini, dikenali sebagai TQ Wuling Bingo EV di mana ia diuruskan oleh subdiari kumpulan Tan Chong iaitu TQ Wuling. Syarikat berkenaan akan menawarkan Bingo EV ini terus dalam versi CKD dengan pemasangan dibuat di kilang Tan Chong di Segambut, diumum bakal dijual pada harga di bawah RM100k.

    Memandangkan Proton eMas 5 dengan spesifikasi yang jauh lebih baik sudahpun dilancarkan dengan harga bermula RM57k-RM70k, memang agak sukar TQ Wuling meletakkan harga yang kompetitif bagi model ini di Malaysia. Walaupun tidak mempunyai ADAS, TQ Wuling sudahpun mengesahkan Bingo EV pasaran Malaysia akan dilengkapi dengan enam-beg udara, berbanding hanya dua di Indonesia dan Thailand.

    GALERI: TQ Wuling Bingo EV di Malaysia

     
     
  • Renault Twingo E-Tech Electric 2026 – hatchback generasi keempat kini BEV, jarak gerak WLTP 263 km

    Renault Twingo E-Tech Electric 2026 – hatchback generasi keempat kini BEV, jarak gerak WLTP 263 km

    Renault kini memperkenalkan Twingo generasi keempat, menyusuli model facelift generasi ketiga pada 2019 yang turut tampil dengan varian elektrik penuh Twingo Z.E. pada 2020. Untuk generasi baru ini, Twingo tampil sebagai model BEV sepenuhnya sejak dari peringkat awal pembangunan, dibina berasaskan platform Renault AmpR Small.

    Renault menjelaskan bahawa Twingo E-Tech Electric menggunakan konfigurasi gandar hadapan yang sama seperti Renault 5 dan Renault 4 E-Tech Electric, manakala gandar belakang multilink pada kedua-dua model tersebut digantikan dengan gandar belakang yang digunakan pada Captur.

    Unit rangkaian kuasa elektriknya terdiri daripada motor 60 kW (82 PS) dan 175 Nm yang disokong bateri LFP 27.5 kWh, memberikan jarak pemanduan sehingga 263 km mengikut standard WLTP.

    Renault Twingo E-Tech Electric 2026 – hatchback generasi keempat kini BEV, jarak gerak WLTP 263 km

    Dari segi prestasi, Twingo E-Tech Electric mampu memecut dari 0 hingga 50 km/j dalam 3.85 saat, manakala pecutan 0 hingga 100 km/j mengambil masa 12.1 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 130 km/j. Untuk pengecasan, ia menyokong pengecasan AC 6.6 kW sebagai standard, yang memerlukan sekitar empat jam 15 minit untuk mengisi dari 10% hingga 100%.

    Pek Advanced Charge yang ditawarkan sebagai pilihan pula menaikkan kapasiti AC kepada 11 kW, mengurangkan masa pengecasan kepada dua jam 35 minit. Pengecasan pantas DC sehingga 50 kW juga boleh digunakan, membolehkan pengecasan 10-80% dalam 30 minit. Pek pilihan tersebut juga menambah fungsi V2L dan V2G melalui pengecas dua hala 11 kW AC.

    Berhubung dimensi, Twingo E-Tech Electric mencatat ukuran 3,789 mm panjang, 1,720 mm lebar dan 1,491 mm tinggi, dengan jarak roda 2,493 mm serta kelegaan tanah 143 mm. Berat keseluruhan ialah 1,200 kg. Ruang but menawarkan 360 liter dengan tempat duduk belakang tegak, atau lebih 1,000 liter apabila dilipat. Tambahan 50 liter ruang simpanan bawah lantai turut disediakan melalui bukaan dwi-arah yang kekal boleh diakses walaupun ruang kargo utama sedang dipenuhi barang.

    Renault Twingo E-Tech Electric 2026 – hatchback generasi keempat kini BEV, jarak gerak WLTP 263 km

    Model ini turut menawarkan dua tempat duduk belakang jenis gelungsur yang boleh dilaras sehingga 170 mm, membolehkan pengguna memilih sama ada ingin memaksimumkan ruang kaki penumpang atau ruang kargo — untuk satu atau kedua-dua tempat duduk.

    Twingo E-Tech Electric ditawarkan dalam dua varian di Eropah: Evolution dan Techno. Varian Evolution hadir dengan rim 16 inci bersama penutup rim serta ciri keselamatan seperti AEB, bantuan kekal lorong, pemantauan pemandu, brek parkir automatik dan pengesan jarak belakang.

    Varian Techno pula datang dengan penutup rim dua tona 16 inci, sistem multimedia OpenR dengan Google binaan dalam (Google Maps, Google Assistant dan Google Play), kawalan kelajuan adaptif dengan fungsi henti-dan-jalan, pendingin hawa automatik, pemanduan satu pedal, cermin sisi kuasa lipat, tempat duduk penumpang depan boleh lipat, kamera undur, lampu tinggi automatik, pengelap cermin automatik dan sistem audio enam pembesar suara.

    Kedua-dua varian didatangkan dengan paparan instrumen 7 inci dan skrin tengah 10 inci dengan fungsi mirroring telefon pintar. Pelanggan juga boleh memilih untuk menaik taraf rim kepada aloi 18 inci, dengan tayar bersaiz 195/60R16 atau 205/45R18.

