Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • R&R Taiping selatan di Lebuhraya PLUS ditutup kerana banjir, laluan di Changkat Jering juga terjejas

    Hujan lebat yang melanda utara Perak telah menyebabkan beberapa daerah termasuk Taiping kini sedang dilanda banjir kilat sejak malam tadi.

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) selaku pengendali Lebuhraya Utara-Selatan turut memaklumkan bahawa kawasan hentian rehat dan rawat (R&R) Taiping arah selatan juga kini ditutup akibat dilanda banjir dengan kemaskini diumumkan pada jam 10.25 pagi tadi. Manakala surau di R&R Taiping arah utara juga ditutup kerana masalah yang sama.

    Malahan turut dimaklumkan bahawa terdapat laluan di lebuhraya berkenaan di daerah yang terlibat turut terjejas, iaitu laluan kecemasan di di KM 214.3 – KM 215.0 arah Selatan dari Taiping ke Changkat Jering yang masih ditutup, namun lorong kiri kembali dibuka.

    Untuk pengguna lebuhraya PLUS, anda diminta memandu lebih berhati-hati dan ikut arahan papan tanda yang disediakan pihak konsesi sekiranya laluan anda terjejas dengan bencana alam ini. Rancang perjalanan sewajarnya dan guna laluan alternatif sekiranya perlu.

     
     
  • Proton eMAs 7 dilancarkan di Mauritius – dua varian iaitu Prime dan Premium, bermula RM157k-RM172k

    Proton eMAs 7 dilancarkan di Mauritius – dua varian iaitu Prime dan Premium, bermula RM157k-RM172k

    SUV segmen-C EV Proton eMas 7 kini dilancarkan pada satu lagi pasaran eksport iaitu Mauritius. Di sana, Proton diuruskan oleh Kumpulan Autonexx yang telahpun menjual beberapa model Proton dengan enjin pembakaran dalaman yang lain termasuk X50, X70 dan X90.

    Sama seperti Malaysia eMas 7 ditawarkan dalam dua varian; varian Prime dijual pada harga atas jalan tanpa insuran Rs 1,690,000 (sekitar RM157k), dan juga varian tertinggi Premium dijual pada harga Rs 1,850,000 (RM172k). Ia dilindungi oleh waranti kenderaan selama 6 tahun atau 150,000 km dan waranti bateri voltan tinggi selama 8 tahun atau 160,000 km.

    Untuk promosi pelancaran pula, 30 pembeli terawal kedua-dua varian ini akan menerima pengecas wallbox dan kad e.motion secara percuma, manakala varian Premium akan menerima ganjaran tambahan iaitu ima tahun servis percuma atau 150,000 km.

    Proton eMAs 7 dilancarkan di Mauritius – dua varian iaitu Prime dan Premium, bermula RM157k-RM172k

    Kedua-dua varian Proton eMas 7 di Mauritius ini juga masih dibekalkan dengan satu motor elektrik tunggal yang memacu roda hadapan berkuasa 218 PS (160 kW) dan tork maksima 320 Nm. Varian Prime menerima bateri litium logam fosfat (LFP) bilah pendek keluaran Aegis berkapasiti 49.52-kWj bagi memberikan jarak gerak 345 km dalam kitaran ujian WLTP, manakala varian Premium pula diberikan bateri berkapasiti 60.22 kWj untuk jarak gerak WLTP 410 km.

    “Pengenalan eMas 7 di Mauritius merupakan sebahagian daripada strategi berterusan Proton untuk mengembangkan portfolio EV kami di peringkat global. Setiap pelancaran baharu mengukuhkan lagi kehadiran antarabangsa Proton dan membuktikan keupayaan kami untuk menghasilkan kenderaan yang menggabungkan teknologi, prestasi dan nilai. Kilang EV di Tanjong Malim akan menjadi pemangkin kepada pembangunan generasi baharu model elektrik untuk pasaran dunia,” kata Edmund Lim Meng Thong, CEO Proton International Corporation.

    Selepas dilancarkan di Malaysia pada Disember tahun lalu, eMas 7 telah pun dieksport dan dilancarkan di beberapa negara termasuk Nepal dan Singapura. Menurut Proton, eMas 7 kini merupakan model ketiga paling popular bagi pasaran eksport selepas Saga dan X50.

     
     
  • Lebuhraya EKVE jajaran Seksyen 1 bakal laksana kutipan tol mulai 12.01 tengah malam pada 25 Okt 2025

    Lebuhraya EKVE jajaran Seksyen 1 bakal laksana kutipan tol mulai 12.01 tengah malam pada 25 Okt 2025

    Setelah hampir dua bulan pelaksanaan tol percuma di Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE) jajaran Seksyen 1 yang dibuka secara rasmi pada 30 Ogos lalu, kini tiba masanya pengguna lebuhraya terbabit membayar kadar tol seperti yang ditetapkan.

    Pengendali lebuhraya terbabit, EKVE Sdn Bhd memaklumkan bahawa kutipan tol bagi Seksyen 1 Lebuhraya EKVE akan bermula jam 12.01 tengah malam pada Sabtu ini, 25 Oktober 2025.

    Kadar tol mengikut kelas kenderaan yang dikenakan ke atas pengguna lebuhraya ini adalah seperti berikut:

    Menurut syarikat konsesi itu lagi, kaedah pembayaran kutipan tol di Seksyen 1 Lebuhraya EKVE akan dilaksanakan secara elektronik sepenuhnya menggunakan kad Touch ‘N Go, Smart Tag dan Radio Frequency Identification (RFID).

    “Pengguna dinasihatkan untuk memastikan baki e-wallet dan kad Touch ‘N Go mencukupi sebelum memulakan perjalanan bagi mengelakkan sebarang kesulitan semasa melalui plaza tol.

    “Pengguna juga dinasihatkan supaya mematuhi peraturan keselamatan jalan raya dan papan tanda arah yang disediakan semasa melalui ke semua plaza tol ini bagi memastikan perjalanan yang lancar ke destinasi yang dituju,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Seksyen 1 ini merupakan lebuhraya dua lorong dua hala yang merangkumi jarak sepanjang 16.8 km melibatkan jajaran utama dan 8.4 km untuk jalan susur bagi empat buah persimpangan bertingkat iaitu Persimpangan Bertingkat Sungai Long, Persimpangan Bertingkat Bandar Mahkota Cheras, Persimpangan Bertingkat Hulu Langat, dan Persimpangan Bertingkat Ampang.

    Ia juga mempunyai empat buah plaza tol yang dilengkapi dengan RFID dan Automatic Number Plate Recognition (ANPR) selaras dengan cadangan perlaksanaan Multi-Lane Fast Flow (MLFF) di semua lebuhraya Malaysia kelak.

    Sementara itu, Seksyen 2 yang akan menghubungkan laluan ini terus ke Ukay Perdana kini masih dalam pembinaan, dan apabila dibuka kelak akan melengkapkan keseluruhan jajaran EKVE sepanjang 39 kilometer yang dirancang dalam pelan pembangunan asal.

