Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Proton Saga MC3 2026 sah ada Android Auto & Apple CarPlay tanpa wayar, HPF, 6-beg udara, enjin 1.5L CVT

    Proton Saga MC3 2026 sah ada Android Auto & Apple CarPlay tanpa wayar, HPF, 6-beg udara, enjin 1.5L CVT

    Proton hari ini mendedahkan beberapa imej dan juga perincian rasmi berkenaan sedan Saga yang dipertingkat, sebelum model tersebut dilancarkan tidak lama lagi

    Proton mengesahkan bahawa Saga MC3 2026 ini menerima enjin baharu i-GT 1.5 liter. Tidak disebut berkenaan spesifikasi enjin tersebut, namun nama ‘i-GT’ membayangkan bahawa ia adalah enjin asas yang sama seperti yang diterima pada X50 facelift 2025 yang baru dilancarkan Julai lalu, iaitu enjin dalam keluarga BHE15 1.5 liter empat-silinder DOHC dan menggunakan sistem timing chain.

    Kami jangkakan enjin yang diterima oleh Saga ini adalah dari versi lebih mampu milik tanpa pengecas turbo dan hanya diberikan sistem suntikan bahan api pada port kemasukan (PFI). Proton juga mengesahkan enjin baharu ini ditawarkan bersama kotak gear CVT automatik yang memberikan penggunaan bahan api serendah 4.9L/100 menurut kitaran ujian MDC.

    Proton Saga MC3 2026 sah ada Android Auto & Apple CarPlay tanpa wayar, HPF, 6-beg udara, enjin 1.5L CVT

    Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Proton menyatakan bahawa Saga 2026 ini diasaskan dari platform Advanced Modular Architecture (AMA). Sebelum ini Proton ada mendedahkan bahawa platform AMA ini masih lagi sama dengan platform Saga sebelumnya, tetapi diberikan beberapa penambahbaikkan.

    Penambahbaikkan tersebut ada disebut menerusi pendedahan hari ini antaranya kerangka berkenaan diperkuat untuk meningkatkan keselamatan menerusi pemadanan komponen Hot Press Forming (HPF), disesuaikan untuk menerima enam-beg udara serta menerima seni bina elekronik bagi dipadankan dengan sistem-sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS).

    Proton mengesahkan bahawa Saga 2026 ini sembilan fungsi ADAS termasuk Brek Kecemasan Berautonomi (AEB), Amaran Perlanggaran Belakang (RCW), Amaran Pembukaan Pintu (DOW), Amaran Perlanggaran Hadapan (FCW), Amaran Keluar Lorong (LDW), Bantuan Menukar Lorong (LCA), Amaran Trafik Lintasan Belakang (RCTA), Kawalan Lampu Suluhan Tinggi Pintar (IHBC) dan Amaran Kenderaan Hadapan Bergerak (FDA).

    Proton Saga MC3 2026 sah ada Android Auto & Apple CarPlay tanpa wayar, HPF, 6-beg udara, enjin 1.5L CVT

    Saga 2026 ini juga disahkan sudah menerima sistem stereng bantuan kuasa elektrik (EPS) bagi menggantikan sistem hidraulik sebelum ini.

    Pada sebelah luar, perubahan ketara yang dibuat pada Saga 2026 ini tentulah pada bahagian muka yang diberikan gril hadapan bermotifkan Sulaman Songket yang lebar sehingga ke bawah lampu hadapan, disahkan menggunakan unit LED projektor. Menurut Proton, lampu hadapan tersebut juga adalah lampu automatik dan turut memberikan fungsi Follow-me-home.

    Juga boleh dilihat jalur LED untuk lampu nyalaan siang yang terbina dalam lampu utama tersebut seakan bersambung dengan jalur ‘busur panah’ pada gril.

    Proton Saga MC3 2026 sah ada Android Auto & Apple CarPlay tanpa wayar, HPF, 6-beg udara, enjin 1.5L CVT

    Pada bahagian sisi, bentuk keseluruhan Saga ini masih lagi nampak sama seperti model MC2 sedia ada termasuk pintu, tingkap, garis-garis badan dan sebagainya. Namun ia kini dipadankan dengan set rim aloi 15-inci baharu dalam kemasan dua tona. Dan di belakang, Saga 2026 ini di berikan lampu LED baharu dengan jalur dan bar merentangi sepenuhnya penutup but belakang seakan ‘abangnya’ iaitu S70, serta diberikan bampar baharu.

    Manakala pada bahagian dalaman, Saga 2026 tampil dengan papan pemuka yang dirombak sepenuhnya. Ia kini menampilkan liang penghembus udara berbentuk bujur, diberikan elemen corak seperti ombak pada bahagian penumpang, dan yang paling menonjol adalah rekaan skrin infotainmen yang bersambung sekali dengan paparan instrumen digital.

    Walaupun bersambung, skrin berkenaan menampilkan ukuran paparan berbeza antara satu sama lain. Saiz sebenarnya belum diumumkan, tetapi Proton menyatakan gandingan kedua-dua skrin tersebut memberikan paparan sehingga 16-inci. Proton turut mengesahkan bahawa skrin sesentuh untuk infotainmen tersebut juga menerima sokongan Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar.

    Proton Saga MC3 2026 sah ada Android Auto & Apple CarPlay tanpa wayar, HPF, 6-beg udara, enjin 1.5L CVT

    Perincian lain yang turut boleh dilihat termasuk roda stereng baharu lebih sporty rata di bawah yang sama seperti unit dari S70, X50 dan sebagainya, tombol gear baharu dan juga corak ‘ombak’ yang turut diberikan pada panel pintu.

    Menurut Proton, Saga 2026 ini merupakan model yang dibangunkan sepenuhnya oleh bakat tempatan di pusat Penyelidikan dan Permbangunanannya selepas ia menjalinkan kerjasama dengan Geely pada 2017. Tarikh pelancarannya masih belum diumumkan, tetapi menerusi bayangan yang diberikan oleh Pengerusi Proton, Tan Sri Syed Faisal Albar ketika pelancaran eMas 5 minggu lalu, Saga MC3 ini berkemungkinan akan dilancarkan pada bulan ini – di mana spesifikasi penuh dan harga akan diumumkan sekali ketika itu.

    Minggu lalu Saga MC3 ini turut diumum sudahpun menerima penarafan empat-bintang dalam ujian pelanggaran keselamatan Program Penilaian Kereta Baharu Asia Tenggara (ASEAN NCAP), diuji menerusi protokol ujian 2021-2025. Ia tidak menerima penarafan lima-bintang penuh walaupun telah dilengkapi dengan enam beg-udara dan ADAS mungkin kerana perincian tersebut hanya diberikan pada varian tertinggi, manakala ASEAN NCAP lazimnya akan menguji model dalam varian paling rendah.

     
     
  • Proton Saga MC3 2026 terima penarafan keselamatan 4-bintang ASEAN NCAP guna protokol 2021-2025

    Proton Saga MC3 2026 terima penarafan keselamatan 4-bintang ASEAN NCAP guna protokol 2021-2025

    Persidangan Antarabangsa Safety and Holistic Innovation for Future Vehicles (SHIFT 2025) sedang berlangsung dari 28 hingga 30 Oktober, dianjurkan bersama oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan Program Penilaian Kereta Baharu ASEAN (ASEAN NCAP). Dalam majlis penyampaian anugerah penarafan bintang ASEAN NCAP yang diadakan, Proton Saga 2026 (MC3) telah dianugerahkan penarafan keselamatan empat bintang.

    Penilaian ini dibuat berdasarkan protokol ujian ASEAN NCAP 2021–2025 yang masih digunakan sehingga akhir tahun ini. Bermula Januari nanti, protokol baru 2026–2030 akan diperkenalkan dengan penekanan lebih besar terhadap sistem bantuan pemandu termaju (ADAS).

    Ramai tertanya-tanya mengapa Saga hanya menerima empat bintang sedangkan model itu dilaporkan dilengkapi ADAS. Menurut sumber industri, terdapat dua kemungkinan – pertama, sistem ADAS yang digunakan mungkin hanya asas, dan kedua, ia mungkin tidak ditawarkan secara standard bagi semua varian. Penjelasan penuh dijangka diketahui selepas laporan rasmi ASEAN NCAP diterbitkan nanti.

    ASEAN NCAP kini menggunakan sistem penarafan tunggal bagi setiap model, berbeza dengan kaedah terdahulu yang membenarkan varian berbeza memperoleh penarafan berbeza. Sebagai contoh, Perodua Bezza yang diuji pada 2016 menerima lima bintang bagi varian AV, manakala varian lain hanya empat bintang kerana kekurangan ciri seperti amaran tali pinggang keledar hadapan dan kawalan kestabilan. Situasi sama berlaku pada Nissan Almera yang diuji pada Jun 2025, yang turut menerima empat bintang kerana tiada amaran tali pinggang keledar untuk penumpang hadapan.

    Beralih kepada model Saga baru, kereta yang menjadi tumpuan ramai ini telah dipertontonkan sepenuhnya sempena majlis menandatangani perjanjian naik taraf Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN–China 3.0. Namun, bagi orang awam dan media bukan VIP, hanya unit berpenyamaran yang pernah dipamerkan di Sidang Kemuncak ASEAN sebelum ini dapat dilihat. Unit tersebut kini berada di Proton Centre of Excellence di Shah Alam untuk tontonan umum.

     
     
  • 17 stesen LRT Laluan Kelana Jaya dibuka lewat pada Sabtu-Ahad sepanjang Nov 2025, antara 9pg-12t/hari

    17 stesen LRT Laluan Kelana Jaya dibuka lewat pada Sabtu-Ahad sepanjang Nov 2025, antara 9pg-12t/hari

    Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) selaku pengendali perkhidmatan LRT memaklumkan bahawa pelaksanaan Fasa 3 kerja-kerja naik taraf sistem semboyan Laluan Kelana Jaya akan diteruskan bermula 1 hingga 30 November 2025.

    Menurut syarikat ini, penaiktarafan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Prasarana untuk meningkatkan keselamatan, kebolehpercayaan sistem, serta mengurangkan risiko gangguan operasi di laluan tren paling sibuk di Lembah Klang ini. Langkah ini juga merupakan penyelesaian jangka panjang susulan insiden gangguan berskala besar yang berlaku pada November 2022.