    Dikilangkan di kilang Renault di Novo Mesto, Slovenia, Twingo E-Tech Electric dijangka mula dipasarkan di Eropah awal tahun depan dengan harga permulaan di bawah 20,000 euro (kira-kira RM95,788).

     
     
  • smart #5 dilancarkan di Malaysia — Premium dan Brabus, hingga 646 PS, 590 km WLTP; dari RM200k

    smart #5 dilancarkan di Malaysia — Premium dan Brabus, hingga 646 PS, 590 km WLTP; dari RM200k

    Selepas pertama kali ditunjukkan di Malaysia Ogos lalu dan disusuli pengambilan tempahan pada Oktober, smart #5 kini secara rasmi dilancarkan untuk pasaran tempatan. Ini merupakan model ketiga smart yang dibawa masuk oleh pengedarnya, anak syarikat Proton, Pro-Net Sdn Bhd selepas model smart #1 dan smart #3.

    Ada dua varian yang dilancarkan di sini, iaitu smart #5 Premium dan smart #5 Brabus, dan masing-masing dijual dengan harga RM199,800 dan RM249,800 (harga pengenalan untuk 300 pembeli terawal). Semua harga yang dinyatakan ini adalah harga atas jalan belum termasuk insurans. Ini menjadikan smart #5 sebenarnya lebih murah berbanding smart #3 yang dijual dengan harga RM215k untuk varian Premium, dan RM255k untuk Brabus.

    smart #5 merupakan SUV elektrik segmen C dalam pasaran premium yang bersaing dengan model-model lain seperti Zeekr 7X, Tesla Model Y, Xpeng G6, BYD Sealion 7, BMW iX3 dan juga Mini Countryman SE.

    smart #5 2025 dibangun menggunakan platform SEA3/PMA2+ (antaranya sama dengan Zeekr 7X) dan mempunyai ukuran dimensi seperti berikut: 4,695 mm panjang, 1,920 mm lebar, 1,705 mm tinggi dengan jarak antara roda 2,900 mm.

    Spesifikasi utama yang membezakan setiap varian adalah seperti berikut:

      smart #5 Premium

    • Binaan EV: 800V
    • Output motor elektrik: 363 PS (358 hp atau 267 kW) dan 373 Nm; RWD
    • 0-100 km/j: 6.5 saat
    • Laju maksimum: 200 km/j
    • Bateri: 100 kWj nickel cobalt manganese (NCM)
    • Jarak (WLTP): 590 km
    • Pengecasan AC: 22 kW; 10-80% dalam masa 4.5 jam
    • Pengecasan DC: 400 kW; 10-80% dalam masa 15 minit
    • smart #5 Brabus

    • Binaan EV: 800V
    • Output motor elektrik depan: 224 PS (221 hp atau 165 kW) dan 270 Nm
    • Output motor elektrik belakang: 421 PS (416 hp atau 310 kW) dan 440 Nm
    • Keseluruhan output sistem: 646 PS (637 hp atau 475 kW) dan 710 Nm; AWD
    • 0-100 km/j: 3.8 saat
    • Laju maksimum: 210 km/j
    • Bateri: 100 kWj nickel cobalt manganese (NCM)
    • Jarak (WLTP): 540 km
    • Pengecasan AC: 22 kW; 10-80% dalam masa 4.5 jam
    • Pengecasan DC: 400 kW; 10-80% dalam masa 15 minit

    smart #5 dilancarkan di Malaysia — Premium dan Brabus, hingga 646 PS, 590 km WLTP; dari RM200k

    smart #5 tampil dengan rekabentuk berkotak dan tegap. Wajah depan smart #5 juga unik dengan adanya empat lampu kecil di sepanjang garis lebar kereta ini, yang dilengkapi dengan lampu utama matrix LED Cyberlight, dengan DRL dalam bentuk yang bujur.

    Imej rekaan yang sama ini turut dihadirkan untuk bahagian belakang; empat lampu kecil berkenaan juga ada di sana. smart #5 dari belakang juga kelihatan tegap dan lebar dengan bahagian cermin dan tiang D yang yang tebal dan tegak.

    Yang membezakan penampilan antara varian ialah rekaan bampar. Premium menggunakan rekaan yang sama, dengan bahagian apron bawah ada tiga jalur menegak, yang diletak di belakang skid plate warna badan dengan jalur melintang. Turut ada ialah bukaan udara sebenar bersegi di sudutnya.

    Bampar untuk varian Brabus pula tampil lebih garang, terutama bahagian bawahnya, lengkap dengan perincian merah bagi menandakan aspirasi sportnya. Perincian merah ini turut menghiasi bahagian lain untuk versi Brabus, misalnya landasan di bumbung dan angkup brek.

    smart #5 dilancarkan di Malaysia — Premium dan Brabus, hingga 646 PS, 590 km WLTP; dari RM200k

    Jika diperhatikan dari dekat, di bahagian cermin depan, belakang dan sisi kereta ini ada didatangkan dengan ikon panda yang comel — antaranya yang sedang minum kopi dan tidur. Mungkin ini melambangkan ikon haiwan yang sangat terkenal di China, atau memberi bayangan bahawa smart #5 ini tetap membawa semangat “comel” yang sama dalam pendekatan rekaannya.

