Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • 90% pemandu, penumpang hadapan pakai tali pinggang keledar sejak ‘Klik Sebelum Gerak’ dilaksana

    90% pemandu, penumpang hadapan pakai tali pinggang keledar sejak ‘Klik Sebelum Gerak’ dilaksana

    Hasil kajian penilaian dari Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) berkenaan kempen “Klik Sebelum Gerak” yang dilaksanakan sejak 11 September lalu, Kementerian Pengangkutan (MOT) berkata tahap pematuhan pemandu dan penumpang hadapan kenderaan persendirian menunjukkan peningkatan melebihi 90%.

    Menurut MoT lagi, walau bagaimanapun, pemakaian tali pinggang keledar oleh penumpang tempat duduk belakang masih lagi rendah dengan purata peratusan sekitar 10 hingga 15%.

    “Pemakaian tali pinggang keledar telah diwajibkan di bawah Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Tali Pinggang Keledar) 1978 yang menghendaki semua pemandu dan penumpang hadapan kenderaan memakai tali pinggang keledar. Peraturan ini telah diperluaskan dengan pindaan Kaedah-Kaedah Kereta Motor (Tali Pinggang Keledar) (Pindaan) 2019 yang mewajibkan penggunaan tali pinggang keledar tempat duduk belakang.

    “Bagi meningkatkan keberkesanan kempen ini, MOT melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan MIROS akan memperluaskan pendekatan komunikasi massa, pendidikan komuniti sekolah serta penyebaran mesej keselamatan di platform digital dan media sosial. Di samping itu, tindakan penguatkuasaan termasuk operasi khas bas ekspres dan bas persiaran akan diperhebat selaras dengan prinsip pendidikan, kejuruteraan dan penguatkuasaan (3E) bagi memastikan pematuhan penuh masyarakat terhadap kewajipan pemakaian tali pinggang keledar,” kata MOT di Dewan Rakyat semalam.

    Kenyataan ini dikeluarkan bagi menjawab soalan yang dikemukakan oleh Lim Lip Eng (AP Kepong) yang meminta Menteri Pengangkutan menyatakan status dan garis masa penguatkuasaan pemakaian tali pinggang keledar bagi semua pemandu serta penumpang kenderaan persendirian dan penilaian keberkesanan kempen ‘Klik Sebelum Gerak’.

    MOT turut berkata, jumlah kes kemalangan maut tanpa menggunakan tali pinggang keledar yang melibatkan kanak-kanak dari bulan Jan hingga Sept 2025 adalah seramai 74 orang. Manakala 31 kanak-kanak parah dan 51 lagi cedera ringan.

    90% pemandu, penumpang hadapan pakai tali pinggang keledar sejak ‘Klik Sebelum Gerak’ dilaksana

    “Berdasarkan input yang diperolehi daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN), kes kemalangan maut melibatkan kanak-kanak berada pada tahap yang serius dan statistik kes kemalangan maut melibatkan golongan ini dari bulan Jan hingga Sept 2025 ialah 714 mangsa maut, dengan 374 mengalami kecederaan parah dan 1,792 cedera ringan menjadikan keseluruhan mangsa kanak-kanak berjumlah 2,880 orang,” tambahnya.

    Rentetan daripada beberapa kejadian kemalangan melibatkan kenderaan perdagangan khususnya bas ekspres dan bas persiaran yang mengakibatkan kecederaan serta kematian, MOT bersama JPJ telah meningkatkan pelaksanaan operasi khas terhadap kedua-dua jenis kenderaan tersebut bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan keselamatan jalan raya.

    Sehubungan itu, katanya, JPJ juga telah diminta untuk menetapkan kaedah pemantauan dan penguatkuasaan khusus terhadap bas ekspres dan bas persiaran dengan merujuk kepada garis panduan yang telah ditetapkan.

    Di mana bagi pelaksanaan penguatkuasaan, JPJ bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut melaksanakan operasi bersepadu secara berkala seperti Fasa Penguatkuasaan Sedia Ada iaitu pemakaian tali pinggang keledar hadapan dan belakang terus dikuatkuasakan melalui operasi berjadual dan operasi khas.

    90% pemandu, penumpang hadapan pakai tali pinggang keledar sejak ‘Klik Sebelum Gerak’ dilaksana

    Ia turut melibatkan Fasa Pengukuhan (2025–2026) iaitu penekanan kepada pemantapan penguatkuasaan lapangan melalui penggunaan Smart Mobile Enforcement Device (SMED) dan operasi bersepadu bersama PDRM, Fasa Operasi Khas (Mulai September 2025) iaitu pelaksanaan Operasi Khas Pemakaian Tali Pinggang Keledar melibatkan bas ekspres dan bas persiaran di semua negeri. Di mana JPJ Negeri diwajibkan melaksanakan pemantauan serta penguatkuasaan terhadap pemandu dan penumpang bagi memastikan pematuhan penuh kepada peraturan pemakaian tali pinggang keledar.

    Selain itu, ia juga melibatkan Fasa Kesedaran Awam di mana Kementerian menerusi JPJ dan MIROS sedang menilai semula tahap pematuhan rakyat, dan melaksanakan kempen penerangan secara berterusan.

    “MOT yakin bahawa melalui pelaksanaan penguatkuasaan yang lebih tegas serta kempen keselamatan jalan raya yang dijalankan secara menyeluruh, tahap pematuhan terhadap penggunaan tali pinggang keledar, khususnya dalam kalangan penumpang bas ekspres dan bas persiaran dapat dipertingkatkan,” katanya lagi.

     
     
  • Budi95: Pemandu e-hailing sepenuh masa dapat kuota sebanyak 600 liter sebulan, melibatkan 53,900 individu

    Budi95: Pemandu e-hailing sepenuh masa dapat kuota sebanyak 600 liter sebulan, melibatkan 53,900 individu

    Bagi memastikan sistem subsidi bersasar Budi Madani RON95 (Budi95) terus memberi manfaat secara menyeluruh, Kementerian Kewangan (MoF) telah mengumumkan bahawa siling penggunaan bagi pemandu e-hailing sepenuh masa dinaikkan sekali ganda kepada 600 liter sebulan.

    “Bagi pemandu e-hailing sepenuh masa, MoF telah menyemak silang data bersama Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), melibatkan lebih 53,900 individu yang akan menerima kenaikan siling kelayakan kepada 600 liter sebulan,” kata MoF menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Selain itu, katanya, lebih 11,400 lagi pemegang lesen memandu kini layak menerima Budi95 yang terdiri daripada pemandu yang baru mendapat lesen (11,200) dan pemandu yang telah memperbaharui lesen (260), menjadikan lebih 16 juta rakyat Malaysia menerima manfaat Budi95.

    “Kerajaan Madani kekal komited memastikan program subsidi bersasar ini berjalan dengan lancar, telus dan memberi manfaat secara langsung kepada rakyat. MoF bersama agensi berkaitan akan terus memantau pelaksanaan Budi95 dan melaksanakan penambahbaikan dari semasa ke semasa.

    “Orang ramai boleh merujuk soalan lazim (FAQ) melalui portal rasmi Budi Madani atau menghubungi talian bantuan di 1-300-88-9595 atau melalui WhatsApp di +603-2631 4595 untuk maklumat lanjut. Portal ini turut dilengkapi ciri semakan sejarah transaksi yang boleh diakses melalui MyDigital ID bagi memastikan keselamatan data peribadi pengguna,” tambahnya.

     
     
  • GWM Ora Good Cat 2026 sudah boleh ditempah di Malaysia – varian GT baru 171 PS, bateri LFP 57.7 kWj

    GWM Ora Good Cat 2026 sudah boleh ditempah di Malaysia – varian GT baru 171 PS, bateri LFP 57.7 kWj

    Great Wall Motor (GWM) Malaysia hari ini mengumumkan bahawa tempahan bagi model Ora Good Cat 2026 kini sudah pun boleh ditempah. Versi kemaskini berkenaan menerima beberapa penambahbaikkan termasuk diberikan bateri baharu dan juga penambahan varian GT yang lebih agresif bukan sahaja dari segi rupa, malah lebih berkuasa.

