Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Suzuki Access 125 2025 dilancar di Indonesia, RM7.7k

    Suzuki Access 125 2025 dilancar di Indonesia, RM7.7k

    Bersempena dengan acara Indonesia Motorcycle Show (IMOS) 2025 yang sedang berlangsung sekarang, Suzuki Indomobil Sales (SIS) melancarkan Access 125 untuk pasaran negara itu, yang dijual pada harga bermula 25.5 juta rupiah (sekitar RM7,700) untuk versi Standard.

    Model ini dikuasakan oleh enjin satu silinder 124 cc dengan sistem sejukan udara dan SOHC, mampu menghasilkan kuasa sekitar 8.3 hp dan tork maksimum 10.2 Nm. Transmisi menggunakan unit CVT dan tangki bahan api yang disediakan berkapasiti 5.3 liter.

    Walaupun tampil dengan gaya retro, skuter ini turut hadir dengan ciri moden seperti soket pengecas USB , sistem Suzuki Easy Start dan paparan meter gabungan analog-digital. Dari aspek praktikaliti, ia menyediakan ruang simpanan bawah tempat duduk berkapasiti 24.4 liter dan dua poket barangan di bahagian bawah pemegang.

    Access 125 terletak di atas rim bersaiz kecil, iaitu 12 inci di hadapan dan 10 inci di belakang, yang kemudiannya dipegang masing-masing oleh fork teleskopik di hadapan dan satu penyerap hentak di belakang. Hanya brek hadapan yang menggunakan cakera, sementara brek belakang adalah unit dram. Membantu ciri keselamatannya adalah Combined Brake System (CBS).

    Kelengkapan lain yang disediakan pada Access 125 adalah termasuk lampu hadapan dan belakang LED, lantai kaki luas, pemula enjin elektrik dan pemijak kaki, serta fungsi lampu tinggi dan lampu kecemasan. Berat skuter ini adalah 106 kg.

     
     
  • Budi95: Stesen minyak ada pelan alternatif untuk pastikan penyampaian subsidi RON95 berjalan lancar

    Budi95: Stesen minyak ada pelan alternatif untuk pastikan penyampaian subsidi RON95 berjalan lancar

    Program subsidi petrol RON 95 di bawah inisiatif Budi Madani (Budi95) akan mula dilaksanakan secara rasmi pada 30 September ini. Menjelang pelancarannya, Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) memberi jaminan bahawa bekalan petrol dan urusan jual beli di stesen minyak tidak akan terjejas, meskipun dijangka berlaku peningkatan permintaan, lapor Bernama.

    Presiden PDAM, Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz berkata, pengusaha stesen minyak di seluruh negara telah bersedia sepenuhnya dengan pelan sandaran bagi memastikan kelancaran pelaksanaan program ini. Beliau menegaskan bahawa semua warganegara Malaysia yang memiliki lesen memandu yang sah layak menerima subsidi petrol RON 95 pada harga RM1.99 seliter.

    “Pengusaha stesen minyak sudah ada pelan kesinambungan perniagaan sekiranya berlaku gangguan pada sistem transaksi. Kami tidak mahu menyusahkan orang ramai. Sebaliknya, kami mahu pastikan mereka tetap dapat menikmati harga RM1.99. Dengan persiapan yang telah dibuat, kami harap semuanya berjalan lancar menjelang 27 September,” katanya. Difahamkan, anggota polis dan tentera akan menjadi kumpulan pertama menikmati harga subsidi ini bermula 27 September.

    Budi95: Stesen minyak ada pelan alternatif untuk pastikan penyampaian subsidi RON95 berjalan lancar

    Datuk Khairul turut menyeru orang ramai supaya bersabar sekiranya berlaku kelewatan atau gangguan ketika proses pelaksanaan. Beliau memberi jaminan bahawa pengusaha stesen minyak akan menjalankan tanggungjawab mereka untuk memastikan semua yang layak menerima subsidi tidak terpinggir.

    Beberapa hari lalu, PDAM memaklumkan bahawa proses pengesahan kelayakan pelanggan adalah satu tugas yang kompleks, dan pihaknya berharap orang ramai dapat memberikan kerjasama kepada pengusaha stesen minyak dalam menguruskan cabaran awal pelaksanaan Budi95.

     
     
  • Proton eMas 5 turut ditawar dengan kabin hitam

    Proton eMas 5 turut ditawar dengan kabin hitam

    SUV EV kedua Proton yang bakal dilancarkan tak lama lagi iaitu Proton eMas 5 turut bakal ditawarkan dengan kabin berwarna hitam, selain dari pilihan dalaman putih seperti yang ditunjuk ketika pratonton model tersebut kepada media Ogos lalu.

    Menurut Proton, tema warna kabin lebih gelap berkenaan ditunjuk ketika acara jelajah MISI 5 Tour yang berlangsung hujung minggu lalu. Acara jelajah tersebut membawa eMas 5 berkenaan menjelajah ke 13 negeri dalam Malaysia yang akan berakhir pada Oktober nanti, di mana ia turut dirancang untuk dilancarkan pada bulan yang sama.

    Proton masih belum mendedahkan perincian penuh berkenaan kabin hitam tersebut. Namun berdasarkan video yang disiarkan di laman Instagram rasmi Proton eMas, kabin berkenaan menampilkan upholsteri leatherette berwarna hitam dengan corak yang sama dengan versi berwarna putih. Kemasan-kemasan hitam turut diberikan pada roda stereng, papan pemuka, konsol tengah dan juga panel dalaman pintu.

    Kami jangkakan eMas 5 dengan dalaman berwarna hitam ini merupakan pilihan bagi varian lebih rendah kerana unit yang didedahkan kepada media menampilkan dalaman berwarna putih sebelum ini merupakan model varian tertinggi yang digelar sebagai varian Premium. Dan berdasarkan nama varian pada eMas 7, kami turut jangkakan eMas 5 varian lebih rendah ini akan digelar sebagai Prime.

    Proton eMas 5 diasaskan dari Geely Star Wish/Geome Xingyuan yang dibina berasaskan platform Global Modular Architecture (GMA) Geely. Tak kira varian, ia hanya ditawarkan dengan motor elektrik tunggal, dan ia diletakkan pada gandar belakang untuk memacu roda belakang sahaja.

    Bagi varian Premium yang telah didedahkan, motor berkenaan menjana 116 PS (85 kW) dan tork maksima 150 Nm yang digerakkan oleh bateri litium logam fosfat (LFP) berkapasiti 40.16-kWj. Padanan berkenaan membolehkan SUV EV kompak tersebut bergerak sejauh 325 km dalam kitaran ujian WLTP (410 km CLTC).

    Manakala bagi varian Prime, ia menerima motor elektrik dengan kuasa hanya 79 PS (58 kW) dan tork 130 Nm, bersama bateri lebih kecil berkapasiti 30.12 kWj yang memberikan jarak gerak sejauh 250 km WLTP (310 km CLTC).

