Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Jualan kenderaan di Malaysia pada Okt 2025 naik 30%

    Jualan kenderaan di Malaysia pada Okt 2025 naik 30%

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah mengeluarkan data jualan kenderaan bagi bulan Oktober 2025, dengan melaporkan bahawa sebanyak 75,992 unit telah diserahkan kepada pembeli pada bulan lalu. Ini mewakili peningkatan sebanyak 30%, atau 17,502 unit, berbanding 58,490 unit yang dijual pada bulan September. Ia juga menjadikan Oktober sebagai bulan dengan angka jualan bulanan tertinggi setakat tahun ini.

    Menurut MAA, peningkatan jualan tersebut dikaitkan dengan tindakan pengguna yang bergegas membeli model kenderaan elektrik (EV) import sepenuhnya (CBU) selepas pengumuman Belanjawan 2026 tidak menyebut sebarang lanjutan pengecualian cukai bagi EV CBU, yang akan berakhir pada penghujung Disember ini. Ia menambah bahawa satu lagi faktor ialah kempen promosi hujung tahun yang agresif oleh syarikat-syarikat automotif.

    Angka bagi bulan Oktober juga menunjukkan peningkatan 6% (atau 4,307 unit) berbanding bulan yang sama pada tahun 2024, di mana 71,685 unit kenderaan penumpang dan komersil telah terjual. Bagi jumlah tahunan setakat ini (YTD), keseluruhan jualan 2025 sehingga bulan ke-10 adalah mencecah 655,328 kenderaan, sekali gus merapatkan jurang kepada kurang daripada 2% berbanding tempoh yang sama pada 2024, ketika 667,568 unit telah dihantar.

    Untuk bulan November 2025, MAA berkata bahawa ia menjangkakan momentum jualan akan diteruskan daripada September, memandangkan permintaan terhadap EV yang diimport sepenuhnya dijangka berterusan sehingga hujung tahun.

     
     
  • JPJ Selangor sita bas sekolah di Bukit Beruntung – LKM tamat tempoh, tiada CDL dan kesalahan lain

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Selangor berjaya mengesan sebuah bas sekolah di Persiaran Kemboja, Bukit Beruntung, yang didapati melanggar beberapa undang-undang lalu lintas. Ketika pemeriksaan dilakukan, terdapat 19 murid sekolah turut berada di dalam bas berkenaan.

    Hasil pemeriksaan yang dilakukan menerusi Ops Van Sekolah Haram itu, JPJ mendapati bahawa bas sekolah terbabit memiliki Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau cukai jalan yang telah tamat tempoh sejak Disember 2020, sekaligus tidak mempunyai perlindungan insurans. Selain itu, permit Puspakom juga didapati telah tamat tempoh, pemandu warga tempatan berusia 23 tahun yang tiada Lesen Memandu Kompetensi (CDL), tiada Lesen Vokasional untuk kenderaan perkhidmatan awam (PSV) dan kesalahan teknikal lain.

    Pemilik bas berkenaan memberi alasan baru saja membeli kenderaan berkenaan dan tiada masa untuk melakukan pemeriksaan Puspakom dan menyediakan dokumentasi yang diperlukan. Bas sekolah berkenaan turut menerima 13 saman dan telah disita di Stesen Penguatkuasa JPJ, Kalumpang, untuk tindakan selanjutnya, kata JPJ menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    “JPJ Negeri Selangor sentiasa memberi perhatian dan menjalankan pemantauan secara berterusan ke atas semua aduan dan memastikan kenderaan sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya yang telah ditetapkan. Sebarang aduan kesalahan lalulintas, orang awam boleh menyalurkan kepada [email protected] atau platform aplikasi e-aduan beserta butiran pengadu dan butiran aduan,” kata JPJ lagi.

    Untuk ibu bapa yang memilih perkhidmatan bas atau van sekolah sebagai pengangkutan untuk anak-anak ke sekolah, diharap memeriksa status ‘kelayakan’ kenderaan terbabit terlebih dahulu. Pastikan syarikat bas/van sekolah terbabit mempunyai cukai jalan dan perlindungan insurans yang masih sah, selain pemandunya memiliki lesen CDL dan PSV. Utamakan keselamatan anak-anak anda.

     
     
  • Jetour T1 dikesan di Malaysia – gaya tidak selasak T2; 1.5T atau 2.0T; bakal dilancarkan tidak lama lagi?

    Jetour T1 dikesan di Malaysia – gaya tidak selasak T2; 1.5T atau 2.0T; bakal dilancarkan tidak lama lagi?

    Barisan Jetour di Malaysia kian bertambah tidak lama lagi dengan kehadiran model baharu, T1, yang telah dikesan di Bandar Baru Bangi oleh pembaca paultan.org Adam Azmanhazim. T1 merupakan salah satu daripada beberapa model Jetour yang akan berada di pasaran kita, termasuk T2 yang baru-baru ini dipertontonkan dalam versi pemanduan sebelah kanan di Auto Car Expo (ACE) awal bulan ini. Manakala SUV VT9 dan Dashing sudah pun dilancarkan di sini.

    Dengan ukuran dimensi 4,706 mm panjang, 1,967 mm lebar, 1,845 mm tinggi dan jarak roda 2,810 mm, T1 sedikit lebih kecil secara keseluruhan berbanding T2. Seperti model sebarisnya, T1 menampilkan reka bentuk badan berbentuk kotak dan tegak, walaupun ia tidak kelihatan selasak T2 dan lebih menyerupai ‘gaya SUV’.

    Antara beberapa perbezaan antara kedua-duanya ialah T1 menampilkan pintu belakang jenis konvensional yang dibuka ke atas dan bukannya ke sisi, bersama reka bentuk bahagian hadapan dan belakang termasuk unit lampu. Walau bagaimana pun, Kedua-duanya mempunyai ruang dalaman berkonsep utilitarian dengan skrin sentuh infotainmen sentral yang besar serta kluster instrumen digital bersepadu.

    Jetour T1 dikesan di Malaysia – gaya tidak selasak T2; 1.5T atau 2.0T; bakal dilancarkan tidak lama lagi?

    Di China, T1 ditawarkan sama ada dengan enjin 1.5 liter turbo petrol atau 2.0 liter empat-selinder sebaris. Enjin 1.5 liter menghasilkan 184 PS (181 hp atau 135 kW) dan tork 290 Nm, dengan pacuan dihantar ke roda hadapan melalui transmisi klac berkembar tujuh-kelajuan.

    Sementara itu, unit 2.0 liter menghasilkan 254 PS (251 hp atau 187 kW) dan 390 Nm, dipadankan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan serta pilihan pacuan roda hadapan atau pacuan semua roda. Harga untuk T1 di pasaran asalnya bermula pada 124,900 yuan (sekitar RM73k) dan mencecah sehingga 154,900 yuan (RM90k).

    T2 yang bakal dijual di Malaysia dengan anggaran harga RM178,888 menerima enjin 2.0 liter yang sama seperti T1, namun dipadankan dengan 7DCT dan AWD. Di China, harga permulaan T2 iaitu 139,900 yuan (RM82k) adalah lebih tinggi berbanding T1, dan perkara ini mungkin sama di sini juga.

    GALERI: Jetour T1 di Auto Shanghai 2025

    GALERI: Model prototaip Jetour T1 versi pemanduan sebelah kanan

     
     
  • ARIIC Gobi dan Touch 250 bakal tiba di Malaysia pertengahan tahun depan – harga sekitar RM14k

    ARIIC Gobi dan Touch 250 bakal tiba di Malaysia pertengahan tahun depan – harga sekitar RM14k

    MForce Bike Holdings Sdn Bhd mengumumkan bahawa dua skuter 250 cc baru, iaitu ARIIC Touch dan ARIIC Gobi bakal tiba di Malaysia pada pertengahan tahun hadapan, dengan harga yang dianggarkan masing-masing RM13,888 dan RM14,388.

