Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Iklan Perodua QV-E beri penekanan terhadap aspek buatan anak tempatan, 100% R&D di Malaysia

    Iklan Perodua QV-E beri penekanan terhadap aspek buatan anak tempatan, 100% R&D di Malaysia

    Setelah memuat naik sebuah video yang mengesahkan nama EV pertama kebangsaan minggu lalu (yang turut menyelitkan imej wajah depan kereta berkenaan), Perodua sekali lagi memberi petunjuk kepada model elektrik QV-E keluarannya, yang bakal dilancarkan oleh PMX hujung bulan ini.

    Iklan susulan berkenaan sekali lagi memberi penekanan terhadap aspek buatan tenaga tempatan dalam projek berkenaan. Antara slogan yang tertera dengan jelas adalah: “From the hands of Malaysians comes the power to move Malaysia”.

    Caption untuk video yang dimuatnaik di saluran Youtube pula menyatakan: “Built with our hands. Charged for our tomorrow. A spark lighting the road ahead and ready to move every one of us forward. The future is almost ready to roll out.” Video kedua dengan judul “Engineering the Next Era of Mobility” pula memberi penekanan terhadap R&D Malaysia 100%.

    Iklan Perodua QV-E beri penekanan terhadap aspek buatan anak tempatan, 100% R&D di Malaysia

    Mesej daripada Perodua sangat jelas, bahawa ini adalah EV yang dibangunkan oleh bakat tempatan dari awal hingga akhir. Ini dilakukan dengan matlamat untuk membawakan mobiliti elektrik kepada semua dengan menjadikan EV sebagai sebuah pilihan yang terjangkau kepada pelbagai golongan pengguna.

    Perodua QV-E juga sempat kami tinjau dari dekat ketika acara Global Automotive and Technology Expo (GATE) 2025 tempoh hari.

    Daripada apa yang dapat dilihat, EV berkenaan menggunakan bateri lithium-ion dengan kapasiti
    52.5 kWj. Perodua sebelum ini memaklumkan yang sasaran jarak bagi penggunaan sebenar EV berkenaan adalah sekitar 400 km-410 km. dengan anggaran kapasiti kadar dalam 50 kWj dan penggunaan kuasa purata sekitar 13 kWj per 100 km, kapasiti tersebut boleh memberikan jarak penggunaan sebenar sekitar 385 km.

    Iklan Perodua QV-E beri penekanan terhadap aspek buatan anak tempatan, 100% R&D di Malaysia

    Turut dimaklumkan sebelum ini bateri untuk Perodua EV akan dibekalkan oleh CATL. Bagaimanapun, ini bukanlah platform CATL atau khusus untuk EV. Yang kelihatan oleh model yang dipotong sekerat ini adalah platform kenderaan ICE yang telah diadaptasi untuk aplikasi EV.

    Turut ditunjukkan ialah pengecas wallbox 7 kW, yang memberi bayangan bahawa versi produksi akan disertakan dengan pengecas dalaman fasa tunggal 7 kW juga. Sebagai perbandingan, Proton eMas 5 yang baru dilancarkan mempunyai jarak sehingga 325 km untuk varian Premium, dengan bateri CATL 40.16 kWj.

    Perodua sebelum ini memaklumkan EV ini disasarkan untuk mempunyai prestasi pecutan 0-100 km/j dalam masa tujuh saat, dan laju maksimum 160 km/j. Ini angka yang lebih besar daripada yang diberikan oleh eMas 5, maka boleh dijangka sistem janaan EV Perodua juga akan lebih berkuasa.

    Iklan Perodua QV-E beri penekanan terhadap aspek buatan anak tempatan, 100% R&D di Malaysia

    Pemerhatian selanjutnya juga mendapati bahagian suspensi depan EV Perodua ini nampak sama dengan tetapan untuk Myvi ketika ini, yang menggunakan jenis MacPherson Strut. Untuk bahagian belakang, EV ini menggunakan suspensi jenis torsion beam, juga sama seperti Myvi.

    Perincian lanjut yang disahkan serta harga bagi model EV pertama Perodua ini hanya akan bakal kita ketahui ketika pelancaran rasminya kelak, dijangka bakal berlangsung hujung November.

     
     
  • Honda Malaysia siar teaser Prelude generasi ke-6, bakal dilancarkan di sini pada tahun hadapan?

    Honda Malaysia siar teaser Prelude generasi ke-6, bakal dilancarkan di sini pada tahun hadapan?

    Honda Malaysia meraikan sambutan ulangtahunnya yang ke-25 pada hujung tahun ini. Selain dari promosi istimewa yang kini sedang berlangsung, syarikat itu turut menyiarkan satu video pendek di laman-laman media sosialnya bagi berterima kasih kepada semua pelanggan di Malaysia yang menyokongnya selama ia beroperasi.

    Selain dari model-model biasa, Honda Malaysia turut menampilkan beberapa model sport istimewa yang dibawa masuk secara rasmi ke pasaran tempatan seperti Honda CR-Z, Civic Type R FD2 dan juga Civic Type R FL5 dalam video tersebut. Dan apa yang menarik, ia turut memaparkan bahagian belakang Honda Prelude generasi ke-6 pada penghujung video itu, sebagai teaser bahawa ia bakal di bawa ke pasaran tempat mungkin pada tahun hadapan!

    Honda Prelude generasi baharu ini membuat kemunculan sulungnya di Jepun pada September lalu. Ia menampilkan rupa yang hampir sama sepenuhnya dengan versi prototaip yang didedahkan buat pertama kali pada Oktober 2023. Apa yang berbeza hanyalah model produksi ini diberikan penderia-penderia parkir pada bahagian bampar hadapan dan belakang.

    Honda Malaysia siar teaser Prelude generasi ke-6, bakal dilancarkan di sini pada tahun hadapan?

    Prelude ini sebenarnya berkongsi platform yang sama dengan Honda Civic ke-11, di mana unit rangkaian kuasanya diambil dari Honda Civic Hybrid, manakala suspensi pula disadur dari Civic Type R tetapi semuanya diberikan talaan khas untuk coupe ini.

    Jadi Prelude menerima unit rangkaian kuasa e:HEV yang menampilkan enjin 2.0 liter empat silinder kitaran Atkinson yang menjana 141 hp dan juga tork 181 Nm, digandingkan bersama dua motor elektrik yang menghasilkan 181 hp dan tork maksima 315 Nm. Menurut Honda, secara keseluruhan Prelude ini dibekalkan dengan kuasa sebanyak 200 hp dan tork maksima 315 Nm.

    Enjin petrol pada Prelude ini pada kebanyakkan masa hanya akan berfungsi untuk mengecas bateri hibrid, manakala setiap kali mula bergerak roda hadapan akan dipacu oleh motor elektrik membolehkan tork 315 Nm berkenaan diberikan dari 0 rpm. Namun pada situasi tertentu seperti pada kelajuan tinggi, enjin akan dihubungkan kepada motor elektrik untuk bersama-sama memacu roda menerusi klac lock-up yang dibekalkan.

    Pada Civic Hybrid, unit rangkaian kuasa eHEV sudahpun diberikan bunyi enjin dan tukaran gear palsu bagi mengelakkan rasa janggal pada pemandu ketika memandu kereta tersebut. Namun untuk Prelude, bunyi berkenaan ditambah baik dengan Active Sound Control (ASC), malah dengan mod Honda S+ Shift, pemandu turut boleh ‘menukar gear’ palsu tersebut secara manual menerusi pedal penukar gear aluminium yang dipadankan pada roda stereng.

    Honda Malaysia siar teaser Prelude generasi ke-6, bakal dilancarkan di sini pada tahun hadapan?

    Mod berkenaan akan memberikan lapan nisbah gear palsu, dan akan turut memberikan rasa ‘shift shock’ seperti kotak gear sebenar setiap kali gear ditukar. Menurut Honda, rasa dan kepantasan tukaran gear palsu pada Prelude ini diberikan rasa seperti tukaran kotak gear DCT Honda NSX generasi kedua. Sistem ini juga akan memberikan bunyi throttle blip setiap kali gear palsu berkenaan diturunkan secara manual.

    Untuk casis, Prelude diberikan konfigurasi suspensi hadapan topang dua paksi yang sama seperti Honda Civic Type R dan juga Acura Integra Type S, membolehkan torque steer yang lazimnya terjadi pada kereta pacuan hadapan ketika memecut dilenyapkan sepenuhnya.

    Prelude juga diberikan penyerap hentak adaptif yang sama seperti Civic Type R/Integra Type S namun diberikan talaan yang lebih tersendiri iaitu keselesaan untuk perjalanan jarak jauh seperti sebuah grand touring sebenar, dalam masa yang sama turut memberikan karekter pengendalian yang sporty. Malah jarak trek roda hadapan dan belakang Prelude ini juga dibuat sama lebar seperti Civic Type R (1,626 mm depan/1,613 mm belakang) bagi memberikan kestabilan serta cengkaman roda ketika mengambil selekoh yang lebih baik.

    Honda Malaysia siar teaser Prelude generasi ke-6, bakal dilancarkan di sini pada tahun hadapan?

