Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Jalan Genting Highland sah akan dikenakan tol

    Jalan Genting Highland sah akan dikenakan tol

    Genting Malaysia Berhad bakal mengenakan caj bagi kenderaan yang menggunakan Jalan Genting Highland tidak lama lagi. Perkara ini diberitahu menerusi kenyataan yang dihantar menerusi akaun Facebook rasmi Resorts World Genting.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan itu, langkah untuk mengenakan caj ini adalah perlu kerana jalan mendaki bukit sepanjang 24 km berkenaan merupakan jalan persendirian dan kos bagi menyelenggaranya kini semakin tinggi. Genting Malaysia Berhad juga menyatakan bahawa kos untuk menyelenggara jalan tersebut telah dibiayai sendiri oleh syarikat itu sejak 1960’an.

    Syarikat itu turut menyatakan bahawa penggunaan yang sangat kerap telah menyebabkan Jalan Genting Highland mengalami “kehausan dan kelusuhan yang sangat teruk”, dan memerlukan penyelenggaraan yang berterusan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya.

    “Ini adalah inisiatif swasta di atas jalan persendirian di atas tanah persendirian. Genting Malaysia mengambil tanggungjawab untuk menjaga keselamatan jalan raya dan cerun dengan serius,” tulis kenyataan itu lagi.

    Kenyataan penuh yang dikeluarkan oleh Genting Malaysia Berhad adalah seperti berikut:

     
     
  • Peugeot Polygon Concept diperkenal dengan stereng Hypersquare steer-by-wire, akan diguna pada 208?

    Peugeot Polygon Concept diperkenal dengan stereng Hypersquare steer-by-wire, akan diguna pada 208?

    Peugeot memperkenalkan Polygon Concept, sebuah model kajian menampilkan teknologi dan rekaan futuristik yang bakal membentuk arah tuju baru jenama Perancis itu. Dengan panjang kurang empat meter, model konsep ini menampilkan teknologi stereng elektronik terkini Hypersquare, dengan roda stereng berbentuk segi empat serta berfungsi sepenuhnya melalui sistem steer-by-wire.

    Peugeot menyifatkan teknologi ini sebagai usaha mereka untuk “mencipta semula roda stereng”, dengan Hypersquare menjadi pusat kepada i-Cockpit generasi baru. Ketiadaan sambungan mekanikal antara stereng dan tayar membolehkan pereka menghasilkan papan pemuka yang lebih minimalis dan ergonomik, dengan posisi stereng diletakkan tinggi dan paparan meter dipancarkan terus ke cermin hadapan. Paparan itu bersaiz 24 cm tinggi dan 74 cm lebar, bersamaan skrin 31 inci.

    Hypersquare direka dengan nisbah stereng berubah mengikut kelajuan, menjadikannya mudah dikawal ketika meletakkan kereta atau membuat pusingan tajam tanpa perlu memutar stereng sepenuhnya. Pada kelajuan tinggi, sistem ini menawarkan kawalan yang lebih responsif dan tepat, memberikan pemandu “rasa pemanduan hiper-lincah” seperti yang digambarkan oleh Peugeot.

    Peugeot Polygon Concept diperkenal dengan stereng Hypersquare steer-by-wire, akan diguna pada 208?

    Selain teknologi stereng, Polygon Concept turut memperkenalkan rekaan tempat duduk baru yang menggabungkan kerangka cetakan 3D khas dengan span bersambung. Pendekatan ini bukan sahaja membolehkan bentuk yang lebih moden dan geometri menarik, tetapi juga menjadikan proses penggantian atau penyesuaian warna lebih mudah — hanya mengambil masa beberapa minit. Peugeot turut menjelaskan bahawa stereng Hypersquare, elemen papan pemuka serta penutup roda juga boleh ditukar mengikut citarasa pemilik.

    Menariknya, walaupun menyerupai sebuah hatchback seperti Peugeot 208, Polygon hadir dengan pintu gullwing bersaiz besar yang dibuka ke atas, bukan empat pintu seperti biasa. Reka bentuk ini bukan sahaja memudahkan keluar masuk, tetapi juga mengurangkan bilangan komponen serta memudahkan proses pemasangan di kilang.

    Penutup roda pula dihasilkan daripada plastik kitar semula melalui teknik cetakan 3D dan menampilkan rekaan empat bulatan yang menyerupai bentuk stereng Hypersquare, mencipta identiti visual yang konsisten di seluruh kenderaan.

    Peugeot menyatakan bahawa teknologi dan elemen rekaan daripada Polygon Concept akan mula digunakan pada model produksi bermula tahun 2027, berkemungkinan pada pengganti model Peugeot 208. Menurut laporan Autocar, model baru 208 itu akan menjadi model pertama menggunakan platform Stellantis STLA Small dan dijangka ditawarkan sepenuhnya dalam versi elektrik (EV) tanpa pilihan enjin pembakaran dalaman.

     
     
  • BYD Shark 6 ditunjuk di Malaysia — trak pikap DMO plug-in hybrid, 436 PS/650 Nm, 0-100 km/j 5.7 saat

    BYD Shark 6 ditunjuk di Malaysia — trak pikap DMO plug-in hybrid, 436 PS/650 Nm, 0-100 km/j 5.7 saat

    BYD Shark 6 telah membuat penampilan sulung di Malaysia bermula hari ini di acara BYD Tech Discovery 2025 yang sedang berlangsung sepanjang hujung minggu ini bertempat di Plaza Arkadia, Desa Park City. Trak pikap berkenaan menjadi sebahagian daripada model yang dipamerkan, dan menerapkan teknologi Dual Mode Off-road (DMO) Super Hybrid oleh BYD.

    Ia pertama kali dipertontonkan di rantau ini ketika Bangkok Motor Show lalu. Awalnya dinyatakan bakal diperkenalkan di sana pada September tahun ini, rancangan pengenalan trak itu kemudiannya di batalkan kerana jumlah tempahan yang terlalu rendah di Thailand.

    BYD Shark 6 mempunyai ukuran 5,457 mm panjang, 1,917 mm lebar, 1,925 mm tinggi dengan jarak roda 3,260 mm — saiz yang hampir sama dengan Ford Ranger, dengan Shark 6 lebih tinggi. Shark 6 menggunakan casis ladder frame dengan sistem suspensi depan dan belakang dari jenis double wishbone.

    BYD Shark 6 ditunjuk di Malaysia — trak pikap DMO plug-in hybrid, 436 PS/650 Nm, 0-100 km/j 5.7 saat

    Ruang kargonya mampu menampung kapasiti luas sebanyak 1,450 liter dengan kadar beban 835 kg, sementara kemampuan menunda seberat 2,500 kg.

    Sistem DMO Super Hybrid-nya menampilkan enjin 1.5 liter turbocas empat-silinder sebaris petrol dengan janaan 184 PS (181 hp atau 135 kW) dan 260 Nm, dan digandingkan dengan dua motor elektrik. Digerakkan sebahagian besarnya oleh motor elektrik, enjin berkenaan akan membantu pacuan dalam kelajuan lebih 70 km/j.

    Motor depan menjana sebanyak 231 PS (228 hp atau 170 kW) dan 310 Nm tork, sementara motor di belakang dengan janaan 204 PS (201 hp atau 150 kW) dan 340 Nm. Ini menjadikan output akhir sistem hibrid ini sebanyak 436 PS (430 hp atau 321 kW) dan 650 Nm. Ini membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.7 saat dan mencapai laju maksimum 160 km/j.

    Motor elektrik berkenaan dikuasakan oleh bateri lithium iron phosphate (LFP) 29.58 kWj Blade, yang memberikan jarak EV 100 km, dan membantu enjin untuk mencapai jarak keseluruhan sejauh 840 km dengan satu tangki penuh petrol. Untuk pengecasan, Shark 6 menyokong pengecasan AC hingga 7 kW, sementara kadar maksimum untuk pengecasan DC ialah 55 kW — DC membolehkan bateri dicas dari 30-80% dalam masa 25 minit. Ada juga fungsi vehicle-to-load (V2L) yang memberikan kuasa sehingga 6 kW.

