Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Lebuhraya WCE, beberapa jalan di Klang akan ditutup sempena Klang Royal City Marathon 2025, 8-9 Nov

    Lebuhraya WCE, beberapa jalan di Klang akan ditutup sempena Klang Royal City Marathon 2025, 8-9 Nov

    Polis Daerah Klang Utara memaklumkan bahawa terdapat beberapa jalan di sekitar Bukit Raja, Klang akan ditutup dan dilencongkan secara berperingkat mulai jam 10 malam pada 8 Nov ini (esok) hingga 8 pagi pada 9 Nov 2025. Ia adalah bagi kelancaran acara larian Klang Royal City Marathon 2025 yang dianjurkan pada 1 pagi Ahad ini di Bukit Raja Town Park.

    Jalan yang terlibat ialah Persiaran Bandar Bukit Raja/Kus Bandar Bukit Raja, Jalan Sungai Puloh, Persiaran Batu Belah, Persiaran Sungai Keramat, Persiaran Astana, Jalan Astana dan Jalan Gamelan.

    Selain itu, beberapa laluan di Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) juga akan ditutup dan dilencongkan bermula dari Persimpangan Bandar Bukit Raja Selatan hingga Persimpangan Assam Jawa. Laluan terbabit ialah susur masuk ke WCE dari Lebuhraya Grand Sepadu, susur masuk ke WCE dari Jalan Meru, susur masuk ke WCE dari Persiaran Hamzah Alang, susur masuk ke WCE dari Lebuhraya LATAR dan susur masuk ke WCE dari Jalan Kuala Selangor.

    Sehubungan itu, pengguna jalan raya dinasihati menggunakan laluan alternatif bagi kelancaran perjalanan masing-masing dan juga acara larian tersebut. Sila patuhi arahan polis trafik dan petugas di sekitar lalun yang terlibat.

     
     
  • Honda tunjuk model prototaip V3R 900 di EICMA 2025 – enjin tiga silinder V 900 cc, compressor elektronik

    Honda tunjuk model prototaip V3R 900 di EICMA 2025 – enjin tiga silinder V 900 cc, compressor elektronik

    Enjin tiga silinder V yang ditunjukkan oleh Honda sewaktu pameran EICMA pada tahun lepas kini sudah dipasang pada badan motosikal prototaip yang dipanggil sebagai V3R 900 E-Compressor, dibawa ke pameran EICMA 2025 yang masih lagi berlangsung sekarang di Itali.

    V3R 900 E-Compressor tampil menggunakan konfigurasi enjin tiga silinder V (V3) bersudut 75 darjah, dengan kapasiti 900 cc dan sistem penyejukan cecair. Elemen paling menonjol ialah sistem pemampat kawalan elektronik (electronically-controlled compressor) yang menurut Honda pertama kali diaplikasikan kepada motosikal.

    Teknologi ini membolehkan kawalan boost yang sangat tepat pada pelbagai julat putaran enjin (rpm) dan bukan bergantung semata-mata pada aliran ekzos seperti turbo tradisional. Dengan sistem ini, Honda menyasarkan prestasi yang seakan-akan setara dengan enjin bersesaran 1,200 cc walaupun kapasiti sebenar hanya 900 cc.

    Selain dapat memberi tork responsif daripada rpm rendah, enjin ini juga berpotensi menurunkan kadar emisi dan meningkatkan kecekapan pembakaran — dua faktor yang semakin penting dalam perancangan jentera masa depan di bawah kerangka visi Honda 2030.

    Dari sudut rekaan, model prototaip ini tampil berani dengan gaya streetfighter, dengan tangki bahan api dan fairing sisi yang asimetrik menyerlahkan karakter agresif dan moden. Pada bahagian tangki terdapat lencana syap Honda baru yang akan digunakan pada model-model perdana Honda mulai 2026.

    Walaupun masih di peringkat prototaip, Honda telah mengesahkan bahawa V3R 900 E-Compressor sedang dalam proses pembangunan untuk pengeluaran massa kelak. Walaubagaimanapun, tarikh sebenar pelancarannya, spesifikasi penuh model produksi dan pasaran sasaran masih belum dimuktamadkan.

     
     
  • KLIMS 2026 kembali dari 12-21 Jun — tiket dari RM10 hingga RM25; jenama yang ikut serta diumum

    KLIMS 2026 kembali dari 12-21 Jun — tiket dari RM10 hingga RM25; jenama yang ikut serta diumum

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah umumkan perincian baru bagi acara Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) tahun depan, yang akan berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa (MITEC) dari 12-21 Jun 2026.

    Sama seperti KLIMS 2024, edisi ke-11 yang akan datang itu nanti juga akan meneruskan tema “Beyond Mobility”. Pameran tersebut dianjurkan oleh MAA dengan kerjasama Qube Integrated Malaysia dan sokongan daripada Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) yang merupakan sebuah agensi di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), serta persatuan lain.

    “Kembalinya KLIMS 2024 adalah satu kejayaan, dan berjaya menarik lebih 183,000 pengunjung dengan lebih 70 jenama automotif dan mobiliti ikut mempamer dan memperkenalkan inovasi mobiliti yang terbaik pernah dilihat di Malaysia,” jelas Presiden MAA, Mohd Shamsor bin Mohd Zain.

    KLIMS 2026 kembali dari 12-21 Jun — tiket dari RM10 hingga RM25; jenama yang ikut serta diumum

    “Tahun depan, KLIMS 2026 dijangkakan bakal melibatkan lebih banyak pameran daripada pelbagai jenama, dengan mesasarkan lebih ramai pengunjung untuk memperluaskan lagi pemahaman dan imaginasi dalam inovasi, kelestarian dan juga kemungkinan yang tiada hadnya,” tambah beliau.

    Antara jenama yang sudah mengesahkan penyertaan untuk tahun depan ialah Aion, Audi, BMW, BYD, Denza, GAC, GWM, Honda, Hyundai, Jetour, Kia, Mazda, MG Motor, Nissan, Perodua, Proton, Proton eMas, smart, Toyota, Volkswagen, Xpeng dan Zeekr. Banyak lagi jenama dijangka akan diumumkan kelak.

    Untuk hari biasa, masuk adalah percuma, dan pameran berkenaan akan dibuka dari 10 pagi hingga 8 malam. Pada Jumaat dan hujung minggu serta cuti umum, waktu operasi pameran ialah dari 10 pagi hingga 10 malam, dan pengunjung perlu membayar RM25 untuk tiket dewasa — kanak-kanak bawah 12 tahun masuk percuma. Remaja antara usia 13 hingga 17 tahun serta siswa di koleh dan universiti (hingga 25 tahun dengan kad pelajar sah) akan dikenakan RM10.

     
     
  • CFMoto V4SR-RR Prototype ditunjuk di EICMA 2025

    CFMoto V4SR-RR Prototype ditunjuk di EICMA 2025

    Pengeluar motosikal China, CFMoto, sekali lagi mencuri perhatian dunia apabila memperkenalkan superbike prototaip mereka, V4 SR-RR semasa pameran motosikal antarabangsa EICMA 2025 di Milan, Itali. Model ini mewakili langkah serius CFMoto untuk menyertai segmen superbike berprestasi tinggi.

    V4 SR-RR diletakkan sebagai model tertinggi dalam rangkaian SR oleh CFMoto, yang di Malaysia sudah meliputi model seperti 250SR, 250SR Lite, 450SR, 500SR Voom dan 675SR-R. Dengan V4 SR-RR, CFMoto menandakan hasrat untuk bersaing dalam kelas superbike bersama jenama Eropah dan Jepun yang sudah lebih lama.

    Seprti yang boleh diketahui melalui namanya, model ini dipacu oleh enjin V4 90-darjah berkapasiti 997cc, yang diberitahu mampu menghasilkan kuasa melebihi 210 hp pada kira-kira 14,500 rpm. Berat jentera pula dianggarkan di bawah 200 kg memberikan nisbah kuasa-kepada-berat yang sangat kompetitif — kurang daripada 1 kg bagi setiap hp.

    CFMoto V4SR-RR Prototype ditunjuk di EICMA 2025

    Menjadikan motosikal ini lebih unik, ia datang dengan sistem aerodinamik aktif yang menampilkan winglet hadapan boleh laras secara automatik mengikut kelajuan dan keadaan pemanduan. Kelajuan tertinggi buat masa ini belum disahkan secara rasmi, namun terdapat dakwaan ia boleh melebihi 300 km/j.

    Model ini turut dilengkapi suspensi separa-aktif yang dikawal secara elektronik, sistem ekzos titanium daripada Akrapovic dan rangka serta komponen ringan yang membantu mengurangkan berat keseluruhan.

    Walaupun diperkenalkan di EICMA sebagai prototaip, CFMoto belum mengesahkan secara rasmi sama ada V4 SR-RR akan memasuki pengeluaran massa atau bila ia akan tersedia untuk jualan umum. Pengilang menyebut model ini sebagai “platform maju untuk pembangunan model masa depan”.

     
     
  • Kerajaan kenalpasti kaedah terbaik untuk kurangkan implikasi kenaikan harga kenderaan tempatan – MOF

    Kerajaan kenalpasti kaedah terbaik untuk kurangkan implikasi kenaikan harga kenderaan tempatan – MOF

    Timbalan Menteri Kewangan (MOF), Lim Hui Ying mengesahkan Kerajaan sedang mengenal pasti kaedah terbaik untuk mengurangkan implikasi kenaikan harga kenderaan tempatan selaras dengan penguatkuasaan peraturan P.U.(A) 402/2019. Di mana langkah mitigasi tersebut akan dilaksanakan bagi meminimumkan kesan kepada rakyat, laporan Bernama.

