Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Chery Tiggo 8 2026 didedah di China, bakal dilancar suku ke-4 2025; dua versi muka, kembar Lepas L8

    Chery Tiggo 8 2026 didedah di China, bakal dilancar suku ke-4 2025; dua versi muka, kembar Lepas L8

    Model generasi kedua bagi SUV segmen-D Chery Tiggo 8 telahpun didedahkan di China, dan pelancarannya di sana djadualkan akan di buat pada suku keempat tahun ini. Di sana Tiggo 8 2026 ini akan ditawarkan dalam dua muka yang berbeza, dan salah satu daripadanya adalah seiras dengan Lepas 8, iaitu SUV keluaran satu lagi sub-jenama Chery yang baru dilancarkan pada peringkat global pada April lalu.

    Menurut laporan CarNewsChina, Tiggo 8 generasi baharu ini dihasilkan lebih besar berbanding model sebelum ini dengan ukuran panjang 4,749 mm, lebar 1,880 mm, tinggi 1,710 mm dan jarak roda sejauh 2,825 mm. Jadi berbanding versi sebelumnya, Tiggo 8 2026 ini adalah 27 mm lebih panjang, 20 mm lebih lebar, jarak roda roda 115 mm lebih jauh. Namun ia 35 mm lebih rendah seterusnya memberikan stance yang nampak lebih sporty.

    Rupa versi utama Tiggo 8 ini menampilkan bentuk yang berevolusi dari model generasi sebelumnya. Ia masih diberikan lampu hadapan utama pada sebelah atas dengan jalur lampu nyalaan siang LED bina dalam, mengapit gril hadapan berbentuk heksagon bersaiz besar dengan elemen pin krom di tengahnya. Manakala kedua-dua sisi bampar hadapan menampilkan tirai udara dengan kemasan yang agak besar.

    Chery Tiggo 8 2026 didedah di China, bakal dilancar suku ke-4 2025; dua versi muka, kembar Lepas L8

    Manakala bagi versi rupa kedua, ia adalah seiras sepenuhnya dengan Lepas 8, menampilkan lampu rekaan siang yang nipis bersama grafik LED yang kelihatan seperti mata harimau bintang yang sedang menumpukan pandangan terhadap sesuatu, manakala lampu utama terletak pada bahagian bampar. Ini kerana Lepas bermaksud “Leap” dan “Passion”, dan ia turut merujuk kepada asas rekaan luaran barisan model jenama ini iaitu “Leopard Aesthetic” atau estetika harimau bintang.

    Selain dari muka, bahagian badan lain nampaknya dikongsi sepenuhnya antara Tiggo 8 dan Lepas 8. Bahagian sisinya tampil dengan tiga garis lengkung utama yang diambil dari otot-otot lengan kaki hadapan dan paha belakang serta bahagian bawah perut seekor harimau bintang. Dan permukaan badan model-model lepas ini nampak licin dan ringkas serta melengkung dengan inspirasi diambil dari barangan tembikar.

    Begitu juga di belakang, kedua-dua versi tampil dengan rekaan sama menampilkan lampu belakang nipis dengan bar menyala merentangi sepenuhnya pintu tailgate, serta bampar dengan reflektor diletakkan pada kedua-dua sisi seakan liang aliran udara, bersama kemasan seakan diffuser di bawah yang turut menempatkan dua perumah tip ekzos berbentuk leper.

    Chery Tiggo 8 2026 didedah di China, bakal dilancar suku ke-4 2025; dua versi muka, kembar Lepas L8

    Tiada sebarang perincian teknikal SUV ini didedahkan buat masa sekarang, namun ketika pengenalan Lepas L8 sebelum ini mengesahkan ia berkongsi unit rangkaian kuasa yang sama dengan Chery Tiggo 8 dengan menawarkan versi enjin petrol penuh serta Chery Hybrid System (CSH) yang menampilkan sistem plug-in hybrid (PHEV).

    Kita di Malaysia masih menunggu pelancaran bagi versi facelift Chery Tiggo 8 generasi sedia ada yang akan menampilkan unit rangkaian kuasa PHEV CSH yang akan dibuat tidak lama lagi. Mungkin masih lambat untuk kita menerima model generasi kedua berkenaan, tetapi versi yang menerima lencana Lepas mungkin akan dilancarkan di sini tidak lama lagi.

    Ini kerana laman-laman media sosial termasuk Facebook dan Instagram Lepas Malaysia sudahpun diaktifkan bulan lalu, dan sebelum ini Lepas sudahpun memaklumkan bahawa Lepas L8 akan menjadi model pertamanya akan dijual pada pasaran global.

    Lepas juga sudah bertapak di Indonesia, dan model L8 tersebut telah dipamerkan di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2025 yang berlangsung Julai lalu. Di pasaran itu, Lepas L8 disahkan akan menerima unit rangkaian kuasa PHEV yang menampilkan enjin 1.5 liter turbo, dan hanya memacu roda hadapan.

    GALERI: Lepas L8 di GIIAS 2025

     
     
  • Muat turun aplikasi CaltexGO sekarang dan nikmati pembayaran mudah Budi95 tanpa gunakan MyKad

    Muat turun aplikasi CaltexGO sekarang dan nikmati pembayaran mudah Budi95 tanpa gunakan MyKad

    Bermula 30 September 2025, semua warga negara Malaysia yang mempunyai lesen memandu yang sah akan layak membeli petrol RON 95 bersubsidi pada harga RM1.99 seliter di bawah program subsidi Budi Madani RON 95. Jika anda tidak mahu menggunakan MyKad fizikal untuk tujuan pengesahan, maka cara yang lebih mudah adalah dengan menggunakan aplikasi digital seperti CaltexGO + Rewards yang akan menjadikan proses pembayaran lebih senang.
     
    Apa yang anda perlu lakukan hanyalah memuat turun aplikasi CaltexGO + Rewards, kemudian lengkapkan butiran pendaftaran dan pautkan ke akaun TNG eWallet anda — selepas itu anda sudah boleh menikmati kelebihan BUDI95 tanpa perlu mengeluarkan MyKad setiap kali di terminal pam atau perlu berjalan ke kaunter untuk tujuan itu.
     
    Ia sangat mudah, cepat dan selesa, serta membolehkan anda untuk mengisi minyak hanya melalui beberapa sentuhan di skrin telefon. Lebih menarik, anda turut akan menerima bahan api bernilai RM5*. Menggunakan aplikasi CaltexGO + Rewards juga akan membolehkan anda untuk menikmati manfaat lain.
     
    Satu daripadanya adalah anda akan menerima mata ganjaran berganda (mengikut jumlah liter), dan tidak perlu meletakkan duit di dalam e-wallet dengan cara memautkan kad kredit/debit anda kepada aplikasi berkenaan. Ini bermakna, anda juga akan menerima mata ganjaran daripada bank.
     
    Jadi, tak perlu berbaris di kaunter untuk pengesahan MyKad dengan cara memanfaatkan aplikasi CaltexGO + Rewards untuk pengalaman isian minyak yang lebih mudah dan pantas. Anda juga akan menikmati kelebihan yang ada bersama Caltex dengan Techron 95 yang akan menjadikan enjin lebih bersih serta memberikan jarak perjalanan lebih jauh! Muat turun aplikasi CaltexGO + Rewards dari Apple Store atau Google Play sekarang. Ketahui lebih lanjut tentang aplikasi CaltexGO + Rewards di sini.

     
     
  • Produksi Proton Saga MC2 berakhir, MC3 dibuat di Tanjong Malim – kilang Shah Alam tutup sepenuhnya?

    Produksi Proton Saga MC2 berakhir, MC3 dibuat di Tanjong Malim – kilang Shah Alam tutup sepenuhnya?

    Perkara yang dijangka sudah pun berlaku – produksi dan jualan model sedia ada Proton Saga (dikenali sebagai MC2) bakal berakhir. Sama seperti pengakhiran produksi Iriz tempoh hari, tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Proton, tetapi ia mula tular internet menerusi hantaran-hantaran yang dibuat oleh staf kilang menunjukkan pemasangan badan terakhir Saga sudah disiapkan pada Jumaat minggu lalu, sebelum ia dilengkapkan dengan layangan cat serta dipasang dengan komponen-komponen lain.

