Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Penutupan jalan di sekitar KLCC pada 20 Sept sempena Malaysia Sarong Music Run (MSMR) 2025

    Bagi yang bercadang untuk memasuki pusat bandar KL pada Sabtu ini, ada makluman khas untuk anda. Dimaklumkan bahawa ada beberapa jalan di sekitar KLCC akan ditutup pada Sabtu, 20 September, bagi kelancaran acara larian Malaysia Sarong Music Run (MSMR) 2025 yang ditaja oleh Jetour Malaysia.

    Garisan pemula/penamat serta race village akan ditempatkan di hadapan Menara Berkembar Petronas, iaitu laluan di mana terletaknya Four Seasons dan Avenue K. Para peserta yang menyertai larian 5 Km ini akan merentasi Jalan Ampang, Jalan P Ramlee, Jalan Pinang, Jalan Kia Peng, Jalan Stonor, Jalan Kia Peng, Jalan Raja Chulan, Jalan Bukit Bintang dan Jalan Sultan Ismail.

    Ada beberapa jalan yang disebut ini akan ditutup sepenuhnya dan ada yang akan dibuka separuh iaitu berkongsi antara pelari dan juga trafik. Penutupan jalan ini akan bermula dari jam 4.50 pm hingga 7.30 pm. Sebarang perubahan pada penutupan atau masa adalah mengikut budi bicara pihak berkuasa, kata penganjur acara.

    Bagi peserta larian yang terlibat, anda boleh parkir kenderaan di KLCC, atau kawasan parkir terbuka di sebelah NZ Curry House, Avenue K dan di belakang bangunan AmBank. Tapi lebih mudah jika menggunakan pengangkutan awam termasuk tren LRT dan MRT.

     
     
  • Kia K4 hatchback 2026 diperkenal – enjin petrol 1.0L dan 1.6L Turbo, akan dijual di AS dan UK tahun ini

    Kia K4 hatchback 2026 diperkenal – enjin petrol 1.0L dan 1.6L Turbo, akan dijual di AS dan UK tahun ini

    Kia secara rasmi memperkenalkan model baru K4 hatchback untuk pasaran Eropah, kira-kira setahun setengah selepas pelancaran model sedan K4 dalam segmen C. Model hatchback ini menggantikan Kia Ceed yang menerima kemas kini terakhir pada tahun 2021.

    Melihat kepada saiz, Kia K4 hatchback mempunyai panjang 4,440 mm dan lebar 1,850 mm. Bahagian dalamannya menawarkan ruang kaki belakang yang dikatakan terbaik dalam kelasnya iaitu 964 mm, manakala ruang kepala pula berukuran 973 mm. Menurut Kia, kapasiti ruang kargo adalah 438 liter.

    Seperti yang dijangka untuk sebuah model hatchback, K4 hadir dengan reka bentuk bumbung dan bahagian belakang yang berbeza daripada versi sedan. Walaubagaimanapun, reka bentuk lampu hadapan dan belakang masih dikekalkan sama seperti versi sedan, manakala bahagian sisi menampilkan garisan karakter yang serupa pada pintu.

    Kia K4 hatchback 2026 diperkenal – enjin petrol 1.0L dan 1.6L Turbo, akan dijual di AS dan UK tahun ini

    Bagi penawaran enjin untuk pasaran Eropah, Kia menyediakan lima pilihan, termasuk dua versi elektrifikasi. Varian asas didatangkan dengan enjin petrol 1.0 liter T-GDI turbo berkuasa 115 PS, dipadankan dengan transmisi manual enam kelajuan. Terdapat juga versi hibrid ringkas bagi enjin ini, yang menggunakan transmisi automatik klac berkembar tujuh kelajuan.

    Selain itu, enjin petrol 1.6 liter T-GDI turut ditawarkan dalam dua pilihan kuasa, iaitu 150 PS dan 180 PS, kedua-duanya menggunakan transmisi automatik tujuh kelajuan jenis klac berkembar. Kia turut mengesahkan bahawa versi hibrid penuh akan diperkenalkan pada tahun hadapan.

    Ruang dalaman K4 hatchback berkongsi reka bentuk papan pemuka yang sama dengan versi sedan, menampilkan paparan digital panoramik yang terdiri daripada panel instrumen 12.3 inci, skrin kawalan pendingin hawa 5.3 inci dan skrin infotainmen 12.3 inci. Sistem terkini Kia yang dikenali sebagai Connected Car Navigation Cockpit (ccNC) menyatukan navigasi, multimedia dan kawalan kenderaan dalam satu interface.

    Kia K4 hatchback 2026 diperkenal – enjin petrol 1.0L dan 1.6L Turbo, akan dijual di AS dan UK tahun ini

    Kesemua varian K4 hatchback disediakan dengan sambungan tanpa wayar Apple CarPlay dan Android Auto. Varian yang lebih tinggi pula dilengkapi pengecas telefon tanpa wayar serta sistem audio premium daripada Harman Kardon.

    Bahagian upholsteri menggunakan kulit tiruan berasaskan bio dalam warna hitam dan tempat duduk hadapan dilengkapi fungsi pemanas serta pengudaraan. Akses kenderaan dipermudahkan dengan sistem Digital Key 2.0 yang menggunakan teknologi ultra-wideband, membolehkan telefon pintar berfungsi sebagai kunci kereta.

    Kia turut menawarkan pelbagai ciri digital melalui platform Kia Connect, termasuk kemas kini perisian OTA, penstriman muzik dan keupayaan hotspot WiFi. Kawalan suara boleh diaktifkan dengan arahan “Hey Kia”, di mana pembantu maya AI akan membantu pengguna mengakses fungsi kenderaan, manual pemilik dan cadangan tempat menarik.

    Kia K4 hatchback 2026 diperkenal – enjin petrol 1.0L dan 1.6L Turbo, akan dijual di AS dan UK tahun ini

    Dari sudut keselamatan dan bantuan pemandu, K4 hatchback dilengkapi dengan Blind Spot View Monitor (BVM) dan Blind Spot Collision Avoidance Assist (BCA). Sistem Smart Cruise Control 2 (SCC2) pula boleh memberhentikan kenderaan secara automatik sekiranya pemandu tidak bertindak balas dalam situasi kecemasan.

    Fungsi Highway Driving Assist 2.0 (HDA 2.0) membantu mengekalkan jarak dengan kenderaan hadapan, kekal di tengah lorong, membuat pelarasan sisi dan menukar lorong secara automatik. Sistem bantuan lain termasuk brek kecemasan automatik hadapan dan belakang (AEB) serta kamera pandangan keliling 360 darjah.

    Menurut Ketua Pegawai Operasi Kia Eropah, Sjoerd Knipping, K4 direka bagi memenuhi keperluan pelanggan yang belum bersedia untuk beralih sepenuhnya kepada kenderaan elektrik. Kia K4 hatchback dijangka mula memasuki pasaran United Kingdom pada penghujung tahun ini, manakala pasaran Australia akan menerima model ini menjelang November.

     
     
  • Kastam KL rampas 32 kenderaan import bernilai RM8.45j kerana langgar syarat gudang berlesen

    Kastam KL rampas 32 kenderaan import bernilai RM8.45j kerana langgar syarat gudang berlesen

    Jabatan Kastam Diraja Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) mengumumkan bahawa pihaknya telah menyita sebanyak 32 kenderaan import pelbagai model bernilai lebih RM8.45 juta kerana melanggar syarat gudang berlesen.

    Kenderaan terbabit disita hasil operasi khas Ops Purple yang dijalankan dari 29 Julai hingga 7 Ogos 2025 di dua gudang berlesen di Setapak dan Sungai Penchala, Damansara, kata Pengarah Kastam WPKL Wan Norizan Wan Daud.

    “Pemeriksaan mendapati pemilik gudang berlesen gagal mematuhi syarat lesen seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 65(2) dan Seksyen 65(5) Akta Kastam 1967. Sebanyak 32 kenderaan import disimpan melebihi tempoh 48 bulan yang dibenarkan.