    “Kerajaan membuat pengumpulan data dan melaksanakan sesi libat urus bersama pihak industri bagi mendapatkan pandangan serta solusi kepada isu yang berbangkit,” katanya pada sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat semalam.

    Beliau menjawab pertanyaan Datuk Shamsulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) mengenai keputusan kerajaan sama ada meneruskan atau menangguhkan penguatkuasaan peraturan cukai eksais (P.U. (A) 402/2019) yang dijangka meningkatkan harga kenderaan sehingga 30% bermula 2026.

    Kerajaan kenalpasti kaedah terbaik untuk kurangkan implikasi kenaikan harga kenderaan tempatan – MOF

    Tambah beliau, buat masa ini, pengecualian ke atas pelaksanaan peraturan P.U.(A) 402/2019 diberikan eksklusif untuk pengilang bagi kenderaan pemasangan tempatan (CKD) sahaja.

    “Pengecualian ini diputuskan susulan daripada kebimbangan pihak industri automotif tempatan mengenai kenaikan harga kenderaan secara mendadak kesan daripada penguatkuasaan peraturan tersebut dan bagi membolehkan industri bersedia dengan pelaksanaan peraturan P.U.(A) 402/2019 kelak,” katanya.

    Bagaimanpun, Hui Ying berkata berhubung kesan pelaksanaan peraturan ini kepada peningkatan harga, ia masih belum dapat dipastikan memandangkan model perniagaan syarikat CKD berbeza antara satu sama lain menyebabkan berlakunya ketidakseragaman kenaan duti eksais ke atas kenderaan yang dikilang.

     
     
  • JPJ kutip RM7.36j dalam tempoh 4 hari pertama diskaun saman; 5.5j saman masih belum dilangsaikan

    JPJ kutip RM7.36j dalam tempoh 4 hari pertama diskaun saman;  5.5j saman masih belum dilangsaikan

    Bagi empat hari pertama pelaksanaan tawaran diskaun saman 50% sejak 1 November lalu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berjaya mengutip sebanyak RM7.36 juta bagi 56,156 kompaun yang dibayar, laporan Bernama.

    Menurut Menteri Pengangkutan Anthony Loke, walau bagaimana pun, masih ada 5.5 juta saman yang dikeluarkan oleh JPJ atas pelbagai kesalahan jalan raya masih belum dijelaskan setakat ini. Daripada jumlah itu, sebanyak 3.68 juta saman dikeluarkan di bawah notis JPJ P(22) manakala 1.38 juta lagi membabitkan sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AwAS).

    “Orang ramai yang mempunyai saman tertunggak supaya mengambil peluang menyelesaikannya melalui tawaran diskaun 50% yang diberikan JPJ mulai 1 November hingga 30 Disember ini bagi mengelakkan tindakan mahkamah atau disenarai hitam Lesen Kenderaan Motor (LKM).

    “Bermula 1 Januari depan, bagi kes yang perlu ke mahkamah, kita akan ke mahkamah, kalau tidak, kita akan terus senarai hitam LKM, maksudnya tidak boleh perbaharui cukai jalan. Sekiranya kesalahan membabitkan pemandu, kita akan senarai hitam lesen memandu juga tetapi biasanya, saman JPJ lebih kepada kesalahan kenderaan,” katanya dalam sidang media di kementeriannya semalam.

    JPJ kutip RM7.36j dalam tempoh 4 hari pertama diskaun saman;  5.5j saman masih belum dilangsaikan

    Berkenaan dengan perbezaan kadar diskaun antara JPJ dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menawarkan diskaun 70%, Loke berkata, JPJ mengekalkan kadar 50% kerana diskaun sama telah diberikan bagi tiga jenis kesalahan sejak awal tahun ini.

    “Sebelum ini, kita beri diskaun 50 peratus untuk saman AwAS, Notis Temu Siasat dan Notis Saman Tampal/JPJ(P)23, jadi tidak adil untuk mereka yang dah bayar,” katanya.

    Pada 22 Oktober lalu, Loke telah mengumumkan kadar dan kaedah kompaun saman trafik yang dikeluarkan oleh JPJ dan PDRM akan diselaras. Di mana diskaun saman berasaskan program atau kempen khas akan digantikan dengan prinsip The Less You Delay, The Less You Pay atau ‘Lebih Cepat Anda Bayar, Lebih Sedikit Anda Perlu Bayar’.

    Beliau berkata, berdasarkan struktur baharu itu, bayaran yang dibuat dalam tempoh 1 hingga 15 hari selepas tarikh notis akan menikmati pengurangan 50%, manakala 16 hingga 30 hari mendapat pengurangan 33%. Manakala bayaran yang dijelaskan dalam tempoh antara 31 hingga 60 hari pula dikenakan kadar kompaun maksimum, manakala selepas 61 hari, tindakan mahkamah dan senarai hitam akan dikenakan.

    Bagaimanapun, insentif baharu itu tidak terpakai bagi kesalahan serius yang tidak boleh dikompaun seperti tiada insurans, tiada lesen memandu atau mempamerkan lesen kenderaan motor (LKM) palsu.

     
     
  • GWM Tank 500 HEV Black Edition di Malaysia – Galeri penuh SUV berkemasan hitam menawan; RM336,800

    GWM Tank 500 HEV Black Edition di Malaysia – Galeri penuh SUV berkemasan hitam menawan; RM336,800

    Pada hujung Oktober lalu, GWM Malaysia telah memperkenalkan varian baharu untuk GWM Tank 500 dengan penampilan lebih garang dan maskulin, yang dikenali sebagai GWM Tank 500 HEV Black Edition. Ia ditawarkan pada harga atas jalan RM336,800 tanpa insurans, menjadikannya RM8,600 lebih mahal berbanding varian biasa berharga RM328,800.

    Untuk Tank 500 HEV Black Edition ini, ia ditampilkan dengan kemasan hitam berkilat termasuk pada lampu hadapan dengan latar belakang rona yang sama, bampar hadapan dan gril dengan jaluran hiasan, lencana Tank pada gril, tailgate dengan electric suction, pemijak sisi bantuan kuasa elektrik dan juga set rim aloi 20-inci.

    Bukan itu sahaja, rel bumbung, perapi cermin tingkap, kemasan pada perumah tayar gantian, perumah lampu belakang, pembuka pintu, kemasan bendul pintu serta panel pelindung bawah bampar belakang semuanya diberikan sentuhan hitam.

    GWM Tank 500 HEV Black Edition di Malaysia – Galeri penuh SUV berkemasan hitam menawan; RM336,800

    Di dalamnya, masih sama dengan Tank 500 HEV standard dengan dimonopoli rona hitam termasuk pada bahagian papan pemuka digabungkan kemasan kayuan coklat, dan tempat duduk balutan kulit Nappa premium. Ciri kelengkapan lain juga dikekalkan termasuk paparan instrumen digital 12.3-inci, skrin sesentuh infotainmen 14.6-inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, tempat duduk hadapan larasan kuasa dengan fungsi memori untuk bahagian pemandu, penyaman udara tiga zon dan bumbung panaromik.

    Untuk penjana kuasanya, juga tiada perubahan dan masih mengekalkan unit rangkaian kuasa hibrid dan enjin 2.0 liter empat-silinder dengan pengecas turbo berkuasa 244 PS dari 5,500 rpm hingga 6,000 rpm dan dan tork maksima 380 Nm bermula 1,700 hingga 4,000 rpm, digandingkan bersama sebuah motor elektrik berkuasa 106 PS/268 Nm.

    Gabungan sistem ini menghasilkan kuasa keseluruhan 346 PS dan 648 Nm, dan disalurkan menerusi transmisi HAT (Hydraulic Automatic Transmission) automatik sembilan-kelajuan dan sistem pacuan semua-roda.

    GWM Tank 500 HEV Black Edition di Malaysia – Galeri penuh SUV berkemasan hitam menawan; RM336,800

    Begitu juga dengan sistem keselamatan yang dikekalkan termasuk brek kecemasan automatik, cruise control adaptif, pemantau titik buta, bantuan kekal lorong, amaran keluar selamat, kameran pemantau 540 darjah dengan pandangan telus bawah lantai dan pelbagai lagi.

    Setiap pembelian model ini diberikan perlindungan waranti kenderaan selama enam-tahun tanpa had perbatuan dan waranti bateri sistem hibrid selama lapan-tahun atau 200,000km. GWM Malaysia juga menawarkan waranti sepanjang hayat untuk enjin, transmisi dan sistem hibrid HEV, namun ia hanya eksklusif untuk pembeli pertama SUV ini dan didaftarkan untuk kegunaan persendirian.

    Selain itu Tank 500 HEV Black Edition ini diberikan pakej penyelenggaraan percuma selama lima-tahun. Pembeli-pembeli terawal juga akan ditawarkan dengan set hadiah premium edisi terhad.

     
     
  • Nissan Serena C28 e-Power dijumpai di Malaysia – MPV dengan enjin 1.4L 3-silinder akan dilancarkan?

    Nissan Serena C28 e-Power dijumpai di Malaysia – MPV dengan enjin 1.4L 3-silinder akan dilancarkan?

