Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Mazda 3 1.5L High Plus rasmi di Malaysia — gaya Sedan dan Liftback, 1.5L 118 hp/153 Nm, dari RM120k

    Mazda 3 1.5L High Plus rasmi di Malaysia — gaya Sedan dan Liftback, 1.5L 118 hp/153 Nm, dari RM120k

    Bermaz Motor hari ini telah memperkenalkan secara rasmi satu varian baru untuk Mazda 3, dikenali sebagai 1.5L High Plus yang ditawarkan dalam gaya badan sedan dan hatchback (atau dikenali juga sebagai Liftback). Ini menandakan kembalinya penawaran varian dengan enjin 1.5 liter untuk Mazda, selepas digugurkan ketika Mazda 3 diberikan kemaskini pada Oktober 2023.

    Merupakan varian yang diimport sepenuhnya dari Jepun sama seperti varian lainnya, Mazda 3 1.5L High Plus dijual dengan harga RM119,620 atas jalan belum termasuk insurans. Ini menjadikannya RM36,439 lebih murah berbanding varian 2.0L High (RM156,059) yang paling mampu milik bagi varian 2.0L. Berbanding dengan varian 2.0L High Plus yang dijual dengan harga RM166,059, varian terbaru ini RM46,439 lebih murah.

    Mazda 3 1.5L High Plus rasmi di Malaysia — gaya Sedan dan Liftback, 1.5L 118 hp/153 Nm, dari RM120k

    Dari segi kelengkapan, Mazda 3 1.5L High Plus memberikan penawaran yang hampir sama dengan 2.0L High Plus sedia ada. Ciri standard yang ada termasuklah rim aloi 18-inci dengan tayar Bridgestone Turanza T005A 215/45, lampu utama LED, pengilap cermin dengan sensor serta sistem tanpa kunci. Satu ciri yang tak diberikan untuk 1.5L High Plus berbanding 2.0L High Plus ialah sunroof larasan kuasa elektrik.

    Di dalam, antara kelengkapan yang ada ialah paparan kluster instrumen tujuh-inci, paddle shifter, kawalan pendingin dua-zon dengan corong di belakang, kerusi pemandu larasan elektrik dengan fungsi memori, kerusi balutan kulit, paparan infotainmen 10.25-inci, sokongan Apple CarPlay tanpa wayar dan Android Auto dengan wayar, lapan-pembesar suara dan pengecas telefon tanpa wayar.

    Mazda 3 1.5L High Plus rasmi di Malaysia — gaya Sedan dan Liftback, 1.5L 118 hp/153 Nm, dari RM120k

    Ciri ADAS juga datang standard untuk 1.5L High Plus, dengan ciri seperti lampu utama yang responsif terhadap stereng (AFS), lampu tinggi automatik, peninjau titik buta, amaran lintasan trafik di belakang, amaran penukaran lorong, bantuan mengekalkan lorong, amaran perhatian pemandu, brek kecemasan autonomous depan dan belakang, Mazda Radar Cruise Control (MRCC) dan sokongan melayar dan trafik (CTS).

    Seperti varian 2.0L High Plus, varian 1.5L High Plus ini juga tidak hadir dengan ciri amaran lintasan trafik di depan, yang memang tidak disertakan untuk model Mazda 3 selain versi 2.0L Ignite Edition. Ada juga tujuh beg udara yang didatangkan sebagai standard untuk semua Mazda 3, begitu juga dengan ciri sensor parkir depan dan belakang, serta kamera undur.

    Untuk enjin, varian ini menggunakan unit Skyactiv-G 1.5 liter NA empat-silinder sebaris petrol yang sama dengan penawaran 1.5L Mid terdahulu. Ia menghasilkan 118 hp dan 153 Nm, kurang daripada kuasa janaan enjin 2.0 liter yang memberikan 162 hp dan 213 Nm. Ini digandingkan dengan transmisi Skyactiv-Drive enam-kelajuan yang memacu roda depan. Ciri G-Vectoring Control Plus (GVC Plus) juga tersedia.

    Pilihan warna yang tersedia sama seperti sebelum ini: Deep Crystal Blue, Snowflake White Pearl, Soul Red Crystal, Machine Gray, Platinum Quartz, Jet Black dan Polymetal Gray. Ia datang dengan jaminan lima-tahun/100,000 km dan pakej penyelenggaraan percuma (termasuk kos buruh, alat ganti dan minyak pelincir). Ini termasuk juga filem penapis haba Active-e yang diberikan sekali.

    Mazda 3 1.5L High Plus 2025 Liftback

    Mazda 3 1.5L High Plus 2025 Sedan

    Risalah spesifikasi:

     
     
  • JPJ eBid: QS_X dan DFN bakal dibuka untuk bidaan

    Bulan ini turut menyaksikan makin banyak syarikat kenderaan memperkenalkan model baharu serta mengadakan pelbagai promosi jualan menarik termasuk menawarkan diskaun dan rebat tunai. Mungkin anda ada berhajat untuk memiliki kenderaan baharu, jadi inilah masa yang sesuai untuk membelinya. Bagi yang sudah menempah kenderaan baharu, ini ada siri nombor pendaftaran terkini dari Sarawak dan Kelantan yang bakal dibuka bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), siri nombor pendaftaran terkini dari Sarawak, QS_X, bakal dibuka bidaannya mulai 13 November. Bidaannya akan berakhir jam 10 malam pada 17 November. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 18 November 2025. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala siri nombor pendaftaran terkini Kelantan, DFN, bakal dibuka bidaan mulai 21 November. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 25 November, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 26 November 2025.

    Disebabkan sekarang ini banyak urusan yang boleh dibuat secara dalam talian, jadi kalau nak dapatkan nombor pendaftaran kenderaan terkini, anda boleh lakukan sendiri tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • BMW F450 GS versi produksi didedah – enjin dua silinder selari 420 cc 48 hp, empat varian, klac ERC

    BMW F450 GS versi produksi didedah – enjin dua silinder selari 420 cc 48 hp, empat varian, klac ERC

    Selepas satu tahun model konsep ditunjuk, BMW Motorrad akhirnya mendedahkan F450 GS versi produksi sewaktu pameran EICMA 2025 yang sedang berlangsung sekarang. Ia diperkenalkan dalam empat versi iaitu Basic (paling rendah), Exclusive, Sport dan Trophy (paling tinggi).

    Menurut BMW, ini adalah sebuah model serba baru, yang dibangunkan dengan fokus kepada pengendalian cemerlang, prestasi kuat, ketahanan dan ketercapaian. Reka bentuknya mengikuti konsep GS yang lain termasuk dengan pencahayaan lampu berbentuk X di hadapan, manakala casis pula terdiri daripada kerangka tiub besi.

    Menggerakkan F450 GS ini adalah enjin dua silinder selari 420 cc, yang dihasilkan dengan kerjasama TVS, mampu menghasilkan kuasa sehingga 48 hp pada 8,750 rpm (bersesuaian untuk lesen kelas A2 di Eropah) dan tork 43 Nm pada 6,750 rpm.

    BMW F450 GS versi produksi didedah – enjin dua silinder selari 420 cc 48 hp, empat varian, klac ERC

    Enjin ini membawa keunikan dengan menggunakan tetapan crankpin offset untuk crankshaft 135 darjah bersama satu syaf pengimbang, yang dikatakan dapat memberi karekter lebih memuaskan sambil mengurangkan gegaran. Tangki bahan api berkapasiti 14 liter dan diberitahu dapat membawa motosikal ini untuk perjalanan sehingga 350 km dengan sekali isian.

    Transmisi adalah unit enam kelajuan, yang didatangkan terus dengan Shift Assistant Pro (quickshifter) pada semua varian kecuali Basic. Kemudiannya tidak cukup dengan itu, BMW juga menambah satu lagi fungsi pada varian Trophy iaitu Easy Ride Clutch (ERC) yang mana tidak memerlukan tarikan tuil tangan apabila bukan sahaja mahu menaik dan menurunkan gear, tetapi juga sewaktu mahu berhenti dan memulakan perjalanan.

    Dalam keadaan standard, F450 GS datang dengan rim aluminium 19 inci di hadapan, dibalut tayar tanpa tiub 100/90 dan 17 inci di belakang, dibalut tayar 130/80. Walaubagaimanapun, rim spoked disediakan sebagai pilihan tambahan jika pemilik mahukan sesuatu yang lebih lasak.

    BMW F450 GS versi produksi didedah – enjin dua silinder selari 420 cc 48 hp, empat varian, klac ERC

    Jarak gerak untuk suspensi hadapan dan belakang adalah sama, iaitu 180 mm, hasil daripada penggunaan fork USD Kayaba 43 mm dan monoshock Kayaba dengan pelarasan pra beban dan serapan. Bagi varian Sport dan Trophy, ia dinaik taraf dengan fork sport yang mempunyai larasan mampatan dan lantunan.

    Pada bahagian brek, F450 GS menggunakan tetapan cakera tunggal 310 mm dengan angkup Brembo empat piston di hadapan, dan cakera tunggal 240 mm dengan angkup Bybre satu piston di belakang. Selain ABS Pro yang boleh berfungsi sewaktu mengambil selekoh, sistem keselamatan turut dibantu oleh Dynamic Brake Control (DBC) dan Dynamic Brake Light.

    Tiga mod tunggangan disediakan pada F450 GS, iaitu Rain, Road dan Enduro, dan kemudiannya ditambah lagi dengan Enduro Pro bagi varian Exclusive ke atas. Melengkapkan ciri keselamatannya adalah Dynamic Traction Control (DTC) Engine Drag Torque Control.

    BMW F450 GS versi produksi didedah – enjin dua silinder selari 420 cc 48 hp, empat varian, klac ERC

    Melihat kepada varian Basic, F450 GS ini mencatat berat 178 kg (sedia ditunggang) dan mempunyai tinggi tempat duduk 845 mm. Jika ini tidak bersesuaian, pemilik boleh mendapatkan tempat duduk yang lebih rendah, iaitu 830 mm atau lebih tinggi, 865 mm yang disediakan sebagai pilihan tambahan.

    Kelengkapan lain yang disediakan adalah termasuk lampu LED, skrin TFT 6.5 inci dengan sambungan kepada telefon pintar serta soket pengecas USB-C. Harga F450 GS yang diketahui setakat ini untuk pasaran United Kingdom adalah antara £6,990 (RM38,360) ke £7,760 (RM42,586).

     
     
  • Suzuki SV-7GX didedah di EICMA 2025 – enjin dua silinder V 645 cc 73 PS, quickshifter, TFT 4.2 inci

    Suzuki SV-7GX didedah di EICMA 2025 – enjin dua silinder V 645 cc 73 PS, quickshifter, TFT 4.2 inci

    Suzuki tiba di pameran EICMA 2025 dengan membawa sebuah model serba baru dinamakan sebagai SV-7GX. Melihat kepada reka bentuknya, ia seakan menggabungkan semangat antara SV650 dan V-Strom 650, tetapi dengan reka bentuk sebuah model touring seperti GSX-S1000GX.

    Enjin yang digunakan juga sebenarnya adalah sama dengan dua model 650 yang disebutkan tadi, iaitu unit dua silinder V 90 darjah 645 cc DOHC, tetapi diberikan penambah baikan terutamanya pada bahagian intake dan ekzos untuk meningkatkan kecekapan pembakaran, memberikan maklum balas pendikit yang lebih baik serta menepati tahap emisi Euro 5+.

