Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • JPJ eBid: Siri VQA dan BSP dibuka untuk bidaan

    Bagi yang sedang mencari nombor pendaftaran bagi kenderaan, ini ada siri terkini dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) dan Selangor yang dibuka bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), siri nombor pendaftaran terkini dari WPKL, VQA dibuka bidaan bermula hari ini, 9 Okt 2025. Bidaannya akan berakhir jam 10 malam pada 13 Okt. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 14 Okt 2025. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala siri nombor pendaftaran terkini Selangor, BSP, dibuka bidaan sejak mulai 15 Okt 2025. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 19 Okt, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 20 Okt 2025.

    Memandangkan kini banyak urusan yang boleh dibuat secara dalam talian, jadi kalau nak dapatkan nombor pendaftaran kenderaan terkini, anda boleh lakukan sendiri tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran kenderaan yang diingini.

     
     
  • Harga minyak 9-15 Okt – RON97 turun 3 sen seliter

    Harga minyak 9-15 Okt – RON97 turun 3 sen seliter

    Kementerian Kewangan (MoF) mengumumkan bahawa bagi minggu bertarikh 9 hingga 15 Oktober 2025, harga runcit petrol RON97 diturunkan sebanyak 3 sen seliter iaitu menjadi RM3.18 seliter.

    Untuk harga RON95 tanpa subsidi masih dikekalkan pada RM2.60 seliter untuk sepanjang Oktober ini. Manakala di bawah program Budi95 yang dikuatkuasakan sejak 30 September lalu, RON95 masih ditetapkan pada harga RM1.99 seliter.

    Bagi harga diesel pula, bagi pasaran Semenanjung Malaysia, ia dikekalkan pada paras RM2.93 seliter, begitu juga dengan di Sabah, Sarawak dan Labuan yang masih kekal pada RM2.15 seliter.

    Pada 23 Sept lalu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan memberi jaminan bahawa harga subsidi petrol RON95 pada RM1.99 seliter di bawah program Budi95 akan dikekalkan dalam tempoh terdekat selepas pelaksanaannya. Walau bagaimana pun, katanya, kerajaan tidak menjamin harga tersebut akan kekal sepanjang masa kerana ia bergantung keadaan semasa.

     
     
  • Volkswagen Golf GTI Sepang Edition 2025 dilancarkan di Malaysia – RM264,012 dengan VAP, 245 PS/370 Nm

    Volkswagen Golf GTI Sepang Edition 2025 dilancarkan di Malaysia – RM264,012 dengan VAP, 245 PS/370 Nm

    Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) secara rasmi telahpun memperkenalkan satu lagi model edisi terhad hot-hatch Golf GTI yang dihasilkan secara pemasangan tempatan (CKD) di Malaysia – ini dia Volkswagen Golf GTI Sepang Edition 2025.

    Menurut VPCM, Golf GTI Sepang Edition ini merupakan kolaborasi pertamanya dengan pihak luar bagi penghasilan sebuah model edisi terhad, begitu juga dengan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) di mana ini merupakan model kereta pertama dalam dunia yang dihasilkan sempena nama litar ikonik berkenaan.

    Model ini ditawarkan hanya dalam dua pilihan warna badan iaitu Biru Atlantic dan Merah King. Bagi membezakan versi istimewa ini dengan model biasa, ia diberikan emblem Sepang Edition pada bahagian penutup but belakang, logo Sepang Edition dengan kemasan UV Gloss pada tiang-B, pelekat badan dengan grafik istimewa pada bahagian bawah pintu, serta perumah nombor plat istimewa Sepang Edition.

    Volkswagen Golf GTI Sepang Edition 2025 dilancarkan di Malaysia – RM264,012 dengan VAP, 245 PS/370 Nm

    Rim aloi Richmond 18-inci masih digunakan pada GTI Sepang Editon ini, namun ia hadir dalam kemasan kelabu Gunmetal Matte serta diberikan penutup hab dinamik GTI yang sentiasa dalam keadaan asal walapun roda sedang berputar. Versi istimewa ini juga diberikan kemasan hitam berkilat pada bumbung, penutup cermin sisi dan juga kit badan termasuk spoiler hadapan, diffuser belakang dan skirt sisi.

    Selain dari itu, Golf GTI Sepang Edition ini juga datang standard dengan karpet lantai GTI, penutup injap angin tayar GTI, filem penapis haba cermin asli Volkswagen, perakam Trafik Universal 2.0 (depan & belakang) dengan penderia penglihatan malam Sony Starvis serta pemegang kunci dengan sijil ketulenan bagi mengesahkan bahawa ini adalah model edisi terhad yang asli.

    Tiada sebarang talaan prestasi lebih baik dibuat sama ada unit rangkaian kuasa mahupun pada bahagian casis model edisi terhad ini. Ia masih menggunakan enjin 2.0 liter turbo empat silinder berkuasa 245 PS dan tork maksima 370 Nm, digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik (klac basah) tujuh kelajuan, bagi memacu sepenuhnya roda hadapan.

    Kotak gear tersebut juga menerima sistem differential lock elektronik XDS yang berfungsi berasaskan sistem ESC bagi memberikan lebih cengkaman roda hadapan ketika mengambil selekoh. Manakala sistem Vehicle Dynamics Manager bersama Dynamic Chassis Control juga dibekalkan bagi membantu pengedalian.

    “Menjadi jenama automotif pertama bekerjasama dengan SIC dalam memperkenalkan sebuah kenderaan, ia menjadi bukti penghormatan kami terhadap legasi perlumbaan di Malaysia dan komitmen kami untuk menghasilkan kereta yang penuh dengan karekter. Kolaborasi ini membolehkan kami mencipta sejarah bersama-sama dan kami sangat bangga dengan pencapaian ini,” kata Pengarah Urusan Volkswagen Passenger Cars Malaysia, Renate Noessler.

    “Kerjasama di antara Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dan Volkswagen menandakan satu lembaran baharu yang cukup menarik dalam budaya sukan bermotor di Malaysia. Ia bukan sekadar satu pelancaran kereta, malah turut meraikan identiti, rasa bangga dan semangat yang dikongsi bersama yang mentakrifkan SIC.

    “Selama lebih dua dekad, SIC telah nenjadi nadi kepada sukan permotoran negara, sebuah arena yang menyatukan semangat dan komuniti. Kami sangat berterima kasih kepada Volkswagen kerana membawa legasi SIC melangkaui litar ini. Golf GTI Sepang Edition menjadi simbol kebanggan sukan permotoran negara yang dekat di hati rakyat Malaysia,” kata Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif.

    Volkswagen Golf GTI Sepang Edition ini djual pada harga atas jalan tanpa insuran bermula RM264,012. Harga ini termasuk dengan Volkswagen Assurance Package (VAP) bernilai RM12,500 yang memberikan perlindungan waranti tanpa had perbatuan dan bantuan tepi jalan percuma selama 5 tahun serta penyelenggaraan percuma selama 7 tahun (RM251,512 sekiranya tanpa VAP dengan perlindungan waranti standard selama dua tahun tanpa had perbatuan).

    Sebagai perbandingan versi biasa Golf GTI dijual pada harga hampir RM9,000 lebih murah iaitu RM254,012 bersama pakej VAP yang menawarkan waranti pengeluar selama lima-tahun tanpa had perbatuan serta pakej servis selama lima tahun atau 75,000 km.

