Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Proton eMas 7 PHEV dilihat sudah mula diuji – enjin 1.5L NA 4-silinder dan motor elektrik; dilancar 2026?

    Proton eMas 7 PHEV dilihat sudah mula diuji – enjin 1.5L NA 4-silinder dan motor elektrik; dilancar 2026?

    Proton tak rilek gais. Momentum pengenalan model-model baharu Proton untuk tahun ini mungkin akan berakhir tidak lama lagi selepas Saga MC3 2026 dilancarkan, di mana jenama automotif berpangkalan di Tanjong Malim berkenaan sebelum ini sibuk dengan pelancaran dua lagi model baharu iaitu X50 facelift pada Julai, diikuti EV paling murah di Malaysia buat masa sekarang iaitu Proton eMas 5 pada Oktober.

    Dan sekarang Proton nampaknya dah pun memulakan momentum untuk 2026 lebih awal di mana unit prototaip bagi versi plug-in hybrid (PHEV) Proton eMas 7 sudahpun kelihatan diuji di atas jalan raya awam! Terima kasih kepada pembaca paultan.org iaitu Naiim yang berkongsi set gambar intipan pertama kami terima untuk eMas 7 PHEV ini.

    Proton eMas 7 PHEV berkenaan diasaskan dari Geely Starship 7, yang merupakan versi PHEV bagi Geely Galaxy E5/EX5. Pada sebelah luar, Starship 7 ini tampil dengan beberapa perincian berbeza berbanding EX5 termasuk lampu dan juga bampar hadapan. Selain itu versi hibrid enjin pembakaran dalaman dan teknologi elektrifikasi ini juga menampilkan pembuka pintu konvensional (tenggelam pada EX5/eMas 7) dan juga perumah nombor pendaftaran belakang yang dialih dari bampar ke pintu tailgate – kedua-dua ciri inilah yang mengesahkan bahawa unit prototaip ujian ini adalah eMas 7 PHEV.

    Sekali tengok bentuk badan versi PHEV ini sama sahaja dengan EV EX5/eMas 7, namun sebenarnya ia hadir dengan saiz sedikit lebih besar. Untuk Starship 7, ukuran badannya menampilkan dimensi panjang keseluruhan 4,740 mm, lebar 1,905 mm, tinggi 1,685 mm dan juga jarak roda sejauh 2,755 mm. Jadi berbanding EX5/eMas 7, saiz untuk Starship 7/eMas 7 PHEV ini sebenarnya sedikit berbeza kerana ia 125 mm lebih panjang, 4 mm lebih lebar, 15 mm lebih tinggi dan jarak rodanya juga adalah 5 mm lebih jauh.

    Model ini juga akan menyaksikan Proton akan sekali lagi menggunakan khidmat enjin BHE15 1.5 liter empat-silinder yang dikenali sebagai i-GT, yang kini sudahpun berada dalam perut X50 facelift dan Saga MC3. Ini kerana untuk Starship 7, ia tampil dengan unit rangkaian kuasa yang dikenali sebagai EM-i, menggandingkan enjin petrol empat silinder 1.5 liter NA yang didakwa mencapai kecekapan haba 46.6% dan dipadankan bersama transmisi hibrid khas (E-DHT).

    Bagi eMas 7 PHEV, ia mungkin menerima unit rangkaian kuasa EM-i berkenaan dalam versi eksport yang telahpun dilancarkan di Australia (dikenali sebagai EX5 EM-i), di mana enjin 1.5 liter BHE15PFI yang dipadankan menghasilkan kuasa 99 PS dan tork 125 Nm, manakala dua motor elektrik dalam E-DHT pula membekalkan kuasa keseluruhan 218 PS dan tork 320 Nm. Ini membolehkan SUV ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa 8 saat serta mencapai kelajuan maksima 170 km/j.

    Model pasaran Australia itu juga dibekalkan dengan bateri LFP berkapasiti 18.kWj. Ini memberikan jarak gerak elektrik penuh tanpa enjin dihidupkan sejauh 84 km, dan dengan satu tangki petrol penuh bersama satu cas penuh bateri membolehkan ia bergerak sejauh 943 km – kedua-dua angka ini dikira berdasarkan kitaran WLTP.

    Sebagai model PHEV, bateri pada Galaxy Starship 7 turut boleh dicas semula seperti EV sebenar dan mampu menerima pengecas AC 6 kW dan pengecas pantas DC sehingga 30 kW. Malah fungsi vehicle-to-load (V2L) juga boleh digunakan untuk mengoperasikan peralatan elektrik lain sama seperti EV sebenar.

    Proton sebenarnya sudahpun memfailkan nama eMas 7 PHEV ini di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) pada September 2024. Malah kilang EV baharu Proton di Tanjong Malim yang telah mula beroperasi sejak September lalu juga sememangnya direka membolehkan ia memasang model dengan unit rangkaian kuasa PHEV ini. Jadi mungkin Proton eMas 7 ini boleh dilancarkan oleh Proton tahun depan?

    GALERI: Geely EX5 EM-i 2025 pasaran Australia

    GALERI: Geely Starray EM-i versi pemanduan sebelah kanan di GIIAS 2025

    GALERI: Geely Galaxy Starship 7 versi pemanduan sebelah kiri pasaran China di Auto Shanghai 2025

     
     
  • BYD Atto 3 facelift 2026 terima bateri LFP 74.88 kWj, jarak 650 km CLTC — 313 PS, pengecasan DC 150 kW

    BYD Atto 3 facelift 2026 terima bateri LFP 74.88 kWj, jarak 650 km CLTC — 313 PS, pengecasan DC 150 kW

    Selepas menerima versi facelift di China awal tahun ini, BYD Atto 3 kini bakal diberi peningkatan mekanikal yang penting. Sebelum ini, ada laporan yang menyebut yang SUV elektrik berkenaan akan menerima peningkatan prestasi dengan memanfaatkan motor dari Seal Premium, yang menghasilkan 313 PS (230 kW) dan 360 Nm yang memacu roda depan.

    Laporan itu juga memberi bayangan sebuah bateri baru, dan kini dalam satu fail dari Kementerian Industri dan Teknologi Maklumat (MIIT) China mendedahkam kereta tersebut akan dilengkapi dengan bateri lithium iron phosphate (LFP) 74.88 kWj yang lebih berkuasa, menurut Autohome. Atto 3 sebelum ini mempunyai kapasiti maksimum 60.48 kWj – ini melibatkan peningkatan sebanyak 24%.

    Ini akan memberi kesan kepada jarak perjalanan yang boleh dicapai, yang meningkat dari 510 km bagi model long range kepada 650 km. Ini mengikut kitaran CLTC; untuk WLTP ia sekitar 530 km (model semasa sekitar 430 km).

    Perubahan ini bersekali dengan penggunaan binaan elektrikal 800-volt yang bakal menyaksikan kapasiti pengecasan meningkat dari 88 kW kepada 150 kW — sama seperti Seal. Port pengecasannya juga akan dipindahkan ke bahagian fender belakang dari bahagian depan.

    Selain daripada itu, rupa luaran semuanya kekal sama seperti kandungan dalam fail MIIT yang bocor sebelum ini. Ini termasuklah bampar depan dan belakang yang lebih sporty, rekaan rim baru dan juga jalur krom tiang D dan juga tingkap kecil. Di dalam, papan pemuka dan panel pintu lebih lembut dan ringkas. Paparan instrumen digital 8.8-inci juga akan dikekalkan.

    Dengan angka janaan dan prestasi terbaru ini, Atto 3 akan lebih bersedia untuk berhadapan dengan pesaing lain seperti model-model keluaran Geely/Proton, MG, Leapmotor dan GWM. Ini juga telah menyebabkan BYD ikut serta perang harga yang berlangsung di China dan pasaran luar.

     
     
  • Stesen Butterworth dinaiktaraf – kos RM30j, Penang Sentral jadi hab pengangkutan di Seberang Perai

    Stesen Butterworth dinaiktaraf – kos RM30j, Penang Sentral jadi hab pengangkutan di Seberang Perai

    Stesen Butterworth, yang dikendalikan oleh Keretapi Tanah Melayu (KTM), bakal dinaiktaraf dengan kos bernilai RM30 juta sebagai usaha untuk menjadikan Penang Sentral sebagai hab pengangkutan utama di Seberang Perai, laporan Bernama.

    Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, projek ini merupakan sebahagian daripada Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK12) di bawah Rolling Plan Kelima (RP5). Tambahnya, Kementerian Pengangkutan telah menjalankan penilaian dan akan melantik kontraktor pada bulan hadapan sebelum memulakan kerja pembinaan tidak lama selepas itu.

    Stesen itu akan mengintegrasikan perkhidmatan KTM, ETS dan Komuter dengan feri Pulau Pinang, serta LRT Laluan Mutiara yang akan datang dan kesemuanya dihimpunkan di Penang Sentral. “Ketiga-tiga mod pengangkutan ini akan diintegrasikan, menjadikan Penang Sentral sebagai hab pengangkutan awam di Seberang Perai.