    Turut membantu kestabilan dan cengkaman Prelude ini termasuk pemandanan set roda yang menampilkan rim 19-inci pelbagai jejari dalam kemasan hitam berkilat, dibalut dengan tayar 235/40R19. Dapat dilihat di sebalik roda tersebut adalah angkup brek empat omboh Brembo di hadapan dalam kemasan biru serta angkup belakang yang lebih kecil juga berwarna biru, yang sebenarnya juga merupakan sistem yang sama digunakan pada hot-hatch Honda Civic Type R.

    Di Jepun Honda Prelude 2026 ini dijual pada harga bermula 6,179,800 yen (sekitar RM176k) untuk varian standard, manakala Prelude ON Limited Edition pula dijual pada harga 6,480,100 yen (sekitar RM185k). Ia sebenarnya lebih mahal berbanding Civic Type R di mana model asas hot hatch berkenaan dijual pada harga bermula 4,997,300 yen (sekitar RM143k).

    Honda Civic Type R FL5 sudahpun dilancarkan di Malaysia pada September 2023, dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM399,900. Sekiranya formula sama dari Jepun digunakan pada pasaran tempatan, adakah Prelude generasi ke-6 ini akan dijual pada harga lebih RM400k?

    GALERI: Honda Prelude 2026 pasaran Jepun

     
     
  • KTM ETS3 laluan Johor Bahru- KL Sentral beroperasi mulai 12 Dis 2025, empat perjalanan sehari – Loke

    KTM ETS3 laluan Johor Bahru- KL Sentral beroperasi mulai 12 Dis 2025, empat perjalanan sehari – Loke

    Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengesahkan perkhidmatan ETS3 untuk laluan Johor Bahru-KL Sentral akan beroperasi mulai 12 Disember 2025, laporan Bernama. Perasmiannya pula dijadualkan pada 11 Disember dan perkenan telah diperoleh daripada Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim, Yang di-Pertuan Agong Malaysia, untuk merasmikan majlis pelancaran tersebut di ibu negeri Johor.

    “Jika jaraknya terlalu jauh, seperti laluan ke utara, kami hanya boleh mengendalikan dua perjalanan sehari, satu perjalanan pergi dan satu perjalanan balik. Tetapi untuk perjalanan yang lebih pendek seperti Johor Bahru ke Kuala Lumpur, perkhidmatan boleh dijalankan dengan lebih kerap,” katanya pada sidang media pada hari Sabtu.

    Laporan lain Bernama turut menyebut, KTMB berkata bahawa akan ada empat perjalanan harian antara KL Sentral dan JB Sentral pada peringkat permulaan, dan akan ditambah jumlah perjalanan harian apabila lebih banyak set tren baharu tiba.

    “Setakat ini, empat daripada 10 set tren ETS3 telah melepasi Pemeriksaan Cermat Akhir (PCA), sijil juga sudah diperoleh dan sedia untuk beroperasi. Bagi perkhidmatan dari JB Sentral menuju ke utara, operasi akan diperkenalkan secara berperingkat, selaras dengan tahap kesiapsiagaan infrastruktur, keperluan penjadualan dan ketersediaan aset operasi,” katanya.

     
     
  • Isuzu Malaysia lancar pusat 4S baharu di Balakong

    Isuzu Malaysia lancar pusat 4S baharu di Balakong

    Isuzu Malaysia telah mengembangkan rangkaian pengedarnya dengan pelancaran sebuah pusat 4S baharu yang terletak di Balakong, Selangor. Dioperasikan oleh SV Prestige Auto, ia merupakan pusat 4S ketiga di Lembah Klang yang dikendalikan oleh pengedar bertauliah tersebut.

    Menggunakan identiti korporat Isuzu yang terbaharu, pusat 4S ini menampilkan ruang pameran yang boleh menempatkan hingga dua unit trak pikap serta simulator realiti maya bagi mempamerkan keupayaan D-Max. Sementara itu, bahagian selepas jualan di fasiliti ini berkeupayaaan mengendalikan enam kenderaan dalam satu masa dan dilengkapi mesin penjajaran tayar serta bilik semburan cat bersaiz penuh.

    Sementara itu, pusat body & paint juga bakal beroperasi tidak lama lagi untuk melakukan kerja-kerja baikpulih kenderaan akibat kemalangan besar, dengan pengiktirafan telah pun diperoleh daripada syarikat insurans automotif utama di sini.

    Isuzu Malaysia lancar pusat 4S baharu di Balakong

    “Pembukaan pusat 4S Isuzu yang baharu ini dengan kemudahan moden dan bersepadu mencerminkan usaha berterusan kami untuk memastikan pemilikan kenderaan Isuzu kekal sebagai satu pengalaman yang benar-benar positif. Dengan menawarkan rangkaian lengkap perkhidmatan penjagaan kenderaan di bawah satu bumbung, pelanggan kami boleh menikmati keyakinan bahawa kenderaan Isuzu mereka menerima penjagaan berkualiti yang menyeluruh dan mudah,” kata Tomoyuki Yamaguchi, CEO Isuzu Malaysia.

    Ryan Tham, selaku Pengarah Urusan SV Prestige Aut pula berkata, “Dengan bimbingan Isuzu Malaysia dan sokongan para pelanggan kami, kami telah berjaya menyatukan semua operasi kami di sini dengan sebuah pusat 4S sehenti. Saya berharap dengan kemudahan baharu ini, pelanggan kami akan menikmati destinasi yang lebih selesa dan kondusif untuk semua keperluan Isuzu mereka.”

    Pusat 4S Isuzu yang baharu ini terletak di Lot 1917-B, Jalan KPB 7, Kawasan Perindustrian Kampung Baru Balakong. Bersama dengan pusat 3S Isuzu di Puchong, bilik pameran SV Prestige Auto dibuka setiap hari manakala pusat servis dibuka dari hari Isnin hingga Sabtu.

     
     
  • Toyota Corolla sedan facelift 2026 di Guangzhou – muka dan papan pemuka baharu, akan ke Malaysia?

    Toyota Corolla sedan facelift 2026 di Guangzhou – muka dan papan pemuka baharu, akan ke Malaysia?

    Bulan lalu Toyota telahpun mendedahkan Corolla Concept 2025 di Japan Mobility Show 2025, iaitu model konsep bagi menggambarkan Corolla generasi ke-13 yang akan menggantikan model sedia ada yang sudahpun tujuh-tahun berada dalam pasaran. Namun sebelum Corolla generasi ke-12 direhatkan, ia kini hadir dalam versi satu lagi facelift agar ia kekal segar dan relevan dalam pasaran.

    China menjadi pasaran pertama menerima Corolla sedan facelift ini, dan kami temui model berkenaan dipamerkan di Auto Guangzhou 2025. Model ini menerima perubahan drastik pada bahagian muka, menampilkan rekaan jerung hammerhead seperti yang telah diberikan pada model-model terkini Toyota termasuk Prius, Crown, Camry facelift dan sebagainya.

    Rekaan baharu ini memberikan ‘muncung’ yang lebih tajam dengan gril hadapan yang lebih nipis, diapit dengan lampu utama berbentuk-C. Gril bawah pada bampar juga kini lebih kecil, terhubung kepada kemasan berbentuk-L pada kiri dan kanan yang menjadi perumah kepapa lampu kabus LED.

    Toyota Corolla sedan facelift 2026 di Guangzhou – muka dan papan pemuka baharu, akan ke Malaysia?

    Badan sisi sehingga ke bahagian belakang pula masih lagi nampak sama. Apa yang jelas berbeza adalah rekaan rim aloi baharu, dan juga bar krom yang merentangi penutup but belakang kini diganti dengan bar berlampu.

    Di dalam, Corolla facelift 2026 ini diberikan papan pemuka yang telah dirombak – ia kini nampak lebih ‘nipis’ dan nampak lebih bersegi, menampilkan liang penghembus udara seakan merentasi sepenuhnya papan pemuka tersebut. Konsol tengah juga kini direka lebih lebar yang boleh menempatkan dua telefon pintar pada ruang storan, di mana salah satu daripadanya merupakan pad pengecas tanpa wayar.

    Pemandu menerima paparan instrumen digital dengan skrin 8.8-inci, manakala di tengah terdapat skrin sesentuh infotainmen bersaiz 12.9-inci yang diletakkan seakan terapung. Skrin gergasi tersebut dikuasakan oleh cip Qualcomm Snapdragon 8155, dan ia turut menempatkan suis-suis maya untuk kawalan pendingin hawa bagi memansuhkan butang-butang fizikal.

    Toyota Corolla sedan facelift 2026 di Guangzhou – muka dan papan pemuka baharu, akan ke Malaysia?

    Model pasaran China ini menerima enjin M20E-FTS 2.0 liter empat-silinder NA berkuasa 171 PS digandingkan bersama kotak gear CVT. Padanan ini sebenarnya menggantikan dua pilihan enjin petrol penuh sebelum ini pada pasaran berkenaan iaitu enjin 9NR-FTS 1.2 liter empat-silinder dan juga enjin M15B-FTS 1.5 liter tiga-silinder.