     
     
  • Stesen LRT Bukit Jalil dilanjut operasi hingga 12.30 tengah malam ini sempena Solidariti Bersama Gaza

    Stesen LRT Bukit Jalil dilanjut operasi hingga 12.30 tengah malam ini sempena Solidariti Bersama Gaza

    Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) selaku pengendali perkhidmatan rel Rapid KL mengumumkan bahawa waktu operasi bagi Stesen Bukit Jalil pada 8 Oktober 2025 dilanjutkan sehingga jam 12.30 tengah malam. Ia adalah bersempena Majlis Himpunan Solidariti Bersama Gaza yang akan berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil pada jam 8 malam ini yang turut akan disertai Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    “Bagi memastikan kelancaran pergerakan penumpang, perkhidmatan tren tambahan akan disediakan bagi memudahkan penumpang pulang ke destinasi masing-masing dengan selesa. Stesen-stesen lain akan menamatkan operasi seperti biasa, namun penumpang masih dibenarkan keluar di stesen berkenaan bagi meneruskan perjalanan,”kata Rapid Rail.

    Walau bagaimana pun, beberapa stesen pertukaran terpilih turut dilanjutkan waktu operasi bagi membolehkan penumpang meneruskan perjalanan ke destinasi akhir iaitu melibatkan Laluan Kelana Jaya untuk ke Stesen LRT Masjid Jamek, Laluan Ampang/Sri Petaling untuk ke Stesen LRT Masjid Jamek, Plaza Rakyat, Hang Tuah, Chan Sow Lin, Maluri dan Sungai Besi.

    Stesen LRT Bukit Jalil dilanjut operasi hingga 12.30 tengah malam ini sempena Solidariti Bersama Gaza

    Selain itu, ia juga melibatkan Laluan Monorel KL untuk ke Stesen Hang Tuah, MRT Laluan Kajang (Stesen Pasar Seni, Merdeka, Tun Razak Exchange (TRX) dan Maluri) serta MRT Laluan Putrajaya (Stesen Tun Razak Exchange (TRX), Chan Sow Lin dan Sungai Besi.

    Dalam masa yang sama, Rapid Rail menggalakkan penumpang supaya menggunakan kad Touch ‘n Go bagi menikmati perjalanan yang lebih lancar. Bagi pengguna token, disarankan untuk membeli token pergi dan balik lebih awal sebelum keluar dari stesen.

    Untuk maklumat terkini mengenai status perkhidmatan, penumpang boleh merujuk saluran media sosial rasmi Rapid KL atau aplikasi PULSE bagi merancang perjalanan.

     
     
  • Budi95: KPDN berhak untuk periksa kad pengenalan

    Budi95: KPDN berhak untuk periksa kad pengenalan

    Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Mohd Sabri Seman menjelaskan kementeriannya mempunyai kuasa sah untuk memeriksa kad pengenalan pengguna bagi melancarkan pelaksanaan program subsidi bersasar Budi Madani RON 95 (Budi95) menerusi Sistem Kawalan Petrol Subsidi (SKPS), lapor Bernama.

    Ini adalah bagi menghindarkan salah guna identiti, dengan pemeriksaan kad pengenalan hanya dilakukan bila perlu, sebagai satu kaedah kawalan dan langkah berjaga-jaga, jelas Mohd Sabri, yang turut menambah bahawa tinjauan menyeluruh sedang dijalankan di semua stesen petrol berlesen di Kuala Lumpur sempena pelaksanaan penuh program Budi95.

    “Selari dengan fokus KPDN untuk memperketatkan penguatkuasaan menerusi pengurusan risiko dan penyepaduan digital, 101 pegawai penguatkuasa di Kuala Lumpur telah ditugaskan untuk menjalankan pemeriksaan. Setakat ini, 196 buah stesen minyak telah diperiksa, dan tiada sebarang masalah yang dikesan serta tiada aduan yang diterima berkaitan pelaksanaan SKPS di mana-mana stesen di sini,” ujarnya.

    Pengarah KPDN itu juga berkata, pembelian petrol melalui SKPS dan skim Budi95 direkod secara digital dan telus bagi membolehkan peninjauan yang lebih berkesan untuk mengesan aktiviti meragukan, seperti pembelian kerap yang berulang dan dalam jumlah yang banyak.

    “Pendekatan ini juga membantu untuk mengelak manipulasi dan ketirisan di sepanjang rantaian bekalan petrol, dan dengan berkesan menghalang penyeludupan seperti yang berlaku sebelum ini,” ujar Mohd Sabri.

     
     
  • Budi95 hanya terima 34 aduan setakat ini — Fuziah

    Budi95 hanya terima 34 aduan setakat ini — Fuziah

    Sejak mula dilaksanakan minggu lalu, secara umumnya Budi Madani RON 95 (Budi95) berjalan lancar tanpa banyak masalah. Perkara ini disuarakan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Senator Datuk Dr Fuziah Salleh, dilaporkan oleh The Star.

    “Kami meneruma 34 aduan sejak pelaksanaan Budi95. Tinjaun oleh kementerian mendapati, faktor utama untuk dua laporan yang diterima itu adalah berkaitan masalah dengan sistem. Walaupun begitu, stesen minyak membayar semula perbezaan harga yang terlibat kepada pelanggan yang terkesan,” jelas beliau dalam sesi di Dewan Rakyat hari ini dalam jawapan kepada pertanyaan daripada Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa.

    Aduan atau rungutan lain pula adalah berkaitan kiosk pam di luar yang offline. Beliau menjelaskan, setiap sistem berkenaan adalah di bawah selian stesen masing-masing, dan transaksi masih boleh diteruskan di kaunter dalam premis menggunakan pengimbas.

    Beliau juga mendedahkan, bermula 9 Oktober (esok), perniagaan dan individu yang membeli RON 95 dengan harga RM2.60 seliter yang disebabkan oleh masalah teknikal boleh menuntut pemulangan lebihan bayaran itu melalui mysubsidi.kpdn.gov.my — dengan melampirkan resit sebagai bukti pembelian.

     
     
  • Dacia Hipster Concept beri petunjuk kepada model EV mampu milik kompak petak, empat tempat duduk

    Dacia Hipster Concept beri petunjuk kepada model EV mampu milik kompak petak, empat tempat duduk

    Perkataan “hipster” mungkin sudah lama tidak kedengaran dalam perbualan harian, tapi Dacia telah menghidupkannya semula melalui sebuah konsep kereta elektrik terbaru yang cukup unik – dikenali sebagai Dacia Hipster.

    Bukan setakat nama sahaja pelik, model ini juga mewakili visi Renault (selaku pemilik Dacia) untuk menghasilkan sebuah kereta elektrik ringkas dan mampu milik yang disasarkan menjadi kereta elektrik rakyat untuk masa depan. Ada kemungkinan model ini akan menjadi calon Dacia dalam kategori baru yang dicadangkan Kesatuan Eropah, dikenali sebagai ‘E-car’.

    Menurut laporan Autocar, Presiden EU Ursula von der Leyen sedang berbincang dengan pihak industri automotif untuk mewujudkan satu kategori baru untuk kelas kenderaan kecil, berharga rendah dan dengan piawaian keselamatan yang lebih longgar. Ia seakan-akan kelas kei car di Jepun, tetapi versi Eropah. Sebagai contoh, beg udara dalam Dacia Hipster cuma ada dua sahaja.