    Melihat kepada bentuk dan jenis soket 3-pin plug yang ada, unit yang ditunjuk ini adalah model spesifikasi Australia. Kelengkapan lain termasuklah lampu utama LED dan rim aloi 18-inci, kluster instrumen digital 10.25-inci, skrin sentuh infotainmen di tengah boleh pusing bersaiz 15.6-inci, kerusi depan larasan elektrik, kawalan pendingin dua zon serta ciri ADAS lengkap.

    Belum diketahui sama ada Shark 6 ini akan diperkenalkan di Malaysia, tetapi kehadirannya kali ini memberi petunjuk yang positif — ia mungkin akan diperkenalkan secara rasmi tahun depan. Bagaimanapun, dengan trak pikap di Malaysia diberikan bebas cukai, ia mungkin akan masuk sebagai model CBU terlebih dahulu. Apa pun, ia hanya ditawarkan dalam bentuk PHEV setakat ini.

     
     
  • Forthing Friday FEV, REEV dan MPV V9 PHEV akan tiba di Malaysia tahun depan, harga bermula RM130k?

    Forthing Friday FEV, REEV dan MPV V9 PHEV akan tiba di Malaysia tahun depan, harga bermula RM130k?

    Pasaran automotif tempatan bakal menerima kehadiran jenama baru dari China, iaitu Forthing, yang kini membuat penampilan sulung di Global Automotive and Technology Expo (GATE) 2025 di Kuala Lumpur. Jenama ini berada di bawah naungan Dongfeng Motor Group dan mempamerkan dua model pertama untuk pasaran Malaysia — SUV Forthing Friday dan MPV V9.

    Menurut maklumat awal, Forthing dijangka melancarkan jenamanya secara rasmi di Malaysia pada Disember tahun ini melalui pengedar tempatan, Wide Premium.

    Model pertama yang akan ditawarkan ialah Forthing Friday, sebuah SUV yang hadir dalam dua pilihan pakej kuasa — versi kenderaan elektrik penuh (BEV) dan range extender electric vehicle (REEV). Bagi versi BEV, ia mampu mencapai jarak pemanduan sehingga 400 km mengikut kitaran ujian WLTP, manakala varian REEV mampu bergerak melebihi 1,000 km dengan gabungan kuasa bateri dan enjin petrol.

    Versi REEV menggunakan motor elektrik berkuasa 120 kW (163 PS) dan 240 Nm, disokong oleh bateri LFP 31.94 kWh serta enjin petrol 1.5 liter yang berfungsi sebagai penjana kuasa dengan output 102 PS dan 130 Nm. Sementara itu, versi BEV menggunakan motor elektrik tunggal dengan 204 PS dan 340 Nm, dikuasakan oleh bateri LFP 64.4 kWh.

    Dari segi dimensi, SUV ini berukuran 4,600 mm panjang, 1,860 mm lebar dan 1,680 mm tinggi, dengan jarak roda 2,715 mm. Berat keseluruhannya ialah 1,820 kg bagi kedua-dua varian. Sistem suspensi depan menggunakan tetapan MacPherson, manakala belakang bergantung kepada multi-link (untuk EV) dan torsion beam (untuk REEV).

    Model Friday akan ditawarkan dalam beberapa varian – Luxury dan Exclusive untuk REEV, serta Standard dan Extended untuk EV. Ciri keselamatan asas termasuk beg udara hadapan, ABS, EBD, kawalan kestabilan, kawalan cengkaman, bantuan mula mendaki, kawalan menuruni bukit dan sistem amaran bunyi untuk pejalan kaki. Varian lebih tinggi ditambah dengan beg udara sisi, kamera 360 darjah serta pengesan jarak hadapan.

    Forthing Friday FEV, REEV dan MPV V9 PHEV akan tiba di Malaysia tahun depan, harga bermula RM130k?

    Bahagian luaran menampilkan cermin sisi boleh lipat automatik dengan fungsi pemanas, manakala varian premium mendapat bumbung panoramik dan pintu belakang elektrik. Di bahagian dalam, varian asas hadir dengan stereng kulit pelbagai fungsi dan tempat duduk larasan manual, sementara versi tertinggi mendapat tempat duduk larasan kuasa sepenuhnya.

    Sistem hiburan terdiri daripada panel instrumen 8.8 inci dan skrin sesentuh infotainmen 14.6 inci dengan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, bersama pengecas telefon tanpa wayar 50W, sambungan USB-A, USB-C dan radio digital.

    Untuk bantuan pemanduan (ADAS), varian Exclusive REEV dan Extended EV mendapat ciri seperti kawalan kelajuan adaptif, amaran pelanggaran hadapan, brek kecemasan automatik, amaran keluar lorong, bantuan kekal lorong serta pengenalan tanda lalu lintas. Varian tertinggi EV turut ditambah dengan pemantauan titik buta, bantuan tukar lorong dan amaran lintasan trafik belakang.

    Selain SUV Friday, Forthing turut memperkenalkan MPV U-Tour V9, sebuah kenderaan tujuh tempat duduk yang dijangka memasuki pasaran Malaysia pada 2026. Model ini menggunakan sistem plug-in hybrid (PHEV) yang menggabungkan enjin 1.5 liter turbo direct injection berkuasa 190 PS dan 280 Nm, bersama motor elektrik berkuasa 177 PS dan 300 Nm. Ia menggunakan bateri ternary lithium atau LFP, bergantung pada varian.

    MPV besar ini berukuran 5,151 mm panjang, 1,920 mm lebar, 1,820 mm tinggi dengan jarak roda 3,018 mm. Ruang dalaman tampil mewah dengan susunan tiga skrin digital penuh, stereng bentuk bawah rata pelbagai fungsi, dan kerusi kapten di baris kedua lengkap dengan pelarasan kuasa, skrin kawalan sentuh serta meja lipat.

    Harga rasmi masih belum diumumkan, namun sumber industri memaklumkan bahawa Forthing Friday dijangka dijual di Malaysia pada harga bermula sekitar RM130,000 apabila dilancarkan tidak lama lagi.

    GALERI: Forthing Friday REEV di Malaysia

    GALERI: Forthing U-Tour V9 di Malaysia

     
     
  • Honda CR-V Dual-Tone Edition diperkenal sempena ulang tahun ke-25 di Malaysia, terhad 300 unit

    Honda CR-V Dual-Tone Edition diperkenal sempena ulang tahun ke-25 di Malaysia, terhad 300 unit

    Honda Malaysia (HM) memperkenalkan CR-V Dual-Tone Edition edisi khas, yang dikeluarkan terhad kepada 300 unit sahaja bagi meraikan ulang tahun ke-25 syarikat itu di Malaysia.

    Model edisi khas ini tampil dengan warna dua tona buat pertama kali pada model CR-V, melibatkan bumbung, tiang sisi serta cermin sisi berwarna hitam. Pelanggan boleh memilih antara dua warna badan utama — Ignite Red Metallic atau Platinum White Pearl.

    CR-V Dual-Tone Edition ini ditawarkan bagi varian E dan V, masing-masing dikuasakan oleh enjin 1.5L turbo dengan kuasa 193 PS dan 243 Nm tork. Harga kekal sama seperti varian standard, iaitu RM169,900 untuk varian E dan RM181,900 untuk varian V – atas jalan tanpa insurans.

    CR-V merupakan antara model paling penting dalam sejarah Honda Malaysia. Sejak diperkenalkan, SUV popular ini telah memainkan peranan besar dalam kejayaan jenama itu di pasaran tempatan. Pada tahun 2003, CR-V menjadi model pertama yang dipasang secara tempatan di kilang Honda di Melaka dan sejak itu hampir 149,000 unit telah dijual di seluruh negara.

    Model generasi keenam CR-V, yang dilancarkan pada hujung tahun 2023, terus menerima sambutan menggalakkan dengan lebih 11,300 unit terjual setakat ini. Pada tahun lalu, CR-V menguasai 36% bahagian pasaran dalam segmen SUV bersaiz sederhana di Malaysia, menjadikannya antara pilihan utama dalam kelasnya.

     
     
  • TMJ bimbang masalah kesesakan lalu lintas di JB kian parah apabila RTS Link mula beroperasi kelak

    TMJ bimbang masalah kesesakan lalu lintas di JB kian parah apabila RTS Link mula beroperasi kelak

    Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menzahirkan kebimbangan terhadap masalah kesesakan lalu lintas yang bakal timbul apabila Projek Rapid Transit System (RTS) Link antara Johor Bahru dan Singapura mula beroperasi kelak.