    “Pelaksanaan dan Impak Operasi Fasa 3 Kerja-kerja naik taraf Fasa 3 akan dilaksanakan pada hujung minggu sepanjang bulan November 2025 pada tarikh-tarikh terpilih yang melibatkan sebanyak 17 stesen utama termasuk stesen KL Sentral, Pasar Seni, Masjid Jamek dan KLCC.

    “Pada tarikh-tarikh berkenaan, stesen-stesen yang terlibat akan dibuka lewat kepada penumpang, iaitu jam 9 pagi bagi tarikh awal dan pertengahan November, jam 12 tengah hari pada hujung minggu terakhir bulan tersebut,” kata Prasarana menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Jadual tarikh dan stesen terlibat adalah seperti berikut:

    17 stesen LRT Laluan Kelana Jaya dibuka lewat pada Sabtu-Ahad sepanjang Nov 2025, antara 9pg-12t/hari

    Klik untuk besarkan

    Menurut Prasarana, stesen-stesen lain yang tidak terlibat akan beroperasi seperti biasa mengikut jadual waktu
    operasi harian. Langkah ini penting bagi memastikan sistem semboyan baharu dapat diuji dalam persekitaran operasi sebenar sebelum dilaksanakan sepenuhnya di seluruh laluan.

    “Bagi memastikan kelancaran perjalanan, bas dan van perantara percuma akan disediakan untuk menghubungkan stesen yang terlibat. Penumpang akan dibantu oleh kakitangan stesen, polis bantuan dan Prasarana Troopers (sukarelawan terlatih) yang akan ditempatkan di stesen-stesen terlibat dan stesen integrasi. Mereka bertanggungjawab membantu penumpang mendapatkan maklumat, memberikan panduan perjalanan, serta memastikan kelancaran pergerakan sepanjang tempoh pengujian sistem.

    “Papan tanda dan risalah maklumat turut disediakan di stesen dan hentian bas sebagai panduan tambahan kepada pengguna. Penumpang juga disarankan menggunakan laluan rel Rapid KL seperti Laluan Monorel, Laluan Ampang/Sri Petaling, Laluan Putrajaya serta Laluan Kajang sebagai perkhidmatan alternatif,” katanya lagi

    Prasarana turut berkata pelaksanaan Fasa 2 yang berlangsung dari 6 September hingga 11 Oktober 2025 lalu telah berjalan mengikut jadual. Fasa ini melibatkan kerja-kerja pengujian dan integrasi sistem baharu di 10 stesen utama, termasuk KLCC, Ampang Park dan Gombak.

    17 stesen LRT Laluan Kelana Jaya dibuka lewat pada Sabtu-Ahad sepanjang Nov 2025, antara 9pg-12t/hari

    Di mana sepanjang tempoh ini, sistem semboyan SelTrac Generasi 8 telah berjaya diuji sepenuhnya dalam persekitaran operasi sebenar, dengan keputusan yang menunjukkan peningkatan ketara dalam kestabilan komunikasi antara tren dan pusat kawalan.

    “Kejayaan ini membuktikan keberkesanan pelaksanaan berperingkat oleh pihak pembekal utama OEM dengan sokongan dari pasukan teknikal Prasarana, serta menjadi asas penting untuk Fasa 3 yang melibatkan kawasan dengan liputan operasi lebih luas dan jumlah penumpang yang lebih tinggi.

    “Komitmen Prasarana Prasarana sentiasa komited meningkatkan keselamatan, kecekapan, dan kebolehpercayaan perkhidmatan rel. Segala usaha penaiktarafan ini adalah untuk memastikan setiap perjalanan penumpang lebih lancar, selamat dan diyakini. Kami menghargai sokongan serta kesabaran pengguna sepanjang tempoh pelaksanaan kerja ini,” kata Prasarana.

    Untuk maklumat lanjut mengenai jadual naik taraf, senarai stesen terlibat serta perkhidmatan alternatif yang disediakan, orang ramai digalakkan untuk melayari laman web rasmi di www.myrapid.com.my atau mengikuti saluran media sosial rasmi Rapid KL untuk sebarang perkembangan terkini.

     
     
  • Mitsubishi Delica Mini 2025 dipamerkan di JMS – bermula RM55k, 659 cc Turbo dan NA, 2WD dan 4WD

    Mitsubishi Delica Mini 2025 dipamerkan di JMS – bermula RM55k, 659 cc Turbo dan NA, 2WD dan 4WD

    Selepas didedahkan di Jepun pada Ogos lalu, media dari seluruh dunia dapat menyaksikan model kemaskini terbaharu Mitsubishi Delica Mini apabila K-Car yang merupakan versi ‘kerdil’ untuk MPV besar Delica D:5 dipamerkan di Japan Mobility Show 2025 yang bermula minggu ini.

    Delica Mini 2025 ini menampilkan beberapa perubahan pada bahagian muka berbanding versi yang muncul pada 2023 di mana ia kini diberikan lampu hadapan yang lebih besar tetapi masih bersama lampu nyalaan siang LED separa bulat – mungkin mengambil inspirasi dari muka van Mitsubishi Delica generasi terdahulu yang sememangnya mempunyai varian dengan lampu hadapan bulat.

    Gril hadapan juga diberikan rekaan baharu yang nampak lebih lasak, manakala bampar hadapan pula menerima rekaan seakan diberikan bullbar, serta diberikan panel skid plate di bawah bampar berwarna perak.

    Mitsubishi Delica Mini 2025 dipamerkan di JMS – bermula RM55k, 659 cc Turbo dan NA, 2WD dan 4WD

    Satu lagi perubahan ketara pada model 2025 ini adalah tiang-A yang ditolak 115 mm lebih kehadapan bagi memberikan ruang kabin yang lebih luas. Perubahan ini turut memerlukan fender hadapan dan penutup bonet hadapan direka semula, dan ia turut menampilkan garis-garis baharu yang memberikan imej yang lebih lasak.

    Manakala di belakang, tiada lagi imej seakan bumbung terapung kerana ia telah diberikan tiang-D yang tebal. Imej lebih lasak turut dapat dilihat di belakang di mana ia diberikan lampu baharu dengan grafik LED petak, panel yang menempatkan skrip ‘DELICA MINI’ yang lebih tebal serta bahagian skid plate pada bawah bampar yang lebih menonjol.

    Delica Mini ini dihasilkan dengan dimensi panjang 3,395 mm, lebar 1,475 mm, tinggi 1,800 mm dan jarak roda 2,495 mm, di mana ukuran ini masih dalam spesifikasi maksima dibenarkan dalam undang-undang K-Car Jepun. Pintu belakang masih direka dibuka secara gelangsar bagi memberikan bukaan lebih besar dan praktikal.

    Mitsubishi Delica Mini 2025 dipamerkan di JMS – bermula RM55k, 659 cc Turbo dan NA, 2WD dan 4WD

    Dalam kabin pembaharuan yang boleh dilihat termasuk rekaan papan pemuka baharu menampilkan skrin berkembar masing-masing bersaiz 12.3-inci untuk sistem infotainmen dan juga paparan instrumen digital. Liang penghembus udara kini direka semula dengan flap mendatar seakan merentasi sepenuhnya papan pemuka.

    Kedudukan butang kawalan penyaman udara telah diubah bagi memberi ruang kepada tombol kawalan mod pemanduan, yang menawarkan pilihan Power, Normal, Eco, Gravel dan Snow.

    Kesemua varian Delica Mini ini dibekalkan sistem infotainmen Google bina-dalam, dengan fungsi kawalan suara serta sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, di mana ia disambungkan ke enam pembesar suara. Bergantung pada varian, ia turut datang dengan upholsteri tempat duduk yang tidak menyerap air.

    Dua jenis enjin ditawarkan untuk Delica Mini ini iaitu enjin petrol 659 cc DOHC NA berkuasa 52 PS dan tork maksima 60 Nm, dan juga enjin 659 cc DOHC Turbo yang menghasilkan kuasa maksima yang dihadkan pada 64 PS mengikut undang-undang K-Car dan tork maksima 100 Nm.

    Kedua-dua enjin tersebut dipadankan dengan kotak gear CVT automatik. Juga terdapat pilihan pacuan roda hadapan dan juga pacuan semua roda. Bagi varian pacuan hadapan ia hanya diberikan set rim 14-inci, manakala varian dengan sistem pacuan semua roda hadir dengan rim 15-inci serta penyerap hentak dengan diameter lebih besar.

    Kesemua pilihan unit rangkaian kuasa ini ditawarkan dalam empat varian gred kemasan iaitu varian asas T, varian pertengahan T Premium dan juga T Premium with Delimaru Package. Ia dijual pada harga bermula 2,042,700 yen (RM55k) hingga 2,907,300 yen (RM79k).

     
     
  • Kemalangan trak FRU berpunca dari lori ‘tipper’ bawa lebihan muatan dan tiada ciri keselamatan asas – MOT

    Kemalangan trak FRU berpunca dari lori ‘tipper’ bawa lebihan muatan dan tiada ciri keselamatan asas – MOT

    Hari ini, Kementerian Pengangkutan (MOT) telah mengeluarkan Laporan Akhir Pasukan Petugas Khas Siasatan Keselamatan Pengangkutan Jalan berhubung insiden membabitkan lori muatan batu kerikil (lori jenis ‘tipper’) dan trak Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU). MOT memaklumkan bahawa kemalangan terbabit berpunca dari lori ‘tipper’ terbabit yang membawa lebihan muatan melampau, kelemahan kawalan operasi dan ketiadaan ciri keselamatan asas.

    Turut dimaklumkan dapatan pasukan siasatan juga mendapati penguatkuasaan yang terhad mewujudkan persekitaran risiko tinggi sehingga mengakibatkan kemalangan maut, laporan Berita Harian.

    Ketika kejadian yang berlaku di Teluk Intan pada 13 Mei lalu hingga meragut nyawa sembilan anggota FRU, lori ‘tipper’ itu didapati membawa muatan batu kerikil bersama Berat Dengan Muatan (BDM) sehingga 40,960 kilogram (kg), iaitu 70.67% melebihi had dibenarkan pada 24,000 kg.