    Dacia Hipster Concept beri petunjuk kepada model EV mampu milik kompak petak, empat tempat duduk

    Apa yang lebih menarik, Hipster ini tidak mempunyai sebarang overhang – bahagian badan kereta direka sepenuhnya ke sudut-sudut kenderaan untuk memaksimumkan ruang. Dengan ukuran panjang hanya 3.0 meter, lebar 1.55 meter dan tinggi 1.53 meter, ia lebih kecil daripada Fiat 500e, namun masih mampu memuatkan empat tempat duduk dan ruang but asas 70 liter (yang boleh dibesarkan hingga 500 liter). Berat keseluruhan pula hanya sekitar 800 kg – cukup ringan untuk sebuah EV.

    Dari segi rekaan luaran, ia tampak berani dan unik – penuh dengan garisan tajam dan bentuk bersegi. Jika dilihat dari sisi, mungkin ada sedikit bayangan Land Rover Defender, terutama pada profil kotaknya. Pintu belakang dibuka dalam dua bahagian, dengan bahagian atas diperbuat daripada kaca dan lampu belakang pula tersembunyi di sebalik kaca tersebut. Pembuka pintu? Bukan jenis biasa – hanya tali yang dilekatkan pada hujung pintu, gaya minimalis yang cukup ekstrem.

    Masuk ke dalam, anda akan rasa seperti menaiki kereta dari masa depan versi retro. Roda stereng berbentuk heksagon, tempat duduk hadapan jenis bersambung, kemasan fabrik berjaring, tingkap sisi yang boleh ditolak secara manual dan rekaan kabin dengan kaca hampir menegak sepenuhnya menjadikan suasana sangat berbeza dari kebiasaan.

    Di sekeliling kabin terdapat 11 titik penyangkut khas untuk anda pasangkan aksesori seperti pemegang cawan, lampu siling atau perehat tangan. Skrin tengah? Gunakan sahaja telefon pintar anda sendiri – selaras dengan pendekatan “balik ke asas” yang dibawa Dacia, cuma kali ini dengan penampilan yang cukup bergaya dan luar kotak.

    Namun begitu, jangan mengharapkan jarak pemanduan yang luar biasa. Dacia tidak berkongsi sebarang angka rasmi berkenaan kapasiti bateri atau motor elektrik, sebaliknya cuma menyatakan bahawa Hipster direka untuk kegunaan harian, cukup dengan dua kali cas seminggu. Di Perancis, 94% pemandu tidak melepasi 40 km sehari, kata Dacia – jadi mereka beranggapan kapasiti asas ini memadai. Tapi, harus diingat, dunia ini ada lebih daripada 190 negara lain dengan corak pemanduan berbeza.

    Meskipun prestasi mungkin tidak menyaingi EV dari China yang sedang membanjiri pasaran, pendekatan Hipster ini cukup menyegarkan. Ia tampil dengan idea yang segar, rekaan yang berani dan pendekatan “kurang itu lebih” yang menarik perhatian. Kalau anda nak tahu maksud sebenar “hipster” dalam dunia automotif, lihat sahaja model ini – lain daripada yang lain.

     
     
  • Kejohanan E-Racing Toyota GR M’sia; 20 pelumba sim berentap di pusingan akhir 2025 hujung minggu ini!

    Kejohanan E-Racing Toyota GR M’sia; 20 pelumba sim berentap di pusingan akhir 2025 hujung minggu ini!

    Pusingan akhir Kejohanan E-Racing Toyota Gazoo Racing (GR) Malaysia 2025 bakal berlangsung hujung minggu ini iaitu pada 10 hingga 11 Oktober, yang akan menyaksikan pertembungan 20 pelumba simulator terbaik negara berlumba dalam kategori masing-masing. Perlumbaan ini akan dilangsungkan di Sunway Universiti, di mana pelumba-pelumba akan merebut hadiah wang tunai terkumpul berjumlah RM123,000.

    Berbeza dengan kejohanan sebelum ini yang dikenali sebagai GT Cup Malaysia dan hanya menampilkan perlumbaan menggunakan platform Gran Turismo 7, siri kejohanan baharu ini turut menampilkan tiga platform simulator lain iaitu Assetto Corsa, RaceRoom dan juga iRacing. Dengan format baharu ini lebih banyak bakal dapat dicungkil di mana 35% peserta yang dapat mara ke pusingan separa akhir tahun ini adalah muka-muka baharu.

    “Pengenalan pusingan kelayakan berbilang platform tahun ini telah meningkatkan persaingan, melahirkan lebih ramai juara serba boleh yang menunjukkan kepelbagaian, kebolehsuaian dan pemikiran strategik. Ia mencerminkan komitmen kami terhadap pembangunan bakat holistik — memupuk individu yang menunjukkan kecemerlangan dalam sukan permotoran, daya tahan, kepimpinan dan perwatakan yang sama,” kata Datuk Ravindran K., Presiden UMW Toyota Motor.

    Kejohanan ini dibahagikan kepada dua kelas iaitu Pro dan Campus Tour. Bagi kelas Pro, ia telah bermula pada Mei lalu dengan tiga pusingan berlangsung bagi memilih 40 pelumba untuk mara ke pusingan suku akhir. Dari situ 20 pelumba terbaik meneruskan cabaran ke peringkat separa akhir bagi menyaring 10 pelumba terbaik untuk bersaing diperingkat akhir.

    Manakala bagi kelas Campus Tour, TGR Malaysia telah mengunjungi lapan universiti awam dan swasta di seluruh negara bagi mencari bakat-bakat baharu dalam sukan permotoran. 10 pelumba terpantas di setiap kampus tersebut dipilih untuk menyertai kejohanan nasional ini.

    Kejohanan E-Racing Toyota GR Malaysia ini bukan hanya membuka peluang kepada para pemenang untuk bertanding dalam peringkat antarabangsa selepas ini, malah ia juga merupakan antara ‘pintu masuk’ bagi memberikan peluang bagi pelumba-pelumba simulator berkenaan beralih ke perlumbaan kereta sebenar.

    Pemenang bagi pusingan akhir tahun ini akan mewakili Malaysia ke Kejohanan TGR Asia Esports GT di Bangkok November ini, bagi bertarung dengan pelumba-pelumba terbaik serantau dari Indonesia, Filipina, Thailand dan Singapura. Pasukan Malaysia akan tampil ke kejohanan tersebut sebagai juara bertahan selepas juara GR GT Cup Malaysia empat-kali Taj Izrin Aiman dinobatkan sebagai juara pada edisi 2024.

    Kejohanan E-Racing Toyota GR M’sia; 20 pelumba sim berentap di pusingan akhir 2025 hujung minggu ini!

    TGR Malaysia juga mula membuka pendaftaran untuk program pembangunan pelumba muda pada pusingan akhir Kejohanan E-Racing Toyota GR Malaysia 2025. Ia dibuka untuk mereka yang berumur 16 hingga 22 tahun dengan pengalaman sebagai pelumba simulator atau kart, di mana peserta terpilih akan dilatih sebagai pelumba dengan berlumba dalam kategori Rookie siri perlumbaan Vios Challenge Malaysia musim 2026.

    Setakat ini sebanyak tiga orang pelumba yang dicungkil dari GR GT Cup Malaysia Campus Tour berjaya terpilih dalam program berkenaan, dan kini telahpun bergelar pelumba Touring Car sebenar.

    Orang awam dijemput untuk datang ke Sunway University bagi menyaksikan perlumbaan ini secara langsung, dan masuk adalah percuma. Ia juga akan disiarkan secara strim langsung di laman-laman media sosial Toyota Gazoo Racing Malaysia.