    ‘Sehingga kini, tiada penyelesaian menyeluruh disediakan bagi menampung peningkatan jumlah trafik termasuk pelaksanaan sistem ART bertingkat (elevated ART) atau alternatif pengangkutan lain di kawasan sekitar Bukit Chagar.

    “Kerajaan Persekutuan memaklumkan bahawa tiada peruntukan mencukupi untuk menampung kos penyelenggaraan sekiranya penyelesaian bertingkat sepenuhnya dilaksanakan. Namun begitu, Pulau Pinang mampu memperoleh projek LRT yang jauh lebih mahal berbanding sistem ART,” katanya menerusi perkongsian di Facebook rasminya.

    RTS Link dijangka siap sepenuhnya pada Disember 2026 dan mula beroperasi pada Januari 2027. Ia adalah perkhidmatan rel rentas sempadan sepanjang empat kilometer, yang mampu memuatkan kapasiti 10,000 penumpang sejam untuk setiap hala pada waktu puncak, dengan masa perjalanan sekitar lima minit antara dua stesen, satu di Bukit Chagar di Johor dan satu lagi di Woodlands di Singapura. Ia juga disasarkan dapat mengurangkan kesesakan di Tambak Johor serta mempercepat perjalanan harian rakyat antara dua negara.

     
     
  • Proton Saga MC3 2026 – spesifikasi varian Standard, Executive dan Premium tertiris, RM40k hingga RM50k

    Proton Saga MC3 Executive

    Proton telahpun mendedahkan Saga MC3 2026 awal bulan ini dan model tersebut disahkan bakal ditawar dalam tiga varian iaitu Standard, Executive dan Premium. Namun sehingga kini perincian spesifikasi untuk setiap varian belum diumumkan secara rasmi, dan media hanya didedahkan dengan dua varian tertinggi sedan ini iaitu Executive dan Premium.

    Walau bagaimanapun hari ini kami menerima sebahagian brosur rasmi Saga MC3 yang tertiris sebelum pelancaran rasminya, dan ia mendedahkan maklumat berkenaan spesifikasi terperinci setiap varian sedan paling mampu milik terbaharu Proton ini.

    Seperti yang diketahui sebelum ini, semua varian Saga MC3 menerima enjin baharu yang lebih besar, lebih berkuasa, lebih moden, lebih efisien dan telah menggunakan sistem timing chain iaitu enjin i-GT BHE15PFI 1.5 liter empat silinder DOHC DVVT berkuasa 120 PS dan tork maksima 150 Nm bagi menggantikan enjin 1.3L Campro sebelum ini.

    Namun untuk transmisi, varian paling asas Standard dan juga pertengahan Executive diberikan kotak gear automatik konvensional empat-kelajuan 4AT, manakala varian tertinggi Premium pula menerima transmisi CVT automatik. Proton mengumumkan versi dengan kotak gear 4AT mencapai penggunaan bahan api 5.1L/100 km, manakala dengan transmisi CVT pula menggunakan bahan api lebih cekap dengan hanya 4.9L/100 km.

    Klik untuk besarkan

    Beralih ke spesifikasi luaran, semua varian Saga MC3 ini nampaknya menerima lampu hadapan LED projektor, lampu belakang LED, cermin sisi dengan lampu isyarat membelok dan juga antena sirip yu. Manakala untuk varian Standard, ia menerima rim aloi 14-inci dalam kemasan warna perak dan penutup but belakang hanya boleh dibuka sama ada menggunakan tuil dalam kabin atau menggunakan alat kawalan jauh.

    Masuk ke kabin, Saga MC3 Standard tidak diberikan skrin infotainmen, tetapi masih datang dengan paparan instrumen digital sepenuhnya dengan skrin TFT 7-inci. Roda stereng rata di bawah dengan suis kawalan audio masih diberikan pada varian standard ini, tetapi hanya dengan material urethane biasa.

    Tempat duduk pula hanya dibalut fabrik tanpa sebarang corak, ketinggian tempat duduk pemandu hanya boleh dilaras pada bahagian sokongan paha, manakala tempat duduk belakang datang dengan perehat kepala yang tidak boleh dilaras tetapi masih boleh dilipat untuk akses ke but belakang.

    Saga MC3 Standard ini datang dengan butang penghidup enjin, namun untuk mengunci ia hanya boleh menggunakan kawalan jauh. Perincian lain yang turut diberikan pada varian paling murah ini adalah dua pembesar suara, satu port USB untuk data serta perincian keselamatan termasuk penderia undur belakang dan juga dua beg udara.

    Proton Saga MC3 Premium

    Beralih ke varian pertengahan Executive, lampu hadapan projektor LED ditambah dengan jalur LED untuk fungsi lampu nyalaan siang dan juga diberikan fungsi lampu automatik dan lampu Follow-me-home. Varian ini juga boleh dikenali pada sebelah luar menerusi rim aloi 15-inci dalam kemasan perak dan juga butang kunci pada pembuka pintu sebelah pemandu.

    Dalam kabin, bermula varian Executive ini ia menerima skrin infotainmen 9-inci yang turut menyokong aplikasi Android Auto dan Apple Carplay hubungan tanpa wayar. Manakala untuk tempat duduk, ia masih hanya dibalut dengan fabrik, tetapi dibezakan dengan tekstur ‘ombak pantai’ yang diberikan pada sebelah tengah. Dan pada sebelah belakang, ia diberikan tempat duduk dengan perehat kepala boleh laras.

    Kembali semula pada maklumat yang didedahkan oleh borsur yang tertiris ini, varian Executive turut menerima perincian lain termasuk empat pembesar suara, tambahan dua lagi port USB untuk mengecas dan juga lampu untuk ruang kargo but belakang. Manakala untuk keselamatan, ia ditambah dengan penderia parkir hadapan dan juga kamera undur.

    Proton Saga MC3 2026 – spesifikasi varian Standard, Executive dan Premium tertiris, RM40k hingga RM50k

    Papan pemuka Proton Saga MC3 Premium

    Untuk varian tertinggi Saga MC3 Premium pula, ia bukan sahaja varian dengan lebih ‘jajan’, malah juga nampak paling sporty pada bahagian luaran dengan diberikan skirt sisi, bar lampu LED yang merentangi sepenuhnya penutup but belakang dan juga rim aloi 15-inci dalam kemasan dua-tona.

    Selain itu, cermin sisi Saga MC3 Premium ini juga datang dengan fungsi lipat automatik, dan pada penutup but belakang ia turut diberikan satu suis pembuka.

    Manakala pada sebelah dalam, Saga MC3 Premium ini diberikan upholsteri leatherette pada tempat duduk dan roda stereng, tempat duduk pemandu dengan larasan ketinggian sepenuhnya, tempat duduk belakang dengan perehat kepala boleh laras serta fungsi turun automatik pada cermin berkuasa sebelah pemandu.

    Varian Premium Saga MC3 ini juga merupakan varian yang paling selamat kerana diberikan enam-beg udara, serta sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) dengan sembilan fungsi iaitu Brek Kecemasan Berautonomi (AEB), Amaran Perlanggaran Belakang (RCW), Amaran Pembukaan Pintu (DOW), Amaran Perlanggaran Hadapan (FCW), Amaran Keluar Lorong (LDW), Bantuan Menukar Lorong (LCA), Amaran Trafik Lintasan Belakang (RCTA), Kawalan Lampu Suluhan Tinggi Pintar (IHBC) dan Amaran Kenderaan Hadapan Bergerak (FDA).

    Kabin Proton Saga MC3 Premium (kiri) dan Proton Saga MC3 Executive (kanan)

    Lima warna badan ditawarkan untuk Saga 2026 ini termasuk dua warna baharu iaitu Deep Marine Blue dan Space Grey, serta tiga lagi warna sedia ada terdiri dari Ruby Red, Armour Silver dan Snow White. Nampaknya semua warna ini boleh dipilih untuk semua varian, tanpa warna eksklusif ditetapkan untuk varian tertentu.

    Tempahan bagi Saga MC3 ini telah pun dibuka bermula awal minggu ini, di mana harga anggarannya juga telah diumumkan – bermula RM40,000 untuk varian asas Standard sehingga RM50,000 untuk varian tertinggi Premium. Pelancaran rasmi bagi model ini dijangka akan dibuat bulan ini juga.