    Saga merupakan model paling laris Proton, dan pengakhiran model MC2 ini akan disambung dengan model baharu yang sedang dibangunkan serta sehingga kini dirujuk sebagai MC3. Tahun lalu Proton sendiri telah mengesahkan bahawa produksi Proton Saga akan dipindahkan sepenuhnya ke fasiliti mereka di Tanjong Malim.

    Ini bermakna kilang pertama Proton yang bersejarah terletak di Hicom Shah Alam berkenaan juga bakal ditutup sepenuhnya tidak lama lagi. Buat masa sekarang kilang tersebut hanya memproduksi Saga selepas penghasilan MPV tujuh-tempat duduk Proton Exora dihentikan di kilang berkenaan dua tahun lalu.

    Kilang tersebut mula beroperasi pada tahun 1985 di mana unit pertama Saga keluar dari barisan pemasangan fasiliti tersebut pada 9 Julai, sebelum ia dilancarkan secara rasmi pada 1 September tahun yang sama oleh Perdana Menteri ke-4, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

    Produksi Proton Saga MC2 berakhir, MC3 dibuat di Tanjong Malim – kilang Shah Alam tutup sepenuhnya?

    Sejak dari unit pertama tersebut sehingga bulan Mei tahun lalu, Proton telah merekodkan lebih dua juta unit Saga terjual. Sedan ini juga menjadi model nombor empat paling laris di Malaysia tahun lalu dengan mencatatkan jualan sebanyak 69,863 unit sepanjang 2024. Manakala untuk tahun ini, rekod Proton menunjukkan bahawa sebanyak 44,676 unit telah terjual sehingga Ogos 2025.

    Produksi Saga di Malaysia (ia juga ada dipasang di beberapa negara luar dengan kit CKD dihantar dari sini) kekal di Shah Alam tanpa di buat di fasiliti lain seperti di Pekan, Pahang mahupun di Tanjong Malim, Perak. Jadi sejarah mencatatkan bahawa kilang Proton Shah Alam ini bermula dengan Saga, dan ia turut berakhir dengan Saga sepanjang 40 tahun operasinya.

    Rancangan Proton untuk berpindah sepenuhnya ke Tanjung Malim bukan sesuatu yang baharu kerana perkara itu sudah disebut ketika 2017 lagi. Ketika proses berkenaan dirancang untuk dilengkapkan selewat-lewatnya pada 2022, namun rancangan tersebut tergendala kerana berlakunya pendemik Covid-19 pada 2020.

    Tarikh rasmi pelancaran Saga MC3 masih belum diumumkan oleh Proton, namun ia dijangka akan dibuat sebelum berakhirnya tahun ini. Ketika pelancaran kilang EV Proton di Tanjung Malim awal bulan ini, Proton telah menyiarkan video berkenaan Saga MC3 tersebut sebagai teaser rasmi pertamanya dengan mendedahkan pembangunan serta beberapa perincian dan juga rekaan sedan mampu milik yang dipertingkat itu.

    Saga MC3 ini sah diasaskan dari platform AMA, iaitu platform yang diasaskan dari model-model yang dibangunkan sendiri oleh Proton sebelum ini dan diberikan pelbagai penambahbaikkan untuk kekal relevan dengan standard keselamatan serta teknologi model-model terkini dalam pasaran.

    Dalam video tersebut, Proton mendedahkan bahawa pembangunan Saga ini bukan hanya di buat di Malaysia, malah ia turut dibangunkan bersama Geely menerusi Pusat Kajian dan Pembangunan Proton (PRDC) yang terletak di Hangzhou Bay dalam perkarangan kawasan yang sama dengan Zhejiang Geely Holding. Video tersebut turut memaparkan unit prototaip Saga MC3 yang diuji dalam cuaca bersalji di China, dan pembangunan keseluruhannya melibatkan 240 tenaga kerja dari Malaysia.

    Beberapa rekaan Saga MC3 juga terdedah dalam video ini, antaranya rekaan lampu LED hadapan dengan gril baharu, lampu baharu belakang dengan lensa albino bersama grafik jalur LED serta bar lampu merentangi sepenuhnya penutup but belakang diinspirasikan dari Proton S70, serta papan pemuka dengan skrin infotainmen dan juga skrin paparan instrumental digital sepenuhnya yang bersambung.

    Produksi Proton Saga MC2 berakhir, MC3 dibuat di Tanjong Malim – kilang Shah Alam tutup sepenuhnya?

    Proton juga mengesahkan bahawa Saga MC3 ini akan dijana oleh enjin baharu yang dibekalkan oleh Geely. Perincian berkenaan enjin itu tidak disebut, tetapi sebelum ini ada tertiris maklumat bahawa Saga MC3 akan dibekalkan dengan satu pilihan enjin iaitu 1.5 liter NA, digandingkan dengan pilihan transmisi automatik empat-kelajuan 4AT atau CVT automatik bergantung pada varian.

    Kami menjangkakan enjin yang digunakan tersebut adalah enjin 1.5 liter NA beroperasi dengan sistem suntikan bahan api port (PFI) dikenali dengan kod BHE15PFI, iaitu enjin Geely yang dibangunkan oleh Aurobay. Enjin ini telahpun digunakan oleh Proton pada X50 facelift 2025 tetapi dalam varian suntikan bahan api terus dan disuap pengecas turbo, dikenali dengan kod BHE15TD. Lebih perincian berkenaan enjin BHE15 ini boleh anda baca pada PAUTAN INI.

    Model Saga yang dipertingkatkan ini juga disahkan menerima sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) dengan fungsi termasuk pemantau titik buta dan juga brek kecemasan automatik. Dalam video ini juga nampaknya Saga MC3 telah mula diproduksi.

     
     
  • JPJ catat peningkatan pembaharuan lesen memandu sebanyak 53% di seluruh negara setakat 25 Sept

    JPJ catat peningkatan pembaharuan lesen memandu sebanyak 53% di seluruh negara setakat 25 Sept

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) merekodkan peningkatan ketara transaksi pembaharuan Lesen Memandu Kompeten (CDL) di seluruh negara sebanyak sebanyak 53% setakat 25 Sept 2025 susulan pengumuman Subsidi BersasarPetrol Budi Madani RON95 (Budi95) oleh Kerajaan pada 22 Sept lalu.

    Menurut Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berdasarkan rekod pihaknya, sejumlah 23,125 transaksi telah dicatatkan pada 23 Sept di seluruh negara dan ia meningkat sedikit iaitu 0.15% kepada 23,160 transaksi pada 24 Sept, sebelum melonjak secara signifikan kepada 33,714 transaksi pada 25 Sept, menerusi saluran JPJ sedia ada dan rakan-rakan strategik JPJ seperti Pos Malaysia dan MyEG. Di mana purata harian bagi pembaharuan lesen memandu adalah sekitar 17,000 transaksi.

    Sementara itu, setakat 26 Sept, negeri-negeri yang bercuti hujung minggu pada hari Jumaat iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu telah merekodkan jumlah urusan pembaharuan lesen memandu yang tinggi berbanding negeri-negeri lain. Peningkatan ini menunjukkan bahawa inisiatif pembukaan kaunter pada hari cuti memberi impak positif dan dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat setempat.

    JPJ catat peningkatan pembaharuan lesen memandu sebanyak 53% di seluruh negara setakat 25 Sept

    “Trend ini membuktikan bahawa semakin ramai pemegang lesen memandu mengambil langkah proaktif untuk memperbaharui lesen masing-masing bagi menikmati manfaat Budi95, selain mencerminkan tahap kesedaran pengguna jalan raya terhadap kewajipan memiliki lesen memandu yang sah seperti termaktub di dalam Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

    “JPJ komited untuk memastikan keberkesanan pengurusan operasi di seluruh negara dengan memantau keperluan lapangan secara berterusan bagi mengekalkan tahap kecekapan yang optimum. Langkah ini turut disokong melalui kerjasama strategik dengan agensi-agensi berkaitan, khususnya Kementerian Kewangan bagi memastikan setiap proses pembaharuan lesen memand dan pelaksanaan subsidi Budi95 berjalan dengan lancar tanpa sebarang gangguan di seluruh negara,” katanya.

     
     
  • Budi95 fasa pertama bermula hari ini — untuk anggota tentera dan polis, proses di stesen minyak lancar

    Budi95 fasa pertama bermula hari ini — untuk anggota tentera dan polis, proses di stesen minyak lancar

    Program subsidi bersasar Budi95 telah bermula tengah malam tadi untuk fasa pertama, melibatkan anggota perkhidmatan awam tentera dan polis, melibatkan sekitar 300,000 orang yang layak menerima subsidi berkenaan. Perkara ini dikongsikan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan, Datuk Johan Mahmood Merican. “Setakat tinjauan saua pagi ini di kem Sungai Besi, semuanya berjalan lancar,” jelasnya.

