Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • APAD batalkan lesen pengendali syarikat lori yang sebabkan kemalangan maut di Plaza Tol Bukit Kajang

    APAD batalkan lesen pengendali syarikat lori yang sebabkan kemalangan maut di Plaza Tol Bukit Kajang

    Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) telah mengeluarkan kenyataan rasmi bahawa pihaknya telahpun membatalkan lesen pengendali syarikat pemilik lori yang terlibat dalam kemalangan maut di Plaza Tol Bukit Kajang baru-baru ini.

    Menurut kenyataan tersebut, hasil siasatan mendapati syarikat berkenaan telah gagal dalam memastikan pemasangan Sistem Kedudukan Sejagat (GPS) pada kenderaan perdagangan yang dilesenkan dan tidak mengutamakan keselamatan pengguna jalan raya yang lain.

    “Dengan terbatalnya Lesen Pengendali berkenaan, syarikat tersebut tidak dibenarkan untuk mengendali atau mengadakan sebarang perkhidmatan menggunakan mana-mana kenderaan yang telah dilesenkan di bawah Lesen Pengendali berkenaan.

    “APAD bertegas tidak akan berkompromi terhadap mana-mana kesalahan pemanduan kenderaan pengangkutan awam darat secara berbahaya yang boleh mengakibatkan kemalangan dan mengancam keselamatan pengguna jalan raya,” tulis kenyataan yang dikeluarkan.

    Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Polis Daerah Kajang sebelum ini, kejadian tersebut berlaku pada pagi 27 September di mana lori yang dipandu oleh warga tempatan berumur 42-tahun dalam perjalanan dari Semenyih ke Putrajaya melalui Lebuhraya Silk tersebut mengalami kegagalan sistem brek sebelum tiba di Plaza Tol Bukit Kajang.

    Akibatnya lori berkenaan bukan sahaja merempuh bangunan plaza tol, malah turut melanggar sebuah kereta dan dua buah SUV, menyebabkan kematian seorang bayi berumur setahun serta kecederaan tujuh orang yang lain.

     
     
  • Pengeluar tayar antarabangsa akan bantu periksa 18,000 tayar yang dirampas dalam Ops Grip

    Pengeluar tayar antarabangsa akan bantu periksa 18,000 tayar yang dirampas dalam Ops Grip

    Beberapa pengeluar tayar antarabangsa akan memberi bantuan dalam proses pemeriksaan dan pengesahan ketulenan terhadap hampir 18,000 unit tayar yang dirampas dalam satu operasi besar-besaran oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) awal minggu ini.

    Dalam operasi yang dinamakan sebagai Ops Grip itu, sebanyak 17,672 tayar telah dirampas hasil serbuan serentak ke atas 23 lokasi di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor. Serbuan ini menyasarkan syarikat yang disyaki terlibat dalam aktiviti penyeludupan tayar serta pemalsuan dokumen import dan eksport. Aktiviti tersebut dipercayai telah menyebabkan kerugian hasil cukai kerajaan sebanyak RM350 juta sejak tahun 2020.

    Ops Grip dijalankan oleh pasukan petugas khas merangkumi pelbagai agensi kerajaan yang memfokuskan kepada syarikat-syarikat pengimport tayar. Operasi ini melibatkan serbuan ke atas beberapa gudang dan kontena penyimpanan tayar, selain tindakan lanjut oleh SPRM yang turut membekukan beberapa akaun bank individu dan syarikat bernilai kira-kira RM70 juta.

    Pengeluar tayar antarabangsa akan bantu periksa 18,000 tayar yang dirampas dalam Ops Grip

    Menurut satu sumber yang tidak dinamakan dan dipetik oleh Bernama, pemeriksaan bersama pengeluar tayar antarabangsa dilakukan bagi mengenal pasti status dan ketulenan tayar-tayar yang dirampas. Hasil siasatan awal mendapati tayar-tayar seludup ini terdiri daripada pelbagai kategori, termasuk tayar baru yang tidak diisytihar dengan betul, tayar terpakai dan tayar celup yang tidak memenuhi piawaian keselamatan.

    Sumber itu turut memaklumkan bahawa aktiviti penyeludupan ini telah dipantau oleh SPRM selama hampir enam bulan sebelum operasi besar-besaran ini dilaksanakan. Siasatan mendapati bahawa sindiket terbabit telah mengemukakan dokumen import yang tidak tepat, termasuk perisytiharan nilai palsu, salah klasifikasi produk atau sijil kualiti yang direka, bagi mengurangkan jumlah cukai yang perlu dibayar.

    Setakat ini, tiada tangkapan dibuat dan siasatan masih diteruskan dengan fokus kepada usaha mengesan dan menyita aset-aset lain yang dipercayai diperoleh melalui kegiatan pengubahan wang haram.

     
     
  • WMoto EZ125i dilancarkan di Malaysia – RM4,588

    WMoto EZ125i dilancarkan di Malaysia – RM4,588

    Selain tiga model SYM yang dilancarkan serentak (Cruisym 400i, VFE 185i dan Naga 155), MForce Bike Holdings turut melancarkan skuter dari jenama WMoto, iaitu EZ125i. Ini adalah sebuah skuter ringkas, yang dijual pada harga RM4,588 tidak termasuk insurans dan didatangkan bersama jaminan dua tahun atau 20,000 km.

    Menggerakkan skuter ini adalah enjin satu silinder suntikan bahan api, penyejukan udara 124 cc bersama padanan transmisi CVT, menghasilkan kuasa 11.8 hp pada 7,500 rpm dan tork 9.5 Nm pada 6,000 rpm. Tangki bahan api berkapasiti 6.5 liter.

    Terletak di atas jalan melalui rim 14 inci yang dibalut tayar masing-masing bersaiz 70/90 di hadapan dan 80/90 di belakang, skuter ini menggunakan suspensi yang terdiri daripada fork teleskopik dan dua penyerap hentak, manakala brek pula hanya bahagian hadapan yang menggunakan cakera.

    Walaupun datang sebagai skuter kelas permulaan, EZ125i masih datang dengan kelengkapan moden seperti lampu hadapan dan belakang LED serta meter digital berwarna. Berat kering skuter ini tidak mencecah 100 kg.

    Untuk kemudahan pengguna, skuter ini datang dengan soket pengecas USB, poket barangan di bawah bahagian pemegang, ruang barangan bawah tempat duduk serta lampu kecemasan. Pilihan warna ada empat iaitu merah, biru, kelabu dan perak.

     
     
  • Chery V23 EV dilancarkan di Thailand – iCaur versi pemanduan kanan, dari RM91k, Malaysia seterusnya?

    Chery V23 EV dilancarkan di Thailand – iCaur versi pemanduan kanan, dari RM91k, Malaysia seterusnya?

    Model elektrik baru yang pernah dipertontonkan di Malaysia dalam versi pemanduan kiri pada Mei lalu kini secara rasmi memasuki pasaran pemanduan kanan, dengan pelancarannya di Thailand berlaku hujung bulan lepas. Namun, model ini tidak lagi dikenali sebagai iCaur V23 seperti sebelumnya, sebaliknya diperkenalkan sebagai Chery V23 di negara jiran itu, mencetuskan sedikit kekeliruan dari segi strategi penjenamaan.

    Untuk spesifikasi, Chery V23 kekal seperti yang telah didedahkan sebelum ini, dengan harga permulaan dari 699,900 baht (sekitar RM90,900) hingga 889,900 baht (kira-kira RM115,500). Pembeli di Thailand ditawarkan dua pilihan penggerak – pacuan roda belakang (RWD) atau pacuan semua roda (AWD).