    Asas untuk kedua buah skuter ini adalah sama, dengan dipacu oleh enjin satu silinder penyejukan cecair 249 cc bersama transmisi automatik CVT, menghasilkan kuasa 22.5 hp pada 7,500 rpm dan tork 23.5 Nm. Tangki bahan api bagaimanapun adalah berbeza saiz, dengan Gobi menyediakan kapasiti 12.5 liter, manakala Touch 11 liter.

    Ini adalah disebabkan oleh bentuk badan yang berbeza, dan Gobi yang akan dijual lebih mahal beberapa ratus ringgit dinaik taraf dengan fork USD, penyerap hentak dengan tabung serta rim jenis spoked (14/13 inci). Touch pula menggunakan rim aloi (14/13 inci) bersama fork teleskopik dan dua penyerap hentak biasa.

    Tugas membrek dijalankan angkup dua piston bersama cakera 240 mm tunggal di hadapan dan cakera tunggal dengan angkup satu piston di belakang. ABS dual-channel diberikan secara standard dan ia ditambah baik lagi dengan sistem kawalan cengkaman.

    Informasi penting motosikal dipaparkan melalui skrin sesentuh tujuh inci, dan kemudahan lain yang disediakan adalah termasuk ruang simpanan bawah tempat duduk yang boleh menempatkan helmet fullface, dua poket barangan serta soket pengecas USB.

    Tidak cukup dengan itu, Touch dan Gobi ini juga dilengkapi dengan semua lampu jenis LED, sistem kunci pintar serta kamera hadapan. Bagi penghadang angin hadapan, hanya Touch yang datang dengan unit kawalan elektronik, manakala Gobi menggunakan pelarasan manual.

    GALERI: ARIIC Touch 250

    GALERI: ARIIC Gobi 250

     
     
  • Harga minyak 20-26 Nov -RON97, diesel di semenanjung dinaikkan masing-masing 3 sen seliter

    Harga minyak 20-26 Nov -RON97, diesel di semenanjung dinaikkan masing-masing 3 sen seliter

    Kementerian Kewangan (MoF) mengumumkan bahawa bagi minggu bertarikh 20 hingga 26 November 2025, harga runcit petrol RON97 dinaikkan sebanyak tiga sen menjadi RM3.28 seliter.

    Manakala harga runcit petrol RON95 tanpa subsidi masih dikekalkan pada RM2.65 seliter selepas dinaikkan pada minggu sebelumnya. Begitu juga dengan harga runcit petrol bersubsidi RON95 di bawah Budi95 kekal pada RM1.99 seliter.

    Bagi harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia, ia juga dinaikkan sebanyak tiga sen kepada RM3.10 seliter. Namun harga runcit diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada RM2.15 seliter.

    Pada 23 Sept lalu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan memberi jaminan bahawa harga subsidi petrol RON95 pada RM1.99 seliter di bawah program Budi95 akan dikekalkan dalam tempoh terdekat selepas pelaksanaannya. Walau bagaimana pun, katanya, kerajaan tidak menjamin harga tersebut akan kekal sepanjang masa kerana ia bergantung keadaan semasa.

     
     
  • KTMB jual 82,896 tiket ETS, Intercity dalam 24 jam

    KTMB jual 82,896 tiket ETS, Intercity dalam 24 jam

    Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) telah berjaya mencatatkan jualan sebanyak 82,896 tiket dalam tempoh 24 jam pertama sejak jualan dibuka pada Isnin lalu untuk perjalanan antara 1 Januari hingga 30 April, laporan Bernama. Tempoh tersebut meliputi sambutan Tahun Baru Cina pada Februari dan Hari Raya Aidilfitri pada Mac.

    “Sambutan luar biasa dalam tempoh hanya 24 jam membuktikan bahawa kereta api kekal sebagai pilihan utama dalam kalangan masyarakat. Walaupun jumlah transaksi yang tidak berjaya adalah sangat kecil, KTMB tetap komited untuk menambah baik sistemnya bagi memastikan pengalaman pembelian tiket yang lebih lancar dan boleh dipercayai,” kata Ketua Pegawai Teknikal KTMB (pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan), Ahmad Nizam Mohamed Amin dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.

    Menurut kenyataan KTMB, sebanyak 79 transaksi dilaporkan tidak berjaya dan sedang diproses untuk pemulangan wang yang dijangka selesai dalam tempoh hingga 14 hari, mengikut prosedur bank masing-masing.

     
     
  • Honda Malaysia rai ulang tahun ke-25 — pandu uji dan menangi hadiah bernilai RM1 juta, 6 buah kereta

    Honda Malaysia rai ulang tahun ke-25 — pandu uji dan menangi hadiah bernilai RM1 juta, 6 buah kereta

    Terima kasih diatas sokongan anda semua selama ini, Honda Malaysia kini sedang meraikan ulang tahun ke-25. Sebagai menandakan pencapaian bermakna tersebut, Honda Malaysia menawarkan ganjaran yang lumayan sepanjang sejarah penubuhannya dengan hadiah bernilai RM1 juta* untuk direbut, termasuk enam kereta* yang akan diberikan secara percuma.

    Apa yang perlu anda lakukan untuk memenangi hadiah-hadiah itu adalah memandu uji mana-mana model Honda di pengedar rasmi bermula sekarang hingga 31 Disember 2025. Dengan tugasan mudah tersebut, anda berpeluang mendapatkan satu penyertaan cabutan bertuah, dengan dua pemenang akan diumumkan setiap bulan melalui laman Facebook rasmi Honda Malaysia serta melalui rangkaian pengedarnya. Anda juga boleh meningkatkan peluang untuk menang sekiranya membeli atau mendaftarkan sebuah kereta baharu Honda, yang akan melayakkan anda untuk mendapatkan lapan penyertaan.

    Ada berita baik jika anda merupakan pegawai kerajaan atau bekerja dengan GLC. Ganjaran sehingga RM9,500* menanti sekiranya anda, pasangan atau anak-anak membeli sebuah City, Civic atau HR-V baharu. Memiliki sebuah kenderaan Honda kini lebih mudah dan mampu milik kerana adanya program pembiayaan khusus yang ditawarkan, menjadikan ansuran bulanan bermula dari serendah RM478* untuk City, City Hatchback, HR-V baharu dan WR-V; RM778* untuk Civic dan RM878* untuk CR-V, semuanya tersedia istimewa daripada Maybank.

    Merupakan pemilik sebuah kereta Honda? Anda boleh menikmati ganjaran tambahan sehingga RM17,000* sekiranya anda, atau ahli keluarga membeli mana-mana model Honda dalam tempoh 1-30 November ini. Promosi ini juga melibatkan pemilik motosikal Honda yang sedang mencari kenderaan yang lebih praktikal.

    Beralih dari kendaraan jenama nasional? Untuk ini, anda layak menerima ganjaran tambahan sehingga RM9,500* sekiranya anda membeli City, WR-V, City Hatchback atau HR-V baharu. Kumpulkan semua ganjaran tersebut, anda boleh jimat sehingga RM9,500* untuk kereta Honda baharu anda.

    Dengan banyak tawaran yang tersedia, kunjungi bilik pameran rasmi Honda berdekatan anda sekarang dan pandu uji model Honda impian anda. Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi Honda Malaysia dan juga laman Facebook dan Instagram mereka.

    *Tertakluk kepada terma dan syarat.