     
     
  • Op Lancar Deepavali 2025 catat 5.2% peningkatan kemalangan, nahas maut menurun 9.8% – JSPT

    Op Lancar Deepavali 2025 catat 5.2% peningkatan kemalangan, nahas maut menurun 9.8% – JSPT

    Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Siasatan Trafik dan Penguatkuasaan (JSPT) Bukit Aman telah melaksanakan Op Lancar sempena perayaan Deepavali 2025 dari 17 hingga 21 Okt lalu. Ia dilaksanakan dengan objektif meminimumkan kemalangan jalan raya dan memastikan kelancaran aliran trafik sepanjang musim perayaan.

    Menurut Pengarah JSPT Bukit Aman, CP Datuk Seri Mohd Yusri Haji Hassan Basri, sepanjang lima hari operasi itu, statistik kemalangan jalan raya menunjukkan peningkatan sebanyak 5.2% iaitu 8,940 kes berbanding 8,498 pada tahun 2024. Walau bagaimana pun, kes kemalangan maut menurun sebanyak 9.8% iaitu 82 kes berbanding 90% pada tahun sebelumnya. Manakala jumlah kematian akibat kemalangan juga menurun 12% iaitu 85 orang berbanding 96 mangsa pada 2024.

    “Penunggang dan pembonceng motosikal kekal menjadi penyumbang tertinggi kematian akibat nahas jalan raya iaitu melibatkan seramai 61 orang, namun jumlahnya menurun 20% berbanding tahun 2024 dengan 76 kematian.

    Op Lancar Deepavali 2025 catat 5.2% peningkatan kemalangan, nahas maut menurun 9.8% – JSPT

    “Jalan bandaran pula mencatatkan kemalangan tertinggi dengan 3,952 kes (44%), diikuti jalan negeri (18.4%) dan jalan persekutuan (13.3%). Sebanyak 43,379 saman telah dikeluarkan pada operasi kali ini berbanding 52,090 saman tahun lalu. Ini menunjukkan pengurangan saman sebanyak 17% bersamaan 8,711 saman,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Beliau menambah, berdasarkan penurunan jumlah kematian dan pengeluaran saman, ia menunjukkan kesedaran pengguna jalan raya terhadap peraturan lalu lintas dan undang-undang jalan raya semakin meningkat.

    Op Lancar Deepavali 2025 ini juga melibatkan kerjasama pelbagai agensi penguatkuasaan lain dan jabatan dalam PDRM, sejajar dengan slogan “Selamat Bersama JSPT”. “Usaha ini berjaya meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap keselamatan jalan raya serta mengurangkan kadar kemalangan,” kata Mohd Yusri lagi.

    Op Lancar Deepavali 2025 catat 5.2% peningkatan kemalangan, nahas maut menurun 9.8% – JSPT

    Sepanjang lima hari operasi itu juga, katanya, sebanyak 9.9 juta kenderaan telah menggunakan Lebuhraya PLUS (termasuk LPT2), 1.2 juta kenderaan di LPT1 dan 619,173 kenderaan di Lebuhraya WCE.

    “Berikutan pertambahan kenderaan berdaftar sebanyak 37.5 juta (setakat Disember 2024), menyebabkan berlakunya peningkatan aliran trafik terutamanya pada musim perayaan. Oleh itu, kehadiran petugas JSPT di lapangan telah membantu mengawal dan menyuraikan kesesakan lalu lintas, sekali gus memberi keyakinan kepada pengguna jalan raya.

    “Selain itu, sikap pemandu yang berhemah, berhati-hati dan fokus pada pemanduan turut memainkan peranan penting dalam usaha kerahaan bagi mengurangkan kadar kematian akibat kemalangan jalan raya sebanyak 50% menjelang tahun 2030,” katanya lagi.

     
     
  • BHPetrol Bandar Tun Razak berwajah baru — stesen 29 tahun terima penampilan terkini, Kopi Kenangan

    BHPetrol Bandar Tun Razak berwajah baru — stesen 29 tahun terima penampilan terkini, Kopi Kenangan

    BHPetrol telah melancarkan stesen minyak Bandar Tun Razak yang berwajah baru, hari ini, yang menerapkan identiti korporat terkini yang diperkenalkan sejak tahun 2021. Pembaharuan tersebut menyaksikan stesen minyak berkenaan kini tampil dengan imej lebih kemas dan bersih — tiada lagi warna kemasan kuning yang digunakan.

    Kemudahan BHPetrol Bandar Tun Razak ini mula dibuka pada tahun 1996 sebagai stesen BP, sebelum dijenamakan semula pada 2006 selepas jenama itu diambil alih oleh Boustead Holdings. Ia juga kini menempatkan sebuah cawangan kedai kopi Kenangan serta BHPetromart, dan juga kemudahan lain seperti surau dan bilik air yang lebih luas dan bersih.

    Pelancarannya hari ini dihadiri oleh pegawai dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan juga Polis DiRaja Malaysia, termasuk Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosioekonomi DBKL, Ismadi bin Sakirin dan juga Ketua Polis Cheras, ACP Aidil bin Bolhassan. Ketika acara, BHPetrol mengumumkan pihaknya akan terus memajak tanah stesen itu daripada DBKL untuk tempoh 30 tahun akan datang, sekali gus menjamin masa depan cawangan itu hingga tahun 2055 nanti.

    “Saya sangat berharap kerjasama strategik bersama DBKL dan PDRM akan berteruskan dengan komitmen yang kuat antara GLC, pihak berkuasa tempatan serta pihak berkepentingan yang lain pada masa depan, untuk menghadirkan kesan positif tidak hanya kepada perniagaan, tetapi juga kepada pelanggan keseluruhannya,” jelas CEO BHPetrol, Azizul Azily Ahmad.

     
     
  • Honda RS-X Winner Tricolor Edition dilancar – tambahan aksesori, terhad 800 unit sahaja, RM10,298

    Honda RS-X Winner Tricolor Edition dilancar – tambahan aksesori, terhad 800 unit sahaja, RM10,298

    Boon Siew Honda (BSH) melancarkan satu versi istimewa untuk RS-X Winner, dipanggil sebagai Tricolor Edition, membawakan warna ikonik jenama Honda, serta tambahan beberapa aksesori untuk menjadikannya lebih menarik. Model ini dijual pada harga RM10,298 tidak termasuk insurans.

    RS-X Winner Tricolor Edition hanya akan dikeluarkan sebanyak 800 unit dan ia dipasang terus dengan aksesori RCB yang terdiri daripada angkup brek hadapan S-26, getah pemegang Nagamaki dan pelindung bahagian tepi pemegang. Anda juga dapat melihat terdapat panel tambahan di bahagian tepi motosikal ini.

    Selain daripada itu, bagi memberikan lebih nilai kepada pembeli, waranti dua tahun atau 20,000 km yang biasanya diberikan secara standard untuk motosikal Honda ditambah lagi dengan waranti satu tahun tanpa had batuan dalam program Honda X-tend secara percuma.