    Selain dari berpeluang untuk merasai berlumba dengan simulator yang disediakan, pelbagai barangan rasmi Toyota juga akan dijual. Pengunjung juga berpeluang untuk memenangi hadiah berupa pengalaman VIP pusingan akhir perlumbaan Vios Challenge musim ke-8 (termasuk merasai menaiki kereta lumba di dalam Litar Antarabangsa Sepang) yang akan berlangsung pada Januari 2026.

     
     
  • Tesla Model Y, Model 3 Standard 2026 diperkenal – varian asas lebih murah, jarak gerak sehingga 517 km

    Tesla Model Y, Model 3 Standard 2026 diperkenal – varian asas lebih murah, jarak gerak sehingga 517 km

    Tesla mengejutkan pasaran dengan pelancaran dua varian baru — Model 3 Standard dan Model Y Standard — yang kini ditawarkan secara eksklusif di Amerika Utara. Model-model ini hadir dengan harga lebih rendah, namun dengan beberapa pengurangan ciri berbanding versi sebelumnya. Menariknya, Model 3 Standard kini menggantikan varian pacuan roda belakang (RWD) biasa.

    Berita baik buat permulaan, Model 3 Standard sebenarnya menawarkan jarak pemanduan yang lebih jauh berbanding model RWD lama. Di bawah kitaran ujian EPA Amerika Syarikat yang ketat, ia mampu mencapai jarak sehingga 517 km, meningkat daripada 438 km sebelum ini. Jarak ini juga adalah sama untuk Model Y Standard meskipun saiznya lebih besar dan berat.

    Dari aspek prestasi, Model 3 Standard masih mampu memecut 0 ke 97 km/j dalam 5.8 saat. Model Y pula mengambil masa 6.8 saat, iaitu 1.4 saat lebih perlahan berbanding varian RWD. Kedua-duanya mempunyai kelajuan maksimum 201 km/j. Namun begitu, kadar pengecasan pantas DC Supercharging dikurangkan kepada 225 kW berbanding 250 kW pada model lain, dengan pengecasan 15 minit hanya memberikan tambahan jarak sekitar 274 km bagi Model 3 dan 272 km bagi Model Y.

    Tesla Model Y, Model 3 Standard 2026 diperkenal – varian asas lebih murah, jarak gerak sehingga 517 km

    Bagaimanapun, untuk mencapai harga lebih murah ini, Tesla terpaksa mengurangkan pelbagai ciri. Untuk Model 3 Standard, perubahan luaran tidak banyak — ia masih mengekalkan bampar, lampu utama LED dengan lampu tinggi adaptif, serta lampu belakang berbentuk-C. Satu perubahan ketara ialah rekaan rim 18 inci baru jenis Prismata, manakala pilihan rim 19 inci Nova masih ada ditawarkan.

    Di bahagian dalam, tiada lagi lampu suasana yang diperkenalkan pada Project Highland facelift. Tempat duduk hadapan hadir dengan rekaan baru, dibalut sebahagiannya dengan fabrik dan tidak mempunyai fungsi ventilasi atau pemanas di tempat duduk belakang.

    Pelaras stereng kini dikendalikan secara manual, satu langkah yang mungkin disambut baik oleh pengguna yang tidak gemar sistem pelarasan melalui skrin sesentuh. Paling mengejutkan, cermin sisi juga perlu dilaras secara manual — mengingatkan kita kepada ciri model bajet seperti Perodua Axia E.

    Tesla Model Y, Model 3 Standard 2026 diperkenal – varian asas lebih murah, jarak gerak sehingga 517 km

    Konsol tengah Model 3 Standard juga lebih ringkas, kini dengan pemegang cawan tanpa penutup dan tiada skrin sesentuh di belakang. Ruang itu digantikan dengan corong pendingin hawa manual. Namun, skrin utama 15.4 inci di hadapan masih dikekalkan, bersama pengecas Qi tanpa wayar berkembar, bumbung panoramik serta sistem audio tujuh pembesar suara.

    Model Y Standard pula membawa pendekatan lebih ekstrem dalam pengurangan ciri. Lampu utama kini satu unit nipis tanpa bar lampu hadapan atau lampu tinggi adaptif. Bahagian bukaan udara juga direka semula dengan lebih ringkas. Rim 18 inci dengan penutup Aperture dikekalkan, manakala naik taraf hanya tersedia kepada rim 19 inci Crossflow seperti pada varian Premium.

    Di belakang, lampu jenis pencahayaan tidak langsung pada Project Juniper facelift telah dibuang. Kini hanya terdapat palang hitam dan lampu berbentuk-L terbalik, yang turut menggabungkan fungsi isyarat dan lampu undur. Diffuser belakang pula hanya memuatkan reflektor.

    Tesla Model Y, Model 3 Standard 2026 diperkenal – varian asas lebih murah, jarak gerak sehingga 517 km

    Bahagian dalam Model Y Standard mengalami lebih banyak pengurangan. Konsol tengah kini hanya ruang terbuka besar di bawah pengecas tanpa wayar dan tempat simpanan bertutup telah dibuang. Pemegang cawan dan perehat tangan hadapan masih ada, tetapi karpet lantai kini dijadikan pilihan tambahan, bukannya standard.

    Yang agak pelik, bumbung kaca masih dikekalkan tetapi kini ditutup sepenuhnya dengan lapisan siling, menjadikan fungsinya seperti tidak wujud. Model ini juga tidak dilengkapi penapis HEPA dan mod Bioweapon seperti varian Premium Model Y, serta kerusi belakang yang hanya boleh dilipat secara manual, bukan automatik.

    Semua penjimatan ini membuatkan Model Y Standard kelihatan benar-benar seperti versi bajet, walaupun Tesla terpaksa menghasilkan komponen tersendiri yang pastinya menambah kos — yang bertentangan dengan matlamat asal untuk menurunkan harga.

    Tesla Model Y, Model 3 Standard 2026 diperkenal – varian asas lebih murah, jarak gerak sehingga 517 km

    Dari aspek mekanikal, kedua-dua model menggunakan penyerap hentak biasa, tidak seperti penyerap hentak jenis frekuensi terpilih pada model lain. Tesla turut mengurangkan teknologi bantuan pemanduan — tiada lagi sistem bantuan lorong (lane centring), dan kedua-dua model tidak menyokong fungsi Autopilot.

    Namun, beberapa sistem keselamatan masih ditawarkan secara standard seperti brek kecemasan automatik, kawalan jelajah adaptif, bantuan kekal lorong dan pemantauan titik buta. Lapan kamera termasuk kamera hadapan masih tersedia. Pembeli masih boleh memilih pakej Full Self Driving (dengan pemantauan) pada harga AS$8,000 (kira-kira RM33,700).

    Tesla Model Y, Model 3 Standard 2026 diperkenal – varian asas lebih murah, jarak gerak sehingga 517 km

    Ironinya, Model Y Standard hanya lebih murah sekitar AS$5,000 (RM21,000) berbanding versi Premium, iaitu dijual pada harga AS$39,990 (RM168,600) – tidak banyak memandangkan jumlah ciri yang digugurkan. Model 3 Standard pula dijual pada harga AS$36,990 (RM155,900), iaitu AS$5,500 (RM23,200) lebih rendah berbanding varian Premium RWD (sebelum ini dikenali sebagai Long Range RWD).