    Kenyataan rasmi yang dikeluarkan hari ini menyebut bahawa Ora Good Cat 2026 ini akan dijual pada harga jangkaan di bawah RM115,000 untuk varian biasa, manakala Ora Good Cat GT pula akan dijual pada harga jangkaan di bawah RM125,000. Buat masa sekarang model sedia ada dijual pada harga atas jalan tanpa insuran untuk varian asas 400 Pro dan RM144,500 untuk varian tertinggi 500 Ultra.

    Good Cat dilancarkan pada pasaran Malaysia buat pertama kali sejak 2022, dan tiada perubahan ketara sepanjang jualannya sehingga kini. Antara penyegaran kecil diberikan termasuk pengenalan warna badan baharu dan juga warna dalaman dua tona yang ditawarkan pada Februari tahun lalu.

    GWM Ora Good Cat 2026 sudah boleh ditempah di Malaysia – varian GT baru 171 PS, bateri LFP 57.7 kWj

    Bagi kemaskini terbaharu yang bakal dilancarkan ini, Good Cat akan menerima rupa luaran yang “disegarkan semula” menurut GWM Malaysia. Jun lalu Good Cat baru sahaja diperkenalkan dalam versi facelift melibatkan rekaan semula dibuat pada bampar yang tiada lagi sebarang kemasan krom dan diberikan gril bawah lebih besar serta ditambah dengan liang aliran udara sisi.

    Ada kemungkinan Malaysia akan menerima facelift yang sama, tetapi, dalam imej teaser yang siarkan pada laman Facebook GWM Malaysia bayangan yang diberikan seperti ia masih diberikan bampar yang sama seperti model sebelumnya.

    Walau bagaimanapun, Ora Good baharu ini dijanjikan dengan perubahan yang pasti pada unit rangkaian kuasa. Tidak seperti sebelum ini di mana varian 400 Pro menerima bateri litium logam fosfat (LFP) 47.8 kWj dan 500 Ultra diberikan bateri nikel mangan kobalt (NMC) 63.1 kWj di mana kedua-duanya dibekalkan oleh CATL, semua varian bagi Godd Cat baharu yang akan dilancarkan ini menerima bateri LFP 57.7 kWj yang dibekalkan oleh SVOLT.

    Bateri baharu ini didakwa mampu memberikan jarak gerak sejauh 480 km dalam kitaran ujian NEDC – lebih jauh berbanding varian 400 Pro dengan jarak 400 km, tetapi sedikit kurang berbanding varian 500 Ultra dengan jarak 500 km.

    Untuk mengecas, sistem AC masih kekal dengan 6.6 kW, manakala untuk pengecas pantas DC ia mampu menerima sehingga 60 kW yang membolehkan cas dari 30-80% dipenuhkan dalam masa 38 minit. Sebagai perbandingan cas DC bagi varian 400 Pro sebelum ini boleh dipenuhkan dalam jumlah sama selama 32 minit, manakala varian Ultra pula mengambil masa selama 40 minit.

    Bagi varian asas, ia masih diberikan motor elektrik tunggal berkuasa 143 PS (105 kW) dan tork 210 Nm yang sama seperti sebelum ini bagi memacu roda hadapan. Perincian lain yang turut dinyatakan adalah termasuk skrin sesentuh untuk sistem infotainmen 10.25-inci, upholsteri leatherette, ADAS Tahap 2, kamera 360-darjah, fungsi telematik menerusi aplikasi My GWN serta sokongan Android Auto dan Apple CarPlay.

    Kami turut jangkakan model kemaskini ini akan menerima perubahan yang sama seperti model pasaran Thailand dengan diberikan tuil tukaran gear pada kolum stereng berbanding suis putar yang terletak pada konsol tengah pada versi sebelum ini.

    Manakala bagi Good Cat GT, ia sebelum ini telah membuat kemnculan ketika perbarisan hari kebangsaan pada Ogos lalu. Ia tampil lebih agresif berbanding varian biasa dengan pemadanan bampar hadapan yang berlainan dengan tirai udara sisi yang lebih menyerlah, ditambah dengan skirt sisi dan juga panel pelindung pada setiap ruang roda – di mana semua perincian yang disebutkan ini menerima kemasan seakan gentian karbon.

    Selain itu ia juga diberikan spoiler bumbung ‘GT’ yang lebih besar, kemasan seperti diffuser di bawah bampar belakang dan dilengkapkan dengan set rim aloi dua tona berdiameter 18-inci. Varian ini juga menerima banyak serlahan warna kuning, termasuk pada bahagian dalaman seperti pada papan pemuka, panel pintu dan juga pada tempat duduk termasuk sulaman logo GT pada perehat kepala. Bahagian dalaman Good Cat GT ini juga diberikan upholsteri gandingan sued dan kulit pada tempat duduk.

    Seperti yang disebut tadi, varian GT ini masih dipadankan dengan bateri LFP 57.7 kWj, namun motor elektrik tunggal memacu roda hadapan yang dibekalkan adalah lebuh berkuasa menghasilkan 171 PS (126 kW) dan tork maksima 250 Nm. Lain-lain perincian masih lagi sama seperti varian asas, tetapi Good Cat GT ini ditambah dengan fungsi Launch Control.

    GALERI: Ora Good Cat GT di Perarakan Hari Kemerdekaan 2025

     
     
  • Perodua mula produksi rintis EV — max. RM80k, sasar 2.5k unit sebulan, 50% kandungan lokal pada 2026

    Perodua mula produksi rintis EV — max. RM80k, sasar 2.5k unit sebulan, 50% kandungan lokal pada 2026

    Berkaitan perkembangan terbaru Perodua berkaitan pengeluaran EV yang bakal dilancarkan tahun ini, Presiden dan CEO Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad mendedahkan ketika sidang media pelancaran “super app” P-Circle pagi ini, produksi rintis bagi model elektrik keluarannya sudah dimulakan di Rawang, dan pelancaran rasminya akan dilakukan sebelum hujung tahun ini.

    Beliau juga menjelaskan, harga sasaran bagi model EV tersebut masih kekal sama: maksimum RM80k. Proton baru-baru ini membuka tempahan untuk model eMas 5, model rebadge dari Geely Xingyuan, dengan julat harga dari RM60k hingga RM80k.

    Adakah dua model itu hampir sama untuk dibandingkan dengan setara? Tidak juga. Untuk model keluarannya, Perodua mensasarkan jarak perjalanan antara 400 km hingga 410 km, 0-100 antara enam dan tujuh saat dengan laju maksimum sekitar 165 km/j. Proton eMas 5 pula memberikan jarak 325 km dan pecutan 0-50 km/j (bukan 0-100 km/j) dalam 3.9 saat.

    Perodua mula produksi rintis EV — max. RM80k, sasar 2.5k unit sebulan, 50% kandungan lokal pada 2026

    Maka, model Perodua ada lebih banyak kelebihan untuk ditawarkan sebagai EV. Perbezaannya, pemilik model EV Perodua itu nanti tidak akan memiliki bateri CATL-nya — mereka perlu memajak/menyewa bateri tersebut.

    Perodua juga mensasarkan jualan sebanyak 2,500 unit EV berkenaan sebulan. Ini angka yang agak besar jika dibandingkan dengan pendahulu pasaran EV ketika ini; Proton eMas 7 secara purata dijual bawah 700 unit sebulan.

    “Berdasarkan produk yang kami ada, dan berdasarkan kaji selidik, kami perlu mengubah arah tuju — kini kami akan melakukan produk massa untuk model terbabit. Dan kami memerlukan sedikit masa untuk itu. Sebagai permulaan, kami sasar jualan 500 unit sebulan dan kemudian meningkatkannya kepada 2,000 unit sebulan,” jelas beliau pada Mei lalu ketika mempertontonkan prototaip terakhir.

    Beliau juga menambah, EV Perodua tidak akan dijual di bawah sub-jenama baru seperti dilakukan Proton, sebaliknya ia akan dijual bersama dengan model ICE di bilik pameran sama. Petugas lepas jualan kini sedang diberikan latihan untuk menyediakan sokongan berkaitan EV nanti.