    Enjin ini dipadankan bersama transmisi enam kelajuan dan didatangkan secara terus dengan quickshifter yang boleh digunakan untuk naik dan turun gear. Melalui pakej ini, Suzuki mendakwa SV-7GX boleh menghasilkan 73 PS pada 8,500 rpm dan tork 64 Nm pada 6,800 rpm.

    Suzuki SV-7GX didedah di EICMA 2025 – enjin dua silinder V 645 cc 73 PS, quickshifter, TFT 4.2 inci

    Pada bahagian elektronik, motosikal ini menggunakan sistem pendikit ride-by-wire, seterusnya membolehkan ia dilengkapi dengan tiga pilihan mod tunggangan (A paling agresif, B sederhana dan C paling lembut dan kuasa dihadkan kepada 60 hp) serta kawalan cengkaman (tiga mod dan boleh ditutup).

    Kemudiannya di bahagian kokpit, SV-7GX dilengkapi dengan meter TFT 4.2 inci berwarna penuh, yang boleh disambung kepada telefon pintar, untuk memaparkan bukan sahaja notifikasi, tetapi juga arah navigasi. Turut disediakan adalah soket pengecas USB-C bersebelahan dengan meter ini.

    Setakat ini Suzuki hanya mendedahkan SV-7GX dalam versi yang menggunakan rim aluminium 17 inci hadapan dan belakang, menandakan ia lebih untuk kegunaan atas jalan biasa, dan ia masing-masing dipegang oleh fork teleskopik 41 mm yang mempunyai jarak gerak 125 mm dan monoshock dengan pelarasan pra beban dan jarak gerak 129 mm. Jarak kelegaan dari tanah pula adalah 135 mm, jauh lebih rendah berbanding V-Strom 650 XT yang mencatat 170 mm.

    Tugas membrek dilaksanakan oleh unit cakera berkembar 290 mm dengan angkup Nissin empat piston di hadapan dan cakera tunggal 240 mm dengan angkup satu piston di belakang. Meningkatkan ciri keselamatannya adalah sistem ABS dual-channel.

    Kelengkapan lain yang disediakan secara standard pada SV-7GX ini adalah termasuk penghadang tangan, penghadang angin boleh laras tiga tahap (manual), tapak kotak barangan belakang, tangki bahan api 17.4 liter serta semua lampu jenis LED (projector di hadapan). Tinggi tempat duduk adalah 795 mm, manakala berat keseluruhan 211 kg.

    Bagi menyesuaikan motosikal ini dengan penggunaan pemiliknya, Suzuki turut memperkenalkan pilihan aksesori tambahan yang termasuk beg barangan belakang dan tepi, penghadang angin hadapan lebih tinggi serta slider di bahagian tepi.

     
     
  • Nissan Ariya facelift 2026 buat penampilan di Jepun

    Nissan Ariya facelift 2026 buat penampilan di Jepun

    Selepas didedahkan Oktober lalu, model kemas kini Nissan Ariya akhirnya diperkenalkan secara rasmi di Japan Mobility Show. SUV elektrik ini menerima sedikit perubahan rekaan luaran, diinspirasikan daripada Nissan Leaf baru, bersama beberapa peningkatan kecil dari segi kemasan dan teknologi.

    Untuk model tahun 2026, Ariya menampilkan wajah baru yang lebih kemas apabila Nissan menggugurkan rekaan topeng hitam seakan gril pada bahagian hadapan. Lampu utama empat projektor LED masih dikekalkan, namun kini dihubungkan dengan panel hitam ringkas. Mengikuti gaya terkini model EV Nissan, lampu nyalaan siang berbentuk “taring” menjulur ke bawah daripada lampu utama, membentuk gaya V-Motion yang lebih moden.

    Selain itu, rim 20 inci lima jejari yang disediakan sebagai pilihan kini hadir dengan sisipan aero berjalur baru, memberikan sentuhan sporty tanpa menjejaskan tarikan reka bentuk keseluruhan. Walaupun perubahan luaran tidak terlalu ketara, reka bentuk asal Ariya yang futuristik masih kelihatan segar dan menarik.

    Nissan Ariya facelift 2026 buat penampilan di Jepun

    Bahagian dalam pula hampir tidak berubah. Ia mengekalkan rekaan papan pemuka mendatar yang ringkas, konsol tengah boleh laras secara kuasa serta kawalan pendingin hawa sesentuh yang tersembunyi. Namun, Nissan memperkenalkan pilihan kemasan dalaman dua tona baru yang menggabungkan putih dan biru pastel, menjadikan kabin tampak lebih elegan.

    Skrin paparan lebar dengan dua skrin 12.3 inci untuk kluster instrumen dan sistem infotainmen masih dikekalkan. Namun kali ini, Ariya dilengkapi sistem Google binaan dalam, termasuk Google Assistant, Google Maps dan akses ke Google Play Store untuk aplikasi tambahan. Ciri Vehicle-to-Load (V2L) turut ditambah bagi membolehkan kenderaan membekalkan tenaga elektrik kepada peralatan luar.

    Dari segi mekanikal, tiada perubahan besar diumumkan setakat ini. Namun, dijangka Nissan akan menambah baik kecekapan sistem pacuan bagi menandingi Leaf baru yang mampu mencapai jarak sehingga 604 km. Sebagai perbandingan, Ariya sedia ada ditawarkan dalam beberapa varian — model pacuan dua roda dengan kuasa 218 PS (160 kW) menggunakan bateri 63 kWh yang mampu mencapai jarak 385 km, serta versi jarak jauh 242 PS (178 kW) dengan bateri 87 kWh yang boleh bergerak sehingga 504 km. Varian e-4ORCE pacuan semua roda pula menawarkan 394 PS (290 kW) dengan jarak 487 km.

    Nissan turut mengesahkan bahawa Ariya facelift ini menerima talaan semula pada sistem suspensi untuk keselesaan pemanduan yang lebih baik di jalan raya Jepun. Model kemas kini ini dijangka mula dijual sebelum berakhirnya tahun fiskal pada 31 Mac 2026.

     
     
  • Proton Saga MC3 2026 akan dipamer di ACE 2025 hujung minggu ini — pakej penawaran serba baru

    Proton Saga MC3 2026 akan dipamer di ACE 2025 hujung minggu ini — pakej penawaran serba baru

    Proton Saga MC3 yang baru saja di dedahkan akan membuat penampilan di pameran Auto Car Expo (ACE) 2025 anjuran paultan.org hujung minggu ini.

    Banyak pembaharuan yang telah dilakukan untuk model ini. Antara yang paling utama ialah platform AMA — ia menggunakan platform Saga terdahulu, tetapi diberikan kejuruteraan semula untuk menguatkan semula kerangka Saga ini dengan menambahbaik beberapa struktur. Antaranya Proton telah menerapkan logam dengan teknologi Hot Press Forming (HPF) pada tiang-B dan juga bahagian cross member pada lantai yang memegang cagak tempat duduk.

    Ia menggunakan enjin “i-GT” yang dibangunkan oleh Aurobay BHE15, iaitu keluarga enjin yang sama dengan enjin yang kini dipadankan pada X50 facelift. Untuk Saga, enjin yang dibekalkan adalah dari varian BHE15PFI, iaitu versi tanpa turbo dan hanya hadir dengan sistem suntikan bahan api di port kemasukan udara (PFI), berbanding varian BHE15TD pada X50 yang disuap pengecas turbo serta datang dengan sistem suntikan bahan api terus (T-GDI) dan mampu menghasilkan kuasa 120 PS dan tork maksima 150 Nm.

    Proton Saga MC3 2026 akan dipamer di ACE 2025 hujung minggu ini — pakej penawaran serba baru

    Dua jenis transmisi ditawarkan untuk Saga – bagi varian paling tinggi iaitu Premium ia datang dengan kotak gear CVT, manakala dua varian lebih rendah pula iaitu Executive dan Standard, ia datang dengan kotak gear automatik konvensional empat kelajuan 4AT.

    Padanan unit rangkaian kuasa ini membolehkan Saga MC3 CVT mencapai penggunaan bahan api serendah 4.9L/100 km dan versi 4AT pula mampu mencapai 5.1L/100 km — kedua-duanya dalam kitaran ujian tempatan iaitu MDC.

    Dari aspek luaran, Proton Saga 2026 MC3 diberikan rombakan menyeluruh pada bahagian muka dan belakang. Ini merupakan Saga pertama yang menerima lampu hadapan LED, dan ia terus dengan jenis projektor LED, tetapi hanya ditawarkan untuk varian Premium dan Executive di mana Saga MC3 Standard hanya menerima lampu reflektor halogen.

    Proton Saga MC3 2026 akan dipamer di ACE 2025 hujung minggu ini — pakej penawaran serba baru

    Semua ini dan banyak lagi kemaskini dan pembaharuan yang dilakukan terhadap Proton Saga MC3 2026. Anda boleh ikuti laporan panjang kami di sini, serta tanggapan awal pandu uji ringkas di sini.

    Dekati Proton Saga MC3 2026 di ACE 2025 hujung minggu ini. Senarai jenama yang bakal tampil antaranya ialah BMW dan MINI (diwakili oleh Wheelcorp Premium), Audi, Volkswagen, Zeekr (diwakili oleh Carro), Jaecoo, Chery, Jetour, Hyundai, Ford, BYD, Perodua, Proton, Proton eMas, Isuzu dan smart (diwakili oleh EON). Semua jenama ini akan menawarkan promosi terbaik mereka sepanjang acara berlangsung.

    Bukan itu sahaja. Di ACE 2025, pengunjung juga akan menikmati pelbagai tawaran dan hadiah menarik daripada kami di paultan.org. 200 tempahan terawal akan menerima baucar bernilai RM2,500 untuk filem penapis haba, cucian serta aksesori kenderaan daripada V-Kool, Dodomat, Kuzig Glanz Detailing, The Carage dan Harman Kardon.

    Proton Saga MC3 2026 akan dipamer di ACE 2025 hujung minggu ini — pakej penawaran serba baru

    Selain itu, setiap tempahan yang telah disahkan melayakkan anda untuk menyertai cabutan bertuah bagi memenangi hadiah utama berupa percutian yang ditanggung sepenuhnya untuk dua orang bernilai RM10,000. Turut tersedia hadiah daripada Kärcher untuk dimenangi.

    Terus bersama kami untuk mengikuti perkembangan dan promosi istimewa yang akan diberikan oleh setiap jenama. Jadi, tandakan kalendar anda dan jumpa di ACE 2025 pada 8 dan 9 November nanti di SCCC, bermula 9 pagi hingga 7 malam. Jumpa di sana!

     
     
  • Bukan sekadar pemanduan lancar — PETRONAS Primax 95 dengan Pro-Drive beri penjimatan berganda

    Bukan sekadar pemanduan lancar — PETRONAS Primax 95 dengan Pro-Drive beri penjimatan berganda

    Seperti mana makanan yang dirasakan sedap di lidah tidak semestinya berkhasiat untuk tubuh kita, begitu juga dengan minyak apa yang kita gunakan untuk kenderaan. Pernah terfikir tentang isian bahan api bagaimana yang mampu memberikan bukan hanya rasa pemanduan yang baik, tetapi juga baik untuk komponen dalaman enjin kenderaan anda?