    Versi RWD menjana 136 PS dan 180 Nm, dengan pecutan 0–100 km/j dalam 11 saat, manakala versi AWD lebih berkuasa dengan 211 PS dan 292 Nm, membolehkan pecutan sama hanya dalam 7.5 saat. Kelajuan maksimum kedua-dua varian ini dihadkan kepada 140 km/j.

    Chery V23 EV dilancarkan di Thailand – iCaur versi pemanduan kanan, dari RM91k, Malaysia seterusnya?

    Namun begitu, prestasi jarak pemanduan agak mengecewakan. Model asas hanya mampu mencapai 360 km mengikut kitaran NEDC, menggunakan bateri LFP 59.93 kWh – realitinya, jangkaan lebih tepat mengikut piawaian WLTP adalah sekitar 300 km. Versi AWD pula dilengkapi bateri NMC 81.76 kWh, tetapi hanya mampu memberikan sekitar 430 km (atau sekitar 360 km WLTP).

    Dari sudut pengecasan, V23 menyokong pengecasan pantas DC sehingga 85 kW (dan 104 kW bagi model AWD), serta pengecasan AC maksimum 6.6 kW. Masa pengecasan tidak dinyatakan, tetapi fungsi vehicle-to-load (V2L) 3.3 kW hadir sebagai ciri standard, membolehkan tenaga dari kenderaan digunakan untuk alat elektrik lain.

    Walaupun reka bentuk luarannya seakan sebuah SUV lasak, Chery V23 sebenarnya adalah sebuah kereta bandar. Ini dilihat jelas melalui kelajuan maksimum dan jarak pemanduan yang terhad, selain saiznya yang kompak. Ia berukuran 4,220 mm panjang, 1,915 mm lebar dan 1,845 mm tinggi – menjadikannya lebih pendek berbanding iCaur 03, tetapi sedikit lebih lebar dan tinggi. Jarak roda 2,735 mm juga lebih panjang 20 mm daripada 03.

    Chery V23 EV dilancarkan di Thailand – iCaur versi pemanduan kanan, dari RM91k, Malaysia seterusnya?

    Reka bentuknya menyerlah dengan gaya unik yang menggabungkan elemen Toyota FJ Cruiser dan Mercedes-Benz G-Class, menampilkan lampu utama LED bulat bersama jalur lampu siang mendatar, bonet jenis clamshell, lengkung roda bersudut, pemegang pintu rata yang tersembunyi, pelapik sisi, lampu belakang nipis dan panel sisi belakang yang menyerupai van.

    Pintu but belakang dibuka ke sisi dan mendedahkan ruang bagasi 234 liter, yang boleh dibesarkan sehingga 1,366 liter apabila kerusi belakang dibaringkan. Terdapat juga ruang simpanan bawah lantai 80 liter, serta ‘beg galas’ kecil yang menggantikan tayar simpanan luaran. Menariknya, model RWD dipasang dengan rim 19 inci yang kelihatan seperti keluli tetapi sebenarnya aloi, manakala versi AWD hadir dengan rim 21 inci lima jejari.

    Di bahagian dalam, gaya rugged diteruskan dengan penggunaan kemasan perak bersegi dan pemegang pintu tebal pada pintu serta tiang A. Meskipun buatan China, kabinnya mengekalkan banyak butang kawalan fizikal, termasuk suis pendingin hawa dan tombol pada konsol tengah serta bahagian bumbung.

    Chery V23 EV dilancarkan di Thailand – iCaur versi pemanduan kanan, dari RM91k, Malaysia seterusnya?

    Skrin infotainmen utama bersaiz 15.4 inci menyokong Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, namun kereta ini tidak mempunyai paparan meter utama dan pengecas telefon tanpa wayar. Ciri lain termasuk kerusi pemandu larasan kuasa enam arah, pengudaraan untuk tempat duduk hadapan dan tujuh pembesar suara.

    Dari segi keselamatan, hanya varian AWD dan 2WD tertinggi yang menerima ciri bantuan pemandu seperti brek kecemasan automatik, pemanduan adaptif dengan fungsi henti dan gerak, bantuan kekal lorong, amaran pelanggaran belakang, pemantauan titik buta, amaran lintasan trafik belakang, amaran bukaan pintu dan lampu tinggi automatik. Namun begitu, enam beg udara dan kawalan kestabilan disediakan sebagai ciri standard untuk semua varian.

    Dengan kemasukan Chery V23 ke pasaran ASEAN, dijangka iCaur V23 akan tiba di Malaysia sebelum akhir tahun ini. Ia diletakkan di bawah model iCaur 03, jadi kemungkinan harga permulaan sekitar RM100,000 agak munasabah. Namun begitu, pengenalan ke pasaran perlu dilakukan segera kerana pengecualian cukai EV di Malaysia dijangka tamat dalam masa 91 hari sahaja.

     
     
  • Bermaz turunkan harga SUV Mazda di Malaysia – CX-5 RM10k lebih murah, CX-80 turun sehingga RM35k

    Bermaz turunkan harga SUV Mazda di Malaysia – CX-5 RM10k lebih murah, CX-80 turun sehingga RM35k

    Pengedar rasmi kenderaan jenama Mazda di Malaysia iaitu Bermaz Motor telah mengemaskini harga bagi beberapa model jenama Jepun tersebut, termasuk CX-80, CX-8, CX-5 dan CX-30. Kemaskini berkenaan sebenarnya telah berkuatkuasa 15 September lalu, bermakna harga baharu untuk keempat-empat model tersebut telahpun digunakan sejak sekitar dua minggu lalu.

    Berita baik untuk yang berminat untuk membeli SUV segmen-C Mazda CX-5, harga bagi model tersebut kini sudahpun turun RM10,000 untuk semua varian yang ditawarkan. Oleh itu varian asas CX-5 2.0 Mid kini dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM134,469.20, diikuti oleh varian 2.0 High dan 2.5 High yang kini masing-masing dijual pada harga RM151,469.20 dan RM164,960.40.

    Manakala varian tertinggi untuk CX-5 dengan enjin petrol iaitu 2.5T High AWD yang suap pengecas turbo serta dibantu sistem AWD pula dijual pada harga RM178,760.40. Dan akhir sekali varian dengan enjin turbodiesel pula kini boleh dibeli pada harga RM170,322.80, atau RM10,000 lebih murah dari sebelum ini.

    Beralih kepada Mazda CX-8, tiga dari lima varian SUV dengan tiga baris tempat duduk tersebut kini dijual pada harga RM20,000 lebih murah dari sebelumnya. Varian-varian tersebut termasuk CX-8 2.5 Mid kini dijual pada harga RM170,322.80, 2.5 High kini berharga RM171,360.40 dan 2.5 High Plus pula kini berharga RM186,360.40. Namun harga bagi dua varian tertinggi model ini iaitu versi petrol turbo 2.5T High Plus AWD dan turbodiesel 2.2D High Plus masih tidak berubah dijual pada harga masing-masing RM221,360.40 dan RM213,122.80.

    Bermaz turunkan harga SUV Mazda di Malaysia – CX-5 RM10k lebih murah, CX-80 turun sehingga RM35k

    Bagi SUV lebih kecil CX-30 pula ia kini adalah RM5,000 lebih murah untuk majoriti variannya. Ia termasuk CX-30 2.0L High yang kini dijual pada harga RM213,122.80, 2.0L High+ kini berharga RM144,409 dan 2.0L High+ Premium kini dijual pada harga RM154,409. Varian asas 2.0L juga kini dijual lebih murah, namun dengan penurunan RM3,000 kepada RM128,409.