    Laporan itu yang dikeluarkan selepas lebih lima bulan kejadian turut menyatakan cadangan keselamatan kepada pihak terbabit. Selain itu, ia juga berpunca daripada gabungan faktor teknikal, manusia, organisasi, serta jurang dalam dasar dan penguatkuasaan.

    Laporan 156 halaman itu memaklumkan lori FRU itu berada dalam kedudukan kelima daripada konvoi tujuh kenderaan iaitu empat lori, dua kenderaan utiliti sukan (SUV), dan sebuah bas, yang dalam perjalanan ke Ipoh, manakala lori ‘tipper’ itu dengan nombor pendaftaran AKL4674 dari arah bertentangan menuju ke Teluk Intan.

    Kemalangan trak FRU berpunca dari lori ‘tipper’ bawa lebihan muatan dan tiada ciri keselamatan asas – MOT

    “Muatan berlebihan pada lori yang membawa batu kerikil itu menyebabkan ia hilang kawalan dan berlaku perlanggaran dengan trak FRU yang sedang berkonvoi pulang ke Ipoh.

    “Laporan itu turut menjelaskan bahawa tiada kegagalan mekanikal dikesan pada sistem brek atau stereng, sebaliknya kemalangan berpunca daripada faktor operasi dan pematuhan, termasuk kelemahan pengawasan dalaman syarikat pengendali lori serta tiada Sistem GPS yang berfungsi,” menurut kenyataan MOT hari ini.

    MOT memberitahu sebanyak 16 syor keselamatan dikemukakan merangkumi enam bidang utama antaranya peningkatan pematuhan Kod Amalan Industri bagi Keselamatan Pengangkutan Jalan (ICOP), penambahbaikan Akta 715 serta peningkatan ciri keselamatan kenderaan kerajaan seperti pemasangan tali pinggang keledar bagi semua tempat duduk.

    Kementerian terbabit turut menegaskan bahawa siasatan keselamatan itu tidak bertujuan menetapkan kesalahan atau menentukan liabiliti mana-mana pihak, sebaliknya untuk memperkukuh dasar keselamatan pengangkutan darat agar tragedi seumpama itu tidak berulang.

     
     
  • Mazda dedah logo dan reka bentuk tulisan baharu

    Mazda dedah logo dan reka bentuk tulisan baharu

    Mazda secara rasmi kini memperkenalkan logo terbarunya selepas pendaftaran tanda dagangan yang dikesan tahun lalu. Logo baru ini diperkenalkan kepada umum sempena pameran Japan Mobility Show dan sudah pun digunakan di laman web rasmi syarikat tersebut.

    Langkah ini menjadikan Mazda seiring dengan beberapa pengeluar automotif lain seperti Volvo, BMW, Kia dan Volkswagen yang turut memperkenalkan logo dengan reka bentuk lebih ringkas, rata dan berwarna hitam sepenuhnya. Menurut Mazda, rekaan baru ini meningkatkan keterlihatan jenama mereka, terutamanya dalam dunia digital yang semakin penting hari ini.

    Mazda dedah logo dan reka bentuk tulisan baharu

    Walaupun tampil dengan gaya baru, logo Mazda masih mengekalkan bentuk huruf “M” yang menyerupai sepasang “sayap mengembang,” simbol yang telah digunakan sejak tahun 1997 dan pernah direka semula pada 2018. Berbanding versi terdahulu, rekaan baru ini menampilkan garis yang lebih lembut dan tidak lagi mempunyai kesan ke dalam, menjadikannya tampak lebih moden dan bersih.

    Selain logo, Mazda turut memperkenalkan rekaan tulisan (wordmark) baru yang kini digunakan di laman web rasminya. Tulisan ini menampilkan gaya yang lebih ringkas dan kontemporari, menggantikan rekaan lama yang kelihatan lebih industri dan tegas.

     
     
  • BYD Racco dibangunkan khas untuk sertai pasaran EV kei di Jepun – 20 kWh, jarak gerak WLTC 180 km

    BYD Racco dibangunkan khas untuk sertai pasaran EV kei di Jepun – 20 kWh, jarak gerak WLTC 180 km

    Model baru BYD Racco kini menjadi perhatian di Japan Mobility Show, menandakan kemunculan pertama kereta kei elektrik dari pengeluar China untuk pasaran Jepun. Walaupun segmen ini secara tradisinya dikuasai oleh pengeluar tempatan, BYD melihat potensi besar selepas lebih 1.55 juta kereta kei terjual di Jepun tahun lalu — mewakili hampir 40% daripada jumlah jualan kenderaan baru di negara itu.

    Nama Racco, yang bermaksud “memerang laut” dalam bahasa Jepun, selari dengan trend BYD menamakan model-modelnya berinspirasikan haiwan laut seperti Seal, Sealion 7, Dolphin dan Atto 3. Model ini dijangka memasuki pasaran Jepun pada musim panas 2026 dan kini sedang membuat penampilan sulung kepada umum di pameran tersebut.

    Sebagai sebuah kereta kei elektrik (EV), Racco dibangunkan sepenuhnya untuk mematuhi peraturan saiz kenderaan mini Jepun. Ia berukuran 3,395 mm panjang, 1,475 mm lebar dan 1,800 mm tinggi, hampir sama saiz dengan Nissan Sakura. Racco mempunyai empat tempat duduk serta empat pintu, termasuk dua pintu gelungsur di bahagian belakang yang memudahkan penumpang keluar masuk.

    Bahagian luarnya menampilkan bentuk kotak dan menegak bagi memaksimumkan ruang dalaman, ciri tipikal bagi kereta kei. Bahagian hadapan dihiasi dengan lampu nyalaan siang (DRL) berbentuk C mengelilingi lampu utama, manakala perincian hitam pada bampar depan memberikan ekspresi seperti “muka masam” yang turut menempatkan lampu kabus.

    Struktur A-pillar berkembar meluaskan pandangan ke hadapan dan soket pengecas terletak pada fender kanan hadapan. Di belakang pula, C-pillar berwarna hitam separuh memberikan ilusi bumbung terapung, manakala lampu belakang melintang penuh menyerlahkan rekaan moden yang menyerupai lampu hadapan.

    Bahagian dalaman Racco kelihatan ringkas dan praktikal. Paparan instrumen digital kecil terletak di ruang stereng, manakala skrin sesentuh di tengah papan pemuka dilengkapi deretan butang kawalan fizikal di bawahnya – satu susun atur yang mudah digunakan.

    BYD Racco dibangunkan khas untuk sertai pasaran EV kei di Jepun – 20 kWh, jarak gerak WLTC 180 km

    Walaupun BYD belum mengumumkan spesifikasi lengkap sistem kuasa, model ini dijangka menggunakan bateri Blade jenis lithium iron phosphate (LFP) berkapasiti 20 kWh, dengan jarak perjalanan sekitar 180 km mengikut piawaian WLTC.

    Dari segi harga, Racco dijangka ditawarkan sekitar 2.5 juta yen (anggaran RM68,000), hampir sama dengan Nissan Sakura. Ia bakal bersaing dalam segmen kereta kei elektrik bersama model seperti Honda N-One e: dan Mitsubishi eK X EV, yang juga merupakan saudara kepada Sakura.

     
     
  • Nissan Skyline 400R Limited diperkenal di Jepun – hanya 400 unit, enjin V6 3.0 twin turbo, RM189k

    Nissan Skyline 400R Limited diperkenal di Jepun – hanya 400 unit, enjin V6 3.0 twin turbo, RM189k

    Model edisi khas Nissan Skyline 400R Limited kini menjadi tumpuan di Japan Mobility Show, hanya beberapa hari selepas diperkenalkan secara rasmi di Jepun. Sedan sporty ini hadir sebagai varian istimewa kepada model Skyline generasi ke-13 (V37) yang mula diperkenalkan sejak tahun 2014.

    Nissan mengesahkan hanya 400 unit Skyline 400R Limited akan dihasilkan. Tempahan akan dibuka pada 13 November, manakala penghantaran dijangka bermula 18 Disember. Di Jepun, model ini dijual pada harga 6,935,500 yen (anggaran RM189,000), menjadikannya lebih mampu milik berbanding versi Skyline Nismo yang pernah ditawarkan lebih dua tahun lalu pada harga 7,880,400 yen (sekitar RM215,000).

    Dalam barisan model Skyline, 400R Limited berada di atas model 400R standard yang berharga 6,495,500 yen (RM177,000), manakala versi GT Type P dan GT Type SP masing-masing dijual pada 5,442,800 yen (RM148,000) dan 5,723,300 yen (RM156,000).

    Nissan Skyline 400R Limited diperkenal di Jepun – hanya 400 unit, enjin V6 3.0 twin turbo, RM189k

    Di bawah bonet, Skyline 400R Limited mengekalkan enjin VR30DDTT 3.0 liter V6 twin-turbo yang menghasilkan 405 PS (400 hp) dan 475 Nm tork, dipadankan dengan transmisi automatik 7-kelajuan 7M-ATx yang memacu roda belakang. Untuk model GT Type P dan GT Type SP, enjin yang sama digunakan tetapi dengan talaan lebih rendah — 304 PS (300 hp) dan 400 Nm.

    Versi Limited menerima beberapa peningkatan berbanding model 400R biasa. Ia menggunakan rim aluminium 19 inci yang lebih lebar di hadapan dan belakang, dipadankan dengan tayar Dunlop SP Sport Maxx GT 600 bersaiz 245/40 di depan dan 265/35 di belakang.

    Sistem suspensinya turut ditala semula dengan kadar spring hadapan lebih keras sebanyak 4%, manakala spring stabilizer belakang dipertingkatkan 44%. Nissan juga melengkapkan model ini dengan pad brek tahan haba tinggi bagi memastikan prestasi konsisten walaupun dalam keadaan pemanduan lasak.

    Dari segi rekaan, Skyline 400R Limited tampil lebih eksklusif dengan spoiler but belakang dan penutup cermin sisi gentian karbon, serta lencana “Limited” di bahagian belakang. Ruang dalaman turut menampilkan kemasan gentian karbon pada konsol tengah dan plat nombor siri khas pada penutup ruang simpanan.