    Sentuhan lain yang menunjukkan smart #5 ini adalah sebuah SUV EV premium adalah seperti tingkap pintu tanpa bingkai, bumbung panoramik kaca yang luas (1.7 meter dengan penghadang matahari kuasa elektrik), pintu ruangan barang belakang kuasa elektrik, lambang di rim yang kekal rata (untuk Premium) serta sensor NFC di tiang B untuk digunakan dengan kad kunci atau telefon pintar dengan aplikasi.

    Di dalam, elemen rekaan bujur yang nampak diluar diteruskan dengan ketara. Papan pemuka yang rapat ke cermin depan, dalam sekali lihat nampak seperti skateboard deck; saiznya besar terbentang di tengah dengan menempatkan dua skrin sentuh bersaiz 13-inci AMOLED 2.5K. Menurut smart, rekaan papan pemuka ini sebenarnya mengambil ilham daripada tie clip.

    Skrin utama di tengah adalah untuk kegunaan fungsi infotainmen, dengan skrin yang kedua di depan penumpang depan menempatkan fungsi yang dikurangkan dan bertujuan untuk kendalian dan penggunaan media. Untuk pemandu, tersedia kluster instrumen digital 10.3-inci dan juga head-up display 25.6-inci dengan augmented reality.

    Sistem kereta ini dikuasakan oleh cip AMD V2000, yang turut melibatkan storan sebesar 256 GB dan memori 24 GB — sokongan untuk Apple CarPlay dan Android Auto juga disediakan, berserta dengan capaian terhadap ChatGPT, bantuan suara digital dan kemaskini perisian over-the-air (OTA). Seperti juga #1 yang hadir dengan avatar musang dan #3 dengan avatar cheetah, #5 kini menggunakan avatar singa.

    Satu lagi penawaran yang memikat bagi Premium dan Brabus ialah sistem bunyi dari Sennheiser, dengan output puncak 2,000 watt, audio AMBEO 3D (tetapan 7.1.4), Dolby Atmos serta dengan 20-pembesar suara dengan satu daripadanya akan turun-naik dari bahagian papan pemuka. Selain itu, ada juga sistem lampu ambient dengan 256-warna yang menawarkan 36 tetapan pencahayaan.

    Kemasan ruang kabin smart #5 ini terdiri daripada 90% material permukaan lembut, termasuklah kulit Nappa (Premium) dan gentian mikro Dinamica (Brabus). Walaupun untuk varian Premium yang ditunjukkan ini menggunakan balutan kulit warna coklat, versi yang akan dijual di pasaran tempatan nanti adalah dengan warna hitam.

    Bagi aspek praktikaliti, smart #5 menyediakan ruang but seluas 630 liter (termasuk 110 liter di bawah lantai), dan boleh dilanjutkan menjadi 1,530 liter dengan merebahkan kerusi. “Frunk” juga memberikan ruang tambahan: bagi Pro dan Premium yang dipacu roda belakang, 72 liter tersedia, sementara untuk Brabus dengan pacuan semua roda, 40 liter tersedia di depan. Selain itu, ada 34 ruang storan lain untuk kereta ini.

    Kamera yang ada untuk #5 juga lebih baik dengan resolusi tinggi berbanding model #1 dan #3. Unit di depan kini 8-megapiksel (berbanding 1.7 megapiksel), sementara empat lagi kamera yang membolehkan paparan sekeliling kini 3 MP (daripada 1.3 MP). #5 juga datang dengan kamera belakang 3MP yang tiada untuk dua model sebelumnya itu.

    Untuk sistem keselamatan, kamera berkenaan berserta lima radar dan 12 penderia ultrasonik akan memberi input kepada cip Nvidia Drive OrinX untuk membolehkan fungsi pencegahan pintar kereta ini, seperti AEB depan dan belakang, bantuan mengekalkan lorong, kawalan melayar adaptif, pengesan titik buta, amaran perlanggaran depan dan banyak lagi.

    Kelengkapan standard antaranya termasuklah kerusi balutan kulit buatan untuk kerusi dan kemasan pintu, lampu tinggi automatik, pintu ruang kargo kuasa elektrik, tiga mod pemanduan (Eco, Comfort dan Sport), lampu ambient 256-warna, serta tujuh beg udara.

    Premium menerima tambahan antaranya pintu kargo belakang larasan sensor kaki, pemegang pintu terselindung dan bercahaya, lampu LED di bahagian sill plates, kulit Nappa (stereng, kerusi, kemasan pintu), lampu tinggi adaptif, larasan lampu utama automatik, lampu kedudukan dinamik dan fungsi tambahan untuk lampu ambient.

    #5 Brabus pula menerima tambahan mod pemanduan Snow, Sand, Mud, Rock, Adaptive dan Brabus. Ia juga datang dengan suspensi sport (ada suspensi udara untuk pasaran China) dan simulasi bunyi enjin.

    Untuk Premium, ada empat pilihan warna di berikan: Meta Black, Cyber Silver, Pulsar Ruby dan Saturn Beige (dalam gambar) — semuanya dengan bumbung warna Eclipse Black dan warna kabin Shadow Black. Brabus juga menerima warna bumbung dan kabin yang sama, tetapi dengan pilihan warna badan luarannya terdiri daripada Atom Grey Matte (gambar), Meta Black dan Digital White.

