Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Honda ADV 160 terima skrin TFT lima inci, fungsi sambungan RoadSync di Indonesia – dari RM9.4k

    Honda ADV 160 terima skrin TFT lima inci, fungsi sambungan RoadSync di Indonesia – dari RM9.4k

    Di pasaran negara jiran, Indonesia, Honda memperkenalkan ADV 160 baru, yang ditawarkan dalam tiga versi iaitu CBS, ABS dan RoadSync. Harganya bermula 37.3 juta rupiah (RM9,400) untuk CBS dan pergi sehingga 41.95 juta rupiah (RM10,600) untuk RoadSync.

    Peningkatan utama bagi skuter bergaya adventure ini adalah di bahagian teknologi, di mana semua varian kini diberikan dengan skrin TFT lima inci serta soket pengecas USB-C baru. Untuk mengawal fungsi pada skrin ini, sudah tentu, terdapat tambahan butang baru di bahagian kiri pemegang.

    Varian paling tinggi pula kemudiannya dinaik taraf lagi dengan sistem sambungan kepada aplikasi RoadSync, yang membolehkan pengguna menikmati fungsi tambahan seperti kawalan panggilan dan muzik, serta paparan mesej dan navigasi.

    Sementara reka bentuk asasnya termasuk lampu hadapan dan belakang masih lagi sama, anda akan dapat melihat perubahan pada bahagian panel tepi (hadapan) yang kini nampak lebih tegap dan mempunyai tambahan lubang udara.

    Ciri-ciri mekanikal tidak berubah, dan ADV 160 baru ini masih lagi menggunakan enjin satu silinder suntikan bahan api 156.9 cc eSP+, dipadankan bersama transmisi CVT untuk menghasilkan kuasa 16 PS pada 8,500 rpm dan 14.7 Nm tork pada 6,500 rpm.

    Kelengkapan lain yang disediakan adalah termasuk brek cakera hadapan dan belakang, rim 14 inci di hadapan dan 13 inci di belakang, ABS (untuk dua varian tertinggi), dua penyerap hentak Showa degan tabung, tangki bahan api 8.1 liter, penghadang angin boleh laras serta ruang barangan 30 liter di bawah tempat duduk.

     
     
  • Subsidi bersasar RON95 – aplikasi stesen minyak juga boleh diguna, bukan setakat MyKad fizikal sahaja

    Subsidi bersasar RON95 – aplikasi stesen minyak juga boleh diguna, bukan setakat MyKad fizikal sahaja

    Sistem subsidi bersasar untuk petrol RON95 tidak akan bergantung sepenuhnya kepada penggunaan terminal pembaca MyKad, seperti yang ditunjukkan dalam sebuah video tular baru-baru ini.

    Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali dalam laporan Bernama menyatakan bahawa kaedah lain seperti aplikasi pembayaran milik syarikat minyak juga akan digunakan bagi memudahkan orang ramai mendapatkan subsidi tanpa kesulitan.

    Beliau memberi contoh aplikasi Setel (Petronas) dan aplikasi Shell sebagai alternatif yang akan menyokong proses semakan kelayakan dan pembayaran untuk subsidi petrol RON95, yang dijangka ditawarkan pada harga sekitar RM1.99 seliter.

    Dalam video yang tular minggu lalu, seorang petugas stesen minyak dilihat menggunakan terminal khas untuk menyemak kelayakan pelanggan. MyKad dimasukkan ke dalam mesin dan selepas beberapa saat (dijangka untuk menghubungi sistem PADU), paparan akan menunjukkan sama ada individu tersebut layak menerima subsidi.

    Subsidi bersasar RON95 – aplikasi stesen minyak juga boleh diguna, bukan setakat MyKad fizikal sahaja

    Sekiranya layak, paparan akan berwarna biru, manakala paparan merah menunjukkan sama ada kuota telah habis atau individu tidak layak. Selepas pengesahan, pelanggan boleh memilih jumlah RON95 yang ingin dibeli sebelum membuat pembayaran.

    Kementerian Kewangan dalam kenyataan terdahulu pada Ogos 2025 telah pun memaklumkan bahawa selain MyKad, kaedah lain seperti e-dompet dan aplikasi syarikat minyak sedang dipertimbangkan.

    Penggunaan aplikasi ini bukanlah sesuatu yang baru, malah ia lebih mudah kerana proses e-pengesahan identiti (e-KYC) — termasuk muat naik gambar MyKad dan swafoto — telah lama digunakan dalam aplikasi seperti Setel dan Shell. Ini membolehkan maklumat pengguna dihubungkan terus dengan nombor MyKad untuk semakan kelayakan subsidi melalui pangkalan data kerajaan.

    Bagi pengguna yang ingin bersedia lebih awal dan mengelakkan penggunaan terminal fizikal, anda digalakkan untuk memuat turun aplikasi syarikat minyak yang berkaitan dan mendaftar akaun dengan segera.

     
     
  • Subaru Forester 2026 dibuka tempahan di Malaysia – rekaan lebih menyerlah; 2.5L boxer, EyeSight 4.0

    Subaru Forester 2026 dibuka tempahan di Malaysia – rekaan lebih menyerlah; 2.5L boxer, EyeSight 4.0

    Subaru Forester generasi ke-enam telah pun dibuka pra-tempahan untuk pasaran Malaysia menjelang pelancaran rasminya tidak lama lagi. Menurut Motor Image Malaysia, SUV ini sedang dipertontonkan di Subaru Petaling Jaya sejak semalam (21 September) sebelum dipamerkan di beberapa bilik pameran terpilih di seluruh negara bermula 27 September ini.

    Pertama kali didedahkan di peringkat global pada November 2023, Forester terbaharu ini masih mengekalkan bentuk asalnya tetapi diberikan sentuhan rekaan yang lebih segar dan berani. Ia jelas pada bahagian hadapan termasuk gril yang lebih besar dengan kemasan hitam, lampu hadapan dua tingkat dan bampar depan yang lebih ‘sarat’, sekali gus memberikan penampilannya yang lebih menonjol. Manakala bahagian sisinya pula menerima gerbang roda berbentuk segi empat dengan kemasan hitam.

    Serlahan lain yang ditonjolkan termasuklah seksyen kecil pada tiang-A dan -D yang kini berwarna hitam sekali gus memberikan gaya ala “bumbung terapung”, manakala lampu belakang berbentuk-C sebelum ini digantikan dengan unit berbentuk tiga segi. Dengan binaan Subaru Global Platform yang terkini, Forester baharu ini dipertingkatkan ketegaran kilasannya sebanyak 10%. Dimensinya juga kini berukuran 4,656 mm panjang (+31 mm), 1,829 mm lebar (+14 mm), 1,730 mm tinggi (tidak berubah) dan jarak roda 2,670 mm (juga tidak berubah).

    Di dalamnya, papan pemuka yang direka semula hampir sama dengan model-model baharu, dengan skrin sentuh infotainmen berorientasi menegak menjadi tumpuan utama. Ia turut menggabungkan kawalan suhu, sekali gus mengurangkan bilangan butang kawalan fizikal pada papan pemuka. Ciri lain seperti roda stereng dan tombol gear kekal seperti mana yang ada pada model terdahulu.

    Berdasarkan ruangan pendaftaran minat, Forester spesifikasi Malaysia akan dijanakan oleh enjin boxer petrol 2.5 liter naturally-aspirated empat-silinder, dengan hamburan 185 PS (182 hp atau 136 kW) dan tork 247 Nm seperti mana yang ditawarkan di pasaran Indonesia. Kuasa disalurkan menerusi kotak gear CVT Lineartronic dan sistem pacuan semua roda (AWD). Pecutan dari 0 hingga 100 km/j dicapai dalam masa 9.7 saat, manakala kelajuan maksimum mencecah 205 km/j.

    Ciri kelengkapan lain termasuklah Dual X-Mode, lapan beg udara, EyeSight 4.0 (merangkumi kamera stereo, kamera monokular sudut lebar dan penderia radar), kamera pandangan pelbagai sudut 360-darjah, alas pengecas tanpa wayar, pintu but belakang berkuasa dengan fungsi bebas tangan dan tempat duduk pemandu larasan kuasa.

    GALERI: Subaru Forester di Gaikindo Indonesia International Auto Show 2025

     
     
  • GMW Wey G9 dipertontonkan – sistem Hi-4 terkini, 442PS/642 Nm; lancar Q4, dijangka bawah RM300k

    GMW Wey G9 dipertontonkan – sistem Hi-4 terkini, 442PS/642 Nm; lancar Q4, dijangka bawah RM300k

    Seperti yang kami pernah uar-uarkan sebelum ini, GMW Malaysia nekad untuk melancarkan MPV PHEV mewahnya, Wey G9, sebelum tirai 2025 berlabuh. Namun bagi menambahkan lagi debaran menjelang pelancarannya kelak, Wey G9 atau sebelum ini lebih dikenali sebagai Wey 80 dipertontonkan secara eksklusif dan tempahannya juga telah dibuka secara rasmi.

    GWM Malaysia berkata, nama G9 mempunyai makna simbolik yang tersendiri. Di mana ‘G’ melambangkan “ikatan kasih sayang yang menghubungkan generasi”. Bagi angka ‘9’ pula, mencerminkan “keutuhan dan impian perpaduan keluarga”. Manakala ‘WEY’ pula diilhamkan dari pengasas jenama ini iaitu Jack Wey dan ia digambarkan sebagai jaminan untuk kualiti premium, teknologi dan keselamatannya.