    GALERI: Pratonton Proton eMas 5

     
     
  • Polis beri 50% diskaun saman trafik terpilih pada 26-28 Sept di Festival Kota Selatan 2025 di Pontian, Johor

    Polis beri 50% diskaun saman trafik terpilih pada 26-28 Sept di Festival Kota Selatan 2025 di Pontian, Johor

    Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Negeri Johor bakal menawarkan pengurangan bayaran saman trafik sebanyak 50% bagi kesalahan terpilih yang ditawarkan pada 26 hingga 28 September 2025. Ia adalah sempena dengan penganjuran Festival Kota Selatan 2025 (FKS2025).

    Di mana orang ramai boleh mendapatkan diskaun saman trafik terpilih itu di ruang pameran PDRM yang dibuka dari jam 9 pagi hingga 4.30 petang di lokasi acara iaitu di Dataran Majlis Perbandaran Pontian.

    Walau bagaimana pun, anda dinasihatkan agar membuat semakan awal melalui portal https://mybayar.rmp.gov.my dan aplikasi MyBayar PDRM bagi melancarkan proses pembayaran saman nanti.

    Seperti amalan sebelum ini, pemberian diskaun saman tersebut tidak ditawarkan untuk kesalahan seperti saman lampu isyarat merah, saman menggunakan lorong kecemasan, saman memotong secara berbahaya, saman memotong di garisan kembar, saman kemalangan, saman tidak boleh kompaun (NC), saman bicara mahkamah, saman melibatkan kenderaan berat, saman ubahsuai ekzos dan saman berstatus Op Selamat tahun semasa.

    Jadi, jika anda berada di Pontian atau daerah berhampiran, jangan lupa ambil peluang ini untuk mendapatkan kadar diskaun bagi saman trafik terpilih. Sila lunaskan tunggakan saman yang ada bagi mengelakkan nama disenarai hitam atau disekat untuk pembaharuan cukai jalan atau lesen memandu.

     
     
  • Le Tour de Langkawi 2025 – Banyak jalan ditutup secara berperingkat dari 28 Sept hingga 5 Okt

    Le Tour de Langkawi 2025 – Banyak jalan ditutup secara berperingkat dari 28 Sept hingga 5 Okt

    Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) telah mengumumkan pelaksanaan kawalan trafik sempena perlumbaan basikal dunia berprestij Petronas Le Tour de Langkawi 2025 (LTdL 2025) edisi ke-29 yang akan bermula pada 28 September hingga 5 Oktober ini.

    Dengan melibatkan keseluruhan jarak mencecah 1,244.2 km, LTdL 2025 kali ini melibatkan lapan peringkat perlumbaan yang membabitkan beberapa negeri di seluruh Semenanjung Malaysia.

    • Peringkat 1, 28 September: Langkawi – Padang Mat Sirat, 96.7 km
    • Peringkat 2, 29 September: Padang Besar, Perlis ke Kepala Batas, Pulau Pinang, 166.1 km
    • Peringkat 3, 30 September: Gerik, Perak ke Pasir Puteh, Kelantan, 198.2 km
    • Peringkat 4, 1 Oktober: Kuala Terengganu ke Kemaman, Terengganu, 141.5 km
    • Peringkat 5, 2 Oktober: Temerloh, Pahang ke Bukit Fraser, Pahang, 123.1 km
    • Peringkat 6, 3 Oktober: Shah Alam, Selangor ke Port Dickson, Negeri Sembilan, 123.5 km
    • Peringkat 7, 4 Oktober: Melaka ke Medini, Johor, 214.9 km
    • Peringkat 8, 5 Oktober: Tangkak, Johor ke Menara Berkembar Petronas, Kuala Lumpur, 180.2 km

    Menurut JSPT, seramai 164 pegawai dan anggota polis yang akan ditugaskan dalam kawalan trafik di setiap laluan utama dan kawasan bandar terlibat. Sepanjang perlumbaan berlangsung, penutupan jalan dan lencongan aliran trafik secara berperingkat akan dilaksanakan di semua laluan utama. Anda boleh semak senarai jalan yang terbabit menerusi foto di bawah.

    Orang ramai yang ingin menyaksikan perlumbaan ini diminta supaya mematuhi arahan petugas keselamatan dan tidak berada terlalu dekat dengan laluan bagi mengelakkan risiko kemalangan. Selain iu, polis juga menasihati orang ramai supaya merancang perjalanan lebih awal dan mematuhi arahan petugas bagi mengelakkan kesesakan.

    Jadual penuh jalan-jalan yang terlibat. Klik untuk besarkan:

     
     
  • JPJ eBid: Siri VPV dan JYK dibuka untuk bidaan

    Bagi yang sedang mencari nombor pendaftaran bagi kenderaan, ini ada siri terkini dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) dan Johor yang sedang dibuka bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), siri nombor pendaftaran terkini dari WPKL, VPV mula dibuka bidaan sejak 23 September lalu. Bidaannya akan berakhir jam 10 malam pada 27 September. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 28 September 2025. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala siri nombor pendaftaran terkini Johor, JYK, telah mula dibuka bidaan sejak semalam, 24 September 2025. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 28 September, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 29 September 2025.

    Memandangkan kini banyak urusan yang boleh dibuat secara dalam talian, jadi kalau nak dapatkan nombor pendaftaran kenderaan terkini, anda boleh lakukan sendiri tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran kenderaan yang diingini.

     
     
  • Kawasaki KLX 230 2025 – pengedar mula ambil tempahan, versi enduro dan supermoto, RM23k?

    Kawasaki KLX 230 2025 – pengedar mula ambil tempahan, versi enduro dan supermoto, RM23k?

    Sudah berada di pasaran negara jiran, Indonesia sejak tahun 2019, Kawasaki KLX 230 diketahui akan dilancarkan untuk pasaran Malaysia tidak lama lagi, tetapi masih belum ada perincian yang dikeluarkan secara rasmi oleh Kawasaki Malaysia.

    Walaubagaimanapun, nampaknya sudah ada pengedar yang mula mengambil tempahan untuk motosikal serba guna ini, memberi gambaran pelancarannya betul-betul sudah hampir. Dalam iklan yang dinaikkan oleh pengedar rasmi Kawasaki dari Johor Bahru itu, dua versi diberitahu akan tiba, iaitu S (enduro) dan SM (supermoto).

    Harga yang dinyatakan pula adalah RM23,000 tidak termasuk insurans, namun kami tidak dapat memastikan sama ada ia sama untuk kedua-dua versi atau berbeza. Buat masa sekarang, mereka sudah menerima tempahan dengan bayaran sebanyak RM500.

    Kawasaki KLX 230 2025 – pengedar mula ambil tempahan, versi enduro dan supermoto, RM23k?

    Semasa pertama kali muncul dalam pasaran, KLX 230 ini membawa pembaharuan yang menyeluruh termasuk di bahagian casis dan penampilan. Enjin juga adalah baru, iaitu unit satu silinder empat strok 233 cc, suntikan bahan api berkemampuan 18 PS pada 7,600 rpm serta 18 Nm tork pada 6,100 rpm.