    Bahagian mekanikal motosikal ini tidak berubah, dengan ia dipacu oleh enjin satu silinder suntikan bahan api 149.2 cc DOHC dengan sistem penyejukan cecair, mampu menghasilkan 15.8 hp pada 9,000 rpm dan 13.6 Nm tork pada 7,000 rpm, digabungkan bersama transmisi enam kelajuan.

    Ia juga datang dengan sistem kunci pintar, pengecas USB, fork teleskopik di hadapan, monoshock dengan pelarasan pra beban di belakang, tangki bahan api 4.5 liter, pemula enjin elektrik, lampu LED, brek cakera hadapan dan belakang dengan ABS single-channel serta transmisi manual enam kelajuan.

     
     
  • Proton eMas 5 catat 4,000 tempahan, purata 150 sehari

    Proton eMas 5 catat 4,000 tempahan, purata 150 sehari

    Proton eMas 5 telah mencatatkan sebanyak 4,000 tempahan sejak mula dibuka pada 4 Oktober lalu, menjadikannya purata 150 tempahan sehari.

    Pengedarnya, Pro-Net juga telah mengumumkan di laman Facebook rasmi syarikat bahawa kurang daripada 1,000 pakej pembeli terawal yang masih berbaki (yuran tempahan RM99 + kad TnG NFC dengan isian RM100 eMas 5 + potongan RM500 untuk tempahan).

    EV paling murah di Malaysia ini bakal dilancarkan pada Khamis minggu depan, 30 Oktober. Ditawarkan dalam dua varian, Prime dan Premium, harga anggaran yang diumumkan ialah masing-masing sekitar RM60,000 dan RM80,000.

    Ia merupakan model dari Geely Xingyuan, tanpa diberikan “Proton Ride & Handling”, EV pacuan belakang, kapasiti bateri 30 dan 40 kWj serta jarak masing-masing antara 225 km dan 325 km. Baca laporan pandu uji ringkas kami di sini.

    Proton eMas 5 di litar ujian

     
     
  • Volvo EC40 Ultra Single Motor 2026 di M’sia — galeri penuh EV RWD; 238 hp/420 Nm, 488 km, RM249k

    Volvo EC40 Ultra Single Motor 2026 di M’sia — galeri penuh EV RWD; 238 hp/420 Nm, 488 km, RM249k

    Bulan lalu Volvo Cars Malaysia (VCM) mengumumkan pengenalan secara rasmi SUV EV Coupe Volvo EC40 Ultra (sebelum ini turut dikenali dengan nama C40 Recharge) dalam versi Single Motor untuk pasaran tempatan. Dan, ini kami bawakan pula galeri penuh model elektrik tersebut untuk dilihat lebih terperinci.

    Volvo EC40 hanya dibekalkan dengan sebuah motor elektrik berbanding versi Twin Motor dengan dua motor elektrik memacu semua roda, tetapi masih dibekalkan dengan pakej kelengkapan Ultra yang sama. Harga atas jalan tanpa insuran RM248,888, atau RM40,000 lebih rendah berbanding versi Twin Motor sedia ada.

    Motor yang dibekalkan pula menjana kuasa sebanyak 238 hp (175 kW) dan tork maksima 420 Nm, ditempatkan di gandar belakang dan memacu roda belakang sahaja. Ia membolehkan EC40 ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.3 saat.

    Volvo EC40 Ultra Single Motor 2026 di M’sia — galeri penuh EV RWD; 238 hp/420 Nm, 488 km, RM249k

    Motor berkenaan menerima bekalan elektrik dari pek bateri nikel mangan kobalt (NMC) berkapasiti 70 kWj (digunakan hingga kadar 67 kWj), membolehkan SUV ini bergerak sejauh 488 km dalam kitaran ujian WLTP (554 km untuk varian Twin Motor).

    Baterinya boleh menerima sistem pengecas pantas DC sehingga 200 kW, membolehkan cas dipenuhkan dari 10-80% dalam masa hanya 26 minit. Sistem pengecas AC juga boleh digunakan hingga 11 kW, dan cas boleh dipenuhkan dari 0-100% dalam masa tujuh jam.

    Sebagai model pacuan roda belakang sebenar, EC40 Single Motor pasaran Malaysia datang dengan rim aloi 19-inci lima jejari yang dibalut dengan tayar yang lebih lebar di belakang iaitu 255/45R19, berbanding tayar hadapan dengan ukuran 235/50R15.

    Volvo EC40 Ultra Single Motor 2026 di M’sia — galeri penuh EV RWD; 238 hp/420 Nm, 488 km, RM249k

    Pakej kelengkapan Ultra pada model ini juga memberikan perincian seperti paparan instrumen digital dengan skrin 12.3-inci, sistem infotainmen dengan skrin sesentuh sembilan-inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, sistem Google binaan-dalam serta Volvo Connect Plus, dihubungkan kepada sistem bunyi Harman Kardon.

    Ia juga menerima lampu hadapan LED Pixel, pad pengecas telefon pintar tanpa wayar, sistem penghawa dingin dua zon bersama penderia PM2.5, bumbung kaca panaromik, kamera 360-darjah, tempat duduk hadapan kawalan kuasa dengan fungsi memori untuk pemandu dan pintu tailgate belakang berkuasa dengan bukaan tanpa sentuhan.

    Aspek keselamatan, model ini diberikan tujuh beg udara, brek kecemasan automatik, Pilot Assist, bantuan kekal lorong, amaran dan pengelak pelanggaran belakang, pemantau titik buta serta amaran lintasan trafik belakang dengan brek automatik.

    Untuk warna badan, pembeli EC40 juga kini sudah boleh memilih warna baharu Sand Dune yang sebelum ini diperkenalkan menerusi SUV EV lebih besar iaitu EX90. Warna lain yang turut disediakan termasuk Aurora Silver, Onyx Black dan Crystal White. Kesemua pilihan warna badan ini boleh dipadankan bersama dalaman sama ada balutan material suede Charcoal Connect atau Charcoal Microtech.

    Pembelian Volvo EC40 ini datang dengan perlindungan waranti selama lima-tahun tanpa had perbatuan, dan juga waranti untuk bateri selama lapan tahun atau 160,000 km.

     
     
  • Kerajaan jimat RM5 bilion laksana Budi Diesel — MoF

    Kerajaan jimat RM5 bilion laksana Budi Diesel — MoF

    Program penyelarasan semula subsidi diesel yang turut dikenali sebagai Budi Madani Diesel (Budi Diesel) telah membolehkan kerajaan jimat sekitar RM5 bilion setahun sejak dilaksanakan pada 10 Jun tahun lalu, jelar Kementerian Kewangan seperti dilaporkan oleh Bernama.