    Namun perbandingan ini tidak mengambil kira model asas RWD lama yang berharga AS$38,990 (RM164,400), jadi pengurangan sebenar hanya AS$2,000 (RM8,400). Penurunan harga ini juga masih belum cukup untuk menampung kehilangan rebat cukai kenderaan elektrik sebanyak AS$7,500 (RM31,600) yang ditamatkan oleh pentadbiran Trump minggu lalu.

    GALERI: Tesla Model Y Standard 2026

    GALERI: Tesla Model 3 Standard 2026

     
     
  • Proton eMas 5 terima 1,607 tempahan dalam masa 24 jam – dua varian, harga dijangka antara RM60k-80k

    Proton eMas 5 terima 1,607 tempahan dalam masa 24 jam – dua varian, harga dijangka antara RM60k-80k

    Bagai bukan suatu kejutan apabila Proton eMas 5 yang dibuka untuk tempahan pada hari Sabtu lalu dengan anggaran harga RM60,000 hingga RM80,000, telah menerima sebanyak 1,607 tempahan hanya selepas 24 jam. Dianggarkan dengan purata lebih daripada satu tempahan bagi setiap minit!

    “Kami benar-benar berbesar hati dengan sambutan luar biasa daripada rakyat Malaysia terhadap Proton eMas 5. Misi kami sentiasa untuk menjadikan pemilikan EV lebih mudah diakses oleh semua, dan dengan eMas 5, kami merealisasikan visi tersebut. Ini benar-benar EV paling mampu milik di Malaysia, dibina untuk rakyat,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Pro-Net, Zhang Qiang.

    Proton eMas 5 yang berasaskan Geely Xingyuan, ditawarkan dengan dua varian iaitu Prime dan Premium. Bagi versi paling asas Prime, ia akan menggunakan unit motor 79 PS (58 kW) dan 130 Nm dengan kelajuan maksimum boleh dicapai ehingga 125 km/j. Ia dilengkapi bateri lithium iron phosphate (LFP) berkapasiti 30.12 kWj yang memberikan jarak sekitar 225 km mengikut kitaran WLTP. Model ini juga mempunyai tiga mod pemanduan iaitu Sport, Eco dan Comfort.

    Untuk varian spesifikasi penuh Premium pula, ia dipadankan dengan bateri jenis lithium iron phosphate (LFP) keluaran CATL dengan kapasiti 40.16 kWj (ini berbeza dengan Proton eMas 7 yang menggunakan bateri Aegis Geely). Untuk mengetahui info lebih lanjut mengenai tempahan eMas 5, anda boleh baca menerusi PAUTAN INI.

    Proton eMas 5 dipertontonkan di Malaysia

     
     
  • Hyundai Staria CKD di Malaysia kini sudah boleh ditempah – harga sama seperti CBU, 4 warna baru

    Hyundai Staria CKD di Malaysia kini sudah boleh ditempah – harga sama seperti CBU, 4 warna baru

    Hyundai Malaysia (HMY) hari ini mengumumkan bahawa versi pemasangan tempatan (CKD) MPV bersaiz besar Hyundai Staria kini sudahpun boleh ditempah sebelum dilancarkan ke pasaran tempatan tidak lama lagi. Model yang di pasang di Kulim, Kedah berkenaan akan dijual pada harga bermula RM179,888 hingga RM267,888.

    Harga yang disebut berkenaan masih lagi sama seperti versi yang diimport sepenuhnya (CBU) sebelum ini. Dan semua varian Staria pasaran Malaysia iaitu Style 10-tempat duduk, Prime 10-tempat duduk, Prestige 10-tempat duduk dan Prestige tujuh-tempat duduk ditawarkan dengan empat warna baharu terdiri dari Jet Black, Snow Flake White Pearl, Meteor Grey dan Stormy Sea.

    HMY mula mengambil alih tempat pengurusan lama sebagai prinsipal bagi perniagaan kenderaan jenama Korea Selatan berkenaan bermula Jun lalu. Ketika itu ia turut menyatakan perancangan awalnya untuk melancarkan tiga model baharu dan akan meneruskan operasi pemasangan tempatannya di sini. Jadi Staria adalah model pertama yang dipasang di Malaysia menerusi pengurusan baharu di bawah HMY.

    Kami jangkakan lebih maklumat dan spesifikasi berkenaan Staria CKD ini akan diumumkan sebelum atau semasa model ini dilancarkan kelak. Sementara itu jika anda mahukan spesifikasi penuh bagi Staria CBU sedia ada yang dilancarkan Julai lalu, bolehlah rujuk dalam laporan kami pada PAUTAN INI.

    GALERI: Hyundai Staria 2.2 CRDi Prestige 2025 CBU 7-tempat duduk di Malaysia

     
     
  • Lebuhraya Lekas ditutup pada 11-12 Okt sempena acara berbasikal RHB Lekas Highway Ride 2025

    Lebuhraya Lekas ditutup pada 11-12 Okt sempena acara berbasikal RHB Lekas Highway Ride 2025

    Lebuhraya Kajang-Seremban Sdn Bhd (LEKAS) memaklumkan bahawa satu penutupan penuh sementara di Lebuhraya LEKAS (E21) akan dilaksanakan pada 11 Oktober (Sabtu ini) dari jam 5 petang hingga jam 4 pagi pada 12 Oktober (Ahad). Penutupan ini bagi memberi laluan kepada acara perlumbaan berbasikal malam tahunan RHB Lekas Highway Ride 2025 edisi ke-10 anjuran syarikat konsesi lebuhraya terbabit.

    Ketua Polis Selangor, CP Datuk Shazeli Kahar berkata bagi memastikan kelancaran lalu lintas serta keselamatan peserta dan pengguna jalan raya, penutupan dan lencongan jalan secara berperingkat akan dilaksanakan oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor pada tempoh masa yang ditetapkan itu. Penutupan ini meliputi jajaran dari Persimpangan Kajang Selatan hingga ke Persimpangan Paroi.

    Laluan yang terlibat dengan penutupan sepenuhnya ialah Plaza Tol Kajang Selatan, Pajam Nilai, Mantin Lenggeng, Plaza Tol Setul, Temiang Seremban, Plaza Tol Ampangan, Jelebu Seremban, pusingan U di KM39, pusingan U di KM11.3, pusingan U di KM8.8, susur Plaza Tol Semenyih, dan pusingan U di Plaza Tol Pajam.

    Lebuhraya Lekas ditutup pada 11-12 Okt sempena acara berbasikal RHB Lekas Highway Ride 2025

    Peta laluan RHB Lekas Highway Ride 2025 – Klik untuk besarkan

    “Orang ramai khususnya pengguna lebuhraya dinasihatkan agar elak menggunakan laluan yang terlibat sepanjang tempoh penutupan tersebut serta rancanglah perjalanan lebih awal bagi mengelakkan kesesakan dan kelewatan. Sila bagi kerjasama dan patuhi arahan anggota polis di lapangan,” kata Shazeli.

    Ketua Pegawai Eksekutif Lekas, Ts. Hajah Wan Salwani Wan Yusoff pula berkata, “Lekas telah memperoleh semua kelulusan yang diperlukan daripada Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) untuk bertindak sebagai penaja tempat, serta mendapat pengiktirafan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi pelan pengurusan trafik yang melibatkan penutupan penuh lebuh raya. Kelulusan turut diterima daripada Pesuruhjaya Sukan Malaysia untuk penganjuran acara berbasikal ini.”