    Transmisi menggunakan unit enam kelajuan, sementara kelengkapan lain yang disediakan adalah termasuk fork USD di hadapan, meter jenis digital, lampu hadapan LED, brek cakera hadapan dan belakang serta tangki bahan api 7.6 liter.

    Varian S menggunakan padanan rim 21 inci di hadapan dan 18 inci di belakang, sementara varian SM pula menggunakan kedua-duanya rim bersaiz 17 inci. Berat varian S berada pada 134 kg, sementara SM mencatat tambahan 2 kg lagi, menjadi 136 kg.

     
     
  • Xpeng, Charge+ lancar pengecas EV pantas di KL Eco City – hingga 350 kW DC, RM1/kWh, buka untuk semua

    Xpeng, Charge+ lancar pengecas EV pantas di KL Eco City – hingga 350 kW DC, RM1/kWh, buka untuk semua

    Xpeng dan Charge+ mengumumkan satu kerjasama strategik untuk membangunkan rangkaian pengecasan pantas rentas sempadan di Asia Tenggara, yang mampu menawarkan kuasa sehingga 480 kW untuk pengecasan DC. Empat lokasi pertama daripada sekurang-kurangnya 20 tapak yang dirancang kini telah beroperasi, iaitu terletak di Royal Square Novena dan Downtown East di Singapura, One Bangkok di Thailand serta KL Eco City di Malaysia.

    Berdasarkan maklumat dalam aplikasi Charge+, tapak KL Eco City yang terletak di aras LL dilengkapi dengan enam pengecas – dua unit 350 kW DC, dua unit 250 kW DC dan dua lagi 200 kW DC. Semua pengecas ini boleh digunakan semua jenama kereta dan dikenakan kadar caj RM1 bagi setiap kWh. Pemilik kenderaan Xpeng bakal menikmati diskaun istimewa di semua pengecas Charge+ di Asia Tenggara selama tiga tahun, serta diskaun tambahan di pengecas pantas yang dibangunkan bersama oleh Xpeng dan Charge+.

    Menurut Charge+, pemilik Xpeng tidak lama lagi akan dapat mengakses pengecas di Singapura, Malaysia dan Thailand secara terus melalui aplikasi Xpeng. Fungsi ini juga dijadualkan untuk disepadukan terus ke dalam paparan dalam kenderaan menjelang hujung tahun, termasuk fungsi mula dan henti pengecasan melalui aplikasi.

    Xpeng, Charge+ lancar pengecas EV pantas di KL Eco City – hingga 350 kW DC, RM1/kWh, buka untuk semua

    Melangkah ke hadapan, kedua-dua syarikat merancang untuk terus memperluas rangkaian pengecasan pantas ini di negara sedia ada dan juga ke Indonesia. Tapak pengecasan baru dijangka akan ditempatkan di lokasi strategik seperti kawasan komersial, pusat beli-belah dan hentian lebuh raya di seluruh rantau ini.

    Charge+, yang berpusat di Singapura juga diberitahu sedang membina rangkaian pengecasan DC lebuh raya sepanjang 5,000 km merentasi Singapura, Malaysia, Thailand, Kemboja dan Vietnam. Ia merupakan infrastruktur pengecasan EV paling panjang di rantau Asia Tenggara setakat ini.

    Langkah ini selari dengan pengumuman Xpeng pada bulan Mac lalu yang menyatakan hasrat untuk membina rangkaian pengecasan pantas DC di ASEAN bagi menyaingi rangkaian Supercharger Tesla. Xpeng memilih untuk bekerjasama dengan pengendali pengecas tempatan bagi mencapai matlamat ini.

     
     
  • Lesen memandu tamat tempoh tak sampai 3 tahun masih layak terima Budi95; 925k pemandu aktif digesa perbaharui lesen untuk beli petrol RM1.99 seliter

    Lesen memandu tamat tempoh tak sampai 3 tahun masih layak terima Budi95; 925k pemandu aktif digesa perbaharui lesen untuk beli petrol RM1.99 seliter

    Kementerian Pengangkutan (MOT) memaklumkan bahawa sehingga kini terdapat 925,421 Lesen Memandu Kompeten (CDL) telah pun tamat tempoh tetapi kurang dari tiga tahun. Dari jumlah tersebut, 551,688 CDL telahpun tamat tempoh sekurang-kurangnya setahun atau kurang, 219,092 lesen sudah tamat tempoh antara satu hingga dua tahun, manakala 154,641 lesen lagi sudah tamat tempoh antara dua hingga tiga tahun.

    Ini mungkin akan menyukarkan pemegang-pemegang lesen tersebut sendiri kerana pemberian skim petrol RON95 bersubsidi Budi95 yang akan bermula hujung bulan ini bukan sahaja menetapkan syarat penerimanya perlu mempunyai kad pengenalan (MyKad) dan berumur lebih dari 16 tahun, malah turut mensyaratkan mereka perlu memiliki lesen memandu yang sah.

    Pemegang-pemegang CDL yang telah pun tamat tempoh kurang dari tiga tahun sebenarnya masih lagi layak untuk menerima Budi95, namun mereka digesa untuk memperbaharuinya bukan sahaja untuk membolehkan petrol RON95 boleh dibeli dengan harga subsidi, malah untuk mengelakkan mereka perlu mengambil semula Ujian Kurikulum Pendidikan Pemandu Bahagian 2 dan 3 (KPP02 dan KPP03) yang diperlukan untuk memperbaharui semula CDL yang telah tamat tempoh melebihi tiga tahun.

    Lesen memandu tamat tempoh tak sampai 3 tahun masih layak terima Budi95; 925k pemandu aktif digesa perbaharui lesen untuk beli petrol RM1.99 seliter

    Berdasarkan rekod dari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sejumlah 2.4 juta pemegang Lesen Memandu Kompeten (CDL) dengan status tidak aktif, di mana ia telah pun tamat tempoh lebih dari tiga-tahun. Individu-individu ini secara teknikalnya sudah tidak layak untuk menerima Budi95 dan perlu mengambil semula ujian kurikulum sekolah memandu.

    Sejak Budi95 diumumkan pada Isnin lalu (22 September 2025), JPJ telah merekodkan sebanyak 26,991 transaksi berkaitan pembahruan CDL yang dibuat menerusi aplikasi MyJPJ, portal MySikap, kiosk-kiosk dan kaunter-kaunter fizikal jabatan itu.

    Bagi memudahkan urusan pembaharuan CDL yang dijangka meningkat sebelum Budi95 mula dilaksanakan, JPJ telah pun mengumumkan bahawa ia akan melanjutkan waktu operasi kaunter lesen memandu dan kaunter pelbagai di semua pejabat JPJ Negeri dan cawangan di seluruh negara.