    “Inilah konsep terminal pengangkutan awam bersepadu yang menghubungkan pelbagai mod di satu tempat. Jadi, pembangunan bukan hanya tertumpu di pulau… terdapat pembangunan seimbang antara pulau dan Seberang Perai. Ini pasti akan menjadikannya kawasan tumpuan, dan kami yakin ia boleh menjadi nadi pembangunan bagi kawasan sekitarnya,” kata Loke.

     
     
  • Oliver Solberg sah diberi tempat untuk pandu jentera Rally1 pasukan Toyota bagi musim penuh WRC 2026

    Oliver Solberg sah diberi tempat untuk pandu jentera Rally1 pasukan Toyota bagi musim penuh WRC 2026

    2025 FIA World Rally Championship / Round 08 / Rally Estonia / 17-20 July 2025 // Worldwide Copyright: TGR WRT / McKlein

    Juara kelas WRC2 Kejohanan Rali Dunia (WRC) 2025, Oliver Solberg telahpun mengesahkan tempatnya untuk naik ke kategori tertinggi perlumbaan berkenaan selepas diberi peluang oleh Pasukan Rali Dunia Toyota Gazoo Racing (TGR-WRT), memandu jentera GR Yaris Rally1 bagi musim penuh WRC 2026.

    Oliver yang juga merupakan anak kepada bekas juara dunia WRC 2003 iaitu Petter Solberg diberikan peluang berkenaan setelah beraksi cemerlang pada musim ini, bukan sahaja menunjukkan kemampuannya bergelar juara WRC2 dengan memandu GR Yaris Rally2 pasukan Printsport, malah memenangi Rally Estonia 2025 menerusi kemunculan sulungnya bersama jentera GR Yaris Rally1, seterusnya menghadiahkan kemenangan ke-100 Toyota dalam WRC.

    “Tahun ini merupakan tahun yang menakjubkan buat saya sebagai sebahagian dari keluarga Toyota Gazoo Racing. Kami capai sasaran utama untuk menang kejohanan WRC2 bersama dan mengharungi musim yang laju dan konsisten dengan GR Yaris Rally2. Selepas itu kami dapat peluang untuk berlumba di Estonia dengan kereta Rally1, yang merupakan minggu yang hebat.

    “Sekarang saya dapat peluang ini untuk kembali ke tahap tertinggi WRC, jadi banyak impian telah menjadi kenyataan buat saya tahun ini dan saya sangat bersyukur untuk menjadi sebahagian dari pasukan yang hebat. Kami perlu menjadi realistik kerana kami masih perlu banyak belajar dengan jentera Rally1, tetapi kami akan berseronok dan buat sehabis baik yang kami mampu,” kata Solberg.

    Oliver Solberg sah diberi tempat untuk pandu jentera Rally1 pasukan Toyota bagi musim penuh WRC 2026

    Untuk musim depan Oliver Solberg yang kini berumur 24 tahun masih lagi akan berpasangan dengan juru arahnya iaitu Elliott Edmondson. Pasangan ini akan menyertai barisan pemandu-pemandu sedia ada skuad TGR-WRT iaitu Elfyn Evans, Takamoto Katsuta dan juga Sami Pajari.

    Juara dunia lapan-kali Sebastien Ogier masih akan memandu secara sambilan untuk TGR-WRT bagi menyertai pusingan-pusingan tertentu dalam musim WRC 2026, manakala juara dunia dua kali Kalle Rovanpera telahpun mengumumkan persaraannya dalam WRC apabila berakhir musim ini bagi menyertai perlumbaan single seater Super Formula di Jepun bermula tahun depan.

    Toyota telah pun sah dinobat sebagai juara dunia bagi kategori pengeluar buat kali ke-9 selepas habis Central European Rally 2025 pada bulan lalu, walaupun perlumbaan musim ini masih berbaki dua pusingan. Manakala perebutan gelaran juara dunia untuk kategori pemandu masih lagi terbuka untuk tiga pelumba Toyota iaitu Elfyn Evans, Sebastien Ogier dan juga Kalle Rovanpera dengan berbaki satu lagi rali iaitu Rally Saudi Arabia yang akan berlangsung pada hujung bulan ini.

     
     
  • Jalan Masjid India kembali dibuka, kerja pembaikan jalan akibat mendapan selesai – DBKL

    Jalan Masjid India kembali dibuka, kerja pembaikan jalan akibat mendapan selesai – DBKL

    Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengumumkan bahawa sebahagian Jalan Masjid India yang ditutup sejak pagi semalam telah pun dibuka semula. Semalam, satu kejadian mendapan jalan telah berlaku kira-kira jam 8.30 pagi di Jalan Bonus, berhadapan premis Bombay Jewellery, hingga membabitkan laluan dari Lorong Masjid India 4 di sebelah masjid ditutup.

    Siasatan mendapati mendapan berlaku secara setempat yang menandakan terdapat gangguan pada kestabilan struktur turapan di kawasan berkenaan, kata DBKL, menurut laporan Bernama.

    Kerja pembaikan jalan yang terjejas terus dilaksanakan dan selesai pada 6 petang semalam. Walau bagaimana pun, DBKL akan meneruskan pemantauan rapi serta melaksanakan pemeriksaan dan pengimbasan lanjut di lokasi dan kawasan sekitar.

    Tambahnya lagi, keselamatan orang awam menjadi keutamaan, dan merakamkan penghargaan kepada semua pihak atas kerjasama serta pematuhan arahan keselamatan sepanjang kerja pemulihan dijalankan.

    Ini bukan insiden pertama berlaku di kawasan berkenaan. Pada 24 Ogos tahun lalu, seorang wanita warga India terjatuh ke lubang sedalam lapan meter berikutan tanah mendap di laluan pejalan kaki di Jalan Masjid India dan sehingga kini jasadnya belum dijumpai.

     
     
  • Leapmotor Ipoh dilancarkan – pusat 3S berkeluasan 8,400 kaki persegi, tawar bantuan tepi jalan 24/7

    Leapmotor Ipoh dilancarkan – pusat 3S berkeluasan 8,400 kaki persegi, tawar bantuan tepi jalan 24/7

    Leapmotor telah memperluaskan rangkaian pengedarnya di Malaysia termasuk di Ipoh, Perak, lokasi terbaharu bagi bilik pameran yang dikendalikan oleh CST Auto.

    Berkeluasan 8,400 kaki persegi, ia turut menempatkan fasiliti perkhidmatan selepas jualan khas untuk pelanggan Leapmotor, selain bilik pamerannya yang mampu mempamerkan enam kenderaan dalam satu masa, dua petak penyelenggaraan, dan ruang berehat untuk pelanggan.

    Leapmotor Ipoh ini merupakan pusat 3S (jualan, servis dan alat ganti), dan ia turut dilengkapi peralatan penyelenggaraan dan penjagaan menyeluruh kenderaan elektrik jenama itu, termasuk peralatan EV khusus yang canggih, sistem diagnostik voltan tinggi, peralatan penyaman bateri, serta perisian proprietary Leapmotor untuk diagnostik, menurut syarikat tersebut.

    “Kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada rakan kongsi seperti CST Auto, yang komitmennya sejajar dengan matlamat strategik kami untuk pengembangan jenama dan pasaran di Malaysia. Leapmotor Ipoh ialah pusat dinamik yang meningkatkan akses, menghubungkan secara langsung dengan pelanggan di Ipoh dan wilayah Utara,” kata Pengarah Urusan Stellantis ASEAN, Isaac Yeo.

    Leapmotor Ipoh turut menawarkan waranti lanjutan dan pakej selenggara untuk pelanggan, di samping bantuan tepi jalan 24/7. Pembukaan pusat 3S baharu ini juga menyasarkan pelanggan Leapmotor sedia ada di bahagian utara Semenanjung Malaysia.

    Pusat 3S ini dibuka setiap hari dari jam 9 pagi hingga 7 malam, dengan unit selepas jualan dibuka dari Isnin hingga Jumaat, jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang dan Sabtu pula dari 8.30 pagi hingga 3.30 petang. Ia ditutup setiap Ahad dan cuti umum.

     
     
  • Proton Saga MC3 2026 – harga anggaran antara RM40,000 hingga RM50,000, tempahan kini dibuka!

    Proton Saga MC3 2026 – harga anggaran antara RM40,000 hingga RM50,000, tempahan kini dibuka!

    Proton malam ini secara rasmi membuka tempahan untuk Proton Saga MC3 2026 yang bakal dilancarkan tidak lama lagi. Harga rasmi untuk Saga ini masih belum diumumkan, namun Proton telahpun memberikan anggaran harga antara RM40,000 hingga RM50,000.

    Saga ditawarkan dalam tiga varian iaitu varian paling asas Saga Standard, diikuti Saga Executive manakala varian paling mahal adalah Saga Premium, di mana harga sebenar bagi ketiga-tiga varian ini hanya akan diumumkan ketika pelancaran rasminya nanti.