    Bagi acara kali ini, sebanyak empat kategori dipertandingkan iaitu berbasikal sejauh 105km, 78km, 17km dan 12km yang menyaksikan penyertaan seramai 6,017 orang peserta dari 23 negara.

     
     
  • Tiada arahan hadkan penggunaan SUV untuk tujuan pendaftaran bagi perkhidmatan e-hailing – Loke

    Tiada arahan hadkan penggunaan SUV untuk tujuan pendaftaran bagi perkhidmatan e-hailing – Loke

    Kementerian Pengangkutan (MoT) menafikan pernah mengeluarkan sebarang arahan atau kenyataan yang mengehadkan penggunaan kenderaan jenis SUV bagi tujuan pendaftaran e-hailing, laporan Bernama.

    “Untuk makluman, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan atau kenyataan yang mengehadkan penggunaan kenderaan jenis SUV bagi tujuan pendaftaran e-hailing.

    “Semua kenderaan yang memenuhi syarat teknikal serta mempunyai kapasiti tempat duduk antara empat hingga 11 orang adalah layak untuk dipertimbangkan bagi pelesenan e-hailing (EHO),” kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

    Kenyataan itu dikeluarkan bagi menjelaskan laporan media yang menimbulkan kekeliruan mengenai status penggunaan kenderaan jenis SUV untuk tujuan pendaftaran e-hailing.

    Loke berkata pihaknya memahami kebimbangan dalam kalangan pemandu e-hailing serta syarikat pengendali, dan memberi jaminan bahawa urusan pendaftaran kenderaan akan diteruskan seperti biasa mengikut peraturan dan garis panduan sedia ada.

    Sebelum ini, ada laporan media menyatakan bahawa SUV tidak lagi dibenarkan mendaftar untuk e-hailing. Ia susulan kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Aktivis Gabungan E-hailing Malaysia (GEM), Masrizal Mahidin, yang dilaporkan berkata pengecualian SUV sebagai kenderaan yang diluluskan dalam pelesenan e-hailing menimbulkan kebimbangan lebih 10,000 pemandu akan nasib sumber pendapatan mereka.

     
     
  • Yamaha MT-09 ditawarkan dalam warna baru – RM58k

    Yamaha MT-09 ditawarkan dalam warna baru – RM58k

    Selepas satu tahun dilancarkan untuk pasaran Malaysia, Yamaha MT-09 kini disegarkan semula dengan pilihan satu warna baru iaitu Lightning Blue, melengkapi warna Tech Black sebelum ini. Harga yang dikeluarkan oleh Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) untuk model naked ini adalah RM57,998 tidak termasuk insurans.

    Selain pilihan warna ini, bahagian lain tidak melibatkan sebarang perubahan, dengan ia masih sama seperti model yang dilancarkan pada tahun lepas, bermula dengan enjin yang merupakan unit CP3 tiga silinder 889 cc, bersama kotak gear enam kelajuan dengan klac A&S dan quickshifter, menghasilkan kuasa 119 PS pada 10,000 rpm dan tork 93 Nm pada 7,000 rpm.

    Selain mod tunggangan tetap Sport, Street dan Rain, MT-09 ini juga mempunyai dua lagi mod yang tahap kuasa serta campur tangan elektroniknya boleh ditetapkan sendiri oleh penunggang. Kawalan untuk semua fungsi pada motosikal dan skrin boleh dibuat melalui butang di sebelah kiri pemegang.

    Panel meter MT-09 ini menggunakan unit TFT lima inci yang mempunyai lima tema paparan dan boleh disambungkan kepada aplikasi MyRide (percuma) di telefon bimbit untuk paparan fungsi notifikasi, panggilan, muzik dan navigasi.

    Untuk kelengkapan elektronik, MT-09 dilengkapi dengan unit pengukur inertia (IMU) 6-axis, yang memberikan input kepada sistem Traction Control (tiga mod), Slide Control System (SCS), Front Wheel Lift Control System (LIF), Brake Control System (BC) serta Back Slip Regulator.

    Suspensi menggunakan fork USD 41 mm serta monoshock yang boleh dilaras sepenuhnya, manakala brek menggunakan pam utama radial Brembo untuk menghantar tekanan minyak kepada set berkembar angkup empat piston dan cakera 298 mm di hadapan. Di belakang menggunakan cakera 245 mm dan angkup satu piston. Berat keseluruhan MT-09 2024 adalah 193 kg dan ia datang dengan tangki bahan api 14 liter.

     
     
  • AFAZ bakal lancar kapcai 115 cc asas Suzuki hujung bulan ini, apa lagi yang diketahui setakat ini?

    AFAZ bakal lancar kapcai 115 cc asas Suzuki hujung bulan ini, apa lagi yang diketahui setakat ini?

    Jenama motosikal tempatan baru, AFAZ, yang mula diperkenalkan pada tahun 2023 kini sudah bersedia untuk pelancaran model pertama mereka hujung bulan Oktober ini. Perkara ini diberitahu sendiri oleh Pengurus Besar dan Pengarah KMSB Motor Sdn Bhd, Datuk Jeffrey Lim susulan satu teaser yang disiarkan dalam talian.

    Apabila ditanya lebih lanjut berkenaan spesifikasi motosikal tersebut, beliau setakat ini cuma boleh menyatakan bahawa ia menggunakan asas daripada model kapcai (mempunyai gear dan bukannya skuter) Suzuki, serta enjin yang berkapasiti 115 cc.

    Meskipun model asas itu sudah pun ditawarkan di negara lain, AFAZ membuat pelaburan jutaan ringgit untuk penambah baikan serta pelarasan pada motosikal itu, supaya ia dapat memuaskan pengguna dan melepasi peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

    Jeffrey memberitahu lagi, walaupun AFAZ ini muncul sebagai pengeluar motosikal tempatan, harganya nanti bukanlah berada di tahap yang murah, tetapi dijadikan lebih bersesuaian dengan kualiti serta prestasi yang dibawa. Sejauh mana nilainya, sama ada berbaloi atau tidak, bersama kita nantikan pelancarannya.

    Untuk tahun ini, AFAZ cuma akan melancarkan satu sahaja model, tetapi kemudiannya akan diikuti oleh beberapa lagi model tahun hadapan, termasuk kapcai yang berkapasiti 150 cc. Jeffrey memberi gambaran, hanya bahagian enjin sahaja yang diambil daripada Suzuki untuk model 150 cc itu, sementara bahagian lain semuanya dibangunkan oleh AFAZ.

    Pengeluaran motosikal oleh AFAZ ini turut membantu bahagian lain dalam ekosistem industri motosikal Malaysia, dengan untuk tempoh awal ini akan menggunakan 40% komponen tempatan, sementara pada tahun hadapan ia akan ditingkatkan lagi kepada sehingga 70%.

     
     
  • Proton umum kilang Shah Alam tutup selepas 40 tahun, 1,400 pekerja sudah berpindah ke Tg. Malim

    Proton umum kilang Shah Alam tutup selepas 40 tahun, 1,400 pekerja sudah berpindah ke Tg. Malim

    Proton hari ini secara rasmi mengumumkan bahawa operasi kilang pertamanya yang terletak di Hicom Shah Alam telah ditutup, dan 1,400 pekerja dari fasiliti berkenaan telah dipindahkan sepenuhnya di kilang utama mereka iaitu Proton Tanjong Malim yang terletak di Automotive High-Tech Valley (AHTV), Perak.