    Lesen memandu tamat tempoh tak sampai 3 tahun masih layak terima Budi95; 925k pemandu aktif digesa perbaharui lesen untuk beli petrol RM1.99 seliter

    Pertambahan waktu operasi berkenaan adalah berkuatkuasa pada 27 September hingga 26 Oktober 2025 yang melibatkan hari Jumaat dan Sabtu bagi Kelantan, Terengganu dan Kedah serta hari Sabtu dan Ahad untuk negeri-negeri lain, bermula jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang.

    Skim Budi95 bakal dilaksanakan bermula 30 September ini, manakala anggota polis dan tentera serta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) akan menerimanya lebih awal iaitu masing-masing bermula 27 dan 28 September. Menerusi skim berkenaan semua rakyat Malaysia berusia 16 tahun ke atas yang memiliki lesen memandu sah layak menerima kuota 300 liter petrol RON95 sebulan yang dijual pada harga subsidi RM1.99 seliter, berbanding harga semasa tanpa subsidi RM2.60 seliter.

    Bagi membeli petrol dengan harga subsidi tersebut, pembeli perlulah mengesahkan kelayakan menerusi kad pengenalan (MyKad) dengan proses dibuat menggunakan terminal khas pada kaunter bayaran atau pada pam itu sendiri, dan juga pelbagai kaedah lain seperti aplikasi bayaran yang disediakan oleh syarikat minyak, e-wallet dan sebagainya.

     
     
  • Harga minyak 25 Sept-1 Okt – RON97 dan diesel dikekalkan; RON95 jadi RM1.99 seliter mulai 30 Sept

    Harga minyak 25 Sept-1 Okt – RON97 dan diesel dikekalkan; RON95 jadi RM1.99 seliter mulai 30 Sept

    Kementerian Kewangan (MoF) mengumumkan bahawa bagi minggu bertarikh 25 September hingga 1 Oktober 2025, harga runcit petrol RON97 masih dikekalkan pada RM3.21 seliter. Manakala untuk RON95, ia juga masih dikekalkan pada RM2.05 seliter sehingga 29 September ini.

    Walau bagaimana pun, seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri pada Isnin lalu, menerusi program Budi95, mulai 30 September 2025, seramai 16 juta rakyat Malaysia berusia 16 tahun dan ke atas yang memiliki lesen memandu sah akan menikmati harga baharu petrol RON95 pada RM1.99 seliter.

    Namun manfaat ini akan dinikmati lebih awal oleh anggota polis dan tentera mulai 27 September, serta penerima STR bermula 28 September. Kuota sebanyak 300 liter sebulan akan diperoleh bagi setiap rakyat Malaysia yang berkelayakan. Bagaimana pun, pemandu e-hailing diberi pengecualian daripada siling kelayakan tersebut dan boleh memohon kelayakan tambahan bagi memastikan kelangsungan pekerjaan mereka.

    Manakala golongan bukan warganegara dan syarikat besar tidak layak untuk subsidi dan perlu membayar harga tanpa subsidi iaitu sekitar RM2.60 seliter.

    Bagi diesel yang dijual di Semenanjung Malaysia, ia juga dikekalkan pada RM2.93 seliter. Manakala harga diesel untuk Sabah dan Sarawak tetap dikekalkan pada RM2.15 seliter.

     
     
  • 6,360 Rolls-Royce, Lambo, Bentley, Ferrari, Porsche tidak diperbaharui cukai jalan bernilai RM35.7j – Loke

    6,360 Rolls-Royce, Lambo, Bentley, Ferrari, Porsche tidak diperbaharui cukai jalan bernilai RM35.7j – Loke

    Menerusi Ops Luxury yang dilaksanakan di seluruh negara sejak awal Jun lalu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) merekodkan sebanyak 6,360 kenderaan mewah dari lima jenis model paling popular yang didapati tidak diperbaharui cukai jalan, dengan jumlah tunggakan melebihi RM35.7 juta.

    Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, hasil semakan JPJ mendapati lima jenis kenderaan mewah tersebut melibatkan sebanyak 345 buah Rolls-Royce dengan jumlah tunggakan RM6.4 juta, 372 Lamborghini (RM3.7 juta), 660 Bentley (RM7 juta), 675 Ferrari (RM4.7 juta) dan 4,308 Porsche (RM13.7 juta).

    Loke turut mendedahkan, antara pemilik kenderaan mewah berkenaan termasuk yang bergelar Tan Sri, ahli politik dan ahli perniagaan ternama.

    “Walaupun ada dalam kalangan mereka bergelar Tan Sri, ahli politik, orang kenamaan atau ahli perniagaan ternama, saya tidak akan umumkan nama kerana tidak mahu memalukan sesiapa. Saya mohon mereka yang tergolong dalam kumpulan ini supaya menjalankan tanggungjawab memperbaharui cukai jalan masing-masing.

    “Jika kenderaan itu masih digunakan di atas jalan raya, mereka wajib membayar Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan mempunyai insurans yang sah. Tetapi jika ia tidak digunakan lagi, pemilik boleh lupuskan daripada sistem,” katanya yang menambah sebanyak 421 buah kenderaan mewah telah disita menerusi Ops Luxury setakat ini.

    Beliau turut berkata, kadar cukai jalan bagi kenderaan mewah terbabit ada yang mencecah antara RM15,000 hingga RM30,000 setahun dan pemilik wajib memastikan ia diperbaharui bagi membolehkan kenderaan mereka layak berada di atas jalan raya.

    6,360 Rolls-Royce, Lambo, Bentley, Ferrari, Porsche tidak diperbaharui cukai jalan bernilai RM35.7j – Loke

    “Malah ada pemilik yang sengaja menunggu sehingga kenderaan disita kerana menganggap bayaran kompaun RM300 masih berbaloi berbanding jumlah cukai jalan yang perlu dibayar. Kalau kenderaan itu disita, pemilik perlu memperbaharui cukai jalan dan insurans terlebih dahulu, kemudian membayar kompaun dan barulah kenderaan mereka akan dilepaskan.

    ‘Jika sikap ini (culas baharui cukai jalan) berterusan, kami tidak teragak-agak mengambil tindakan lebih drastik dan saya memberi peringatan awal untuk mereka perbaharui cukai jalan,” katanya pada sidang media hari ini.

    Loke turut berkata, JPJ kini melaksanakan Ops Luxury secara berterusan bagi mengesan dan menyita kenderaan mewah yang tidak mempunyai cukai jalan dan insurans sah. Ia bertujuan memastikan kenderaan yang berada di atas jalan raya mematuhi peraturan, termasuk memiliki insurans sah demi keselamatan semua pengguna jalan raya.

     
     
  • RON95 bagi kenderaan perdagangan — RM2.05 untuk 9 jenis pengangkutan awam, 12 jenis untuk logistik

    RON95 bagi kenderaan perdagangan — RM2.05 untuk 9 jenis pengangkutan awam, 12 jenis untuk logistik

    Walaupun warga Malaysia yang mempunyai lesen memandu yang sah layak menerima subsidi petrol RON 95 dengan harga RM1.99 seliter di bawah program Budi Madani RON 95 (Budi95) yang akan bermula 30 September ini, kenderaan perdagangan yang layak pula tetap perlu membayar RM2.05 seliter untuk bahan api tersebut.