    Seorang pengguna Facebook telah berkongsi imej di paultan.org Automotive/Car Discussion Group yang memaparkan model generasi terkini MPV Nissan Serena iaitu Serena C28 dengan unit rangkaian kuasa e-Power yang berada di Malaysia. Ia kelihatan seperti unit ujian kerana sebahagian perinciannya telah dilindungi pelekat serta hanya menggunakan trade plate untuk bergerak di atas jalan raya awam.

    Model ini telah pun diperkenalkan di Jepun pada 2022, dan sekarang mungkin masa yang sesuai untuk Edaran Tan Chong Motor (ETCM) melancarkannya di sini. Ini bukan pertama kali Serena C28 ini dilihat di Malaysia kerana pada 2023 ia sudah pun kelihatan sedang diuji di Genting Highland – namun tiada sebarang khabar berkenaan pelancaran model generasi ke-enam ini selepas itu.

    Sebaliknya ETCM terus menawarkan Serena C27 sehingga kini selepas ia dilancarkan pada 2018, dan telah menerima versi facelift pada 2022.

    Nissan Serena C28 e-Power dijumpai di Malaysia – MPV dengan enjin 1.4L 3-silinder akan dilancarkan?

    Kami difahamkan ETCM akan membuat pertukaran barter dengan Nissan Thailand sekiranya Serena C28 ini dilancarkan ke pasaran tempatan, di mana kilang di sana akan membekalkan model generasi baharu ini untuk di bawa ke Malaysia, sementara ETCM akan mengeksport Serena C27 yang dihasilkan di sini ke Thailand.

    Thailand sebenarnya telahpun menerima Serena C27 yang diimport dari Malaysia berkenaan, dilancarkan pada pasaran itu pada akhir 2024 dan dijual pada harga 1,469,000 baht (RM189k). Ia dijual serentak dengan Serena C28 di sana yang ditawarkan pada harga 1,690,000 baht (RM218k).

    Sama ada ETCM akan mengikut strategi jualan seperti di Thailand iaitu untuk menawarkan dua generasi serentak dalam bilik pameran masih tidak diketahui. Namun ia dilihat agak logik untuk dilakukan bagi memberikan lebih banyak pilihan bagi pengguna di Malaysia, khususnya berkaitan dengan harga.

    Nissan Serena C28 e-Power dijumpai di Malaysia – MPV dengan enjin 1.4L 3-silinder akan dilancarkan?

    Buat masa sekaran Serena C27 dijual di Malaysia pada harga antara RM148,888 dan RM163,888. Manakala bagi C28, ia dijangka akan dijual pada harga sekitar 15% atau 20% lebih tinggi (mungkin lebih tinggi memandangkan ia adalah model CBU yang menerima cukai lebih tinggi), iaitu sekitar RM200,000. Jadi untuk pembeli yang tidak mempunyai bajet besar sehingga RM200, sekurang-kurangnya mereka masih boleh membeli Serena C27 yang turut dijual baru.

    Nissan Serena C28 menerima versi terkini unit rangkaian kuasa hibrid Nissan e-Power. Ia menggandingkan enjin HR14DDe 1.4 liter tiga-silinder NA berkuasa 98 PS/123 Nm yang hanya berfungsi sebagai generator untuk mengecas bateri berkapasiti 1.77 kWj, manakala tayar hadapan dipacu sepenuhnya oleh motor elektrik berkuasa 163 PS dan tork maksima 315 Nm seperti sebuah EV sebenar.

    Serena boleh dikatakan tiada saingan terus di Malaysia kerana Honda tidak membawa StepWGN dan Toyota tidak membawa kembar Voxy dan Noah secara rasmi ke pasaran tempatan. Namun dari segi julat harga, ia mungkin boleh dibandingkan dengan BYD M6, tetapi bukan semua orang melihat EV sebagai mobiliti keluarga, lagi-lagi untuk perjalanan jauh bukan?

     
     
  • ACE 2025: Jimat hingga RM13,130 untuk Proton S70!

    ACE 2025: Jimat hingga RM13,130 untuk Proton S70!

    Sepanjang acara Auto Car Expo (ACE) 2025 anjuran paultan.org yang bakal berlangsung hujung minggi ini, 8-9 November 2025 di Pusat Persidangan Setia City (SCCC), anda akan menikmati penjimatan sebanyak RM13,130 untuk Proton S70.

    Sempena kempen Jualan Hujung Tahun Kaw Kaw Berganda, Proton menawarkan S70 dengan rebat tunai sehingga RM8,000, serta rebat tambahan untuk trade-in sebanyak RM1,000; sekiranya kebetulan anda adalah pemilik sedan Proton sedia ada, anda akan menerima rebat eksklusif tambahan lagi RM1,000. Ada juga aerokit percuma diberikan bernilai RM3,130. Secara terkumpul, semua ini memberikan penjimatan sebanyak RM13,130!

    Ini tawaran menarik untuk sebuah model yang dijual dengan harga permulaan RM73,800 — dengan enjin turbocas yang berkuasa dan pelbagai ciri premium yang tidak terdapat pada sedan lain yang berada di bawah harga RM100,000 di Malaysia.

    Selain itu, ada juga tawaran promosi Pandu Uji & Menang Kaw Kaw dengan peluang untuk anda memenangi hadiah bernilai lebih daripada RM600,000*, termasuk iPhone 17 yang terbaru. Anda juga layak untuk menyertai cabutan bertuah untuk memenangi hadiah satu daripada tiga model kereta ini — X50, S70 atau Saga.

    ACE 2025: Jimat hingga RM13,130 untuk Proton S70!

    Pengunjung ACE 2025 turut akan menikmati pelbagai tawaran dan hadiah menarik daripada kami di paultan.org. 200 tempahan terawal akan menerima baucar bernilai RM2,500 untuk filem penapis haba, cucian serta aksesori kenderaan daripada V-Kool, Dodomat, Kuzig Glanz Detailing, The Carage dan Harman Kardon.

    Selain itu, setiap tempahan yang telah disahkan melayakkan anda untuk menyertai cabutan bertuah bagi memenangi hadiah utama berupa percutian yang ditanggung sepenuhnya untuk dua orang bernilai RM10,000. Ada juga barisan produk Kärcher yang bernilai lebih daripada RM30,000 untuk dimenangi oleh 20 pemenang.

    Senarai jenama yang bakal tampil antaranya ialah BMW dan MINI (diwakili oleh Wheelcorp Premium), Audi, Volkswagen, Zeekr (diwakili oleh Carro), Jaecoo, Chery, Jetour, Hyundai, Ford, BYD, Perodua, Proton, Proton eMas, Isuzu dan smart (diwakili oleh EON). Semua jenama ini akan menawarkan promosi terbaik mereka sepanjang acara berlangsung.

    Tandakan kalendar anda dan jumpa di ACE 2025 pada 8 dan 9 November nanti di SCCC, bermula 9 pagi hingga 7 malam. Jumpa di sana!

     
     
  • ACE 2025: Perodua tawar rebat tambahan RM1,000 bagi graduan untuk Axia dan Myvi, RM500 untuk Ativa

    ACE 2025: Perodua tawar rebat tambahan RM1,000 bagi graduan untuk Axia dan Myvi, RM500 untuk Ativa

    Sebagai pilihan utama kenderaan bagi siswa-siswi yang baru tamat pengajian, Perodua ingin menarik perhatian pembeli kereta pertama terhadap What’s Up Graduate Programme kendalian syarikat itu. Di pameran Auto Car Expo (ACE) 2025 anjuran paultan.org yang bakal berlangsung hujung minggu ini, 8-9 November 2025 di Pusat Persidangan Setia City (SCCC), golongan siswa ini boleh menikmati rebat istimewa untuk kereta pertama mereka itu.

    Dengan tajaan bersama oleh Carro dan Kärcher, ACE 2025 akan menjadi tempat terbaik sekiranya anda ingin mencari kereta baru. Khusus untuk siswa yang baru tamat pengajian, anda akan menikmati rebat tambahan RM1,000 untuk Perodua Axia atau Myvi, atau RM500 untuk Ativa.

    Pilihan kenderaan kompak dan praktikal daripada Perodua ini semestinya akan menjadi pilihan ideal terutama untuk kegunaan dalam bandar. Axia memberikan keluasan dalam pakej yang kecil dan harga rendah, sementara Myvi pula menjadi pilihan yang terbaik untuk apa saja tujuan kegunaan. Ativa pula mempertemukan rekaan SUV yang praktikal dengan enjin turbo untuk penjimatan dan kos penggunaan yang rendah.

    ACE 2025: Perodua tawar rebat tambahan RM1,000 bagi graduan untuk Axia dan Myvi, RM500 untuk Ativa

    Pengunjung ACE 2025 turut akan menikmati pelbagai tawaran dan hadiah menarik daripada kami di paultan.org. 200 tempahan terawal akan menerima baucar bernilai RM2,500 untuk filem penapis haba, cucian serta aksesori kenderaan daripada V-Kool, Dodomat, Kuzig Glanz Detailing, The Carage dan Harman Kardon.

    Selain itu, setiap tempahan yang telah disahkan melayakkan anda untuk menyertai cabutan bertuah bagi memenangi hadiah utama berupa percutian yang ditanggung sepenuhnya untuk dua orang bernilai RM10,000. Turut tersedia hadiah daripada Kärcher untuk dimenangi. Ada juga barisan produk Kärcher yang bernilai lebih daripada RM30,000 untuk dimenangi oleh 20 pemenang.