    Selain melegakan beban kewangan negara, penjimatan tersebut membolehkan dana diagihkan semula untuk tujuan yang lebih produktif, termasuk memperkukuh jaringan keselamatan sosial rakyat, jelas kementerian terbabit dalam jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen Rompin, Abdul Khalib Abdullah yang ingin tahu tentang keberkesanan subsidi bersasar petrol dan diesel dalam mengurangkan beban kewangan negara.

    “Antara langkah proaktif yang diambil oleh kerajaan ialah penambahbaikan bantuan tunai seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dengan menaikkan peruntukannya kepada RM13 bilion di bawah Belanjawan 2025, berbanding RM10 bilion pada tahun sebelumnya, serta kepada RM15 bilion untuk SARA. Penjimatan tersebut juga digunakan untuk mendanai projek pembangunan yang boleh menambah kapasiti produktif negara,” jelas kenyataan itu.

    Kerajaan jimat RM5 bilion laksana Budi Diesel — MoF

    Selain itu, lebih daripada 140,000 penerima di bawah kategori Budi Individu dan lebih 180,000 di bawah
    Budi Agri-Komoditi telah diluluskan, dengan jumlah bayaran keseluruhan masing-masing sebanyak RM430 juta dan RM350 juta. Setakat 30 September, kad fleet diesel (dengan kadar diesel RM2.15 seliter) telah diluluskan untuk 355,074 kenderaan di bawah 121,618 syarikat.

    Setakat jam 4 petang 8 Oktober pula, lebih 10 juta daripada 16 juta warga Malaysia yang layak (62.5%) telah membeli 365.7 juta liter petrol RON 95 dengan harga subsidi RM1.99 seliter (RM727.7 juta jumlah keseluruhan) sejak Budi95 bermula pada 27 September lalu untuk penjawat awam berseragam. Angka terkini adalah 12.4/16.5 juta warga Malaysia (75%) dan 930 juta liter (RM1.85 bilion) setakat 21 Oktober 2025.

    Dalam jawapan bertulis yang sama, Kementerian Ekonomi turut menjawab bahawa Hab Pangkalan Data Pusat (PADU) menjadi satu daripada pangkalan data rujukan untuk pengesahan Budi95 oleh kementerian tersebut. “Berdasarkan data yang tersedia, kerajaan boleh mengenal pasti program campur tangan sosio-ekonomi untuk kelompok sasaran yang khusus. Dalam hal ini, PADU dimanfaatkan sebagai pangkalan data rujukan oleh pelbagai agensi kerajaan yang terlibat.”

     
     
  • Chery T1TP Concept ditunjuk di China – pikap yang boleh berubah kepada SUV, pengenalan rasmi 1H 2026

    Chery T1TP Concept ditunjuk di China – pikap yang boleh berubah kepada SUV, pengenalan rasmi 1H 2026

    Chery International memperkenalkan model konsep terbarunya, T1TP, sempena Persidangan Pengguna Antarabangsa Chery 2025 yang berlangsung di Wuhu minggu ini. Kenderaan konsep itu menarik perhatian ramai kerana mampu berubah fungsi daripada sebuah trak pikap kepada SUV tujuh tempat duduk.

    Menurut Chery Corporate Malaysia, model konsep T1TP dibina menggunakan reka bentuk badan unibody, berbeza daripada trak pikap Chery Himla yang menggunakan rangka ladder-frame.

    Bahagian belakang T1TP menampilkan ruang kargo berkapasiti 600 liter dengan empat titik penambat dan empat pemisah boleh laras untuk memastikan muatan kekal stabil. Ciri pemisah boleh ubah itu turut membolehkan dinding antara tempat duduk baris kedua dan ruang kargo dialihkan, memberikan fleksibiliti bagi memuatkan barangan panjang yang boleh dilunjurkan ke dalam ruang kabin penumpang.

    Chery T1TP Concept ditunjuk di China – pikap yang boleh berubah kepada SUV, pengenalan rasmi 1H 2026

    Dari segi reka bentuk, T1TP mempunyai bahagian hadapan, badan dan lampu belakang yang berbeza sepenuhnya daripada model Himla, menjadikannya lebih daripada sekadar versi yang ditambah aksesori. Ia direka semula secara menyeluruh bagi menonjolkan identiti tersendiri.

    Walaupun Chery belum mendedahkan perincian mengenai sistem kuasa yang digunakan, lencana “CSH” pada kenderaan itu memberi petunjuk bahawa ia mungkin menggunakan sistem hibrid Chery. Syarikat itu turut memaklumkan bahawa pelancaran rasmi T1TP dijadualkan berlangsung dalam tempoh tujuh bulan lagi, iaitu sekitar Mei tahun depan.

    Sementara itu, trak pikap Chery Himla yang diperkenalkan pada Auto Shanghai 2025 bakal dipasarkan ke pasaran global. Himla akan ditawarkan dengan pelbagai pilihan enjin termasuk petrol, diesel dan sistem tenaga baru (new energy) yang merujuk kepada sistem kuasa elektrik atau hibrid di pasaran China.

     
     
  • Volvo EX90 akan ditawar dalam versi CKD tak lama lagi; guna platform 800V, komputer utama baharu

    Volvo EX90 akan ditawar dalam versi CKD tak lama lagi; guna platform 800V, komputer utama baharu

    Selepas dilancarkan pada April lalu dengan ditawarkan dalam versi diimport sepenuhnya (CBU), SUV EV paling besar Volvo iaitu EX90 bakal tampil dalam versi pemasangan tempatan (CKD) yang bakal di pasang di Shah Alam tak lama lagi.

    Menurut Pengarah Urusan Volvo Car Malaysia & Thailand Chris Wailes, EX90 CKD tersebut akan dihasilkan terus dalam versi terbaharu 2026 menggunakan asas sistem elektrikal 800V, iaitu versi kemaskini 2026 yang baru sahaja didedahkan untuk pasaran global baru-baru ini.

    Wailes turut menyatakan bahawa penawaran EX90 dalam versi CKD ini akan berlangsung pada waktu yang tepat kerana insentif pengecualian cukai untuk EV CBU yang ditawarkan oleh kerajaan Malaysia bakal ditamatkan pada penghujung tahun ini.

    Tiada perubahan rupa yang ketara bagi versi EX90 2026 berkenaan, namun dengan asas elektrikal 800V yang digunakan bagi menggantikan asas 400V sedia ada akan membolehkan ia menerima pengecas DC lebih pantas, dari 250 kW kepada 350 kW.

    Volvo EX90 akan ditawar dalam versi CKD tak lama lagi; guna platform 800V, komputer utama baharu

    Walau bagaimanapun, kelebihan ini memerlukan juga pengecas yang lebih pantas digunakan, di mana jumlah pengecas sedemikian di Malaysia masih lagi belum banyak. Selain dari itu, dengan penghantaran kuasa lebih besar dan lebih efisien ini membolehkan SUV berkenaan memecut lebih pantas.

    Perincian lain yang turut bakal ditampilkan pada versi kemaskini tersebut termasuk penawaran versi enam-tempat duduk dan juga bumbung panaromik elektrokromik.