    Juga terdapat varian dengan unit rangkaian kuasa hibrid ditawarkan untuk Corolla facelift pasaran China ini yang menggandingkan enjin 1.8 liter kitaran Atkinsin berkuasa 98 PS dan juga dua buah motor elektrik serta bateri NMC baharu. Menurut Toyota varian lebih mesra alam ini mampu mencapai penggunaan bahan api serendah 4.13 liter untuk setiap 100 km serta jarak gerak sejauh 1,041 km.

    Untuk tunggu model generasi ke-13 muncul sekurang-kurangnya tiga tahun lagi, tak mustahil versi facelift ini turut akan diperkenalkan pada pasaran global termasuk Malaysia. Namun ia mungkin akan berbeza dari segi penawaran unit rangkaian kuasa, dan juga sistem infotaimen dengan jangkaan suis-suis kawalan fizikal mungkin akan dikekalkan.

     
     
  • Banjir kilat melanda Plaza Tol Shah Alam – PLUS

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) memaklumkan bahawa insiden banjir kilat sedang melanda laluan sebelum dan selepas susur masuk Plaza Tol Shah Alam.

    Menurut kemaskini yang dimuatnaik menerusi Facebook rasminya sebentar tadi, lorong kiri dan lorong tengah serta susur naik ke Persimpangan Shah Alam arah Selatan ( Shah Alam -Seafield) terhalang. Selain itu, turut dilaporkan laluan sebelum masuk ke Plaza Tol Shah Alam dari Lebuhraya Guthrie menghala ke Shah Alam juga dilanda banjir yang menyebabkan lorong kiri terhalang. Sekaligus menyebabkan pergerakan trafik perlahan.

    Justeru, PLUS menasihati semua pengguna di laluan terbabit agar memandu lebih berhati-hati selain teruskan bersabar sekiranya anda tersekat dalam kesesakan di lokasi terbabit. Sila patuhi arahan petugas dan papan tanda trafik di lokasi kejadian.

    Dalam keadaan cuaca tidak menentu begini, elok rancang perjalanan anda dan peka terhadap laporan perubahan cuaca dari semasa ke semasa. Untuk pemilik kenderaan, jangan lupa mengambil perlindungan special perils atau bencana alam — memang akan ada kos tambahan, tetapi sangat membantu jika kenderaan anda rosak akibat banjir.

    Jika tiada keperluan, tangguhkan dahulu perjalanan anda dan tunggu sehingga hujan reda dan keadaan bertambah baik sebelum memulakan perjalanan. Elak dari meredah air banjir yang kita tidak tahu kedalamannya dan dibimbangi kenderaan akan hanyut dibawa arus yang pastinya mendatangkan risiko buat anda. Jika kediaman atau kawasan anda dinaiki air, bertindak pantas mengalihkan kenderaan anda ke kawasan yang lebih selamat. Dan segeralah berpindah ke lokasi yang selamat sebelum keadaan kian meruncing.

     
     
  • 4,634 kenderaan Singapura yang tiada VEP dikompaun sejak 1 Julai 2025; kutipan saman cecah RM1.39j – JPJ

    4,634 kenderaan Singapura yang tiada VEP dikompaun sejak 1 Julai 2025; kutipan saman cecah RM1.39j – JPJ

    Sejak penguatkuasaan penuh Vehicle Entry Permit (VEP) di pintu sempadan Malaysia–Singapura mulai 1 Julai lalu, Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) telah memeriksa 65,039 kenderaan dan mengeluarkan 4,634 saman terhadap kenderaan yang datang dari negara berkenaan kerana tiada VEP, dengan jumlah kutipan kompaun sebanyak RM1.39 juta.

    Timbalan Ketua Pengarah Perancangan & Operasi JPJ Malaysia, Datuk Jazmanie Shafawi berkata, pihaknya juga telah mengesan 24,202 pemilik kenderaan asing belum mengaktifkan tag Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) bagi VEP, laporan Berita Harian.

    Katanya, jumlah itu menunjukkan masih ramai pemilik kenderaan asing ingkar untuk mengaktifkan tag RFID walau penguatkuasaan penuh sudah dimaklumkan. Di mana jumlah pemilik kenderaan asing yang belum mengaktifkan RFID ini membabitkan 16,404 kenderaan persendirian individu dan 7,798 persendirian syarikat.

    4,634 kenderaan Singapura yang tiada VEP dikompaun sejak 1 Julai 2025; kutipan saman cecah RM1.39j – JPJ

    “Sebanyak 159 saman telah dikeluarkan terhadap kenderaan Persendirian Syarikat yang masih berstatus pradaftar VEP bagi tempoh 15 hingga 20 Nov 2025.

    “Tindakan ini selaras dengan Seksyen 66J Akta Pengangkutan Jalan 1987, iaitu setiap pemilik kenderaan asing yang disaman wajib menyelesaikan bayaran sebelum keluar dari Malaysia dan bayaran boleh dibuat melalui myEG,” katanya pada sidang media selepas Operasi Khas Penguatkuasaan VEP JPJ di susur keluar, Bangunan Sultan Iskandar (BSI) kelmarin.

    Pada awal bulan ini, Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata pemilik atau pemandu kenderaan asing khususnya dari Singapura yang gagal memiliki atau mengaktifkan VEP tidak dibenar keluar Malaysia selagi tidak membayar saman.

     
     
  • Alfa Romeo Tonale, Junior berpotensi ke Malaysia

    Alfa Romeo Tonale, Junior berpotensi ke Malaysia

    Dalam majlis pengenalan semula jenama Alfa Romeo ke pasaran Malaysia yang disertakan dengan pra tonton dua modelnya iaitu sedan Alfa Romeo Giulia dan SUV Stelvio, Alfa Romeo Malaysia turut mendedahkan bahawa ada lagi dua model SUV yang berpotensi untuk dibawa masuk ke pasaran tempatan.

    Model tersebut ialah Alfa Romeo Tonale yang dilahirkan pada tahun 2022 iaitu SUV hibrid ringkas. Ia berukuran 1.84 meter lebar dan 1.6 meter tinggi, lebih kurang seperti pesaingnya BMW X1, Mercedes GLA dan Audi Q3. Dengan jarak roda 2,637 mm, adik kepada Stelvio ini juga ada ditawarkan dengan versi plug-in hybrid (PHEV).

    Alfa Romeo Tonale, Junior berpotensi ke Malaysia

    Alfa Romeo Tonale

    Varian hibrid ringkas ini merupakan pacuan roda-hadapan, yang diberikan enjin 1.5 liter kitaran-Miller turbo petrol (130 atau 160 PS; tork 240 Nm), starter-generator 48-voltan (20 PS/55 Nm) dan DCT tujuh-kelajuan. Pemanduan yang dijanakan kuasa elektrik hanya untuk kelajuan rendah.

    Bagi varian PHEV, ia adalah pacuan semua-roda yang digandingkan bersama enjin 1.3 liter MultiAir turbo petrol (dari famili enjin bersaiz kecil global dari Stellantis) yang memacukan roda hadapan, sementara roda elektrik pula memacu roda belakang. Jumlah keseluruhan kuasa cecah 275 PS dan 0-100 km/j mengambil masa 6.2 saat. Ia juga diberikan bateri 15.5 kWh dengan jarak gerak hingga 80 km dalam pacuan elektrik dan boleh dicas menggunakan pengecas AC 7.4 kW (2.5 jam untuk penuh).

    Alfa Romeo Tonale, Junior berpotensi ke Malaysia

    Alfa Romeo Junior

    Lebih kecil dan lebih baharu daripada Tonale ialah Junior yang juga disebut-sebut berpotensi memasuki pasaran tempatan. SUV segmen-B ini lahir pada April 2024 sebagai Milano dan kemudian ditukarkan namanya menjadi Junior. Ia merupakan model permulaan Alfa Romeo, dengan ukuran 4.17 meter panjang, 1.78 meter lebar dan 1.5 meter tinggi, serta jarak roda 2.55 meter. Ia juga merupakan EV pertama Alfa, walaupun versi mild-hybrid turut ditawarkan. Varian asas dilengkapi motor hadapan 156 PS/260 Nm, bateri NMC 54 kWh dan jarak gerak 410 km.

    Untuk varian Veloce, ia diberikan motor hadapan 281 PS/345 Nm, bateri yang sama dan jarak gerak 347 km. Model ini juga menerima suspensi sport 25 mm lebih rendah, bar anti-olengan yang lebih tegar, Torsen limited-slip diff dan cakera brek hadapan 380 mm dengan kaliper empat piston.

    Untuk varian paling padu ialah hibrid ringkas yang dipadankan dengan enjin 1.2 liter kitaran Atkinson petrol tiga-silinder dengan kotak gear DCT enam-kelajuan dan motor elektrik 29 PS, memberikan jumlah kuasa cecah 136 PS. Ia turut diberikan AWD sebagai pilihan, dan dengan bateri lithium-ion 48 voltan, Alfa berkata pemanduan menggunakan kuasa elektrik sahaja adalah mungkin lebih 50% daripada masa pemanduan, pada kelajuan sehingga 150 km/j.

    Alfa Romeo Tonale

    Alfa Romeo Junior

     
     
  • Geely sertai FIA TCR World Tour bermula 2026 – Geely Preface TCR binaan Cyan Racing ganti Lynk & Co 03!