    Untuk pasaran tempatan, GMW Malaysia juga telah mengesahkan Wey G9 ini akan hadir dengan unit pemasangan tempatan (CKD), yang akan diproduksi oleh EP Manufacturing (EPMB) di fasiliti di Hicom Pegoh Industrial Park, Melaka bermula hujung tahun ini. Malah negara kita juga akan menjadi hab pengeluaran MPV PHEV versi pemanduan sebelah kanan (RHD) yang turut akan diimport ke negara jiran iaitu Thailand dan Indonesia.

    GMW Wey G9 dipertontonkan – sistem Hi-4 terkini, 442PS/642 Nm; lancar Q4, dijangka bawah RM300k

    Bagi harganya, ia masih belum didedahkan, namun GMW Malaysia berkata, ia akan ditetapkan di bawah RM300k. Nampak gayanya harga yang kompetitif ini pastinya akan memberikan cabaran buat pesaing rapatnya dari barisan MPV EV termasuk Denza D9 yang berharga dari RM259k, Zeekr 009 (RM350k-RM360k), Xpeng X9 (dari RM271k), GAC M8 (dari RM333k) serta MPV mewah enjin pembakaran dalaman (ICE) sepenuhnya, Toyota Alphard (dari RM538k) dan Vellfire (dari RM438k).

    Bagi ‘menghidupkan jantungnya’, Wey G9 disuapkan dengan enjin 1.5 turbo empat-silinder sebaris yang digabungkan bersama Hi4 plug-in hybrid system terkini dengan Dedicated Hybrid Transmission (DHT) empat-kelajuan. Ia juga dilengkapi Intelligent Electronically Controlled Four Wheel Drive (AWD) serta tiga pilihan mod kuasa iaitu EV, EV Priority dan Smart Hybrid.

    Bagi angka prestasinya, enjin ICE ini mampu menghamburkan sehingga 150 PS (148 hp atau 110 kW) antara 5,500 hingga 6,000 rpm dan tork 240 Nm pada 1,800 hingga 4,000 rpm, ditambah lagi dengan kuasa elektrik cecah 109 PS (107 hp atau 80 kW)/170 Nm untuk motor hadapan dan 184 PS (181 hp atau 135 kW)/232 Nm bagi motor belakang. Sekaligus menghasilkan keseluruhan kuasa mencecah 442 PS (436 hp atau 325 kW) dan 642 Nm. Ia membolehkan Wey G9 ini dipacu dari 0-100 km/j dalam 5.7 saat dan mencapai kelajuan maksima pada 200 km/j.

    GWM mendakwa penggunaan bahan api bagi Wey G9 adalah sekitar 1.2 liter bagi setiap 100 km. Manakala dengan bateri Ternary Lithium berkapasiti 44.2 kWh, motor elektriknya mampu memberikan jarak gerak dengan pacuan elektrik sepenuhnya sekitar 170 km mengikut kitaran NEDC, atau lebih kurang 145 km jika mengikut standard WLTP.

    Jika bateri dicas menggunakan pengecas pantas DC, status pengecasan mengambil masa sekitar 26 minit untuk capai 30-80%. Atau jika mengecas dengan unit AC berkapasiti 6.6 kWh pula, status pengecasan antara 15-100% boleh dicapai dalam 6.5 jam.

    Mengenai bateri, GWM berkata unit tersebut dilengkapi dengan perlindungan keselamatan bateri empat kali ganda dan telah melepasi tidak kurang daripada 89 ujian, termasuk 55 ujian prestasi (BMS, output kuasa, pengecasan pantas), 19 ujian kebolehpercayaan (getaran, hentakan mekanikal, remukan, hentakan bawah badan), dan 15 ujian keselamatan (terma, suhu berlebihan, arus berlebihan, terlebih cas, litar pintas), tanpa sebarang kegagalan direkodkan.

    Untuk rekaan luarannya, Wey G9 ini bagaikan jelmaan Alphard versi China yang menampilkan wajah yang garang dan elegan terutamanya dengan gril radiator besar dengan kemasan krom yang menyerlah dan lampu utama LED yang unik. Ia juga diberikan rim aloi bersaiz 18-inci yang dibaluti tayar Michelin Primacy 5 245/50 R18, pemegang pintu krom yang selari antara pintu hadapan dengan pintu gelangsar elektrik, bumbung suria panoramik, rel bumbung dan tailgate kuasa.

    Bagi pencahayaan MPV ini, GWM menterjemahkan konsep Crystal Lighting System WEY yang jelas pada bahagian belakangnya yang menggabungkan palang lampu melintang dan lampu tiga jaluran menegak yang menggunakan unit LED turut menambahkan rekaan mewah MPV PHEV ini.

    Untuk bahagian kabinnya, ia menawarkan pilihan warna sama ada hitam atau pun coklat. Antara ciri kelengkapan baharu yang diberikan termasuklah roda stereng dua-jejari, paparan instrumen digital 12.3-inci, paparan skrin sesentuh infotaimen bersaiz 15.6-inci, sistem operasi terkini GWM iaitu Coffee OS 3.

    GMW Wey G9 dipertontonkan – sistem Hi-4 terkini, 442PS/642 Nm; lancar Q4, dijangka bawah RM300k

    Ia juga diberikan sistem kawalan suhu tiga-zon yang menawarkan ketetapan berasingan untuk penumpang hadapan dan belakang, sistem penapisan udara dan pensterilan UV serta ruangan penyejukan mini berkapasiti 12.5 liter pada bahagian perehat tangan hadapan.

    Bagi tempat duduknya, ia dibaluti material kulit Nappa dan konfigurasi kedudukan 2-2-3 dengan barisan kedua Zero-gravity yang menampilkan kerusi kapten yang dilengkapi kawalan pelarasan tempat duduk fizikal yang terletak di bahagian hadapan tepi selain fungsi ventilasi dengan zon urut 10-poin.

    MPV PHEV ini memiliki dimensi berukuran 5,050 mm panjang, 1,960 mm lebar, 1,900 mm tinggi dengan jarak roda cecah 3,085 mm dan disertakan dengan 155 mm bagi jarak kelegaan tanah. Jika tempat duduk di barisan kedua dan ketiga dibaringkan sepenuhnya, ia boleh meningkatkan kapasiti penyimpanan barang dari 233 liter menjadi 1,725 liter.

    Bagi pasaran Malaysia, Wey G9 ditawarkan dengan tiga pilihan warna luaran iaitu kelabu, hitam dan putih. Buat masa ini, harga jangkaannya ditetapkan di bawah RM300k dan tempahannya juga telah dibuka, sementara menantikan pelancarannya yang dijadualkan berlangsung pada suku keempat (Q4) tahun ini. Adakah MPV PHEV pertama yang bakal dijual di Malaysia ini menarik perhatian anda terutamanya bagi yang belum bersedia memilih MPV EV? Kongsikan pendapat anda di ruangan komen di bawah.

     
     
  • RON95 berharga RM1.99/L untuk rakyat Malaysia mulai 30 Sept; Polis/ATM 27 Sept, penerima STR 28 Sept

    Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa bermula 30 September 2025, seramai 16 juta rakyat Malaysia berusia 16 tahun dan ke atas akan menikmati harga baharu petrol RON95 pada RM1.99 seliter dengan hanya menggunakan MyKad di kaunter dan pam, atau menerusi aplikasi stesen minyak.

    Walau bagaimana pun, katanya, manfaat ini akan dinikmati lebih awal oleh 300,000 anggota polis dan tentera mulai 27 September, serta penerima STR mulai 28 September.

    “Malaysia mengambil langkah berani menurunkan harga RON95 kepada RM1.99 seliter, tatkala dunia berdepan suasana ekonomi global yang tidak menentu. Langkah ini adalah penghargaan tertinggi buat seluruh rakyat Malaysia yang terus gigih bekerja, berusaha dan berkongsi tekad bersama Kerajaan Madani dalam melonjakkan pertumbuhan ekonomi negara. Kejayaan kita hari ini adalah hasil kekuatan rakyat yang tidak pernah mengalah.

    “Semua warganegara Malaysia yang memiliki lesen memandu sah layak menikmati subsidi RON95 ini. Semua rakyat yang berkelayakan bakal menerima kuota sebanyak 300 liter petrol RON95 sebulan. Manakala pemandu e-hailing diberi pengecualian daripada siling kelayakan tersebut dan boleh memohon kelayakan tambahan bagi memastikan kelangsungan pekerjaan mereka,” katanya yang mengumumkan berita itu pada majlis perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya, pagi ini.

    RON95 berharga RM1.99/L untuk rakyat Malaysia mulai 30 Sept; Polis/ATM 27 Sept, penerima STR 28 Sept

    Manakala golongan bukan warganegara dan syarikat besar tidak layak untuk subsidi dan perlu membayar harga tanpa subsidi iaitu sekitar RM2.60 seliter, tambahnya.

    Penyasaran subsidi RON95 ini adalah di bawah program Budi Madani RON95 (BUDI95) di mana kerajaan menepati janji mengurangkan harga RON95 untuk rakyat Malaysia, daripada RM2.05 seliter kepada RM1.99 seliter.

    Menerusi pengumuman ini juga, Anwar menyatakan bahawa warganegara berpeluang menikmati subsidi RON95 tanpa mengambil kira pendapatan di mana kerajaan memutuskan semua rakyat Malaysia yang memiliki lesen memandu sah layak untuk menerima subsidi ini.