    Model CKD 2026 ini juga kelak akan menerima komputer utama baharu menampilkan dua cip Nvidia Drive AGX Orin yang sama seperti sedan EV ES90. Untuk pemilik EX90 CBU sedia ada, VCM turut akan menawarkan tingkat taraf ini pada kenderaan anda.

    Pemilik-pemilik EX90 CBU berkenaan akan diberitahu oleh pengedar sebaik sahaja ia sudah ditawarkan, di mana kenderaan tersebut perlu dibawa ke pusat servis Volvo untuk menerima penukaran komputer utama baharu, kemudian kemaskini perisian akan diterima menerusi servis over-the-air (OTA).

    Kemaskini komputer utama dan juga perisian baharu berkenaan akan menambahbaik prestasi keseluruhan, melambatkan pengurangan cas bateri, serta perkara lain berkaitan bantuan pemanduan, intervensi sistem keselamatan dan amaran dan juga bantuan parkir.

    GALERI: Volvo EX90 CBU 2025

     
     
  • PDRM tawar diskaun saman trafik hingga 70% mulai 1 Nov-30 Dis 2025 – tunggakan saman cecah RM6.6b

    PDRM tawar diskaun saman trafik hingga 70% mulai 1 Nov-30 Dis 2025 – tunggakan saman cecah RM6.6b

    Untuk anda yang masih mempunyai saman trafik tertunggak yang dikeluarkan oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM), mulai 1 Nov hingga 30 Dis ini, kerajaan akan menawarkan diskaun saman trafik terpilih hingga 70%. Perkara ini telah diumumkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang turut berkata, dianggarkan sebanyak RRM6.6 bilion jumlah tunggakan saman yang belum dibayar.

    “Sekiranya tawaran diskaun ini mendapat sambutan, kita dapat kurangkan beban tunggakan itu dengan signifikan. Selepas ini, kedua-dua agensi iaitu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan PDRM akan menilai semula langkah penguatkuasaan terhadap mereka yang masih gagal membuat pembayaran,” katanya dalam sidang media bersama Menteri Pengangkutan, Anthony Loke semalam.

    Berkenaan dengan kutipan saman, Saifuddin Nasution berkata, bagi tempoh 2022 hingga 2025, PDRM telah mengutip sebanyak RM640 juta hasil penyelesaian saman, laporan Harian Metro.

    “Sepanjang tahun 2022, polis trafik telah menawarkan pengurangan 50% dan berjaya menarik penyelesaian sebanyak 327,369 saman, dengan kutipan RM60.8 juta. Pada tahun 2023, tawaran diskaun kekal 50%, termasuk satu lagi tawaran khas potongan RM50 bagi semua saman. Hasilnya, 2.7 juta saman berjaya diselesaikan dengan kutipan RM211 juta.

    PDRM tawar diskaun saman trafik hingga 70% mulai 1 Nov-30 Dis 2025 – tunggakan saman cecah RM6.6b

    “Bagi tahun 2024, diskaun 50%s, 30% dan 60% ditawarkan, dan 678 ribu saman berjaya diselesaikan dengan kutipan RM119 juta. Sementara bagi tahun 2025 iaitu Januari hingga September, diskaun 50% dan 30% ditawarkan, dengan 1.73 juta saman berjaya diselesaikan dan kutipan RM249 juta,” katanya.

    Semalam, Loke telah mengumumkan Jemaah Menteri memutuskan untuk menyelaraskan kadar dan kaedah pelaksanaan kompaun yang dikeluarkan oleh JPJ dan PDRM bagi memastikan keseragaman dalam penguatkuasaan undang-undang jalan raya di seluruh negara. Di mana mulai 1 Jan 2026,diskaun saman berasaskan program atau kempen khas akan digantikan dengan prinsip The Less You Delay, The Less You Pay atau ‘Lebih Cepat Anda Bayar, Lebih Sedikit Anda Perlu Bayar’.

    Tambah Loke, berdasarkan struktur baharu itu, bayaran yang dibuat dalam tempoh 1 hingga 15 hari selepas tarikh notis akan menikmati pengurangan 50%, manakala 16 hingga 30 hari mendapat pengurangan 33%. Manakala bayaran yang dijelaskan dalam tempoh antara 31 hingga 60 hari pula dikenakan kadar kompaun maksimum, manakala selepas 61 hari, tindakan mahkamah dan senarai hitam akan dikenakan.

    Bagaimanapun, katanya, insentif baharu itu tidak terpakai bagi kesalahan serius yang tidak boleh dikompaun seperti tiada insurans, tiada lesen memandu atau mempamerkan lesen kenderaan motor (LKM) palsu.

     
     
  • JPJ keluarkan 3,910 kompaun terhadap kenderaan S’pura yang tiada RFID VEP – kutipan saman RM1.173j

    JPJ keluarkan 3,910 kompaun terhadap kenderaan S’pura yang tiada RFID VEP – kutipan saman RM1.173j

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan 3,910 saman berjumlah RM1.173 juta terhadap kenderaan persendirian dari Singapura kerana gagal memasang tag RFID Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) yang telah dikuatkuasakan. Saman-saman tersebut dikeluarkan dari 1 Julai hingga 20 Oktober 2025.

    Menurut Pengarah Penguatkuasaan Kanan JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan, setiap saman yang dikenakan dengan denda RM300 itu dikeluarkan di tiga lokasi penguatkuasaan di Johor, iaitu 1,765 saman di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), 2,064 di CIQ Sultan Abu Bakar, dan 81 di Taman Daya, seperti dilaporkan oleh Bernama.

    “Kami mengenakan denda maksimum dan mengarahkan pemandu dari Singapura untuk membuat bayaran serta-merta,” katanya. Beliau menambah bahawa penguatkuasaan pada masa ini hanya menyasarkan kenderaan persendirian, namun sebanyak 1,269 notis peringatan turut dikeluarkan kepada kenderaan milik syarikat dalam tempoh yang sama.

    JPJ keluarkan 3,910 kompaun terhadap kenderaan S’pura yang tiada RFID VEP – kutipan saman RM1.173j

    Muhammad Kifli berkata operasi tersebut merupakan satu kejayaan besar, memandangkan sebelum ini terdapat cabaran dalam mengutip saman daripada pemandu Singapura yang sering menangguh atau mengelak daripada membuat bayaran selepas pulang ke negara mereka.

    “Dengan mewajibkan bayaran segera dan memberi amaran bahawa kenderaan boleh disita sekiranya ingkar, langkah ini terbukti berkesan apabila semua pemandu memberi kerjasama dan menyelesaikan saman dengan segera,” katanya.

    Mulai 1 Oktober tahun lalu, pemandu dari Singapura yang memasuki Malaysia diwajibkan mempunyai VEP. Tanpanya, mereka boleh dilarang masuk ke Johor atau didenda sehingga RM2,000. Sistem VEP ini menggunakan tag RFID yang dikeluarkan oleh JPJ dan berharga RM10 setiap satu.

