Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Tambang feri Pulau Pinang percuma sempena Deepavali – 20 Okt, tunjuk Mykad/MyKid sahaja

    Tambang feri Pulau Pinang percuma sempena Deepavali – 20 Okt, tunjuk Mykad/MyKid sahaja

    Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) dan Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB) telah mengumumkan bakal menawarkan tambang feri percuma sempena sambutan Hari Deepavali.

    Kempen tambang percuma ini diberikan kepada pejalan kaki dan penunggang motosikal/basikal yang menaiki feri dari Pangkalan Sultan Abdul Halim di Butterworth ke Pangkalan Raja Tun Uda di pulau, dan sebaliknya, pada 20 Oktober.

    Perkhidmatan percuma ini khas untuk warganegara Malaysia, dan anda perlu menunjukkan MyKad atau MyKid untuk menikmati keistimewaan tersebut.

     
     
  • Proton eMas 5 — tanggapan awal pemanduan ringkas

    Proton eMas 5 — tanggapan awal pemanduan ringkas

    Sudah banyak maklumat berkaitan Proton eMas 5 (yang diambil dari model kembarnya, Geely Xingyuan) untuk pasaran tempatan telah kita ketahui. Paling tidak, maklumat rasmi berkaitan varian paling tinggi Premium sudah pun disahkan. Harganya pula sudah diberi bayangan ketika model hatchback segmen B ini mula dibuka untuk tempahan.

    Bagi varian paling asas Prime, diumumkan harga anggarannya RM60,000, sementara varian Premium yang paling lengkap pula dengan anggaran RM80,000 — menjadikannya EV paling murah di Malaysia ketika ini, dan rasa ingin tahu ke atasnya juga semakin meningkat disebabkan itu.

    Mengikut perancangan, Proton eMas 5 akan dilancarkan dalam masa terdekat. Dan, pengesahan harga akhir akan diumumkan kelak. Tetapi ada satu lagi kemaskini yang ingin kami bawakan kepada anda: awal minggu ini kami berkesempatan untuk memandu uji secara ringkas eMas 5 di dalam litar ujian Proton, dan itu sedikit sebanyak memberikan gambaran tentang penawaran aspek pemanduan EV tersebut.

    Unit yang tersedia di litar ujian Proton untuk tujuan ini hanya ada satu, varian Proton eMas 5 Premium yang paling lengkap. Sebelum ke pengalaman pemanduannya, elok kita lihat dulu perincian spesifikasi varian ini, seperti yang telah didedahkan oleh Proton ketika taklimat pra-tonton model tersebut awal Ogos lalu.

    Baca selanjutnya

     
     
  • Polis beri diskaun saman 50% pada 17-19 Okt di Politeknik Merlimau, 18-19 Okt di MITC Ayer Keroh

    Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Melaka bakal menawarkan pengurangan bayaran saman trafik sebanyak 50% bagi kesalahan terpilih yang ditawarkan mulai hari ini (17 Okt) hingga 19 Okt 2025. Ia adalah sempena dengan penganjuran Program Madani Rakyat 2025 Melaka. Di mana orang ramai boleh mendapatkan diskaun saman trafik terpilih itu di ruang pameran PDRM yang dibuka di lokasi acara iaitu di Politeknik Merlimau, Melaka.

    Bukan itu sahaja, PDRM juga menawarkan diskaun saman 50% untuk orang ramai yang berkunjung ke Melaka International Trade Centre (MITC), Ayer Keroh pada 18 hingga 19 Okt (Sabtu & Ahad ini).

    Walau bagaimana pun, anda dinasihatkan agar membuat semakan awal melalui portal https://mybayar.rmp.gov.my dan aplikasi MyBayar PDRM bagi melancarkan proses pembayaran saman nanti.

    Seperti amalan sebelum ini, pemberian diskaun saman tersebut tidak ditawarkan untuk kesalahan seperti saman lampu isyarat merah, saman menggunakan lorong kecemasan, saman memotong secara berbahaya, saman memotong di garisan kembar, saman kemalangan, saman tidak boleh kompaun (NC), saman bicara mahkamah, saman melibatkan kenderaan berat, saman ubahsuai ekzos dan saman berstatus Op Selamat tahun semasa.

    Jadi, jika anda berada di sekitar Melaka, jangan lupa ambil peluang ini untuk mendapatkan kadar diskaun bagi saman trafik terpilih. Sila lunaskan tunggakan saman yang ada bagi mengelakkan nama disenarai hitam atau disekat untuk pembaharuan cukai jalan atau lesen memandu.

     
     
  • PLUS, Yinson Greentech lancar Hab EV pertama di Malaysia – R&R Seremban Selatan, siap awal 2027

    PLUS, Yinson Greentech lancar Hab EV pertama di Malaysia – R&R Seremban Selatan, siap awal 2027

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS), menerusi kerjasama strategik bersama Yinson GreenTech, telah melancarkan majlis pecah tanah bagi pembangunan Hab Pengecasan Kenderaan Elektrik (EV) Bersepadu Pertama di Malaysia (Hab EV), bertempat di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban (arah selatan) di Lebuhraya Utara-Selatan.

    Dengan anggaran kos lebih kurang RM12 juta, Hab EV ini dibina di atas tanah seluas satu ekar dijangka akan siap pada awal tahun 2027. Majlis pecah tanah ini telah disempurnakan oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dengan diiringi Pengerusi PLUS Dato’ Mohamad Nasir Ab. Latif, Pengarah Urusan PLUS Datuk Nik Airina Nik Jaffar, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Yinson Holdings Berhad, Lim Han Weng dan Ketua Pegawai Eksekutif Yinson GreenTech, Lim Chern Yuan.

    Menurut PLUS, projek ini merupakan hasil usaha sama strategik antara sektor awam dan swasta di bawah penyelarasan Kementerian Kerja Raya (KKR) serta pemantauan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), yang berperanan memastikan pembangunan infrastruktur lebuh raya negara kekal efisien, moden dan mampan.

    PLUS, Yinson Greentech lancar Hab EV pertama di Malaysia – R&R Seremban Selatan, siap awal 2027

    Pembangunan ini bakal merevolusikan konsep kawasan rehat lebuh raya dengan mengintegrasikan teknologi pengecasan pantas EV bersama ekosistem perkhidmatan sampingan yang moden dan dinamik. Inisiatif ini sekali gus memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju infrastruktur lebuh raya lestari di rantau Asia Tenggara.

    Hab EV bersepadu pertama di R&R Seremban ini akan dilengkapi dengan 20 poin kemudahan pengecasan pantas DC berkapasiti tinggi sehingga 350 kW yang membolehkan pemandu EV mengecas kenderaan mereka dalam masa yang singkat antara 20 hingga 30 minit. Turut disediakan ialah ruang perkhidmatan F&B, termasuk kemudahan pandu lalu, kawasan parkir yang luas untuk kenderaan bukan EV serta kemudahan asas seperti tandas awam dan surau bagi keselesaan serta kemudahan pengguna lebuh raya.