    “Nilai sitaan kenderaan dianggarkan sebanyak RM3.08 juta manakala jumlah duti import dan cukai yang terlibat pula dianggarkan berjumlah RM5.38 juta,” kata Wan Norizan menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Tambahnya, siasatan mendapati modus operandi yang digunakan adalah dengan menyalahgunakan kemudahan pengecualian duti yang diberikan di bawah Seksyen 4 Akta Kastam 1967 dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d), Akta Kastam 1967 kerana menyimpan atau memiliki barang tidak berkastam atau barang larangan import.

    Wan Norizan turut menyeru orang ramai agar tidak terlibat dalam sebarang kegiatan penyeludupan yang bukan sahaja menyebabkan ketirisan hasil negara malah mengancam keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

    “Orang awam digesa menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam berhampiran,” katanya sambil menambah pihaknya akan merahsiakan identiti pemberi maklumat.

     
     
  • Subsidi bersasar RON95 – video tunjuk perlu guna MyKad dan pembaca terminal untuk sahkan kelayakan

    Subsidi bersasar RON95 – video tunjuk perlu guna MyKad dan pembaca terminal untuk sahkan kelayakan

    Bulan lalu Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan ada menyebut bahawa pelan rasionalisasi subsidi petrol RON 95 bakal diumumkan oleh kerajaan pada penghujung September 2025, dan beliau ada menyatakan bahawa kad pengenalan Malaysia (MyKad) akan dipertimbang sebagai salah satu cara untuk mengesahkan kelayakan seseorang untuk menerima subsudi petrol RON95 Budi Madani.

    “Mekanisme MyKad ini berfungsi dengan memasukkan MyKad ke dalam terminal pembaca yang disediakan kerajaan. Terminal itu akan disambungkan ke Hab Pangkalan Data Pusat (PADU) kerajaan untuk menentukan kelayakan dan kuota,” jelasnya.

    Nampaknya kaedah berkenaan mungkin akan benar-benar digunakan oleh kerajaan – satu video telah tersebar menerusi laman sosial Facebook menunjukkan bagaimana seorang pekerja stesen minyak menggunakan terminal pembaca MyKad untuk mengesahkan kelayakan pelanggan bagi mendapatkan petrol RON95 dengan harga bersubsidi.

    Dalam video tersebut, pekerja berkenaan perlu memasukkan MyKad pelanggan pada terminal pembaca. Selepas beberapa saat (mungkin ia dihubungkan kepada PADU), terminal tersebut akan mendedahkan kelayakan pelanggan tersebut untuk mendapatkan petrol RON95 bersubsidi – tag biru menandakan kelayakannya disahkan, tag merah menandakan kuotanya sudah habis, dan sekiranya kedua-dua tag tidak muncul bermakna pengguna tersebut tidak layak menerima petrol bersubsidi.

    Subsidi bersasar RON95 – video tunjuk perlu guna MyKad dan pembaca terminal untuk sahkan kelayakan

    Selepas proses pengesahan ini dibuat, barulah proses tempahan boleh diteruskan dengan menentukan pam mana yang akan digunakan, berapa jumlah petrol RON95 yang ingin dibeli dan juga bayaran menggunakan tunai atau kad kredit/debit.

    Video ini tidak menerangkan atau menunjukkan terminal berkenaan hanya akan disediakan di kaunter atau turut akan disediakan pada setiap pam atau tidak. Sekiranya ia hanya disediakan di kaunter, maka setiap pelanggan perlulah ke kaunter untuk membuat pembayaran, tidak seperti servis sedia ada di mana pelanggan yang menggunakan kad kredit/debit boleh membuat pembayaran di pam sahaja.

    Juga turut menjadi tanda tanya bagaimana pula pembayaran menerusi aplikasi seperti Setel. Namun aplikasi seperti itu mungkin boleh dikemaskini dengan menampilkan fungsi pengesahan MyKad bina-dalam menerusi pendaftaran MyKad (e-KYC) yang akan membekalkan maklumat yang diperlukan, serta membuat pengiraan berkaitan kuota pengguna.

    Ini dibayangkan sendiri menerusi kenyataan yang sama dibuat 26 Ogos lalu oleh Amir Hamzah di mana selain MyKad, kementeriannya turut akan mengambil kira penggunaan e-wallet dan juga aplikasi-aplikasi pembayaran yang disediakan oleh syarikat-syarikat minyak bagi mengesahkan kelayakan pengguna terhadap petrol RON95 bersubsidi tersebut.

    Selain itu kementerian kewangan juga memberitahu bahawa kerajaan turut akan mewujudkan portal awam untuk setiap individu memeriksa kelayakan masing-masing bagi mendapatkan petrol RON95 bersibsidi. kerajaan turut akan mewujudkan pusat perhubungan bagi membolehkan orang awam meminta pertolongan, memberikan respon atau membuat rungutan menerusi pelbagai cara.

     
     
  • Laluan kontra di Jalan Gasing-Jalan Templer-NPE ditutup hingga 19 Sept sempena cuti sekolah

    Laluan kontra  di Jalan Gasing-Jalan Templer-NPE ditutup hingga 19 Sept sempena cuti sekolah

    Untuk warga PJ, ini ada makluman buat anda. Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memaklumkan bahawa laluan kontra di Jalan Gasing – Jalan Templer – NPE ditutup sementara sehingga 19 Spetember ini sempena cuti persekolahan.

    Walau bagaimana pun, MBPJ berkata, laluan kontra akan kembali beroperasi seperti biasa mulai Isnin hadapan, 22 September 2025.

    “Orang ramai dinasihatkan untuk merancang perjalanan dengan sebaiknya serta mematuhi arahan pihak berkuasa. Keselamatan anda adalah keutamaan kami,” kata MBPJ menerusi hebahan di Facebook rasminya.

     
     
  • Modenas Supermoped 150 – lagi perincian didedah, meter LCD familiar

    Modenas Supermoped 150 – lagi perincian didedah, meter LCD familiar

    Anda sudah membaca pandangan pertama serta melihat gambar hadapan dan belakang Modenas Supermoped 150 sebelum ini, dan sekarang kami tunjukkan pula bahagian pemegang serta meternya, sebelum motosikal ini dilancarkan pada bulan Oktober nanti.

    Butang-butang kawalan pada pemegang motosikal yang ditunggu ramai ini tersusun secara konvensional dengan di bahagian kiri, selain butang lampu, hon dan penunjuk arah, terdapat butang untuk lampu kecemasan.

    Sementara itu di bahagian kanan, terdapat pula butang pemula enjin elektrik serta butang mematikan kuasa atau dipanggil kill switch.

    Modenas Supermoped 150 – lagi perincian didedah, meter LCD familiar

    Bahagian meter Supermoped 150 ini menampakkan rekaan yang familiar, hampir serperti pesaing yang berada dalam segmen yang sama, tetapi ia sebenarnya tidaklah betul-betul serupa.

    Unit LCD ini memaparkan informasi penting termasuk kelajuan, tahap rpm, kedudukan gear, tahap minyak serta jam.

    Daripada nyalaan pertama meter ini, turut terlihat ada lampu untuk ABS, sekaligus kita boleh menjangkakan motosikal ini akan datang dengan sistem keselamatan di bahagian brek itu, serta lampu kunci, yang memberi petunjuk kepada sistem kunci pintar.

    Modenas Supermoped 150 – lagi perincian didedah, meter LCD familiar

    Seperti yang kami dedahkan sebelum ini, Modenas Supermoped 150 ini melibatkan bahagian enjin dan reka bentuk yang dibangunkan sendiri oleh warga Modenas, bersama input daripada rakan kongsi mereka, Kawasaki. Daripada nama rujukan “Supermoped 150” yang digunakan oleh sendiri oleh Modenas, kita juga boleh menjangkakan enjin yang tidak melebihi 150 cc.

    Untuk rekaan, Modenas menyuntik DNA rekaan mereka, bersama Kawasaki dengan antara yang boleh dilihat termasuk garis-garis tajam Sugomi dan “air ram” (hiasan) di hadapan.