     
     
  • Harga minyak 23-29 Okt – RON97, diesel di semenanjung diturunkan masing-masing 4 sen seliter

    Harga minyak 23-29 Okt – RON97, diesel di semenanjung diturunkan masing-masing 4 sen seliter

    Kementerian Kewangan (MoF) mengumumkan bahawa bagi minggu bertarikh 23 hingga 29 Oktober 2025, harga runcit petrol RON97 diturunkan sebanyak empat sen kepada paras RM3.14 seliter.

    Untuk harga RON95 tanpa subsidi, ia masih dikekalkan pada RM2.60 seliter untuk sepanjang Oktober ini. Manakala di bawah program Budi95 yang dikuatkuasakan sejak 30 September lalu, RON95 masih ditetapkan pada harga RM1.99 seliter.

    Bagi harga diesel pula, bagi pasaran Semenanjung Malaysia, ia turut diturunkan sebanyak empat sen seliter menjadi RM2.89 seliter. Manakala harga diesel di Sabah dan Sarawak masih kekal pada RM2.15 seliter.

    Pada 23 Sept lalu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan memberi jaminan bahawa harga subsidi petrol RON95 pada RM1.99 seliter di bawah program Budi95 akan dikekalkan dalam tempoh terdekat selepas pelaksanaannya. Walau bagaimana pun, katanya, kerajaan tidak menjamin harga tersebut akan kekal sepanjang masa kerana ia bergantung keadaan semasa.

     
     
  • Mobi, Trek Rides, Kummute diselaras dengan aplikasi bersepadu Rapid On-Demand mulai 1 Nov 2025

    Mobi, Trek Rides, Kummute diselaras dengan aplikasi bersepadu Rapid On-Demand mulai 1 Nov 2025

    Jika sebelum ini, pengguna Rapid KL On-Demand diberikan tiga pilihan aplikasi iaitu Mobi, Trek Rides dan Kummute untuk menempah slot tempat duduk bagi perkhidmatan van perantara ini. Namun bermula 1 November 2025, Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) selaku pengendali van Rapid KL On-Demand di Lembah Klang akan melaksanakan penambahbaikan menyeluruh terhadap perkhidmatan ini melalui penyelarasan aplikasi tempahan.

    Menurut syarikat ini, langkah strategik bagi menyelaraskan tiga aplikasi tempahan sedia ada kepada satu aplikasi bersepadu iaitu Rapid On-Demand, bagi memudahkan proses tempahan dan mempertingkat pengalaman pengguna.

    Di mana penyelarasan ini akan dilaksanakan secara berfasa, bermula dengan zon yang kini menggunakan aplikasi Mobi dan Trek Rides (Fasa 1) pada 1 November 2025, diikuti dengan zon yang menggunakan aplikasi Kummute (Fasa 2) pada pertengahan November 2025.

    Mobi, Trek Rides, Kummute diselaras dengan aplikasi bersepadu Rapid On-Demand mulai 1 Nov 2025

    Sebelum ini, pengguna perlu memuat turun tiga aplikasi berasingan mengikut zon perkhidmatan. Dengan penyatuan ini, mereka kini hanya perlu menggunakan satu aplikasi sahaja untuk membuat tempahan Rapid On-Demand di semua zon yang dikendalikan oleh Rapid KL, menjadikan pengalaman perjalanan lebih mudah, pantas dan mesra pengguna.

    “Penyatuan semua aplikasi kepada satu platform Rapid On-Demand merupakan langkah penting dalam usaha kami memudahkan pengalaman perjalanan pengguna. Sebelum ini, pengguna perlu memuat turun dan menggunakan aplikasi berbeza mengikut zon, yang boleh menimbulkan kekeliuan. Dengan aplikasi tunggal ini, proses tempahan menjadi lebih ringkas, pantas dan konsisten di semua kawasan liputan,” kata Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus, Ku Jamil Zakaria.

    Selain penyeragaman aplikasi, Ku Jamil turut berkata, peluasan zon juga akan dilaksanakan secara berperingkat bagi meningkatkan kesalinghubungan dan memudahkan pengguna ke pelbagai destinasi tanpa perlu menukar perkhidmatan.

    Zon baharu melibatkan 50 buah van dan yang digabungkan adalah seperti berikut:

    Klik untuk besarkan

    “Pada masa yang sama, penggabungan zon dilakukan bagi memperluas capaian perkhidmatan dan meningkatkan kesalinghubungan antara kawasan utama. Langkah ini memastikan pengguna dapat bergerak ke lebih banyak destinasi dengan lebih mudah tanpa perl menukar perkhidmatan, sekaligus menjadikan pengangkutan awam pilihan yang lebih efisien dan mesa pengguna,”jelas Ku Jamil lagi.

    Aplikasi Rapid On- Demand ini boleh dimuat turun secara percuma di Google Play Store dan Apple App Store. Pengguna sedia ada dinasihatkan untuk mengemas kini atau beralih kepada aplikasi baharu ini sebelum 1 November bagi memastikan akses perkhidmatan berjalan lancar. Promosi tambang RM1 juga mash diteruskan kepada semua pengguna.

    Antara kaedah pembayaran yang diterima ialah menggunakan kad Touch ‘n Go, kad Konsesi MyRapid, kad debit atau kredit, Pas Perjalanan OKU Smile dan Pas Perjalanan Tanpa Had (My50, MyCity, MyTourist, Pas Famili).

     
     
  • Penggunaan keretapi untuk mengangkut barang perlu untuk kurangkan jumlah lori atas jalan – Loke

    Penggunaan keretapi untuk mengangkut barang perlu untuk kurangkan jumlah lori atas jalan – Loke

    Menteri Pengangkutan Anthony Loke menegaskan bahawa penggunaan keretapi untuk mengangkut barangan perlu diperluaskan bagi mengurangkan jumlah lori di atas jalan raya, seterusnya dapat mengurangkan risiko kemalangan dan juga kesesakan.

    “Saya menekankan dasar ‘Road to Rail’ mesti diperhebatkan dan hujah menggunakan lori ‘lebih murah’ mesti diperbetulkan,” katanya dalam satu hantaran Facebook yang dibuat petang tadi.

    Menurutnya lagi kos menggunakan lori “lebih murah” adalah kerana ada yang menggunakan perkhidmatan tersebut dengan membawa lebih muatan dari yang dibenarkan.

    “Setiap kali barangan diangkut melalui kereta api menggunakan 40 gerabak, 80 lori dapat dikurangkan di jalan raya kita, sekaligus mengurangkan risiko kemalangan dan juga kesesakan jalan raya,” tambahnya lagi.

    Dalam hantaran yang sama Loke memberitahu bahawa beliau mempengerusikan mesyuarat bersama Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan Railway Assets Corporation (RAC) petang tadi berkenaan usaha mempertingkatkan penggunaan kereta api untuk mengangkut barangan tersebut.