    Sempena pelancarannya, smart #5 didatangkan dengan pakej smart All-Inclusive Premium Ownership. Ia terdiri daripada pengecas wallbox percuma bernilai RM3,200, V2L Adaptor percuma bernilai RM800, data internet 3 GB/bulan selama tiga tahun percuma (100 GB keseluruhannya) dan juga pakej aksesori yang mengandungi enam barangan bernilai RM2,000.

    smart #5 Premium 2025

    smart #5 Brabus 2025

     
     
  • Jenhoo CAM EV48 akan dilancar di Malaysia awal 2026 – van panel elektrik dengan jarak gerak CLTC 390 km

    Jenhoo CAM EV48 akan dilancar di Malaysia awal 2026 – van panel elektrik dengan jarak gerak CLTC 390 km

    Semasa pameran Global Automotive Technology Expo (GATE) 2025, kami terserempak dengan sebuah van elektrik yang cukup menarik perhatian. Sekilas pandang, wajahnya mengingatkan kepada van Duola Bafang milik Lalamove dengan susunan lampu hadapan bertingkat. Inilah Jenhoo EV48, sebuah van panel elektrik yang dijangka dilancarkan oleh CAM Malaysia pada awal tahun depan dengan anggaran harga sekitar RM150,000.

    Jenhoo merupakan pengeluar kenderaan komersial tenaga baru dari China yang ditubuhkan pada 2020. Model EV48 ini ialah produk pertama mereka dan mula dikeluarkan pada tahun 2022. Di pasaran China, ia dijual sebagai JMC E-Lushun V6, walaupun namanya langsung tidak merujuk kepada sebarang enjin pembakaran dalaman.

    Reka bentuknya agak unik. Ia tidak mempunyai tiang B, membolehkan kerja memuat dan memunggah barang menjadi lebih mudah. Bahagian hadapan pula direka rata dengan elemen seakan gril, lampu utama bertingkat serta lampu belakang menegak yang turut memaparkan logo Jenhoo. Bahagian belakangnya pula benar-benar rata tanpa tingkap, sesuai sebagai ruang iklan. Ketiadaan cermin pandang belakang tidak mengejutkan kerana terdapat dinding pemisah penuh di belakang pemandu.

    Jenhoo CAM EV48 akan dilancar di Malaysia awal 2026 – van panel elektrik dengan jarak gerak CLTC 390 km

    Di bahagian kokpit, suasananya tidak terlalu ringkas seperti yang dijangka. Ia dilengkapi tempat duduk fabrik manual, stereng tanpa butang, pemilih gear R-N-D pada stereng, papan pemuka dua tona serta skrin sesentuh bersaiz memadai. Menariknya, EV48 menggunakan sistem penghidup kunci tradisional serta brek tangan manual, sesuatu yang jarang dilihat pada EV masa kini. Turut disediakan adalah dua beg udara.

    Sebagai sebuah van, ruang kargonya merupakan tumpuan utama. EV48 menawarkan kapasiti enam meter padu dengan dimensi 2,827 x 1,525 x 1,381 mm, bersama keupayaan muatan 1.4 tan. Ia mempunyai pintu gelungsur di kedua-dua sisi dengan bukaan maksimum 1.5 meter dan dibina berasaskan struktur monocoque.

    Tenaga dibekalkan oleh bateri CATL LFP 53.58 kWh yang memacu motor elektrik belakang berkuasa 82 PS dan 220 Nm. Jenhoo mendakwa jangkauan mengikut standard CLTC mencecah 390 km, kecekapan rintangan angin 0.38 dan pecutan 0-50 km/j yang dapat dicapai dalam lima saat.

    Untuk pengecasan, EV48 menyokong pengecasan AC sehingga 6.6 kW yang mengambil masa kira-kira sembilan jam dari 10% ke 100%. Ia turut menyokong pengecasan DC dengan kadar maksimum yang belum didedahkan, tetapi mampu mengisi dari 20% ke 80% dalam masa 45 minit.

    Waranti kenderaan adalah lima tahun atau 200,000 km. Di Malaysia, EV48 akan bersaing dengan beberapa van elektrik lain seperti BYD T3, CAM EA4 dan EC35, Foton iBlue, Higer Ace E1 serta Maxus eDeliver 3 dan eDeliver 7.

     
     
  • Ford Ranger Raptor Sport dilancarkan di Malaysia – RM274k, edisi terhad, rim 17-inci gaya beadlock

    Ford Ranger Raptor Sport dilancarkan di Malaysia – RM274k, edisi terhad, rim 17-inci gaya beadlock

    Sime Darby Auto ConneXion (SDAC) Ford hari ini mengumumkan bahawa model edisi terhad Ford Ranger Raptor Sport kini dilancarkan di Malaysia secara rasmi dan sudah boleh mula ditempah di bilik pameran bermula esok, 15 November 2025. Model yang diberikan penggayaan lebih agresif ini ditawarkan sempena ulangtahun ke-3 Ranger Raptor generasi terkini berada dalam pasaran, dan ia dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM273,888.00 di Semenanjung Malaysia dan RM277,388.00 di Sabah dan Sarawak.

    Ford Ranger Sport ini diasaskan dari varian 3.0L V6 Twin-Turbo EcoBoost yang kini dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM263,888.00. Apa yang berbeza, model istimewa ini diberikan penggayaan unik dimulakan dengan pemadanan rim aloi 17-inci dengan gaya beadlock yang lebih lasak, kemudian menerima pelekat badan sisi dengan grafik yang lebih besar serta Sports Bar pada bed belakang yang sama seperti dipadankan pada Ranger Wildtrak terbaharu.

