Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Subaru Performance-B STI Concept didedah di Jepun – Impreza hatchback bakal kembali jadi asas WRX STI?

    Subaru Performance-B STI Concept didedah di Jepun – Impreza hatchback bakal kembali jadi asas WRX STI?

    Sudah sekitar tiga tahun Subaru WRX generasi baharu berada dalam pasaran, tanpa sebarang petanda ia bakal muncul dalam varian paling berkuasa iaitu WRX STI. Sebelum ini Subaru pernah menyatakan bahawa agak mustahil untuk WRX STI muncul pada generasi kali ini oleh kerana undang-undang emisi yang semakin ketat.

    Namun ketika berlangsungnya Japan Mobility Show 2025 yang telah bermula semalam, Subaru telah mendedahkan sebuah model konsep seakan membayangkan kemunculan semula WRX STI, dinamakan sebagai Subaru Performance STI-B Concept. Dan apa yang lebih menarik, model ini bukan diasaskan dari sedan WRX sedia ada, sebaliknya ia dibina menggunakan kerangka Subaru Impreza Hatchback generasi terkini!

    Tiada sebarang perincian teknikal didedahkan oleh Subaru berkenaan model konsep ini. Jenama itu cuma menyatakan bahawa ia masih mengekalkan “resipi asas” sebuah Subaru berprestasi tinggi iaitu dengan enjin bentangan boxer yang rendah titik graviti, disuap pengecas turbo, dengan kuasa putaran dipindahkan ke kotak gear manual kemudian dialirkan ke kesemua roda menerusi sistem pacuan semua roda.

    Subaru Performance-B STI Concept didedah di Jepun – Impreza hatchback bakal kembali jadi asas WRX STI?

    Subaru Performance-B STI Concept ini masih mengekalkan rupa Impreza Hatchback, dan kemudiannya diberikan kit pengayaan seperti sebuah kereta rali termasuk diberikan fender lebih lebar yang direka mengambil kira kesan aerodinamik dan juga spoiler belakang bersaiz gergasi.

    Penutup bonet depan diberikan pengayaan sebuah WRX STI sebenar dengan skup yang lazimnya untuk mengalirkan udara terus ke unit intercooler terletak pada bahagian atas enjin, serta sepasang liang yang kelihatan seperti boleh mengalirkan udara panas keluar dari riang enjin.

    Manakala bampar hadapan direka dengan apron lebih garang, dipadankan bersama spoiler bawah bampar. Skirt sisi lebih labuh dan lebar turut dipadankan, sementara pada bampar belakang diberikan panel diffuser yang sangat agresif serta menampilkan sepasang tip ekzos bersaiz besar di tengah.

    Bagi menguatkan imej sebuah jentera talaan Subaru Technica International (STI), badan model konsep ini dilayangkan dengan warna biru bersama bumbung berwarna hitam, serta jalur-jalur serlahan chery blossom diberikan pada kerangka gril hadapan serta sayap spoiler belakang. Tidak dilupakan lencana STI turut dilekat pada gril hadapan dan pintu hatch belakang.

    Bagi melengkapkan rupanya, Subaru Performance-B STI Concept ini menerima set rim aloi forged BBS dengan bentuk concave bersaiz 18-inci yang dibalut dengan tayar Bridgestone Potenza bersaiz 255/40R18. Turut kelihatan sistem brek dengan angkup enam omboh di hadapan mencengkam cakera yang telah ditebuk.

    Manakala pada sebelah dalam kabin yang hanya boleh kami intai dari luar, kelihatan ia diberikan tempat duduk bucket gentian karbon Recaro Podium, roda stereng STI, tombol gear kotak gear manual, brek tangan manual dan juga serlahan jahitan-jahitan upholsteri berwarna merah.

    Nama ‘WRX STI’ ini mula muncul pada era 90’an apabila Subaru memberikan model Impreza WRX generasi pertama (GC8) kepada STI iaitu badan penala dan juga sayap perlumbaan rasmi jenama tersebut bagi menghasilkan varian paling berkuasa dikenali sebagai Subaru Impreza WRX STI Version. Ia bukan sahaja dihasilkan dengan badan sedan empat pintu, tetapi turut hadir dalam badan coupe dua-pintu dan juga wagon.

    Pada generasi ketiga, buat pertama kali Subaru Impreza WRX STI ditawarkan dalam badan hatchback bagi menggantikan pilihan badan wagon sebelumnya. Dan pada generasi keempat, nama ‘Impreza’ telah digugurkan dan ia hanya dikenali sebagai WRX dan WRX STI, serta tiada lagi pilihan badan hatchback ditawarkan.

    Mungkin dengan kehadiran Performance-B STI Concept ini membayangkan bahawa Subaru bukan sahaja sedang berusaha untuk menawarkan kembali varian WRX STI, malah mungkin turut akan membawa semula nama Impreza serta pilihan badan hatchback seperti sebelum ini.

     
     
  • Subaru Forester 2.5i-S EyeSight 2026 kini di Malaysia – enjin boxer 2.5L, EyeSight 4.0, CBU; dari RM221,500

    Subaru Forester 2.5i-S EyeSight 2026 kini di Malaysia – enjin boxer 2.5L, EyeSight 4.0, CBU; dari RM221,500

    Setelah membuka tempahannya sejak 21 September lalu, TC Subaru Sdn Bhd telah melancarkan Subaru Forester 2.5i-S EyeSight 2026 secara rasmi untuk pasaran Malaysia. SUV segmen-C ini merupakan versi import sepenuhnya (CBU) dari Jepun yang berharga atas jalan bermula RM221,500 tanpa pendaftaran, cukai jalan dan insurans. Ia didatangkan dengan waranti lima-tahun atau 100,000 km (yang mana tiba terlebih dahulu) dan juga lima-tahun servis percuma (termasuk alat ganti dan kos buruh) untuk selenggara berkala.

    Dan untuk kali ini, ia hanya didatangkan dengan satu varian sahaja yang dipadankan bersama enjin boxer baharu unit FB25 2.5 liter naturally-aspirated empat-silinder petrol dengan hamburan 185 PS (182 hp atau 136 kW) dan tork 247 Nm seperti mana yang ditawarkan di pasaran Indonesia.

    Kuasa disalurkan menerusi kotak gear baharu dengan unit TR58 CVT Lineartronic lapan-kelajuan yang mampu memberikan kuasa pendikitan yang lebih lancar serta penggunaan bahan api yang lebih efisien yang turut digandingkan dengan sistem pacuan semua roda (AWD). Pecutan dari 0 hingga 100 km/j mampu dicapai dalam masa 9.7 saat, manakala kelajuan maksimum mencecah 205 km/j.

    Subaru Forester 2.5i-S EyeSight 2026 kini di Malaysia – enjin boxer 2.5L, EyeSight 4.0, CBU; dari RM221,500

    Dengan binaan Subaru Global Platform yang terkini, Forester versi terkini dipertingkatkan ketegaran kilasannya sebanyak 10%. Selain itu, sistem NVH dan sound proofing juga dipertingkatkan bagi memberikan pengalaman pengendalian yang lebih selesa. Bukan itu sahaja, Forester serba baharu ini juga diberikan stereng kuasa elektrik dwi-pinion dengan nisbah gear berubah memberikan kawalan lebih mudah dan pemanduan yang lebih lancar. Sistem brek juga telah ditala semula bagi meningkatkan prestasi pemanduan yang lebih mantap.

    Untuk prestasi yang lebih mantap, sistem brek juga telah ditala semula, selain diberikan sistem suspensi yang terdiri daripada topang MacPherson untuk hadapan dan Double Wishbone di belakang.

    Dimensinya juga kini berukuran 4,656 mm panjang (+31 mm), 1,829 mm lebar (+14 mm), 1,730 mm tinggi (tidak berubah) dan jarak roda 2,670 mm (juga tidak berubah).

    Dengan mengetengahkan manifesto baharu jenama ini iaitu “One Life. One Subaru.”, Forester generasi ke-enam yang pertama kali diperkenalkan di peringkat global pada November 2023 ini masih mengekalkan bentuk asalnya tetapi diberikan sentuhan rekaan yang lebih segar dan berani. Ia jelas pada bahagian hadapan termasuk gril yang lebih besar dengan kemasan hitam, lampu hadapan LED dua tingkat dengan fungsi auto-leveliser, lampu kabus LED dan bampar depan yang lebih ‘sarat’, sekali gus memberikan penampilannya yang lebih menonjol. Manakala bahagian sisinya pula menerima gerbang roda berbentuk segi empat dengan kemasan hitam.

    Serlahan lain yang ditonjolkan termasuklah seksyen kecil pada tiang-A dan -D yang kini berwarna hitam sekali gus memberikan gaya ala “bumbung terapung”, manakala lampu belakang berbentuk-C sebelum ini digantikan dengan unit LED berbentuk tiga segi yang turut ditampilkan dengan lampu kabus belakang juga dengan unit LED.

    Ciri kelengkapan luaran lain termasuk bilah pengelap cermin hadapan automatik, rel bumbung, antena ‘sirip jerung’, corong udara untuk fender hadapan dan rim aloi lima-jejari 18-inci yang dibaluti tayar berprofil 225/55R 18.

    Untuk bahagian kabinnya, ia diterapkan dengan rekaan yang lebih mesra pengguna termasuk papan pemuka yang direka semula hampir sama dengan model-model baharu. Ia tampil dengan skrin sentuh infotainmen berorientasi menegak HD penuh bersaiz 11.6-inci, turut menggabungkan kawalan suhu, sekali gus mengurangkan bilangan butang kawalan fizikal pada papan pemuka.

    Subaru Forester 2.5i-S EyeSight 2026 kini di Malaysia – enjin boxer 2.5L, EyeSight 4.0, CBU; dari RM221,500

    Selain itu, ciri kelengkapan baharu termasuk rekaan tempat duduk ergonomik dibaluti kulit dan Ultrasuede upholstery dengan tempat duduk pemandu diberikan 10-hala larasan (8-larasan untuk penumpang hadapan) berserta sokongan lumbar dan fungsi memori, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, pengecas tanpa wayar Qi, port USB A dan USB C, serta tailgate kuasa bukaan bebas-tangan dengan kick-sensor.