     
     
  • Yamaha R25 2025 dilancarkan untuk pasaran Malaysia – klac assist & slip, sambungan Y-Connect, RM24k

    Yamaha R25 2025 dilancarkan untuk pasaran Malaysia – klac assist & slip, sambungan Y-Connect, RM24k

    Yamaha R25, versi dipertingkat yang sudah diperkenalkan di beberapa negara awal tahun ini sekarang sudah tiba di Malaysia, ditawarkan dalam pilihan dua warna iaitu Pearl Blu dan Racing Blu, dijual pada harga RM23,900 tidak termasuk insurans.

    Perubahan paling utama bermula di bahagian penampilan, dengan semua panel badannya adalah baru, dan mempunyai bukaan udara berbentuk M pada fairing hadapan, seperti R9 dan R1 GYTR. Lampu hadapan adalah lebih nipis, dan kini menggunakan unit LED projector, bersama jalur LED. Lampu belakang juga diubah menggunakan bentuk yang menegak.

    Enjin secara asasnya masih lagi unit dua silinder selari empat strok 249.55 cc DOHC empat injap, tetapi kini mendapat penarafan emisi Euro 5+ hasil daripada perubahan yang dibuat pada kebuk pembakaran, salur kemasukan udara serta ekzos. Kuasanya masih lagi 35.4 hp pada 12,000 rpm dan tork 22.6 Nm pada 10,000 rpm.

    Membantu aspek prestasi pada model baru ini adalah klac jenis slip & assist, yang bukan sahaja menjadikan tarikan tuil lebih ringan, tetapi juga mengelakkan gelinciran pada roda belakang apabila menurunkan gear secara ekstrem. Transmisi adalah unit enam kelajuan.

    Bentuk meter digital LCD pada R25 ini masih kelihatan sama, tetapi ia sekarang sudah dilengkapi dengan sistem sambungan kepada telefon pintar, Y-Connect yang mampu memaparkan notifikasi panggilan serta akses informasi tambahan pada telefon.

    Kelengkapan lain yang tersedia pada R25 2025 adalah termasuk pengecas USB-A, tangki bahan api 14 liter, fork USD, ABS dual-channel, brek cakera hadapan dan belakang serta rim 17 inci dengan tayar 110/70 di hadapan dan 140/70 di belakang. Berat keseluruhan adalah 166 kg.

     
     
  • Toyota Corolla Cross Nasu Edition – model konsep lebih lasak dengan roda trak pikap; ke SEMA 2025

    Toyota Corolla Cross Nasu Edition – model konsep lebih lasak dengan roda trak pikap; ke SEMA 2025

    Toyota bakal mempamerkan Corolla Cross yang diubahsuai sebagai kenderaan lebih lasak digelar sebagai Corolla Cross Nasu Edition di acara budaya automotif terbesar di Amerika Syarikat iaitu SEMA bagi edisi 2025, yang bakal berlangsung bulan hadapan.

    Model konsep ini dibina oleh pasukan Pembangunan Komponen Servis dan Aksesori Toyota (SPAD) Amerika Syarikat, dengan pembinaan komponen-komponen khas menggunakan rekaan CAD, pencetak 3D, pemesinan CNC dan pelbagai lagi. Sesuai dengan namanya yang diambil dari Gunung Nasu di Jepun yang popular sebagai destinasi untuk aktiviti seperti mendaki dan pelbagai aktiviti lasak lain, Corolla Cross Nasu Edition ini diberikan pelbagai tingkat taraf membolehkan ia meredah laluan off-road serta menampilkan rupa lebih lebih lasak.

    Badan Corolla Cross Nasu Edition ini ditinggikan lagi menerusi pemadanan komponen suspensi yang dibuat khas hanya untuknya, bersama set rim aloi yang diambil dari trak pikap Toyota, dibalut dengan tayar All-Terrain Toyo Open Country A/T III.

    Toyota Corolla Cross Nasu Edition – model konsep lebih lasak dengan roda trak pikap; ke SEMA 2025

    Kemudian ia menerima kit badan khas yang terdiri dari pelindung-pelindung badan pada semua perumah roda yang lebih ‘gemuk’, bampar hadapan dan belakang dengan panel bawah yang nampak lebih lasak serta penutup bonet hadapan dengan skup udara. ‘Nasu’ dalam bahasa Jepun juga bermaksud ‘Terung’, dan sebab itulah badan Corolla Cross Nasu Edition ini dibalut dengan pelekat berwarna ungu.

    Atas bumbung, Corolla Cross ini dipadankan dengan set rak bumbung yang menampilkan bakul kargo dan juga rak basikal yang membawa basikal binaan khas bagi memperingati juara dunia junior basikal bukit, Asa Vermette. Manakala pada ruang but, ia dilengkapi dengan sistem laci binaan khas, peti sejuk, dan juga tray gelangsar bagi memudahkan penyimpanan barang dibuat untuk aktviti yang mengambil masa lebih lama.

    Aspek pencahayaan juga diambil perhatian di mana Corolla Cross Nasu Edition ini diberikan bar lampu tambahan, kemasan bendul pintu menyala, lampu puddle dan juga lampu pada bendul pintu ruang kargo belakang yang boleh menerangi kawasan perkhemahan.

    Tiada perubahan dibuat pada unit rangkaian kuasa Corolla Cross Nasu Edition, di mana ia masih dijana oleh sistem hibrid yang menggandingkan enjin petrol 2.0 liter empat-silinder kitaran Atkinson bersama tiga motor elektrik, menghasilkan kuasa keseluruhan 196 hp dan memacu semua roda.

     
     
  • Volvo EX90 6-tempat duduk akan tiba di M’sia tahun depan? SUV elektrik dengan tempat duduk kapten

    Volvo EX90 6-tempat duduk akan tiba di M’sia tahun depan? SUV elektrik dengan tempat duduk kapten

    Meskipun Volvo EM90 yang menggunakan asas daripada Zeekr 009 masih eksklusif untuk pasaran China, jenama premium dari Sweden itu berkemungkinan menawarkan pilihan alternatif yang lebih sesuai dengan citarasa tempatan, iaitu Volvo EX90 versi 6-tempat duduk. Walaupun ia merupakan sebuah SUV dan bukannya MPV, model ini menggunakan elektrik sepenuhnya dan menawarkan tahap praktikaliti yang hampir setanding.

    Versi 6-tempat duduk ini dijangka tiba di Malaysia dalam masa terdekat, seperti yang pernah digambarkan oleh Pengarah Urusan Volvo Car Malaysia, Chris Wailes, awal tahun ini. Di Thailand – di mana gambar-gambar ini diambil – varian ini merupakan yang paling laris dalam barisan EX90, mengatasi model 7-tempat duduk, dengan ramai pelanggan datang dari segmen pemilik MPV yang mahukan naik taraf.

    Sama ada strategi sama ini akan berjaya atau tidak di Malaysia, kita masih belum dapat pastikan, namun rekod di pasaran jiran itu menunjukkan potensi yang kukuh. Seperti namanya, Volvo EX90 6 Seater hadir dengan susun atur enam tempat duduk, menggantikan bangku tengah biasa dengan dua kerusi kapten individu yang dilengkapi perehat tangan boleh laras serta tempat letak cawan tersembunyi.