    “Seperti langkah penghargaan SARA, tahap pendapatan tidak digunakan untuk menidakkan seseorang daripada menikmati manfaat BUDI95,” katanya.

    RON95 berharga RM1.99/L untuk rakyat Malaysia mulai 30 Sept; Polis/ATM 27 Sept, penerima STR 28 Sept

    Berdasarkan data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), dianggarkan lebih 16 juta penerima manfaat BUDI95. Justeru, rakyat dinasihati semak cip MyKad supaya berfungsi dan memiliki lesen memandu yang sah.

    Manakala bagi proses untuk memanfaatkan harga subsidi dimudah cara iaitu tiada pendaftaran diperlukan untuk BUDI95, hanya perlu menggunakan MyKad untuk mendapat harga bersubsidi di mana ia hampir serupa dengan proses transaksi semasa cuma ditambah satu langkah pengesahan MyKad diikuti proses biasa untuk membayar dan disediakan pembaca MyKad di dalam kedai dan juga dipam minyak bagi mengurangkan risiko kesesakan.

    Bagi mereka yang celik digital, terdapat opsyen digital seperti Touch’N Go dan aplikasi syarikat minyak seperti Setel, supaya tidak memerlukan MyKad pada setiap transaksi.

    Perincian lanjut berhubung mekanisme penyasaran subsidi RON95 akan diumumkan oleh Kementerian Kewangan.

     
     
  • 2.3 juta pemegang lesen memandu tidak aktif; semak, baharui segera jika ingin terus memandu – JPJ

    2.3 juta pemegang lesen memandu tidak aktif;  semak, baharui segera jika ingin terus memandu – JPJ

    Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) mendapati sejumlah 2.3 juta pemegang Lesen Memandu Kompetan (CDL) berada dalam status tidak aktif iaitu telah tamat tempoh atau tidak diperbaharui melebihi tiga tahun.

    Menurut Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, pihaknya ingin menegaskan bahawa semua individu yang memandu suatu kenderaan motor di atas jalan hendaklah mempunyai Lesen Memandu yang sah dan berkuatkuasa selaras dengan ketetapan Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333].

    “Adalah menjadi kesalahan bagi pemegang lesen tersebut sekiranya mereka memandu dengan menggunakan lesen yang tidak aktif serta akan menimbulkan pelbagai risiko berbangkit kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.

    “Sekiranya pemegang lesen terbabit masih berhasrat untuk memandu suatu kenderaan motor di atas jalan, individu terbabit adalah diwajibkan untuk menduduki semula Ujian Kurikulum Pendidikan Pemandu Bahagian 2 dan 3 (KPP02 dan KPP03) di mana-mana Institut Memandu (IM) yang berdekatan untuk mendapatkan atau mengaktifkan semula lesen memandu tersebut selaras dengan ketetapan Akta 333,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Justeru, pihaknya menyeru kepada semua pemegang lesen CDL yang tamat tempoh tidak melebihi tiga tahun untuk segera mengambil tindakan membuat pembaharuan lesen melalui aplikasi MyJPJ, portal mySikap, kiosk atau mana-mana kaunter JPJ di seluruh negara bagi mengelak kewajipan menduduki semula Ujian Kurikulum Pendidikan Pemandu (KPP02 dan KPP03).

     
     
  • Honda Beat Malaysia dapat dua warna baru – RM6,090

    Honda Beat Malaysia dapat dua warna baru – RM6,090

    Skuter kelas permulaan Honda iaitu Beat sekali lagi disegarkan semula dengan penambahan dua warna baru, hitam dan putih. Ia dijual pada harga RM6,090 tidak termasuk insurans, sementara dua warna sebelum ini, iaitu Matte Silver dan Green juga masih dijual pada harga sama.

    Bahagian lain skuter ini tidak berubah, bermula dengan enjin yang berkapasiti 109.5 cc, dengan sistem suntikan bahan api PGM-FI dan menghasilkan kuasa 8.7 hp pada 7,500 rpm dan 9.53 Nm tork pada 5,500 rpm. Enjin ini menepati tahap emisi Euro 4 dan mampu memberikan penggunaan bahan api sehingga 59.1 km/l.

    Di sebalik panel badan skuter ini, terdapat kerangka eSAF yang membantu menjadikan motosikal lebih lincah dan mudah dikawal. Melalui penggunaan kerangka ini, tangki bahan api dapat dijadikan 4.2 liter, ruang barang bawah tempat duduk menyediakan 11.7 liter dan berat keseluruhan adalah 88 kg.

    Kelengkapan lain padanya adalah termasuk sistem brek CBS, rim 14 inci dengan tayar 80/90 di hadapan dan 90/90 di belakang, brek cakera di hadapan dan dram di belakang, fork teleskopik, satu penyerap hentak di belakang, tinggi tempat duduk 740 mm serta penghidup enjin elektrik dan tendang.

     
     
  • Proton X50 2025 — galeri penuh dan terperinci varian Flagship; jana kuasa 181 PS/290 Nm, RM109,300

    Proton X50 2025 — galeri penuh dan terperinci varian Flagship; jana kuasa 181 PS/290 Nm, RM109,300

    Proton X50 2025 yang baru saja dilancarkan di Malaysia pada 24 Julai lalu dengan cepat telah mencatatkan penerimaan yang boleh dibanggakan. Dalam tempoh tujuh hari selepas dilancarkan, sebanyak 999 unit SUV kompak berkenaan telah diserahkan kepada pelanggan. Dan, sepanjang bulan Ogos 2025 pula, sejumlah 4,287 unit telah terjual.

    Selepas ada kesempatan memandu SUV tersebut dalam perjalanan pergi-balik ke Ipoh minggu lalu, boleh difahami kenapa ramai pengguna menggemari model ini. Ada banyak hal yang diberi kemaskini dan peningkatan, yang secara langsung telah memberi kesan terhadap aspek pemanduan dan keselesaannya.

    Dengan enjin baru i-GT 1.5 liter turbo empat-silinder yang menggantikan unit tiga-silinder yang lama, enjin baru ini ternyata memberikan kelancaran dan maklum balas yang sangat baik. Lebih penting, dari dalam kabin, enjin berkenaan tidak memberikan rasa getaran yang ketara, begitu juga dengan menyumbang kepada suasana kabin yang lebih senyap. Secara ringkas, dari aspek ini, Proton X50 2025 lebih diperhalusi pengalaman pemanduannya.

    Proton X50 2025 — galeri penuh dan terperinci varian Flagship; jana kuasa 181 PS/290 Nm, RM109,300

    Dengan output kuasa yang semakin bertambah pula 181 PS dan 290 Nm (naik 4 PS dan 35 Nm berbanding enjin versi TGDi paling berkuasa untuk X50 sebelum ini), maklum balas pemanduannya juga lebih baik dan dirasakan lebih bertenaga, walaupun masih menggunakan transmisi DCT 7-kelajuan yang sama.

    Penggunaan minyak juga menjadi lebih baik: atas kertas, tetapan janaan kuasa yang baru ini memberikan 4.7% lebih jimat untuk kadar penggunaan petrol.

    Selain itu, ada beberapa perkara yang membezakan varian Flagship yang paling tinggi berbanding varian Premium pertengahan. Dari luaran, ia dibezakan dengan bumbung hitam dan juga spoiler belakang yang tajam dan besar.

    Di dalam, Flagship dilengkapi pula dengan cermin pandang belakang anti-silau, kemasan hitam-merah untuk kabin, pelapik bumbung hitam, penghadang matahari separa telus di depan, bumbung kaca panoramik dengan penghadang matahari larasan elektrik, pengecas tanpa wayar Qi (sebelah pemandu) serta ciri Park Assist.

    Sementara menanti video ulasan Proton X50 2025, kami bawakan dulu galeri penuh dengan perincian varian Flagship untuk anda teliti dan dekati.

     
     
  • JPJ WPKL keluarkan 1,672 saman dalam Op Khas Gempur Kenderaan Perdagangan antara 1-17 Sept

    JPJ WPKL keluarkan 1,672 saman dalam Op Khas Gempur Kenderaan Perdagangan antara 1-17 Sept

    Sejak 1 September lalu, JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPJ WPKL) telah memeriksa sebanyak 8,225 kenderaan berat dan mengeluarkan sejumlah 1,672 notis saman menerusi Operasi Khas Gempur Kenderaan Perdagangan. Operasi berkenaan dijalankan bagi memperkukuh pematuhan undang-undang jalan raya, khususnya dalam sektor pengangkutan barangan dan perkhidmatan awam.

    Menerusi operasi yang sama juga, dalam tempoh 17 hari pertama bulan ini, jumlah kenderaan yang dikenakan tindakan adalah sebanyak 575 buah dan lapan buah kenderaan telah disita iaitu sebuah lori tipper, dua buah lori roll-on roll-off dan lima lori kargo kecil yang didapati melakukan pelanggaran peraturan yang serius dan berulang kali.

    Tambah JPJ WPKL lagi, operasi ini memberi fokus kepada empat kesalahan utama iaitu memandu berterusan di lorong kanan, memotong di garisan berkembar, lesen dan insurans tamat tempoh, ketidakpatuhan terhadap spesifikasi pembinaan dan penggunaan kenderaan (C&U).