    Ciri lain seperti roda stereng dan tombol gear kedua-duanya balutan kulit masih dikekalkan seperti mana yang ada pada model terdahulu. Juga diberikan paparan meter LCD warna penuh 4.2-inci, pedal penukar gear di belakang roda stereng, sistem penyaman udara automatik dwi-zon, dua power outlet berkapasiti 12-voltan yang terletak di konsol tengah dan ruang penyimpanan barangan, enam-pembesar suara, pencahayaan ambien, dan akses tanpa kunci dengan butang penghidup enjin.

    Untuk bantuan pemanduan dan keselamatan, Forester 2.5i-S EyeSight ini ditampilkan dengan SI-DRIVE, Dual X-Mode, kawalan menurun bukit, penahan kenderaan automatik, penvektoran tork aktif, sistem kawalan dinamik kenderaan, auto start/stop dan brek parkir elektronik, kamera pandangan pelbagai sudut 360-darjah dan lapan beg udara.

    Menariknya, Forester 2.5i-S EyeSight baharu ini turut menerima EyeSight 4.0 yang dipertingkatkan dengan ciri baharu iaitu Emergency Driving Stop System (EDSS) yang pertama kali diberikan untuk model Subaru. Di mana sistem ini sangat membantu dalam situasi kecemasan apabila pemandu dikesan pengsan atau terlelap sewaktu pemanduan dengan kawalan kecemasan akan diaktifkan serta-merta.

    EDSS ini akan membantu mengawal kenderaan berhenti di laluan lurus yang selamat tanpa campur tangan kawalan stereng dan pendikit, sambil menyentak kenderaan, mengeluarkan bunyi untuk membantu menyedarkan pemandu, menyalakan hazard light serta apabila kenderaan berhenti dengan selamat, penguncian pintu akan terbuka secara automatik bagi memberikan laluan bantuan dari luar.

    Walau bagaimana pun, di Jepun, EDSS akan membantu kenderaan berhenti di lorong kecemasan, namun untuk pasaran global termasuk Malaysia, ia akan berhenti di lorong lurus yang dilalui (walau pun di lorong kanan sekali pun).

    Subaru Forester 2.5i-S EyeSight 2026 kini di Malaysia – enjin boxer 2.5L, EyeSight 4.0, CBU; dari RM221,500

    Selain itu, EyeSight 4.0 ini juga merangkumi ciri biasa antaranya kamera stereo, kamera monokular sudut lebar, penderia radar, sistem brek pra-pelanggaran, pengurusan pendikit pra-perlanggaran, stereng kecemasan autonomous, kawalan peluncuran adaptif, kawalan pemusatan lorong, amaran ketibaan lorong dan bantuan lampu tinggi.

    Untuk pilihan warna luarannya, ia menawarkan sebanyak 11 variasi iaitu Crystal White Pearl, Ice Silver Metallic, Magnetite Grey Metallic, Crystal Black Silica, Daybreak Blue Pearl, Sapphire Blue Pearl, Autumn Green Metallic, Cashmere Gold Opal, Brilliant Bronze Metallic, River Rock Pearl dan Crimson Red Pearl. Manakala untuk tempat duduk, ia diberikan dua pilihan material iaitu kulit dengan rona hitam dan kulit berwarna coklat.

     
     
  • Toyota RAV4 2026 — petrol, hibrid dan PHEV dalam tiga gaya, Core, Adventure, GR Sport; jarak EV 150 km

    Toyota RAV4 2026 — petrol, hibrid dan PHEV dalam tiga gaya, Core, Adventure, GR Sport; jarak EV 150 km

    Diumumkan secara rasmi pada Mei lalu, Toyota RAV4 generasi keenam yang terbaru kini membuat penampilan di Japan Mobility Show 2025. Model berkenaan akan menggantikan model generasi kelima sebelumnya yang sudah tujuh tahun dalam pasaran.

    Toyota RAV4 generasi keenam masih lagi menggunakan platform Toyota New Global Architecture (TNGA), dan ditawarkan dalam tiga versi janaan yang berbeza — petrol penuh, hibrid dan juga plug-in hybrid (PHEV).

    Ia hadir dengan rekaan wajah depan khusus “jerung Hammerhead” terkini Toyota, yang menampilkan lampu utama berbentuk-C. Bentuk sisinya pula masih mengekalkan konsep dari generasi sedia ada yang menampilkan garis-garis bersegi, serta ruang roda yang berotot. Di belakang, ia diberikan lampu lebih nipis, bersambung dengan bar yang merentangi sepenuhnya pintu tailgate.

    Toyota RAV4 2026 — petrol, hibrid dan PHEV dalam tiga gaya, Core, Adventure, GR Sport; jarak EV 150 km

    Toyota RAV4 2026 juga datang dalam tiga penggayaan berbeza — pertama, versi Core yang menerima rupa yang sesuai untuk kegunaan urban dengan gril sarang lebah seakan Corolla Cross facelift; kedua, versi Adventure yang menampilkan rupa lebih lasak dengan gril seperti Land Cruiser Prado dan bampar lebih bersegi; serta ketiga, versi GR Sport yang menampilkan rekaan yang diilhamkan oleh dunia sukan permotoran, dengan gril hadapan menyerupai gril pada GR Corolla.

    Bagi Toyota RAV4 Core, ia menampilkan ukuran 4,600 mm panjang, 1,855 mm lebar, 1,680 mm tinggi dan jarak roda sejauh 2,690 mm — ini sebenarnya saiz dan jarak roda yang sama sepenuhnya dengan model generasi sedia ada, kecuali ia 5 mm lebih rendah. Bagi varian Adventure dan GR Sport pula, ia adalah sedikit lebih lebar dengan 1,880 mm.

    Untuk unit rangkaian kuasa, buat masa sekarang hanya sedikit perincian bagi model pasaran Amerika Syarikat didedahkan. Di sana, model petrol penuh menerima enjin 2.5 liter empat silinder NA dengan pilihan versi pacuan roda hadapan atau roda belakang.

    Toyota RAV4 2026 — petrol, hibrid dan PHEV dalam tiga gaya, Core, Adventure, GR Sport; jarak EV 150 km

    Kemudian untuk varian hibrid, versi pacuan roda hadapan menerima kuasa 226 hp manakala versi hybrid AWD pula dibekalkan 236 hp. Bagi versi PHEV pula ia disertakan dengan sistem AWD dan kuasa keseluruhan 320 hp.

    Sistem PHEV berkenaan didakwa boleh bergerak dengan janaan elektrik sepenuhnya sejauh 150 km. Bateri sistem PHEV ini boleh dicas semula dengan menerima sistem AC 11 kW, dan juga sistem pengecas pantas DC yang didakwa boleh memenuhkan bateri dari kadar 10-80% dalam masa sekitar 30 minit.

    RAV4 terbaru ini juga merupakan model pertama Toyota yang menerima Arene, sebuah platform pembangunan perisian yang dihasilkan oleh Woven by Toyota. Jenama itu menyatakan ini adalah langkah pertama bagi menjadikan model tersebut sebagai sebuah kenderaan diperhalusi oleh perisian.

    Model generasi keenam ini juga adalah yang pertama menerima sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) Toyota Safety Sense 4.0 (TSS 4.0) terkini. Antara fungsi yang diberikan pada TSS 4.0 tersebut termasuk Emergency Driving Stop Function (EDSS) yang membantu pemandu memberhentikan kederaan sekiranya terjadi perkara seperti pemandu yang tiba-tiba sakit dan sebagainya.

    Di dalam, papan pemukanya tidak lagi kelihatan bosan seperti model lama. Toyota memberikan rekaan yang diinspirasikan daripada papan pemuka Land Cruiser Prado yang berkotak, futuristik dan nampak lasak pada RAV4 2026 ini.

    Ia juga menerima paparan skrin bersaiz 12.3-inci untuk instrumen digital berbentuk segi-empat tanpa perumah, dan juga skrin infotainmen bersaiz 12.90-inci yang diletakkan secara berdiri sendiri di tengah. Roda stereng juga direka selari dengan papan pemuka bersama rekaan susunan suis serta perumah beg udara berbentuk petak, manakala pada varian lebih tinggi ia turut diberikan head-up display.

    Untuk sistem bunyi, Toyota memberikan pilihan sistem audio sama ada dengan enam atau sembilan pembesar suara. Bahagian konsol tengah SUV ini menampilkan tombol gear bersaiz kecil diletakkan berhampiran pemegang cawan. Perehat tangan pada bahagian konsol ini juga boleh diterbalikkan untuk dijadikan sebagai talam/tray.

    Bahagian kargo RAV4 terbaru ini memberikan ruang simpanan berkapasiti 749 liter dengan semua tempat duduk dinaikkan, sedikit lebih besar dari model sebelumnya yang menawarkan kapasiti 733 liter. Untuk mengangkat barang lebih banyak atau lebih besar, tempat duduk baris kedua dan ketiga SUV ini boleh diturunkan dan menjadikan lantai yang rata.

    Toyota RAV4 generasi keenam akan mula dijual di pasaran Jepun dan Amerika Syarikat bermula lewat tahun ini. Ia kemudiannya akan tiba ke pasaran global melibatkan lebih 180 negara. Kita di Malaysia juga lazimnya menerima Toyota RAV4, yang mana model sedia ada telah dilancarkan di sini sejak Jun 2020, ditawarkan dengan enjin petrol penuh 2.0 liter dan 2.5 liter. Jadi, model terbaru ini juga akan tiba tak lama lagi?

     
     
  • Century One of One Concept — Century kini jadi jenama flagship Toyota; lawan Rolls-Royce, Bentley

    Century One of One Concept — Century kini jadi jenama flagship Toyota; lawan Rolls-Royce, Bentley

    Nama Century yang sebelum ini pernah menjadi salah satu model di bawah Toyota kini telah diasingkan menjadi sebuah jenama sendiri, yang berada di kemuncak daripada semua jenama yang bernaung di bawah kumpulan Toyota. Century kini menjadi penawaran yang bahkan lebih tinggi dan mewah berbanding Lexus.