     
     
  • LRT Laluan Mutiara: Pembinaan diteruskan termasuk pada CNY, Raya; Pelan Pengurusan Trafik dilaksana

    LRT Laluan Mutiara: Pembinaan diteruskan termasuk pada CNY, Raya; Pelan Pengurusan Trafik dilaksana

    Pembinaan Projek LRT Laluan Mutiara di Pulau Pinang akan diteruskan walau pun sepanjang tempoh perayaan Tahun Baharu Cina (CNY) dan Hari Raya Aidilfitri. Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri, Zairil Khir Johari berkata tiada sebarang kelewatan boleh berlaku kerana garis masa yang sangat ketat diperlukan untuk menyiapkan projek itu menjelang Disember 2031.

    Beliau berkata, Pelan Pengurusan Trafik (Traffic Management Plan, TMP) terperinci bagi mengurangkan impak kesesakan susulan pembinaan terbabit telah diluluskan pada 14 Oktober lalu dan kini sedang dilaksanakan secara berperingkat mengikut lokasi.

    “TMP yang disediakan oleh Malaysia Rapid Transit Corporation (MRTC) mensyaratkan pelan mitigasi trafik di setiap lokasi stesen dari George Town hingga Permatang Damar Laut. Pelaksanaan TMP dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun 2030 yang mana kerja-kerja pembinaan dijadualkan bermula pada Januari 2026. Sasaran keseluruhan projek siap pada Disember 2031.

    “Kerja-kerja pembinaan akan diteruskan seperti dirancang, termasuk sepanjang musim perayaan seperti Tahun Baru Cina (Februari) dan Hari Raya Aidilfitri (Mac). Walaupun tidak boleh ditangguhkan kerana jadual yang padat, pelaksanaan TMP pada musim perayaan akan disusun dengan teliti bagi memastikan kelancaran trafik dan keselamatan pengguna jalan raya,” katanya.

    LRT Laluan Mutiara: Pembinaan diteruskan termasuk pada CNY, Raya; Pelan Pengurusan Trafik dilaksana

    Tambah beliau, kerja-kerja pembinaan bermula Januari tahun hadapan masih tidak melibatkan sebarang penutupan jalan. Pengguna jalan raya boleh menyemak aplikasi navigasi seperti Waze untuk mendapatkan maklumat trafik masa nyata bagi merancang perjalanan.

    Walau bagaimana pun, menurut Zairil lagi, langkah mitigasi akan dilaksanakan oleh MRT Corp untuk meminimumkan impak terhadap trafik sedia ada, memastikan pergerakan kenderaan yang lancar dan meningkatkan kecekapan aliran trafik di kawasan-kawasan utama sepanjang tempoh pembinaan LRT Laluan Mutiara. “MRT Corp juga akan menyediakan laluan alternatif dan lencongan trafik sebagai sebahagian daripada TMP yang diluluskan, yang akan disemak dan diperhalusi setiap bulan bagi perancangan seterusnya,” jelasnya.

    SRS Consortium selaku kontraktor bagi Pakej Kontraktor Utama Awam 1 (CMC1) berkata Jalan Magazine, persimpangan di hadapan Sunny Point di Batu Uban, dan Jalan Sultan Azlan Shah di Zon Perindustrian Bebas Bayan Lepas merupakan lokasi yang dijangka paling terjejas oleh kerja-kerja pembinaan.

    Jajaran LRT Laluan Mutiara dianggarkan lebih kurang 29.5 kilometer dan bakal memiliki 21 stesen termasuk satu stesen provisional di Pulau Reklamasi Selatan Pulau Pinang dan dua stesen pertukaran iaitu di Stesen KOMTAR dan Stesen Penang Sentral. LRT Laluan Mutiara ini akan bermula dari Pulau Silikon hingga ke KOMTAR dan seterusnya menyeberang ke Penang Sentral di Seberang Perai untuk memberi ketersambungan kepada rangkaian kereta api KTM Komuter dan ETS sedia ada.

     
     
  • Kementerian Kerja Raya belum terima cadangan dari Genting berhubung kutipan tol atau caj baharu

    Kementerian Kerja Raya belum terima cadangan dari Genting berhubung kutipan tol atau caj baharu

    Kementerian Kerja Raya (KKR) masih belum menerima sebarang cadangan dari Genting Malaysia berhubung kutipan tol atau caj baharu yang akan dikenakan untuk akses ke kawasan yang dimiliki secara persendirian oleh syarikat itu, laporan Bernama.

    Tiada permohonan rasmi telah dikemukakan oleh syarikat berkenaan, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, yang turut mengulas kenyataan Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan yang mencadangkan agar istilah “caj masuk” digunakan dan bukannya “tol” bagi mengelakkan kekeliruan orang ramai.

    “Saya bersetuju dengan cadangannya kerana istilah ‘tol’ boleh mengelirukan. Kita sudah biasa dengan tol yang dikaitkan dengan lebuhraya. Jadi, saya fikir istilah ‘caj masuk’ lebih mudah difahami,” kata Nanta.

    Kementerian Kerja Raya belum terima cadangan dari Genting berhubung kutipan tol atau caj baharu

    Minggu lalu, Genting Malaysia mengumumkan bahawa ia akan mengenakan caj ke atas kenderaan yang memasuki Jalan Genting Highlands. Di mana kata syarikat gergasi tersebut, langkah itu perlu kerana kos penyelenggaraan cerun dan jalan persendirian sepanjang 24 km itu semakin meningkat. Syarikat itu juga menyatakan bahawa kos untuk menyelenggara jalan tersebut telah dibiayai sendiri oleh mereka sejak 1960an.

    Syarikat itu turut menyatakan bahawa penggunaan yang sangat kerap telah menyebabkan Jalan Genting Highland mengalami “kehausan dan kelusuhan yang sangat teruk”, dan memerlukan penyelenggaraan yang berterusan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya.

    Kelmarin Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan negeri Pahang Datuk Razali Kassim pula berkata, pihak terbabit disaran memberi perhatian khusus kepada kebajikan dan komuniti pekerja di kawasan berkenaan. Ini termasuk ibu bapa yang menghantar anak ke sekolah dan penduduk yang melalui kawasan itu setiap hari

     
     
  • Kerja pembinaan ECRL di MRR2 dihentikan ekoran insiden kereta dihempap kanopi keluli sementara

    Kerja pembinaan ECRL di MRR2 dihentikan ekoran insiden kereta dihempap kanopi keluli sementara

    Malaysia Rail Link (MRL), pemilik projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), telah menghentikan semua kerja pembinaan di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) FT28 arah Batu Caves selepas sebuah kanopi keluli sementara (temporary steel canopy) runtuh semalam (18 November 2025).

    Menurut MRL, kejadian itu berlaku kira-kira jam 2 petang di Road Under Bridge (RUB) #16 sepanjang Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 Kuala Lumpur (MRR2) FT28 menghala ke Batu Caves. Ia menambah bahawa struktur sementara tersebut telah gagal dan menghempap sebuah Suzuki Swift.

    “Sebagai langkah keselamatan, semua kerja pembinaan di kawasan terlibat telah dihentikan sementara menunggu siasatan menyeluruh oleh pihak berkuasa berkaitan. Berdasarkan maklumat semasa, pemandu kenderaan yang terlibat berada dalam keadaan selamat.

    Kerja pembinaan ECRL di MRR2 dihentikan ekoran insiden kereta dihempap kanopi keluli sementara

    “Pihak ECRL akan memberikan bantuan kewangan segera kepada pemilik kenderaan yang terlibat bagi meringankan beban yang ditanggung, sementara menunggu hasil siasatan pihak berkuasa dan proses tuntutan yang berkaitan. Kerja-kerja pembersihan dan pengalihan struktur sementara telah berjaya dijalankan di bawah seliaan pihak berkuasa,” kata MRL.