    “JPJ WPKL turut melaksanakan pendekatan advokasi di lokasi operasi, serta menegaskan bahawa tiada kompromi terhadap pelanggaran undang-undang. Usaha ini bertujuan menjamin keselamatan pengguna jalan raya dan memperkukuh integriti sistem pengangkutan negara. Orang awam digalakkan menyalurkan aduan melalui aplikasi MyJPJ: e-Aduan atau E-mel: [email protected],” kata JPJ WPKL menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Akan dilaksanakan sehingga 31 Disember 2025, menurut JPJ, pelaksanaan operasi ini adalah susulan peningkatan kemalangan melibatkan kenderaan perdagangan, berpunca daripada kegagalan mematuhi spesifikasi teknikal, penyelenggaraan lemah dan sikap pemandu yang cuai.

     
     
  • Jualan kenderaan di Malaysia Ogos 2025 naik 4.2%

    Jualan kenderaan di Malaysia Ogos 2025 naik 4.2%

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah mengeluarkan data jualan kenderaan bagi bulan Ogos 2025, yang menunjukkan sejumlah 73,041 unit kenderaan diserahkan kepada pelanggan di seluruh negara. Angka ini mencatatkan peningkatan sebanyak 4.2% atau tambahan 2,940 unit berbanding jumlah jualan bulan Julai iaitu 70,101 unit (yang telah dikemas kini daripada laporan asal 70,057 unit).

    Menurut MAA, peningkatan ini didorong oleh beberapa faktor utama, antaranya ialah bekalan stok yang lebih tinggi hasil daripada jumlah pengeluaran bulan Julai yang mencecah 71,439 unit. Selain itu, pelancaran model baru serta promosi besar-besaran sempena bulan sambutan Hari Kebangsaan turut membantu merangsang jualan kenderaan.

    Jika dibandingkan dengan tempoh yang sama pada tahun 2024, jumlah jualan Ogos tahun ini juga mencatatkan peningkatan kecil sebanyak 0.64%, bersamaan dengan tambahan 461 unit berbanding 72,580 unit yang dijual pada Ogos tahun lalu bagi kategori kenderaan penumpang dan komersial.

    Namun begitu, jumlah jualan keseluruhan dari Januari hingga Ogos 2025 masih menunjukkan penurunan berbanding tahun sebelumnya. Setakat ini, sebanyak 516,862 unit telah dijual bagi tahun 2025, iaitu 3.85% lebih rendah berbanding tempoh yang sama pada tahun 2024 yang mencatatkan 537,532 unit.

    Melihat ke hadapan, MAA menjangkakan momentum jualan untuk bulan September 2025 mungkin akan perlahan. Ini disebabkan oleh bilangan hari bekerja yang lebih pendek akibat empat cuti umum sepanjang bulan, selain sikap tunggu dan lihat dalam kalangan pengguna menjelang pembentangan Bajet negara serta pengumuman lanjut mengenai pelaksanaan rasionalisasi subsidi petrol RON 95.

     
     
  • GAC Emkoo terima penarafan 5-bintang ASEAN NCAP

    GAC Emkoo terima penarafan 5-bintang ASEAN NCAP

    GAC Emkoo telah menerima penarafan lima-bintang dari Program Penilaian Kereta Baharu untuk Asia Tenggara (ASEAN NCAP) selepas mencatatkan markah 84.96 dalam ujian pelanggaran keselamatan yang dibuat berdasarkan protokol 2021-2025 badan bebas tersebut.

    SUV segmen-C ini masih belum berada dalam pasaran Malaysia, namun tempahannya sudah dibuka dan bakal dilancarkan di sini tidak lama lagi. Sama seperti GAC GS3 Emzoom yang dilancarkan tahun lalu, Emkoo turut akan ditawarkan terus dalam versi pemasangan tempatan (CKD).

    Berdasarkan laporan ASEAN NCAP, Emkoo berjaya memperoleh markah 30.30 mata daripada 32 markah penuh (skor wajaran 37.88 mata) dalam penilaian perlindungan penumpang dewasa (AOP), diikuti markah 44.17 daripada 51 mata (skor wajaran 16.01 mata) dalam perlindungan penumpang kanak-kanak (COP). Emkoo didatangkan standard dengan enam beg udara, ESC serta ABS.

    Sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) seperti brek kecemasan automatik (AEB), amaran perlanggaran hadapan, bantuan kekal lorong, amaran keluar lorong, pengesanan titik buta dan sistem peringatan tali pinggang keledar untuk kedua-dua penumpang hadapan dan belakang turut dinilai oleh ASEAN NCAP.

    Hasil dari penilaian tersebut GAC Emkoo menerima markah 19.50 daripada 21 mata penuh (skor wajaran 18.57 mata) untuk penilaian bantuan keselamatan (SA), manakala penilaian keselamatan motosikal (MS) yang menguji fungsi pengesanan titik buta menyaksikan mode ini menerima 10 markah daripada 16 mata penuh (skor wajaran 12.50 mata), termasuk dua mata bonus untuk teknologi keselamatan motosikal termaju (MST).

    GAC Emkoo telah dipamerkan kepada orang ramai pada acara paultan.org Premium Auto Car Expo (PACE) Julai lalu. Harga anggarannya telahpun diumum akan bermula dari RM120,000 dan ia akan ditawarkan dalam dua varian. Kedua-dua varian berkenaan dijana oleh enjin 1.5 liter Turbo dengan sistem suntikan bahan api terus (TGDI) berkuasa 177 PS dan tork maksima 270 Nm, digandingkan bersama kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan.

    GALERI: GAC Emkoo dipamerkan di PACE 2025

     
     
  • Mitsubishi Eclipse Cross EV 2026 didedah – rebadge daripada Renault Scenic, jarak gerak WLTP 600 km

    Mitsubishi Eclipse Cross EV 2026 didedah – rebadge daripada Renault Scenic, jarak gerak WLTP 600 km

    Meskipun Mitsubishi kini lebih memberi tumpuan kepada pasaran Asia Tenggara dengan model seperti Xforce dan Destinator, pengeluar Jepun ini jelas tidak melupakan pasaran Eropah. Ini dibuktikan dengan pelancaran Eclipse Cross generasi kedua – kali ini dalam versi kenderaan elektrik (EV) sepenuhnya.

    Berbeza dengan model sebelumnya yang direka sendiri oleh Mitsubishi, model baru ini pula sebenarnya adalah hasil kerjasama dengan Renault. Ia merupakan versi rebadge kepada Renault Scenic E-Tech, sejajar dengan pendekatan Mitsubishi sebelum ini menerusi model-model seperti ASX (berdasarkan Renault Captur), Colt (daripada Clio) dan Grandis (berpaksikan Symbioz).

    Eclipse Cross ini adalah EV pertama Mitsubishi yang diasaskan dari model Renault, dan juga merupakan EV pertama syarikat itu di Eropah sejak model i-MiEV. Menggunakan Renault Scenic sebagai asas membolehkan Eclipse Cross kekal kompetitif dalam segmen EV. Model ini ditawarkan dengan bateri 87 kWh bagi versi jarak jauh, membolehkan ia mencatat jarak sehingga 600 km mengikut ujian WLTP.

    Mitsubishi Eclipse Cross EV 2026 didedah – rebadge daripada Renault Scenic, jarak gerak WLTP 600 km

    Mitsubishi turut merancang untuk memperkenalkan varian jarak pertengahan pada tahun hadapan. Motor elektrik tunggal yang memacu roda hadapan menghasilkan 218 PS (160 kW) dan tork 330 Nm, membolehkan pecutan 0-100 km/j dicapai dalam masa 8.4 saat. Ia turut menyokong pengecasan pantas DC sehingga 150 kW dan pengecasan AC 22 kW.

    Walaupun penampilan luaran Eclipse Cross ini masih mengekalkan identiti Renault, Mitsubishi mengambil inisiatif untuk memberikan sentuhan tersendiri. Gaya reka bentuk dikenali sebagai “Smart Armour” ini menampilkan rekaan wajah depan Dynamic Shield yang menjadi identiti Mitsubishi, dengan bampar berbentuk-D di kedua-dua penjuru seakan ‘mencubit’ gril yang tertutup, di samping lampu siang (DRL) berbentuk linear.

    Di bahagian sisi, trim krom tingkap diletakkan di bahagian bawah sehingga ke tiang-C, berbeza dengan Scenic yang terletak di bahagian atas. Panel sisi berbentuk-L terbalik juga direka khas untuk model ini. Bahagian belakang pula menampilkan rekaan lampu belakang dengan grafik linear sepadan dengan DRL hadapan serta jalur hitam merentangi pintu but dan rekaan bampar belakang gelap yang unik.

    Sayangnya, bahagian dalam tidak banyak berbeza dengan Scenic. Namun, Mitsubishi telah membuat beberapa pengubahsuaian kecil termasuk penggunaan roda stereng dengan penutup beg udara rekaan sendiri serta tempat duduk balutan kulit quilted menggantikan fabrik kitar semula Scenic. Paparan dalaman masih mengekalkan papan pemuka berbentuk-L dengan skrin instrumen dan infotainmen 12.3 inci – skrin tengah menegak yang hadir dengan perkhidmatan Google binaan dalam.

    Antara ciri lain yang dikekalkan dari Scenic termasuk bumbung kaca panoramik elektro-kromatik, sambungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, pengecas Qi 15 watt serta sistem bunyi Harman Kardon dengan 10 pembesar suara. Dari segi keselamatan, Eclipse Cross hadir dengan sistem pemanduan separa automatik Tahap 2 Renault yang dijenamakan semula sebagai Mi-Pilot, bersama fungsi My Safety Perso yang membolehkan pengguna menetapkan tahap bantuan pemanduan mengikut keselesaan mereka.