    Century akan memasuki pasaran yang sama dan menyaingi jenama-jenama seperti Rolls-Royce dan Bentley. Dan, untuk mengukuhkan pernyataan tersebut, Century memperkenalkan model konsep terbarunya di Japan Mobility Show 2025, yang dikenali sebagai One of One Concept.

    Century One of One Concept — Century kini jadi jenama flagship Toyota; lawan Rolls-Royce, Bentley

    Ia menampilkan rekaan sebuah coupe fastback yang besar dan tinggi, dengan penekanan terhadap pemanduan serta kemewahan, melebihi apa yang pernah ditunjukkan sebelum ini melalui dua lagi model terdahulu — Century SUV (2023) dan Century Sedan (2018).

    One of One Concept menampilkan rekaan pintu gelungsur ke depan dan belakang, dengan ruang kabinnya hadir dengan kedudukan kerusi bertahap dengan pemisah antara ruangan pemandu dengan penumpang belakang — dengan kedudukan penumpang belakang yang lebih tinggi.

    Century One of One Concept — Century kini jadi jenama flagship Toyota; lawan Rolls-Royce, Bentley

    Untuk ruang dalaman, model konsep ini menerapkan rekaan unik dengan tiga skrin khusus untuk pemandu dengan paparan yang berlainan — satu paparan melintang di belakang stereng, dan dua lagi unit yang lebih kecil di kiri dan kanan stereng.

    Belum ada perincian lanjut tentang janaan kuasa yang didedahkan untuk kereta konsep terbaru ini. Namun, berdasarkan penawaran lain yang menggunakan jenama sama, ia mungkin akan hadir dengan unit 5.0 liter V8 PHEV seperti yang digunakan unutk Century Sedan, atau unit 3.5 liter V6 PHEV pada Century SUV.

     
     
  • Toyota Land Cruiser FJ — casis ladder frame IMV, enjin 2.7 liter 163 PS/246 Nm; akan masuk Malaysia?

    Toyota Land Cruiser FJ — casis ladder frame IMV, enjin 2.7 liter 163 PS/246 Nm; akan masuk Malaysia?

    Setelah membuat pendedahan secara rasmi bagi tambahan model terbaru Land Cruiser FJ minggu lalu, Toyota menampilkan SUV berkenaan buat pertama kali sebagai antara tarikan utama ruang pamerannya di Japan Mobility Show 2025 yang sedang berlangsung.

    FJ merupakan merupakan tambahan terbaru dari siri yang paling kecil bagi keluarga model Land Cruiser — sebelum ini telah diperkenalkan Land Cruiser 300 Series (2021), Land Cruiser 70 Series (2023) dan Land Cruiser 250 Series (2024).

    Mengambil inspirasi daripada model lagenda Land Cruiser dengan kod casis FJ40/BJ40, model ini menjadi penawaran peringkat kemasukan bagi keluarga Land Cruiser, dengan penampilan retro seperti model sebelumnya.

    Toyota Land Cruiser FJ — casis ladder frame IMV, enjin 2.7 liter 163 PS/246 Nm; akan masuk Malaysia?

    Land Cruiser FJ dibangun menggunakan casis ladder frame dari platform IMV (sama seperti Hilux), dengan diberikan pendakap tambahan untuk menjadikannya lebih tahan lasak. Ia mempunyai ukuran dimensi 4,575 mm panjang, 1,855 mm lebar, 1,960 mm tinggi dengan jarak roda sejauh 2,580 mm. Berbanding Toyota Fortuner, FJ terbaru ini 220 mm lebih pendek.

    Jarak rodanya pula adalah 165 mm lebih pendek berbanding Fortuner, tetapi kelebarannya adalah sama, dan FJ 125 mm lebih tinggi — ia dihasratkan untuk menjadi sebuah jentera off-road yang lebih lincah berbanding model lain dalam siri keluarga yang sama.

    Toyota Land Cruiser FJ 2026 ini dilengkapi dengan enjin yang sama seperti Fortuner — unit 2TR-FE 2.7 liter empat-silinder yang menghasilkan kuasa sebanyak 163 PS dan tork maksimum 246 Nm. Ini digandingkan dengan kotak gear automatik enam-kelajuan 6 Super ECT, lengkap dengan sistem pacuan empat roda separuh masa.

    Toyota Land Cruiser FJ — casis ladder frame IMV, enjin 2.7 liter 163 PS/246 Nm; akan masuk Malaysia?

    Model ini datang dengan pendekatan rekaan berkotak, baik di luar dan di dalam. Beberapa pendekatan rekaan yang diberikan termasuklah tiang C yang tebal, tailgate dengan engsel di sisi dengan tayar ganti di luar serta landasan di bumbung.

    Rekaan bampar depannya gemuk dan dibikin selari dengan pelindung plastik di sisi badan, dan ada juga disediakan pemijak kaki. Panel sisi bampar depan dan belakang model ini boleh dicabut berasingan daripada bahagian bampar utama — untuk memudahkan baik pulih dan penggantian bahagian badan jika perlu.

    Rekaan berkotak-kotak diteruskan ke dalam bahagian kabin Land Cruiser FJ ini. Ia menampilkan papan pemuka dan konsol tengah seperti Land Cruiser 250 tetapi dalam skala lebih kecil, manakala rekaan tombol dengan dan roda stereng pula kelihatan seiras.

    Papan pemuka direka dengan panel instrumen yang diletak di posisi lebih rendah bagi memberikan pandangan lebih jelas untuk pemandu terhadap cermin hadapan. SUV ini juga hadir hanya dalam konfigurasi lima-tempat duduk.

    Model ini juga direka supaya mudah untuk diubah suai. Antara kelengkapan yang ditawarkan bersekali sebagai pilihan ialah rekaan lampu depan dengan lampu DRL LED bulat mirip Land Cruiser klasik, rak bumbung serta salur snorkel untuk membolehkannya meredah sungai tanpa air masuk ke saluran kemasukan udara untuk enjin.

    Tiang C SUV ini juga tebal kerana menempatkan panel MOLLE (Modular Lightweight Load-carrying Equipment) di bahagian dalam yang membolehkan pelbagai kelengkapan aktiviti outdoor dan perkhemahan disimpan dengan rapi. Panel yang sama turut boleh diletakkan pada pintu tailgate belakang.

    Bagi aspek keselamatan, ia lengkap dengan ciri seperti sistem ADAS Toyota Safety Sense, dengan fungsi seperti amaran pelanggaran hadapan, brek kecemasan automatik dan lain-lain. Land Cruiser FJ akan mula dijual di Jepun pada pertengahan tahun hadapan. Ia akan dipasang dan dikeluarkan di Thailand, untuk pasaran Asia. Ada kemungkinan model ini dipasarkan di Malaysia nanti?

     
     
  • iCaur V23 dipertonton di Malaysia – lancar Q4 2025, varian 2WD dan AWD, anggaran harga dari RM145k

    iCaur V23 dipertonton di Malaysia – lancar Q4 2025, varian 2WD dan AWD, anggaran harga dari RM145k

    iCaur Malaysia bersiap sedia memperkenalkan model elektrik kedua mereka, V23, selepas pelancaran model pertama, iCaur 03. SUV elektrik serba baru ini sebelum ini pernah dipertontonkan dalam versi pemanduan sebelah kiri di Malaysia Autoshow Mei lalu, namun kini hadir semula dalam konfigurasi pemanduan sebelah kanan (RHD) lengkap dengan spesifikasi awal dan anggaran harga rasmi.

    Untuk pasaran tempatan, V23 akan ditawarkan dalam dua varian utama — 2WD dan iWD — sama seperti penawaran di Thailand di mana model ini dijual sebagai Chery V23.

    Varian V23 2WD dikuasakan oleh motor elektrik tunggal yang menghasilkan 136 PS (100 kW) dan 180 Nm, memacu roda belakang dengan pecutan 0–100 km/j dalam masa 11 saat serta kelajuan maksimum 140 km/j. Ia menggunakan bateri lithium iron phosphate (LFP) 59.93 kWh dengan jarak pemanduan sekitar 360 km (NEDC). Pengecasan pantas DC disokong sehingga 85 kW, manakala pengecasan AC menggunakan output 6.6 kW.

    Bagi varian V23 iWD, terdapat dua motor elektrik — satu di hadapan (75 PS, 112 Nm) dan satu di belakang (136 PS, 180 Nm) — menjadikan jumlah keseluruhan 211 PS (155 kW) dan 292 Nm dengan sistem pacuan semua roda (AWD). Pecutan 0–100 km/j dicapai dalam hanya 7.5 saat, dengan kelajuan maksimum 140 km/j. Varian ini menggunakan bateri NMC 81.76 kWh, mampu mencapai jarak 430 km (NEDC), serta menyokong pengecasan pantas DC 104 kW dan AC 6.6 kW.

    Menariknya, di China model ini telah dikemas kini pada September lalu dan dikenali sebagai Super V23 — versi yang menggunakan bateri LFP baru berkapasiti 80.16 kWh serta motor lebih berkuasa.

    Dari segi saiz, V23 sedikit kecil berbanding iCaur 03, dengan panjang 4,220 mm, lebar 1,915 mm dan ketinggian 1,845 mm. Walaubagaimanapun, jarak roda yang lebih panjang (2,735 mm berbanding 2,715 mm pada 03) memberikan lebih ruang dalaman serta keselesaan tambahan kepada penumpang.

    iCaur V23 dipertonton di Malaysia – lancar Q4 2025, varian 2WD dan AWD, anggaran harga dari RM145k

    Reka bentuk luaran V23 jelas mengambil inspirasi daripada SUV ikonik seperti Toyota Land Cruiser, Mercedes-Benz G-Class dan Land Rover Defender. Gaya lasak terserlah melalui badan tegak, lampu utama bulat, lengkung roda besar serta pintu belakang jenis bukaan sisi lengkap dengan kotak utiliti.

    Namun, ia bukan sekadar gaya — V23 direka untuk ketahanan lasak dengan jarak kelegaan tanah 200 mm, kemampuan meredah air hingga 600 mm serta sudut mendaki 42 darjah dan sudut mendongak 40 darjah.