    Geely sertai FIA TCR World Tour bermula 2026 – Geely Preface TCR binaan Cyan Racing ganti Lynk & Co 03!

    Cyan Racing, pasukan lumba yang telah membawa jenama Volvo memenangi gelaran juara dunia bagi kategori pemandu dan pengeluar pada World Touring Car Championship (WTCC) 2017, muncul mewakili Lynk & Co di kejohanan World Touring Car Cup (WTCR) pada tahun 2019 dengan mempertaruhkan jentera Lynk & Co 03 TCR. Selepas tujuh tahun berlumba dan menggondol enam juara dunia kategori pengeluar dan tiga juara dunia kategori pemandu dalam kejohanan yang kini dikenali sebagai FIA TCR World Tour tersebut, khidmat Lynk & Co 03 TCR nampaknya bakal direhatkan.

    Untuk musim depan, Cyan Racing tidak lagi mewakili Lynk & Co kerana ia akan berlumba di bawah jenama induk iaitu Geely sendiri. Jentera yang dipilih untuk dipertaruhkan kali ini adalah sedan segmen-D Geely Preface! Menurut pasukan itu dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan hari ini, kereta lumba Geely Preface TCR berkenaan kini sudahpun mula dibangunkan di ibu pejabatnya di Sweden dan bakal membuat kemunculan sulung pada awal tahun hadapan, serta bakal mula berlumba dalam FIA TCR World Tour bermula musim 2026.

    “Hari ini menandakan peristiwa penting untuk Cyan Racing dan kami gembira untuk mengevolusikan kejayaan kami dan kerjasama jangka masa panjang dengan Geely,” kata pengasas dan pemilik pasukan Cyan Racing, Christian Dahl. Bermula tahun hadapan kerjasama Cyan Racing yang bermula dengan Volvo Cars pada 1996 kemudian beralih ke Polestar pada 2015 dan Lynk & Co pada 2018 sudah masuk tahun ke-30.

    Geely Preface facelift 2023 pasaran China

    “Hakikat bahawa kami akan memulakan tahun ke-30 berturut-turut kerjasama dengan pengeluar automotif benar-benar memotivasikan semua ahli pasukan Cyan Racing, di mana kami memulakan perjalanan dengan Geely sekali lagi bagi mencabar perlumbaan touring car terbaik di dunia,” tambah Dahl.

    “Kami telah pun memulakan proses merekabentuk dan pembinaan kereta lumba Geely Preface TCR baharu di ibu pejabat kami di Sweden. Jadual kami padat dan berjalan mengikut perancangan dan matlamat kami adalah untuk Geely Preface TCR membuat penampilan sulung di litar pada awal tahun baharu,” kata CEO dan pengurus pasukan Cyan Racing Fredrik Wahlén pula.

    Geely Preface dan juga Lynk & Co 03 sebenarnya berkongsi asas yang sama iaitu dibina menggunakan platform CMA dihasilkan oleh Volvo yang turut menjadi asas kepada model seperti Volvo XC40, dan kedua-duanya dibekalkan dengan enjin 2.0 liter empat silinder turbo Drive-E juga binaan Volvo tetapi kini dikilangkan oleh Aurobay di Sweden.

    Kereta-kereta lumba yang dibina dengan spesifikasi FIA TCR ini perlulah diasaskan dari kerangka badan serta menggunakan enjin 2.0 liter empat silinder turbo yang sama seperti model produksi jalan raya. Sebab itulah kejohanan ini hanya disertai oleh model-model yang dihomologasikan dari model prestasi sebenar seperti Hyundai Elantra N dan juga Honda Civic Type R.

     
     
  • Toyota Vios Hybrid di lihat di Malaysia – 111 PS, varian asas HEV dan HEV GR Sport akan dilancar di sini?

    Toyota Vios Hybrid di lihat di Malaysia – 111 PS, varian asas HEV dan HEV GR Sport  akan dilancar di sini?

    Tahun 2025 hampir melabuhkan tirainya, dan tahun ini meriah dengan pelbagai model-model baharu yang dilancarkan oleh pengeluar-pengeluar tempatan, serta jenama-jenama luar tidak kira dari China, Jepun dan Eropah. Tahun depan juga dijangka meriah, dan Toyota nampaknya mungkin akan membawa Vios Hybrid ke pasaran tempatan!

    Set gambar ini kami perolehi dari paultan.org Automotive/Car Discussion Group di Facebook yang dihantar oleh pengguna bernama Weng Ng. Kami difahamkan bahawa kedua-dua Vios Hybrid ini sedang menjalani penggambaran iklan di Malaysia.

    Vios – dikenali sebagai Yaris Ativ di Thailand – dalam versi Hybrid ini membuat kemunculan sulung globalnya di sana pada Ogos lalu. Ia ditawarkan dalam dua varian di Thailand iaitu varian hibrid asas Yaris Ativ HEV Premium dan juga varian lebih sporty Yaris Ativ HEV GR Sport.

    Jika benar unit-unit yang ditemui ini sedang menjalani penggambaran iklan seperti didakwa, ini berkemungkinan Malaysia juga akan menerima dua varian Vios Hybrid yang sama seperti Thailand kerana kedua-dua unit yang muncul itu adalah dari varian asas HEV (berwarna biru cerah) dan juga HEV GR Sport (merah).

    Toyota Vios Hybrid di lihat di Malaysia – 111 PS, varian asas HEV dan HEV GR Sport  akan dilancar di sini?

    Vios Hybrid ini menerima unit rangkaian kuasa yang sama dengan Yaris Cross Hybrid di mana kedua-dua model ini diasaskan dari platform sama iaitu Daihatsu New Global Architecture (DNGA). Ia menampilkan enjin 2NR-VEX 1.5 liter NA empat silinder yang menghasilkan 91 PS dan tork maksima 121 Nm, digandingkan bersama motor elektrik berkuasa 80 PS (79 hp atau 59 kW) dan tork 141 Nm.

    Secara keseluruhan, sistem HEV ini menghasilkan kuasa gandingan 111 PS, dan ia disalur ke roda hadapan menerusi kotak gear E-CVT. Bagi motor elektrik, ia menerima kuasa yang dibekalkan dari bateri lithium-ion berkapasiti 0.7 kWj. Tiga mod pemanduan disediakan untuk unit rangkaian kuasa ini iaitu Eco, Normal dan Power.

    Gandingan semua ini membolehkan Vios Hybrid tersebut mencapai penggunaan bahan api 27.8 hingga 29.4 km/l (23.2 km/l pada model biasa), serta emisi CO2 sekitar 77 hingga 82 g/km.

    Toyota Vios Hybrid di lihat di Malaysia – 111 PS, varian asas HEV dan HEV GR Sport  akan dilancar di sini?

    Jadi ia bukan sahaja lebih jimat bahan api dan lebih mesra alam, malah lebih berkuasa dari Vios biasa – bagi model pasaran Malaysia sedia ada, ia dibekalkan dengan enjin 2NR-VE 1.5 liter NA empat-silinder petrol yang menghasilkan 106 PS pada 6,000 rpm dan 138 Nm tork pada 4,200 rpm.

    Selain dari unit rangkaian kuasa, Vios Hybrid ini juga dipadankan dengan sistem brek serta hab roda berbeza, di mana ia menggunakan konfigurasi lima stud bagi mengenakan rim lima lubang dengan PCD 100×5, berbanding hanya empat lubang dengan PCD 100×4 pada model petrol biasa. Tangki petrol juga dikecilkan dari 40 liter kepada hanya 36 liter untuk model penggunaan bahan api lebih rendah ini.

    Untuk varian HEV GR Sport di Thailand ia tampil dengan penggayaan lebih garang termasuk diberikan rim aloi 17-inci dengan tayar 205/50 R17, bampar hadapan dengan rekaan seperti GR Yaris menampilkan gril sarang lebah dan juga liang udara sisi lebih besar, serta kit badan lain merangkumi skirt sisi, dan juga bampar belakang dengan rekaan diffuser agresif.

    Toyota Vios Hybrid di lihat di Malaysia – 111 PS, varian asas HEV dan HEV GR Sport  akan dilancar di sini?

    Selain itu Vios HEV GR Sport di Thailand juga turut diberikan kemasan hitam berkilat pada bumbung, cermin sisi dan juga spoiler but belakang, bersama lencana GR yang dilekat pada bahagian hadapan dan belakang kereta.

    Bukan hanya rupa yang lebih garang, varian HEV GR Sport ini juga diberikan talaan lebih sporty pada suspensi di mana ia menerima bar anti-oleng khas hadapan dan belakang, penyerap hentak yang 10% lebih besar, spring hadapan 12% lebih keras, spring belakang 9% lebih keras – semua ini adalah untuk memberikan cengkaman tayar lebih baik. Sistem stereng bantuan kuasa elektrik (EPS) juga ditala semula bagi memberikan rasa stereng lebih jitu.

    Manakala pada sebelah dalam kabin, Vios HEV GR Sport ini diberikan upholsteri kulit sintetik berwarna hitam dengan sulaman logo GR pada perehat kepala, jalur merah pada papan pemuka, roda stereng dengan kemasan perak gelap dan juga logo GR, serta sistem audio dengan enam pembesar suara keluaran Pioneer.