    SDAC Ford memberitahu bahawa Ranger Sport ini ditawarkan dalam jumlah yang terhad, namun tidak mendedahkan angka sebenar yang dihasilkan dan akan dijual dalam pasaran tempatan.

    Selain dari itu, perincian yang diberikan pada Ranger Raptor Sport ini adalah sama seperti Ranger Raptor petrol. Tiada talaan tambahan prestasi di mana enjin 3.0L V6 Twin Turbo EcoBoost yang dibekalkan masih menghasilkan kuasa 397 PS pada takat 5,650 rpm dan tork maksima 583 Nm pada takat 3,500 rpm.

    Kuasa dari enjin berkenaan disalurkan kepada kotak gear automatik 10-kelajuan, sebelum memacu semua roda menerusi sistem pacuan-empat roda sepenuh masa, yang dibekalkan bersama transfer case dua-kelajuan, serta locking differential diberikan pada gandar belakang dan hadapan.

    Begitu juga dengan suspensi di mana Ranger Raptor Sport ini masih diberikan sistem Watt’s Linkage pada gandar belakang, bersama penyerap hentak off-road dengan strok panjang yang dibekalkan oleh Fox.

    Penyerap hentak tersebut menampilkan injap pirau dalaman 2.5-inci bersama Teflon yang disalut minyak bagi mengurangkan geseran sehingga 50% berbanding model sebelum ini. Karekter lantunan semula, kadar spring, ketinggian kenderaan dan tetapan injap ditala bagi memberikan keseimbangan terbaik antara prestasi atas jalan raya serta off-road.

    Juga tiada sebarang perubahan diberikan pada bahagian dalaman di mana ia masih menampilkan paparan instrumen digital sepenuhnya bersaiz 12.4-inci, roda stereng sport balutan kulit dengan penanda pukul 12 kemasan oren dan logo Raptor di bawah, pedal penukar gear magnesium dan tombol gear elektronik serta tempat duduk hadapan yang dihasilkan dengan inspirasi dari jet pejuang F22.

    Klik untuk besarkan

    Manakala untuk sistem infotainmen, Ranger Raptor diberikan skrin sesentuh 12-inci yang diposisikan secara menegak, dengan hubungan SYNC 4A (Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar diberikan standard), bersama sistem bunyi dari Bang & Olufsen dengan lapan pembesar suara. Kabin trak pikap ini juga dilengkapi dengan lampu suasana serta empat slot pengecas USB dan pengecas tanpa wayar Q.

    Ford Ranger Raptor Sport baharu ini hanya ditawarkan dalam dua warna badan iaitu Arctic White dan Meteor Grey. Setiap pembelian akan diberikan perlindungan waranti selama 5 tahun serta pakej servis percuma 2 tahun. Pelanggan juga akan diberikan beg penyejuk eksklusif “Live The Ranger Life” sebagai cenderamata penghantaran.

     
     
  • Operasi bas Rapid Kuantan bakal ditamatkan mulai 14 Dis 2025 – digantikan dengan Bas.My Kuantan

    Operasi bas Rapid Kuantan bakal ditamatkan mulai 14 Dis 2025 – digantikan dengan Bas.My Kuantan

    Operasi perkhidmatan bas Rapid Kuantan, yang dikendalikan oleh Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) sejak November 2012, akan ditamatkan sepenuhnya mulai 14 Disember 2025.

    Walau bagaimana pun, bagi penduduk sekitar Kuantan yang menggunakan perkhidmatan bas henti-henti, jangan risau kerana Bas.My Kuantan akan menggantikannya. Ia dikendalikan oleh Sanwa Tours (M) Sdn Bhd (Sanwa Tours), di bawah seliaan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

    Ku Jamil Zakaria, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif, Rapid Bus berkata, “Kami amat menghargai setiap penumpang yang telah bersama Rapid Kuantan sejak 2012. Dukungan masyarakat setempat menjadi semangat kami untuk terus memperkukuh sistem pengangkutan awam di Malaysia. Kami berharap orang ramai akan terus menyokong dan menggunakan perkhidmatan Bas.My Kuantan di bawah kendalian Sanwa Tours.”

    Sepanjang tempoh perkhidmatannya, Rapid Kuantan telah membawa lebih 28 juta penumpang, dengan purata sekitar 6,000 penumpang setiap hari, dan pernah mencatat purata harian tertinggi melebihi 15,000 penumpang.

    Bermula 15 Disember 2025, sebarang pertanyaan berkaitan operasi dan jadual perkhidmatan Bas.My Kuantan boleh dikemukakan terus kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) melalui e-mel [email protected] atau talian 03-2603 6700.

     
     
  • Aerotrain KLIA akan digantung operasi setiap hari 9mlm-7pg, 15 Nov-15 Dis; untuk diperiksa, dibaiki

    Aerotrain KLIA akan digantung operasi setiap hari 9mlm-7pg, 15 Nov-15 Dis; untuk diperiksa, dibaiki

    Perkhidmatan aerotrain di Terminal 1 KLIA akan digantung setiap hari dari jam 9 malam hingga 7 pagi selama sebulan mulai esok, 15 November 2025, untuk kerja-kerja pemeriksaan dan pembaikian.