    Volvo EX90 6-tempat duduk akan tiba di M’sia tahun depan? SUV elektrik dengan tempat duduk kapten

    Susun atur ini jauh lebih mewah berbanding konfigurasi standard dan ia membantu mengatasi kekurangan utama EX90 sebagai kenderaan eksekutif atau untuk pemandu peribadi. Tambahan pula, Volvo memang dikenali dengan rekaan tempat duduk terbaik dalam industri, terutamanya tempat duduk individu yang ergonomik dan selesa – menjadikan model ini cukup menonjol dalam kelasnya.

    Namun begitu, tahap kemewahan kerusi ini masih belum menyamai ciri-ciri mewah MPV China spesifikasi tinggi. Kerusi tengah masih dilaras secara manual, tanpa fungsi urut atau rebahan penuh dengan satu sentuhan. Pintu belakang juga tidak mempunyai fungsi kuasa dan tiada skrin hiburan besar untuk penumpang belakang.

    Sebaliknya, reka bentuk kerusi kapten yang lebih langsing memberi ruang laluan tengah yang memudahkan akses ke barisan ketiga tanpa perlu melipat kerusi tengah. Ini amat berguna untuk ibu bapa yang ingin membiarkan kerusi kanak-kanak terpasang sepanjang masa, atau untuk memudahkan anak-anak keluar masuk ke barisan belakang tanpa mengganggu penumpang lain.

    Selain praktikaliti, aspek imej dan gaya turut memainkan peranan. Volvo dilihat mahu menonjolkan EX90 sebagai pilihan yang lebih sofistikated untuk golongan VIP – lebih menarik untuk dilihat turun dari sebuah SUV elegan berbanding MPV kotak tradisional. Walaupun ini bergantung kepada persepsi, ia tetap menjadi faktor tarikan untuk sesetengah pelanggan.

    Dari segi harga, EX90 6-tempat duduk dijangka tidak jauh berbeza daripada varian 7-tempat duduk yang kini dijual di Malaysia pada harga RM442,888. Di Thailand, kedua-dua konfigurasi tempat duduk ditawarkan pada harga yang sama, memberi kebebasan penuh kepada pelanggan untuk memilih mengikut keperluan mereka.

    GALERI: Volvo EX90 6-tempat duduk pasaran Thailand

     
     
  • Zeekr 7X facelift didedah – sistem elektrik 900V, jarak gerak CLTC 802 km, pengecasan DC 6C, 795 PS

    Zeekr 7X facelift didedah – sistem elektrik 900V, jarak gerak CLTC 802 km, pengecasan DC 6C, 795 PS

    Zeekr secara rasmi mendedahkan model facelift bagi SUV elektrik 7X di pasaran China, meskipun model asalnya baru sahaja diperkenalkan kurang setahun yang lalu. Perubahan luaran nampak sederhana, tapi di sebaliknya terdapat naik taraf teknikal yang cukup besar.

    Melihat pertamanya kepada reka bentuk, Zeekr 7X kini tampil dengan bampar depan baru yang lebih agresif, lengkap dengan salur udara di bahagian penjuru, mirip seperti yang dilihat pada model 007 GT wagon. Di belakang pula, lokasi nombor plat telah dialihkan ke bahagian tailgate, tepat di bawah bar lampu belakang yang merentangi keseluruhan lebar kenderaan.

    Ciri paling ikonik pada 7X, iaitu lampu hadapan Stargate yang boleh disesuaikan dengan 1,831 LED, masih dikekalkan. Kini, jalur lampu penuh di bawahnya akan berubah menjadi warna biru apabila mod pemanduan automatik diaktifkan – satu ciri yang turut boleh dilihat pada cermin sisi dan lampu bampar belakang.

    Zeekr 7X facelift didedah – sistem elektrik 900V, jarak gerak CLTC 802 km, pengecasan DC 6C, 795 PS

    Bahagian dalam kabin tidak banyak berubah kecuali penambahan pilihan warna baru – jingga dan ungu. Paparan digital 13.02 inci, skrin infotainmen mini-LED bersaiz 16 inci serta beberapa ciri eksklusif untuk pasaran China seperti tempat duduk belakang boleh baring lengkap dengan ottoman, fungsi urut, meja lipat dan satu lagi skrin OLED 13 inci masih kekal ditawarkan.

    Perubahan paling besar terletak pada bahagian sistem kuasa. Zeekr 7X kini menggunakan motor 900 volt yang dinaik taraf dari model 001 tahun 2026. Untuk varian pacuan roda belakang (RWD) dengan satu motor, kuasa kini meningkat kepada 503 PS (370 kW) dan 535 Nm. Ini membolehkan ia memecut dari 0 ke 100 km/j dalam masa 5.4 saat, atau 5.1 saat untuk varian jarak jauh. Bagi versi pacuan semua roda (AWD) dengan dua motor, kuasa melonjak sehingga 795 PS (585 kW), membolehkannya melakukan pecutan 0-100 km/j sepantas 2.98 saat.

    Dari aspek jarak pemanduan, model asas masih menggunakan bateri 75 kWh jenis lithium iron phosphate (dikenali sebagai Golden Brick), namun dengan sedikit peningkatan jarak sehingga 620 km mengikut kitaran CLTC China. Untuk varian jarak jauh, bateri yang digunakan adalah 103 kWh jenis NMC (nickel-mangan-kobalt), dengan jarak maksimum mencecah 802 km bagi RWD dan 715 km untuk AWD.

    Zeekr 7X facelift didedah – sistem elektrik 900V, jarak gerak CLTC 802 km, pengecasan DC 6C, 795 PS

    Zeekr 7X juga mengekalkan keupayaannya untuk pengecasan pantas DC. Model asas menyokong pengecasan “5.5C”, iaitu sehingga 450 kW, membolehkan pengecasan dari 10% hingga 80% dilakukan dalam hanya 10.5 minit. Untuk varian jarak jauh, kadar pengecasan kini ditingkatkan ke “6C” (sekitar 650 kW) hasil penggunaan sistem elektrik 900 volt sepenuhnya, dengan masa pengecasan dari 10% ke 80% hanya mengambil masa 10 minit.

    Dari sudut keselamatan, semua varian kini didatangkan standard dengan sistem bantuan pemandu G-Pilot H7 oleh Geely, yang dikuasakan oleh cip Nvidia Drive Thor-U terkini. Dengan penggunaan sensor lidar di sekeliling, Zeekr 7X kini menyokong pemanduan automatik tahap tinggi dari pintu ke pintu serta fungsi parkir automatik kawalan jauh. Zeekr 7X versi facelift ini akan dilancarkan secara rasmi di China pada 28 Oktober.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.67 (0.00)
EURO 5 B7 RM4.87 (0.00)
Last Updated Jun 11, 2026