    Bahagian dalamannya mengekalkan konsep utilitarian moden, dengan papan pemuka tegak yang menempatkan skrin sentuh infotainmen 15.4 inci di tengah, diapit oleh corong pendingin hawa segi empat dan butang kawalan besar yang sesuai untuk penggunaan luar jalan.

    Di hadapan pemandu, terdapat paparan digital 8.88 inci berbentuk bulat serta stereng empat jejari dengan kawalan sesentuh. Perincian seperti ukiran imej V23 sedang meredah laluan off-road dan plak bertulis “Born to Play” menambah karakter pada ruang kabin.

    Ruang simpanan juga ada banyak, termasuk poket jejaring pada pintu, konsol tengah dua tingkat boleh ubah serta ruang kargo yang boleh diperluas dari 234 liter hingga 1,366 liter, termasuk 80 liter ruang bawah lantai.

    Dari segi kelengkapan, V23 hadir dengan sistem Vehicle-to-Load (V2L) berkuasa 3.3 kW, pilihan rim 19 inci (2WD) atau 21 inci (iWD), serta kamera pandangan 540 darjah “transparent chassis”. Ia turut dilengkapi sistem bantuan pemandu Tahap 2 (Level 2 ADAS) seperti kawalan jelajah adaptif, amaran keluar lorong dan brek kecemasan automatik.

    iCaur Malaysia mengesahkan bahawa pelancaran rasmi V23 dijadualkan pada suku keempat 2025, dengan harga anggaran antara RM145,000 untuk varian 2WD dan RM155,000 untuk iWD. Berdasarkan sejarah pelancaran iCaur 03 yang akhirnya dijual jauh lebih rendah daripada harga anggaran awal, ada kemungkinan V23 juga akan ditawarkan pada harga sebenar yang lebih kompetitif apabila dilancar nanti.

     
     
  • Punch Powertrain buka kilang transmisi di Tg. Malim; kerjasama Proton, bekal kotak gear CVT Saga 2026?

    Punch Powertrain buka kilang transmisi di Tg. Malim; kerjasama Proton, bekal kotak gear CVT Saga 2026?

    Ini mungkin berita yang ramai terlepas – pada 19 Ogos lalu, pembuat transmisi dari Belgium iaitu Punch Powertrain secara rasmi telah membuka kilang baharunya di Malaysia, terletak di Tanjong Malim, Perak yang memproduksi kotak gear CVT.

    Acara perasmian pembukaan kilang baharu itu bukan hanya dihadiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Negeri Perak Dato’ Seri Ir Haji Mohamad Nizar Jamaluddin, malah ia turut disertai oleh CEO Proton Dr Li Chunrong. Dalam kenyataan yang dikeluarkan, pembukaan kilang transmisi baharu ini adalah sebahagian dari “kerjasama jangkamasa panjang” antara Punch Powertrain dan Proton.

    Seperti yang diketahui Punch sudah lama membekalkan kotak gear CVT kepada Proton sejak model Saga FLX pada 2011. Model Proton yang masih dijual dibekalkan oleh Punch buat masa sekarang hanyalah Iriz dan Persona, di mana produksi Iriz telahpun dihentikan, dan mungkin akan diikuti Persona tidak lama lagi.

    Punch Powertrain buka kilang transmisi di Tg. Malim; kerjasama Proton, bekal kotak gear CVT Saga 2026?

    Model-model Proton yang dibangunkan berasaskan model-model dari Geely pula seperti X50, X70, X90 dan S70 dibekalkan dengan kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan, manakala Saga generasi ketiga sudah tidak lagi menggunakan kotak gear CVT sejak versi MC1 2019 dan digantikan dengan kotak geat AT empat-kelajuan yang pada mulanya dibekalkan oleh Hyundai, dan versi MC2 terkini dibekalkan oleh Aisin.

    Jadi model Proton mana yang akan menerima kotak gear CVT Punch Powertrain ini “dalam jangka masa panjang”? Yang paling logik, berkemungkinan Proton Saga MC3 2026 yang didedahkan oleh Perdana Menteri Malaysia Dato’ Seri Anwar Ibrahim ketika berlangsungnya Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 di Kuala Lumpur baru-baru ini akan dibekalkan dengan kotak gear CVT yang dihasilkan di kilang baharu di Tanjong Malim ini.

    Punch Powertrain buka kilang transmisi di Tg. Malim; kerjasama Proton, bekal kotak gear CVT Saga 2026?

    Ini kerana menerusi dokumen yang tertiris sebelum ini mendedahkan bahawa walaupun dibekalkan dengan enjin 1.5 liter baharu dari Geely, Saga MC3 akan ditawarkan dengan kotak gear CVT untuk varian tertinggi dan varian asas, manakala varian pertengahan akan kekal menggunakan kotak gear 4AT.

    Malah pembukaan rasmi kilang ini juga dilihat selari dengan garis masa di mana Proton telah menghentikan produksi Saga MC2 di Shah Alam pada akhir September lalu, dan mula menghasilkan Saga MC3 di Tanjong Malim pada awal Oktober. Dijangkakan Proton Saga 2026 akan dilancarkan pada pasaran tempatan tidak lama lagi, iaitu sebelum berakhirnya tahun ini. Kita mungkin akan mendapat jawapan rasmi dari Proton selepas Saga ini dilancarkan, tetapi sebelum itu anggaplah ini hanya spekulasi.

     
     
  • BYD Racco bakal sertai segmen kei car EV di Jepun

    BYD Racco bakal sertai segmen kei car EV di Jepun

    Kereta kei sememangnya popular di Jepun dan BYD kini bersedia menyertai segmen unik itu. Semasa Japan Mobility Show yang sedang berlangsung, pengeluar automotif dari China tersebut memperkenalkan model konsep BYD Racco, sebuah kereta elektrik (EV) kei yang dijadualkan mula dijual di Jepun pada musim panas tahun 2026. Menariknya, nama “Racco” diambil daripada terjemahan Jepun bagi “sea otter” atau memerang laut.

    Seperti kebanyakan kereta kei lain, BYD Racco direka mengikut piawaian saiz khas untuk pasaran Jepun. Ia mempunyai panjang 3,395 mm, lebar 1,475 mm dan tinggi 1,800 mm, serta mampu memuatkan sehingga empat orang penumpang.

    Reka bentuk badannya yang berbentuk kotak bertujuan memaksimumkan ruang dalaman, manakala bahagian hadapannya menampilkan gril tertutup dengan lampu siang (DRL) berbentuk C yang mengelilingi lampu utama — memberikan gaya moden dan tersendiri.

    Bahagian bawah bampar turut menempatkan lampu kabus serta kemasan hitam berbentuk melengkung ke bawah, menjadikan wajah hadapan Racco seakan-akan “muram” apabila dilihat dari depan. Seperti Honda N-Box generasi baru, model ini juga menggunakan struktur tiang-A berganda (double A-pillar) yang menempatkan tingkap kecil berbentuk segi tiga untuk meningkatkan keterlihatan pemandu.

    BYD Racco bakal sertai segmen kei car EV di Jepun

    Dari tepi, tempat pengecasan boleh ditemui di fender kanan hadapan, sementara c-pillar yang sebahagiannya berwarna hitam memberikan kesan bumbung terapung. Racco turut menggunakan pintu gelungsur di bahagian belakang dan pemegang pintu yang direka kemas dalam lekuk badan kenderaan. Di bahagian belakang pula, tailgate menempatkan lampu belakang melintang penuh dengan susunan menegak di sisi, manakala ruang untuk nombor plat diletakkan di tengah.

    Dari segi mekanikal, Racco menggunakan pacuan roda hadapan (FWD) dan dikuasakan oleh bateri lithium iron phosphate (LFP). BYD akan menawarkan dua pilihan varian – jarak gerak dekat dan jauh, masing-masing dengan kapasiti bateri berbeza.

    Menurut laporan, versi jarak gerak jauh dijangka dilengkapi bateri 20 kWh dengan jarak perjalanan sekitar 180 km berdasarkan piawaian WLTC. Ciri pengecasan pantas DC sehingga 100 kW juga disokong bagi mempercepatkan masa pengecasan.

    Pelancaran Racco menandakan langkah penting BYD dalam menembusi segmen kei Jepun, menjadikannya model pertama syarikat itu yang dibangunkan khas untuk pasaran tersebut. Dengan harga anggaran bermula sekitar 2.6 juta yen, BYD Racco bakal bersaing dengan model kei EV sedia ada seperti Honda N-One e:, Mitsubishi eK X EV dan Nissan Sakura.

     
     
  • Harga minyak 30 Okt-5 Nov – RON97, diesel di semenanjung dinaikkan masing-masing 6 sen seliter

    Harga minyak 30 Okt-5 Nov – RON97, diesel di semenanjung dinaikkan masing-masing 6 sen seliter

    Bagi minggu bertarikh 30 Oktober hingga 5 November 2025, Kementerian Kewangan (MoF) mengumumkan bahawa harga runcit petrol RON97 dinaikkan sebanyak enam sen kepada RM3.20 seliter, berbanding RM3.14 seliter sebelum ini.

    Untuk harga RON95 tanpa subsidi, ia masih dikekalkan pada RM2.60 seliter. Manakala di bawah program Budi95 yang dikuatkuasakan sejak 30 September lalu, RON95 masih ditetapkan pada harga RM1.99 seliter.

    Bagi harga diesel pula, bagi pasaran Semenanjung Malaysia, ia turut dinaikkan sebanyak enam sen seliter menjadi RM2.95 seliter berbanding RM2.89 seliter sebelum ini. Manakala harga diesel di Sabah dan Sarawak masih kekal pada RM2.15 seliter.

    Pada 23 Sept lalu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan memberi jaminan bahawa harga subsidi petrol RON95 pada RM1.99 seliter di bawah program Budi95 akan dikekalkan dalam tempoh terdekat selepas pelaksanaannya. Walau bagaimana pun, katanya, kerajaan tidak menjamin harga tersebut akan kekal sepanjang masa kerana ia bergantung keadaan semasa.