    Jika dilancarkan di Malaysia kelak, Vios HEV GR Sport ini sudah tentu akan berhadapan terus dengan Honda City RS e:HEV yang buat masa sekarang dijual pada harga RM111,900. Vios dengan enjin petrol sepenuhnya juga dijual di sini pada harga RM96,600 untuk varian paling mahal 1.5G. Jadi agaknya berapa harga Vios HEV GR Sport ini nanti?

    GALERI: Toyota Yaris Ativ HEV GR Sport

    GALERI: Toyota Yaris Ativ HEV Premium

     
     
  • Proton, MARii akan bangunkan Pusat Ujian Automotif Nasional (NATC); kongsi litar ujian dan makmal R&D

    Proton, MARii akan bangunkan Pusat Ujian Automotif Nasional (NATC); kongsi litar ujian dan makmal R&D

    Ketika berlangsungnya majlis penutup Ekspo Automotif dan Teknologi Global 2025 (GATE 2025) minggu lalu, Proton dan Institut Robotik & IoT Automotif Malaysia (MARii) telah bertukar dokumen Kerjasama Strategik bagi membangunkan Pusat Ujian Automotif Nasional (NATC).

    Perjanjian ini menandakan kerjasama strategik selama lima tahun yang merangkumi pembangunan NATC serta program pembangunan bakat yang memberi peluang kepada 200 jurutera dan kakitangan teknikal R&D Proton untuk mendapat pengalaman secara langsung melalui program latihan yang tersusun.

    Dalam perjanjian ini Proton berkongsi beberapa fasiliti ujiannya sebagai sebahagian kemudahan di bawah NATC, termasuk Litar Ujian Separuh Kelajuan Tinggi di Shah Alam dan makmal ujian R&D di Tanjong Malim. Dalam masa yang sama MARii dan Proton akan bekerjasama untuk membangunkan fasiliti NATC yang baharu, dengan kedua-dua pihak akan menyumbang kepada kos pembinaannya.

    Dalam kenyataan yang dikeluarkan, Proton dan MARii menyatakan bahawa NATC adalah pusat ujian bertaraf industri, dan ia akan dibuka kepada pengeluar (OEM), pemain industri, institusi penyelidikan serta institusi pengajian tinggi untuk tujuan pembangunan dan penyelidikan bersama. Operasi pusat ini akan diketuai oleh MARii dengan sokongan pelbagai pihak berkepentingan termasuk Proton.

    Proton, MARii akan bangunkan Pusat Ujian Automotif Nasional (NATC); kongsi litar ujian dan makmal R&D

    Ini bermaksud dengan penubuhan NATC ini Perodua boleh menggunakan litar ujian Proton di Shah Alam untuk menguji model-model baharunya pada masa hadapan, jika mereka mahu. Malah pengeluar-pengeluar lain seperti Chery atau BYD turut boleh membuat ujian kenderaan-kenderaan dalam versi pemanduan sebelah kanan masing-masing di kemudahan berkenaan.

    Ini bukan kali pertama MARii membuat kolobrasi seperti ini. Sebelum ini ia telah pun membuka Pusat Ujian Pelepasan Karbon Nasional (NETC) pada 2018 yang dibiayai oleh Perodua.

    “MARii komited menyokong agenda perindustrian negara seperti yang dirancang dalam Rancangan Induk Perindustrian Negara 2030 (NIMP 2030) dan Dasar Automotif Nasional 2020 (NAP 2020). Kerjasama ini bersama Proton memperkukuh keupayaan Malaysia dalam mobiliti generasi baharu menerusi perkongsian kemudahan ujian, pembangunan R&D yang tersusun serta peluasan kapasiti kejuruteraan bagi kenderaan tenaga baharu,” kata CEO MARii Azrul Reza Aziz.

    “Perjanjian dengan MARii ini memperkukuh komitmen Proton terhadap industri automotif negara sambil menyumbang ke arah pencapaian matlamat Rancangan Induk Perindustrian Negara. Kami percaya NATC berpotensi besar dalam melahirkan teknologi dan model baharu, serta membantu merealisasikan aspirasi Malaysia sebagai kuasa automotif serantau,” ujar CEO Proton, Dr. Li Chunrong.

     
     
  • KTMB sediakan perkhidmatan ETS tambahan untuk Krismas, cuti sekolah dari 11 Dis 2025-11 Jan 2026

    KTMB sediakan perkhidmatan ETS tambahan untuk Krismas, cuti sekolah dari 11 Dis 2025-11 Jan 2026

    Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bakal menawarkan perkhidmatan tren ETS tambahan sempena musim cuti sekolah, Krismas dan Tahun Baharu 2026.

    Menerusi perkhidmatan ETS tambahan ini, jualan tiketnya sudah bermula hari ini dan KTMB menyediakan sebanyak 22,680 tiket. Ia adalah untuk perjalanan dari 11 Disember 2025 hingga 11 Januari 2026, dan bagi laluan KL Sentral-Padang Besar-KL Sentral dan KL Sentral-Butterworth-KL Sentral.

    Dua perkhidmatan ETS tambahan tersebut akan disediakan setiap hari untuk laluan Padang Besar-KL Sentral-Padang Besar, manakala dua lagi perkhidmatan akan beroperasi setiap hujung minggu (pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad) untuk laluan Butterworth-KL Sentral-Butterworth.

    “Tren ETS tambahan ini adalah sebahagian daripada usaha KTMB untuk memenuhi permintaan yang tinggi apabila tiket untuk perkhidmatan ETS biasa habis dijual,” kata syarikat itu dalam kenyataannya.

    Pengendali kereta api itu menggalakkan orang ramai untuk merancang perjalanan mereka dan membeli tiket lebih awal bagi menikmati tambang yang lebih menjimatkan kos. “Penumpang diingatkan untuk tiba di stesen 30 minit lebih awal kerana pintu masuk akan ditutup lima minit sebelum kereta api berlepas,” katanya.

    Awal minggu ini, KTMB berjaya mencatatkan rekod jualan sebanyak 82,896 tiket dalam masa 24 jam untuk perkhidmatan ETS dan Intercity, untuk tempoh perjalanan antara 1 Januari hingga 30 April 2026.

     
     
  • Kutipan caj kenderaan untuk ke Genting Highlands tidak dapat dielakkan – Menteri Pelancongan

    Kutipan caj kenderaan untuk ke Genting Highlands tidak dapat dielakkan – Menteri Pelancongan

    Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing menjelaskan bahawa cadangan kutipan caj kenderaan untuk akses ke Genting Highlands adalah langkah yang tidak dapat dielakkan kerana jalan berkenaan merupakan laluan persendirian yang diselenggara sepenuhnya oleh kumpulan Genting Malaysia Berhad, di mana syarikat itu memerlukan sumber kewangan tambahan bagi membiayai kos penyelenggaraan yang tinggi.

    “Seperti yang diketahui, ia adalah jalan persendirian. Semua kerja penyelenggaraan telah dilakukan oleh Kumpulan Genting Berhad. Untuk kelestarian, saya fikir tiada pilihan lain selain melaksanakannya.

    “Buat masa ini pembangunan semakin banyak di kiri dan kanan, tetapi itu bukan milik Kumpulan Genting. Pemaju hanya datang dan pergi. Bukan bermakna mereka tidak mahu berkongsi tanggungjawab, tetapi sekarang kami bersetuju bahawa konsep ‘pengguna bayar’ adalah lebih wajar.

    “Saya telah melawat semua tapak Genting dan perkara paling penting ialah caj mesti adil. Pastikan ia tidak menjadikan laluan ini seperti entiti awam sepenuhnya. Saya beritahu mereka perkara paling penting ialah kos yang terlibat. Berapa banyak kosnya? Jika dinaikkan, berapa kadar yang akan dikenakan? Semua ini kerana mereka perlu menyelenggara jalan tersebut,” katanya dalam laporan Astro Awani semalam.

    Tiong berharap orang ramai memahami rasional di sebalik cadangan tol itu kerana jumlah kenderaan, termasuk lori berat, yang menggunakan laluan berkenaan semakin meningkat. Beliau turut memuji kecekapan pihak Genting Malaysia Berhad dalam memastikan akses jalan sentiasa terpelihara.

    Dalam pengumuman yang dibuat minggu lalu Genting Malaysia menyatakan bahawa langkah untuk mengenakan caj ini adalah perlu kerana jalan mendaki bukit sepanjang 24 km berkenaan merupakan jalan persendirian dan kos bagi menyelenggaranya kini semakin tinggi, dan kos untuk menyelenggara jalan tersebut telah dibiayai sendiri oleh syarikat itu sejak 1960’an.

    Syarikat itu juga menyatakan bahawa penggunaan yang sangat kerap telah menyebabkan Jalan Genting Highland mengalami “kehausan dan kelusuhan yang sangat teruk”, dan memerlukan penyelenggaraan yang berterusan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya.