    Senarai jenama yang bakal tampil antaranya ialah BMW dan MINI (diwakili oleh Wheelcorp Premium), Audi, Volkswagen, Zeekr (diwakili oleh Carro), Jaecoo, Chery, Jetour, Hyundai, Ford, BYD, Perodua, Proton, Proton eMas, Isuzu dan smart (diwakili oleh EON). Semua jenama ini akan menawarkan promosi terbaik mereka sepanjang acara berlangsung.

    Tandakan kalendar anda dan jumpa di ACE 2025 pada 8 dan 9 November nanti di SCCC, bermula 9 pagi hingga 7 malam. Jumpa di sana!

     
     
  • GWM Ora Good Cat Ultra dan Good Cat GT 2026 dilancar di M’sia – bateri LFP baharu, dari RM107k

    GWM Ora Good Cat Ultra dan Good Cat GT 2026 dilancar di M’sia – bateri LFP baharu, dari RM107k

    GWM Malaysia hari ini memperkenalkan barisan baharu bagi Ora Good Cat 2026 yang kini ditampilkan dengan gaya lebih berani dan ciri yang dipertingkatkan. Ia menampilkan dua varian iaitu Good Cat Ultra yang ditawarkan pada harga bermula RM109,800 dan model spesifikasi yang lebih sporty, Good Cat GT, berharga dari RM119,800.

    Walau bagaimana pun, GWM Malaysia menawarkan diskaun tambahan sebanyak RM3,000 bagi pembeli Ora Good Cat 2026 yang mendaftarnya sebelum 31 Disember 2025. Menjadikan harganya dari RM106,800 untuk Good Cat Ultra, dan
    Good Cat GT berharga RM116,800 sepanjang tempoh early bird ini. Pembelian model ini dilindungi dengan waranti kenderaan selama lima-tahun/150,000 km dan waranti bateri selama lapan-tahun/180,000 km.

    Seperti model sebelum ini, tiada perubahan dari segi penjana kuasanya. Bagi Good Cat GT, ia disuapkan dengan motor elektrik tunggal, berkuasa 171 PS (126 kW) dan tork 250 Nm. Manakala Good Cat Ultra pula diberikan motor elektrik yang mampu memberikannya output 143 PS (105 kW) dan tork 210 Nm. Kedua-dua varian ini mampu mencapai kelajuan maksimum yang sama mencecah 150 km/j.

    Walau bagaimana pun, kedua-duanya kini dijanakan oleh bateri baharu iaitu SVOLT-LFP (lithium iron prosphate)
    berkapasiti 57.7 kWh, namun memberikannya jarak gerak yang berbeza iaitu 480 km untuk Good Cat Ultra dan 460 km bagi Good Cat GT, kedua-duanya mengikut standard NEDC. Bateri ini boleh menggunakan pengecas pantas DC berkapasiti 60 kW dengan status pengecasan antara 30-80% dalam 38 minit. Namun jika menggunakan pengecas AC berkapasiti 6.6 kW, ia mengambil masa selama sembilan jam untuk bateri tersebut penuh.

    Kedua-dua varian diberikan mod pemanduan Normal, Sport, ECO, ECO+ dan Auto serta Waiting Mode. Manakala GT menerima ciri tambahan iaitu mod pemanduan Individual dan Launch Control. Untuk sistem suspensinya, ia berkongsikan ciri yang sama iaitu MacPherson Independent Suspension dengan palang penstabilan di hadapan dan torsion beam di belakang,

    Untuk imej luarannya, kedua-dua varian ditampilkan dengan gaya retro-futuristik ikonik serta gabungan warna baharu yang lebih menyerlah. Diberikan lampu utama LED pintar dengan fungsi Auto On-Off, sistem Follow-Me Home dan Auto High-low Beam, lampu nyalaan siang (DRL) LED, jaluran lampu belakang LED (dengan efek Welcome Light untuk GT), gril hadapan dengan corong pengambilan udara aktif, bilah pengilap cermin automatik dan bumbung suria panoramik elektrik. Untuk pintu tailgate, ciri bukaan bebas tangan elektrik diberikan untuk varian GT dan manual bagi Ultra.

    Bagi varian GT, ia ditampilkan dengan ciri tambahan termasuk kit badan eksklusif dengan bampar depan dan belakang nampak lebih agresif, skirt sisi yang lebih dalam, spoiler pada tailgate yang lebih besar berserta kemasan hitam berkilat untuk penampilan sporty dan berprestasi. Ia turut diserlahkan dengan rim aloi hitam sporty 18-inci dengan jalur kuning, lencana GT khas dan angkup brek kuning.

    Menjengah bahagian kabinnya, Good Cat GT diserlahkan dengan jaluran kuning pada papan pemuka, tempat duduk sport GT dengan jahitan kuning kontras dan kemasan kulit suede. Tempah duduk hadapan juga diberikan sistem ventilasi dan urut. Manakala Good Cat Ultra masih mengekalkan elemen retro dengan pilihan warna sama ada hijau-kelabu, coklat-rice dan hijau-rice yang kesemuanya bergantung pada pemilihan warna luaran. Bagi kemasan dalaman dan tempat duduknya, ia dibaluti material kulit sintetik.

    Ciri kelengkapan untuk ruang dalaman yang sama untuk kedua-dua varian iaitu roda stereng elektrik dengan suis audio dan maklumat pemanduan, brek parkir elektrik dengan penahan kenderaan auto, tuil penukar gear di belakang stereng dengan cruise control, tempat duduk pemandu larasan elektrik enam-hala dengan fungsi memori, dan tempat duduk penumpang belakang larasan kuasa empat-hala (larasan manual untuk Ultra).

    Good Cat GT (kiri) & Good Cat Ultra (kanan)

    Selain itu, ia turut diberikan USP port untuk penumpang hadapan dan belakang, USB port untuk dashcam, power suply slot (12V), paparan informasi digital tujuh-inci, pengecas tanpa wayar 50-Watt, penyaman udaea automatik dengan penapis PM 2.5, Vehicle-to-load (V2L), paparan multimedia skrin sesentuh 10.25-inci, enam-pembesar suara dan sokongan aplikasi My GWM, Apple CarPlay, Android Auto, Bluetooth dan MP5.

    Untuk aspek keselamatan, barisan Ora Good Cat 2026 ini diberikan enam beg udara, cagak ISOFIX, dan ADAS Tahap 2 dengan ciri termasuk kamera 360°, Traffic Jam Assist, Auto Emergency Braking, Intersection and pedestrian (AEBI), Front Collision Warning, Emergency Braking, Lane Departure Warning, Cornering Brake Control, Wisdom Dodge System, Lane Change Assist, Rear Cross Traffic Alert, Rear Cross Traffic Braking, Hill Start Assist, Traction Control System, Door Open Warning, Traffic Sign Recognition & Speed Alarm dan Emergency Signal System.

    Barisan Good Cat kini hadir dengan gabungan warna baharu So Blue dengan bumbung hitam, dan juga pilihan warna lain iaitu Hazel Wood Beige dengan bumbung coklat, Pistachio Green dan khas untuk GT diberikan tambahan dua rona iaitu Aqua Grey dan Sun Black.

    GALERI: Ora Good Cat Ultra 2026

    GALERI: Ora Good Cat GT 2026

     
     
  • Proton Saga MC3 2026 – tempahan akan dibuka 10 Nov 2025; bakal dipamerkan di ACE pada 8 hingga 9 Nov

    Proton Saga MC3 2026 – tempahan akan dibuka 10 Nov 2025; bakal dipamerkan di ACE pada 8 hingga 9 Nov

    Menerusi hantaran di laman media sosial, Proton mengumumkan bahawa Saga MC3 2026 bakal boleh ditempah oleh pelanggan bermula 10 November 2025, di mana satu majlis akan dibuat dan disiarkan secara langsung secara dalam talian pada pukul 8 malam hari tersebut.

    Walau bagaimanapun, Proton masih belum mengumumkan sebarang petunjuk berkenaan harga jualan bagi tiga varian yang akan ditawarkan pada Saga MC3 2026 ini.

    Proton Saga MC3 dibina berasaskan platform AMA — ia menggunakan platform Saga terdahulu, tetapi diberikan kejuruteraan semula untuk menguatkan semula kerangka Saga ini dengan menambahbaik beberapa struktur. Antaranya Proton telah menerapkan logam dengan teknologi Hot Press Forming (HPF) pada tiang-B dan juga bahagian cross member pada lantai yang memegang cagak tempat duduk.

    Proton Saga MC3 2026 – tempahan akan dibuka 10 Nov 2025; bakal dipamerkan di ACE pada 8 hingga 9 Nov

    Tiada lagi enjin Campro 1.3L pada Saga MC3 ini dan ia digantikan dengan enjin “i-GT” yang dibangunkan oleh Aurobay. Enjin dengan kod BHE15 berkenaan merupakan enjin dari keluarga yang sama dengan enjin yang kini dipadankan pada X50 facelift.

    Untuk Saga, enjin yang dibekalkan adalah dari varian BHE15PFI, iaitu versi tanpa turbo dan hanya hadir dengan sistem suntikan bahan api di port kemasukan udara (PFI), berbanding varian BHE15TD pada X50 yang disuap pengecas turbo serta datang dengan sistem suntikan bahan api terus (T-GDI); ia mampu menghasilkan kuasa 120 PS dan tork maksima 150 Nm.