     
     
  • Toyota Hiace Concept — jadi petunjuk kepada van komersial generasi baru tanpa tiang tepi, skrin besar

    Toyota Hiace Concept — jadi petunjuk kepada van komersial generasi baru tanpa tiang tepi, skrin besar

    Toyota tampil dengan pelbagai pendedahan menarik di Japan Mobility Show (JMS) tahun ini dan antara yang mencuri tumpuan ialah model konsep terbaru Hiace. Model ini dipercayai memberi bayangan kepada generasi seterusnya bagi kenderaan komersial pelbagai guna jenama tersebut.

    Reka bentuk Hiace konsep ini jelas mengambil inspirasi daripada model konsep Kayoibako yang diperkenalkan dua tahun lalu di acara yang sama. Bahagian hadapannya menampilkan wajah yang hampir rata sepenuhnya dengan rekaan lampu utama berbentuk huruf U di bahagian atas, sementara lampu kabus berkonsepkan piksel ditempatkan di penjuru bawah bampar.

    Cermin hadapan yang condong menghala ke bahagian badan berbentuk kotak, sesuai dengan fungsi utama Hiace sebagai kenderaan yang menekankan ruang dalaman maksimum untuk membawa barangan pelbagai saiz. Bagi menambah gaya dan mengurangkan penampilan terlalu biasa, model konsep ini menggunakan tingkap sisi hadapan berbentuk hampir seperti titisan air mata — bukan sahaja unik, tetapi turut membantu meningkatkan penglihatan pemandu.

    Toyota Hiace Concept — jadi petunjuk kepada van komersial generasi baru tanpa tiang tepi, skrin besar

    Di bahagian sisi belakang, tingkapnya lebih kecil berbanding Hiace generasi semasa, terletak di bawah bumbung rata dan melengkung sedikit ke bahagian belakang. Reka bentuk ini dijangka menjadi identiti tetap untuk semua varian, sama ada versi kargo mahupun versi khas seperti ambulans atau kenderaan penjagaan warga emas yang menggunakan bumbung lebih tinggi.

    Satu lagi ciri menarik ialah ketiadaan tiang tengah di sebelah kiri bagi versi kargo, yang memudahkan proses memuat dan memunggah barangan apabila pintu hadapan dan pintu gelungsur dibuka serentak. Selain itu, sistem modular yang digunakan membolehkan bahagian dalaman serta beberapa komponen luaran diubah suai mengikut keperluan — sama ada untuk pengangkutan barangan, penumpang atau tujuan khas lain.

    Bahagian dalamannya direka ringkas dengan tumpuan kepada fungsi. Papan pemuka menempatkan kawalan asas seperti tombol gear dan pendingin hawa, manakala stereng dua jejari dilengkapi butang kawalan tambahan. Menariknya, terdapat skrin lebar penuh di bahagian depan papan pemuka, namun reka letaknya menunjukkan ia bukan skrin sesentuh tradisional. Paparan ini dijangka berfungsi dengan aplikasi khas bagi memaparkan maklumat tambahan seperti navigasi atau butiran penghantaran.

    Buat masa ini, Toyota belum mendedahkan sebarang maklumat mengenai pilihan enjin. Namun, ramai menjangkakan syarikat itu akan menawarkan beberapa pilihan, termasuk versi elektrik atau enjin konvensional. Tarikh pelancaran rasmi versi produksi juga masih belum diumumkan.

    Gambar rasmi

     
     
  • Mazda Vision X-Compact Concept tampil di Tokyo – kebangkitan semula Mazda 2 dengan enjin petrol

    Mazda Vision X-Compact Concept tampil di Tokyo – kebangkitan semula Mazda 2 dengan enjin petrol

    Selain memperkenalkan Vision X-Coupe, Mazda turut membuat kejutan di Japan Mobility Show (JMS) 2025 dengan pelancaran satu lagi model konsep baru iaitu Mazda Vision X-Compact. Jika X-Coupe dilihat sebagai harapan kebangkitan semula kereta sport rotary ikonik Mazda, X-Compact pula seolah-olah memberi gambaran awal kepada Mazda2 generasi baru, model yang sekian lama tidak menerima kemas kini besar.

    Rekaan luaran Vision X-Compact menyerlah dengan gaya kompak dan comel, seakan-akan Fiat 500 versi Hiroshima. Menariknya, model ini lebih kecil daripada Mazda2 semasa, dengan ukuran panjang 3,825 mm, lebar 1,795 mm, tinggi 1,470 mm serta jarak roda 2,515 mm.

    Bahagian luarannya menampilkan konsep reka bentuk Kodo versi terbaru, sama seperti X-Coupe. Bahagian hadapan tampil dengan muka sama warna dengan badan, tiada lagi gril lima bucu tradisional Mazda, sementara lampu DRL menegak memberikan sentuhan moden. Lampu utama bulat pula ditempatkan dalam lekuk mendalam yang membuatkan kereta ini kelihatan seolah-olah sedang memakai alis mata.

    Mazda Vision X-Compact Concept tampil di Tokyo – kebangkitan semula Mazda 2 dengan enjin petrol

    Dari sisi, X-Compact mengekalkan bonet panjang dan c-pillar tebal, menyerupai versi mini Mazda3. Bahagian belakang pula kelihatan lebih kemas dan seimbang, dengan lampu menegak berbentuk huruf kecil “d” atau “b” di kedua-dua sisi pintu belakang. Sebagai sebuah model pameran, ia turut dilengkapi rim besar, kamera sisi nipis, serta rekaan tanpa pemegang pintu, menambah elemen futuristik pada keseluruhan reka bentuk.

    Bahagian dalamannya mengikuti tema minimalis dan berfokuskan pemandu, sama seperti X-Coupe. Papan pemuka dan konsol tengah dilapisi dengan warna merah berkilat yang menyerlah, diserikan dengan jalur merah terang yang merentasi kabin. Stereng tiga jejari dengan bahagian bawah rata turut menampilkan warna sama, menyerlahkan gaya sporty dan moden.

    Di hadapan pemandu terdapat gabungan meter kelajuan dan rpm yang rumit, menandakan kehadiran enjin petrol, sementara di sebelahnya terdapat paparan kecil menyerupai telefon pintar untuk sistem navigasi. Mazda menjelaskan bahawa Vision X-Compact menggabungkan “model digital deria manusia” dengan pembantu AI generatif yang boleh berinteraksi secara semula jadi dan memberikan cadangan laluan — menjadikan kereta ini seolah-olah “kawan pemandu”.

    Tiada maklumat teknikal rasmi didedahkan buat masa ini, namun berdasarkan tema pameran Mazda di JMS, kemungkinan besar model ini direka untuk menggunakan bahan api karbon neutral yang dihasilkan daripada mikroalga melalui teknologi Mazda Mobile Carbon Capture.

    Menariknya, terdapat tulisan pada papan pemuka yang menyatakan bahawa struktur gentian karbon kereta ini turut dihasilkan menggunakan bahan berasaskan penangkapan karbon (carbon capture) — sesuatu yang membuka potensi besar untuk aplikasi masa depan.

    Untuk versi produksi kelak, Mazda dijangka menggunakan enjin Skyactiv-Z baru, yang akan menampilkan pengurusan enjin ultra tepat bagi mencapai nisbah udara-bahan api stoikiometrik (Lambda:1). Teknologi ini akan membolehkan enjin memenuhi piawaian Euro 7 dan LEV IV California dengan pembakaran yang bersih dan cekap. Mazda dijangka memperkenalkan enjin Skyactiv-Z buat kali pertama pada Mazda CX-5 baru menjelang akhir 2027, sebelum digunakan pada MX-5 generasi seterusnya.

    Gambar rasmi

     
     
  • Mazda Vision-X Coupe didedah di Jepun — Model konsep PHEV dengan enjin rotary turbo, 510 PS!

    Mazda Vision-X Coupe didedah di Jepun — Model konsep PHEV dengan enjin rotary turbo, 510 PS!

    Japan Mobility Show 2025 sudahpun bermula di Tokyo Big Sight hari ini, namun di reruai Mazda masih lagi tiada khabar berkenaan versi produksi bagi model konsep Iconic SP yang muncul pada acara sama dua tahun lalu, dikatakan sebagai model pengganti bagi kereta sport Mazda RX-7. Tapi untuk peminat enjin Wankel Rotary dari Mazda, ini satu lagi yang mungkin boleh memainkan perasaan – mempersembahkan, Mazda Vision-X Coupe!

    Walaupun tiada sebarang petunjuk bahawa ini adalah kereta sport yang akan menggantikan barisan model-model RX sebelum ini, Mazda Vision X-Coupe merupakan satu lagi model konsep yang dipacu oleh enjin rotary. Menurut Mazda, coupe ini menerima unit rangkaian kuasa plug-in hybrid (PHEV) yang menggandingkan enjin rotary dengan dua rotor dan disuap pengecas turbo, bersama motor elektrik yang menghasilkan kuasa 510 PS.

    Bukan setakat berkuasa, ia juga menjadikan enjin wankel rotary dengan dua rotor lebih mesra alam dengan membolehkan Vision X-Coupe ini bergerak dengan kuasa elektrik sepenuhnya dalam jarak 160 km, manakala dengan satu tangki petrol bersama satu cas penuh bateri membolehkan ia bergerak sejauh 800 km – kontra dengan enjin rotary dua rotor produksi terakhir Mazda pada perut Mazda RX-8 yang terpaksa dihentikan pengeluarannya pada 2012 kerana sudah tidak lulus undang-undang emisi ketika itu.

    Mazda Vision-X Coupe didedah di Jepun — Model konsep PHEV dengan enjin rotary turbo, 510 PS!

    Dan, berbanding unit rangkaian kuasa pada Iconic SP sebelum ini di mana enjin rotary yang dipadankan hanya berfungsi sebagai enjin penambah jarak iaitu seperti generator untuk mengecas bateri manakala tayar belakang dipacu oleh motor elektrik, sistem PHEV pada Vision X-Coupe ini pula turut akan membenarkan enjin rotary turbo tersebut menyampaikan kuasa putaran ke gandar belakang.

    Ini kerana paparan instrumen Vision X-Coupe ini turut memaparkan tolok rpm enjin (takometer), dan turut terdapat mod manual pada tombol gear menandakan ada kotak gear yang dipadankan pada enjin rotary berkenaan.