    Proton turut memberikan tawaran untuk 20,000 pembeli terawal Saga MC3 2026 ini, di mana mereka perlu membuat tempahan bermula malam ini dan sehingga tarikh pelancaran rasmi nanti, dan sempat menerima dan mendaftar kereta masing-masing sebelum 31 Disember, pembeli bakal menerima servis selepas jualan percuma selama setahun (termasuk kos upah dan alat ganti), serta diberikan kad Touch n Go Saga yang eksklusif.

    Harga yang diumumkan ini nampaknya sedikit tinggi berbanding model sedia ada yang dijual bermula RM38,800 untuk varian Standard AT, manakala varian paling mahal Premium AT dijual pada harga RM44,800. Walau bagaimanapun ia seiring dengan tingkat taraf yang Proton telah berikan bermula dari varian asas.

    Proton Saga MC3 2026 – harga anggaran antara RM40,000 hingga RM50,000, tempahan kini dibuka!

    Proton Saga MC3 dibina berasaskan platform AMA — ia menggunakan platform Saga terdahulu, tetapi diberikan kejuruteraan semula untuk menguatkan semula kerangka Saga ini dengan menambahbaik beberapa struktur. Antaranya Proton telah menerapkan logam dengan teknologi Hot Press Forming (HPF) pada tiang-B dan juga bahagian cross member pada lantai yang memegang cagak tempat duduk.

    Tiada lagi enjin Campro 1.3L pada Saga MC3 ini dan ia digantikan dengan enjin “i-GT” yang dibangunkan oleh Aurobay. Enjin dengan kod BHE15 berkenaan merupakan enjin dari keluarga yang sama dengan enjin yang kini dipadankan pada X50 facelift.

    Untuk Saga, enjin yang dibekalkan adalah dari varian BHE15PFI, iaitu versi tanpa turbo dan hanya hadir dengan sistem suntikan bahan api di port kemasukan udara (PFI), berbanding varian BHE15TD pada X50 yang disuap pengecas turbo serta datang dengan sistem suntikan bahan api terus (T-GDI); ia mampu menghasilkan kuasa 120 PS dan tork maksima 150 Nm.

    Dua jenis transmisi ditawarkan untuk Saga – bagi varian paling tinggi iaitu Premium ia datang dengan kotak gear CVT, manakala dua varian lebih rendah pula iaitu Executive dan Standard, ia datang dengan kotak gear automatik konvensional empat kelajuan 4AT.

    Padanan unit rangkaian kuasa ini membolehkan Saga MC3 CVT mencapai penggunaan bahan api serendah 4.9L/100 km dan versi 4AT pula mampu mencapai 5.1L/100 km — kedua-duanya dalam kitaran ujian tempatan iaitu MDC.

    Dari aspek luaran, Proton Saga 2026 MC3 diberikan rombakan menyeluruh pada bahagian muka dan belakang. Ini merupakan Saga pertama yang menerima lampu hadapan LED, dan ia terus dengan jenis projektor LED, tetapi hanya ditawarkan untuk varian Premium dan Executive di mana Saga MC3 Standard hanya menerima lampu reflektor halogen.

    Lampu tersebut turut dipadankan sekali dengan jalur LED bina dalam sebagai fungsi lampu nyalaan siang, dan ia seakan bersambung dengan kemasan ‘busur panah’ krom pada gril hadapan Saga ini. Lampu ini juga datang sekali dengan fungsi automatik dan juga lampu Follow-me-home.

    Saga 2026 ini juga menampilkan gril yang jauh lebih besar sehingga merentangi bahagian bawah kedua-dua belah lampu hadapan, mungkin mengambil inspirasi dari rekaan gril Proton X90. Gril tersebut direka dengan motif sulaman songket sama seperti pada X50 facelift.

    Proton Saga MC3 2026 – harga anggaran antara RM40,000 hingga RM50,000, tempahan kini dibuka!

    Manakala di belakang, jelas Saga diberikan lampu belakang yang merentasi lebar keseluruhan sedan ini, dengan lensa jernih dan grafik LED diinspirasikan dari ‘abangnya’ iaitu Proton S70. Penutup but Saga ini juga menerima perubahan dimana di direka lebih ‘lentik’ di belakang seakan spoiler ekor itik. Bampar belakang Saga ini turut dipadankan bersama dengan panel bawah seakan diffuser udara.

    Selain itu Saga baharu ini juga menerima pembuka pintu dengan kemasan krom (sekurang-kurangnya pada varian Premium dan Executive serta cermin sisi dengan bantuan lipat elektrik untuk Premium serta larasan elektrik yang turut diberikan pada Executive.

    Rim aloi 15-inci rekaan baharu turut diberikan pada varian Premium dengan kemasan dua tona, dan kemasan perak pada Executive – kedua-duanya dibalut dengan tayar Atlas AS380 185/55R15. Manakala Saga Standard pula menerima rim aloi 14-inci yang masih sama seperti pada Saga MC2.

    Lima warna badan ditawarkan untuk Saga 2026 ini termasuk dua warna baharu iaitu Deep Marine Blue dan Space Grey, serta tiga lagi warna sedia ada terdiri dari Ruby Red, Armour Silver dan Snow White.

    Proton Saga MC3 2026 – harga anggaran antara RM40,000 hingga RM50,000, tempahan kini dibuka!

    Saga MC3 ini juga menerima rombakan sepenuhnya pada sebelah dalam. Ia diberikan skrin infotainmen yang bersambung terus dengan paparan instrumen digital penuh tanpa sebarang perumah.

    Bagi skrin sesentuh infotainmen, ia hadir dengan paparan saiz sembilan inci dan terus ditawarkan dengan sokongan Android Auto dan juga Apple CarPlay tanpa wayar. Manakala untuk paparan instrumen digital, paparan skrin yang diberikan hanya bersaiz tujuh-inci – kami difahamkan bagi varian Standard, ia masih diberikan skrin paparan instrumen digital tetapi dengan unit pemain audio yang berbeza.

    Liang penghembus udara yang sebelum ini berbentuk petak telah diubah menjadi bujur di mana ia didakwa diinspirasikan dari bentuk permainan tradisional melayu iaitu Congkak. Manakala motif papan pemuka yang beralun diberikan berhadapan penumpang hadapan pula dinamakan sebagai ‘pantai’ dengan inspirasi diambil dari corak ombak laut.

    Pemandu diberikan roda stereng baharu yang lebih kecil, lebih sporty serta menampilkan rekaan rata di bawah, di mana ia sebenarnya berkongsi komponen yang sama dengan model-model lebih mahal seperti X50 dan S70. Varian Premium diberikan balutan kulit sintetik pada roda stereng tersebut, manakala varian Executive dan Standard hanyalah urethane.

    Untuk tempat duduk, ia masih kelihatan sama seperti Saga sebelumnya. Bagi varian Premium ia dibalut dengan upholsteri leatherette dan tempat duduk pemandu boleh dilaras ketinggian secara keseluruhan, sementara perehat kepala untuk tempat duduk belakang kini sudah boleh dilaras.

    Manakala bagi varian Executive dan Standard, ia hanya diberikan upholsteri fabrik, dengan ketinggian tempat duduk pemandu hanya boleh dilaras pada bahagian sokongan peha, dan perehat kepala tempat duduk belakang juga tidak boleh dilaras.

    Rekaan pada panel dalaman pintu juga diberikan perubahan di mana ia turut diberikan bahagian dengan kemasan ‘pantai’, serta bahagian poket yang direka semula. Sekurang-kurangnya varian Premium dan Executive diberikan suis penghidup enjin, sementara varian Standard tidak dapat dipastikan dapat perincian yang sama atau tidak.

    Untuk keselamatan, Saga kini sudahpun datang dengan sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) dengan kebolehan pemanduan autonomi Tahap 1. Sembilan fungsi ADAS diberikan pada Saga ini termasuk Brek Kecemasan Berautonomi (AEB), Amaran Perlanggaran Belakang (RCW), Amaran Pembukaan Pintu (DOW), Amaran Perlanggaran Hadapan (FCW), Amaran Keluar Lorong (LDW), Bantuan Menukar Lorong (LCA), Amaran Trafik Lintasan Belakang (RCTA), Kawalan Lampu Suluhan Tinggi Pintar (IHBC) dan Amaran Kenderaan Hadapan Bergerak (FDA).

    Walau bagaimanapun fungsi ADAS ini hanya diberikan pada varian tertinggi Premium bersama enam-beg udara. Manakala dua lagi varian tidak diberikan sebarang fungsi ADAS dan hanya diberikan dua beg-udara.

    Kami sudahpun berpeluang membelek dan memandu uji model ini di Tanjong Malim beberapa minggu yang lalu – perincian penuh model ini boleh anda baca pada PAUTAN INI, dan ulasan pandu uji ringkas pula boleh anda baca pada PAUTAN INI.