    Tambah MRL, struktur sementara “temporary steel canopy” tersebut dibina bagi menghalang serpihan pembinaan daripada jatuh ke laluan jalan raya serta memudahkan pelaksanaan kerja-kerja RUB #16 di lokasi terlibat. Ia telah disiapkan pada Oktober 2025 dan proses berkaitan pembukaan struktur sementara dijadualkan bermula pada 20 November 2025 selepas menerima kelulusan agensi terlibat.

    “Pihak ECRL komited untuk memberikan kerjasama penuh kepada semua pihak berkuasa dalam siasatan yang sedang dijalankan serta memastikan semua langkah keselamatan dipatuhi. Keutamaan kami adalah keselamatan pengguna jalan raya, orang awam, dan pekerja projek. Kami amat menghargai perhatian dan kerjasama semua pihak berhubung insiden ini dan memohon maaf atas sebarang kesulitan yang berlaku.

    “Pengguna jalan raya dinasihatkan agar berhati-hati serta mematuhi arahan trafik dan panduan keselamatan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa di lokasi berkenaan,” katanya lagi.

     
     
  • QJMotor SRK250RD, SRK450RR dilancarkan untuk pasaran Malaysia – enjin empat silinder, dari RM22k

    QJMotor SRK250RD, SRK450RR dilancarkan untuk pasaran Malaysia – enjin empat silinder, dari RM22k

    MForce Bike Holdings Sdn Bhd melancarkan tiga model baru QJMotor untuk pasaran Malaysia, dengan dua daripadanya adalah sports bike yang dinamakan sebagai SRK250RD dan SRK450RR. Harganya masing-masing adalah RM21,888 dan RM25,888 tidak termasuk insurans.

    Bermula dengan SRK250RD, ia dipacu oleh enjin empat silinder sebaris 249 cc, seperti Kawasaki ZX-25R, bersama padanan transmisi enam kelajuan, mampu menghasilkan 41 hp pada 15,500 rpm dan tork 22 Nm pada 12,500 rpm. Tangki bahan api berkapasiti 16.5 liter dan ia dikatakan mampu memberikan perjalanan sehingga 400 km sekali isian.

    Memegang rim aloi 17 inci motosikal ini adalah fork USD di hadapan dan monoshock di belakang, manakala sistem brek pula datang dengan tetapan cakera tunggal 320 mm bersama angkup Brembo empat piston di hadapan dan cakera 240 mm dengan angkup Brembo satu piston di belakang. ABS dual-channel diberikan secara standard.

    QJMotor SRK250RD, SRK450RR dilancarkan untuk pasaran Malaysia – enjin empat silinder, dari RM22k

    Membantu lagi di bahagian keselamatan adalah sistem kawalan cengkaman, sementara di bahagian kokpit terdapat panel instrumen TFT tujuh inci yang boleh disambungkan kepada telefon pintar. SRK250RD juga datang dengan sistem pemantauan tekanan angin tayar (TPMS), kamera hadapan dan belakang serta soket pengecas USB.

    Pergi pula kepada SRK450RR, asas rangkanya adalah sama dengan SRK250RD, tetapi dimasukkan dengan enjin yang lebih berkuasa, iaitu unit empat silinder 421 cc yang mampu menghasilkan 77.6 hp pada 14,000 rpm dan tork 29 Nm pada 13,000 rpm. Transmisi menggunakan unit enam kelajuan.

    Selain enjin, suspensi dan brek juga dipertingkat, dengan SRK450RR menggunakan fork USD Marzocchi dengan pelarasan pra beban dan tetapan cakera berkembar 300 mm dengan angkup Brembo empat piston di hadapan, manakala belakang menggunakan monoshock seperti biasa dan cakera tunggal 240 mm dengan angkup Brembo satu piston.

    Menambah lagi ciri sporty motosikal ini, ia datang dengan dua mod tunggangan, iaitu Street dan Sport, dan QJMotor mendakwa ia dapat memberikan pengendalian mengujakan melalui pembahagian berat hadapan dan belakang 50:50.

    Di bahagian elektronik, motosikal ini datang dengan meter TFT tujuh inci dengan sambungan kepada telefon pintar, ABS dual-channel serta sistem kawalan cengkaman. Kapasiti tangki bahan api adalah sama seperti SRK250RD, iaitu 16.5 liter, manakala berat keseluruhannya pula adalah 185 kg.

    GALERI: QJMotor SRK250RD

    GALERI: QJMotor SRK450RR

     
     
  • Proton Saga MC3 – 10,000 tempahan diterima hanya dalam 5 hari, bakal diserah sejurus selepas dilancar

    Proton Saga MC3 – 10,000 tempahan diterima hanya dalam 5 hari, bakal diserah sejurus selepas dilancar

    Proton hari ini mengumumkan bahawa model kemaskini untuk sedan paling mampu miliknya iaitu Proton Saga MC3 2026 telah pun mencapai tempahan sebanyak 10,000 unit hanya selepas lima hari tempahan itu dibuka. “Permintaan luar biasa ini bersamaan 2,000 tempahan sehari, 83 setiap jam, atau satu tempahan baharu setiap 43 saat,” kata Proton dalam kenyataan yang dikeluarkan.

    “Pencapaian 10,000 tempahan hanya dalam lima hari amat kami hargai dan memberi inspirasi kepada kami, dan kami mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia atas kepercayaan dan sokongan mereka,” kata Dato’ Ir. Abdul Rashid Musa, Timbalan CEO Proton pula.

    “Bagi memastikan pelanggan dapat merasai pengalaman memandu Saga Serba Baharu secepat mungkin, pasukan pengeluaran kami di Tanjong Malim telah bekerja keras untuk meningkatkan kapasiti bekalan, dengan penyerahan kereta kepada pelanggan dijadualkan bermula sebaik sahaja pelancaran rasmi diadakan,” tambah beliau.

    Proton Saga MC3 – 10,000 tempahan diterima hanya dalam 5 hari, bakal diserah sejurus selepas dilancar

    Tempahan bagi Saga MC3 2023 ini dibuka secara rasmi pada 10 November lalu. Ia akan ditawarkan dalam tiga varian iaitu Standard, Executive dan Premium, dengan anggaran bermula RM40,000 hingga RM50,000.

    Proton turut memberikan tawaran untuk 20,000 pembeli terawal Saga MC3 2026 ini, iaitu mereka yang membuat tempahan sebelum tarikh pelancaran rasmi nanti, dan sempat menerima dan mendaftar kereta masing-masing sebelum 31 Disember, di mana pembeli bakal menerima servis selepas jualan percuma selama setahun (termasuk kos upah dan alat ganti), serta diberikan kad Touch n Go Saga yang eksklusif.

    Proton Saga MC3 dibina berasaskan platform AMA — ia menggunakan platform Saga terdahulu, tetapi diberikan kejuruteraan semula untuk menguatkan semula kerangka Saga ini dengan menambahbaik beberapa struktur. Antaranya Proton telah menerapkan logam dengan teknologi Hot Press Forming (HPF) pada tiang-B dan juga bahagian cross member pada lantai yang memegang cagak tempat duduk.

    Proton Saga MC3 – 10,000 tempahan diterima hanya dalam 5 hari, bakal diserah sejurus selepas dilancar

    Tiada lagi enjin Campro 1.3L pada Saga MC3 ini dan ia digantikan dengan enjin “i-GT” yang dibangunkan oleh Aurobay. Enjin dengan kod BHE15 berkenaan merupakan enjin dari keluarga yang sama dengan enjin yang kini dipadankan pada X50 facelift.