    Kilang Proton Shah Alam berkenaan telah mula beroperasi pada tahun 1985 di mana unit pertama model pertama keluaran syarikat automotif nasional berkenaan iaitu Saga keluar dari barisan pemasangan fasiliti tersebut pada 9 Julai, sebelum ia dilancarkan secara rasmi pada 1 September tahun yang sama oleh Perdana Menteri ke-4, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

    Dengan keluasan 83.48 hektar dan pelaburan kira-kira RM370 juta, fasiliti ini turut menempatkan Pusat Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Proton yang merupakan pusat R&D automotif pertama dalam negara dan lengkap dengan kemudahan ujian menyeluruh serta trek ujian kelajuan separa tinggi. Sepanjang operasinya, kilang tersebut telah menghasilkan lebih daripada 4 juta kenderaan, termasuk model-model ikonik seperti Saga, Wira, Perdana dan Exora.

    Menurut Proton dalam kenyataan dikeluarkan, unit terakhir yang dihasilkan oleh kilang tersebut masih sebuah Saga iaitu dari versi terkini MC2 pada 30 September 2025. Produksi Saga akan diteruskan di Tanjong Malim selepas ini bersama model-model lain Proton termasuk Persona, SUV-SUV siri X, sedan S70 dan juga model-model tenaga baharu (NEV) termasuk EV pertama Proton iaitu eMas 7.

    Proton turut telah mengadakan satu majlis sambutan khas bagi meraikan semua kakitangan dari Shah Alam yang mula bertugas di Tanjong Malim semalam, disempurnakan oleh Pemangku Timbalan CEO Proton Ainol Azmil, bersama barisan pengurusan tertinggi Proton.

    “Hari ini merupakan satu detik bersejarah buat Proton apabila 1,400 rakan sekerja dari Shah Alam memulakan perjalanan baharu di Tanjong Malim. Dengan pengalaman dan dedikasi mereka selama ini, Proton kini bersedia melangkah ke fasa seterusnya, menjadikan kilang ini sebagai hab utama untuk generasi baharu kenderaan Proton,” kata Ainol.

    Dengan perpindahan ini, semua aktiviti pemasangan, pembuatan serta R&D syarikat tersebut kini telah disatukan di bawah satu bumbung di Proton Tanjong Malim. Bagi pengeluaran, kilang tersebut mempunyai lima seksyen utama iaitu Pemesinan Enjin dan Transmisi, Penekapan (Stamping), Pemasangan Badan (Body Assembly), Cat (Paint), serta Pemasangan Akhir (Trim & Final Assembly).

    Proton turut menyatakan kilang tersebut dilengkapi dengan mesin tekan mekanikal terbesar di Malaysia, manakala barisan pemasangan enjin baharu di kilang itu merupakan satu-satunya fasiliti yang memasang enjin 1.5 TGDI Geely luar dari China.

    “Dengan kapasiti pengeluaran sebanyak 250,000 unit setahun, Proton terus memperkukuh rantaian pembekal tempatan melalui perluasan penyetempatan komponen secara agresif. Pendekatan ini meletakkan kilang Tanjong Malim sebagai hab utama eksport pemanduan sebelah kanan (right-hand drive) bagi Kumpulan Geely di rantau Asia Tenggara, selain menjadi lokasi bagi kilang pemasangan Kenderaan Elektrik (EV) pertama di Malaysia,” kata Proton dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

     
     
  • Budi95: Lebih 9,700 pemegang lesen memandu baharu kini layak menikmati subsidi petrol RON95 – MoF

    Budi95: Lebih 9,700 pemegang lesen memandu baharu kini layak menikmati subsidi petrol RON95 – MoF

    Kementerian Kewangan (MoF) mengumumkan bahawa kini tambahan lebih 31,000 rakyat Malaysia menerima manfaat sistem subsidi bersasar Budi Madani RON95 (Budi95), selepas kerajaan mengaktifkan kelayakan kepada tiga kelompok baharu. Salah satu kelompok berkenaan melibatkan lebih 9,700 pemegang lesen memandu baharu yang direkodkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

    Menurut kenyataan yang baru dikeluarkan, dua lagi kelompok baharu itu melibatkan lebih 17,900 nelayan yang berdaftar dengan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan lebih 4,300 pemilik bot persendirian yang berdaftar dengan Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah.

    Dalam masa yang sama, MoF turut berkata, perbincangan antara Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan syarikat pengendali e-hailing (EHO) sedang diselaraskan bagi pelaksanaan penambahan siling kelayakan melebihi 300 liter sebulan kepada pemandu e-hailing sepenuh masa, bagi memastikan kelangsungan pekerjaan mereka tidak terjejas.

    “Kerajaan Madani kekal komited memastikan program subsidi bersasar ini berjalan dengan lancar, telus dan memberi manfaat secara langsung kepada rakyat. MoF bersama agensi berkaitan akan terus memantau pelaksanaan Budi95 dan melaksanakan penambahbaikan dari semasa ke semasa,” katanya.

    Pada 22 September lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa bermula 30 September 2025, seramai 16 juta rakyat Malaysia berusia 16 tahun dan ke atas berpeluang menikmati harga baharu petrol RON95 pada RM1.99 seliter dengan hanya menggunakan MyKad di kaunter dan pam, atau menerusi aplikasi stesen minyak. Syarat kelayakan lain bagi menikmati Budi95 ialah perlu mempunyai lesen memandu yang sah. Manakala golongan bukan warganegara dan syarikat besar tidak layak untuk subsidi dan perlu membayar harga tanpa subsidi iaitu sekitar RM2.60 seliter.

     
     
  • Leapmotor B05 Ultra didedahkan — hatchback elektrik dengan gaya sporty, dilancar di China pada 1H 2026

    Leapmotor B05 Ultra didedahkan — hatchback elektrik dengan gaya sporty, dilancar di China pada 1H 2026

    Leapmotor telah mendedahkan imej awal bagi model B05 Ultra, yang juga dikenali sebagai Lafa 5 Ultra di China. Diposisikan sebagai versi lebih sporty bagi model hatchback berkenaan, kereta ini dijangka mula dijual di sana pada separuh pertama 2026, sebelum mula memasuki pasaran antarabangsa.

    Rekaan luarannya tampil garang dengan elemen rekaan seperti adanya bahagian pembahagi didepan, skirting sisi yang menonjol, bahagian belakang yang lebih maskulin serta spoiler belakang yang besar. Lencana Lafa 5 di belakang turut dibezakan dengan warna hijau untuk angka “5”.

    Bahagian dalam bagaimanapun belum didedah (bahkan belum ditunjuk untuk versi B05 standard), tetapi menurut CarNewsChina yang memetik Naib Presiden Kanan, Cao Li, kereta ini akan diberikan banyak kemasan suede. Nama Ultra pula memberi petunjuk kepada sisi prestasi yang ingin dibawakannya, dengan output yang lebih tinggi, tetapi dengan saiz rim yang sama dengan versi standard dengan 19-inci.

    Begitu juga dengan perincian dan spesifikasi kereta ini, yang masih belum didedahkan oleh Leapmotor. Namun, boleh diagak, oleh kerana model ini banyak meminjam asas yang sama daripada SUV B10, ia mungkin akan menggunakan sistem janaan kuasa yang serupa.

    Ini termasuklah model asas dengan janaan 179 PS (132 kW) dan 175 Nm, disertai oleh bateri lithium iron phosphate (LFP) 56.2 kWj yang memberikan jarak WLTP sejauh 361 km. Model lebih lengkap pula datang dengan output 218 PS (160 kW) dan 240 Nm, dan menampilkan bateri 67.1 kWj yang memberikan jarak 434 km bagi satu cas penuh.