     
     
  • Sistem Aerotrain KLIA alami masalah 19 kali antara 2 Julai-30 Sept, ketersediaan operasi capai 99.19%-MoT

    Sistem Aerotrain KLIA alami masalah 19 kali antara 2 Julai-30 Sept, ketersediaan operasi capai 99.19%-MoT

    Timbalan Menteri Pengangkutan (MoT), Datuk Hasbi Habibollah mengesahkan bahawa perkhidmatan operasi sistem Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) telah mengalami gangguan sebanyak 19 kali antara 2 Julai hingga 30 September 2025.

    Gangguan terhadap perkhidmatan Aerotrain itu antaranya berkaitan isu teknikal, seperti semboyan dan disebabkan manusia, seperti penumpang cuba membuka pintu, katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

    Walau bagaimana pun, beliau menjelaskan, ketersediaan perkhidmatan operasi sistem Aerotrain secara keseluruhannya kini berada tahap 99.19% sejak ia kembali beroperasi pada 1 Julai lalu dan kini sedang berada dalam Tempoh Liabiliti Kecacatan (DLP) bagi tempoh dua tahun.

    “Sehingga 8 Oktober, Aerotrain baharu ini membawa seramai 5.33 juta penumpang dan merekodkan perjalanan sejauh 39,942 km. Buat masa ini, sistem mekanikal dan semboyan (signaling) bagi Aerotrain sedang melalui fasa penyesuaian awal ke arah mencapai kestabilan penuh dalam operasi,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

    Beliau menjawab soalan asal Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) mengenai punca kegagalan penyelenggaraan Aerotrain KLIA sehingga kerap rosak dan tindakan segera kerajaan memastikan pengangkutan penumpang di KLIA kembali lancar dan selamat.

    “Pihak Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) sentiasa bekerjasama dengan pihak pengeluar, iaitu Alstom untuk sentiasa bersedia mengambil tindakan secepat mungkin bagi memastikan kelancaran operasi,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

    Menjawab soalan tambahan Khairil Nizam mengenai mekanisme pampasan yang dikenakan terhadap pihak pengeluar jika insiden kegagalan sistem berulang, Hasbi memaklumkan, penalti boleh dikenakan sehingga maksimum RM190,000 sebulan jika mereka tidak memenuhi piawaian ditetapkan.

     
     
  • Perodua perkenal smartwatch P-Go — perisian sendiri, kunci kereta, peninjau kesihatan, AMOLED; RM950

    Perodua perkenal smartwatch P-Go — perisian sendiri, kunci kereta, peninjau kesihatan, AMOLED; RM950

    Selain pengenalan aplikasi pintar P-Circle hari ini, Perodua juga hari ini menunjukkan penawaran jam tangan pintar P-Go yang di hasilkan untuk pengalaman lengkap pemilik EV Perodua kelak, serta untuk model-model sedia ada. Perodua P-Go Smartwatch dijual dengan harga RM950.

    Perisian bagi jam tangan berkenaan didakwa direka sendiri oleh Perodua, dengan perantinya didapatkan daripada ZeroBeans Smartwatch, China. Ia menampilkan skrin bersaiz 1.43-inci AMOLED dengan resolusi 466 x 466 serta kemampuan menahan tekanan kedalaman air sehingga 3ATM (30 meter). Bahagian badan utamanya menggunakan material aloi Zink, serta kaca skrin Corning Gorilla Glass 3.

    Jam ini menggunakan bateri 320mA yang menurut Perodua boleh bertahan hingga 10 hari sekiranya tidak digunakan, atau antara empat hingga enam hari sekiranya dengan pengesan aktiviti seperti tinjauan kesihatan digunakan.

    Jam pintar ini mempunyai ciri sama seperti jam pintar yang lain, seperti peninjau aktiviti, kiraan langkah, kadar degupan jantung, peninjau tahap oksigen dalam darah, pengesan kadar tidur dan juga tekanan darah. Ia juga boleh selaraskan dengan aplikasi P-Circle.

    Untuk menggunakan jam ini sebagai kunci kereta EV Perodua pula, pelanggan terlebih dahulu perlu pergi ke pusat servis Perodua untuk menetapkan isyarat frekuensi radionya sebelum boleh digunakan. Ketika ini, ia boleh digunakan untuk empat model sedia ada — Axia, Alza, Ativa, Myvi — dan semua model akan datang yang bakal diperkenalkan oleh Perodua.

    Ketika ini, model yang diperkenalkan bersaiz 1.43-inci untuk kegunaan lelaki. Versi untuk perempuan dengan diameter yang lebih kecil pula menyusul nanti.

     
     
  • 20 model EV terlaris September 2025 – Proton eMas 7 mendahului, diikuti Tesla Model Y dan BYD Atto 3

    20 model EV terlaris September 2025 – Proton eMas 7 mendahului, diikuti Tesla Model Y dan BYD Atto 3

    Proton eMas 7 terus mengekalkan kedudukan sebagai kenderaan elektrik (EV) paling laris di Malaysia bagi bulan September 2025. Menurut data terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), sebanyak 757 unit eMas 7 telah didaftarkan sepanjang bulan lalu.

    Walaupun angka ini menunjukkan sedikit penurunan berbanding 766 unit pada Ogos, model ini masih unggul di hadapan pesaing dengan jumlah keseluruhan 6,212 unit terjual bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.

    Naik satu anak tangga ke tempat kedua ialah Tesla Model Y, dengan jualan sebanyak 389 unit pada September, menjadikan jumlah terkumpulnya sebanyak 2,434 unit untuk tahun ini. Ia berjaya memintas BYD Atto 3, yang kini berada di tempat ketiga dengan 302 unit terjual bulan lalu dan jumlah keseluruhan 2,665 unit bagi tahun ini.

    Tesla Model 3 menunjukkan peningkatan ketara apabila melonjak tiga anak tangga ke tempat keempat. Sebanyak 296 unit berjaya dijual pada September, menjadikan jumlah tahun-ke-tahun (YTD) sebanyak 1,412 unit. Bulan lalu juga menyaksikan prestasi terbaik Model 3 sejak Februari.

    20 model EV terlaris September 2025 – Proton eMas 7 mendahului, diikuti Tesla Model Y dan BYD Atto 3

    Tangga kelima menjadi milik BYD Atto 2 dengan 285 unit terjual, menjadikan jumlah terkumpul sebanyak 751 unit. Di tempat keenam, BYD Sealion 7 – yang sebelum ini merupakan EV kedua paling laris di negara ini – jatuh satu anak tangga dengan 237 unit terjual dengan jumlah YTD mencecah 2,709 unit.

    Tempat ketujuh diduduki oleh pendatang baru, Zeekr 7X, dengan 228 unit terjual pada bulan pertama ia memasuki carta. Walaupun masih belum tersenarai dalam 20 teratas secara keseluruhan, model ini dijangka akan muncul dalam senarai tersebut menjelang bulan depan.

    BYD M6 menduduki tempat kelapan dengan 85 unit terjual (1,261 unit YTD), diikuti oleh Xpeng X9 di tempat kesembilan dengan 74 unit (452 unit YTD). Xpeng G6 pula mencatatkan jualan 63 unit, sama seperti Denza D9, yang masing-masing kini mencatatkan jumlah keseluruhan sebanyak 527 dan 850 unit.

    BYD Seal berada di kedudukan ke-12 dengan 61 unit terjual pada September (886 unit YTD). Tempat ke-13 dan ke-14 pula dikongsi oleh Chery Omoda E5 dan Zeekr 009, masing-masing dengan jualan 60 unit. Satu lagi model baru, BYD Seal 6 EV, turut memasuki carta dengan 58 unit terjual pada bulan pelancarannya dan berpotensi untuk memasuki carta keseluruhan menjelang hujung tahun.

    20 model EV terlaris September 2025 – Proton eMas 7 mendahului, diikuti Tesla Model Y dan BYD Atto 3

    Kedudukan seterusnya dalam senarai bulanan diisi oleh Leapmotor C10 dengan 53 unit (278 unit YTD), diikuti Porsche Macan dengan 47 unit terjual namun masih belum memasuki carta keseluruhan 20 teratas. Model iCaur 03 pula, satu lagi pendatang baru, mencatatkan jualan 34 unit.