    Untuk Saga, enjin yang dibekalkan adalah dari varian BHE15PFI, iaitu versi tanpa turbo dan hanya hadir dengan sistem suntikan bahan api di port kemasukan udara (PFI), berbanding varian BHE15TD pada X50 yang disuap pengecas turbo serta datang dengan sistem suntikan bahan api terus (T-GDI); ia mampu menghasilkan kuasa 120 PS dan tork maksima 150 Nm.

    Dua jenis transmisi ditawarkan untuk Saga – bagi varian paling tinggi iaitu Premium ia datang dengan kotak gear CVT, manakala dua varian lebih rendah pula iaitu Executive dan Standard, ia datang dengan kotak gear automatik konvensional empat kelajuan 4AT.

    Proton Saga MC3 – 10,000 tempahan diterima hanya dalam 5 hari, bakal diserah sejurus selepas dilancar

    Padanan unit rangkaian kuasa ini membolehkan Saga MC3 CVT mencapai penggunaan bahan api serendah 4.9L/100 km dan versi 4AT pula mampu mencapai 5.1L/100 km — kedua-duanya dalam kitaran ujian tempatan iaitu MDC.

    Kami telah senaraikan setiap perincian yang diterima untuk setiap varian yang boleh anda baca pada PAUTAN INI. Juga kami sudahpun berpeluang membelek dan memandu uji model ini di Tanjong Malim beberapa minggu yang lalu – perincian penuh model ini boleh anda baca pada PAUTAN INI, dan ulasan pandu uji ringkas pula boleh anda baca pada PAUTAN INI.

    GALERI: Proton Saga MC3 Premium 2026

    GALERI: Proton Saga MC3 Executive 2026

    GALERI: Gambar rasmi Proton Saga MC3 2026

     
     
  • Suzuki Fronx Hybrid dilancar di Malaysia – CBU, 1.5L hibrid ringkas, ADAS; dari RM148k tanpa insurans

    Suzuki Fronx Hybrid dilancar di Malaysia – CBU, 1.5L hibrid ringkas, ADAS; dari RM148k tanpa insurans

    Naza Eastern Motors Sdn Bhd selaku pengedar tunggal bagi jenama Suzuki di Malaysia telah melancarkan model SUV kompak Suzuki Fronx Hybrid serba baharu. Untuk pasaran tempatan, ia hanya ditawarkan dengan satu varian sahaja dan ditetapkan pada harga atas jalan bermula RM147,888 tanpa insurans.

    Pesaing bagi Honda WR-V dan Perodua Ativa ini merupakan model import sepenuhnya (CBU) dari Indonesia. Itu sebab harganya lebih mahal berbanding model pemasangan tempatan (CKD) yang dijual di Indonesia yang berharga antara 259 juta hingga 321.9 juta rupiah (RM67k hingga RM84k). Dan di sana juga, Fronx ditawarkan dengan tiga varian iaitu GL, GX dan SGX, serta dua pilihan penjana kuasa termasuk hibrid ringkas.

    Manakala di Malaysia, SUV kompak lima-tempat duduk ini dipadankan dengan enjin K15C 1.5 liter hibrid ringkas petrol empat-silinder yang mampu menghamburkan kuasa hingga 103 PS (101 hp atau 77 kW) pada 6,000 rpm dan tork 138 Nm pada 4,400 rpm. Digandingkan dengan transmisi automatik enam-lajuan, dan bagi sistem hibrid, Fronx diberikan bateri lithium-ion 12 volt dan generator pemula bersepadu (ISG) yang menyediakan bantuan tork serta fungsi start-stop automatik. Mengikut kitaran standard WLTP, dengan tangki penuh berkapasiti 37 liter, Fronx mampu mencapai jarak gerak lebih 700 km.

    Suzuki Fronx Hybrid dilancar di Malaysia – CBU, 1.5L hibrid ringkas, ADAS; dari RM148k tanpa insurans

    Melengkapkan lagi prestasinya, bagi sistem suspensinya, ia diberikan topang MacPherson di hadapan dan torsion beam di belakang. Untuk sistem breknya pula, ia menerima brek cakera hadapan berliang serta brek dram di belakang.

    Fronx, yang juga mempunyai model kembarnya yang dikeluarkan oleh Toyota untuk pasaran India dan dikenali sebagai Urban Cruiser Taisor, merupakan SUV kompak bawah empat meter yang berukuran 3,995 mm panjang, 1,765 mm lebar, 1,550 mm tinggi dan jarak roda 2,520 mm. Menjadikannya 70 mm lebih pendek tapi 55 lebih lebar berbanding Ativa. Dibina dengan struktur badan TECT ciptaan Suzuki sendiri, Fronx direka bentuk untuk ketahanan dan penyerapan tenaga hentaman, manakala jarak kelegaan tanah cecah 170 mm memberikan keyakinan ketika melalui permukaan tidak rata.

    Dibangunkan dengan platform berkadaran ringan terkini dari Suzuki, Fronx diberikan sentuhan imej yang ringkas tetapi tetap menarik. Bahagian luarannya diserikan dengan gril hadapan dengan palang melintang krom, lampu utama multi-reflektor LED yang kelihatan ‘sepet’ dengan lampu nyalaan siang (DRL) dan disepadukan bersama lampu isyarat, lampu belakang LED melintang, sambungan gerbang roda, rel bumbung dan skid plate di hadapan, belakang dan sisi dan roda aloi 16-inci dibaluti tayar profil 195/60 R16.

    Suzuki Fronx Hybrid dilancar di Malaysia – CBU, 1.5L hibrid ringkas, ADAS; dari RM148k tanpa insurans

    Untuk bahagian kabinnya, ia diberikan sentuhan moden yang ringkas dengan fabrik dua tona dan upholsteri kulit sintetik serta tiada ciri futuristik ditampilkan. Antara ciri kelengkapannya termasuk sistem infotainmen skrin sesentuh HD sembilan-inci, disokong dengan ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, Head-Up Display (HUD) dan paddle shifter.

    Selain itu, ia juga menampilkan roda stereng tiga-jejari balutan kulit dengan larasan tilt & telescopic , cruise control dan pengecasan tanpa wayar. Bagi tempat duduknya, ia diberikan rekaan tiga-dimensi dengan dua-tona yang menyerlahkan imej ala premium. Dengan tempat duduk belakang yang boleh dibaringkan dengan nisbah 60:40, Fronx menawarkan ruang but berkapasiti 308 liter.

    Suzuki juga mendakwa Fronx juga menawarkan kabin yang sangat senyap dengan prestasi NVH (Bunyi, Getaran dan Kekasaran) yang unggul, memastikan pengalaman pemanduan yang premium dan selesa. Direka dengan indeks artikulasi yang tinggi, ia berkesan menghalang bunyi luar yang tidak diingini daripada memasuki kabin, sekali gus meningkatkan ketenangan untuk pemandu dan penumpang.

    Fronx yang telah menerima penarafan lima-bintang dari ASEAN NCAP ini diberikan ciri keselamatan dan bantuan pemandu ADAS. Ia diberikan enam beg udara, ABS dengan EBD dan bantuan brek, Hill Hold Control (HHC), Electronic Stability Program (ESP®), High Beam Assist (HBA), Rear Parking Sensor, Dual Sensor Brake Support II (DSBS II), Adaptive Cruise Control (ACC), Blind Spot Monitor (BSM), Rear Cross Traffic Alert (RCTA), Lane Change Assist (LCA), Lane Departure Warning (LDW), Lane Departure Prevention (LDP), Lane Keep Assist (LKA), Vehicle Sway Warning, High Beam Assist (HBA) dan sistem kamera 360-darjah.