    Selain itu, kemas kini untuk keseluruhan rangkaian Skyline turut merangkumi sistem brek kecemasan automatik yang kini mempunyai kemampuan pengesanan lebih baik mengikut piawaian terkini, serta warna badan baru yang dikenali sebagai Wangan Blue, seperti yang dipamerkan pada model ini.

     
     
  • GWM Tank 500 HEV Black Edition diperkenalkan di Malaysia – RM336,800, kemasan gelap lebih garang

    GWM Tank 500 HEV Black Edition diperkenalkan di Malaysia – RM336,800, kemasan gelap lebih garang

    GWM Malaysia hari ini memperkenalkan varian baharu untuk GWM Tank 500 yang menampilkan rupa lebih garang, dikenali sebagai GWM Tank 500 HEV Black Edition. Ia dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM336,800, atau RM8,600 lebih mahal berbanding varian biasa berharga RM328,800.

    Dengan harga berkenaan, kemasan-kemasan krom pada Tank 500 biasa diubah kepada hitam berkilat untuk Tank 500 Black Edition ini termasuk gril hadapan, lencana Tank pada gril dan juga kemasan-kemasan pada bampar hadapan. Melengkapkan mukanya, lampu hadapan Tank 500 Black Edition ini juga hadir dengan latar belakang berwarna hitam.

    Tak cukup dengan itu, panel-panel kemasan perak dan krom seperti pada rel bumbung, perapi-perapi cermin tingkap, perapi pada pintu tailgate dan bampar belakang, kemasan pada perumah tayar gantian, perumah lampu belakang, pembuka pintu, kemasan bendul pintu serta panel pelindung bawah bampar belakang semuanya turut sudah dihitamkan.

    Model ini juga menerima set rim aloi 20-inci istimewa dalam kemasan hitam berkilat, serta pemijak sisi bantuan kuasa elektrik yang turut datang dalam kemasan hitam.

    Walau bagaimanapun Tank 500 HEV Black Edition ini masih menegkalkan unit penggerak yang sama, di mana SUV ini menerima unit rangkaian kuasa hibrid dengan enjin 2.0 liter empat-silinder dengan pengecas turbo berkuasa 244 PS dari 5,500 rpm hingga 6,000 rpm dan dan tork maksima 380 Nm bermula 1,700 hingga 4,000 rpm, digandingkan bersama sebuah motor elektrik berkuasa 106 PS/268 Nm.

    Gabungan sistem ini menghasilkan kuasa keseluruhan 346 PS dan 648 Nm, dan disalurkan menerusi transmisi HAT (Hydraulic Automatic Transmission) automatik sembilan-kelajuan dan sistem pacuan semua-roda.

    Ia juga masih menerima perincian-perincian yang sama seperti Tank 500 HEV biasa pasaran Malaysia dengan kelengkapan seperti paparan instrumen digital 12.3-inci, skrin sesentuh infotainmen 14.6-inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, tempat duduk hadapan larasan kuasa dengan fungsi memori untuk bahagian pemandu, penghawa dingin tiga zon dan bumbung panaromik.

    Ia juga diberikan sistem keselamatan termasuk brek kecemasan automatik, cruise control adaptif, pemantau titik buta, bantuan kekal lorong, amaran keluar selamat, kameran pemantau 540 darjah dengan pandangan telus bawah lantai dan pelbagai lagi.

    Setiap pembelian model ini datang dengan perlindungan waranti kenderaam selama enam-tahun tanpa had perbatuan dan waranti bateri sistem hibrid selama lapan-tahun atau 200,000km. GWM Malaysia juga menawarkan waranti sepanjang hayat untuk enjin, transmisi dan sistem hibrid HEV, namun ia hanya eksklusif untuk pembeli pertama SUV ini dan didaftarkan untuk kegunaan persendirian.

    Selain itu Tank 500 HEV Black Edition ini diberikan pakej penyelenggaraan percuma selama lima-tahun. Pembeli-pembeli terawal juga akan ditawarkan dengan set hadiah premium edisi terhad.

     
     
  • Enjin 1.5L dan 2.0L turbo generasi baru Toyota boleh diadaptasi untuk tujuan elektrifikasi hingga prestasi

    Enjin 1.5L dan 2.0L turbo generasi baru Toyota boleh diadaptasi untuk tujuan elektrifikasi hingga prestasi

    Bukanlah rahsia bahawa Toyota sedang dalam proses mempersiapkan pengenalan barisan enjin generasi baru syarikat itu. Paling tidak, sejak dua tahun lalu berita tentang enjin baru 1.5 liter dan juga unit dengan prestasi lebih tinggi 2.0 liter turbo tersebut telah diperkatakan.

    Pagi ini, dalam satu taklimat tertutup bersama media Asia sempena Japan Mobility Show 2025, Toyota sekali lagi memberi penekanan terhadap arah tuju dan gambaran lebih luas terhadap perancangan masa depan jenama itu.

    Presiden, Janaan Kuasa Syarikat, Takashi Uehara menjelaskan bahawa kedua-dua unit enjin itu akan menjadi unit utama yang akan ditawarkan sebagai “jantung” model-model Toyota akan datang. “Ia bahkan direka untuk mudah diadaptasi dengan kepelbagai sumber tenaga baru atau bahan api neutral karbon, yang digunakan di pasaran-pasaran yang berbeza,” jelasnya dengan merujuk antaranya kepada bahan api seperti hidrogen dan etanol.

    Enjin 1.5L dan 2.0L turbo generasi baru Toyota boleh diadaptasi untuk tujuan elektrifikasi hingga prestasi

    Hal ini adalah selari dengan apa yang disebut sebagai “Multipathway Approach” terhadap komponen janaan kuasa kenderaan yang bakal dihasilkan pada masa hadapan. Ini bermaksud, Toyota akan memanfaatkan semua sumber tenaga yang ada tanpa memberi tumpuan kepada hanya satu pendekatan (misalnya, janaan elektrik atau EV semata-mata) dalam membangunkan rangkaian teknologi syarikat itu.

    Bagi barisan model yang akan ditawarkan untuk pasaran global yang berbeza-beza (tertakluk kepada kencenderungan setiap pasaran), Toyota mempunyai enam pilihan semuanya: iaitu kenderaan BEV, PHEV, HEV, ICE (enjin biasa), H2 (hidrogen) dan FCEV. Maka, enjin generasi baru berkenaan dibangunkan agar boleh digunakan dan menampung semua keperluan bahan api atau pendekatan janaan yang dinyatakan ini.

    Menurut Takashi, bagi unit 1.5 liter empat-silinder, enjin tersebut mampu menjana sekitar 70 kW kuasa dan 120 Nm tork, dengan tetapan yang mirip seperti kitaran Atkinson yang ada ketika ini. Ia boleh digandingkan dengan motor hibrid yang menjana sekitar 30 kW, yang menjadikan output akhir yang mampu dicapai adalah lebih daripada 100 kW. Enjin ini bahkan boleh digunakan untuk tetapan dengan turbo.

    Bagi unit 2.0L turbo empat-silinder yang lebih berprestasi pula, ia mampu menjana lebih daripada 400 PS dan 500 Nm. Enjin ini akan mengisi sebagai jantung bagi model-model dengan aspirasi sport serta prestasi dalam barisan kendearan Toyota yang akan datang — seperti yang pernah ditunjukkan oleh Toyota Yaris M Concept awal tahun ini.

    Dengan dua enjin inilah Toyota akan menyesuaikan setiap modelnya — mengikut keperluan pasaran ia dijual — dengan keperluan dan tujuan penawaran setiap model akan datang: dari elektrifikasi hinggalah kepada prestasi tinggi, semuanya akan dirangkum melalui enjin tersebut. Jika ini menjadi kenyataan, kelihatan seperti penawaran enjin daripada Toyota selepas ini akan menjadi lebih ringkas, tetapi hadir dengan kepelbagaian tetapan.

     
     
  • PDRM beri pengurangan saman trafik terpilih hingga 70%, JPJ tawar diskaun 50%; 1 Nov-30 Dis 2025

    Sekali lagi kami ingin mengingatkan anda yang mempunyai saman trafik tertunggak yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) supaya mengambil peluang dengan penawaran diskaun saman trafik terpilih mulai 1 Nov hingga 30 Dis 2025.

    Bagi saman yang dikeluarkan oleh PDRM, Pengarah Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, CP Datuk Seri Mohd Yusri Haji Hassan Basri berkata, pihaknya akan menawarkan pengurangan bayaran saman trafik sebanyak 70% untuk tempoh tersebut.

    “Urusan penyelesaian (saman trafik) boleh dilaksanakan melalui pltform MyBayar PDRM bagi pengguna yang berdaftar dengan MyDigital ID dan semua kaunter trafik daerah serta pejabat pos Malaysia di seluruh negara. Walau bagaimana pun, kadar insentif ini tidak terpakai bagi kategori kesalahan yang tidak boleh dikompaun (non-compoundable atau NC) dan tawaran pengurangan tertakluk kepada nilai kompaun semasa dengan kadar minimum adalah RM30 sahaja,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    PDRM beri pengurangan saman trafik terpilih hingga 70%, JPJ tawar diskaun 50%;  1 Nov-30 Dis 2025

    Manakala JPJ pula menawarkan pengurangan kadar kompaun sehingga 50% yang diberikan kepada semua saman bagi kesalahan yang boleh dikompaun seperti disenaraikan di dalam Kaedah-Kaedah Pengangkutan Jalan (Pengkompaunan Kesalahan) 2003, kecuali kepada kes-kes yang telah didaftarkan di mahkamah termasuk yang berstatus waran tangkap yang belum Dilepaskan Tanpa Dibebaskan (DNAA).

    Kemudahan pembayaran saman tersebut boleh dilakukan di semua kaunter pejabat JPJ di seluruh negara termasuk kios, dan Mobile JPJ dari jam 8 pagi hingga 5 petang pada hari bekerja serta 8 pagi hingga 1 tengahari pada hujung minggu. Walau bagaimana pun, orang ramai juga digalakkan untuk melakukan transaksi secara atas talian melalui portal mySIKAP JPJ.