    Versi Ultra ini juga berkemungkinan akan mengekalkan sistem pacuan belakang yang sama dengan B05 biasa, dan memanfaatkan motor terbaru pada model C10 2026 yang menghasilkan output 299 PS (220 kW) dan 360 Nm — yang akan menjadikannya tergolong dalam hanya segelintir model EV RWD yang berada dalam pasaran. Namun ada juga kemungkinan ia akan hadir sebagai model dengan pacuan semua roda dengan dua motor untuk lebih prestasi dan sesuai dengan imej yang ditampilkan.

     
     
  • Kove 450R, 450 Rally dan 800X GT dilancar di Malaysia – harga masing-masing RM34k, RM40k dan RM49k

    Kove 450R, 450 Rally dan 800X GT dilancar di Malaysia – harga masing-masing RM34k, RM40k dan RM49k

    Pernah menawarkan 450 Rally dalam jumlah yang terhad, Kove Moto kini melancarkan dua lagi model baru untuk pasaran Malaysia, iaitu 450R dan 800X GT. Ia masing-masing dijual pada harga RM33,888 dan RM48,888 tidak termasuk insurans dan didatangkan dengan jaminan XXXXXXX

    Melihat pertamanya kepada 450R, ia adalah sebuah motosikal naked, yang dipacu oleh enjin empat silinder sebaris 442.9 cc, bersama padanan kotak gear enam kelajuan, mampu menghasilkan 65 hp pada 12,000 rpm dan tork 40 Nm pada 9,000 rpm.

    Membawa gaya rekaan moden, motosikal ini datang dengan ciri antaranya lampu hadapan LED projector, lampu belakang LED serta skrin TFT yang boleh disambung kepada telefon pintar melalui bluetooth dan juga wifi. Untuk pengawalan kuasa, penunggang disediakan dengan dua mod iaitu Eco dan Sport.

    Demi memberi prestasi yang mantap, 450R dilengkapi dengan brek cakera berkembar 300 mm serta fork USD di bahagian hadapan, sementara bahagian belakang menggunakan cakera tunggal bersama angkup satu piston. ABS serta kawalan cengkaman diberikan secara standard sebagai ciri keselamatan.

    Tidak cukup dengan itu, Kove juga menyediakan fungsi launch control pada 450R, yang boleh digunakan untuk mendapat pecutan awal lebih pantas dan berkesan. Berat keseluruhan motosikal ini adalah 164 kg dan ia datang dengan tangki bahan api 17 liter.

    Satu lagi model, 800X GT adalah sebuah motosikal kembara, yang digerakkan oleh enjin dua silinder selari 799 cc berkuasa 97 hp pada 9,000 rpm dan tork 80 Nm pada 7,500 rpm, digabungkan bersama transmisi enam kelajuan yang dilengkapkan sekali bersama quickshifter dua hala.

    Di bahagian teknologi, motosikal ini datang dengan ciri antaranya skrin TFT menegak, empat mod tunggangan, sistem pemerhati tekanan angin tayar, pemanas tangan dan tempat duduk, lampu hadapan dan belakang LED, ABS, kawalan cengkaman serta soket pengecas USB.

    Perkakasan lain juga agak lengkap dengan termasuk suspensi Kayaba dengan larasan pra beban di hadapan dan belakang, steering damper serta brek cakera berkembar di hadapan. Istimewa untuk 20 pembeli awal, mereka akan menerima set kotak barangan secara percuma. Tangki bahan api berkapasiti 22 liter dan berat keseluruhan adalah 195 kg.

    Selain pengenalan dua model baru ini, pengedar rasmi motosikal Kove di Malaysia, MDua Motor Sdn Bhd turut merujuk kembali harga untuk 450 Rally yang kini dijual pada RM39,900. Motosikal yang mendapat banyak inspirasi daripada perlumbaan dan pernah bersaing dalam Rali Dakar ini dipacu oleh enjin satu silinder 449 cc, menghasilkan kuasa 51.7 hp pada 9,500 rpm dan tork 40 Nm pada 7,000 rpm.

    Suspensi motosikal ini datang daripada YU-AN, boleh dilaras sepenuhnya di hadapan dan belakang, memegang masing-masing rim 21 inci di hadapan dan 18 inci di belakang. Demi mendapatkan perjalanan yang lebih jauh dengan setiap isian, motosikal ini datang dengan tangki bahan api 30 liter, manakala berat keseluruhannya pula cuma 145 kg.

    GALERI: Kove 450R


    GALERI: Kove 450 Rally


    GALERI: Kove 800X GT


     
     
  • JPJ sedang bangunkan sistem eBaki untuk menjual nombor plat kenderaan yang telah tamat tempoh

    JPJ sedang bangunkan sistem eBaki untuk menjual nombor plat kenderaan yang telah tamat tempoh

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang membangunkan satu sistem dalam talian yang dikenali sebagai ‘eBaki’ untuk penjualan nombor plat tamat tempoh, laporan Bernama. Menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 3/2025 mengenai penyata kewangan kerajaan bagi tahun 2024, sistem ini akan dibangunkan di bawah Projek Pembangunan Sistem Digital JPJ.

    “Pada masa ini, pembangunan sistem tersebut berada pada peringkat Kajian Keperluan Sistem (SRS) dan dijangka mula beroperasi pada Oktober 2026,” menurut laporan tersebut yang telah dibentangkan di Dewan Rakyat semalam.

    Selain itu, laporan terbabit turut mendedahkan bahawa JPJ telah mengutip sebanyak RM1.648 bilion hasil daripada penjualan nombor plat dari tahun 2022 hingga 2024, dan jika nombor yang disekat serta tidak aktif ditawarkan pada harga minimum, dianggarkan sekurang-kurangnya RM115.96 juta lagi boleh diperoleh.

    JPJ sedang bangunkan sistem eBaki untuk menjual nombor plat kenderaan yang telah tamat tempoh

    Laporan tersebut turut menyebut terdapat sebanyak 375,792 nombor tamat tempoh yang tidak terjual dan 134 nombor yang disekat ditawarkan pada harga minimum setakat tahun 2024, yang boleh menjana hasil tambahan dianggarkan masing-masing sekurang-kurangnya RM112.73 juta dan RM795,150.

    Tambahnya, daripada 219 permohonan untuk menuntut semula nombor pendaftaran tamat tempoh, 12 permohonan yang diluluskan hanya dikenakan caj perkhidmatan RM10, berbanding potensi hasil sebanyak RM23,100 sekiranya nombor tersebut dijual pada harga minimum (RM300 hingga RM20,000 berdasarkan kategori Semasa, Popular, Menarik dan Premium). Laporan itu turut menyatakan bahawa asas penetapan harga bagi nombor baki tidak seragam antara JPJ negeri.

    Dalam masa yang sama, laporan tersebut turut mengesyorkan agar JPJ menawarkan nombor tidak aktif kepada orang awam dan menetapkan harga minimum mengikut kategori yang ditetapkan melalui MySikap untuk publisiti yang lebih meluas, serta menyemak semula prosedur operasi standard (SOP) dan bidang kuasa Jawatankuasa Khas Nombor Pendaftaran bagi memastikan hasil maksimum dapat dikutip dan mengelakkan kebocoran hasil.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.67 (0.00)
EURO 5 B7 RM4.87 (0.00)
Last Updated Jun 11, 2026