    Reka bentuk Hab EV ini juga telah disediakan dengan infrastruktur solar, membuktikan komitmen Kerajaan terhadap amalan tenaga boleh diperbaharui. Infrastruktur seperti Hab EV ini bukan sahaja menyokong kemudahan perjalanan rakyat, malah akan menjana pertumbuhan sosio-ekonomi negara dari aspek menarik pelaburan domestik serta membuka peluang pekerjaan kepada rakyat. Kini terdapat 140 poin pengecasan pantas di seluruh lebuh raya.

    “Infrastruktur seperti ini bukan sahaja menyokong kemudahan perjalanan rakyat, malah akan menjana pertumbuhan sosio-ekonomi negara dari aspek menarik pelaburan domestik serta membuka peluang pekerjaan kepada rakyat. Kejayaan projek ini adalah hasil kerjasama yang erat antara sektor awam dan swasta, di mana dasar progresif disediakan oleh Kerajaan, pelaksanaan dijayakan oleh syarikat konsesi lebuh raya serta pemain industri, dan manfaat akhirnya sampai terus kepada rakyat,” kata Alexander ketika berucap dalam majlis berkenaan.

    Mohamad Nasir pula berkata, “PLUS komited untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG) sebanyak 35% menjelang tahun 2030, ke arah Sifar Bersih menjelang 2050. Pembangunan Hab Pengecasan kenderaan elektrik (EV) ini adalah bukti nyata komitmen tersebut. Sejak tahun 2023, PLUS telah mengambil langkah proaktif dengan membangunkan dan melaksanakan infrastruktur pengecasan pantas bagi kenderaan elektrik di sepanjang rangkaian lebuh raya kami.

    “Setakat ini, sebanyak 114 poin pengecasan pantas telah berjaya dibina bersama operator utama negara, melebihi sasaran asal sebanyak 100 poin dan disiapkan setahun lebih awal daripada jadual. Usaha ini akan menyumbang kepada pencapaian 350 poin pengecasan terkumpul menjelang tahun 2028.”

    Tambahnya, lokasi Hab EV ini dipilih di R&R Seremban (arah selatan) bagi memberi nilai tambah kepada pembangunan semula R&R tersebut, yang telah melakar sejarah sebagai R&R Lestari Pertama di Malaysia. Hab EV ini juga menandakan permulaan inisiatif yang lebih meluas bagi menyediakan rangkaian lebuh raya Malaysia untuk memenuhi keperluan mobiliti masa hadapan.

     
     
  • ASEAN 2025: Polis keluarkan peringatan penutupan sementara lebuhraya, jalan utama di KL – 26-28 Okt

    Klik untuk besarkan

    Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman telah mengeluarkan info grafik peringatan (rujuk foto di atas) untuk orang ramai sempena dengan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

    Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, berkata pihaknya akan menempatkan 1,111 petugas trafik membabitkan 91 pegawai dan 1,020 anggota sepanjang persidangan berlangsung. Di mana penugasan dijalankan termasuk mengiringi kenderaan orang kenamaan, mengawal lalu lintas dan menguatkuasakan undang-undang jalan raya sepanjang Sidang Kemuncak ASEAN 2025 berlangsung, laporan Bernama.

    “Bagaimanapun, raptai pergerakan motoked membabitkan laluan dari Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang ke hotel penginapan di sekitar Kuala Lumpur (KLCC) dan Seri Negara akan bermula hari ini hingga 24 Oktober.

    “Malaysia pula akan mula menerima kehadiran delegasi bermula 25 hingga 28 Oktober yang mana penutupan jalan secara berperingkat dan lencongan jalan membabitkan enam lebuhraya serta 25 jalan utama,” katanya.

    ASEAN 2025: Polis keluarkan peringatan penutupan sementara lebuhraya, jalan utama di KL – 26-28 Okt

    Justeru, beliau menasihati pengguna tidak melalui laluan terbabit dengan penutupan atau lencongan dan menggunakan jalan alternatif bagi mengelak kesesakan lalu lintas.

    Selain itu, katanya, pengguna jalan raya juga perlu merancang perjalanan dengan lebih awal, patuhi arahan petugas trafik yang bertugas di lokasi dan digalak menggunakan pengangkutan awam seperti monorel, LRT, MRT dan bas.

    Maklumat penutupan jalan akan dikemas kini dari semasa ke semasa dan orang ramai boleh melayari portal rasmi ASEAN 2025 di www.myasean2025.my atau mengikuti laman Facebook rasmi, Aseanmy untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini.

    Lebuhraya utama yang terlibat ialah:

    • Lebuhraya MEX
    • Lebuhraya Utara-Selatan (dari Sungai Buloh ke Jalan Duta)
    • Lebuhraya Elite (dari KLIA ke Putrajaya>
    • Lebuhraya NKVE (dari Subang ke Jalan Duta)
    • Lebuhraya Guthrie
    • Lebuhraya KL-Seremban (dari Sungai Besi ke pusat bandar)

    Jalan-jalan utama dan laluan penghubung yang akan mengalami penutupan ialah:

    • Jalan Ampang
    • Jalan Sultan Ismail
    • Jalan P. Ramlee
    • Jalan Pinang
    • Jalan Binjai
    • Persiaran KLCC
    • Jalan Bukit Bintang
    • Jalan Imbi
    • Jalan Perak
    • Jalan Parlimen
    • Jalan Damansara
    • Jalan Istana
    • Jalan Tun Razak
    • Jalan Kuching
     
     
  • Selamat ulang tahun ke-25, Honda Malaysia — pandu uji dan menangi hadiah RM1 juta dan enam kereta!

    Selamat ulang tahun ke-25, Honda Malaysia — pandu uji dan menangi hadiah RM1 juta dan enam kereta!

    Tahun ini, Honda Malaysia meraikan sambutan Jubli Perak sempena ulang tahunnya yang ke-25. Dan, sebagai tanda Terima Kasih kepada semua pelanggan yang telah menyokong dan memberi kepercayaan kepada jenama ini sepanjang tempoh tersebut, ada sesuatu yang istimewa menanti anda.

    Apa yang perlu anda lakukan hanyalah memandu uji mana-mana model Honda di mana-mana pengedar sah Honda di seluruh Malaysia antara 1 Oktober hingga 31 Disember nanti, dan anda akan menerima satu penyertaan cabutan bertuah. Sekiranya membeli dan mendaftar mana-mana model Honda, anda akan layak menerima lapan penyertaan!

    Ini akan menjadi peluang anda untuk memenangi hadiah keseluruhan yang terkumpul bernilai sehingga RM1 juta*, termasuk enam buah kereta Honda* yang turut akan ditawarkan sebagai habuan! Dua pemenang akan diumumkan setiap bulan melalui laman Facebook rasmi Honda Malaysia serta melalui rangkaian pengedarnya.

    Anda pemilik sedia ada kereta Honda? Dapatkan tambahan rebat/baucar servis bernilai RM2,000* jika anda, ibu bapa atau pasangan bahkan anak anda membeli mana-mana model Honda (motosikal juga) antara 1-31 Oktober nanti.