    Harga bagi SUV CX-60 yang baru sahaja dilancarkan bulan lalu dalam varian tunggal 2.5 2WD High masih lagi sama iaitu RM210,510.40. Namun satu lagi model platform baharu Mazda yang turut dilancarkan pada hari yang sama iaitu CX-80 kini dijual RM35,000 lebih murah iaitu RM296,610.40 berbanding harga asal RM331,610.40. CX-80 pasaran Malaysia menerima unit rangkaian kuasa plug-in hybrid dan juga pacuan semua roda.

    Menerusi laman web rasmi Mazda Malaysia, kami juga mendapati dua model Mazda sudah tidak lagi ditawarkan di sini iaitu Mazda 2 dan juga trak pikap BT-50. Manakala model lain termasuk Mazda 6, CX-3 dan MX-5 RF masih lagi boleh dibeli oleh pelanggan di Malaysia.

     
     
  • Toyota bZ3X dilancar di Hong Kong dan Macau; versi RHD bakal ke Jepun, UK, Australia, NZ, Singapura

    Toyota bZ3X dilancar di Hong Kong dan Macau; versi RHD bakal ke Jepun, UK, Australia, NZ, Singapura

    Versi pemanduan sebelah kanan (RHD) bagi Toyota bZ3X telah pun dilancarkan di Hong Kong dan Macau, dan model EV ini ditawarkan pada harga HKD259,000 (RM140,008) di Macau; manakala untuk pasaran Hong Kong, harganya masih belum disahkan lagi, menurut Car News China.

    Ia menjadikan harga bZ3X di Macau lebih mahal berbanding China, di mana model elektrik-bateri itu ditawarkan pada 139,800 yuan (RM82,589), menurut laporan berkenaan.

    Untuk pasaran Hong Kong dan Macau, bZ3X diberikan motor 204 PS/210 Nm yang kuasanya dijanakan oleh bateri lithium-iron phosphate 70 kWh yang mampu memberikan jarak gerak hingga 565 km mengikut kitaran ujian NEDC. Ia boleh dicas menggunakan pengecas pantas DC hingga 90 kW dan pengecas AC 6.6 kW.

    Dengan ukuran 4,600 mm panjang, 1,850 mm lebar dan 1,645 mm tinggi dengan jarak roda 2,765 mm, bZ3X adalah seberat 1,835 kg. Ia dilengkapi roda aloi 19-inci dengan tayar 225/45R19, serta sistem suspensi jenis topang MacPherson di bahagian hadapan dan torsion beam di bahagian belakang.

    Toyota bZ3X di Auto China 2024, Beijing

    Di bahagian dalamnya, kabin bZ3X menampilkan panel instrumen digital sembilan-inci dan unit infotainmen tengah berukuran 14.6-inci, dengan sokongan untuk Apple CarPlay tanpa wayar, manakala sistem audionya menggunakan 11-pembesar suara Yamaha. Tempat duduk hadapan dilengkapi dengan fungsi pengudaraan, pemanas dan penyejuk, serta sistem pendingin udara dwi-zon yang turut merangkumi penapisan PM2.5 dan corong udara belakang.

    Sementara itu, tempat duduk belakang boleh direbahkan dengan sudut antara 117 hingga 137 darjah, dan model ini juga didatangkan dengan bumbung panoramik. Berbanding bZ3X yang dijual di tanah besar China, model pasaran Macau tidak menerima motor 165 kW (224 PS) yang lebih berkuasa atau sistem pemanduan bantuan lidar, menurut Car News China.

    Toyota bZ3X ialah model kenderaan elektrik berkuasa bateri (BEV) yang dibangunkan bersama oleh pengeluar kereta Jepun itu dengan Guangzhou Automobile Group, GAC Toyota Motor dan IEM by Toyota. Model ini diperkenalkan dalam bentuk konsep di Auto China Beijing 2024, bersama bZ3C dan bZ3.

    Selain Hong Kong dan Macau, Toyota bZ3X juga dijangka memasuki pasaran pemanduan sebelah-kanan seperti Jepun, UK, Australia, New Zealand dan Singapura, menurut laporan tersebut. Adakah anda juga ingin melihat Toyota BEV ini ditawarkan di Malaysia?

    GALERI: Toyota bZ3X di Auto China 2024, Beijing

     
     
  • Lima jalan di sekitar KL ditutup sementara hingga 19 Okt sempena Bazar Deepavali 2025 – DBKL

    Lima jalan di sekitar KL ditutup sementara hingga 19 Okt sempena Bazar Deepavali 2025 – DBKL

    Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengumumkan bahawa sebahagian jalan di beberapa lokasi terpilih sekitar Kuala Lumpur ditutup sementara sejak 29 September lalu hingga 19 Oktober ini. Penutupan ini dilaksanakan bagi memberi laluan kepada kelancaran penganjuran Bazar Deepavali 2025.

    Laluan yang terlibat ialah Jalan Bonus 6 di Jalan Masjid India Jalan Rakyat di Brickfields, Jalan Tun Sambanthan (hadapan Sentral Suites), Jalan Tun Sambanthan (hadapan Little India) di Brickfields dan Lorong Chan Ah Tong.

    “Penutupan jalan ini adalah bagi memberi laluan kepada pengurusan dan kelancaran Bazar Deepavali 2025, sekali gus mewujudkan suasana perayaan yang meriah dan selamat kepada para pengunjung serta peniaga. Orang ramai dinasihatkan untuk merancang perjalanan lebih awal, menggunakan laluan alternatif atau perkhidmatan pengangkutan awam bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas,” kata DBKL menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

     
     
  • JPJ rekod kutipan saman RM132 juta antara Jan-Sept 2025 – 2 juta pesalah trafik masih gagal membayarnya

    JPJ rekod kutipan saman RM132 juta antara Jan-Sept 2025 – 2 juta pesalah trafik masih gagal membayarnya

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) merekodkan sejumlah RM132 juta hasil bayaran saman pelbagai kesalahan antara bulan Januari hingga September 2025. Menurut Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan, ini termasuk atas kesalahan memandu melebihi had laju yang direkodkan di bawah Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS), laporan Kosmo.

    Muhammad Kifli turut berkata, pelaksanaan inisiatif Budi Madani RON95 (Budi95) turut memberi kesan langsung terhadap pesalah trafik apabila ramai yang sebelum ini culas melunaskan saman akhirnya tampil menyelesaikannya. Berdasarkan syarat program itu, hanya rakyat Malaysia yang memiliki lesen memandu sah layak menikmati subsidi petrol RON95. Jika pesalah trafik masih belum melunaskan saman, mungkin berhadapan dengan risiko disenaraihitamkan (blacklist) daripada memperbaharui lesen memandu dan cukai jalan.

    Tambahnya, pada hari terakhir September sahaja, pihaknya berjaya mengutip bayaran saman berjumlah RM1.3 juta hasil penyelesaian 8,300 notis saman oleh pesalah trafik.

    Sebelum ini, beliau dilaporkan berkata pihaknya bakal menyenaraihitamkan hampir dua juta pengguna jalan raya sekiranya gagal menjelaskan saman tertunggak atas pelbagai kesalahan lalu lintas sebelum 31 Dis 2025.

    Katanya, jumlah itu merangkumi 1,458,577 saman kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AwAS), 296,684 notis 114 (temu siasat berkaitan ubah suai kenderaan) dan 164,598 notis 115 (pemeriksaan kenderaan), menjadikan keseluruhan 1,919,859 notis saman tertunggak.