    Fronx diberikan pilihan warna luaran dengan gabungan dua tona iaitu Rising Orange + Cool Black, Savanna Ivory + Cool Black dan Ice Grayish Blue + Cool Black. Tapi kos sebanyak RM1,000 dikenakan sekiranya anda inginkan dua tona warna untuk bahagian luaran. Kalau tak minat dua tona, anda boleh pilih satu rona sama ada Pearl Mellow Deep Red, Cool Black, Pearl Snow White dan Magma Gray tanpa sebarang kos tambahan.

    Sekali lagi, Fronx ditawarkan dengan harga atas jalan bermula RM147,888 tanpa insurans, dan setiap pembeliannya didatangkan dengan waranti kenderaan tiga-tahun atau 100,000 km dan waranti bateri lima-tahun atau 100,000 km, yang mana tiba terlebih dahulu.

    Sebagai promosi pembelian awalan (early bird) hingga 31 Disember 2025, pelanggan juga berpeluang menikmati sama ada rebat eksklusif RM4,000 atau Pakej Aksesori Suzuki secara percuma yang merangkumi multi-roof rack, roof basket, dan door visor atau pakej penyelenggaraan percuma selama tiga-tahun.

     
     
  • LHDN bongkar kartel kenderaan mewah yang gagal lapor cukai dianggarkan sekitar RM70 juta

    LHDN bongkar kartel kenderaan mewah yang gagal lapor cukai dianggarkan sekitar RM70 juta

    Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) telah membongkar ketidakpatuhan cukai sebuah syarikat yang disyaki terbabit dalam rangkaian kartel jual beli kenderaan mewah yang didapati gagal melaporkan pendapatan sebenar daripada transaksi jualan dianggarkan sekitar RM70 juta.

    LHDN dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini memaklumkan pihaknya menjalankan operasi secara serentak yang melibatkan tiga lokasi utama di sekitar Lembah Klang iaitu premis perniagaan, kediaman pengarah syarikat dan sebuah firma juruaudit. Menerusi operasi ini, tindakan penggeledahan telah dilakukan bagi mendapatkan dokumen dan bahan bukti berkaitan ketidakpatuhan cukai.

    Siasatan awal mendapati syarikat tersebut gagal melaporkan pendapatan sebenar daripada transaksi jualan dengan jumlah anggaran sekitar RM70 juta. Susulan itu, kes sedang disiasat di bawah kesalahan subseksyen 112(1A) Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967 terhadap syarikat dan perenggan 113(1)(a) ACP 1967 terhadap pengarah syarikat, kata LHDN.

    LHDN bongkar kartel kenderaan mewah yang gagal lapor cukai dianggarkan sekitar RM70 juta

    “Operasi ini adalah sebahagian daripada tindakan bersasar HASiL dalam memperkukuh pematuhan cukai, khususnya dalam sektor yang melibatkan transaksi bernilai tinggi seperti kenderaan mewah. Ketidakpatuhan yang melibatkan jumlah besar bukan sahaja merencatkan hasil negara malah menjejaskan keadilan sistem percukaian dan tidak harus dipandang ringan.

    “HASiL menegaskan bahawa antara kes pelarian cukai yang sedang dan akan diambil tindakan pendakwaan, termasuk kes-kes melibatkan kegiatan perlombongan emas, penipuan (scam), penyalahgunaan status kebajikan untuk mengaburi transaksi, hasil perjudian, aktiviti haram lain, serta perniagaan milik warga asing yang gagal melaporkan pendapatan,” kata Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin, Ketua Pegawai Eksekutif HASiL.

    Tambah beliau, langkah ini menunjukkan komitmen berterusan HASiL untuk memastikan setiap pihak mematuhi peraturan percukaian dan membendung ketirisan hasil negara.

    “Justeru, HASIL kekal teguh dalam memastikan integriti sistem percukaian negara terus terpelihara dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana cubaan mengelak cukai dan memastikan setiap pihak menunaikan tanggungjawab cukai mereka demi kesejahteraan negara dan rakyat,” tambahnya lagi.

     
     
  • Nissan Rouge PHEV 2026 didedahkan di Amerika Syarikat – rebadge dari Mitsubishi Outlander PHEV

    Nissan Rouge PHEV 2026 didedahkan di Amerika Syarikat – rebadge dari Mitsubishi Outlander PHEV

    Nissan Rouge Plug-in Hybrid 2026 telahpun didedahkan di Amerika Syarikat, di mana ia bakal membuat kemunculan sulungnya di Los Angeles Auto Show 2025 yang akan bermula 21 November ini. Macam pernah nampak SUV ni kan? Ya, Rouge PHEV 2026 ini adalah model yang di’rebadge’ dari Mitsubishi Outlander PHEV!

    Tidak seperti Rouge biasa yang lazimnya dikenali sebagai X-Trail di pasaran lain termasuk Malaysia, Rouge PHEV ini mungkin hanya dijual pada pasaran Amerika Syarikat. Ini kerana Nissan sebelum ini sudahpun mengesahkan bahawa Rouge/X-Trail generasi kelima bakal diperkenalkan tahun hadapan, digerakkan dengan unit rangkaian kuasa hibrid e-Power baharu.

    Berbalik kepada Rouge PHEV ini, ia bakal dijual dalam dua varian di Amerika Syarikat iaitu SL dan Platinum. Ia menerima rupa yang sama dengan Outlander pada bahagian bampar dan lampu nyalaan siang hadapan, bahagian sisi, serta pada bahagian belakang. Apa yang berbeza, ia diberikan gril hadapan lebih tersendiri, lampu hadapan dan lampu kabus dengan grafik dalam berlainan, set rim aloi dengan rekaan berlainan, dan tambahan bar hitam merentangi pintu tailgate belakang serta kemasan skid plate bawah bampar belakang juga berbeza dari Outlander.

    Nissan Rouge PHEV 2026 didedahkan di Amerika Syarikat – rebadge dari Mitsubishi Outlander PHEV

    Rouge PHEV ini dibekalkan dengan enjin petrol 2.4 liter yang berfungsi dalam kebanyakkan masanya untuk mengecas bateri hibrid Litium-ion 20-kWj, manakala roda hadapan dan belakang digerakkan dengan dua motor elektrik yang diletakkan pada gandar masing-masing, membolehkan ia bergerak dengan sistem pacuan semua roda sepenuh masa, serta diberikan tujuh mod agihan tork iaitu Normal, Power, Eco, Tarmac, Gravel, Snow dan Mud.

    Menurut Nissan, konfigurasi ini menghasilkan kuasa keseluruhan 248 hp dan tork maksima 437 Nm – agak kurang berbanding Outlander PHEV yang dibekalkan dengan kuasa keseluruhan 302 hp (306 ps). Nissan turut menyatakan bahawa Rouge PHEV ini boleh bergerak dengan kuasa elektrik sepenuhnya sejauh 61 km, dan satu tangki penuh petrol serta satu cas penuh bateri membolehkan ia bergerak sejauh 675 km – semua ini diuji dalam kitaran EPA. Untuk mengecas pula, dengan menggunakan pengecas rumah 240 volt, bateri boleh dipenuhkan dalam masa 7.5 jam.

    Bagi rekaan dalaman, Rouge PHEV ini menyalin hampir kesemuanya kabin Outlander, dibezakan hanya logo pada roda stereng serta warna-warna kemasan dalaman. Ia diberikan skrin sesentuh untuk sistem infotaimen 9-inci yang datang standard dengan hubungan Apple CarPlay tanpa wayar dan Android Auto dengan wayar, pengecas telefon pintar tanpa wayar serta paparan instrumen digital dengan skrin 12.3-inci.