    Ingin naik taraf kereta dari jenama nasional? Beli sebuah City atau WR-V dalam bulan Oktober dan anda akan menerima tambahan rebat/baucar servis sebanyak RM1,500*. Bekerja sebagai penjawat awam? Nikmati rebat tambahan RM1,500* untuk sebuah City, Civic atau HR-V baharu dari 1-31 Oktober ini.

    Dengan semua ganjaran tersebut diambil kira, anda akan jimat sehingga RM17,000* untuk sebuah CR-V, atau jimat sehingga RM10,000* untuk City, Civic dan WR-V, serta hingga RM6,000* untuk City Hatchback dan sehingga RM8,000* untuk HR-V baharu.

    Honda Malaysia turut menawarkan pembiayaan lanjutan yang akan menjadikan ansuran bulanan serendah RM488* bagi tahun pertama. Angka terendah itu sah untuk model City, City Hatchback dan WR-V. Untuk HR-V baharu ia bermula dari RM788*, manakala untuk Civic ialah RM888* dan untuk CR-V ialah RM988*.

    Kunjungi bilik pameran Honda yang berdekatan sekarang dan pandu uji model kegemaran anda. Juga boleh layari laman web, Facebook atau Instagram Honda Malaysia untuk maklumat lanjut.

    *Tertakluk kepada terma dan syarat.

     
     
  • Hyundai Staria CKD – unit pertama keluar dari kilang Inokom Kulim, jualan sudah bermula; RM197k-RM210k

    Hyundai Staria CKD – unit pertama keluar dari kilang Inokom Kulim, jualan sudah bermula; RM197k-RM210k

    Hyundai Motor Malaysia (HMY) mengumumkan bahawa unit pertama MPV besar Hyundai Staria yang dipasang secara tempatan (CKD) di Malaysia sudahpun mula keluar dari kilang Inokom yang terletak di Kulim Kedah. Tempahan bagi model ini telahpun dibuka minggu lalu, dan kini secara rasmi jualannya juga diumumkan sudah bermula.

    Harga bagi Staria CKD ini masih lagi sama seperti versi CBU yang dilancarkan pada pasaran tempatan pada Julai lalu. Ia ditawarkan dalam versi 10-tempat duduk dengan tiga varian iaitu Style berharga RM179,888, diikuti varian Prime berharga RM196,888 dan Prestige berharga RM209,888.

    Manakala satu-satunya versi tujuh-tempat duduk ditawarkan dalam varian Prestige, dijual pada harga RM267,888. Semua harga yang disebut ini adalah harga atas jalan tanpa insuran, dan setiap pembelian akan dilindungi waranti pengeluar selama lapan-tahun atau 160,000 km.

    Hyundai Staria CKD – unit pertama keluar dari kilang Inokom Kulim, jualan sudah bermula; RM197k-RM210k

    Tiada sebarang perubahan spesifikasi diumumkan, jadi bole dianggap setiap varian masih diberikan kelengkapan yang sama dengan versi CBU yang boleh anda rujuk pada PAUTAN INI. Namun HMY menyatakan Staria CKD ini datang dengan empat warna baharu iaitu Jet Black, Snow Flake White Pearl, Meteor Grey dan Stormy Sea.

    “Permulaan pengeluaran tempatan untuk Hyundai Staria adalah lebih daripada sekadar pencapaian pengeluaran. Ia mewakili keyakinan Hyundai terhadap Malaysia sebagai pasaran penting dan hab yang berkembang untuk pemasangan masa depan,” kata Eric Lee, Presiden Hyundai Motor Malaysia.

    “Daripada permulaan yang sederhana, kami telah berkembang menjadi rakan kongsi pemasangan yang dipercayai dalam rangkaian global Hyundai. Setiap kenderaan yang dihasilkan di sini direka dengan ketepatan, penjagaan dan mematuhi sepenuhnya piawaian global Hyundai, didorong sepenuhnya oleh 100% bakat Malaysia,” kata Encik Sui Keng Huat, Pengarah Urusan, Inokom Corporation Sdn Bhd.

    “Kami membuat kenyataan berani apabila kami menubuhkan Hyundai Motor Malaysia, bahawa kami Akan Kekal di Sini. Dan untuk kekal di sini bermakna kestabilan, kepercayaan dan kehadiran jangka panjang di Malaysia. Ini bermakna melabur dalam pengeluaran tempatan, bekerja berganding bahu dengan rakan kongsi kami dan kerajaan, dan yang paling penting, menunaikan janji yang telah kami buat — sambil menetapkan janji baharu untuk masa depan,” kata pengarah urusan HMM Jahabarnisa Haja Mohideen.

    Untuk anda yang membeli Staria CKD ini sekarang, ia merupakan model yang tersenarai dalam promosi akhir tahun HMY dan anda akan menerima pakej servis penyelenggaraan berkala percuma merangkumi kos alat ganti dan upah sebanyak lapan kali atau digantikan dengan tunai RM6,000, tawaran eksklusif tambahan RM5,000 untuk varian terpilih, dan pilihan baucer gaya hidup bernilai RM2,000 dalam myHyundaiRewards atau bonus RM1,500.

    GALERI: Hyundai Staria 2.2 CRDi Prestige 2025 CBU 7-tempat duduk di Malaysia

     
     
  • MG akan mulakan operasi CKD EV dan ICE di Malaysia suku pertama 2026, pasang di kilang EPMB Melaka

    MG akan mulakan operasi CKD EV dan ICE di Malaysia suku pertama 2026, pasang di kilang EPMB Melaka

    SAIC Motor Malaysia mengumumkan bahawa ia akan memulakan operasi pemasangan tempatan bagi kenderaan jenama MG di Malaysia bermula suku pertama 2026. Untuk itu syarikat berkenaan telahpun menandatangani perjanjian dengan EP Manufacturing (EPMB) yang akan memproduksi model-model elektrik penuh (EV) dan enjin pembakaran dalaman (ICE) jenama MG menerusi kilang pemasangan EPMB di Pegoh, Melaka.

    Menurut SAIC Motor Malaysia, dengan bermulanya oeprasi CKD ini ia bakal menawarkan kenderaan-kenderaan dengan harga yang lebih mampu milik, menambah lokalisasi serta akan memendekkan masa menunggu pelanggan yang menempah kereta baharu.

    Tiada sasaran produksi diumumkan kerana syarikat itu menyatakan bahawa naik atau turun jumlah produksi akan bergantung kepada permintaan pasaran. Manakala model pertama MG yang akan dipasang di Malaysia disahkan adalah EV, mungkin SUV MG S5 kerana model berkenaan dibawa ke majlis menandatangani perjanjian di Cyberjaya semalam.

    Dengan penawaran versi CKD ini harga MG S5 akan kekal kompetitif selepas kerajaan menamatkan insentiif pengecualian duti untuk EV yang diimport sepenuhnya (CBU) pada penghujung tahun ini. Buat masa sekarang MG 5S CBU dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM116,548 untuk varian asas Com yang dibekalkan dengan bateri 49 kWj, RM126,548 untuk varian Com Long Range dengan bateri 62 kWj, dan RM136,548 untuk varian tertinggi untuk varian Lux Long Range.