    GALERI: Proton Saga MC3 Premium 2026

    GALERI: Proton Saga MC3 Executive 2026

    GALERI: Gambar rasmi Proton Saga MC3 2026

    GALERI: Slaid pembentangan Proton Saga MC3 2026

     
     
  • Sebahagian laluan di Jalan Masjid India ditutup kerana jalan mendap – pemantauan, kerja teknikal dilaksana

    Dewan Bandaraya Kuala LUmpur (DBKL) memaklumkan sebahagian laluan di Jalan Masjid India ditutup sementara susulan kejadian mendapan jalan yang berlaku pada jam 8.39 pagi tadi. Kejadian ini pastinya menimbulkan kebimbangan di kalangan orang ramai serta pengguna jalan raya di kawasan itu kerana ia bukanlah insiden seumpamanya yang pertama berlaku di situ.

    Bernama melaporkan, DBKL berkata penutupan itu membabitkan laluan dari Lorong Masjid India 4 di sebelah masjid hingga ke kawasan terjejas bagi tujuan keselamatan dan kerja siasatan.

    Katanya, pasukan DBKL, Air Selangor, Indah Water Konsortium (IWK) dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi berada di lokasi untuk menjalankan siasatan. Dalam masa yang sama DBKL juga berkata penutupan itu juga bagi memastikan keutamaan dan keselamatan orang awam terpelihara.

    “Pemantauan dan kerja teknikal akan diteruskan, perkembangan lanjut berkaitan kes ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

     
     
  • Toyota Hilux Travo 2026 didedah – masih guna casis IMV dan kabin Revo; 2.8L Turbodiesel, Hybrid 48V, EV

    Toyota Hilux Travo 2026 didedah – masih guna casis IMV dan kabin Revo; 2.8L Turbodiesel, Hybrid 48V, EV

    Toyota secara rasmi mendedahkan model generasi ke-sembilan bagi trak pikap Hilux yang digelar sebagai Hilux Travo, menggantikan model generasi ke-lapan atau dikenali sebagai Hilux Revo yang telah diproduksi selama 10-tahun. Model generasi baharu ini membuat kemunculan sulung globalnya di Thailand hari ini sempena berlangsungnya Thai Motor Expo 2025, dan ia turut diumumkan serentak untuk pasaran Jepun, Australia dan juga Eropah, diperkenalkan dalam pelbagai varian dan unit rangkaian kuasa, dan buat pertama kali Hliux turut datang dengan pilihan unit rangkaian kuasa elektrik penuh (BEV).

    Walau bagaimanapun, model generasi baharu ini masih lagi diasaskan dari platform casis ladder frame Innovative International Multi-purpose Vehicle (IMV) yang telah digunakan sejak Hilux Vigo, iaitu model generasi ke-tujuh. Malah turut boleh dilihat Hilux Travo ini masih menggunakan kabin serta pintu yang sama seperti Vigo, tetapi menerima rombakan rekaan penuh pada bahagian muka dan juga bahagian bed belakang.

    Bagi membezakan dengan model sebelumnya, Hilux Travo ini menerima tingkat taraf mekanikal yang digelar sebagai Dynamic Cloud, menampilkan penambahan poin-poin cagak badan bagi memberikan badan lebih tegar, rombakan pada suspensi bagi memberikan pengendalian lebih lancar, cagak-cagak enjin hidraulik dan cagak badan jenis ricih bagi mengurangkan gegaran serta syaf stereng lebih besar bagi memberikan ketepatan dan respon lebih baik.

    Toyota turut menawarkan brek cakera untuk gandar belakang dan juga pilihan sistem stereng berkuasa eletrik (EPS), yang mana ia telah pun turut ditawarkan sebagai pilihan pada Hilux Revo dalam varian hibrid ringkas 48-volt. Dengan EPS membolehkan Hilux Travo ini turut menawarkan sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) Toyota Safety Sense 3.0, menampilkan cruise control adapatif dan bantuan kekal tengah lorong, membolehkan ia mencapai kebolehan pemanduan autonomi Tahap 2.

    Toyota Hilux Travo 2026 didedah – masih guna casis IMV dan kabin Revo; 2.8L Turbodiesel, Hybrid 48V, EV

    Model baharu ini turut menerima Multi-Terrain System (MTS) yang juga sudahpun diperkenalkan pada Hilux Revo hibrid ringkas sebelum ini, menampilkan mod pemanduan off-road termasuk Dirt, Sand, Mud, Rock dan Snow yang boleh dipilih menerusi suis putar, di mana setiap mod akan membuat talaan semula terhadap kawalan pendikit dan juga respon kotak gear.

    Lagi untuk pemanduan off-road, Hilux Travo ini juga diberikan skrin pemantau Multi-Terrain Monitor yang memberikan pandangan sekeliling dan bawah lantai menerusi sistem kamera 360-darjah. Sistem pacuan empat roda model baharu ini juga datang standard dengan locking differential pada gandar belakang.

    Bagi pasaran Thailand, semua varian Hilux Travo hanya datang dengan enjin turbodiesel 1GD-FTV 2.8 liter empat-silinder yang menghasilkan kuasa 205 PS bermula 3,000 hingga 3,400 rpm, dan tork maksima 500 Nm bermula 1,600 hingga 2,600 rpm.

    Enjin ini dipadankan sama ada dengan kotak gear manual enam-kelajuan (tork dihadkan hanya pada 420 Nm) dan juga kotak gear automatik enam kelajuan. Manakala bagi model pasaran Australia dan Eropah, ia turut sekali lagi ditawarkan dengan sistem hibrid ringkas 48-Volt yang diberikan unit starter-generator berkuasa 12 PS/56 Nm bagi memberi kuasa tambahan ketika diperlukan.

    Toyota Hilux Travo 2026 didedah – masih guna casis IMV dan kabin Revo; 2.8L Turbodiesel, Hybrid 48V, EV

    Bagi pasaran Eropah dan UK, selain dari varian Hybrid, Hilux Travo turut ditawarkan dalam versi elektrik sepenuhnya (EV), di mana pilihan sama turut ditawarkan di Thailand dikenali sebagai Hilux Travo-e. Model ini digerakkan dengan dua motor elektrik, dimana salah satunya berada pada gandar hadapan berkuasa 112 PS dan tork 205 Nm, dan satu lagi motor memacu gandar belakang dibekalkan dengan 179 PS dan tork maksima 268 Nm. Model ini tidak menggunakan gandar hidup di belakang, sebaliknya diganti dengan tetapan De Dion bagi membolehkan motor elektrik dipadankan.

    Secara keseluruhan Toyota mendakwa Hilux BEV ini bergerak dengan bekalan kuasa 196 PS. Motor-motor ini menerima kuasa dari bateri berkpasiti 59.2 kWj, yang memberikan jarak gerak hanya sejauh 240 km dalam kitaran ujian WLTP. Bateri berkenaan mampu menerima sistem pengecas pantas DC sehingga 125 kWj dan juga pengecas AC 10 kW.

    Bateri tersebut dilindungi oleh bekas Diamond Shield yang memastikan ia tidak rosak ketika trak pikap ini meredah laluan berbatu atau halangan lain, membolehkan Hilux Travo-e ini meredah air dengan kedalaman 700 mm. Toyota juga mendakwa bahawa trak pikap elektrik ini mempunyai kapasiti menunda mencapai 1,600 kg dan kapasiti membawa beban seberat 715 kg.

    Untuk rekaan luaran, Hilux Trevo ini didakwa menerapkan konsep “Cyber Sumo”. Pada bahagian muka trak pikap ini menerima lampu hadapan tirus dan nipis, memerlukan pencahayaan dari LED projektor diberikan standard pada semua varian. Manakala pada varian-varian lebih tinggi, ia turut menampilkan grafik LED berbentuk-L bina dalam untuk lampu nyalaan siang.

    Toyota Hilux Travo 2026 didedah – masih guna casis IMV dan kabin Revo; 2.8L Turbodiesel, Hybrid 48V, EV

    Kedua-dua lampu hadapan bersambung antara satu sama lain menerusi bar berwarna hitam yang turut menempatkan skrip ‘TOYOTA’ pada bahagian tengah. Gril dengan elemen sarang lebah pula terletak di bawahnya, di apit dengan kemasan pengalir udara palsu. Kemasan skid plate berwarna perak diberikan pada bahagian bawah, dan terdapat juga lampu kabus terletak pada kiri dan kanan.

    Hilux Travo ini juga diberikan lampu belakang baharu dengan rekaan terbalik berbanding Revo, dan turut diberikan grafik LED berbentuk-C. Pintu tailgate juga direka semula menampilkan bentuk seakan mempunyai spoiler ducktail. Manakala bampar pula bukan sahaja menampilkan bahagian pemijak pada ruang nombor pendaftaran, malah pemijak pada bahagian sisi juga diberikan seakan rekaan pada Ford Ranger generasi terkini untuk memperbanyakkan akses ke ruang bed belakang.