    Menurut Kementerian Kewangan, kadar bersubsidi RM2.05 seliter — yang jauh lebih murah berbanding harga tanpa subsidi — akan dikenakan kepada sembilan jenis kenderaan petrol dalam segmen pengangkutan awam dan 12 jenis bagi sektor kenderaan barangan dan logistik di bawah Sistem Kawalan Petrol Subsidi (SKPS).

    Dalam segmen pengangkutan awam, ia merangkumi teksi, kereta sewa, bas sekolah, kenderaan jenazah, ambulans, lori pemadam kebakaran, bas perantara, bas henti-henti dan bas mini yang menggunakan petrol.

    RON95 bagi kenderaan perdagangan — RM2.05 untuk 9 jenis pengangkutan awam, 12 jenis untuk logistik

    Dalam kategori kenderaan barangan pula, jenis yang layak adalah van panel, van tingkap, van semi-panel, trak dan van penyaji makanan, trak kargo umum, trak kotak/luton, trak peti sejuk, van/trak perkhidmatan mudah alih serta trak yang digunakan untuk mengangkut hasil tanaman dan ternakan.

    Kad fleet akan digunakan untuk menyalurkan petrol bersubsidi ini kepada kenderaan perdagangan yang layak. Pendaftaran untuk SKPS di bawah skim Budi Madani MySubsidi 95 perdagangan/komersial telah bermula sejak 15 September.

    Selain itu, setakat tahun lalu, diesel bersubsidi diberikan kepada kenderaan logistik yang layak di bawah Sistem Kawalan Diesel Subsidi (SKDS) 2.0, yang membolehkan pengendali kenderaan yang berkaitan mendapatkan kadar bersubsidi RM2.15 seliter.

     
     
  • Honda WN7 – motosikal elektrik pertama Honda didedah, akan mula dibuat tahun depan, jual 2026

    Honda WN7 – motosikal elektrik pertama Honda didedah, akan mula dibuat tahun depan, jual 2026

    Motosikal elektrik saiz penuh pertama daripada Honda kini sudah mempunyai nama rasmi. Ia dipanggil sebagai WN7, dan merupakan versi produksi sebenar kepada konsep EV FUN yang pertama kali diperkenalkan semasa acara EICMA 2024. Huruf “W” pada nama itu merujuk kepada konsep pembangunan “Be the Wind”, “N” untuk Naked atau rekaan tanpa fairing penuh, manakala nombor “7” merujuk kepada kelas kuasa motosikal ini.

    Dari segi rekaan, Honda WN7 mengekalkan gaya langsing dan futuristik seperti yang ditampilkan pada versi konsep. Ia dilengkapi bateri lithium-ion kekal dengan kemampuan jarak melebihi 130km bagi sekali cas. Motosikal ini menyokong pengecasan pantas CCS2 – membolehkan pengecasan dari 20% ke 80% dalam hanya 30 minit. Selain itu, pengecas rumah berkapasiti 6kVA mampu mengecas penuh dari kosong hingga 100% dalam masa kurang daripada tiga jam.

    Prestasi juga menjadi keutamaan. Dengan berat hanya 217kg, WN7 digerakkan oleh motor berkuasa 18kW yang disejukkan dengan air. Outputnya setanding motosikal enjin pembakaran dalaman (ICE) 600cc, tetapi dengan daya kilas mencecah 100Nm – hampir sama seperti motosikal 1000cc ICE. Honda turut menawarkan versi 11kW yang boleh ditunggang oleh pemegang lesen A1, sekaligus membuka peluang kepada lebih ramai penunggang untuk mencuba motosikal elektrik ini.

    WN7 direka untuk memberikan pengalaman tunggangan yang senyap, lancar, bebas getaran dan tidak mempunyai pelepasan karbon – satu pengalaman yang jauh berbeza daripada motosikal enjin konvensional. Walaupun tampil sebagai motosikal elektrik, Honda menegaskan bahawa aspek keseronokan, keseimbangan dan kestabilan – yang telah menjadi ciri utama motosikal Honda selama lebih 75 tahun – tetap dikekalkan dalam model ini.

    Maklumat penuh spesifikasi teknikal akan diumumkan secara rasmi di acara EICMA 2025. Antara ciri menarik yang sudah disahkan termasuklah paparan skrin TFT lima inci dengan sambungan Honda RoadSync, serta sistem pencahayaan LED sepenuhnya di bahagian hadapan dan belakang.

    Tempahan awal untuk Honda WN7 sudah dibuka melalui laman web rasmi mereka. Pelanggan yang membuat tempahan sebelum 4 November akan menerima beg tempat duduk eksklusif secara percuma sebagai hadiah istimewa.

     
     
  • Kenderaan asing tetap tidak boleh beli petrol RON95 walau harganya diapungkan ikut pasaran semasa-MoF

    Kenderaan asing tetap tidak boleh beli petrol RON95 walau harganya diapungkan ikut pasaran semasa-MoF

    Kerajaan Malaysia mengekalkan pendirian untuk tidak membenarkan semua kenderaan dengan nombor pendaftaran asing untuk membeli petrol RON95, meskipun selepas harganya diapungkan mengikut pasaran semasa kelak, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

    Beliau berkata bahawa larangan itu kekal seperti amalan sedia ada, dengan hanya rakyat Malaysia berusia 16 tahun ke atas dan memiliki lesen memandu sahaja sah layak menikmati subsidi RON95 pada kadar RM1.99 seliter, laporan Berita Harian.

    Walau bagaimana pun, katanya, warga asing yang bermastautin di Malaysia dan menggunakan kenderaan berdaftar dalam negara dibenarkan untuk membeli RON95 pada harga pasaran yang akan diumumkan hujung bulan nanti.

    Kenderaan asing tetap tidak boleh beli petrol RON95 walau harganya diapungkan ikut pasaran semasa-MoF

    “Bagi kenderaan berdaftar luar negara seperti Thailand, Indonesia atau Singapura, mereka hanya dibenarkan membeli RON97, seperti ketetapan sedia ada,” katanya.

    Beliau turut menegaskan bahawa soal kekurangan bekalan petrol RON95 untuk rakyat tempatan tidak akan timbul kerana dasar larangan pembelian bahan api tersebut terhadap kenderaan dengan nombor pendaftaran asing tidak pernah berubah.

    “Mereka (kenderaan dengan nombor pendaftaran asing) hanya boleh beli RON97 yang harganya memang sudah ‘free float’ (diapungkan mengikut harga pasaran)… sesiapa sahaja boleh beli (RON97),” tambahnya.