    “Barisan pemasangan kami akan memenuhi sepenuhnya permintaan pelanggan, memastikan pengalaman pemilikan yang lebih lancar dan pantas,” kata pengarah urusan SAIC Motor Malaysia, Emory Qi. “Paling penting, kualiti tidak boleh dipandang mudah. Setiap kenderaan yang dipasang secara tempatan akan menjalani pemeriksaan peringkat global yang ketat melalui Program Kualiti SAIC.”

    “Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan SAIC Motor, rakan kongsi OEM kedua yang dimiliki kerajaan kami, untuk melaksanakan pemasangan model MG di Malaysia. Salah satu daripadanya akan menjadi kenderaan elektrik pertama yang dipasang secara tempatan di kilang kami di Melaka. Melalui kerjasama dengan pembekal tempatan, kami akan mempercepatkan usaha lokalisasi, termasuk pemasangan pek bateri untuk kenderaan MG, sekali gus memperkukuh proposisi nilai kami dan memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada pasaran Malaysia,” kata Pengerusi Eksekutif EPMB, En. Hamidon Abdullah.

    Dalam majlis yang sama SAIC Motor Malaysia turut mengumumkan bahawa ia kini telah meluaskan lagi jaringan pengedar MG di seluruh negara kepada 26 outlet, termasuk tiga bilik pameran di Sarawak dan 18 pusat servis lain.

     
     
  • Anggota JPJ mula guna alat perakam badan (BWC) terutamanya melibatkan operasi berisiko tinggi

    Anggota JPJ mula guna alat perakam badan (BWC) terutamanya melibatkan operasi berisiko tinggi

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mula melaksanakan penggunaan alat perakam badan (BWC) bagi anggota penguatkuasanya terutamanya bagi operasi berisiko tinggi.

    Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli berkata ia bertujuan bagi memastikan tahap keselamatan anggota penguatkuasa selain menyimpan rakaman bukti sekiranya berlaku sebarang pertikaian ketika bertugas dalam sesuatu operasi, laporan Bernama

    “Hari ini (semalam) ialah hari pertama JPJ menggunakan BWC. Bermula dengan 100 unit, pengagihan dan pemakaian BWC itu akan dilakukan secara berperingkat dimulakan dengan Ibu Pejabat JPJ di Putrajaya kerana terlibat operasi khas.

    “Lebih separuh daripada perolehan itu pula diagihkan kepada JPJ di negeri-negeri lain untuk tujuan sama termasuk operasi berisiko tinggi,” katanya dalam sidang media Ops Khas JPJ Selangor di Stesen Penguatkuasa Banting malam tadi. Bagi fasa pertama, peruntukan untuk BWC ini adalah sebanyak RM2.3 juta.

    Beliau turut berkata, kerajaan juga telah meluluskan perolehan 60 pucuk senjata api baharu sebagai tambahan kepada 434 pucuk senjata api sedia ada. Ia adalah sebagai langkah penting bagi memperkukuh keberkesanan penguatkuasaan, meningkatkan tahap integriti, ketelusan serta melindungi mereka daripada tomahan dan tuduhan tidak berasas ketika menjalankan tugas.

    “Kerajaan nampak bahawa tugas-tugas anggota JPJ di lapangan agak berisiko tinggi. Senjata api baharu itu akan diperoleh dalam tahun ini juga dan saya percaya tahun depan kita akan dapat perolehan senjata api yang lain,” katanya.

    Semalam, JPJ telah melancarkan Operasi Kenderaan Lebih Muatan atau “Perang Lebih Muatan” sebagai langkah tegas memperkukuh keselamatan jalan raya dan memastikan pematuhan undang-undang oleh pengendali kenderaan barangan. Program ini dilaksanakan susulan arahan Menteri Pengangkutan melalui kerangka baharu penguatkuasaan yang memberi fokus kepada kesalahan membawa muatan berlebihan melibatkan kenderaan perdagangan.

    Aedy berkata, operasi penguatkuasaan dijalankan di seluruh negara sehingga 31 Disember 2025, sekurang-kurangnya 16 jam setiap hari. Beliau turut menegaskan bahawa tiada kompromi terhadap mana-mana pihak yang mengabaikan keselamatan dan menjejaskan kesejahteraan awam.

     
     
  • Budi95: Rakyat Malaysia dengan Lesen Memandu Singapura boleh mohon subsidi RON95 mulai esok

    Budi95: Rakyat Malaysia dengan Lesen Memandu Singapura boleh mohon subsidi RON95 mulai esok

    Kementerian Pengangkutan (MOT) memaklumkan bahawa mulai esok (16 Oktober 2025) rakyat Malaysia yang memiliki Lesen Memandu Singapura (LMS) boleh mengemukakan permohonan subsidi bersasar di bawah program Budi Madani RON95 (Budi95). Di mana permohonan terbabit boleh dibuat menerusi laman web https://budi95/esensg.jpj.gov.my.

    Menerusi kenyataan yang dikeluarkan, MOT berkata, ia adalah susulan maklum balas dari warganegara Malaysia yang bekerja di Singapura berkenaan pelaksanaan Budi195, khususnya mereka yang terlibat dalam sektor perkhidmatan seperti pemandu bas, pemandu perkhidmatan sokongan dan pekerja operasi.

    “Untuk makluman, menurut peraturan pelesenan pemandu Malaysia dan Singapura, seseorang pemandu hanya dibenarkan untuk memiliki satu lesen memandu sahaja, iaitu dari Malaysia atau Singapura. Oleh itu, warganegara Malaysia yang bekerja di Singapura, terutamanya dalam sektor yang melibatkan tugas pemanduan, terpaksa melepaskan Lesen Memandu Malaysia (LMM) untuk mendapatkan LMS, walaupun mereka berstatus warganegara Malaysia, menetap di Malaysia dan memiliki kenderaan motor berdaftar di Malaysia yang digunakan dalam negara ini,” katanya.

    Budi95: Rakyat Malaysia dengan Lesen Memandu Singapura boleh mohon subsidi RON95 mulai esok

    Tambahnya, bagi membantu Kementerian Kewangan (MOF) menilai dan mempertimbangkan permohonan daripada kumpulan ini, MOT melalui JPJ telah menyediakan laman web khas bagi membolehkan individu terlibat mendaftarkan permohonan subsidi Budi95.

    Di mana semua permohonan yang diterima akan dikemukakan kepada MOF untuk penelitian dan pertimbangan kelayakan selanjutnya. Perkara-perkara yang akan dipertimbangkan bagi permohonan adalah pemohon merupakan warganegara Malaysia, LMS yang masih sah tempoh dan status permit pekerjaan di Singapura.

    “Bagi warganegara Malaysia yang mempunyai LMS tetapi tidak lagi bekerja di Singapura atau tidak lagi tertakluk kepada keperluan peraturan domestik Singapura untuk memegang LMS, mereka boleh memohon semula LMM dengan terlebih dahulu membatalkan LMS melalui prosedur sedia ada di Singapura.