    Beliau hadir dalam satu acara taklimat dan demonstrasi berkaitan Budi95 yang diadakan di Stesen Petron Taman Tun Ismail, pagi ini. Untuk stesen Petron, pengguna hanya perlu meneruskan langkah pembayaran seperti biasa di pam atau di kaunter, dengan tambahan satu langkah pengesahan yang ringkas dan cepat terlebih dahulu. Jika penerima layak, paparan baki penggunaan bulanan akan tertera dan mereka boleh meneruskan proses pembayaran serta pengisian. Resit juga akan memaparkan maklumat penggunaan dan baki daripada kuota 300 liter tersebut.

    Budi95 fasa pertama bermula hari ini — untuk anggota tentera dan polis, proses di stesen minyak lancar

    “Semakan kelayakan ini juga boleh dilakukan lebih awal melalui laman web Budi95 untuk mengetahui kelayakan mereka,” jelas Johan, dan mencadangkan pengguna melakukan hal tersebut terlebih dahulu bagi menyemak status mereka sebelum ke stesen minyak nanti.

    Selain tunai dan menggunakan kad, Touch n Go eWallet juga boleh digunakan. Namun untuk pilihan ini, pengguna perlu ke kaunter dan menunjukkan QR kod yang akan dijana dalam aplikasi berkenaan untuk diimbas oleh petugas. Imbasan kod ini tidak boleh dilakukan di pam, atas faktor keselamatan dan larangan penggunaan telefon berdekatan pam.

    Menurut beliau lagi, kerajaan juga sudah ada persetujuan dengan operator minyak sekiranya berlaku keadaan di luar jangka atau kecemasan, misalnya ketika sistem atau talian internet yang digunakan tidak berfungsi atau bermasalah dan pengesahan tidak boleh dilakukan dengan cara apa pun.

    Dalam situasi seperti itu, pengguna warganegara dengan MyKad akan diizinkan untuk mengisi petrol RON95 dengan harga subsidi walaupun pengesahan tidak boleh dilakukan. Sistem untuk semakan juga dikendalikan secara berpusat oleh kerajaan, membolehkan pengisian boleh dibuat di mana-mana stesen atau berbeza operator, tetapi rekod subsidi dan baki penggunaan akan tetap selari.

    Esok BUDI95 akan dimulakan pula untuk penerima STR dalam fasa kedua, dan sistem ini akan terbuka untuk semua pengguna warganegara Malaysia untuk fasa ketiga yang bermula Selasa hadapan, 30 September 2025.

     
     
  • Budi95: Sistem server mampu memproses hingga 30,000 transaksi seminit – Perdana Menteri

    Budi95: Sistem server mampu memproses hingga 30,000 transaksi seminit – Perdana Menteri

    Sistem server atau pelayan bagi program subsidi bersasar Budi Madani RON95 (Budi95) mampu memproses sehingga 30,000 transaksi seminit, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Beliau turut berkata peningkatan kapasiti itu dibuat selepas kerajaan mengambil iktibar daripada masalah teknikal yang berlaku ketika pelaksanaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebelum ini, laporan Bernama.

    “Ketika SARA dilaksanakan, kapasiti sistem hanya mampu proses 3,000 transaksi seminit kerana ia dirancang untuk kumpulan lebih kecil. Tetapi untuk Budi95, server ditingkatkan sehingga 10 kali ganda, iaitu 30,000 transaksi seminit. Ini membolehkan permohonan dan rayuan orang ramai diproses dengan lebih cepat dan lancar,” katanya.

    Dalam pada itu, Anwar berkata, penyasaran subsidi petrol RON95 melalui Budi95 dilaksanakan bagi memastikan hanya rakyat tempatan menerima manfaat, sekali gus mengelak ketirisan kepada warga asing yang turut menikmati harga subsidi sebelum ini.

    Budi95: Sistem server mampu memproses hingga 30,000 transaksi seminit – Perdana Menteri

    “Bila kita turunkan harga untuk warganegara, kita perlu tentukan siapa warganegara. Kalau tidak, orang lain dapat. Warga asing bukan rakyat kita, tidak bayar cukai seperti kita. Jadi mereka tidak layak harga subsidi.

    “Warga asing di Malaysia maksudnya orang luar yang tinggal di sini dan daftar kenderaan Malaysia. Mereka masih dapat harga relatif murah (RM2.60) tapi bukan harga subsidi penuh. Kalau kenderaan (nombor plat) luar, mereka bayar harga RON97,” katanya.

    Dalam masa yang sama, beliau turut meminta rakyat supaya tidak tergesa-gesa membuat pembelian RON95 pada harga subsidi mulai Selasa ini kerana harga terbabit adalah kekal.

    Pada 22 September lalu, Anwar mengumumkan harga petrol RON95 diturunkan kepada RM1.99 seliter berbanding RM2.05 seliter hanya untuk warganegara, berkuatkuasa 30 Sept ini melalui penyasaran subsidi di bawah Budi95. Semua warganegara yang memiliki lesen memandu sah layak untuk subsidi RON95 dengan kuota 300 liter sebulan, manakala pemandu e-hailing diberi kelayakan tambahan bagi memastikan kelangsungan pekerjaan. Berdasarkan data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), dianggarkan lebih 16 juta orang layak menerima subsidi itu.

     
     
  • Microlino kini di Malaysia – EV kecil dari Eropah, 17 PS/17.9 Nm, harga dan jualan bermula awal 2026

    Microlino kini di Malaysia – EV kecil dari Eropah, 17 PS/17.9 Nm, harga dan jualan bermula awal 2026

    Bagi penggemar kereta-kereta pelik, ini mungkin berita baik untuk anda – EV kecil yang direka seakan “bubble car” era zaman perang dunia kedua BMW Isetta iaitu Microlino kini sudah tiba di Malaysia. Kereta ini dibawa oleh Go Daddy Motorsport yang menguruskan Microlino Malaysia, namun ia masih belum dilancarkan kerana syarikat itu masih belum jelas berkenaan skim harga untuk tahun depan di mana insentif pengecualian cukai untuk EV bakal berakhir tahun ini.

    Harga dan jualan bagi Microlino ini dijangka akan bermula pada suku pertama 2026, namun anda boleh mencuba kereta kecil ini menerusi pakej sewaan pajakan yang disediakan oleh Flux dengan harga RM1,250 untuk lima hari. Microlino ini dihasilkan oleh Micro Mobility Systems iaitu syarikat dari Switzerland, tetapi ia dikilangkan di Turin, Itali. Ini bukan sahaja penampilan pertama Microlino di Malaysia, malah ia adalah yang pertama di Asia.

    Kereta ini dihasilkan dengan saiz panjang 2,519 mm, lebar 1,473 mm dan tinggi 1,501 mm. Bagi memudahkan anda membayangkan saiznya, Microlino ini adalah 876 mm lebih pendek, 68 mm lebih lebar dan 86 mm lebih tinggi dari Perodua Kancil.

    Microlino kini di Malaysia – EV kecil dari Eropah, 17 PS/17.9 Nm, harga dan jualan bermula awal 2026

    Dengan saiz berkenaan, ia hanya menyediakan dua tempat duduk termasuk pemandu. Tiada pintu pada kiri dan kanan, kerana untuk masuk ke kabin anda perlu menggunakan satu-satunya pintu yang berada pada bahagian hadapan. Tiada lagi Microlino dihasilkan dalam versi pemanduan sebelah kanan, dan unit yang dijual di Malaysia ini masih dalam konfigurasi pemanduan sebelah kiri.

    Pintu berkenaan dibuka dibantu dengan peredam hidraulik dan ia membawa sekali “papan pemuka” yang menampilkan skrin kecil untuk sistem infotainmen, tetapi meninggalkan roda dan kolum stereng serta skrin paparan instrumen digital kekal ditempatnya. Tombol putar untuk memilih posisi ‘D’, ‘N’ dan ‘R’ pada sebelah kiri pemandu. Tuil brek tangan manual juga diletakkan di belakang konsol pemilih gear tersebut.