    Dua jenis transmisi ditawarkan untuk Saga – bagi varian paling tinggi iaitu Premium ia datang dengan kotak gear CVT, manakala dua varian lebih rendah pula iaitu Executive dan Standard, ia datang dengan kotak gear automatik konvensional empat kelajuan 4AT.

    Proton Saga MC3 2026 – tempahan akan dibuka 10 Nov 2025; bakal dipamerkan di ACE pada 8 hingga 9 Nov

    Padanan unit rangkaian kuasa ini membolehkan Saga MC3 CVT mencapai penggunaan bahan api serendah 4.9L/100 km dan versi 4AT pula mampu mencapai 5.1L/100 km — kedua-duanya dalam kitaran ujian tempatan iaitu MDC.

    Dari aspek luaran, Proton Saga 2026 MC3 diberikan rombakan menyeluruh pada bahagian muka dan belakang. Ini merupakan Saga pertama yang menerima lampu hadapan LED, dan ia terus dengan jenis projektor LED, tetapi hanya ditawarkan untuk varian Premium dan Executive di mana Saga MC3 Standard hanya menerima lampu reflektor halogen.

    Semua ini dan banyak lagi kemaskini dan pembaharuan yang dilakukan terhadap Proton Saga MC3 2026. Anda boleh ikuti laporan panjang kami PAUTAN INI, serta tanggapan awal pandu uji ringkas pada PAUTAN INI.

    Untuk anda yang mahu melihat dahulu Saga MC3 2026 ini depan mata, ia bakal dipamerkan pada acara Auto Car Expo (ACE) 2025 anjuran paultan.org pada 8 hingga 9 November ini, bertempat di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC).

    GALERI: Proton Saga MC3 Premium 2026

    GALERI: Proton Saga MC3 Executive 2026

     
     
  • Nissan Skyline generasi baru akan muncul pada 2027 – inspirasi Skyline ‘Kenmeri’, pacuan belakang, manual!

    Nissan Skyline generasi baru akan muncul pada 2027 – inspirasi Skyline ‘Kenmeri’, pacuan belakang, manual!

    Kalau ikut khabar angin yang bertiup pada 2023, tahun ini sepatutnya Nissan sudahpun mendedahkan model generasi baharu untuk Skyline, dan ia bukan lagi sebuah sedan, sebaliknya ‘disumpah’ menjadi sebuah SUV yang dijana oleh kuasa elektrik sepenuhnya (EV).

    Mujurlah ia hanya khabar angin, dan ketika berlangsungnya Japan Mobility Show 2025 yang bermula minggu lalu, reruai Nissan masih mempamerkan Skyline generasi sedia ada, iaitu model generasi ke-13 (V37) yang sudah berada selama 11-tahun dalam pasaran, kali ini muncul dalam versi edisi terhad hanya 400 unit yang dibina berasaskan varian paling tinggi Skyline 400R yang dikenali sebagai Nissan Skyline 400R Limited.

    Jadi bila sebenarnya Skyline generasi baharu ini akan muncul? Laporan Auto Express menyatakan bahawa sedan tersebut bakal muncul pada 2027 – ini bukan khabar angin kerana ia diberitahu sendiri oleh pengarah rekaan global Nissan iaitu Alfonso Albaisa.

    Tiada sebarang hal berkaitan bahawa Skyline akan muncul sebagai SUV EV dinyatakan, sebaliknya Albaisa menyebut Skyline akan menjadi model sedan berorientasikan prestasi, di mana ia masih akan digerakkan oleh enjin pembakaran dalaman, pacuan roda belakang dan Nissan turut akan menawarkan kotak gear manual sebagai pilihan!

    Nissan Skyline generasi baru akan muncul pada 2027 – inspirasi Skyline ‘Kenmeri’, pacuan belakang, manual!

    Nissan Skyline C110 sedan

    Beliau turut menjelaskan bahawa posisi Skyline akan diletakkan antara dua kereta sport iaitu Nissan Z dan juga GT-R bagi membayangkan prestasinya. “Nissan Z pada satu bahagian, GT-R pada sebelah satu lagi – Skyline akan duduk di tengah-tengah,” kata Albaisa.

    Untuk rekaan pula, Albaisa menjelaskan bahawa ia akan mengambil inspirasi dari Skyline generasi terdahulu, tetapi ia tidak akan tampil sebagai sebuah sedan dengan rupa yang retro.

    “Tengok semula kereta dari 1968 atau 1970. Bentuk ekspresif seperti itu. Ikonik,” kata Albaisa. Apa yang dikatakan oleh Albaisa mungkin mahu menunjukkan era peralihan bentuk Skyline dari generasi C10 pada tahun 1968 yang berkotak serta dikenali dengan gelaran Hakosuka (Skyline berkotak) kepada bentuk fastback pada generasi C110 1970 yang juga popular dengan gelaran ‘Kenmeri Skyline’.

    Dan perlu diingat, Albaisa bercakap tentang sedan Skyline, bukan GT-R, jadi apa yang dimaksudkan adalah versi sedan empat pintu C110, bukan GT-R KPGC100 dengan badan coupe. “Fikirkan besar, lebar dan gempal. Agresif dan tidak retro,” tambah Albaisa lagi.

    Seperti generasi sedia ada, dijangkakan nama Nissan Skyline hanya akan digunakan pada model pasaran domestik Jepun (JDM). Untuk pasaran luar, sedan ini akan terus dijual dengan jenama mewah Nissan iaitu Infiniti dan akan terus dikenali sebagai Infiniti Q50.

     
     
  • Ducati Hypermotard V2 muncul di EICMA 2025 – tiada lagi injap Desmodromic, karekter lebih supermotard

    Ducati Hypermotard V2 muncul di EICMA 2025 – tiada lagi injap Desmodromic, karekter lebih supermotard

    Hypermotard mula diperkenalkan oleh Ducati pada tahun 2005 dan kini selepas 20 tahun dan melalui pelbagai perubahan, pengeluar dari Itali itu memperkenalkan model generasi keempat, yang lebih moden dan masih mengekalkan karekter ‘nakal’ sebuah motard.

    Berita paling utama pada model baru ini adalah enjin, di mana ia sekarang menggunakan unit dua silinder V 890 cc yang enam kilogram lebih ringan berbanding enjin Testastretta 11° 937 cc sebelum ini dan mampu menghasilkan sehingga 120 hp pada 10,750 rpm dan tork 94 Nm pada 8,250 rpm.

    Ini adalah enjin sama seperti yang digunakan pada Panigale V2, Streetfighter V2, Multistrada V2 dan Monster, tidak lagi menggunakan sistem injap Desmodromic dan kembali menggunakan spring seperti biasa. Pemilik kini tidak perlu risau dengan ‘servis Desmo’ yang biasanya memakan kos tinggi dan hanya perlu melakukan pemeriksaan (atau pelarasan) kelegaan injap setiap 45,000 km. Penukaran minyak hitam pula disaran dibuat setiap 15,000 km atau dua tahun.

    Ducati Hypermotard V2 muncul di EICMA 2025 – tiada lagi injap Desmodromic, karekter lebih supermotard

    Untuk reka bentuk, Hypermotard V2 mengambil kembali banyak inspirasi daripada Hypermotard 1100 asal, seperti yang boleh dilihat pada lampu hadapan dan belakang, tetapan dua ekzos serta panel tepi. Casis serba barunya juga masih menggunakan struktur trellis di bahagian belakang, dicantumkan bersama kerangka monocoque di hadapan.

    Posisi menunggang juga diubah, berbeza berbanding Hypermotard 950, dengan Ducati memberitahu ia sekarang lebih dekat kepada dunia supermotard sebenar, melalui postur yang lebih ke hadapan untuk meningkatkan stabiliti dan menjadikan ia lebih mudah dikendali.

    Pada bahagian elektronik, penunggang disediakan dengan empat mod iaitu Race, Sport, Road dan Wet (dihadkan kepada 95 hp). Dalam semua mod ini, parameter campur tangan elektronik boleh dilaras, manakala ABS pula disediakan dalam pilihan empat tahap. Ducati Quick Shifter (DQS) generasi kedua diberikan secara standard.

    Ducati Hypermotard V2 muncul di EICMA 2025 – tiada lagi injap Desmodromic, karekter lebih supermotard

    Hasil daripada penggunaan unit pengukur inertia six-axis, motosikal ini juga dapat disediakan dengan sistem lain seperti Cornering ABS, Ducati Traction Control (DTC), Ducati Wheelie Control (DWC) dan Engine Brake Control (EBC). Ducati Power Launch (DPL) dan Ducati Pit Limiter (DPL) pula hanya diberikan secara terus kepada versi SP. Bahagian meter menggunakan panel TFT lima inci.

    Untuk memastikan pengendalian kekal mantap, Hypermotard V2 dipasang dengan fork Kayaba 46 mm boleh laras sepenuhnya di hadapan dan monoshock dengan pelarasan pra beban dan lantunan di belakang. Ia memegang rim aluminium 17 inci, yang dibalut tayar Pirelli Diablo Rosso IV bersaiz 120/70 di hadapan dan 190/55 di belakang.