    Pengguna yang sudah biasa dengan PETRONAS Primax 95 dengan Pro-Drive menikmati prestasi enjin kenderaan mereka yang sangat lancar, yang diterjemahkan melalui maklum balas segera serta senang ketika memotong tanpa ada bunyi “knocking” dari enjin yang boleh terjadi ketika menekan pedal minyak.

    Dan ketika anda menikmati “rasa” yang lancar ketika menekan pedal minyak ketika dalam keadaan trafik kota yang sesak mahupun ketika di lebuh raya, enjin kenderaan juga berada dalam keadaan yang sama ketika ia dikerah untuk bekerja keras. Kurang beban kepada enjin akan memberikan manfaat segera dan untuk jangka masa panjang — enjin akan menggunakan kurang bahan api (lebih cekap, jarak lebih jauh) dan ini membantu mengekalkan kesihatan enjin untuk tempoh yang lama.

    Bukan sekadar pemanduan lancar — PETRONAS Primax 95 dengan Pro-Drive beri penjimatan berganda

    Lebih km, kurang RM!

    Petrol Lubricant Interaction* mempromosikan interaksi antara bahan api dan minyak pelincir enjin, membolehkan enjin kereta anda untuk bergerak dengan lebih lancar dengan mengurangkan geseran dalaman. Ini tidak hanya memperbaiki kecekapan pembakaran, tetapi juga membantu mengurangkan pembakaran bahan api yang tidak perlu — jika ini bermaksud lebih jarak untuk satu tangki minyak, memang betul!

    Ini membawa pula kepada kelebihan yang anda dapatkan daripada setiap isian. Enjin yang bersih akan menjimatkan wang anda — jarak yang didapatkan akan lebih jauh tanpa meningkatkan perbelanjaan anda di pam minyak. Enjin cekap yang bergerak dengan lancar memerlukan kurang bahan api untuk beroperasi, dan ini bermaksud anda boleh meningkatkan jarak perjalanan sebelum perlu mengisi minyak semula — lebih km, kurang RM!

    Dengan BUDI MADANI RON95 (BUDI95) yang kini sudah dilaksanakan sepenuhnya, ramai pengguna lebih mementingkan kecekapan penggunaan bahan api kenderaan mereka serta kos pemilikan keseluruhan. Memilih bahan api yang betul adalah sangat penting untuk kecekapan enjin dan penjimatan, dan PETRONAS Primax 95 dengan Pro-Drive dibangunkan untuk memenuhi keperluan pemandu di Malaysia, dengan meliputi semua aspek penting — kelancaran dengan pembaikan yang boleh dilihat melalui kecekapan, prestasi dan penjimatan.

    Bukan sekadar pemanduan lancar — PETRONAS Primax 95 dengan Pro-Drive beri penjimatan berganda

    Penjimatan untuk jangka masa panjang

    Ada juga penjimatan untuk jangka masa panjang. PETRONAS Primax 95 dengan Pro-Drive menampilkan agen pembersih khusus yang menanggalkan 99% kotoran* di komponen kritikal dalam enjin. Penggunaan Dual Friction Modifier dalam PETRONAS Primax 95 dengan Pro-Drive adalah yang pertama di dunia. Bahan aditif tersebut membantu mengurangkan geseran enjin sehingga 20%*, membolehkan komponen dalam enjin kereta bergerak bebas dengan geseran yang minimum. Ada juga Petrol Lubricant Interaction* seperti yang dinyatakan tadi.

    Enjin yang bersih serta geseran dan juga pembentukan mendapan yang kurang bermakna kurangnya berlaku kehausan komponen dalam enjin, yang akan menyumbang kepada berkurangnya kos penyelenggaraan keseluruhan untuk kenderaan anda. Ia juga berpotensi untuk mengelakkan baik pulih yang mahal seperti yang disebabkan penyuntik minyak yang tersumbat, atau overhaul enjin. PETRONAS Primax 95 dengan Pro-Drive juga memiliki formulasi anti-karat yang diperkaya, yang membantu melindungi sistem minyak dan komponen logam daripada berkarat atau terhakis. Enjin yang sihat bermakna kurangnya kunjungan yang perlu anda lakukan ke bengkel kenderaan serta menjimatkan untuk jangka masa panjang.

    Penggunaan berterusan PETRONAS Primax 95 dengan Pro-Drive membantu mengekalkan prestasi kereta anda seperti ketika masih baharu untuk satu jangka masa yang lama. Kecekapan yang berterusan juga akan mengelak kadar penggunaan minyak daripada meningkat, selari dengan meningkatnya usia enjin, dan ini boleh dicapai dengan PETRONAS Primax 95 dengan Pro-Drive.

    Bukan sekadar pemanduan lancar — PETRONAS Primax 95 dengan Pro-Drive beri penjimatan berganda

    Rasa lancar, sememangnya bagus

    PETRONAS Primax 95 dengan Pro-Drive akan menjimatkan wang anda, baik untuk jangka masa pendek (jarak yang lebih jauh untuk satu tangki) atau panjang (enjin yang lebih sihat, kurang kos penyelenggaraan dan baik pulih). Selain itu, enjin yang sihat juga memberikan prestasi lebih baik, yang akan memberikan rasa lancar dan pecutan yang tidak terganggu.

    Banyak manfaat, bukan? Sudah tentu. Maka, buatlah pilihan yang betul untuk kereta anda dan kunjungi stesen Petronas terdekat untuk isian semula dengan PETRONAS Primax 95 dengan Pro-Drive.

    Bagi membuatkan kunjungan anda lebih bermakna, jadilah ahli Mesra Rewards dan bayar dengan aplikasi Setel untuk menerima sehingga 3x mata ganjaran Mesra Rewards. Ya, tiga kali ganda mata ganjaran hanya dengan cara paling mudah untuk menikmati BUDI95 dengan PETRONAS Primax 95 — tak perlu ke kaunter atau keluarkan dompet anda! Semuanya lancar dari awal hingga akhir — dapatkan petrol bersubsidi BUDI95 anda di sini, dan ketahui lebih lanjut di sini.

    *Berbanding minyak biasa

     
     
  • Budi95: Pengecualian untuk golongan T15 selepas sistem yang kini digunakan lebih mantap – PM Anwar

    Budi95: Pengecualian untuk golongan T15 selepas sistem yang kini digunakan lebih mantap – PM Anwar

    Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan bahawa golongan T15 di negara ini hanya boleh dikecualikan dari menerima subsidi RON95 selepas sistem yang kini digunakan lebih mantap.

    Katanya lagi, pengecualian pemberian itu untuk mereka yang memperoleh pendapatan tinggi dan menggunakan kenderaan mewah, laporan Berita Harian.

    “Sekarang pandangan kita, kita jalankan Budi Madani RON95 (Budi95) ini dulu. Kalau ada keperluan di masa akan datang, di mana sistem itu lebih mantap, maka boleh kita kenakan (pengecualian pemberian subsidi RON95 kepada T15) bagi yang (mempunyai pendapatan) benar-benar tinggi atau (menggunakan) kenderaan betul-betul mewah,” katanya sewaktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

    Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) mengenai mengapa kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Budi95 yang memanfaatkan semua warganegara termasuk golongan T15.

    Budi95: Pengecualian untuk golongan T15 selepas sistem yang kini digunakan lebih mantap – PM Anwar

    “Dengan pelaksanaan Budi95, kerajaan dapat menjimatkan kira-kira RM2.5 bilion. Ada yang mengatakan bahawa ini lebih rendah daripada yang disasarkan pada peringkat awal mengikut kajian Bank Dunia. Saya tidak setuju sebab kita lihat penyasaran subsidi dari segi keseluruhan,” katanya.

    Selain itu katanya, dengan beberapa penyasaran subsidi lain yang dilaksanakan seperti diesel, kerajaan juga dapat menjimatkan sebanyak RM5 bilion.

    “Dari (penyasaran subsidi) diesel, RM5 bilion kita selamatkan. RM5 bilion itu kerana sistem lama (digunakan) terlalu banyak penyeludupan dan ketirisan. Mengikut pendapat saya, ini sudah cukuplah bagi kerajaan supaya kita laksanakan dengan hati-hati supaya tidak membebankan rakyat,” katanya.

     
     
  • Perkhidmatan tren KTM Komuter laluan Batu Tiga dan Subang Jaya tergendala, bas perantara disediakan

    Perkhidmatan tren KTM Komuter laluan Batu Tiga dan Subang Jaya tergendala, bas perantara disediakan

    Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memaklumkan perkhidmatan tren KTM Komuter laluan Batu Tiga dan Subang Jaya sedang tergendala berikutan gangguan bekalan elektrik disebabkan alat talian atas terbingkas pagi ini.

    Sehubungan itu, katanya, empat tren yang melalui laluan berkenaan ditamatkan di tiga stesen iaitu di Stesen Batu Tiga, Stesen Shah Alam dan Stesen Padang Jawa. Walau bagaimana pun, tren Komuter dari Stesen Setia Jaya ke Stesen KL Sentral akan beroperasi mengikut jadual.

    “Bas perantara disediakan di stesen-stesen terlibat untuk ke Stesen Subang Jaya. Penumpang dinasihatkan menggunakan pengangkutan alternatif untuk meneruskan perjalanan ke destinasi yang dituju. Sila rujuk kakitangan stesen untuk sebarang bantuan,” kata KTMB menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

     
     
  • Budi95: Pemandu e-hailing sepenuh masa dapat kuota 800L sebulan bagi subsidi petrol RON95 – PMX

    Budi95: Pemandu e-hailing sepenuh masa dapat kuota 800L sebulan bagi subsidi petrol RON95 – PMX

    Kerajaan bersetuju untuk menaikkan kelayakan siling di bawah program Budi Madani 95 (Budi95) bagi pemandu e-hailing sepenuh masa dari 600 liter kepada 800 liter sebulan yang bersamaan dengan 5,000 km, tertakluk kepada syarat perjalanan yang ditetapkan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Beliau berkata kerajaan memutuskan pelaksanaan tersebut selepas menyemak rayuan dari pemandu e-hailing berdasarkan penggunaan sebenar penggunaan bahan api mereka, laporan Bernama.

    Beliau berkata pada Oktober lalu, kerajaan telah menyediakan kuota tambahan untuk pemandu e-hailing aktif dengan meningkatkan had penggunaan daripada 300 kepada 600 liter sebulan, yang memberi manfaat kepada 58,000 pemandu.

    “Pada masa yang sama, kerajaan juga telah bersetuju agar teksi lapangan terbang dimasukkan antara kenderaan yang layak menerima subsidi RON 95 di bawah Skim Kawalan Subsidi Petrol (SKPS),” katanya semasa sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT), di Dewan Rakyat hari ini.

    Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) yang ingin mengetahui perkembangan pelaksanaan Program Penyasaran Subsidi RON95 bagi bulan pertama dan langkah yang diambil oleh kerajaan untuk menangani isu yang dibangkitkan, terutamanya berkaitan pemandu teksi lapangan terbang, pemandu e-hailing dan engguna bot sungai mengenai kelayakan mereka di bawah Budi95.