     
     
  • Nissan Sentra 2026 didedahkan di AS – rekaan baharu lebih agresif, 2.0L NA berkuasa 151 PS/198 Nm, CVT

    Nissan Sentra 2026 didedahkan di AS – rekaan baharu lebih agresif, 2.0L NA berkuasa 151 PS/198 Nm, CVT

    Walaupun sedang dilanda badai, Nissan nampaknya masih mengutamakan sedan segmen-C ikonik dalam barisan model-modelnya – ini dia Nissan Sentra (atau dikenali sebagai Sylphy di Malaysia) generasi ke-sembilan sudah didedahkan di Amerika Syarikat! Ia bakal mula dijual pada pasaran berkenaan pada lewat tahun ini bagi menggantikan model generasi sebelumnya yang sudah berada sekitar enam-tahun dalam pasaran.

    Model generasi baharu ini sebenarnya masih menggunakan platform Common Module Family-CD (CMF-CD) Pakatan Renault-Nissan yang sama dengan model generasi ke-lapan, malah masih mengekalkan jarak roda yang sama iaitu 2,712 mm. Tapi Sentra baru ini nampak lebih besar bukan? Ini kerana panjang keseluruhannya telah meningkat 15 mm kepada 4,656 mm, dan ia 10 mm lebih lebar dengan ukuran 1,825 mm. Untuk nampak lebih sporty, badan Sentra baharu ini telah direndahkan sebanyak 2 mm kepada 1,448 mm.

    Muka Sentra 2026 ini masih diberikan gril V-Motion, namun ia adalah dari versi baharu seperti yang ditampilkan pada model terkini seperti Nissan Note dan Qashqai. Lampu hadapan bukan sekadar lebih nipis, malah ia turut mempunyai rekaan seperti ‘taring’ pada setiap hujung sisi.

    Lampu berkenaan menampilkan barisan projektor LED berbentuk empat segi, dan ia turut disertakan dengan lampu nyalaan siang bina-dalam diberikan jalur LED yang seakan bersambung dengan bar krom pada gril. Menurut Nissan, lampu ini akan memainkan ‘pertunjukan cahaya’ yang melibatkan nyalaan projektor utama, DRL dan juga lampu isyarat membelok.

    Nissan Sentra 2026 didedahkan di AS – rekaan baharu lebih agresif, 2.0L NA berkuasa 151 PS/198 Nm, CVT

    Sentra 2026 ini masih mengekalkan garisan bahu yang menonjol serta ‘otot-otot’ pada ruang roda hadapan dan belakang. Namun garis bumbungnya kini lebih menyerupai sebuah coupe dengan bahagian landai berlakang terus bersambung dengan bahagian but. Bahagian sisi sedan ini turut nampak lebih ringkas di mana garis-garis badan di bahagian bawah pintu telah dikurangkan.

    Manakala di belakang model generasi baharu ini diberikan lampu belakang lebih nipis bersama bar lampu merentangi sepenuhnya penutup but belakang, dan berdasarkan varian ia turut menampikan spoiler but dan juga panel seakan diffuser pada bahagian bawah bampar.

    Pasaran Amerika Syarikat menerima Sentra yang ditawarkan dalam empat varian iaitu S, SV, SR dan SL. Juga berdasarkan pada varian, Sentra ini ditawarkan dengan pilihan rim aloi dari 16 hingga 18-inci, serta warna badan dua tona dengan pilihan Aspen White, Bluestone Pearl, Atlantic Grey dan Energetic Ember yang digandingkan dengan bumbung berwarna hitam.

    Manakala untuk pilihan warna badan tunggal, Sentra ini boleh dipilih dengan warna Imperial Bronze, Gun Metallic, Atlantic Gray Metallic, Super Black, Scarlet Ember, Aspen White dan Fresh Powder.

    Nissan Sentra 2026 didedahkan di AS – rekaan baharu lebih agresif, 2.0L NA berkuasa 151 PS/198 Nm, CVT

    Walaupun ia masih dibina berasaskan platform yang sama, casis Sentra ini telah dipertingkat dengan 6% lebih tegar berbanding model terdahulu. Konfigurasi suspensi topang McPherson di hadapan dan multilink di belakang masih dikekalkan, tetapi talaan pada penyerap hentak telah dibuat semula bagi mengurangkan impak yang kasar ketika melalui bonggol jalan.

    Selain itu ia juga diberikan peredam dinamik pada roda stereng yang lebih besar bagi mengurangkan rasa getaran dari jalan, dan sela-sela bukaan pada seluruh kereta telah dikecilkan bagi mengurangkan bunyi dari luar kabin masuk ke dalam.

    Sentra pasaran Amerika Syarikat ini hanya datang dengan pilihan enjin petrol MR20DD 2.0 liter empat silinder NA yang menghasilkan kuasa 151 PS dan tork maksima 198 Nm, digandingkan dengan kotak gear automatik CVT Xtronic. Bagi varian SV, SR dan SL, Sentra diberikan mod Sport baharu yang memberikan respon pendikit serta tukaran gear yang lebih tajam.

    Model generasi baharu ini turut menerima perubahan rekaan drastik pada bahagian kabin. Ia kini menampilkan skrin berkembar gergasi tanpa perumah masing-masing bersaiz 12.3-inci yang berfungsi sebagai paparan instrumen digital dan juga sistem infotainmen. Nissan mendakwa bahawa skrin sesentuh baharu untuk infotainmen berkenaan kini dua kali lebih cerah dan mudah untuk dilihat dalam pelbagai keadaan pencahayaan.

    Tiga liang udara penghembus udara tengah telah berubah dari berbentuk bulat kepada empat segi, namun pada bahagian tengah ia kini adalah panel yang menghimpunkan suis-suis kawalan fizikal untuk skrin infotainmen serta butang lampu isyarat kecemasan. Kawalan untuk sistem penghawa dingin juga masih menggunakan suis-suis fizikal yang mudah untuk digunakan, diletakkan secara sebaris di bawah liang penghembus udara.

    Roda stereng baharu juga dipadankan pada Sentra baharu ini yang menampilkan hanya dua jejari dan disertakan dengan suis-suis fizikal untuk kawalan tetapan pada paparan instrumen. Manakala pada bahagian konsol tengah, selain tombol gear konvensional, ia turut menempatkan suis untuk tukaran mod pemanduan, suis brek parkir elektrik, pemegang cawan dan lain-lain.

    Antara kelengkapan lain yang diberikan pada Sentra 2026 pasaran Amerika Syarikat ini termasuk 10-beg udara (untuk semua varian), sistem bunyi Bose dengan lapan-pembesar suara, lampu suasana kabin dengan 64-warna, bumbung suria, roda stereng dan tempat duduk hadapan dengan sistem pemanas, pengecas telefon pintar tanpa wayar, serta upholsteri kulit sintetik sentuhan lembut TailorFit.

    Ia juga datang dengan sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) standard dengan fungsi seperti brek kecemasan automatik, amaran pelanggaran hadapan, pengelak keluar lorong, bantuan lampu tinggi, pengenal tanda trafik dan cruise control adaptif.