    Versi SP kemudiannya dipertingkat lagi dengan suspensi Ohlins boleh laras sepenuhnya (NIX30 di hadapan dan STX 46 di belakang), rim 17 inci forged yang lebih ringan, serta tayar Pirelli Diablo Rosso VI Corsa yang lebih berprestasi. Steering damper Sachs diberikan secara standard untuk kedua-dua versi.

    Ducati Hypermotard V2 muncul di EICMA 2025 – tiada lagi injap Desmodromic, karekter lebih supermotard

    Brek datang daripada Brembo, terdiri daripada cakera 320 mm berkembar dengan angkup M4.32 empat piston bagi versi biasa dan angkup M50 berserta master pump khas untuk SP. Brek belakang menggunakan cakera tunggal 245 mm bersama angkup dua piston.

    Dengan semua perubahan yang dibuat ini, Hypermotard V2 mencatat berat 180 kg bagi versi biasa dan 177 kg bagi SP. Ini adalah 13 kg lebih ringan berbanding Hypermotard 950, manakala tangki bahan api pula berkapasiti 12.5 liter. Tinggi tempat duduk versi biasa dan SP adalah sama, iaitu 880 mm.

    Melengkapkan Hypermotard V2 SP sebagai versi yang lebih tinggi adalah grafik khas dengan logo SP Racing Red dan nombor 20 sempena ulang tahun Hypermotard, mudguard hadapan gentian karbon serta rim warna putih dengan grafik warna merah.

     
     
  • Harga minyak 6-12 Nov – diesel di semenanjung dinaikkan tujuh sen seliter, yang lain dikekalkan

    Harga minyak 6-12 Nov – diesel di semenanjung dinaikkan tujuh sen seliter, yang lain dikekalkan

    Kementerian Kewangan (MoF) mengumumkan bahawa bagi minggu bertarikh 6 hingga 12 November 2025, harga runcit petrol RON97 masih dikekalkan pada RM3.20 seliter.

    Begitu juga dengan harga RON95 tanpa subsidi, ia masih dikekalkan pada RM2.60 seliter. Manakala di bawah program Budi95 yang dikuatkuasakan sejak 30 September lalu, RON95 masih ditetapkan pada harga RM1.99 seliter.

    Walau bagaimana pun, bagi harga diesel untuk pasaran Semenanjung Malaysia, ia dinaikkan sebanyak tujuh sen seliter menjadi RM3.02 seliter . Manakala harga diesel di Sabah dan Sarawak masih kekal pada RM2.15 seliter.

    Pada 23 Sept lalu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan memberi jaminan bahawa harga subsidi petrol RON95 pada RM1.99 seliter di bawah program Budi95 akan dikekalkan dalam tempoh terdekat selepas pelaksanaannya. Walau bagaimana pun, katanya, kerajaan tidak menjamin harga tersebut akan kekal sepanjang masa kerana ia bergantung keadaan semasa.

     
     
  • Volkswagen Golf Mk8.5 di M’sia – R-Line dapat 1.5 MHEV, 150 PS, DSG; GTI dengan 265 PS dari RM250k

    Volkswagen Golf Mk8.5 di M’sia – R-Line dapat 1.5 MHEV, 150 PS, DSG; GTI dengan 265 PS dari RM250k

    Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) telah pun memperkenalkan barisan Golf Mk8.5 dengan menampilkan model ikoniknya iaitu Golf GTI dan R-Line. Walau bagaimana pun, VPCM berkata buat masa ini Golf R-Line baharu yang kini kembali ke pasaran tempatan hanya untuk pra-tonton sahaja.

    Manakala Golf GTI baharu dijual pada harga bermula RM255,990 termasuk Pakej Jaminan Volkswagen. Sebagai tawaran istimewa untuk masa terhad, pembeli awal boleh menikmati harga eksklusif RM249,990 termasuk VAP untuk Golf GTI, terhad kepada 50 unit pertama sahaja dengan pendaftaran sebelum 31 Disember 2025.

    Bagi Golf R-Line, ia dijanakan oleh enjin 1.5 eTSI turbo hibrid ringkas 48-voltan ((MHEV) dengan hamburan kuasa 150 PS (110 kW) dan tork 250 Nm dari 1,500 hingga 3,500 rpm yang dipadankan bersama transmisi DSG tujuh-kelajuan dengan sistem shift-by-wire. Ia mampu memecut dari 0–100 km/j dalam masa 8.6 saat dengan penggunaan bahan api sekitar 5.5 liter bagi setiap 100 km, serta menawarkan kecekapan dan kestabilan pemanduan yang lebih mantap.

    Volkswagen Golf Mk8.5 di M’sia – R-Line dapat 1.5 MHEV, 150 PS, DSG; GTI dengan 265 PS dari RM250k

    Untuk Golf GTI baharu pula, ia dikuasakan enjin petrol 2.0 TSI turbocharged yang menghasilkan 265 PS (195 kW) iaitu peningkatan sebanyak 20 PS berbanding model sebelumnya dan tork 370 Nm dari 1,600 rpm hingga 4,500 rpm. Ia masih dipadankan dengan transmisi DSG tujuh-kelajuan, kunci pembezaan hadapan elektronik XDS dan peredam adaptif Dynamic Chassis Control (DCC).

    Untuk imejnya pula, Golf R-Line menampilkan gaya dinamik serta pengalaman pemanduan sporty untuk mereka yang menginginkan keseronokan dengan keselesaan harian. Sementara Golf GTI pula terus mendefinisikan semula segmen hot hatch dengan gabungan di antara praktikaliti harian dan prestasi yang mengujakan.

    Dipasang secara tempatan (CKD) di kilang Volkswagen di Pekan, kedua-dua varian ini menampilkan panel bawah badan yang telah dipertingkatkan. Selain elemen aerodinamik yang direka untuk meningkatkan aliran udara, kestabilan, dan kecekapan bahan api.

    Reka bentuk barisan Golf baharu kini tampil dengan garis yang lebih tajam, memberikan penampilan lebih moden dan ekspresif dari bahagian hadapan. Manakala bampar hadapan baharu menjadi signatur utamanya. Selain itu, elemen visual yang menyerlah ialah logo Volkswagen bercahaya yang diposisikan pada bampar hadapan, pertama kali diberikan buat model Volkswagen di Malaysia, serta lampu hadapan LED yang direka semula.

    Ia juga dilengkapi lampu utama IQ.LIGHT LED Matrix, lampu belakang IQ.LIGHT 3D LED yang direka semula, dipadankan dengan lampu isyarat membelok dinamik dan animasi grafik belakang sekaligus menyerlahkan gaya elegan yang penuh fungsi.

    Untuk Golf R-Line, ia juga ditampilkan dengan bampar hadapan dan gril radiator dengan reka bentuk R-Line. Manakala bampar belakangnya pula digabungkan bersama paip ekzos krom di kiri dan kanan. Profil sisinya pula nampap lebih sporty dengan skirt sisi R-Line dan ia juga dilengkapi rim aloi Coventry 17-inci dibaluti tayar 225/45 R17.

    Berbeza dengan Golf GTI, pada bahagian hadapannya diberikan gril radiator dan corong pengambilan
    udara hadapan berbentuk sarang lebah. Manakala bampar belakang GTI menampilkan paip ekzos krom berkembar di kiri dan kanan. Golf GTI juga diberikan skirt sisi dan rim aloi Richmond bersaiz 18-inci dengan tayar 225/40 R18.

    Golf GTI (kiri) & Golf R-Line (kanan)

    Menjengah bahagian dalamannya, ia menerima rekaan yang dipertingkatkan dan mempertaruhkan banyak ciri digital yang mengutamakan aspek keselesaan, kawalan intuitif dan gaya sporty yang menjadi identiti Golf. Persamaan ciri yang dikongsikan antara R-Line dan Golf ialah paparan infotainmen 12.9-inci gaya tablet dengan sistem baharu MIB4 daripada Volkswagen, menawarkan antara muka pengguna yang lebih pantas, responsif serta dilengkapi navigasi binaan dalam.

    Begitu juga dengan Digital Cockpit Pro yang digabungkan bersama paparan skrin TFT beresolusi tinggi 10-inci, membolehkan pemandu menyesuaikan menu dan maklumat sepenuhnya. Terdapat pilihan tiga paparan berbeza iaitu Classic, Reduced dan Navigation bersama tema warna yang boleh diubah.

    Selain itu, ia juga ditampilkan dengan bantuan suara IDA dengan fungsi voice enhancer bagi kemudahan
    kawalan bebas tangan, stereng sport pelbagai fungsi dibalut kulit dengan ciri pemanas dan butang fizikal, paddle shifter, sistem ppenyaman udara automatik Air Care Climatronic tiga-zon termasuk kawalan khas untuk penumpang belakang. Ciri lain termasuk penapis alergen dan penapis udara dipertingkat, sambungan tanpa wayar Apple CarPlay dan Android Auto, pengecasan tanpa wayar, kawalan sentuh bercahaya untuk sistem penyaman udara (HVAC) dan kawalan kelantangan audio.

    Golf GTI (atas) & Golf R-Line (bawah)

    Untuk Golf R-Line, ia diberikan pelapik bumbung hitam R-Line, pedal keluli tahan karat (Brushed Stainless Steel), stereng sport pelbagai-fungsi R-Line balutan kulit dengan butang fizikal untuk rasa kawalan lebih semula jadi, kemasan Carbon Grey R-Line pada papan pemuka dan panel pintu hadapan, upholsteri fabrik R-Line di untuk tempat duduk hadapan dan kemasan Artvelours pada tempat duduk belakang, serta sistem audio bersama tujuh pembesar suara, dua port USB-C di hadapan dan belakang.