    Kami sudahpun berpeluang membelek dan memandu uji model ini di Tanjong Malim beberapa minggu yang lalu – perincian penuh model ini boleh anda baca pada PAUTAN INI, dan ulasan pandu uji ringkas pula boleh anda baca pada PAUTAN INI.

    GALERI: Proton Saga MC3 Premium 2026

    GALERI: Proton Saga MC3 Executive 2026

    GALERI: Gambar rasmi Proton Saga MC3 2026

    GALERI: Slaid pembentangan Proton Saga MC3 2026

     
     
  • JPJ eBid: Siri PSA dan KGE bakal dibuka bidaan

    Bagi yang sedang mencari nombor pendaftaran bagi kenderaan, ini ada siri terkini dari Pulau Pinang dan Kedah yang akan dibuka bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), siri nombor pendaftaran terkini dari Pulau Pinang, PSA bakal dibuka bidaan bermula 19 Nov 2025. Bidaannya akan berakhir jam 10 malam pada 23 Nov. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 24 Nov 2025. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala siri nombor pendaftaran terkini Kedah, KGE, dibuka bidaan bermula 28 Nov 2025. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 2 Dis, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 3 Dis 2025.

    Memandangkan kini banyak urusan yang boleh dibuat secara dalam talian, jadi kalau nak dapatkan nombor pendaftaran kenderaan terkini, anda boleh lakukan sendiri tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran kenderaan yang diingini.

     
     
  • JPJ Selangor keluarkan 1,089 saman pelbagai kesalahan dalam Ops Pengarah malam tadi

    JPJ Selangor keluarkan 1,089 saman pelbagai kesalahan dalam Ops Pengarah malam tadi

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor telah menjalankan Ops Pengarah di beberapa lokasi sekitar negeri itu bermula 8 malam hingga 12 tengah malam tadi.

    Diketuai oleh Pengarah JPJ Negeri Selangor, Azrin Borhan, operasi berkenaan mensasarkan pemeriksaan menyeluruh kepada semua jenis kenderaan terutama dalam aspek teknikal kenderaan supaya tidak membahayakan pengguna jalan raya yang lain.

    Sebanyak 10,211 buah kenderaan diperiksa dan 864 kesalahan dikesan dengan 1,089 jumlah notis telah dikeluarkan secara keseluruhan melibatkan pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan kaedah-kaedah di bawahnya.


    Antara kesalahan yang telah dikesan sepanjang operasi berjalan ialah tiada lesen memandu, lesen memandu tamat tempoh, tiada lesen GDL, cukai jalan tamat tempoh, tiada perlindungan insuran dan kesalahan berkaitan teknikal.

    “Pengguna jalan raya diingatkan untuk sentiasa mematuhi semua peraturan yang ditetapkan serta memastikan tidak membuat pengubahsuaian kenderaan yang tidak mengikut spesifikasi yang dibenarkan. Advokasi dan penguatkuasaan secara berterusan akan dilakukan bagi memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya terjamin,” kata JPJ Selangor.

    Untuk sebarang aduan trafik, orang awam boleh menyalurkan kepada [email protected] atau melalui platform aplikasi e-aduan@JPJ beserta butiran pengadu dan butiran aduan.

     
     
  • Harga petrol RON95 kini diapungkan, RM2.65 seliter – penerima Budi95 dapat subsidi 66 sen bagi setiap liter

    Harga petrol RON95 kini diapungkan, RM2.65 seliter – penerima Budi95 dapat subsidi 66 sen bagi setiap liter

    Pada 30 September lalu, Kementerian Kewangan (MoF) mengumumkan bahawa harga runcit petrol RON 95 tanpa subsidi ditetapkan pada kadar RM2.60 seliter. Harga ini kekal sepanjang bulan Oktober 2025, dan terpakai untuk mereka yang tidak layak menerima manfaat yang diberikan melalui subsidi bersasar RON 95.

    Walau bagaimana pun, harga RON 95 tanpa subsidi mula diapungkan apabila lewat petang ini MOF mengumumkan bahawa harga runcitnya dinaikkan sebanyak lima sen seliter, menjadikannya RM2.65 seliter untuk tempoh antara 13 hingga 19 November 2025.

    Namun untuk rakyat Malaysia yang berkelayakan dan memiliki lesen memandu yang sah, harga RON95 bersubsidi masih lagi pada paras RM1.99 seliter. Ini bermakna kini penerima Budi95 mendapat subsidi sebanyak 66 sen bagi setiap liter petrol yang digunakan.

    Harga petrol RON95 kini diapungkan, RM2.65 seliter – penerima Budi95 dapat subsidi 66 sen bagi setiap liter

    Seebelum ini, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, harga tanpa subsidi akan ditetapkan selama sebulan (iaitu bulan Oktober) bagi membolehkan orang ramai menyesuaikan diri dengan mekanisme pelaksanaan Budi95 sebelum harga diapungkan mengikut harga pasaran global.

    “Kami akan mengekalkan harga RM2.60 ini selama sebulan untuk memberi peluang kepada semua pihak menyesuaikan diri dengan harga tersebut. Selepas itu, sama seperti diesel, harga akan disemak setiap minggu di bawah mekanisme penetapan harga automatik yang mengikut harga pasaran global, memandangkan kita juga perlu mendapatkan bekalan dari pasaran antarabangsa,” katanya ketika itu.

    Beliau turut menambah bahawa harga bahan api akan bergerak seiring dengan pasaran, iaitu meningkat apabila harga global naik dan menurun apabila harga global turun — sama seperti mekanisme yang digunakan bagi diesel. Merujuk kepada pemansuhan subsidi pukal diesel tahun lalu, beliau berkata harga runcit ketika itu ialah RM3.35 seliter, namun sejak itu telah menurun sejajar dengan harga minyak global. Harga semasa bagi minggu akan datang ialah RM3.07 seliter.

     
     
  • Harga minyak 13-19 Nov – RON97, RON95 tanpa subsidi, diesel di Semenanjung setiapnya naik 5 sen/L

    Harga minyak 13-19 Nov – RON97, RON95 tanpa subsidi, diesel di Semenanjung setiapnya naik 5 sen/L

    Bagi minggu bertarikh 13 hingga 19 November 2025, Kementerian Kewangan (MoF) mengumumkan bahawa harga runcit petrol RON97 dinaikkan sebanyak lima sen menjadi RM3.25 seliter.

    Manakala harga runcit petrol RON95 tanpa subsidi juga dinaikkan sebanyak lima sen kepada RM2.65 seliter. Manakala harga runcit petrol bersubsidi RON95 di bawah Budi95 kekal pada RM1.99 seliter.

    Bagi harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia, ia juga dinaikkan sebanyak lima sen kepada RM3.07 seliter. Namun harga runcit diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada RM2.15 seliter.

    Pada 23 Sept lalu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan memberi jaminan bahawa harga subsidi petrol RON95 pada RM1.99 seliter di bawah program Budi95 akan dikekalkan dalam tempoh terdekat selepas pelaksanaannya. Walau bagaimana pun, katanya, kerajaan tidak menjamin harga tersebut akan kekal sepanjang masa kerana ia bergantung keadaan semasa.

     
     
  • 20 jenama kereta terlaris di Malaysia untuk Oktober 2025 – tujuh jenama China kini berada dalam senarai!

    20 jenama kereta terlaris di Malaysia untuk Oktober 2025 – tujuh jenama China kini berada dalam senarai!

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telahpun mengeluarkan rekod pendaftaran kenderaan untuk bulan Oktober 2025. Dari rekod berkenaan, kami rangkumkan untuk anda 20 jenama kereta terlaris di Malaysia untuk bulan tersebut, dan juga jualan kumulatif tahunan untuk melihat kedudukan jenama-jenama ini dalam 10-bulan pertama 2025.

    Untuk bulan Oktober 2025, empat jenama teratas iaitu Perodua, Proton, Toyota dan Honda mengekalkan kedudukan masing-masing dari bulan sebelumnya. Apa yang mengejutkan, BYD yang berada pada kedudukan ke-lapan pada bulan September melompat ke tangga ke-lima untuk Oktober dengan jualan sebanyak 1,748 unit.