    Melengkapkan senarai ialah Honda e:N1 dengan 33 unit terjual, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 77 unit berdasarkan jualan sejak Julai dan Ogos. Porsche Taycan pula mencatatkan 31 unit pada bulan lalu, dengan jumlah YTD sebanyak 306 unit.

    Dengan pengecualian duti import dan eksais untuk EV CBU dijangka tamat pada 31 Disember 2025, dijangka akan berlaku lonjakan pendaftaran kenderaan elektrik dalam tempoh akhir tahun ini, apabila pembeli berusaha mengambil peluang sebelum insentif semasa ditamatkan.

     
     
  • MAA sifatkan tawaran geran padanan RM4k dari k’jaan untuk lupus kereta lama langkah baik ke arah ELV

    MAA sifatkan tawaran geran padanan RM4k dari k’jaan untuk lupus kereta lama langkah baik ke arah ELV

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menyifatkan tawaran kerajaan bagi memberikan geran padanan sehingga RM4,000 bagi melupuskan kereta lama berusia lebih 20 tahun bagi bertukar kepada kereta baharu keluaran jenama nasional yang diumum pada Belanjawan 2026 minggu lalu merupakan langkah yang progresif dalam menambahbaik aspek keselamatan kenderaan, mempromosikan kelestarian alam sekitar dan juga menyokong jenama-jenama kenderaan nasional.

    Dalam kenyataan yang dikeluarkan, persatuan itu berkata bahawa ia melihat langkah tersebut sebagai langkah strategik ke arah membangunkan dasar Tempoh Jangka Hayat Kenderaan (ELV) yang komprehensif, seterusnya membantu secara sistematik melupuskan kenderaan lama dan tidak cekap dari jalan raya, mengurangkan risiko keselamatan dan mengurangkan kesan alam sekitar. MAA turut menyatakan bahawa ia bersedia untuk melibatkan diri dengan kerajaan untuk membangunkan mekanisme berkesan untuk mencapai objektif ini.

    Menerusi skim geran padanan ini, sekiranya pembeli bersetuju untuk melupuskan kereta lama bagi bertukar kepada kereta baharu dari jenama tempatan seperti Proton dan Perodua, kerajaan akan memberikan tambahan insentif dengan nilai rebat yang sama diberikan oleh pengeluar berkenaan, tetapi dihadkan hanya kepada RM4,000.

    Contohnya sekiranya Proton/Perodua memberikan rebat sebanyak RM2,000 untuk pembeli lupuskan kereta lama dan membeli kereta baharu, pembeli akan menerima insentif tambahan sebanyak RM2,000 lagi, bagi memberikan diskaun pembelian keseluruhan sebanyak RM4,000.

    MAA sifatkan tawaran geran padanan RM4k dari k’jaan untuk lupus kereta lama langkah baik ke arah ELV

    Namun sekiranya pengeluar memberikan rebat lebih dari RM4,000, contohnya RM5,000, pembeli akan menerima insentif tambahan sehingga RM4,000, bagi memberikan diskaun pembelian keseluruhan sebanyak RM9,000 untuk melupuskan kereta lama berusia 20 tahun ke atas dan membeli kereta baharu jenama tempatan.

    Berdasarkan penilaian dari MAA sendiri, inisiatif ini boleh mewakili peningkatan sehingga 5% daripada jumlah volum industri (TIV). Sebelum ini program pelupusan sukarela serupa pernah dilaksanakan pada 2009 melibatkan Proton dan Perodua menyaksikan kira-kira 31,000 kenderaan dibatalkan di bawah skim insentif yang lebih kurang sama.

    Untuk meningkatkan lagi impak inisiatif itu, MAA juga telah mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan untuk turut meluaskan program ini kepada model-model pemasangan tempatan (CKD) jenama automotif lain. Persatuan itu menyatakan bahawa perluasan tersebut akan meluaskan penyertaan merentasi ekosistem pemasangan tempatan, mengukuhkan pelaburan dalam operasi CKD Malaysia dan menjana manfaat limpahan ekonomi yang lebih besar di seluruh rantaian bekalan.

    Dalam kenyataan yang sama, MAA turut memuji pengumuman kerajaan mengenai pengecualian duti eksais dan cukai jalan bagi pemandu teksi dan pengusaha sewa kereta persendirian yang membeli kenderaan Proton dan Perodua, dengan berkata ia mencerminkan komitmen berterusan kerajaan untuk menyokong ekosistem automotif tempatan sambil meringankan beban kewangan pengusaha kecil dalam sektor pengangkutan dan perkhidmatan mobiliti.

     
     
  • Perodua lancar super app P-Circle — ciri P-Duit untuk cas EV, P-Charge kamera di rumah, jam pintar

    Perodua lancar super app P-Circle — ciri P-Duit untuk cas EV, P-Charge kamera di rumah, jam pintar

    Perodua hari ini memperkenalkan sebuah “super app” yang dikenali sebagai P-Circle sebagai satu lagi langkah syarikat itu untuk mewujudkan Mobility as a Service (MaaS). Terbuka untuk digunakan oleh sesiapa sahaja, tetapi manfaat penuhnya akan dapat dinikmati sepenuhnya oleh pemilik kenderaan elektrik Perodua yang bakal dilancarkan.

    Ini adalah langkah awal Perodua untuk melebarkan perniagaannya ke lapangan yang berasaskan teknologi. Presiden dan CEO Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad menjelaskan: “Komponen utama dalam MaaS adalah untuk memberikan penyelesaian yang fleksibel berdasarkan keperluan penggunaan dan perjalanan pelanggan.”

    P-Circle adalah sebuah aplikasi mudah alih yang menghimpunkan pelbagai ciri dan kemudahan untuk semua penggunanya, yang tidak terhad kepada pelanggan Perodua sahaja. Antara ciri yang ada adalah seperti P-Duit (e-Wallet) yang dikuasakan oleh Fasspay, P-Health, P-Marketplace, P-Home, P-Calendar, P-Entertainment dan lain-lain yang bertujuan untuk memudahkan lagi gaya hidup penggunanya.

    Bagi pengguna EV Perodua yang bakal dilancarkan tahun ini, P-Circle akan menjadi aplikasi yang lebih menyeluruh untuk menampung semua keperluan spesifik mereka. Antaranya ialah peta lokasi stesen pengecasan, kawalan beberapa fungsi lain berkaitan EV termasuk maklumat kenderaan, penghidup pendingin jarak jauh.

    Ciri lain yang menarik pada P-Circle ialah P-Guardian, yang ditawarkan dengan P-Charge yang bertujuan untuk meninjau keadaan rumah mereka melalui kamera yang siap dipasang dalam wallbox. Ketika pengenalan EV nanti, akan ada juga P-Vehicle, yang merupakan modul jarak jauh untuk mengesan lokasi dan kunci/buka kunci kenderaan. P-Charge Mobile pula adalah ciri untuk bantuan pengecasan kecemasan ke lokasi pengguna.

    Tidak lupa, ada juga jam pintar P-Go dengan data kesihatan yang turut dijual. Anda boleh memuat turun aplikasi berkenaan dari Apple App Store dan Google Play.

     
     
  • 20 jenama EV paling laris September 2025 – BYD, Proton, Tesla di tiga tempat teratas, Zeekr keempat

    20 jenama EV paling laris September 2025 – BYD, Proton, Tesla di tiga tempat teratas, Zeekr keempat

    BYD terus mengekalkan kedudukannya sebagai jenama kenderaan elektrik (EV) paling laris di Malaysia bagi bulan September 2025 dengan 1,028 unit didaftarkan. Jumlah ini menjadikan jualan tahunan keseluruhan setakat ini (YTD) mencecah 8,417 unit. Sejak Januari tahun ini, jenama dari China itu tidak pernah tergugat di tempat teratas dan angka terbaru ini merupakan kali keenam BYD berjaya melepasi paras 1,000 unit dalam satu bulan.