    Bagi Golf GTI pula, ruang dalamannya menampilkan pelapik bumbung hitam GTI, pedal keluli tahan karat, stereng sport pelbagai fungsi GTI balutan kulit dengan butang kawalan fizikal untuk respons yang lebih tepat, kemasan Black Metal Chrome GTI pada papan pemuka, panel pintu hadapan serta tempat duduk hadapan GTI sporty balutan kulit Vienna, dan kemasan Black Metal Chrome pada papan pemuka dan panel pintu hadapan.

    Ia juga diberikan sistem audio Harman Kardon 480-watt dengan sembilan pembesar suara dan subwoofer yang dikuasakan oleh penguat digital 12-saluran termasuk bunyi bass yang dalam dan seimbang di setiap tempat duduk itu semuanya mudah dikawal melalui paparan infotainmen intuitif. Ciri lain termasuk dua port USB-C di hadapan dan belakang, Head-Up Display (HUD) yang memaparkan maklumat penting terus ke cermin hadapan seperti tahap kelajuan, arahan navigasi dan amaran bantuan pemandu bagi memastikan pemandu kekal fokus di jalan raya.

    Untuk ciri keselamatan, kedua-dua varian ditampilkan teknologi IQ.DRIVE yang merangkumi Auto Emergency Braking (Front Assist) dengan pemantauan pejalan kaki, Travel Assist dengan Adaptive Cruise Control (ACC), Rear Traffic Alert dan Exit Warning, Park Distance Control, Driver Attention Detection, Emergency Assist, Side Assist dan Lane Assist. Ia juga diberikan tujuh-beg udara, ESC dengan electromechanical brake booster, EDL (Electronic Differential Lock), ASR (Traction Control), dua cagak ISOFIX.

    Kedua-dua varian ditawarkan dalam pilihan warna menarik iaitu putih (Oryx White), kelabu (Moonstone Grey), hitam (Grenadilla Black), merah (Kings Red), dan biru (Anemone Blue). Setiap pembeliannya disokong dengan pakej jaminan Volkswagen Assurance Package (VAP) yang merangkumi lima-tahun penyelenggaraan percuma, lima-tahun jaminan perbatuan dann lima-tahun bantuan tepi jalan percuma.

    Jika anda ingin melihat Golf R-Line dan Golf GTI di hadapan mata, jom berkunjung ke acara Auto Car Expo (ACE) 2025 yang akan berlangsung pada 8-9 November ini di Setia City Convention Centre (SCCC).

    GALERI: Volkswagen Golf R-Line Mk8.5

    GALERI: Volkswagen Golf GTI Mk8.5

     
     
  • Mazda CX-5 generasi ke-3 akan sampai Malaysia pada suku ke-3 2026, dijual bersama model generasi kedua

    Mazda CX-5 generasi ke-3 akan sampai Malaysia pada suku ke-3 2026, dijual bersama model generasi kedua

    Pengerusi eksekutif Bermaz Auto Tan Sri Ben Yeoh mendedahkan bahawa model generasi ketiga untuk SUV Mazda CX-5 bakal sampai ke pasaran Malaysia pada suku ketiga 2026 dan ia akan ditawarkan dalam versi diimport sepenuhnya (CBU) terlebih dahulu.

    “CX-5 baharu mungkin akan tiba menjelang suku ketiga tahun hadapan dalam bentuk CBU dan kami mungkin akan menjalankan aktiviti perindustrian selepas itu, mungkin kira-kira 12-16 bulan,” katanya ketika sesi soal jawab selepas berlangsungnya majlis pelancaran model Mazda 3 1.5L High Plus dan trak pikap BT-50 facelift pagi tadi.

    “Aktiviti perindustrian” yang beliau maksudkan adalah berkenaan pemasangan tempatan (CKD) bagi model tersebut, dan ia adalah bersamaan seperti apa disebut dalam laporan penyelidikan pasaran oleh Maybank Investment Bank sebelum ini. Apa yang menarik, Yeoh turut mendedahkan bahawa ketika CX-5 generasi ketiga dilancarkan kelak, model generasi kedua akan terus ditawarkan dalam pasaran, di mana model berkenaan kini dihasilkan secara CKD di kilang Inokom di Kulim, Kedah.

    Mazda CX-5 generasi ke-3 akan sampai Malaysia pada suku ke-3 2026, dijual bersama model generasi kedua

    Beliau turut menjelaskan, ketika dilancarkan nanti CX-5 generasi ketiga hanya akan ditawarkan dengan 2.5 liter, sementara bagi model generasi kedua pula hanya ditawarkan dengan enjin 2.0 liter. Buat masa sekarang CX-5 generasi kedua sedia ada pada pasaran Malaysia turut ditawarkan dengan enjin 2.5 liter NA dan juga 2.5 liter Turbo selain 2.0 liter NA.

    Manakala bagi Mazda CX-5 generasi ketiga yang baru dididedahkan pada peringkat global Julai lalu hanya ditawarkan dengan satu pilihan unit rangkaian kuasa iaitu e-SkyActiv-G yang menggandingkan enjin 2.5 liter empat silinder sebaris dan juga sistem hibrid ringkas 24-volt. Enjin berkenaan ditala dengan kuasa 141 PS dan tork maksima 238 Nm, dialirkan ke kotak gear automatik SkyActiv-Drive enam kelajuan.

     
     
  • Mazda BT-50 facelift 2025 kini di M’sia — 3.0D High Plus, lebih RM20k lagi murah dari D-Max, RM140k

    Mazda BT-50 facelift 2025 kini di M’sia — 3.0D High Plus, lebih RM20k lagi murah dari D-Max, RM140k

    Mazda BT-50 generasi ketiga — yang menggunakan asas daripada Isuzu D-Max generasi ketiga — kini kembali ditawarkan di pasaran Malaysia dalam penawaran facelift terbaru, yang diperkenalkan untuk pasaran global pada Oktober tahun lalu.

    Ia hadir hanya dalam satu varian, 3.0D High Plus Double Cab, dengan harga RM140,418.40 atas jalan belum termasuk insurans. Harga ini RM3,300 lebih murah berbanding varian yang setara ditawarkan sebelum ini pada 2022, bersama dengan empat varian lain ketika itu.

    Perubahan yang ditampilkan untuk versi facelift ini ialah wajah depan lebih mirip dengan wajah depan kereta penumpang Mazda yang lain. Gril baru dengan bahagian bawah lebih tebal serta logo Mazda yang lebih besar disudahi dengan kemasan hitam berkilat yang lebih menonjol.

    Mazda BT-50 facelift 2025 kini di M’sia — 3.0D High Plus, lebih RM20k lagi murah dari D-Max, RM140k

    Bahagian lampu depannya juga diberi rekaan baru, dengan DRL bentuk L yang mirip pada CX-5 terkini yang ada di Malaysia. Bampar depan hadir dengan tirai udara serta skid plate yang lebih garang dan berimej lasak.

    Bahagian belakang, lampu kini hadir dengan corak bentuk L juga. Sama seperti di depan, logo Mazda kini lebih besar yang terletak di bawah pemegang pintu kargo belakang dan kamera pandang belakang.

    Pembaharuan penampilannya bagaimanapun tidak berlaku dalam bahagian kabin: ia kelihatan sama seperti model yang ada sebelum ini, kecuali beberapa perubahan kecil. Papan pemuka yang tegak masih dikekalkan, dengan corong pendingin mengapit kedudukan skrin infotainmen yang terletak di atas tombol pengawalnya. Antara kelainan yang diberikan adalah kemasan di bahagian depan penumpang, sementara paparan multi-info di kluster instrumen lebih banyak paparan boleh dilihat dengan skrin lebih besar, tujuh-inci.

    Mazda BT-50 facelift 2025 kini di M’sia — 3.0D High Plus, lebih RM20k lagi murah dari D-Max, RM140k

    Paparan instrumen berkenaan disertai juga oleh skrin sentuh sembilan-inci untuk sistem infotainmen dengan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay, dengan lapan-pembesar suara. Selain itu tersedia kawalan pendingin dua zon dengan corong di belakang, kerusi pemandu larasan kuasa lapan-arah, tombol penukar pacuan empat-roda, tujuh beg udara dan kerusi balutan kulit hitam.

    Kelengkapan lain yang ada termasuk rim 18-inci dengan tayar semua permukaan bersaiz 265/60, lampu utama bi-LED automatik, lampu kabus LED di depan, lampu kabus jenis bulp di belakang, pengilap cermin dengan sensor hujan, sistem pintar tanpa kunci, sensor parkir depan dan belakang, landasan bumbung (beban 100 kg), pemijak sisi dan pengalas ruang kargo. Harga yang dinyatakan itu termasuk juga dengan pakej aksesori dengan bahagian penutup ruang belakang, lanjutan bahagian lengkung tayar dan cermin pandang belakang dengan paparan kamera pandang belakang.

    Untuk enjin, unit 4JJ3-TCX dari Isuzu terus digunakan, menghasilkan sebanyak 188 hp pada 3,600 rpm dan 450 Nm tork dari 1,600 hingga 2,600 rpm. Ini digandingkan pula dengan transmisi automatik enam-kelajuan dan sistem pacuan empat roda separuh masa dengan mod 2WD, 4WD-High dan 4WD-Low, mod permukaan kasar serta rear differential lock.