    “Permohonan mendapatkan semula LMM boleh dibuat di mana-mana Pejabat JPJ berdekatan setelah disahkan bahawa tiada sekatan, penggantungan atau sabitan dikenakan terhadap LMS tersebut oleh pihak berkuasa Singapura,” tambahnya.

    MOT turut berkata, pemohon boleh menyemak status kelayakan masing-masing melalui laman web rasmi Budi95 (www.budi95.gov.my) selepas 14 hari daripada tarikh penghantaran permohonan.

    “Untuk makluman, pertimbangan akhir ke atas setiap permohonan adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan (MOF), berdasarkan semua syarat yang telah ditetapkan di bawah program subsidi Budi95. Peraturan yang menetapkan Budi95 adalah hanya untuk kenderaan yang didaftarkan di Malaysia masih dikekalkan.

    “Langkah ini diharap dapat membantu memudahkan urusan warganegara Malaysia yang bekerja di Singapura agar turut mendapat pertimbangan sewajarnya dalam pelaksanaan program subsidi bahan api negara,” katanya.

     
     
  • Harga minyak 16-22 Okt – Semuanya dikekalkan

    Harga minyak 16-22 Okt – Semuanya dikekalkan

    Bagi minggu bertarikh 16 hingga 22 Oktober 2025, Kementerian Kewangan (MoF) mengumumkan bahawa, harga runcit petrol RON97 dikekalkan pada paras RM3.18 seliter.

    Untuk harga RON95 tanpa subsidi, ia juga masih dikekalkan pada RM2.60 seliter untuk sepanjang Oktober ini. Manakala di bawah program Budi95 yang dikuatkuasakan sejak 30 September lalu, RON95 masih ditetapkan pada harga RM1.99 seliter.

    Bagi harga diesel pula, bagi pasaran Semenanjung Malaysia, ia dikekalkan pada paras RM2.93 seliter, begitu juga dengan di Sabah, Sarawak dan Labuan yang masih kekal pada RM2.15 seliter.

    Pada 23 Sept lalu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan memberi jaminan bahawa harga subsidi petrol RON95 pada RM1.99 seliter di bawah program Budi95 akan dikekalkan dalam tempoh terdekat selepas pelaksanaannya. Walau bagaimana pun, katanya, kerajaan tidak menjamin harga tersebut akan kekal sepanjang masa kerana ia bergantung keadaan semasa.

    Semalam, Kementerian Ekonomi pula berkata, setakat 13 Okt 2025, lebih dari 11 juta pengguna rakyat Malaysia telah menikmati RON95 pada harga RM1.99 seliter. Senarai kelayakan BudiI95 juga dikemaskini secara berkala berdasarkan data terkini untuk memastikan tiada rakyat Malaysia yang layak tercicir dari program ini.

     
     
  • Toyota GR Malaysia eRacing Championship 2025 – adik beradik Nabil & Naquib Azlan kekalkan dominasi

    Toyota GR Malaysia eRacing Championship 2025 – adik beradik Nabil & Naquib Azlan kekalkan dominasi

    Kejohanan Toyota GR Malaysia eRacing telah menamatkan tirainya hujung minggu lalu, menyaksikan pasangan adik-beradik Nabil dan Naquib Azlan membuktikan mereka masih mendominasi dunia perlumbaan simulator dengan masing-masing menduduki tempat pertama dan tempat kedua dalam kategori Pro.

    Manakala juara kebangsaan dan juara Asia tahun lalu, Taj Izrin Aiman berada di tempat ketiga. Dengan keputusan ini Taj Aiman masih akan mengetuai kontinjen Malaysia ke Toyota GR Asia eSports GT Championship di Bangkok November ini, yang turut akan disertai oleh dua lagi pelumba iaitu Iqbal Suji dan Chong Kai Chang, bagi menentang pelumba-pelumba sim terbaik dari Indonesia, Filipina, Thailand, dan Singapura.

    Berbeza dengan kejohanan sebelum ini yang dikenali sebagai GT Cup Malaysia dan hanya menampilkan perlumbaan menggunakan platform Gran Turismo 7, siri kejohanan baharu ini turut menampilkan tiga platform simulator lain iaitu Assetto Corsa, RaceRoom dan juga iRacing. Dengan format baharu ini lebih banyak bakal dapat dicungkil di mana 35% peserta yang dapat mara ke pusingan separa akhir tahun ini adalah muka-muka baharu.

    “Kejohanan tahun ini jauh berbeza, dan format baharu bukan sahaja bagus tetapi amat mencabar, ia memaksa kami untuk menyesuaikan diri, belajar dan meningkatkan. Setiap platform menguji aspek teknik pemanduan dan strategi perlumbaan yang berbeza,” kata Nabil, yang membawa pulang gelaran juara bersama hadiah wang tunai bernilai RM25,000.

    “Tanpa perlumbaan sim, saya tidak akan berada di tempat saya hari ini. Ia terus membentuk saya menjadi pemandu yang lebih baik dan berdaya saing.” Nabil dan Naquib kini merupakan pelumba profesional sebenar yang bukan hanya berlumba dalam negara, malah telah melangkah ke peringkat nasional berlumba untuk pasukan Wing Hin Motorsport.

    “Tanpa perlumbaan sim, saya tidak berada di tempat di mana saya berada sekarang. Ia terus membentuk saya kearah pemandu yang lebih baik, lebih kompetitif,” tambah Nabil yang menyatakan bahawa beliau kembali menyertai perlumbaan ini sebagai sebahagian proses pembangunannya sebagai pelumba profesional.

    Kejohanan tahun ini menawarkan hadiah terkumpul berjumlah RM123,000, di mana pusingan terakhir hujung minggu lalu berlangsung di Sunway University. Kejohanan ini dibahagikan kepada dua kelas iaitu Pro dan Campus Tour. Bagi kelas Pro, ia telah bermula pada Mei lalu dengan tiga pusingan berlangsung bagi memilih 40 pelumba untuk mara ke pusingan suku akhir. Dari situ 20 pelumba terbaik meneruskan cabaran ke peringkat separa akhir bagi menyaring 10 pelumba terbaik untuk bersaing diperingkat akhir.

    Manakala bagi kelas Campus Tour, TGR Malaysia telah mengunjungi lapan universiti awam dan swasta di seluruh negara bagi mencari bakat-bakat baharu dalam sukan permotoran. 10 pelumba terpantas di setiap kampus tersebut dipilih untuk menyertai kejohanan nasional ini.

    “Perlumbaan, kedua-dua alam maya dan nyata, telah menjadi sebahagian dari Toyota sejak 2017. Matlamat kami sentiasa untuk membangunkan bakat Malaysia, mencipta juara, dan membina laluan yang mampan dari sim ke litar,” kata Datuk Ravindran K., Presiden UMW Toyota Motor.

    “Empat daripada sepuluh finalis kami telah pun mencapai kejayaan dalam sukan permotoran dunia sebenar, bukti falsafah Toyota untuk Pushing the Limits for Better,” tambahnya.