     
     
  • JPJ eBid: VQF dan QCV dibuka untuk bidaan

    Memang jadi kelaziman bulan-bulan terakhir bakal menyaksikan banyak syarikat kenderaan memperkenalkan model baharu serta mengadakan pelbagai promosi jualan menarik termasuk menawarkan diskaun dan rebat tunai. Mungkin anda ada berhajat untuk memiliki kenderaan baharu, jadi inilah masa yang sesuai untuk membelinya. Bagi yang sudah menempah kenderaan baharu, ini ada siri nombor pendaftaran terkini dari WP Kuala Lumpur dan Sarawak yang dibuka bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), siri nombor pendaftaran terkini dari WP Kuala Lumpur, VQF, dibuka bidaannya sejak semalam, 20 November. Bidaannya akan berakhir jam 10 malam pada 24 November. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 25 November 2025. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala siri nombor pendaftaran terkini Sarawak, QCV, bakal dibuka bidaan mulai 22 November. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 26 November, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 27 November 2025.

    Disebabkan sekarang ini banyak urusan yang boleh dibuat secara dalam talian, jadi kalau nak dapatkan nombor pendaftaran kenderaan terkini, anda boleh lakukan sendiri tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • Proton Saga MC3 2026 akan dilancar pada 27 Nov ini

    Proton Saga MC3 2026 akan dilancar pada 27 Nov ini

    Proton menerusi laman Facebook telah mendedahkan bahawa Saga MC3 2026 bakal dilancarkan secara rasmi pada minggu hadapan iaitu 27 November ini. Tempahan bagi model tersebut sudahpun dibuka pada 10 November lalu, dan hanya selepas lima hari Proton telahpun menerima tempahan mencecah 10,000 unit.

    Proton Saga MC3 ini ditawarkan dalam tiga varian iaitu Standard, Executive dan juga Premium, dengan harga anggaran bermula RM40,000 bagi varian paling asas sehingga RM50,000 bagi varian paling mahal. Harga sebenar bagi ketiga-tiga varian ini hanya akan diumum pada hari pelancaran rasmi nanti.

    Proton turut memberikan tawaran untuk 20,000 pembeli terawal Saga MC3 2026 ini, iaitu mereka yang membuat tempahan sebelum tarikh pelancaran rasmi nanti, dan sempat menerima dan mendaftar kereta masing-masing sebelum 31 Disember, di mana pembeli bakal menerima servis selepas jualan percuma selama setahun (termasuk kos upah dan alat ganti), serta diberikan kad Touch n Go Saga yang eksklusif.

    Proton Saga MC3 dibina berasaskan platform AMA — ia menggunakan platform Saga terdahulu, tetapi diberikan kejuruteraan semula untuk menguatkan semula kerangka Saga ini dengan menambahbaik beberapa struktur. Antaranya Proton telah menerapkan logam dengan teknologi Hot Press Forming (HPF) pada tiang-B dan juga bahagian cross member pada lantai yang memegang cagak tempat duduk.

    Tiada lagi enjin Campro 1.3L pada Saga MC3 ini dan ia digantikan dengan enjin “i-GT” yang dibangunkan oleh Aurobay. Enjin dengan kod BHE15 berkenaan merupakan enjin dari keluarga yang sama dengan enjin yang kini dipadankan pada X50 facelift.

    Untuk Saga, enjin yang dibekalkan adalah dari varian BHE15PFI, iaitu versi tanpa turbo dan hanya hadir dengan sistem suntikan bahan api di port kemasukan udara (PFI), berbanding varian BHE15TD pada X50 yang disuap pengecas turbo serta datang dengan sistem suntikan bahan api terus (T-GDI); ia mampu menghasilkan kuasa 120 PS dan tork maksima 150 Nm.

    Proton Saga MC3 2026 akan dilancar pada 27 Nov ini

    Dua jenis transmisi ditawarkan untuk Saga – bagi varian paling tinggi iaitu Premium ia datang dengan kotak gear CVT, manakala dua varian lebih rendah pula iaitu Executive dan Standard, ia datang dengan kotak gear automatik konvensional empat kelajuan 4AT.

    Padanan unit rangkaian kuasa ini membolehkan Saga MC3 CVT mencapai penggunaan bahan api serendah 4.9L/100 km dan versi 4AT pula mampu mencapai 5.1L/100 km — kedua-duanya dalam kitaran ujian tempatan iaitu MDC.

    Kami telah senaraikan setiap perincian yang diterima untuk setiap varian yang boleh anda baca pada PAUTAN INI. Juga kami sudahpun berpeluang membelek dan memandu uji model ini di Tanjong Malim beberapa minggu yang lalu – perincian penuh model ini boleh anda baca pada PAUTAN INI, dan ulasan pandu uji ringkas pula boleh anda baca pada PAUTAN INI.

    GALERI: Proton Saga MC3 Premium 2026

    GALERI: Proton Saga MC3 Executive 2026

    GALERI: Gambar rasmi Proton Saga MC3 2026

     
     
  • Moto Morini XCape 700 dan XCape 1200 – harga untuk pasaran Malaysia diumum RM33,888 dan RM49,888

    Moto Morini XCape 700 dan XCape 1200 – harga untuk pasaran Malaysia diumum RM33,888 dan RM49,888

    Penawaran produk Moto Morini di Malaysia kini bertambah apabila MForce Bike Holdings Sdn Bhd melancarkan XCape 700 dan XCape 1200 pada harga masing-masing RM33,888 dan RM49,888 tidak termasuk insurans. Dua model ini diberitahu akan tiba secara rasmi pada bulan Januari 2026.

    Untuk XCape 700, ia dipacu oleh enjin dua silinder selari 693 cc, bersama padanan transmisi enam kelajuan, mampu menghasilkan 75 hp pada 8,500 rpm dan tork 68 Nm pada 6,500 rpm. Tangki bahan api berkapasiti 18 liter.

    Model ini terletak di atas rim spoked tanpa tiub bersaiz 19 inci di hadapan dan 17 inci di belakang, dipegang oleh masing-masing fork USD Marzocchi 50 mm boleh laras serta monoshock Kayaba dengan tombol larasan pra beban.

    Tugas membrek dijalankan oleh unit cakera 298 mm berkembar dengan angkup Brembo empat piston di hadapan dan cakera tunggal 255 mm dengan angkup dua piston di belakang. Sistem ABS dual-channel diberikan secara standard bersama kawalan cengkaman.

    Di hadapan penunggang terdapat skrin TFT tujuh inci, sementara kelengkapan lain yang disediakan adalah termasuk pelindung bawah enjin dan tangan plastik, tongkat tengah serta penghadang angin boleh laras secara manual. Berat keseluruhan XCape 700 adalah 213 kg manakala kelegaan dari tanah adalah 178 mm.

    Pergi pula kepada XCape 1200, ini adalah model paling maju pernah dihasilkan oleh Moto Morini, digerakkan oleh enjin dua silinder V berkapasiti 1,187 cc, bersama padanan kotak gear enam kelajuan mampu menghasilkan kuasa 125 hp pada 9,000 rpm dan tork 105 Nm pada 7,000 rpm.

    Moto Morini XCape 700 dan XCape 1200 – harga untuk pasaran Malaysia diumum RM33,888 dan RM49,888

    Sistem elektronik motosikal ini ada pelbagai, bermula dengan lima mod tunggangan, six-axis IMU, Cornering ABS, Intelligent TCS (tiga tahap), Cornering Lights, cruise control, meter TFT tujuh inci dengan sambungan navigasi, radar pemerhati titik buta, kamera perakam hadapan, pemanas tangan dan tempat duduk serta quickshifter.

    Datang dengan tayar jenis jalan biasa, XCape 1200 menggunakan padanan rim 19 inci di hadapan dan 17 inci di belakang, dipegang masing-masing oleh fork USD Marzocchi dan monoshock (kedua-duanya boleh laras) yang mempunyai jarak gerak 180 mm, dan menjadikan tinggi tempat duduk 860 mm. Tangki bahan api berkapasiti 23 liter.

    Ciri lain motosikal ini antaranya termasuk brek cakera 320 mm berkembar dengan angkup Brembo empat piston di hadapan, cakera 280 mm tunggal dengan angkup Brembo satu piston di belakang, skrin TFT tujuh inci dengan sambungan bluetooth serta dua soket pengecas USB. Berat keseluruhannya adalah 245 kg.

    Bagi kedua-dua XCape 700 dan XCape 1200 ini, dengan harga yang dinyatakan seperti di atas, ia didatangkan terus dengan kotak barangan belakang dan tepi.

    GALERI: MotoMorini XCape 700

    GALERI: MotoMorini XCape 1200

     

     
     
  • Alfa Romeo Giulia Veloce dibuka tempahan di M’sia – 2.0L turbo, 280 PS/400 Nm, 8AT; dijangka dari RM400k

    Alfa Romeo Giulia Veloce dibuka tempahan di M’sia – 2.0L turbo, 280 PS/400 Nm, 8AT; dijangka dari RM400k

    Jenama ikonik Alfa Romeo telah pun kembali ke pasaran Malaysia. Untuk pasaran tempatan, jenama ini dibawa masuk oleh Alfa Romeo Malaysia yang dikendalikan DLSB Partners Sdn Bhd, sebuah pengedar bebas dan ahli Atlantis Motor Group. Sebagai tanda ‘kembalinya’ ke Malaysia, Alfa Romeo Giulia 2025 telah pun dipamerkan secara eksklusif untuk pasaran Malaysia pada lewat petang ini.