    Nissan Rouge PHEV 2026 didedahkan di Amerika Syarikat – rebadge dari Mitsubishi Outlander PHEV

    Varian Platinum pula ditambah dengan paparan head-up 10-inci, sistem audio premium Bose dengan sembilan-pembesar suara, serta dua soket 120 volt/1,500 watt pada but belakang dan tempat duduk belakang yang boleh digunakan untuk mengoperasikan pelbagai peralatan elektrik.

    Untuk keselamatan pula, Rouge PHEV ini diberikan 11-beg udara, kamera pemantau sekeliling 360-darjah dengan pengesan objek bergerak, dan juga sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) Nissan Safety Shield 360, serta fungsi pemanduan autonomi Nissan ProPILOT Assist 1.12 yang memberikan bantuan stereng, brek dan juga memecut.

    Nissan Rouge PHEV 2026 ini dijadualkan akan mula dijual pada pasaran Amerika Syarikat bermula awal tahun hadapan.

     
     
  • LRT3 Laluan Shah Alam dijangka mula beroperasi pada 31 Dis, kini dalam ujian fasa terakhir – Loke

    LRT3 Laluan Shah Alam dijangka mula beroperasi pada 31 Dis, kini dalam ujian fasa terakhir – Loke

    Kerajaan sedang berusaha untuk mengekalkan sasaran melancarkan LRT3 Laluan Shah Alam pada 31 Disember 2025, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke. Namun beliau menyatakan bahawa tarikh akhir pembukaan projek itu masih belum ditetapkan, dan hanya akan disahkan setelah semua fasa ujian memenuhi kepuasan pihak berkuasa, laporan New Straits Times.

    “Tarikh sasaran terbaharu bagi operasi LRT3, atau Laluan Shah Alam, telah disemak kepada 31 Disember 2025. Namun, ia bergantung kepada hasil ujian kami. Ini kerana fasa ujian akhir yang sedang dijalankan kini merupakan salah satu aspek paling penting bagi perkhidmatan rel,” katanya di Dewan Rakyat.

    Tambahnya, sesi percubaan telah dijalankan sejak beberapa minggu lalu untuk memastikan tiada gangguan teknikal apabila laluan itu dibuka, dan ujian tambahan, termasuk penilaian tahap kesiapsiagaan operasi, akan menyusul. “Ini termasuk stesen, sistem rel, kakitangan dan sebagainya. Kami mempunyai tempoh dari sekarang hingga 31 Disember, lebih kurang sebulan lebih, untuk menyelesaikannya,” katanya.

    LRT3 Laluan Shah Alam dijangka mula beroperasi pada 31 Dis, kini dalam ujian fasa terakhir – Loke

    Loke menambah bahawa Rapid Rail telah mengambil 956 pekerja untuk projek tersebut, merangkumi peranan dalam operasi, kejuruteraan, teknikal dan bidang lain bagi memastikan perkhidmatan yang lancar dan selamat apabila laluan itu beroperasi nanti.

    Pada 26 Ogos, Loke mengumumkan bahawa laluan tersebut, yang pada asalnya dijadualkan mula beroperasi pada 30 September, telah diberikan garis masa baharu pada hujung tahun. Beliau berkata beberapa ujian masih diperlukan, menyebabkan sedikit kelewatan.

    Perkhidmatan LRT3 Laluan Shah Alam sepanjang 37.8 km ini menghubungkan Bandar Utama di Petaling Jaya ke Johan Setia di Klang. Ia melibatkan 25 stesen termasuk Stadium Shah Alam, Pasar Besar Klang, Seri Andalas dan Johan Setia. Apabila beroperasi kelak, LRT3 mempunyai kapasiti untuk mengangkut seramai 300,000 penumpang sehari, dan kapasiti ini mungkin akan dapat dicapai dengan cepat memandangkan laluan berkenaan melalui kawasan-kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi.

     
     
  • Sistem Kejara akan diperbaharui – integrasi dengan MyJPJ, senarai hitam dikuatkuasa mulai Jan 2026

    Sistem Kejara akan diperbaharui – integrasi dengan MyJPJ, senarai hitam dikuatkuasa mulai Jan 2026

    Sistem mata demerit lesen memandu Kejara disahkan akan menerima rombakan besar, dan sistem yang diperbaharui itu akan siap pada separuh pertama tahun depan, manakala penguatkuasaan dijadualkan untuk dilaksanakan pada separuh kedua 2026, kata menteri pengangkutan Anthony Loke, laporan The Sun.

    “Dahulu, jika orang tidak membayar saman, mata demerit tidak pernah direkodkan. Itu menafikan tujuan asalnya. Ia sebenarnya membuatkan orang tidak mahu membayar saman. Akhirnya, pemandu bermasalah masih bebas tanpa dikenakan tindakan,” kata Loke kepada akhbar tersebut.

    Bagi memastikan pematuhan, sistem Kejara yang diperbaharui akan diintegrasikan sepenuhnya dengan platform MySikap, dan dihubungkan secara langsung dengan pembaharuan lesen memandu serta cukai jalan, menurut laporan itu. “Mereka yang gagal membayar dalam tempoh tertentu akan disenaraihitamkan. Mereka tidak akan dapat memperbaharui lesen atau cukai jalan. Hanya dengan itu sistem demerit akan berfungsi,” kata Loke.

    Sistem mata demerit Kejara juga akan diintegrasikan ke dalam aplikasi mudah alih MyJPJ, yang akan membolehkan pengguna jalan raya menyemak mata demerit mereka dan menerima amaran apabila mereka berada pada tahap berisiko digantung lesen.

    Sistem Kejara akan diperbaharui – integrasi dengan MyJPJ, senarai hitam dikuatkuasa mulai Jan 2026

    Tambah Loke, antara kejayaan terbesar ialah kerajaan berjaya mendapatkan persetujuan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyeragamkan kadar kompaun trafik, sesuatu yang pertama kali berlaku dalam sejarah penguatkuasaan di Malaysia, menurut laporan tersebut.

    Mulai 1 Januari 2026, kadar saman trafik akan diseragamkan antara semua agensi. Di mana tiada lagi kempen diskaun berkala, dan pembayaran awal saman akan diberi ganjaran, manakala pembayaran lewat akan dikenakan amaun penuh.

    “Belum pernah kita mempunyai sistem kompaun bersepadu. PDRM sebelum ini mempunyai kadar dan diskaun mereka sendiri. Pembaharuan ini sudah lama tertangguh. Tanpa keseragaman, penguatkuasaan menjadi tidak berkesan,” kata Loke.

    Satu garis masa yang diperketatkan telah dikenakan ke atas Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk pelaksanaan naik taraf sistem, pelantikan vendor dan backend integration, menurut laporan itu. “Ini isu penting. Kita tidak boleh mengambil masa terlalu lama. Proses dalaman sedang dipercepatkan supaya sistem Kejara yang diperbaharui dapat disiapkan pada separuh pertama tahun depan dan dilaksanakan secara berperingkat selepas itu,” kata Loke lagi.

    Sistem Kejara akan diperbaharui – integrasi dengan MyJPJ, senarai hitam dikuatkuasa mulai Jan 2026

    Berhubung kritikan terhadap diskaun saman 50%, Loke menyatakan bahawa ia adalah langkah praktikal untuk menyelesaikan tunggakan kompaun bertahun-tahun sebelum usaha penguatkuasaan baharu bermula. “Ini adalah tempoh pengampunan. Kami tidak menggalakkan pelanggaran peraturan. Saya sudah beri amaran, apabila masuk bulan Januari, jika masih ada saman tertunggak, anda akan disenaraihitamkan,” kata Loke.