     
     
  • JPJ eBid: JYL dan QPE bakal dibuka bidaan

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengumumkan bahawa siri nombor pendaftaran terkini dari Johor dan Sarawak bakal dibuka bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Bagi yang memerlukannya untuk kenderaan baharu, antara pilihan yang ada ialah siri nombor pendaftaran terkini dari Johor, JYL yang bakal dibuka bidaannya bermula 3 Oktober. Bidaannya akan berakhir jam 10 malam pada 7 Oktober. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 8 Oktober 2025. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala siri nombor pendaftaran terkini Sarawak, QPE, bakal dibuka bidaan mulai 7 Oktober. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 11 Oktober, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 12 Oktober 2025.

    Jadi, sekarang ini anda boleh menjimatkan masa dan wang ringgit dengan membida sendiri nombor pendaftaran yang anda hajati tanpa perlu menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner). Tak susah pun untuk membidanya dan anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk tujuan bidaan ini.

     
     
  • Petronas Sprinta keluarkan helmet terhad 5,000 unit sempena ulang tahun, jualan mula malam ini, RM298

    Petronas Sprinta keluarkan helmet terhad 5,000 unit sempena ulang tahun, jualan mula malam ini, RM298

    Petronas Sprinta, sempena ulang tahunnya yang ke-40 mengeluarkan helmet edisi terhad yang akan dijual kepada orang ramai bermula jam sembilan malam ini, melalui platform atas talian FT Garage.

    Helmet ini dihasilkan dengan kerjasama pengeluar tempatan, ARC dan hanya akan dikeluarkan sebanyak 5,000 unit. Setiap pembelian, selain helmet itu sendiri, akan datang dengan kotak serta kain khas, dan sijil penghargaan daripada Petronas.

    Menggunakan model ARC Ritz sebagai asas, helmet keluaran terhad Petronas Sprinta ini menampilkan rekaan yang dibuat oleh F-Design, iaitu pereka daripada FT Garage sendiri dan membawakan grafik antaranya peta dunia dan warna korporat Petronas.

    Memberi lebih keterujaan, setiap pembeli helmet edisi terhad ini juga berpeluang untuk memenangi dua buah helmet Arai, yang mana salah satunya turut diberi konsep rekaan istimewa Petronas Sprinta. Pemenang akan dibuat melalui cabutan bertuah secara langsung dalam talian.

    Helmet Petronas Sprinta 40th Anniversary x ARC ini dijual pada harga RM298 dan penghantaran akan dibuat kepada pembeli secara percuma selepas pembelian lengkap.

     
     
  • Honda Prelude-GT Prototype didedah – jentera lumba GT500 bakal ganti Civic Type R di Super GT 2026

    Honda Prelude-GT Prototype didedah – jentera lumba GT500 bakal ganti Civic Type R di Super GT 2026

    Honda Racing Corporation (HRC) telahpun mendedahkan jentera lumba prototaip Honda Prelude-GT, iaitu jentera lumba kelas GT500 yang akan menggantikan Honda Civic Type R-GT FL5 dalam siri perlumbaan Super GT di Jepun bermula musim 2026. Ini bermakna FL5 GT500 hanya sempat berlumba dalam dua musim Super GT iaitu dalam musim 2024 dan juga 2025.

    Pengenalan jentera lumba baharu ini dibuat tidak sampai sebulan model produksi Honda Prelude generasi ke-enam dilancarkan di Jepun. Ia dibina oleh badan pembangunan sukan permotoran utama Honda iaitu HRC Sakura di Jepun, dan sesi ujian litar pertama Prelude-GT Prototype ini telah bermula pagi tadi di Litar Sportsland Sugo.

    Tiada sebarang perincian didedahkan oleh HRC, namun seperti diketahui kelas GT500 dalam perlumbaan Super GT kini menggunakan undang-undang FIA Class 1. Oleh itu sudah tentu kereta lumba ini diasaskan dari casis spaceframe yang dibina menggunakan blueprint dari FIA, dibekalkan dengan enjin 2.0 liter empat silinder turbo menghasilkan kuasa sekitar 650 PS diletakkan pada bahagian hadapan, dan memacu sepenuhnya roda belakang.

    Honda Prelude-GT Prototype didedah – jentera lumba GT500 bakal ganti Civic Type R di Super GT 2026

    Apa yang menarik, Prelude yang sememangnya lahir sebagai sebuah Coupe GT dua-pintu nampak lebih sesuai sebagai jentera GT500 berbanding Civic Type R yang secara asasnya merupakan hatchback lima-pintu. Oleh itu Prelude-GT Prototype ini tampil dengan rupa yang lebih tajam, dan bayangan badan sisi yang lebih menarik kerana hadir dengan bumbung yang lebih pendek dan lebih landai.

    Bukan hanya lebih cantik, rekaan ini sebenarnya memberikan kelebihan aerodinamik badan yang lebih baik kepada Prelude sebagai jentera lumba berbanding Civic Type R. Menurut ketua projek Super GT HRC Masahiro Saeki dalam laporan Motorsport.com, pasukannya mengambil kesempatan atas pembekuan spesifikasi aerodinamik bagi jentera sedia ada dibuka pada penghujung tahun ini (ditutup semula pada Mac tahun depan) untuk bertukar asas jentera perlumbaan mereka.

    “Kami percaya Civic Type R-GT sedia ada boleh ditambah baik untuk tahun depan. Namun, dengan undang-undang sedia ada di mana semua pasukan bertanding dalam tahap yang sangat tinggi, kami nampak potensi untuk mencapai tahap lebih tinggi dari Civic Type R-GT dengan menggunakan pengetahuan yang diperolehi dalam dua tahun kebelakangan ini terhadap pembangunan jentera Super GT berasaskan Prelude,” kata Saeki.

    “Tambahan pula, 2026 merupakan tahun dimana pembangunan aerodinamik dibolehkan di bawah undang-undang. Sekiranya kami melepaskan peluang ini bermakna kami perlu menunggu beberapa tahun lagi untuk pembekuan pembangunan dibuka semula, sebab itulah kami mengambil keputusan untuk mengubah asas kenderaan pada masa ini.

    “Kembalinya semula Prelude dengan badan coupe selepas beberapa tahun memberikan kami cabaran dan peluang baharu. Kami turut mensasarkan bagi mendatangkan hasil dalam Super GT agar Honda dapat terus memperkenalkan kereta produksi seperti ini pada masa hadapan. Nantikan prestasi kami pada masa akan datang,” tambahnya.

    Jentera Honda Prelude-GT ini akan membuat kemunculan sulungnya dalam perlumbaan pembukaan Super GT 2026 di Litar Okayma pada 11 hingga 12 April tahun depan. Peminat di Malaysia juga bakal dapat menyaksikan jentera ini beraksi secara langsung depan mata kerana Super GT bakal kembali sekali lagi ke Litar Antarabangsa Sepang Petronas tahun depan menerusi perlumbaan pusingan ketiga yang akan berlangsung pada 18 hingga 20 Jun 2026.

     
     
  • Budi95: Warga Malaysia dengan lesen memandu Singapura juga layak nikmati RON 95 bersubsidi

    Budi95: Warga Malaysia dengan lesen memandu Singapura juga layak nikmati RON 95 bersubsidi

    Dengan pelaksanaan Budi95 yang bermula semalam, ada satu kelompok warga negara Malaysia yang berada dalam kes yang unik — mereka yang memegang lesen memandu Singapura untuk tujuan kerja.

    Hal ini adalah kerana pekerja Malaysia di Singapura yang berkerja misalnya sebagai pemandu bas, lori dan trak pelabuhan perlu menyerahkan lesen memandu Malaysia bagi membolehkan mereka mendapatkan lesen memandu Singapura, seperti yang termaktub di bawah peraturan negara itu, lapor Malay Mail.

    Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kerajaan sedar tentang perkara ini, dan sedang mengambil langkah untuk mengatasinya. Menjelaskan perkara itu, beliau berkata undang-undang Singapura melarang individu daripada memegang dua lesen memandu dalam satu masa, menyebabkan warga Malaysia yang bekerja sebagai pemandu di sana terpaksa menukar lesen mereka untuk tujuan itu.

    Beliau juga menjelaskan bahawa perkara terbabit telah dibangkitkan dalam mesyuarat kabinet minggu lalu, dan umumnya bersetuju bahawa pekerja-pekerja yang terlibat layak menikmati subsidi memandangkan mereka adalah warga negara. “Kelompok ini adalah warga negara, tinggal di Johor dan melakukan perjalanan setiap hari untuk bekerja di Singapura. Ketika kembali, mereka memandu kenderaan sendiri yang didaftar dan dicukaikan di sini. Untuk itu, mereka juga layak menerima Budi95,” ujar beliau.

    Budi95: Warga Malaysia dengan lesen memandu Singapura juga layak nikmati RON 95 bersubsidi

    Bagaimanapun, beliau menambah, pelaksanaan untuk itu akan mengambil masa berikutan kekangan oleh undang-undang data peribadi. Beliau menjelaskan, penguatkuasa pengangkutan darat (LTA) Singapura tidak berkongsi data peribadi mereka yang terlibat dengan Malaysia, menjadikan pengesahan automatik adalah mustahil. Untuk menyelesaikan hal ini, JPJ kini sedang membangunkan sistem pendaftaran online untuk warga Malaysia yang memegang lesen memandu Singapura.

    “Data Singapura tidak disepadukan dengan kita di sini. Dan itu juga di luar bidang kuasa kami serta melibatkan akta perlindungan data peribadi. Kita memerlukan sistem untuk mendaftarkan kelompok ini, dan JPJ memerlukan dua hingga tiga minggu untuk membangunkannya,” ujar beliau.

    Jumlah warga Malaysia yang memegang lesen memandu Singapura ketika ini tidak diketahui, walaupun ada di antara 200,000 hingga 250,000 warga yang melintasi sempadan Johor-Singapura setiap hari.

     
     
  • JPJ sita sebuah Toyota Fortuner yang guna nombor pendaftaran berbeza termasuk miliki 42 saman AWAS

    Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) melalui Unit Peronda Lebuhraya (UPLR) telah mengesan dan menyita sebuah Toyota Fortuner di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Hentian Rehat dan Rawat Behrang, yang menggunakan nombor pendaftaran berbeza pada bahagian hadapan dan belakang kenderaan.

    Hasil pemeriksaan mendapati SUV tersebut menggunakan nombor pendaftaran PRF yang dipamerkan di bahagian hadapan, manakala nombor pendaftaran RF pula di bahagian belakang.

    Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Dato’ Muhammad Kifli Ma Hassan, berkata, siasatan lanjut mendapati nombor pendaftaran RF adalah wujud dan dimilik oleh individu lain.

    “Hasil semakan pangkalan data JPJ, terdapat 42 saman kesalahan Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) yang direkodkan ke atas nombor kepunyaan atau milikan orang lain, dipercayai bagi mengelak dikesan dan dikenakan tindakan.

    “Pemilik sebenar kenderaan (PRF) telah dikenakan tindakan di bawah Seksyen 108(3)(f), Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) kerana mempamerkan nombor pendaftaran palsu. Kenderaan turut disita mengikut Seksyen 64 (1), Akta yang sama untuk tindakan lanjut. Jika sabit kesalahan, pemilik boleh dikenakan denda tidak kurang RM5,000 dan tidak melebihi RM20,000 atau penjara antara satu hingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali”, katanya dalam sidang media yang berlangsung di Stesen Penguatkuasa JPJ Kalumpang hari ini.

    JPJ sita sebuah Toyota Fortuner yang guna nombor pendaftaran berbeza termasuk miliki 42 saman AWAS

    Tambah beliau, saman AWAS yang dikenakan terhadap pemilik asal nombor pendaftaran RF itu akan dipindahkkan kepada pemilik kenderaan sebenar (PRF) yang melakukan kesalahan lalu lintas terbabit.

    “JPJ tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk pemalsuan nombor pendaftaran dan akan terus melaksanakan tindakan tegas bagi menjaga keselamatan serta integriti sistem pengangkutan jalan raya negara,” sambungnya lagi.

    Menurut laporan Berita Harian pula, SUV terbabit dimiliki oleh seorang penceramah motivasi terkenal berusia 50 tahun yang menggunakan nombor pendaftaran berbeza bagi mengelak dikesan sistem AWAS. Tindakannya mengunakan nombor pendaftaran sebegitu turut menyebabkan saman berjumlah lebih RM12,600 yang terkumpul sejak September 2023 dikeluarkan kepada pemilik nombor pendaftaran hampir sama.

    Pemilik asal nombor pendaftaran terbabit telah membuat laporan selepas dikenakan tindakan senarai hitam atas kesalahan tidak dilakukannya dan hasil siasatan JPJ mendapati ia dilakukan kenderaan lain yang sama jenis dan model tetapi warna berbeza.

     
     
  • Kummute perkenal CB Taxi, aplikasi servis teksi rentas sempadan JB-SG — turun di Ban San Street Terminal

    Kummute perkenal CB Taxi, aplikasi servis teksi rentas sempadan JB-SG — turun di Ban San Street Terminal

    Kummute dengan kerjasama persatuan teksi rentas sempadan di Malaysia dan Singapura bakal melancarkan perkhidmatan tempahan teksi digital yang disifatkan sebagai penyelesaian berasaskan aplikasi pertama seumpamanya yang memudahkan pengguna teksi berlesen di antara dua negara ini.

    Perkhidmatan tersebut, yang sedang menunggu kelulusan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), akan membolehkan pengguna menempah teksi rentas sempadan yang berlesen melalui aplikasi Kommute. Pegguna juga boleh menempah lebih awal, atau secara on-demand, dengan kadar tambang yang telus akan dipaparkan dari awal. Bayaran dibuat secara dalam talian menerusi aplikasi berkenaan, dan teksi yang terlibat dijamin didaftarkan sebagai pengendali berdaftar untuk merentas sempadan dengan pemandu yang sah.

    Di bawah peraturan semasa, teksi rentas sempadan dengan lesen dari Malaysia boleh mengambil penumpang di mana-mana kawasan dalam Malaysia, tetapi perlu menurunkan mereka di Ban San Street Terminal di Singapura. Teksi Singapura dengan lesen rentas sempadan pula boleh mengambil penumpang di mana-mana di pulau tersebut, tetapi perlu menurunkan mereka di Larkin Sentral di JB. Tertera papan tanda “CB Taxi” di lokasi berkenaan.

    Kummute menjelaskan, pendekatan berfasa yang dilakukan pihaknya ini membolehkan tempahan dari Malaysia dibayar dalam RM dan Singapura dalam SGD. Fasa kedua pula akan menambah ciri dan inovasi lain untuk mempertingkat serta memudahkan perjalanan penumpang antara dua negara ini, yang akan diumumkan nanti.

    Kummute yang dikuasakan oleh Kumpool menyifatkan entiti tersebut sebagai platform mobiliti yang menyediakan penyelesaian perkongsian pengangkutan yang boleh diharap dan berpatutan. Dilancarkan pada 2021 sebagai perkhidmatan Bus-on-Demand (BoD)/Demand Responsive Transit (DRT) yang pertama di Malaysia, Kummute sejak itu telah memperluaskan jangkauannya meliputi bidang penghantaran, dan kini, operasi teksi rentas sempadan.