    Perkara ini diumumkan oleh Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) yang akan mengaktifkan pelan tindakan komprehensif di bawah Tempoh Liabiliti Kecacatan (DLP) bagi sistem Aerotrain tersebut yang akan dilaksana hingga 15 Disember ini, laporan Free Malaysia Today.

    “Bermula esok, kami akan memulakan pelan tindakan komprehensif ini, dengan perkhidmatan tren akan dihentikan sementara antara jam 9 malam hingga 7 pagi keesokan harinya.

    “Sepanjang tempoh ini, perkhidmatan bas akan beroperasi sepenuhnya bagi memastikan kelancaran pergerakan penumpang di antara bangunan terminal dan satelit dan sebaliknya,” kata Pengarah Urusan MAHB, Datuk Mohd Izani Ghani, dalam taklimat media mengenai pelan tindakan terbabit.

    Beliau menambah, pelan itu bertujuan meningkatkan kebolehpercayaan aerotrain melalui pendekatan yang berkaedah dan berstruktur, direka bagi mengukuhkan lagi prestasi serta daya tahan sistem itu menjelang akhir tempoh liabiliti kecacatannya.

    Aerotrain KLIA akan digantung operasi setiap hari 9mlm-7pg, 15 Nov-15 Dis; untuk diperiksa, dibaiki

    Jelasnya, kerja-kerja pemeriksaan harian itu akan meliputi bekalan kuasa, isyarat, komunikasi, kenderaan, guideway, peralatan keselamatan dan suis.

    Selain itu, katanya, program tersebut akan dijalankan dalam tiga peringkat iaitu pencegahan punca utama, naik taraf perkakasan dan perisian, serta pemeriksaan penuh sistem tren. Ujian tekanan masa nyata dan operasi percubaan akan dilakukan sebelum perkhidmatan penuh disambung semula.

    “Aerotrain telah merekodkan 98.41% ketersediaan operasi sejak 1 Julai, dengan menyelesaikan lebih 53,000 perjalanan ulang-alik dan membawa lebih tujuh juta penumpang sehingga 10 Nov,” katanya.

    Pada 28 Oktber lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke telah mengeluarkan arahan kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk membuka kertas siasatan terhadap MAHB.

    Sebelum itu, pada 13 Oktober 2025, timbalannya, Datuk Hasbi Habibollah mengesahkan bahawa perkhidmatan Aerotrain telah mengalami gangguan sebanyak 19 kali antara 2 Julai hingga 30 September 2025. Gangguan terhadap perkhidmatan Aerotrain itu antaranya berkaitan isu teknikal, seperti semboyan dan disebabkan manusia, seperti penumpang cuba membuka pintu.

     
     
  • BYD Malaysia catat YTD 2025 11,097 unit setakat Nov, naik 70% berbanding 2024; 24,328 unit keseluruhan

    BYD Malaysia catat YTD 2025 11,097 unit setakat Nov, naik 70% berbanding 2024; 24,328 unit keseluruhan

    Tahun 2025 menjadi pencapaian tersendiri buat BYD Malaysia dari segi jualan: setakat November lalu, syarikat itu telah mencatatkan sebanyak 11,097 unit kenderaan BYD dan Denza yang sudah terjual bagi tempoh 11 bulan tahun ini, di sini (YTD). Angka itu juga merupakan peningkatan sebanyak 70% bagi tempoh sama pada 2024.

    Jenama itu juga menegaskan beberapa lagi angka yang ingin dikongsi dalam sesi media ketika pembukaan pameran BYD Tech Discovery 2025 semalam (yang berlangsung dari 14-16 November). Jualan keseluruhan BYD dan Denza di Malaysia sejak mula beroperasi hampir tiga tahun lalu ialah 24,328 unit — sejak model pertama, Atto 3 dilancarkan.

    Angka keseluruhan yang terbaru ini juga dicapai dalam tempoh selepas dua bulan BYD mengumumkan pencapaian angka jualan 20,000 unit. BYD ketika ini menawarkan tujuh EV di pasaran Malaysia — BYD Sealion 7, Seal sedan, Seal 6 EV, Atto 3, Atto 2 dan M6 MPV serta Denza D9 MPV.

    BYD Malaysia catat YTD 2025 11,097 unit setakat Nov, naik 70% berbanding 2024; 24,328 unit keseluruhan

    Dari segi prasarana, jenama itu kini mempunyak hampir 40 cawangan jualan di seluruh negara, dan merancang untuk menambah angka tersebut kepada 50 menjelang penghujung 2026.

    Dari sudut operasi lepas jualan, BYD kini mempunyai 24 cawangan, melibatkan juga 12 pusat cat dan badan serta pusat sentral bagi alat ganti yang ketika ini menyimpan 4,610 unit alat ganti tersedia; kadar ketersediaan yang sudah mencapai 94%.

     
     
  • Pusat 3S Mitsubishi Motors di Melaka kendalian EON Auto Mart dinaiktaraf, dipindahkan ke Melaka Autocity

    Pusat 3S Mitsubishi Motors di Melaka kendalian EON Auto Mart dinaiktaraf, dipindahkan ke Melaka Autocity

    Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) dan pengedarnya EON Auto Mart (EAM) telah mengumumkan pemindahan lokasi bilik pameran Mitsubishi Motors di Melaka yang kini dinaiktaraf dengan fasiliti 3S baharu.