    Pengeluaran Eclipse Cross EV ini dijadualkan bermula pada suku keempat tahun ini di kilang Renault di Douai, Perancis, yang turut menghasilkan Renault Scenic dan Grandis/Symbioz. Selain pasaran Eropah, Mitsubishi juga telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan anak syarikat Foxconn, Foxtron, untuk membawa EV ke pasaran Australia dan New Zealand.

     
     
  • Bermaz akan pasang Mazda CX-5 generasi ke-3 di M’sia pada 2028; Mazda 3 1.5L High Plus lancar Okt ini

    Bermaz akan pasang Mazda CX-5 generasi ke-3 di M’sia pada 2028; Mazda 3 1.5L High Plus lancar Okt ini

    Menurut laporan penyelidikan pasaran oleh Maybank Investment Bank, Bermaz Auto kini sedang merancang untuk meluaskan lagi barisan model Mazda yang dijual pada pasaran Malaysia. Ini termasuk bakal memperkenalkan model generasi baharu SUV Mazda CX-5 yang telah membuat kemunculan globalnya pada Julai lalu.

    Model berkenaan bakal ditawarkan dalam versi pemasangan tempatan (CKD) dengan pengeluaran dijangka akan dibuat pada Tahun Kewangan 2027 (TK27) syarikat itu yang akan berakhir pada 30 April 2028. Buat masa sekarang Bermaz berada pada Tahun Kewangan 2026 yang akan berakhir pada 30 April 2027.

    Mazda CX-5 generasi ketiga ini dihasilkan lebih besar dari model generasi sedia ada dengan menampilkan dimensi panjang 4,690 mm, lebar 1,860 mm dan tinggi 1,695 mm. Ini bermakna model generasi baharu ini adalah 115 mm lebih panjang, 15 mm lebih lebar dan juga 15 mm lebih tinggi dari model sebelumnya.

    Bermaz akan pasang Mazda CX-5 generasi ke-3 di M’sia pada 2028; Mazda 3 1.5L High Plus lancar Okt ini

    Model generasi baharu ini masih menerima prinsip rekaan ‘kodo-design’ signatur Mazda serta tetapi menerapkan konsep “Wearable Gear” – walaupun nampak macam hampir sama seperti model sebelum ini, namun ia kini sebenarnya lebih besar untuk memberikan praktikaliti yang lebih baik, berbanding versi sebelumnya yang hanya mementingkan rupa sporty dan prestasi pemanduan semata-mata.

    Manakala pada bahagian dalaman, CX-5 nampaknya cuba merapatkan jurang dengan saingan-saingannya dari China di mana ia diberikan skrin sesentuh gergasi dengan pilihan saiz 12.9-inci dan 15.6-inci yang diletakkan di tengah papan pemuka, manakala suis-suis fizikal sudah dikurangkan.

    Bagi unit rangkaian kuasa, nampaknya masih belum ada teknologi baharu ditampilkan oleh Mazda untuk CX-5 generasi terkini ini. Buat masa sekarang model pasaran Eropah disahkan hanya ditawarkan dengan hanya satu pilihan penggerak iaitu e-SkyActiv-G yang menggandingkan enjin 2.5 liter empat silinder sebaris dan juga sistem hibrid ringkas 24-volt menghasilkan kuasa 141 PS dan tork maksima 238 Nm. Ia digandingkan dengan kotak gear automatik SkyActiv-Drive enam kelajuan, membolehkan pecutan 0-100 km/j dicapai dalam masa 10.5 saat.

    Bermaz akan pasang Mazda CX-5 generasi ke-3 di M’sia pada 2028; Mazda 3 1.5L High Plus lancar Okt ini

    Dalam laporan Maybank Investment Bank yang bertarikh 17 Spetember 2025 itu juga ada menyebut bahawa Bermaz akan melancarkan SUV CX-80 dan juga satu lagi SUV segmen-B ke pasaran tempatan. CX-80 sudahpun dilancarkan pada awal bulan ini, manakala SUV segmen-B tersebut disasarkan untuk dilancarkan pada TK28 yang berakhir pada 30 April 2029 dan ia turut dirancang untuk ditawarkan dalam versi CKD.

    Tiada perincian lanjut berkenaan SUV kompak berkenaan, namun ia mungkin ada kaitan dengan pengumuman Mazda pada Februari lalu bahawa ia akan mengeluarkan modal pelaburan yang besar di Thailand bagi membangunkan hab pengilangan untuk SUV kompak baharu.

    Terdapat juga laporan dari CIMB Securities pada September 2025 yang menyebut bahawa Bermaz bakal melancarkan Mazda 3 1.5L pada Oktober tahun ini. Ia mungkin merujuk kepada varian 1.5L High Plus di mana tempahannya sudah mula dibuka sejak Jun tahun ini.

    Model berkenaan dijangka akan dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM119,620. Sebelum ini Bermaz sudahpun menawarkan Mazda 3 dengan pilihan enjin 1.5 liter berkenaan, tetapi hanya dalam varian 1.5L Mid yang diberikan fungsi ADAS penuh.

     
     
  • PLUS peruntukkan RM37 juta untuk kerja tambahbaik kemudahan tandas awam di 56 lokasi sejak 2023

    PLUS peruntukkan RM37 juta untuk kerja tambahbaik kemudahan tandas awam di 56 lokasi sejak 2023

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah memperuntukkan kira-kira RM37 juta untuk kerja kerja penambahbaikan tandas awam di lebuhrayanya secara berperingkat yang telah dijalankan sejak 2023 hingga kini. Ia adalah sebahagian daripada usaha untuk menyediakan pengalaman perjalanan yang lebih baik kepada pengguna lebuhraya kendaliannya.

    Menurut kenyataan yag dikeluarkan, PLUS berkata pihaknya telah dan sedang melaksanakan kerja-kerja penambahbaikan kemudahan tandas awam di 56 lokasi di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R), hentian sebelah, restoran jejantas dan plaza tol sepanjang lebuhraya kendaliannya. Di mana sebanyak 32 dan 16 lokasi penambahbaikan kemudahan tandas telah dijalankan masing-masing pada 2023 dan 2024. Malah pada tahun ini sahaja, kerja-kerja penambahbalkan kemudahan tandas dijangka akan dijalankan di lapan lagi lokasi.

    Menurut Pengarah Urusan PLUS, Datuk Nik Airina Nik Jaffar, “Di bawah Pelan Induk 5 tahun Pembangunan dan Penambahbaikan Fasiliti bagi R&R dan hentian sebelah, beberapa lokasi R&R dan hentian sebelah di Lebuhraya kendalian PLUS telah dikenalpasti untuk dinaik tarat, dalam usaha menyediakan kemudahan yang lebih selesa dan meningkatkan tahap perkhidmatan yang lebih efisien kepada pengguna lebuhraya. Dalam Pelan ini, sebanyak lima R&R dan 11 Hentian Sebelah sedang dan akan dinaiktara secara berperingkat sehingga 2028.

    “Dalam masa sama, PLUS akan menaik taraf beberapa lokasi R&R dan hentian sebelah terpilih secara berperingkat dengan menyediakan kemudahan yang lebih selesa pada masa akan datang antaranya di Hentian Sebelah Pedas Linggi (arah utara), Hentian Sebelah Bukit Gantang (arah selatan), Hentian Sebelah Tangkak (arah utara) dan R&R Machap (arah selatan).”

    Tambahnya, kerja penambahbaikan tandas kini juga sedang giat dijalankan sejak 2024 di lokasi-lokasi sepanjang lebuhraya antaranya di R&R Gurun (arah utara), R&R Gunung Semanggol kedua-dua arah), R&R Dengkil (arah selatan), Restoran Jejantas Ayer Keroh (kedua-dua arah), Hentian Sebelah Simpang Pulai (arah selatan), R&R Sungai Perak (kedua-dua Aarah), R&R Seremban (Arah Utara) dan R&R Ayer Keroh (Arah Utara), Hentian Sebelah Sungai Bakap (Kedua-dua Arah), Hentian Sebelah Rawang (arah selatan), Hentian Sebelah Gua Tempurung (arah selatan) dan Hentian Sebelah Kulai (arah utara).

    “Sebahagian besar daripada tandas di lokasi-lokasi tersebut telah siap ditambah baik dan sedia untuk digunakan. Bagi lokasi-lokasi yang sedang dalam proses ditambah baik, kerja-kerja ini dijangka siap selewat-lewatnya pada penghujung tahun 2025,”katanya lagi.

     
     
  • Geely EX5 EM-i dilancar di Australia – kembar Proton eMas 7 PHEV, capai 943 km dengan setangki petrol

    Geely EX5 EM-i dilancar di Australia – kembar Proton eMas 7 PHEV, capai 943 km dengan setangki petrol

    Geely EX5 EM-i kini telah dilancarkan di Australia, di mana model tersebut dikenali sebagai Starray EM-i pada pasaran berkenaan. EX5 EM-i ini adalah versi dengan sistem plug-in hybrid (PHEV) bagi SUV EV kembar kepada Proton eMas 7 iaitu Geely EX5. Model ini dijual di China dengan nama Galaxy Starship 7 EM-i.