    Sentra ini juga menerima perincian baharu iaitu intervensi titik buta yang akan membantu mengelakkan kemalangan ketika pemandu menukar lorong tanpa mengetahui ada kenderaan lain berada di titik buta.

     
     
  • Subsidi bersasar RON95 – lebih 99% pemandu guna tidak sampai 300 liter petrol dalam masa sebulan

    Subsidi bersasar RON95 – lebih 99% pemandu guna tidak sampai 300 liter petrol dalam masa sebulan

    Bermula 30 September ini, harga petrol RON 95 bersubsidi akan ditetapkan pada RM1.99 seliter dengan had penggunaan sebanyak 300 liter sebulan bagi setiap kenderaan persendirian. Menurut Kementerian Kewangan, lebih 99% pemilik kenderaan persendirian di Malaysia menggunakan kurang daripada 300 liter petrol dalam sebulan, sekaligus menunjukkan majoriti rakyat tidak akan terkesan dengan had baru ini.

    Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, penetapan had 300 liter ini dibuat berdasarkan data daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM). Menurut beliau, jika kerajaan meletakkan had hanya pada 140 liter sebulan, sebanyak 90% rakyat akan layak menikmati subsidi. Namun, kerajaan memilih untuk menetapkan had lebih tinggi supaya manfaat dapat dinikmati oleh hampir keseluruhan rakyat.

    Data yang dikongsikan oleh kementerian menunjukkan bahawa 90% pengguna kenderaan di Malaysia menggunakan sehingga 140 liter petrol sebulan, manakala mereka dalam kelompok peratusan ke-95 menggunakan sehingga 180 liter. Bagi kumpulan dalam peratusan ke-99 pula, penggunaan bulanan direkodkan sehingga 300 liter – jumlah yang akhirnya dipilih sebagai kuota subsidi.

    Subsidi bersasar RON95 – lebih 99% pemandu guna tidak sampai 300 liter petrol dalam masa sebulan

    Sebagai gambaran, kuota 300 liter ini membolehkan pemanduan sejauh 203 km sehari bagi Proton Saga (yang menggunakan sekitar 6.7 liter bagi setiap 100 km), 340 km sehari bagi Perodua Axia (4.0 liter per 100 km) dan sejauh 670 km sehari untuk sebuah motosikal Yamaha 135LC.

    Datuk Seri Amir Hamzah turut menjelaskan bahawa 300 liter petrol sebulan adalah mencukupi bagi kebanyakan penggunaan harian. Menurutnya, kuota tersebut mampu menampung perjalanan sekitar 170 km sehari. Contoh situasi yang diberi, seseorang yang tinggal di Seremban dan bekerja di Kuala Lumpur atau Putrajaya masih berada dalam anggaran penggunaan harian tersebut.

    Walaubagaimanapun, pengguna yang bekerja dalam sektor seperti e-hailing tidak tertakluk kepada had 300 liter ini dan masih boleh mendapatkan petrol RON 95 pada harga RM1.99 seliter. Bagaimanapun, kerajaan akan melaksanakan langkah pengesahan bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar layak melebihi had ini akan mendapat pengecualian, sebagai usaha membendung penyalahgunaan subsidi.

     
     
  • Sindiket seludup kereta dari Singapura ditumpaskan

    Sindiket seludup kereta dari Singapura ditumpaskan

    Sindiket penyeludupan kereta dari Singapura yang dikesan menawarkan jualan kenderaan pada harga potongan sehingga 40% lebih rendah daripada nilai pasaran berjaya ditumpaskan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan, laporan Sinar Harian dan Kosmo.

    “Pada bulan Mei sahaja, JKDM Kelantan berjaya merampas sembilan kereta seludup di Johor Bahru yang dianggarkan bernilai RM1.46 juta. Antara kereta yang dirampas termasuk BMW 325, Porsche Panamera, Audi A5, Jaguar, Mercedes-Benz dan Suzuki Swift, yang dijual antara RM25,000 hingga RM800,000 bergantung pada model tertentu,” kata Pengarah JKDM Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long yang menambah jumlah keseluruhan nilai rampasan dan cukai yang dielakkan dianggarkan sebanyak RM2.75 juta.

    Menurut beliau lagi, siasatan awal mendapati sindiket tersebut mempunyai ahli warga Malaysia dan Singapura, menyasarkan individu yang mahukan kereta mewah pada harga murah. Malah kereta-kereta yang diseludup itu ditempatkan di beberapa lokasi sekitar Johor Bahru sebelum diedarkan ke seluruh negara.

    Kenderaan yang dirampas itu diklasifikasikan sebagai barangan import larangan di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023 dan kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, kata Pengarah JKDM Kelantan. Beliau turut berkata jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh didenda antara 10 kali ganda nilai barangan atau RM50,000 (yang mana lebih tinggi) hingga 20 kali ganda nilai barangan atau RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun bagi kesalahan pertama.

     
     
  • Xpeng G6 facelift 2025 dibuka tempahan di Malaysia – 2 varian AWD, 1 versi RWD; dilancarkan pada 1 Okt

    Xpeng G6 facelift 2025 dibuka tempahan di Malaysia – 2 varian AWD, 1 versi RWD; dilancarkan pada 1 Okt

    Selepas dipertontonkan di peringkat global pada Mac lalu, dan sebulan kemudian, ia dipamerkan di Auto Shanghai 2025. Kemudian, ia dikesan sedang diuji di Glenmarie dan Ampang. Kini, Xpeng G6 facelift 2025 mula dibuka tempahan untuk pasaran Malaysia menjelang pelancarannya pada 1 Oktober ini.

    Ia bakal menawarkan varian RWD Long Range Pro, AWD Performance dan AWD Black Edition. Nampak gayanya, tiada lagi varian Standard Range yang akan ditawarkan dan buat pertama kalinya, pasaran kita menerima versi AWD dua-motor.

    Namun harga dan spesifikasi penuhnya masih belum didedahkan. Namun RWD Long Range Pro akan ditawarkan dengan pilihan warna Stellar Purple, Midnight Black, Graphite Gray, Silver Frost dan Arctic White.Manakala varian AWD Performance juga akan menerima kesemua pilihan warna itu kecuali Midnight Black.

    Jika di pasaran Thailand, RWD Long Range dan AWD Performance ditawarkan pada harga masing-masing 1.349 juta baht (RM177k) dan 1.489 juta baht (RM196k). Di Indonesia pula, ia hanya ditawarkan dengan satu varian sahaja yang berharga 619 juta rupiah (RM156k). Thailand menerima bateri LFP berkapasiti 80.8-kWh (menawarkan jarak gerak hingga 525 km WLTP), satu motor elektrik 296 PS/440 Nm untuk RWD dan larasan dua-motor 487 PS/660 Nm untuk AWD.