     

     
     
  • Tempoh percubaan imbasan kod QR bagi pemeriksaan imigresen untuk masuk ke Singapura bermula 22 Sept

    Tempoh percubaan imbasan kod QR bagi pemeriksaan imigresen untuk masuk ke Singapura bermula 22 Sept

    Mac lalu, kerajaan memaklumkan akan memperluas penggunaan sistem kod QR bagi pemeriksaan imigresen di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan juga Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) untuk pengguna berkereta, yang akan bermula tahun ini.

    Kini, tempoh percubaan bagi tujuan itu akhirnya akan dimulakan, lapor New Straits Times. Bermula 22 September ini, pengguna yang memasuki Singapura melalui jalan darat di pusat pemeriksaan BSI dan KSAB boleh menggunakan sistem kod QR yang berupakan satu usaha di bawah Sistem Imigresen Bersepadu Kebangsaan (MyNIISe).

    Pemandu yang memasuki Singapura boleh mengimbas kod QR yang dihasilkan oleh MyNIISe di laluan terpilih dan tidak perlu lagi menunggu giliran untuk pemeriksaan manual di kaunter. Pengguna bagaimanapun perlu terlebih dahulu mendaftar menerusi platform MyNIISe untuk membolehkan mereka menjana kod QR berkenaan, yang akan dipautkan dengan perincian perjalanan mereka.

    Tempoh percubaan imbasan kod QR bagi pemeriksaan imigresen untuk masuk ke Singapura bermula 22 Sept

    Di lorong kereta di BSI dan KSAB, kod berkenaan boleh diimbas menerusi laluan terpilih yang akan membolehkan sistem mengesahkan pasport dan data kenderaan dengan rekod imigresen secara automatik. Selesai pemeriksaan, penghalang akan diangkat untuk membolehkan kenderaan meneruskan perjalanan, tanpa perlu melakukan pemeriksaan manual di kaunter.

    Menurut Pengerusi Ahli Jawatankuasa Prasarana, Pengangkutan dan Komunikasi Negeri Johor, Mohd Fazli Salleh, pengenalan penggunaan kod QR itu dijangka akan menguranhgkan kesesakan di kedua-dua pusat pemeriksaan tersebut.

    “Pengguna boleh menjangkajan perjalanan yang lebih lancar dan cepat untuk memasuki Singapura. Dengan satu imbasan, mereka tidak lagi perlu beratur di kaunter,” ujarnya. Beliau menambah, tempoh percubaan itu bertujuan untuk menilai maklum balas daripada pengguna serta menilai kecekapan operasi sebelum ia dilaksanakan sepenuhnya.

     
     
  • Mercedes-Benz akan kembali guna butang dan suis kawalan fizikal selepas melihat data dari pengguna

    Mercedes-Benz akan kembali guna butang dan suis kawalan fizikal selepas melihat data dari pengguna

    Seperti Volkswagen, Mercedes-Benz nampaknya turut akan menggunakan kembali rekaan suis-suis fizikal untuk kawalan pelbagai fungsi dalam kabin, berbanding menggunakan kawalan digital, lapor Autocar.

    “Data menunjukkan kepada kami bahawa butang-buyang fizikal adalah lebih baik,” kata ketua pegawai perisian Mercedes-Benz Magnus Östberg kepada portal berkenaan. Hala tuju ini akan bermula dengan model EV terbaharu GLC dan CLA Shooting Brake, di mana kedua-dua model tersebut menerima roda stereng rekaan baharu yang menampilkan suis-suis dan butang-butang fizikal.

    Rekaan roda stereng ini akan menjadi perincian standard untuk semua model Mercedes-Benz bermula sekarang, dan ia turut akan diperkenalkan pada model-model yang sedang dijual buat masa ini bermula pada CLA 178 lewat tahun ini. Menurut Östberg, ini adalah cara yang paling mudah dan menggunakan kos yang paling berkesan untuk memberikan kawalan fizikal kepada kabin yang sebelum ini direka dengan tumpuan terhadap kawalan-kawalan digital.

    Mercedes-Benz akan kembali guna butang dan suis kawalan fizikal selepas melihat data dari pengguna

    “Anda boleh lihat perbezaan jika anda beralih dari [sedan] CLA, di mana ia mempunyai skrin sesentuh dan kurang menggunakan butang fizikal, kepada GLC [baharu], di mana kami kembali gunakan butang-butang dan suis-suis guling, kerana kami melihat kepada data bahawa suis guling dan butang-butang fizikal ini adalah sangat penting untuk kumpulan usia tertentu dan populasi tertentu,” kata Östberg

    “Jadi, mempunyai keseimbangan antara butang fizikal dan kawalan sesentuh adalah amat penting bagi kami. Kami didorong sepenuhnya oleh data, melihat apa yang sebenarnya sering digunakan, data menunjukkan kepada kami butang fizikal adalah lebih baik, dan itulah sebabnya kami meletakkannya semula,” tambahnya.

    Mercedes-Benz GLC 2026 menampilkan skrin MBUX Hyperscreen 39.1-inci yang ditawarkan sebagai opsyen, di mana skrin tersebut juga merupakan yang paling besar ditawarkan oleh jenama automotif premium Jerman itu buat masa sekarang.

    Mercedes-Benz akan kembali guna butang dan suis kawalan fizikal selepas melihat data dari pengguna

    Data-data yang dimaksudkan adalah datang dari kenderaan-kenderaan tentuan-perisian (software-defined vehicles atau SDV) iaitu pada CLA dan GLC baharu. SDV sememangnya dibangunkan untuk memperhalusi perisian kenderaan untuk kemaskini akan datang, serta memberikan akses penuh kepada Mercedes-Benz terhadap data penggunaan pemandu kenderaan tersebut.

    Östberg menyatakan data-data berkenaan adalah “sangat penting”, contohnya keputusan untuk mengembalikan penggunaan butang fizikal berkenaan adalah didorong dari data yang diperolehi tersebut. Beliau turut menyatakan bahawa rekaan roda stereng mungkin boleh dibuat berbeza untuk pasaran tertentu, contohnya di Eropah pengguna lebih sukakan lebih banyak butang fizikal, manakala di Asia pemandu lebih sukakan skrin sesentuh dan kawalan suara.

    Beliau turut membayangkan bahawa Mercedes-Benz mungkin akan memberikan lebih banyak butang-butang fizikal semula pada bahagian-bahagian lain dalam kabin bagi model-model selepas ini. Ia berkemungkinan akan ditawarkan pada model-model SUV kerana beliau menyebut “pakej yang lebih bebas” pada kenderaan yang lebih besar dan “pembeli model-model seperti ini adalah lebih sukakan penggunaan butang,”.

     
     
  • Harga minyak 18-24 Sept – diesel di semenanjung, RON97 dinaikkan masing-masing tiga sen seliter

    Harga minyak 18-24 Sept – diesel di semenanjung, RON97 dinaikkan masing-masing tiga sen seliter

    Bagi minggu bertarikh 18 hingga 24 September 2025, Kementerian Kewangan mengumumkan bahawa harga runcit petrol RON97 dinaikkan sebanyak tiga sen seliter, menjadi RM3.21 seliter. Manakala RON 95 yang telah mencapai harga siling, masih dikekalkan pada RM2.05 seliter.

    Bagi diesel yang dijual di Semenanjung Malaysia, ia juga mengalami kenaikan sebanyak tiga sen seliter menjadi RM2.93 seliter . Manakala harga diesel untuk Sabah dan Sarawak tetap dikekalkan pada RM2.15 seliter.

    Pada 23 Julai lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan harga runcit bagi petrol RON 95 akan diturunkan ke RM1.99 seliter apabila penyasaran subsidi dilaksanakan kelak. Perincian penuh mengenai penyasaran subsidi bahan api itu bakal diumumkan menjelang akhir September 2025, katanya menerusi ucapan ‘Penghargaan Buat Rakyat Malaysia’.

    Manakala pada 26 Ogos, Menteri MoF II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, “Pada masa ini, kerajaan berada di fasa akhir memperhalusi kriteria kelayakan dan kaedah pelaksanaan bagi subsidi petrol RON95 bersasar, dengan perbincangan bersama semua pihak berkepentingan yang relevan. Ini termasuk meneroka pelbagai mekanisme pelaksanaan, seperti menguji penggunaan MyKad, e-dompet, dan aplikasi syarikat minyak, bagi memastikan inisiatif ini dilaksanakan dengan cekap serta tidak menyulitkan rakyat.”