    Ia ditawarkan dengan varian Veloce iaitu varian sporty satu anak tangga di bawah versi paling agresif Quadrifoglio. Sedan mewah ini merupakan versi import sepenuhnya (CBU) yang dibawa masuk dari Itali. Ia direncana akan dilancarkan di sini pada tahun hadapan dan tempahannya telah pun dibuka. Buat masa ini, hanya harga jangkaan yang diumumkan iaitu dari RM400,000.

    Alfa Romeo Giulia dijanakan oleh enjin 2.0 liter turbo empat-silinder sebaris dengan output 280 PS (276 hp atau 206 kW) pada 5,200 rpm dan tork maksima 400 Nm pada 2,000 rpm. Ia digandingkan dengan kotak gear ZF automatik lapan-kelajuan yang memacu roda belakang menerusi gandar yang dipadankan dengan LSD secara standard. Gandingan sistem mekanikal ini membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 5.7 saat dan kelajuan maksimum mampu mencecah 240 km/j.

    Alfa Romeo Giulia Veloce dibuka tempahan di M’sia – 2.0L turbo, 280 PS/400 Nm, 8AT; dijangka dari RM400k

    Untuk sistem suspensinya, ia diberikan double wishbone dengan talaan-sport untuk hadapan dan AlfaLink dengan vertical rod link di belakang yang berkeupayaan membahagikan kadar berat hampir 50:50 dan penggunaan komponen aluminium yang meluas. Manakala bagi sistem breknya, ia diberikan cakera ventilasi untuk hadapan dan belakang.

    Sedan mewah ini memiliki dimensi berukuran 4,643 mm panjang, 1,436 mm tinggi, 1,860 mm lebar dan jarak roda 2,820 mm dengan jarak kelegaan tanah pula cecah 100 mm dan mempunyai ruang but berkapasiti 480 liter. Giulia juga mampu memberikan persaingan buat BMW 3 Series, Audi A4, Lexus IS dan Mercedes-Benz C-Class.

    Untuk penampilan luarannya, pastinya Alfa Romeo Giulia ini diberikan DNA ikonik Alfa Romeo, dengan setiap lengkung dibentuk teliti melalui terowong angin untuk memberikan kestabilan dan keyakinan pada kelajuan tinggi. Bahagian hadapannya diserapkan elemen sporty dan mewah termasuk gril “Trilobo” ikonik yang dipadankan dengan lampu hadapan LED Adaptive Matrix “3+3”.

    Alfa Romeo Giulia Veloce dibuka tempahan di M’sia – 2.0L turbo, 280 PS/400 Nm, 8AT; dijangka dari RM400k

    Ia juga diberikan roda aloi 19-inci, lampu belakang LED dan pastinya bersama ciri spesifik untuk Veloce iaitu kaliper brek Brembo merah, lencana Veloce, kit penggayaan gelap, diffuser belakang sport, rona hitam berkilat pada keliling tingkap, bampar belakang khas dan cermin belakang dengan lapisan gelap.

    Menjengah bahagian kabinnya, sentuhan elegan merajai segenap ruang, walau pun papan pemukanya minimalis dan masih dengan imej konvensional. Antara ciri kelengkapan yang diberikan ialah roda stereng balutan kulit yang disepadukan dengan butang penghidup enjin, pedal penukar gear aluminium, kluster instrumen digital “Cannocchiale” 12.3-inci, skrin sesentuh infotainmen 8.8-inci, Apple CarPlay dan Android Auto serta kawalan suhu automatik dwi-zon.

    Selain itu, ia juga menampilkan tempat duduk sport kemasan kulit rona hitam dengan jahitan kontras kelabu, tempat duduk hadapan dengan larasan kuasa enam-hala dan fungsi heated, sistem bunyi Harman Kardon bersama 14-pembesar suara, port USB 2.0 dan USB-C, kemasan kulit pada papan pemuka dan panel pintu, dan sport pedal kemasan aluminium.

    Bagi aspek keselamatan dan bantuan pemandu, Alfa Romeo Giulia diberikan ciri ADAS Tahap 2 secara standard yang merangkumi Adaptive Cruise Control, Lane Departure Warning, Lane Keep Assist, Lane Centering, Driver Attention Alert, Forward Collision Warning, Integrated Brake System (IBS), Active Blind-Spot Assist, Rear Cross-Path Detection, Traffic Sign Recognition, Intelligent Speed Assist, Parking Assist dan kamera belakang dengan garisan panduan dinamik.

    Ia juga diberikan lapan beg udara, Traction control (ASR), Electronic Stability Control (ESC), brake assist, Hill-Start Assist, dan Tire-Pressure Monitoring System (TPMS).

    Sekali lagi, tempahan untuk Alfa Romeo Giulia Veloce telah dibuka dan harga jangkaannya sekitar RM400k. Anda boleh ke ke ‘Casa Alfa Romeo’ yang merupakan Pusat 3S Flagship (jualan, servis dan alat ganti) yang terletak di RS-G-1, Rhapsody Square, TREC Kuala Lumpur, untuk pandu uji dan menempah sedan mewah ini sekiranya berminat.

    Risalah spesifikasi Alfa Romeo Giulia facelift untuk pasaran Malaysia

     
     
  • Alfa Romeo Stelvio Veloce dipertonton di Malaysia – 2.0L turbo, AWD, ADAS; harga jangkaan RM400k

    Alfa Romeo Stelvio Veloce dipertonton di Malaysia – 2.0L turbo, AWD, ADAS; harga jangkaan RM400k

    Selain Alfa Romeo Giulia, DLSB Partners Sdn Bhd turut mempertontonkan SUV mewah Stelvio untuk pasaran tempatan. SUV mewah berorientasikan prestasi ini diproduksi di kilang Alfa Romeo di Cassino, Itali dan apabila ia memasuki pasaran Malaysia pada tahun hadapan, pastinya akan diperkenalkan sebagai model import sepenuhnya (CBU). Tempahannya juga sudah dibuka dan harga jangkaannya sekitar RM400,000.

    Seperti Giulia, Stelvio juga ditawarkan dengan enjin 2.0 liter turbo empat-silinder sebaris dengan hamburan kuasa 280 PS (276 hp atau 209 kW) pada 5,200 rpm dan tork 400 Nm antara 2,000 hingga 4,800 rpm. Ia digandingkan dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan dari ZF, bagi memacu roda belakang menerusi gandar yang dipadankan dengan LSD secara standard, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 5.7 saat dan kelajuan maksimum cecah 232 km/j. Walau bagaimana pun, Stelvio ini ditambah dengan sistem pacuan semua-roda (AWD), berbanding Giulia yang menggunakan pacuan roda-hadapan.

    Untuk sistem suspensinya, ia diberikan double wishbone dengan talaan-sport untuk hadapan dan AlfaLink dengan vertical rod link di belakang. Manakala bagi sistem breknya, ia diberikan cakera ventilasi untuk hadapan dan belakang.

    Alfa Romeo Stelvio Veloce dipertonton di Malaysia – 2.0L turbo, AWD, ADAS; harga jangkaan RM400k

    Untuk pengendalian yang lebih mantap, Stelvio turut diberikan Limited Slip Differential untuk tambah baik kawalan cengkaman, pemilih mod pemanduan “Alfa DNA” (termasuk Dynamic, Natural dan beberapa lagi), serta driveshaft gentian karbon untuk keseimbangan berat dan prestasi.

    SUV ini berukuran 4,688 mm panjang, 1,903 mm lebar, 1,648 mm tinggi dan jarak rodanya pula 2,818 mm, membolehkan ia menjadi pesaing buat BMW X3, Porsche Macan, Mercedes-AMG GLC 43 dan Jaguar F-Pace.

    Untuk imej luarannya, ia juga tak banyak beza dengan Giulia Veloce, termasuk diberikan kit badan yang nampak lebih agresif dengan rona Volcano Black, gril “Trilobo”, lampu utama Adaptive Matrix LED penuh, roda aloi 20-inci dan ciri khas untuk Veloce seperti kaliper brek Brembo merah, lencana Veloce, diffuser sport, rona hitam berkilat pada keliling tingkap, bampar belakang khas dan cermin belakang dengan lapisan gelap.

    Alfa Romeo Stelvio Veloce dipertonton di Malaysia – 2.0L turbo, AWD, ADAS; harga jangkaan RM400k

    Untuk bahagian kabinnya, ia juga senada dengan Giulia, yang diberikan sentuhan elegan dan boleh dikatakan agak ringkas dan konvensional termasuk pada papan pemuka. Untuk Stelvio Veloce, ia diberikan roda stereng balutan kulit yang leper di bawah yang diinspirasikan bagai Formula One dan disepadukan dengan butang penghidup enjin, pedal penukar gear aluminium, kluster instrumen digital “Cannocchiale” 12.3-inci dengan tiga pilihan mod (Evolved, Relax, Heritage), pelapik bumbung kemasan gelap, skrin sesentuh infotainmen 8.8-inci, Apple CarPlay dan Android Auto serta kawalan suhu automatik dwi-zon.