    Mazda juga menyatakan bahawa enjin rotary pada Vision X-Coupe ini mampu beroperasi dengan bahan api neutral karbon yang dihasilkan dari alga mikro melalui teknologi Mazda Mobile Carbon Capture yang dibangunkan oleh syarikat itu. Ini bermakna lebih banyak kereta ini dipandu, lebih banyak karbon dioksida di ruang atmosfera dapat dikurangkan, dakwa Mazda.

    Mazda Vision-X Coupe didedah di Jepun — Model konsep PHEV dengan enjin rotary turbo, 510 PS!

    Bahagian luaran model konsep ini dilihat seperti mengambil inspirasi dari reka bentuk Mazda 3 Hatchback sedia ada, yang menampilkan bahagian muncung yang panjang. Namun ia menampilkan saiz yang jauh lebih besar dari Mazda 3 dengan panjang keseluruhan mencecah 5,050 mm serta jarak roda sejauh 3,080 mm, manakala lebar dan tingginya masing-masing adalah 1,995 mm dan 1,480 mm.

    Sekali tengok ia kelihatan seperti sebuah model tiga-pintu kerana pintu hadapan direka panjang dan garis untuk bukaan pintu belakang tidak terlalu kelihatan. Ia dipadankan lampu yang begitu nipis pada bahagian hadapan, tanpa gril atas (tetapi bentuk asas gril lima point Mazda masih tertonjol) dan juga jalur LED untuk lampu nyalaan siang yang nampak seperti taring.

    Walaupun tiada langsung perincian luaran yang diambil dari mana-mana model sports RX, lain pula ceritanya pada bahagian kabin. Ini kerana papan pemuka Vision X-Coupe ini menampilkan paparan instrumen yang terdiri dari tiga perumah tolok utama bersama roda stereng tiga jejari deep dish, yang kelihatan retro seperti model Mazda RX2 Capella.

    Gambar rasmi

     
     
  • Toyota Corolla Concept 2025 didedahkan — rekaan badan seperti liftback, lebih sporty, ada pilihan EV

    Toyota Corolla Concept 2025 didedahkan — rekaan badan seperti liftback, lebih sporty, ada pilihan EV

    Sedar tak sedar, model generasi sedia ada Corolla iaitu versi generasi ke-12 dengan kod casis E210 sudahpun berada selama tujuh-tahun dalam pasaran. Jika ikut hayat produksi, model ini sudahpun sepatutnya diganti dengan model generasi baharu kerana setiap generasi lazimnya hanya berada dalam pasaran sekitar enam-tahun.

    Jadi ketika berlangsungnya Japan Mobility Show 2025 yang bermula hari ini, Toyota mendedahkan Corolla Concept 2025, iaitu bayangan untuk model produksi Toyota Corolla generasi ke-13 yang bukan sahaja menampilkan revolusi dari segi rupa, malah dari segi unit rangkaian kuasa.

    “Corolla merupakan simbolik ‘untuk anda’ dari kami – dalam kata lain, membuat kereta yang spesifik untuk seseorang. Selari dengan masa dan kehidupan masyarakat, Corolla sentiasa berubah untuk ‘anda’ di hadapannya. Tidak kira rupa atau jenis badan, ia sentiasa menjadi sebuah Corolla. Sebab itulah Corolla sentiasa menjadi ‘kereta untuk semua orang’. Untuk kekal sebegitu, bagaimana ia harus berevolusi?” kata presiden dan CEO Toyota Koji Sato ketika mendedahkan model konsep ini pagi tadi.

    Toyota Corolla Concept 2025 didedahkan — rekaan badan seperti liftback, lebih sporty, ada pilihan EV

    Pendedahan model konsep ini menandakan model generasi baharu nanti bakal menyaksikan perubahan yang agak radikal, seperti yang telah Toyota buat pada Prius dan juga barisan model Crown sebelum ini.

    Corolla Concept ini menampilkan sebahagian besar panel bumbung yang diperbuat dari kaca. Ia tidak dibina sebagai sebuah sedan mahupun sebuah hatchback, tetapi lebih mirip kepada sebuah liftback dengan garis bumbung yang terus dibawa ke hujung pintu tailgate belakang. Manakala garis bawah tingkap pula ia bermula dari bahagian bawah cermin pandang sisi, dan ia menaik ke belakang.

    Corolla juga nampaknya akan mula menggunakan muka ‘jerung hammerhead‘ bermula model generasi ke-13 ini, selari dengan muka yang telah digunakan pada Prius, Crown, Camry dan beberapa model EV Toyota yang lain. Manakala lampu belakangnya direka ringkas dengan bar lampu bersegi yang nipis bermula dari sisi dan merentangi sepenuhnya penutup but belakang.

    Toyota Corolla Concept 2025 didedahkan — rekaan badan seperti liftback, lebih sporty, ada pilihan EV

    Tiada sebarang perincian teknikal diumumkan, namun Toyota membayangkan bahawa Corolla generasi ke-13 ini kelak bukan sahaja ditawarkan dalam versi enjin pembakaran dalaman sepenuhnya, malah turut hadir dengan pilihan sistem hibrid HEV, plug-in hybrid (PHEV) dan juga elektrik penuh (EV). Malah pada fender hadapan belah kiri turut terdapat penutup untuk port pengecas yang lazimnya ada pada model EV dan PHEV.

    “Sama ada ia kenderaan EV bateri, plug-in hybrid, hybrid, atau enjin pembakaran dalaman – apa jua sumber kuasa – mari kita buat kereta yang cantik yang semua orang mahu pandu! Kereta ini penuh dengan ciptaan yang disasarkan untuk menjadikannya realiti,” kata Sato.

    “Bumi ini luas, dan dunia ini pelbagai. Jalan raya berbeza, begitu juga realiti tenaga. Walau bagaimanapun, ada satu perkara yang kita semua kongsi: rasa keprihatinan terhadap bumi. Dan ada satu lagi perkara… ingin memandu kereta yang kelihatan menarik… Saya rasa ramai di antara kita berkongsi keinginan sedemikian,” tambahnya lagi.

    Pada sebelah dalam, Corolla Concept ini turut menampilkan rekaan yang tidak sama dengan kereta-kereta biasa kerana ia tidak mempunyai sebarang panel kawalan atau skrin pada bahagian tengah. Pemandu menerima skrin paparan instrumen bersama pada kawalan untuk penghawa dingin, audio, dan pelbagai lagi pada bahagian kiri dan kanan, manakala penumpang hadapan diberikan skrinnya sendiri.

    Toyota juga mendedahkan model konsep ini dalam konfigurasi pemanduan sebelah kiri berbanding di Jepun yang menerapkan pemanduan sebelah kanan – mungkin ia akan mengutamakan pasaran-pasaran besar dunia seperti Amerika Syarikat dan China.

    Dalam pasaran global, Corolla masih lagi merupakan model yang lebih popular berbanding ‘seteru’ utama yang juga dari Jepun iaitu Honda Civic. Namun pada pasaran-pasaran tertentu seperti Malaysia, Civic yang sekarang ini nampak lebih sporty dari Corolla mampu memecahkan dominasi tersebut. Jadi mungkin model generasi ke-13 nanti Corolla akan tampil sebagai sebuah model dengan imej sporty sama seperti Civic?

    Gambar rasmi

     
     
  • Lexus LS Coupe Concept, LS Micro Concept ditunjuk — tumpu keseimbangan dan mobiliti peribadi

    Lexus LS Coupe Concept, LS Micro Concept ditunjuk — tumpu keseimbangan dan mobiliti peribadi

    Selain LS Concept, Lexus turut mempamerkan dua lagi kenderaan mobiliti yang bernaung di bawah siri keluarga LS yang sama, iaitu Lexus LS Coupe Concept dan LS Micro Concept. Berbeza dengan LS Concept, LS Coupe Concept mempertemukan keselesaan mewah dengan keterujaan pemanduan sekali gus.

    Daripada semangat ini, idea rekaan yang lebih sporty dizahirkan. Ia tampil dengan rekaan lebih tajam dan melengkung. Bahagian depannya garang dengan jalur lampu LED yang ringkas. Cermin depan juga melengkung kemas, dengan bahagian bumbung belakang yang lebih rendah — keseluruhan bumbungnya kaca.

    Pintu kereta ini dari jenis “suicide door” dengan bukaan bertentangan antara pintu depan-belakang. Bahagian sisinya kelihatan lebih berotot di bahagian roda belakang, sementara ada bukaan udara di belakang lengkung tayar hadapan.

    Lexus LS Coupe Concept, LS Micro Concept ditunjuk — tumpu keseimbangan dan mobiliti peribadi

    Di dalam, kereta ini lebih memberi keutamaan kepada pemandu. Kedudukan dan rekaan papan pemuka serta stereng dan skrinnya hampir sama sahaja dengan model MPV LS Concept, melainkan ia menggunakan kemasan warna hitam-putih untuk kerusi dan kabin bagi membawa semangat sporty yang dihasratkan itu.

    Satu lagi rekaan yang ditunjukkan ialah LS Micro Concept. Ia merupakan sebuah kenderaan mobiliti peribadi tiga roda, yang dikendalikan secara autonomous sepenuhnya — yang tetap dibalut dengan idea kemewahan. Ia terdiri daripada satu kerusi yang dikelilingi oleh kemasan lembut dan perehat lengan. Cermin depannya menegak dan turut menempatkan paparan infotainmen.

    Lexus LS Coupe Concept

    Gambar rasmi

    Lexus LS Micro Concept

     
     
  • Lexus LS Concept — dari Luxury Sedan kepada Luxury Space; rekaan MPV mewah dengan enam-tayar

    Lexus LS Concept — dari Luxury Sedan kepada Luxury Space; rekaan MPV mewah dengan enam-tayar

    Lexus membuka tirai di Japan Mobility Show 2025 dengan memperkenalkan sebuah model LS Concept yang memberi definisi baru terhadap model dengan nama berkenaan. Jika sebelum ini Lexus LS lebih dikenali sebagai sebuah kereta “luxury sedan”, kini bukan lagi begitu. Ia kini membawa semangat dan rekaan masa depan “luxury space” yang mewah.