    Bagi pasaran Thailand, Hilux Travo ini turut diperkenalkan dalam varian tertinggi Overland bagi menggantikan varian Rocco/Rogue sebelum ini. Varian tersebut menerima skid plate hadapan lebih agresif, rim aloi 18-inci kemasan gitam berkilat, pemijak sisi pintu lebih menonjol sports bar terbina sekali dengan lampu LED serta peredam pintu tailgate belakang agar ia boleh dibuka lebih cermat.

    Walaupun masih menggunakan kerangka kabin lama, bahagian dalaman kabin Hilux Travo ini pula diberikan romabakan menyeluruh. Papan pemuka trak pikap ini direka lebih berkotak dan nampak lebih lasak seperti rekaan yang diberikan pada barisan model Land Cruiser Prado 250 dan land Cruiser FJ.

    Skrin sesentuh untuk sistem infotainmen kini diletakkan secara berdiri sendiri berbanding tenggelam dalam papan pemuka sebelum ini, dan ia ditawarkan dengan saiz lapan- atau 12.3-inci. Manakala paparan instrumen digital pula ditawarkan sama ada dalam versi tujuh- atau 12.3-inci.

    Liang penghembus udara tengah kini terletak di bawah skrin dan kelihatan seperti bersepadu dengan panel suis kawalan yang berada pada posisi seperti kekunci piano. Manakala rekaan pemegang cawan yang terletak pada kedua-dua liang udara sisi dan dua glove box masih dikekalkan.

    Suis-suis kawalan untuk MTS pula diletakkan pada konsol tengah lebih bawah. Manakala tombol gear yang kini direka lebih pendek terletak pada satu lagi konsol yang turut menempatkan suis brek parkir elektrik dan juga suis kawalan mod sistem pacuan empat roda.

    Pemandu pula menerima roda stereng yang sememangnya diambil terus dari Prado, manakala tempat duduk direka semula bagi memberikan keselesaan dan ergonomik lebih baik, dibalut dengan pilihan upholsteri sama ada fabrik Caretex atau kulit palsu SofTex.

    Bagi pasaran Thailand Hilux Trevo ini ditawarkan dalam varian 4X4 Single Cab, 4X2 Prerunner Smart Cab, 4X4 4Trex, 4X2 Prerunner Double Cab, 4X4 Double Cab 4Trex dan 4X4 Double Cab Overland. Ia dijual pada harga bermula 767,000 baht (RM98,800) sehingga 1,366,000 baht (RM175,900). Manakala versi EV Travo-e pula dijual pada harga 1,491,000 baht (RM192,000).

    Buat masa sekarang semua varian ini hanya ditawarkan dalam versi High Rider, manakala varian Low Rider dengan tayar lebih kecil dan suspensi lebih rendah masih belum diperkenalkan. Pelanggan yang mahukan Hilux Low Rider masih boleh membeli versi Revo yang masih dijual atau Hilux Champ yang dihasilkan sebagai pilihan lebih mampu milik.

    Hilux generasi ke-sembilan ini akan mula dijual pada pasaran luar Thailand tahun depan, di mana Jepun hanya menerima model ini pada pertengahan 2026. Selain dari versi EV, Hilux turut akan ditawarkan dalam versi sel bahan api hidrogen yang dijangka akan dijual di Eropah dan Oceania, di mana produksinya dijangka akan bermula pada 2028.

    GALERI: Toyota Hilux Travo 2026 pasaran Thailand

    GALERI: Toyota Hilux Rouge dan SR 2026 pasaran Australia

    GALERI: Toyota Hilux 2026 pasaran Jepun

    GALERI: Toyota Hilux Invicible Hybrid 48V 2026 pasaran Eropah

    GALERI: Toyota Hilux EV 2026 pasaran Eropah

     
     
  • Persimpangan Eco Grandeur di LATAR dibuka – akses mudah ke Puncak Alam, Ijok dan Kuala Selangor

    Persimpangan Eco Grandeur di LATAR dibuka – akses mudah ke Puncak Alam, Ijok dan Kuala Selangor

    Persimpangan Bertingkat Eco Grandeur di Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR) kini telah pun dibuka dan pastinya dapat memberikan sedikit kelegaan buat pengguna lebuhraya khususnya di kawasan pembangunan oleh Eco World Sdn. Bhd dan sekitar Puncak Alam, Ijok dan Kuala Selangor.

    Majlis perasmian persimpangan tersebut disempurnakan oleh Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi bersama Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

    Persimpangan Bertingkat Eco Grandeur ini yang terletak di KM7.50 di antara Persimpangan Bertingkat Ijok dan Persimpangan Bertingkat Puncak Alam, Lebuhraya LATAR dilaksanakan oleh Eco World Sdn. Bhd. bagi mewujudkan akses baharu kepada pembangunan bercampur di Eco Business Park V dan Eco Grandeur, Mukim Ijok, Daerah Kuala Selangor.

    Persimpangan Eco Grandeur di LATAR dibuka – akses mudah ke Puncak Alam, Ijok dan Kuala Selangor

    Menurut Alexander, permohonan cadangan sambungan akses ini telah dimohon oleh Eco World dan mendapat kelulusan Kementerian Kerja Raya pada November 2022. Skop pembinaan ini yang diluluskan merangkumi persimpangan bertingkat, plaza tol dan kemudahan hentian sebelah di sebelah plaza tol. Persimpangan Bertingkat Eco Grandeur ini telah siap dibina dengan jajaran sepanjang kira-kira 3 km.

    “Dengan adanya infrastruktur baharu ini, masa perjalanan daripada kawasan sekitar Eco Grandeur ke Kuala Lumpur atau ke Kuala Selangor menjadi lebih pantas, sekaligus menawarkan laluan alternatif yang amat diperlukan untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan perumahan dan komersial sepanjang laluan sedia ada.

    “Persimpangan ini merupakan akses baharu yang menghubungkan Eco Business Park V iaitu Kawasan Perindustrian berkeluasan 769 ekar dan Eco Grandeur yang merupakan Perbandaran Kediaman dan Komersial Berintegrasi seluas 1,400 ekar. Selain itu juga Persimpangan ini juga menghubungkan ke kawasan-kawasan sekitar seperti Puncak Alam, Ijok dan Kuala Selangor,”katanya.

    Persimpangan Eco Grandeur di LATAR dibuka – akses mudah ke Puncak Alam, Ijok dan Kuala Selangor

    Di samping itu, katanya jajaran baharu ini dapat menyuraikan trafik sedia ada yang sesak sekian lama terutamanya di sepanjang Jalan Meru Tambahan (JMT) dan Persiaran Mokthar Dahari.

    “Plaza Tol Eco Grandeur menyediakan 10 lorong (masing-masing lima lorong kedua-dua arah) setelah mengambilkira kapasiti kenderaan yang akan meningkat di mana jajaran baharu ini merupakan laluan alternatif ke Kuala Lumpur dan Kuala Selangor.

    “Saya percaya, selain menyuraikan trafik, pembukaan Persimpangan Bertingkat Eco Grandeur ini juga akan membawa manfaat sosio ekonomi yang besar sejajar pembukaan akses Kuala Lumpur ke Kuala Selangor, yang turut menawarkan aksesibiliti yang lebih meluas kepada pengguna dari Eco Business Park V dan Eco Grandeur kepada lain-lain rangkaian lebuhraya seperti Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE), Lebuhraya Damansara – Shah Alam (DASH) dan jajaran NKVE dan Lebuhraya Utara-Selatan,” katanya lagi.

     
     
  • Mercedes-Benz GLE400e 4Matic bakal dilancar di Malaysia — SUV plug-in hybrid hingga 108 km jarak EV

    Mercedes-Benz GLE400e 4Matic bakal dilancar di Malaysia — SUV plug-in hybrid hingga 108 km jarak EV

    Mercedes-Benz Malaysia (MBM) bakal melancarkan sebuah lagi SUV selain GLC200 4Matic yang ditunjuk dalam iklan teaser minggu lalu. Bakal tiba di sini dalam penawaran sebagai GLE400e 4Matic dengan EQ Hybrid Technology yang merupakan model plug-in hybrid bagi GLE generasi keempat (V167) facelift.

    Varian baru ini akan menjadi tambahan kepada barisan GLE lain yang sedia ada di sini — GLE450 4Matic CKD dan juga Mercedes-AMG GLE63S 4Matic+, dengan model CKD tersebut dijual dengan harga RM544,888 atas jalan betul termasuk insuran.

    GLE400e dilengkapi enjin 2.0 liter turbocas empat-silinder sebaris petrol yang menjana sebanyak 252 PS (248 hp atau 185 kW) dan 400 Nm. Ia dibantu oleh sebuah motor elektrik dengan janaan 136 PS (134 hp atau 100 kW) dan 440 Nm, membolehkan output keseluruhan sebanyak 381 PS (375 hp atau 280 kW) dan 600 Nm. Ini dipadankan pula dengan transmisi automatik sembilan-kelajuan 9G-Tronic dan sistem pacuan semua roda 4Matic.