    Gergasi EV dari China tersebut memintas pesaing senegara iaitu Chery dengan jualan 1,347 unit, Omoda | Jaecoo (sub-jenama Chery) dengan jualan 1,310 unit dan juga Mitsubishi dengan jualan 1,210 unit. Prestasi BYD ini mungkin dipacu oleh sedan Seal 6 dan SUV Atto 2 di mana kedua-duanya menawarkan harga yang sangat kompetitif.

    20 jenama kereta terlaris di Malaysia untuk Oktober 2025 – tujuh jenama China kini berada dalam senarai!

    Bulan lalu juga menyaksikan Mazda berada di tempat ke-9 dengan jualan 849 unit, manakala jenama premium dari Eropah iaitu Mercedes-Benz melengkapkan carta 10-terlaris bagi Oktober 2025 dengan jumlah jualan 778 unit. BMW yang mencatatkan pendaftaran sebanyak 655 unit pula berada di tempat ke-11, diikuti Tesla dengan rekod jualan 320 unit berada di tangga ke-12, jatuh tiga anak tangga berbanding September.

    Oktober 2025 juga menyaksikan ada satu lagi jenama China yang masuk senarai 20 terlaris ini iaitu iCaur, merupakan satu lagi sub-jenama dari Chery yang berjaya menjual 310 unit kenderaan sepanjang bulan lalu. Buat masa sekarang iCaur hanya mempunyai satu model yang dijual di bilik pamerannya iaitu SUV EV 03 yang baru dilancarkan September lalu.

    Ini bermaksud sudah ada tujuh jenama dari China yang berada dalam carta 20 jenama kereta terlaris di Malaysia iaitu BYD, Chery, Omoda | Jaecoo, Great Wall Motor, Zeekr, Jetour dan iCaur, di mana empat daripadanya adalah dari kumpulan Chery (termasuk Jetour, namun jenama ini berada dalam kumpulan pengurusan yang berbeza).

    20 jenama kereta terlaris di Malaysia untuk Oktober 2025 – tujuh jenama China kini berada dalam senarai!

    Untuk jumlah jualan kumulatif tahunan pula, Perodua masih sukar untuk dicabar di tempat pertama dengan jualan 10 bulan pertama tahun ini mencecah 289,210 unit. Jumlah tersebut masih lebih banyak sekiranya jumlah jualan bagi tiga jenama yang berada di tempat kedua hingga keempat (Proton, Toyota dan Honda) dihimpunkan sekali.

    BYD pula masih berda di tempat kelapan untuk carta kumulatif ini dengan jualan sebanyak 10,165 unit, berada di belakang Omoda | Jaecoo (14,892 unit), Mitsubishi (11,490 unit) dan Chery (10,389 unit). Mercedes-Benz berada di tempat kesembilan dengan 7,644 unit, diikuti Mazda dengan 7,110 unit bagi melengkapkan carta 10-terlaris untuk 10 bulan pertama 2025.

     
     
  • Perodua QV-E EV dari lebih dekat — bateri LFP 52.5 kWj CATL, torsion beam di belakang, sekitar 385 km?

    Perodua QV-E EV dari lebih dekat — bateri LFP 52.5 kWj CATL, torsion beam di belakang, sekitar 385 km?

    Kini ada satu lagi peluang terbaru untuk kami tinjau dari lebih dekat model EV dari Perodua yang dipamerkan di acara Global Automotive and Technology Expo (GATE) 2025. Ia dalam bentuk yang sama seperti dipertontonkan di Malaysia Autoshow (MAS) 2025 pada Mei lalu.

    Melihat dari dekat, kami dapati bahawa EV berkenaan menggunakan bateri lithium-ion dengan kapasiti
    52.5 kWj. Perodua sebelum ini memaklumkan yang sasaran jarak bagi penggunaan sebenar EV berkenaan adalah sekitar 400 km-410 km. dengan anggaran kapasiti kadar dalam 50 kWj dan penggunaan kuasa purata sekitar 13 kWj per 100 km, kapasiti tersebut boleh memberikan jarak penggunaan sebenar sekitar 385 km.

    Turut dimaklumkan sebelum ini bateri untuk Perodua EV akan dibekalkan oleh CATL. Bagaimanapun, ini bukanlah platform CATL atau khusus untuk EV. Yang kelihatan oleh model yang dipotong sekerat ini adalah platform kenderaan ICE yang telah diadaptasi untuk aplikasi EV.

    Perodua QV-E EV dari lebih dekat — bateri LFP 52.5 kWj CATL, torsion beam di belakang, sekitar 385 km?

    Turut ditunjukkan ialah pengecas wallbox 7 kW, yang memberi bayangan bahawa versi produksi akan disertakan dengan pengecas dalaman fasa tunggal 7 kW juga. Sebagai perbandingan, Proton eMas 5 yang baru dilancarkan mempunyai jarak sehingga 325 km untuk varian Premium, dengan bateri CATL 40.16 kWj.

    Perodua sebelum ini memaklumkan EV ini disasarkan untuk mempunyai prestasi pecutan 0-100 km/j dalam masa tujuh saat, dan laju maksimum 160 km/j. Ini angka yang lebih besar daripada yang diberikan oleh eMas 5, maka boleh dijangka sistem janaan EV Perodua juga akan lebih berkuasa.

    Pemerhatian selanjutnya juga mendapati bahagian suspensi depan EV Perodua ini nampak sama dengan tetapan untuk Myvi ketika ini, yang menggunakan jenis MacPherson Strut. Untuk bahagian belakang, EV ini menggunakan suspensi jenis torsion beam, juga sama seperti Myvi.

    Perodua QV-E EV dari lebih dekat — bateri LFP 52.5 kWj CATL, torsion beam di belakang, sekitar 385 km?

    Bahagian dalamannya juga nampak sama seperti unit yang ditunjukkan ketika MAS 2025. Boleh dilihat yang stereng menggunakan rekaan baru, dengan pemilih gear dalam bentuk rotari ala model Range Rover.

    Sama seperti penampilan sebelum ini, papan pemuka menampilkan paparan instrumen digital untuk pemandu dan skrin infotainmen terapung yang tidak terlalu besar, yang terletak di atas corong pendingin serta konsol tengah yang tinggi.

    Bahagian atas papan pemuka juga ada padding, menjadikan ini model Perodua yang pertama dengan ciri material soft-touch seperti itu. Di bawah konsol tersedia ruang simpanan kecil, serta soket 12-volt, slot USB-A dan USB-C dan juga slot kad microSD.

    Perodua QV-E EV dari lebih dekat — bateri LFP 52.5 kWj CATL, torsion beam di belakang, sekitar 385 km?

    Di kerusi barisan kedua, ruang kaki terlihat agak sempit; mungkin juga kerana kerusi depan telah dianjakkan ke belakang. Tingkap belakang pula bersaiz agak kecil, yang akan mengurangkan cahaya yang tembus ke bahagian belakang. Tidak ketinggalan, ada corong pendingin di belakang.

    Perodua juga sudah memaklumkan yang EV pertama keluarannya ini akan dilancarkan dengan Battery-as-a-Service (BaaS), menjadikannya EV penumpang pertama yang ditawarkan dengan skim pajakan di Malaysia.

    Ini bertujuan untuk mengurangkan lagi kos kereta berkenaan, dan memastikan pemilik sentiasa ada bateri yang berada dalam keadaan terbaik. Pilihan lain, pemilik boleh juga membeli terus baterinya, dan akan ditawarkan dengan jaminan lapan-tahun, ujar Presiden dan CEO Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad pada Mei.

    Perodua QV-E EV dari lebih dekat — bateri LFP 52.5 kWj CATL, torsion beam di belakang, sekitar 385 km?

    Dari dekat, EV ini kelihatan besar, bahkan lebih besar daripada Myvi, dan menghampiri saiz SUV segmen B seperti X50, tetapi dengan garis bumbung yang rendah.

    Semalam, PMX Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kereta elektrik pertama Perodua ini adalah sebuah agenda nasional yang selari dengan usaha kerajaan untuk memperkukuhkan tatakelola, tanggungjawab sosial serta perlindungan alam sekitar, dan memberi bayangan akan dilancarkan hujung bulan ini.

    Saiznya kelihatan lebih besar daripada Proton eMas 5, dengan jarak perjalanan yang dicadangkan pada awalnya juga lebih jauh. Dengan eMas 5 Premium dijual dengan harga sekitar RM70k, adakah harga sekitar RM80k boleh diterima untuk EV Perodua? Atau perlu lebih murah?