     
     
  • Proton eMas 5 terima 3,000 tempahan untuk minggu pertama — jualan terkumpul eMas 7 cecah 6,655 unit

    Proton eMas 5 terima 3,000 tempahan untuk minggu pertama — jualan terkumpul eMas 7 cecah 6,655 unit

    Anak syarikat Proton, Proton New Energy Technology (Pro-Net) telah mengumumkan menerima sebanyak 3,000 tempahan untuk eMas 5 bagi tempoh seminggu pertama sejak mula mengambil tempahan untuk model elektrik kedua jenama itu, yang bermula pada 4 Oktober lalu. Syarikat itu juga memaklumkan, untuk tempoh 24 jam pertama selepas mengumumkan harga anggarannya, 1,607 tempahan telah diterima.

    Dengan harga anggaran bermula RM60,000 untuk varian Prime yang paling asas, eMas 5 dijangka akan menjadi EV paling mampu milik di Malaysia. Varian Premium dengan jarak perjalanan lebih jauh pula dianggarkan akan dijual pada harga RM80,000. Proton juga memberikan promosi untuk 5,000 pembeli terawal dengan menawarkan kad Touch ‘n Go NFC edisi terhad dengan baki bernilai RM100, serta rebat RM500 untuk yuran tempahan.

    Varian Prime menggunakan unit motor 79 PS (58 kW) dan 130 Nm dengan laju maksimum sehingga 125 km/j. Ia dilengkapi bateri lithium iron phosphate (LFP) berkapasiti 30.12 kWj yang memberikan jarak sekitar 225 km mengikut kitaran WLTP. Model ini juga mempunyai tiga mod pemanduan — Sport, Eco dan Comfort.

    Proton eMas 5 terima 3,000 tempahan untuk minggu pertama — jualan terkumpul eMas 7 cecah 6,655 unit

    Untuk varian Premium yang paling lengkap, ia menggunakan bateri jenis sama, lithium iron phosphate (LFP) keluaran CATL dengan kapasiti 40.16 kWj, dengan unit motor elektrik dari jenis 11-dalam-1 yang bersepadu, diletakkan di bahagian belakang. Bagi EV, ini adalah kereta pacuan roda belakang pertama oleh Proton. Motor untuk varian tertinggi ini menjana sebanyak 85 kW kuasa dan 150 Nm tork. Untuk prestasi, pecutan 0-50 km/j (bukan 100 km/j) boleh dicapai dalam masa 3.9 saat.

    Jika mengikut kitaran WLTP, ia memberikan jarak sejauh 325 km dengan sekali cas. Untuk tempoh pengecasan, eMas 5 ini menampung pengecasan pantas DC maksimum sehingga 71 kW, sementara untuk pengecasan AC dengan kapasiti 6.6 kW. Bagi SoC dari 30% hingga 80%, ia boleh dicapai dalam masa 21 minit sahaja (untuk DC).

    Dalam hebahan media yang sama, Pro-Net turut menyentuh tentang eMas 7, dan mendedahkan model EV pertama keluarannya itu telah mencapai jualan terkumpul sebanyak 6,655 unit setakat 30 September 2025. Daripada jumlah itu, 6,212 unit dijual di pasaran tempatan, dan baki 443 unit di pasaran eksport. eMas 7 merupakan EV paling laris di Malaysia tahun ini dengan kadar perkongsian pasaran 24%.

     
     
  • Lebih 10 ribu rakyat Malaysia terima manfaat rebat pembelian motosikal elektrik setakat 8 Okt lalu – MITI

    Lebih 10 ribu rakyat Malaysia terima manfaat rebat pembelian motosikal elektrik setakat 8 Okt lalu – MITI

    Seramai 10,600 pemohon atau 87.2% daripada jumlah pemohonan yang disasarkan di bawah Skim Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik (MARiiCas) berjaya membeli motosikal elektrik dengan rebat setakat 8 Okt lalu, laporan Bernama.

    Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata, rebat pembelian motosikal elektrik sebanyak RM2,400 seorang yang diumumkan di bawah Belanjawan 2024 melibatkan peruntukan berjumlah RM26.10 juta dan dilanjutkan pelaksanaannya hingga 2025. Ia disasarkan kepada warganegara Malaysia berpendapatan tahunan bawah RM120,000, termasuk pelajar dan pesara yang memiliki lesen motosikal sah (B, B1 atau B2).

    Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat baru-baru ini bagi menjawab soalan Pang Hok Liong (PH–Labis) yang meminta penjelasan mengenai jumlah subsidi yang sudah disalurkan oleh kerajaan mengikut tahun dan model kenderaan elektrik serta isu pemohon berdaftar MARiiCas yang gagal menuntut subsidi walaupun pendaftaran dan kod QR masih sah.

    Lebih 10 ribu rakyat Malaysia terima manfaat rebat pembelian motosikal elektrik setakat 8 Okt lalu – MITI

    Tambah beliau, peningkatan sambutan terhadap skim itu amat memberangsangkan dan cadangan untuk melanjutkan pelaksanaannya di bawah Belanjawan 2026 kini sedang dipertimbangkan oleh Kementerian Kewangan.

    “Bagi tahun 2024, sebanyak 19 model motosikal elektrik sudah ditawarkan kepada 3,582 pemohon berjaya, manakala bagi tahun 2025 (sehingga 1 Sept), sebanyak 28 model ditawarkan kepada 7,018 pemohon, menunjukkan peningkatan hampir 100%.

    “Mengenai pemohon yang gagal menuntut rebat walaupun berdaftar dan mempunyai kod QR sah, perkara itu berlaku kerana individu berkenaan tidak memenuhi syarat kelayakan, termasuk had pendapatan tahunan dan pemilikan lesen motosikal yang sah,” katanya.

     
     
  • Nissan Navara 2026 – teaser disiar sebelum didedah pada 19 September ini; kembar Mitsubishi Triton

    Nissan Navara 2026 – teaser disiar sebelum didedah pada 19 September ini; kembar Mitsubishi Triton

    Nissan mengumumkan bahawa model generasi baharu trak pikap Nissan Navara bakal didedahkan buat pertama kali untuk peringkat global pada 19 November ini. Serentak dengan pengumuman tersebut, Nissan turut menyiarkan satu video teaser yang menayangkan bayangan badan Navara 2026 berkenaan.

    Menerusi bayangan badan yang disiarkan dalam video ini, jelas Navara generasi baharu tersebut diberikan rekaan pintu, garis-garis sisi badan dan juga penutup but depan yang seiras dengan Mitsubishi Triton. Malah lampu nyalaan siang juga terletak pada bahagian ‘kening’ sama seperti Triton.

    Nissan Navara 2026 – teaser disiar sebelum didedah pada 19 September ini; kembar Mitsubishi Triton

    Navara sebagai kembar kepada Triton bukanlah sesuatu yang dirahsiakan. Laporan Drive sebelum ini menyatakan bahawa Navara generasi baharu ini tidak akan diproduksi oleh kilang Nissan, sebaliknya ia akan dipasang oleh kilang Mitsubishi di Thailand kerana ia berkongsi asas yang sama dengan Triton.