     
     
  • Pemilik, pemandu kenderaan asing dari S’pura yang tidak bayar saman VEP tidak boleh keluar M’sia – JPJ

    Pemilik, pemandu kenderaan asing dari S’pura yang tidak bayar saman VEP tidak boleh keluar M’sia – JPJ

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memaklumkan bahawa bermula 15 November 2025, pemilik atau pemandu kenderaan asing khususnya dari Singapura yang gagal memiliki atau mengaktifkan Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) tidak dibenar keluar Malaysia selagi tidak membayar saman, laporan Bernama.

    Menurut Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, kenderaan persendirian individu serta kenderaan persendirian milik syarikat yang tiada VEP, tamat tempoh, atau masih berstatus pradaftar yang terlibat dengan tindakan penguatkuasaan sepenuhnya tersebut.

    “Tindakan saman akan dibuat dan wajib membayar saman serta perlu mendaftar VEP sebelum keluar dari Malaysia. Ini bagi mengelakkan sebarang masalah di pintu keluar sempadan Malaysia-Singapura,” katanya selepas meninjau Operasi Khas Penguatkuasaan VEP di susur keluar Bangunan Sultan Iskandar (BSI) kelmarin.

    Beliau turut berkata sebelum ini penguatkuasaan yang dilaksanakan menyaksikan pemandu atau pemilik kenderaan asing hanya dikenakan notis saman dan notis peringatan, namun kini sudah tiba masanya untuk penguatkuasaan penuh dijalankan.

    “Sebelum ini, kita hanya adakan operasi di sekitar Johor, tetapi kini kita meluaskan ke seluruh negara. Mana-mana kenderaan Singapura yang tidak mempunyai VEP dan ditahan di mana-mana lokasi di Malaysia, akan dikenakan tindakan,” katanya.

    Beliau berkata sejak penguatkuasaan VEP 1 Julai lalu, sebanyak 303,183 tag RFID telah dipasang bagi kenderaan persendirian individu, manakala 31,643 tag lagi melibatkan kenderaan milik syarikat. Dalam tempoh sama, pihaknya telah memeriksa 55,486 kenderaan dan mengeluarkan 4,028 kompaun terhadap pemilik kenderaan yang tidak mempunyai VEP, dengan jumlah kompaun mencecah RM1.2 juta

    Bayaran saman boleh dibuat di kaunter pejabat JPJ, Kaunter Mobile JPJ, kaunter pendaftaran VEP di Danga Bay dan secara dalam talian (myEG).

     
     
  • PANDU UJI: Proton Saga MC3 2026 – satu tanggapan awal untuk prestasi enjin, transmisi dan pengendalian

    PANDU UJI: Proton Saga MC3 2026 – satu tanggapan awal untuk prestasi enjin, transmisi dan pengendalian

    Selain dari membelek setiap perincian Proton Saga MC3 2026 di kilang Proton Tanjung Malim dalam satu sesi pratonton media minggu lalu, kami turut diberi peluang untuk menyertai satu pandu uji ringkas terhadap model tersebut di litar ujian yang ada fasiliti berkenaan.

    Tak banyak aspek dapat diuji, tapi cukuplah dahulu sekadar ‘salam perkenalan’ bagi membayangkan prestasi sebenar sedan paling mampu milik Proton yang telah dipertingkat dalam pelbagai aspek ini, terutamanya pada unit rangkaian kuasa dan juga kemaskini yang dibuat pada casis.

    Penulis akan teruskan artikel ini terus kepada aspek pandu uji kerana perincian penuh berkenaan Saga ini telahpun dikupas dan boleh anda baca pada PAUTAN INI. Dan pada sesi ini, Proton hanya menyediakan Saga MC3 2026 dalam varian paling tinggi iaitu Premium.

    PANDU UJI: Proton Saga MC3 2026 – satu tanggapan awal untuk prestasi enjin, transmisi dan pengendalian

    Jadi mari masuk ke kabin. Pada ruang ini anda akan dapat rasakan suasana baharu dengan papan pemuka yang dirombak sepenuhnya. Rasa seperti ada ajakan untuk memandu terus dapat dirasai selepas memegang roda stereng yang kini lebih kecil dan rata di bawah, diambil terus dari model-model Geely-Proton seperti X50 dan juga S70.

    Namun perasaan berada dalam sebuah Saga masih dirasai. Ini kerana ia masih diberikan tempat duduk yang hampir sama seperti sebelumnya yang memberikan posisi duduk yang sedikit ‘tertenggek’, dan bahu rasa terturun jauh ke bawah ketika menurunkan tuil brek tangan.

    ‘Rasa Saga’ juga disumbang kerana kelebaran Saga MC3 ini masih sama, dan untuk penulis yang berbadan agak besar terasa hampir berlaga bahu sekiranya ada penumpang duduk di sebelah. Namun posisi tombol gear masih lagi tinggi dan mudah dicapai dan dialihkan posisinya, begitu juga untuk mengoperasikan butang-butang kawalan di konsol tengah terutamanya untuk sistem pendingin hawa.

    PANDU UJI: Proton Saga MC3 2026 – satu tanggapan awal untuk prestasi enjin, transmisi dan pengendalian

    Setelah gear ‘D’ dipilih dan pedal pendikit dikerah semahunya, Saga ini terus berlepas dengan responsif tetapi masih menghasilkan raungan klasik mana-mana kenderaan yang dipadankan dengan kotak gear CVT. Namun raungan tersebut tidak kekal lama apabila kelajuan enjin dan kotak gear bertemu dengan ‘titik sepadan’ dan menghasilkan pemanduan yang sepatutnya.

    Secara jujur, dalam pecutan pertama ini tidak terasa sebarang lag berlaku, dan rasa rubber band effect juga tidak ketara. Dan pengalaman ini juga dirasai sebelum penulis mengetahui bahawa Saga MC3 ini sebenarnya masih dibekalkan dengan kotak gear CVT yang dibekalkan oleh Punch Powertrain, dan ia masih menggunakan mekanisma start clutch untuk bergerak, dan bukannya torque converter.

    Pada yang belum tahu, Saga 2026 ini juga telah menerima enjin 1.5L i-GT baharu dengan bentangan empat-silinder sebaris DOHC DVVT. Enjin ini didakwa ditala bagi menghasilkan sebanyak 120 PS dan tork maksima 150 Nm, jauh lebih berkuasa dari enjin Campro 1.3L terdahulu yang hanya berkemampuan menghasilkan kuasa 95 PS/120 Nm.

    PANDU UJI: Proton Saga MC3 2026 – satu tanggapan awal untuk prestasi enjin, transmisi dan pengendalian

    Jadi dengan sekali pijak pedal, tiada lagi ‘termenung’ seperti Saga sebelum ini di mana ia terus memecut dengan lebih laju. Dan dalam sesi ini Proton turut menyediakan sebuah Perodua Bezza 1.3L untuk perlumbaan drag 400 meter. Dengan mudah Saga meninggalkan Bezza tanpa penumpang tersebut walaupun Saga yang penulis pandu membawa dua orang penumpang sebagai beban.

    Walau bagaimanapun penulis dapat rasakan ia tidaklah memberikan rasa pecutan yang sepatutnya diberikan oleh sebuah enjin yang menghasilkan kuasa 120 PS/150 Nm. Malah pada pendapat penulis Proton Persona dengan enjin Campro 1.6 liter dapat memberikan rasa pecutan yang lebih baik walaupun atas kertas kuasa yang dicatatkan hanya 109 PS/150 Nm.

    Apa pun enjin ini memberikan nilai tambah kepada Saga lebih dari sekadar kuasa. Menurut Proton, versi yang dipadankan dengan kotak gear CVT ini mampu menawarkan penggunaan bahan api serendah 4.9L/100 km dan versi 4AT pula mencapai 5.1L/100 km – kedua-duanya dalam kitaran ujian tempatan iaitu MDC. Malah ia juga tidak lagi menggunakan mekanisma timing belt seperti Campro, digantikan dengan sistem timing chain dengan kos penyelenggaran lebih rendah.

    PANDU UJI: Proton Saga MC3 2026 – satu tanggapan awal untuk prestasi enjin, transmisi dan pengendalian

    Bukan hanya ujian pecutan, penulis dan media lain juga dapat menguji Saga 2026 di atas litar pengendalian. Saga sebelum ini sudahpun terkenal sebagai sebuah sedan mampu milik, tetapi memberikan tahap pengendalian dan juga keselesaan yang sangat baik.

    Dan untuk Saga 2026, aspek tersebut dapat dipertingkatkan lagi oleh jurutera Proton. Sebaik masuk ke selekoh, apa yang penulis dapat rasakan adalah rasa stereng yang diberikan masih lagi tajam dan responsif, walaupun model baharu ini telah bertukar menggunakan sistem stereng kuasa bantuan elektrik berbanding hidraulik sebelum ini.

    Daya olengannya juga sudah berkurangan, dan dapat jelas dirasai bahawa Saga 2026 lebih stabil ketika masuk ke selekoh dengan laju, dengan bahagian ekor yang lebih mudah untuk dikawal. Ini kerana talaan suspensi bagi Saga ini sememangnya telah dibuat semula, dan ia kini turut menggunakan bar anti oleng dengan diameter lebih besar.

    PANDU UJI: Proton Saga MC3 2026 – satu tanggapan awal untuk prestasi enjin, transmisi dan pengendalian

    Walau bagaimanapun penulis tidak dapat menguji pengendalian Saga ini ke had yang lebih tinggi. Ini kerana walaupun cengkaman tayar dan kestabilan badan dapat dirasai boleh ‘dihenyak’ lagi, penulis tidak dapat memandu dengan lebih laju kerana badan telah mula beralih dari tempat duduk yang ‘kurang memeluk’ terlebih dahulu.

    Untuk kesimpulan, pada pendapat penulis ya memang Saga MC3 ini sebuah model yang jauh lebih baik bukan sahaja berbanding Saga MC2, malah juga berbanding Perodua Bezza. Namun ia masih sebuah Saga – tahap solid badan dan pengendaliannya, keselesaan, malah penyampaian kuasa yang diberikan masih belum sampai ke tahap Proton Persona.

    Diharapkan dengan sesi ringkas ini dapat memberikan bayangan awal kepada anda bagaimana kerekteristik Proton Saga 2026. Jadi nantikan ulasan yang lebih panjang bakal kami sediakan sekiranya diberikan peluang untuk menguji Saga ini dalam dunia sebenar.

    Proton masih belum menyebut sebarang angka bagi membayangkan harga jualannya, di mana ia dijangka akan diumum ketika ia dilancarkan tidak lama lagi.

    GALERI: Proton Saga MC3 Premium 2026

    GALERI: Proton Saga MC3 Executive 2026

    GALERI: Gambar rasmi Proton Saga MC3 2026

    GALERI: Slaid pembentangan Proton Saga MC3 2026

     
     
  • Proton Saga MC3 2026 didedah sepenuhnya – 1.5L NA, 120 PS/150 Nm, CVT Punch dan 4AT Aisin, ADAS, dll

    Proton Saga MC3 2026 didedah sepenuhnya – 1.5L NA, 120 PS/150 Nm, CVT Punch dan 4AT Aisin, ADAS, dll

    2025 merupakan tahun yang sibuk dan mengujakan buat Proton. Julai lalu pembuat kereta dari Tanjong Malim berkenaan melancarkan X50 facelift 2025 yang menerima rombakan rupa luaran, dalaman dan juga unit rangkaian kuasa yang begitu besar, diikuti pelancaran EV kedua jenama itu pada bulan lalu iaitu eMas 5, yang juga diiktiraf sebagai EV paling murah di Malaysia buat masa sekarang.