    Ia turut datang dengan bumbung suria fabrik manual, manakala ruang but belakang pula menyediakan ruang dengan kapasiti 230 liter. Tiada sistem pendingin udara diberikan dan hanya dibekalkan dengan penghembus udara, manakala tingkap juga perlu buka dan ditutup manual secara gelangsar.

    Dari segi rekaan, Microlino sememangnya diispirasikan terus dari bentuk ‘buih’ BMW Isetta. Ia diberikan jalur lampu nyalaan siang bersama lampu isyarat membelok nipis pada hujung kiri dan kanan yang nampak seperti jalur krom kereta klasik, manakala lampu hadapan utama LED berbentuk bulat disekalikan dengan cermin sisi pandang belakang. Lampu belakang juga direka dengan jalur LED nipis yang merentangi bahagian bampar.

    Manakala untuk tayar, kereta ini hanya dipadankan dengan rim berdiameter 13-inci dan dibalut dengan tayar bersaiz 145/70R13. Jarak trek roda hadapan direka lebih lebar dari belakang, membolehkan sebahagian tayar belakang disorokkan dalam ruang roda.

    Bagi model pasaran Malaysia ini ia dibekalkan dengan motor elektrik tunggal berkuasa 17 PS (12.4 kW) dan tork maksima 17.9 Nm, membolehkan kereta dengan berat hanya 530 kg ini memecut dari 0-50 km/j dalam masa 5 saat. Untuk pasaran global, kelajuan maksima Microlino ini hanya mampu mencapai 90 km/j, namun untuk pasaran Malaysia ini kita menerima peningkatan kelajuan maksima sehingga 105 km/j.

    Bagi menggerakkan motor elektrik berkenaan, kereta ini dibekalkan dengan bateri litium-ion berkapasiti 15 kWj, cukup untuk membolehkan ia bergerak sejauh 228 km berdasarkan kitaran ujian WLTP. Untuk mengecas, ia hanya menggunakan sistem AC 2.2 kW, di mana ia boleh dipenuhkan dalam masa 2 jam dengan pengecas 5.5 kWj, 4 jam dengan pengecas 10.5 kWj dan 5.5 jam untuk pengecas 15 kWj.

    Buat masa sekarang hanya ada dua unit Microlino yang telah mendarat di Malaysia, dan seperti anda boleh lihat ia sudahpun mempunyai nombor pendaftaran dan sah digunakan di jalan raya oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Anda masih memerlukan lesen memandu kelas ‘D’ seperti kereta biasa untuk memandu kereta ini.

    Sedikit latar belakang berkenaan Microlino ini, model konsepnya muncul buat pertama kali di Geneva Motor Show 2016. Namun ia berhadapan dengan masalah perundangan, kemudian menerima kejuteraan semula dan muncul dengan prototaip baharu digelar sebagai Microlino 2.0. Versi produksi sebenarnya hanya muncul pada September 2021.

    Di Eropah, ada negara-negara yang membenarkan Microlino dalam varian Lite yang hanya dibekalkan dengan motor elektrik berkuasa 8 PS dan kelajuan maksima 45 km/j dipandu oleh remaja berumur 14-tahun tanpa lesen memandu seperti Citroen Ami.

     
     
  • Mitsubishi Motors Malaysia lantik Takashi Sakamaki sebagai CEO baharu bagi menggantikan Shinya Ikeda

    Mitsubishi Motors Malaysia lantik Takashi Sakamaki sebagai CEO baharu bagi menggantikan Shinya Ikeda

    Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) telah mengumumkan pelantikan Takashi Sakamaki sebagai CEO baharu berkuatkuasa hari ini. Sakamaki menggantikan Shinya Ikeda yang sebelum ini memegang jawatan yang sama sejak Oktober 2021 yang mencatatkan beberapa kejayaan termasuk pelancaran Triton generasi keenam serta Xpander yang dipertingkatkan.

    CEO baharu MMM berpengalaman luas di peringkat antarabangsa lebih daripada 20 tahun dalam industri automotif, termasuk dalam strategi perniagaan, operasi eksport dan pembangunan pasaran di pasaran utama seperti China, Indonesia dan Mexico. Sebelum memegang jawatan baharu ini, Sakamaki pernah menyandang beberapa jawatan kanan yang berkaitan dengan pembangunan perniagaan, pengurusan eksport CBU dan pengembangan bekalan OEM bersama pengeluar kenderaan global.

    “Adalah satu penghormatan untuk memimpin Mitsubishi Motors Malaysia dalam masa yang begitu dinamik bagi industri automotif. Dengan warisan kukuh Mitsubishi Motors di Malaysia dan dedikasi pasukan berbakat kami, saya yakin kami berada pada kedudukan yang baik untuk mengharungi cabaran baharu yang muncul dan merebut peluang yang ada.

    “20 tahun yang lalu, MMM memulakan usaha untuk mentakrifkan semula mobiliti di Malaysia. Hari ini, kami meraikan bukan sahaja perjalanan kami, tetapi juga kepercayaan setiap pemandu yang memilih Mitsubishi. Ketika kami melihat ke hadapan, komitmen kami tetap teguh – untuk menyediakan keselamatan, perlindungan dan keselesaan yang boleh dipercayai oleh pelanggan dan komuniti kami,” katanya.

    Tambah Sakamaki, pihaknya akan terus berusaha untuk menawarkan gaya hidup mobiliti yang memuaskan dan membangkitkan semangat pengembaraan, semuanya dibina berasaskan teknologi yang boleh dipercayai.

     
     
  • Lima buah kereta lumba Proton Waja BTCC kini sedang dijual di New Zealand, harga bermula RM85k!

    Lima buah kereta lumba Proton Waja BTCC kini sedang dijual di New Zealand, harga bermula RM85k!

    Firma jualan kereta-kereta lumba klasik dari Christchurch, New Zealand iaitu High Performance Classic kini sedang mengiklankan untuk menjual lima unit kereta lumba Proton Waja yang pernah digunakan oleh pasukan Petronas Syntium Proton (Team PSP) di Kejohanan Touring Car British (BTCC).

    Menurut High Performance Classic, dua dari lima buah Waja tersebut merupakan unit awalan yang dibina bagi berlumba ketika musim pertama Team PSP dalam BTCC iaitu pada tahun 2002 dan 2003 yang dipandu oleh dua orang pemandu Britain iaitu David Leslie dan Phil Bennett.

    Manakala tiga unit selebihnya adalah versi tingkat taraf bagi perlumbaan BTCC musim 2004, dipandu oleh pelumba Afrika Selatan iaitu Shaun Watson-Smith, dan juga pelumba Malaysia pertama yang berjaya melangkah ke perlumbaan Touring Car ulung tersebut iaitu Farique Hairuman yang berasal dari Johor.

    Malah berdasarkan dari pelekat-pelekat yang masih ada pada badan Waja berkenaan, ada unit-unit yang pernah dibawa untuk berlumba di Kejohanan Touring Car Asia (ATCC) bagi musim 2005 dan 2006, serta melibatkan seorang lagi pelumba Malaysia iaitu Mashlino Buang.

    Lima buah kereta lumba Proton Waja BTCC kini sedang dijual di New Zealand, harga bermula RM85k!

    OULTON PARK CIRCUIT, UNITED KINGDOM – MAY 23: Fariqe Hairuman, Petronas Syntium Proton, Proton Impian during the Oulton Park at Oulton Park Circuit on May 23, 2004 in Oulton Park Circuit, United Kingdom. (Photo by Malcolm Griffiths / LAT Images)

    Proton Waja BTCC ini merupakan jentera lumba yang dibina pada era kejohanan berkenaan menggunakan undang-undang BTC-Touring bagi kategori utama. Jadi ia diasaskan dari badan Waja sebenar yang diproduksi di kilang Proton Shah Alam. Namun projek ini sebenarnya tidak melibatkan Proton, jadi Team PSP yang ketika itu berpengkalan di UK membeli Waja berkenaan dari pengedar Proton di sana (Waja dikenali sebagai Proton Impian pada pasaran tersebut) bagi ditranformasikan sebagai kereta lumba.

    Untuk tampil sebagai sebuah jentera lengkap dihomologasikan dengan regulasi BTC-Touring tersebut, semua komponen kabin telah dibawa keluar dan kerangka badan dikeraskan termasuk pemadanan roll cage yang memenuhi spesifikasi.