    Ia dihadirkan dengan gaya rekaan sebuah MPV mewah yang dihasratkan sebagai sebuah ruang peribadi bergerak yang futuristik. Di depan, rekaan lampu yang dikenakan adalah dalam jalur tirus ringkas, menyerlahkan wajah depannya yang besar dan tinggi.

    Lexus LS Concept — dari Luxury Sedan kepada Luxury Space; rekaan MPV mewah dengan enam-tayar

    Bahagian sisi menunjukkan kelainan idea LS Concept ini — ia hadir dengan pacuan enam-roda. Roda bahagian belakang bersaiz lebih kecil untuk memaksimumkan ruang lantai dan memudahkan pergerakan penumpang di dalam kabin dengan ruang yang luas.

    Pintu panel untuk akses penumpang juga cukup besar, dan digelusur dengan sangat luas. Empat kerusi yang boleh dilaras untuk saling bertentangan mencadangkan ruang berkenaan sebagai sebagai sebuah ruang kabin yang nyaman, dengan memanfaatkan material kayu sebagai kemasan untuk kerusi, serta termasuk panel dindingnya.

    Lexus LS Concept — dari Luxury Sedan kepada Luxury Space; rekaan MPV mewah dengan enam-tayar

    Rekaan rimnya juga unik dan tertutup sepenuhnya dengan jalur jejari yang kelihatan. Di bahagian tengahnya adalah rekaan ala turbin dengan pencahayaan. Bahagian cermin depan pula seperti sebuah cermin yang luas dan bersambung hingga ke bahagian bumbung panoramiknya yang lanjut hingga ke belakang, memberikan keluasan yang lebih untuk dirasakan oleh penumpang.

    Papan pemuka pula berada di kedudukan rendah, dengan stereng “separuh” dengan bonjolan di tengah tertera nama Lexus. Dua skrin lebar terletak di belakang stereng untuk memaparkan maklumat kenderaan kepada pemandu. Rekaan kerusi yang ada juga leper untuk mengoptimumkan penggunaan ruang.

    Bahagian belakang Lexus LS Concept ini jika dilihat dari luar adalah seperti sebuah bongkah hitam yang besar — sekali lagi, ia menegak untuk memberikan lebih banyak ruang kabin. Rekaan lampu belakang LED dengan dua jalur yang bersambungan: menegak dan melintang membentuk satu garisan yang panjang.

    Tiada sebarang perincian tentang sistem janaan kuasanya yang didedahkan setakat ini. Lexus LS Concept ini hadir sebagai sebuah idea yang menunjukkan perubahan atau evolusi rekaan yang dibayangkan oleh Lexus — untuk meneroka dan menemukan pembaharuan yang bermakna.

    Lexus LS Concept

    Gambar rasmi

     
     
  • MG4 EV 101 Edition di Malaysia – grafik istimewa untuk sambut ulang tahun, harga dari RM130k

    MG4 EV 101 Edition di Malaysia – grafik istimewa untuk sambut ulang tahun, harga dari RM130k

    Bagi meraikan ulang tahun ke-101 jenama Morris Garages (MG), MG Motor Malaysia telah memperkenalkan edisi khas bagi model elektrik popularnya, MG4 101 Edition. Model ini dijual pada harga RM129,536 atas jalan tanpa insurans, iaitu hampir sama dengan harga varian MG4 Lux Extended Range sedia ada (RM128,888 tidak termasuk kos OTR dan insurans).

    Sebagai model edisi khas, MG4 101 Edition menampilkan sentuhan rekaan eksklusif bagi membezakannya daripada varian biasa. Bahagian bumbung dihiasi dengan rekaan Union Jack bersama tulisan “One of one” di bahagian tengah, simbolik kepada edisi istimewa ini. Di bahagian pintu pula, terdapat pelekat putih dengan tulisan “101 Edition” di bawah cermin sisi.

    Model ini hanya ditawarkan dalam dua pilihan warna iaitu Dynamic Red dan Holborn Blue, masing-masing dipadankan dengan rekaan bahagian dalam dwi-tona yang menaikkan lagi penampilannya.

    Dari segi kuasa, MG4 101 Edition mengekalkan sistem janaan yang sama seperti varian Lux Extended Range, dengan bateri 77 kWh jenis nickel cobalt manganese (NCM) yang mampu memberikan jarak pemanduan sehingga 520 kilometer mengikut piawaian WLTP. Motor elektrik di gandar belakang menghasilkan 245 PS (241 hp / 180 kW) dan 350 Nm tork, membolehkan pecutan 0 hingga 100 km/j dalam hanya 6.1 saat.

    Bagi pengecasan, model ini menyokong AC 11 kW, dengan pengecasan penuh mengambil masa sekitar 6.2 jam. Ia juga menyokong pengecasan pantas DC sehingga 135 kW, membolehkan bateri dicas dari 10% ke 80% dalam masa hanya 38 minit.

    Ciri standard pada MG4 101 Edition kekal lengkap seperti biasa, termasuk rim aloi 18 inci, lampu utama LED automatik dengan DRL, gril aktif, tempat duduk balutan kulit, tempat duduk pemandu berkuasa, pendingin hawa satu zon, pad pengecas tanpa wayar, paparan instrumen digital 7 inci dan skrin infotainmen 10.25 inci dengan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay.

    Selain itu, ia turut dilengkapi sistem bunyi enam pembesar suara, enam beg udara, serta pakej keselamatan ADAS lengkap yang merangkumi brek kecemasan automatik (AEB), Adaptive Cruise Control, pemantauan titik buta (BSM), bantuan kekal lorong (LKA), bantuan pertukaran lorong dan Traffic Jam Assist.

     
     
  • Honda 0 Alpha EV prototaip didedah di Tokyo – SUV kelas permulaan yang akan mula dijual pada 2027

    Honda 0 Alpha EV prototaip didedah di Tokyo – SUV kelas permulaan yang akan mula dijual pada 2027

    Honda memulakan hari pertama pameran Japan Mobility Show (JMS) 2025 dengan memperkenalkan dua kenderaan elektrik (EV) prototaip terbaru, sebagai sebahagian daripada usaha syarikat itu mempercepatkan peralihan ke arah elektrifikasi. Salah satu model yang mencuri perhatian ialah Honda 0 α (Alpha), EV generasi baru dalam barisan Honda 0 Series.

    Model ini dibangunkan menggunakan konsep asas yang sama seperti Honda 0 Saloon dan Honda 0 SUV, dua model pertama siri tersebut yang diperkenalkan semasa Consumer Electronics Show (CES) pada Januari lalu. Namun, Honda 0 α hadir sebagai pilihan permulaan (entry-level), menampilkan rekaan lebih halus dan kabin luas yang menekankan keselesaan penumpang sebagai tarikan utama.

    Walaupun butiran teknikal belum didedahkan sepenuhnya, Honda mengesahkan bahawa 0 α akan dilengkapi teknologi teras pembangunan “Thin, Light, and Wise” — falsafah reka bentuk baru yang turut diterapkan pada model lain dalam siri ini. Antara teknologi yang dijangka hadir termasuk sistem operasi Asimo OS, pemanduan separa autonomous Tahap 3 serta platform elektrik khusus yang digunakan oleh model lebih premium.

    Honda 0 Alpha EV prototaip didedah di Tokyo – SUV kelas permulaan yang akan mula dijual pada 2027

    Pendekatan “Thin” turut diperincikan semasa pembentangan. Melalui rekaan berasaskan konsep ini, Honda berjaya mengekalkan ketinggian badan yang rendah tanpa menjejaskan jarak kelegaan tanah. Hasilnya, kenderaan ini mempunyai bentuk kabin yang nipis namun tetap luas dan selesa, disertai dengan rekaan badan lebar yang memberikan penampilan stabil dan dinamik seperti sebuah SUV sebenar.

    Dari segi gaya luaran, bahagian belakang Honda 0 α menyerlah dengan rekaan c-pillar panjang yang bersambung ke bahagian belakang tegak, menjadikannya kelihatan unik dari pandangan belakang. Lampu hadapan dan belakang dipasang dalam ruang paparan skrin, menampilkan elemen pencahayaan moden.

    Bahagian depan pula menampilkan rekaan bersepadu — di mana lampu utama, penutup pengecasan dan logo bercahaya digabungkan dalam satu panel skrin. Sementara itu, bahagian belakang hadir dengan susunan lampu berbentuk U, menggabungkan lampu brek, isyarat membelok dan lampu undur untuk menyerlahkan bentuk panel belakang yang futuristik.

    Honda 0 Alpha EV prototaip didedah di Tokyo – SUV kelas permulaan yang akan mula dijual pada 2027

    Honda 0 α merupakan salah satu daripada tujuh model baru Honda 0 Series yang dirancang untuk diperkenalkan menjelang tahun 2030. Ia akan menyusul selepas pelancaran Honda 0 SUV yang dijangka memasuki pasaran tahun depan. Versi produksi Honda 0 α dijadualkan dilancarkan secara global pada tahun 2027, dengan Jepun dan India menjadi pasaran pertama yang menerimanya.

    Sebagai model EV peringkat permulaan, tidak mustahil Honda 0 α turut dibawa ke pasaran lain, termasuk rantau Asia Tenggara. Buat masa ini, ia jelas menunjukkan hala tuju baru Honda dalam dunia elektrifikasi — gabungan rekaan pintar, ringan dan penuh gaya masa depan.

     
     
  • Honda Super-One Prototype didedah – EV kompak bakal diproduksi 2026, jelmaan semula City Turbo 2!

    Honda Super-One Prototype didedah – EV kompak bakal diproduksi 2026, jelmaan semula City Turbo 2!

    Hari ini merupakan hari pertama Japan Mobilitiy Show 2025 berlangsung di Japan Big Sight, Tokyo. Untuk Honda, ini antara yang didedahkan – EV kompak Honda Super-One Prototype yang nampak seperti hatchback Honda City Turbo 2 era 80’an dahulu!

    Model ini sebelum ini sebenarnya telahpun muncul di Goodwood Festival of Speed pada Julai lalu, ketika itu ia masih berselindung dengan pelekat penyamaran dan dikenali sebagai Honda Super EV Concept. Honda juga mengesahkan bahawa model ini akan diproduksi dan bakal dijual di Jepun bermula 2026, dan kemudian turut bakal ke pasaran luar seperti United Kingdom dan juga beberapa pasaran Asia yang lain.