     
     
  • Toyota GR Yaris dengan “Aero Performance Package” diperkenal – tambah baik aerodinamik & pengendalian!

    Toyota GR Yaris dengan “Aero Performance Package” diperkenal – tambah baik aerodinamik & pengendalian!

    Sayap perlumbaan Toyota Gazoo Racing (TGR) memperkenalkan “Aero Performance Package” untuk GR Yaris facelift, di mana kit badan berkenaan bukan hanya untuk kosmetik semata-mata, tetapi ia turut menawarkan penambahbaikkan dari aspek aerodinamik, penyejukkan dan juga pengendalian hot-hatch tersebut di mana ia dibangunkan menerusi penyelidikan pasukan TGR dan juga input dari pelumba ketika berlumba dalam perlumbaan endurance siri Super Taikyu dan juga perlumbaan rali di Kejohanan Rali Jepun (JRC).

    Kit ini terdiri dari enam komponen, bermula dengan penutup hud hadapan aluminium dengan liang aliran udara. Menurut Toyota, penutup tersebut menampilkan rekaan yang sama dengan komponen yang dipasang pada model edisi terhad Yaris GRMN, dibezakan hanya dengan material binaan – versi GRMN diperbuat dari gentian karbon, manakala pada Aero Performance Package ini pula diperbuat dari bahan aluminium.

    Liang aliran udaran pada penutup hud tersebut didakwa dapat berfungsi mengeluarkan haba dari ruang enjin, seterusnya menyejukkan kawasan tersebut, dan TGR telah membina penutup hud ini ketika penyertaannya dalam JRC.

    Toyota GR Yaris dengan “Aero Performance Package” diperkenal – tambah baik aerodinamik & pengendalian!

    Seterusnya kit ini menampilkan spoiler bawah bampar hadapan yang dibina dan dibangunkan ketika TGR menyertai perlumbaan Super Taikyu Endurance. Spoiler tersebut berfungsi untuk mengurangkan kadar dongakan bahagian hadapan kereta bagi memberikan sudut dongakan yang lebih seimbang, seterusnya memberikan cengkaman yang lebih baik pada tayar hadapan.

    Kemudian Aero Performance Package ini menampikan liang pengalir pada kedua-dua fender hadapan, di mana ia berfungsi untuk mengeluarkan aliran udara yang terkumpul dalam ruang roda hadapan, seterusnya memberikan rasa stereng yang lebih baik kepada pemandu dan juga kestabilan pengendalian khususnya ketika bahagian hadapan kereta menjunam ke hadapan untuk mengambil selekoh.

    Ketika bahagian hadapan menjunam, kestabilan bahagian belakang pula akan dibantu dengan spoiler belakang lebih besar dengan sudut sayap yang boleh dilaras disertakan bersama Aero Performance Package ini, di mana menurut Toyota ia akan mengelakkan bahagian belakang dari terjadi pergerakan seperti ular ketika brek tekan dengan kuat. Sudut kecondongan sayap pada spoiler berkenaan boleh diubah bagi disesuaikan dengan pelbagai litar lumba.

    Manakala pada bampar belakang, kit Aero Performance Package ini diberikan sepasang lagi liang pengalir udara, berfungsi untuk menghilangkan ‘kesan payung terjun’ pada bampar tersebut dengan membebaskan aliran udara di dalamnya, sekaligus mengurangkan pekali geseran. Toyota menyatakan bahawa rekaan ini turut dibangunkan menerusi perlumbaan Super Taikyu.

    Kit ini bukan hanya memberikan komponen pada bahagian atas badan, malah turut membabitkan komponen di bawah lantai dengan memadankan penutup pelindung bawah tangki petrol. Penutup in memberikan kesan aerodinamik lebih baik dengan menjadikan bahagian bawah lantai GR Yaris ini hampir rata semuanya sama seperti kereta lumba GR Yaris dalam siri Super Taikyu.

    Toyota GR Yaris dengan Aero Performance Package ini akan mula dijual di Jepun bermula 1 Oktober ini, dan ia ditawarkan dalam varian RZ High Performance dan juga varian ‘kosong’ RC. Toyota GR Yaris RC manual enam-kelajuan dengan Aero Performance dijual pada harga 4,055,000 yen (RM116k) manakala RC dengan kotak gear automatik GR-DAT lapan-kelajuan pula berharga 4,405,000 yen (RM127k).

    Manakala Toyota GR Yaris RZ High Performance manual enam-kelajuan dengan Aero Performance Package pula dijual pada harga 5,475,000 yen (RM157k), dan versi paling mahal RZ High Performance GR-DAT automatik lapan-kelajuan dengan Aero Performance Package dijual pada harga 5,825,000 (RM167k).

     
     
  • Honda Winner R 2025 diperkenal di Vietnam – RS-X dengan badan serba baru, harga dari RM7.3k

    Honda Winner R 2025 diperkenal di Vietnam – RS-X dengan badan serba baru, harga dari RM7.3k

    Sudah wujud sejak tahun 2017, Honda Winner (juga dikenali sebagai RS150R dan seterusnya RS-X) pasaran Vietnam kini diperkenalkan dalam versi terbaru yang dipanggil sebagai Winner R. Ia dijual dalam pilihan tiga versi iaitu Standard, Special Edition dan Sport, dengan harga antara 4.6 juta dong (RM7,300) ke 50.56 juta dong RM8,030).

    Peningkatan utama bagi model tahun 2025 ini adalah di bahagian penampilan, dengan bukan sahaja grafik, tetapi juga panel badan yang diubah. Paling jelas adalah di bahagian hadapan, yang menerapkan rekaan lebih sporty.

    Lampu hadapan jenis LED pada model ini dinaik taraf dengan teknologi “Crystal Light” yang dapat memberikan pencahayaan lebih baik, sementara dari bahagian tepi anda juga dapat melihat bahagian enjin kini lebih tertutup dengan tambahan panel.

    Bahagian mekanikal tidak diubah, dengan ia masih lagi menggunakan enjin satu silinder 149.2 cc DOHC dengan sistem penyejukan cecair, mampu menghasilkan 15.8 hp pada 9,000 rpm dan 13.5 Nm tork pada 7,000 rpm, bersama balancer, coil serta laluan minyak yang ditambah baik sejak dari tahun lepas.

    Transmisi enam kelajuannya juga telah dinaik taraf pada tahun lalu, dengan klac jenis anti-slip, memberikan penukaran gear lebih lancar serta tarikan tuil yang lebih lembut. Tangki bahan api berkapasiti 4.5 liter.

    Kelengkapan lain yang disediakan adalah termasuk soket pengecas USB, fork teleskopik di hadapan, monoshock di belakang, rim 17 inci, brek cakera hadapan dan belakang, dengan ABS single-channel bagi dua varian tertinggi, sistem kunci pintar serta panel meter digital.

     
     
  • BYD Seal 6 akan dilancar di Malaysia 26 September — pasaran pertama luar China, 218 PS, 330 Nm, 545 km

    BYD Seal 6 akan dilancar di Malaysia 26 September — pasaran pertama luar China, 218 PS, 330 Nm, 545 km

    Kurang seminggu selepas menunjukkan iklan teaser bagi model elektrik Seal 6, BYD mengesahkan bahawa sedan EV itu akan dilancarkan di Malaysia pada 26 September nanti. Ini merupakan pengenalan global yang pertama bagi kereta berkenaan, yang turut dikenali sebagai Qin L EV di China.

    Sedikit lebih kecil (dan mungkin juga lebih murah) berbanding model Seal sedia ada, Seal 6 EV ini dibangun menggunakan e-Platform 3.0 Evo yang sama seperti Sealion 7 dan digerakkan melalui motor tunggal di belakang.