     
     
  • Majlis pecah tanah NPE 2 – 6.4km, dari Plaza Tol Pantai Dalam ke Jalan Istana, MLFF; kos pembinaan RM1.7b

    Majlis pecah tanah NPE 2 – 6.4km, dari Plaza Tol Pantai Dalam ke Jalan Istana,  MLFF; kos pembinaan RM1.7b

    Seperti yang kami pernah laporkan sebelum ini, projek Sambungan Lebuhraya Baru Pantai (NPE 2) telah pun dimuktamadkan untuk dibina dan tempoh konsesinya juga dilanjutkan hingga tahun 2057.

    Pagi tadi telah berlangsungnya majlis pecah tanah bagi projek NPE 2 ini yang disempurnakan oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Alexander Nanta Linggi. Projek NPE 2 ini dibiayai sepenuhnya dan dilaksanakan oleh New Pantai Expressway Sdn Bhd (NPE) dengan kos sebanyak RM1.7 bilion tanpa memerlukan sebarang peruntukan tambahan daripada Kerajaan.

    Projek NPE 2 ini melibatkan jajaran sepanjang 6.4 km di laluan utama (15 km panjang termasuk directional ramps) menghubungkan Plaza Tol Pantai Dalam sedia ada ke Jalan Istana melalui Jalan Syed Putra. Sambungan baharu ini merupakan sebahagian daripada Pelan Induk Trafik Kuala Lumpur 2040, yang menyasarkan penyuraian trafik secara mampan dan hubungan terus antara lebuh raya tanpa melalui pusat bandar. Ia meningkatkan kesalinghubungan antara lebuhraya NPE, BESRAYA dan Laluan Istana-Kiara (LIKE) yang bakal dibina.

    Selain itu, ia juga mengukuhkan sambungan sepanjang koridor Pantai Dalam–Bangsar–Mahameru ke pusat bandar Kuala Lumpur. Setelah siap kelak, NPE 2 dijangka mengalihkan sehingga 40% aliran trafik dari Jalan Bangsar menuju pusat bandar, menjimatkan masa perjalanan sehingga 25 minit bagi pengguna dari Bangsar atau Mid Valley ke Subang Jaya. Kerja-kerja awal pembinaan telah pun bermula, dengan sasaran siap sepenuhnya pada 2029 dan operasi dijangka bermula pada 2030.

    Syarikat konsesi ini juga memaklumkan bahawa NPE 2 turut bakal melaksanakan sistem tol Multi-Lane Fast Flow (MLFF) untuk transaksi lancar. Selain turut menyediakan pemantauan CCTV bersepadu, lampu pintar dengan kawalan berpusat, Lay-by baharu dengan kemudahan surau, tandas dan pengecasan pantas EV serta susur bebas henti.

    Majlis pecah tanah NPE 2 – 6.4km, dari Plaza Tol Pantai Dalam ke Jalan Istana,  MLFF; kos pembinaan RM1.7b

    “Projek ini dijangka merancakkan pertumbuhan ekonomi setempat di kawasan Pantai Dalam, Bangsar dan Lembah Pantai, serta membuka peluang baharu dalam sektor perumahan, komersil dan perkhidmatan.

    “Saya yakin projek NPE 2 akan menjadi satu lagi mercu tanda dalam usaha memperkukuh sistem infrastruktur negara. Kementerian Kerja Raya bersama Lembaga Lebuhraya Malaysia akan terus komited memastikan pembangunan infrastruktur yang berdaya tahan, berimpak rakyat dan berteraskan nilai Madani,” kata Alexander dalam majlis pecah tanah ini.

     
     
  • 20 model terlaris bagi Okt 2025 – Bezza hampiri angka 10k, Saga di tangga kedua; HR-V atasi Corolla Cross

    20 model terlaris bagi Okt 2025 – Bezza hampiri angka 10k, Saga di tangga kedua; HR-V atasi Corolla Cross

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan data pendaftaran kenderaan terkini bagi bulan Oktober 2025, dan bukanlah kejutan apabila Perodua Bezza menjadi model kenderaan paling laris di Malaysia dan sedan kompak itu menghampiri angka jualan cecah 10,000 pada bulan lalu!

    Jumlah keseluruhan jualan bagi Bezza mencecah sebanyak 9,990 unit hanya kurang 10 unit daripada paras 10,000, dan walau pun usianya hampir mencecah sedekad selepas diperkenalkan buat pertama kalinya pada Julai 2016 dengan model facelift terkininya dilancarkan pada Januari 2020, namun jualannya dilihat kian kukuh.

    Bezza sering menjadi bahan sindiran dalam kalangan peminat kereta, terutamanya apabila tiba “musim Saga”, tetapi ramai peminat automotif gagal memahami bahawa pengguna biasa dalam segmen ini lebih mementingkan kecekapan bahan api dan kebolehpercayaan (sebagai makluman, ADAS telah tersedia sejak 2020). Dan apabila tiba masa untuk menjual semula, nilai jualan semula juga menarik. Nilai ini, yang sering disindir oleh segelintir kecil peminat kereta, sebenarnya mencerminkan permintaan pasaran yang tinggi terhadap kereta terpakai jenama Perodua yang disokong oleh sebab-sebab yang sama seperti dinyatakan ini.

    20 model terlaris bagi Okt 2025 – Bezza hampiri angka 10k, Saga di tangga kedua; HR-V atasi Corolla Cross

    Klik untuk besarkan

    Prestasi Proton Saga juga masih cemerlang. Pada September, pesaing bagi Bezza ini berjaya memecahkan dominasi podium Perodua dengan menduduki tempat kedua dalam carta jualan, dan ia mengekalkan kedudukan tersebut pada bulan Oktober dengan 7,825 unit terjual.

    Perlu diingat bahawa ini adalah model Saga semasa, yang akan digantikan tidak lama lagi dengan versi MC3 2026. Model yang telah dipertingkat itu akan hadir dengan enjin 1.5L baharu, reka bentuk dalaman yang lebih mewah (untuk segmen ini), serta sistem ADAS. Namun, pelancarannya yang lewat dalam tahun ini menjadikannya sukar untuk mencabar kedudukan Bezza bagi tahun 2025 — tetapi persaingan dijangka menarik pada tahun depan.

    Selepas Saga, senarai diteruskan dengan keseluruhan barisan model Perodua kecuali Aruz (di tempat ke-11). Dari tempat ketiga hingga keenam ialah Axia, Myvi, Alza dan Ativa. Model bukan nasional yang berada di kedudukan tertinggi ialah Toyota Vios di tempat ketujuh (2,793 unit), mengatasi Honda City (termasuk versi sedan dan hatchback) di tempat ke-10 dengan 2,508 unit. Bercakap tentang sedan segmen-B, Proton S70 yang menawarkan lebih banyak ciri tetapi dijual pada harga setanding dengan Vios dan City — berada di tempat ke-14 dengan hanya 1,402 unit.

    20 model terlaris bagi Okt 2025 – Bezza hampiri angka 10k, Saga di tangga kedua; HR-V atasi Corolla Cross

    Klik untuk besarkan

    Proton meletakkan harapan tinggi terhadap S70, yang dijangka akan mengambil alih kedudukan X50 sebagai model kedua paling laris jenama itu selepas Saga. Namun, perkara itu tidak menjadi kenyataan – jualan bulanan S70 hanya melepasi paras 2,000 unit sekali sahaja tahun ini, dan X50 (yang kini telah menerima kemas kini) berada di kedudukan lebih atas pada bulan Oktober dengan 2,693 unit, di tempat kelapan secara keseluruhan, serta mendahului dalam jumlah jualan tahunan setakat ini (YTD).

    Di bahagian bawah carta, dua SUV utama Honda mengatasi pesaing masing-masing bagi bulan lalu. HR-V (1,539 unit, tempat ke-13) mengatasi Toyota Corolla Cross (1,323 unit, tempat ke-15), manakala CR-V (949 unit, tempat ke-19) mendahului Jaecoo J7 (806 unit, tempat ke-20). Dalam carta jualan tahunan setakat ini, HR-V masih di hadapan Corolla Cross, tetapi CR-V berada di belakang J7. Proton eMas 7, yang membuat kemunculan pertama dalam kelompok 20 teratas pada bulan September, gagal mengekalkan kedudukannya berdekatan dengan kumpulan kenderaan ICE bulan lalu, walaupun ia merupakan kenderaan elektrik (EV) paling laris di Malaysia.