    Mercedes-Benz GLE400e 4Matic bakal dilancar di Malaysia — SUV plug-in hybrid hingga 108 km jarak EV

    Bateri lithium-ion 31 kWj yang melengkapinya memberikan jarak elektrik 108 km WLTP. Pengecasan AC pula sehingga 11 kW, dan membolehkan SoC bateri dari 10-100% dalam masa 2.5 jam. Ia juga menyokong pengecasan pantas DC sehingga 60 kW, yang membolehkan bateri mencapai SoC 10-80% dalam masa 29 minit.

    Sama seperti GLE450 4Matic yang dijual ketika ini, GLE400e 4Matic akan datang juga dijangka diberi pakej kemasan AMG Line, seperti yang ditunjuk dalam imej teaser-nya.

    Mercedes-Benz GLE450 FL 4Matic AMG-Line 2024 di Malaysia

     
     
  • Honda CB1000GT didedah di EICMA 2025 – sport touring 1,000 cc 148 hp dengan suspensi elektronik

    Honda CB1000GT didedah di EICMA 2025 – sport touring 1,000 cc 148 hp dengan suspensi elektronik

    Honda memperkenalkan model baru CB1000GT, sebuah motosikal sport-touring serba lengkap di pameran EICMA 2025 di Itali. Direka untuk keselesaan perjalanan jarak jauh, CB1000GT hadir dengan pelbagai teknologi moden dan prestasi enjin yang mengagumkan.

    Nadi kepada jentera ini ialah enjin empat silinder sebaris berkapasiti 1,000 cc, yang diambil daripada model CBR1000RR Fireblade keluaran 2017. Enjin ini ditala untuk penyampaian kuasa yang lancar, menghasilkan 147.6 hp pada 11,000 rpm dan 102 Nm tork pada 8,750 rpm. Kuasa disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi enam kelajuan dengan klac assist and slipper, serta quickshifter sebagai ciri standard.

    Dengan tangki bahan api berkapasiti 21 liter, Honda mendakwa CB1000GT mampu menempuh jarak lebih 340 kilometer bagi setiap isian penuh. Berat keseluruhan motosikal ini ialah 229 kilogram, dengan agihan berat 51:49 antara bahagian hadapan dan belakang bagi memberikan kawalan stereng yang lebih ringan dan stabil.

    Honda CB1000GT didedah di EICMA 2025 – sport touring 1,000 cc 148 hp dengan suspensi elektronik

    Dari segi teknologi, CB1000GT dilengkapi sistem throttle-by-wire dan Inertial Measurement Unit (IMU) enam paksi yang membolehkan penyediaan empat mod tunggangan — setiap satu dengan tetapan kuasa enjin (EP), engine braking (EB) dan kawalan cengkaman (HSTC) tersendiri. Penunggang juga boleh memilih tetapan sendiri melalui suis di pemegang kiri dan skrin TFT lima inci.

    Sistem suspensi pula menggunakan Showa Electronically Equipped Ride Adjustment (Showa-EERA™) yang menawarkan pelarasan elektronik automatik mengikut keadaan tunggangan. Suspensi belakang boleh dilaras untuk pra beban secara manual ketika motosikal sedang bergerak.

    Tugas membrek diserahkan kepada dua cakera hadapan 310 mm dengan angkup empat piston jenis radial, manakala di belakang terdapat cakera tunggal 240 mm dengan angkup satu piston. Ciri Cornering ABS dan cruise control turut disediakan sebagai standard.

    Honda juga membekalkan pelbagai kelengkapan standard seperti kotak sisi kiri dan kanan, pelindung tangan, pemanas pemegang, serta sistem Smart Key untuk operasi tanpa kunci. Antara ciri lain termasuk lampu isyarat automatik, soket pengecas USB-C, sambungan Bluetooth untuk iOS dan Android, penghadang angin boleh laras serta tongkat tengah.

    Ketinggian tempat duduk CB1000GT ditetapkan pada 825 mm, dengan posisi tunggangan tegak bagi keselesaan jarak jauh. Honda turut menawarkan tiga pakej aksesori rasmi Hondaline — Comfort Pack (tempat duduk lebih selesa dan cermin hadapan tinggi), Sports Pack (penutup bawah enjin, pelindung enjin, jalur roda dan pelekat tangki), serta Urban Pack (kotak belakang 50 liter, tapak pembawa dan sistem penggera).

     
     
  • Yamaha Y15ZR 2025 dalam tiga warna baru – RM8,998

    Yamaha Y15ZR 2025 dalam tiga warna baru – RM8,998

    Tahun ini Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) sekali lagi memperkenalkan warna baru untuk Y15ZR, dalam tiga pilihan iaitu Blue Spark, Aqua Violet dan Mecha Green. Harga untuknya masih tidak berubah berbanding tahun lepas, iaitu RM8,998 tidak termasuk insurans.

    Selain penampilan, bahagian lain motosikal ini tidak mengalami sebarang perubahan, bermula dengan enjin yang menggunakan unit satu silinder SOHC penyejukan cecair 150 cc suntikan bahan api yang digandingkan bersama kotak gear lima kelajuan untuk menghasilkan kuasa 15 PS pada 8,500 rpm dan 13.8 Nm tork pada 7,000 rpm.

    Motosikal ini datang dengan brek cakera depan dan belakang, manakala tangki bahan api pula berkapasiti 4.2 liter. Di hadapan penunggang terdapat meter jenis LCD digital manakala lampu utama hadapan pula adalah unit LED. Rim bersaiz 17 inci, dengan tayar 90/80 di hadapan dan 120/70 di belakang.

    Perincian lain Y15ZR adalah termasuk berat keseluruhan 117 kg, tinggi tempat duduk 780 mm, fork teleskopik hadapan, monoshock di belakang, pemula enjin elektrik, butang lampu tinggi (passing light) dan butang mematikan enjin (kill switch).

     
     
  • Nissan N7 dipamer di Jepun – sedan EV guna asas dari Dongfeng, jarak gerak CLTC hingga 635 km

    Nissan N7 dipamer di Jepun – sedan EV guna asas dari Dongfeng, jarak gerak CLTC hingga 635 km

    Selepas dilancarkan di China Mei lalu, Nissan N7 kini membuat penampilan di Japan Mobility Show 2025. Seperti yang diumumkan oleh syarikat itu sebelum ini, sedan elektrik berkenaan bukan hanya untuk pasaran China, tetapi turut akan dieksport ke pasaran antarabangsa.

    Nissan N7 ini dibangunkan berasaskan Dongfeng 007 (atau eπ 007/Yipai 007) hasil kerjasama antara Nissan dengan pengeluar automotif China, Dongfeng. Ia menggunakan platform Quantum Architecture No. 3 dan di China ditawarkan dalam lima varian iaitu 510 Air, 510 Pro, 625 Pro, 510 Max dan 625 Max. Harga jualan bermula dari 119,900 hingga 149,900 yuan, bersamaan kira-kira RM70,000 hingga RM88,000.

    Kesemua varian dilengkapi bateri jenis lithium iron phosphate (LFP). Varian dengan kod ‘510’ menggunakan bateri 58 kWh dan motor elektrik di hadapan yang menghasilkan 218 PS (215 hp atau 160 kW) serta tork 305 Nm. Bagi varian ‘625’, ia hadir dengan bateri 73 kWh dan motor elektrik lebih berkuasa dengan 272 PS (268 hp atau 200 kW), namun kekal dengan tork maksimum 305 Nm.

    Nissan N7 dipamer di Jepun – sedan EV guna asas dari Dongfeng, jarak gerak CLTC hingga 635 km

    Bergantung kepada varian, jarak perjalanan mengikut kitaran CLTC adalah antara 510 km hingga 635 km. Varian 510 Max menawarkan jarak paling pendek manakala 625 Pro mencatat jarak paling jauh. Semua varian menyokong pengecasan pantas DC dari 10% ke 80% dalam tempoh hanya 19 minit. Nissan N7 juga dilengkapi sistem Vehicle-to-Load (V2L) yang mampu membekalkan kuasa 6.6 kW bagi kegunaan peralatan elektrik luaran.

    Dari segi keselamatan, semua varian didatangkan dengan ciri amaran pelanggaran hadapan, brek kecemasan automatik dan sistem pencegahan keluar lorong. Bagi varian tertinggi ‘Max’, ia ditambah dengan fungsi seperti bantuan parkir, bantuan navigasi, amaran lintasan trafik hadapan dan belakang, brek automatik, amaran titik buta serta amaran pelanggaran belakang. Ciri kawalan kelajuan adaptif hanya bermula dari varian 510 Pro ke atas, manakala 510 Air menggunakan sistem pasif.

    Kelengkapan lain yang ditawarkan termasuk tempat duduk hadapan larasan kuasa, penyaman udara dua zon dengan corong belakang, pad pengecas tanpa wayar 50W, paparan digital 10.25 inci, skrin infotainmen tengah 15.6 inci, sistem audio dengan sehingga 12 pembesar suara bersama subwoofer 10 inci serta enam beg udara.