    Di China, sedan berkenaan ditawarkan dalam tiga varian. Yang paling asas menjana sebanyak 150 PS (110 kW) dan 220 Nm dan memberikan jarak CLTC sejauh 470 Nm — ia menggunakan bateri lithium iron phosphate (LFP) Blade dengan kapasiti 46.08 kWj. Untuk kitaran WLTP, jarak yang bersamaan adalah sekitar 380 km.

    BYD Seal 6 akan dilancar di Malaysia 26 September — pasaran pertama luar China, 218 PS, 330 Nm, 545 km

    Dua lagi varian hadir dengan output motor yang lebih tinggi: 218 PS (160 kW) dan 330 Nm, dan satu lagi dengan kapasiti bateri lebih besar 56.64 kWj, yang memberikan jarak CLTC 545 km (sekitar 430 km WLTP). Bateri yang lebih kecil mempunyai kemampuan pengecasan DC sehingga 84 kW, sementara bateri yang lebih besar sehingga 103 kW. Kedua-duanya boleh dicas 30%-80% dalam masa 24 minit. Pengecasan AC bagaimanapun dihadkan hanya kepada 7 kW, dan kedua-dua varian ada fungsi vehicle-to-load (V2L) hingga 6 kW.

    Sedan ini mempunyai panjang 4,720 mm, 1,880 mm lebar dan 1,495 mm tinggi. Ini menjadikan Seal 6 ini 80 mm lebih pendek berbanding Seal biasa, tetapi 5 mm lebih lebar dan 35 mm lebih tinggi. Jarak rodanya pula ialah 2,820 mm, 100 mm lebih pendek berbanding Seal.

    Seal 6 EV juga berpenampilan kurang sporty berbanding Seal biasa dari sudut rekaan. Lampu utamanya lebih tirus, dengan jalur perak menghubungkan di kiri dan kanan — ciri rekaan yang sama dapat dilihat pada model seperti Atto 2 dan Atto 3 (di China, Yuan up dan Yuan Plus).

    BYD Seal 6 akan dilancar di Malaysia 26 September — pasaran pertama luar China, 218 PS, 330 Nm, 545 km

    Bahagian bawah bampar menampilkan bentuk X yang juga hadir di bahagian belakang. Dari sisi kelihatan enam bahagian tingkap/kaca yang ada, dengan bingkainya hadir dalam kemasan hitam. Lampu belakang pula berkelebaran penuh, dengan grafik “infinity” yang sama seperti Atto 2, serta lencana BYD dengan lampu.

    Di dalam, Seal 6 menerima rekaan yang ringkas dan bersih. Papan pemuka pada umumnya rata dengan kemasan warna hitam keseluruhannya. Pemilih gear ala Seal juga tidak kelihatan, dan digantikan dengan tuil di belakang stereng seperti Atto 2.

    Ini menjadikan bahagian konsol tengahnya lebih kosong dan luas untuk menempatkan ruang storan, termasuk dua ruang untuk telefon (dengan satu pengecas tanpa wayar Qi 50-watt), dua ruang cawan dan peti sejuk sebagai pilihan di bawah perehat lengan. Lagi ciri dari Atto 2 ialah roda stereng yang digunakan.

    BYD Seal 6 akan dilancar di Malaysia 26 September — pasaran pertama luar China, 218 PS, 330 Nm, 545 km

    Seperti model-model terkini BYD, sedan ini antara lain dilengkapi dengan skrin yang sangat besar, termasuk paparan instrumen digital 8.8-inci dan skrin sentuh boleh pusing 12.8-inci atau 15.6-inci. Sistem bunyi hadir dengan enam atau lapan-pembesar suara, kerusi depan larasan elektrik dengan pemanas, liang udara dan memori untuk sebelah pemandu, bumbung kaca panoramik dengan pelindung matahari larasan kuasa serta penyerap hentak adaptif DiSus-C (kini sudah juga ditawarkan untuk Seal).

    BYD Seal terbaru di Malaysia kini dijual di Malaysia dengan harga bermula RM171,800. Jadi, adakah Seal 6 ini akan datang dengan harga yang lebih rendah? Di bawah RM150,000 mungkin?

     
     
  • Penjualan tapak nombor plet boleh pusing dalam talian di Malaysia beri kebimbangan kepada pihak berkuasa

    Penjualan tapak nombor plet boleh pusing dalam talian di Malaysia beri kebimbangan kepada pihak berkuasa

    Masalah penggunaan nombor plat kenderaan haram di Malaysia kini memasuki fasa baru dengan kewujudan alat penukar nombor plat automatik boleh pusing. Menurut laporan akhbar The Star, alat yang mudah diperoleh melalui platform e-dagang ini membuka peluang kepada pemandu tidak bertanggungjawab dan penjenayah untuk menyembunyikan identiti kenderaan mereka hanya dengan menekan satu butang.

    Apabila dipasang pada kenderaan, alat ini membolehkan pemilik menukar atau menutup plat nombor kenderaan dalam sekelip mata melalui alat kawalan jauh. Hasil semakan di tiga laman e-dagang popular menunjukkan bahawa alat ini dijual pada harga antara RM150 hingga RM350. Sekurang-kurangnya sedozen penjual menawarkan produk ini dalam dua variasi — diperbuat daripada logam dan plastik, dan boleh dipasang dalam masa kurang daripada 10 minit. Setiap pembelian turut disertakan dengan aksesori seperti kabel pemasangan dan kuasa, unit kawalan serta cara penggunaan.

    Salah satu variasi berfungsi dengan motor binaan dalam yang boleh memutar nombor plat sebenar kepada nombor palsu mengikut kehendak pengguna. Satu lagi menggunakan panel kosong yang turun untuk menutup keseluruhan nombor asal kenderaan tersebut.

    Dalam iklan yang dimuat naik, ada penjual yang mendakwa alat ini membantu melindungi nombor plat daripada kerosakan akibat cuaca atau permukaan jalan yang kasar, malah kononnya menawarkan “keselamatan dan privasi tambahan”. Namun di platform lain, alat ini terus terang dipromosikan sebagai “penutup plat untuk elak saman kamera,” yang jelas menunjukkan niat penyalahgunaan.

    Penjualan tapak nombor plet boleh pusing dalam talian di Malaysia beri kebimbangan kepada pihak berkuasa

    Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri menegaskan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap pemilik kenderaan yang didapati memasang alat ini. Beliau menjelaskan bahawa perbuatan mempamerkan plat nombor yang mengelirukan atau palsu adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan, yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga setahun, denda sehingga RM5,000, atau kedua-duanya sekali.

    Tambah beliau lagi, mana-mana kenderaan yang dikesan menggunakan alat ini akan disita serta-merta dan pemiliknya akan dikenakan saman dan tindakan mahkamah. Operasi khas akan dijalankan bagi mengesan kes-kes seperti ini. Pihak polis juga akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Kementerian Digital untuk mengharamkan penjualan alat tersebut.

    Pakar jenayah, Datuk Seri A. Thaiveegan turut memberi amaran bahawa penjualan alat ini memberi kesan besar terhadap keberkesanan penguatkuasaan lalu lintas dan menyukarkan pihak polis dalam menjejak penjenayah. Beliau mencadangkan agar pindaan undang-undang dilakukan untuk mengharamkan pengimportan, pengeluaran tempatan, penyimpanan dan pemasangan alat ini.

    Pakar keselamatan jalan raya dari Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Dr Law Teik Hua berkata alat ini direka khas untuk menyembunyikan identiti pemandu dan mengelak daripada dikenakan tindakan undang-undang. Menurutnya, walaupun sesetengah pembeli mungkin membelinya sekadar suka-suka, tujuan utama alat ini tetap untuk mengelak daripada dikesan sistem penguatkuasaan automatik seperti kamera had laju, kamera lampu isyarat dan sistem pembayaran tol.

    Penjualan tapak nombor plet boleh pusing dalam talian di Malaysia beri kebimbangan kepada pihak berkuasa

    Beliau memberi amaran bahawa penggunaan meluas alat seperti ini boleh merosakkan integriti sistem penguatkuasaan lalu lintas, mengakibatkan kehilangan hasil negara daripada kutipan tol dan saman, serta menghalang siasatan jenayah yang lebih serius. Beliau turut menyatakan bahawa keyakinan orang ramai terhadap keadilan dan keberkesanan undang-undang akan terjejas jika penggunaan alat ini tidak dibendung.