    Walau bagaimana pun, Loke bersetuju dengan kritikan terhadap sistem Kejara yang dianggap tidak berkesan, dan beliau percaya bahawa sistem mata demerit yang distruktur semula itu akhirnya akan mencegah pesalah berulang dan mengeluarkan pemandu berbahaya dari jalan raya. “Kita sedang membinanya semula dari asas. Menjelang tahun depan, rakyat Malaysia akan melihat landskap penguatkuasaan yang sangat berbeza,” katanya.

    Julai lalu, rombakan sistem mata demerit Kejara disahkan oleh Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, berada pada peringkat semakan akhir, dan beliau menyatakan bahawa perubahan tersebut akan mengambil masa untuk dilaksanakan kerana ia melibatkan penyelesaian aspek undang-undang dan pindaan yang diperlukan.

     
     
  • Miliki Mercedes-Benz terpakai/grey import? Nikmati pakej penjagaan eksklusif Mercedes-Benz yang sah

    Miliki Mercedes-Benz terpakai/grey import? Nikmati pakej penjagaan eksklusif Mercedes-Benz yang sah

    Anda pemilik kereta Mercedes-Benz terpakai atau import persendirian dan inginkan ia diservis dan selenggara dengan betul? Maka, tiada tempat lain yang dapat memberikan penjagaan terbaik untuk kereta anda melainkan di cawangan servis sah Mercedes-Benz.

    Ada banyak kelebihan sekiranya kereta anda diservis di cawangan servis sah Mercedes-Benz. Selain memastikan semua kerja dilakukan secara profesional dengan tahap kecermatan yang tinggi oleh juruteknik bertauliah yang dilatih khusus oleh Mercedes-Benz, cawangan servis sah juga dilengkapi dengan alat ganti tulen, peralatan khusus serta kelengkapan diagnostik, yang sangat penting untuk menjaga prestasi dan keselamatan kereta anda supaya berada di tahap terbaik.

    Menggunakan alat ganti tulen Mercedes-Benz adalah sangat penting kerana barangan tersebut dibangunkan khusus untuk model kenderaan masing-masing, yang telah dipastikan ketahanan dan ketepatan fungsinya serta telah diuji dan diperiksa mengikut spesifikasi ketat Mercedes-Benz agar selamat dan tahan lama.

    Jika anda belum pernah menghantar kereta Mercedes-Benz terpakai atau import persendirian milik anda ke saluran servis sah sebelum ini, sekarang adalah masa yang tepat untuk mencubanya; kempen istimewa kini sedang berjalan untuk mereka yang belum pernah mengalami sendiri tahap layanan dan servis yang diberikan di rangkaian servis rasmi Mercedes-Benz.

    Bermula sekarang hingga 30 Disember 2025, pemilik Mercedes-Benz yang baru mengetahui tentang rangkaian servis sah Mercedes-Benz di Malaysia boleh menikmati tawaran eksklusif melibatkan pakej minyak pelincir asas, yang bermula dari hanya RM550. Ditawarkan di semua cawangan servis sah Mercedes-Benz, anda boleh mencuba tawaran eksklusif ini dengan menempah temujanji servis di sini.

     
     
  • Morbidelli T502X dilancarkan untuk pasaran Malaysia – enjin dua silinder selari 486 cc, TFT, TPMS, RM28,888

    Morbidelli T502X dilancarkan untuk pasaran Malaysia – enjin dua silinder selari 486 cc, TFT, TPMS, RM28,888

    Selain T205X dan T252X, satu lagi motosikal touring/adventure dari Morbidelli yang dilancarkan oleh MForce Bike Holdings Sdn Bhd hari ini adalah T502X. Ia dijual pada harga RM28,888 tidak termasuk insurans. Jaminan adalah selama dua tahun tanpa had batuan.

    Memacu T502X adalah enjin dua silinder selari 486 cc DOHC, bersama padanan transmisi enam kelajuan dengan klac slipper, mampu menghasilkan kuasa 47 hp pada 8,500 rpm dan tork 45 Nm pada 6,750 rpm.

    Menggunakan sistem pendikit ride-by-wire, motosikal ini dapat menyediakan dua mod tunggangan, dengan bagi setiap satunya mempunyai larasan penyampaian kuasa serta tetapan ABS dan kawalan cengkaman yang berbeza. Turut disediakan di bahagian elektronik adalah kawalan cengkaman serta sistem pemerhati tekanan angin tayar.

    Morbidelli T502X dilancarkan untuk pasaran Malaysia – enjin dua silinder selari 486 cc, TFT, TPMS, RM28,888

    Berada di hadapan penunggang adalah skrin TFT tujuh inci, yang diberikan percuma selama setahun untuk sambungan kepada aplikasi TBox, membolehkan paparan navigasi, panggilan kecemasan serta pelbagai lagi informasi tambahan.

    Menghubungkan motosikal ini dengan jalan adalah rim spoked 19 inci dengan tayar Pirelli 110/80 di hadapan, dan rim 17 inci dengan tayar 150/70 di belakang. Ia kemudiannya dipegang oleh masing-masing fork USD 43 mm dan monoshock dengan pelarasan pra beban.

    Brek terdiri daripada unit cakera 300 mm berkembar dengan angkup J.Juan dua piston di hadapan, cakera 240 mm dengan angkup satu piston di belakang serta sistem ABS dual-channel. Berat keseluruhan motosikal ini adalah 210 kg dan datang dengan tangki bahan api 18 liter. Turut disediakan adalah soket pengecas USB-A dan USB-C.

    Menjadikan pembelian motosikal ini lebih berbaloi, ia datang secara standard dengan kelengkapan yang biasanya disediakan sebagai pilihan tambahan, termasuk besi pelindung tepi badan, penghadang bawah enjin serta pelindung radiator.

     
     
  • Morbidelli T250X dilancar untuk pasaran Malaysia – enjin satu silinder 249 cc, harga dari RM9,888

    Morbidelli T250X dilancar untuk pasaran Malaysia – enjin satu silinder 249 cc, harga dari RM9,888

    Motosikal jenama Morbidelli kembali segar dalam pasaran Malaysia apabila MForce Bike Holdings Sdn Bhd melancarkan empat model baru iaitu tiga dalam kategori touring/adventure dan satu naked. Salah satu daripada model adventure itu adalah T250X, yang dijual pada harga RM9,888 untuk versi Standard dan RM11,288 untuk versi SE. Jaminan adalah selama dua tahun tanpa had batuan.

    Motosikal ini tampil dengan tetapan enjin yang ringkas, iaitu satu silinder 249 cc penyejukan udara SOHC, berkuasa 24.4 hp pada 7,500 rpm dan tork 22.3 Nm pada 6,000 rpm, tetapi dipadankan dengan transmisi enam kelajuan.

    Rim menggunakan tetapan spoked 19 inci di hadapan, dibalut tayar 90/90, manakala di belakang pula terdapat rim 17 inci dengan tayar 110/90. Ia kemudiannya masing-masing dipegang oleh fork USD 41 mm dan monoshock dengan pelarasan pra beban.

    Tugas penghentian dijalankan unit cakera di hadapan (265 mm) dan belakang (220 mm), dengan angkup dua piston dan ABS dual-channel diberikan secara standard. Berat keseluruhan motosikal ini adalah 154 kg dan ia datang dengan tangki bahan api 11.7 liter.

    Meskipun nampak seperti sebuah motosikal yang ringkas, T250X datang dengan meter digital LCD tujuh inci, butang kawalan yang menyala, kawalan cengkaman serta soket pengecas USB-A. Menjadikan versi SE istimewa adalah ia datang dengan beg barangan belakang.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.67 (0.00)
EURO 5 B7 RM4.87 (0.00)
Last Updated Jun 11, 2026