    Seperti mana yang diumumkan oleh Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebelum ini berkenaan dengan penawaran diskaun saman tersebut sebelum kerajaan melaksanakan diskaun saman berasaskan program atau kempen khas akan digantikan dengan prinsip The Less You Delay, The Less You Pay atau ‘Lebih Cepat Anda Bayar, Lebih Sedikit Anda Perlu Bayar’ mulai 1 Jan 2026.

    PDRM beri pengurangan saman trafik terpilih hingga 70%, JPJ tawar diskaun 50%;  1 Nov-30 Dis 2025

    “Hal ini kerana pemberian diskaun saman berasaskan program adalah tidak adil kepada golongan yang bertanggungjawab dan membayar saman mereka lebih awal. Berdasarkan prinsip The Less You Delay, The Less You Pay, kadar kompaun adalah lebih rendah sekiranya bayaran dibuat lebih awal,” kata Loke.

    Tambahnya, berdasarkan struktur baharu itu, bayaran yang dibuat dalam tempoh 1 hingga 15 hari selepas tarikh notis akan menikmati pengurangan 50%, manakala 16 hingga 30 hari mendapat pengurangan 33%. Manakala bayaran yang dijelaskan dalam tempoh antara 31 hingga 60 hari pula dikenakan kadar kompaun maksimum, manakala selepas 61 hari, tindakan mahkamah dan senarai hitam akan dikenakan.

    Bagaimanapun, katanya, insentif baharu itu tidak terpakai bagi kesalahan serius yang tidak boleh dikompaun seperti tiada insurans, tiada lesen memandu atau mempamerkan lesen kenderaan motor (LKM) palsu.

     
     
  • Perodua sudah mula eksport kereta terpakai ke Bangladesh, diikuti Kenya dan Mozambique selepas ini

    Perodua sudah mula eksport kereta terpakai ke Bangladesh, diikuti Kenya dan Mozambique selepas ini

    Dengan banyak pilihan kereta baharu, kita di Malaysia kini sudah mula menghadapi masalah lambakan kereta terpakai. Masalah ini bukan hanya menjejaskan pengedar-pengedar kereta terpakai biasa, malah ia turut dihadapi oleh divisi rasmi kereta terpakai kendalian pengeluar-pengeluar kenderaan seperti Pre-Owned Vehicles (POV) milik Perodua, yang menjual kereta-kereta terpakai yang diperolehi dari proses tukar beli kereta baharu dari pelanggan.

    Bagi menangani masalah ini, Perodua telah mula mengeksport kereta-kereta terpakai tersebut ke pasaran luar. “Kami telah mula mengeksport kereta-kereta terpakai ke negara lain. Kami telah mulakan dengan Bangladesh dan kami sedang membuat kajian pasaran Kenya dan Mozambique serta negara-negara lain untuk pasaran seterusnya,” kata presiden dan CEO Perodua Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad dalam satu sesi temubual ketika berlangsungnya Japan Mobility Show 2025 di Tokyo.

    “Ini bagi memastikan Perodua terpakai dapat disalurkan ke negara lain dan pada masa yang sama kereta baharu dapat dijual. Ini akan membantu kepadatan kereta di Malaysia, supaya ia tidak terlalu tepu dan jumlah keseluruhan industri (TIV, atau jualan kereta baharu) dapat dikekalkan,” jelasnya.

    Perodua sudah mula eksport kereta terpakai ke Bangladesh, diikuti Kenya dan Mozambique selepas ini

    Malaysia kini merupakan antara negara dengan kepadatan kenderaan per kapita di dunia. Walaupun lebih kecil dari Thailand, Malaysia sudah mula memintas TIV Thailand pada 2023, dan jurang perbezaan tersebut semakin besar pada 2024 dengan jumlah TIV yang mencecah 816,747 unit, hampir kepada Indonesia yang mempunyai penduduk sekitar 300 juta orang.

    Dan penyumbang TIV paling besar di Malaysia sudah tentulah Perodua sendiri, yang telah menghasilkan kenderaan sebanyak 358,102 unit tahun lalu – rekod tahunan tertinggi dalam sejarahnya, mengatasi angka 330,325 unit yang direkodkan tahun sebelumnya.

    Rancangan Perodua untuk mengeksport kereta-kereta terpakai ini keluar sebenarnya sudah diumumkan sejak 2021. “Berdasarkan pelan jangka masa panjang untuk kenderaan terpakai, ada banyak kenderaan seperti ini di Malaysia. Salah satu strategi kami adalah melihat kepada pelbagai pilihan, sama ada kami boleh mengeksport kenderaan terpakai ini ke negara lain yang memerlukan kereta.

    Perodua sudah mula eksport kereta terpakai ke Bangladesh, diikuti Kenya dan Mozambique selepas ini

    “Pada masa ini, kami mempunyai pasukan yang sedang membuat kajian di salah satu negara yang kami tidak boleh beritahu sekarang. Mereka sedang melakukan kajian untuk pelaksanaannya dan kami telah menghantar beberapa buah kereta ke sana untuk kaji selidik pasaran, penerimaan harga dan sebagainya,” kata Zainal ketika itu.

    Kami diberitahu permintaan terhadap kereta-kereta terpakai dari Perodua ini di Bangladesh agak baik. Zainal juga menyatakan baru-baru ini syarikatnya turut telah mengekpsport Bezza (baharu, bukan terpakai) ke Papua New Guinea, dan sedan itu juga mendapat sambutan yang baik.

    “Baru-baru ini, kami telah mengeksport Bezza ke Papua New Guinea. Bezza digunakan sebagai kereta polis di sana, dan ia juga digunakan dalam sambutan hari kebangsaan mereka. Itu sesuatu yang sangat membanggakan – negara seperti Papua New Guinea menerima Perodua sebagai jenama yang dipercayai,” kongsi Zainal.

     
     
  • JPJ eBid: RBD dan APG bakal dibuka untuk bidaan

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengumumkan bahawa siri nombor pendaftaran terkini dari Perlis dan Perak bakal dibuka bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Antara pilihan yang ada ialah siri nombor pendaftaran terkini dari Perlis, RBD, yang boleh dibida mulai 2 November ini. Bidaannya akan berakhir jam 10 malam pada 6 November. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 7 November 2025. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau sebaliknya) menerusi e-mel.

    Manakala siri nombor pendaftaran terkini Perak, APG, bakal dibuka bidaan mulai 10 November. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 14 November, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 15 November 2025.

    Jadi, sekarang ini anda boleh menjimatkan masa dan wang ringgit dengan membida sendiri nombor pendaftaran yang anda hajati tanpa perlu menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner). Tak susah pun untuk membidanya dan anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk tujuan bidaan ini.

     
     
  • Mazda CX-5 2026 buat kemunculan sulung awam di Jepun – lebih besar, 2.5L NA hibrid 24V, 141 PS

    Mazda CX-5 2026 buat kemunculan sulung awam di Jepun – lebih besar, 2.5L NA hibrid 24V, 141 PS

    Selepas diperkenalkan pada peringkat global pada Julai lalu, model generasi ketiga untuk Mazda CX-5 ditunjukkan buat kali pertama di Jepun menerusi acara Japan Mobility Show 2025 yang mula berlangsung di Tokyo minggu ini.

    Mazda CX-5 baharu ini dihasilkan lebih besar dari model generasi sedia ada dengan menampilkan dimensi panjang 4,690 mm, lebar 1,860 mm dan tinggi 1,695 mm. Ini bermakna model generasi baharu ini adalah 115 mm lebih panjang, 15 mm lebih lebar dan juga 15 mm lebih tinggi dari model sebelumnya.

    Jarak roda model generasi baharu ini juga lebih jauh iaitu 2,775 mm (+75 mm), membolehkan ruang kabin direka lebih luas, dalam masa yang sama turut memberikan pengendalian yang lebih stabil.

    Dengan badan yang lebih tinggi, Mazda bukan hanya dapat menyediakan ruang kepala yang lebih selesa kepada penumpang, malah pintu belakang SUV ini dapat direka dengan bukaan lebih luas bagi membolehkan penumpang masuk dan keluar dengan lebih mudah – penumpang yang tinggi tidak perlu terlalu menunduk, manakala penumpang kanak-kanak dan juga warga emas juga lebih mudah masuk kerana bendul pintu yang direka lebih rendah.

    Mazda CX-5 2026 buat kemunculan sulung awam di Jepun – lebih besar, 2.5L NA hibrid 24V, 141 PS

    Saiz badan yang lebih besar dan panjang ini juga memberikan ruang but 61 liter lebih luas berbanding model generasi sebelumnya. Malah ia bukan soal ruang semata-mata, kerana Mazda menghasilkan pintu tailgate belakang juga dengan bukaan lebih luas dan bahagian bawah lebih rendah bagi memastikan barang yang besar boleh dimasukkan dengan mudah ke ruang berkenaan.

    Untuk pengayaan luaran, Mazda menyatakan rekaan Kodo pada SUV serba baharu ini menerapkan konsep “Wearable Gear”. Lampu hadapan masih direka nipis, namum kali ini ia kelihatan seperti sebahagian dari gril hadapan berwarna hitam yang masih lagi besar. Gril bawah bampar CX-5 baharu ini juga nampak lebih besar dari model sebelum ini.

    Secara asasnya identiti bayangan sisi badan CX-5 ini masih dikekalkan, namun untuk menghasilkan pintu belakang dan dan pintu tailgate yang lebih praktikal tadi menyebabkan garis bumbung belakang nampak lebih tinggi dan kurang landai. Ruang roda model baharu ini juga nampak lebih ‘petak’ berbanding model lama yang lebih bulat.

    Di belakang pengayaan lampu diubah terus dengan rekaan kluster berbentuk-L yang lebih nipis dan panjang seperti dari barisan SUV lebih besar Mazda CX-60 dan CX-80. Tiada logo ‘M’, tetapi menampilkan skrip ‘MAZDA’ baharu yang lebih ringkas dilekat di tengah pintu tailgate. Sepasang tip ekzos bulat masih kelihatan pada kedua-dua sisi bahagian belakang CX-5 baharu ini.