    Perunding pengangkutan, Wan Agyl Wan Hassan pula menegaskan bahawa isu ini bukan sekadar perlu diharamkan, tetapi penjualannya secara dalam talian juga mesti dihentikan segera. Katanya, penggunaan alat ini jelas melanggar Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan peraturan JPJ yang melarang sebarang bentuk pengubahsuaian pada plat nombor. Pelaku boleh dikenakan denda sehingga RM3,000 atau hukuman penjara.

    Menurut beliau, alat ini memberi risiko besar kerana ia boleh digunakan oleh penjenayah untuk melarikan diri selepas melakukan kecurian, penyeludupan atau kemalangan langgar lari tanpa dikesan. Jika alat ini terus berleluasa, sistem penguatkuasaan lalu lintas akan lumpuh dan keselamatan jalan raya akan tergugat. Kepercayaan awam terhadap undang-undang juga akan terhakis jika wujud kelompok yang boleh terlepas daripada tindakan undang-undang, sedangkan yang lain patuh.

    Beliau juga menggesa platform e-dagang untuk bertanggungjawab. Di bawah Peraturan Perlindungan Pengguna (Transaksi Perdagangan Elektronik) 2024 dan Rang Undang-Undang Keselamatan Dalam Talian, platform wajib menurunkan produk yang dilarang apabila diberi makluman. Jika mereka boleh membuang barangan tiruan, mereka juga boleh melaksanakan perkara sama terhadap alat penukar plat nombor ini.

     
     
  • Renault Clio 2026 diperkenal di Jerman – generasi keenam dengan badan lebih besar, gaya sporty

    Renault Clio 2026 diperkenal di Jerman – generasi keenam dengan badan lebih besar, gaya sporty

    Bukan setakat pengeluar dari Jerman sahaja yang menarik perhatian di IAA Mobility 2025 (juga dikenali sebagai Pameran Motor Munich). Renault juga mencuri tumpuan dengan pelancaran generasi keenam bagi Clio – model ikonik yang telah wujud sejak tahun 1990.

    Sejak diperkenalkan lebih tiga dekad lalu, Renault Clio telah mencatat jualan hampir 17 juta unit di lebih 120 negara, termasuk Malaysia sebelum ini. Ia merupakan antara model terlaris di Eropah dan menjadi tunjang penting kepada Renault. Kini, Clio tampil dengan wajah serba baru bagi mengekalkan minat pembeli dan bersaing dalam segmen hatchback yang semakin sengit.

    Clio generasi baru ini dibina atas platform CMF-B yang dipertingkatkan dan hadir dalam saiz lebih besar berbanding sebelum ini. Ia kini berukuran 4,116 mm panjang, 1,768 mm lebar, 1,451 mm tinggi dan mempunyai jarak roda 2,591 mm. Rekaan luarnya pula jauh lebih ekspresif dan dinamik, diinspirasikan daripada model konsep Embleme yang dipertontonkan tahun lalu.

    Bahagian hadapan Clio menampilkan rupa agresif dengan lampu utama berbentuk tirus yang mengapit gril heksagon, serta lampu nyalaan siang berbentuk kurungan yang memberi sentuhan moden. Corak berlian kecil pada bukaan udara menjadi simbolik kepada logo Renault.

    Renault Clio 2026 diperkenal di Jerman – generasi keenam dengan badan lebih besar, gaya sporty

    Profil sisi pula menunjukkan bentuk yang lebih aerodinamik dengan bonet lebih panjang, serta bentuk tingkap sisi yang mengalir ke belakang dengan garis bumbung menurun. Pemegang pintu belakang disembunyikan, seperti pada model terdahulu, manakala legnkuk roda berwarna hitam menambahkan elemen visual sporty.

    Di belakang, Clio hadir dengan cermin belakang yang condong, lampu belakang heksagon yang unik, spoiler bumbung serta permukaan berlekuk bagi nombor plat – semuanya direka untuk memberikan rupa yang lebih agresif dan moden.

    Masuk ke dalam kabin, perubahan drastik turut dilakukan dengan susunan papan pemuka dua tingkat yang menempatkan corong pendingin hawa dan dua paparan digital 10.1 inci dalam susun atur bentuk “V”. Skrin infotainmen OpenR Link dengan sistem Google diletakkan di tengah, bersama kawalan pendingin hawa yang condong ke arah pemandu. Di bawahnya terdapat soket USB-C, pad pengecas tanpa wayar, pemegang cawan dengan penutup lipat serta butang brek tangan elektronik.

    Stereng kompak diinspirasikan daripada model segmen lebih tinggi, manakala lampu suasana 48 warna menyinari pintu bagi memberikan suasana kabin yang lebih menarik. Sistem audio premium Harman Kardon turut ditawarkan bergantung kepada varian, bersama pelbagai pilihan warna dalaman.

    Tiga varian ditawarkan iaitu Evolution, Techno dan Esprit Alpine. Kesemuanya hadir standard dengan ciri Adaptive Cruise Control dan brek kecemasan automatik. Varian lebih tinggi pula dilengkapi sehingga 29 fungsi keselamatan dan bantuan pemandu termasuk sistem Active Driver Assist yang mula diperkenalkan pada model Renault 5, amaran lintasan hadapan dan belakang, bantuan brek kecemasan semasa mengundur, amaran keluar selamat untuk penumpang, dan bantuan brek kecemasan automatik.

    Dari segi penjana kuasa, pilihan utama untuk Clio adalah sistem hibrid penuh E-Tech dengan kuasa 160 PS dan tork 205 Nm. Diumumkan pada Mei lalu, sistem ini merupakan hasil usaha sama antara Geely dan Renault di bawah jenama Horse Powertrain.

    Ia menggunakan enjin 1.8 liter empat silinder tanpa turbo dengan kitaran Atkinson, dipadankan dengan transmisi automatik hibrid empat kelajuan, bateri 1.4 kWh dan dua motor elektrik – satu untuk pacuan dan satu lagi sebagai starter-generator. Gabungan ini membolehkan Clio memecut 0-100 km/j dalam 8.3 saat dan mencatat penggunaan bahan api serendah 3.9 liter setiap 100 km.

    Bagi pilihan bukan hibrid, terdapat enjin tiga silinder 1.2 liter turbo yang menghasilkan 115 PS dan 190 Nm, dengan pilihan kotak gear manual enam kelajuan atau automatik klac berkembar EDC. Satu lagi pilihan ialah enjin dwibahan api petrol-LPG dengan output 120 PS dan 200 Nm yang hanya ditawarkan bersama transmisi EDC. Kedua-dua varian ini mencatat masa pecutan 0-100 km/j sekitar 10.1 saat. Menariknya, ini merupakan generasi pertama Clio yang tidak lagi ditawarkan dengan enjin diesel.

     
     
  • Ford bakal hentikan 1,000 lagi pekerja kilangnya di Cologne, Jerman berikutan jualan EV yang lembab

    Ford bakal hentikan 1,000 lagi pekerja kilangnya di Cologne, Jerman berikutan jualan EV yang lembab

    Ford bakal memberhentikan 1,000 orang pekerjanya yang bertugas di kilangnya yang terletak di Cologne, Jerman, lapor Motor1. Ini kerana dengan jualan kenderaan elektrik (EV) yang semakin kurang permintaan, kilang yang beroperasi dengan dua syif tersebut hanya akan beroperasi dalam satu syif bermula 2026.

    Kilang berkenaan sebelum ini menghasilkan model-model popular Ford seperti Fiesta dan Focus, namun model-model berkenaan mula dihentikan pengeluarannya secara berperingkat, kemudian fungsi fasiliti tersebut telah bertukar untuk menghasilkan model-model EV seperti Capri generasi baharu yang kini muncul sebagai SUV EV dan juga Explorer.