    Triton telah dilancarkan jauh lebih awal iaitu pada 2023. Trak pikap dari Mitsubishi itu juga sebenarnya menggunakan casis ladder frame baharu yang dibangunkan berdasarkan casis Navara D23. Ini adalah kerana kedua-dua jenama ini berada dalam pakatan Renault-Nissan-Mitsubishi bagi saling memanfaatkan sumber yang ada.

    Nissan Navara 2026 – teaser disiar sebelum didedah pada 19 September ini; kembar Mitsubishi Triton

    Mitsubishi Triton generasi terkini; Perhatikan garis-garis badan, bentuk pintu dan cermin tingkap dan juga penutup but depan yang seiras dengan bayangan badan Nissan Navara 2026

    Pengarah urusan Nissan Oceania Andrew Humberstone juga sebelum ini telah mengesahkan bahawa walaupun Navara berkongsi asas dengan Triton, ia akan menampilkan rupa yang berbeza dan menyerlahkan DNA Nissan sebenar. “Kami memastikan bahawa ia adalah Nissan. Jadi kami akan membuat beberapa perubahan untuk memastikan perkara itu berlaku,” kata Humberstone.

    Model Navara sedia ada sudahpun berada dalam pasaran sekitar satu dekad. Pengenalan model generasi baharu ini dilihat penting buat Nissan yang kini sedang cuba bangkit dari krisis kewangan yang kronik. Agaknya bagaimana rupa Navara ini nanti? Teruskan bersama kami sehingga pelancaran rasminya nanti.

     
     
  • JPJ eBid: JYM dan PRY bakal dibuka untuk bidaan

    Bulan ini turut menyaksikan makin banyak syarikat kenderaan memperkenalkan model baharu serta mengadakan pelbagai promosi jualan menarik termasuk menawarkan diskaun dan rebat tunai. Mungkin anda ada berhajat untuk memiliki kenderaan baharu, jadi inilah masa yang sesuai untuk membelinya. Bagi yang sudah menempah kenderaan baharu, ini ada siri nombor pendaftaran terkini dari Johor dan Pulau Pinang dibuka bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), siri nombor pendaftaran terkini dari Johor, JYM dibuka bidaannya mulai esok, 16 Oktober. Bidaannya akan berakhir jam 10 malam pada 20 Oktober. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 21 Oktober 2025. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala siri nombor pendaftaran terkini Pulau Pinang, PRY, bakal dibuka bidaan mulai 21 Oktober. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 25 Oktober, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 26 Oktober 2025.

    Disebabkan sekarang ini banyak urusan yang boleh dibuat secara dalam talian, jadi kalau nak dapatkan nombor pendaftaran kenderaan terkini, anda boleh lakukan sendiri tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • PLUS sumbang empat kenderaan penguatkuasaan baharu kepada JPJ – Honda CR-V 1.5T jadi pilihan

    PLUS sumbang empat kenderaan penguatkuasaan baharu kepada JPJ – Honda CR-V 1.5T jadi pilihan

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah menyumbang sejumlah empat buah Honda CR-V 1.5 Turbo kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk dijadikan kenderaan penguatkuasaan bagi meningkatkan keselamatan pengguna lebuhraya kendaliannya.

    Dalam satu majlis penyerahan yang diadakan di Kementerian Pengangkutan Malaysia, di Putrajaya hari ini, kenderaan terbabit telah diserahkan oleh Ketua Pegawai Kewangan PLUS, Sharuddin Omar Hashim kepada Ketua Pengarah JPJ, Dato’ Aedy Fadly Ramli, disaksikan oleh Menteri Pengangkutan Malaysia, Loke Siew Fook.

    Menurut PLUS, penyerahan kenderaan penguatkuasa kepada JPJ adalah untuk membantu memperkasakan lagi peranan agensi terbabit dalam menjalankan penguatkuasaan undang-undang, rondaan dan pemantauan dengan lebih efektif di lebuhraya kendalian PLUS.

    “Inisiatif ini merupakan salah satu kerjasama strategik antara pihak PLUS dan JPJ dalam memastikan orang ramai menikmati perjalanan yang selamat ketika berada di lebuhraya, selain memantapkan kecekapan penguatkuasaan di sepanjang Lebuhraya PLUS,” kata PLUS menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Honda CR-V generasi keempat ini dilancarkan di pasaran Malaysia pada akhir Disember 2023, diberikan unit L15BE DOHC turbo empat-silinder yang mampu menghasilkan kuasa 193 PS (190 hp) pada 6,000 rpm dan 243 Nm dari 1,700-5,000 rpm. Bagi enjin turbo, ia ditawarkan dengan empat varian iaitu Honda CR-V 1.5L Turbo S – RM159,900; Honda CR-V 1.5L Turbo E – RM169,900; dan Honda CR-V 1.5L Turbo V AWD – RM181,900. Manakala CR-V 2.0L e:HEV RS pula dijual pada harga RM195,900.

    Pada tahun 2019, PLUS juga pernah menyumbang sebanyak 10 unit Honda C-RV 2.0L 2WD kepada JPJ sebagai kenderaan penguatkuasaan di lebuhraya.

     
     
  • JPJ isytihar ‘perang’ terhadap kenderaan perdagangan bermula hari ini; ‘Saya tak boleh bersabar lagi’ – Loke

    JPJ isytihar ‘perang’ terhadap kenderaan perdagangan bermula hari ini; ‘Saya tak boleh bersabar lagi’ – Loke

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telahpun memulakan operasi penguatkuasaan bersepadu hari ini sehingga 31 Disember nanti yang disifatkan sebagai “pengisytiharan perang” terhadap kesalahan membawa muatan lebih melibatkan kenderaan perdagangan.

    Menurut Menteri Pengangkutan Anthony Loke dalam laporan Bernama, operasi penguatkuasaan bersepadu itu dilaksanakan meliputi lima zon utama, iaitu Utara, Tengah, Selatan, Timur dan Borneo, di mana tindakan penguatkuasaan itu merupakan langkah tegas untuk mengekang sikap sambil lewa dan ketidakpatuhan dalam kalangan pengusaha, serta pemandu kenderaan perdagangan yang membawa lebih muatan dan melanggar undang-undang jalan raya.

    “Setiap negeri akan menggerakkan empat pasukan penguat kuasa, menjadikan keseluruhannya 12 pasukan aktif di setiap zon, dengan tempoh pelaksanaan tujuh hari berturut-turut bagi setiap siri operasi,” katanya.

    Menurutnya lagi fokus utama operasi ini tertumpu kepada kawasan hotspot kenderaan perdagangan membawa lebihan muatan jenis berisiko tinggi, iaitu batu, pasir, tanah, silika, arang batu, besi, sawit dan kayu balak, yang membabitkan aktiviti kuari, pelabuhan dan sektor perindustrian berat.

    JPJ isytihar ‘perang’ terhadap kenderaan perdagangan bermula hari ini; ‘Saya tak boleh bersabar lagi’ – Loke

    “MOT dan JPJ ingin menegaskan bahawa tiada sebarang kompromi akan diberikan kepada mana-mana pihak yang melanggar had muatan yang ditetapkan di bawah syarat lesen.