    Menjelang hujung tahun ini, Proton sekali lagi bakal melancarkan satu lagi model yang ditunggu-tunggu oleh pelanggan – ini dia, Proton Saga MC3 2026 yang didedahkan hampir sepenuhnya sebelum ia dilancarkan tidak lama lagi, dan bakal ditawarkan dalam tiga varian iaitu Premium, Executive dan Standard.

    Saga sememangnya model Proton paling laris buat masa sekarang, dijual dengan jumlah purata melebihi 5,000 unit setiap bulan. Berbanding lawan utamanya iaitu Perodua Bezza, Saga memegang reputasi sebagai sebuah sedan mampu milik yang mempunyai pengendalian yang solid serta jauh lebih selesa untuk perjalanan jauh, tetapi dipadankan unit rangkaian kuasa yang kurang efisien, serta dilihat menampilkan kadar penyelenggaraan lebih tinggi kerana masih menggunakan timing belt yang perlu ditukar mengikut sela masa ditetapkan, berbanding timing chain yang tahan lebih lama pada enjin Bezza.

    Proton Saga MC3 2026 didedah sepenuhnya – 1.5L NA, 120 PS/150 Nm, CVT Punch dan 4AT Aisin, ADAS, dll

    Kami sudahpun tengok depan mata dan juga melihat apa yang ditawarkan pada Saga MC3 2026 ini ketika sesi pratonton kepada media yang dibuat di fasiliti Proton di Tanjong Malim minggu lalu, dan kupasannya kami sediakan di bawah.

    1. Diasaskan dari platform Advanced Modular Architecture (AMA)

    Platform AMA, seperti yang disebutkan banyak kali sebelum ini disahkan masih lagi diasaskan dari platform Saga terdahulu. Namun untuk bergelar AMA, platform ini telahpun menerima kejuruteraan semula bagi membolehkan ia terus relevan dari segi keselamatan dan juga penggunaan teknologi terkini, dan tiada masalah untuk terus diguna pakai dalam tempoh yang lama.

    Perkara pertama yang dibuat adalah menguatkan semula kerangka Saga ini dengan menambahbaik beberapa struktur. Antaranya Proton telah menerapkan logam dengan teknologi Hot Press Forming (HPF) pada tiang-B dan juga bahagian cross member pada lantai yang memegang cagak tempat duduk.

    Proton Saga MC3 2026 didedah sepenuhnya – 1.5L NA, 120 PS/150 Nm, CVT Punch dan 4AT Aisin, ADAS, dll

    Kerangka Saga baharu ini juga menerima logam berketegaran tinggi termaju (AHSS) pada tulang tengah bumbung, serta logam berketegaran tinggi pada setiap pintu. Bukan itu sahaja, malah kerangka ini turut diubah bagi membolehkan penumpang dalam kabin dilindungi sehingga enam-beg udara berbanding maksima hanya dua sebelum ini.

    Proton juga memadankan seni bina elektrikal pada platform AMA ini yang membolehkan Saga 2026 dipadankan dengan sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS).

    Walau bagaimanapun dengan masih menggunakan ‘kulit’ kerangka dan juga pintu yang sama, rupa asas Saga MC3 ini masih lagi kelihatan sama dengan model-model sebelumnya. Oleh sebab itu kami masih mengganggap Saga 2026 ini sebagai model facelift (tukar muka) dan bukan model generasi baharu (lihat perbezaan antara Saga generasi kedua dan ketiga yang diberikan bentuk badan berbeza walaupun diasaskan platform yang sama), tetapi tidak menafikan bahawa perubahan yang diberikan adalah sangat besar.

    2. Unit rangkaian kuasa – enjin serba baharu, tetapi transmisi masih lagi sama

    Proton Saga MC3 2026 didedah sepenuhnya – 1.5L NA, 120 PS/150 Nm, CVT Punch dan 4AT Aisin, ADAS, dll

    Khidmat enjin Campro VVT S4PE 1.3L telahpun secara rasminya ditamatkan pada Saga. Bagi model 2026 ini Saga menerima enjin yang digelar oleh Proton sebagai enjin ‘i-GT’. Enjin ini dibangunkan oleh Aurobay, iaitu pembekal unit rangkaian kuasa milik Geely yang sebelum ini merupakan divisi unit rangkaian kuasa Volvo.

    Secara spesifiknya, enjin i-GT ini adalah dari keluarga enjin dengan kod BHE15, iaitu keluarga enjin yang sama dengan enjin yang kini dipadankan pada X50 facelift. Jadi ia menampilkan asas yang sama dengan sesaran 1.5 liter empat silinder, diberikan omboh dengan saiz gerek (bore) 73.4 mm dan lejang (stroke) 88.57 mm.

    Untuk Saga enjin yang dibekalkan adalah dari varian BHE15PFI, iaitu versi tanpa turbo dan hanya dihadir dengan sistem suntikan bahan api pada port kemasukan udara (PFI), berbanding varian BHE15TD pada X50 yang disuap pengecas turbo serta datang dengan sistem suntikan bahan api terus (T-GDI).

    Proton Saga MC3 2026 didedah sepenuhnya – 1.5L NA, 120 PS/150 Nm, CVT Punch dan 4AT Aisin, ADAS, dll

    Walau bagaimanapun enjin BHEPFI ini masih menampilkan sistem pemasaan injap bervariasi berkembar (DVVT), dan mekanisma tersebut digerakkan dengan pemasangan timing chain, dan bukan lagi timing belt seperti enjin Campro. Jadi selepas ini, timing belt bukan lagi salah satu ‘kriptonite’ buat Saga dengan penyelenggaraan timing chain yang lebih mudah. Enjin ini juga menerima pam air elektrik bagi mengurangkan kehilangan kuasa dan memberikan keberkesanan yang lebih baik.

    Proton menyatakan bahawa enjin BHE15PFI pada Saga ini mampu menghasilkan kuasa 120 PS dan tork maksima 150 Nm. Apa yang menarik, rujukan yang kami buat pada laman sesawang Aurobay menunjukkan enjin ini sepatutnya hanya mampu menghasilkan kuasa maksima 110 PS/135 Nm, manakala angka 120 PS/150 Nm adalah lebih hampir kepada kepada kuasa yang dihasilkan oleh enjin BHE15D, iaitu versi NA tetapi menerima sistem suntikan bahan api terus.

    Kami ajukan kepada Proton berkenaan perkara ini, dan dimaklumkan bahawa untuk Saga, enjin BHE15PFI berkenaan telah ditala semula bagi menghasilkan kuasa maksima tersebut. Jadi atas kertas, enjin 1.5L NA pada Saga ini bukan sahaja lebih berkuasa dari enjin Campro 1.3L NA pada Saga terdahulu yang hanya menghasilkan 95 PS/120 Nm malah lebih berkuasa dari enjin Campro 1.6L pada Iriz dan Persona (109 PS/150 Nm) dan enjin 2NR-VE 1.5 liter NA empat-silinder petrol pada Toyota Vios yang menghasilkan 106 PS/138 Nm.

    Proton Saga MC3 2026 didedah sepenuhnya – 1.5L NA, 120 PS/150 Nm, CVT Punch dan 4AT Aisin, ADAS, dll

    Dua jenis transmisi ditawarkan untuk Saga – bagi varian paling tinggi iaitu Premium ia datang dengan kotak gear CVT, manakala dua varian lebih rendah pula iaitu Executive dan Standard, ia datang dengan kotak gear automatik konvensional empat kelajuan 4AT.

    Proton tidak secara rasmi mendedahkan siapa pembekal kedua-dua unit transmisi ini. Namun dapat dilihat dengan jelas cop ‘Punch Powertrain’ tertera pada kotak gear CVT, manakala cop ‘Aisin’ pula tertera pada kotak gear 4AT. Jadi kotak gear CVT masih dibekalkan oleh pengeluar sama yang membekalkan komponen pada Saga 2016 dan sebelum itu, manakala kotak gear 4AT juga dibekalkan oleh syarikat sama yang membekalkan transmisi pada Saga MC2 bagi model kemaskini pertengahan 2023.

    Kami juga difahamkan kotak gear CVT Punch Powertrain pada Saga MC3 ini masih menggunakan klac pemula (start clutch) ketika mahu mula berjalan, dan bukannya menggunakan torque converter. Kami turut mengemukan persoalan, mengapa tawarkan dua jenis transmisi automatik? Proton menyatakan bahawa ia adalah untuk memberikan pilihan kepada pengguna yang tidak gemarkan transmisi CVT, boleh memilih varian yang menawarkan kotak gear 4AT.

    Proton Saga MC3 2026 didedah sepenuhnya – 1.5L NA, 120 PS/150 Nm, CVT Punch dan 4AT Aisin, ADAS, dll

    Padanan unit rangkaian kuasa ini membolehkan Saga MC3 CVT mencapai penggunaan bahan api serendah 4.9L/100 km dan versi 4AT pula mencapai 5.1L/100 km – kedua-duanya dalam kitaran ujian tempatan iaitu MDC. Walau bagaimanapun angka yang dinyatakan tidak serendah yang didakwa oleh Perodua untuk Bezza, dengan varian dengan enjin 1.3L mencapai 4.5L/100 km, dan varian enjin 1.0L pula mencapai 4.7L/100 km.

    Menurut Proton, enjin ini telah diuji sejauh lebih 9,000,000 km pada peringkat global, serta telah menjalani lebih 50,000 jam ujian dyno. Manakala sistem timing chain yang digunakan adalah dari jenis rantai bergigi, didakwa 25.24% lebih senyap berbanding menggunakan timing chain jenis pengguling (roller).

    3. Rupa luaran – perubahan drastik pada bahagian muka dan belakang, peningkatan pada beberapa kelengkapan

    Walaupun dari bahagian sisi ia masih nampak sama seperti Saga MC2, Saga 2026 MC3 ini diberikan rombakan menyeluruh pada bahagian muka dan belakang. Ini merupakan Saga pertama yang menerima lampu hadapan LED, dan ia terus dengan jenis projektor LED, tetapi hanya ditawarkan untuk varian Premium dan Executive di mana Saga MC3 Standard hanya menerima lampu reflektor halogen.

    Lampu tersebut turut dipadankan sekali dengan jalur LED bina dalam sebagai fungsi lampu nyalaan siang, dan ia seakan bersambung dengan kemasan ‘busur panah’ krom pada gril hadapan Saga ini. Lampu ini juga datang sekali dengan fungsi automatik dan juga lampu Follow-me-home.

    Saga 2026 ini juga menampilkan gril yang jauh lebih besar sehingga merentangi bahagian bawah kedua-dua belah lampu hadapan, mungkin mengambil inspirasi dari rekaan gril Proton X90. Gril tersebut direka dengan motif sulaman songket sama seperti pada X50 facelift.