    Dari segi saiz, Nissan N7 merupakan sedan bersaiz besar dengan panjang 4,930 mm, lebar 1,895 mm, tinggi 1,484 mm dan jarak antara roda 2,915 mm. Ini menjadikannya sedikit lebih besar daripada Toyota Camry generasi semasa, malah memiliki jarak roda yang lebih panjang.

     
     
  • Proton jual 15,575 unit kenderaan pada Oktober 2025

    Proton jual 15,575 unit kenderaan pada Oktober 2025

    Proton mengumumkan jumlah jualan terkumpulnya (domestik dan eksport) mencecah 15,575 unit pada Oktober 2025, sekaligus menjadi pencapaian bulanan tertinggi syarikat itu untuk tahun ini. Angka tersebut menunjukkan peningkatan 16.3% berbanding September 2025 yang merekodkan 13,395 unit. Secara keseluruhan, jumlah jualan tahun ini (YTD) bagi Proton kini mencapai 129,872 unit, meningkat tiga peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

    Berbeza dengan laporan bulan September, Proton tidak mendedahkan anggaran pegangan pasaran bagi Oktober. Namun, syarikat tetap berkongsi prestasi model-model utamanya.

    Saga kekal sebagai penyumbang utama jualan dengan 8,373 unit diserah kepada pelanggan, jumlah tertinggi sejak Julai 2013. Menjelang pelancaran model baru Saga MC3, versi sedia ada (MC2) telah mencatatkan jumlah jualan YTD sebanyak 59,107 unit.

    Bagi SUV popular Proton X50, yang menerima kemas kini besar pada Julai lalu, sebanyak 2,693 unit model facelift diserah pada Oktober. Antara Ogos hingga Oktober, jumlah penghantaran versi baru mencapai 10,418 unit. Jika digabungkan dengan model sebelum facelift, jualan keseluruhan tahun 2025 meningkat kepada 23,847 unit, sekali gus menunjukkan peningkatan 24.7% berbanding 2024.

    Proton jual 15,575 unit kenderaan pada Oktober 2025

    Model X70 pula kembali mencatatkan peningkatan dengan 680 unit terjual pada Oktober, naik 56.3% berbanding September, yang dianggarkan hanya sekitar 435 unit.

    Sementara itu, sedan Proton S70 turut mencatat prestasi memberangsangkan dengan 1,402 unit terjual, meningkat 43.2% berbanding bulan sebelumnya. Model X90 dan Persona juga menunjukkan peningkatan, masing-masing dengan 209 unit (+7.7%) dan 1,215 unit (+4.7%). Syarikat turut mengesahkan bahawa pengeluaran Proton Iriz telah ditamatkan dan model itu tidak lagi disenaraikan dalam laporan semasa.

    Dalam segmen kenderaan elektrik (EV) Proton eMas, model eMas 7 mencatatkan 758 unit diserah pada Oktober, sedikit menurun daripada 845 unit pada September. Namun begitu, ia masih mengekalkan kedudukan sebagai EV paling laris di Malaysia tahun ini dengan jumlah keseluruhan 7,413 unit. Model lebih kecil, eMas 5, baru sahaja dilancarkan pada penghujung Oktober dan prestasinya dijangka dapat dilihat dalam laporan bulan November.

    Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Zhang Qiang, dalam satu kenyataan berkata, “Kami amat berterima kasih atas sambutan hangat pelanggan terhadap model Proton Saga sedia ada. Minat yang tinggi terhadap model baru juga memberi keyakinan kepada kami menjelang pelancarannya. Kami turut menantikan permulaan penghantaran Proton eMas 5, yang diharap dapat mengukuhkan kedudukan Proton eMas sebagai jenama EV utama di Malaysia.”

     
     
  • Honda Super-One Prototype dijumpai diuji di Malaysia – EV jelmaan semula City Turbo II akan dijual di sini?

    Honda Super-One Prototype dijumpai diuji di Malaysia  – EV jelmaan semula City Turbo II akan dijual di sini?

    Ini sesuatu yang diluar jangkaan – EV kompak Honda Super-One Prototype yang baru sahaja didedahkan untuk peringkat global di Japan Mobility Show 2025 bulan lalu tiba-tiba dijumpai sedang diuji di jalan raya awam di Malaysia! Unit yang diuji tersebut masih dilindungi oleh pelekat penyamaran dan mengenakan trade plate dari Melaka, negeri terletaknya kilang pemasangan Honda Malaysia.

    Honda Super-One Prototype ini sudah disahkan akan dijual di Jepun bermula tahun hadapan, di mana versi produksinya nanti dijangka akan menampilkan rupa yang sama (seperti Prelude Prototype dan versi produksi sebenar Prelude generasi ke-6), dikenali sebagai Honda Super-One.

    Sebelum didedahkan tanpa sebarang penyamaran di Tokyo, Super-One Prototype ini terlebih dahulu muncul dengan pelekat penyamaran di Goodwood Festival of Speed 2025 di UK pada Jun, dan kemudian di bawa ke Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2025 bulan berikutnya.

    Honda mengesahkan bahawa Super One Prototype ini diasaskan dari platform N Series, iaitu barisan model K-Car Honda di Jepun seperti N-One, N-Box, N-WGN, dan juga EV N-One e: yang baru dilancarkan di Jepun Julai lalu, di mana platform ringan tersebut mampu untuk menghasilkan sebuar kereta yang lincah.

    Honda Super-One Prototype dijumpai diuji di Malaysia  – EV jelmaan semula City Turbo II akan dijual di sini?

    Dari segi rupa, Super One Prototype ini masih diasaskan dari model produksi N-One e:, tetapi ia kini diberikan keempat-empat fender yang lebih lebar, menghasilkan rupa yang lebih stabil dan garang dan bagi membolehkan ia dipadankan dengan tayar yang lebih lebar, yang tentunya memberikan cengkaman dan kestabilan badan lebih baik.

    Secara tidak langsung, rupa Super One Prototype ini seolah-oleh jelmaan semula bagi model ikonik City Turbo II yang diperkenalkan Honda pada era 80’an – Honda tidak menyebut perkara ini dalam kenyataan yang dikeluarkan, namun City Turbo II dalam versi kereta kawalan jauh muncul dalam video Super One Prototype ini.

    Honda turut menyatakan bahawa pengalir udara yang diberikan pada bahagian hadapan dan belakang hatchback ini bukan sahaja memberikan aspek aerodinamik lebih baik, malah turut membantu sistem penyejukan untuk beroperasi lebih efisien.

    Dengan saiz yang lebih lebar, sudah tentu Super-One ini bukan lagi diklasifikasikan sebagai K-Car, dan ia mungkin menerima unit rangkaian kuasa yang lebih berkuasa. Untuk konteks, bagi EV N-One e: ia menerima motor elektrik tunggal memacu roda hadapan dengan kuasa maksima untuk sebuah K-Car iaitu 64 PS dan 162 Nm, digerakkan dengan bateri 29.6 kWj bagi memberikan jarak perjalanan 270 km (WLTP) untuk satu cas penuh.

    Masih tiada sebarang spesifikasi teknikal diumumkan bagi Super One Prototype ini di mana Honda hanya menyatakan ia dibangunkan dengan konsep e: Dash Booster, ditambah dengan rekaan bagi merangsang semua deria pemandu yang membangkitkan rasa “keseronokkan memandu”.

    Jadi boleh dijangka prototaip dan model produksi Super One ini kelak akan dibekalkan dengan motor yang lebih berkuasa dan bateri dengan kapasiti lebih tinggi. Honda turut mengesahkan bahawa model ini akan menampilkan Boost Mode, iaitu mod yang bukan sahaja membebaskan semua potensi dari unit rangkaian kuasa, malah memberikan rasa pemanduan, pecutan dan getaran seperti memandu sebuah kereta dengan enjin pembakaran dalaman.

    Ia termasuk menampilkan semula sistem Active Sound Control seperti pada Civic Hybrid dan Prelude yang menghasilkan bunyi enjin palsu, serta rasa tukaran gear palsu yang tajam seolah-olah ia dipadankan dengan kotak gear tujuh kelajuan.

    Honda Super-One Prototype dijumpai diuji di Malaysia  – EV jelmaan semula City Turbo II akan dijual di sini?

    Pada bahagian dalaman, Super One Prototype ini masih menampilkan papan pemuka dengan rupa asas yang sama seperti N-One e:. Namun versi lebih berkuasa ini tampil dengan tempat duduk lebih sporty serta serlahan-serlahan jalur biru pada papan pemuka. Honda turut menyatakan rekaan grafik tiga tolok utama akan diberikan pada papan instrumen digital ketika pemandu memilih Boost Mode bagi memandu kereta ini.

    Selain dari Jepun, Honda telah mengesahkan bahawa Super-One ini turut akan dijual di pasaran United Kingdom dan juga beberapa pasaran Asia yang lain. Dan oleh itu, Honda menyatakan bahawa Super-One Prototype ini telah pun menjalani ujian ekstensif pada pelbagai permukaan jalan raya dan di bawah pelbagai keadaan cuaca di Jepun, UK dan juga beberapa negara di Asia bagi menambah baik prestasi pemanduannya.