    Mazda CX-5 2026 buat kemunculan sulung awam di Jepun – lebih besar, 2.5L NA hibrid 24V, 141 PS

    Untuk bahagian dalaman, tiada lagi suis-suis fizikal untuk kawalan suhu dan penghembus penghawa dingin serta kawalan audio, di mana semuanya telah dipindahkan ke skrin sesentuh gergasi dengan pilihan saiz 12.9-inci dan 15.6-inci yang diletakkan di tengah papan pemuka.

    Konsol gear juga nampak lebih ringkas dengan hanya menampilkan suis untuk brek parkir elektronik serta fungsi auto hold, dan tiada lagi suis putar serta suis tekan Mazda Commander, serta tiada lagi suis pemilih mod pemanduan. Ia juga mempunyai pad pengecas telefon pintar tanpa wayar yang terletak di bawah perehat tangan.

    Bagi sistem infotainmen, selain skrin yang dibekalkan kini semakin besar, CX-5 2026 ini juga merupakan model pertama Mazda yang dibekalkan dengan servis Google bina dalam, memberikan fungsi seperti Google Maps, kawalan menggunakan suara AI Gemini, Google Apps Store dan banyak lagi. Sistem bunyi Bose dengan 12-pembesar suara juga dibekalkan pada varian terpilih.

    Mazda CX-5 2026 buat kemunculan sulung awam di Jepun – lebih besar, 2.5L NA hibrid 24V, 141 PS

    Untuk pemandu, maklumat pemanduan diberikan menerusi paparan instrumen digital bersaiz 10.25-inci. Roda stereng juga menerima rekaan baharu, di mana ia turut menampilkan skrip Mazda pada modul beg udara dan tidak menggunakan logo ‘M’.

    Pelbagai tema warna dan upholsteri ditawarkan untuk kabin CX-5 ini, termasuk kulit dalam kemasan hitam atau tan, kulit sintetik kemasan hitam dan putih serta material sued. Bergantung pada varian, pembeli turut ditawarkan dengan bumbung kaca panaromik.

    Bagi unit rangkaian kuasa, nampaknya masih belum ada teknologi baharu ditampilkan oleh Mazda untuk CX-5 generasi terkini ini. Buat masa sekarang ia hanya ditawarkan dengan hanya satu pilihan penggerak iaitu e-SkyActiv-G yang menggandingkan enjin 2.5 liter empat silinder sebaris dan juga sistem hibrid ringkas 24-volt.

    Mazda CX-5 2026 buat kemunculan sulung awam di Jepun – lebih besar, 2.5L NA hibrid 24V, 141 PS

    Enjin berkenaan ditala dengan kuasa 141 PS dan tork maksima 238 Nm, dialirkan ke kotak gear automatik SkyActiv-Drive enam kelajuan, membolehkan pecutan 0-100 km/j dicapai dalam masa 10.5 saat.

    Sebelum ini Mazda pernah mengumumkan bahawa ia akan memperkenalkan enjin generasi baharu dikenali sebagai SkyActiv-Z yang lebih efisien, didakwa mampu beroperasi dengan campuran bahan api dan udara pada tahap 1 lambda hampir pada setiap tahap rpm, namun ia hanya akan muncul pada akhir 2027.

    Untuk kita di Malaysia, CX-5 generasi baharu ini mungkin akan sampai ke sini selewat-lewatnya pada separa pertama 2028. Ini kerana dalam laporan penyelidikan pasaran oleh Maybank Investment Bank, pengedar Mazda pada pasaran tempatan iaitu Bermaz Auto kini sedang merancang untuk memulakan pemasangan tempatan (CKD) untuk CX-5 ini dalam tahun kewangan 2027 syarikat itu yang berakhir pada 30 April 2028.

     
     
  • Proton eMas 5 dilancarkan – 2 varian, RM56,800-RM69,800, sehingga 116 PS, jarak gerak 325 km WLTP

    Proton eMas 5 dilancarkan – 2 varian, RM56,800-RM69,800, sehingga 116 PS, jarak gerak 325 km WLTP

    Selepas beberapa pratonton, siri jelajah dan sebagainya, akhirnya EV kedua Proton yang juga pilihan lebih mampu milik iaitu eMas 5 secara rasminya dilancarkan di Malaysia. Model ini diumumkan sah sebagai EV paling murah dalam negara, dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM59,800 bagi varian asas Prime, dan RM72,800 untuk varian tertinggi Premium. Unit-unit awalan eMas 5 masih diterima dari China (CBU) dan selepas itu ia akan dipasang secara tempatan (CKD) di Tanjong Malim

    Istimewa untuk pelanggan yang membuat tempahan sebelum 31 Disember 2025, Proton memberikan diskaun tambahan sebanyak RM3,000, menjadikan varian Prime dijual pada harga RM56,800 dan varian Premium pula pada harga RM69,800.

    Proton memberikan perlindungan waranti kenderaan selama enam-tahun tanpa had perbatuan dan juga waranti untuk bateri dan komponen-komponen terlibat selama lapan-tahun atau 160,000km. Juga semua pembeli akan diberikan pengecas rumah 7 kW yang bernilai RM1,500 secara percuma, dan pakej data internet tanpa had untuk lima-tahun bernilai RM1,800 juga secara percuma.

    Seperti yang diketahui, Proton eMas 5 merupakan kembar seiras kepada Geely Geome Xingyuan di China atau Geely Star Wish pada pasaran eksport yang lain. Perbezaan yang boleh dilihat hanyalah pada logo Proton di hadapan dan skrip ‘PROTON’ serta lencana eMas 5 di pintu tailgate belakang.

    Proton eMas 5 dilancarkan – 2 varian, RM56,800-RM69,800, sehingga 116 PS, jarak gerak 325 km WLTP

    Proton juga menawarkan pilihan warna yang sama seperti Geely Xingyuan iaitu Moonstone White, Graphite Silver dan Slate Grey untuk semua varian, serta Marble Cream dan Quartz Rose hanya untuk varian Premium.

    Proton eMas 5 ini dihasilkan dengan dimensi panjang 4,135 mm, lebar 1,805 mm, tinggi 1,580 mm dan juga jarak roda sejauh 2,650 mm. Berbanding antara saingannya iaitu BYD Dolphin, Proton eMas 5 ini adalah 155 mm lebih pendek dan jarak roda 50 mm lebih dekat, tetapi 35 mm lebih lebar, manakala tinggi kedua-duanya adalah sama.

    Hatchback ini menyediakan ruang kargo pada but belakang dengan kapasiti 375 liter, dan ia boleh dibesarkan sehingga 1,320 liter sekiranya tempat duduk belakang dilipat. Ia turut diberikan ruang frunk di hadapan dengan kapasiti simpanan 70 liter. Malah pada tempat duduk belakang, eMas 5 turut menampilkan satu lagi ruang simpanan berkapasiti 28 liter.

    Proton eMas 5 ini juga merupakan model pertama Proton yang ditawarkan sebagai sebuah model pacuan roda belakang dengan motor elektrik tunggal yang diletakkan pada gandar belakang. Untuk varian Premium, motor elektrik berkenaan menghasilkan kuasa 116 PS (85 kW) dan tork maksima 150 Nm, dipacu oleh bateri LFP keluaran CATL dengan kapasiti 40.16 kWj.

    Manakala bagi varian Prime, motor elektrik yang dibekalkan hanya berkuasa 79 PS (58 kW) dan tork maksima 130 Nm, menerima bekalan kuasa dari bateri LFP lebih kecil berkapasiti 30.12 kWj.

    Konfigurasi unit rangkaian kuasa ini membolehkan eMas 5 Premium memecut dari 0-50 km/j dalam masa 3.9 saat sebelum mencapai kelajuan 135 km/j serta jarak perjalanan 325 km (WLTP) dengan satu cas bateri penuh, manakala eMas 5 Prime pula kelajuan maksimanya dihadkan pada 125 km/j dan boleh bergerak sejauh 225 km (WLTP) dengan satu cas penuh.

    Untuk mengecas pula eMas 5 boleh menerima pengecas AC 6.6 kW dan juga penegcas pantas DC sehingga 71 kW yang membolehkan cas dari 30%-80% dipenuhkan dalam masa 21 minit.

    Selain unit rangkaian kuasa, kedua-dua varian ini juga dibezakan dengan perbezaan kelengkapan yang diberikan. Bagi varian Prime, ia datang dengan kelengkapan asas seperti lampu hadapan halogen manual dengan fungsi follow-me-home, rim besi 16-inci, warna badan tunggal, tempat duduk hadapan larasan manual, empat pembesar suara, sistem penghawa dingin manual dengan liang hembusan kabin belakang dan juga upholsteri kulit sintetik.

    Manakala bagi varian Premium, ia menerima perincian lebih baik seperti lampu hadapan LED automatik dengan lampu tinggi, bumbung berwarna hitam, rim aloi 16-inci dua tona, enam pembesar suara, roda stereng leatherette dua tona, kamera 360-darjah dan pintu tailgate belakang bantuan kuasa.

    Proton eMas 5 dilancarkan – 2 varian, RM56,800-RM69,800, sehingga 116 PS, jarak gerak 325 km WLTP

    Proton eMas 5 Prime

    Untuk infotainmen, eMas 5 diberikan skrin bersaiz 14.6-inci yang beroperasi dengan OS Atlas Proton. Ia menyokong aplikasi Apple CarPlay dan Android Auto yang boleh dihubungkan tanpa wayar, serta menampilkan fungsi arahan suara Bahasa Melayu “Hi eMas” dan fungsi khas untuk EV seperti navigasi pencarian stesen-stesen pengecas.

    Pemilik juga diberikan akses untuk aplikasi telefon pintar eMas App yang bukan sahaja mengawal pelbagai fungsi dari jauh, malah turut boleh membuat pembayaran untuk pengecas awam.

    Manakala untuk tema kabin, secara standard eMas 5 menerima kemasan dalaman berwarna Flint Grey, manakala pembeli varian Premium yang memilih warna eksklusif Marble Cream dan Quartz Rose akan diberikan kemasan dalaman Alabaster White yang lebih cerah.

    Spesifikasi antara varian Proton eMas 5 (klik untuk besarkan)

    Untuk keselamatan pula, Proton eMas 5 datang lengkap dengan enam beg udara, ESC, ABS, sensor parkir di belakang, kamera 360-darjah dengan paparan 3D serta sistem anti-gelincir G-TCS, yang memberikan penambahbaikan dua saat ketika di permukaan licin dan pengurangan 50% bagi gelinciran roda pada permukaan kurang cengkaman.