    Seperti namanya, ia menerima unit rangkaian kuasa PHEV Geely yang dikenali sebagai EM-i Super Hybrid System. Unit rangkaian kuasa ini menampilkan enjin petrol 1.5 liter empat-silinder berkuasa 99 PS dan tork maksima, digandingkan dengan kotak gear khas hibrid E-DHT yang merangkumi motor elektrik berkuasa 160 kW (218 PS) dan tork maksima 320 Nm.

    Angka kuasa pada model pasaran Australia ini agak sedikit berbeza dari versi Starship 7 pasaran China yang menampilkan kuasa 111 PS/136 Nm dari enjin dan 218 PS/262 Nm dari motor elektrik. Walau bagaimanapun kuasa yang dibekalkan pada versi pasaran Australia ini cukup membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 8 saat, serta mencapai kelajuan maksima yang dihadkan pada 170 km/j.

    Geely EX5 EM-i dilancar di Australia – kembar Proton eMas 7 PHEV, capai 943 km dengan setangki petrol

    Motor elektrik pada EX5 PHEV ini menerima kuasa dari bateri lithium logam fosfat (LFP) diletakkan pada lantai, sama seperti versi EV, namun menampilkan kapasiti lebih kecil iaitu 18.4 kWj. Satu cas penuh bateri tersebut cukup untuk menggerakkan SUV ini sejauh 84 km tanpa enjin dihidupkan langsung, manakala dalam mod hibrid gandingan satu tangki penuh petrol bersama satu cas bateri penuh membolehkan EX5 EM-i ini bergerak sejauh 943 km – semua angka ini dihitung menerusi kitaran ujian WLTP.

    Menurut Geely penggunaan bahan api EX5 EM-i adalah pada kadar 2.4 liter untuk setiap 100 km, manakala penggunaan kuasa elektrik pula adalah 14.7 kWj untuk setiap 100 km. Manakala untuk mengecas, ia boleh menerima pengecas AC sehingga 6kW dan pengecas pantas DC sehingga 30 kW. Kuasa bateri tersebut juga boleh dikeluarkan untuk kegunaan pelbagai peralatan elektrik lain menggunakan sistem V2L dan V2V pada kadar 6 kW.

    Untuk pasaran Australia, EX5 EM-i ini ditawarkan dalam dua varian iaitu Complete dan Inspire. Ia dihasilkan dengan dimensi panjang 4,740 mm, lebar 1,905 mm, tinggi 1,685 mm dan jarak roda sejauh 2,755 mm. Jadi walaupun ia diasaskan dari platform GEA/GMA yang sama seperti EX5/eMas 7, dimensinya adalah sedikit berbeza di mana versi EV tersebut menampilkan ukuran panjang 4,615 mm, lebar 1,901 mm, tinggi 1,670 mm dan jarak roda sejauh 2,750 mm.

    Geely EX5 EM-i dilancar di Australia – kembar Proton eMas 7 PHEV, capai 943 km dengan setangki petrol

    Varian asas EX5 EM-i Complete menampilkan berat 1,699 kg, manakala varian Inspire pula adalah 1,739 kg – sebagai perbandingan, Proton eMas 7 EV varian asas Prime di Malaysia menampilkan berat 1,662 kg, dan varian tertinggi Premium pula adalah 1,765 kg.

    Kapasiti ruang kargo belakang juga sedikit berbeza antara versi PHEV dan EV di mana Geely EX5 EM-i menampilkan but dengan kapasiti 428 liter berbanding EV EX5/eMas 7 dengan kapasiti 461 liter. Menurut Geely, sekiranya tempat duduk belakang EX5 EM-i ini dilipat, ia mampu memberikan ruang kargo keseluruhan 2,065 liter.

    Casis EX5 EM-i ini pula masih sama seperti versi EV dengan menampilkan kanfigurasi suspensi topang McPherson di hadapan dan Multilink di belakang. Varian Complete menerima set roda dengan rim aloi 18-inci bersama tayar 225/55R18, manakala varian Inspire pula diberikan rim aloi 19-inci dengan tayar bersaiz 235/50R19.

    Bagi kelengkapan pula, varian Complete menerima perincian standard seperti lampu hadapan dan lampu belakang LED, lampu nyalaan siang LED, paparan instrumen digital dengan skrin 10.2-inci, skrin sesentuh untuk sistem infotainmen bersaiz 15.4-inci yang dilengkapi sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, enam pembesar suara, penghawa dingin autimatik dengan pemanas dan juga tempat duduk hadapan kawalan elektrik.

    Geely EX5 EM-i dilancar di Australia – kembar Proton eMas 7 PHEV, capai 943 km dengan setangki petrol

    Manakala varian Inspire pula menerima penambahan bumbung suria panaromik bantuan kuasa, paparan head-up 13.4-inci, pengecas telefon pintar tanpa wayar, sistem audio premium Flyme 1,000 watt dengan 16-pembesar suara, pintu tailgate bantuan kuasa, penderia parkir hadapan, lampu suasana 256-warna, tempat duduk hadapan dengan liang udara serta bahagian pemandu yang diberikan fungsi memori untuk larasan.

    Kedua-dua varian ini berkongsi kelengkapan keselamatan yang sama termasuk brek kecemasan automatik, cruise control adaptif dan pintar, amaran dan brek lintasan trafik belakang, bantuan kekal lorong, pengenal tanda trafik, amaran buka pintu, bantuan tukar lorong, pengesan titik buta, bantuan kekal lorong kecemasan, amaran pengesan penumpang dan amaran keletihan pemandu.

    Geely EX5 EM-i pasaran Australia ini dijual pada harga bermula AUD37,490 (RM104,512) untuk varian Complete dan AUD39,990 (RM111,481) untuk varian Inspire. Model pasaran Australia ini mungkin akan membayangkan harga dan spesifikasi Proton eMas 7 PHEV di Malaysia kelak – nama eMas 7 PHEV sudahpun difailkan oleh Proton di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan syarikat itu juga sebelum ini menyatakan bahawa kilang EV baharunya di Tanjong Malim turut bersedia untuk memasang model-model berasaskan platform GMA dengan unit rangkaian kuasa PHEV.

    GALERI: Geely Starray EM-i versi pemanduan sebelah kanan di GIIAS 2025

    GALERI: Geely Galaxy Starship 7 versi pemanduan sebelah kiri pasaran China di Auto Shanghai 2025

     
     
  • Menteri KDN nasihati orang ramai segera periksa, ganti cip MyKad rosak bagi nikmati subsidi RON95

    Menteri KDN nasihati orang ramai segera periksa, ganti cip MyKad rosak bagi nikmati subsidi RON95

    Orang ramai dinasihati segera memeriksa dan menggantikan cip kad pengenalan (MyKad) yang rosak bagi membolehkan mereka menikmati subsidi bersasar RON95 yang dijadual dilaksanakan kerajaan hujung bulan ini, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

    Jelas beliau, pelaksanaan subsidi itu memerlukan pengesahan identiti menggunakan MyKad ketika proses mengisi minyak di stesen.

    “MyKad penting sebab nanti kita nak pi (pergi) beli minyak dengan harga RM1.99, tak sampai RM2. Wajib ada MyKad, pasal kita nak cucuk MyKad tu kat pam minyak…mengesahkan kita rakyat Malaysia dan beli minyak dengan harga RM1.99, kalau tak, kena bayar RM2.05. Jadi, penggantian cip MyKad kena buat hari ini, mulai sekarang. Rosak cip, tak boleh beli nanti…boleh beli tapi dengan harga RM2.05,” katanya menerusi video yang dikongsikan di Facebook rasminya.

    Menteri KDN nasihati orang ramai segera periksa, ganti cip MyKad rosak bagi nikmati subsidi RON95

    Menerusi Facebook rasmi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) turut berkongsi cara mudah untuk menukar MyKad yang rosak. Di mana orang ramai boleh memilih cara yang paling senang melalui pelbagai saluran yang disediakan JPN iaitu datang sendiri ke mana-mana cawangan JPN berhampiran yang mempunyai sejumlah 210 kaunter di seluruh negara, memohonnya di kemudahan bergerak yang disediakan iaitu bas atau van MEKAR, menghubungi talian MyPhone-In (03-8880 8066) atau melalui JPN e-Services.

    Menurut JPN lagi, jika anda memilih untuk membuat permohonan di kaunter atau di Bas/Van MEKAR, anda perlu membawa MyKad rosak dan bil utiliti (sekiranya nak tukar alamat), serta datang dengan berpakaian kemas untuk kemaskini gambar MyKad. Sekiranya, permohonan melalui MyPhone-In dan JPN e-Services, gambar dan alamat MyKad tidak boleh dikemaskini. Dan anda dikehendaki membawa MyKad rosak sewaktu hadir ke JPN untuk kutipan MyKad baharu.

    Sebelum ini, Kementerian Kewangan memaklumkan bahawa Kerajaan dijangka akan mengumumkan pelaksanaan subsidi petrol RON95 pada penghujung bulan ini. Selain Mykad, kerajaan juga mempertimbangkan pelbagai mekanisme pelaksanaan termasuk e-dompet dan aplikasi syarikat minyak bagi memastikan ikhtiar ini dilaksanakan secara efisien tanpa membebankan rakyat.

     
     
  • PLUS tutup laluan Smartlane di Senai ke Kulai di Lebuhraya Utara-Selatan mulai 22 September 2025

    PLUS tutup laluan Smartlane di Senai ke Kulai di Lebuhraya Utara-Selatan mulai 22 September 2025

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) memaklumkan bahawa laluan Smartlane di Senai utara ke Kulai, Lebuhraya Utara-Selatan, iaitu antara KM26.5 hingga KM19.3, akan ditutup mulai 22 September 2025. Ia adalah bagi kelancaran kerja-kerja tambah baik infrastruktur lebuhraya dan memberi laluan kepada pelaksanaan projek pembinaan lorong tambahan bagi Fasa 1 Pakej B yang melibatkan lokasi berkenaan.