    EAM, yang mengendalikan sembilan bilik pameran Mitsubishi Motors di seluruh negara, telah menjadi pengedar Mitsubishi Motors sejak 2005 dan cawangannya di Melaka telah ditubuhkan pada 2009.

    Pada asalnya, ia beroperasi sebagai pusat 1S+2S, dan kini pusat 3S baharu tersebut terletak di Melaka Autocity, Kemudahan seluas 7,465 kaki persegi ini boleh mempamerkan enam kenderaan dan turut dilengkapi ruang khas untuk penyerahan kenderaan, 10 ruang servis yang dilengkapi dengan tujuh hoist (peralatan mengangkat kenderaan), ruang menunggu pelanggan dengan WiFi serta sudut permainan kanak-kanak.


    “Melaka merupakan tiga negeri teratas dengan jualan terlaris bagi Triton, manakala Xpander pula merupakan MPV bukan nasional No.1 di Melaka dan di Malaysia. Pemindahan EAM Melaka mencerminkan matlamat bersama kami untuk memberikan yang terbaik kepada pemilik Mitsubishi Motors.

    “Kami amat berterima kasih kepada pelanggan kami di Melaka atas kepercayaan dan sokongan berterusan mereka. Kemudahan baharu ini melambangkan komitmen kami untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik dengan keselesaan yang dipertingkatkan dan pengalaman pemilikan yang lebih memuaskan,” kata CEO MMM, Takashi Sakamaki.

    Pusat 3S Mitsubishi EAM di Melaka Autocity dibuka tujuh hari seminggu, dari jam 8 pagi hingga 5 petang. Ia teerletak di No.1, Jalan Autocity 3, Melaka Autocity, Hang Tuah Jaya, Durian Tunggal, Melaka.

     
     
  • BYD Tech Discovery 2025 pamer pengalaman penuh jenama — demonstrasi Denza Z9 GT, BYD Shark 6

    BYD Tech Discovery 2025 pamer pengalaman penuh jenama — demonstrasi Denza Z9 GT, BYD Shark 6

    Bagi orang ramai yang ingin tahu lebih lanjut tentang teknologi dan penawaran jenama BYD di Malaysia di bawah satu bumbung, pameran BYD Tech Discovery 2025 adalah untuk anda. Berlangsung di Plaza Arkadia, Desa Park City, dari 14-16 November 2025 dari 10 pagi hingga 8 malam setiap hari, ini adalah permulaan kepada siri jelajah yang akan turut diadakan di Pulau Pinang dan Johor Bahru kelak.

    Dianjurkan oleh BYD Malaysia dan Denza, bersama dengan pengedar rasminya BYD Sime Motors, pameran ini membawakan kepada khalayak awam sebuah pengalaman yang menyeluruh tentang jenama berkenaan. Tumpuan diberikan kepada semua model-model sedia ada yang dijual di sini sekarang, seperti BYD Sealion 7, Seal, Seal 6 EV, Atto 3, Atto 2 dan M6, serta Denza D9.

    BYD Tech Discovery 2025 pamer pengalaman penuh jenama — demonstrasi Denza Z9 GT, BYD Shark 6

    Pengunjung juga tidak hanya akan mempelajari tentang kenderaan-kenderaan tersebut dan memandu ujinya, tetapi juga turut akan dihidangkan dengan pengalaman bersama Denza Z9 GT dan juga BYD Shark 6 yang membuat penampilan sulung di Malaysia.

    Dengan Z9 GT, pengunjung berpeluang untuk mengalami sendiri fungsi canggih yang ditawarkannya seperti pusingan 360-darjah mengiring, sementara Shark 6 memperagakan kemampuan teknologi Dual Mode Off-road (DMO)-nya melalui cabaran jambatan tinggi serta halangan silang-gandar dan juga ujian pecutan serta permukaan tidak rata.

    BYD Tech Discovery 2025 pamer pengalaman penuh jenama — demonstrasi Denza Z9 GT, BYD Shark 6

    Di ruang pameran dalam, pengunjung berpeluang untuk mempelajari tentang inovasi BYD, dari bateri Blade hinggalah kepada casis e-Platform 3.0 serta sistem pintar yang ada. Pakar teknologi serta petugas jualan jenama ini juga ada untuk memberi penerangan lanjut kepada anda.

    Ada juga tawaran eksklusif yang diberikan khusu untuk acara ini, jadi anda juga boleh menikmati pelbagai penjimatan sekiranya ingin memiliki kenderaan BYD sebelum tempoh pengecualian cukai untuk EV berakhir hujung tahun ini.

    BYD Tech Discovery 2025 pamer pengalaman penuh jenama — demonstrasi Denza Z9 GT, BYD Shark 6

    Pengarah Urusan BYD Malaysia, Eagle Zhao menjelaskan, pameran ini menjadi peluang terbaik untuk semua pengunjung mempelajari dan mengalami sendiri apa yang ada ditawarkan oleh BYD dan Denza. “Acara BYD Tech Discovery ini adalah cara kami berkongsi perjalanan BYD setakat ini dengan seluruh warga Malaysia.”