    Model-model EV berkenaan gagal untuk menambat hati pelanggan-pelanggan di Eropah – di Jerman misalnya, jumlah pendaftaran kereta baharu Ford telah jatuh sebanyak 14.3% pada 2024 berbanding tahun sebelumnya. Dan dalam tempoh satu dekad terakhir, bahagian pasaran Ford telah jatuh hampir 7% kepada hanya 3%, dengan kenaikan rendah hanya pada 4.5%, lapor Motor1.

    Ford bakal hentikan 1,000 lagi pekerja kilangnya di Cologne, Jerman berikutan jualan EV yang lembab

    Langkah terbaharu ini sebenarnya adalah lanjutan dari strategi Ford untuk mengurangkan kos operasinya yang telah diumumkan pada tahun lalu. Ketika diumumkan, ia telah ditentang menerusi tunjuk perasaan pertama pernah dibuat dalam sejarah kilang tersebut. Namun pekerja-pekerja kilang berkenaan kemudiannya menerima keputusan yang dibuat dengan berat hati.

    Pemberhentian terbaharu ini menambah lagi bilangan tenaga kerja yang dihentikan, tidak termasuk jumlah 2,900 pekerjaan yang telah dirancang untuk dihentikan pada penghujung 2027 dalam pelan asal yang telah diumum sebelum ini. Pemberhentian ini akan menjejaskan jawatan-jawatan dalam bidang pentadbiran dan juga pembangunan.

    Langkah ini akan dijalankan secara sukarela, dengan pilihan sama ada diberhentikan atau separa bersara, di mana jumlah sebenar pekerja yang akan dihentikan tersebut bergantung kepada perbincangan yang dibuat oleh wakil pekerja.

    Ford bakal hentikan 1,000 lagi pekerja kilangnya di Cologne, Jerman berikutan jualan EV yang lembab

    Pemberhentian pertama mungkin akan bermula seawal Januari 2026, yang akan mengurangkan pekerja hanya kepada sekitar 7,600 orang. Sebagai perbandingan, kilang Ford di Cologne ini pernah mempunyai hampir 20,000 orang pekerja pada lewat 2010’an.

    Berita berkenaan langkah terbaharu ini juga didengari hanya sebulan selepas Ford meraikan ulangtahun ke-100nya di Jerman, dengan pekerja-pekerja mula diberitahu pada pagi Selasa lalu. “Kami sedar kesannya terhadap pekerja kami dan akan melakukan segala yang mungkin untuk menyokong mereka,” kata jurucakap Ford kepada Motor1 Germany.

    Walau bagaimanapun berita ini tidak akan mempengaruhi perniagaan Ford di Amerika Syarikat. Menurut Motor1 Ford telah menjual sebanyak 2.08 juta kenderaan di pasaran berkenaan pada 2024, atau naik 4.2% serta ia adalah prestasi terbaik syarikat itu sejak 2019. Model-model EV dan hibrid Ford mendapat sambutan di Amerika Syarikat, manakalan trak pikap F-150 masih mendominasi pasaran negara tersebut dan terus menjadi model paling laris sepanjang zaman.

     
     
  • 100,000 kenderaan syarikat barangan, pengangkutan awam darat layak dapat subsidi RON95 di bawah SKPS

    100,000 kenderaan syarikat barangan, pengangkutan awam darat layak dapat subsidi RON95 di bawah SKPS

    Dianggarkan sebanyak 100,000 kenderaan barangan dan syarikat pengangkutan awam darat di seluruh negara layak menerima subsidi petrol RON95 di bawah Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS), berdasarkan integrasi data SKPS dengan sistem Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), laporan Bernama.

    Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, pendaftaran SKPS telah dibuka sejak Isnin lalu, namun setakat ini hanya 240 kenderaan daripada 70 syarikat pengangkutan awam darat dan 95 kenderaan daripada syarikat pengangkutan barangan telah mendaftar untuk mendapatkan subsidi tersebut.

    “Walaupun tiada tarikh tutup, saya menggesa semua syarikat pengangkutan barangan dan awam darat yang layak supaya segera mendaftar bagi memastikan mereka menerima manfaat subsidi ini mulai hari pertama pelaksanaan.

    “Kami berharap semua kenderaan syarikat pengangkutan barangan dan awam darat akan memanfaatkan subsidi petrol RON95 ini memandangkan mereka menyediakan perkhidmatan kepada pengguna. Kemudahan subsidi ini akhirnya akan membantu mengurangkan impak kepada pengguna secara keseluruhan,” katanya sambil menambah bahawa fleet card perlu dipohon daripada tiga syarikat minyak yang ditetapkan selepas proses pendaftaran selesai. Klik di sini untuk mendaftar SKPS.

     
     
  • Jetour eVT5 dikesan lagi di Malaysia – versi EV bagi Chery Tiggo Cross, 53.6 kWh; bakal dilancarkan kelak?

    Jetour eVT5 dikesan lagi di Malaysia – versi EV bagi Chery Tiggo Cross, 53.6 kWh; bakal dilancarkan kelak?

    Baru-baru ini Jetour eVT5 telah dikesan berada di jalan raya di Malaysia, dan fotonya dikongsikan menerusi paultan.org Automotive/Car Discussion Group di Facebook. Bagaikan memberi petanda bahawa SUV crossover versi EV bagi Chery Tiggo Cross ini bakal dilancarkan di pasaran tempatan tidak lama lagi.

    Sebelum ini, eVT5 juga pernah dikesan diuji di Malaysia, namun tika itu kemunculannya dikenali sebagai Kaiyi X3 Pro EV. SUV crossover EV ini juga pernah tampil khas di Malaysia Autoshow 2025 pada Mei lalu dan ia mempunyai ukuran dimensi 4,443 mm panjang, 1,831 mm lebar, 1,653 mm tinggi dan jarak roda 2,632 mm serta jarak kelegaan tanah (ground clearance) cecah 183 mm. Walau bagaimana pun, eVT5 sebenarnya 125 mm lebih panjang berbanding Tiggo Cross, tetapi saiz ukuran lain lebih kurang sama.

    Ia dilengkapi dengan bateri lithium iron phosphate (LFP) CATL berkapasiti 53.6 kWh yang boleh memberikannya jarak gerak hingga 356 km mengikut kitaran NEDC, dan ia mampu mencapai status pengecasan antara 30-80% dalam masa 30 minit.

    Antara ciri pengendaliannya yang diberikan termasuklah motor 163 PS/280 Nm, sistem suspensi dengan topang MacPherson untuk hadapan dan multi-link di belakang, cakera brek ventilated di hadapan dan cakera solid untuk belakang dan roda aloi 18-inci yang dibaluti tayar Giti Comfort 215/55.

    Untuk bahagian kabinnya, ia dilengkapi dengan unit paparan, upholstery kulit, skrin sesentuh LCD 10.25-inci, corong pendingin hawa untuk tempat duduk belakang, bumbung suria panoramik, kamera 360-darjah, penahan brek auto, kawalan kelajuan, panel pengecasan tanpa wayar dan enam beg udara.

    Buat masa ini, Jetour Malaysia masih belum mendedahkan sebarang harga untuk eVT5 ini dan juga perincian lanjut mengenainya. Untuk pengetahuan anda, di pasaran global, selain versi elektrik, SUV ini yang diberikan nama berlainan juga ditawarkan dengan unit enjin pembakaran dalaman (ICE) dengan pilihan enjin 1.5 liter berkuasa 116 hp dan 1.5 liter turbo bersama hamburan kuasa 156 hp dan tork 230 Nm. Kedua-dua pilihan enjin ICE itu dipadankan dengan transmisi automatik enam-kelajuan.

    GALERI: Jetour eVT5 yang dipertontonkan di Malaysia Autoshow 2025 pada Mei lalu

     
     
  • RTS Link JB-Singapura: Kemajuan kerja sistem rel capai 61% akhir Ogos, tren jalani ujian integrasi

    RTS  Link JB-Singapura: Kemajuan kerja sistem rel capai 61% akhir Ogos, tren jalani ujian integrasi

    Setakat akhir Ogos lalu, kemajuan kerja sistem rel Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura sudah mencapai 61% dengan sebahagian besar ujian sistem selesai dijalankan, manakala tumpuan kini kepada kerja pemasangan dan ujian di tapak, ujar Ketua Pegawai Eksekutif RTS Operations Pte Ltd (RTSO) Dr Ahmad Marzuki Ariffin.