     
     
  • SYM Cruisym 400i dilancar di Malaysia – RM27,888

    SYM Cruisym 400i dilancar di Malaysia – RM27,888

    Turut dilancarkan oleh SYM bersama Naga 155 dan VFE 185i adalah skuter maxi Cruisym 400i. Ia ditawarkan dalam tiga warna dan dijual pada harga RM27,888 tidak termasuk insurans. Jaminan yang diberi adalah selama dua tahun tanpa had batuan.

    Menggerakkan skuter ini adalah enjin satu silinder berkapasiti 399 cc, yang dipadankan bersama transmisi CVT dan pacuan tali sawat, mampu menghasilkan kuasa 33.5 hp pada 6,750 rpm dan tork 37 Nm pada 5,000 rpm. Tangki bahan api berkapasiti 14.5 liter.

    Rim yang digunakan adalah berlainan saiz, dengan di hadapan 15 inci dibalut tayar 120/70 dan di belakang 14 inci dibalut tayar 160/60. Memegangnya masing-masing adalah fork teleskopik dan dua penyerap hentak.

    Pada bahagian keselamatan, brek cakera hadapan dan belakang skuter ini dilengkapi dengan sistem ABS dual-channel serta fungsi brek parkir, dan dibantu lagi oleh sistem kawalan cengkaman yang boleh ditutup. Panel meter menggunakan unit TFT berwarna.

    Kelengkapan lain yang disediakan oleh Cruisym 400i adalah termasuk sistem kunci pintar, lampu hadapan dan belakang LED, penghadang angin boleh laras, perakam video hadapan dan belakang serta ruang simpanan luas bawah tempat duduk.

     
     
  • SYM Naga 155 dilancarkan di Malaysia – RM8,888

    SYM Naga 155 dilancarkan di Malaysia – RM8,888

    Seperti yang kami laporkan April lalu, SYM Naga kini dilancarkan secara rasmi untuk jualan di Malaysia, pada harga RM8,888 tidak termasuk insurans. Empat pilihan warna diberi dan setiap pembelian didatangkan dengan jaminan dua tahun atau 20,000 km.

    Asas untuk Naga 150 ini sebenarnya adalah sama seperti Husky 150, termasuk enjin, iaitu unit satu silinder 149.6 cc dengan sistem suntikan bahan api elektronik dan penyejukan cecair, mampu menghasilkan 14.2 hp pada 8,000 rpm dan 13 Nm tork pada 7,500 rpm dihantar kepada roda belakang melalui transmisi CVT dan sistem tali sawat.

    Sementara Husky 150 tampil dengan gaya adventure, Naga 150 pula membawa rupa sport/urban, dengan muka hadapan yang agresif. Ia terletak di atas jalan melalui rim bersaiz 13 inci di hadapan dan belakang, dibalut tayar masing-masing 120/70 dan 130/70, kemudiannya dipegang oleh fork teleskopik dan monoshock di belakang.

    Selain ABS dual-channel, skuter ini juga didatangkan secara standard dengan kawalan cengkaman untuk bahagian keselamatan. Kedua-dua brek hadapan dan belakang Naga 150 adalah unit cakera dan di bawah tempat duduknya masih terdapat ruang barangan yang luas.

    Kelengkapan lain yang disediakan adalah termasuk semua lampu jenis LED, panel meter LED berwarna, soket pengecas USB, cangkuk dan poket barangan kecil, kunci pintar serta tangki bahan api 7.3 liter.

     
     
  • Budi95: Kementerian kewangan dan APAD akan beri perincian kelayakan pemandu e-hailing minggu ini

    Budi95: Kementerian kewangan dan APAD akan beri perincian kelayakan pemandu e-hailing minggu ini

    Kementerian Kewangan bersama Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dijangka memuktamadkan proses permohonan bagi had kelayakan tambahan kepada pemandu e-hailing di bawah program subsidi bersasar Budi Madani RON 95 (Budi95) dalam minggu ini.

    Menurut Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, kerajaan sedang bekerjasama rapat dengan syarikat pengendali e-hailing (EHO) untuk mengenal pasti pemandu yang layak menerima peruntukan tambahan tersebut, lapor Bernama.

    Program Budi95 mula dilancarkan secara rasmi kepada orang ramai pada 30 September. Melalui inisiatif ini, semua warganegara Malaysia yang memiliki lesen memandu sah layak membeli petrol RON 95 pada harga subsidi RM1.99 seliter, dengan had penggunaan sebanyak 300 liter sebulan. Subsidi sebanyak RM0.61 seliter ini diberikan berdasarkan harga pasaran RM2.60 seliter, menjadikan jumlah subsidi individu sebanyak RM183 sebulan.

    Budi95: Kementerian kewangan dan APAD akan beri perincian kelayakan pemandu e-hailing minggu ini

    Namun begitu, kuota 300 liter sebulan ini dijangka tidak mencukupi bagi pemandu e-hailing sepenuh masa yang menggunakan kenderaan secara intensif untuk menjana pendapatan harian mereka. Laporan sebelum ini menunjukkan bahawa purata penggunaan petrol harian bagi pemandu e-hailing adalah antara 25 hingga 30 liter sehari, bermakna kuota 300 liter itu hanya mampu bertahan sekitar 10 hari sahaja.

    Secara umumnya, pemandu e-hailing sepenuh masa memerlukan antara 700 hingga 800 liter petrol sebulan bagi memenuhi keperluan kerja mereka. Oleh itu, satu mekanisme pengesahan yang ketat dijangka akan diperkenalkan bagi menyokong pemberian kuota tambahan ini dan mengelakkan sebarang penyalahgunaan

     
     
  • Budi95: RM91 juta petrol RON95 bersubsidi dibeli oleh hampir 3 juta pengguna dalam tempoh 4 hari pertama

    Budi95: RM91 juta petrol RON95 bersubsidi dibeli oleh hampir 3 juta pengguna dalam tempoh 4 hari pertama

    Hampir tiga juta pengguna telah membeli petrol RON95 bersubsidi sejak program Budi Madani RON95 (Budi95) dilaksanakan mulai semalam (30 September) untuk semua rakyat Malaysia (27 September untuk anggota polis dan tentera serta 28 September untuk penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR)). Dalam tempoh itu, jumlah keseluruhan jualannya mencecah RM91 juta, menurut Kementerian Kewangan (MoF).

    Bagi hari pertama pelaksanaan Budi95 untuk semua rakyat Malaysia, sebanyak 21.8 juta liter petrol RON95 telah dijual dengan nilai RM43.7 juta setakat jam 7 malam semalam, laporan Malay Mail.

    Rakyat Malaysia yang layak menerima subsidi petrol RON95 akan membayar RM1.99 seliter untuk bahan api itu dengan kuota 300 liter sebulan, manakala harga tanpa subsidi pula ialah RM2.60 seliter sepanjang bulan Oktober, menurut pengumuman MoF awal minggu ini.

    Menurut Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, harga petrol RON95 tanpa subsidi iaitu RM2.60 seliter ditetapkan untuk tempoh sebulan bagi memberi ruang kepada rakyat Malaysia menyesuaikan diri dengan mekanisme Budi95 sebelum harga petrol tersebut diapungkan mengikut harga pasaran global. Namun, pelaksanaan harga apungan itu tidak akan menjejaskan harga petrol RON95 bersubsidi.

    Beliau berkata, harga apungan bagi petrol RON95 tanpa subsidi akan bergerak mengikut turun naik pasaran global, sepertimana mekanisme yang digunakan untuk bahan api diesel.