    Bahagian luaran Waja ini masih kekal sama seperti Waja dan masih menampilkan panel-panel badan, lampu-lampu, bampar dan sebagainya yang sama seperti kereta di bilik pameran, namun ia dibenarkan untuk menerima kit aero yang terdiri dari spoiler hadapan, fender hadapan dan belakang serta skirt sisi lebih lebar, dan juga spoiler gergasi pada penutup but belakang.

    Enjin Renault F4P yang dibekalkan sebagai enjin standard produksi untuk Waja varian 1.8 liter masih lagi dikekalkan, namun ia telah dibina semula oleh firma pembangunan enjin perlumbaan UK iaitu Montune, termasuk kapasitinya dipertingkat kepada 1,996 cc. Enjin ini masih beroperasi sebagai enjin Naturally Aspirated (NA) dan menghasilkan kuasa sekitar 280 PS.

    Lima buah kereta lumba Proton Waja BTCC kini sedang dijual di New Zealand, harga bermula RM85k!

    Kemudian ia menerima kelengkapan sama yang wajib digunakan oleh semua pasukan bertanding dalam kelas BTC-Touring yang ditetapkan oleh penganjur perlumbaan tersebut iaitu TOCA, termasuk kotak gear perlumbaan manual enam-kelajuan dari Xtrac bersama set klac karbon AP Racing, hub roda TOCA dan set brek karbon AP Racing, set rim perlumbaan OZ 17-inci yang menggunakan hanya satu nat pengikat, kotak komputer unit pengurusan enjin TOCA dan lain-lain.

    High Performance Classic menyatakan bahawa tiga unit Waja berkenaan masih lagi dalam keadaan asal selepas dari perlumbaan terakhir masing-masing. Manakala ada satu unit dimana semua komponennya telah ditanggalkan sehingga kerangka kosong, bersedia untuk direstorasi semula.

    Dan untuk unit terakhir, ia juga telah ditanggalkan semua komponen, namun kerangka badannya telah melalui proses pembersihan media blast, dicat semula dan komponen-komponen utama juga telah dipasang semula, cuma tinggal beberapa pemasangan yang perlu disiapkan bagi melengkapkan kereta tersebut.

    Lima buah kereta lumba Proton Waja BTCC kini sedang dijual di New Zealand, harga bermula RM85k!

    Bersama-sama kereta-kereta ini, High Performance Classic turut menyimpan dua set lengkap komponen-komponen bagi membina semula enjin (termasuk komponen seperti omboh, rod penghubung, galas utama, spring injap dan pelbagai lagi).

    Firma itu turut mempunyai alat-alat ganti lain yang boleh digunakan pada kereta spesifkasi 2004 termasuk cakera brek AP Racing, set jek udara, paparan instrumen Pi yang telah direstorasi, komputer riba yang lengkap dengan perisian yang boleh berinteraksi dengan kotak komputer enjin, dua tangki bahan api perlumbaan Premier baru, set galas roda baru, pelbagai klac dan dua kotak gear yang telah dibina semula.

    Malah High Performance Classic turut mempunyai set keseluruhan lukisan kejuruteraan asli untuk semua komponen yang telah difabrikasi dan dibina untuk kereta-kereta lumba Waja berkenaan, yang semestinya diperlukan untuk sebarang kerja-kerja baik pulih atau restorasi. Semua sejarah perlumbaan jentera-jentera ini juga telah lengkap didokumenkan.

    Harga dan kondisi setiap Waja BTCC tersebut adalah seperti berikut:

    • Kereta nombor #20 spesifikasi 2002 dipandu Phil Bennett tiada transmisi dan penukar gear dan kotak komputer enjin berharga NZD$35,000 (RM85k)
    • Kereta nombor #15 spesifikasi 2002 dipandu David Leslie tiada kotak komputer enjin dan kotak gear berharga NZD$42,000 (RM102k)
    • Kereta nombor #115 spesfikasi 2003 tiada kotak komputer enjin dan panel suis utama berharga NZD$53,000 (RM129k)
    • Kereta spesifikasi 2004 lengkap tetapi semua komponen sudah ditanggal serta diberikan dengan banyak alat ganti baharu berharga NZD$65,000 (RM158k).
    • Kereta spesifikasi 2004 yang telah dicat semula serta 80% komponen yang dibina semula telah dipasang berharga NZD$76,000 (RM185k)

    Harga yang dinyatakan tidak termasuk kos penghantaran dan juga cukai-cukai yang akan dikenakan bergantung negara pembeli. High Performance Classic boleh menguruskan penghantaran ke mana-mana negara di dunia.

     
     
  • BYD Seal 6 EV rasmi di Malaysia — dua varian, hingga 218 PS/330 Nm, lebih 400 km jarak WLTP, dari RM100k!

    BYD Seal 6 EV rasmi di Malaysia — dua varian, hingga 218 PS/330 Nm, lebih 400 km jarak WLTP, dari RM100k!

    Sime Darby Beyond Auto selaku pengedar rasmi jenama kenderaan BYD di Malaysia hari ini memperkenalkan model elektrik terbaru untuk pasaran tempatan, BYD Seal 6. Ini merupakan penawaran sedan kedua daripada BYD, diposisikan di bawah Seal, yang baru sahaja diberikan kemaskini bulan lalu.

    Ini ialah model yang dinamakan semula daripada model Qin L EV di China yang menggunakan penampilan Dynasty Series (dan bukan model Seal 06 dari Ocean Series, walaupun namanya hampir sama), dua varian ditawarkan untuk pasaran Malaysia, yang terdiri daripada Dynamic dan Premium dengan harga masing-masing ialah RM100,000 dan RM115,800. Di peringkat global, ini adalah pengenalan pertama bagi model berkenaan di luar China.

    Berbanding model Seal sebelum ini yang dijual dengan harga RM171,800 bagi varian Premium (Extended Range) dan RM191,800 bagi varian Performance (AWD), Seal 6 dijual dengan harga yang jauh lebih murah — melibatkan perbezaan lebih RM70,000 bagi varian paling asas.

    BYD Seal 6 EV rasmi di Malaysia — dua varian, hingga 218 PS/330 Nm, lebih 400 km jarak WLTP, dari RM100k!

    Dari luaran, Seal 6 mempunyai ukuran dimensi 4,720 mm panjang, 1,860 mm lebar dan 1,495 mm tinggi, dengan jarak roda 2,820 mm. Bagaimanapun, dari aspek ini, Seal 6 lebih cenderung mirip kepada Seal 06, dengan hanya melibatkan perbezaan lebar yang lebih 20 mm: ia bahkan menggunakan e-platform 3.0 Evo yang sama dengan Seal 06.

    Berbanding dengan Seal pula, Seal 6 sedikit lebih pendek dan kurang lebar, tetapi lebih tinggi — 4,800 mm panjang, 1,875 mm lebar dan 1,460 mm tinggi, dengan jarak roda 2,920 mm. Jika hanya merujuk kepada saiz dimensi, Seal 6 disifatkan sebagai sedan paling besar dalam segmen C di sini, dan sedikit lebih besar berbanding model-model seperti Honda Civic, Toyota Corolla Altis, Proton S70 dan Mazda 3.

    Bagi varian Dynamic, ia mempunyai jarak kelegaan tanah 165 mm dan berat 1,780 kg, sementara untuk Premium ialah 1,800 kg — yang berkemungkinan disumbang oleh pertambahan bumbung panoramik. BYD turut kongsikan angka ketahanan torsional sedan ini ialah 31,167 Nm, dengan memanfaatkan rekaan casis cell-to-body.

    BYD Seal 6 EV rasmi di Malaysia — dua varian, hingga 218 PS/330 Nm, lebih 400 km jarak WLTP, dari RM100k!

    Dari segi rekaan luaran, sekilas pandang varian Dynamic dan Premium nampak sama. Yang membezakannya hanyalah bumbung panoramik untuk Premium, yang boleh dibuka (tidak boleh dibuka untuk Seal) dan rim 18-inci (dengan tayar Westlake 225/50). Dynamic pula tanpa bumbung panoramik dan menggunakan rim 17-inci dengan tayar 225/55.

    Untuk sistem janaan kuasa, Seal 6 dipacu oleh roda belakang, dengan motor elektrik tunggalnya merupakan unit 8-dalam-1 — menyepadukan motor, reducer, pengawal voltan tinggi, pengubah DC-DC, pengecas dalaman, unit agihan elektrikal, unit kawalan kenderaan dan sistem pengurusan haba, serta boleh beroperasi hingga maksimum 16,000 rpm.