    Berbanding pada model sedia ada yang diberikan gril bawah pada bampar berbentuk trapezoid, Saga 2026 ini menerima gril bawah berbentuk segi empat. Tiada sebarang lampu diberikan pada bampar, di mana kemasan seperti liang udara pada kedua-dua sisi bampar benar-benar mengalirkan udara ke ruang roda hadapan – tidak dapat dipastikan sama ada untuk tujuan aerodinamik atau untuk menyejukkan brek hadapan.

    Manakala di belakang, jelas Saga diberikan lampu belakang yang merentasi lebar keseluruhan sedan ini, dengan lensa jernih dan grafik LED diinspirasikan dari ‘abangnya’ iaitu Proton S70. Penutup but Saga ini juga menerima perubahan dimana di direka lebih ‘lentik’ di belakang seakan spoiler ekor itik. Bampar belakang Saga ini turut dipadankan bersama dengan panel bawah seakan diffuser udara.

    Selain itu Saga baharu ini juga menerima pembuka pintu dengan kemasan krom (sekurang-kurangnya pada varian Premium dan Executive serta cermin sisi dengan bantuan lipat elektrik untuk Premium serta larasan elektrik yang turut diberikan pada Executive.

    Rim aloi 15-inci rekaan baharu turut diberikan pada varian Premium dengan kemasan dua tona, dan kemasan perak pada Executive – kedua-duanya dibalut dengan tayar Atlas AS380 185/55R15. Manakala Saga Standard pula menerima rim aloi 14-inci yang masih sama seperti pada Saga MC2.

    Lima warna badan ditawarkan untuk Saga 2026 ini termasuk dua warna baharu iaitu Deep Marine Blue dan Space Grey, serta tiga lagi warna sedia ada terdiri dari Ruby Red, Armour Silver dan Snow White.

    4. Casis yang ditala semula untuk Ride and Handling

    Proton Saga MC3 2026 didedah sepenuhnya – 1.5L NA, 120 PS/150 Nm, CVT Punch dan 4AT Aisin, ADAS, dll

    Dengan platfrom yang sama, komponen-komponen asas bagi sistem suspensi Topang McPherson di hadapan dan torsion beam di belakang juga masih lagi sama. Namun Proton mengesahkan bahawa suspensi berkenaan telah ditala semula bagi disesuaikan dengan enjin baharu dan juga bagi memastikan ia memberikan pengendalian dan juga keselesaan yang lebih baik.

    Antara yang dibuat adalah badan Saga ini ditinggikan sedikit kerana enjin BHE15PFI yang dipadankan adalah lebih rendah dari enjin Campro VVT, kemudian penyerap hentak hadapan dan belakang telah ditala semula serta diberikan bar anti oleng dengan diameter yang lebih tebal.

    5. Ruang dalaman yang turut dirombak serta menerima peningkatan kelengkapan

    Proton Saga MC3 2026 didedah sepenuhnya – 1.5L NA, 120 PS/150 Nm, CVT Punch dan 4AT Aisin, ADAS, dll

    Masuk ke kabin, yang paling menonjol pada Saga MC3 2026 ini adalah pada papan pemuka yang boleh dikatakan tidak sama langsung dengan versi MC2. ‘Bintang utama’ adalah pada skrin infotainmen yang bukan sahaja berdiri sendiri, malah ia turut bersambung dengan skrin paparan instrumen digital untuk pemandu yang direka tanpa perumah.

    Bagi skrin sesentuh infotainmen, ia hadir dengan paparan saiz sembilan inci dan terus ditawarkan dengan sokongan Android Auto dan juga Apple CarPlay tanpa wayar – di mana fungsi ini masih belum ditawarkan pada model-model Proton yang lebih mahal.

    Manakala untuk paparan instrumen digital, paparan skrin yang diberikan hanya bersaiz tujuh-inci, dan ini menyebabkan skrin tersebut kelihatan sedikit janggal kerana ruang bezel hitam terhasil terlalu besar. Kami juga difahamkan bagi varian Standard, ia masih diberikan skrin paparan instrumen digital tetapi dengan unit pemain audio yang berbeza.

    Proton Saga MC3 2026 didedah sepenuhnya – 1.5L NA, 120 PS/150 Nm, CVT Punch dan 4AT Aisin, ADAS, dll

    Walaupun dipadankan dengan skrin yang canggih, Saga 2026 ini masih memberikan kawalan sistem penghawa dingin dengan kawalan menggunakan suis putar yang mudah dan ringkas, serta dapat dioperasikan tanpa melihat. Suis putar tersebut turut disertai dengan beberapa suis butang kawalan fizikal lain seperti suis kunci pusat, fungsi nyah kabus cermin depan, lampu isyarat kecemasan, pemati kawalan kestabilan elektronik dan juga penderia parkir hadapan.

    Liang penghembus udara yang sebelum ini berbentuk petak telah diubah menjadi bujur di mana ia didakwa diinspirasikan dari bentuk permainan tradisional melayu iaitu Congkak. Manakala motif papan pemuka yang beralun diberikan berhadapan penumpang hadapan pula dinamakan sebagai ‘pantai’ dengan inspirasi diambil dari corak ombak laut.

    Pemandu diberikan roda stereng baharu yang lebih kecil, lebih sporty serta menampilkan rekaan rata di bawah, di mana ia sebenarnya berkongsi komponen yang sama dengan model-model lebih mahal seperti X50 dan S70. Varian Premium diberikan balutan kulit sintetik pada roda stereng tersebut, manakala varian Executive dan Standard hanyalah urethane.

    Walau bagaimanapun larasan kedudukan stereng masih hanya boleh dibuat ke atas dan ke bawah, dan tidak ditawarkan dengan larasan teleskopik.

    Konsol tengah juga telah menerima rombakan rekaan di mana pemegang cawan kini disusun dalam kedudukan sereng, membolehkan dua cawan saiz biasa diletakkan berbanding ruang lebih kecil yang ditawarkan pada model sebelum ini kerana ia disusun secara melintang biasa. Tombol gear juga nampak lebih sporty, dengan penunjuk kedudukan gear ‘PRNDS’ kini dicetak pada tombol tersebut, bukan di bahagian sisi.

    Ruang storan pada bahagian belakang tuil brek tangan juga didakwa kini lebih besar dan disertakan dengan dua port USB -A. Satu lagi port USB-A diletakkan pada bahagian hadapan, sebelah kanan berhampiran konsol pemegang cawan. Satu cangkuk serba guna juga kini telah diberikan, diletakkan pada sebelah kanan glove box.

    Untuk tempat duduk, ia masih kelihatan sama seperti Saga sebelumnya. Bagi varian Premium ia dibalut dengan upholsteri leatherette dan tempat duduk pemandu boleh dilaras ketinggian secara keseluruhan.

    Manakala bagi varian Executive dan Standard, ia hanya diberikan upholsteri fabrik, dengan ketinggian tempat duduk pemandu hanya boleh dilaras pada bahagian sokongan peha, Bagi tempat duduk belakang, varian Premium dan Executive kini menerima perehat kepala yang boleh dilaras.

    Rekaan pada panel dalaman pintu juga diberikan perubahan di mana ia turut diberikan bahagian dengan kemasan ‘pantai’, serta bahagian poket yang direka semula. Sekurang-kurangnya varian Premium dan Executive diberikan suis penghidup enjin, sementara varian Standard tidak dapat dipastikan dapat perincian yang sama atau tidak.

    6. Kelengkapan keselamatan yang jauh lebih baik

    Seperti yang disebut tadi, Saga 2026 ini menerima kerangka yang lebih keras dari sebelum ini, dan ia juga merupakan Saga pertama yang dipadankan dengan enam-beg udara. Tidak cukup dengan itu Saga juga buat pertama kalinya turut datang dengan teknologi bantuan pemanduan termaju (ADAS).

    Sembilan fungsi ADAS diberikan pada Saga ini termasuk Brek Kecemasan Berautonomi (AEB), Amaran Perlanggaran Belakang (RCW), Amaran Pembukaan Pintu (DOW), Amaran Perlanggaran Hadapan (FCW), Amaran Keluar Lorong (LDW), Bantuan Menukar Lorong (LCA), Amaran Trafik Lintasan Belakang (RCTA), Kawalan Lampu Suluhan Tinggi Pintar (IHBC) dan Amaran Kenderaan Hadapan Bergerak (FDA).

    Sistem ADAS pada Saga ini berfungsi dengan bergantung kepada sistem kamera manokular hadapan dan juga sistem radar pada sebelah belakang. Dengan tiada sebarang fungsi cruise control adaptif dan juga kawalan stereng untuk kekal dalam satu lorong, ADAS yang diberikan pada Saga ini masih berada pada Tahap 1, tetapi ia sudah cukup baik untuk sebuah sedan mampu milik.

    Walau bagaimanapun hanya varian tertinggi Premium diberikan enam-beg udara dan ADAS, sementara dua varian paling lebih rendah hanya diberikan dua beg-udara.

    Proton Saga MC3 2026 didedah sepenuhnya – 1.5L NA, 120 PS/150 Nm, CVT Punch dan 4AT Aisin, ADAS, dll

    Minggu lalu Saga MC3 ini turut diumum sudahpun menerima penarafan empat-bintang dalam ujian pelanggaran keselamatan Program Penilaian Kereta Baharu Asia Tenggara (ASEAN NCAP), diuji menerusi protokol ujian 2021-2025. Ia tidak menerima penarafan lima-bintang penuh kerana ASEAN NCAP lazimnya akan menguji model dalam varian paling rendah.

    Proton menyatakan bahawa Saga merupakan model yang dibangunkan sepenuhnya oleh bakat tempatan, bukan sahaja menerusi pusat R&D di Malaysia, malah melibatkan satu lagi pusat R&D Proton yang terletak di Hangzhou Bay, berhampiran dengan ibu pejabat Geely.

    Secara keseluruhan 337 komponen baharu telah dipadankan pada Saga MC3 2026, dengan proses pembangunan R&D dan ujian memakan masa selama 391,000 jam serta ujian jalan raya sejauh 412,000 km.

    Proton masih belum menyebut sebarang angka bagi membayangkan harga jualannya, di mana ia dijangka akan diumum ketika dilancarkan kelak. Ketika melancarkan Proton eMas 5 minggu lalu, Pengerusi Proton Tan Sri Syed Faisal Albar membayangkan bahawa Proton Saga 2026 ini akan dilancarkan pada bulan ini.

    Selain dari melihat dari dekat, kami juga sebenarnya diberi peluang untuk memandu uji Saga ini dalam satu sesi ringkas yang dibuat di litar ujian Proton Tanjong Malim. Ulasan pandu uji tersebut boleh anda baca pada PAUTAN INI.

    GALERI: Proton Saga MC3 Premium 2026

    GALERI: Proton Saga MC3 Executive 2026

    GALERI: Gambar rasmi Proton Saga MC3 2026

    GALERI: Slaid pembentangan Proton Saga MC3 2026

     
     
  • Subaru Forester 2026 di Malaysia – galeri penuh SUV generasi-6; CBU dari Jepun, EyeSight 4.0, dari RM223k

    Subaru Forester 2026 di Malaysia – galeri penuh SUV generasi-6; CBU dari Jepun, EyeSight 4.0, dari RM223k

    Susulan dengan pelancaran Subaru Forester generasi ke-enam di Malaysia pada minggu lalu, kini kami membawakan pula galeri penuh bagi SUV yang diberikan rekaan lebih segar ini. Kini diimport sepenuhnya (CBU) dari Jepun berbanding Thailand (bagi model sebelumnya), Forester 2026 ini ditawarkan dengan varian tunggal 2.5i-S EyeSight yang berharga atas jalan RM222,689 tanpa insurans.