    Program subsidi petrol Budi95 untuk rakyat Malaysia dijangka dapat menjimatkan antara RM2.5 bilion hingga RM4 bilion setahun dengan mengehadkan subsidi bahan api kepada rakyat Malaysia yang memiliki MyKad dan lesen memandu sah, dan tidak lagi diberikan kepada warga asing serta sektor kenderaan komersial, menurut kenyataan kerajaan Malaysia sebelum ini.

     
     
  • Beberapa jalan utama di KL akan ditutup pada 4-5 Oktober sempena Standard Chartered Marathon 2025

    Beberapa jalan utama di KL akan ditutup pada 4-5 Oktober sempena Standard Chartered Marathon 2025

    Untuk yang merancang memasuki pusat bandar KL pada hujung minggu ini, dimaklumkan bahawa terdapat beberapa jalan utama di pusat bandar Kuala Lumpur akan ditutup pada 4 hingga 5 Oktober ini bersempena dengan acara larian Kuala Lumpur Standard Chartered Marthon (KLSCM) 2025. Acara ini melibatkan kira-kira 40,000 peserta termasuk 3,300 peserta dari luar negara.

    Jika sebelum ini, acara larian berprestij tersebut dilaksanakan di Dataran Merdeka, bermakna garisan pemula/penamat (flag-off/finisher) berada di lokasi yang sama. Tapi memandangkan sebahagian Jalan Raja (di mana terletaknya Dataran Merdeka) sedang ditutup sejak 15 September lalu untuk kerja-kerja menaiktaraf Warisan Kuala Lumpur, maka lokasi utama KLSCM 2025 kali ini diubah ke Stadium Merdeka.

    Walau bagaimana pun, dimaklumkan bahawa garisan pemula dan penamat bagi semua kategori (kecuali 3km) tidak berada di lokasi yang sama. Di mana acara larian akan bermula di Jalan Raja Laut dan berakhir di Stadium Merdeka.

    Klik untuk besarkan

    Pada hari pertama penganjurannya iaitu Sabtu ini (4 Okt), kategori Kids Dash (hanya berlari di dalam Stadium Merdeka sahaja), 5km Fun Run dan Pantai KL 10km diadakan. Sebanyak 13 jalan yang akan ditutup secara berperingkat bermula jam 5 pagi hingga 10 pagi. Laluan yang terlibat ialah Jalan Raja Laut (yang ditutup mulai jam 10 malam pada 3 Okt), Jalan Sultan Ismail, Jalan Raja Abdullah, Jalan Ampang, Jalan Kuching, Bulatan Dato Onn, Jalan Sultan Salahuddin, Jalan Dato Onn, Jalan Tun Ismail, Jalan Berjasa, Jalan Kinabalu, Jalan Maharajalela dan Jalan Parlimen. Flag-off untuk 10km bermula 6 pagi dan 5km pula pada 7.45 pagi.

    Manakala pada Ahad (5 Okt) pula, ia melibatkan dua kategori iaitu 42km Full Marathon yang bermula jam 3.30 pagi dan 21km ASICS Half Marathon pula pada 4.45 pagi. Ia melibatkan 29 jalan yang akan ditutup secara berperingkat termasuk Jalan Raja Laut yang ditutup mula jam 10 malam dan Jalan TAR/Jalan Sultan Ismail jam 11 malam pada 4 Okt. Jalan-jalan lain yang terlibat pula akan ditutup mulai 3 pagi pada 5 Okt ialah Jalan Bukit Bintang. Jalan Pudu, Jalan Imbi, Jalan Raja Laut / Jalan Sultan Ismail, susur keluar ke Jalan Sultan Ismail dari arah utara & selatan, Jalan Sultan Azlan Shah, Jalan Tunku Abdul Rahman, Jalan Raja Muda Abd dan Jalan Raja Abdullah.

    Lain-lain laluan yang terlibat ialah Jalan Dang Wangi ke Jalan Ampang, sepanjang Jalan Sultan Ismail kedua hala, Jalan P.Ramlee / Jalan Sultan Ismail, Jalan Bukit Bintang / Jalan Sultan Ismail, Jalan Bukit Bintang / Jalan Sultan Ismail (dari arah Jalan Tun Razak), Jalan Perak/ Jalan Sultan Ismail, Jalan P.Ramlee / Jalan Ampang dan Jalan Kuching menuju Ke Cheras (kenderaan dilencongkan ke arah DUKE arah Ampang).

    Klik untuk besarkan

    Ia turut melibatkan Jalan Tun Razak / Jalan Ampang (Dari arah Bulatan Kg. Pandan), Jalan Tun Razak/ Jalan Ampang (Dari arah IJN), Jalan Ampang / Jalan Tun Razak, Jalan Ampang Hilir / Jalan Ampang / Jalan Jelatek, Lebuh raya AKLEH kedua hala, Lebuhraya DUKE dari arah Ulu Kelang sehingga ke Tol Duta / Jalan Duta, Jalan Kuching (Dari arah Selayang), Bulatan Segambut, Jalan Tun Razak / Jalan Kuching (PWTC), Jalan Kinabalu / Bulatan Dato Onn dan Jalan Maharajalela.

    Memandangkan banyak jalan utama ditutup dan ruang parkir pasti terhad, para peserta dinasihati menggunakan pengangkutan awam seperti tren LRT dan MRT. Rapid KL bakal mengumumkan kedua-dua perkhidmatan rel berkenaan akan beroperasi lebih awal dari waktu biasa pada kedua-dua tarikh berkenaan.

    Bagi orang ramai yang ingin memasuki pusat bandar pada hujung minggu ini, sila rancang perjalanan anda sewajarnya. Tolong patuhi arahan pihak polis dan petugas di lokasi, serta fokus dan berhati-hati dalam pemanduan.

     
     
  • Xpeng G6 facelift 2025 dilancarkan di Malaysia – kini 3 varian, semua bateri LFP, pilihan AWD, dari RM180k

    Xpeng G6 facelift 2025 dilancarkan di Malaysia – kini 3 varian, semua bateri LFP, pilihan AWD, dari RM180k

    Selepas tempahannya dibuka minggu lalu, model kemaskini Xpeng G6 facelift secara rasminya telahpun dilancarkan di Malaysia hari ini. Xpeng G6 baru sahaja berada dalam pasaran tempatan pada Ogos tahun lalu, manakala versi facelift ini baru membuat kemunculan sulungnya di China pada Mac 2025 – hanya selepas sekitar tujuh bulan, Bermaz Xpeng telah membawa model ini ke pasaran tempatan.

    Masih datang sebagai model yang diimport sepenuhnya dari China (CBU), Xpeng G6 facelift ini ditawarkan dalam tiga varian berbanding hanya dua sebelum ini. Varian asas adalah G6 Long Range RWD dijual pada harga RM179,708, diikuti G6 Performance AWD dijual pada harga RM190,708, dan yang paling tinggi adalah Performance AWD Black Edition dijual pada harga RM194,708. Semua harga yang dinyata adalah harga atas jalan tanpa insuran.

    Xpeng G6 diasaskan platform SEPA 2.0 dengan asas elektrikal 800-volt, dengan tetapan suspensi hadapan double wishbone dan suspensi belakang bebas jenis 5-link. Bagi versi facelift ini ia diberikan beberapa peningkatan unit rangkaian kuasa, dengan semua varian kini diberikan bateri litium iron fosfat (LFP) 80.8 kWj. Sebelum ini varian Standard 2WD menerima bateri LFP 66 kWj, manakala Long Range RWD pula diberika bateri nikel mangan kobalt (NMC) 87.5 kWj.