    Kedua-dua eMas 5 juga diberikan sistem keselamatan yang merangkumi fungsi pengesan titik buta (BSD), bantuan tukar lorong (LCA), amaran lintasan trafik belakang (RCTA), amaran pelaggaran belakang (RCW), bantuan brek kecemasan (EBA), amaran pergerakan kenderaan hadapan (FVD), pengenal tanda trafik (TSR) dan amaran buka pintu (DOW).

    Manakala varian Premium pula menerima fungsi bantuan pemanduan termaju (ADAS) yang ditambah dengan cruise control adaptif (ACC), brek kecemasan automatik (AEB), amaran pelanggaran hadapan (FCW) dan amaran keluar laluan (LDW).

    Menurut Proton, sejak tempahannya dibuka awal bulan ini, sehingga kini sebanyak 5,000 eMas 5 telah pun ditempah. Walau bagaimanapun jualan bagi Proton eMas 5 ini hanya akan dimulakan dengan varian Premium terlebih dahulu, manakala varian Prime akan menyusul kemudian.

    GALERI: Proton eMas 5 Premium 2025

    GALERI: Gambar rasmi Proton eMas 5 Premium 2025

     
     
  • Daihatsu K-Open kekal sebuah kei car – idea untuk besarkan dan guna enjin 1.3L ditarik balik, masih FR

    Daihatsu K-Open kekal sebuah kei car – idea untuk besarkan dan guna enjin 1.3L ditarik balik, masih FR

    Bagi peminat Daihatsu Copen, kemunculan model konsep terbaru ini mungkin menimbulkan sedikit tanda tanya. Copen sememangnya terkenal sebagai kereta convertible kecil dalam kategori kei car, jadi apabila disebut bahawa ia “kekal” sedemikian, ini merujuk kepada keputusan Daihatsu untuk tidak membesarkan saiznya seperti yang pernah dirancang sebelum ini.

    Dua tahun lalu, Daihatsu memperkenalkan Vision Copen di Japan Mobility Show 2023 — sebuah model konsep yang lebih besar dan menyerupai Mazda MX-5, dengan enjin 1.3 liter, pacuan belakang (FR), serta dimensi yang hampir menyamai MX-5 ND. Ketika itu, ia dianggap sebagai langkah besar ke arah “kereta sports sebenar” bagi jenama mini Jepun itu.

    Namun, di Japan Mobility Show 2025, Daihatsu tampil dengan versi baru yang dinamakan K-Open — model konsep yang membawa semula Copen kepada asas asalnya sebagai kei car. Walaupun masih dalam bentuk konsep, K-Open jelas lebih realistik dan menghampiri bentuk pengeluaran sebenar.

    Model baru ini lebih kecil berbanding Vision Copen, dengan panjang 3,395 mm dan lebar 1,475 mm, iaitu di bawah had saiz maksimum kei car Jepun. Jarak roda 2,265 mm pula 150 mm lebih pendek berbanding Vision Copen. Menurut Daihatsu, saiz kompak ini memberikan pengalaman pemanduan terbuka yang ringan dan menyeronokkan, sambil mengekalkan pacuan belakang (FR) untuk kawalan pemanduan yang lebih menghiburkan.

    Dari segi reka bentuk, K-Open mengekalkan identiti klasik Copen dengan lampu bulat di hadapan dan belakang, seperti model generasi pertama dan versi Cero dari Mk2. Namun, berbanding Vision Copen yang menggunakan lampu LED dua projektor dalam gelang cahaya bulat, K-Open kini hanya mempunyai satu unit lampu utama dalam rekaan LED bulat DRL dan susunan yang sama diterapkan di bahagian belakang.

    Gril depan besar pada Vision Copen kini digantikan dengan gril bawah kecil di bawah plat kuning (tanda kei car), diapit lampu menegak LED, manakala bahagian belakang turut mengikut gaya sama. K-Open juga menggunakan ekzos tengah tunggal, namun kehilangan spoiler nipis seperti model konsep sebelumnya. Laluan udara di sisi hadapan kini berbentuk menegak dan logo tulisan “Daihatsu” menggantikan lambang “D” tradisional.

    Daihatsu K-Open kekal sebuah kei car – idea untuk besarkan dan guna enjin 1.3L ditarik balik, masih FR

    Bahagian dalamannya kekal dengan reka bentuk minimalis, tetapi kali ini tampil lebih sempurna untuk pengeluaran. Ia mengekalkan tuil gear manual klasik dengan getah hitam gaya retro serta tali kain sebagai pemegang pintu, menggantikan pemegang biasa — memberikan sentuhan sporty yang ringkas. Tiada perincian diberikan mengenai bumbung, namun Vision Copen sebelum ini menggunakan bumbung elektrik Active Top seperti Copen Mk2.

    Daihatsu belum mendedahkan jenis enjin untuk K-Open, tetapi jika ia kekal sebagai kei car, besar kemungkinan ia akan menggunakan enjin 660 cc tiga silinder turbo, bukannya enjin 1.3 liter seperti yang dicadangkan pada Vision Copen.

    Turut dipamerkan di sebelah K-Open ialah Copen Coupe Mk2 berwarna merah dengan ruang enjin dan bawah casis yang diperlihatkan kepada umum. Ia merupakan model pra-produksi ujian, dihasilkan dengan semangat “buat, pandu dan uji”. Daihatsu menjelaskan bahawa fokus mereka ialah mengekalkan saiz kei car, sambil mempertingkatkan keseimbangan berat dan pusat graviti rendah untuk pemanduan lebih lincah.

    Menariknya, pembangunan dinamik untuk Copen generasi baru kini dipantau sendiri oleh Pengerusi Toyota, Akio Toyoda, yang juga dikenali dengan nama panggilan, Morizo. Dalam pembentangan Toyota Group di JMS 2025, beliau dinamakan sebagai ‘Master Driver’ untuk Daihatsu dan dijangka terlibat secara langsung dalam pembangunan serta pengujian roadster kecil ini.

    Walaupun Daihatsu telah meninggalkan idea untuk menjadikan Copen sebagai pesaing terus kepada MX-5 dari segi saiz dan kuasa, Copen generasi baru dijangka menawarkan pengalaman pemanduan FR yang menyeronokkan dan ringan, sesuai dengan semangat asalnya. Dengan sentuhan daripada Akio Toyoda sendiri, Copen mungkin bakal menjadi roadster kei paling menyeronokkan di Jepun apabila tiba waktunya nanti.

     
     
  • BYD Seal 6 EV dapat pilihan warna Ivory Gold – tiada caj tambahan, terhad untuk 100 unit varian Premium

    BYD Seal 6 EV dapat pilihan warna Ivory Gold – tiada caj tambahan, terhad untuk 100 unit varian Premium

    BYD Malaysia memperkenalkan pilihan warna baru Ivory Gold untuk BYD Seal 6 EV, memberikan sentuhan lebih mewah kepada sedan elektrik popular itu. Warna eksklusif ini hanya ditawarkan untuk 100 unit sahaja di pasaran tempatan.

    Model Seal 6 EV sebelum ini dilancarkan pada September lepas dengan tiga pilihan warna asal iaitu Arctic White, Harbour Grey dan Misty Blue. Menariknya, warna baru Ivory Gold ini tidak dikenakan sebarang caj tambahan, namun hanya boleh didapati pada varian tertinggi Premium.

    Harga rasmi untuk varian Premium kekal pada RM115,800 (harga runcit disyorkan), atau RM116,500 atas jalan tanpa insurans.

    Dari segi spesifikasi, BYD Seal 6 EV Premium dilengkapi bateri Blade LFP (lithium iron phosphate) berkapasiti 56.64 kWh, yang mampu memberikan jarak pemanduan sehingga 485 km mengikut piawaian NEDC atau sekitar 410 km berdasarkan WLTP. Kuasa disalurkan kepada motor elektrik hadapan yang menghasilkan 218 PS (215 hp atau 160 kW) dan 330 Nm tork, membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam 7.5 saat.

    Kenderaan ini menyokong pengecasan AC Type 2 sehingga 7 kW, manakala pengecasan pantas DC pada kadar maksimum 100 kW mampu mengisi bateri dari 30% ke 80% dalam hanya 23 minit. Seal 6 EV turut dilengkapi fungsi Vehicle-to-Load (V2L) dengan kuasa output sehingga 3.7 kW, membolehkan pengguna menyalurkan tenaga elektrik kepada peralatan luaran seperti perkakas atau peranti mudah alih.

    Dari segi kelengkapan, varian Premium hadir lengkap dengan rim aloi 18 inci, bumbung panoramik, paparan digital 8.8 inci, tempat duduk pemandu boleh laras elektrik lapan arah, serta enam beg udara dan sistem keselamatan pasif standard. Ia juga menawarkan pakej keselamatan ADAS termasuk brek kecemasan automatik (AEB), kawalan kelajuan adaptif, amaran keluar lorong serta kamera pandang sekeliling 360 darjah.

     
     
  • Nissan Elgrand 2026 di Tokyo – generasi keempat dengan penggerak hibrid ePower, 4WD e-4orce

    Nissan Elgrand 2026 di Tokyo – generasi keempat dengan penggerak hibrid ePower, 4WD e-4orce

    Nissan mengumumkan kemunculan semula Elgrand, model MPV mewah yang bakal dilancarkan secara rasmi di Jepun pada musim panas tahun depan. Buat masa ini, model generasi keempat itu sedang dipertontonkan di Japan Mobility Show di Tokyo, menampilkan rekaan yang elegan dan moden — tidak seberani konsep Hyper Tourer, namun tetap menarik perhatian.

    Reka bentuk Elgrand baru ini membawa identiti yang disebut oleh Nissan sebagai “Timeless Japanese Futurism”, dengan bahagian hadapan yang benar-benar unik. Gril hadapannya diinspirasikan daripada corak tradisional Kumiko Jepun, digabungkan secara harmoni dengan rekaan lampu depan yang futuristik. Warna-warna seperti Fuji Dawn dan Shigoku pula menonjolkan semangat Jepun yang kuat pada model ini.