    Untuk keselamatan, ia hadir dengan ciri ABS, EBD, brake assist dan ESC, serta ada juga fungsi bantuan mula mendaki, kawalan menuruni curam dan brek multi-perlanggaran. Ciri ADAS juga lengkap dengan fungsi seperti lampu tinggi automatik, peninjau titik buta, amaran lintasan trafik belakang, amaran penukaran lorong, kawalan melayar adaptif, bantuan perhatian pemandu, amaran perlanggaran depan dan brek kecemasan automatik.

    BT-50 terbaru ini datang dalam lima pilihan warna — Concrete Gray Mica, Vermillion Latosol Mica, True Black Mica, Geode White Pearl atau Sailing Blue Mica. Jaminan lima-tahun/100,000 km juga diberikan.

    Mazda BT-50 3.0D High Plus Double Cab 2025

     
     
  • Leapmotor B10 muncul dalam teaser pasaran Malaysia – 218 PS, 434 km ikut WLTP; dilancar tidak lama lagi?

    Leapmotor B10 muncul dalam teaser pasaran Malaysia – 218 PS, 434 km ikut WLTP; dilancar tidak lama lagi?

    Stellantis Malaysia telah mengeluarkan teaser model baharu Leapmotor yang dikatakan bakal muncul tidak lama lagi. Imej pada teaser tersebut bagaikan SUV bersaiz kecil dan kemungkinan ia adalah B10.

    Crossover elektrik segmen-C ini pernah juga kelihatan di Malaysia pada hujung bulan lalu dan tidak mustahil ia bakal dilancarkan di pasaran kita tidak lama lagi. B10 merupakan model global ketiga diproduksi syarikat pengeluar kenderaan dari China ini selepas C10 dan T03 (yang tidak ditawarkan di Malaysia). Ia berukuran 4,515 mm panjang, 1,885 mm lebar dan 1,655 mm tinggi dengan jarak roda 2,735 mm. Dengan saiz dimensi sebegitu, ia mampu memberikan persaingan sengit buat BYD Atto 3 dan Proton eMas 7.

    Kuasa disalurkan dari motor elektrik belakang dengan output 218 PS (160 kW) dan tork 240 Nm, membolehkan B10 ini dipecut dari sifar ke 100 km/j dalam lapan saat dan kelajuan maksimum boleh dicapai hingga 170 km/j. Ia juga ditawarkan dengan dua pilihan bateri lithium iron phosphate (LFP) iaitu yang asas dijanakan unit 56.2 kWh yang mampu memberikan jarak gerak hingga 361 km mengikut kitaran WLTP, dan pek bateri besar berkapasiti 67.1 kWh dengan jarak gerak hingga 434 km.

    Leapmotor B10 muncul dalam teaser pasaran Malaysia – 218 PS, 434 km ikut WLTP; dilancar tidak lama lagi?

    B10 menyokong pengecasan pantas DC sehingga 140 kW bagi model standard dan 168 kW dengan bateri jarak jauh; kedua-duanya mengambil masa kira-kira 20 minit untuk dicas dari 30% hingga 80%. Ia juga menyokong pengecasan AC sehingga 11 kW, dengan masa pengecasan penuh masing-masing selama enam jam 45 minit dan lapan jam. Fungsi vehicle-to-load (V2L) 3.3 kW turut disertakan sebagai standard.

    Kelihatan seolah-olah versi pendek kepada C10, B10 mengekalkan semua elemen reka bentuk khas seperti ‘abangnya’ itu, termasuk jalur plastik lutsinar di bahagian hadapan, bentuk organik, pemegang pintu yang rata dan tersembunyi, serta lampu belakang penuh lebar yang memberikan sentuhan ala mini Porsche Cayenne. Namun berbeza dengan C10, B10 hadir dengan lampu hadapan terpisah dilengkapi lampu nyalaan siang (DRL) berbentuk “bendera kotak-kotak” dan bampar hadapan berwarna hitam. Saiz rimnya hanyalah 18-inci, yang dianggap agak kecil berbanding standard kelasnya.

    Bahagian dalam B10 sedikit lebih bergaya berbanding C10, dengan kemasan perak pada stereng dua-jejari dan corong udara berbentuk segi empat. Ciri unik lain termasuk rekaan berlubang di hadapan tempat duduk penumpang hadapan dan pemegang cawan berbentuk segi empat yang boleh dilipat di bawah konsol tengah terapung. Di China, kereta ini ditawarkan dengan meja lipat untuk penumpang, namun sayangnya ciri ini nampaknya tidak dibawa ke pasaran antarabangsa.

    Sebaliknya, model ini didatangkan standard dengan paparan instrumen digital bersaiz 8.8-inci yang bergerak bersama ruang stereng, serta skrin sesentuh infotainmen 14.6-inci. Tidak seperti C10, B10 akan ditawarkan dengan Apple CarPlay dan Android Auto, walaupun hanya melalui kemaskini perisian pada bulan Januari nanti.

    Walaupun B10 secara asasnya bersaing dengan Atto 3 dan eMas 7, kedudukannya di pasaran Malaysia menjadi rumit berikutan penurunan harga C10 baru-baru ini – pada harga RM125,000, model segmen-D itu hanya berbeza beberapa ribu ringgit sahaja daripada kedua-dua pesaing tersebut.

    Keadaan ini menyebabkan B10 mempunyai ruang harga yang sangat terhad berbanding paras harga minimum sekitar RM100,000 bagi kenderaan elektrik (EV) import sepenuhnya (CBU). Namun, dengan berakhirnya pengecualian cukai bagi model import sepenuhnya tidak lama lagi, pasaran dijangka akan mengalami pelarasan harga besar-besaran. Rasanya Leapmotor mungkin lebih baik menangguhkan pelancaran B10 sehingga kilang Stellantis di Gurun, Kedah memulakan pemasangan tempatan tahun depan, yang berpotensi menurunkan harganya di bawah paras RM100,000.

    GALERI: Leapmotor B10 di Auto Shanghai 2025

     
     
  • Alfa Romeo kembali ke Malaysia – Giulia dan Stelvio Veloce dibayang sebagai model awalan, 280 PS/400Nm

    Alfa Romeo kembali ke Malaysia – Giulia dan Stelvio Veloce dibayang sebagai model awalan, 280 PS/400Nm

    Ini bukan lagi khabar angin – jenama ikonik Itali iaitu Alfa Romeo secara rasmi telah mengaktifkan laman web rasmi dan juga media sosial ‘Alfa Romeo Malaysia’, menandakan ia bakal kembali ke pasaran tempatan!

    Malah kehadiran semula jenama itu bukanlah akan dimulakan dengan model-model entry level, sebaliknya Alfa Romeo Malaysia telahpun membuka pendaftaran minat (ROI) untuk sedan sport Alfa Romeo Giulia dan juga kembar SUVnya iaitu Stelvio.

    Dalam pendaftaran minat yang boleh dibuat di laman web rasmi Alfa Romeo Malaysia tersebut mendedahkan kedua-dua model ini akan ditawarkan dalam varian Veloce, iaitu varian sporty satu anak tangga di bawah varian paling agresif Quadrifoglio.

    Alfa Romeo Giulia Veloce digerakkan oleh enjin 2.0 liter empat silinder turbo berkuasa 280 PS dan tork maksima 400 Nm, digandingkan dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan dari ZF, bagi memacu roda belakang menerusi gandar yang dipadankan dengan LSD secara standard, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 5.7 saat. Manakala Stelvio Veloce menerima kelengkapan yang sama tetapi ditambah dengan sistem pacuan semua roda.

    Alfa Romeo kembali ke Malaysia – Giulia dan Stelvio Veloce dibayang sebagai model awalan, 280 PS/400Nm

    Kehadiran semula Alfa Romeo ke Malaysia sebenarnya sudahpun dibayangkan oleh pengarah urusan Stellantis ASEAN iaitu Isaac Yeo dalam temubual bersama paultan.org pada Ogos lalu. Beliau menyebut bahawa selain Leapmotor dan Peugeot, Stellantis turut akan membawa semula dua lagi jenama yang kini berada di bawah kumpulan tersebut iaitu Alfa Romeo dan Jeep.

    Menurutnya lagi kehadiran dua jenama ikonik ini ke Malaysia kelak bukanlah secara besar-besaran dan bukan diuruskan secara terus oleh Stellantis Malaysia, sebaliknya Alfa Romeo dan Jeep akan diuruskan oleh entiti berbeza yang disifatkan sebagai ‘sistem model hibrid’ mengoperasikan perniagaan ‘gaya butik’ yang sesuai untuk menjual kenderaan dalam jumlah yang kecil.

    Walau bagaimanapun model perniagaan tersebut mungkin hanya untuk jangka masa pendek, dan mungkin Stellantis akan mengambil alih sepenuhnya semula selepas dua tahun. Stellantis juga berpotensi untuk mengembangkan lagi kehadiran Alfa Romeo di Malaysia kerana ia mempunyai fasiliti pemasangan di Gurun, Kedah yang pastinya mempunyai kebolehan untuk memasang model-model Alfa Romeo secara CKD di sini, seterusnya menawarkan harga yang lebih kompetitif.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.67 (0.00)
EURO 5 B7 RM4.87 (0.00)
Last Updated Jun 11, 2026