    Kini, BYD menawarkan tujuh model EV di pasaran tempatan, termasuk model terbarunya, Seal 6 EV, yang mula dijual hujung September lalu. Sebagai perbandingan, Proton hanya menawarkan satu model EV iaitu eMas 7, manakala eMas 5 baru dibuka untuk tempahan dengan harga anggaran bermula sekitar RM60,000. Meskipun begitu, Proton masih kukuh di tempat kedua dengan 757 unit didaftarkan pada bulan September dan jumlah keseluruhan 6,212 unit setakat ini.

    Di tempat ketiga, Tesla mencatatkan 685 unit didaftarkan untuk bulan tersebut, menjadikan jumlah YTD kepada 3,847 unit. Ia merupakan prestasi kedua terbaik Tesla tahun ini selepas lonjakan besar pada bulan Mei dengan 1,075 unit. Kedudukan tiga teratas ini kekal tidak berubah sejak Ogos lalu, namun terdapat perkembangan menarik dalam senarai selepas itu.

    20 jenama EV paling laris September 2025 – BYD, Proton, Tesla di tiga tempat teratas, Zeekr keempat

    Salah satu pencapaian menonjol datang daripada Zeekr, yang mencatatkan peningkatan ketara kepada 293 unit berbanding bulan sebelumnya. Kenaikan ini didorong oleh penghantaran model 7X yang dilancarkan pada penghujung Ogos. Jumlah ini merupakan pencapaian bulanan tertinggi Zeekr tahun ini, menjadikan jumlah terkumpulnya kepada 972 unit.

    Xpeng turut menunjukkan peningkatan dengan 137 unit didaftarkan, membolehkannya mengekalkan kedudukan kelima dengan jumlah keseluruhan 979 unit. Di tempat keenam pula ialah BMW dengan 98 unit didaftarkan sepanjang September, menjadikan jumlah YTD sebanyak 1,215 unit.

    Porsche turut mencatatkan peningkatan apabila melonjak dari tempat kesepuluh ke ketujuh dengan 78 unit, menjadikan jumlah keseluruhan tahun ini kepada 545 unit. Seperti biasa, angka ini dijangka merangkumi kenderaan recond yang turut direkodkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebagai pendaftaran sah.

    20 jenama EV paling laris September 2025 – BYD, Proton, Tesla di tiga tempat teratas, Zeekr keempat

    Seterusnya, jenama mewah di bawah BYD iaitu Denza naik satu anak tangga ke tempat kelapan dengan 63 unit (850 unit YTD), diikuti oleh Chery di tempat kesembilan dengan 60 unit (554 YTD) dan Leapmotor melengkapkan sepuluh teratas dengan 53 unit (278 YTD).

    Di luar kelompok sepuluh teratas, Volvo mencatatkan 47 unit dan kini di tempat kesebelas dengan jumlah YTD sebanyak 418 unit, manakala MINI turun ke kedudukan ke-12 dengan 44 unit (471 YTD)

    Antara kemunculan baru dalam senarai ialah iCaur, yang memperkenalkan model pertamanya iaitu iCaur 03, sebuah SUV elektrik berkonsep lasak, pada awal September. Sebanyak 34 unit didaftarkan pada bulan tersebut, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 37 unit – angka ini dijangka termasuk unit yang didaftarkan untuk tujuan pemasaran atau ujian jalanan.

    20 jenama EV paling laris September 2025 – BYD, Proton, Tesla di tiga tempat teratas, Zeekr keempat

    Honda turut mencatat pendaftaran 34 unit, hasil jualan satu-satunya model EV mereka iaitu e:N1, dengan jumlah YTD kini sebanyak 76 unit.

    MG berada di tempat ke-15 dengan 32 unit (439 YTD), diikuti oleh Great Wall Motor dengan 20 unit (276 YTD) dan Mercedes-Benz di tempat ke-17 dengan hanya 15 unit – angka terendah bagi jenama itu setakat ini pada tahun ini – dengan jumlah keseluruhan 542 unit.

    Melengkapkan senarai 20 jenama EV terlaris di Malaysia ialah Dongfeng dengan 14 unit (100 YTD), smart dengan tujuh unit (186 YTD) – juga angka terendah tahun ini – dan Audi dengan enam unit, menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini 54 unit.

     
     
  • Mitsubishi Xpander kini mencatatkan jualan melebihi 50,000 unit sejak dilancarkan di pasaran Malaysia

    Mitsubishi Xpander kini mencatatkan jualan melebihi 50,000 unit sejak dilancarkan di pasaran Malaysia

    Mitsubishi Motors Malaysia (MMM), pengedar rasmi kenderaan Mitsubishi di Malaysia, telah mengumumkan bahawa Mitsubishi XPander telah terjual melepasi angka 50,000 unit sejak dilancarkan. Sekali gus mengukuhkan kedudukan Xpander sebagai MPV bukan nasional No.1 di Malaysia selama lima tahun berturut-turut sejak November 2020.

    “Pencapaian ini bukan sahaja mencerminkan dedikasi kami dalam menghasilkan kenderaan yang memenuhi keperluan keluarga Malaysia, tetapi juga menjadi satu detik membanggakan apabila lebih 50,000 pelanggan telah memilih Xpander. Kami akan terus komited untuk menyokong perjalanan anda, hari ini dan untuk tahun-tahun akan datang.

    “Kami amat berterima kasih atas kepercayaan yang telah diberikan oleh rakyat Malaysia selama ini. Mitsubishi Xpander telah berjaya menambat hati ramai, bukan sekadar sebagai sebuah kereta, tetapi sebagai teman dalam perjalanan harian. Kami berasa teruja melihat kejayaan berterusan Xpander di Malaysia, terutamanya ketika kami meraikan ulang tahun ke-20 Mitsubishi Motors Malaysia pada tahun ini,” kata Takashi Sakamaki, Ketua Pegawai Eksekutif MMM.

    Untuk pasaran Malaysia, MPV ini ditawarkan dengan dua varian iaitu Xpander dengan harga bermula RM99,980 dan model spesifikasi tertinggi Xpander Plus pula berharga RM109,980. Kedua-duanya diberikan penjana kuasa 1.5 liter naturally-aspirated empat-silinder MIVEC DOHC dengan hamburan 105 PS pada 6,000 rpm dan tork 141 Nm pada 4,000 rpm, dengan pacuan disalurkan ke roda hadapan menerusi kotak gear automatik empat-kelajuan (4AT) yang lama, walaupun versi facelift ini di pasaran negara Asean lain telah ditawarkan dengan CVT.

    Bagi meraikan pencapaian ini dan menghargai para pelanggannya, MMM juga sedang menjalankan kempen ‘Xpander Step Up To Your Dream’, yang menawarkan penjimatan sehingga RM10,000. Kempen ini merangkumi ansuran bulanan serendah RM799, subsidi insurans dan tawaran tukar beli untuk tempoh terhad.

    Kini MMM memiliki 63 bilik pameran (termasuk lapan pusat 4S) dan 63 pusat servis di seluruh Malaysia. Di Malaysia Timur, MMM mempunyai 16 bilik pameran (masing-masing lapan di Sarawak dan Sabah). Selain itu, ia juga mempunyai 30 pusat badan dan pembaikan (B&P) bertauliah di bandar-bandar utama bagi memenuhi permintaan pasaran.

    Mitsubishi Xpander Plus 2024

     
     
  • MAA sambut baik langkah kerajaan laksana ‘Lemon Law’, namun perlu perjelas definisi dan kriteria

    MAA sambut baik langkah kerajaan laksana ‘Lemon Law’, namun perlu perjelas definisi dan kriteria

    Seperti yang disebut oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2026 minggu lalu, kerajaan bakal meminda Akta Perlindungan Pengguna 1999 bagi memasukkan elemen undang-undang lemon (Lemon Law). Langkah ini bertujuan untuk melindungi hak pengguna, khususnya melibatkan pembelian kenderaan.

    Ini berikutan kajian kebolehlaksanaan selama enam bulan yang telah dijalankan tahun lepas menyimpulkan bahawa terdapat keperluan untuk mewujudkan rangka kerja undang-undang khusus untuk menangani isu dan batasan berkaitan perlindungan pengguna dalam industri automotif.