    Xpeng G6 facelift 2025 dilancarkan di Malaysia – kini 3 varian, semua bateri LFP, pilihan AWD, dari RM180k

    Dengan bateri LFP baharu ini, varian Long Range boleh bergerak sejauh 525 km dalam kitaran ujian WLTP, sedikit lebih rendah berbanding varian Long Range dengan bateri NMC terdahulu. Namun ia disertakan dengan motor elektrik yang lebih berkuasa yang menjana 296 PS (218 kW) dan tork 440 Nm memacu sepenuhnya roda belakang, berbanding hanya 259 PS/440 Nm sebelum ini.

    Walau bagaimanapun, versi terbaharu ini mencatatkan masa 6.7 saat untuk pecutan 0-100 km/j, sedikit lebih perlahan dari versi sebelumnya dengan catatan 6.2 saat. Tetapi model baharu ini diberikan kelajuan maksima lebih tinggi pada 202 km/j berbanding 200 km/j sebelumnya.

    Menerusi versi facelift ini G6 buat pertama kali ditawarkan dalam versi pacuan semua roda pada pasaran Malaysia dengan diperkenalkan dalam varian Performance AWD dan Performance AWD Black Edition. Varian ini masih menerima motor elektrik belakang yang sama seperti pada Long Range RWD, tetapi ditambah dengan satu lagi motor elektrik berkuasa 190 PS (140 kW) dan tork 220 Nm bagi memacu roda hadapan.

    Secara keseluruhan kedua-dua varian ini menghasilkan kuasa 487 PS (358 kW) dan tork maksima 660 Nm, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 4.13 saat. Walaupun dengan tambahan kuasa dan pecutan lebih pantas, jarak gerak versi prestasi ini kekal tinggi dengan 510 km WLTP dengan satu cas penuh bateri.

    Dengan bateri yang sama, kesemua varian yang kini menyokong pengecas 5C di mana kadar cas boleh dipenuhkan 10-80% dalam masa hanya 12 minit dengan pengecas DC 451 kW. Manakala pengecas AC masih kekal pada kadar 11 kW membolehkan kadar cas 5-100% dipenuhnya dalam masa 9.2 jam.

    Lima mod pemanduan disediakan termasuk Eco, Comfort, Sport, Individual, Launch dan Escape. Sistem vehicle-to-load (V2L) adalah standard untuk semua variant dengan kadar 3.3 kW, membolehkan ia mengoperasikan pelbagai peralatan elektrik lain.

    Xpeng G6 facelift 2025 dilancarkan di Malaysia – kini 3 varian, semua bateri LFP, pilihan AWD, dari RM180k

    Menurut Xpeng, bateri LFP pada G6 ini turut berada pada tahap “kalis peluru” dengan struktur kerangka keselamatan dilindungi oleh pelindung gred balistik. Ini membolehkan pek tersebut boleh bertahan dengan suhu melebihi 1,000 darjah selsius dan tekanan impak sisi pada kadar 80 tan. Jangka hayat bateri ini juga didakwa kini boleh bertahan 30% lebih lama.

    Sekali pandang G6 facelift ini masih nampak sama seperti versi sebelumnya. Namun jika anda lihat dengan teliti, logo ‘X’ yang sebelum ini berada pada jalur lampu tengah telah di’keluarkan’ dan diletakkan pada posisi lebih ke atas. Bar lampu nyalaan siang LED ‘Starlight Wing’ berkenaan kini menyala sepenuhnya dan dibina sekali dengan lampu isyarat membelok.

    Pada bahagian sisi, perapi pada setiap ruang roda yang sebelum ini berwarna hitam telah diberi kemasan warna badan pada versi facelift ini. Manakala di belakang, pintu taligate kini dipadankan dengan spoiler ‘ekor itik’ bersaiz kecil.

    Masuk ke kabin, sebahagian besar perincian juga masih nampak sama, tetapi dapat dilihat rekaan pada liang penghembus udara pada papan pemuka dan juga pemegang cawan ada berbeza dari sebelum ini. G6 facelift ini masih diberikan roda stereng dua jejari, tetapi ia telah dikemaskini dengan pemadanan butang suis kapasitif.

    Skrin sesentuh untuk sistem infotainmen juga kini lebih besar untuk semua varian dengan saiz 15.6-inci dari 14.59-inci sebelum ini. Skrin berkenaan turut menyokong bantuan arahan suara ‘Hey Xpeng’, sistem navigasi pintar, sokongan Android Auto dan Apple CarPlay serta App Store.

    Varian Long Range RWD dan Performance AWD menampilkan kelengkapan-kelengkapan yang sama. Kedua-duanya diberikan perincian termasuk rim aloi 20-inci, lampu hadapan LED, pengelap cermin hadapan dengan penderia, bumbung panaromik, paparan instrument dengan skrin 10.25-inci, sistem telematik, sokongan kad kunci NFC, kunci pintar, sokongan kunci pintar menerusi telefon bimbit, lampu suasana 256-warna, upholteri kulit Nappa dan juga pelapik bumbung sued.

    Dua varian ini juga diberikan sistem penghawa dingin dua-zon dengan penapis kabin N95 dan liang penghembus kabin belakang, sistem bunyi surround XOpera dengan 16-pembesar suara bersama dua lagi pembesar suara pada tempat duduk pemandu, tempat duduk hadapan larasan kuasa dengan fungsi pemanas, aliran udara dan pengurut, pemantau tekanan angin tayar, cermin pandang belakang digital, dan juga pad pengecas tanpa wayar 50-watt.

    Pembeli boleh memilih tema dalaman sama ada dalam warna gelap atau kelabu cerah untuk semua varian. Manakala untuk varian Black Edition, ia ditambah dengan logo Xpeng berwarna hitam, rim aloi 20-inci dan angkup brek kemasan hitam berkilat.

    Untuk keselamatan pula, Xpeng G6 ini menerima sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) XPilot dengan fungsi termasuk cruise control adaptif dengan kawalan kelajuan pada selekoh, kawalan kekal tengah lorong, tukaran lorong automatik. bantuan parkir, kamera 360-darjah dengan paparan casis telus cahaya, amaran pelanggaran hadapan dan belakang, brek kecemasan automatik, bantuan kelajuan, lampu tinggi automatik, pemantau pemandu, pengenal tanda trafik, pemantau titik buta, amaran buka pintu, bantuan kekal lorang dan pelbagai lagi.

    Xpeng G6 facelift pasaran Malaysia ini ditawarkan dengan warna badan Arctic White, Graphite Gray, Midnight Black dan Silver Frost. Ia turut ditambah dengan pilihan warna baharu Stellar Purple yang menggantikan warna Fiery Orange sebelum ini.

    Pembelian SUV EV ini datang dengan perlindungan waranti selama lima tahun atau 120,000 km, manakala bateri LFP yang dipadankan diberikan waranti selama lapan-tahun atau 160,000 km. Ia juga diberikan pakej servis percuma selama lima tahun atau 100,000 km. Bagi pembeli yang mahukan pengecas AC di rumah, ia ditawarkan dalam dua jenis iaitu versi 7-kW berharga RM4,300 dan juga versi 11-kW berharga RM5,000 – harga kedua-duanya sudah termasuk cas pemasangan.

    GALERI: Xpeng G6 RWD Long Range Pro 2025

    GALERI: Xpeng G6 AWD Performance 2025

    GALERI: Xpeng G6 AWD Performance Black Edition 2025

    GALERI: Gambar rasmi Xpeng G6 facelift 2025

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.67 (0.00)
EURO 5 B7 RM4.87 (0.00)
Last Updated Jun 11, 2026