     
     
  • Mercedes-Benz GLB 2026 dalam teaser – SUV EV tujuh tempat duduk, akan diperkenal Disember ini

    Mercedes-Benz GLB 2026 dalam teaser – SUV EV tujuh tempat duduk, akan diperkenal Disember ini

    Mercedes-Benz terus menggiatkan penawarannya dalam segmen kenderaan kompak elektrik dan kali ini perhatian tertumpu kepada model serba baru GLB yang bakal membuat penampilan sulung pada 8 Disember. Pengeluar Jerman ini telah menyiarkan imej teaser pertama, lengkap dengan paparan awal ruang kabin tujuh tempat duduk yang direka semula sepenuhnya.

    Model ini akan menggantikan GLB asal dan juga EQB, menjadikannya pemain penting dalam segmen SUV elektrik tiga baris yang masih terhad di pasaran. Ia dibangunkan berasaskan Mercedes-Benz Modular Architecture (MMA) seperti model CLA baru, sekaligus menjadikan pilihan rangkaian kuasa dan teknologi antara kedua-duanya dijangka hampir sama.

    Bahagian dalaman kini dipertontonkan sepenuhnya dan jelas menggunakan reka bentuk papan pemuka yang sama seperti CLA. Antara tarikan utama ialah MBUX Superscreen yang merentangi selebar kabin, merangkumi paparan instrumen 10.25 inci serta dua skrin sentuh 14 inci, termasuk satu khas untuk penumpang hadapan.

    Mercedes-Benz GLB 2026 dalam teaser – SUV EV tujuh tempat duduk, akan diperkenal Disember ini

    Keseluruhan sistem ini dijana oleh Mercedes-Benz Operating System (MB.OS) generasi terkini yang turut menyertakan ciri AI generatif. Corong pendingin hawa berbentuk bulat dengan kemasan beralur mengapit set skrin tersebut, manakala panel pintu direka cekung dengan ruang simpanan besar serta pemegang pintu terapung.

    Stereng kini menerima sedikit perubahan penting, termasuk butang fizikal untuk larasan bunyi dan suis kawalan kelajuan cruise control, sesuatu yang dibuat atas permintaan pelanggan. Selebihnya masih menggunakan kawalan sentuhan dan beberapa butang seperti memori tempat duduk serta suis tingkap belakang berasingan turut digugurkan, sama seperti pada CLA.

    Bumbung kaca panoramik dipasang sebagai ciri standard, dibantu kedudukan bumbung yang lebih tinggi bagi menambah ruang kepala untuk dua baris pertama. Kaca ini menggunakan lapisan inframerah di bahagian luar dan lapisan low-e di bahagian dalam untuk mengurangkan haba dan boleh dinaik taraf dengan fungsi pembekuan elektro-kromatik serta pancaran cahaya seakan bintang.

    Mercedes-Benz GLB 2026 dalam teaser – SUV EV tujuh tempat duduk, akan diperkenal Disember ini

    Di bahagian belakang, ruang kaki dan sokongan paha untuk penumpang baris kedua ditambah baik, manakala fungsi tilt-and-slide satu sentuhan memudahkan akses ke baris ketiga. Pilihan gelongsor dan baring untuk baris kedua ditawarkan pada model lima tempat duduk dan menjadi standard untuk versi tujuh tempat duduk.

    Bahagian luaran masih diselubungi penyamaran tebal dan salji hasil ujian terowong angin cuaca sejuk, namun bentuk berkotak GLB asal masih dikekalkan. Lampu hadapan kelihatan lebih tirus dan moden, dan dijangka disambungkan dengan jalur lampu penuh lebar di atas gril berbentuk trapezoid yang cukup besar, berserta grafik bintang tiga penjuru Mercedes. Di belakang pula, GLB baru dijangka menggunakan lampu berbentuk L terbalik yang bersambung dengan jalur nipis merentasi pintu belakang.

    Perincian mekanikal belum didedahkan sepenuhnya, namun ia dijangka menyamai penawaran CLA, termasuk motor belakang 272 PS/335 Nm serta konfigurasi dua motor 354 PS/515 Nm. Kedua-duanya hampir pasti menggunakan transmisi dua kelajuan pada gandar belakang seperti Porsche Taycan.

    Turut dijangka ialah bateri 85 kWh NMC, yang pada CLA mampu mencapai jarak sehingga 792 km WLTP – angka untuk GLB dijangka lebih rendah kerana saiz dan aerodinamiknya. Pilihan bateri 58 kWh LFP dan rangkaian kuasa hibrid 48 volt yang menggabungkan enjin 1.5 liter M252 Atkinson-cycle turbo bersama motor elektrik dalam transmisi 8F-eDCT turut dijangka ditawarkan.

    Dengan platform MMA, GLB elektrik ini hampir pasti menerima seni bina elektrik 800 volt, membolehkannya menyokong pengecasan pantas DC sehingga 320 kW. Diharapkan juga Mercedes-Benz menyediakan fleksibiliti penuh untuk pengecasan di stesen 400 volt.

    Selepas pelancaran GLB, Mercedes-Benz akan memperkenalkan GLA generasi ketiga, melengkapkan barisan model kompaknya. Namun, A-Class tidak akan lagi diteruskan selepas 2028 apabila jenama itu mengurangkan kerumitan pembangunan produk dalam era platform MMA.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.67 (0.00)
EURO 5 B7 RM4.87 (0.00)
Last Updated Jun 11, 2026