    Janaan output bagi kedua-dua varian ini berbeza: Dynamic dengan 129 PS (127 hp, atau 95 kW) dan 220 Nm; 0-100 km/j dalam 10.9 saat, serta laju maksimum 160 km/j; sementara Premium – 218 PS (215 hp, atau 160 kW) dan 330 Nm; 0-100 km/h dalam 7.5 saat, dengan laju maksimum 180 km/h.

    BYD Seal 6 EV rasmi di Malaysia — dua varian, hingga 218 PS/330 Nm, lebih 400 km jarak WLTP, dari RM100k!

    Selain itu, jenis bateri juga sama antara kedua-duanya, dengan Blade lithium iron phosphate (LFP) 56.64 kWj — kapasiti yang lebih besar berbanding yang ditawarkan di China. Anehnya, jarak perjalanan didakwa sama, dengan 485 km NEDC (sekitar 410 km WLTP) walaupun kedua-duanya mempunyai output kuasa yang berbeza.

    Bateri berkenaan mampu menampung kadar cas maksimum 100 kW untuk DC, yang memerlukan masa hanya 25 minit untuk 30%-80% SoC. Bagi pengecas AC Type 2 pula, kadar maksimumnya ialah 6.67 kW, dan lengkap dengan fungsi vehicle-to-load (V2L) hingga 6 kW.

    Bateri penghidup 12V untuk Seal 6 ini juga menggunakan unit LFP. Dengan berat 2.2 kg, ia lebih ringan berbanding bateri jenis lead-acid kedap yang biasa digunakan, dengan kelebihannya adalah kecekapan caj/nyah-cas yang lebih tinggi, dengan jangka hayat lebih panjang hingga 3,000 kitaran sebelum perlu ditukar.

    Untuk suspensi, bahagian depan Seal 6 menggunakan jenis MacPherson dual-ball joint, sementara di belakang dengan jenis multi-link. Penyerap hentaknya pula telah ditala untuk kegunaan di jalan raya Malaysia dengan menjadikannya sedikit lebih keras.

    Di dalam, rekaan kabinnya bersih dan ringkas dengan menampilkan papan pemuka yang rata dengan panel hitam berkilat di sepanjang permukaannya. Tiada tombol pemilih gear kecil ala Seal 06, dan ini digantikan dengan tuil pemilih gear yang terletak di belakang stereng, seperti untuk Atto 2, dan begitu juga dengan roda sterengnya yang diambil dari model yang sama. Hanya satu pilihan tema untuk ruang kabin diberikan, iaitu dalam warna hitam dan kelabu.

    Kelengkapan lain termasuklah panel instrumen digital 8.8-inci serta skrin sentuh infotainmen DiLink 12.8-inci. Tidak seperti model di pasaran domestiknya yang hadir dengan pilihan skrin lebih besar dengan 15.6-inci, skrin tengah ini tidak boleh dipusing untuk ditegakkan. Konsol tengah turut menempatkan dua ruang untuk telefon, satu daripadanya lengkap dengan pengecas tanpa wayar Qi 15-watt.

    BYD Seal 6 EV rasmi di Malaysia — dua varian, hingga 218 PS/330 Nm, lebih 400 km jarak WLTP, dari RM100k!

    Sistem infotainmennya lengkap dengan ciri Apple CarPlay dan Android Auto, dengan ciri bantuan suara dalam bahasa Inggeris, Melayu, Kantonis dan Mandarin. Ada juga ditawarkan pakej internet 2GB data sebulan untuk tempoh dua tahun. Kunci kad NFC fizikal atau NFC/Bluetooth digital boleh digunakan melalui aplikasi digital BYD.

    Kerusi bahagian depan untuk varian Dynamic boleh dilaras ke enam-arah untuk pemandu dan larasan secara manual untuk penumpang, manakala untuk Premium boleh dilaras ke lapan-arah untuk pemandu dan empat-arah untuk penumpang. Kedua-duanya juga menggunakan kerusi dengan liang pengudaraan. Ruang but belakang dibuka melalui pintu kuasa.

    Dynamic juga datang dengan enam-pembesar suara, sementara untuk Premium ada lapan. Ada juga ciri pencahayaan seperti lampu LED untuk pintu depan dan ruang kaki, serta lampu ambient kabin yang tidak diberikan untuk varian Dynamic. Ruang barangan untuk Seal 6 ialah 460 liter, dengan 65 liter untuk ruang “frunk” di depan.

    BYD Seal 6 EV rasmi di Malaysia — dua varian, hingga 218 PS/330 Nm, lebih 400 km jarak WLTP, dari RM100k!

    Untuk aspek keselamatan, Seal 6 datang dengan enam beg udara, sensor parkir depan dan belakang, kamera 360-darjah dan sistem tinjauan tekanan tayar. Ia juga lengkap dengan ciri ADAS yang antara lain terdiri daripada fungsi AEB, kawalan melayar adaptif dengan Stop/Go, amaran penunukaran lorong serta amaran perlanggaran depan serta kawalan lampu tinggi pintar.

    Tiga pilihan warna badan ditawarkan untuk Seal 6 Dynamic: Arctic White, Harbour Grey. Premium pula menerima tambahan pilihan warna Misty Blue.

    Sempena pelancarannya, 800 pemilik terawal BYD Seal 6 EV ini juga akan menikmati pakej menarik melibatkan dua pilihan: pertama untuk pelanggan di rumah bawah — pengecas wallbox percuma bernilai RM3,288 serta rebat RM3,000; dan kedua untuk pelanggan di rumah bertingkat/kondominium — pakej Sime Platinum 4+ (4x pengecasan mudah alih + 2x cucian kereta / setiap bulan), 2x servis EV Rescue untuk setahun bagi kawasan terpilih, dan rebat pelancaran berjumlah RM1,000.

    Untuk jaminan, sedan EV ini datang dengan jaminan enam-tahun/150,000 km untuk kenderaan, jaminan lapan-tahun/160,000 km untuk unit pacuan dan bateri.

    BYD Seal 6 EV Premium 2025

    BYD Seal 6 EV — Gambar rasmi

     
     
  • 10 jalan di Klang ditutup sempena Istiadat Perkahwinan Raja Muda Selangor; 27-29 Sept, 1-2 Okt

    Polis Klang Selatan memaklumkan bahawa 10 laluan utama di sekitar Klang akan ditutup bermula esok (27 September) hingga 29 September, serta 1 Oktober hingga 2 Oktober 2025 sempena Istiadat Perkahwinan Diraja, Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, di Istana Alam Shah, Klang.

    Penutupan laluan terbabit berkuatkuasa jam 8 pagi hingga selesai bagi melancarkan perjalanan istiadat serta menjaga keselamatan semua pihak.

    Jalan yang ditutup sepenuhnya ialah Jalan Tengku Diaudin ke Jalan Istana, Jalan Istana ke Bulatan Simpang Lima, Jalan Istana ke Jalan Stadium Sultan Suleiman, Jalan Istana ke Lorong Tingkat, Jalan Istana ke Jalan Pegawai, Jalan Istana ke Jalan Tengku Kelana 2, Jalan Bulatan Simpang Lima dan Jalan Bukit Istana.

    Manakala dua jalan yang ditutup secara berperingkat pula ialah Jalan Dato’ Hamzah ke Jalan Tengku Kelana, dan Jalan Raja Jumaat ke Jalan Istana.

    “Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan untuk merancang perjalanan lebih awal serta menggunakan laluan alternatif bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas. Polis Klang Selatan turut memohon kerjasama pengguna jalan raya agar mematuhi arahan anggota bertugas demi kelancaran majlis diraja ini,” kata Polis Klang Selatan menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

     
     
  • JPJ terima pelekat RFID khas pengecualian bayaran tol di semua lebuhraya untuk kenderaan rasmi jabatan

    JPJ terima pelekat RFID khas pengecualian bayaran tol di semua lebuhraya untuk kenderaan rasmi jabatan

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melalui Bahagian Penguatkuasa telah menerima pelekat RFID khas bagi pengecualian bayaran tol untuk kegunaan kenderaan rasmi penguatkuasa JPJ.

    Inisiatif ini membolehkan pengecualian bayaran tol di semua konsesi lebuhraya untuk kenderaan jabatan yang dilengkapi pelekat rasmi JPJ pada bahagian kiri dan kanan badan kenderaan secara kekal, disertai dengan penggunaan lampu amaran khas biru berkelip semasa melaksanakan tugas penguatkuasaan.