    Ia dipadankan bersama enjin boxer baharu unit FB25 2.5 liter naturally-aspirated empat-silinder petrol dengan hamburan 185 PS (182 hp atau 136 kW) pada 5,800 rpm dan tork 247 Nm pda 3,700 rpm. Kuasa disalurkan menerusi kotak gear baharu dengan unit TR58 CVT Lineartronic lapan-kelajuan dan sistem Symmetrical All-Wheel Drive (dengan Active Torque Vectoring), yang membolehkannya dipecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 9.7 saat, manakala kelajuan maksimum mencecah 205 km/j dan penggunaan bahan apinya dikatakan serendah 7.9 liter bagi setiap 100 km.

    Seperti model terdahulu, Forester baharu ini dibangunkan dengan Subaru Global Platform terkini, yang turut dipertingkatkan ketegaran kilasannya sebanyak 10% bagi keselesaan pengendalian yang lebih baik. Dimensinya juga kini berukuran 4,656 mm panjang (+15 mm berbanding Forester terdahulu), 1,829 mm lebar (+15 mm), 1,730 mm tinggi (tidak berubah) dan jarak roda 2,670 mm (juga tidak berubah).

    Larasan suspensi termasuk topang MacPherson di hadapan dan double wishbones di belakang, dan SUV ini mempunyai jarak kelegaan tanah (ground clearance) mencecah 220 mm. Ciri kelengkapan off-road termasuk kawalan menurun bukit dan dwi-fungsi X-Mode yang didatangkan dengan fungsi yang diperluaskan berbanding X-Mode biasa. Pemandu kini boleh melaras respons enjin menerusi sistem Subaru Intelligent Drive (SI-Drive) yang mempunyai mod Intelligent dan Sport.

    Subaru Forester 2026 di Malaysia – galeri penuh SUV generasi-6; CBU dari Jepun, EyeSight 4.0, dari RM223k

    Bagi kelengkapan lain, Forester kini didatangkan dengan ciri standard termasuk roda aloi aluminium 18-inci (tayar profil 225/55), pencahayaan luaran LED (lampu utama, lampu kabus hadapan dan belakang, lampu belakang), rel bumbung, bilah pengelap cermin hadapan dengan penderia hujan, tailgate kuasa bukaan bebas-tangan, tempat duduk balutan kulit upholstery, roda stereng dan tombol gear yang dibaluti material kulit, tempat duduk hadapan larasan kuasa (10-hala untuk pemandu, lapan hala untuk penumpang), Tempat duduk belakang boleh dilipat dan direbahkan dengan nisbah 60:40, kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin serta kawalan suhu dwi-zon (dengan corong pada tempat duduk belakang).

    Rekaan papan pemukanya lebih kurang sama dengan dengan model-model baharu, termasuk diberikan skrin sentuh infotainmen berorientasi menegak HD penuh bersaiz 11.6-inci, yang turut menggabungkan kawalan suhu, sekali gus mengurangkan bilangan butang kawalan fizikal pada papan pemuka. Ia juga diberikan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar, port USB Type A dan -C untuk tempat duduk hadapan dan belakang serta pad pengecas tanpa wayar.

    Juga diberikan paparan meter LCD warna penuh 4.2-inci, pedal penukar gear di belakang roda stereng, sistem penyaman udara automatik dwi-zon, dua power outlet berkapasiti 12-voltan yang terletak di konsol tengah dan ruang penyimpanan barangan, enam-pembesar suara dan pencahayaan ambien.

    Forester 2.5i-S EyeSight baharu ini turut menerima EyeSight 4.0 yang dipertingkatkan dengan ciri baharu iaitu Emergency Driving Stop System (EDSS) yang pertama kali diberikan untuk model Subaru. Di mana sistem ini sangat membantu dalam situasi kecemasan apabila pemandu dikesan pengsan atau terlelap sewaktu pemanduan dengan kawalan kecemasan akan diaktifkan serta-merta.

    Selain itu, EyeSight 4.0 ini juga merangkumi ciri biasa antaranya kamera stereo, kamera monokular sudut lebar, penderia radar, sistem brek pra-pelanggaran, pengurusan pendikit pra-perlanggaran, stereng kecemasan autonomous, kawalan peluncuran adaptif, kawalan pemusatan lorong, amaran ketibaan lorong dan bantuan lampu tinggi.

    Untuk pilihan warna luarannya, ia menawarkan sebanyak 11 variasi iaitu Crystal White Pearl, Ice Silver Metallic, Magnetite Grey Metallic, Crystal Black Silica, Daybreak Blue Pearl, Sapphire Blue Pearl, Autumn Green Metallic, Cashmere Gold Opal, Brilliant Bronze Metallic, River Rock Pearl dan Crimson Red Pearl. Manakala untuk tempat duduk, ia diberikan dua pilihan material iaitu kulit dengan rona hitam dan kulit berwarna coklat. Ia didatangkan dengan waranti lima-tahun atau 100,000 km (yang mana tiba terlebih dahulu) dan juga lima-tahun servis percuma (termasuk alat ganti dan kos buruh) untuk selenggara berkala.

    GALERI: Subaru Forester 2.5i-S EyeSigh 2026

     
     
  • Harga kad konsesi 30 hari BAS.MY diturunkan dari RM50 ke RM30 sebulan berkuatkuasa serta merta

    Harga kad konsesi 30 hari BAS.MY diturunkan dari RM50 ke RM30 sebulan berkuatkuasa serta merta

    Kementerian Pengangkutan (MOT) mengumumkan penurunan harga kad konsesi 30 hari untuk perkhidmatan BAS.MY daripada RM50 kepada RM30 sebulan di seluruh negara berkuat kuasa serta-merta.

    Menteri MOT, Anthony Loke berkata penurunan harga tersebut adalah bagi membolehkan rakyat menikmati perjalanan tanpa had dengan kos serendah RM1 sehari. Selain meringankan beban rakyat, ia juga dijangka meningkatkan jumlah penumpang menggunakan perkhidmatan BAS.MY di seluruh negara, laporan Bernama.

    “Inisiatif ini hanya terpakai untuk warganegara Malaysia sahaja, manakala penumpang bukan warganegara masih perlu membayar tambang penuh. Penurunan harga pas ini akan diperluaskan ke seluruh negeri yang mempunyai perkhidmatan BAS.MY supaya lebih ramai rakyat dapat menikmati manfaat yang sama,” katanya dalam majlis pelancaran BAS.MY Johor Bahru hari ini.

    Harga kad konsesi 30 hari BAS.MY diturunkan dari RM50 ke RM30 sebulan berkuatkuasa serta merta

    Manakala untuk golongan Orang Kelainan Upaya (OKU), warga emas berusia 60 tahun ke atas, pelajar sekolah dan mahasiswa pula layak menikmati tambang percuma melalui Kad Konsesi BAS.MY. Kesemua perkhidmatan BAS.MY turut menyediakan sistem pembayaran tanpa tunai yang membolehkan pengguna membuat bayaran menggunakan kad debit/kredit atau e-wallet melalui imbasan kod QR.

    Buat masa ini, perkhidmatan BAS.MY telah beroperasi di Kangar, Kota Setar, Ipoh, Seremban, Melaka, Johor Bahru, Kuala Terengganu, Kota Bharu, Kota Kinabalu serta Kuching, Sarawak dan akan beroperasi mengikut fasa di Kuantan, Pahang pula.

    Dilaporkan bahawa seramai 49,611 penumpang telah menggunakan perkhidmatan bas percuma BAS.MY setakat Ogos tahun ini. Warga emas merupakan golongan paling ramai yang menggunakan perkhidmatan bas ini iaitu sebanyak 78%, diikuti pelajar sekolah (13%), orang kurang upaya (6%) dan penuntut universiti (3%). Johor Bahru mencatatkan jumlah pengguna kad konsesi BAS.MY tertinggi iaitu seramai 16,832 orang, diikuti Kuching dengan 10,215 orang, Ipoh (7,304 orang), Seremban (6,310 orang), dan Melaka (4,668 orang

     
     
  • Toyota Hilux Travo 2026 muncul dalam teaser sebelum penampilan rasmi 10 November ini di Thailand

    Toyota Hilux Travo 2026 muncul dalam teaser sebelum penampilan rasmi 10 November ini di Thailand

    Toyota menyiarkan video teaser rasmi bagi model Hilux generasi kesembilan yang dijadual membuat penampilan sulung di Thailand pada 10 November ini. Menariknya, model baru ini tidak lagi menggunakan nama “Hilux Revo” dan sebaliknya akan dikenali sebagai Hilux Travo.

    Video pendek yang dikongsi memperlihatkan sebahagian rekaan baru pada bahagian hadapan trak pikap popular itu. Hilux Travo tampil dengan lampu utama yang lebih nipis dan moden, dilengkapi projektor LED serta lampu nyalaan siang berbentuk huruf J.

    Di antara dua unit lampu hadapan itu terdapat tulisan “Toyota” yang jelas kelihatan di bawah penutup lutsinar, manakala bonetnya menonjol dengan rekaan berlekuk di bahagian tengah, memberikan imej yang lebih gagah.

    Toyota Hilux Travo 2026 muncul dalam teaser sebelum penampilan rasmi 10 November ini di Thailand

    Bahagian belakang pula menerima perubahan ketara dengan lampu belakang baru yang menampilkan rekaan berbentuk C, menggantikan gaya lama yang menyerupai angka tiga. Tulisan “Toyota” turut tertera pada pintu belakang, manakala pemegang pintu dan lampu brek ketiga kini disepadukan bersama. Reka bentuk rim turut diperbaharui dengan rekaan tujuh jejari berbentuk bintang, memberikan sentuhan lebih moden.

    Hilux Travo dijangka masih menggunakan platform IMV versi terkini yang telah digunakan sejak generasi ketujuh. Berdasarkan bayangan dalam video tersebut, bahagian kabin kelihatan mengekalkan bentuk asas daripada Hilux Revo sedia ada.

    Toyota Hilux Travo 2026 muncul dalam teaser sebelum penampilan rasmi 10 November ini di Thailand

    Imej paten yang bocor dan maklumat awal menunjukkan rekaan dalaman Hilux Travo akan menampilkan papan pemuka yang lebih bersegi, menonjolkan karakter lasak serta praktikal. Ia dijangka hadir dengan paparan digital dan ruang simpanan yang lebih baik untuk kegunaan harian mahupun kerja berat.

    Dari segi enjin, Hilux Travo dijangka terus menggunakan pilihan enjin turbodiesel 2.4 dan 2.8 liter yang sedia dikenali, bersama transmisi manual atau automatik serta pilihan pacuan dua roda belakang atau empat roda separuh masa. Tidak ketinggalan, Toyota turut dijangka memperkenalkan varian dengan sistem hibrid ringkas 48 volt, malah kemungkinan versi elektrik sepenuhnya untuk pasaran Thailand juga tidak mustahil.