    “Sepanjang tempoh kerja-kerja tersebut dijalankan, dua lorong sedia ada di laluan terlibat dibuka seperti biasa bagi mengekalkan aliran trafik sedia ada dan meminimumkan gangguan trafik kepada pengguna lebuhraya.

    “Pengguna lebuhraya disarankan supaya merancang perjalanan mereka dengan menggunakan aplikasi PLUS bagi mendapatkan maklumat trafik terkini. Pengguna juga dingatkan supaya mematuhi semua papan tanda dan arahan yang dikelarkan oleh petugas PLUS ketika melalui kawasan kerja-kerja pembinaan tersebut,” kata PLUS menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Untuk maklumat trafik semasa dan bantuan, pengguna boleh merujuk kepada Pembantu Maya – PUTRI, aplikasi X@plustrafik atau paparan mesej elektronik (VMS) di lokasi-lokasi terpilih, atau menghubungi talian PLUSLine di 1800-88-0000 sekiranya berlaku kecemasan.

     
     
  • Toyota GR Corolla terima tingkat taraf baharu di Jepun – badan lebih tegar, udara ambilan enjin lebih sejuk

    Toyota GR Corolla terima tingkat taraf baharu di Jepun – badan lebih tegar, udara ambilan enjin lebih sejuk

    Toyota GR Corolla facelift 2025 baru sahaja dilancarkan di Jepun Februari lalu. Namun baru beberapa bulan, hot-hatch tersebut kini diperkenalkan dalam satu lagi versi tingkat taraf prestasi yang didakwa dibuat menerusi pengetahuan yang ditimba pasukan Toyota Gazoo Racing dalam siri perlumbaan Super Taikyu Endurance di Jepun.

    Tingkat taraf pertama yang diberikan hanya boleh dibuat di kilang iaitu dengan penambahan bahan perekat struktur pada bahagian cantuman kerangka badan. Tambahan berkenaan menjadi secara keseluruhan versi tingkat taraf GR Corolla ini menerima bahan perekat sepanjang 32.7 meter, atau 13.9 meter lebih panjang dari yang sebelumnya.

    Tambahan bahan perekat struktur ini menjadi kerangka GR Corolla tersebut lebih tegar bagi menerima asakan daya-G sama ada secara menegak atau dari sisi yang biasanya dihasilkan ketika dipandu pada litar-litar tipikal sekitar Jepun. Kawasan yang menerima tambahan bahan perekat ini adalah termasuk pada bahagian badan hadapan, lantai dan juga di sekitar perumah roda belakang.

    Menurut Toyota, tambahan bahan perekat ini dapat meningkatkan ketegaran badan dengan tambahan berat yang minima, seterusnya “menghasilkan struktur badan yang diperkuat bagi menambahbaik aspek hubungan yang menyatukan pemandu dan kereta dalam apa jua situasi, dari pemanduan bandar hingga ke litar.”

    Kemudian GR Corolla ini turut menerima sistem kemasukan udara ke enjin yang direka semula, menampilkan pengalir udara sejuk yang diaktifkan oleh kelajuan tinggi enjin pada saluran ambilan udara sekunder. Ia terletak di bawah penapis udara dan berfungsi untuk menyedut udara dari luar ruang enjin menerusi gril hadapan, bagi mendapatkan udara lebih sejuk, di mana Toyota mendakwa kuasa enjin akan terus berada pada kadar optima walaupun suhu dalam ruang enjin meningkat ketika kereta ini dipandu pada kelajuan tinggi dalam tempoh masa yang lama.

    Tingkat taraf seterusnya adalah di dalam kabin di mana sistem audio JBL yang dibekalkan kini menampilkan sembilan pembesar suara berbanding hanya lapan sebelum ini. Satu lagi pembesar suara tambahan berkenaan adalah subwoofer yang ditambah pada bahagian but belakang.

    Toyota GR Corolla terima tingkat taraf baharu di Jepun – badan lebih tegar, udara ambilan enjin lebih sejuk

    Penambahbaikkan ini bukan hanya untuk memberikan kualiti müzik lebih baik kerana sistem bunyi GR Corolla ini turut bersepadu dengan Active Noise Control (ANC) dan juga Active Sound Control. Untuk ANC, ia akan mengurangkan bunyi enjin yang menggangu dan bunyi-bunyi lain yang tidak diperlukan dalam kabin.

    Manakala untuk ASC, sistem ini akan meberikan bunyi enjin lebih baik yang dikeluarkan menerusi pembesar suara bagi memberikan pengalaman pemanduan lebih mengujakan. Sistem ini menawarkan tiga mod bunyi yang boleh dipilih iaitu bunyi asli dengan mematikan sistem tersebut, normal dan juga bunyi seakan sistem anti-lag untuk pengecas turbo diaktifkan (GR Corolla JDM sememangnya mempunyi sistem anti-lag dalam mod pemanduan Circuit).

    Tiada perubahan diberikan pada unit rangkaian kuasa dan ia masih lagi menggunakan enjin G16E-GTS 1.6 liter tiga-silinder turbo dengan sistem suntikan terus, dengan angka kuasa 304 PS dan tork maksima 400 Nm. Ia dipadankan dengan pilihan kotak gear manual enam-kelajuan atau transmisi automatik GR-DAT lapan-kelajuan.

    Kuasa dari kotak gear berkenaan kemudiannya dialirkan ke kesemua roda menerusi sistem pacuan semua roda GR Four yang diinspirasikan dari jentera rali. Sistem tersebut mengagihkan tork antara gandar hadapan dan belakang dalam tiga mod berbeza iaitu Normal dengan agihan 60:40 (60% untuk belakang, 40% untuk hadapan), Gravel dengan agihan 50:50 dan Track yang memberikan agihan tork sentiasa berubah antara 60:40 hingga 30:70 bergantung pada situasi pemanduan.

    Jualan GR Corolla yang dipertingkat ini hanya akan bermula pada 3 November nanti – bukan semua orang dapat membeli kereta ini di Jepun kerana Toyota membuka sistem loteri bagi menentukan siapa yang layak membelinya. Namun ia mungkin akan dijual secara biasa selepas permintaan terhadap model berkenaan selari dengan jumlah produksinya di kilang.

    Toyota GR Corolla RZ dengan kotak gear manual enam-kelajuan dijual pada harga 5.68 juta yen (sekitar RM162k), manakala varian RZ dengan kotak gear automatik pula dijual pada harga 5.98 juta yen (RM170k).

     
     
  • Proton eMas 7 dilancarkan di Singapura dalam dua varian – Prime RM577k, Premium RM590k dengan COE

    Proton eMas 7 dilancarkan di Singapura dalam dua varian – Prime RM577k, Premium RM590k dengan COE

    Proton eMas 7 kini secara rasmi dilancarkan di Singpura selepas didedahkan buat pertama kali di sana pada Mei lalu. Ini juga bermakna Proton kembali secara rasmi ke seberang tambak setelah menutup operasi di sana lebih sedekad yang yang lalu. Kali ini Proton diwakili oleh Vincar Group yang bertindak sebagai pengedar bertauliah di Singapura.

    Singapura menerima dua varian eMas 7 yang sama di seperti di Malaysia iaitu varian Prime dijual pada harga SGD175,988 (sekitar RM577k), dan juga varian tertinggi Premium dijual pada harga SGD179,888 (RM590k). Harga yang dinyatakan termasuk Sijil Pemilikan (COE) Kategori B yang dikenakan untuk kenderaan elektrik (EV) berkuasa lebih dari 110 kW (kurang dari angka ini dikelaskan dalam Kategori A).

    Kedua-dua varian Proton eMas 7 di Singapura ini juga masih dibekalkan dengan satu motor elektrik tunggal yang memacu roda hadapan berkuasa 218 PS (160 kW) dan tork maksima 320 Nm. Varian Prime menerima bateri litium logam fosfat (LFP) bilah pendek keluaran Aegis berkapasiti 49.52-kWj bagi memberikan jarak gerak 345 km dalam kitaran ujian WLTP, manakala varian Premium pula diberikan bateri berkapasiti 60.22 kWj untuk jarak gerak WLTP 410 km.

    Proton eMas 7 dilancarkan di Singapura dalam dua varian – Prime RM577k, Premium RM590k dengan COE

    Varian Prime mampu untuk memecut dari 0-100 km/j dalam masa 6.9 saat manakala varian Premium sedikit lebih lambat dengan catatan 7.1 saat. Namun kedua-duanya boleh mencapai kelajuan maksima 175 km/j. Kedua-duanya juga menyokong pengecas AC dengan kadar maksima 11 kW.

    Tetapi untuk pengecas pantas DC, varian Prime boleh menerima sehingga 80 kW dan Prime pula sehingga 100 kW, membolehkan bateri dipenuhkan dari 30-80% dalam masa 20 minit. Jika menggunakan pengecas AC wallbox di rumah, bateri boleh dipenuhkan dalam masa 4.9 jam untuk Prime dan 6.1 jam untuk Premium.