    Tag RFID khas ini telah diserahkan kepada JPJ semalam (25 September 2025), dengan kehadiran wakil daripada Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Kementerian Kerja Raya (KKR) serta Touch ‘n Go.

     
     
  • Budi95: Tidak dibenarkan guna MyKad orang lain untuk membeli petrol RON95 bersubsidi – MoF

    Budi95: Tidak dibenarkan guna MyKad orang lain untuk membeli petrol RON95 bersubsidi – MoF

    Kementerian Kewangan menyatakan bahawa adalah tidak dibenarkan untuk menggunakan MyKad orang lain bagi membeli petrol RON95 bersubsidi untuk kegunaan sendiri melalui program Budi Madani RON95 (Budi95). Perkara ini dinyatakan menerusiSoalan Lazim (FAQ) yang dikeluarkan semalam, antaranya persoalan tersebut, “Bolehkah saya dan isteri masing-masing menggunakan MyKad sendiri untuk mengisi kenderaan yang sama?”

    Menurut FAQ tersebut, isteri anda (atau mana-mana individu lain yang layak menerima Budi95) dan anda boleh menggunakan MyKad masing-masing untuk mengisi kenderaan yang sama. Ini dengan syarat individu yang mengisi minyak hadir dan menggunakan MyKad milik sendiri untuk pengesahan Budi95 bagi membuat pembelian.

    Garis panduan jelas menetapkan bahawa perkongsian MyKad dengan orang lain bagi tujuan yang sama adalah tidak dibenarkan. Ini kerana memegang dan menggunakan MyKad orang lain merupakan satu kesalahan di bawah Akta Pendaftaran Negara 1959 dan Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Peraturan 25).

    Walau bagaimana pun, FAQ tersebut tidak menyatakan dengan jelas bagaimana peraturan ini akan dikuatkuasakan, memandangkan individu berkenaan mungkin “terlepas” daripada dikesan ketika menggunakan MyKad orang lain di terminal pam, di mana mereka tidak perlu berinteraksi dengan kakitangan yang boleh melakukan pemeriksaan. Kita boleh menjangkakan bahawa stesen minyak akan mempunyai kakitangan yang bersiap sedia untuk menghalang perkara ini daripada berlaku. Namun ia seharusnya tidak menjadi isu bagi transaksi di kaunter yang dilakukan secara bersemuka.

     
     
  • JPJ eBid: VPW dan SB_K dibuka untuk bidaan

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengumumkan bahawa siri nombor pendaftaran terkini dari WP Kuala Lumpur dan Sabah menanti untuk dibida menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Bagi yang memerlukannya untuk kenderaan baharu, antara pilihan yang ada ialah siri nombor pendaftaran terkini dari WP Kuala Lumpur, VPW telah dibuka bidaan sejak semalam, 25 September. Bidaannya akan berakhir jam 10 malam pada 29 September. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 30 September 2025. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau sebaliknya) menerusi e-mel.

    Manakala siri nombor pendaftaran terkini Sabah, SB_K, bakal dibuka bidaan mulai 1 Oktober. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 5 Oktober, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 6 Oktober 2025.

    Jadi, sekarang ini anda boleh menjimatkan masa dan wang ringgit dengan membida sendiri nombor pendaftaran yang anda hajati tanpa perlu menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner). Tak susah pun untuk membidanya dan anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk tujuan bidaan ini.

     
     
  • Budi95: Kerajaan jimat antara RM2.5 bilion ke RM4 bilion setahun melalui subsidi bersasar RON95

    Budi95: Kerajaan jimat antara RM2.5 bilion ke RM4 bilion setahun melalui subsidi bersasar RON95

    Inisiatif subsidi petrol bersasar Budi Madani RON 95 (Budi95) dijangka mampu membantu kerajaan menjimatkan antara RM2.5 bilion hingga RM4 bilion setahun, bergantung kepada harga minyak mentah dunia. Anggaran ini dibuat berdasarkan harga minyak mentah yang diniagakan sekitar AS$75 (RM315.74) setong, lapor Bernama.

    Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, program ini dibangunkan berdasarkan kejayaan sistem subsidi diesel bersasar yang telah dilaksanakan sebelum ini. Sistem tersebut berjaya menjimatkan anggaran RM6 bilion hingga RM7 bilion, jauh melebihi sasaran asal kerajaan iaitu RM4 bilion.

    Beliau menjelaskan bahawa jumlah penjimatan akhir bagi program Budi95 akan bergantung kepada turun naik harga minyak di pasaran antarabangsa. Penjimatan yang diperoleh akan disalurkan semula kepada rakyat melalui program bantuan langsung seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

    Pada tahun 2023, kerajaan membelanjakan hampir RM20 bilion bagi subsidi petrol, dengan jumlah yang hampir sama dicatatkan pada tahun sebelumnya. Oleh itu, penstrukturan semula subsidi RON 95 daripada pendekatan menyeluruh kepada bantuan bersasar dianggap langkah penting dalam usaha mengurangkan defisit fiskal negara.

    Budi95: Kerajaan jimat antara RM2.5 bilion ke RM4 bilion setahun melalui subsidi bersasar RON95

    Kementerian turut menjangkakan bahawa pelaksanaan subsidi petrol bersasar tahun ini akan mengurangkan jumlah keseluruhan perbelanjaan subsidi kerajaan sebanyak kira-kira 21.9%, dengan potensi penjimatan sekitar RM3.6 bilion.

    Melalui program Budi95, semua warganegara Malaysia yang memiliki lesen memandu sah akan dapat membeli petrol RON 95 pada harga RM1.99 seliter, dengan had sebanyak 300 liter sebulan. Penjimatan kepada kerajaan dijangka datang daripada pelaksanaan harga pasaran penuh ke atas individu dan entiti yang tidak layak menerima subsidi.

    Penggunaan MyKad sebagai kaedah pengesahan kelayakan juga dijangka dapat mengawal penyalahgunaan subsidi oleh golongan yang tidak sepatutnya menerima subsidi ini, termasuk warga asing dan sektor komersial. Kerajaan turut menjangkakan bahawa kerugian akibat aktiviti penyeludupan bahan api dapat dikurangkan melalui sistem ini.

    Harga pasaran RON 95 bagi pengguna yang tidak layak belum ditetapkan secara rasmi, namun anggaran awal menunjukkan ia mungkin berada di sekitar RM2.60 seliter.

     
     
  • Budi95: Soalan lazim (FAQ) – Fungsi, kaedah dll

    Budi95: Soalan lazim (FAQ) – Fungsi, kaedah dll

    Budi95: Soalan lazim (FAQ) – Fungsi, kaedah dll

    Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) telah mengeluarkan soalan lazim berserta jawapan berkaitan dengan penyasaran subsidi petrol RON95 seperti yang disiarkan menerusi laman web rasmi Budi Madani RON95 (Budi95). Bagi anda yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai objektif, fungsi, kaedah dan hal-hal yang berkaitan dengan Budi95, sila baca artikel jang panjang lebar ini hingga ke titik terakhir.

    1.Apakah itu Budi Madani RON95 (Budi95)?
    – Budi Madani RON95 (Budi95) ialah inisiatif Kerajaan Madani untuk menyasarkan subsidi petrol RON95.
    – Budi95 menangani ketirisan disebabkan penyeludupan dan subsidi yang diberi kepada bukan warganegara, dengan menaikkan harga runcit RON95 kepada tahap tanpa subsidi, yang dianggarkan sekitar RM2.60 seliter.
    – Pada masa yang sama, rakyat Malaysia terus menikmati petrol RON95 pada harga bersubsidi yang lebih rendah iaitu RM1.99 seliter dengan menggunakan MyKad.
    – Budi95 memanfaatkan rakyat melalui pengurangan harga RON95 kepada rakyat dan selain itu, penjimatan daripada menangani ketirisan akan diagihkan untuk program yang memanfaat rakyat seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

    Baca artikel selanjutnya di sini

     
     
  • Budi95: Resit yang dikeluarkan turut akan tunjuk baki kuota dan jumlah subsidi yang diberikan kerajaan

    Budi95: Resit yang dikeluarkan turut akan tunjuk baki kuota dan jumlah subsidi yang diberikan kerajaan

    Skim Budi95 bakal dilaksanakan bermula 30 September ini, manakala anggota polis dan tentera serta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) akan menerimanya lebih awal iaitu masing-masing bermula 27 dan 28 September. Menerusi skim berkenaan semua rakyat Malaysia berusia 16 tahun ke atas yang memiliki lesen memandu sah layak menerima kuota 300 liter petrol RON95 sebulan yang dijual pada harga subsidi RM1.99 seliter, berbanding harga semasa tanpa subsidi RM2.60 seliter.