    Dijangkakan ciri kelengkapannya menampilkan palang lampu hadapan lebar sepenuhnya, rim aloi 20-inci, ducktail spoiler, tempat duduk hadapan dengan larasan 10-arah (berbanding 6-arah pada model sebelumnya), fungsi urut untuk tempat duduk hadpaan dan skrin yang sedikit lebih besar. Agak-agaknya, adakah ia akan dipasang secara tempatan (CKD) atau diimport sepenuhnya (CBU)?

    GALERI: Xpeng G6 facelift di GIIAS 2025

     
     
  • Budi95: Rakyat Malaysia boleh buat semakan kelayakan mulai 25 Sept menerusi portal Budi Madani

    Budi95: Rakyat Malaysia boleh buat semakan kelayakan mulai 25 Sept menerusi portal Budi Madani

    Mulai jam 9 pagi esok, 25 September 2025, rakyat Malaysia boleh menyemak kelayakan program Budi Madani RON95 (Budi95) menerusi portal rasmi www.budimadani.gov.my, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

    Menurut beliau, selain semakan dilakukan secara dalam talian menerusi portal rasmi berkenaan, rakyat Malaysia juga boleh melakukan perkara yang sama melalui Pusat Khidmat Pelanggan Budi Madani, aplikasi Setel dan CaltexGO selepas proses verifikasi identiti selesai, laporan Bernama.

    “Pengguna hanya perlu memasukkan nombor kad pengenalan untuk mengetahui kelayakan subsidi yang diperoleh. Portal ini kekal digunakan dan mulai 30 Sept, setiap penggunaan subsidi akan dipaparkan secara harian termasuk baki kelayakan. Had ditetapkan ialah 300 liter sebulan,” katanya selepas sesi taklimat media mengenai penyasaran subsidi RON95 semalam.

    Menurut beliau, pengguna tidak perlu membuat pendaftaran baharu kerana semakan kelayakan dilakukan secara automatik berdasarkan nombor kad pengenalan.

    Budi95: Rakyat Malaysia boleh buat semakan kelayakan mulai 25 Sept menerusi portal Budi Madani

    Selain itu, pemandu e-hailing juga boleh memohon tambahan kepada siling kelayakan mereka melalui kemudahan portal tersebut.

    “Orang ramai juga boleh menghubungi talian bantuan untuk mengetahui lebih lanjut mengenai BUDI Madani di nombor 1300-88-9595, juga mulai 9 pagi hari Khamis,” katanya.

    Amir Hamzah berkata di stesen minyak pula, pengguna hanya perlu memasukkan MyKad pada terminal pembaca di pam atau kaunter untuk pengesahan kelayakan sebelum membuat bayaran.

    “Pembayaran boleh dibuat menggunakan tunai, kad kredit/debit atau e-dompet. Selepas selesai mengisi petrol, resit akan memaparkan nilai transaksi pada harga pam, jumlah subsidi ditanggung kerajaan dan amaun sebenar yang dibayar pengguna pada harga RM1.99 seliter,” katanya.

    Budi95: Rakyat Malaysia boleh buat semakan kelayakan mulai 25 Sept menerusi portal Budi Madani

    Berkenaan dengan siling kelayakan bulanan, beliau berkata ia telah ditetapkan berdasarkan dapatan kajian Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang mana 99% pemandu kenderaan persendirian di Malaysia menggunakan kurang daripada 300 liter sebulan. Di mana siling kelayakan bulanan yang tinggi itu juga menjadi penampan terhadap eksploitasi oleh pihak tidak bertanggungjawab sama ada penyeludup sempadan mahupun syarikat komersial berskala besar.

    Mengenai penggunaan MyKad bagi program Budi95 pula, beliau menjawab, proses menggunakan kad pengenalan ini adalah tidak kompleks berbanding data Sistem Pangkalan Data Utama (PADU), selain mengambil kira tekanan kos sara hidup rakyat.

    Jelas beliau lagi, kerajaan menggunakan PADU untuk melaksanakan analisis bagi pelbagai tujuan, dengan permintaan daripada pelbagai agensi dan kementerian, termasuk Kementerian Kewangan.

    “Bagaimanapun, untuk Budi95, kita tidak perlu menggunakan 100% data PADU kerana kita tidak ada kriteria lain, hanya kriteria sama ada anda warga negara, ada lesen memandu atau tidak, lesen memandu sah atau tidak. Jadi, kriterianya sangat terhad. Kita tidak perlu menggunakan sesuatu yang kompleks,” katanya.

     
     
  • Hab Auto City bernilai RM1 bilion akan dibina di Negeri Sembilan; wujudkan 5,000 peluang pekerjaan, zon EV

    Hab Auto City bernilai RM1 bilion akan dibina di Negeri Sembilan; wujudkan 5,000 peluang pekerjaan, zon EV

    Selain dari Tanjong Malim di Perak dan Hulu Selangor di Selangor, Malaysia bakal mempunyai satu lagi hab automotif moden yang terletak di bahagian selatan Semenanjung iaitu di Negeri Sembilan menerusi projek pembangunan Auto City di Bandar Pintar Nilai. Menurut laporan Bernama, projek tersebut dibangunkan dengan nilai pembangunan kasar (GDV)
    sebanyak RM1 bilion.

    Menurut Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun, projek tersebut dibangunkan di kawasan seluas 728.43 hektar (1,800 ekar) dengan pelaksanaan fasa pertama bulan ini dan dijangka menjana lebih 5,000 peluang pekerjaan merangkumi bidang teknikal, perkhidmatan, logistik, pemasaran dan pengurusan.

    Projek ini akan dibangunkan bersama oleh syarikat dari Malaysia iaitu Nilai Group dan juga syarikat China, Shandong International sebagai sebahagian dari kerjasama lebih besar dalam pembangunan Nilai Smart City, di mana ia bakal melibatkan pelaburan sebanyak 7 bilion untuk tempoh masa 10 tahun akan datang.

    “Auto City akan menjadi hab automotif moden yang menawarkan kemudahan seperti bilik pameran kenderaan, kedai alat ganti, pusat servis, pusat rawatan estetik automotif serta ruang gaya hidup berteraskan teknologi.

    “Kehadiran Auto City ini bukan sahaja menarik penyertaan jenama automotif antarabangsa, malah membuka ruang kepada syarikat tempatan untuk menyertai rantaian bekalan dan ekosistem industri automotif serantau,” kata Aminuddin. Zon pembuatan kenderaan elektrik (EV) turut dirancang akan dibangunkan menerusi projek ini.

    Menurutnya lagi Auto City akan menyerlahkan daya tarikan Nilai sebagai hab automotif, pusat teknologi dan destinasi pelaburan, sekali gus memberi impak positif kepada ekonomi negeri. Beliau turut menyifatkan kewujudan ekosistem serantau dinamik di kawasan Nilai dapat memacu bandar itu sebagai hab pertumbuhan baharu dan membuka lebih banyak peluang pelaburan terutamanya apabila Lebuhraya baharu NLE (Nilai-Labu – Enstek) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dijangka siap pada Julai 2026.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.67 (0.00)
EURO 5 B7 RM4.87 (0.00)
Last Updated Jun 11, 2026