    Melihat kepada carta jualan tahunan setakat ini, kedudukan di tangga pertama dan kedua yang dimonopoli Bezza dan Axia hampir pasti, namun Myvi kini mengekalkan tempat ketiganya dengan margin yang sangat tipis. Saga hanya kurang daripada 2,000 unit di belakang dan sedang mengintai peluang podium — adakah model baharu mampu memecut ke tempat ketiga dalam masa sebulan lagi? Tapi bergantung pada tarikh pelancaran dan kebolehupayaan Proton ‘memecut’ bagi melonjakkan kapasiti pengeluarannya.

     
     
  • Syarikat bas ekspres tidak dipaksa beroperasi hanya di TBS/TBG, tapi keselamatan perlu diutamakan – Loke

    Syarikat bas ekspres tidak dipaksa beroperasi hanya di TBS/TBG, tapi keselamatan perlu diutamakan – Loke

    Menteri Pengangkutan (MOT) Anthony Loke berkata kerajaan tidak memaksa pengendali bas ekspres untuk beroperasi hanya dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS) atau Terminal Bersepadu Gombak (TBG), laporan The Star. Kenyataan ini dibuat susulan penggantungan sementara perkhidmatan Aeroline oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) berhubung penggunaan lokasi perkhidmatan semasanya.

    “Tidak benar bahawa kami memaksa mereka ke TBS. Mereka cuba mewujudkan persepsi bahawa kami memaksa Aeroline dan semua pengendali lain untuk hanya menggunakan TBS dan TBG, [tetapi] kami tidak memaksa sesiapa pun untuk pergi ke TBS atau TBG. Namun, mereka mesti beroperasi dari kawasan yang selamat, kawasan yang berlesen, seperti terminal, dan kami akan memudahkan proses untuk menjadi terminal,” kata Loke.

    Jelasnya, MOT sedang berhubung dengan pihak pengurusan pusat beli-belah dan pemilik bangunan untuk membantu mereka mendapatkan lesen terminal, kerana tanggungjawab itu tidak terletak pada pengendali bas.

    “Pihak pusat beli-belah mesti melakukannya. Mereka mesti memohon lesen, tetapi kami sedang berusaha membantu mereka melesenkan terminal tersebut. Kami melakukan segala yang mungkin untuk memudahkan proses ini,” tambahnya.

    Syarikat bas ekspres tidak dipaksa beroperasi hanya di TBS/TBG, tapi keselamatan perlu diutamakan – Loke

    Terminal Bersepadu Gombak (TBG)

    Loke telah bertemu dengan pengendali bas ekspres Aeroline susulan aduan orang awam berkenaan gangguan terhadap operasi syarikat bas ekspres tersebut, dan beliau berkata bahawa MOT terbuka untuk memudahkan penyediaan lokasi operasi bas yang sah dan selamat. Kementerian juga telah mengarahkan APAD untuk mempermudah syarat bagi terminal yang terletak di lokasi yang sesuai.

    “Sebagai contoh, hentian utama Aeroline ialah di Hotel Corus yang terletak di tengah-tengah Kuala Lumpur dan betul-betul di tepi jalan. Saya beritahu mereka secara terus terang bahawa beroperasi di tepi jalan tidak dibenarkan. Namun, kami bersedia untuk membantu operasi di kawasan seperti pusat beli-belah, contohnya One Utama, yang mempunyai kemudahan yang sesuai,” kata Loke.

    “Sebelum ini, mereka tidak dapat kelulusan perancangan daripada pihak berkuasa tempatan, tetapi saya telah mengarahkan APAD untuk melonggarkan syarat tersebut. Selagi tiada bantahan daripada pihak berkuasa tempatan, kami akan melesenkan terminal di One Utama. Saya sudah mengarahkan APAD untuk membantu memudahkan dan melesenkan One Utama sebagai terminal bas. Setelah ia dilesenkan, tidak akan ada masalah lagi. Aeroline boleh terus beroperasi dari One Utama,” tambahnya.

    Syarikat bas ekspres tidak dipaksa beroperasi hanya di TBS/TBG, tapi keselamatan perlu diutamakan – Loke

    Loke turut berkata bahawa beberapa lokasi berpotensi lain telah dikenal pasti oleh kementeriannya, termasuk LaLaport di Kuala Lumpur dan IOI City Mall di Putrajaya. Matlamat MOT adalah untuk mewujudkan terminal bas yang lebih selamat dan berlesen di kawasan bandar, dan bukannya mengehadkan pengendali kepada satu atau dua kemudahan sahaja, katanya.

    Walaupun definisi terminal bas sebelum ini sangat ketat, kementerian akan menilai semula dan mempermudah kriteria tersebut agar lebih banyak lokasi layak dijadikan terminal.

    “Ramai yang berkata hari ini bahawa keadaan tidak begitu mudah. Tetapi sebaik sahaja berlaku kemalangan di hadapan pusat beli-belah, kami akan dipersalahkan. Pandangan awam akan beralih menyalahkan MOT kerana membenarkan bas mengambil atau menurunkan penumpang di tepi jalan utama. Jadi sekali lagi, saya berharap orang ramai dapat melihat isu ini dari pelbagai sudut,” kata Loke.

     
     
  • Puspakom turut beroperasi setiap sabtu untuk Nov ini

    Puspakom turut beroperasi setiap sabtu untuk Nov ini

    Bagi memudahkan urusan orang ramai yang memerlukan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan, Puspakom melanjutkan operasinya pada setiap Sabtu berturut-turut sepanjang bulan ini.

    Lanjutan operasi tersebut dijadualkan untuk 15,22 dan 29 November 2025, yang melibatkan cawangan terpilih di seluruh negara, yang dibuka dari jam 8 pagi hingga 5 petang. Semua pelanggan perlu membuat tempahan temujanji secara dalam talian iaitu menerusi MyPuspakom sebelum pergi ke cawangan yang dipilih. Tiada kunjungan secara walk-in dibenarkan.

    Di bawah ini adalah cawangan yang terlibat dengan waktu lanjutan operasi pada Sabtu:

    Lembah Klang

    • Wangsa Maju
    • Taman Bukit Maluri
    • Cheras
    • Glenmarie
    • Banting
    • Sungai Besar
    • Bangi
    • Batu Caves
    • Pandan Mewah
    • Shah Alam
    • Padang Jawa

    Utara

    • Sungai Petani
    • Alor Setar
    • Teluk Kumbar
    • Mak Mandin
    • Taiping (tidak beroperasi pada 22 Nov)
    • Gopeng (tidak beroperasi pada 22 Nov)

    Selatan

    • Alor Gajah
    • Seremban
    • Johor Bahru
    • Pasir Gudang
    • Senai
    • Kluang

    Pantai Timur

    • Kota Bharu
    • Kuantan (tidak beroperasi pada 29 Nov)

    Malaysia Timur

    • Kota Kinabalu (tidak beroperasi pada 29 Nov)
    • Kota Samarahan

    Walau bagaimana pun, dimaklumkan bahawa kebarangkalian cawangan tidak akan dibuka jika mereka terlibat dalam program khas atau jika tarikh tersebut jatuh pada hari kelepasan negeri atau am.

     
     
  • Proton eMas 5 capai 10,000 tempahan, eMas 7 EV no.1 di Malaysia, terjual 7,413 unit sehingga 31 Okt 2025

    Proton eMas 5 capai 10,000 tempahan, eMas 7 EV no.1 di Malaysia, terjual 7,413 unit sehingga 31 Okt 2025

    Pro-Net mengumumkan bahawa EV paling murah di Malaysia iaitu Proton eMas 5 yang baru dilancarkan akhir bulan lalu kini telah ditempah sebanyak 10,000 unit, manakala untuk eMas 7 ia kekal sebagai EV paling laris pada pasaran tempatan selama 10-bulan berturut-turut apabila mencatatkan jualan keseluruhan sebanyak 7,413 unit (6,954 unit di pasaran tempatan dan 459 unit eksport) setakat 31 Oktober 2025.