    Ia juga diberikan tempat duduk sport kemasan kulit rona hitam, tempat duduk hadapan dengan larasan kuasa lapan-hala dan fungsi heated, sistem bunyi Harman Kardon bersama 14-pembesar suara, port USB 2.0 dan USB-C, kemasan kulit pada papan pemuka dan panel pintu, sport pedal kemasan aluminium, sistem navigasi, pad pengecas tanpa wayar, cermin pandang belakang auto-kelam dan sistem kualiti udara.

    Bagi aspek keselamatan dan bantuan pemandu, juga sama seperti Giulia, Stelvio juga diberikan ciri ADAS Tahap 2 secara standard yang merangkumi Adaptive Cruise Control, Lane Departure Warning, Lane Keep Assist, Lane Centering, Driver Attention Alert, Forward Collision Warning, Integrated Brake System (IBS), Active Blind-Spot Assist, Rear Cross-Path Detection, Traffic Sign Recognition, Intelligent Speed Assist, Parking Assist dan kamera belakang dengan garisan panduan dinamik.

    Ia juga diberikan lapan beg udara, Traction control (ASR), Electronic Stability Control (ESC), brake assist, Hill-Start Assist, dan Tire-Pressure Monitoring System (TPMS).

    Bagi yang berminat untuk melihat SUV ini lebih dekat dan memandu ujinya, anda bolehlah ke Casa Alfa Romeo yang merupakan Pusat 3S Flagship (jualan, servis dan alat ganti) yang terletak di RS-G-1, Rhapsody Square, TREC Kuala Lumpur.

    Risalah spesifikasi Alfa Romeo Stelvio facelift untuk pasaran Malaysia

     
     
  • Lebuhraya Pasir Gudang bukan lagi antara jalan raya paling teruk di M’sia – lori kargo akan guna sistem rel

    Lebuhraya Pasir Gudang bukan lagi antara jalan raya paling teruk di M’sia – lori kargo akan guna sistem rel

    Sebelum ini Lebuhraya Pasir Gudang pernah direkodkan sebagai jalan kedua paling teruk di Malaysia, namun kini, ia tidak lagi berada di dalam senarai berkenaan.

    Disahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh yang berkata, pelbagai usaha dan kerja penambahbaikan telah dilakukan secara berterusan, dan hasilnya Lebuhraya Pasir Gudang tidak lagi berada dalam senarai 10 jalan paling teruk di negara, laporan Harian Metro.

    “Dulu masa mula-mula kita ambil alih pemantauan di Lebuhraya Pasir Gudang, jalan ini adalah jalan yang kedua paling teruk di Malaysia dan sekarang ini sudah keluar daripada 10 jalan yang teruk di Malaysia. Cuma peranan yang kita akan laksanakan adalah pemantauan kenderaan berat yang lebih muatan. Ia selalu digunakan oleh kenderaan berat sebab terdapat banyak kawasan industri dan sebagainya.

    “Nanti masa penggulungan, saya akan ceritakan perancangan kita untuk pindahkan lori-lori lebih muatan atau kargo ini kepada sistem rel dari Pasir Gudang. Insya Allah akan dapat kurangkan impak kerosakan di jalan raya,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Sultan Ismail hari ini.

    Lebuhraya Pasir Gudang bukan lagi antara jalan raya paling teruk di M’sia – lori kargo akan guna sistem rel

    Kenyataan ini dikeluarkan bagi menjawab soalan tambahan ADUN Permas (BN), Baharudin Mohamed Taib mengenai tempoh siap projek Lebuhraya Pasir Gudang dan isu lampu jalan disepanjang lebuh raya berkenaan.

    Mohamad Fazli (BN-Bukit Pasir) turut berkata, Lebuhraya Pasir Gudang ini adalah jalan persekutuan FT17 dengan panjang 30.3 km dah walau pun penyelenggaraannya adalah di bawah tanggungjawab pihak Jabatan Kerja Raya (JKR), namun bagi tujuan penyelenggaraan lampu jalan terdapat dua agensi iaitu JKR dan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) yang menguruskannya.

    “Bermula dari stesen minyak di Perling sehingga ke Persimpangan Perling sepanjang 1.5 km di bawah seliaan JKR, terdapat 52 tiang lampu dan setakat ini tiada kerosakan direkodkan. Seterusnya dari Persimpangan Perling ke Persimpangan Bandar Seri Alam/Taman Rinting sepanjang 23.5km, seliaan lampu jalan adalah di bawah MBJB yang mana terdapat 1,308 tiang lampu dengan 167 unit lampu jalan rosak.

    “Untuk memastikan keadaan lampu di sepanjang kawasan ini berada dalam keadaan baik, MBJB sudah melantik kontraktor penyelenggaran tahunan bermula tahun 2026,” katanya sambil menambah ketika ini, MBJB sedang giat melaksanakan kerja-kerja pembaikkan kerosakan kabel bawah tanah dan kelengkapan bagi membaiki lampu jalan rosak dengan anggaran kos RM1juta, yang dijangka akan siap pada 15 Disember ini.

    “Bagi mengurangkan kerosakan kelengkapan lampu jalan, MBJB juga akan melaksanakan penyelenggaraan pencegahan dengan tindakan menggantikan lampu jalan sedia ada kepada lampu jenis LED Pintar sebanyak 1,308 unit yang dianggarkan dengan kos RM6 juta,”katanya.

     
     
  • TQ Wuling Bingo sudah boleh ditempah di M’sia – yuran tempahan RM50; Pro 31.9 kWh & Max 37.9 kWh

    TQ Wuling Bingo sudah boleh ditempah di M’sia – yuran tempahan RM50; Pro 31.9 kWh & Max 37.9 kWhTQ Wuling Bingo sudah boleh ditempah di M’sia – yuran tempahan RM50; Pro 31.9 kWh & Max 37.9 kWh

    Laman web rasmi TQ Wuling telah pun menguar-uarkan bahawa model TQ Wuling Bingo dikhabarkan bakal dilancarkan tidak lama lagi di Malaysia dan kini tempahannya juga telah mula dibuka. Yuran tempahan hanya RM50 tak kira apa jua pilihan varian dan warna.

    Seperti yang dilaporkan sebelum ini, untuk pasaran Malaysia, ia akan ditawarkan dengan dua varian iaitu Pro (bateri LFP 31.9 kWh, jarak gerak ikut CLTC 333 km) dan Max (bateri LFP 37.9 kWh, jarak gerak CLTC 410 km), dengan kedua-duanya boleh dicas menggunakan pengecas pantas DC berkapasiti hingga 50 kW (30-80% dalam 35 minit). Jika mengikut kitaran WLTP, ia lebih baik sedikit berbanding Proton eMas dengan jarak gerak hingga 225 km dan 325 km.

    Antara ciri kelengkapan yang diberikan untuk kedua-dua varian ini termasuklah lampu utama dan lampu belakang LED, lampu nyalaan siang (DRL), kemasan panel dalaman material kulit sentuhan lembut dengan seramik berkilat, upholsteri kulit sintetik, dwi skrin 10.25-inci, pemilih gear rotary dan tempat duuduk pemandu kuasa larasan enam-hala.

    Mana yang anda lebih gemari sama ada
    Neon Blue, Lavender Purple atau Milky White?

    Kedua-dua varian juga diberikan kemasukan tanpa kunci dengan butang penghidup enjin, kawalan peluncuran pasif, brek parkir elektronik dengan penahan auto, sistem pemantauan tekanan tayar, enam beg udara (di Indonesia dan Thailand hanya mendapat dua beg udara saja), dan but berkapasiti 310 liter yang boleh dipertingkatkan menjadi 790 liter jika tempat duduk belakang dibaringkan.

    Walaupun belum disenaraikan, sepatutnya terdapat motor elektrik 68 PS/150 Nm yang dipasang di hadapan. Buat masa ini, laman web berkenaan hanya menyenaraikan kelengkapan yang dikongsi antara kedua-dua varian; kita masih belum mengetahui perbezaan (jika ada), tetapi perincian penuhnya akan didedahkan sewaktu ia dilabcarkan kelak.

    Jika ingin memilikinya, anda boleh mendaftar minat DI SINI. Dikhabarkan juga bahawa TQ Wuling sudah membuka beberapa cawangannya di sini termasuk di Glenmarie, OUG, Melati Utama, Jalan Raja Laut, Butterworth dan Johor Jaya.

    Di Thailand, harga Bingo telah dikurangkan sebanyak 30k-40k baht (RM4k-5k), menjadi 369k-389k baht (RM47k-50k). Di Malaysia pula, kita ada pilihan sama ada Dongfeng Box berharga RM101k-114k, BYD Atto 2 RM100k (sebelum pakej awal) dan Proton eMas 5 berharga RM57k-70k. Agak-agak berapa pula harga untuk Bingo di sini?

    TQ Wuling Bingo EV dipertontonkan di Malaysia pada Mei 2025

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.67 (0.00)
EURO 5 B7 RM4.87 (0.00)
Last Updated Jun 11, 2026