    Kemunculan unit ujian Super-One Prototype ini mungkin salah satu ujian yang dinyatakan tersebut, dan secara tidak langsung ini mungkin menandakan versi produksinya nanti mungkin akan dijual secara rasmi pada pasaran tempatan. Walaubagimanapun harga jualannya sudah tentu tidak murah. Model EV pertama Honda yang dijual di Malaysia iaitu e:N1 dijual di sini pada harga RM150k dengan insentif pengecualian cukai, dan insentif ini akan ditamatkan pada penghujung tahun ini. Jadi anda boleh bayangkanlah harga jualan bagi model istimewa seperti Super One ini kelak.

     
     
  • Omoda C7 dilihat di P. Pinang — 1.6T AWD dari Jaecoo J7, model ICE dahulu untuk pasaran Malaysia?

    Omoda C7 dilihat di P. Pinang — 1.6T AWD dari Jaecoo J7, model ICE dahulu untuk pasaran Malaysia?

    Pertama kali dipertontonkan ketika Malaysia Autoshoe 2025 dalam versi pemanduan sebelah kanan, Omoda C7 kemudian dilihat pula sedang diuji di Lebuhraya PLUS dan juga di SS15 Subang Jaya. Terbaru, seorang pembaca paultan.org, Aaron Ong terserempak dengan sebuah Omoda C7 dalam pelekat samaran di Hotel Marriot Pulau Pinang.

    Omoda C7 merupakan penawaran yang diposisikan berada di antara Omoda 5 dan 9 yang diperkenalkan sebelum ini. Ia berada dalam segmen C, dan menjadi SUV “saudara” kepada Jaecoo J7 yang lebih ranggi. Ia pernah dipertontonkan di Bangkok pada Mac lalu sebagai model plug-in hybrid, dan di Malaysia pada Mei sebagai model ICE — jadi kemungkinan versi petrol akan dilancarkan dahulu di sini sebagai permulaan.

    Di Rusia, Omoda C7 ICE dilengkapi enjin 1.6 turbo empat-silinder yang menjana sebanyak 150 PS/275 Nm. Ini dipadankan dengan DCT tujuh-kelajuan untuk pacuan roda depan atau semua roda. Pasaran lain ada yang menerima janaan penuh 197 PS dan 290 Nm untuk enjin yang sama.

    Model PHEV-nya yang mungkin diperkenalkan kemudian, memanfaatkan enjin 1.5 liter turbo empat-silinder, sebuah motor elektrik yang menjana sebanyak 156 PS/220 Nm dan transmisi khusus hibrid kelajuan tunggal. Ia lengkap dengan bateri LFP Blade 18.3 kWj untuk salurkan tenaga kepada motor dengan janaan keseluruhan 360 PS/530 Nm. Jarak EV ialah 95 km, dan jarak keseluruhan yang boleh dicapai ialah 1,250 km.

    Pra-tonton Omoda C7 di Malaysia

     
     
  • JPJ Selangor peroleh lebih RM277k menerusi siri ketiga lelongan tahun ini – 200 kenderaan terjual

    JPJ Selangor peroleh lebih RM277k menerusi siri ketiga lelongan tahun ini – 200 kenderaan terjual

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Selangor telah berjaya memperoleh RM277,030 hasil sesi lelongan kenderaan baru-baru ini. Ini merupakan siri ketiga lelongan yang dianjurkan, dua siri sebelum ini mencatatkan perolehan sebanyak RM313,140 dari 243 kenderaan yang dilelong.

    Bagi siri ketiga dan terakhir untuk tahun ini, sebanyak 200 buah kenderaan telah dibuka untuk dibida oleh orang awam. Ia merangkumi 136 kenderaan yang boleh dilesenkan seperti kereta dan motosikal, serta 64 kenderaan yang tidak boleh dilesenkan seperti kenderaan yang telah rosak atau tidak lagi sesuai untuk digunakan di jalan raya. Kenderaan paling tinggi dibida pada sesi ini ialah sebuah lori Rigid yang berjaya dijual dengan harga RM 74,500.

    Sesi lelongan ini turut mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai apabila seramai 96 pembida berdaftar hadir untuk merebut peluang mendapatkan kenderaan pada harga lelong yang kompetitif.

    Penganjuran lelongan awam ini merupakan sebahagian daripada usaha JPJ dalam memastikan kenderaan sitaan diuruskan secara sistematik, telus dan berintegriti.

     
     
  • Proton Saga MC3 dibayang dalam versi hatchback – platform AMA dikhabarkan modular, ada MPV, SUV?

    Proton Saga MC3 dibayang dalam versi hatchback – platform AMA dikhabarkan modular, ada MPV, SUV?

    Hatchback terakhir Proton iaitu Iriz dikhabarkan sudahpun dihentikan produksinya pada September lalu. Namun ada khabar angin mengatakan bahawa platform AMA yang menjadi asas kepada Proton Saga MC3 yang telah didedahkan baru-baru ini direka sebagai platform modular, membolehkan ia turut menjadi asas kepada model-model lain seperti hatchback, MPV dan juga SUV.

    Jadi ada kemungkinan kita boleh lihat Saga akan dihasilkan dalam versi Hatchback bagi menggantikan tempat Iriz? Macam mana rupanya nanti? Ini dia bayangan digital Proton Saga Hatchback yang dihasilkan oleh pakar manipulasi automotif tempatan, Theophilus Chin.

    Bagi menghasilkan bayangan ini, Theo sebenar telahpun menggunakan bahagian kabin hingga ke belakang Honda City Hatchback yang dipadankan pada ‘kepala’ Saga MC3. Jarak roda Saga ini tidak diubah, sebaliknya potongan belakang City berkenaan disesuaikan dengan jarak roda berkenaan dan ketinggian asal Saga.

    Bentuk garis-garis pada pintu juga dibuat agar menyerupai pintu sebenar Saga. Manakala pada bahagian belakang Theo turut membawa lampu LED Saga dari sedan untuk menggantikan lampu City Hatchback agar ia kelihatan seperti Saga Hatchback sebenar.

    Proton Saga MC3 dibayang dalam versi hatchback – platform AMA dikhabarkan modular, ada MPV, SUV?

    Sekiranya Saga Hatchback ini benar-benar dihasilkan kelak, ia masih boleh berhadapan terus pesaing Iriz iaitu Perodua Myvi kerana hadir dengan enjin i-GT BHE15 PFI 1.5 liter empat silinder NA baharu berkuasa 120 PS dan tork maksima 150 Nm, digandingkan dengan pilihan kotak gear automatik CVT dan 4AT.

    Bagi versi CVT, ia diumumkan mampu mencapai penggunaan bahan api serendah 4.9 liter/100 km, hampir dengan kadar yang mampu dicapai oleh Myvi 1.5L iaitu 4.7 liter/100 km. Saga baharu ini juga tampil dengan perincian keselamatan dipertingkat dengan enam-beg udara.

    Ia juga datang dengan sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS), tetapi masih tidak diberikan fungsi cruise control adaptif dan sebarang kawalan autonomi stereng kekal lorong, membuatkan sistem tersebut hanya berada pada Tahap 1, berbanding Myvi yang diiktiraf mempunyai sistem ADAS Tahap 2.

    Sekiranya Proton benar-benar menghasilkan Saga Hatchback ini, adakah anda rasa ia adalah alternatif yang baik dan mampu mengurangkan penguasaan Myvi dalam pasaran hatchback segmen-B tempatan?

    Berbalik pada Saga MC3 sedan, model ini masih lagi belum dilancarkan namun kami sudahpun berpeluang membelek dan memandu uji model ini di Tanjong Malim beberapa minggu yang lalu – perincian penuh model ini boleh anda baca pada PAUTAN INI, dan ulasan pandu uji ringkas pula boleh anda baca pada PAUTAN INI. Proton akan mula membuka tempahannya pada pukul 7.30 malam ini, dan mungkin harga anggarannya turut akan diumumkan.

     
     
  • JPJ eBid: SMU dan JYN bakal dibuka untuk bidaan

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengumumkan bahawa siri nombor pendaftaran terkini dari Sabah dan Johor bakal dibuka bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Antara pilihan yang ada ialah siri nombor pendaftaran terkini dari Sabah, SMU, yang boleh dibida mulai 11 November ini. Bidaannya akan berakhir jam 10 malam pada 15 November. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 16 November 2025. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau sebaliknya) menerusi e-mel.

    Manakala siri nombor pendaftaran terkini Johor, JYN, bakal dibuka bidaan mulai 12 November. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 16 November, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 17 November 2025.

    Jadi, sekarang ini anda boleh menjimatkan masa dan wang ringgit dengan membida sendiri nombor pendaftaran yang anda hajati tanpa perlu menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner). Tak susah pun untuk membidanya dan anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk tujuan bidaan ini.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.67 (0.00)
EURO 5 B7 RM4.87 (0.00)
Last Updated Jun 11, 2026