    “Kami benar-benar menghargai sokongan padu yang terus diberikan oleh rakyat Malaysia terhadap Proton eMas 7 dan kini Proton eMas 5,” kata CEO Pro-Net, Zhang Qiang.

    “Setiap tempahan yang diterima melambangkan kepercayaan rakyat terhadap keupayaan kami untuk menawarkan Proton eMas 5 dengan kualiti dan piawaian tertinggi. Sebagai pengeluar automotif nasional, kami akan terus komited untuk memastikan mobiliti elektrik menjadi lebih mudah diakses, boleh dipercayai dan relevan untuk semua,” tambahnya.

    Proton eMas 5 capai 10,000 tempahan, eMas 7 EV no.1 di Malaysia, terjual 7,413 unit sehingga 31 Okt 2025

    Menurut Pro-Net lagi, majoriti tempahan eMas 5 diterima dari pelanggan dari Lembah Klang, diikuti oleh bahagian Selatan dan Utara Semenanjung Malaysia.

    Proton eMas 5 dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM59,800 bagi varian asas Prime, dan RM72,800 untuk varian tertinggi Premium, namun sempena pelancarannya EV ini diberikan diskaun tambahan sebanyak RM3,000 istimewa untuk pelanggan yang membuat tempahan sebelum 31 Disember 2025, menjadikan varian Prime dijual pada harga RM56,800 dan varian Premium pula pada harga RM69,800.

    Proton eMas 5 ini juga merupakan model pertama Proton yang ditawarkan sebagai sebuah model pacuan roda belakang dengan motor elektrik tunggal yang diletakkan pada gandar belakang. Untuk varian Premium, motor elektrik berkenaan menghasilkan kuasa 116 PS (85 kW) dan tork maksima 150 Nm, dipacu oleh bateri LFP keluaran CATL dengan kapasiti 40.16 kWj.

    Proton eMas 5 capai 10,000 tempahan, eMas 7 EV no.1 di Malaysia, terjual 7,413 unit sehingga 31 Okt 2025

    Manakala bagi varian Prime, motor elektrik yang dibekalkan hanya berkuasa 79 PS (58 kW) dan tork maksima 130 Nm, menerima bekalan kuasa dari bateri LFP lebih kecil berkapasiti 30.12 kWj.

    Konfigurasi unit rangkaian kuasa ini membolehkan eMas 5 Premium memecut dari 0-50 km/j dalam masa 3.9 saat sebelum mencapai kelajuan 135 km/j serta jarak perjalanan 325 km (WLTP) dengan satu cas bateri penuh, manakala eMas 5 Prime pula kelajuan maksimanya dihadkan pada 125 km/j dan boleh bergerak sejauh 225 km (WLTP) dengan satu cas penuh.

     
     
  • Pelancaran EV pertama Perodua adalah agenda nasional, tarikh akan diumum dalam 1-2 hari – PMX

    Pelancaran EV pertama Perodua adalah agenda nasional, tarikh akan diumum dalam 1-2 hari – PMX

    Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa pelancaran model EV pertama Perodua akan dijadikan sebagai satu agenda nasional penting kerana ia selaras dengan usaha kerajaan memperkukuh tadbir urus, tanggungjawab sosial dan perlindungan alam sekitar.

    “Saya akan beri arahan kepada Jemaah Menteri bahawa peluncuran Perodua EV baharu kali ini dijadikan sebagai satu agenda nasional yang besar.

    “Ia bukan sekadar peluncuran produk, tetapi menggabungkan soal governance, social responsibility dan environmental protection (tadbir urus, tanggungjawab sosial dan perlindungan alam sekitar),” katanya ketika Sesi Lawatan Ramah Mesra bersama Warga Kerja Perodua di Perodua Sungai Choh yang dilaporkan oleh Astro Awani.

    Malah beliau mendedahkan bahawa tarikh rasmi pelancaran model EV berkenaan akan ditetapkan dalam masa satu hingga dua hari lagi, dengan cadangan diadakan pada penghujung bulan ini. Tambahnya lagi pelancaran EV Perodua tersebut akan memberi manfaat besar kepada rakyat dan negara, selain memenuhi konsep Malaysia Madani yang menjadi teras pentadbiran beliau.

    Pelancaran EV pertama Perodua adalah agenda nasional, tarikh akan diumum dalam 1-2 hari – PMX

    “Saya sangat terkesan kerana peluncuran ini membawa faedah kepada rakyat dan negara, dan pada masa sama ia memenuhi konsep Madani.

    “Dalam masa singkat, mungkin dua minggu lebih, saya akan hadir semula untuk menjadikan peluncuran Perodua kali ini sebagai program nasional penting. Saya beri jaminan untuk sekarang,” katanya lagi.

    Dalam acara yang sama Anwar turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan projek EV nasional tersebut, yang disifatkan sebagai langkah ke hadapan dalam transformasi industri automotif negara.

    Model EV pertama Perodua ini disahkan bakal diberi nama sebagai Perodua QV-E. Sebahagian reka bentuk dan teknologi yang akan digunakan telah pun didedahkan menerusi prototaip Perodua eMO pada Mei lalu. Prototaip ujian model berkenaan juga telah dilihat kerap menjalani ujian di atas jalan raya awam, dan mengikut perancangan Perodua, pelancaran rasminya akan dibuat pada bulan Disember ini.

     
     
  • BYD Shark 6 akan dipertonton di Malaysia — trak pikap PHEV di acara BYD Tech Discovery 2025

    BYD Shark 6 akan dipertonton di Malaysia — trak pikap PHEV di acara BYD Tech Discovery 2025

    Dalam acara BYD Tech Discovery 2025 yang bakal berlangsung di Plaza Arkadia minggu ini, boleh dijangkakan ada model baru BYD yang akan dipertontonkan. Ini susulan daripada imej bayangan yang dimuat naik oleh BYD Sime Motors yang memperlihatkan sebuah trak pikap.

    Ini tidak lain ialah model BYD Shark 6, yang pertama kali dipertontonkan di rantau ini ketika Bangkok Motor Show tahun ini. Model yang bakal ditunjuk ini tentunya dalam versi plug-in hybrid memandangkan ini satu-satunya versi yang ada ketika ini. Trak pikap ini masih dikecualikan daripada cukai di Malaysia, jadi mungkin versi CBU akan diperkenalkan dahulu sebelum model CKD-nya nanti.

    BYD Shark 6 mempunyai ukuran 5,457 mm panjang, 1,917 mm lebar, 1,925 mm tinggi dengan jarak roda 3,260 mm — saiz yang hampir sama dengan Ford Ranger, dengan Shark 6 lebih tinggi.

    BYD Shark 6 akan dipertonton di Malaysia — trak pikap PHEV di acara BYD Tech Discovery 2025

    Sistem PHEV yang digunakan dikenali sebagai Dual Mode Off-road (DMO) Super Hybrid, sama dengan yang digunakan oleh Bao Leopard 5. Ia menampilkan enjin 1.5 liter turbocas empat-silinder sebaris yang menjana sebanyak 184 PS (181 hp atau 135 kW) dan 260 Nm tork.

    Fungsi utamanya adalah sebagai generator bagi bateri BYD Blade lithium iron phosphate (LFP) 29.58-kWh yang menyokong pengecasan AC hingga 7 kW. Untuk pengecasan pantas DC pula ia boleh mencapai 55 kW, dan mengecas 30%-80% SoC dalam masa 25 minit. Fungsi vehicle-to-load (V2L) boleh menyediakan kuasa hingga 6 kW.

    BYD Shark 6 akan dipertonton di Malaysia — trak pikap PHEV di acara BYD Tech Discovery 2025

    Bateri berkenaan menyalurkan kuasa kepada dua motor elektrik. Motor bahagian depan menjana sebanyak 231 PS (228 hp atau 170 kW) dan 310 Nm. Unit di belakang pula menyediakan 204 PS (201 hp atau 150 kW) dan 340 Nm, menjadikan output keseluruhannya 436 PS (430 hp atau 321 kW) dan 650 Nm.

    Ini angka yang lebih besar berbanding yang dijana oleh Ford Ranger Raptor V6, dan membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.7 saat. Spesifikasi untuk pasaran Malaysia juga tidak akan lari jauh daripada apa yang ditawarkan di Thailand.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.67 (0.00)
EURO 5 B7 RM4.87 (0.00)
Last Updated Jun 11, 2026