    Dan oleh itu, Honda mendedahkan bahawa Super-One Prototype ini telah pun menjalani ujian ekstensif pada pelbagai permukaan jalan raya dan di bawah pelbagai keadaan cuaca di Jepun, UK dan juga beberapa negara di Asia bagi menambah baik prestasi pemanduannya.

    Honda mengesahkan bahawa Super One Prototype ini diasaskan dari platform N Series, iaitu barisan model K-Car Honda di Jepun seperti N-One, N-Box, N-WGN, dan juga EV N-One e: yang baru dilancarkan di Jepun Julai lalu, di mana platform ringan tersebut mampu untuk menghasilkan sebuar kereta yang lincah.

    Honda Super-One Prototype didedah – EV kompak bakal diproduksi 2026, jelmaan semula City Turbo 2!

    Untuk konteks, EV N-One e: menerima motor elektrik tunggal memacu roda hadapan dengan kuasa maksima untuk sebuah K-Car iaitu 64 PS dan 162 Nm, digerakkan dengan bateri 29.6 kWj bagi memberikan jarak perjalanan 270 km (WLTP) untuk satu cas penuh.

    Masih tiada sebarang spesifikasi teknikal diumumkan bagi Super One Prototype ini di mana Honda hanya menyatakan ia dibangunkan dengan konsep e: Dash Booster, ditambah dengan rekaan bagi merangsang semua deria pemandu yang membangkitkan rasa “keseronokkan memandu”.

    Jadi boleh dijangka prototaip dan model produksi Super One ini kelak akan dibekalkan dengan motor yang lebih berkuasa dan bateri dengan kapasiti lebih tinggi. Honda turut mengesahkan bahawa model ini akan menampilkan Boost Mode, iaitu mod yang bukan sahaja membebaskan semua potensi dari unit rangkaian kuasa, malah memberikan rasa pemanduan, pecutan dan getaran seperti memandu sebuah kereta dengan enjin pembakaran dalaman.

    Ia termasuk menampilkan semula sistem Active Sound Control seperti pada Civic Hybrid dan Prelude yang menghasilkan bunyi enjin palsu, serta rasa tukaran gear palsu yang tajam seolah-olah ia dipadankan dengan kotak gear tujuh kelajuan.

    Honda Super-One Prototype didedah – EV kompak bakal diproduksi 2026, jelmaan semula City Turbo 2!

    Dari segi rupa, Super One Prototype ini masih diasaskan dari model produksi N-One e:, tetapi ia kini diberikan keempat-empat fender yang lebih lebar, menghasilkan rupa yang lebih stabil dan garang dan bagi membolehkan ia dipadankan dengan tayar yang lebih lebar, yang tentunya memberikan cengkaman dan kestabilan badan lebih baik.

    Secara tidak langsung, rupa Super One Prototype ini seolah-oleh jelmaan semula bagi model ikonik City Turbo 2 yang diperkenalkan Honda pada era 80’an – Honda tidak menyebut perkara ini dalam kenyataan yang dikeluarkan, namun City Turbo 2 dalam versi kereta kawalan jauh muncul dalam video Super One Prototype ini.

    Honda turut menyatakan bahawa pengalir udara yang diberikan pada bahagian hadapan dan belakang hatchback ini bukan sahaja memberikan aspek aerodinamik lebih baik, malah turut membantu sistem penyejukan untuk beroperasi lebih efisien.

    Honda Super-One Prototype didedah – EV kompak bakal diproduksi 2026, jelmaan semula City Turbo 2!

    Pada bahagian dalaman, Super One Prototype ini masih menampilkan papan pemuka dengan rupa asas yang sama seperti N-One e:. Namun versi lebih berkuasa ini tampil dengan tempat duduk lebih sporty serta serlahan-serlahan jalur biru pada papan pemuka. Honda turut menyatakan rekaan grafik tiga tolok utama akan diberikan pada papan instrumen digital ketika pemandu memilih Boost Mode bagi memandu kereta ini.

    Seperti model-model “prototaip” Honda yang lain, rupa sedia ada pada Super One Prototype ini dijangka akan dibawa hampir secara keseluruhan pada versi produksi nanti. Selain dari muncul di Goodwood Festival of Speed, Super-One Concept ini juga telah dibawa ke Gaikindo Indonesia International Autoshow (GIIAS) pada Julai lalu.

    Ini mungkin petanda bahawa versi produksi Honda Super One ini bakal dibawa ke pasaran ASEAN, dan berpotensi untuk dilancarkan sekali di Malaysia.

     
     
  • MG5 X Edition diperkenal di Malaysia – tambahan kit badan dan dashcam, hanya 300 unit, RM96,388

    MG5 X Edition diperkenal di Malaysia – tambahan kit badan dan dashcam, hanya 300 unit, RM96,388

    MG Motor Malaysia hari ini memperkenalkan dan membuka tempahan model edisi terhad MG5 X Edition untuk pasaran tempatan, yang ditawarkan hanya 300 unit dan dijual pada harga RM96,388 tidak termasuk kos atas jalan dan tanpa insuran.

    Dengan harga hampir RM2,500 lebih mahal dari varian Lux biasa, MG5 X Edition datang standard dengan kit badan yang merangkumi spoiler bawah bampar hadapan, sisi dan juga bampar belakang serta spoiler but yang kesemuanya hadir dalam kemasan hitam berkilat.

    Manakala pada sebelah dalam, model ini diberikan scuff plate pada bendul pintu dengan grafik MG5 X Edition dan juga kamera perakam digital (dashcam) hadapan dan belakang yang datang sekali dengan kad SD 64GB. Menurut MG Motors Malaysia, semua aksesori yang dipadankan pada MG5 X Edition ini dilindungi dengan waranti selama setahun.

    MG5 X Edition diperkenal di Malaysia – tambahan kit badan dan dashcam, hanya 300 unit, RM96,388

    Perincian lain masih lagi sama di mana ia digerakkan dengan enjin 1.5 liter empat-silinder DOHC NA berkuasa 114 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 150 Nm pada takat 4,500 rpm, digandingkan bersama kotak gear i-CVT automatik bersama lapan-kelajuan maya.

    Model ini juga datang standard dengan kelengkapan termasuk lampu hadapan automatik LED dengan lampu nyalaan siang, cermin sisi kawalan elektrik, cermin suria, set rim aloi ‘Tomahawk’ berdiameter 17-inci, tempat duduk pemandu larasan elektrik enam-hala, upholsteri tempat duduk kulit hitam dengan serlahan merah, paparan instrumen digital penuh dengan skrin 7-inci, skrin infotainmen 10.25-inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto serta enam pembesar suara.

    Ia juga menerima sistem pendingin hawa zon tunggal dengan kawalan digital, disertakan bersama liang penghembus udara untuk kabin belakang. Dan bagi kelengkapan keselamatan, MG5 pasaran Malaysia ini dibekalkan dengan enam-beg udara, kawalan kestabilan elektronik, kawalan traction, dan kawalan brek ketika selekoh.

    Sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) MG Pilot juga diberikan secara standard, menampilkan fungsi termasuk Amaran Keluar Lorong dan Bantuan Tukar Lorong, Pengesan Titik Buta, Amaran Pelangganra Belakang dan juga Amaran Lintasan Trafik Belakang.

    Hanya tiga warna badan ditawarkan untuk MG5 X Edition ini iaitu Nuclear Yellow, Dynamic Red dan Camden Grey. Manakala varian biasa tampil dengan dua lagi warna tambahan iaitu Arctic White dan Black Pearl.

     
     
  • MOT arah APAD buka kertas siasatan terhadap MAHB ekoran masalah perkhidmatan Aerotrain di KLIA

    MOT arah APAD buka kertas siasatan terhadap MAHB ekoran masalah perkhidmatan Aerotrain di KLIA

    Perkhidmatan Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sekali lagi mengalami gangguan pagi tadi hingga memaksa para penumpang membawa sendiri bagasi dan berjalan dalam gelap di atas platform. Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) berkata, gangguan perkhidmatan itu disebabkan masalah pada sistem bekalan kuasa.

    Disebabkan pelbagai isu yang timbul berkaitan perkhidmatan Aerotrain ini, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) diarah untuk membuka kertas siasatan terhadap MAHB, kata Menteri Pengangkutan (MOT) Anthony Loke.

    Menurut Loke, arahan tersebut dikeluarkan berikutan MOT mendapati perkhidmatan Aerotrain masih berdepan gangguan walaupun sudah beroperasi semula selama beberapa bulan, laporan Bernama.

    “Saya mengarahkan APAD membuka kertas siasatan terhadap MAHB selaku pengendali perkhidmatan Aerotrain. Pada peringkat awal operasi Aerotrain, kementerian mengambil maklum MAHB memerlukan masa bagi menyesuaikan diri.

    MOT arah APAD buka kertas siasatan terhadap MAHB ekoran masalah perkhidmatan Aerotrain di KLIA

    “Bagaimanapun, memandangkan perkhidmatan Aerotrain sudah beroperasi selama beberapa bulan, APAD akan mengambil tindakan tegas terhadap MAHB bagi setiap insiden gangguan perkhidmatan,” katanya.

    Loke berkata, lesen pengendali yang dikeluarkan kepada MAHB menetapkan syarikat terbabit wajib memastikan tahap perkhidmatan Aerotrain yang memuaskan kepada pengguna.

    “Di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010, pelanggaran syarat lesen pengendali boleh dikenakan kompaun sehingga RM250,000 bagi setiap kesalahan,” katanya.

    Pada 13 Oktober lalu, Timbalan Menteri MOT, Datuk Hasbi Habibollah mengesahkan bahawa perkhidmatan operasi sistem Aerotrain telah mengalami gangguan sebanyak 19 kali antara 2 Julai hingga 30 September 2025. Gangguan terhadap perkhidmatan Aerotrain itu antaranya berkaitan isu teknikal, seperti semboyan dan disebabkan manusia, seperti penumpang cuba membuka pintu.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.67 (0.00)
EURO 5 B7 RM4.87 (0.00)
Last Updated Jun 11, 2026