    Selepas itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merangka kertas kabinet awal tahun ini mencadangkan pindaan kepada Akta Perlindungan Pengguna 1999 untuk memasukkan peruntukan ‘Lemon law’. Namun ketika ia diumumkan dalam Belanjawan 2026 Jumaat lalu, kerajaan masih belum memperincikan bila ia akan mula dilaksanakan.

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menyambut baik langkah yang bakal dilaksanakan ini. Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan, persatuan itu berkata ia menyokong dan mengalu-alukan langkah kerajaan untuk meminda Akta Perlindungan Pengguna 1999 bagi memasukkan peruntukan ‘Lemon Law’, yang selaras dengan saranan awalnya untuk menyepadukan elemen ini dalam Akta sedia ada dan bukannya mewujudkan undang-undang baharu.

    MAA sambut baik langkah kerajaan laksana ‘Lemon Law’, namun perlu perjelas definisi dan kriteria

    Untuk memastikan pelaksanaan ‘Lemon Law’ yang berkesan, MAA mencadangkan definisi dan kriteria yang jelas harus diwujudkan bagi mengenal pasti apa yang ditakrifkan pada sesebuah kenderaan sebagai “lemon”, termasuk had percubaan pembaikan dan jangka masa.

    Ia turut menambah bahawa terdapat juga keperluan untuk proses yang adil dan piawai ditetapkan untuk penilaian, pengantaraan dan penyelesaian bagi mengelakkan kekaburan dan penyalahgunaan peruntukan itu. Selain itu, penglibatan pihak berkepentingan dan program kesedaran juga diperlukan untuk mendidik pengguna dan pemain industri tentang hak dan kewajipan mereka di bawah undang-undang yang dipinda.

    Lemon Law lazimnya merujuk kepada perlindungan terhadap pengguna yang membeli kenderaan yang mengalami kerosakan serius atau kecacatan tersembunyi yang menjejaskan keselamatan dan fungsi kenderaan tersebut. Pelaksanaan undang-undang ini di Malaysia dijangka akan memberi perlindungan yang lebih menyeluruh kepada pengguna dan menggalakkan amalan lebih bertanggungjawab dalam industri automotif negara.

    Skop perkara yang diliputi oleh ‘Lemon Law’ berbeza-beza bergantung pada cara ia dilaksanakan. Negara-negara seperti Amerika Syarikat, Australia, Kanada, Singapura dan Filipina telah pun mengamalkan beberapa bentuk ‘Lemon Law’ ini.

     
     
  • 20 jenama terlaris untuk Sept 2025 – Perodua, Proton, Toyota kekal tiga teratas, Chery naik di tempat kelima

    20 jenama terlaris untuk Sept 2025 – Perodua, Proton, Toyota kekal tiga teratas, Chery naik di tempat kelima

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengemaskini data pendaftaran kenderaan sehingga 30 September 2025, jadi mari kita lihat bagaimana prestasi jenama-jenama kereta pada bulan lalu. Seperti dijangka, Perodua terus mendahului dengan 23,394 unit bagi bulan tersebut, menjadikan jumlah jualan tahunan setakat ini (YTD) melepasi paras 250,000 unit iaitu sebanyak 255,094 unit.

    Dengan 12,572 unit didaftarkan, Proton berada di tempat kedua dan berjaya melepasi paras 100,000 unit dengan jumlah YTD sebanyak 110,150 unit. Tempat ketiga pula diduduki oleh Toyota dengan 10,380 unit, menjadikan jumlah YTD sebanyak 90,871 unit.

    Sementara itu, Honda berada di tempat keempat dengan 4,564 unit (51,321 YTD), diikuti oleh Chery yang naik satu anak tangga ke tempat kelima dengan 1,122 unit (9,042 YTD). Mitsubishi turut menunjukkan peningkatan dengan menduduki tempat keenam yang berjaya menjual sebanyak 1,073 unit (10,280 YTD), manakala Omoda | Jaecoo turun ke tempat ketujuh dengan 1,063 unit (13,582 YTD).

    20 jenama terlaris untuk Sept 2025 – Perodua, Proton, Toyota kekal tiga teratas, Chery naik di tempat kelima

    BYD pula menjadi jenama terakhir yang melepasi 1,000 unit pada September 2025, dengan jualan sejumlah 1,028 unit (8,417 YTD), membolehkannya mengekalkan kedudukan di tempat kelapan. Seterusnya ialah Tesla, yang melonjak ke tempat kesembilan dengan 685 unit (3,847 YTD), manakala Mazda kekal di tempat kesepuluh dengan 678 unit (6,261 YTD).

    Di luar kelompok 10 teratas, tersenarai Isuzu di tempat ke-11 dengan 579 unit (4,781 YTD), Mercedes-Benz di tempat ke-12 dengan 574 unit (6,866 YTD), BMW di tempat ke-13 dengan 567 unit (5,652 YTD) dan Great Wall Motor di tempat ke-14 dengan 551 unit (3,886 YTD). Nissan mengekalkan kedudukan di tempat ke-15 dengan 498 unit (4,838 YTD), manakala Lexus jatuh beberapa anak tangga ke tempat ke-16 dengan 479 unit (4,476 YTD).

    Empat jenama terakhir dalam senarai 20 teratas kekal hampir sama seperti pada Ogos 2025, dengan Jetour di tempat ke-17 dengan 322 unit (1,497 YTD), Ford di tempat ke-18 dengan 316 unit (3,698 YTD) dan Porsche di tempat ke-20 dengan 251 unit (1,977 YTD). Perubahan kali ini ialah MINI yang tersingkir daripada senarai 20 teratas akibat kemasukan Zeekr, yang mencatat jumlah pendaftaran tertinggi dalam satu bulan dengan 293 unit. Ini membolehkannya berada di tempat ke-19 dengan jumlah YTD sebanyak 972 unit.

    20 jenama terlaris untuk Sept 2025 – Perodua, Proton, Toyota kekal tiga teratas, Chery naik di tempat kelima

    Klik untuk besarkan

     
     
  • Honda terpaksa tutup tempahan Prelude di Jepun buat sementara; terlalu laris, 8 kali ganda dari jangkaan

    Honda terpaksa tutup tempahan Prelude di Jepun buat sementara; terlalu laris, 8 kali ganda dari jangkaan

    Hanya selepas sekitar sebulan Honda Prelude generasi ke-enam dilancarkan di Jepun, Honda mengumumkan terpaksa menghentikan sementara pengambilan tempahan terhadap coupe berkenaan kerana permintaan yang terlalu tinggi dan akan menyebabkan pelanggan terpaksa menunggu lama bagi mendapatkan kereta masing-masing.

    Ketika dilancarkan pada 5 September lalu, Prelude diumum dirancang untuk dijual sebanyak 300 unit sebulan. Namun dalam kenyataan baharu yang dikeluarkan jenama automotif Jepun berkenaan, sehingga sehingga 6 Oktober lalu sebanyak 2,400 unit Prelude telah ditempah, atau lapan kali ganda lebih banyak berbanding produksi sebulan yang dirancang.

    “Oleh kerana menerima lebih banyak tempahan daripada yang dijangka, beberapa pengedar kini menanganinya dengan menghentikan sementara pengambilan tempahan, namun dengan situasi permintaan yang meningkat ini, kami akan mengambil tindakan, termasuk meningkatkan produksi supaya lebih banyak pelanggan boleh membuat tempahan masing-masing,” kata Honda dalam kenyataan yang dikeluarkan tersebut.

    Honda Prelude 2026 ini diasaskan dari platform yang sama dengan Civic generasi ke-11 dan juga Acura Integra generasi terkini. Ia menampilkan rupa yang hampir sama sepenuhnya dengan versi prototaip yang didedahkan buat pertama kali pada Oktober 2023. Apa yang berbeza hanyalah model produksi ini diberikan penderia-penderia parkir pada bahagian bampar hadapan dan belakang.