    Jadi bagaimana untuk anda periksa berapa kouta yang tinggal setiap kali anda membuat pengisian semula? Berdasarkan senarai Soalan Lazim (FAQ) berkenaan Budi95 ini yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan, baki kuota bulanan akan dicatatkan pada resit pembelian petrol tersebut. Bukan itu sahaja, malah pada resit berkenaan turut tercatat berapa banyak subsidi yang kerajaan yang telah anda terima menerusi pembelian itu.

    Antara butiran lain yang turut tercatat pada resit tersebut termasuk berapa jumlah kuota yang telah anda gunakan sebelum ini, serta maklumat-maklumat lain berkaitan stesen petrol yang anda gunakan bagi membuat pembelian. Resit ini akan dijana secara automatik sama ada anda membuat pembayaran di kaunter atau di terminal pam.

    Bagaimana pula sekiranya anda pembuat pembayaran menerusi aplikasi yang disediakan oleh syarikat minyak atau e-wallet? Ia sebenarnya lebih mudah kerana maklumat tersebut akan diberikan menerusi aplikasi berkenaan. Selain dari resit dan aplikasi, baki kuota bulanan anda juga boleh diperiksa menerusi laman sesawang khas Budi Madani, di mana anda hanya perlu memasukkan nombor MyKad pada ruang yang disediakan.

     
     
  • Budi95: Pemegang lesen ‘L’ dan lesen ‘P’ turut layak terima subsidi petrol RON95 RM1.99 seliter

    Budi95: Pemegang lesen ‘L’ dan lesen ‘P’ turut layak terima subsidi petrol RON95 RM1.99 seliter

    Sebelum ini Kementerian Kewangan telahpun menyatakan bahawa bagi melayakkan seseorang itu menerima subsidi bersasar untuk petrol Budi Madani RON95 (Budi95), mereka bukan hanya perlu mempunyai kad pengenalan (MyKad) dan berumur 16 tahun ke atas, malah turut perlu mempunyai lesen memandu yang aktif.

    Ada pelbagai jenis lesen memandu dan juga kelas lesen telah dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), jadi jenis lesen dan kelas yang mana diiktiraf bagi membolehkan seseorang itu layak menerima Budi95? Perkara ini telah diterangkan dalam senarai Soalan Lazim (FAQ) Budi95 yang telahpun disiarkan oleh Kementerian Kewangan.

    Menurut jawapan dari soalan tersebut, jenis-jenis lesen dan juga kelas lesen yang layak adalah seperti berikut:

    • Lesen Percubaan (CDL) untuk kelas kenderaan A, A1, B, B1, B2, C, D dan DA
    • Lesen Percubaan (PDL) untuk kelas kenderaan A, A1, B, B1, B2, C, D dan DA
    • Lesen Belajar Memandu (LDL) untuk Kelas kenderaan A, B, B1, B2 dan C

    Jadi kesimpulannya sekiranya anda pemegang lesen aktif sama ada dari jenis lesen kompeten, lesen ‘P’ atau lesen ‘L’ dalam kelas-kelas yang telah disebutkan di atas, anda layak untuk menerima subsidi Budi95 berkenaan. Dan bagi memeriksa kelayakan, kerajaan juga telah menyediakan laman sesawang khas Budi Madani yang hanya memerlukan anda memasukkan nombor MyKad untuk memeriksa status.

    Skim Budi95 bakal dilaksanakan bermula 30 September ini, manakala anggota polis dan tentera serta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) akan menerimanya lebih awal iaitu masing-masing bermula 27 dan 28 September. Menerusi skim berkenaan semua rakyat Malaysia berusia 16 tahun ke atas yang memiliki lesen memandu sah layak menerima kuota 300 liter petrol RON95 sebulan yang dijual pada harga subsidi RM1.99 seliter, berbanding harga semasa tanpa subsidi RM2.60 seliter.

    Bagi membeli petrol dengan harga subsidi tersebut, pembeli perlulah mengesahkan kelayakan menerusi kad pengenalan (MyKad) dengan proses dibuat menggunakan terminal khas pada kaunter bayaran atau pada pam itu sendiri, dan juga pelbagai kaedah lain seperti aplikasi bayaran yang disediakan oleh syarikat minyak, e-wallet dan sebagainya.

     
     
  • Budi95: laman sesawang untuk periksa kelayakan subsidi RON95 dengan no. MyKad sudah boleh diguna

    Budi95: laman sesawang untuk periksa kelayakan subsidi RON95 dengan no. MyKad sudah boleh diguna

    Laman sesawang untuk skim subsidi petrol RON95 bersasar Budi Madani (Budi95) kini sudahpun boleh mula digunakan. Menerusi laman www.budimadani.gov.my tersebut, rakyat Malaysia boleh memeriksa kelayakan mereka bagi membeli petrol RON95 dengan harga subsidi RM1.99 seliter seperti yang telah diumumkan oleh Kementerian Kewangan sebelum ini.

    Untuk memeriksa kelayakan, anda terlebih dahulu perlu klik pautan ke bahagian Budi Madani RON95. Kemudian anda perlu klik pada “Semak Kelayakan Individu” ataupun pada “BUDI95 Individu” yang akan membawa anda ke bahagian semakan. Kelayakan anda boleh disemak dengan hanya memasukkan nombor kad pengenalan (MyKad) tanpa jarak pada ruang yang disediakan dan klik pada “semak kelayakan”.

    Skim Budi95 bakal dilaksanakan bermula 30 September ini, manakala anggota polis dan tentera serta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) akan menerimanya lebih awal iaitu masing-masing bermula 27 dan 28 September. Menerusi skim berkenaan semua rakyat Malaysia berusia 16 tahun ke atas yang memiliki lesen memandu sah layak menerima kuota 300 liter petrol RON95 sebulan yang dijual pada harga subsidi RM1.99 seliter, berbanding harga semasa tanpa subsidi RM2.60 seliter.

    Bagi membeli petrol dengan harga subsidi tersebut, pembeli perlulah mengesahkan kelayakan menerusi kad pengenalan (MyKad) dengan proses dibuat menggunakan terminal khas pada kaunter bayaran atau pada pam itu sendiri, dan juga pelbagai kaedah lain seperti aplikasi bayaran yang disediakan oleh syarikat minyak, e-wallet dan sebagainya.

     
     
  • JPJ dan MOT beri helmet percuma 28-29 September ini

    JPJ dan MOT beri helmet percuma 28-29 September ini

    Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) akan menganjurkan Mini Karnival MOT: Hari Bertemu Pelanggan & Kerjaya MOT pada 28 dan 29 September 2025 (Ahad dan Isnin) bertempat di Terminal Bersepadu Gombak (TBG). Program dua hari ini terbuka kepada orang ramai dan menampilkan pelbagai aktiviti termasuk perkhidmatan agensi di bawah MOT serta peluang kerjaya.

    Antara tarikan utama karnival ini ialah pertukaran topi keledar secara percuma bagi penunggang motosikal. Sebanyak 1,000 unit topi keledar disediakan untuk diberikan secara percuma kepada warganegara Malaysia yang hadir sepanjang tempoh program. Inisiatif ini bertujuan meningkatkan tahap keselamatan jalan raya serta menggalakkan penggunaan topi keledar yang mematuhi piawaian.

    Untuk menebus topi keledar baru, peserta perlu membawa topi keledar lama yang rosak atau tidak menepati spesifikasi SIRIM, bersama dengan kad pengenalan (MyKad) sebagai bukti kewarganegaraan. Setiap individu hanya layak menukar satu unit topi keledar sahaja sepanjang program berlangsung. Tawaran ini adalah berdasarkan konsep “siapa cepat, dia dapat”, kerana jumlah adalah terhad.

    Program ini dianjurkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan sokongan Kementerian Pengangkutan, sebagai sebahagian daripada kempen kesedaran keselamatan jalan raya. Ia juga memberi peluang kepada pengunjung untuk mendapatkan maklumat terus daripada agensi kerajaan serta meneroka peluang pekerjaan dalam sektor pengangkutan.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.67 (0.00)
EURO 5 B7 RM4.87 (0.00)
Last Updated Jun 11, 2026