    Untuk spesifikasi, varian kedua-dua varian pasaran Singapura ini juga menyamai spesifikasi eMas 7 di Malaysia. Ia datang standard dengan lampu hadapan LED, paparan instrumen digital 10.2-inci, skrin sesentuh infotainmen 15.4-inci dengan paparan 2.5k dan sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) dengan kebolehan pemanduan Autonomi Tahap 2 dan enam beg-udara. Varian Prime menerima rim aloi 18-inci, manakala varian Premium ditambah dengan rim aloi 19-inci, sistem bunyi Flyme Audio dengan 16-pembesar suara, paparan head-up, tempat duduk hadapan berliang dan lain-lain.

    Vincar Group menawarkan pakej Founders Edition untuk eMas7 pasaran Singapura ini untuk 99 pelanggan terawal. Pakej tersebut menampilkan waranti bateri selama 10-tahun tanpa had perbatuan, dan juga data internet percuma selama lima-tahun, dan ia boleh beroperasi secara roaming sekiranya pelanggan memandu SUV ini masuk ke Malaysia.

    Bukan itu sahaja, pakej berkenaan turut menawarkan bantuan tepi jalan merentas sempadan yang boleh digunakan di Semenanjung Malaysia dan Singpura. Ini bermakna pelanggan juga boleh menghantar eMas 7 mereka di pusat-pusat servis Proton di Malaysia sekiranya berlaku perkara yang tidak diingni.

    Enam warna badan ditawarkan di Singapuara termasuk Lithium White, Turquoise Green, Slate Grey, Platinum Silver, Quartz Rose dan Moyu Black. Semua warna ini telahpun ditawarkan di Malaysia, namun warna hitam diberikan nama berbeza di Malaysia kerana di sini ia dikenali sebagai Obsidian Black.

    Seperti model pasaran Malaysia yang telah dipertingkat didedahkan pada Julai lalu, model pasaran Singapura ini juga datang dengan dua pilihan warna kabin iaitu Indigo Blue dan Alabaster White

    GALERI: Proton eMas 7 Premium 2025 pasaran Malaysia

    GALERI: Proton eMas 7 Prime Malaysia

    .

     
     
  • AUDI E5 Sportback dilancarkan di China – 10 ribu tempahan diterima dalam masa 30 minit, dari RM139k

    AUDI E5 Sportback dilancarkan di China – 10 ribu tempahan diterima dalam masa 30 minit, dari RM139k

    Selepas lima bulan diperkenalkan secara rasmi di Auto Shanghai, AUDI — sub-jenama baru Audi (ditulis dalam huruf besar sepenuhnya) — akhirnya melancarkan model E5 Sportback untuk pasaran China. Walaupun pelancarannya agak lewat, sambutan yang diterima amat luar biasa, dengan lebih 10,000 tempahan awal direkodkan hanya dalam tempoh 30 minit selepas pelancaran.

    E5 Sportback merupakan model pertama hasil kerjasama Audi bersama rakan usahasama tempatan SAIC dan dibina menggunakan platform Advanced Digitised Platform (ADP) yang turut digunakan oleh model IM L6 dan LS6. Ia ditawarkan dalam empat varian, dengan harga bermula dari 235,900 yuan (kira-kira RM139,000) hingga 319,900 yuan (sekitar RM188,500), menjadikannya setara dengan harga Audi A5L di pasaran China.

    Model asas hadir dengan pacuan roda belakang, menghasilkan 299 PS dan tork 420 Nm. Ia mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 6.1 saat, menggunakan bateri lithium iron phosphate (LFP) berkapasiti 76 kWh yang memberikan jarak gerak sejauh 618 km mengikut kitaran CLTC.

    AUDI E5 Sportback dilancarkan di China – 10 ribu tempahan diterima dalam masa 30 minit, dari RM139k

    Bagi versi pacuan semua roda Quattro, motor belakang dinaik taraf kepada 314 PS dan 475 Nm, manakala motor hadapan menambah 211 PS dan 250 Nm. Gabungan ini menghasilkan kuasa keseluruhan 525 PS dan tork 725 Nm, membolehkan pecutan 0–100 km/j dalam hanya 3.9 saat. Bateri yang lebih besar, 83 kWh jenis NMC (nickel manganese cobalt), meningkatkan jarak kepada 623 km.

    Varian RWD Plus pula dilengkapi bateri 100 kWh, membolehkan jarak pemanduan mencecah 773 km. Motor belakang pada varian ini juga ditingkatkan kepada 408 PS dan 500 Nm, membolehkan pecutan 0–100 km/j dalam masa 5 saat.

    Varian paling berkuasa dalam barisan model ini ialah Long Range Quattro. Motor belakangnya menjana 515 PS, manakala motor hadapan pula menghasilkan 272 PS dan 300 Nm, memberikan jumlah kuasa keseluruhan 787 PS dan tork 800 Nm. Model ini boleh memecut ke 100 km/j dalam hanya 3.4 saat. Namun begitu, jarak pemanduan sedikit berkurang kepada 647 km, meskipun menggunakan bateri 100 kWh yang sama.

    AUDI E5 Sportback dilancarkan di China – 10 ribu tempahan diterima dalam masa 30 minit, dari RM139k

    Untuk pengecasan pantas DC, model asas boleh dicas dari 10 hingga 80% dalam masa kurang 13 minit, manakala model dengan bateri 100 kWh memerlukan sekitar 17 minit. Namun, varian Quattro pertengahan agak mengecewakan apabila mengambil masa hingga 35 minit — dipercayai menggunakan seni bina elektrik 400 volt berbanding sistem 800 volt pada varian lain. Pengecasan AC pula agak terhad, dengan model asas hanya menyokong hingga 6.6 kW, dan maksimum 11 kW untuk model dengan bateri terbesar.

    Dari segi mekanikal, E5 menggunakan suspensi jenis double wishbone di hadapan dan five-link di belakang. Varian tertinggi didatangkan dengan suspensi udara, peredam adaptif dan sistem stereng gandar belakang. Ciri Vehicle-to-Load (V2L) 6.6 kW juga tersedia sebagai standard.

    Reka bentuk E5 Sportback diilhamkan daripada konsep E yang diperkenalkan tahun lalu dan dibangunkan khusus untuk citarasa pengguna di China. Sebagai sub-jenama, AUDI tidak lagi terikat kepada elemen ikonik jenama Audi seperti gril Singleframe atau lengkungan “Quattro”.

    Sebaliknya, ia tampil dengan elemen baru seperti Light Frame – bingkai hitam yang mengelilingi bahagian depan, merangkumi lampu utama LED nipis (dengan pilihan teknologi Matrix), logo AUDI, sensor bantuan pemanduan dan saluran udara. Pada varian tertinggi, Light Frame turut disertakan dengan corak pencahayaan beranimasi yang terdiri daripada lebih 1,000 elemen lampu.

    Bahagian sisi menampilkan bumbung hitam, garis tingkap yang melengkung naik serta tiang-D yang besar dan berwarna sama dengan badan. Di belakang, rekaan Light Frame diteruskan dan membentuk lampu belakang. Ciri-ciri aerodinamik lain termasuk spoiler hadapan, pemegang pintu tersembunyi, sayap belakang panjang dan cermin sisi digital pilihan, yang bersama-sama memberikan kecekapan rintangan serendah 0.252.

    Masuk ke dalam kabin melalui pintu berkuasa (juga pilihan), E5 menggabungkan reka bentuk yang popular di kalangan pembuat kereta China. Panel paparan bersaiz 27 inci merentangi papan pemuka dan menggabungkan paparan pemandu serta skrin infotainmen berkongsi antara pemandu dan penumpang hadapan. Pembesar suara di perehat kepala disambungkan kepada sistem audio Bose, manakala konsol tengah menyediakan ruang untuk dua telefon dan pengecas wayarles 50 watt.

    AUDI E5 Sportback dilancarkan di China – 10 ribu tempahan diterima dalam masa 30 minit, dari RM139k

    Pada kemasan kayu terdapat lampu suasana manakala bumbung kaca elektro-kromik disediakan sebagai pilihan. Tempat duduk hadapan direka dengan struktur sembilan lapisan untuk sokongan maksimum dan dilengkapi fungsi urut lapan titik dengan empat mod dan tiga tahap kelajuan.

    Sistem infotainmen E5 menggunakan sistem operasi baru AUDI OS yang dipacu cip Qualcomm Snapdragon 8295. Ia menampilkan pembantu maya AUDI Assistant berasaskan AI, mampu memahami pelbagai arahan serentak. Visualisasi sistem ini dipaparkan melalui skrin sentuh AUDI Smart Island bersaiz 4.29 inci yang hadir dengan 24 “personaliti”. Terdapat juga kedai aplikasi dengan sokongan pengecaman wajah serta seni bina elektrik zonal yang membolehkan kemas kini OTA untuk semua sistem kenderaan.

    Sebagai sebuah model untuk pasaran China, E5 juga menyokong pemanduan separuh autonomous di kawasan bandar dan lebuh raya melalui sistem AUDI 360 Assisted Driving. Dengan bantuan sensor lidar, sistem Adaptive Cruise Assist boleh mengelak halangan, mengenal pasti lampu isyarat merah, menukar lorong dan membuat pusingan U secara automatik. Ia juga mampu mengenal pasti kenderaan tiga roda dan penunggang penghantar barang. Ciri keselamatan lain termasuk brek kecemasan automatik, amaran lintasan trafik belakang dengan brek automatik serta amaran pintu terbuka.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.67 (0.00)
EURO 5 B7 RM4.87 (0.00)
Last Updated Jun 11, 2026