    “JPJ juga tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana pemandu, pemilik atau syarikat pengangkutan yang cuai serta mengabaikan keselamatan awam sehingga mengakibatkan kerosakan jalan raya atau kemalangan,” tegas Loke.

    Selain dari operasi bersepadu, Loke turut mengarahkan JPJ dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) melaksanakan kerangka pentadbiran baharu bagi memperkukuh tindakan penguatkuasaan terhadap syarikat pengendali kenderaan perdagangan berisiko tinggi.

    Dengan kerangka tersebut, pesalah berulang bukan sahaja akan dikenakan saman oleh JPJ, tetapi permit kenderaan atau lesen pengendali syarikat turut boleh digantung atau dibatalkan oleh APAD.

    JPJ isytihar ‘perang’ terhadap kenderaan perdagangan bermula hari ini; ‘Saya tak boleh bersabar lagi’ – Loke

    “Langkah tegas ini bertujuan membanteras sikap segelintir pengendali yang menjadikan saman sebagai kos operasi, sekali gus memastikan setiap syarikat bertanggungjawab sepenuhnya terhadap keselamatan dan pematuhan undang-
    undang pengangkutan,” katanya.

    Loke menjelaskan bahawa tindakan ini dibuat susulan dapatan Operasi Khas Pemeriksaan dan Audit Keselamatan (JISA) yang dijalankan bermula dari 23 Jun hingga 31 Julai lepas terhadap 500 syarikat pengendali berisiko tinggi, iaitu 54.43 peratus daripadanya didapati gagal mematuhi peraturan.

    “Angka ini menunjukkan ketidakpatuhan yang serius dan sistemik, serta keperluan mendesak untuk memperkukuh mekanisme penguatkuasaan secara lebih menyeluruh,” katanya.

    “Saya tidak boleh bersabar lagi, memang banyak kemalangan melibatkan kenderaan berat yang kita rasa perkara itu disebabkan lebih muatan dan juga kelajuan yang lebih tinggi,” tegas Loke yang turut memberi amaran bahawa pihaknya tidak akan berkompromi dengan pengendali atau pemandu yang terbabit dalam kesalahan memandu kenderaan lebih muatan atau membawa muatan melebihi had ditetapkan.

     
     
  • ASEAN Summit 2025 – Beberapa jalan di KL ditutup; lencongan trafik di 6 lebuhraya, jalan utama, 26-28 Okt

    ASEAN Summit 2025 – Beberapa jalan di KL ditutup; lencongan trafik di 6 lebuhraya, jalan utama, 26-28 Okt

    Beberapa jalan utama dan lebuhraya di ibu negara akan ditutup secara berperingkat dari 26 hingga 28 Oktober sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47. The Kuala Lumpur Command and Control Centre (KLC3),memaklumkan bahawa penutupan jalan akan dibuat secara berkala, biasanya antara 30 hingga 45 minit bagi melancarkan pergerakan konvoi delegasi peringkat tinggi sepanjang tempoh sidang kemuncak terbabit laporan New Straits Times.

    Lebuhraya utama yang terlibat ialah:

    • Lebuhraya MEX
    • Lebuhraya Utara-Selatan (dari Sungai Buloh ke Jalan Duta)
    • Lebuhraya Elite (dari KLIA ke Putrajaya>
    • Lebuhraya NKVE (dari Subang ke Jalan Duta)
    • Lebuhraya Guthrie
    • Lebuhraya KL-Seremban (dari Sungai Besi ke pusat bandar)

    Menuju ke Kuala Lumpur, beberapa jalan utama di sekitar pusat bandar akan terlibat dengan penutupan sepanjang tempoh tersebut, dengan kawasan Segi Tiga Emas yang mengelilingi KLCC dijangka mengalami gangguan trafik yang paling ketara. Jalan-jalan utama dan laluan penghubung yang akan mengalami penutupan ialah:

    • Jalan Ampang
    • Jalan Sultan Ismail
    • Jalan P. Ramlee
    • Jalan Pinang
    • Jalan Binjai
    • Persiaran KLCC
    • Jalan Bukit Bintang
    • Jalan Imbi
    • Jalan Perak
    • Jalan Parlimen
    • Jalan Damansara
    • Jalan Istana
    • Jalan Tun Razak
    • Jalan Kuching

    ASEAN Summit 2025 – Beberapa jalan di KL ditutup; lencongan trafik di 6 lebuhraya, jalan utama, 26-28 Okt

    Persimpangan strategik yang dijangka terjejas ialah Jalan Ampang–Jalan P. Ramlee, Jalan Sultan Ismail–Jalan P. Ramlee, Jalan Perak–Jalan P. Ramlee, Jalan Perak–Jalan Pinang, Jalan Stonor–Jalan Kia Peng dan Jalan Stonor–Persiaran KLCC.

    Orang ramai dinasihatkan untuk mengelakkan laluan ini dan menggunakan pengangkutan awam seperti MRT, LRT, Monorel dan bas sepanjang sidang kemuncak berlangsung. Selain itu, kenderaan berat juga tidak dibenarkan memasuki pusat bandar pada waktu puncak sidang kemuncak berkenaan.

    Maklumat penutupan jalan akan dikemas kini dari semasa ke semasa dan orang ramai boleh melayari portal rasmi ASEAN 2025 di www.myasean2025.my atau mengikuti laman Facebook rasmi, Aseanmy untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini.

     
     
  • Porsche Center Johor Bahru lengkapkan projek restorasi klasik pertama – sebuah Porsche 911 T

    Porsche Center Johor Bahru lengkapkan projek restorasi klasik pertama – sebuah Porsche 911 T

    Porsche Center Johor Bahru yang merupakan satu-satunya fasiliti rasmi Porsche di Malaysia menerima status sebagai Porsche Classic Partner lengkap dengan fasiliti kerja pembaikan badan dan cat bertauliah telah pun melengkapkan projek restorasi lengkap pertamanya yang merupakan sebuah antara model terawal kereta sport Porsche 911, iaitu Porsche 911 T.

    Menurut Porsche Malaysia, projek restorasi ini mengambil masa berbulan-bulan dan ia disiapkan sepenuhnya secara in-house oleh juruteknik-juruteknik Porsche Center Johor Bahru yang menerima pentauliahan di bawah program Porsche Classic Partner.

    Kerja-kerja yang dilakukan bukan sekadar memperbaiki kerosakan kerana setiap komponen kereta ini telah ditanggalkan sepenuhnya, kemudian dibina semula sehingga ke tahap spesfikasi asal kilang, lengkap dengan semua dokumentasi.

    Porsche 911 T (T untuk Touring) diperkenalkan buat pertama kali pada tahun 1967. Berbanding model seperti 911 S dan 911 E, 911 T ini merupakan pilihan yang lebih mampu milik ketika itu dengan penawaran enjin yang menghasilkan kuasa lebih kecil.

    Namun model ini masih dianggap model yang memberikan pengalaman pemanduan untuk purist kerana masih mengekalkan rekaan asas 911, serta ringan, tangkas dan juga seimbang.


     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.67 (0.00)
EURO 5 B7 RM4.87 (0.00)
Last Updated Jun 11, 2026