    Honda terpaksa tutup tempahan Prelude di Jepun buat sementara; terlalu laris, 8 kali ganda dari jangkaan

    Coupe ini menerima muka dengan bentuk muncung yang tirus, diberikan lampu hadapan nipis bersama fungsi lampu tinggi adaptif serta lampu membelok aktif, dengan ‘kening’ jalur LED di atas. Ia turut diberikan bampar hadapan dengan spoiler bawah yang menyerlah, pembuka pintu tersorok, lampu belakang yang merentangi sepenuhnya penutup, bumbung ‘double-bubble’, spoiler but ‘ekor itik’ dan juga diffuser yang agresif.

    Jalur serlahan biru diberikan pada bampar hadapan dan belakang, dan badan Prelude ini juga nampak ‘bersih’ kerana panel-panel badan dicantum dengan teknik laser brazing tanpa memerlukan kimpalan ditutup dengan perapi dan juga antena yang dicetak pada cermin belakang tanpa memerlukan ‘sirip yu’.

    Rupa luaran model ini dilengkapkan pemandanan set roda yang menampilkan rim 19-inci pelbagai jejari dalam kemasan hitam berkilat, dibalut dengan tayar 235/40R19.

    Honda terpaksa tutup tempahan Prelude di Jepun buat sementara; terlalu laris, 8 kali ganda dari jangkaan

    Prelude menerima unit rangkaian kuasa e:HEV yang diambil dari Civic Hybrid. Jadi ia menerima enjin 2.0 liter empat silinder kitaran Atkinson yang menjana 141 hp dan juga tork 181 Nm, digandingkan bersama dua motor elektrik yang menghasilkan 181 hp dan tork maksima 315 Nm. Menurut Honda, secara keseluruhan Prelude ini dibekalkan dengan kuasa sebanyak 200 hp dan tork maksima 315 Nm.

    Enjin petrol pada Prelude ini pada kebanyakkan masa hanya akan berfungsi untuk mengecas bateri hibrid, manakala setiap kali mula bergerak roda hadapan akan dipacu oleh motor elektrik membolehkan tork 315 Nm berkenaan diberikan dari 0 rpm. Namun pada situasi tertentu seperti pada kelajuan tinggi, enjin akan dihubungkan kepada motor elektrik untuk bersama-sama memacu roda menerusi klac lock-up yang dibekalkan.

    Pada Civic Hybrid, ia sudahpun diberikan bunyi enjin dan tukaran gear palsu bagi mengelakkan rasa janggal pada pemandu ketika memandu kereta tersebut. Namun untuk Prelude, bunyi berkenaan ditambah baik dengan Active Sound Control (ASC), malah dengan mod Honda S+ Shift, pemandu turut boleh ‘menukar gear’ palsu tersebut secara manual menerusi pedal penukar gear aluminium yang dipadankan pada roda stereng.

    Mod berkenaan akan memberikan lapan nisbah gear palsu, dan akan turut memberikan rasa ‘shift shock’ seperti kotak gear sebenar setiap kali gear ditukar. Menurut Honda, rasa dan kepantasan tukaran gear palsu pada Prelude ini diberikan rasa seperti tukaran kotak gear DCT Honda NSX generasi kedua. Sistem ini juga akan memberikan bunyi throttle blip setiap kali gear palsu berkenaan diturunkan secara manual.

    Untuk casis, Prelude diberikan konfigurasi suspensi hadapan topang dua paksi yang sama seperti Honda Civic Type R dan juga Acura Integra Type S, membolehkan torque steer yang lazimnya terjadi pada kereta pacuan hadapan ketika memecut dilenyapkan sepenuhnya. Ia juga menerima angkup brek empat omboh Brembo di hadapan dalam kemasan biru serta angkup belakang yang lebih kecil juga berwarna biru, yang sebenarnya merupakan sistem yang sama digunakan pada hot-hatch Honda Civic Type R.

    Di Jepun Honda Prelude 2026 ini dijual pada harga bermula 6,179,800 yen (sekitar RM176k) untuk varian standard, manakala Prelude ON Limited Edition pula dijual pada harga 6,480,100 yen (sekitar RM185k). Ia sebenarnya lebih mahal berbanding Civic Type R di mana model asas hot hatch berkenaan dijual pada harga bermula 4,997,300 yen (sekitar RM143k). Honda juga memberitahu bahawa kebanyakkan pelanggan yang menempah Prelude baharu ini merupakan mereka yang berumur 50’an dan 60’an sebagai kereta kedua.



    GALERI: Honda Prelude 2026 pasaran Jepun

     
     
  • JPJ eBid: APF dan SJP bakal dibuka untuk bidaan

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengumumkan bahawa siri nombor pendaftaran terkini dari Perak dan Sabah bakal dibuka bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Antara pilihan yang ada ialah siri nombor pendaftaran terkini dari Perak, APF, yang boleh dibida mulai 15 Okt ini. Bidaannya akan berakhir jam 10 malam pada 19 Okt. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 20 Okt 2025. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau sebaliknya) menerusi e-mel.

    Manakala siri nombor pendaftaran terkini Sabah, SJP, bakal dibuka bidaan mulai 19 Oktober. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 23 Oktober, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 24 Oktober 2025.

    Jadi, sekarang ini anda boleh menjimatkan masa dan wang ringgit dengan membida sendiri nombor pendaftaran yang anda hajati tanpa perlu menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner). Tak susah pun untuk membidanya dan anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk tujuan bidaan ini.

     
     
  • Pendapatan negara hasil duti import, eksais dan cukai jualan dianggarkan sebanyak RM11.1 bilion untuk 2025

    Pendapatan negara hasil duti import, eksais dan cukai jualan dianggarkan sebanyak RM11.1 bilion untuk 2025

    Merujuk kepada dokumen “Anggaran Tinjaun Fiskal dan Pendapatan Kerajaan Persekutuan”, pendapatan keseluruhan kerajaan yang dikutip hasil daripada duti import, duti eksais dan cukai jualan kenderaan tahun ini dianggarkan sebanyak RM11.1 bilion.

    Anggaran berkenaan terdiri daripada beberapa pecahan pendapatan berkaitan jualan kenderaan. Sebagai contoh, Anggaran Duti Import untuk kenderaan pada 2025 ialah RM630,058,000, sementara bagi 2026 pula ialah RM630,916,000.

    Bagi Duti Eksais ke atas kenderaan CKD pula (kereta dan motosikal), angka anggaran bagi 2025 ialah RM3,968,739,000, sementara bagi 2026 ialah RM4,058,367,000.

    Duti Eksais ke atas kenderaan CBU (kereta) bagi 2025 adalah dengan anggaran RM3,268,414,000, sementara anggaran untuk anggaran 2026 ialah RM3,342,225,000.

    Kutipan Cukai Jualan ke atas kenderaan CKD (penumpang dan perdagangan) bagi 2025 pula ialah RM2,107,710,000, sementara untuk tahun 2026 ialah RM2,327,385,000. Bagi Cukai Jualan ke atas kenderaan CBU (penumpang dan perdagangan) pula, bagi 2025 dianggarkan RM1,131,969,000 sementara bagi 2026 ialah RM1,249,947,000.

    Jika digabungkan Duti Import ke atas semua kenderaan, kutipan pada 2025 dianggarkan sebanyak RM630,058,000, sementara untuk 2026 ialah RM630,916,000. Bagi Duti Eksais ke atas semua kenderaan pula, 2025 dianggarkan terkumpul sebanyak RM7,237,153,000, dan bagi 2026 ialah RM7,400,592,000.

    Cukai Jualan ke atas semua kenderaan (penumpang dan perdagangan) pada 2025 dianggarkan sebanyak RM3,239,679,000, dan untuk 2026 dianggarkan sebanyak RM3,577,332,000.

    Ini membawa kepada jumlah keseluruhan anggaran bagi 2025 sebanyak RM11,106,890,000, sementara bagi 2026 ialah RM11,608,840,000.

     
     
  • Belanjawan 2026: LRT Laluan Mutiara dilaksana, LRT3 beroperasi akhir 2025, ECRL Fasa 1 siap hujung 2026

    Belanjawan 2026: LRT Laluan Mutiara dilaksana, LRT3 beroperasi akhir 2025, ECRL Fasa 1 siap hujung 2026

    Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengumumkan bahawa ketersambungan sistem rel di negara ini akan diperkukuhkan demi untuk kemudahan rakyat.