    Selain itu, katanya, tren kedua RTS juga dijangka tiba di Depot Wadi Hana pada hujung September ini selepas selesai menjalani ujian di fasiliti CRRC Batu Gajah, Perak. Di mana tren berkenaan merupakan set pertama yang akan dibawa masuk ke depot itu bagi melalui siri ujian seterusnya, laporan Harian Metro.

    “Tren pertama RTS kini masih berada di Singapura untuk menjalani Ujian Integrasi Sistem Luar Tapak (Offsite Systems Integration Test-OSIT) selepas diperkenalkan semasa majlis pelancaran pada hujung Jun lepas di Singapura. Tren itu dijangka dibawa ke Depot Wadi Hana pada separuh kedua November ini,” katanya.

    Depoh Wadi Hana bakal menjadi fasiliti penyelenggaraan serta operasi tren RTS Link di Wadi Hana yang terletak kira-kira satu kilometer ke utara Stesen RTS Link Bukit Chagar, laluan utama menghubungkan Stesen Bukit Chagar di Johor Bahru dengan Stesen Woodlands North di Singapura.

    Secara keseluruhan, projek RTS Link membabitkan lapan set tren, dengan tren kedua hingga kelapan dalam proses akhir pembuatan di fasiliti CRRC Batu Gajah sebelum dihantar secara berperingkat ke Johor Bahru menjelang hujung 2025.

    Dilancarkan pada tahunn 2018, projek RT Link ini adalah perkhidmatan rel rentas sempadan sepanjang empat kilometer yang menghubungkan Bukit Chagar di Johor Bahru dan Woodlands North di Singapura. Ia dijangka siap pada Disember 2026 dan mula beroperasi awal 2027. Sistem pengangkutan rel itu mampu memuatkan kapasiti 10,000 penumpang sejam untuk setiap arah, dengan masa perjalanan sekitar lima minit antara dua stesen, satu di Bukit Chagar di Johor dan satu lagi di Woodlands di Singapura.

     
     
  • Siri nombor perdaftaran istimewa GM dibuka bidaan via JPJ eBid mulai 16 Sept – dapat tiket Super GT

    Siri nombor perdaftaran istimewa GM dibuka bidaan via JPJ eBid mulai 16 Sept – dapat tiket Super GT

    Kementerian Pengangkutan (MoT) melalui Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) telah mengumumkan bahawa siri Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI), GM, akan dibuka bidaan menerusi platform dalam talian JPJ eBid. Menurut JPJ, GM yang bermaksud ‘Gemilang Malaysia’ adalah sempena dengan sambutan Hari Malaysia dan bagi menyemarakkan lagi semangat patriotisme serta cintakan negara.

    Untuk yang berminat untuk mendapatkan siri GM ini, ia dibuka bidaan mulai esok, 16 September. Seperti biasa, tempoh bidaan adalah selama lima hari dan ia akan berakhir jam 10 malam pada 20 September. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 21 September 2025. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Harga bidaan dalam JPJeBid adalah mengikut harga minima yang telah ditetapkan seperti berikut:
    Siri nombor perdaftaran istimewa GM dibuka bidaan via JPJ eBid mulai 16 Sept – dapat tiket Super GT

    “Kaedah penawaran secara bidaan ini adalah tertakluk kepada terma dan syarat yang telah ditetapkan melalui sistem JPJ JeBid. Mana-mana nombor pendaftaran yang berjaya dibida mestilah didaftarkan pada sebuah kenderaan dalam tempoh dua belas bulan dari tarikh surat keputusan bidaan rasmi dikeluarkan,” kata JPJ menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Lebih menarik, pembida yang berjaya dalam bidaan GM ini akan ditawarkan dengan dua keping tiket Festival Super GT Malaysia 2026 dengan membuat penebusan tiket melalui alamat e-mel.

     
     
  • Yamaha NVX 155 2025 dilancar – varian SP dapat fungsi “Turbo”, ABS, kawalan cengkaman, dari RM12k

    Yamaha NVX 155 2025 dilancar – varian SP dapat fungsi “Turbo”, ABS, kawalan cengkaman, dari RM12k

    Diperkenalkan di pasaran Indonesia pada penghujung tahun lepas, Yamaha NVX 155 2025 (dipanggil Aerox Alpha di sana) kini tiba di pasaran Malaysia dalam dua varian, iaitu ABS pada harga RM11,998 dan SP pada harga RM14,998 (tidak termasuk insurans).

    Untuk spesifikasi, jika mahu dibandingkan dengan pasaran Indonesia, NVX 155 ABS Malaysia ini boleh dikatakan sama seperti Aerox Alpha CyberCity (pertengahan), sementara NVX 155 SP pula sama seperti varian Turbo (bukan yang paling tinggi) di negara jiran itu.

    Melihat pertamanya kepada penampilan, apabila diteliti anda akan nampak sebenarnya semua panel badan skuter ini adalah baru, termasuk juga lampu hadapan dan belakangnya. Kemudiannya, beza tinggi antara tempat duduk utama dengan penumpang juga nampak lebih sedikit.

    Peningkatan penting berada pada varian SP. Enjinnya masih lagi unit satu silinder 155 cc Bluecore VVA, tetapi ia dipanggil sebagai serba baru kerana dipertingkat dengan teknologi Yamaha Electric CVT (Y-ECVT). Kuasa yang mampu dihasilkan adalah 15.4 PS pada 8,000 rpm dan tork 14.2 Nm pada 6,500 rpm.

    Di negara luar, varian ini dipanggil sebagai “Turbo”, tetapi sebenarnya tidak mempunyai sebarang pengecas turbo, dan sebaliknya ia merujuk kepada mod tunggangan yang disediakan dalam dua pilihan iaitu T-Mode (Town Mode yang lebih santai) dan S Mode (Sports yang lebih bertenaga).

    Kemudiannya, ada pula Turbo Y-Shift, yang boleh digunakan jika penunggang mahukan lebih pecutan ataupun mahukan rasa engine braking yang lebih. Ia boleh diaktifkan melalui butang yang terdapat pada bahagian kiri pemegang dan disediakan dalam tiga tahap iaitu Low, Medium dan High.

    Sistem keselamatan skuter ini juga dipertingkat, terutamanya pada varian SP, yang datang bukan sahaja dengan ABS, tetapi juga sistem kawalan cengkaman. Di bahagian kokpit, Aerox varian tinggi ini dilengkapi dengan panel meter TFT baru yang menyediakan tiga pilihan paparan dan boleh disambung kepada telefon pintar melalui aplikasi Y-Connect untuk fungsi tambahan.

    Untuk NVX 155 baru ini, kedua-dua brek hadapan dan belakang sudah menggunakan tetapan cakera, dan datang sekali dengan fungsi ABS single-channel. Kemudiannya, bahagian meter varian ABS juga hanya diberikan dengan unit LCD biasa.

    Yamaha NVX 155 2025 dilancar – varian SP dapat fungsi “Turbo”, ABS, kawalan cengkaman, dari RM12k

    Menjadikan varian SP lebih unik untuk pasaran Malaysia adalah ia datang dengan beberapa aksesori termasuk penghadang angin hadapan sport, tapak nombor plat aluminium, winglet hadapan serta lapik getah pada pemijak kaki.

    Kelengkapan lain pada NVX 155 masih kekal sama termasuk tetapan rim 14 inci dengan tayar 110/80 di hadapan dan 140/70 belakang, fork teleskopik, dua penyerap hentak di belakang (dengan tabung untuk varian SP), soket pengecas USB-A, sistem start/stop, ruang simpanan 24.5 liter bawah tempat duduk, kunci pintar dan tangki bahan api 5.5 liter.

    GALERI: Yamaha NVX 155 ABS

    GALERI: Yamaha NVX 155 SP

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.67 (0.00)
EURO 5 B7 RM4.87 (0.00)
Last Updated Jun 11, 2026