    Bahagian sisi tampil ringkas, namun bentuk belakangnya yang sedikit melengkung ke dalam memberikan rupa seimbang dengan lampu belakang lebar penuh serta spoiler bumbung kecil — kemas dan moden tanpa berlebihan.

    Nissan Elgrand 2026 di Tokyo – generasi keempat dengan penggerak hibrid ePower, 4WD e-4orce

    Di sebalik badannya, Elgrand generasi keempat ini menggunakan sistem e-Power siri hibrid generasi ketiga Nissan bersama sistem pacuan elektrik semua roda e-4orce yang dipertingkatkan. Ia berkongsi asas teknologi yang sama dengan X-Trail e-Power, menggunakan enjin 1.5 liter turbo tiga silinder sebagai penjana kuasa, bersama sistem elektrik “lima dalam satu” yang menggabungkan motor, generator, inverter, increaser, reverter serta motor elektrik tambahan di belakang.

    Walaupun angka rasmi masih belum diumumkan, X-Trail e-Power dilengkapi motor depan dengan 204 PS/330 Nm, motor belakang 136 PS/195 Nm, dan bateri 1.8 kWh — jadi Elgrand dijangka mempunyai spesifikasi hampir sama. Nissan menjelaskan bahawa motor belakang Elgrand bukan sahaja menstabilkan kenderaan ketika pecutan dan membrek, tetapi juga membantu ketika membelok, manakala suspensi dinamik pintar berfungsi mengurangkan olengan badan.

    Masuk ke kabin, suasananya benar-benar mewah. Stereng dua cabang, kemasan kulit dan kayu, corak Kumiko pada panel pintu serta tempat duduk dan lampu suasana 64 warna menaikkan lagi aura premium. Bahagian hadapan menampilkan dua skrin 14.3 inci, dengan skrin tambahan untuk penumpang belakang.

    Nissan Elgrand 2026 di Tokyo – generasi keempat dengan penggerak hibrid ePower, 4WD e-4orce

    Reka bentuk papan pemuka juga unik, dengan corong udara sisi tinggi, corong tengah rendah (dilengkapi kamera dalaman di antara keduanya), serta barisan butang kawalan pendingin hawa. Di bawahnya terdapat kawalan gear, suis mod EV dan e-Pedal untuk pemanduan satu pedal, serta dua pengecas telefon tanpa wayar.

    Sistem bunyi pula dibekalkan oleh 22 pembesar suara Bose, termasuk pada penyandar kepala tempat duduk depan, memberikan pengalaman audio kelas premium. Terdapat juga tempat duduk Ottoman untuk penumpang depan dan kerusi kapten “zero-gravity” di baris kedua. Di belakang konsol tengah terdapat soket kuasa serta pemegang misteri yang dipercayai mungkin adalah pintu peti sejuk mini atau ruang simpanan tambahan.

    Dari segi keselamatan, Elgrand dilengkapi sistem ProPilot terkini yang membolehkan pemanduan tanpa tangan di bawah 50 km/j, sangat berguna ketika kesesakan trafik. Versi ProPilot 2.0 juga akan ditawarkan dengan keupayaan pemanduan bebas tangan di lebuh raya serta bantuan pertukaran lorong automatik apabila pemandu memberikan isyarat.

    Untuk rekod, kali terakhir Malaysia menerima Elgrand secara rasmi ialah pada tahun 2014, dengan varian facelift generasi ketiga — dijual pada harga sekitar RM388,000, menggunakan enjin 3.5 liter V6 NA berkuasa 280 PS/344 Nm bersama transmisi Xtronic CVT.

    GALERI: Nissan Elgrand 2026 di Japan Mobility Show


    GALERI: Gambar rasmi Nissan Elgrand 2026

     
     
  • Mitsubishi Elevance Concept didedah – SUV PHEV dengan empat motor elektrik, enam tempat duduk

    Mitsubishi Elevance Concept didedah – SUV PHEV dengan empat motor elektrik, enam tempat duduk

    Mitsubishi memperkenalkan Elevance Concept di Japan Mobility Show 2025, sebuah kenderaan konsep SUV plug-in hybrid (PHEV) dengan konfigurasi enam tempat duduk dan sistem pacuan empat motor.

    Model konsep ini menggunakan enjin petrol berkecekapan tinggi yang menyokong bahan api neutral karbon, digabungkan dengan bateri berkapasiti besar. Walaubagaimanapun, Mitsubishi masih belum mendedahkan angka rasmi mengenai kapasiti enjin atau baterinya.

    Sistem PHEV Elevance Concept dilengkapi motor dalam roda (in-wheel motor) untuk gandar hadapan, manakala gandar belakang menggunakan dua motor dengan teknologi Active Yaw Control (AYC). Gabungan ini membolehkan setiap roda dikawal secara individu, meningkatkan keupayaan pacuan dan kestabilan ketika melalui permukaan jalan mencabar atau laluan off-road.

    Mitsubishi Elevance Concept didedah – SUV PHEV dengan empat motor elektrik, enam tempat duduk

    Menariknya, Mitsubishi turut menunjukkan kemampuan SUV ini untuk menunda treler, di mana treler itu dilengkapi kemudahan dapur dan pancuran mandi. Semua peralatan ini dikuasakan oleh bekalan elektrik daripada kenderaan itu sendiri, menjadikannya sesuai untuk aktiviti “glamping” atau percutian gaya moden dengan keselesaan penuh.

    Bahagian dalaman Elevance Concept direka dengan pendekatan mesra pengguna. Tempat duduk hadapan boleh diputar agar penumpang barisan pertama dapat berhadapan dengan mereka di barisan kedua dan ketiga. Kenderaan ini juga menampilkan pemandu maya berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang berinteraksi melalui paparan LCD terbina dalam stereng.

    Sistem AI ini memberikan cadangan pemanduan yang disesuaikan mengikut gaya hidup dan pilihan individu, selain menganalisis keadaan semasa kenderaan dan persekitaran secara langsung untuk mencadangkan mod pemanduan paling sesuai.

    Reka bentuk papan pemuka pula menampilkan skrin paparan lebar, memberikan pandangan yang merangkumi kawasan titik buta hadapan serta kawasan sekeliling yang biasanya tidak kelihatan. Bahagian dalamannya direka dalam bentuk satu permukaan licin dari papan pemuka hingga ke lantai, manakala pintunya menggunakan kaca berbentuk-C untuk meningkatkan penglihatan sisi.

    Walaupun beberapa elemen reka bentuknya masih bersifat konsep, gaya bahagian hadapan dan belakang Elevance Concept ini dijangka memberi bayangan kepada hala tuju reka bentuk masa depan Mitsubishi. Persoalannya kini — adakah rupa sebegini bakal menjadi inspirasi untuk model Pajero generasi baru nanti?

     
     
  • Garmin Run Asia Series 2025: Beberapa jalan utama di Putrajaya bakal ditutup pada Ahad ini, 2 November

    Klik untuk besarkan

    Jika anda menetap di Putrajaya atau pun berhajat untuk beriadah di sekitar pusat pentadbiran kerajaan pada hujung minggu ini, ada makluman buat anda. Terdapat beberapa jalan utama di sekitar Putrajaya yang akan ditutup pada Ahad ini, 2 November 2025, bagi menjayakan acara larian Garmin Run Asia Series 2025.

    Penutupan jalan sepenuhnya akan bermula jam 3 pagi hingga 11 pagi yang melibatkan laluan di hadapan Dataran Putrajaya dan Istana Kehakiman Putrajaya. Jalan lain yang turut ditutup sepenuhnya dari jam 4.50 pagi hingga 9 pagi ialah Jalan Kemerdekaan, Persiaran Perdana (Dataran Putrajaya menuju Pejabat Peguam Negara) dan Persiaran Perdana menuju ke Jambatan Seri Gemilang.

    Manakala Lebuh Sentosa menghala ke Persiaran Perdana, P5, P6 dan PICC juga akan ditutup dan pengguna jalan raya akan dilencongkan ke Masjid Tuanku Zainal Abidin dan kenderaan dar P5 dan P6 yang hendak ke arah PICC akan dilencongkan ke Jambatan Seri Gemilang menerusi aliran kontra yang dibuka.

    Klik untuk besarkan

    Begitu juga dengan Lebuh Sentosa menghala ke lampu isyarat P11 juga akan ditutup untuk lorong kanan dan lorong tengah dari jam 5 pagi hingga 6.30 pagi, hanya lorong kiri dibuka untuk laluan kenderaan.

    Lorong kanan dan tengah di persimpangan lampu isyarat P11 Persiaran Perdana juga akan ditutup dari jam 5 pagi hingga 8.30 pagi, hanya lorong perlahan dibuka untuk aliran trafik. Begitu juga dengan Persiaran Selatan menuju ke Lebuh Wadi Ehsan yang ditutup dari jam 5.30 pagi hingga 9.30 pagi.

    Manakala bagi Persiaran Timur menghala ke Lebuh Wadi Ehsan/Lebuh Setia, kenderaan dari Persiaran Timur menghala ke Lebuh Wadi Ehsan/Lebuh Setia/P18 akan dilencongkan ke flyover P17 dan Lebuh Bestari (hanya untuk penduduk dan pekerja Loji Air Semenyih sahaja dibenarkan).

    Seperti biasa, garisan pemulaan dan tamat akan berada di antara Istana Kehakiman dan Perbadanan Putrajaya. Untuk kategori 21 km half marathon, ia akan bermula pada jam 5 pagi dan pelari akan merentasi beberapa jambatan terkenal di Putrajaya. Manakala untuk pelari yang mengambil bahagian dalam kategori 10 km pula akan bermula pada jam 6.45 pagi.

    Bagi pengguna jalan raya yang melalui laluan yang melibatkan penutupan dua lorang sahaja, diharap lebih berhati-hati sewaktu pemanduan dan elakkan memandu laju, sila patuhi arahan polis trafik yang bertugas. Untuk para peserta pula, sila berlari di bahu jalan sekiranya laluan tersebut berkongsi dengan kenderaan lain.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.67 (0.00)
EURO 5 B7 RM4.87 (0.00)
Last Updated Jun 11, 2026