    Ia melibatkan perkhidmatan tren KTM ETS3 ke Johor Bahru Sentral yang dijangka siap akhir tahun ini selepas Stesen Kluang mula beroperasi pada 30 Ogos lalu.

    Selain itu, LRT3 Laluan Shah Alam yang sepatutnya mula beroperasi pada 30 September lalu namun mengalami kelewatan, dijangka akan memulakan perkhidmatannya pada akhir tahun ini. “Ini akan menghubungkan Bandar Utama, Damansara ke Johan Setia, Klang yang mampu membawa lebih 6,200 penumpang setiap jam setiap arah,” kata Anwar.

    Belanjawan 2026: LRT Laluan Mutiara dilaksana, LRT3 beroperasi akhir 2025, ECRL Fasa 1 siap hujung 2026

    Tambahnya, bagi LRT Laluan Kelana Jaya pula, kecekapannya akan ditingkatkan melalui penggantian 26 unit tren baharu dengan kos sebanyak RM1 bilion oleh Prasarana.

    Bagi projek ECRL Fasa 1 Kota Bharu-Gombak pula, ia dijangka siap akhir 2026. Perkhidmatan tren ini bakal mengurangkan masa perjalanan Kelantan ke Lembah Klang kepada empat jam.

    Manakala projek naiktaraf Landasan Kereta Api Berkembar Elektrik di Lembah Klang Fasa 2 dijangka siap sepenuhnya pada 2029. “Ini akan menghubungkan Bandar Tasik Selatan ke Seremban dan Simpang Pelabuhan Klang ke Port Klang dengan kos pembinaan RM4.1 bilion,” jelasnya lagi.

    Yang terakhir buat masa ini, katanya, projek pembinaan LRT Laluan Mutiara di Pulau Pinang mula dilaksanakan. Di mana ia bakal memanfaat 1.8 juta penduduk selain 3.5 juta pengunjung luar ke Pulau Pinang.

     
     
  • Belanjawan 2026: Pengecualian cukai EV CBU tidak disambung, harga dijangka naik 1 Januari 2026

    Belanjawan 2026: Pengecualian cukai EV CBU tidak disambung, harga dijangka naik 1 Januari 2026

    Pembentangan Belanjawan 2026 baru-baru ini tidak menyentuh langsung mengenai lanjutan pengecualian duti import dan eksais bagi kenderaan elektrik (EV) import sepenuhnya (CBU), yang sudah dinikmati sejak tahun 2022. Ini bermakna, kita boleh menjangkakan harga bagi model-model EV import meningkat mulai 1 Januari 2026.

    Perkara ini disahkan oleh Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) melalui laporan Fiscal Outlook and Federal Government Revenue Estimates, menurut laporan The Edge. Dalam laporan tersebut, MOF menyatakan bahawa hasil kutipan kerajaan dijangka meningkat kepada RM12.79 bilion pada tahun 2026, berbanding RM12.51 bilion yang diunjurkan bagi tahun 2025. Sebahagian daripada peningkatan ini dijangka datang daripada penamatan insentif cukai EV sedia ada.

    Sebelum ini, kerajaan telah dua kali melanjutkan tempoh pengecualian cukai untuk EV CBU. Pada asalnya, insentif ini dijadualkan tamat pada penghujung tahun 2023, namun dilanjutkan ke akhir 2024 melalui Belanjawan 2023. Kemudiannya, selepas kerajaan Madani mengambil alih pentadbiran, tempoh itu sekali lagi dipanjangkan sehingga hujung 2025.

    Namun begitu, dalam Belanjawan 2026 yang baru dibentangkan, tiada sebarang pengumuman dibuat mengenai lanjutan insentif ini, meskipun pemain industri terus menyuarakan harapan agar ia diteruskan.

     
     
  • Belanjawan 2026: Peruntukan RM2.5 bilion selenggara jalan persekutuan, RM5.6 bilion untuk jalan negeri

    Belanjawan 2026: Peruntukan RM2.5 bilion selenggara jalan persekutuan, RM5.6 bilion untuk jalan negeri

    Bagi membendung kecelakaan jalan raya yang terus berlaku, kerajaan akan mengambil beberapa langkah antaranya untuk memastikan keadaan jalan dan persekitarannya bertambahan baik dan tidak lagi menjadi punca kemalangan.

    Antara perkara yang akan dilakukan ialah dengan menyediakan peruntukan sebanyak RM2.5 bilion untuk selenggara Jalan Persekutuan — termasuk bagi tujuan menurap jalan berlubang, memasang lampu jalan
    di kawasan berisiko serta mengganti perabot jalan. 700 juta ringgit dikhaskan untuk kontraktor G1-G4.

    Selain itu, RM5.6 bilion pemberian MARRIS juga akan diserahkan kepada kerajaan negeri untuk menyelenggara jalan negeri di seluruh negara. RM30 juta lagi diperuntukkan untuk memperkasa peranan Jurutera Daerah bagi mempercepat kera-kerja pembaikan kecil di daerah termasuk aduan rakyat melalui aplikasi MY Jalan.

    Lembaga Lebuhraya Malaysia juga akan memasang 3,000 unit lampu LED di beberapa lokasi tumpuan lebuh raya yang berisiko terjadinya kemalangan.

    Bagi membantu penguatkuasaan had laju, kerajaan juga mencadangkan agar kos pembelian alat pengehad kelajuan untuk kenderaan berat diberi Elaun Modal Dipercepatkan untuk dituntut dalam tempoh satu tahun.

    Program Saringan Kesihatan PERKESO juga akan diperluas kepada pemandu pengangkutan awam dan barangan.

     
     
  • K’jaan tawar geran padanan hingga RM4k untuk lupus kereta berusia lebih 20 tahun, beli kereta nasional baru

    K’jaan tawar geran padanan hingga RM4k untuk lupus kereta berusia lebih 20 tahun, beli kereta nasional baru

    Bagi menggalakkan rakyat Malaysia menukar kereta lama dengan kereta baharu yang lebih selamat, kerajaan bersama syarikat kenderaan nasional akan menyediakan geran padanan sehingga RM4,000 untuk pembeli menukar kereta lama yang sudah berusia 20 tahun ke atas kepada kereta lebih baharu.

    “Kereta melebihi 20 tahun yang tidak ekonomik berisiko menjejaskan keselamatan. Kerajaan bersama syarikat pengeluar kenderaan nasional menyediakan geran padanan sehingga 4,000 ringgit untuk menggalakkan pemilik melupus kenderaan lama dan membeli kenderaan nasional baharu,” kata Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2026 sebentar tadi.

    Ini bermakna sekiranya pembeli bersetuju untuk melupuskan kereta lama bagi bertukar kepada kereta baharu dari jenama tempatan seperti Proton dan Perodua, kerajaan akan memberikan tambahan insentif dengan nilai rebat yang sama diberikan oleh pengeluar berkenaan, tetapi dihadkan hanya kepada RM4,000.

    K’jaan tawar geran padanan hingga RM4k untuk lupus kereta berusia lebih 20 tahun, beli kereta nasional baru

    Contohnya sekiranya Proton/Perodua memberikan rebat sebanyak RM2,000 untuk pembeli lupuskan kereta lama dan membeli kereta baharu, pembeli akan menerima insentif tambahan sebanyak RM2,000 lagi, bagi memberikan diskaun pembelian keseluruhan sebanyak RM4,000.

    Namun sekiranya pengeluar memberikan rebat lebih dari RM4,000, contohnya RM5,000, pembeli akan menerima insentif tambahan sehingga RM4,000, bagi memberikan diskaun pembelian keseluruhan sebanyak RM9,000 untuk melupuskan kereta lama berusia 20 tahun ke atas dan membeli kereta baharu jenama tempatan.

    Diumumkan pada Belanjawan 2026, sudah tentu skim ini akan bermula pada tahun hadapan. Namun bila tarikh sebenar perlaksanaannya masih belum diketahui.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.67 (0.00)
EURO 5 B7 RM4.87 (0.00)
Last Updated Jun 11, 2026