     
     
  • Dato’ Abdul Rashid Musa kembali ke Proton, dilantik sebagai Timbalan CEO ganti tempat Ainol Azmil

    Dato’ Abdul Rashid Musa kembali ke Proton, dilantik sebagai Timbalan CEO ganti tempat Ainol Azmil

    Proton hari ini mengumumkan bahawa Dato’ Abdul Rashid Musa kini kembali berkhidmat di syarikat itu dengan dilantik sebagai Timbalan CEO Proton. Tugas berkenaan telahpun mula dirangkul bermula pada 1 November lalu, dan beliau akan melapor terus kepada CEO Proton, Dr. Li Chunrong.

    Dato’ Abdul Rashid merupakan individu yang berpengalaman besar dalam industri automotif di mana beliau telah bertugas dengan Proton selama 30 tahun dalam bidang kejuruteraan, pembuatan dan pembangunan produk sehingga pernah memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Teknikal Proton, serta terlibat dengan pembangunan pelbagai model-model yang dibangunkan sepenuhnya oleh Proton.

    Jawatan terakhir beliau di Proton adalah Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, di mana beliau turut terlibat ketika pelancaran Proton X70 pada tahun 2018. Sebelum ‘sirih pulang ke gagang’, Abdul Rashid menyertai UMW Holdings Berhad dan menguruskan beberapa portfolio utama melibatkan mobiliti, inovasi serta pembangunan industri mampan.

    “Proton berbesar hati menyambut semula Dato’ Abdul Rashid Musa. Pengalaman luas beliau dalam industri automotif dan pengetahuannya mengenai operasi syarikat akan memberi nilai penting dalam menyokong agenda transformasi Proton serta memperkukuh pertumbuhan masa depan. Pada masa sama, kami ingin merakamkan penghargaan kepada Ainol Azmil yang telah menjalankan tugas sebagai Pemangku Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif dari 10 Jun hingga 31 Oktober tahun ini,” kata Dr Li Chunrong.

    Menurut Proton dalam kenyataan yang dikeluarkan, dengan pelantikan ini, Ainol Azmil yang memegang jawatan pemangku Timbalan CEO selepas En. Roslan Abdullah melepaskan jawatan berkenaan akan kembali kepada peranan asal beliau sebagai Naib Presiden, Strategi Korporat, selain terus menguruskan bahagian Perolehan Teknikal Kumpulan Porton sebagai Pengarah Kanan.

    “Syarikat merakamkan ucapan terima kasih atas kepimpinan dan komitmen beliau dalam memastikan kelangsungan operasi pengurusan sepanjang tempoh tersebut,” kata Proton dalam kenyataan yang dikeluarkan.

     
     
  • Budi95: Bulan pertama catat lebih 13j pengguna, RM800j disubsidi, 0.6% pengguna capai had 300L

    Budi95: Bulan pertama catat lebih 13j pengguna, RM800j disubsidi, 0.6% pengguna capai had 300L

    Pelaksanaan Budi Madani RON 95 (Budi95) telah pun berlangsung selama sebulan dan Kementerian Kewangan (MOF) telah berkongsi beberapa statistik menarik menerusi kenyataan media pada 1 November 2025.

    Menurut MOF, bermula pelancarannya pada 30 September hingga 31 Oktober, seramai 13.1 juta daripada 16.55 juta rakyat Malaysia yang layak (79%) telah membeli 1.33 bilion liter petrol RON 95 pada harga subsidi RM1.99 seliter (jumlah RM2.66 bilion), termasuk lebih 23,000 nelayan dan pengguna bot berdaftar yang tidak mempunyai lesen memandu aktif, terutamanya di Sabah dan Sarawak. Kerajaan Malaysia juga telah membelanjakan sebanyak RM800 juta dalam bentuk subsidi bagi pelaksanaan Budi95 ini.

    “Budi95 memastikan rakyat menerima subsidi secara langsung tanpa proses yang rumit, serta membolehkan kerajaan menyalur semula penjimatan kepada pembangunan dan kebajikan rakyat. Jelas sekali program ini memberi manfaat berganda kepada rakyat dan negara,” kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

    Budi95: Bulan pertama catat lebih 13j pengguna, RM800j disubsidi, 0.6% pengguna capai had 300L

    Sejak 13 Oktober, kerajaan telah meningkatkan dua kali ganda kuota bulanan RON 95 bagi pemandu e-hailing sepenuh masa kepada 600 liter, memberi manfaat kepada hampir 58,000 orang. Secara purata, penerima Budi95 di bawah kategori persendirian mencatat penggunaan bulanan sebanyak 98.2 liter pada bulan Oktober – tiga kali lebih rendah daripada had maksimum 300 liter. Dan sehingga 26 Oktober, kurang daripada 0.7% daripada semua penerima Budi95 telah menggunakan sepenuhnya kuota bulanan mereka (0.6% pengguna persendirian dan 0.3% pengguna bot berdaftar tanpa lesen memandu).

    Menurut MOF, kerajaan akan terus menambah baik pelaksanaan program ini, termasuk menyemak semula kuota tambahan e-hailing agar lebih adil dan menyeluruh. Beberapa pola penggunaan luar biasa telah dikenal pasti, termasuk penerima yang menghabiskan kuota bulanan dalam tempoh singkat serta kekerapan pembelian petrol di stesen berhampiran sempadan negara.

    “Kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti penipuan atau penjualan semula petrol bersubsidi kepada pihak yang tidak layak. Tindakan tegas di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 akan diambil terhadap mereka yang terlibat,” menurut kenyataan itu, sambil menambah bahawa MOF dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan mempertingkat pemantauan di stesen minyak serta dalam kalangan pengguna bagi mengelakkan penyalahgunaan Budi95.

     
     
  • Perkhidmatan bas Aeroline digantung operasi pada 6 Nov-5 Dis kerana gagal patuhi syarat lesen – APAD

    Perkhidmatan bas Aeroline digantung operasi pada 6 Nov-5 Dis kerana gagal patuhi syarat lesen – APAD

    Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) mengesahkan operasi bagi perkhidmatan bas milik Zulco Sdn. Bhd. (Aeroline) digantung mulai 6 November hingga 5 Disember 2025. Penggantungan Lesen Pengendali dan Permit Kenderaan syarikat ini dilaksanakan di bawah Seksyen 27 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 Akta 715] kerana syarikat gagal mematuhi syarat lesen yang ditetapkan, khusunya di bawah Perkara 16 dan Perkara 19, Syarat Am Keperluan Tahap Perkhidmatan (KTP) Bas Ekspres, ujar APAD menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Mengikut APAD, di bawah Perkara 16 Keperluan Tahap Perkhidmatan (KTP) Perkhidmatan Kenderaan Perkhidmatan Awam, pengendali Berlesen hendaklah memastikan kenderaan yang dilesenkan diletak dan disimpan di tempat yang diluluskan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) atau lokasi yang diluluskan oleh APAD semasa tidak beroperasi.

    Manakala di bawah Perkara 19 pula, pengendali berlesen hendaklah memastikan pemandu tidak mengambil dan menurunkan penumpang di kawasan-kawasan membahayakan penumpang dan pengguna jalan yang lain atau tempat-tempat yang dilarang di bawah mana-mana peruntukan perundangan yang sedang berkuat kuasa atau di tempat-tempat yang tidak diluluskan oleh Ketua Pengarah APAD.

    “Hasil pemeriksaan APAD mendapati syarikat ini menyalahgunakan lesen bas ekspres dengan mengambil dan menurunkan penumpang di lokasi tidak dibenarkan. Bas syarikat juga dikesan beroperasi di luar terminal tanpa kebenaran APAD pada 3 Februari, 21 Mei dan 10 Oktober 2025.

    “Syarikat terbabit telah dinasihatkan dan diberi amaran untuk menukar permit perkhidmatan ke terminal yang diluluskan, namun enggan berbuat demikian. Ekoran itu, APAD telah mengeluarkan tiga Surat Tunjuk Sebab (STS) atas kesalahan yang sama antara 13 Mac hingga 10 Oktober 2025, dan syarikat mengaku bersalah melalui maklum balas rasmi yang dikemukan kepada APAD,” jelas APAD.

    Perkhidmatan bas Aeroline digantung operasi pada 6 Nov-5 Dis kerana gagal patuhi syarat lesen – APAD

    Menurut APAD lagi, tindakan penggantungan yang telah dikenakan sebelum ini melibatkan bas ekspres dengan nombor pendaftaran VBR8808 dan VH8805 digantung selama 37 hari (3 April-9 Mei 2025) serta bas ekspres VH8802 digantung selama 30 hari (24 Julai – 22 Ogos 2025).

    Jelasnya lagi, pada 21 Oktober lalu, Mesyuarat Jawatankuasa Penggantungan dan Pembatalan Lesen (JPPL) Bil. 15/2025 mendapati syarikat bersalah atas kesalahan berulang dan mengenakan penggantungan Lesen Pengendali selama 30 hari (6 November – 5 Disember 2025). Sehubungan itu, Zulco Sdn. Bhd. (Aeroline) tidak dibenarkan mengendalikan mana-mana perkhidmatan di bawah Lesen Pengendali berkenaan sepanjang tempoh penggantungan.

    “Tindakan ini bertujuan menjamin keselamatan penumpang, mengurangkan kesesakan lalu lintas di pusat bandar, serta menyokong usaha pihak berkuasa tempatan termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk mewujudkan persekitaran bandar yang teratur, selamat dan efisien.

    “APAD mengambil keputusan untuk menggantung sementara lesen syarikat bas ini setelah mengenal pasti beberapa isu pelanggaran syarat lesen yang berulang dan memerlukan tindakan pembetulan. Langkah ini bertujuan memastikan perkhidmatan pengangkutan awam yang selamat, berkualiti dan mematuhi peraturan untuk manfaat semua pengguna,” katanya lagi.

    APAD juga menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pengendali yang gagal mematuhi peraturan atau menyalahgunakan lesen operasi kenderaan pengangkutan awam. Dalam masa yang sama, semua pengendali diingatkan supaya mematuhi syarat lesen bagi mengelakkan tindakan tegas termasuk pembatalan lesen pengendali.

    Pengendali Aeroline pula berkata, bagi penumpang yang telah membeli tiket bagi perjalanan untuk tempoh tersebut, boleh memohon untuk dikembalikan wang pembayaran (refund) atau pun meminda tarikh perjalanan selepas tempoh pergantungan operasi tamat.

     
     
  • JPJ eBid: Siri VQD dan BSQ dibuka untuk bidaan

    Bagi yang sedang mencari nombor pendaftaran bagi kenderaan, ini ada siri terkini dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) dan Selangor yang dibuka bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), siri nombor pendaftaran terkini dari WPKL, VQD dibuka bidaan bermula semalam, 2 Nov 2025. Bidaannya akan berakhir jam 10 malam pada 6 Nov. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 7 Nov 2025. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala siri nombor pendaftaran terkini Selangor, BSQ, dibuka bidaan sejak mulai 15 Nov 2025. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 19 Nov, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 20 Nov 2025.

    Memandangkan kini banyak urusan yang boleh dibuat secara dalam talian, jadi kalau nak dapatkan nombor pendaftaran kenderaan terkini, anda boleh lakukan sendiri tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran kenderaan yang diingini.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.67 (0.00)
EURO 5 B7 RM4.87 (0.00)
Last Updated Jun 11, 2026